Agensi
BANGUNAN kediaman di bandar Fuxin, wilayah Liaoning di timur laut China. FOTO AFP
Beijing: Seorang pesara pegawai kerajaan di China yang membeli 13 rumah menggunakan wang rasuah menjadi topik perbincangan hangat di internet, lapor portal The Straits Times.
Ia selepas Suruhanjaya Pusat Pemeriksaan Disiplin mendedahkan kes itu kepada umum.
Berdasarkan laporan diterbitkan, He Fali, bekas pegawai perhutanan di wilayah barat laut Shaanxi, membeli hartanah itu menggunakan nama ahli keluarga selepas dia meletak jawatan pada 2017.
Dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun pada 2022 kerana menerima rasuah bernilai kira-kira AS$7.5 juta (kira-kira RM35.5 juta), kata badan pemerhati itu.
Skandal itu adalah antara perkara paling popular di media sosial ketika ini sehingga mencecah ratusan juta tontonan di Weibo.
Pengguna laman sosial tidak ketinggalan meninggalkan komen sarkastik.
"Saya rasa dia mampu membeli 130 rumah. Masih terlalu elak risiko," tulis seorang pengguna.
Pendedahan itu memberi penerangan mengenai berjuta-juta pegawai tempatan yang terperangkap dalam kempen Presiden China Xi Jinping untuk menentang rasuah.
Walaupun beberapa butiran kes berprofil tinggi diketahui, ia tidak dikongsikan termasuk berjuta-juta yang lain yang ditangkap sejak lebih sedekad lalu.
Pesalah yang sudah didedahkan dengan cara ini termasuk pemain bola sepak, eksekutif di syarikat milik kerajaan dan pegawai tinggi tentera.
Seperti dilaporkan, Xi berhasrat untuk mengekalkan kempen itu untuk masa hadapan.
Pada Januari, Xi berikrar untuk memperkasakan perjuangan menentang rasuah dalam sektor termasuk kewangan, tenaga dan infrastruktur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan