Diesel, petrol Malaysia dijual macam ‘air minuman’ di Selatan Thai

Bernama

Petrol RON95 di Thailand kini mencecah lebih RM5.36 seliter, berbanding harga Malaysia, RM2.05 seliter.
Lebih 100 peniaga kecil negara itu tertumpu di wilayah Selatan Thailand menjual petrol dan diesel seludup dari Malaysia. (Gambar Bernama)
NARATHIWAT: Perbezaan ketara harga runcit petrol dan diesel antara Malaysia dengan Thailand, menyebabkan bahan api itu terus menjadi sasaran penyeludup dan dijual secara terbuka tepi jalan di sepanjang Selatan negara itu.

Biarpun kegiatan menjual petrol dan diesel bersubsidi dari Malaysia itu menjadi ‘barah’ sejak lebih 10 tahun lalu, namun ia masih berleluasa ekoran permintaan tinggi, sekali gus memberikan pendapatan lumayan kepada peniaga kecil termasuk golongan wanita.

Tinjauan Bernama baru-baru ini, mendapati terdapat puluhan gerai di tepi jalan di Sungai Golok menjual minyak dan diesel subsidi yang dikhaskan untuk rakyat Malaysia di dalam botol dan tong plastik, dengan harga sekitar 28 baht (RM3.64) untuk botol satu liter hingga 250 baht (RM32.50) untuk tong sembilan liter.

Timbalan Datuk Bandar Sungai Golok Aphichet Jeh-Ouma ketika ditemui, berkata di sepanjang tepi jalan sekitar pekan Sungai Golok sehingga ke pekan Yala sahaja, terdapat lebih 100 peniaga kecil negara itu menjual petrol dan diesel seludup itu.

Pihak berkuasa tempatan Thailand telah kerap menegur penjual petrol dan diesel secara haram ini, tetapi mereka masih berdegil dengan alasan mahu meneruskan kelangsungan hidup, katanya.

Aphichet berkata, walaupun bahan api itu dijual dengan harga yang jauh lebih mahal, namun masyarakat di Sungai Golok tetap membelinya kerana masih murah, berbanding harga bahan api negara itu.

Sementara itu, seorang peniaga yang ditemui Mat Yi, 40, berkata setiap hari dia menjual sehingga 100 liter petrol atau lebih dikenali sebagai ‘benzine’ di Thailand yang dihantar oleh pembekal dari Rantau Panjang, Pasir Mas.

“Saya sendiri tidak pasti bagaimana cara pembekal memperolehi bahan api itu dan saya yakin semua bahan api berkenaan diseludup dari Malaysia.

Kami tahu menjual minyak petrol dan diesel yang diseludup dari Malaysia adalah salah, tetapi ramai berbuat demikian, katanya.

‘Laku keras’

Saleeha Abdullah, 56, berkata harga petrol RON95 di Thailand yang kini mencecah lebih RM5.36 seliter, menyebabkan petrol yang di seludup dari Malaysia mendapat permintaan tinggi di Thailand.

Beliau berkata, minyak yang dijual di dalam botol di tepi jalan itu, kebanyakan untuk pengguna motosikal dan dijual dengan harga 28 baht hingga 30 baht (RM3.90) seliter.

“Semua minyak botol diletakkan di tepi jalan itu juga daripada jenama berlainan dan harganya juga berbeza serta sentiasa berubah mengikut tahap kesukaran mendapatkan bekalan.

Jika daripada jenama yang agak terkenal harganya agak tinggi, tetapi semuanya diperoleh dari Malaysia. Sepanjang jalan ke bandar Narathiwat memang ramai yang berniaga seperti ini dan seolah-olah berniaga air minuman, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan