Liberal mana yang Hadi hukum kafir murtad?

Ahmad Mursi

Saya berharap pada tahap umur Tan Sri Abdul Hadi Awang dan keuzurannya, dia mula insaf dan membuat islah atas kerosakan ‘Amanat Haji Hadi’ 1981 kepada masyarakat.

Tapi setelah 43 tahun, tulisannya kini tidak menunjukkan dia bertaubat dari kesilapan ucapannya yang telah jadikan ramai mangsa dan telah difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa.

Malah kini dia menuduh ahli PAS lain yang selama ini melakukan takfir walhal pemikiran takfirinya masih boleh dirujuk hingga hari ini pada bukunya dan ceramahnya sejak muda.

Dia juga melabelkan ‘liberal’ yang disingkirkan dari PAS sebagai ‘kafir murtad’.

Tulisnya: “PAS berjaya menyelamatkan umat daripada tenggelam dalam kejahilan kesan penjajahan yang membawa fitnah pelampau takfir (kafir-mengkafir) dan menjadi kafir murtad (liberal), sehingga kedua-dua kumpulan dapat disingkirkan daripada PAS”. 23 feb 2024 – fb.

Semasa krisis PAS 2015, kelompok ‘erdogan’ yang terdiri dari kelompok profesional telah keluar beramai-ramai setelah kempen ‘Geng Ustaz’ yang Ghuluw dalam pemilihan parti.

Mereka ini antara lain digelar ‘puak liberal’ dan ‘anwarinas’ semasa kempen pemilihan itu.

Walaupun Haji Hadi tidak menyebut secara berterus terang, tetapi ahli2 lama telah faham siapa yang dimaksudkan itu berdasarkan pengalaman pertembungan PAS 2015 dalam kepimpinan Haji Hadi.

Baru-baru ini pengikut PAS menyunting video ucapan PMX yang ‘mengaku’ liberal dalam ‘konteks pendekatan politik dan pentadbiran’ dan BUKAN dalam amalan dan pegangan agama.

Suntingan ini menghilangkan maksud asal ucapan PMX dan digandingkan pula dengan video ucapan Ust Azhar Idrus ‘liberal terkeluar dari Islam’. Kini pengikut PAS ramai yang percaya ‘PMX terkeluar dari Islam’ kerana liberal.

Itulah permainan politik takfiri yang jadi sifat Khawarij sepanjang zaman hanya caranya dan labelnya telah berbeza.

Malaysia yang telah lama gunakan perkataan ‘liberal’ dalam mukadimah Rukun Negara tapi telah di’hijack’ maknanya oleh Hadi dan pengikutnya dan diberi erti yang lain. Hari ini dihukum pula sebagai ‘kafir murtad’ secara semborono.

Liberal yang dimaksudkan dalam mukadimah Rukun Negara ialah merujuk kepada sikap keterbukaan dan penerimaan (faham, hormat dan terima) kepada perbezaan budaya antara kaum dan etnik.

Liberal dalam kajian spektrum politik juga berbeza dengan liberal yang difahami Hadi.

Tentulah kita tidak bersetuju ‘liberal’ jika yang dimaksudkan meninggalkan asas-asas agama serta menghalalkan budaya songsang, tapi untuk mengatakan kesemua maksud liberal diguna seperti itu dan dihukum ‘kafir murtad’ sangat bahaya.

Tapi itulah cara Hadi berpolitik sejak zaman mudanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan