Kes RM1.1 bilion: Dua bakal didakwa, nasib Rafizi jadi tanda tanya

Malaysiakini 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti dua individu yang akan disyorkan untuk didakwa berhubung dakwaan salah laku dalam urus niaga kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan syarikat semikonduktor Arm Holdings, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Dia berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, siasatan kini hampir selesai selepas SPRM merakam percakapan 22 saksi, termasuk bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli dan bekas pegawai khasnya, James Chai.

Bagaimanapun, Azam enggan menamakan dua individu terbabit ketika ditanya media.

“Setakat ini, kita mengenal pasti ada dua orang yang bakal kita cadangkan untuk dituduh dalam mahkamah.

"Tapi terpulanglah pada AG untuk menentukannya pada masa akan datang,” katanya.

Mengenai Rafizi — yang dijangka hadir ke ibu pejabat SPRM beberapa jam selepas sidang media Azam bagi hari ketiga rakaman percakapannya berhubung urus niaga itu — Azam berkata SPRM berharap dapat menyelesaikan rakaman percakapan bekas menteri itu hari ini.

SPRM juga akan memanggil dua lagi saksi sebelum menutup siasatan, masing-masing seorang di Taiwan dan seorang lagi di Malaysia.

Azam mengulangi bahawa pegawai penyiasat sedang meneliti unsur jenayah dalam siasatan tersebut, khususnya “salah guna kuasa, penipuan dan jenayah pecah amanah.”

“Setakat ini, pada saya, sudah hampir penghujungnya.

“Tinggal ada dua saksi sahaja yang perlu kita rakam – seorang di Taiwan, seorang di dalam negara,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan siasatan dijalankan susulan aduan beberapa NGO yang mendakwa perjanjian dengan Arm Holdings bagi membangunkan cip “Made in Malaysia” dilakukan secara tergesa-gesa dan berat sebelah, selain berpotensi memberi implikasi kewangan kepada kerajaan.

SPRM sebelum ini sudah menyoal siasat Chai (gambar atas) selama tiga hari sejak 28 April, dengan setiap sesi berlangsung antara enam hingga 11 jam.

Rakaman percakapan Rafizi pula bagi dua hari lalu berlangsung kira-kira sembilan jam setiap sesi dan dijadual disambung semula pada jam 2 petang hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan