Penuntut nyaris diperkosa warga asing

Tindakan melampau apabila seorang penuntut perempuan sebuah universiti yang sedang mengambil wuduk di asrama kolej didiami cuba dicabul seorang warga asing.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 pagi kelmarin, ketika mangsa berusia 20 tahun berseorangan di tandas kolej kediamannya di Jalan Pantai di sini, untuk mengambil wuduk bagi menunaikan solat sunat tahajjud.

Bagaimanapun seorang lelaki berkulit gelap berusia lingkungan 40 -an muncul dari arah belakang sebelum memeluk serta menutup mulut mangsa.

“Mangsa bagaimanapun sempat menggigit tangan suspek sebelum menjerit meminta tolong. Namun lelaki terbabit memberi amaran akan membunuh mangsa jika berbuat bising,” katanya.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun bernasib baik tidak menjadi mangsa rogol apabila suspek menyedari kehadiran penuntut lain yang mahu menggunakan tandas.

“Suspek terus melepaskan mangsa sebelum melarikan diri. Kesempatan itu diambil mangsa untuk bersembunyi di dalam tandas berhampiran.

“Mangsa menunggu beberapa minit bagi memastikan suspek sudah beredar sebelum memaklumkan kejadian dialami kepada rakannya,” katanya.

Berikutan itu, mangsa mengadu kepada pihak pengurusan kolej kediaman sebelum membuat laporan di Balai Polis Pantai di sini, untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Indonesia yang bekerja di kafeteria di kolej kediaman berkenaan berdasarkan pengecaman wajah dilakukan mangsa,” katanya.
-kualalumpurpost 

Majoriti rakyat terima Dr Mahathir

Kepimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) perlu segera berhenti daripada mengeluarkan kenyataan menampakkan mereka tidak sekepala ketika pilihan raya umum (PRU) semakin mendekati.

Bekas naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata segala pandangan yang bercanggah hanya menghantar isyarat salah kepada pengundi.

"Akhirnya orang akan melihat HARAPAN tidak solid membuat keputusan," katanya dalam temu bual bersama Malaysiakini di Petaling Jaya, Selangor kelmarin.

HARAPAN menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri jika mereka berjaya mengetepikan BN dalam PRU ke-14 yang mesti diadakan selewat-lewatnya Ogos ini.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula dipilih sebagai timbalan perdana menteri. Pelan yang akan dilaksanakan kemudian ialah mendapatkan pengampunan diraja buat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum beliau dilantik pula sebagai perdana menteri.

Anwar kini ditahan di Penjara Sungai Buloh dan bakal dibebaskan pada 8 Jun. Bagaimanapun undang-undang negara mengehadkan pembabitannya dalam politik selama lima tahun.

Ada daya tarikan

Sesetengah pihak termasuk dalam PKR sendiri tidak berpuas hati dengan pemilihan Dr Mahathir.

Kata Mahfuz beliau menghargai hak seseorang menyatakan pandangan namun apabila keputusan sudah dibuat di peringkat pimpinan, ia mesti dipatuhi.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang baru mengumumkan secara rasmi 'bercerai' daripada PAS selepas beberapa dekad bersama berkata, HARAPAN perlu bertindak dengan bijak agar rakyat dapat diyakinkan dengan kewibawaan mereka.

Beliau juga berpendapat pemilihan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri untuk HARAPAN adalah tepat dan disambut baik sebahagian besar rakyat.

"Bagi saya ini keputusan yang sangat hebat dan saya tak fikir majoriti rakyat menolak keputusan ini walaupun memang ada sesetengah pihak tidak senang," katanya.

Tambah Mahfuz, kejayaan Dr Mahathir yang pernah mengetuai kerajaan selama 22 tahun tidak boleh dinafikan lagi.

"Tidak boleh dinafikan oleh siapa bahawa Dr Mahathir mempunyai daya tarikan untuk HARAPAN mendapat kuasa.

"Beliau mempunyai daya tarikan untuk memastikan Umno dan BN hilang sokongan pengundi," katanya.

Malah, Mahfuz percaya kerjasama antara Dr Mahathir dan HARAPAN membawa makna politik akan menjadi stabil.

Menjelaskan pandangan itu Mahfuz berkata suatu ketika dulu Dr Mahathir bermusuh dengan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu (bekas timbalan presiden AMANAH) dan Anwar.

Kini katanya mereka sudah duduk semeja dan bekerjasama bagi menumbangkan BN.

"Berakhirnya permusuhan yang wujud sekian lama ini boleh memberikan keyakinan baru kepada masyarakat sama ada dalam atau luar negara bahawa negara kita akan berada dalam keadaan stabil. Keyakinan para pelabur juga akan meningkat," katanya.
-malaysiakini 

Mahu menang bersama Dr Mahathir, atau tewas di tangan Najib?

Izmil Amri
PERJUANGAN ibarat mendaki anak tangga yang tinggi. Kalau tidak mahu bergerak maju ke depan, anda menghalang orang lain yang turut sama mendaki.

Sebaiknya beralihlah ke tepi, beri jalan untuk orang lain yang sedang pantas menuju destinasi, jika tidak mahu dihumban beramai-ramai ke bawah tangga.

Ini analogi mudah untuk sekian ramai yang menggigil dan mengelupur apabila Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri, sekiranya dan apabila kerajaan Umno berjaya ditewaskan dalam pilihan raya umum yang khabarnya kurang seratus hari sahaja lagi.

Selepas satu minggu pengumuman itu dibuat, gerombolan yang tidak bersetuju masih lagi gigih melayan naratif dan agenda Barisan Nasional untuk mengekalkan Dr Mahathir dalam konteks sejarah lampaunya, ketimbang meletakkan Dr Mahathir dalam konteks semasa sebagai ketua turus pakatan parti-parti DAP, PKR, Amanah dan Bersatu.


Malah, gerombolan yang sama juga masih tidak menamakan siapa yang mereka mahu sebagai calon PM apabila Umno-Barisan Nasional (BN) sudah angkat bungkus dan berambus dari Putrajaya.

Barangkali gerombolan ini memang tidak ada cita-cita untuk menang pilihan raya dan mengambil alih kerajaan. Barangkali mereka hanya mahu jadi parti pembangkang sampai bila-bila.

Bukanlah saya mengatakan keputusan untuk kekal sebagai pembangkang itu salah. Jika itu keputusannya, baguslah. Seperti yang saya pernah tulis sebelum ini, memang sepatutnya wujud pembangkang yang berfungsi apabila PH mengambil alih pentadbiran di Putrajaya. Umno tidak pandai jadi pembangkang.

Memandang ke depan

Ketika Dr Mahathir mengetuai Deklarasi Rakyat, yang ditandatangani bersama oleh sekian ramai musuhnya termasuk yang pernah disumbatnya ke Kamunting beberapa kali; kita sepatutnya sudah boleh faham bahawa Dr Mahathir sudah murtad daripada perjuangan Umno yang dibinanya selama puluhan tahun.

“Dia macam ni lah ya. Bayangkan Pope masuk Islam. Haa macam tu lah,” kata saya kepada seorang teman, dalam usaha memahamkan betapa besarnya nilai seorang pemimpin yang berpaling daripada pasukan asalnya dalam konteks politik Malaysia.

Itulah yang selalu kita raikan apabila hampir musim pilihan raya sebelum ini. Apabila ada orang yang keluar parti dia dan masuk parti kita, maka kita buat sidang media; bahkan ada kenduri-kendara meraikan kemasukan dia ke dalam parti kita. Parti asalnya pula akan lepas maki berbakul-bakul, menuduhnya pengkhianat, gunting dalam laci, udang di sebalik kuehtiau dan sebagainya.

Kemasukan Mahathir ke barisan parti-parti pembangkang bukan sahaja setakat mengabsahkan perjuangan parti-parti pembangkang selama ini, bahkan ia turut memberi nilai tambah yang selama ini tidak dimiliki pakatan tersebut.

“Koalisi (pakatan) ertinya melakukan sesuatu yang kita tidak suka,” ujar Dr Mahathir di sebuah perjumpaan tertutup bersama pimpinan DAP di pemukiman parti itu hujung minggu lalu.

Termasuklah barangkali menerima keputusan bahawa Dr Mahathirlah yang paling sekufu untuk mengepalai batalion mendepani rejim pimpinan suami Rosmah Mansor.

Dr Mahathir malah menerangkan dalam ucapan itu, bagaimana pembangkang tidak boleh menang pilihan raya sepanjang beliau menjadi perdana menteri. Ini termasuklah tiadanya kesepakatan dan tiadanya kepimpinan yang jelas.

Menurutnya parti-parti pembangkang hanya bersatu apabila Tengku Razaleigh mengepalai Angkatan Perpaduan Ummah, dan kemudiannya Anwar Ibrahim mengetuai Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kini PH yang menampilkan Dr Mahathir sendiri sebagai pengerusinya sementara Anwar berehat.

Ironinya ialah, kesemua pemimpin koalisi pembangkang ini adalah bekas pimpinan BN.

Kita mesti menang

Jadi sekarang ceritanya begini. Malaysia memang tidak ada pilihan. Tetapi pilihannya bukan antara Dr Mahathir dan Najib Razak.

Pilihan yang ada di tangan rakyat Malaysia ialah antara menang dan memaksa perubahan, atau kalah dan terus dilenjan untuk sekurang-kurangnya sepuluh tahun lagi.

Sepertimana kita tidak ada pilihan, sama juga halnya dengan BN. Ia juga tidak ada pilihan lagi selain mengekalkan kemenangan dengan apa jua cara yang ia mampu, termasuklah dengan cara menipu.

Lihat sahaja pembentangan Institut Darul Ehsan minggu lalu tentang bagaimana Suruhanjaya Pilihan Raya telah bertindak melukis semula peta kawasan dengan memindah dan menukar pengundi dari satu daerah mengundi ke daerah mengundi yang lain sehinggakan beberapa kawasan kelihatan seperti kuih keria putus.

Lihat juga bagaimana pentadbiran Najib akan cuba memujuk undi rakyat jelata dengan tawaran-tawaran yang hampir sama sebiji dengan tawaran PH yang selama ini mereka sampahkan.

Bila menang pilihan raya nanti, semua tawaran itu akan dilupakan, dan dasar-dasar baru akan diperkenalkan untuk menampung semua ketirisan.

Jangan kita lupa, cukai GST pun tidak pernah ada dalam manifesto BN.

Maka pilihannya mudah sahaja. Tidak ada lain, kita mesti menang. Rakyat mesti menang. Dan kalau kemenangan itu diusung mantan diktator tua, si mahafiraun yang kita benci; apakah kita akan menangguhkan kemenangan sekali lagi, dan membiarkan rejim terus ketawa untuk seribu tahun lagi?

Remaja cipta seluar dalam kalis rogol (Gambar)


Remaja perempuan warga India telah mereka cipta seluar dalam yang didakwa kalis rogol yang dilengkapi dengan kunci, amaran GPS untuk makluman polis dan video kamera untuk merakamkan muka penyerang.

Laporan The Daily Mail menyebut, Seenu Kumari yang dilahirkan dalam keluarga miskin di Farrukhabad, Uttar Pradesh membelanjakan kurang RM270 untuk membangunkan seluar dalam yang turut meletakkan butang kecemasan dan kunci.

Berwarna merah jambu, ia diharap mendapat pasaran meluas kerana turut memiliki kelebihan kalis peluru dan tidak boleh dipotong dengan pisau.

“Saya letakkan kunci pintar yang hanya boleh dibuka jika tahu kata laluannya, selain peranti elektronik yang dilengkapi GPS dan kemudahan untuk dihubungi.

“Jadi, apabila ada yang cuba mencabuli seseorang wanita, peranti itu akan menghantar mesej kepada ahli keluarganya dan juga polis.

“Susulan itu, pihak polis akan tiba di lokasi menggunakan GPS yang dipasang dan mematahkan cubaan merogol itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, seluar dalam itu tidak semestinya dipakai sepanjang masa, kecuali ketika melalu perjalanan sendirian dan ketika berada di lokasi yang dianggap tidak selamat.

Tambahnya, jika diserang, wanita yang memakai seluar dalam ini juga boleh menekan butang pada peranti yang akan menghubungi nombor kecemasan yang telah ditetapkan.

Menurut media Britain itu, prototaip seluar dalam itu juga telah dihantar ke Yayasan Innovasi Nasional di Allahabad untuk dipatenkan sebelum ia dipasarkan.
-kualalumpurpost 

Cerita saya tentang pilihan raya

MOHAMED HANIPA MAIDIN 
Sejak 1995, saya telah bertanding dalam PRU dan selepas itu terus menerus diizinkan Allah bertanding tiga kali di Johor dan dua kali di Selangor. Kali kelima cuba baru menang. Sahabat baik saya, YB Shah Alam pun sama.

Kali pertama bertanding PRU, saya bukan sahaja kalah malahan hilang deposit. Masa tu saya bertanding di bawah tiket parti suci. Kawan baik saya, Saudara Mazlan Aliman juga kalah dan hilang deposit. Ramai yang dalam AMANAH, saya juga percaya, mungkin senasib saya.

Saya masih ingat, masa kali pertama saya bertanding, hanya ada dua cawangan sahaja parti suci. Lawan pulak dengan Menteri. Saya masa tu memang sangat muda – novice orang putih kata, baru je habis my second degree in LL.B ( Shariah ) dan baru jadi loyer.

Belum kahwin, bujang dan masih ingat ceramah kena boo sampai menangis (sebab tak biasa) , poster kena koyak, bagi salam orang tak jawab, cermin kereta kena pecah, rumah ibu bapa saya kena pulau oleh jiran-jiran dan waktu malam dikacau ganggu, dituduh masyarakat tak sedar diri, pecah belahkan masyarakat dan macam-macamlah.

Yang lagi kelakar, kita calon, kita juga tampal poster, kita juga jadi driver dll. Tapi, masa tu seronok giler walaupun hilang deposit.

Masa tu yang saya ingat tak ada orang mahu atau berminat jauh sekali berlumba-lumba nak jadi calon. Berbeza sangatlah macam sekarang.

Untutk PRU14, jujurnya saya hanya mahu lihat BN dan sekutu dia tumbang. Tu je. Jika kerana nak tumbangkan BN, saya misalnya, diarah oleh parti AMANAH tak perlu bertanding, Insya-Allah saya dah ‘ready’kan minda saya untuk akur arahan parti.

Saya ulangi saya hanya mahu BN dan sekutunya tumbang. Period.

Bila saya join AMANAH saya sedar risikonya amat tinggi. Tapi, saya yakin AMANAH adalah parti masa depan dan mungkin medan sebenar bukan PRU14. Itu saya lah. Orang lain saya tak tahu lah.

Allah lebih mengetahui.

MP Sepang
9.1.2018

Mahfuz jawab isu bai'ah, letak jawatan

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
SHAH ALAM - Bekas pemimpin Pas, Datuk Mahfuz Omar berterima kasih kepada pihak yang mengingatkannya soal lafaz bai'ah dan mahu beliau meletak jawatan Ahli Parlimen Pokok Sena.

Katanya, beliau amat memahami dan menginsafi bai'ah tersebut yang intipatinya janji taat setia dan patuh kepada jemaah dan pemimpin selama mana tindak-tanduknya selari dengan tuntutan ajaran Islam.

Menurutnya, keutamaan beliau kini adalah menyumbangkan tenaga dan buah fikiran memimpin dan membimbing rakyat bagi menamatkan pemerintahan Umno BN.

"Saya tidak perlu terjebak dalam polemik sebegini kerana cukup untuk saya mengatakan bahawa saya percaya ALLAH sentiasa memberi petunjuk dan jalan keluar selama mana kita berpegang kepada kebenaran.

"Cabaran yang lebih besar pada saya ialah jihad menyelamatkan Malaysia dari jatuh ke jurang kehancuran. Secara peribadi, saya berpendapat ini adalah kewajipan saya sebagai seorang muslim maka inilah keutamaan saya sekarang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz secara rasmi keluar Pas, pada jam 11.59 awal Januari, selepas 34 tahun menjadi ahli Pas.

Rentetan itu, Pas memberi peringatan mengenai lafaz baiah kepada Mahfuz Omar susulan tindakannya mengumumkan untuk meninggalkan parti Islam itu.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setiap wakil rakyat Pas yang melafazkan baiah terikat dengan tiga komponen utama sekiranya berhasrat untuk meninggalkan parti tersebut.

Zainab ditemui mati dirogol, dibuang dalam tong sampah


Zainab hilang ketika kanak-kanak ini dalam perjalanan mengaji al-Quran. Mayatnya ditemui 2 kilometer daripada rumahnya. - Gambar Twitter @ImranKhanPTI.
KASUR - PAKISTAN. Misteri kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun di sini, terungkai selepas mayatnya ditemui dalam timbunan sampah Selasa lalu.

Memetik laporan Astro Awani, apa yang memilukan tatkala mayat ditemui terdapat tanda-tanda mangsa dirogol, dicekik hingga mati sebelum jasadnya yang tidak lagi bernyawa dihumban dalam timbunan sampah.

Mangsa, dikenali sebagai Zainab Ansari hilang ketika dalam perjalanan mengaji al-Quran. Mayatnya ditemui dua kilometer daripada rumahnya.

Ini bukan pertama kerakusan sedemikian dilaporkan berlaku di Pakistan dalam tempoh tedekat. Pihak polis Kasur mengesahkan 12 kes pembunuhan hampir sama direkodkan dalam tempoh dua tahun.

Lima daripadanya disyaki dilakukan suspek yang sama yang masih gagal ditahan sehingga kini. Sampel DNA juga telah diambil daripada 90 orang suspek.

Kematian Zainab mencetuskan bantahan penduduk setempat pada hari pengebumiannya. Mereka kecewa dengan pihak berkuasa yang didakwa gagal menangani kes sebegini.

Rusuhan turut melibatkan kehilangan nyawa dengan dua penunjuk perasaan ditembak mati polis di luar ibu pejabat polis Kasur yang terletak hanya 20 kilometer dari Lahore.

Dalam kes melibatkan Zainab, keluarga kanak-kanak malang itu menyalahkan pihak polis yang lambat bertindak selepas laporan kehilangannya dibuat.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan pergerakan terakhir Zainab berjaya diperoleh hasil usaha sanak saudara mangsa dan bukannya pihak polis.

Rakaman yang menunjukkan seorang lelaki memimpin tangan Zainab itu disebarkan di media sosial.

Tidak hanya di Pakistan, kematian Zainab turut mendapat simpati masyarakat dunia.
-sinarharian

Terima kasih Tok Guru kerana kata saya sudah mati, kata Mahfuz

MALAYSIA DATELINE
Baiah tersebut yang intipatinya janji taat setia dan patuh kepada jemaah dan pemimpin selama mana tindak-tanduknya selari dengan tuntutan ajaran Islam, kata Mahfuz.

Ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengucapkan terima kasih kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mengibaratkan beliau sudah lama mati.

“Terima kasih Tok Guru kerana mengibaratkan saya ‘sudah lama mati cuma baru nak tanam’.

“Kiasan yang keluar dari mulut Tok Guru dan tujukan pada saya ini sebenarnya menyuntik kekuatan dan melonjakan semangat untuk saya berjuang dan berjihad bagi menyelamatkan negara dan rakyat dalam PRU 14 akan datang,” kata Mahfuz yang meninggalkan Pas 31 Disember 2017 lalu.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada peresiden Pas itu.

“Terima kasih Tok Guru, saya mendoakan moga Tok Guru diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa di rahmati serta diberkati Allah di dunia dan akhirat,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Mahfuz, tindakan beliau keluar dari parti PAS pada penghujung tahun lalu selepas bergiat aktif selama lebih kurang 34 tahun telah mengundang pelbagai reaksi dari seluruh negara.

“Saya mengucapkan rasa syukur Alhamdulillah kerana kebanyakan maklumbalas yang saya terima terutamanya dari rakyat adalah positif,” katanya.

Beliau amat terharu apabila teman-teman lama dari kalangan pemimpin dan aktivis parti politik serta NGO seluruh negara yang sebahagian besarnya telah beliau kenali sejak sekian lama menzahirkan sokongan serta memberi semangat kepadanya

“Begitu juga dari kalangan masyarakat Pokok Sena khasnya dan negeri Kedah amnya yang mengikuti perkembangan saya secara dekat,” katanya.

Mahfuz berkata, beliau juga maklum akan respon respon yang beliau terima dari kepimpinan Pas.

“Saya memahami perasaan kekecewaan dan mungkin juga kemarahan kepimpinan Pas berdasarkan dari berbagai maklumbalas mereka terhadap saya,” katanya.

Oleh demikan, katanya, beliau dengan berlapang dada tidak berhasrat untuk membalas atau menjawab segala apa yang diperkatakan mereka walaupun beliau dilemparkan dengan berbagai kutukan, sindiran, ejekan dan serangan-serangan keras termasuk yang berunsur peribadi.

“Bagi saya hanya cukup membalas dengan senyuman setelah diumpamakan seperti buah buruk oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man kerana sikap itulah yang saya pelajari dari buku tulisan Timbalan Presiden Pas yang berjudul `senyumlah`.

“Senyum terhadap kebencian dan kemarahan mereka terhadap saya akan memberi kebahagian kepada kehidupan saya dan keluarga,” katanya.

Katanya, sepanjang 34 tahun menganggotai PAS, antara ilmu yang beliau pelajari dan hayati dari kebanyakan tok-tok guru dan ustaz-ustaz adalah hubungan sesama muslim atas dasar aqidah dan ukhwah islamiyah sesungguhnya tidak akan terputus hanya semata-mata kerana perbezaan wadah politik kepartian.

“Maka dengan itu saya tidak perlu berkecil hati terhadap kesemua mereka yang memberi respon kerana mereka tetap saudara saya didalam Islam dan saya sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka,” katanya.

Berkenaan dengan kenyataan Presiden PAS yang mengibaratkan beliau seperti orang yang sudah lama mati cuma baru nak tanam, Mahfuz berkata, beliau sedikit pun tidak terasa hati dengan kata-kata tersebut.

“Bahkan saya hargai dan menyanjung tinggi segala ilmu yang saya pelajari dari beliau selama saya berada didalam Pas,” katanya.

Mahfuz juga mengucapkan jutaan terima kasih di atas segala kepercayaan yang beliau berikan kepada beliau didalam sudut kepimpinan organisasi Pas sebelum ini termasuk juga dengan Mursyidul Am, Timbalan Presiden, Naib Presiden serta Setiausaha Agung PAS yang turut berkomentar tentang berhentinya beliau dari menjadi ahli Pas.

“Sebagaimana yang pernah saya nyatakan sebelum ini, keterlibatan atau intima’ saya bersama Pas adalah berpaksikan kepada keyakinan untuk memperjuangkan ajaran Islam dalam kerangka melaksanakan tuntutan amar makruf nahi mungkar terutamanya dalam aspek politik dan sistem pemerintahan negara bagi menegakkan keadilan Islam serta menentang segala bentuk kemungkaran, salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan harta negara.

“Prinsip inilah yang saya genggam selama 34 tahun lalu dan ianya akan saya teruskan selagi saya masih bernyawa,” katanya.

Keyakinan dan kesetiaan beliau, kata Mahfuz, tetap kekal kepada prinsip dan akidah perjuangan, bukan menyandar bahu kepada individu atau parti.

“Perjuangan akan tetap saya galang tanpa mengira di wadah atau gelanggang mana sekalipun,” katanya.

Beliau merasakan telatah politik Pas terutama sejak dua tahun kebelakangan ini sudah mula mengkhianati prinsip yang beliau genggam, “maka saya tidak rela menggadaikan prinsip semata-mata kerana takut atau gentar kepada celaan manusia.”

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada yang mengingatkan beliau tentang soal lafaz bai’ah ketika berada bersama Pas dan semasa dipilih sebagai calon untuk bertanding dalam PRU 13 bagi mewakili PAS.

Begitu juga dengan mereka yang mencabar beliau supaya meletak jawatan sebagai wakil rakyat kerana kononnya gaji dan elaun ahli parlimen yang beliau terima adalah haram.

“Saya tidak perlu terjebak dalam polemik sebegini kerana cukup untuk saya mengatakan bahawa saya percaya Allah sentiasa memberi petunjuk dan jalan keluar selama mana kita berpegang kepada kebenaran.

“Saya amat memahami dan menginsafi baiah tersebut yang intipatinya janji taat setia dan patuh kepada jemaah dan pemimpin selama mana tindak-tanduknya selari dengan tuntutan ajaran Islam.

“Islam bukannya agama yang sempit sebaliknya Islam adalah agama yang maha luas yang menyediakan jalan keluar dari kesempitan dan merungkai segala kesulitan.

“Saya meyakini bahawa Allah maha pengasih, maha penyayang dan Allah tidak menzalimi hambanya yang ikhlas kepadanya,” kata Mahfuz.

Katanya, cabaran yang lebih besar ialah jihad menyelamatkan Malaysia dari jatuh ke jurang kehancuran.

“Keutamaaan saya adalah menyumbangkan tenaga dan buah fikiran memimpin dan membimbing rakyat bagi menamatkan pemerintahan UMNO BN yang semakin hari semakin merosakkan negara serta menzalimi rakyat dengan pelbagai penyelewengan dan skandal.

“Bukannya untuk mempertahankan Umno BN sama ada secara sedar atau tidak sedar.

“Secara peribadi, saya berpendapat ini adalah kewajipan saya sebagai seorang muslim maka inilah keutamaan saya sekarang,” katanya.

'Bayar pampasan RM20 juta baru saya pindah'

NORHAFIZA MUSA
Satu-satu rumah yang tinggal menimbulkan pelbagai polemik dan tanda tanya kepada banyak pihak, persoalan juga bermain di kepala sesiapa sahaja yang melihatnya dan kenapa ia masih berada di situ.

KUALA TERENGGANU - Kampung Tanjung, Kuala Terengganu di sini, suatu ketika dahulu dikenali sebagai kawasan penempatan nelayan dan sebuah kampung tradisional Melayu.

Bagaimanapun, kampung tersebut kini menjadi kawasan yang berpotensi membangun dek kerana tempias kepesatan pembangunan fizikal berlaku di bandaraya Kuala Terengganu.

Tanah-tanah penduduk bertukar tangan kepada pemaju untuk dibangunkan dengan pelbagai projek, termasuk kawasan pembangunan komersial bersesuaian dengan keadaan semasa.

Namun dalam kerancakan pembinaan terdapat sebuah rumah kayu tradisional dua tingkat berada ditengah-tengah tapak pembinaan berkenaan sedangkan yang lainnya telah dirobohkan.

Keadaan itu menimbulkan pelbagai polemik dan tanda tanya kepada banyak pihak, persoalan juga bermain di kepala sesiapa sahaja yang melihatnya dan kenapa ia masih berada di situ.

Wartawan Sinar Harian, Norhafiza Musa menyingkap kisah sebenar kenapa rumah kayu dua tingkat berciri tradisional Melayu lama itu masih berdiri gagah dan bertahan sehingga hari ini.

Yang jelas keluarga pewaris kepada rumah tradisional Melayu lama itu tidak mempertahankan rumah berkenaan untuk dijadikan sebagai warisan tetapi kerana jumlah pampasan tidak setimpal.

Mewakili keluarga itu, Wan Mansor Wan Yusof, 57, berkata, tanah dan rumah itu adalah milik arwah ayahnya, Wan Yusof Wan Abdul Kadir dibeli dari ibu saudaranya, Wan Mek Wan Yaacob pada 7 Julai 1977.

Menurutnya, andaian banyak pihak termasuk melalui Facebook mengatakan keluarganya mempertahankan rumah berkenaan dari diroboh kerana mahu mengekalkan warisan adalah tidak betul.

Sebaliknya, beliau memberitahu, pihak keluarganya tiada masalah untuk berkerjasama kepada pihak yang membangunkan kawasan berkenaan namun pemberian jumlah pampasan perlu lebih adil.

“Sekarang ini, saya hanya tunggu arahan daripada pihak peguam (saya) dari Kuala Lumpur. Saya dimaklumkan, (peguam) nak datang pada 17 Januari ini untuk ke mahkamah (Kuala Terengganu).

"Jadi seterusnya, kita perlu tunggu arahan daripada pihak mahkamah. Sekiranya pampasan dibayar sebagaimana yang dituntut oleh pihak peguam, sebanyak RM20 juta, maka saya (keluarga) berpindah.

"Kurang atau lebih dari itu, serah kepada tangan peguam. Tidak boleh 'ejas-ejas', sebab kami sudah menggunakan khidmat peguam. Nanti saya (pula) akan kena penalti,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam masa sama, beliau sekeluarga juga menasihatkan nitizen agar jangan politikkan keadaan rumah itu di facebook kerana perkara itu tiada kaitan dengan pihak ketiga termasuk dengan kerajaan negeri.

“Sebab keluarga abang saya masih tinggal di sini dan di kampung ini cuma kami lambat menerima bayaran pampasan dari pemaju. Jika selesai permohonan peguam di mahkamah, ia selesai.

“Saya mewakili sebagai tuan rumah dan sembilan adik beradik tidak menolak pembangunan. Malah menyokong 100 peratus pembangunan ingin dilakukan kerajaan termasuk di kawasan ini,” katanya.

Beliau mengakui menerima notis supaya mengosongkan tanah termasuk notis ditampal di dinding rumah ketika ketiadaan abangnya yang masih menetap di situ, Wan Mokhtar Wan Yusof, 60-an dan keluarganya.

“Pihak pemaju sebelum ini, ada menampal notis pada dinding rumah dan mengarahkan supaya kosongkan tanah dan rumah dalam tempoh tiga minggu dan bayaran pampasan ditawarkan mereka hanya RM20,000.

“Bagi kami (jumlah tersebut) adalah sangatlah tidak berbaloi,” katanya yang telah menyerahkan isu tuntutan pampasan kepada peguam yang mewakili mereka dan berharap ia dapat diselesaikan dengan lebih adil.

BN sukar tawan Kelantan, hilang Terengganu

HASLINA KAMALUDIN
Md Shukri Shuib (kanan)
SHAH ALAM - BN berdepan dengan cabaran dalam PRU14 iaitu sukar menawan Kelantan dan kehilangan Terengganu.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, ia berkemungkinan akan menjadi milik Pakatan Harapan (Harapan) disebabkan masalah dalaman yang berlaku terhadap kedua-dua negeri tersebut.

“Perkara ini harus diberi perhatian serius oleh BN kerana berpotensi untuk menang pada pilihan raya umum kali ini.

“Jika mereka dapat menyelesaikan segala bentuk krisis atau apa juga masalah, hasrat Harapan mungkin akan jadi hasrat sahaja, tidak ada harapan,” katanya ketika menjadi tetamu untuk program FB LIVE Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, BN perlu berubah bagi memastikan dua negeri itu menjadi milik BN.

“Dua negeri ini perlu dikekalkan untuk BN mengekalkan momentum kemenangan sama seperti pilihan raya umum terdahulu.

“Kemenangan bagi BN bukan hanya bersandar pada keputusan majoriti. Memadai menang tipis agar dapat terus memerintah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Selangor dan Pulau Pinang dilihat boleh dirampas BN kerana sikap kerajaan negeri.

“Kebanyakan masyarakat Cina di dua negeri itu dilihat sudah hilang kepercayaan pada kerajaan mereka.

“PKR dilihat berisiko tinggi kalah jika ada pertandingan tiga penjuru. DAP akan mengusainya. Jadi semua pihak perlu membuat perubahan,” katanya.

Video dan laporan polis dibuat oleh anggota polis yang kena tampar pengarah filem


Actor Datuk Farid Kamil was arrested at the Kota Damansara police station for allegedly assaulting a traffic policeman and kicking a civilian there, January 11, 2018. — Malay Mail file pic
“Kejadian Artis tumbuk anggota EO Balai Trafik Kota Damansara”

Kota Damansara Repot: 295/18

Pengadu:
Nama : Konst. 194277 Muhammad Nizam Bin Jamaluddin
Anggota Trafik Kota Damansara
No Telefon : 0109716364

RINGKASAN KES :
Satu laporan polis dibuat oleh pengadu seorang anggota polis yang bertugas di kaunter Trafik Kota Damansara menyatakan Pada 11/01/2018 jam l/krg 1320hrs datang seorang lelaki melayu bernama Farid Kamil bersama satu orang awam yang membantunya yang terlibat kemalangan untuk membuat laporan di balai trafik. Semasa pengadu bertanya kepada lelaki tentang kejadian kemalangan, Lelaki itu Farid telah menunjukkan telefon bimbit bertulis "300 artis meminjam ah long kerana tiada kerja", lalu pengadu bertanya kepada lelaki tersebut. Lelaki tersebu marah dantelah menampar pengadu disaksikan oleh Kpl 110562, dan 3 orang awam: Vikenesvaran, Wong Kok Keong, dan Ashraf.

Selepas itu Lelaki yang sama telah menyepak orang awam lain.

Lelaki tersebut nerupakan artis dengan gelaran Datuk Farid Kamil. Pengadu telah membuat tangkapan ke atas lelaki tersebut kerana berkelakuan merusuh, berkelakuan tidak senonoh dan menyerang serta mencederakan pengadu yang juga seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas rasmi mengikut fungsi tugasnya.

Laporan telah dirujukan kepada IO (J) Insp. Faizal.

Sekian untuk makluman YDH Tuan.

Tq Tuan.

Pengarah filem yang bergelar datuk ditahan selepas tampar polis, serang orang awam

Actor Datuk Farid Kamil was arrested at the Kota Damansara police station for allegedly assaulting a traffic policeman and kicking a civilian there, January 11, 2018. — Malay Mail file pic
SEORANG pelakon dan pengarah filem berusia 37 tahun dan pernah memenangi anugerah ditahan polis kerana menyerang serta menampar seorang pegawai polis trafik dan seorang awam di Damansara hari ini.

Kejadian berlaku pada jam 1.20 petang di kaunter trafik Balai Polis Kota Damansara ketika pengarah lelaki itu membuat laporan polis mengenai satu kemalangan yang berlaku awal hari ini.

Pada ketika itulah dia menampar pegawai bertugas yang mengambil laporan itu.

Pengarah itu turut menendang seorang awam yang berada di dalam balai polis itu sebelum ditahan.

Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Zani Che Din berkata, polis akan menyiasat sekiranya pengarah terbabit di bawah pengaruh dadah semasa kejadian.

"Kita sedang periksa. Dia lebih tenang selepas digari," Mohamad Zani berkata.

Pengarah lelaki yang baru-baru ini menerima gelaran "Datuk" dari sebuah negeri kini ditahan di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja.
-themalaysianinsight

Dua polis dipenjara kerana rompak wanita

Seorang daripada tertuduh yang dijatuhi hukuman penjara serta sebatan selepas didapati bersalah melakukan rompakan berkumpulan. FOTO Syamsi Suhaimi.
DUA anggota polis serta seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara dan sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, selepas didapati bersalah melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang peniaga, dua tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhi hukuman itu terhadap ketiga-tiga tertuduh selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Tertuduh pertama, Konstabel Adri Hazwan Ahmad, 29, dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan empat sebatan.

Tertuduh kedua, Lans Koperal Mohamad Fauzi Ariffin, 27, dan tertuduh ketiga yang juga abangnya, Mohd Fairuz, 30, dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan enam sebatan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa bersama dua orang lagi didapati dengan niat melakukan rompak berkumpulan ke atas Rahmah Omar, 55, dengan mengambil wang RM3,050 di sebuah rumah di Kampung Tanjong Badang, Kota Bharu, jam 11.15 malam, 18 Mac 2016.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Nazri pada penghakimannya berkata, saksi-saksi pembelaan gagal menunjukkan keraguan munasabah dan bersifat penafian semata-mata selepas ketiga-tiga tertuduh tidak menafikan berada di tempat kejadian dan hanya menafikan mereka melakukan rompakan.

Katanya, hukuman dijatuhi kepada dua beradik yang juga tertuduh kedua dan ketiga tanpa kehadiran mereka di mahkamah mengikut Seksyen 425(a) Kanun Prosedur Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falena Abu Bakar yang memohon hukuman setimpal kerana dua tertuduh adalah anggota polis yang sepatutnya melindungi orang awam.

Bagaimanapun, peguam bela Zuhaidi Akmal Hasan Bakri yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan terhadap semua tertuduh.

‘Langkah bijak’ jika Selangor bubar DUN sekarang, batal persempadanan

The Malaysian Insight

Bede Hong
Penganalisis berkata, Menteri Besar Selangor Mohamad Azmin Ali akan dilihat sebagai pemimpin yang berani dan berstrategi jika membubarkan DUN sebelum PRU. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2018.

IA akan menjadi “langkah bijak” oleh kerajaan negeri Selangor untuk membubarkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk menangkis kesan daripada persempadanan semula kawasan pilihan raya yang memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN), kata penganalisis.
Nhthctjdygh nhbnn
Mengulas mengenai perbalahan pelaksanaan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), penganalisis berkata mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum PRU yang perlu diadakan sebelum Ogos, boleh juga memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) di Selangor.

Kerajaan negeri PH pada masa ini dalam pertarungan undang-undang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung persempadanan semula di kawasan pilihan rayanya.

Ketua pengajian politik Penang Institute, Wong Chin Huat berkata pelaksanaan persempadanan semula itu dijangka akan berpihak kepada BN tetapi PH dapat menangkisnya jika DUN dibubarkan sebelum PRU diadakan.

“Jika DUN Selangor dibubarkan esok, PRN perlu diadakan dalam tempoh dua bulan, dan daftar pengundi sedia ada yang akan digunakan. Persempadanan semula akan ditewaskan dengan bijak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Jika Azmin (Menteri Besar Selangor Mohamad Azmin Ali) membubarkan DUN Selangor untuk mempercepatkan pertarungan, bukan saja beliau mempunyai peluang lebih besar untuk kemenangan penuh, tetapi akan dilihat sebagai pemimpin berani dan berstrategi.

“Menteri besar dan ketua menteri pembangkang selama ini menurut arahan BN dalam mengadakan PRU. Azmin boleh tunjukkan bahawa beliau bukan sekadar MB pembangkang seperti yang lain.”

Terdapat 22 kerusi Parlimen dan 56 kerusi DUN di Selangor. Wakil rakyat PH mencabar pelaksanaan persempadanan semula kerana mereka berpendapat mereka mungkin kalah pada PRU14, jika ia dilaksanakan.

The Malaysian Insight baru-baru ini menemu bual Adun Hulu Kelang Saari Sungib yang tahu beliau berdepan kekalahan pada PRU14 jika cadangan perubahan sempadan di kawasannya berjaya dilaksanakan.

Ia berikutan sejumlah besar pangkalan data penyokongnya yang memberi sumbangan besar terhadap kemenangan majoritinya bagi dua PRU sebelum ini, akan dipindahkan keluar ke kawasan Parlimen bersebelahan.

Parlimen akan terbubar secara automatik pada 24 Jun dan PRU14 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran itu. SPR akan memutuskan bila PRU akan diadakan.

Di Selangor, menteri besar yang akan memutuskan bila hendak membubarkan DUN, dengan hanya memerlukan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Tidak ada persoalan tidak sah,” kata Wong, menambah bahawa di bawah Akta Pilihan Raya 1958, daftar pengundi negeri yang sedang diguna pakai, perlu digunakan apabila DUN dibubarkan.

“SPR tidak boleh guna sempadan baharu,” katanya.

Wong berkata PRU awal akan membolehkan PH menggunakan kekuatannya pada PRU14, sekurang-kurangnya untuk kawasan Parlimen di Selangor.

“Jika pertandingan banyak penjuru tidak dapat dielakkan, maka PH boleh akses kepada kemampuannya untuk menang. Ia tidak boleh jadi lebih teruk daripada pertandingan banyak penjuru selepas persempadanan semula,” katanya.

“Namun, pertandingan banyak penjuru boleh diminimumkan jika Selangor bubar awal kerana rundingan kerusi dengan PAS boleh selesai dengan sendirinya.

“PAS Selangor tahu mereka akan jadi mangsa pertama jika pertandingan banyak penjuru berlaku.”

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan kerajaan negeri Selangor untuk menangguhkan kehadirannya di inkuiri awam mengenai pelaksanaan persempadanan semula oleh SPR.

Inkuiri awam SPR akan diteruskan seperti biasa tanpa kehadiran wakil kerajaan negeri Selangor.

Kerajaan negeri sebelum ini memohon untuk membatalkan cadangan pelaksanaan persempadanan semula SPR yang akan merangka semula sempadan kawasan Parlimen, di mana pembangkang mendakwa tindakan itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Selangor juga memohon pengisytiharan bahawa SPR melanggar peruntukan perlembagaan berkenaan persempadanan kawasan pilihan raya, yang akan membawa kepada jumlah pengundi tidak seimbang di kawasan terbabit.

Kerajaan negeri juga memetik kegagalan SPR untuk menggunakan daftar pengundi terbaru dalam pelaksanaan persempadanan semula itu, malah daftar yang digunakan tidak lengkap dan tidak tepat, menjejaskan 136,272 pengundi di Selangor.

‘Ustaz’ serang McDonald’s tak gentar ditangkap, enggan tarik balik tuduhan haram

Khairil Ashraf 
PETALING JAYA: Seorang pengguna Facebook menggunakan gelaran “ustaz” yang mempersoalkan status halal makanan dijual McDonald’s enggan menarik balik tuduhannya, sambil berkata beliau tidak gentar dengan siasatan polis.

“Tak ada masalah langsung. Boleh tangkap, masuk penjara. Kita mempertahankan benda. Di sebaliknya ada satu perjuangan. Perjuangannya adalah perjuangan akidah. (Ia) adalah benda yang saya nak sampaikan,” kata Rasyiq Alwi, yang menggunakan nama Facebook “Ustaz Abu Syafiq Al-Asy’ary”, ketika dihubungi FMT.

Ia susulan gergasi makanan segera itu membuat laporan polis dan mengancam tindakan mahkamah terhadap Rasyiq yang menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menilai semula status halal McDonald’s.

Rasyiq berkata beliau hanya mempersoalkan siapa yang mengurus bekalan makanan McDonald’s.

Menurutnya, syarikat itu perlu mendedahkan anutan agama pembekalnya, di samping status daftar pembekal itu dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau tidak.

“Mengikut semakan kita pada laman rasmi halal Jakim, syarikat tersebut tidak mendapat halal sedangkan dia mengguna alamatnya di Malaysia dan lambang yang ada di Malaysia,” dakwa Rasyiq, mengulangi tuduhannya yang dimuat naik di laman Facebooknya yang mempunyai lebih 170,000 pengikut.

Dalam responnya, McDonald’s menuntut Rasyiq menarik balik kirimannya sambil berkata ia berhak mengambil tindakan mahkamah kerana mengeluarkan kenyataan fitnah.

Syarikat itu turut membuat laporan polis sambil berkata “fitnah sebegini boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam”.

“Setiap produk yang dibekalkan ke McDonald’s Malaysia disahkan halal oleh Jakim atau badan pensijilan halal dari luar negara yang diluluskan oleh Jakim,” kata McDonald’s.

Rasyiq menafikan beliau memfitnah rangkaian kedai makanan itu.

“Ia bukan fitnah sebab kenyataan saya itu memang ada bukti, cuma saya belum paparkan,” katanya.