Kelantan: Pendaki wanita maut tergelincir dalam sungai di Gua Musang

Bernama

Mangsa berusia 50-an dari Kuala Lumpur ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian di Sungai Betis, dalam kejadian Sabtu lalu.
Beberapa anggota bomba mengeluarkan mayat pendaki wanita yang tergelincir ke dalam Sungai Betis ketika melakukan aktiviti mendaki di Pos Balar, Gua Musang. (Gambar PDRM)
KOTA BHARU: Seorang pendaki wanita yang juga ibu tunggal ditemukan lemas selepas tergelincir ke dalam Sungai Betis ketika melakukan aktiviti mendaki di Pos Balar, Gua Musang.

Ketua Polis Gua Musang, Sik Choon Foo, berkata mangsa bersama sekumpulan 11 pendaki memulakan aktiviti pendakian pada 1 Mei lepas.

Beliau berkata ekspedisi pendakian berkenaan melibatkan kawasan Gunung Gerah, Gunung Bilah, dan Gunung Biyed.

“Kejadian dilaporkan berlaku pada 2 Mei, kira-kira 7.30 malam. Semasa melalui kawasan Sungai Betis dalam keadaan gelap, mangsa dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sik menjelaskan bahawa ahli kumpulan pendaki berkenaan telah menjalankan usaha pencarian mangsa dengan segera, namun mangsa gagal ditemukan pada malam kejadian.

“Pada 3 Mei kira-kira 8 pagi, mangsa yang berusia 50-an dan berasal dari Kuala Lumpur itu ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dipercayai telah meninggal dunia.

“Pihak polis telah menerima maklumat rasmi berhubung insiden kehilangan itu pada hari yang sama iaitu pada 3.21 petang.

Susulan kejadian itu, IPD Gua Musang telah menyelaras Operasi Mencari dan Menyelamat yang turut melibatkan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengeluarkan mangsa.

Beliau berkata pasukan penyelamat terpaksa mengharungi perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda selama kira-kira empat jam, disusuli dengan berjalan kaki hampir 10 jam untuk sampai ke lokasi insiden.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Sik menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan, membuat perancangan yang rapi serta menggunakan khidmat pemandu arah yang berpengalaman ketika melakukan aktiviti pendakian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan