Tanah Melayu : Mahathir Perlu Baca Buku Jingga- Anwar

GEORGE TOWN, 5 FEB: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad membaca 'buku jingga' bagi memahamkan kenyataan bahawa Tanah Melayu bukan bermakna memusnahkan sistem kehakiman, dan bukan untuk memiskinkan majoriti rakyat Melayu.

Selasa lalu dalam program anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia mesti mengakui negara ini adalah milik orang Melayu dan oleh itu, mereka mesti menerima budaya dan bahasa masyarakat itu.

Bekas perdana menteri berkata, nenek moyang negara ini memberikan orang Cina dan India taraf kewarganegaraan sebab mereka mengharapkan kedua-dua komuniti itu akan menghormati kedaulatan orang Melayu.

"Tanah Melayu bukan bermakna memusnahkan sistem kehakiman, bukan bermakna untuk memiskinkan majoriti rakyat Melayu. Atas nama tanah Melayu yang mendapat faedah besar tu adalah keluarga mereka. Bukan saja yang lalu tapi berterusan. Contoh kontrak yang petronas berikan berbilion untuk memperkayakan keluarga mereka," katanya.

Anwar juga menyifatkan pandangan dan kenyataan Dr Mahathir dalam membangkitkan persoalan mempertahankan tanah Melayu sebagai tidak lagi relevan.

"Saya lihat percubaan ini ialah percubaan akhir untuk menarik perhatian orang-orang Melayu yang mulai sedar bahawa dasar Umno itu lebih memperkayakan. Kalau tidak minta Dr Mahathir untuk faham kenyataan sekarang," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Naib presiden MCA Senator Gan Ping Seiu berkata, bekas perdana menteri itu seharusnya menggunakan status negarawan yang beliau miliki untuk menyatukan negara ini, bukannya bertindak sebaliknya.

"Sebagai seorang negarawan, rakyat mengharapkan Tun bertindak sebagai seorang bapa dan kenyataan-kenyataan beliau seharusnya bersifat membawa penyatuan dan konstruktif.

"Sebarang kenyataan bersifat selektif dan tidak berproduktif hanya akan memecahbelahkan rakyat," kata timbalan menteri belia dan sukan ini.

Dr Mahathir sebelum ini menyifatkan kepercayaan agama Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang disebut sebagai 'Islam Nik Aziz' adalah lebih teruk daripada 'Islam nasionalis'.
-tvsnews-

Najib Tidak iktiraf Agung sebagai ketua Negara?

Abdullah Ngah

Jika benar Jabatan Perdana Menteri telah mewujudkan satu bahagian baru yg tidak pernah ada sebelum ini iaitu Bahagian Wanita Pertama Negara yg disamakan sebagai FLOM Division (First Lady of Malaysia Division), maka sah Yang di Pertuan Agung bukan ketua Negara Malaysia.

Oleh itu,Jelas dan nyata bahawa Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak iktiraf Isteri Yang Dipertuan Agung Permaisuri Agung sebagai First Lady of Malaysia.

Ini bermakna sekaligus tidak mengiktiraf wujudnya Yang Di Pertuan Agung sebagai ketua negara ini yang sah dari segi Raja berperlembagaan.
Secara tidak langsung dia (Najib) telah meletakkan dirinya sebagai ketua negara Negara dan ketua kerajaan bukan Yang di Pertuan Agung sepertimana yang kita fahami dan termaktub didalam perlembagaan negara.

kenapa? Kalau di Amerika Syarikat First Lady of Amerika ialah isteri Obama presiden negaranya.

Kalau di negara kita First Lady of Malaysia ialah Permaisuri Agung bukan Datin Seri Rosmah Mansur, kerana ketua negara adalah Yang Di Pertuan Agung.

Jika benar demikian halnya maka jelas dan nyata imuniti raja raja di negara ini sudah tiada kuasa lagi.malahan institusi raja raja hanya alat saja tidak lebih daripada itu.

Yang punya kuasa ialah perdana menteri bukan yang di pertuan Agung lagi.

Mengikut konvensyen dan protokol antarabangsa, kalau sesebuah negara ada Raja dan Perdana Menteri atau Presiden dan Perdana Menteri, maka Raja atau Presiden adalah Ketua Negara (Head of State) manakala Perdana Menteri pula Ketua Kerajaan (Head of Government);

Tetapi ada juga anomali. Misalnya Presiden Perancis. Dia Ketua Negara dan Ketua Kerajaan walaupun dia ada Perdana Menteri yang dia lantik.

Di Amerika Syarikat pula, Presiden Obama adalah Ketua Negara, Ketua Kerajaan dan Ketua Turus Angkatan Tentera (Commander-in-Chief)

Di negara kita, SPB Yang Dipertuan Agong adalah Ketua Negara dan Perdana Menteri adalah Ketua Kerajaan yang mengendalikan pemerintahan

Ada juga negara yang Perdana Menterinya Ketua Kerajaan dan Governor General adalah "Ketua Kerajaan" mewakili Queen Elizabet seperti Australia, Kanada dan New Zealand.

Di mana Presiden adalah Ketua Negara dan Ketua Kerajaan macam Amerika dan Perancis, isteri mereka diberi gelaran "First Lady" atau Wanita Pertama.

Saya tidak pernah pula dengar orang panggil isteri Perdana Menteri British First Lady.Tapi hari Najib punya hal isterinya di gelaran sebagai wanita pertama Negara menerusi penubuhan bahagian wanita pertama Negara di jabatan perdana menteri dan mendapat peruntukan kewangan sama macam kementerian kementerian yang diwujudkan.
-tranungkite-

Mesir: Pelajar Cerita Detik Cemas Ketika Meninggalkan Mesir

SHAH ALAM, 5 FEB: Perkembangan terkini di Mesir menyaksikan kumpulan pelajar Malaysia berjaya dibawa keluar dari Kaherah, Mesir ke sini telahpun dihantar pulang ke tanah air secara berperingkat-peringkat bermula kelmarin.

Pegawai operasi bilik gerakan Pertubuhan Sukarela Briged Amal Selangor Ustaz Mohd Firdaus Misnan berkata sebanyak dua penerbangan akan dilakukan setiap hari bermula Khamis lalu sehinggalah kesemua pelajar Selangor yang berada disana dibawa pulang.

"Penerbangan yang pertama pada hari Jumaat, semalam 4 Februari, jumlah pelajarnya 37 orang, bertolak 7.50 malam waktu Mesir kemudian tiba di Jeddah pada pukul 11.10 malam waktu Mesir, kemudian penerbangan kedua, jumlah pelajar 125 orang bertolak pada pukul 3.50 pagi waktu Mesir dan baru tiba pada pukul 6 pagi waktu Mesir," katanya.

Setakat ini, kerajaan negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah berjaya membawa keluar lebih 200 pelajar ke Jeddah dan hari ini merupakan hari terakhir membawa keluar pelajar-pelajar ini dari Mesir.

Sementara itu, Tv Selangor berjaya menghubungi Kamarudin Ismail, salah seorang pelajar Malaysia yang berada disana sempat berkongsikan pengalamannya ketika mengharungi saat genting di Mesir sebelum dikeluarkan ke Jeddah.

"Keadaan masih terkawal cumanya masa peringkat mula-mula rusuhan itu berlaku hari Jumaat , rumah saya pada hari Sabtu tu di masuki perompak tetapi dia menyamar sebagai polis, dia ada dua orang jadi kami pun akurlah kerana dia kata nak buat spot-check , jadi macam-macam yang dia minta, dia check semua barang, dia geledah satu rumah, dia minta duit , nak hand phone, lepas tu dia minta VISA.

"Kita ingat dia nak VISA passport rupa-rupanya dia nak VISA card," jelasnya.

Pihak berkuasa yang sepatutnya mengawasi keadaan juga tidak lagi berfungsi dan menjejaskan keselamatan pelajar.

"Kami cuba nak hubungi polis tapi waktu tu polis mula dah takde. Akhirnya kami berjaya keluar dari rumah dan dikejar. Waktu itu, dia (perompak) pegang sahabat saya dan dia keluarkan pisau dan saya hampir ditikam ketika itu," ceritanya lanjut.

Tambahnya, pelajar-pelajar ini juga menghadapi kesukaran untuk ke lapangan terbang kerana dihalang oleh penunjuk-penunjuk perasaan pro kerajaan.

" Semalam dalam perjalanan untuk ke airport dalam pukul 10 pagi kami, kami ditahan oleh sekumpulan penyokong-penyokong Hosni Mubarak kerana tempat yang kami tinggal ialah tempat kelahiran Hosni Mubarak," katanya.

Ketika dihubungi tadi, Kamarudin masih berada di Lapangan Terbang Cairo dan masih menunggu sebelum dapat berlepas ke Jeddah. Juga difahamkan lapan lagi pelajar Selangor terkandas sebelum dapat dibawa ke Kaherah.
-tvsnews-

Polis Tiada Hak Halang Perhimpunan Aman- ADUN Sri Muda


SHAH ALAM. 5 FEB: Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafiei menjelaskan polis tidak seharusnya memberi amaran dan menghalang orang ramai memberi sokongan kepadanya Isnin ini.



Ini kerana perhimpunan yang bakal diadakan itu dibuat secara aman jika tiada gangguan dari pihak tertentu.

Shuhaimi menyatakan demikian ketika dihubungi Tv Selangor hari ini berhubung kenyataan polis yang memberi amaran dan meminta orang ramai tidak mengadakan perhimpunan bagi menyatakan sokongan kepada Shuhaim. ADUN Sri Muda itu menghadapi pertuduhan di mahkamah Sesyentersebut ekoran kenyataan yang dibuat dalam blognya yang didakwa menghina Sultan Selangor.

"Tugas utama dia membanteras jenayah jadi tumpukan dan fokus kepada perkara-perkara yang boleh memberi keselesaan kepada rakyat...orang nak berkumpul ini mengikut perlembagaan persekutuan perkara sepuluh kurungan satu benda ini menjadi hak rakyat," katanya.

Shuhaimi seterusnya berkata polis seharusnya bertindak adil dan tidak menyebelahi pihak tertentu yang mempunyai kepentingan politik.

"Kalau polis nak larang benda tu...kenapa pada 24 haribulan waktu GAPS, Perkasa orang Umno berkumpul di Dataran Shah Alam tu siap mereka iring lagi sampai ke SUK, kenapa ada double standard...sudah-sudahlah," jelasnya.

Shuhaimi berkata, polis diminta tidak menimbulkan kebencian rakyat terhadap pihak berkuasa itu berikutan tindakan pilih bulu mereka.

Dalam laporan akhbar hari ini, polis menyatakan akan bertindak terhadap pihak yang cuba mencetuskan ketegangan dan terbabit dalam perhimpunan haram di hadapan Mahkamah Sesyen.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata semua pihak diharap menghormati undang-undang dengan tidak menyertai perhimpuan tersebut.

Pihaknya memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas dan tidak teragak-agak untuk bertindak jika berrlaku keadaan kacau bilau di mahkamah nanti.
-tvsnews-

Mesir: Encik datang dari Umno bahagian mana?

Khaulah Azwar
SELAYANG, 5 Feb: Dewan Pemuda PAS Selangor (DPPNS) merasa kecewa kerana selain pelajar sakit dan bekeluarga, pelajar pro parti politik tertentu didakwa didahulukan dalam misi menyelamat bagi memindahkan pelajar dari Mesir ke Jeddah.

Timbalan ketuanya, Ahmad Zaidy Abdul Mutalib berkata, pihaknya mendapat maklumat dari pelajar Malaysia masih lagi berada di Mesir, bahawa terdapat pelajar lain dikemudiankan.

Menurutnya, hal ini mengecewakan kerana bantuan dihantar atas nama Malaysia dan hasil wang rakyat, tidak wajar dipolitikkan apatah lagi dalam keadaan getir sekarang.

“Pihak kami menggesa supaya kerajaan menafikan hal ini dengan dibuktikan dalam bentuk tindakan, bukan omongan janji kosong semata. Maklumat menyatakan pelajar perlu menampung sendiri kos tambang balik ke Malaysia dari Jeddah atau pulang semula ke Mesir sekiranya keadaan pulih, juga menyebabkan ramai pelajar di Mesir tidak mahu berganjak dari kediaman mereka di Mesir.

“Ini disebabkan keadaan ekonomi pelajar dan keluarga mereka yang tidak mengizinkan menyebabkan proses memindahkan pelajar Mesir ke Jeddah menjadi bertambah sukar,” katanya dalam kenyataan kepada Media.

Menurut Ahmad Zaidy, untuk itu DPPNS mendesak supaya kerajaan mengeluarkan belanja bagi menampung kos penghantaran balik pelajar ini ke Malaysia. Katanya, ini berikutan jika dibandingkan kos sewaktu menyambut Hari Wilayah baru-baru ini begitu juta dengan perayaan-perayaan lain dilaporkan menelan jutaan ringgit, kos membawa pulang pelajar dikatakan hanya kurang daripada itu.

“Kami juga mendapat maklumat ada ibu bapa pelajar datang ke Bilik Gerakan Bantuan Kemanusian Mesir membuat aduan mereka ditanya oleh petugas di Wisma Putera, 'Encik datang dari UMNO Bahagian mana?'.

“Hal ini cukup mengguris hati ibu bapa yang kesedihan dan mengharapkan bantuan dan maklumat mengenai nasib anak mereka di Mesir. Sepatutnya soalan sebegini sama sekali tidak wajar saat-saat sebegini,” katanya.

Menurutnya lagi, sebahagian pelajar Mesir membuat aduan juga didakwa diugut diambil tindakan sehingga menamatkan bantuan pembelajaran, sekiranya mereka datang berkumpul bersama ibu bapa di Wisma Putera pada Rabu (2 Feb 2011) lepas bagi mendesak kerajaan supaya tindakan segera diambil bagi membawa pulang pelajar-pelajar Malaysia di Mesir.

Tegas Ahmad Zaidy, DPPNS berharap agar pihak berwajib mendahulukan kebajikan pelajar tanpa mengira fahaman politik dan menyarankan semua orang Islam di negara ini berdoa supaya semua selamat dan kemelut di Mesir akan berakhir dengan kesudahan baik.

“Kepada ibu bapa ingin membuat semakan dan mengetahui perkembangan lanjut berkaitan pelajar di Mesir khususnya berasal dari Selangor, boleh berhubung di Bilik Operasi Bantuan Mahasiswa Mesir Selangor, Bangunan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Shah Alam. “Talian 24 jam turut dibuka iaitu di 03-55143520/ 3534/ 3538/ 3539/ 3576,” katanya

Apakah Nik Aziz `Pelacur Agama' ?

wfauzdin_ns

NAMPAKNYA serangan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz terhadap Umno ternyata berkesan. Apa yang diperkatakan oleh Tuan Guru Nik Aziz bahawa sesiapa yang tidak menyokong PAS sewaktu PAS bertanding menentang Umno di PRK Dun Tenang baru-baru ini adalah golongan Jahiliyyah membuatkan pemimpin Umno `sesak nafas'.

Maka, bermacam ulasan keluar untuk mengharamkan apa yang diperkatakan oleh Tuan Guru Nik Aziz walaupun Tuan Guru Nik Aziz berhujah berlandaskan Al-Quran. Umno pula berhujah berlandaskan akal yang cetek lagi jahil. Apabila politik mahu diasingkan dengan ugama, maka sudah tentu pendapat Tuan Guru Nik Aziz tidak boleh diterima oleh Umno.

Memetik kenyataan Timbalan Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Omar Saleh, " Nik Aziz terlalu banyak menggunakan agama untuk kepentingan politik beliau. ‘‘Saya ingin bertanya kepada beliau, apakah status nenek moyang saya dan mereka yang tidak mengundi Pas sebelum Pas diwujudkan. Adakah mereka ini kafir seperti ‘fatwa’ yang dikeluarkan Pas?

Kenyataan di atas membuktikan betapa jahilnya beliau. Pernahkah PAS mengeluarkan fatwa bahawa ahli-ahli Umno kafir? Pemimpin PAS hanya pernah menyebut bahawa barangsiapa yang menolak hukum Islam termasuk hukum hudud yang diwajibkan oleh Allah, maka rosak akidahnya. Jika Umno terasa termasuk di dalam golongan yang menentang hukum Allah, maka fikirlah sendiri apa hukumnya.


Bagi menjawab soalan Omar Salleh itu yang mahu status nenek moyangnya yang tidak mengundi PAS sebelum PAS diwujudkan, adakah mereka kafir atau tidak, itu salah satu soalan orang yang masih Jahiliyyah. Beliau perlu tahu, semasa hidup nenek moyangnya sehingga mati, adakah nenek moyangnya beramal dengan perintah Allah dan tidak pernah menentang hukum Allah? Seandainya nenek moyang beliau pernah menentang hukum Allah dan tidak bertaubat sehingga mati, adakah matinya boleh dikatakan mati di dalam beriman? Omar Salleh jawab sendiri soalan beliau itu.


Islam bukan dibawa oleh PAS. Islam agama di sisi Allah dan dibawa oleh Nabi. PAS sebagai wadah politik ingin memperjuangkan hukum Allah ini. Samada PAS wujud atau tidak, kita sebagai umat Islam mesti menegakkan hukum Allah dengan apa cara sekali pun. Kita patut bersyukur kerana PAS wujud di negara ini sebagai wadah politik yang ingin melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah. Bayangkan jika Umno, MCA, Gerakan, MIC atau DAP sahaja yang wujud di negara ini, siapakah yang boleh diharapkan untuk memperjuangkan Islam? Umno? Setelah lebih 50 tahun Umno memegang kuasa, mana lebih banyak Umno lakukan samada yang makruf atau yang mungkar?


Umno melakukan yang Makruf secara berpilih-pilih seperti membina masjid, Bank Islam, Universiti Islam, Tabung Haji, Takaful dan beberapa lagi program Islam, tetapi Umno tidak melaksanakan Nahi Mungkar. Umno menolak terus perundangan Islam. Umno tidak mencegah kemungkaran sebaliknya banyak menganjurkan kemungkaran. Menolak perlaksanaan Hukum Hudud, tetapi menerima baik Akta zalim ISA. Sudahlah tidak mahu melaksanakan hukum Allah ini, Umno menyekat dengan kuasa yang mereka ada untuk menentang pihak lain yang ingin melaksanakannya.


PAS bukan agama, tetapi PAS membawa ajaran agama Islam itu sendiri. Jika ada satu pihak yang memperjuangkan Islam, dan satu lagi memperjuangkan bangsa semata-mata, mana satukah yang kita pilih? Jika kita tidak memilih perjuangan Islam, maka memang tepat jika kita digelar golongan Jahiliyyah. Hanya Jahiliyyah yang tidak mahu bersama Islam.
wfauzdin.blogspot.com

Ketua PKR Sabah umum keluar parti, sertai Umno

PKR Sabah yang sedang dibelenggu masalah menerima satu lagi tamparan apabila ketua perhubungan negerinya, Pajudin Nordin mengumumkan keluar dari parti dan berhasrat menyertai Umno.
Pajudin, 42, yang belumpun sebulan memegang jawatan tersebut, membuat pengumuman itu dalam satu sidang akhbar bersama ketua menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, di kediaman rasmi ketua menteri di Sri Gaya, petang tadi.

Beliau berkata keputusan itu dibuat kerana kecewa dengan kepimpinan pusat iaitu ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang tidak serius dalam menangani masalah-masalah dan isu Sabah.

"Saya kesal kerana Datuk Seri Anwar selama ini mengatakan bahawa beliau menghormati hak-hak negeri Sabah, tetapi tingkah lakunya jelas menunjukkan bahawa beliau mengamalkan 'cakap tidak serupa bikin'.

"Maka saya menganggap PKR di Sabah ini sudah tidak relevan untuk kita jadikan sebagai satu parti masa hadapan atau parti yang dikatakan akan menuju ke Putrajaya... Maka saya mengisytiharkan diri keluar dari PKR dan melepaskan semua jawatan saya di dalam parti," katanya.

"Setelah melihat perkembangan politik, saya seterusnya memohon untuk menyertai Umno dan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa kerana hanya BN yang telah lama memperjuangkan hak rakyat dan banyak menyumbang kepada rakyat," jelas beliau.

Katanya beliau telah mengemukakan surat perletakan jawatan lewat petang tadi melalui faks, SMS, dan e-mel ke PKR pusat dan percaya ramai lagi ahli PKR terutamanya ketua-ketua dan ahli jawatankuasa cabang akan turut serta meninggalkan parti kerana ada yang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap cara kepimpinan pusat.

"Saya percaya keputusan untuk keluar dari PKR akan disusuli oleh ramai lagi rakan-rakan kepimpinan yang berada dalam PKR Sabah bila melihat senario politik PKR yang kita anggap sebagai satu parti yang sudah kucar-kacir, tidak ada hala tuju dan tidak ada pembelaan daripada pemimpin-pemimpin di peringkat pusat," tambahnya lagi.

Sebelum ini perlantikan Pajudin sebagai ketua PKR Sabah pada 10 Jan lalu, merupakan satu kejutan kerana ini pertama kalinya pemimpin bagi negeri Sabah dilantik dari bukan kalangan ketua-ketua cabang dalam parti itu. Pajudin merupakan naib ketua cabang PKR Tuaran.

Baru-baru ini, 18 daripada 24 ketua cabang PKR Sabah telah membuat bantahan terhadap perlantikan Pajudin yang lebih mesra dikenali sebagai 'ustaz'.

Pajudin yang menyertai PKR sejak 1999 berkata walaupun selepas dilantik sebagai ketua PKR Sabah, beliau tidak pernah mendapat kerjasama dan sokongan dari Anwar dan Dr Wan Azizah, dan ini menunjukkan mereka 'sengaja mempermain-mainkan' pemimpin PKR Sabah.

Ditanya sama ada beliau keluar dari parti disebabkan bantahan daripada 18 ketua cabang terhadap perlantikan beliau, Pajudin berkata: "Tidak. Bagi saya setelah dilantik oleh presiden melalui perlembagaan parti, maka saya anggap perkara itu sudah selesai."

Sementara itu Musa berkata trend satu demi satu pemimpin PKR keluar daripada parti, jelas menunjukkan bahawa PKR dan Pakatan Rakyat tidak relevan lagi di negara ini atau di negeri Sabah, kerana mereka sedar parti itu tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada rakyat.

"Saya mengalu-alukan permohonan beliau menjadi ahli Umno ... Kita akan terima permohonannya dan ini kita akan proses seperti biasa," tambah Musa.

Ditanya sama ada Umno Sabah lebih yakin menghadapi pilihan raya akan datang berikutan perkembangan ini, Musa menjelaskan Umno sentiasa bersedia dan mempunyai keyakinan kerana parti itu telah bekerja keras, sentiasa mendampingi dan membantu rakyat.
-Bernama-

Anwar: Abdul Taib jangan jadi seperti Mubarak

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan ketua menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud seperti presiden Mesir Hosni Mubarak yang mahu terus berkuasa walau diminta berundur.

Bercakap di majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran cabang PKR Stampin hari ini, Anwar berkata penduduk Sarawak perlu menuntut supaya Abdul Taib segera berundur melalui proses demokratik.

Abdul Taib dan Mubarak kedua-duanya telah berkuasa sejak 30 tahun lalu.

Berjuta-juta rakyat Mesir kini melancarkan protes di seluruh negara bagi menuntut Mubarak supaya segera berundur.

Anwar berkata, perubahan boleh dilakukan sekiranya Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan di negeri itu dan Abdul Taib tidak lagi menjadi ketua menteri.

Katanya, Pakatan akan menurunkan harga minyak dan harga barangan keperluan sekiranya ia dapat membentuk kerajaan di Sarawak.
-malaysiakini-

Gara-gara facebook: Isteri lari ikut kekasih ditangkap khalwat

KUALA LUMPUR: Pertemuan semula dengan kekasih lama yang dijejak melalui laman sosial facebook menyebabkan seorang isteri hilang pedoman apabila lari meninggalkan suaminya untuk tinggal bersekedudukan dengan bekas teman lelakinya itu.

Lebih mengaibkan, wanita berusia 30-an itu yang membawa bersama anaknya berusia lebih setahun turut menuntut supaya suaminya menceraikannya.

Bertindak atas laporan suaminya, wanita itu bersama bekas teman lelakinya ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam serbuan di sebuah rumah di Shah Alam, Rabu lalu.

Sumber Jais berkata, dalam serbuan kira-kira jam 3 pagi itu, pasangan kekasih terbabit gagal membuktikan mereka mempunyai ikatan sah mengikut hukum syarak apabila disoal siasat.

“Mereka dibawa ke pejabat Jais untuk siasatan lanjut dan sebelum dibebaskan dengan jaminan mulut,” kata sumber itu.

Menurutnya, siasatan awal Jais mendapati suami wanita terbabit membuat laporan mengenai kecurangan isterinya, selain mendakwa isterinya melarikan anak mereka.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Jais, Mohamad Rais Rasid mengesahkan serbuan dan tangkapan dilakukan pihaknya terhadap wanita terbabit bersama bekas teman lelakinya.

“Kami sudah menyoal siasat pasangan terbabit dan mereka bakal dihadapkan ke Mahkamah Syariah pada Jun depan atas kesalahan berkhalwat,” katanya.

Menurutnya, sekiranya bersalah pasangan terbabit boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun, mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor.
-hmetro-

Antara Badwi, FRU & APCO

Saiful Bahri Mamat
Pemerhati Timur Tengah, Hadi Majidi, menyatakan bahwa 1,500 pasukan komando Zionis Israel dan 5 ribu badwi yang dibayar dikerahkan untuk membubarkan para pendemo anti-rejim Hosni Mubarak.

Menurut keterangan Majidi, sebagian pasukan komando didikan Zionis Israel itu berbahasa Arab. Selain itu, pasukan komando itu disertai sekelompok badwi yang jumlah mereka mencapai 5 ribu orang. Para badwi dibayar dengan upah yang cukup tinggi untuk menghadapi para pendemo. Mereka dilengkapi dengan senjata tajam seperti pisau, parang dan belantan.

Majidi dalam wawancaranya Berita Farsnews mengatakan, "Tak diragukan lagi, pergolakan yang terjadi di Mesir akan memberi kesan serius. Untuk itu, Barat, khususnya AS dan Zionis Israel berusaha mengarahkan pergolakan di Mesir ke arah yang tidak mengganggu kepentingan mereka."

Zionis Israel telah mengirim tiga pesawat khusus pengangkut senjata tentera ke Cairo. The International Network for Rights and Development melaporkan , tiga pesawat Zionis Israel mendarat di Lapangan Terbang Internasional Mina di Cairo pada hari Sabtu lalu.

Pesawat-pesawat itu selain membawa logistik ketenteraan yang akan digunakan pasukan-pasukan khusus untuk menghadapi para pendemo, juga bersama mereka alat senjata sejenis granat yang berisikan gas terlarang.

Nampaknya Israel-APCO memainkan peranan besar bagi menghalang kemenangan rakyat terhadap Hosni Mubarak. Apatah lagi dibimbangi ianya membawa kemenangan kepada Ikhwan Muslimin yang sudah pasti menukar corak jihad dan politik di Gaza, Palestine dan bahkan membimbangkan keselamatan Israel sendiri.

Pihak pemerintah zalim ini dan sama disemua Negara termasuk Malaysia akan sentiasa memperalatkan kuasa polis dan Fru maupun ketenteraan terhadap rakyatnya sendiri demi mengekalkan kekuasaan mereka. Golongan Badwi diluar Bandar diperalatkan dengan dibayar upah untuk nyawa politik mereka.

Macam kat Malaysia jugalah. Kekalahan Pas masih lagi berlegar dikalangan golongan buta-politik yang boleh diperalatkan dan dikelirukan pemikiran mereka seperti masyarakat luar-bandar, peneroka, golongan miskin seperti perkampungan tradisional dan nelayan serta golongan setinggan. Golongan inilah masih lagi ‘makan’ dengan politik wang demi mengekalkan kuasa politik golongan zalim ini. Apakah mereka macam badwi juga??? Nak harapkan Pak Lah Badawi... susah 3X. Dalam masa sama mereka akan memperalatkan dan menggunakan tipu-helah yang pelbagai… siapa akan bersama mereka??? FRU? Polis? SPRM? SPR? PEKIDA??

Apapun sampai bila golongan ini boleh diperalatkan??? Sampai masanya pimpinan UMNO mesti memilih samada turun dari tampuk kuasa atau memilih keranda!!!

Mesir: Anwar Kecewa Kerajaan Tidak Dengar Rintihan Rakyat


PULAU PINANG, 5 FEB: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan seharusnya mendengar atau bertanya sendiri dengan pelajar dan rakyat Malaysia di sana bagi mengetahui keadaan sebenar, bukan sekadar mendengar kenyataan rasmi yang dikeluarkan kerajaan Mesir.



Menurutnya Anwar, keadaan terkawal di sana sepertimana yang disuarakan kerajaan Mesir nyata tidak sama dengan luahan pelajar di internet yang mahukan mereka segera diselamatkan.

Anwar berkata, kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) seolah-olah menutup mata apabila hanya mendengar suara rasmi daripada Mesir padahal keadaan sudah tidak terkawal dan ramai orang bangkit memberontak.

"Sebelum itu kementerian mengatakan semua keadaan terkawal. Ini satu masalah di mana pemerintah atau kerajaan itu dia hanya dengar suara rasmi daripada Mesir. Keadaan terkawal, jutaan orang bangkit berontak dan kenyataan rasmi keadaan terkawal. Rakyat mengeluh, pelajar dan rakyat Malaysia kurang makan dan kurang diambil perhatian lambat diambil tindakan. Malaysia diantara negara yang lambat mengambi tindakan," katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, rata-rata keluarga pelajar yang ditemui di Kuala Lumpur kelmarin melahirkan rasa kebimbangan mereka terhadap nasib anak-anak dan ahli keluarga yang berada di Mesir.

"Saya ketemu juga keluarga semalam di Kuala Lumpur dan tadi di sini yang melahirkan kebimbangan terhadap kedudukan anak-anak mereka kerana sekatan, kurang makanan dan tiada maklumat," tambahnya.

Begitupun, Anwar menerima baik langkah-langkah segera memindahkan segera rakyat Malaysia keluar dari Mesir sebagai jaminan keselamatan mereka.

"Walaubagaimanapun saya terima baik langkah-langkah segera untuk memindahkan mereka,"jelasnya.

Beliau bercakap demikian kepada pemberita pada satu sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama pemimpin PKR Negeri, di Yayasan Aman, Pulau Pinang, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman.
-tvsnews-

Risalah 'My Balik Pulau': ADUN BN Meludah Ke Langit


GEORGE TOWN, 5 FEB: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyifatkan tindakan ADUN Pulau Betong Muhammad Farid Saad sebagai "meludah ke langit" dengan mengeluarkan kenyataan "pembohongan dan fitnah" terhadap kerajaan negeri.



Justeru, beliau menuntut agar Muhammad Farid memohon maaf kerana menuduh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertanggungjawab mengedar risalah yang menghina orang Melayu.

Dalam satu kenyataan akhbar, beliau mahu ADUN berkenaan perlu menarik balik kenyataan berkenaan yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada hari Khamis lalu.

"ADUN Umno ini telah menggembar-gemburkan risalah 'My Balik Pulau' dengan sentimen perkauman di Utusan Malaysia yang membuat laporan besar bertajuk 'Lupa sejarah, hina Melayu'.

"ADUN Umno ini telah membuat tuduhan melulu dan dakwaan palsu bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang bertanggungjawab atas isi kandungan (risalah ini)," katanya lagi.

Risalah berkenaan turut mencatatkan nama penyumbangnya iaitu kementerian pelancongan serta pemimpin Umno Balik Pulau "termasuk pusat sumber Muhammad Farid sendiri.

"Sekiranya beliau gagal pada minggu depan maka tindakan tegas akan diambil," katanya.

Risalah 'My Balik Pulau' itu sebenarnya dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan dan bukannya oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Tambahnya, risalah berkenaan "mengandungi fakta sejarah tidak tepat" dan "disifatkan sebagai berbahaya kerana boleh mengundang perbalahan kaum.

"Sekiranya betul 'My Balik Pulau' lupa sejarah dan hina Melayu, maka yang lupa sejarah dan hina Melayu tidak lain tidak bukan adalah Umno dan kerajaan persekutuan sendiri," kata Lim lagi.

Muhammad Farid dipetik mendakwa, risalah berkenaan "seolah-olah mahu menggambarkan bahawa Balik Pulau bukan dibuka oleh orang Melayu.

Dalam laporan sama, Muhammad Farid turut mendakwa, bahan dalam risalah berkenaan turut "menghina orang Melayu."
-tvsnews-

Kerajaan Perlu Rancang Masa Depan Pelajar Malaysia Di Mesir- GAMIS


SHAH ALAM, 5 FEB: Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia atau GAMIS menegaskan bahawa kerajaan perlu merancang dan memikirkan nasib masa hadapan pengajian para pelajar Malaysia di Mesir jika krisis tersebut berlarutan dalam tempoh yang lama.

Menurut Naib Presiden Korporat Dan Pengantarabangsaannya Abdul Razak Omar yang ditemubual oleh Tv Selangor berkata kerajaan perlu berbincang dengan berkenaan agar  nasib masa hadapan pembelajaran pelajar tidak terjejas.

"Kami melihat perkara ini daripada sudut kerjasama, antara KPT ( Kementerian Pengajian Tinggi) dan kerajaan Malaysia sendiri dengan institusi pengajian tinggi di Mesir, contohnya seperti pengajian Medic(perubatan), ini adalah kerja kerajaan untuk mengambil langkah berbincang bersama kerajaan Mesir, kalau isu ini berpanjangan kita perlu melihat alternatif untuk KPT memberi ruang untuk pelajar-pelajar ini menyambung dan mengambil pengajian di tanahair.

"Saya kira kerajaan juga perlu berbincang samada perlu dipanjangkan tempoh cuti kepada pelajar-pelajar Malaysia untuk pulang bercuti ke tanah air bagi menjaminkan keselamatan mereka sebab soalnya sekarang ialah keselamatan mereka sendiri," katanya.

Tambah Abdul Razak lagi, GAMIS berasa kecewa dengan kelewatan pelan evakuasi pelajar Mesir di Malaysia berbanding negara lain yang lebih awal melaksanakan pelan penyelamat tatkala krisis di Mesir semakin meruncing.

"Bagi pihak Gamis kami melihat satu tindakan yang agak lambat daripada kerajaan sendiri kerana kalau kita tengok benda yang berlaku sekarang adalah perkara yang sudah lama dan sudah seminggu-dua minggu tetapi kerajaan baru mengambil tindakan untuk membawa pulang ke Malaysia baru beberapa hari, jadi kalau kita bandingkan negara-negara seperti Indonesia, Korea di mana kerajaan mereka bertindak lebih awal," katanya.

Menurut Razak lagi, para pelajar yang ditempatkan di Jeddah buat sementara masakini dalam keadaan sesak dan berharap perkara ini dapat diatasi.
-tvsnews-

Wanita cam polis didakwa tampar, rompak dirinya

Seorang pemilik kedai yang mendakwa ditampar dan dirompak oleh anggota polis berpakaian preman minggu lalu hari ini mengecam lima orang anggota pasukan itu yang didakwa melakukan perbuatan itu ke atasnya.

Chow Soo Meng, 36, mengenalpasti anggota polis lelaki itu dalam satu kawad cam di ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya pagi ini.

Ibu kepada dua orang anak itu ditemani ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng. Polis turut merakam kenyataan wanita berkenaan dan juga kenyataan Lim.

Lim ketika dihubungi berkata, Chow telah mengenalpasti lima anggota berkenaan yang didakwa memecah masuk ke dalam kedainya tanpa mengemukakan waran.

Chow turut mengenalpasti pengawai polis yang didakwa menampar beliau dan juga seorang pegawai polis wanita, kata ahli parlimen DAP itu lagi.

Anggota polis berkenaan sebelum ini didakwa mencuri kira-kira RM20,000 wang tunai dan beberapa barangan lain dari wanita tersebut.

Dalam laporan polisnya, anggota polis berkenaan didakwa telah mengambil beberapa jenis rokok, enam botol minuman keras, oren mandarin dan tiga kartun minuman tin.

Polis telah menafikan dakwaan merompak Chow ketika wanita itu ditahan di kedainya di Sungai buloh pada malam Isnin lalu.

Satu kenyataan polis sebelum ini menyebut, anggota berkenaan merampas wang sebanyak RM15,900 untuk siasatan.

Polis mengesyaki wang berkenaan diperolehi daripada sumber haram.
-malaysiakini-

Wartawan cemas disekat kumpulan bersenjata

Rombongan wartawan dan anggota Kelab Putra 1Malaysia mengalami saat-saat yang cukup mencemaskan di sini malam tadi apabila van yang mereka naiki ditahan oleh sekumpulan pemuda tempatan yang bersenjatakan batang besi dan kayu dan beberapa senjata lain.

Kumpulan itu menggeledah van, merampas pasport mereka, dan keadaan menjadi tegang bila seorang pemuda cuba mengambil wang milik seorang pegawai wanita dari Jabatan Imigresen Malaysia yang menumpang van.

Kejadian berlaku ketika rombongan itu dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan setelah pemberita dan jurugambar Malaysia selesai membuat liputan urusan berlepas para pelajar dan warga Malaysia di Lapangan terbang Antarabangsa Kaherah, berikutan pergolakan di Mesir.

Semua warga Malaysia yang berlepas itu dijadual mendarat di Jeddah, Arab Saudi, sebelum pulang ke tanah air.

Sekatan itu berlaku pada pukul 10 malam waktu tempatan (4 pagi Sabtu waktu Malaysia) di lebuhraya bertingkat berhampiran Tahrir Square (Dataran Merdeka), terhadap 12 wakil media, empat anggota Kelab Putra 1Malaysia dan seorang pegawai imigresen Malaysia.

Van itu disediakan oleh Kedutaan Malaysia di Mesir.

Mujur, pemuda berkenaan yang berkulit cerah akhirnya memulangkan semula wang tersebut apabila dibantah oleh beberapa anggota rombongan dan juga rakannya.

Wartawan Bernama, Luqman Nul Hakim Mazlan bernasib baik kerana komputer riba yang dibawanya untuk digunakan dalam tugasan tidak diapa-apakan.

Setelah puas menggeledah, kumpulan pemuda itu mengarahkan pemandu van, seorang warga Mesir, ke satu pusat pemeriksaan dan rombongan dilepaskan setelah diperiksa di balai Polis Tentera.

Semua pasport dikembalikan kepada anggota rombongan.

Rombongan itu terpaksa melalui hampir 30 sekatan jalan dan setiap kali ditahan mengalami kesukaran yang hampir sama sehingga mereka mengambil masa tiga jam untuk sampai ke hotel yang jarak perjalanan hanya 30km.

Dalam pada itu rombongan difahamkan, kenderaan rasmi yang membawa Duta Besar Malaysia ke Mesir Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti, yang bertolak dari lapangan terbang itu setengah jam kemudian, terpaksa berpatah balik apabila turut menghadapi masalah sekatan jalan.

M.Hamzah Jamaludin wartawan New Straits Times yang telah membuat liputan mengenai tunjuk perasaan anti-Mubarak di Mesir sejak beberapa hari lalu, berkata sekatan oleh orang awam kini menjadi perkara biasa.

"Mereka kini semakin berani kerana sebelum ini mereka tidak memeriksa beg terutamanya milik wanita," katanya.

Jurugambar kumpulan NSTP Fauzan Jaafar berkata jurugambar dan jurukamera tidak berani membawa bersama kelengkapan tugas mereka kerana bimbang dirampas oleh pihak tertentu.

"Saya terpaksa meninggalkan peralatan di dalam kereta rasmi Duta Malaysia untuk dibawa ke hotel demi keselamatan," katanya.
-Bernama-

Subsidi Gas Kepada IPP Perlu Dihentikan- Rafizi

KUALA LUMPUR, 5 FEB: PKR menegaskan isu subsidi gas tahunan RM19 bilion kepada penjana tenaga bebas (IPP) perlu dihentikan atas alasan pembiayaan itu satu kehilangan hasil negara.

Perkara ini dinyatakan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli meskipun pakar strategi kerajaan menganggapnya sebagai membantu menjana peluang pekerjaan, Beliau berkata demikian semasa program temubual Bicara Rakyat di RTM malam tadi.

Menurut Rafizi lagi, kajian Prof Jeff Rector dari Universiti Stanford pada 2005 menunjukkan 81 peratus subsidi gas pergi kepada industri dan bisnes manakala hanya 19 peratus kesannya dirasai rakyat.

"Persoalan subsidi gas adalah persoalan yang central, kerana daripada RM19 bilion ini pada jangkaan kami boleh membiayai program-program, betul RM19 bilion adalah subsidi gas yang ditanggung oleh Petronas maksudnya jika gas tidak diberi pada kadar yang murah kepada TNB dan IPP, kerajaan di Putrajaya akan dapat RM19 bilion tiap-tiap tahun untuk dibelanjakan.

"Kalau kita merujuk kepada satu kajian yang dijalankan oleh Standford University, semua yang kaji pasal IPP pernah membaca kajian ini, kajian pada 2005 pada kapasiti penjanaan elektrik dan penggunaan RM19 bilion gas subsidi itu, 80 peratusnya adalah untuk industri dan perniagaan maknanya RM19 bilion itu yang sampai kepada rakyat kalau betullah hanya 19 peratus sahaja, rakyat keseluruhannya hanya menggunakan 19 peratus," katanya.

Bagaimanapun menurut Rafizi, pemansuhan subsidi gas akan membantu usaha pembaharuan sistem yang ada sekarang.

"Kalau kita tarik subsidi ini maka harga akan naik dan bebanan akan meningkat itu pun kena berhati-hati kerana apabila 81 peratus daripada penggunaan elektrik ini perginya kepada industri dan juga perniagaan maknanya sebahagiannya berorientasikan eksport, barangannya untuk dieksport keluar jadi kelebihan itu tidak sampai kepada rakyat.

"Tetapi dieksport keluar dan sebab itu saya nak tunjukkan bila kita bercakap berkenaan NEM dan hendak menjadi ekonomi berpendapatan tinggi pergantungan kepada subsidi gas ini untuk menyediakan satu kos struktur yang murah itu perlu dihentikan kerana kita mewujudkan persaingan yang artificial,orang kata kos melabur di Malaysia murah, tetapi kita tiris RM19 bilion subsidi," katanya.

Syarikat minyak nasional Petronas yang terpaksa memikul subsidi menerusi harga gas yang kekal pada November lalu berkata ia mahukan kajian semula harga gas.

Pada tahun kewangan 2009, kos subsidi gas Petronas mencecah RM19 bilion ataupun sembilan peratus keseluruhan pendapatannya dan ia meningkat kepada RM10.1 bilion pada separuh tahun pertama tahun kewangan 2010.

Isu subsidi gas juga satu kontroversi selama ini memandangkan pihak utama mendapat manfaat daripadanya ialah pengeluar tenaga bebas (IPP), yang mana kebanyakannya memperoleh keuntungan tinggi dan dilihat dimiliki oleh pihak-pihak memihak parti pemerintah.

Kerajaan diwakili oleh Ahli Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan. Seorang lagi anggota panel forum ialah ketua eksekutif Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa Datuk Mahani Zainal Abidin.

Mahani, salah seorang penggubal Model Baru Ekonomi (MBE) pentadbiran Najib bagaimanapun mengakui bahawa subsidi gas adalah sesuatu yang tidak diingini dalam jangka panjang tetapi bukan sesuatu yang boleh diubah dengan serta-merta.
-tvsnews-

TG Nik Aziz sahut cabaran ulama UMNO

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyahut cabaran Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan, Profesor Mohd Noor Deris untuk berdebat berhubung dakwaan beliau membuat kenyataan yang merosakkan akidah selain memecahbelahkan umat Islam.

Nik Aziz berkata, debat adalah cara terbaik bagi menyelesaikan kekusutan sekali gus memberi kefahaman kepada umat Islam.

“Saya setuju kerana apabila berlaku kekusutan, kita diminta berdebat dengan cara baik bagi mencari jalan penyelesaian.

“Boleh (berdebat), tidak menjadi masalah asalkan kita menjadikan al-Quran sebagai ‘orang tengah’,” katanya selepas mengimami solat hajat pada Program Solat Hajat Selamatkan Siswa dan Rakyat Mesir Bersama Tok Guru di Medan Ilmu di sini, semalam.

Menurutnya, setiap perkara yang berlaku perlu dirujuk kepada Allah SWT yang menurunkan al-Quran serta mengirimkan Nabi Muhammad SAW.

Dalam satu kenyataan disiarkan media kelmarin, Mohd Noor yang juga bekas ahli Pas menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja Melayu supaya mengkaji beberapa kenyataan Nik Aziz yang dilihat bercanggah dengan syarak selain menjejaskan kestabilan politik dan keselamatan negara.

Antara lain, Menteri Besar Kelantan itu didakwa pernah mengeluarkan kenyataan sesiapa yang mengundi Pas masuk syurga dan tidak mengundi Pas disifatkan sebagai jahiliah ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor baru-baru ini.

Bagi Mohd Noor, kenyataan itu tidak boleh dibiarkan kerana ia akan menyebabkan ramai orang mati kerana murtad atau keluar dari Islam.

Sehubungan itu, beliau mencabar Nik Aziz untuk berdebat secara terbuka mengenai perkara itu.

Menurutnya, Nik Aziz kerap kali melakukan fitnah antaranya dengan mengatakan Malaysia bukan negara Islam, UMNO tidak mahu Islam dan imam UMNO tidak sah diikuti.
-sinarharian-

Mapim usaha sokongan 2 juta umat

Ismail Hashim
KUALA LUMPUR, 5 Feb: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), berusaha himpunkan dua juta sokongan umat Islam peringkat Asean menyokong rakyat Mesir.

Setiausaha Agungnya, Haji Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, gerakan ini diharapkan dapat berjalan sesegera mungkin dan bantahan berbentuk elektronik ini akan diserahkan secara online kepada Kaherah dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Gerakan ini adalah untuk menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Mesir yang bangkit mendesak Presiden mereka, Husni Mubarak yang memerintah 30 tahun agar segera turun.

Semalam merupakan hari ke 10 mereka berjuang secara aman di seluruh negara dengan himpunan melebihi 1 juta rakyat di Medan Merdeka di Kaherah yang sehingga mengorbankan puluhan nyawa, ratusan cedera dan ribuan lagi ditangkap.

Beliau ditemui ketika bersama pimpinan parti politik dan NGO mengepalai himpunan sekitar 10 ribu umat yang mencintai kedamaian dan menegakkan kebenaran.

Turut serta dalam himpunan semalam adalah Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub, Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Shah Alam, Haji Khalid Samad, Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin, Presiden PSM, Dr Nasir Hashim dan Penyelaras PSM, S. Aruchelvan.

Belajar kesan ulama Mesir yang ditutup mulutnya

Muhammad Yusri Amin   
KOTA BHARU, 5 Feb: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pihak yang mahu menutup mulutnya (dari terus memperkatakan Islam) supaya mengambil iktibar dari peristiwa ulama yang ditutup mulut mereka oleh pemerintah Mesir.

Beliau yang juga Menteri Besar mahu peristiwa yang berlaku ke atas Presiden Hosni Mubarak diambil ingatan oleh pihak berkenaan.
“Hosni Mubarak lama dah tutup mulut ulama, dan sekarang rakyat pula menutup mulut dia (dalam isu revolusi Mesir yang mahukan Hosni Mubaratk berundur),” katanya pada Kuliah Mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi tadi.

Terdahulu dari itu beliau mengimamkan solat hajat untukkesejahteraan rakyat Malaysia di Mesir. (gambar)
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mendakwa ‘fatwa’ yang keluar dari mulut Nik Aziz sering kali bertentangan dengan pendapat Dewan Ulama Pas dan parti itu, justeru beliau yang juga Menteri Pertahanan mahu supaya dicari jalan bagi ‘menutup mulut’ Nik Aziz.

Baru-baru ini Mursyidul Am PAS itu pada sidang media di Kampung Redong sempena kempen bagi  Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang mendakwa pengundi yang tidak menyokong calon PAS sebagai orang jahiliah.

Mengulas dakwaan Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran Umno Kelantan Prof Madya Mohd Noor Deris yang mendakwa Nik Aziz telah mengeluarkan banyak kenyataan bercanggah dengan syarak, justeru mahukan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja mengkaji kenyataan Mursyidul Am PAS itu, Nik Aziz berkata beliau amat bersetuju kalau ada pihak mahu berdialog dengannya mengenai Islam.

“Saya setuju benar orang berdialog dengan saya.  Ini kerana ajaran Islam menggesa diadakan mujadalah sekiranya ada isu tertentu, dan ‘hendaklah kamu berdebat dengan mereka dengan cara terbaik’.

“Berdebat dan berdialog adalah ajaran agama, bukan hanya ajaran demokrasi.

“Saya bersetuju kalau orang berdialog dengan saya (dan hendaklah) ‘pegang Al-Quran’.

“Untuk majlis dialog itu, orang tengahnya ialah Al-Quran, tetapi kalau berdialog tidak ada panduan, mana boleh,” katanya.

Beliau turut meminta pemimpin negara ini ambil iktibar dari peristiwa revolusi Mesir yang hangat kini.

Beliau menyifatkan rakyat dan pemimpin Negara adalah sama.

“Namun rakyat mudah mendengar nasihat, tetapi yang payahnya pemimpin, ini kerana mereka merasakan mereka itu pemimpin yang cerdik berbanding orang lain.

“Tahu-tahu,  dia kena guling, barulah dia reti,” katanya sinis.

Beliau menegaskan umat Islam mukmin wajib menolak ideology lain termasuk ideologi Melayu atau  nasionalis.

“Kerana apa, kerana Al-Quran adalah lebih dari segala-galanya.

“Di Malaysia sendiri, Allah swt beri kepada orang Melayu agama (Islam), namun ada di kalangan orang Melayu sendiri menolak Islam dan mengambil kebangsaan (sebagai dasar perjuangan partinya).  Ini menyebabkan timbulnya kecelaruan,” dakwanya