Islam itu tidak menyusahkan: Yang halal dan yang haram

Ronasina

1.
“Pergi berniaga ke?” sapa saya kepada seorang jiran.

“Ya, cikgu,” jawabnya ringkas sambil dia memasukkan barang niaganya ke dalam van. “Mencari rezeki halal.”

Saya mengangguk sambil berasa kagum melihat kecekapan dia memanfaatkan ruang bahagian belakang kenderaannya dengan memasukkan segala meja lipat dan kerusi plastik bersama peralatan lain yang cukup-cukup muat. Saya takjub bagaimana kemudiannya di tapak pasar malam dia berjaya mengeluarkan semua barang tersebut dan menyusunnya menjadi sebuah gerai makan pasang siap. Kegigihannya saya tabik! Kerajinan semua peniaga pasar malam seperti dia yang saban hari berpindah-randah dari satu tapak ke satu tapak memang saya kagumi.

“Kata nabi, 9/10 rezeki yang berkat ini datang daripada berniaga,” katanya kepada saya sambil terkerenyin sebelum menyambung. “Saya sanggup berhenti kerja bank dulu dan berniaga.”

Dia kemudian membebel tentang halal haram duit bunga dan riba yang masuk ke dalam gajinya. Dia was-was dan memilih untuk berhenti dan berniaga. Dia terus berkuliah menyatakan itu tak berkat dan ini tak sesuai. Saya secara peribadi tak kisah untuk mendengar ceramah percuma sebenarnya. Saya akui saya seorang pendengar yang baik.

“Macam cikgu, gaji yang cikgu dapat tu entah kerajaan ambil dari sumber mana kita pun tak tahu, kan? Entah-entah dia bayar gaji cikgu dari cukai haram,” katanya sambil tersengih lagi dan menyalakan rokok di bibirnya.

Aik? Menggunakan kerjaya saya sebagai contoh untuk menghalalkan kerja dia? Ya! Waktu itu saya masih lagi seorang guru. Hendak melompat juga saya apabila dikatakan begitu. Takkanlah saya berdiam sahaja membenarkan kata-katanya apabila dia menyatakan kerjanya lebih mulia ketimbang…er…berbanding kerjaya saya.

“Oh! Saya bekerja sebagai guru dan gaji saya dibayar oleh kerajaan kerana saya melaksanakan tugas saya sebagai guru. Kalau nak dikira dari mana sumber duit, awak pun bahaya juga. Mana awak tahu ada orang beli mi kari awak pakai duit curi atau duit judi? Bukankah itu duit haram?” soal saya dengan sedikit terbakar.

Dia terpempan. Asap rokoknya yang berkepul keluar kelihatan termasuk semula ke dalam mulut.

Saya menambah lagi. “Duit fizikal itu sendiri tak bersalah. Yang bersalah ialah perbuatan tu. Macam pekerjaan saya sebagai guru tadi. Gajinya adalah gaji guru. Pendapatan awak halal kerana awak berniaga. Sama ada pelanggan awak beli guna duit peras ugut atau duit nombor ekor, itu tak ada kena-mengena dengan awak.”

Saya cikgu. Berhujah adalah makanan saya. Saya asak lagi. “Adakah awak akan tanya setiap pelanggan yang nak beli mi kari awak, mereka bayar guna duit dari sumber apa? Adakah awak akan menolak jika dia kata dia guna duit bunga simpanan bank dia?”

Agak hijau juga muka dia. Asap rokok yang keluar dari lubang hidungnya berkepul-kepul mengelilingi kepala dia. Dari celah-celah asap itu saya boleh nampak matanya terkelip-kelip kebingungan.

Barangkali dia sengaja mencari peluang hendak mengenakan saya pada awalnya tetapi akhirnya dia yang tercekik.

“Awak kata tadi 9/10 keberkatan mata pencarian kita adalah daripada perniagaan, kan? Tapi bagaimana pula dengan peniaga yang menipu timbangan atau mengurangkan sukatan? Atau peniaga yang tak jujur dalam kerja penyediaan makanan jualan dia? Bagaimana dengan mereka yang berniaga dengan niat semata-mata nak dapat duit saja tapi soal bersih-kotor tak dipedulikan? Dan mereka dapat tempat berniaga itu dengan cara rasuah? Itu lebih bahaya. Silap-silap boleh jadi 0/10 jadinya.” Saya terus membelasah.

Agak sedih juga saya kerana sejak peristiwa itu dia tidak berapa hendak bercakap dengan saya lagi. Kalau dia sempat menyimpang dia akan cuba mengelak untuk bertembung dengan saya.

Manusia sebegini memang ramai. Dia gemar sewenang-wenangnya ‘kenen’ orang lain tetapi bila dirinya terkena dia sentap lalu menyisihkan diri seolah-olah kita ini musuh dia.

2.
Suatu ketika yang lain pula beberapa tahun lalu setelah berhenti daripada profesion perguruan, saya mengikut kawan-kawan pelukis ‘mencari makan’ melukis karikatur secara ‘live’ di tepi jalan. Biasanya kami masuk ke dalam program seperti di karnival, pesta buku dan sebagainya. Ramai juga pengunjung singgah di reruai kami untuk dilukiskan wajah mereka dalam bentuk kartun atau karikatur.

Ketika saya turun dari bilik hotel pada awal pagi dan berjalan menuju ke tapak karnival, saya disapa oleh seseorang yang berpakaian ‘warak’. Lelaki berketayap dan berjubah itu memberi salam kepada saya dan meminta saya menderma duit kepadanya. Dia mendakwa dirinya sedang bermusafir ke jalan Allah.

“Harap dapat sedekah sedikit encik bagi tujuan saya berfisabilillah,” katanya sambil senyum.

“Saya juga sedang berjuang ni,” jawab saya dengan baik. “Saya mahu pergi berjuang mencari sesuap nasi untuk keluarga saya dengan melukis. Tapi sekarang saya belum ada wang. Tunggu tengah hari sikit, jika ada pelanggan datang mahu muka mereka dilukis barulah saya ada duit,” kata saya sambil menghadiahkan senyuman. Senyum itu sedekah. Itu yang saya dengar.

Dia pun tersenyum tetapi senyumannya kelat. Lagipun saya kata kepadanya saya agak sangsi untuk memberi dia duit nanti kerana selalunya kerja melukis wajah, potret dan tubuh manusia ini kurang disenangi oleh orang seperti dia. Kerja ini kurang diberkati. Sesetengah mereka pernah berkata kerja ini maksiat. Saya pernah ditegur begitu. Kata si penegur pada hari kemudian nanti manusia dalam lukisan-lukisan saya akan datang menuntut nyawa dengan saya.

Untuk orang seperti lelaki ini, sebelum mengambil wang daripada saya harus saya beritahu dahulu sumber rezeki saya. Saya khuatir duit hasil kerja saya itu digunakannya untuk membeli makanan. Nanti haram pula.

“Elok jangan ambil,” kata saya.

Senyuman kelatnya semakin hilang. Menjadi pahit barangkali. Dia beredar meninggalkan saya tanpa salam dan sopan-santun lagi. Saya terkebil-kebil.

3.
Saya minta maaf jika saya yang bersalah di dalam dua hal yang saya ceritakan ini. Saya sekadar memberi respons yang saya rasakan wajar terhadap layanan diberikan ke atas saya.

Seperti saya melihat mereka duduk memegang tabung meminta derma membina masjid dan madrasah. Ketika meminta derma mereka tidak kisah siapa pun yang memberikan derma tetapi apabila madrasah siap terbina, si penderma iaitu orang awam di tepi jalan hendak menumpang baring pun tak dapat. Semua itu berlegar di dalam kepala saya. Tentang hal-hal dosa dan pahala, tentang sah atau tidak sesuatu perkara yang dengan mudah sahaja diputuskan oleh mereka tanpa melihat dari sudut ihsan. Juga rasa ralat saya melihat mereka bertaki tentang siapa betul siapa salah sehingga berlarut-larutan lamanya. Hal-hal yang mereka pertikaikan biasanya hal-hal sepele dan yang remeh-temeh malah ada perkara yang telah pun beratus tahun diselesaikan.

Mereka bertekak, menyindir, melabel dan menghukum sehingga ada manusia lain tersinggung. Yang menjadi mangsa kutukan ini tidak berdaya membalas sindiran kerana mereka ramai sedang yang dikutuk ini minoriti. Mungkin dia melihat sesuatu itu dari sudut pandang yang berbeza tetapi disebabkan pandangannya tak senada dengan majoriti maka dia kalah.

Watak-watak dalam dua cerita saya di atas tadi mungkin berasa mereka sedang berada di landasan yang benar. Tetapi sesuatu perkara itu tidak datang dari satu arah sahaja. Kita mesti bersedia mendengar pandangan orang lain yang melihat dari sudut yang berbeza juga. Mungkin kita dapat belajar sesuatu dari sudut yang tak pernah kita teroka itu. Yang penting kita mesti terbuka dan berlapang dada menerima sesuatu.

Tiba-tiba saya teringat sebuah lagu popular dendangan seorang kenalan saya, arwah abang Azmi atau lebih popular dengan nama pentasnya Pak Pandir. Yang Remeh-Temeh.

“Ada otak pandai
Ada akal pakai
Ada bijak gadai
Ada mata pejam
Ada mulut kunyah
Yang remeh dan yang temeh
Berlegar di sekelilingmu…”

Apakah kita tergolong dalam kumpulan yang malas meneroka dan tak habis-habis dengan hal yang remeh-temeh?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan