Bagaimana Muhyiddin perkukuh kuasa melalui lantikan GLC Terence Gomez

Telah lebih sebulan sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kuasa, namun skala serta skop perubahan di kalangan pengarah dan pengurusan kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) cukup membingungkan.

Kadar perubahan pantas lebih mengejutkan memandangkan lantikan ini dibuat PN yang diketuai oleh perdana menteri dan menteri-menteri kanan yang sebelum ini berada dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Satu dimensi teras dunia GLC yang luas di Malaysia ialah menteri kabinet mengawasi pelbagai macam syarikat.
Oleh kerana ahli politik yang dilantik untuk jawatan kabinet utama mempunyai pengaruh yang besar terhadap sektor korporat, perlu dijelaskan taklimat sejarah penguasaan GLC baru-baru ini.
Kementerian di dalam perniagaan
Sebelum pilihan raya umum 2018 yang menempa sejarah itu, PH di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad, telah berjanji untuk mereformasikan GLC. Ikrar ini penting kerana perdana menteri ketika itu, Najib Razak, dalam tugasannya sebagai menteri kewangan mempunyai kawalan efektif terhadap GLC utama di Malaysia.
Penumpuan kuasa politik dan korporat di tangan menteri perdana menteri yang menjadi menteri kewangan itu didakwa menyumbang kepada penyalahgunaan serius terhadap institusi berasaskan perniagaan, termasuk 1MDB, Tabung Haji dan Mara.
Di bawah pentadbiran Najib, empat kementerian utama mempunyai pengaruh korporat yang besar - Pejabat Perdana Menteri (PMO), Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pembangunan Usahawan. Apabila PH mengambil alih kuasa, perdana menteri Dr Mahathir ketika itu telah mewujudkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.
GLC berasaskan bumiputera yang penting telah dipindahkan ke Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, memberi menterinya, pemimpin PKR pada waktu itu, Azmin Ali pengaruh besar ke atas segmen sektor korporat ini.





Mahathir juga memindahkan cabang pelaburan terkemuka Malaysia, Permodalan Nasional Bhd (PNB), daripada Kementerian Kewangan kepada PMO.
Ini bermakna walaupun perdana menteri tidak lagi dalam masa yang sama berkhidmat sebagai menteri kewangan, namun terdapat trend lama yang dikritik oleh parti pembangkang, iaitu banyak kuasa ekonomi kini terletak di bawah PMO.
Pemimpin utama parti Mahathir, Bersatu, dilantik sebagai menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pembangunan Usahawan. Rina Harun mengetuai Kementerian Pembangunan Luar Bandar, manakala Mohd Redzuan Yusof mengetuai Kementerian Pembangunan Usahawan.
Kedua-duanya tidak mempunyai pengalaman berkhidmat dalam kerajaan.

Kuasa beralih kepada PN
Kementerian Pembangunan Luar Bandar mengawasi badan-badan berkanun yang bertanggungjawab untuk pembangunan kawasan luar bandar di mana ramai bumiputera yang berpendapatan rendah dan miskin terletak. Badan berkanun ini termasuk Mara dan Felcra yang memiliki sebilangan besar GLC.
Pembangunan Kementerian Usahawan mengawasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang merupakan 98.5 peratus daripada sektor korporat. Ini mencadangkan bahawa pengaruh Mahathir - dan Bersatu ke atas korporat Malaysia, agak besar.
Selepas PN mengambil alih kuasa, walaupun Azmin, Rina dan Redzuan, dilantik semula sebagai menteri, namun peralihan penting telah berlaku di kementerian-kementerian ini, seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah.


Perdana menteri baru, Muhyiddin Yassin, membubarkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan semua institusi di bawahnya telah digabungkan dengan PMO.


Azmin, walaupun kini menjadi anggota Bersatu, diberi tanggungjawab untuk portfolio yang kurang penting, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).
Walau bagaimanapun, Muhyiddin telah melantik Azmin sebagai seorang menteri kanan. Miti tidak mempunyai kawalan terhadap banyak GLC, menunjukkan bahawa pengaruh Azmin terhadap syarikat berkaitan kerajaan juga telah semakin terhakis.



Gambar rajah di bawah menunjukkan hasil pemindahan semua institusi di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi kepada PMO. Jelas sekali, Muhyiddin kini mempunyai lebih banyak kawalan terhadap syarikat korporat, berbanding dengan Mahathir. Antara institusi utama di bawah kawalan perdana menteri ialah PNB dan dana kekayaan tunggal Malaysia, Khazanah Nasional.
Dua institusi itu sahaja mempunyai pemilikan dan kawalan ke atas lapan daripada 10 syarikat teratas awam yang tersenarai di bursa saham Malaysia. 
Firma-firma ini termasuk Maybank dan CIMB, bank terkemuka Malaysia, syarikat berasaskan utiliti, Tenaga dan Axiata, konglomerat yang sangat pelbagai, Sime Darby, perusahaan berasaskan minyak dan gas Petronas Chemicals dan Petronas Gas, serta syarikat penjagaan kesihatan yang besar, IHH.


Di Kementerian Kewangan, Muhyiddin melantik Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai menteri, seorang pengurus bank yang bukan anggota mana-mana parti politik. 
Ini, seolah-olah, pelantikan "teknokrat", untuk membantu perdana menteri berurusan dengan kemelesetan ekonomi. Zafrul sendiri menegaskan beliau "bukan seorang ahli politik" dan menyuarakan harapannya untuk menjalankan tugas tanpa campur tangan politik.




Pemimpin Umno terkemuka, Bung Moktar Radin segera menempelak kenyataan Zafrul berkata: "Dia (Zafrul) dia tak sedar pelantikannya atas move (gerakan) politik."
Kementerian Kewangan mengawal institusi berasaskan tabungan yang besar, KWSP, dana pencen sektor awam, KWAP, dan Menteri Kewangan Diperbadankan, syarikat pegangan utama kerajaan, seperti ditunjukkan angka di gambar rajah ini.


Menariknya, walaupun Rina telah menyertai PN, Kementerian Pembangunan Luar Bandar kini dikawal oleh anggota Bersatu yang agak junior, Abdul Latiff Ahmad, bekas Umno dan anggota parlimen Mersing, sebuah kawasan di negeri asal Muhyiddin di Johor.

Abdul Latiff, dikatakan sekutu rapat Muhyiddin, telah menjadi MP sejak tahun 1999. Rina pula mengetuai Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, yang tidak mempunyai GLC penting.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar, bagaimanapun, mengawasi dunia GLC yang luas, seperti yang ditunjukkan oleh gambar rajah di bawah.


Oleh kerana Kementerian Pembangunan Luar Bandar mengawal badan-badan berkanun dan GLC dengan kehadiran di luar bandar yang luar biasa, kawasan utama di mana Umno telah lama mendapat sokongannya, maka selalunya kementerian ini berada di bawah kawalan seorang pemimpin kanan parti. 
Adalah penting bagi Bersatu untuk mengekalkan kawalan terhadap Kementerian Pembangunan Luar Bandar memandangkan parti ini mempunyai sedikit sokongan di kawasan berkenaan.

Kawalan Kementerian Pembangunan Usahawan diberikan kepada Wan Junaidi Jaafar, seorang ahli politik dari Sarawak dan ahli parti terbesar negeri, PBB. Ini mencadangkan Muhyiddin menanggapi Kementerian Pembangunan Usahawan yang mengawasi dunia perusahaan kecil dan sederhana (SME) sebagai kurang penting.
Institusi kewangan pembangunan utama (IKP) seperti SME Bank dan Bank Rakyat berada di bawah kementerian ini, seperti ditunjukkan gambar rajah di bawah.


Muhyiddin segera menyedari kesilapannya. Hanya seminggu selepas mengumumkan pakej rangsangan pertamanya, Muhyiddin mengemukakan pakej tambahan, mengakui bahawa beliau terpaksa melakukan ini sebagai tindak balas terhadap reaksi serius daripada persatuan niaga berasaskan PKS.

Persatuan SME ini memberi maklum balas kurang baik terhadap pakej rangsangan pertama Muhyiddin, mendakwa tanpa sokongan kerajaan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada firma tersebut akan berhenti beroperasi, menyebabkan kira-kira empat juta orang akan menganggur.
Perubahan dalam GLC
Kawalan korporat yang banyak di bawah PMO dan (pemimpin) Bersatu kini amat mengejutkan dan membimbangkan. Sementara itu, Muhyiddin juga mengambil alih sebagai pengerusi Khazanah yang sangat berpengaruh, sementara Zafrul pula dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Khazanah.
Azmin, yang telah dilantik menjadi ahli lembaga pengarah Khazanah oleh Mahathir, tidak disingkirkan.
Menjadi amalan biasa, perdana menteri akan berkhidmat sebagai pengerusi Khazanah, dengan menteri kewangan menjadi ahli lembaga pengarah, bagaimanapun tidak pernah berlaku sebelumnya menteri perdagangan dan industri antarabangsa juga duduk dalam lembaga pengarah GLC itu.



Perubahan ahli lembaga pengarah yang lain berlaku, seperti yang ditunjukkan oleh jadual di bawah, walaupun sebilangan orang ini telah berundur daripada jawatan atas kehendak mereka sendiri.
Perubahan yang berlaku adalah dalam GLC yang berkait rapat dengan kementerian-kementerian utama ini. Peralihan penting yang lain juga turut berlaku.

Di Kementerian Sumber Manusia, di bawah kendalian (Timbalan Presiden) MIC, M Saravanan, seorang anggota parlimen Bersatu, Mohd Fasiah Mohd Fakeh, dituduh akan mengambil alih pengerusi Perkeso, menggantikan Zakri Mohd Khir, seorang profesional dari industri insurans.
Bagaimanapun, pelantikan Mohd Fasiah tidak akan berlaku kerana perundangan berkaitan dengan badan berkanun ini menetapkan bahawa ketua tidak boleh mempunyai fahaman politik.
Pelantikan di institusi lain di bawah kementerian ini diteruskan. Pengerusi baru Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) ialah Nelson Renganathan, seorang anggota MIC, yang menggantikan Noor Farida Mohd Ariffin, seorang peguam dan pemimpin NGO terkemuka.


Tiga perkara penting perlu diberi perhatian mengenai isu-isu yang melibatkan GLC ini.

Pertama, gambar rajah ini tidak dapat menampung jumlah GLC yang dikawal oleh kementerian-kementerian berkenaan. Dan, ini bukan senarai lengkap pengarah yang tidak lagi berkhidmat dengan GLC ini.

Konflik dan perubahan
Jumlah pengarah GLC yang dapat diberikan kepada ahli politik sangat besar, ia jalan utama untuk menenangkan wakil rakyat yang tidak berpuas hati kerana tidak dilantik ke dalam jemaah menteri.
Kedua, bahkan anggota parti dalam gabungan PN malah telah memprotes tata aturan semula kementerian dan pelantikan kabinet ini.
Ketiga, memburukkan masalah Muhyiddin adalah beliau perlu bersaing dengan sikap berpuak di dalam Bersatu yang melemahkan, apalagi ketika pemilihan Bersatu semakin hampir.
Mahathir masih kekal sebagai pengerusi Bersatu, manakala jawatan presiden Bersatu yang dipegang Muhyiddin akan dicabar oleh Mukhriz yang berpengaruh.
Lebih-lebih lagi, Muhyiddin tidak mempunyai sokongan padu Umno, dengan kritikan terbuka terhadap pelantikan jawatan menteri yang dibuat beliau.
Anggota parlimen Umno, Azalina Othman Said, bekas anggota kanan kabinet, mengadu bahawa anggota parlimen Umno patut diberikan portfolio "lebih penting" dan "kerajaan campuran" tidak boleh "dikuasai oleh mana-mana parti."
Bekas MP Umno, Shahrir Samad juga merungut bahawa "semangat en bloc PN hilang dalam barisan jemaah menteri itu".
Anggota Parlimen Umno Tajuddin Abdul Rahman mengkritik pelantikan Azmin sebagai menteri kanan, berkata "Umno berasa kurang selesa" dan "bagi saya (pelantikan Azmin sebagai menteri kanan) itu sebagai penerusan agenda Bersatu, dan mungkin lebih daripada itu."



Hanya seorang pemimpin Umno, Ismail Sabri Yaacob, dilantik sebagai menteri kanan dan sebagai menteri pertahanan, sebuah kementerian yang mempunyai sedikit kawalan terhadap GLC. Di bawah pentadbiran Najib, Ismail pernah berkhidmat sebagai menteri pembangunan luar bandar.
Sementara itu, Mahathir telah menyuarakan bagaimana pelantikan menteri dan GLC akan digunakan untuk menjamin pertukaran sokongan wakil rakyat PH untuk mengukuhkan kawalan PN di parlimen.
Mahathir berkata sokongan 114 kerusi padanya sebelum ini semakin kurang kerana “dia (Muhyiddin) sudah ambil orang saya."
Malah, Muhyiddin telah mmbentuk salah satu kabinet terbesar dalam sejarah Malaysia. Sementara itu, pelantikan GLC seluruhnya dijangka akan dibuat pada minggu-minggu akan datang.
Trend mengganggu
Trend sejarah dan perkembangan semasa ini menunjukkan bahawa walaupun Malaysia mempunyai tiga kerajaan yang berbeza sejak 2018, GLC terus digunakan dengan cara yang tidak bertanggungjawab.
GLC ini, yang dibentuk untuk membetulkan ketidakadilan sosial, sebaliknya menjadi alat politik penting bagi golongan elit yang berkuasa untuk mengukuhkan kuasa.
GLC telah digunakan untuk membantu kepentingan elit penguasa dalam tiga cara: Pertama, untuk menyalurkan konsesi yang dihasilkan oleh kerajaan ke kawasan utama bagi mendapatkan sokongan pilihan raya.
Kedua, dengan membolehkan pelantikan ahli politik ke lembaga GLC untuk mengekalkan sokongan terhadap parti. Ketiga, untuk menawarkan jawatan pengarah yang menguntungkan untuk mengelakkan pemimpin parti melompat, satu perkara yang diutarakan oleh Mahathir menjadi penyebab kejatuhan pemerintahannya.
Memandangkan GLC adalah syarikat utama yang memainkan peranan penting dalam ekonomi, keperluan untuk perubahan besar terhadap sejumlah lembaga pengarah ini perlu dipersoalkan kerana ia akan menimbulkan gangguan.
Walaupun GLC perlu diperlakukan secara produktif untuk menampung ekonomi yang sakit, yang selanjutnya terjejas akibat wabak Covid-19, namun syarikat ini tetap menjadi alat untuk mengekalkan dan memperkukuh kuasa.

TERENCE GOMEZ ialah Profesor Ekonomi Politik di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya.

Bukti Pakatan Harapan bukan ejen Barat

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
Ramai yang hairan tentang surat YB Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang kepada pemimpin-pemimpin Islam dunia yang memburukkan Pakatan Harapan (PH) dan juga AMANAH dengan menuduh kami terlibat dengan konspirasi bersama Amerika Syarikat, Negara Barat dan gerakan Freemason.

Dalam masa sama ramai kenalan kami dari Pas menyatakan kebimbangan mereka kedudukan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) hari ini di mana mereka kelihatan terpinggir. Sebagai penduduk Terengganu di mana Pas berakar umbi saya ingin mengulas kedua dua isu di atas.

Seperti pesanan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dahulu supaya Pas jangan jatuh dalam lubang yang sama, itulah sebenarnya yang akan berlaku hari ini jika enggan belajar dari sejarah hitam lalu dengan BN-Umno.

Melalui perlantikan oleh Perikatan Nasional pemimpin-pemimpin Pas sebagai Duta dan Menteri, ramai yang dilantik diletak dalam situasi yang akan boleh membawa banyak liabiliti yang akan merugikan Pas.

YB Datuk Seri Haji Hadi Awang dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri dengan tugas khas di Timur Tengah. Berhadapan dengan Kerajaan Arab Saudi di mana kerajaan Umno-BN dahulu telah melibatkan tentera Malaysia bersama sekutu barat Saudi lain, Amerika Syarikat, Britain dan Peranchis menyerang negara miskin kerdil Yaman apakah pendirian negara sekarang?

Kerajaan Pakatan Harapan – PH telah menarik balik tentera kita dari Saudi. Ini membuktikan salahnya menuduh PH bersekongkol dengan Amerika serta Barat sebelum ini. Golongan Umno-BN lah sebenarnya yang bersama bersekongkol dengan Barat serta Arab Saudi menyerang Yaman di mana Arab Saudi kini juga makin rapat dengan Israel.

Hari ini sedar atau tidak, Pas bersama Umno-BN berada dalam kumpulan yang sama terbukti mesra Amerika dan Barat dengan tindakan berada bersama dalam sekutu menyerang Yaman seperti terkandung laporan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun 2017 setebal 241 muka. Siapa sekutu barat sebenarnya ?

Sebagai Duta Khas melibatkan Timur Tengah, YB Datuk Seri Haji Hadi juga mesti menangani isu hubungan Israel, sekutu Amerika dan Barat, dengan Malaysia di mana kumpulan Umno-BN telah mengikut jejak Arab Saudi yang mesra Israel – sekutu akrab Amerika, hari ini.

Perlu diingat tiga tahun lepas suatu peristiwa sangat menggemparkan. Buat pertama kalinya Kerajaan Malaysia, Umno-BN telah mengeluarkan kebenaran beberapa Pegawai pegawai Yahudi Israel sekutu Amerika ke satu Konvensyen di Kuala Lumpur selama satu minggu . Kami dari PH membantah dengan keras di Parlimen kehadiran wakil Israel. Sekali lagi ini membukti salah tuduhan Hj. Hadi kami rapat dengan sekutu Amerika dan Barat.

Umno-BN rakan Pas hari inilah yang bermesra dengan Sekutu Amerika – Barat bersama Israel.

Sebaik PH menjadi kerajaan kami telah membuat pendirian jelas menolak Israel dan mengadakan Kuala Lumpur Summit negara Islam yang diprotes oleh beberapa negara Arab sekutu Amerika dan Barat. Sekali lagi ini bukti kami PH bukan boneka negara barat.

Adakah pandangan YB Datuk Seri Haji Hadi akan merestui meneruskan sikap bermesra dengan Israel yang menzalimi keras warga Palestin-Islam seperti kerajaan BN-Umno dahulu?

Adakah Hj. Hadi akan menyokong resolusi Kuala Lumpur Summit yang dipersetujui bersama Malaysia, di bawah PH, bersama dengan Turki dan Iran yang tidak disenangi sekutu Amerika – Barat serta Arab Saudi?

Tindakan kami dari PH dalam isu Yaman, Israel dan KL- Summit di atas jelas menunjukkan kami sebelum ini tidak redha menjadi sekutu atau boneka barat atau sesiapa pun.

Tugas YB Hj Hadi dalam tiga isu ini adalah contoh tanggung jawab yang berat yang beliau dan rakan Pas perlu menghadapi.

Sementara itu tanggungjawab dipikul Timbalan Presiden, YB Tuan Ibrahim, sebagai Menteri tentang isu alam sekitar agak berat dan akan menjadi sangat mencabar.

Kenyaatan awal tentang isu alam sekitar oleh beliau tidak membantu dari segi image dan menangani isu sebenarnya. Sebagai ahli Parlimen dari Kelantan beliau perlu menangani masalah besar alam sekitar Kelantan yang melibatkan pembalakan, pencemaran bekalan air dan perlombongan yang menjejaskan alam sekitar dengan teruk nya. Sebagai seorang yang berasal dari Pahang, isu Lynas bersama isu perlombongan bauksit juga menunggu beliau.

Pencemaran banyak sungai Malaysia dengan kimia dari industri seluruh Malaysia amat kritikal seperti dilihat sendiri YB Tuan Ibrahim baru-baru ini.

Portfolio Alam Sekitar, yang memerlukan latar belakang atau kapakaran lebih teknikal, yang diberi kepada Tuan Ibrahim adalah paling sangat mencabar dan membawa tekanan kepada beliau dan mungkin akan menjejas imej beliau.

Perlantikan YB Datuk Khairuddin Aman Razali dari Pas, sahabat saya dari Terengganu, sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi juga amat mencabar. Dengan situasi semua harga komoditi rendah dan kempen negara barat yang agresif terutamanya terhadap kelapa sawit, satu tugas yang amat sukar di hadapi beliau dan akan membawa banyak cabaran.

Harapannya dengan latar belakang perniagaan beliau masalah ini dapat di tangani dengan baik.

Perlantikan Perdana Menteri PN ahli-ahli Parlimen utama Pas adalah kepada portfolio yang sangat mencabar dengan ujian rumit dan penuh ranjau untuk dihadapi.

Bagaimanapun saya ingin menyatakan bahawa Pas patutnya menumpu perhatian menangani masalah sangat mencabar menghadapi tugas portfolio Duta dan Menteri masing-masing yang di ‘hadiahkan’ oleh PN kepada mereka.

Pas adalah dalam kerajaan sekarang dan bukan lagi pembangkang. Mereka perlu cuba membina Negara dan bukan dengan memburukkan PH dengan tuduhan tidak berasas tanpa bukti. Memburukkan kami tidak akan membuat diri mereka Pas jadi lebih baik malahan mengalih perhatian dari tanggungjawab mereka sebenarnya serta hilang tumpuan.

Isu tuduhan kami pro Barat, Freemason dan ejen Komunis dan seterusnya telah kami jawab dan akan terus dijawab.

YB Hj. Hadi perlu menangani polisi dalam 3 isu ini – polisi menyerang Yaman, hubungan mesra Israel oleh Umno-BN dan resolusi Kuala Lumpur Summit oleh Malaysia, Turki dan Iran. Perlu diingati Datuk Seri Najib dan rakan-rakan Umno-BN nya amat terhutang budi kepada Arab Saudi kerana ‘derma’ lumayan yang diterimanya untuk cuba memenangi PRU14 yang BN gagal.

Polisi kami dari PH jelas menujukkan kami bukan alat atau boneka Negara Barat dengan tindakan kami. Apa pula polisi PN yang tidak ada manifesto sendiri pun?

Kerajaan Perikatan Nasional bagaimana pula? Buktikan dengan tindakkan yang jelas dan mohon jangan menuduh kami alat negara Barat.

Pesanan Almarhum Tok Guru Nik Aziz perlu diingati.

‘Jangan jatuh dalam lubang yang sama dua kali’, lebih lebih lagi hari ini apabila lubangnya menjadi lebih besar dan dalam. Amat parah dan sukar untuk merangkak keluar dari lubang yang dalam digali oleh ‘sahabat’ perompak yang berpengalaman seperti berlaku pada tahun 1977, iaitu 43 tahun dahulu.

Ramai penyokong Pas mungkin tidak ingat lagi peristiwa 5 Disember 1977. Ia berlaku pada masa musim tengkujuh Pantai Timur tetapi yang berlaku bukanlah banjir air biasa.

Yang berlaku ialah banjir kilat yang menyingkir keluar Pas dari Kerajaan Malaysia oleh BN 43 tahun dahulu.

Inilah pesanan Almarhum ok Guru Nik Aziz tentang lobang yang pernah menjerumuskan dan memerangkap Pas dahulu yang kelihatan akan berulang sekali lagi.

Watak-watak yang memasang perangkapnya sama sahaja, tetapi malangnya mangsanya terdiri dari pihak yang sama kerana tidak mempelajari dari sejarah silam yang pahit.

AS negara pertama catat lebih 2,000 kematian Covid-19 sehari

AFP

WASHINGTON: Amerika Syarikat menjadi negara pertama mencatatkan lebih 2,000 kematian akibat Covid-19 dalam tempoh sehari, dengan 2,108 kematian dalam 24 jam lalu, menurut statistik Universiti Johns Hopkins.

Negara itu kini merekodkan 18,586 kematian dan angka berkenaan menghampiri 18,849 kematian di Itali yang mencatatkan jumlah korban paling banyak di dunia akibat pandemik itu.

Kes positif Covid-19 di AS juga menghampiri setengah juga, dengan 496,535 kes setakat 8.30 malam (waktu tempatan), peningkatan sebanyak 35,098 kes dalam tempoh 24 jam lalu.

Pesakit pulih Covid-19 diuji positif lagi -

Pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan pada hari Jumaat melaporkan 91 pesakit yang dianggap telah sembuh daripada wabak coronavirus baru telah diuji positif semula.

Pengarah Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC), Jeong Eun-kyeong memberitahu taklimat bahawa virus itu mungkin "aktif kembali" berbanding pesakit itu mendapat jangkitan baru.

Para pegawai kesihatan Korea Selatan berkata pihaknya masih tidak jelas perkara disebalik perkembangan itu, dengan penyiasatan epidemiologi masih berjalan.

Prospek pesakit Covid-19 yang sembuh mendapat jangkitan semula virus itu menjadi perkembangan antarabangsa kerana banyak negara berharap pesakit yang telah dijangkiti virus itu akan membangunkan sistem imun bagi menghalang kebangkitan semula wabak tersebut.

Jumlah pesakit yang dijangkiti semula telah meningkat daripada 51 kes pada Isnin.

Hampir 7,000 warga Korea Selatan dilaporkan pulih Covid-19, penyakit yang disebabkan oleh koronavirus baru.

KCDC juga membangkitkan kemungkinan bahawa pesakit bukan dijangkiti semula tetapi Covid-19 "diaktifkan semula" dalam tubuh pesakit yang telah sembuh itu.

Kata Kim, pesakit mungkin "kambuh" (relapse) berbanding dijangkiti sekali lagi.

Tafsiran berbeza

Hasil ujian yang tidak tepat juga boleh dituding atau sisa-sisa virus masih berada dalam sistem pesakit tetapi tidak berjangkit atau tidak berbahaya kepada tuan rumah (pembawa virus) atau terhadap orang lain, jelas pakar lain pula.

"Terdapat tafsiran yang berbeza dan banyak pembolehubah," kata profesor kesihatan paru-paru di Hallym University Sacred Heart Hospital, Jung Ki-suck, .

"Kerajaan perlu membuat respons bagi setiap pembolehubah ini."

Korea Selatan pada hari Jumaat melaporkan 27 kes baru, paling rendah selepas memuncak lebih daripada 900 kes harian pada akhir Februari, menurut KCDC.

Jumlah keseluruhan kes di Korea Selatan adalah 10,450 kes.

Jumlah kematian meningkat tujuh kepada 211, katanya.

Bandar Daegu, yang mengalami wabak besar Covid-19 di luar China, melaporkan sifar kes baru buat kali pertama sejak akhir Februari.

Sekurang-kurangnya 6,807 kes disahkan di Daegu yang menyumbang lebih separuh daripada keseluruhan jangkitan Covid-19 di Korea Selatan.

Penyebaran jangkitan di sebuah gereja di Daegu mendorong peningkatan kes di Korea Selatan bermula pada akhir Februari.

Wabak itu pada awalnya menjadikan Korea Selatan memiliki kes yang disahkan lebih tinggi daripada mana-mana sahaja di luar China, sebelum negara itu menggunakan ujian meluas dan langkah-langkah penjarakkan sosial yang menurunkan jumlah jangkitan.
-Reuters

Warganet sekolahkan Timbalan menteri ini

SITI NUR ZAWANI MISCON

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, ‘disekolahkan’ warganet selepas memuatnaik satu ‘story’ Instagram yang melabel dirinya sebagai salah seorang Menteri Kabinet termuda dalam Perikatan Nasional (PN).

Dalam kapsyen hantaran tersebut, Wan Fayhsal berkata, beliau tersilap memberitahu umurnya dalam satu program siaran langsung TV Al Hijrah semalam.

“Saya tersilap beritahu umur saya 34 tahun. Pada bulan Mei ini, genap umur saya 33 tahun yang menjadikan saya ahli Kabinet termuda mewakili Perikatan Nasional (termasuk semua Timbalan),” tulisnya.

Sementara itu, Exco Armada Bersatu, Hannaan Khairy dalam ciapan Twitter, menegur bekas pegawai kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu bahawa Timbalan Menteri tidak tersenarai dalam Kabinet.

“Kena tabayyun Perlembagaan jugalah. Dah jadi Timbalan Menteri (bukan ahli Kabinet)

“Timbalan Menteri langsung tiada dalam Kabinet. Menteri tak datang mesyuarat Kabinet, kena wakil Menteri lain. Siapalah yang nasihat (dia) ini,” tulisnya.

Pada masa sama, pengguna Twitter yang juga seorang peguam, Lim Wei Jiat turut memberi respon pada pautan tersebut yang menjelaskan bahawa dalam Perlembagaan hanya Menteri sebagai ahli Kabinet.

“Timbalan Menteri itu bukan sebahagian dari Kabinet. Memang jelas dalam Perlembagaan bahawa hanya Menteri = Ahli Kabinet.

“Tak ada perkara seperti definisi lanjutan untuk Kabinet. Institusi gabungan mungkin boleh goreng lah, tapi bukan yang ini,” ciapnya.

Ada juga warganet yang bertanya sekiranya menjadi Menteri termuda dikira sebagai pencapaian.

Rakyat jatuh miskin, kerajaan jangan kedekut

WALAUPUN sudah dua kali pakej rangsangan diumumkan dalam tempoh 2 minggu, namun kesan kelewatan memberi bantuan dan strategi yang tidak menyeluruh sudah meninggalkan kesan kepada rakyat lebih awal dari jangkaan.

Ramai pekerja sudah hilang mata pencarian dan ramai akan kekurangan makanan menjelang bulan puasa nanti.

Kajian pihak Jabatan Perangkaan terhadap hampir 170 ribu rakyat Malaysia yang diterbitkan pada semalam (9 April 2020) menunjukkan bahawa hampir separuh dari golongan seperti Makcik Kiah yang bekerja sendiri hilang pekerjaan.

Manakala lagi satu pertiga mengalami penyusutan pendapatan hampir 90%.

Jika kajian itu digunapakai sebagai kayu ukur (representative) di seluruh Malaysia, kadar pengangguran pekerja anak tempatan kini adalah pada kadar 16% peratus.

Ini bermakna daripada 12.8 juta pekerja Malaysia, hampir 2.1 juta sudah hilang mata pencarian.

Jika satu pekerja menyara 4 orang ahli keluarga, seramai 8 juta rakyat Malaysia kini dalam kesusahan.

Ramai keluarga di luar sana yang kini hidup kais pagi makan pagi.

Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

Kajian yang dilakukan pada tempoh 23 hingga 31 Mac 2020 itu menunjukkan data ngeri di mana separuh daripada kesemua pekerja sendiri tiada wang untuk menyara kehidupan untuk dua minggu, manakala lagi 28% hanya cukup wang hingga hujung bulan ini.

Inilah yang beberapa ahli ekonomi sarankan, supaya bantuan tunai bulanan diberikan kepada mereka yang hilang pekerjaan dan bekerja sendiri seperti Makcik Kiah, dan bukannya bantuan one-off sahaja. Ini menjadi tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat.

Kepada yang hilang mata pencarian dan yang bekerja sendiri seperti nelayan, jurujual, penjaja dan pekerja sendiri, bantuan tunai sebanyak RM1,200 setiap bulan harus diberikan selama enam bulan.

Ini lebih tinggi daripada bantuan RM1,600 dan RM1,000 one-off untuk hanya ketua isi keluarga B40 dan M40.

Jumlah peruntukan tambahan untuk membantu mereka yang hilang pekerjaan dan mereka yang bekerja sendiri adalah lebih kurang bersamaan dengan 1% daripada ekonomi negara. Ini kita mampu.

Jika cadangan ramai pakar supaya bantuan kepada majikan diberikan secara bulanan selama 3 bulan akhirnya diterima oleh kerajaan sebagai dasar yang diumumkan hari Isnin lepas (di mana majikan PKS mendapat bantuan subsidi upah sebanyak RM1,200 setiap pekerja selama 3 bulan), seadilnya bantuan yang sama juga harus diberikan kepada pekerja sendiri.

Apa guna kita masih kedekut jika rakyat makin kebulur.

Duit rizab simpanan Bank Negara Malaysia ada lebih kurang RM400 bilion, boleh saja dipinjam oleh kerajaan supaya rakyat boleh hidup.

Lupakan sementara defisit fiskal. Kerajaan masih mampu meminjam dan berbelanja untuk rakyat.

Lagi pula kebanyakan negara di dunia tidak menghiraukan peratusan defisit fiskal mereka yang semakin membesar.

Singapura beberapa hari yang lalu melaksanakan bantuan tambahan di mana defisit fiskal mereka naik kepada hampir 9. Nyawa rakyat mereka diutamakan.

Ini krisis yang luar biasa. Segala kayu ukur dan cara penyelesaian masalah sebelum ini sudah tak lagi boleh pakai.

Keadaan baru memerlukan cara baru. Lupakan saja pemikiran yang tidak sesuai dengan keadaan yang terdesak akibat Covid-19.

Kini masanya untuk melakukan pendekatan yang tidak konvensional untuk membantu rakyat sejujurnya.

Jika tidak, kadar pengangguran akan lebih teruk dan ekonomi negara akan jatuh merudum.

Ikutlah seperti pepatah yang bijaksana, lebih baik mencegah dari mengubati, sebelum ia terlambat. – 10 April, 2020.

* Dr Muhammed Abdul Khalid merupakan seorang pakar ekonomi.

Bersedialah untuk tempoh yang agak lebih lama - Muhyiddin

Malaysiakini
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat Malaysia supaya bersedia dengan segala kemungkinan dalam menangani penularan wabak Covid-19.

“Apa yang saya hendak sebutkan di sini ialah kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini bagi satu tempoh masa yang agak lebih lama.

“Ia mungkin berlarutan untuk tempoh beberapa bulan, sebelum kita dapat betul-betul pastikan penularan wabak ini diatasi seratus peratus,” katanya.

Dalam perutusan khas perdana menteri sebentar tadi, Muhyiddin berkata kehidupan orang ramai mungkin tidak boleh kembali seperti sedia kala.

“Selagi virus ini masih ada, amalan penjarakan sosial mesti diteruskan.

“Kita mesti sentiasa menjaga kebersihan diri. Elakkan sebarang perhimpunan. Hindari tempat yang sesak,” katanya.

Walau sukar, inilah kenyataannya

Mengulas kedatangan Ramadan tidak lama lagi, Muhyiddin menyarankan supaya umat Islam bertarawih di rumah bersama keluarga.

“Bulan Ramadan akan menjelang tiba tidak lama lagi. Kita tidak boleh ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid untuk berterawih.

“Jadi bertarawih lah di rumah bersama keluarga. Mungkin juga kita tidak boleh balik ke kampung seperti biasa.

“Walaupun sukar untuk kita bayangkan perkara ini, tetapi inilah kenyataan yang akan kita hadap,” katanya.

Doktor saran MKN sumbat individu dari ‘kayangan’ ke lokap

MALAYSIA DATELINE
Meluahkan rasa terkilannya terhadap mereka yang baru pulang dari luar negara tetapi sukar memberi kerjasama untuk dikuarantin, seorang pakar perubatan menyarankan kerajaan agar menyumbat mereka ke lokap buat sementara waktu.

Pakar Perubatan Keluarga, Medical Mythbuster Malaysia, Dr Sakinah Sulong berkata, mereka yang digelarnya ‘turun dari kayangan ini’ turut memanggil petugas kesihatan sebagai anjing dan pencacai najis.

Sikap mereka yang amat biadap itu, tambahnya, jauh berbeza dengan jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling.

Ikuti luahan Dr Sakinah di Facebook beliau hari ini yang tular dengan mendapat lebih 2,100 komentar dan 35,000 perkongsian selepas tujuh jam dimuatnaik di media sosial itu:

Kami Bukan Anjing

Pengalaman menjadi petugas yang mengambil sampel untuk Covid-19, kadang-kadang menjentik hati saya.

Manusia tak kira apa warna kulitnya, datang dengan dua lubang hidung, satu mulut untuk kami ambil swabnya. Tak kira lah siapa dia.

Pengarah Jabatan ke, jemaah tabligh ke, doktor ke, pelajar ke, semuanya sama. Lubang hidungnya sama. Rongga mulutnya sama.

Tapi yang jadi buat ralat ialah kami menyaksikan ada manusia yang sangat sombong.

Masa kami ambik sampel jemaah tabligh, rata-ratanya mudah bagi kerjasama. Datang awal kalau diminta datang untuk pensampelan. Jarang yang buat masalah. Jarang yang nak bergaduh dengan petugas.

Tapi bila ada golongan yang baru turun dari kayangan ni, (yang baru pulang dari luar negara) macam-macam karenah terpaksa dihadapi. Tak nak dikuarantin. Marah-marah.

Panggil staf kami ‘dog‘. Panggil staf kami pencacai najis. Memang sangat kurang ajar!

Kami tak kisah bekerja keras untuk menyekat penularan Covid-19. Dan bukan kami minta dihampar karpet merah. Tapi betapa kami dihina hanya kerana kami cuba melakukan tugas kami. Sangat menyedihkan.

Sampaikan ada petugas yang terpaksa berundur tak mampu bersuara. Bimbang timbul kekasaran kerana dimaki begitu.

Saya fikir, kalau begini kelakuan orang yang dikuarantin, amat bagus sekiranya laporan polis dibuat. Atau MKN (Majlis Keselamatan Negara) mengeluarkan arahan kepada pihak yang dikuarantin, sekiranya tak nak bagi kerjasama, disumbat lokap sementara!

Kami petugas kesihatan hanya bertindak mengikut arahan. Buat saringan simptom dan vital sign. Buat pensampelan.

Buat rujukan ke hospital seandainya perlu. Hanya untuk memastikan rakyat Malaysia yang baru sampai dari luar negeri ini selamat dan tidak menyebarkan pada orang lain.

Memang kami kena kerja kuat sekarang. Pihak atasan duk fikir mana nak tempatkan mereka, pihak staf bawahan yang bertugas siang dan malam nak buat saringan. Bukan suka-suka.

