Bangkai makhluk aneh ditemui terapung (Gambar)

Makhluk
PARAGUAY: Satu bangkai yang mempunyai tangan seperti manusia telah ditemui terapung di sungai di Amerika Latin.

Masyarkat tempatan percaya makhluk tersebut adalah makhluk mistik yang dikenali sebagai Chupacabra.

Bangkai bersaiz sebesar anjing ditemui di bandar Carmen del Parana di selatan Paraguay oleh masyarakat tempatan yang kemudian merakam bangkai terbabit terapung-apung di atas air.

Makhluk itu juga dilihat mempunyai ekor yang panjang dan empat kaki beserta jari yang menyerupai manusia.

Pakar dan penyelamat dipanggil ke tempat kejadian bagi mengeluarkan bangkai terbabit dan menentukan asal usulnya.

Masyarakat tempatan percayai bangkai itu merupakan haiwan mistik, Chupacabra, yang menjadi bualan ramai sejak terjadinya kes-kes haiwan ternakan dijumpai mati dalam keadaan kekeringan darah.

Namun komander brigade yang ditugaskan ke tempat kejadian berkata berdasarkan pemerhatian ke atas anggota badan, pihaknya percaya makhluk itu adalah dari spesis monyet.
-kualalumpurpost-

Lelaki ‘ajaib’ (Gambar)

Seorang penunggang motosikal mendakwa dia bertuah kerana masih hidup walaupun lehernya tertusuk dua batang besi dalam satu kemalangan.

Dalam kejadian itu, mangsa, Hamar Singh Rajput dilapor sedang menunggang motosikal sebelum hilang kawalan dan merempuh belakang lori yang membawa muatan binaan di Rajasthan, India.

ssAkibat rempuhan itu, besi yang dibawa lori berkenaan tertusuk di lehernya mangsa yang berusia 26 tahun.

Batang besi berukuran satu meter itu turut menembusi belakang Hamar.

Mangsa ketika itu turut mengakui akan mati walaupun masih mampu mengawal perasaan.
“Dua batang besi tertusuk di leher saya selepas merempuh belakang lori.

“Saya sedar mengalami kecederaan parah dan kematian semakin hampir,” katanya.

Mangsa yang dibawa ke hospital berdekatan kemudian berjaya dirawat dan dikeluarkan besi tersebut dalam satu pembedahan.
-kualalumpurpost-

Keluarga gagal paksa JPN padam perkataan 'Islam' dalam kad pengenalan

PUTRAJAYA: Seorang ibu dan empat anaknya gagal dalam rayuan untuk membatalkan keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menolak permohonan bagi menukar nama dan memadam perkataan 'Islam' dalam kad pengenalan masing-masing.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan, diketuai hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh memutuskan bahawa keputusan JPN untuk tidak menukar nama dan agama dalam kad pengenalan mereka adalah betul dari segi undang-undang.

Keluarga tersebut terdiri daripada Jamilah Jan Vasanthegokelam, 55, anak lelaki dari perkahwinan pertamanya, Mohd Sharif Abdullah, 35 dan tiga anak lelaki daripada perkahwinan kedua iaitu Mohd Jeffrey a/l Mohd Baser, 32, Mohd Jass a/l Mohd Baser, 28, dan Mohd Naser a/l Mohd Baser, 22.

Mohd Zawawi berkata keputusan JPN tidak boleh dikategorikan sebagai degil, tidak munasabah, tidak rasional dan menyalahi undang--undang sehingga mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.

"Perayu telah mengenal pasti diri mereka sebagai India Muslim dan menganut agama Islam," katanya yang bersidang bersama-sama hakim Datuk P. Nalini dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Mohd Zawawi berkata hujahan pihak perayu bahawa agama itu adalah silap dinyatakan dalam rekod rasmi tidak disokong dengan sebarang bukti jelas dan menyakinkan.

Panel tersebut sebulat suara menolak rayuan mereka serta mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Feb lepas yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka bagi mencabar keputusan JPN itu.

Dalam permohonan semakan kehakiman, keluarga tersebut menamakan Ketua Pengarah JPN, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Mahkamah tersebut turut mengarahkan keluarga itu membayar kos guaman sebanyak RM5,000 bagi prosiding di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Peguam Jamilah, Robin Lim, memberitahu mahkamah bahawa suaminya yang kedua, Mohd Baser a/l Kalakan membawanya ke JPN pada 1983 untuk menukar nama kepada Jamilah Jan Vasanthegokelam.

Katanya suaminya itu memberitahu Jamilah Jan bahawa pertukaran namanya akan mengelak sebarang komplikasi yang mungkin dihadapi oleh pasangan itu apabila memohon sijil kelahiran bagi anak kedua mereka kerana nama suaminya seperti nama seorang Islam.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Mazlifah Ayob, yang mewakili pihak responden, berkata Jamilah telah memegang kad pengenalan dengan nama Islam selama kira-kira 30 tahun dan MyKad yang dikeluarkan kepadanya pada 2003 membawa nama 'Islam'.
Rekod JPN juga menunjukkan bahawa Mohd Baser, yang telahpun meninggal dunia, adalah seorang warganegara Malaysia yang menganut agama Islam, katanya.

Selain Lim, keluarga itu turut diwakili peguam S. Nithiyawathi.

Tahanan: Kematian Syed Azlan kerana kekerasan polis

HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Kematian Syed Mohd Azlan Syed Mohamed Nur mempunyai kaitan dengan penggunaan kekerasan secara fizikal oleh pihak polis yang menjalankan tangkapan dan soal siasat ke atas si mati semasa dalam tahanan PDRM.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Datuk Yaacob Md Sam berhubung dapatan (findings) yang telah selesai dijalankan oleh Pasukan Petugas EAIC dan diterima oleh EAIC selari dengan terma-terma rujukan siasatan.

"Pakar Perunding dan Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat si mati mendapati kematian Syed Mohd Azlan disebabkan oleh trauma hentakan tumpul (blunt force trauma to the chest) ke atas dada si mati tersebut," ujarnya dalam satu kenyataan kepadaHarakahdaily.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan atau Enforcement Agency Integrity Commission (EAIC) ingin mengumumkan kepada orang awam mengenai dapatan (findings) siasatan oleh Suruhanjaya ini ke atas kematian Syed Mohd Azlan bin Syed Mohamed Nur semasa dalam tahanan PDRM.

Dalam hal ini, EAIC melalui Pasukan Petugas yang dibentuk telah menjalankan siasatan yang merangkumi terma-terma rujukan yang berikut:

Terma-terma rujukan (terms of reference) Pasukan Petugas adalah seperti berikut:

(i) Untuk mengenal pasti sama ada terdapat sebarang salah laku seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 24 Akta 700 oleh pegawai/anggota PDRM semasa mengendalikan tahanan tersebut;
(ii) Sekiranya terdapat salah laku dizahirkan, untuk menentukan dan mengenal pasti:

(a) bagaimana dan mengapa salah laku itu terjadi;

(b) apakah peraturan-peraturan, kaedah-kaedah, Standard Operating Procedures (SOP) atau mekanisme yang menyebabkan atau mendorong kepada berlakunya salah laku tersebut; dan

(c) siapakah individu yang bertanggungjawab ke atas salah laku tersebut.

(iii) Untuk melakukan semua perkara yang suai manfaat atau yang semunasabahnya perlu bagi, atau yang bersampingan dengan, pelaksanaan fungsinya dalam menyiasat kes kematian tahanan tersebut selaras dengan peruntukan Akta 700;

(iv) Untuk mengesyorkan apa-apa penambahbaikan atau penggubalan semula peraturan-peraturan, kaedah-kaedah, SOP atau mekanisme bagi memastikan salah laku tersebut tidak berulang; dan

(v) Untuk menyedia dan mengedarkan laporan mengenai hasil dan dapatan siasatan dan syor-syor terhadapnya.

Sehubungan dengan pembentukan Pasukan Petugas tersebut, Pasukan Petugas yang telah mengambil tindakan berikut:

(a) mengambil keterangan daripada 35 orang saksi (termasuk anggota polis berkaitan penangkapan dan tahanan Syed Mohd Azlan (si mati), pegawai perubatan, orang awam dan juga ahli keluarga si mati);

(b) melawat dan memeriksa tempat kejadian di mana Syed Mohd Azlan telah ditangkap;  

(c) meneliti dan mengkaji dokumen-dokumen yang berkaitan termasuk laporan polis berkenaan tangkapan, catatan Buku Perharian Balai, laporan bedah siasat dan laporan kimia beserta gambar-gambar berkaitan;

Latar belakang kejadian tangkapan dan kematian si mati adalah seperti berikut:

(i) Pada 19 September, 2014 lebih kurang jam 1.00 pagi, pengadu iaitu seorang lelaki Melayu bersama beberapa rakannya termasuk seorang teman wanita pengadu telah pergi ke rumah di alamat No. 53, Kampung Dato’ Abdul Ghani untuk berjumpa dengan Syed Mohd Azlan bin Syed Mohamed Nur (si mati). Mereka diberitahu oleh bapa si mati bahawa si mati tiada di rumah pada ketika itu.

(ii) Lebih kurang 30 minit kemudian, si mati pulang ke rumah bersama beberapa rakan si mati dengan menaiki kereta jenis Proton Saga berwarna perak serta sebuah lagi kereta jenis Honda berwarna hitam. Setiba di situ, si mati dan rakan-rakan si mati dikatakan telah keluar daripada kereta dengan bersenjatakan senjata berbentuk sepucuk pistol dan sebilah pedang samurai lalu menyerang pengadu dan rakan-rakan pengadu sehingga mendatangkan kecederaan ke atas pengadu dan rakan pengadu. Pengadu berjaya melarikan diri dari terus diserang.

(iii) Satu laporan polis telah dibuat oleh pengadu di Balai Polis Sungai Rengit (Sg Rengit Rpt: 816/2014) bersabit dengan kejadian tersebut pada 19 September 2014 jam 4.45 pagi. Satu kertas siasatan telah dibuka oleh pihak polis untuk disiasat di bawah seksyen 148 Kanun Keseksaan, iaitu memiliki senjata di dalam rusuhan.

(iv) Pada 3 November 2014, jam lebih kurang 3.30 pagi, bertindak di atas maklumat, sepasukan polis seramai 13 orang anggota yang diketuai oleh seorang pegawai berpangkat Inspektor telah membuat serbuan ke atas sebuah bilik sewa di rumah bernombor 62, Kampung Simon, Teluk Ramunia, Sungai Rengit, Pengerang, Johor dan telah menangkap si mati. Tiada apa-apa senjata api dijumpai dari si mati.

(v) Selepas ditangkap, si mati telah dibawa balik ke Balai Polis Sungai Rengit untuk disoal siasat berkaitan kejadian pergaduhan dan penyimpanan senjata api. Bagaimana pun masih tiada senjata api ditemui walau pun pihak polis telah membuat penggeledahan di rumah bapa si mati.

(vi) Pada jam lebih kurang 7.10 pagi pada hari yang sama, si mati telah dibawa oleh pihak polis menaiki kenderaan polis dari Balai Polis Sungai Rengit untuk pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bagi tujuan menguruskan permohonan reman ke atas si mati berkaitan kes di mana si mati ditangkap yang disiasat di bawah seksyen 148 Kanun Keseksaan bersabit Sg. Rengit Rpt: 816/2014.

(vii) Semasa di dalam perjalanan ke IPD Kota Tinggi, anggota polis yang mengiringi si mati mendapati si mati berada di dalam keadaan yang lemah dan tidak bermaya serta tidak memberikan sebarang respons kepada panggilan/pertanyaan yang dibuat oleh anggota pengiring tersebut. Anggota pengiring tersebut serta merta memaklumkan keadaan si mati kepada pegawai tangkapan yang ikut sama di dalam kereta tersebut.

(viii) Di atas arahan pegawai tersebut, mereka terus menuju ke klinik berdekatan iaitu Klinik Kesihatan Bandar Penawar. Setibanya mereka di Klinik Kesihatan Bandar Penawar pada jam lebih kurang 8.30 pagi, pegawai perubatan bertugas iaitu Dr. Mohd Mahdzan Bin Mazelan telah melakukan pemeriksaan ke atas si mati dan mengesahkan bahawa si mati telah meninggal dunia.

(ix) Satu laporan polis tentang kematian si mati telah dibuat oleh pegawai iaitu ketua pasukan tangkapan pada 3 November 2013, jam 10.15 pagi (hari yang sama) melalui Bandar Penawar Report No. 002169/14.

(x) Pada 4 November 2014, bedah siasat (post mortem) telah dijalankan ke atas mayat si mati oleh Dr. Rohayu binti Shahar Adnan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru yang mengesahkan punca kematian adalah akibat daripada trauma hentakan tumpul pada dada (blunt force trauma to chest). Pemeriksaan juga mendapati si mati mengalami 61 jenis kesan luka/lebam/calaran (bruises) pada tubuh badan termasuk pada bahagian muka, badan dan kedua-dua belah kaki si mati. Satu laporan post mortem telah disediakan oleh doktor pakar tersebut.    

Siasatan kes kematian si mati tersebut telah selesai dijalankan oleh Pasukan Petugas EAIC dan diterima oleh EAIC selari dengan terma-terma rujukan siasatan. Dapatan (findings) siasatan adalah seperti berikut:

1. Kematian Syed Mohd Azlan Bin Syed Mohamed Nur (si mati) mempunyai kaitan dengan penggunaan kekerasan secara fizikal oleh pihak polis yang menjalankan tangkapan dan soal siasat ke atas si mati;

2. Pakar Perunding dan Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat si mati mendapati kematian Syed Mohd Azlan disebabkan oleh trauma hentakan tumpul (blunt force trauma to the chest) ke atas dada si mati tersebut. Pemeriksaan juga mendapati si mati mengalami 61 jenis kecederaan di bahagian muka, badan dan kedua-dua belah kaki. Sebahagian daripada kecederaan yang dialami oleh si mati konsisten dengan kecederaan semasa berusaha mempertahankan diri daripada kekerasan fizikal yang dilakukan ke atasnya oleh anggota-anggota polis.

3. Terdapat perlakuan gangguan bahan bukti yang material oleh anggota PDRM iaitu, (i) membersihkan tempat kejadian sebelum dilawati dan diperiksa oleh pegawai perubatan,(ii) melupuskan tikar getah dan karpet yang dipercayai mempunyai kesan darah si mati di tempat kejadian tangkapan, dan (iii) perlakuan menyembunyikan/menghilangkan saksi mata (eye witness) yang melihat kejadian tangkapan si mati;

4. Terdapat anggota tangkapan yang menggunakan gari milik persendirian anggota tersebut yang bukan dibekalkan oleh PDRM bagi menggari si mati selepas ditangkap yang telah menyumbang kepada berlakunya kecederaan di pergelangan tangan si mati.

5. Terdapat beberapa pemecahan serius (serious breach) ke atas Standard Operating Procedure (SOP) PDRM berkaitan tatacara tangkapan dan pengendalian orang tangkapan, sitaan barang kes dan integriti  keterangan (SOP Tangkapan Jabatan Siasatan Jenayah PDRM); SOP Jabatan Siasatan Jenayah (Prosedur Penggeledahan dan Rampasan) telah dilakukan oleh pegawai dan anggota pasukan serbuan yang dikenal pasti oleh siasatan ini;

6. Terdapat perlakuan serangan bersifat jenayah yang melibatkan unsur niat bersama atau pensubahatan (abetment) oleh anggota PDRM yang terdiri daripada anggota pasukan tangkapan bagi melakukan kekerasan fizikal secara sengaja ke atas si mati yang telah mengakibatkan kecederaan dan kematian ke atas si mati, dan perlakuan ini adalah merupakan jenis kesalahan bersifat jenayah di bawah undang-undang, khususnya kesalahan di bawah seksyen 302 dan seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan atau secara alternatif seksyen 107 Kanun yang sama;

7. Selaras dengan peruntukan seksyen 30(1)(b) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700], Suruhanjaya mengesyorkan kepada Pihak Berkuasa Patatertib (PBT) PDRM untuk tindakan tatatatertib dibawa terhadap pegawai dan anggota-anggota yang dikenal pasti di dalam laporan penuh Suruhanjaya yang didapati telah melakukan salah laku seperti mana skop salah laku yang diberikan di bawah seksyen 24 Akta 700;

8. Selaras dengan peruntukan seksyen 30(1)(c) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700], EAIC mengesyorkan kepada Pendakwa Raya (Peguam Negara) bagi pendakwaan jenayah dibawa terhadap pegawai dan anggota PDRM yang didapati telah melakukan salah laku bersifat kesalahan jenayah seperti yang dikenal pasti di dalam laporan penuh siasatan ini.

EAIC juga sebagai tambahan mengemukakan syor dan cadangan berikut kepada PDRM sebagai penambahbaikan dalam usaha meningkatkan kecekapan dan kualiti pengurusan orang tahanan atau orang tangkapan bagi mengelakkan insiden kematian orang tahanan atau orang tangkapan semasa berada di dalam tahanan:

1. PDRM menambahbaik SOP berkaitan dengan tangkapan. Jika sekiranya orang tangkapan didapati mengalami kecederaan fizikal (walaupun kecederaan nampak seperti tidak serius), maka saspek itu hendaklah dirujuk terus kepada mana-mana Pegawai Perubatan Kerajaan bagi memastikan tahap keseriusan kecederaan serta status kesihatan saspek tersebut;

2. PDRM mengadakan “refresher course” atau “refresher training” yang berterusan secara berkumpulan dan berperingkat kepada semua lapisan pegawai dan anggota yang terlibat di dalam operasi serbuan/tangkapan untuk memastikan supaya pegawai dan anggota benar-benar memahami dan mengamalkan kehendak serta tatacara yang diperuntukkan dalam kes-kes tangkapan atau operasi yang berkaitan dengan tangkapan;

3. PDRM memperketatkan dan menjalankan pemantauan dengan lebih berkesan ke atas pematuhan oleh pegawai dan anggota PDRM ke atas SOP Jabatan Siasatan Jenayah atau Perintah Tetap khususnya berkaitan soalsiasat ke atas orang tahanan, penyitaan barang kes dan kewajipan menyediakan borang geledah atau borang bongkar. Di dalam perkara ini terdapat SOP yang melarang sebarang penggunaan kekerasan ke atas orang tahanan semasa disoalsiasat (PTKPN A 118);

4. PDRM mengemaskini SOP yang berkaitan bagi melarang sama sekali mana-mana pegawai atau anggota dari menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan atau peralatan yang bukan dibekalkan oleh PDRM dalam apa-apa operasi tangkapan; dan

Selain itu, EAIC juga mengesyorkan supaya kajian dibuat oleh pihak Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara ke atas kesesuaian untuk meminda peruntukan Kanun Keseksaan dan Akta Keterangan 1950 bagi memasukkan peruntukan anggapan (presumption) yang akan meletakkan beban bukti ke atas pihak yang mempunyai jagaan dan kawalan ke atas orang tahanan sebagai bertanggungan ke atas kecederaan atau kematian orang tahanan sehingga diakaskan atau dibuktikan sebaliknya. Ini akan dapat mengimbangi keadaan di mana monopoli keterangan hanya dimiliki oleh pihak yang melakukan tahanan ke atas orang tahanan atau mangsa bagi kes-kes kejadian kematian dan kecederaan orang tahanan di bawah jagaan mana-mana pihak berkuasa berkaitan.

EAIC berasa kesal ke atas kes-kes kematian tahanan dalam lokap yang berulang kali berlaku dalam negara dan memandang serius kepada perkara ini. Kejadian kematian orang tahanan akibat daripada kecederaan tubuh badan semasa di dalam tempoh tahanan oleh perlakuan salah laku anggota penguat kuasa hendaklah dibasmi sama sekali. Demi menjaga integriti semua pihak, diharapkan syor-syor Suruhanjaya ini diberi perhatian dan tindakan serius oleh semua pihak-pihak yang berkaitan.

Untuk mendapatkan butiran lanjut kandungan laporan siasatan ini orang awam boleh mendapat akses melalui laman sesawang EAIC di alamat www.eaic.gov.my. 

Vape: Pandai kementerian buat lawak

Nik Aziz Afiq Abdul
Semalam saya diuji dengan kehabisan minyak di lebuh raya. Stres sungguh lebih-lebih lagi atas desakan mengejar masa yang tidak pernah cukup.Sementara menanti hero sejati (abah saya) datang membawa bantuan sempat saya yang penuh stres dan penat melayari portal berita.
Siapa sangka laporan berita mampu buat saya ketawa dan tersenyum riang. Seakan tiada masalah. Ibarat baru lepas menonton rancangan lawak pentas di kaca televisyen.

Geli hati sungguh baca kenyataan bahawa kementerian kesihatan berusaha untuk menyekat atau mengharamkan vape @ rokok eletronik.
Alasannya juga kelakar. Iaitu kerana vape membahayakan kesihatan maka ia perlu disekat. Untuk menambah rencah dikatakan pelajar sekolah juga mula terjebak dan ini membimbangkan.

Saya bukan penghisap vape. Malah tidak teringin pun nak hisap. Tapi saya tidak terlalu bodoh dalam menghidu hipokrit kenyataan sebegini.

Jika vape membahayakan kesihatan sehingga perlu disekat, maka adakah rokok itu elok bagi kesihatan?

Jika vape menular di kalangan pelajar sekolah bukankah rokok juga sudah lama lagi merebak di kalangan pelajar sekolah?

Maka kenapa vape diharamkan tetapi pada rokok kementerian berubah menjadi pengecut dan sekadar meletakkan sebuah nota amaran kecil "merokok membahayakan kesihatan" di sisi kotak rokok?

Jawapannya tidak terlalu susah. Menteri dan ahli politik adalah mereka yang menjadi kuda pada pemodal kapitalis. Adalah silap besar jika kita menyangka pemerintah negara ini di kalangan ahli politik. Tidak. Pemerintah sebenar adalah pemodal kapitalis yang melalui mereka juga menteri dan ahli politik menduduki jawatan itu.

Kewujudan vape benar-benar menggugat industri rokok. Para pemilik syarikat rokok hari makin hari semakin resah mengenangkan kadar jualan mereka merudum. Alternatif adalah sesuatu perkara yang paling dibenci kaum kapitalis. Alternatif menyebabkan mereka tidak boleh monopoli dan terpaksa bersaing. Bagi mereka kekayaan hanyalah milik mereka, tidak boleh ada "pendatang baharu" yang bakal menjejaskan kekayaan mereka.

Kebimbangan mereka inilah yang menyebabkan kerajaan boneka juga bimbang. Bimbang kerana syarikat gergasi ini merupakan lubuk emas buat perbendaharaan negara dan kocek peribadi. Jangan lupa syarikat rokok juga penyumbang pada duti eksais negara. Kerugian mereka bermakna kerugian juga buat negara yang tak pernah berhenti memboros ini.

Semenjak industri vape berkembang, makin ramai usahawan online muncul dan mengubah kehidupan ke arah lebih baik apabila perniagaan ini diusahakan bersungguh-sungguh.

Namun kerajaan boneka tidak ambil peduli. Usahawan kecil seperti ini tidak membantu memenuhkan RM kantung negara dan kocek peribadi mereka. Maka apalah sangat kesannya jika golongan penghisap vape ini ditindas yang penting big boss (pemodal kapitalis) kembali mengukir senyum dan reda dengan kerajaan boneka. Diciptalah alasan kelakar seperti vape membahayakan kesihatan dan lain-lain.

Sekiranya kementerian serius dalam mengekang produk membahayakan kesihatan maka sila haramkan juga rokok di negara ini. Halau kilang rokok itu keluar. Bukankah rokok lebih lama diketahui membahayakan kesihatan? Malah difatwa dengan haram oleh majlis muzakarah fatwa kebangsaan? Lihatlah fatwa juga diperlekeh kerajaan boneka demi reda kapitalis perosak.

Solusinya bagi saya ada dua, pertama haramkan rokok juga, kedua, tampal nota di tepi alat vape itu "vape membahayakan kesihatan" seperti yang dilakukan pada kotak rokok.

Benarlah, jika ingin jadi menteri pastikan anda mahir berlawak bodoh! – 29 Oktober, 2015.

* Penulis ialah AJK Pusat Pemuda Sosialis.
-malaysianinsider-

Wanita didakwa kurung, rogol suami

rogol suami
SEOUL – KOREA SELATAN. Seorang isteri menjadi wanita pertama yang akan dibicarakan atas dakwaan memperkosa suaminya selepas mengurung mangsa selama 29 jam.

Menurut agensi berita Yonhap, wanita yang dikenali dengan nama Shim berkenaan telah mengurung suaminya, Kim dan memaksanya mengadakan hubungan seks.

Shim didakwa melakukan sedemikian untuk mendapatkan bukti untuk digunakan dalam prosiding perceraian.

Mahkamah Tinggi Korea Selatan telah mengklasifikasikan pemerkosaan pasangan dalam perkahwinan sebagai jenayah pada Mei 2013.

Pada bulan yang sama, seorang lelaki telah didakwa atas kesalahan memperkosa isterinya dan dihukum penjara selama 3.5 tahun. – Agensi

Lelaki nyanyuk koyak wang kertas lebih RM32,000 (Gambar)

Lelaki nyanyuk koyak wang kertas lebih RM32,000
Lelaki nyanyuk koyak wang kertas lebih RM32,000
SICHUAN - CHINA . Seorang warga emas yang dikatakan mengalami masalah nyanyuk dari wilayah Sinchuan bertindak mengoyak wang simpanannya bernilai 47,600 Yuan (RM32,151) pada Ahad.

Luo yang juga pesara doktor haiwan disahkan menghidap penyakit nyanyuk yang menyebabkan dia tidak sedar apa yang dilakukannya.

Memetik CCTV News, tindakan Luo hanya disedari selepas anaknya yang cuba mengeluarkan duit simpanan lelaki itu terkejut selepas keseluruhan simpanan ayahnya tiada.

Selepas meneliti catatan urusniaga menunjukkan bapanya telah mengeluarkan wang tersebut.

Keluarga itu akhirnya menemui semua wang tunai yang hilang disimpan di dalam beg pakaian besar, namun apa mengejutkan kesemua wang kertas tersebut sudah dikoyak.

Enggan menyalahkan tindakan Luo, anaknya itu meminta pertolongan pegawai bank untuk mencantumkan semula wang-wang berkenaan.

Pengurus bank, Wang Jun berkata, dia bersama 9 kakitangan yang lain membantu mencantumkan kesemua wang tersebut

"Hanya lima keping 100 Yuan berjaya disambung semula setakat ini dan akan mengambil beberapa minggu untuk menyambung semua wang-wang berkenaan," katanya.
-sinarharian-

Gambar wanita seiras Rosmah jadi perhatian

FMT Reporters 
muka-rosmah_600
PETALING JAYA: Seorang wanita dilaporkan memiliki wajah seiras dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Gambar gadis berkenaan yang menjadi viral sejak pagi Jumaat turut mendapat perhatian pengguna laman sosial.

Bagaimanapun, tidak diketahui latar belakang pemilik gambar berkenaan ekoran tidak dinyatakan oleh pihak yang menyebarkannya.

Malah, gambar itu turut menimbulkan teka-teki sama ada ia adalah gambar seorang gadis yang wajahnya seiras dengan Rosmah atau ia sebenarnya gambar Rosmah sendiri ketika beliau masih muda.

Foto yang tersebar itu turut dimuatnaik di blog Bulletin Media.

Seorang pelajar perempuan melakukan seks dengan 8 pelajar lelaki di sekolah di Jasin


MELAKA: Jabatan Pendidikan Melaka akan melakukan siasatan terhadap kes seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang melakukan kegiatan tidak bermoral dengan beberapa pelajar lelaki di sekolahnya di Jasin.

Pengarahnya, Abu Bakar Sahari berkata, siasatan itu bagaimanapun hanya akan dilakukan selepas siasatan pihak polis selesai bagi mengelak sebarang gangguan terhadap siasatan pihak berkuasa itu.

"Kami akan meminta pihak sekolah untuk membuat laporan penuh berhubung kes ini selepas siasatan polis selesai untuk tindakan lanjut yang perlu diambil di peringkat sekolah.

"Kami terkejut apabila mengetahui perkara ini. Kes ini adalah terpencil ... pihak jabatan memandang serius hal ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan kegiatan tidak bermoral seorang pelajar tingkatan empat yang dikesan ibunya melakukan hubungan seks dengan beberapa pelajar lelaki di sekolahnya.

Turut dilaporkan keluarga pelajar berkenaan telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin dan lapan pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 16 tahun ditahan polis semalam bagi membantu siasatan kes itu.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata semua pelajar yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral itu akan dipanggil pihak sekolah dan diberi sesi kaunseling secara intensif bagi memberi kesedaran kepada mereka.

"Pihak sekolah dan jabatan juga akan terus memantau perkara ini agar tidak berulang atau berlaku pada pelajar lain atau di sekolah lain," katanya.
-Bernama-

Tak serik

London: Seorang penjenayah setinggi 2.19 meter yang pernah dibebaskan dari jel kerana ketinggiannya, dimasukkan semula ke penjara semalam.

Jude Medcalf, 25, ditahan 75 hari awal tahun lalu selepas didapati bersalah mencuri makanan dan hadiah Krismas di pejabat sebuah pusat kesihatan dan menembak seorang wanita dengan pistol angin.

Bagaimanapun, seorang hakim mengarahkan dia dibebaskan pada Mac 2014 lalu kerana Medcalf menderita Sindrom Klinfelter, kecelaruan pembesaran yang menyebabkan dia tidak muat untuk tidur di katil penjara dan memakai uniform banduan.

Dia sebaliknya dijatuhi hukuman 12 bulan kerja kemasyarakatan selepas mengaku bersalah melakukan jenayah.

Bagaimanapun, Medcalf yang juga digelar Tiny terus melakukan pelbagai kesalahan. November lalu, dia dihukum penjara 20 bulan oleh mahkamah di Exeter.

Dia dibebaskan beberapa bulan kemudian selepas menjalani separuh daripada hukuman itu.

Namun, dia dimasukkan semula ke penjara semalam kerana melanggar syarat pembebasannya, termasuk membuat panggilan palsu, menyamar anggota polis dan mencuri.

Mahkamah juga diberitahu dia mempunyai rekod melakukan 24 kesalahan dan sering menggunakan rangkaian komunikasi awam untuk mengganggu orang ramai.
-hmetro

Soalan balak Kelantan di dewan akan berlalu saja?

Wakil Salor Datuk Husam Musa telah pun mempersiapkan soalan untuk sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Isnin depan untuk dijawab Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Namun oleh kerana kesuntukan masa termasuk kekangan sidang peraturan dewan, Husam bimbang soalannya berkaitan isu balak negeri tidak sempat dijawab oleh Ahmad.

Berhubung soalan spontan pula, bekas exco Kelantan itu juga kelihatan ragu.

“Mengenai janji SUA (setiausaha akhbar) MB bahawa semua soalan akan dijawab dalam sidang ini, saya masih tertanya-tanya, adakah kerajaan akan menentukan satu-satu tajuk lalu bersedia dengan apa jua soalan spontan untuk dijawab?

“Rasanya tidak begitu,” kata Husam yang kerap membangkitkan isu sekitar kontroversi pembalakan negeri.

Setiausaha akhbar menteri besar Mohd Asri Mat Daud dilapor berkata segala isu berkaitan negeri termasuk perkara dibangkitkan Husam akan dijawab pada persidangan DUN yang akan bermula Isnin depan.

Husam, bekas naib presiden PAS, telah menghantar maksimum lima soalan bertulis.

Husam sebelum ini lantangmendedahkan beberapa tindakan kerajaan negeri hari ini yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang dari konsep ketelusan.

Beliau juga menuntut kerajaan negeri tidak meluluskan permohonan sebuah syarikat untuk menebang kawasan seluas 1,400 hektar di hutan simpan Kekal Ulu Sat di Machang.

Sementara itu, menulis di Facebook, beliau berkata anggota DUN (ADUN) tetap berhak membangkitkan soalan sama di luar sidang.

“Tidak ada peraturan bahawa ADUN hanya boleh bertanya di DUN,” kata Husam.

“Apa lagi dengan konsep mas'uliyyah/accountability (rasa tanggungjawab) - setiap ADUN mempunyai tanggungjawab dunia akhirat atas apa jua isu berkerajaan dalam rangka menjaga amanah dan maslahah pemerintahan,” katanya.

Semalam seorang pengundi luar Kelantan Mohd Afiq Ayob membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan rasuah lebih RM5 juta berkaitan kegiatan pembalakan melibatkan seorang pemimpin negeri.

Ahmad pula berkata, Kelantan sedia memberi kerjasama kepada SPRM bagi menyiasat dakwaan berlaku rasuah membabitkan pemimpin kerajaan negeri itu.

--------------------------------------------
Husam Musa
Sikap demokratik YAB MB Kelantan sangat saya alu-kan. Melalui kenyataan akhbar SUAnya yang disiarkan Harakahdaily, semua soalan yang diutarakan akan dijawab dalam sidang Dun terdekat.

Sefaham saya, kesudian menjawab itu meliputi soalan yang telah dihantar kepada SU Dun dan juga soalan di luar Dun yang belum terjawab, khususnya surat-surat yang saya kirimkan selaku Adun Salor.

SUA MB meminta Adun untuk bertanya apa sahaja dalam sidang Dun akan datang.

Setahu saya, peluang bertanya dan menjawab semasa sidang Dun adalah seperti berikut:

A. Kerajaan akan menjawab soalan lisan yang telah dihantar dalam tempoh satu jam setengah pada setiap hari sidang.

Lazimnya, tidak semua soalan tersenarai akan berpeluang dijawab kerana kesuntukan masa.

Semasa kerajaan menjawab tiap tiap soalan, Adun dibenarkan bertanya soalan tambahan, lazimnya dua soalan lagi.

Jika masih ada perkara yang ingin diketahui, ia terhalang dengan peraturan itu.

B. Semasa pihak kerajaaan menggulung atau Adun berucap, Adun lain dibenarkan bertanya soalan bergantung kepada tajuk yang sedang diucapkan dan kebenaran pihak yang sedang berucap.

C. Semasa perbahasan oleh Adun berkenaan sendiri.

D. Soalan bertulis. Jawapan yang akan diberikan juga bertulis.

Bagi soalan bertulis, saya telah menghantar lima soalan, iaitu had maksima bagi setiap Adun.

Mengenai janji Sua MB bahawa semua soalan akan dijawab dalam sidang ini, saya masih tertanya-tanya.

Adakah kerajaan akan menentukan satu-satu tajuk lalu bersedia dengan apa jua soalan spontan untuk dijawab?

Rasanya tidak begitu.

Mungkin Adun boleh bertanya ketika satu-satu isu sedang dijawab oleh kerajaan. Namun begitu, lazimnya jika soalan agak detail, kerajaan berdalih perlukan notis.

Saya memahami kalimat NOTIS yang selalu digunakan baik di Parlimen atau Dun sebagai soalan dan pertanyaan hendaklah dihantar lebih awal dari masa menjawab.

Setelah memikirkan janji dan tawaran kerajaan serta tingginya rasa inginkan jawapan dari berbagai perkara berkerajaan (bukan serangan peribadi), saya memutuskan untuk menyerahkan kepada MB soalan terdahulu atau soalan bernotis.

Ia akan memudahkan kerajaan.

Ia memberi peluang Adun mendapatkan jawapan.

Kerajaan Kelantan akan dilihat amat demokratik.

Khususnya boleh mempamirkan kepada dunia kematangan amalan demokrasi. Iaitu Adun kerajaan seperti saya boleh berperanan untuk check and balance yang InsyaAllah akhirnya berguna untuk rakyat dan semua pihak, dunia dan akhirat.

Sejumlah soalan tambahan dengan notis ini, saya akan sampaikan satu salinan kepada MB sebelum sidang bermula. Satu salinan akan juga disampaikan kepada Pengerusi Pac Negeri Kelantan, kalau kalau ada aspek yang boleh diteliti oleh mereka.

Terpulang kepada kerajaan untuk menjawab pada masa yang sesuai sepanjang sidang itu.

Di samping saya mengekalkan pendirian saya bahawa setiap Adun boleh bertanya di luar dan di dalam Dun. Tidak ada peraturan bahawa Adun hanya boleh bertanya di Dun.

Apa lagi dengan konsep mas'uliyyah/accountability - setiap Adun mempunyai tanggungjawab dunia akhirat atas apa jua isu berkerajaan dalam rangka menjaga amanah dan maslahah pemerentahan.

Yb. Dato Hj. Husam Musa
ADUN Salor
16 Muharam 1437/29 Oktober 2015

NOTA:
Soalan-soalan ini tidak disiarkan di sini sebelum kerajaan menjawabnya.

Tahniah saudara, kau tidak malu suap ibumu (Gambar)

PERILAKU seorang anak muda menyuap makanan ke mulut ibunya di sebuah medan selera menarik perhatian netizen hari ini.

Foto yang dimuatnaik oleh pelayar Facebook menggunakan nama Mahfuzah Mahadzir itu menunjukkan seorang pemuda menyuapkan nasi ke mulut seorang wanita yang sudah berusia.

Tulis Mahfuzah pada kapsyen gambar yang dimuatnaik, "syurga di bawah kaki ibu! Kasih seorang anak terhadap ibunya! Menyuap nasi, menyapu sisa makanan yang terlekat di pipi dan mulut."

Malah tulis Mahfuzah, kelihatan juga lelaki itu membetulkan anak rambut wanita yang didakwa ibu pemuda tersebut yang membuatkan dia sebak dan menitiskan air mata.

Sementara itu, rata-rata netizen tersentuh dan memuji tindakan pemuda itu yang tidak segan silu menyuapkan makanan kepada ibunya di tempat awam.

Irwanmustafa PĂ„njank menulis, "bukan semua anak-anak yang boleh lakukan macam ni, tanpa rasa malu atau menyusahkan."

"Tahniah saudara, kau tidak malu untuk menyuap ibumu, sedangkan di luar sana banyak lagi anak-anak, yang maki ibu depan khalayak ramai," tulis Arenas Nasri pula.
-SH

Sumber dedahkan Muhyiddin bakal digantung sebelum perhimpunan agung Umno

Susulan kenyataan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) mengenai masa depan beberapa pemimpin Umno, sumber berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) bakal digantung keahlian Umno sebelum parti itu berhimpun Disember ini. 

Umno bakal menggantung Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum perhimpunan agung pada Disember, kata sumber, disebabkan serangan berterusannya terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi presiden parti Melayu itu.

Sumber parti mendedahkan, Majlis Tertinggi (MT) Umno sedang menyiapkan kertas pertuduhan untuk dibawa ke Lembaga Disiplin dengan bukti-bukti kesalahan dilakukan Muhyiddin.

Langkah ini diambil bagi mengelakkan Muhyiddin daripada terus menyerang kepimpinan Umno semasa perasmian melibatkan sayap parti Disember nanti.

Difahamkan, keputusan penangguhan kali kedua mesyuarat MT pada 30 Oktober juga dikatakan bagi membuat persediaan menyingkir Muhyiddin.

Antara kesalahan dikatakan dilakukan Muhyiddin ialah mengeluarkan kenyataan mengenai 1MDB dan berterusan mempersoalkan derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib walaupun penjelasan sudah diberi.

"Muhyiddin akan digantung sebelum perhimpunan Disember nanti, terdapat kebimbangan di kalangan pimpinan tertinggi parti beliau akan terus mengkritik semasa perasmian sayap nanti.

"Kertas pertuduhan untuk dibawa ke Lembaga Disiplin sedang disiapkan," kata sumber itu kepada The Malaysian Insider.

Dengan penggantungan ini, Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan memangku jawatan timbalan presiden sehingga pemilihan pada 2018 nanti, kata sumber.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos berkata tindakan Muhyiddin membelakangkan keputusan MT sebagai tidak beretika.

"Tan Sri Muhyiddin bangkitkan isu RM2.6 bilion dan isu 1MDB, perkara itu sudah dijawab semasa mesyuarat MT lepas, malah beliau sudah perjelaskan dan bersetuju untuk bersama dengan kepimpinan tapi selepas keluar mesyuarat lain pula yang dikatanya.

"Orang sebegini tidak beretika dan pembohong, depan cakap lain, belakang cakap lain," katanya kepada The Malaysian Insider, mengulas mengenai mesyuarat MT terakhir 9 September lepas.

Jamal juga mendakwa, majoriti ketua Umno Bahagian dalam kumpulan perbualan Telegram termasuk Bagan Datoh, berada dalam perbincangan mengenai sama ada wajar tindakan diambil terhadap Muhyiddin atau tidak.

"Memang kita ada kumpulkan pandangan daripada ketua bahagian, jadi sewajarnya mereka yang berada dalam parti dan menjadi ‘gunting dalam lipatan’ seperti dalam ucapan perdana menteri semasa pembentangan bajet lalu perlulah diambil tindakan.

"Majoriti, semua minta yang dikatakan gunting dalam lipatan ini diambil tindakan, dipecat, gantung dari jawatan kerana ia akan merosakan parti," kata Jamal merujuk kepada kenyataan Najib semasa pembentangan Bajet 2016 lalu.

Bagaimanapun, Ketua Umno Bahagian Kulim Bandar Baru, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (gambar, kanan) menggesa isu "gunting dalam lipatan" dijelaskan dan didedahkan supaya ahli tahu siapa dimaksudkan Najib.

"Kita tidak tahu siapa gunting dalam lipatan, keputusannya kita memang tidak mahu ada gunting dalam lipatan dalam Umno.

"Kita tidak tahu yang dimaksudkan, jadi perdana menteri kena jelaskan betul-betul siapa yang dimaksudkan terutamanya dengan kenyataan yang hebat semasa bajet, semasa dalam Parlimen,” kata Aziz yang juga ahli Parlimen Kulim Bandar Baru.

Rabu lepas, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata 7 pemimpin itu berisiko digantung kerana memecah belahkan parti.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata, sebaik sahaja siasatan selesai, ia akan dibentang kepada Majlis Presiden sebelum lembaga presiden Umno membuat sebarang keputusan.

"Sepanjang tempoh itu kita akan gantung keahlian mereka," katanya.

Selain Muhyiddin, Aziz juga dikatakan berada dalam senarai 7 nama diwar-warkan Ku Nan itu.

"Tengku Adnan perlu segera ambil tindakan jika benar ada 7 orang pemimpin itu," kata Aziz.

Aziz berkata, langkah itu adalah yang terbaik jika Umno merasakan ia dapat menggembalikan kestabilan kepada parti.

Bagaimanapun Aziz menjelaskan, beberapa proses perlu dilalui terlebih dahulu jika mahu mengambil tindakan disiplin terhadap Muhyiddin dan mana-mana daripada 7 pemimpin itu.

"Pertama, kenal pasti kesalahan dan kedua, bawa ke Lembaga Disiplin. Kemudian MT perlu membuat keputusan sama ada menyokong tindakan diambil atau tidak... tidak kisah sama ada pecat, gantung atau diberi amaran," terangnya.

Sementara Naib Ketua Umno Bahagian Kota Raja Mohd Hamidi Abu Bakar tidak melihat langkah mengambil tindakan ke atas Muhyiddin satu tindakan yang dapat memberi kelebihan kepada parti Melayu itu.

Hamidi sebaliknya mencadangkan Umno mengadakan pemilihan semula jika benar-benar mahu menyelesaikan kemelut tanpa menyebabkan kesan lebih buruk.

"Adakan saja pemilihan tahun depan, kalau akar umbi tidak suka, kita boleh tolak Muhyiddin dan ganti dengan yang lain.

"Rasanya akar umbi akan akur dengan cara macam itu. Kalau kita merasakan yang lama bagus, kita pilih, tapi kalau rasa tidak bagus kita ganti dengan orang lain," katanya.

Pemilihan Umno ditangguh selama 18 bulan sehingga selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ahli MT Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim mengatakan tidak tahu mengenai 7 orang dimaksudkan Ku Nan.

"Saya tidak ada dengar mengenai itu. Saya tidak mempunyai sebarang info walaupun setiausaha agung adalah kawan baik saya.

"Ada orang cakap-cakap mengenainya (7 orang digantung), tapi saya tidak tahu," kata Shahidan semasa ditemui di Parlimen pada Khamis.

Najib ketika ini berdepan cabaran paling besar sejak mengambil alih tampuk pemerintahan, diserang dalam isu 1MDB dan wang derma RM2.6 bilion.

Beliau merombak Kabinet pada Julai lalu, langkah dilihat meneutralkan pengkritik dalam kerajaan, akan tetapi, Muhyiddin kini meneruskan kritikan terhadap Najib dari dalam Umno.
-malaysianinsider-

Tu dia!! 18,000 remaja hamil setiap tahun

PUTRAJAYA: Purata 18,000 remaja di Malaysia hamil setiap tahun dan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Daripada jumlah itu, 25 peratus atau kira-kira 4,500 kes membabitkan remaja yang mengandung luar nikah, katanya.

"Secara purata terdapat 1,500 kes remaja hamil setiap bulan dan 50 kes sehari di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program Generasiku Sayang peringkat kebangsaan oleh Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tekanan punca ambil keputusan luar jangka]

Ditanya mengenai bilangan remaja yang hamil akibat dirogol, Dr Subramaniam
berkata, jumlahnya amat kecil.

Beliau berkata kehamilan di kalangan remaja bukan sahaja memberi kesan kepada individu berkenaan, malah dikhuatiri boleh mengundang risiko kematian terhadap bayi dalam kandungan selain ibu itu sendiri.

"Kadangkala ada remaja ini yang sembunyikan kehamilan mereka sehingga mendatangkan risiko kepada badan sendiri dan ada yang meninggal dunia semasa proses kehamilan atau ketika bersalin," katanya.

"Isu remaja hamil ini merupakan satu isu yang amat sensitif, tidak seperti orang sakit boleh jumpa doktor dan dapat rawatan," katanya lagi.

Menurutnya, Kaji Selidik Kesihatan Pelajar Berasaskan Sekolah Global kendalian Kementerian Kesihatan pada 2012 membabitkan remaja berusia 13 hingga 17 tahun di seluruh negara, mendapati 50.4 peratus yang ditemui mengaku mengadakan hubungan seks kali pertama sebelum usia 14 tahun.

"Jika ini tidak ditangani ia akan meningkatkan lagi risiko kehamilan di kalangan remaja dan seterusnya mengundang kesan negatif seperti pembuangan bayi," kata Dr Subramaniam.

Mengenai pelancaran program Generasiku Sayang peringkat kebangsaan, Dr Subramaniam berkata ia bertujuan meningkatkan kesedaran semua pihak agar
mengambil tindakan lebih berkesan menghadapi isu wanita dan remaja hamil.

Menerusi program itu, Kementerian Kesihatan menyediakan pusat jagaan yang memberi perlindungan dan penjagaan kepada remaja serta wanita hamil tanpa nikah selain bayi yang bakal dilahirkan.

Ketika ini pusat penjagaan Generasiku Sayang telah diwujudkan di semua negeri kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Pahang. 
-Bernama-

Pegawai trafik libas lelaki dengan kayu kerana takmahu dengar arahan (Gambar)


MENAKUTKAN.. gara-gara tidak mendengar arahan, seorang lelaki di China dilibas dengan kayu oleh pegawai trafik yang memberikan arahan terbabit.

Gambar kekecohan yang berlaku di lampu isyarat di daerah Zhenxiong di Yunnan itu, telah tersebar dengan pantas menerusi Internet.

Kejadian dipercayai menjadi tegang selepas seorang pegawai trafik menahan sebuah kereta dan meminta kesemua penumpang turun dari kenderaan untuk diperiksa.

Namun begitu, seorang lelaki yang sedang nyenyak tidur di tempat duduk belakang dikatakan enggan berbuat demikian sekali gus mengundang kemarahan pegawai terbabit.
Pegawai yang berang itu kemudiannya bertindak menarik lelaki terbabit keluar dari kenderaan dan memukulnya dengan kayu panjang.

Isteri lelaki terbabit dilihat cuba menghalang pegawai tersebut daripada melakukan perkara itu namun hanya sia-sia.

Rata-rata masyarakat terkejut dengan tindakan pegawai terbabit yang disifatkan keterlaluan.
Agensi/MYNEWSHUB.CC

PAS berunding dengan parti lain berhadapan PRU-14 - Takiyuddin

KUALA LUMPUR: PAS terus mencetuskan spekulasi apabila Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan hari ini menyatakan parti itu sedang berunding dengan parti lain dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-14, PRU-14 akan datang.
Malah, Takiyuddin juga enggan mengumumkan parti yang sedang dirunding sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang.

"Tidak semestinya kita tidak ada rakan kongsi. Kita mungkin ada rakan kongsi baru. Siapa? Tunggu dan lihat. Kalau bukan parti, mungkin individu yang akan sertai kita. Itu terbuka untuk spekulasi.

"Masih dalam rundingan. Semestinya daripada parti lain. Baik kami simpan untuk pengumuman seterusnya," katanya di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Selain itu, Takiyuddin turut membidas Parti Amanah Negara ( Amanah) dengan menasihatkan parti itu agar fokus kepada usaha memperkukuhkan parti terlebih dahulu.

"Buatlah kerja sendiri. Kamu uruskan ahli parti kamu, kami uruskan parti kami. Jangan bising lah.

"Kukuhkan parti kamu dulu. Kami ada cara kami iaitu lebih baik bekerjasama dengan musuh berbanding dengan bekas rakan seperjuangan. Bekas rakan seperjuangan tahu rahsia kamu," katanya.
Beliau pada masa sama menegaskan PAS masih kekal sebagai pembangkang dan hanya akan bekerjasama dengan parti-parti lain dalam soal kebajikan rakyat.
http://www.astroawani.com