PAS Temui Masyarakat Kristian Sibu

Pimpinan Pakatan Rakyat, khususnya dari Parti Islam Se-Malaysia, membuka lebaran politik baru dengan lawatan ke Gereja Sacred Heart hari ini.

Menongkah propaganda BN yang selama ini menggambarkan Pas sebagai parti anti-bukan Islam, Ahli Parlimen Khalid Samad dan Ahli Parlimen Kota Raja Dr Mariah Mahmud menemui jemaah Kristian setempat di Sibu.

Dengan lawatan ini, Pas berharap persepsi parti ekstremis dapat dileraikan, dan kerjasama yang lebih erat antara Pakatan Rakyat dan masyarakat bukan Islam setempat terjalin.

Mengikut sejarah, Sibu sememangnya bandar masyarakat Kristian. Gereja boleh dilihat d merata tempat, bersebelahan satu sama lain dan potret Mariam ibu Jesus bagaikan hiasan di bandar ini.

Jumlah pengundi di kawasan Parlimen Sibu mencecah 54,695 orang, dimana 53 peratus darinya menganuti agama Kristian. Undi dari jemaah gereja memainkan peranan penting dalam PRK Sibu.

"Kita tidak mempunyai permusuhan atau niat jahat terhadap penganut agama lain. Pas menghormati semua agama dan hak mereka beragama, tidak sepertimana yang dipaparkan media BN," kata Khalid Samad.

Jemaah gereja Sacred Heart menyambut kedatangan pimpinan Pas dengan tangan terbuka, malah pihak gereja menunjukkan sikap ingin tahu dan mahu mengenali Pakatan Rakyat yang dikatakan bersikap lebih terbuka dan moden, berbanding Umno-BN.

Walaupun ketegangan isu kalimah Allah berjaya diredakan pimpinan Pakatan Rakyat, namun pemimpin gereja masih lagi mengambil kisah dengan campurtangan BN dalam urusan keagamaan masyarakat Kristian.

"Saya pernah pergi ke beberapa gereja dan berbincang dan berbual bersama jemaah gereja. Ia mencetuskan sedikit kegemparan kerana ia budaya berbincang ini tidak pernah dibawa Umno-BN. Semasa saya belajar di United Kingdom, saya sering menyertai perbincangan antara agama, tetapi di Semenanjung wacana seperti ini agak pelik. Tetapi hari ini di Sibu, kita turun padang dan menunjukkan bahawa kita mahu bersahabat dengan semua," tegas Khalid.

Kelmarin DAP turut mengadakan satu mesyuarat tertutup bersama pemimpin gereja. TV Selangor difahamkan ia mendapat sambutan baik, kira-kira 60 paderi menghadiri pertemuan itu.

Mereka yang hadir menyuarakan kekhuatirean mereka diatas campurtangan kerajaan persekutuan dalam amalan agama. Mereka bimbang jika hari ini BN melarang penggunaan kalimah Allah, esok lusa amalan-amalan lain atau saiz gereja di satu-satu kawasan akan turut dijadikan isu.

"Bukan sedikit anggota Pas yang berdialog dengan masyarakat agama lain. Kita tidak mempunyai masalah untuk bertemu dan menjawab persoalan dan menjelaskan prasangka atau ingin tahu masyarakat bukan Islam. Bahkan, tuntutan masyarakat Kristian seperti keadilan, kesaksamaan, urustadbir berhemah dan bertanggungjawab adalah juga yang dituntut oleh Islam. Kita sokong tuntutan ini," kata Dr Mariah Mahmud.

Bagi Pas dan Pakatan Rakyat, keperibadian seorang pemimpin mencerminkan ketaatannya pada agama yang dianuti. Bagi Pakatan Rakyat, agama bukan alat politik mengaut undi, tetapi agama adalah panduan menuju pembentukan masyarakat madani, moden dan berprinsip.

"Agama itu harus dicerminkan melalui tindak-tanduk individu. Jika kita bersembahyang, tetapi dalam masa yang sama kita tidak adil, kia rasuah, kita zalimi orang lain, maka itu serupa seperti kita memperlekehkan tuhan. Tidak boleh ada percanggahan antara agama dan kehidupan sehari, dan nilai agama harus dibawa ke arena politik, tanpa meminggirkan toleransi dan hak orang lain," kata tambah Khalid pula.
-tvselangor-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan