Parti Bersatu: Kemenangan Hilman bayangan kem Azmin bakal kuasai MPT?

Nora Mahpar

Azmi Hassan berkata kunci ‘kuasa’ sebenar bergantung kemampuan menguasai 20 kerusi Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Bersatu akan mengadakan pemilihan bagi jawatan tertinggi penggal 2024-2027 pada 2 Nov ini.
PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berpendapat kemenangan Adun Gombak Setia Hilman Idham sebagai ketua Pemuda Bersatu mungkin memberi gambaran awal pemilihan tertinggi parti itu berpotensi dikuasai kem Azmin Ali.

Hilman yang dikatakan penyokong tegar Azmin sejak dalam PKR, bakal menggantikan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selepas menewaskan Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu Akmal Zahin Zainal Zahir pada pemilihan sayap berlangsung, minggu lalu.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata kemenangan Hilman mungkin memberi kelebihan kepada kem bekas menteri besar Selangor yang dikatakan bersaing dengan kumpulan diketuai Setiausaha Agung Hamzah Zainudin.

Menurutnya, walaupun tumpuan lebih kepada perebutan jawatan naib presiden, namun ‘kunci kuasa’ sebenar dalam parti itu adalah kemampuan menguasai 20 kerusi Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada pemilihan.

“Paling penting 20 MPT yang membuat keputusan dan dasar dalam parti. Kem mana memiliki wakil (lebih banyak) dalam MPT akan menentukan pengaruh mereka,” katanya kepada FMT menjelang pemilihan Bersatu 2 Nov ini.

Julai lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata beliau diberi mandat oleh MPT untuk berunding dengan barisan kepimpinan bagi memastikan pemilihan parti tidak menimbulkan perpecahan.

Menerusi pelan kompromi, Muhyiddin kekal menerajui Bersatu, dibantu Hamzah, manakala Ronald Kiandee dan Radzi Jidin selain Ahmad Faizal Azumu yang turun dari jawatan timbalan presiden dicadangkan mengisi tiga kerusi naib presiden.

Selepas pencalonan dimuktamadkan awal bulan ini, Muhyiddin dan Hamzah menang tanpa bertanding, manakala enam calon merebut tiga kerusi naib presiden, iaitu Kiandee, Radzi, Faizal, Timbalan Ketua Bersatu Selangor Rafiq Abdullah, Ketua Penerangan Razali Idris dan Ketua Bersatu Batu Kawan Aziss Zainal Abiddin.

Azmin yang sebelum ini diuar-uarkan akan bertanding jawatan timbalan presiden pula dijangka menggantikan Hamzah sebagai setiausaha agung, menerusi pelan kompromi berkenaan.

Mohammad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) turut senada dengan Azmi yang berpendapat tidak mustahil pemimpin pro Azmin akan menang besar dalam merebut tempat dalam kelompok MPT, selain menang satu jawatan untuk naib presiden.

“Kerana beliau (Azmin) cukup dikenali sebagai pemimpin licik, berstrategi sejak dari PKR lagi,” katanya.

Namun beliau tidak menolak rancangan melantik Azmin sebagai setiausaha agung mungkin ditentang segelintir pemimpin parti susulan beberapa perkembangan politik termasuk menghalangnya untuk menduduki jawatan tertinggi.

“Tidak mudah Azmin diberi peluang mendaki dalam hierarki politik Bersatu kerana beliau bukan pemimpin awal terbabit dalam penubuhannya.

“Berkemungkinan besar pemimpin pengasas Bersatu berusaha menghalang perkembangan masa depan Azmin dalam parti itu,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan