Lelaki ganggu pelajar sudah ditahan polis

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
SUSPEK ditahan tidak sampai 8 jam selepas kejadian berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
SUSPEK ditahan tidak sampai 8 jam selepas kejadian berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Papar: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai mengganggu beberapa pelajar perempuan di sekitar kawasan sekolah di Kinarut, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, suspek warga tempatan berusia 44 tahun didakwa menghampiri pelajar sebelum bertindak menarik tangan dan memegang mangsa dengan alasan mahu menghantar mereka ke sekolah.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima beberapa laporan berhubung kejadian berkenaan sebelum bertindak pantas menahan suspek pada hari sama.

Menurutnya, suspek berjaya ditahan kira-kira jam 6.30 petang hasil kecekapan Pasukan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

"Semua kejadian berlaku di kawasan terbuka dan tiada pelajar dibawa lari. Tiada kecederaan fizikal dilaporkan, namun kejadian ini menimbulkan ketakutan dalam kalangan pelajar serta masyarakat setempat.

"Siasatan awal turut mengambil kira kemungkinan suspek mengalami masalah kesihatan, namun perkara itu masih dalam penelitian lanjut pihak polis," katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan/Seksyen 14 Akta Kesalahan - Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan dan mencetuskan keresahan awam.

"Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu," katanya.

Sementara itu beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Desmond Tanggapan di talian 019-4883322 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki didakwa mengganggu pelajar sekolah yang sedang menunggu bas di kawasan Kinarut sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan