Tak puas hati dengan kepimpinan, Muda awalkan pemilihan
Elill Easwaran
Setiausaha Agung Muda Amir Hadi berkata wujudnya perasaan tidak puas hati dengan kepimpinan ketika ini antara sebab pemilihan diadakan lebih awal.
PETALING JAYA: Muda akan mengadakan pemilihan parti lebih awal daripada jadual kerana wujudnya perasaan tidak puas hati ahli terhadap barisan kepimpinan ketika ini, kata Setiausaha Agung Amir Hadi.
Amir memberitahu FMT, pemilihan parti sepatutnya diadakan pada 2025 tetapi diawalkan pada akhir tahun ini.
“Menurut Jabatan Pendaftar Pertubuhan, tarikh akhir untuk kami mengadakan pemilihan adalah pada tahun depan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya parti perlu mengambil beberapa langkah sebelum pemilihan dapat diadakan, termasuk menapis sistem keahlian.
“Kami sedang membangunkan satu sistem (yang lebih baik), yang kami harap akan selesai pada hujung Mac.
“Sebelum ini, sesiapa sahaja boleh menjadi ahli. Sekarang kami mahu lebih teratur,” katanya yang menambah sebuah jawatan termasuk presiden terbuka untuk ditandingi semua ahli.
Pada tahun lalu, FMT melaporkan ramai ahli Muda menggadu mereka berada dalam keadaan tertanya-tanya kerana tidak tahu mengenai hala tuju dan perlembagaan parti.
Menurut ahli itu, akar umbi juga tidak dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti.
“Mereka tidak berkongsi hasil mesyuarat mereka dengan ahli. Seolah-olah parti itu milik segelintir individu. Selebihnya kami dibiarkan tanpa dimaklumkan apa-apa,” kata sumber dalam parti.
Ahli Muda, Danial Jafri antara ahli yang melahirkan perasaan tidak puas hati dan menggesa pemilihan parti bagi menggantikan kepimpinan sedia ada selepas kalah semua 19 kerusi dalam pilihan raya enam negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan