FMT Reporters
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mohamad Fauzi Md Isa bertemu dengan Mohd Khairuddin Othman yang baru dilantik ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom). (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Bekas exco Selangor Mohd Khairuddin Othman dilantik ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), menggantikan Mohammad Agus Yusoff.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mohamad Fauzi Md Isa berkata pelantikan Khairuddin yang juga setiausaha PKR Selangor itu berkuat kuasa hari ini.
“Semoga J-Kom akan terus memperkukuh komuniti Madani yang berbudaya ilmu, berkemahiran digital dan berjiwa patriotik,” katanya di Facebook.
Kerusi ketua pengarah J-Kom kosong sejak November tahun lalu apabila Agus meletak jawatan dengan memberi alasan menerima tawaran kerja baharu dan bukannya disebabkan tekanan daripada mana-mana pihak.
Agus kini berdepan siasatan berkait dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap kakitangan J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D akta sama atas kesalahan melanggar kesopanan.
Pada 16 Jan lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zin mengesahkan siasatan itu telah selesai dan dihantar ke Jabatan Peguam Negara pada 18 Dis lalu.
Sebelum itu, polis menjalankan siasatan berhubung rakaman video tular perbualan lucah didakwa membabitkan Agus dan Wahab.
Dalam satu sidang media, Agus mendakwa video perbualan mengaitkannya itu palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan