Terengganu: Lelaki pertama dihukum sebat berkhalwat kena waran tangkap

FMT Reporters

PETALING JAYA: Individu pertama di Terengganu yang dikenakan hukuman sebat kerana berkhalwat dikeluarkan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah susulan gagal hadir prosiding sebutan kes khalwat berulang.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail selepas Timbalan Ketua Pendakwa Syarie memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Mohd Affendi Awang, 42, yang juga bekerja sebagai buruh binaan.

Mahkamah turut mengeluarkan notis kepada penjamin dan menetapkan 20 Nov bagi sebutan waran tangkap.

Ini adalah kesalahan ketiga dilakukan tertuduh yang sebelum ini pernah dihukum kerana kesalahan sama pada Februari lalu, lapor Berita Harian.

Sebelum ini, Affendi dikenakan empat sebatan dan denda RM3,000 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah(Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.

Selain itu, tertuduh pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai 2023.

Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah(Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan