MALAYSIA DATELINE
Baiah tersebut yang intipatinya janji taat setia dan patuh kepada jemaah dan pemimpin selama mana tindak-tanduknya selari dengan tuntutan ajaran Islam, kata Mahfuz.
Ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengucapkan terima kasih kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mengibaratkan beliau sudah lama mati.
“Terima kasih Tok Guru kerana mengibaratkan saya ‘sudah lama mati cuma baru nak tanam’.
“Kiasan yang keluar dari mulut Tok Guru dan tujukan pada saya ini sebenarnya menyuntik kekuatan dan melonjakan semangat untuk saya berjuang dan berjihad bagi menyelamatkan negara dan rakyat dalam PRU 14 akan datang,” kata Mahfuz yang meninggalkan Pas 31 Disember 2017 lalu.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada peresiden Pas itu.
“Terima kasih Tok Guru, saya mendoakan moga Tok Guru diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa di rahmati serta diberkati Allah di dunia dan akhirat,” katanya dalam satu kenyataan.
Kata Mahfuz, tindakan beliau keluar dari parti PAS pada penghujung tahun lalu selepas bergiat aktif selama lebih kurang 34 tahun telah mengundang pelbagai reaksi dari seluruh negara.
“Saya mengucapkan rasa syukur Alhamdulillah kerana kebanyakan maklumbalas yang saya terima terutamanya dari rakyat adalah positif,” katanya.
Beliau amat terharu apabila teman-teman lama dari kalangan pemimpin dan aktivis parti politik serta NGO seluruh negara yang sebahagian besarnya telah beliau kenali sejak sekian lama menzahirkan sokongan serta memberi semangat kepadanya
“Begitu juga dari kalangan masyarakat Pokok Sena khasnya dan negeri Kedah amnya yang mengikuti perkembangan saya secara dekat,” katanya.
Mahfuz berkata, beliau juga maklum akan respon respon yang beliau terima dari kepimpinan Pas.
“Saya memahami perasaan kekecewaan dan mungkin juga kemarahan kepimpinan Pas berdasarkan dari berbagai maklumbalas mereka terhadap saya,” katanya.
Oleh demikan, katanya, beliau dengan berlapang dada tidak berhasrat untuk membalas atau menjawab segala apa yang diperkatakan mereka walaupun beliau dilemparkan dengan berbagai kutukan, sindiran, ejekan dan serangan-serangan keras termasuk yang berunsur peribadi.
“Bagi saya hanya cukup membalas dengan senyuman setelah diumpamakan seperti buah buruk oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man kerana sikap itulah yang saya pelajari dari buku tulisan Timbalan Presiden Pas yang berjudul `senyumlah`.
“Senyum terhadap kebencian dan kemarahan mereka terhadap saya akan memberi kebahagian kepada kehidupan saya dan keluarga,” katanya.
Katanya, sepanjang 34 tahun menganggotai PAS, antara ilmu yang beliau pelajari dan hayati dari kebanyakan tok-tok guru dan ustaz-ustaz adalah hubungan sesama muslim atas dasar aqidah dan ukhwah islamiyah sesungguhnya tidak akan terputus hanya semata-mata kerana perbezaan wadah politik kepartian.
“Maka dengan itu saya tidak perlu berkecil hati terhadap kesemua mereka yang memberi respon kerana mereka tetap saudara saya didalam Islam dan saya sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka,” katanya.
Berkenaan dengan kenyataan Presiden PAS yang mengibaratkan beliau seperti orang yang sudah lama mati cuma baru nak tanam, Mahfuz berkata, beliau sedikit pun tidak terasa hati dengan kata-kata tersebut.
“Bahkan saya hargai dan menyanjung tinggi segala ilmu yang saya pelajari dari beliau selama saya berada didalam Pas,” katanya.
Mahfuz juga mengucapkan jutaan terima kasih di atas segala kepercayaan yang beliau berikan kepada beliau didalam sudut kepimpinan organisasi Pas sebelum ini termasuk juga dengan Mursyidul Am, Timbalan Presiden, Naib Presiden serta Setiausaha Agung PAS yang turut berkomentar tentang berhentinya beliau dari menjadi ahli Pas.
“Sebagaimana yang pernah saya nyatakan sebelum ini, keterlibatan atau intima’ saya bersama Pas adalah berpaksikan kepada keyakinan untuk memperjuangkan ajaran Islam dalam kerangka melaksanakan tuntutan amar makruf nahi mungkar terutamanya dalam aspek politik dan sistem pemerintahan negara bagi menegakkan keadilan Islam serta menentang segala bentuk kemungkaran, salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan harta negara.
“Prinsip inilah yang saya genggam selama 34 tahun lalu dan ianya akan saya teruskan selagi saya masih bernyawa,” katanya.
Keyakinan dan kesetiaan beliau, kata Mahfuz, tetap kekal kepada prinsip dan akidah perjuangan, bukan menyandar bahu kepada individu atau parti.
“Perjuangan akan tetap saya galang tanpa mengira di wadah atau gelanggang mana sekalipun,” katanya.
Beliau merasakan telatah politik Pas terutama sejak dua tahun kebelakangan ini sudah mula mengkhianati prinsip yang beliau genggam, “maka saya tidak rela menggadaikan prinsip semata-mata kerana takut atau gentar kepada celaan manusia.”
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada yang mengingatkan beliau tentang soal lafaz bai’ah ketika berada bersama Pas dan semasa dipilih sebagai calon untuk bertanding dalam PRU 13 bagi mewakili PAS.
Begitu juga dengan mereka yang mencabar beliau supaya meletak jawatan sebagai wakil rakyat kerana kononnya gaji dan elaun ahli parlimen yang beliau terima adalah haram.
“Saya tidak perlu terjebak dalam polemik sebegini kerana cukup untuk saya mengatakan bahawa saya percaya Allah sentiasa memberi petunjuk dan jalan keluar selama mana kita berpegang kepada kebenaran.
“Saya amat memahami dan menginsafi baiah tersebut yang intipatinya janji taat setia dan patuh kepada jemaah dan pemimpin selama mana tindak-tanduknya selari dengan tuntutan ajaran Islam.
“Islam bukannya agama yang sempit sebaliknya Islam adalah agama yang maha luas yang menyediakan jalan keluar dari kesempitan dan merungkai segala kesulitan.
“Saya meyakini bahawa Allah maha pengasih, maha penyayang dan Allah tidak menzalimi hambanya yang ikhlas kepadanya,” kata Mahfuz.
Katanya, cabaran yang lebih besar ialah jihad menyelamatkan Malaysia dari jatuh ke jurang kehancuran.
“Keutamaaan saya adalah menyumbangkan tenaga dan buah fikiran memimpin dan membimbing rakyat bagi menamatkan pemerintahan UMNO BN yang semakin hari semakin merosakkan negara serta menzalimi rakyat dengan pelbagai penyelewengan dan skandal.
“Bukannya untuk mempertahankan Umno BN sama ada secara sedar atau tidak sedar.
“Secara peribadi, saya berpendapat ini adalah kewajipan saya sebagai seorang muslim maka inilah keutamaan saya sekarang,” katanya.