Hakim maut selepas 8 hari jatuhkan hukuman terhadap bekas wanita pertama Korea Selatan

Agensi
BEKAS wanita pertama Korea Selatan, Kim Keon Hee dihukum penjara empat tahun. FOTO Reuters.
BEKAS wanita pertama Korea Selatan, Kim Keon Hee dihukum penjara empat tahun. FOTO Reuters.
Seoul: Hakim Mahkamah Rayuan, Shin Jong-o yang mengetuai perbicaraan rayuan membabitkan bekas wanita pertama, Kim Keon Hee, ditemui meninggal dunia, hari ini.

Mayat Shin ditemukan berhampiran Mahkamah Tinggi Seoul kira-kira jam 1 pagi, iaitu lapan hari selepas beliau menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap Kim.

Menurut Balai Polis Seoul Seocho, Shin dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan. Bagaimanapun, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya.

Polis juga menemui surat dipercayai nota yang ditinggalkan Shin. Namun surat itu tidak menyebut mengenai keputusan rayuan membabitkan kes Kim.

Menurut laporan media tempatan, nota berkenaan hanya menyatakan, "Saya minta maaf. Saya pergi atas pilihan sendiri".

Setakat ini polis tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.

Dalam keputusan 28 April lalu, Shin membatalkan sebahagian keputusan mahkamah rendah yang sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan terhadap Kim.

Mahkamah rayuan mendapati Kim bersalah melanggar Akta Pasaran Modal berkaitan kes manipulasi saham Deutsche Motors.

Mahkamah itu turut mendapati Kim bersalah atas semua pertuduhan salah guna pengaruh membabitkan penerimaan barangan berharga daripada Gereja Unifikasi.

Susulan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda 50 juta won (kira-kira RM135,594), selain mengarahkan rantai leher Graff bernilai 62.2 juta won (kira-kira RM168,679) disita dan pelucuthakan tambahan 20.94 juta won (kira-kira RM 56,786).

Shin dilahirkan di Seoul dan memulakan kerjaya kehakiman pada 2011 di Mahkamah Daerah Seoul cawangan Uijeongbu.
-Hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan