Sirul sedia pulang, dedahkan maklumat kes Altantuya

Hafiz Yatim
Bekas anggota polis yang kini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Australia hari ini berkata, dia sedia membantu kerajaan Pakatan Harapan untuk mendedahkan apa sebenarnya berlaku berkaitan kematian Altantuya Shaariibuu 12 tahun lalu.

Kata Sirul Azhar Umar pendedahan itu boleh dilakukan dengan syarat dia diberikan pengampunan penuh oleh kerajaan baru Malaysia.

Tanpa pengampunan itu, kata Sirul, 45, dia tidak boleh dilepaskan dan pulang ke Malaysia.

"Saya berjanji untuk bekerjasama dengan kerajaan baru, syaratnya saya dapat pengampunan penuh," katanya kepada Malaysiakini dari pusat tahanan berkenaan di Sydney.

Menurut Sirul kini semakin ramai orang di Australia percaya dia adalah tahanan politik dan bukan penjenayah biasa ekoran kekalahan BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu.

Kata Sirul dia sangat sedih apabila dia dan keluarganya menjadi mangsa kecaman orang lain ekoran kes yang dikaitkan dengannya itu.

"Sedangkan mereka tak tahu. Itu kesalahan pertama saya.

"Bersama UTK (Unit Tindakan Khas) saya berkhidmat untuk menangkap dan bunuh pencuri dan pelbagai jenayah, semuanya untuk keselamatan negara.

"Mereka (orang awam) tak tahu bagaimana UTK berfungsi kerana kami kena ikut perintah," katanya.

Siasat Scoepene juga

Sirul juga menegaskan impiannya menyampaikan ucapan tahniah kepada dua pemimpin utama Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memenangi PRU ke-14 lalu.

Mengaku pernah menjadi anggota keselamatan yang mengiringi Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim, Sirul juga berharap dia dapat menyampaikan ucapan terima kepada ketua umum PKR berkenaan kerana meminta kesnya dibicarakan semula.

"Kalau boleh, saya sanggup (dibicarakan semula) kerana saya berpendapat perbicaraan lepas tak adil bagi saya, kerana saya menurut arahan daripada peguam, dan ini yang saya dapat, sedangkan saksi utama tak dipanggil," katanya.

Semasa perbicaraan kes Altantuya itu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, Sirul diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican.

Kata Sirul ekoran sabitan Mahkamah Persekutuan itu dia mengarahkan kedua-dua peguam belanya untuk memfailkan semakan semula.

Bagaimanapun kata Sirul peguam terbabit tidak melakukannya dan ia sudah tiga tahun berlalu.

Sebelum ini dilaporkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mencadangkan kerajaan HARAPAN tidak hanya memberi tumpuan kepada skandal 1MDB, sebaliknya turut melihat kes kapal selam Scorpene yang dikendalikan di bawah Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu menjadi menteri pertahanan.

Najib kemudian dilantik menjadi perdana menteri keenam Malaysia sebelum HARAPAN mengalahkan BN semasa PRU minggu lalu.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh juga menggesa kerajaan menyiasat motif di sebalik pembunuhan wanita warga Mongolia itu.

Lepas PRU14 berbondong-bondong mahu jadi ahli AMANAH

MALAYSIA DATELINE

Mereka tidak takut lagi cercaan dari penyokong Pas, kata Anuar Tahir.

Berikutan kejayaannya dalam pilihan raya umum ke 14 lalu, AMANAH kini menjadi tumpuan pelbagai pihak untuk menjadi ahli, walaupun mereka takut-takut selama ini.

Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Tahir berkata, sejak seminggu lalu hampir 500 permohonan untuk menjadi ahli secara online sudah diterima oleh Amanah berbanding sekitar 20 orang sehari sebelum ini.

Di samping itu, permohonan untuk mendapatkan borang menjadi ahli AMANAH juga meningkat dengan mendadak dari setiap negeri dan kawasan.

“Kawasan Temerloh saja mengambil 5,000 keping borang semalam,” kata Anuar yang sedang dalam perjalanan ke Temerloh ketika dihubungi Malaysia Dateline itu.

“Kebanyakan mereka adalah ahli Pas. Ada juga ahli Umno, Cina dan juga India. Saya sedang usaha agar Orang Asli juga menjadi ahli AMANAH,” kata Anuar yang juga ahli parlimen Temerloh itu.

Sebelum ini, kata Anuar, ramai yang berminat untuk menjadi ahli AMANAH namu mereka takut dengan serangan dan cercaan dari penyokong Pas terhadap AMANAH.

“Selepas kita buktikan kejayaan kita dan pandangan kita betul, berbondong-bondong mereka mahu memasuki AMANAH tanpa ragu-ragu lagi,” kata Anuar.

JANJI PILIHAN RAYA

Sementara itu, Anuar menunaikan janjinya untuk berpindah ke Temerloh jika menang dalam pilihan raya lalu.

“Dalam pilihan raya lalu, saya berjanji jika rakyat Temerloh pilih saya, saya akan pindah dan tinggal di Temerloh.

“Saya sekarang dalam perjalanan ke Temerloh untuk tinggal di sana bagi menunaikan janji itu,” kata Anuar yang berasal dari Perlis dan tinggal di Shah Alam sekarang.

AMANAH menang 11 kerusi parlimen dari 34 yang ditandinginya dalam pilihan raya lalu.

Hampir kesemua pimpinan kanannya menang kecuali yang bertanding di Kelantan dan Terengganu yang dimenangi oleh PAS.

Exco Perak, 3 dari AMANAH angkat sumpah petang ini

MOHD ALI HASHIM 
Majlis pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, termasuk tiga dari AMANAH, akan disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah pada petang ini.

Siapa yang akan dilantik sebagai exco kerajaan negeri kali ini masih lagi menjadi tanda tanya walaupun Menteri Besarnya, Ahmad Faizal Azumu telah dilantik mengetuai kerajaan negeri pada 12 Mei yang lalu.

Sebelum ini Ahmad Faizal memaklumkan bahawa jumlah kerusi exco pada kali ini tidak banyak berubah.

Malah ujarnya lagi, pembahagian jawatan exco tersebut adalah berdasarkan kerusi yang dimenangi oleh komponen Pakatan Harapan (PH) Perak dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 baru-baru ini.

Antara nama-nama yang disebut-sebut akan dilantik sebagai exco kerajaan negeri adalah Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari, Adun Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How, Adun Pantai Remis, Wong May Ling, Adun Simpang Pulai, Tan Kar Hing serta beberapa nama lagi.

Adalah difahamkan AMANAH Perak turut mengemukakan tiga nama bagi mengisi kerusi exco pada kali ini.

Pengerusi AMANAH Negeri Perak, Asmuni Awi, Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin serta Adun Kemunting Dr Muhd Fadhil Nuruddin adalah antara beberapa nama yang disebut akan mengisi kerusi tersebut.

Dalam PRU14 baru-baru ini Asmuni menang bagi kerusi Dun Manjoi dan kerusi Sungai Rapat pula dimenangi oleh Mohamad Nizar.

DAP yang memenangi 18 kerusi Dun sudah pasti akan mendominasi kedudukan kerusi tersebut jika dibandingkan dengan Bersatu, AMANAH dan juga PKR.

Selangor bakal mendapat menteri besar baru?

Datuk Seri Azmin Ali memberi bayangan bahawa Selangor bakal mendapat menteri besar baru dalam tempoh terdekat.

Kemungkinan berlaku perubahan kepimpinan kerajaan negeri itu ditafsir berdasarkan kenyataan Azmin kepada media selepas mengadakan pertemuan anggota dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.Selangor

Kata Azmin kepercayaan yang diberikan oleh Dr Mahathir kepadanya untuk menerajui sebuah kementerian baru itu membawa bersama cabaran yang besar untuknya.

"Perdana menteri menyatakan kepada saya sebaik saya masuk ke pejabat menjelang minggu depan kami akan berbincang dan mengkaji semula semua projek mega yang diluluskan di bawah Datuk Seri Najib Razak dan juga semua projek infrastrukur.

"Keutamaan kami ialah projek yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat seperti elektrik, bekalan air dan perumahan awam," katanya.

Azmin mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor untuk penggal kedua pada 11 Mei lalu selepas Pakatan Harapan berjaya menguasai Dewan Undangan Negeri Selangor dua hari sebelumnya.

Selain menjadi anggota DUN Bukit Antarabangsa Azmin juga memenangi kerusi parlimen Gombak.

Dr Mahathir yang juga pengerusi HARAPAN semalam mengumumkan barisan kabinetnya yang turut menamakan Azmin sebagai menteri hal ehwal ekonomi.

Mengakui terkejut dengan pelantikan itu Azmin berkata Dr Mahathir ada memberi bayangan sedikit mengenainya namun tidak memberikan butiran secara spesifik.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri atas kepercayaan beliau untuk saya meneraju sesuatu kementerian yang kanan dan penting serta baru.

“Saya juga telah mendapat penjelasan daripada perdana menteri tentang peranan yang perlu saya mainkan dan tanggungjawab kepada saya, dan beliau meminta saya untuk kembali semula memberi cadangan tambahan untuk memastikan usaha membantu dan merancang plan dan strategi untuk membangunkan ekonomi Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR itu berkata sehingga hari ini beliau masih menteri besar Selangor dan akan bertemu Sultan Selangor bagi membincangkannya.

Katanya jika nanti keputusan yang dibuat adalah untuk beliau membantu kerajaan perseketuan, jawatan menteri besar Selangor akan dilepaskan.

Beliau juga memberi jaminan proses peralihan kuasa itu akan dijalankan dengan baik dan teratur kerana HARAPAN mendapat mandat yang begitu besar daripada rakyat Selangor

'Nilai rampasan harta Najib mungkin atasi aset Marcos' - Anwar

Ada kemungkinan nilai rampasan aset dari kediaman yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak akan mengatasi kekayaan pasangan diktator Filipina, Ferdinand Marcos dan isterinya, Imelda.
"Saya rasa kita mungkin akan mencatat rekod mengagumkan dan melebihi (harta) Imelda dan yang lain-lain," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipetik Financial Times.
Ketua Umum PKR itu menjelaskan kadar salah guna kuasa oleh kerajaan BN sebelum ini "sangat mengejutkan" terutama apabila ramai pemimpin parti terbabit sibuk bercakap mengenai usaha membantu golongan miskin.
"Semua mereka itu agak sakit mindanya," kata bekas timbalan perdana menteri itu lagi.
Temu bual itu disiarkan ketika polis masih terus menyiasat Najib - kini menjadi anggota parlimen pembangkang mewakili Pekan, Pahang - berhubung skandal 1MDB serta syarikat yang berkaitan dengannya.
Sejumlah barang kemas, wang tunai, beg tangan mewah serta pelbagai aset lain disita anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sejak beberapa hari lalu.
Selain kediaman Najib dan isterinya Rosmah Mansor di Jalan Langgar Duta, Kuala Lumpur, polis juga menggeledah tiga unit kondominium yang ada kaitan dengan pasangan terbabit di Pavilion Residence, di kawasan segi tiga emas kota raya.
Mati dalam buangan
Polis menggunakan lima lori untuk mengangkut pelbagai barang yang dirampas itu. Antaranya ialah 72 beg wang tunai serta 284 kota beg tangan berjenama mewah.
Media juga melaporkan polis merampas lebih 100kg jongkong emas serta wang tunai bernilai lebih RM100 juta dari kondominium berkenaan.
Bagaimanapun setakat ini polis belum mengesahkannya.
Pasangan Marcos yang disebut Anwar dalam temu bual berkenaan ialah bekas pemerintah Filipina yang akhirnya tumbang digulingkan rakyat negara itu pada 1986.
Mereka berkuasa di Filipina sejak 1965.
Imelda, 88, dikenang sebagai wanita yang gemar bergaya dan menunjuk-nunjukkan kemewahannya. Suaminya ialah presiden ke-10 Filipina dan mati di dalam buangan di Honolulu, Hawaii pada 28 Sept 1989. Dia berusia 72 tahun.
Pasangan itu dikatakan menyonglap antara AS$5 bilion hingga AS$10 bilion harta negara sepanjang tempoh berkuasa.
Bukit Aman mula menggeledah rumah Najib di Jalan Langgak Duta itu sejak malam Rabu lalu - hanya seminggu selepas dia gagal memimpin BN mendapatkan mandat rakyat sekali lagi bagi mentadbir Malaysia.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kemudian mengarahkan polis menjalankan siasatan ke atas Najib berhubung skandal 1MDB yang menggemparkan ramai orang itu.
Semalam satu peti besi yang didakwa terkunci selama 20 tahun akhirnya berjaya dibuka selepas polis mencubanya lebih 24 jam.
Difahamkan sejumlah wang ditemui di dalam peti keselamatan berkenaan.
Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh memberitahu mereka juga menjalankan penggeledahan bagi mendapatkan bukti di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Sebelum ini Najib didakwa menerima dana bernilai AS$731 juta (RM2.9 bilion) yang disyaki diselewengkan dari 1MDB.

Bagaimanapun Najib menafikan beliau terbabit dalam sebarang salah laku atau penyelewengan.
Semalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyerahkan notis kepada Najib supaya hadir di pejabat agensi penguat kuasa berkenaan untuk diambil keterangan pada 22 Mei ini.
-malaysiakini 

Berpada-padalah Anwar, jangan lajak sangat

ZULHAZMI SHARIFF 

Berpada-padalah apabila bercakap, nasihat ikhlas buat Anwar dari penulis.

Hai… nama aku Zulhazmi… aku berumur 42 tahun.. aku dilahirkan di Kampung Kota Bukit , Kedah dalam keluarga yang menentang Umno. Kami sekeluarga penyokong Pas melawan Umno.

Semakin remaja di alam sekolah menengah, aku masih menyokong Pas dengan seluruh keluarga aku. Di mana ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, aku dengan abang-abang akan ikut ayah turun menyumbang tenaga untuk menumbangkan Umno yang bagi kami zalim. Tahun 1990 paling seronok kerana muncul gabungan Angkatan Perpaduan Ummah antara Pas dengan Semangat 46 hingga berjaya menjatuhkan Umno di Kelantan.

Meningkat dewasa di Universiti Kebangsaan Malaysia dari 1993 – 1999 aku tak aktif politik dalam kampus sebab bagi aku politik kampus ni poyo saja. Ramai kawan-kawan aku di sekolah dan di kampung aktif dalam politik kampus sehingga menjadi antara pimpinan tinggi persatuan mahasiswa dalam kampus. Aku tak terlibat dalam politik kampus tapi bila balik dari kampus ke kempung, aku adalah penyokong Pas.

Tahun 1997 – 1998, berlaku pergolakan politik dalam Umno hingga Anwar dipecat dan dibicarakan. Waktu tu aku antara orang yg paling seronok memadanmukakan Anwar!!! Padan muka hang kata aku waktu tu. Masa hang jadik TPM, hang belagak
bukan main, apa hang tak kata kat kami orang-orang Pas ni.

Anwar buat reformasi dalam Umno/BN..?? Ehhh ya ka? Bersepah skandal Anwar masa dia Ketua Pemuda sehingga di TPM.

Tapi bila Anwar dihina, dilayan bagai manusia tak ada nilai, aku yang ketika itu adalah pelajar di fakulti undang-undang, aku tahu menilai mana yang zalim mana yang adil. Bagi aku, sejahat mana manusia selagak Firaun pun, dia tetap maanusia dan tidak layak dilayan seperti itu.

Aku menyokong Pas dan GERAK yang digerakkan oleh Almarhum Ustaz Fadzil. Aku lupakan saja sejarah Anwar semasa dia dalam Umno walaupun masih terngiang-ngiang di kepala hinaan dan cercaan dia pada Pas dan ahli-ahli Pas termasuk aku.

Anwar dilayan begitu teruk oleh Umno yang diketuai Tun Dr. Mahathir ketika itu.. semuanya fakta sejarah yang semua orang tau.

Kemudian Anwar kembali gagah mengetuai pakatan pembangkang dengan nama Pakatan Rakyat. Terus melawan Umno/BN.

Pernah juga Anwar cuba deal dengan Najib untuk Konsensus Nasional pada PRU13 disaksikan Pak Jusuf Kalla dengan ditawarkan tempat dalam kabinet tapi gagal kerana DAP dan Pas tak setuju.

Aku kemudian keluar Pas dan sertai DAP. Aku keluar Pas kerana Pas tidak lagi lawan Umno sebaliknya barua Umno. Aku sertai DAP sebab DAP istiqamah lawan Umno dan nak menjadikan Malaysia milik semua.

Dipendekkan tulisan…

Sekarang Pakatan Harapan berjaya jatuhkan Umno/BN. Anwar bebas setelah pengampunan Diraja.

Keluar Anwar mendakwa inilah perjuangan rakyat selama 20 tahun bermula 1998 bila dia dipecat. Ehhh? Perjuangan rakyat?

Aku cuma nak kata “KEPALA BAPAK HANG”

Hang seorang saja ka rakyat Malaysia?? Selama kami lawan Umno sedari hang dalam Umno tak kira kami ni rakyat?

Hang saja hero dalam Malaysia ni? Semuanya hang?

Berpada-padalah Datuk Seri Anwar.

Jangan diulang kesilapan lalu.

Sejarah lama jadikan pedoman dan teladan.

Jangan lajak sangat.

Yang nak masuk mai komen (dalam FB) sat lagi tu, pikiaq dalam-dalam… hangpa lawan Umno sebab Umno jahat atau sebab Anwar atau sebab Tun…. guna akal bukan otak…

Hormat orang lain sama sebab Malaysia ini hak aku, hak warganegara Malaysia!

Aku

Zulhazmi Shariff
17052018
Bandar Tasik Selatan.

Kekal atau lepas jawatan MB, Azmin temui Sultan Selangor hari ini

Khairil Ashraf
PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan bertemu Sultan Sharafuddin Idris Shah esok bagi menentukan kedudukannya sebagai menteri besar Selangor, selepas namanya diumumkan sebagai menteri persekutuan hari ini.

Pegawai Komunikasi Strategik di Pejabat Menteri Besar, Yin Shao Loong berkata pertemuan esok akan menentukan sama ada Azmin kekal sebagai menteri besar atau ke Putrajaya.

“Azmin akan bertemu perdana menteri secepat mungkin dan bertemu Sultan Selangor esok bagi menentukan kedudukan sama ada kekal menerajui Selangor atau membantu pentadbiran Putrajaya sebagai menteri hal ehwal ekonomi,” katanya kepada FMT.

Senarai menteri persekutuan baru yang diterima dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyebabkan kejutan apabila ia mengumumkan nama Azmin, 54, yang mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor 11 Mei lalu.

Penyokong Pakatan Harapan mengatakan kemenangan besar di Selangor pada pilihan raya baru-baru ini merupakan perakuan kepada prestasi Azmin sebagai menteri besar dari 2010.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Sekretariat PH Datuk Saifuddin Abdullah berkata Azmin perlu melepaskan jawatan menteri besar jika ingin membantu pentadbiran Dr Mahathir, yang memenangi pilihan raya dengan bergaya atas platform reformasi.

“Logiknya begitulah,” katanya, tetapi mengakui dia tidak tahu butiran perkembangan ini.

Exco Selangor Amiruddin Shaari ketika dihubungi tidak pasti langkah Azmin seterusnya, manakala Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar tidak mahu mengulas.

Peti besi rumah Najib berjaya dibuka

Pihak polis berjaya membuka peti besi di rumah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan tidak pernah dibuka sejak 20 tahun lalu, lapor media tempatan

Sinar Harian melaporkan akhbar itu difahamkan dua tukang kunci ditugaskan untuk membuka peti besi yang berada di tingkat satu kediaman di Taman Duta itu.

Menurut sumber, peti besi lama keluarga itu tidak dapat dibuka sebelum ini kerana kuncinya telah hilang.

"Tugasan buka peti berkenaan telah selesai dan peti besi itu mengandungi wang tunai," sumber memberitahu Sinar Harian.

Bagaimanapun, dilaporkan terdapat lapan lagi peti besi yang belum dibuka di Seri Perdana, Putrajaya.
-malaysiakini

Senarai Menteri kabinet

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan senarai menteri yang dilantik untuk menganggotai kabinet terasnya.

Senarai itu telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Mahmud V, petang tadi untuk mendapat perkenan baginda.

Tanpa mengira jawatan perdana menteri dan timbalannya, BERSATU mendapat tiga jawatan, PKR (3), DAP (4) dan AMANAH (3).

Berikut senarai jemaah menteri itu.

PERDANA MENTERI
Tun Dr Mahathir bin Mohamad (Bersatu - Langkawi)

TIMBALAN PERDANA MENTERI
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR - Pandan)

BERSATU

Menteri Dalam Negeri:
Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh)

Menteri Pendidikan:
Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam)

Menteri Pembangunan Luar Bandar:
Rina Harun (Titiwangsa)

PKR

Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga:
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Pandan)

Menteri Hal Ehwal Ekonomi:
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak)

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan:
Zuraida Kamaruddin (Ampang)

DAP

Menteri Kewangan:
Lim Guan Eng (Bagan)

Menteri Pengangkutan:
Anthony Loke Siew Fook (Seremban)

Menteri Komunikasi dan Multimedia:
Gobind Singh Deo (Puchong)

Menteri Tenaga Manusia:
M Kulasegaran (Ipoh Barat)

AMANAH:

Menteri Pertahanan:
Mohamad Sabu (Kota Raja)

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani:
Salahuddin Ayub (Pulai)

Menteri Kesihatan:
Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).

Polis enggan sahkan temui 100kg emas di kondo

Ketika pelbagai kisah mengenai rampasan pihak berkuasa ke atas barangan mewah tular di media sosial, tidak ada sebarang pengesahan mengenainya dikeluarkan.

Malah kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh masih terlalu awal untuk pihaknya memberikan pengesahan.

"Saya rasa ia pramatang... terlalu awal untuk mengesahkan atau menafikan barang-barang yang dirampas," katanya kepada media pagi tadi.

Menurut Amar Singh polis berpendirian begitu kerana setakat ini mereka belum memperincikan sepenuhnya barang yang diramas berkenaan.

Sebelum ini akhbar Sin Chew Daily melaporkan polis menyita lebih 100kg bar emas dari dua unit kediaman mewah di Pavillion Residence di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.

Selain itu polis turut merampas lebih RM100 juta wang tunai.

Hasil penggeledahan di dua unit kediaman yang dikaitkan dengan siasatan 1MDB itu Amar Singh juga membuat kenyataan mengejutkan.

Polis memerlukan lima buah lori untuk mengangkut semua barang yang dirampas itu ke Bukit Aman.

Antaranya ialah 72 beg wang dan barang kemas serta 284 beg tangan. Wang tunai yang dirampas itu pula dalam pelbagai mata wang.

Baca Apa ada dalam peti besi di rumah Najib?

Polis juga menggeledah lima lokasi lain yang didapati berkaitan dalam siasatan mereka, termasuk Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya serta rumah anggota parlimen pembangkang dari Pekan Datuk Seri Najib Razak, di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.

Sejumlah dokumen berkaitan 1MDB juga dirampas.

Setakat berita ini ditulis, polis masih berada di rumah Najib di Jalan Langgak Duta itu. Antara lain mereka masih cuba membuta sebuah peti besi yang ditemui di rumah berkenaan pada pagi semalam.

Sebelum ini peguam Najib Datuk Harpal Singh Grewal mendakwa peti besi itu tidak dibuka-buka sejak 20 tahun lalu kerana kuncinya tidak ditemui.
-malaysiakini

Nik Omar sebak cerita 'disingkir' dari Masjid Tok Guru

Belum genap 10 hari selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) slot kuliah subuh Nik Omar Nik Abdul Aziz di Masjid Pulau Melaka - yang lebih dikenali sebagai Masjid Tok Guru - sudah digantikan.

Pagi tadi anak kedua bekas menteri besar Kelantan itu tidak lagi dibenarkan menyampaikan kuliah seperti selalu.

Sebaliknya tugas itu diberikan kepada anak kelima pemimpin yang disegani ramai itu, Nik Abduh.

Menceritakan insiden itu di Kota Bharu pagi tadi Nik Omar berkata sejak bapanya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia pengisian program di masjid berkenaan dibahagi-bahagikan sesama anak bekas menteri besar Kelantan itu.

Nik Omar sendiri diberikan tugas memberikan kuliah Maghrib pada malam Khamis dan Rabu, serta kuliah subuh pada Jumaat.

Dengan nada suara yang dapat dikesan sedikit sebak, Nik Omar berkata semasa sembahyang Subuh tadi adiknya tiba-tiba menjadi imam dan mengambil tempatnya menyampaikan kuliah.

"Lepas tu dia bersalam, cuma ambo kata, tak apa ke bersalam ni? Tak najis ke ambo ni?" katanya disambut ketawa orang ramai yang mendengar kuliahnya di Wisma Tok Guru di Kota Bharu.

Kuliah itu disiarkan secara langsung melalui Facebook Husam Musa.

Sebelum itu Nik Omar meminta maaf kerana tidak dapat menyampaikan kuliahnya seperti biasa di bangunan berkenaan seperti selalu ekoran insiden di Masjid Pulau Melaka berkenaan.

"Ambo ni pagi mintak maaf banyak-banyak sebab tak boleh nak fokus, tak boleh nak bagi kuliah," katanya.

Nik Omar berkata Nik Abduh memberitahunya bahawa dia tidak lagi dibenarkan menjadi imam atau memberi kuliah di masjid berkenaan seperti sebelum ini.

"Dia (Nik Abduh) kata, ia keputusan keluarga," katanya.

Baca Nik Omar: Kelantan cuma 'jambatan' rakyat ke Putrajaya

Menurut Nik Omar apa yang terjadi kepadanya adalah harga yang terpaksa dibayar kerana menyertai Pakatan Harapan.

Namun katanya dia tidak akan berundur selepas membuat keputusan berkenaan.

Dalam PRU ke-14 pada 9 Mei lalu Nik Omar diletakkan mewakili HARAPAN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Chempaka - kawasan yang diwakili Nik Abdul Aziz sebelum ini.

Tidak seperti jangkaan ramai, HARAPAN gagal memberi kesan di Kelantan. Malah Nik Omar kalah di kerusi berkenaan.
-malaysiakini

Surat terbuka kepada bekas pembantu Najib, Ustaz Fathul Bari

Manan Razali
Saya ingin ucap terima kasih pada Ustaz kerana menyuarakan peringatan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad supaya jangan membawa masuk pemikiran liberal. Tetapi saya rasa Ustaz tidak perlu bimbang atau cemas mengenai hal ini. Saya percaya sahabat-sahabat kita yang berfikiran progresif (bukan liberal) akan diberi peranan oleh Dr Mahathir untuk membantunya dalam urusan ini.

Tetapi ada hal lain yang saya ingin sampaikan kepada Ustaz melalui tulisan ini.

Saya terdorong menulis surat ini apabila melihat nama Ustaz dalam laporan FMT dan terus terang saya nyatakan bahawa saya rasa alergik setiap kali apabila ternampak nama Ustaz di mana-mana sahaja sejak Ustaz masuk Umno dulu.

Maka saya ambil peluang ini untuk menyuarakan apa yang terbungkam di dalam lubuk hati saya mengenai kekecewaan saya terhadap Ustaz.

Surat ini saya jadikan ia terbuka supaya boleh dibaca secara umum oleh sesiapa sahaja kerana hal ini menyangkut tentang persoalan kepentingan ummah yang saya rasa telah dikelirukan oleh agamawan dan golongan cerdik pandai seperti Ustaz.

Untuk makluman Ustaz, kita sama-sama adalah pendokong Sunnah. Saya biasa ikuti majlis ilmu yang Ustaz sampaikan di salah sebuah rumah sahabat kita di Taman Tun Dr Ismail waktu Ustaz baru pulang dari Madinah dan bertugas di Institut Jantung Negara sebagai pegawai agama. Kalau Ustaz jumpa saya, saya percaya Ustaz akan masih mengenali saya, insya Allah.

Ini isunya: Saya amat musykil kenapa Ustaz tidak tegakkan sunnah Nabi dan para sahabat baginda dari segi cara berpolitik sepanjang Ustaz berada dalam Umno. Islam ajar penganutnya supaya jangan menyokong pemimpin yang jahat. Jahat di sini termasuk mencuri duit dan harta rakyat, kuat memberi dan menerima rasuah, dan kuat kelentong.

Tetapi Ustaz telah memilih untuk bersama pemimpin-pemimpin begini atas kerelaan Ustaz sendiri.

Apa justifikasi yang Ustaz boleh beri apabila mengajak umat Islam bersama-sama sokong pemimpin-pemimpin yang angkuh dan berganding bahu dengan ketua mereka membelasah duit rakyat, untuk mereka terus memimpin Malaysia?

Tolong tunjuk saya di mana dalam Al-Quran dan sirah Nabi yang Nabi dan para sahabat baginda pernah mengajar umatnya berpolitik dengan cara begini.

Jangan malukan perjuangan sunnah di Malaysia. Perjuangan sunnah di Malaysia sudah melangkau jauh dari bab nak hentam orang tentang amalan-amalan bid’ah dan perkara-perkara lain yang sempit.

Perjuangan sunnah yang lebih utama kini ialah tentang bagaimana kita boleh pelajari dan gunakan prinsip serta dasar yang telah dibentuk dan dilaksanakan oleh Nabi dan para sahabat baginda untuk jadikan ruh Islam itu hidup mekar sebagai Ad-Diin yang bersifat rahmataan lil ‘alamin dengan nilai-nilai kemanusiaan yang sejagat tanpa berkompromi dalam permasalahan aqidah.

Bahkan keperluan ini lebih mendesak di dalam masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama seperti di Malaysia. Fiqh yang perlu kita guna mestilah menjurus ke arah dakwah yang mampu menjadikan Islam menarik untuk didekati dan dipelajari secara sukarela oleh orang-orang bukan Islam.

Kejayaan sebenar kita di sisi Allah diukur apabila kita mampu membuat orang bukan Islam memilih dan menerima agama Islam secara berbondong-bondong tanpa paksaan, sebagai sistem hidup yang dapat memberi mereka keselamatan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Lihat Surah An-Nasr ayat 1-3.

Masalahnya ialah apabila Ustaz sokong dan berkhidmat untuk golongan sebegini, orang jadi keliru dengan Islam. Bukan hanya bukan-Muslim yang bingung, malah umat Islampun sama-sama bingung juga!

Apa sandaran agama yg Ustaz gunakan bagi mewajarkan tindakan ini? Adakah Ustaz berada dalam keadaan darurat seperti Ammar bin Yasir yang dipaksa menyanjung berhala kafir Quraisy dan berlepas diri dari Rasullullah untuk selamatkan nyawanya setelah ibubapanya syahid?

Setahu saya, Ustaz memilih untuk masuk Umno atas kerelaan sendiri. Dan apabila dia berhadapan dengan berbagai skandal yang berskala mega seperti 1MDB, Felda, KWAP, Tabung Haji dan yang lain-lain, Ustaz tetap teguh menyokongnya.

Sunnah Nabi yang mana satu yang Ustaz jadikan sandaran di sini? Kenapa tidak Ustaz tinggalkan saja dia dan mereka yang bersama-samanya dalam Umno?

Saya nasihatkan Ustaz lebih baik buat pengakuan taubat dan penyesalan secara terbuka atas pendirian Ustaz yang telah tersilap langkah menyokong dan mengajak umat Islam menyokong Umno. Ini saja yang saya lihat boleh tebus balik kesalahan Ustaz dan rasa malu yang Ustaz telah bawa kepada perjuangan Sunnah di Malaysia.

Selagi Ustaz tidak lakukan ini, saya akan memandang Ustaz sebagai seorang pendokong kemungkaran yang tidak menyesal dengan tindakan untuk duduk bersama pemimpin yang zalim.

Nasib baik Umar al-Khattab tidak hidup bersama kita pada hari ini. Kalau dia ada, mahu dikerjakannya!

Selain ini, kedudukan sebegini berisiko tinggi untuk tidak diakui oleh Nabi sebagai umatnya di akhirat kelak. Hadisnya sahih dan saya percaya Ustaz lebih arif mengenainya.

Akhir kata, saya berdoa semoga Allah akan beri kesedaran kepada Ustaz di bulan mulia yang penuh keberkatan ini atas kesalahan besar Ustaz terhadap umat Islam di Malaysia kerana menyebabkan ramai orang berpihak kepada kebatilan.

Disebabkan peranan Ustaz dalam Umno yang terang-terang menyokong kepimpinan Najib Razak, Ustaz telah memberi mesej tersirat yang kuat bahawa seolah-olahnya tidak menjadi kesalahan untuk memilih pemimpin sepertinya dalam keadaan bukan darurat dan tanpa paksaan.

Inilah kelebihan demokrasi sebenarnya. Kita diberi kebebasan memilih pemimpin tanpa perlu mengangkat senjata.

Tetapi awas! Di akhirat nanti, kita pasti akan dipertanggung-jawabkan atas pilihan tersebut. Dan menurut perkiraan saya, Ustaz telah memainkan peranan yang besar mempengaruhi orang lain membuat pilihan yang terang-terang menyalahi agama.

Sah ‘tsunami rakyat’ tumbangkan BN, undi popular merudum di pusat, negeri

HUSIN MAHAT
Kajian awal keputusan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) mendapati undi popular diperolehi BN di seluruh negara merosot teruk membuktikan gabungan politik berusia lebih enam dekad itu tewas akibat ‘tsunami rakyat’.

Di peringkat nasional, undi popular diperolehi BN merosot daripada 46.7% pada PRU13 kepada 33.9% pada PRU14; kemerosotan 12.8%.

Di masa yang sama undi popular diperolehi Pakatan Harapan pada PRU14 adalah 48.3% manakala Pas mencatat 16.6%.

Pakatan Rakyat yang menggabungkan PKR, DAP dan Pas pada PRU13 memperolehi 50.1% undi popular pada PRU13 namun gagal membentuk kerajaan persekutuan ekoran sistem ‘first past the post’ yang diamalkan sistem pilihan raya negara yang memberi kelebihan kepada BN berdasarkan perolehan kerusi calon-calon parti yang bertanding.

Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan, Dr Ong Kian Ming dalam kenyataan medianya juga mendedahkan undi popular diperolehi BN di negeri-negeri juga merosot teruk.

“Peralihan sokongan melawan BN berlaku di Kedah apabila sokongan terhadap BN merosot 19.8% daripada 49.8% pada PRU13 kepada 30% dalam PRU 2018.

“Peralihan sokongan dua angka terhadap BN juga dialami di Selangor, Johor, Perlis, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah, Wilayah Persekutuan (KL dan Putrajaya), Perak dan Terengganu,” katanya.

Malah tambah beliau, di Sarawak satu-satunya negeri dimenangi BN dengan 52.7% undi popular, menyaksikan kemerosotan 5.5% berbanding 58.2% pada PRU13.

Menurut beliau, terdapat bukti yang jelas bahawa pengundi polis dan tentera juga ‘mengabaikan BN’ dengan angka yang signifikan.

Dr Ong turut menolak pandangan sesetengah penganalisis yang mendakwa PH tidak mendapat sokongan majoriti pengundi dengan menggabungkan jumlah undi diperolehi BN dan Pas (50.5%).

Keputusan PRU14 katanya pada keseluruhan menunjukkan penentangan terhadap BN apabila 65% pengundi menolak BN dengan mengundi parti-parti selain BN.

“Hampir 2/3 pengundi di negara ini mengundi menolak BN kerana mereka benar-benar mahu melucutkan kekuasaan BN di peringkat persekutuan dan negeri.

Polis rampas 72 beg wang tunai, barangan kemas, 284 kotak beg mewah (Gambar)

Polis merampas 72 beg berisi barangan kemas dan wang tunai pelbagai mata wang dari kondominium mewah yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pavillion Residence, Kuala Lumpur.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, turut dirampas sebanyak 284 kotak mengandungi beg tangan mewah pelbagai jenama.

Dalam sidang medianya lewat malam ini, Amar Singh berkata rampasan itu mempunyai kaitan dengan siasatan berhubung skandal 1MDB.

"Ini adalah hasil carian dari satu daripada enam premis.

"Jumlah barangan yang kita rampas 72 (beg) yang mengandungi wang tunai pelbagai mata wang dan juga barangan kemas," katanya.

Ditanya mengenai beg tangan yang dirampas, Amar berkata ia termasuk jenama mewah Hermes dan Birkin.

Manakala bagi nilai barang yang dirampas setakat ini, Amar berkata beliau tidak dapat memberikan anggaran kerana polis belum membuat pengiraan terperinci.

"Kami telah merampas beg berkenaan, kami tahu ia mengandungi wang tunai dan barang kemas.

"Secara tepat berapa banyak wang tunai saya tidak boleh katakan atau berapa banyak barang kemas. Tetapi jumlah barangan kemas agak besar," katanya.

Difahamkan polis berada di lokasi sejak kira-kira 7.30 malam.

Amar mengesahkan tiada sesiapa di kediaman berkenaan ketika mereka melakukan serbuan.

Diminta menjelaskan mengenai pemilik unit kediaman tersebut, Amar berkata salah satu daripada unit itu milik seorang "Tan Sri", namun enggan mendedahkan butiran lanjut.

Amar juga menambah polis telah menyelesaikan pemeriksaan di unit-unit mewah di situ.

Mengenai serbuan berterusan di kediaman rasmi Najib di Jalan Langgak Duta, Amar berkata pihak polis masih tidak dapat memecahkan peti besi keselamatan yang dikatakan terkunci selama 20 tahun.

Terdahulu, Orang ramai dan media dilihat berkumpul di luar kondominium mewah Pavillion Residences berikutan serbuan di kediaman yang terletak di Jalan Raja Chulan itu.

Sehingga jam 1.25 pagi, polis dilihat telah membawa sekurang-kurangnya lima trak ke kondominium mewah berkenaan.

Pegawai dan anggota polis kemudian dilihat memuat naik kotak-kotak barang yang telah dirampas daripada unit berkenaan.

Apa ada dalam peti besi di rumah Najib?

Sebuah peti besi yang ditemui anggota polis dari Bukit Aman di tingkat satu rumah Datuk Seri Najib Razak masih gagal dibuka walaupun diusahakan sejak pagi tadi, kata peguam anggota parlimen pembangkang itu.

Kata Datuk Harpal Singh Grewal, anak guamnya tidak memiliki kunci kepada peti besi berkenaan dan ia tidak dibuka-buka sejak 20 tahun lalu.

"Pada kira-kira jam 8.30 pagi, beberapa anggota polis memasuki sebuah bilik di tingkat satu dan memutuskan untuk menggerudi sebuah peti besi yang terkunci selama dua dekat apabila anak kuncinya tersalah letak.

"Penggerudian berlanjutan walaupun sekarang sudah lebih jam 5 petang dan memang tidak ada ketenangan di kediaman beliau (Najib)," katanya dalam satu kenyataan.

Menjelaskan perkembangan siasatan di kediaman bekas perdana menteri itu Harpal Singh memberitahu seramai 50 hingga 60 anggota serta pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman tiba di kediaman Naji kira-kira jam 10 malam tadi.

Mereka kemudian mengawal persekitaran premis itu serta memaklumkan mahu melakukan penggeledahan.

Katanya Najib bersetuju memberi kerjasama penuh dan membenarkan polis menjalankan kerja mereka.

"Anggota polis itu berpecah kepada beberapa kumpulan dan melakukan pemeriksaan di seluruh kediaman anak guam saya dan membuka beberapa kotak mengandungi barangan peribadi yang kemudian dibungkus dan dibawa dari kediaman rasminya.

"Pencarian itu berterusan sehingga kira-kira jam 5 pagi apabila tiga kotak berisi barangan peribadi serta beg tangan serta pakaian dibungkus dalam beberapa kotak sebelum dibawa pergi oleh polis," katanya.

Harpal Singh menjelaskan polis memberitahu mereka akan beredar dari rumah itu selepas siap membungkus kotak terakhir.

Kira-kira jam 5 pagi kata peguam itu masih ada beberapa anggota polis di luar rumah Najib sehingga beberapa jam kemudian.

Selepas itulah katanya mereka menemui peti besi berkenaan.

Menurut Harpal Singh ketika ini Najib keletihan, terganggu dan sedang berehat.

"Bagaimanapun polis tidak menyoal siasat beliau," katanya.

Katanya polis tidak menemui sebarang bahan yang penting dan tiada dokumen diambil.

Harpal Singh juga memberitahu waran penggeledahan yang diperolehi polis adalah berkaitan dengan isu antipengubahan wang haram.

Menurut peguam itu, penggeledahan yang dilakukan di premis terbabit serta pelbagai barang yang dirampas dan penggerudian peti besi lama mungkin menyebabkan gangguan kepada Najib, keluarganya serta penghuni lain di kawasan berkenaan.


Katanya ia juga memberikan imej buruk kepada Najib.

"Lebih penting serbuan dijalankan itu berlaku pada bulan Ramadan dan Najib, keluarga serta kakitangannya dinafikan daripada hak mereka untuk beribadat menjelang berbuka pada hari pertama puasa," katanya.

Menurut Harpal Singh lagi Najib sudah menyatakan kesanggupannya memberikan kerjasama penuh kepada pihak yang berkenaan namun berlaku gangguan berterusan selama hampir 18 jam ini serta tiada hasil yang bermakna," katanya.

Mahathir pegang portfolio pelajaran, Wan Azizah pula kementerian wanita

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menamakan dirinya sebagai menteri pelajaran.

Beliau juga menamakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail diberikan portfolio hal ehwal wanita dan kebajikan.

"Kami akan cuba mendapatkan 13 menteri mengangkat sumpah pada Isnin (21 Mei) jika Istana berkenan," kata ahathir pada sidang akhbar selepas mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan di Yayasan Selangor, Petaling Jaya.


Pada 12 Mei lalu, Mahathir mengumumkan pelantikan tiga jawatan kementerian yang paling kanan.

Mereka ialah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, Presiden AMANAH Mohamad Sabu diberi tanggungjawab sebagai menteri pertahanan, manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanggungjawab untuk Kementerian Dalam Negeri.
-malaysiakini

Giliran gambar Najib pula dipotong

ARIF ATAN
Gambar Najib di poster gergasi di restoran Jamal sudah dipotong.
Sekali bah sekali pantai berubah. Barangkali itu perumpamaan yang sesuai kepada situasi sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Sebelum Umno-BN kalah teruk di tangan lebih 14 juta pengundi, gambar Tun Dr Mahathir Mohamad dilarang terpampang di papan iklan sehingga digunting dan dicat.

Namun, pasca pesta demokrasi 9 Mei menyaksikan giliran gambar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula dikerat.

Tinjauan Malaysia Dateline mendapati poster dalam Restoran Gabungan NGO 1Malaysia yang dikendalikan Pengerusi BN Parlimen Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos sudah dipotong.

Lokasi poster itu digantung dekat deretan tempat cuci pinggan. Akibat dikerat, tinggal hanya tertera ‘Negaraku Malaysia’ pada poster bersaiz gergasi itu.

Poster tersebut mulanya mengabadikan gambar-gambar Najib ketika mengunjungi restoran itu pada 28 November tahun lalu.
Najib pernah datang ke restoran jamal untuk menikmati hidangan yang disediakan di situ.

Restoran di Jalan Pahang, Kuala Lumpur yang menghidangkan makanan tengah hari secara percuma itu juga didapati hanya menyediakan satu berbanding dua stesen agihan makanan sebelum ini.


Hidangan sekarang kerap ikan goreng berbanding pelbagai juadah sebagaimana foto yang diambil pada 27 Oktober 2017.

Beberapa pengunjung pula memberitahu menu makanan juga semakin tidak mewah berbanding beberapa bulan dibuka sejak 16 Oktober tahun lalu.

Jika ketika itu, pengunjung dijamu dengan hidangan ala kenduri kahwin berupa nasi minyak atau nasi biasa serta pelbagai jenis lauk, sekarang menu itu sudah tiada lagi.

Seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Ani, 43, memberitahu restoran itu kini lebih kerap menghidangkan ikan goreng tidak lagi menunya bergilir dengan ayam atau daging seperti sebelum ini.

Ani juga berkata, menu sampingan berupa kuih, potongan buah atau bubur kacang hijau juga sudah lama tidak lagi dapat dinikmati.
Pemerhatian juga mendapati pengunjung dihidang dengan nasi biasa, ikan masak kicap, telur goreng hancur dan masakan tauge dengan daun kucai sahaja.

Jamal kelmarin memberitahu masih kekal dan setia dalam Umno pernah memberitahu restoran itu memberi makanan percuma kepada 1,000 rakyat Malaysia pada setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad selama tiga tahun.

Walau bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada restoran itu akan terus dibuka sehingga tahun 2020 apabila buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya negara, BN kalah teruk dengan hanya menang 78 daripada 222 kerusi Parlimen pada minggu lalu.27