Pemandu ambulans campak keranda tengah stesen minyak

KOSMO!
Keranda ditutup dengan kain hijau itu diletakkan di hadapan pam minyak di tengah stesen minyak Pertamina. - Instagram
JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan perbuatan pemandu ambulans mengeluarkan keranda dan meletakkannya di tengah sebuah stesen minyak di Semarang, wilayah Jawa Tengah, lapor laman berita Radar Surabaya kelmarin.

Tindakan itu dilakukan sebagai tanda protes selepas kenderaan itu ditegah daripada mengisi bahan api diesel yang mendapat subsidi pemerintah.

Dalam video tersebut, keranda ditutup dengan kain hijau itu diletakkan di hadapan pam minyak di  stesen minyak Pertamina.

Namun, tidak dijelaskan sama ada terdapat jenazah di dalamnya atau sekadar keranda kosong.

Turut didengari dalam video itu adalah suara seseorang menjelaskan bahawa ambulans tersebut tidak boleh mengisi bahan bakar bersubsidi kerana tidak memiliki kod QR mengikut syarat ditetapkan.

“Ambulans ini tidak boleh mengisi diesel bersubsidi kerana memang itu syaratnya (mempunyai kod QR),” kata individu tersebut.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi, Hubungan dan Tanggungjawab Sosial Korporat bahagian Jawa Tengah,  PT Pertamina Patra Niaga, Brasto Galih Nugroho mengesahkan mengenai kod QR tersebut.

Menurutnya, selain tidak mempunyai kod QR yang diperlukan, cukai jalannya juga sudah tamat tempoh sedangkan ia adalah salah satu syarat untuk mendapatkan kod QR.

“Namun, memahami ambulans adalah kenderaan perkhidmatan awam, kami tetap memberi bantuan berupa baucar BBM Dex Series agar ia dapat meneruskan operasinya,” kata Setiausaha Korporat Pertamina Patra Niaga, Heppy Wulansari. – AGENSI 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan