'Bilik rahsia' tempat simpan dua juta batang rokok seludup

Nur Izzati Mohamad
bhnews@bh.com.my
Pengarah Kastam Pulau Pinang, Rohaizad Ali (tengah) menunjukkan antara 2 juta batang rokok putih dan rokok kretek bernilai lebih RM1.95 juta termasuk cukai yang disorok dalam ‘bilik rahsia’ terletak belakang almari ketika menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Permatang Pauh. - Foto NSTP/Danial Saad
Pengarah Kastam Pulau Pinang, Rohaizad Ali (tengah) menunjukkan antara 2 juta batang rokok putih dan rokok kretek bernilai lebih RM1.95 juta termasuk cukai yang disorok dalam ‘bilik rahsia’ terletak belakang almari ketika menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Permatang Pauh. - Foto NSTP/Danial Saad
BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas hampir dua juta batang rokok seludup bernilai lebih RM1.95 juta termasuk cukai, disorok dalam 'bilik rahsia' belakang almari sebuah rumah teres dua tingkat di Permatang Pauh, dekat sini, 8 Oktober lalu.

Dalam serbuan jam 1 tengah hari, rumah yang dikatakan disewa kepada warga asing didapati kosong tidak berpenghuni malah tidak menemui apa-apa barang semasa pemeriksaan hampir dua jam.

Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali berkata anggota mengukur rumah dari luar dan menyelaraskannya dengan bahagian dalam. Ini membawa kepada penemuan sebuah bilik rahsia yang ditutup dengan sebuah almari ditempah khas.

"Kita telah membuat intipan terhadap sindiket penyeludupan rokok ini selama satu minggu sebelum serbuan dibuat pada hari terbabit dan ketika itu selama dua jam kita tidak menemui apa-apa rokok mahupun barangan lain.

"Semasa mengalihkan almari itu, kami menemui pintu yang dalamnya terdapat sebuah 'bilik rahsia' sebelum pemeriksaan lanjut dekat bilik berkenaan menemui lebih 1.54 juta batang rokok putih dan 450,120 batang rokok kretek pelbagai jenama yang diseludup dengan anggaran nilai RM581,254 dan cukai berjumlah hampir RM1.4 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Stor Penguatkuasan Kastam di Bagan Jermal, hari ini.

Ketika pemeriksaan, Kastam mengambil keterangan pemilik rumah iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 70-an.

"Lelaki warga emas itu memberitahu dia menyewakan rumahnya kepada warga asing sejak dua tahun lalu dan tidak tahu (apa-apa mengenai sindiket penyeludupan rokok ini).

"Semasa serbuan tiada seorang pun penghuni, dan usaha mengesan mereka yang terlibat sedang dijalankan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan