Bernama
TAPAH: Wanita yang ditemukan lemas dalam tragedi kepala air ketika perkelahan enam sekeluarga dan seorang pengasuh di Sungai Kenjur, Kampung Poh, petang tadi dikenali sebagai Aszura Bani, 37, dari Kampung Cegar, Bidor.
Ketua Polis Tapah, Mohd Naim Asnawi, berkata kakak kepada mangsa Aslinda Bani berusia 38 tahun dan anak lelakinya Muhammad Adam Muhkris Rozi yang berusia 11 tahun terselamat manakala tiga anak mangsa yang berusia dua, empat dan tujuh tahun masih hilang.
“Seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang merupakan pengasuh kepada tiga kanak-kanak yang hilang pula dijumpai sedang berpaut pada batu di sungai,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Beliau berkata, usaha mencari tiga lagi kanak-kanak itu giat dijalankan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk sehingga kini dalam radius pencarian 3km.
Naim berkata, aliran air sungai didapati deras ketika kejadian dan paras air menurun selepas sejam namun berdasarkan maklumat, insiden kepala air di kawasan sungai itu sudah lama tidak berlaku.
Katanya, mayat mangsa dan pengasuh yang cedera dibawa ke Hospital Tapah untuk tindakan lanjut dan rawatan.
Sementara itu, Naim berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa ditangguh 7.30 malam ini atas faktor keselamatan dan akan disambung pagi esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan