Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
MAYAT anggota polis yang maut terkena tembakan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Sik: Polis menahan lelaki warga emas bagi membantu siasatan kes anggota polis Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah maut terkena tembakan di Kompartmen 124 Hutan Simpan Ulu Muda, di sini, awal pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, suspek berusia 65 tahun ditahan pada 2 petang tadi ketika hadir ke Balai Polis Sik.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman esok di Mahkamah Sungai Petani.
Menurutnya, polis menerima maklumat kejadian itu pada 10 pagi dengan mangsa berusia 39 tahun terkena tembakan sewaktu operasi menyiasat pencerobohan dan pemburuan haram yang berlaku di lokasi kejadian.
"Siasatan awal mendapati, sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Sik dan anggota Cawangan Khas IPK Kedah serta pasukan Pejabat Hutan Daerah Kedah Tengah dibantu oleh orang awam memasuki kawasan Hutan Simpan Ulu Muda, Sik pada Selasa lalu kira-kira 12 tengah hari.
"Kesemua mereka bermalam di Kompartmen 103, Hutan Simpan Ulu Muda dan semalam, kira-kira 3 petang, mangsa bersama dua orang awam dipercayai bergerak ke Kompartmen 124 di dalam kawasan hutan simpan itu menggunakan kenderaan awam untuk membuat pemerhatian dan siasatan.
"Namun sehingga 6.30 petang semalam, mereka didapati masih belum pulang ke tempat penginapan yang terletak di Kompartmen 103," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik, di sini, hari ini.
Abdull Razak berkata, seterusnya usaha mencari mereka dijalankan oleh ahli pasukan lain, namun hanya menemui kenderaan yang digunakan di persimpangan antara Kompartmen 124 dan 125.
Katanya, ketiga-tiga mereka termasuk mangsa dipercayai tersesat akibat cuaca gelap dan pada 2 pagi tadi, terdengar satu letupan yang dipercayai mangsa terkena tembakan di bahagian hadapan badan.
"Mangsa kemudian dibawa balik ke Kompartmen 103 dan disyaki sudah pun meninggal dunia. Dia dibawa ke Hospital Sik sebelum benar-benar disahkan meninggal dunia," katanya.
Abdull Razak menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes itu dan pihaknya sedang menyiasat punca tembakan dilepaskan hingga membawa kematian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan