GEORGE TOWN, 5 FEB: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad membaca 'buku jingga' bagi memahamkan kenyataan bahawa Tanah Melayu bukan bermakna memusnahkan sistem kehakiman, dan bukan untuk memiskinkan majoriti rakyat Melayu.
Selasa lalu dalam program anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia mesti mengakui negara ini adalah milik orang Melayu dan oleh itu, mereka mesti menerima budaya dan bahasa masyarakat itu.
Bekas perdana menteri berkata, nenek moyang negara ini memberikan orang Cina dan India taraf kewarganegaraan sebab mereka mengharapkan kedua-dua komuniti itu akan menghormati kedaulatan orang Melayu.
"Tanah Melayu bukan bermakna memusnahkan sistem kehakiman, bukan bermakna untuk memiskinkan majoriti rakyat Melayu. Atas nama tanah Melayu yang mendapat faedah besar tu adalah keluarga mereka. Bukan saja yang lalu tapi berterusan. Contoh kontrak yang petronas berikan berbilion untuk memperkayakan keluarga mereka," katanya.
Anwar juga menyifatkan pandangan dan kenyataan Dr Mahathir dalam membangkitkan persoalan mempertahankan tanah Melayu sebagai tidak lagi relevan.
"Saya lihat percubaan ini ialah percubaan akhir untuk menarik perhatian orang-orang Melayu yang mulai sedar bahawa dasar Umno itu lebih memperkayakan. Kalau tidak minta Dr Mahathir untuk faham kenyataan sekarang," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Naib presiden MCA Senator Gan Ping Seiu berkata, bekas perdana menteri itu seharusnya menggunakan status negarawan yang beliau miliki untuk menyatukan negara ini, bukannya bertindak sebaliknya.
"Sebagai seorang negarawan, rakyat mengharapkan Tun bertindak sebagai seorang bapa dan kenyataan-kenyataan beliau seharusnya bersifat membawa penyatuan dan konstruktif.
"Sebarang kenyataan bersifat selektif dan tidak berproduktif hanya akan memecahbelahkan rakyat," kata timbalan menteri belia dan sukan ini.
Dr Mahathir sebelum ini menyifatkan kepercayaan agama Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang disebut sebagai 'Islam Nik Aziz' adalah lebih teruk daripada 'Islam nasionalis'.
-tvsnews-