Tapi, nampaknya, ada orang turun kayangan ini, sombongnya bukan main, bagai dipijak-pijak maruah kami, petugas kesihatan! Memang tak bersyukur!

Adakah ahli PAS masih wala' kepada Presidennya yang terbukti melakukan Fitnah

Surat Hadi: Anwar nasihat 'ulama semak fakta sebelum fitnah'
Yasmin Ramlan


Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata selepas menyemak tuduhan Abdul Hadi Awang terhadapnya yang mengaitkan MP Port Dickson itu dengan pergerakan Freemason, beliau mendapati rupa-rupanya maklumat yang diperoleh presiden PAS itu tidak sahih.

Dalam siaran langsung Facebook beliau malam tadi, Anwar menunjukkan laman “Civil Service Lodge No.143” yang mempunyai kakitangan dengan nama yang sama dengannya, “w.bro Anwar Ibrahim.”

Gambar tersebut menunjukkan seorang lelaki warga asing berbadan gempal, berpakain sut hitam bersama tiga orang rakannya, pada tahun 2006.

“Beliau (Hadi) menyebut saya ini, anggota bahkan orang besar, malah orang kanan Freemason.

“Jadi saya pun aneh juga. Ini kalau orang biasa cakap kempen-kempen dan tidak akhlak dan tidak ada asas agama, itu lain.

“Oleh itu, saya dengan demikian minta staff cari (maklumat), rupa-rupanya ada nama Anwar dan mereka tahu kerana ia keluarkan dulu (dalam) lodge officers 2010-2011 - civil service num 143, brother Anwar Ibrahim.

“Ini peluang mereka untuk menyerang saya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab mengenai surat Hadi yang disifatkan melemparkan fitnah yang berat terhadap dirinya.

Terdahulu, sepucuk surat bertarikh 22 Mac dengan tajuk “Gerakan Islah Secara Aman, Bukan Rampasan Kuasa dan Revolusi,” yang ditulis dalam bahasa Arab itu dikesan tersebar di media sosial sejak 4 April lalu.

Surat yang dikatakan ditulis Hadi kepada pemimpin gerakan Islam seluruh dunia itu mengundang pelbagai kritikan kerana mengandungi pelbagai dakwaan terhadap Pakatan Harapan (PH) serta memburukkan Anwar.

Anggota Parlimen Port Dickson juga secara menyindir menasihatkan supaya Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu menyemak fakta sebelum menyebarkan fitnah.

“Ya Allah kalau nak politik pun, nak sokong Umno, janganlah sampai macam tu. Takkanlah saya 2006 boleh sihat segar bugar,” katanya sambil ketawa.

“Kita kalau nak buat tuduhan, semak fakta.

“Kalau dalam tazkirah pandai sekali, kita ambil hadis, kena tahu siapa perawinya, sahih atau tidak.

“Tapi bila nak fitnah orang, tak payah fakta, tak payah perawi,” katanya lagi.

Justeru itu, demi membersihkan namanya, Anwar berkata beliau akan menghantar satu surat balas kepada pemimpin dunia Islam sebagai menjawab dakwaan Hadi.

“Saya akan jawab dan beritahu kepada pemimpin-pemimpin dunia islam yang menerima surat daripada Haji Hadi Awang dan saya akan sebarkan surat ini kepada khalayak untuk menunjukkan fitnah.

“Ini bukan satu saja, ada hal-hal lain yang dibangkitkan.

“Dalam Islam kita boleh patuh kepada pimpinan, boleh walak kepada perkara apa pun, tapi jangan jadi pak turut sehingga tak boleh fikir, sehingga tak boleh nilai, sehingga sanggup memfitnah kerana musuh politik,” katanya.

Logik Lebai PAS Takpa main Tiktok Asalkan Bukan Bini Dia

Dulu anggap TikTok fitnah, sekarang Menteri KPT tidak buat salah
MALAYSIA DATELINE


Ada penyokong Pas dilihat bermati-matian menjadi jurucakap kepada pemimpin Umno walaupun mungkin tidak diminta berbuat demikian.

Sejak bersubahat dengan Umno menjayakan Langkah Sheraton, Pas yang turut sama berada dalam kerajaan ‘tebuk atap’ akan menghalalkan apa sahaja perbuatan pemimpin Umno.

Terkini, isu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad mengajak belia berusia 18 hingga 26 tahun menyertai peraduan TikTok.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Parit Sulong tersebut memadam hebahan peraduan yang melibatkan dua orang yang dicanangkan sebagai influencer atau individu berpengaruh itu.

Mengulas tindakan Noraini menarik balik peraduan dikecam ramai itu, seorang bekas Ahli Jawatankuasa Pas Batu tampil membela Ketua Wanita Umno tersebut.

Fais Al-Hajari berpendapat Noraini hanya inginkan keseronokan dengan mengadakan cabaran TikTok itu.

Bagaimanapun, pemilik Pusat Terapi Bekam Al-Hajari itu membidas sikap rakyat Malaysia yang dakwanya semua hal akan dipolitikkan.

“Tak mengapa. Bagi aku dia tak buat salah apa pun. Yang kutuk-kutuk tu pun lebih kurang saja.

“Kalau depa bukan kaki TikTok, depa buat benda lain. Cuma bila bab melibatkan menteri ni, tiba-tibalah jadi terlajak suci. Tu saja pun.

“Aku sekali lagi menegaskan, bagi aku secara peribadi Menteri KPT tak buat salah menda. Dia bukan buat challenge tu secara serius, anjuran kementerian dia ke, atau guna Jata Negara ke, nothing.

“Benda ni personally under her. So tak sepatutnya ada scrunity sangat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Dia dalam hantaran berbahasa sarat campuran itu juga menyifatkan Noraini mendengar kritikan dan memadam ciapan mengenai cabaran TikTok itu bagi mengelakkan polemik.

“Kudos to her. At least dia x stay dan berpolitik sampai lebam,” tegasnya.

Bahkan, Fais mengucapkan tahniah kepada Noraini atas idea yang dianggapnya daring sambil menyerang pihak tidak sependapat dengannya.

“Mereka takkan mampu menentang perkara-perkara yang besar, maka mereka akan menyalak pada benda-benda yang kecil. Batak isu,” tempelaknya.

‘Pembelaan’ Fais terhadap menteri itu mendapat reaksi lebih 230 pengguna Facebook dalam tempoh 16 jam dimuatnaik dengan sebahagiannya memilih emoji ketawa.

Dalam masa sama, tular kembali kenyataan Fais hampir dua tahun lalu tentang aplikasi menari dan meniru gaya menyanyi dalam durasi singkat itu.

Dalam posting pada 21 Julai 2018 tersebut, dia mengisytiharkan memperoleh rezeki terbesar yang Allah kurniakan iaitu dua isteri yang solehah.

Dia memberitahu kedua-dua isterinya tidak memuatnaik gambar di Facebook dengan aksi pelik-pelik.

“Alhamdulillah (kedua-dua isteri) tak terlibat dengan fitnah media sosial seperti TikTok dan sebagainya,” kata penyokong tegar Pas itu lagi.

Dulu lain, sekarang sudah bersama Umno lain pula hujah penyokong tegar Pas.

Rakyat berang Kelantan lebih utamakan PKD, penjawat awam, staf lantikan politik

ARIF ATAN
Inisiatif bagi pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat Kelantan dilihat tidak memuaskan hati rata-rata rakyat di negeri pantai timur Semenanjung itu.

Mereka menyifatkan kerajaan negeri Kelantan yang diterajui Pas terlalu melebihkan penjawat awam serta kakitangan lantikan politik.

Rasa tidak puas hati rakyat Kelantan yang sebahagian besar berniaga dan bekerja sendiri dapat dilihat di deretan komentar di Facebook rasmi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Semalam, akaun media sosial yang menggunakan nama Dato’ Ahmad Yakob itu memuatnaik kenyataan media tentang pakej rangsangan tersebut.

Inisiatif teratas yang diletakkan dalam senarai itu ialah peruntukan khas kali ketiga sebanyak RM20,000 sebagai Bantuan Rakyat yang akan disalurkan kepada semua Pusat Khidmat DUN (PKD).

Kedua, pemberian tunai RM500 secara one off kepada penjawat awam negeri itu dan RM250 bagi kakitangan lantikan politik.

Inisiatif tersebut antara yang diputuskan dalam Persidangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan semalam.

Reaksi rakyat Kelantan berhubung pengumuman tersebut antara lain memohon kerajaan negeri memberi pertimbangan bantuan kepada golongan peniaga kecil yang terjejas sumber pencarian.

Ada juga mengingatkan semua lapisan masyarakat terkesan dengan keadaan ekonomi akibat pandemik Covid-19 bukan hanya penjawat awam.

“Kalau penjawat awam di barisan hadapan itu saya setuju. Tapi keputusan di tangan pemerintah. Penjawat awam semua sudah disediakan. Kita yang kerja swasta apatah lagi yang kerja gaji hari.

“Seminggu tak kerja pasti merana. Simpanan bukanlah banyak dapat disimpan. Majikan bukan mampu nak tanggung kita, tambahan syarikat kecil,” kata Shahrul Nazmie Raffar Ariffin.

Setakat jam 5 petang tadi, hantaran di Facebook Ahmad Yakob mengenai inisiatif tersebut mendapat 5,200 komentar dan 1,600 perkongsian.

Kira-kira 90 perataus komentar dilihat mengkritik kepimpinan kerajaan negeri Kelantan.

Rakyat Kelantan tidak puas hati dengan sikap tidak cakna kerajaan negeri kepada golongan bekerja sendiri.

Pakej Rangsangan Kelantan: “50 sen seorang untuk rakyat,” sindir netizen

MALAYSIA DATELINE
Pengumuman Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengenai inisiatif bagi pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat negeri Kelantan semalam bukannya diterima baik bahkan dikecam dan disindir oleh rakyat Kelantan sendiri.

Ini kerana, pakej yang dikatakan bernilai RM29 juta ini lebih untuk pejawat awam yang sudah bergaji tetap sedangkan rakyat biasa yang kehilangan mata pencarian akibat Perintah Kawalan Pergerakan ekoran wabak Covid-19 tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Ahmad mengumumkan, melalui pakej rangsangan ini, pegawai kerajaan akan mendapat RM500 manakala lantikan politik akan mendapat RM250 setiap orang manakala petugas barisan depan akan mendapat RM300 secara sekali bayar.

Yang paling mungkin rakyat biasa akan menerima bantuan ini hanyalah berjumlah RM20 ribu yang diperuntukkan kepada Pusat Khidmat DUN (PKD) untuk Bantuan Rakyat.

Namun, hanya mereka yang mempunyai hubungan secara langsung dengan PKD kerajaan sahaja dipercayai akan mendapat bantuan yang dianggap sangat sedikit ini.

Ahmad dalam satu sidang media semalam memaklumkan, persidangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bertarikh 14 Syaaban 1441H Bersamaa 08 April 2020M telah bersetuju membuat ketetapan bagi pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Perihatin Rakyat Negeri Kelantan.

1. Peruntukan Khas kali ketiga sebanyak RM20 Ribu sebagai Bantuan Rakyat akan disalurkan kepada semua Pusat Khidmat DUN (PKD).

2. Pemberian tunai RM 500 (secara one off) kepada penjawat awam Negeri Kelantan dan RM 250 bagi kakitangan Lantikan Politik.

3. Pengecualian sewa premis Kerajaan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun Selama dua (2) bulan bagi Peniaga Kecil Sahaja (sewa tersebut akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri.

4. Elaun Khas RM 300 (secara One Off) kepada petugas barisan hadapan Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam sektor pembersihan dan penguatkuasaan termasuk penghulu, penggawa dan kakitangan pejabat penggawa.

5. Pemberian Bantuan Belanjawan Mengurus kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengimbangi jangkaan defisit PBT disebabkan impak pengecualian sewa premis serta operasi tambahan Covid-19 yang ditanggung.

Ahmad juga mengumumkan, kerajaan negeri memutuskan tiada Bazar Ramadhan bagi Negeri Kelantan pada tahun ini.

“Pemakluman pakej rangsangan akan dibuat dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan itu.

Para netizen yang membaca kenyataan itu mengulas penuh sindiran terhadap pengumuman itu.

Baharuddin Miran menulis, “Satu Dun 20k.. Okey la tu sorang 50 sen.. Banyak sangat tu.. Boleh beli Mercedes”

Mohd Asmawi Ab Rahman menulis, “Waktu gawat ni jual ke gadai la 14 butir Mercedes-Benz exco tu Ustak, masa senang nanti beli cari balik.. 5 juta dah buleh guna untuk rakyat,.. pakai merc pun bukan buleh gi kemana musim ni.”

Ainz Zainudin pula menulis, “mitok kerajaan ambik peduli etek hok rakyat oyat (beritahu) nie…kaji semula…jangan berasa lama doh memerintoh..braso sedakk sokmo..Umno dulu 60 tahun jadi kerajaan buleh tumbang..huhu..jangan sapa rakyat Kelate kito nie mari woh jemuu ngn kerajaan negeri doh la…”

Ariff Bashiruddin Rusli pula berkata, “Jange duk maroh gak ko Tok Mat ambo, nok wat guano pitih ado cemok tu jah bulih bagi ko staf kerajaan tetap kontrak dan lantikan politik Pas jah dulu, hok lain2 kena kuat doa la, takbir etep belam2, rebus ddero bulan ko buat sup, mugo Pusat zolim xbyr lg royalti petroleum ko kito, puak2 demo kalu lawe ulamok gak kiro lawe Isley doh nii, ayuh Bangkit Pertahannn!!!”

Komen-komen yang diberikan bukan sahaja sindiran bahkan ada yang menyerang Ahmad secara langsung termasuk meminta beliau meletakkan jawatan dan diserahkan kepada timbalannya Datuk Mohd Amar.

Sigeragar Sadiq menulis, “Bila dato nak letak jawatan? Bui ke nik amar la plok..x guna jd mb boneka..x baik dato make gaji buto…”

Netizen kempen pecat Menteri Pengajian Tinggi, selepas buat kempen Tik Tok

AKMAL MANAF

Isu kontroversi melibatkan Datuk Dr Noraini Ahmad yang mengajak peserta menyertai pertandingan Tik Tok, dilihat mengundang rasa kurang senang segelintir masyarakat.

Akibat isu yang ditimbulkan, kini ada pihak sudah menggerakkan petisyen mahu menggugurkan Menteri Pengajian Tinggi itu daripada memegang jawatan tersebut.

Petisyen secara atas talian itu diberi tajuk menggunakan Bahasa Inggeris iaitu ‘Remove Dato Dr Noraini as Minister of Higher Education’.

“Dia dilihat memalukan (mockery) Institusi Pengajian Tinggi. Tolong selamatkan Malaysia dengan menggantikan beliau dengan seseorang yang mempunyai visi.

“Tinggalkan Tik Tok kepada Rina Harun dan kumpulannya. Industri pengajian tinggi telah berada dalam keadaan yang teruk bertahun-tahun lamanya.

“Kita memerlukan seseorang yang memahami kesan yang serius kepada negara jika institusi pengajian tinggi runtuh,” jelas keterangan di petisyen tersebut merujuk kepada Noraini yang turut mendapat gelaran ‘Rainitiktok’.

Pertandingan Tik Tok ini adalah kali kedua Dr Noraini hangat di media sosial. Sebelum ini beliau meminta agar mahasiswa dibenarkan kekal di asrama masing-masing selepas universiti ditutup ekoran wabak Covid-19 dikecam hebat.

Selepas Persatuan Pelajar sebuah universiti menganjurkan pertandingan Tik Tok, ia disambut pula oleh menteri mereka iaitu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad.

“Jom join Tik Tok Contest,” tulis Noraini melalui satu kenyataannya di facebook beliau.

Menurut Noraini, para peserta boleh kongsikan video mengikut kreativiti masing-masing dengan beliau.

Sebelum ini, langkah Majlis Perwakilan Pelajar sebuah universiti menganjurkan pertandingan Tik Tok telah dikecam oleh banyak pihak kerana ia disifatkan bukan masa yang sesuai.

Netizen kecam pesakit Covid-19 ke-136 punca 1 Malaysia sengsara

Satu Malaysia sengsara, netizen kecam pesakit Covid-19 ke-136 ‘kuat merayap’
ARIF ATAN


Rata-rata rakyat Malaysia mengecam pesakit Covid-19 kes ke-136 yang dianggap tidak mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani kuarantin sendiri selepas pulang dari Korea Selatan pada 22 Februari.

Walaupun identitinya dirahsiakan oleh KKM sebelum ini, tetapi pemuda berusia 26 tahun itu kemudiannya tampil memberi penjelasan pada 5 April lalu di Twitter atas nama Wan Akasha.

Semakan Malaysia Dateline di akaun Twitter tersebut mendapati nama tersebut bagaimanapun bukan nama sebenar seperti dimaklumkan pada profil laman itu.

Wan Akasha memberitahu, dia kembali ke tanah air pada 22 Februari lalu dalam keadaan sihat selanjutnya menghadiri majlis ijtima’ di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari hingga 2 Mac.

Menurut pemuda dari Negeri Sembilan itu, dia langsung tiada gejala demam atau sebarang penyakit sepanjang 10 hari berada di tanah air.

Walaupun kerajaan telah mengingatkan agar rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara menjalani proses kuarantin di kediaman sendiri selama 14 hari sebagai usaha mengekang penyebaran jangkitan Covid-19, Wan Akasha dilihat gagal berbuat demikian.

Malah, dalam bebenang di Twitter, dia memberitahu ada rakan mengambilnya di lapangan terbang dan berjumpa beberapa orang rakan sebelum ke Masjid Sri Petaling.

Walau bagaimanapun, Wan Akasha berkata, dia banyak melakukan aktiviti di luar masjid sekali gus mendedahkan dirinya kepada orang ramai termasuk menemui abang saudara yang berniaga di bazar dekat luar masjid tersebut.

Tidak cukup itu, Wan Akasha berkunjung ke rumah keluarga rakan sepengajiannya di universiti manakala hanya lima hari dia berada di Sri Petaling.

Pesakit ke-136 dikecam kerana tidak mengasingkan diri selepas balik dari Korea Selatan.

Demam tapi ke Bandung

Pada 3 Mac pula, Wan Akasha mengaku pergi ke Pahang pula dengan seorang rakan dan nenek dia sendiri. Dalam perjalanan ke Pahang itulah, katanya, dia mulai rasa tidak sihat badan.

Ini bermakna dia mulai mendapat simptom pada hari ke-11 selepas kembali ke Malaysia. KKM sebelum ini memberitahu tempoh inkubasi Covid-19 adalah selama 14 hari.

Walaupun demam, Wan Akasha menganggap tubuhnya kekurangan air dan kembali sihat selepas menelan panadol.

Keesokan harinya iaitu pada 4 Mac, Wan Akasha ke Bandung bersama tujuh orang yang lain selama tiga hari dua malam.

Sikap kuat ‘merayap’ itu dikecam warga maya kerana membuktikan Wan Akasha langsung tidak menjalani proses kuarantin di rumah walau pun sehari.

Lanjut mengundang kemarahan orang ramai khususnya makian penduduk di Melaka apabila dia memberitahu pergi ke negeri itu pula selepas pulang dari Bandung.

“Dengan tiga orang yang bersama-sama saya ke Bandung dan tambah lagi dua orang lain. Terus ke Melaka bersama dari KL daripada pagi sehingga malam,” ujarnya.

Ramai menganggap mujur ayah Wan Akasha yang menjalani ujian saringan Covid-19 memberitahu doktor yang anaknya itu balik dari Korea Selatan.

Jika tidak, dia yang akhirnya dirawat di Hospital Tuanku Jaafar mungkin akan terus ‘merayap’ sekali gus dibimbangi menyebarkan jangkitan Covid-19.

Tentang sebab ayah Wan Akasha menjalani ujian saringan itu tidak pula Wan Akasha beritahu dalam penjelasannya yang panjang lebar itu.

Melihatkan pemuda tersebut begitu kuat ‘merayap’ merentas negara dan negeri sejurus pulang dari Korea, rata-rata warga maya menyifatkan Wan Akasha sebagai orang yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri.

Dia dianggap sebagai pembawa virus berbahaya Covid-19 sekali gus punca kepada gelombang kedua pandemik itu bermula 27 Februari lalu selepas 11 hari tidak mempunyai kes baharu.

Serentak itu, tanda pagar #Patient136 menjadi trending di media sosial dengan luahan marah rakyat Malaysia yang berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac kemudian disambung lagi sejak 1 April lalu.

“Sebab kaulah (Wan Akasha) satu Malaysia kena duduk rumah. Sebab kaulah ramai yang mati. Sebab kaulah jemaah tabligh kena kecam,” tegas pengguna Facebook Hisham Jejai Musa.

Sebelum ini, KKM hanya menandakan “kes ke-136” yang belajar bahasa Korea dan kerja sambilan sebagai agen pelancongan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada 4 Mac lalu berkata, gelombang pertama jangkitan Covid-19 di negara ini merangkumi 22 kes.

Sementara itu dalam ciapan Wan Akasha petang semalam, dia memohon maaf sekiranya orang ramai tidak dapat menerima penjelasannya.

“Saya minta maaf kalau penerangan saya tidak dapat diterima anda sekalian, tapi saya pesakit 136 pun seorang manusia biasa punyai hati dan perasaan.

“Saya ada keluarga di mana hati mereka perlu dijaga, saya ada hak untuk menidakkan fitnah yang berleluasa ini,” ujarnya.

Covid-19: Kisah 71 gelandangan warga asing dari 18 buah negara di KL

Ravin Palanisamy

71 orang gelandangan warga asing ditempatkan di Dewan Serbaguna Alam Damai untuk melindungi mereka ketika wabak Covid-19 menular. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 April, 2020.

APABILA pihak berkuasa mula mengumpulkan gelandangan Kuala Lumpur untuk ditempatkan di kawasan selamat ketika wabak Covid-19, mereka terkejut apabila menemui pelbagai warga asing seperti dari United Kingdom, Jepun, Korea Selatan dan Somalia.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menemui 71 orang warga asing daripada 18 buah negara yang menjadi gelandangan dan mereka kini ditempatkan di dewan serbaguna Alam Damai di Cheras.

Setiap warga asing itu mempunyai kisah sendiri bagaimana mereka menjadi gelandangan di Kuala Lumpur.

Apabila pasukan The Malaysian Insight melawat pusat perlindungan itu baru-baru ini, seorang lelaki warga Britain berusia 51 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai James menjadi tumpuan ramai.

Berasal dari Nottingham di England, James berkata beliau adalah seorang guru dan terkandas di Kuala Lumpur selepas gagal memasuki Myanmar.

Beliau di bawa ke pusat perlindungan itu pada 6 April lalu selepas menghabiskan 12 hari hidup sebagai gelandangan di tebing Sungai Klang.

Tambahnya, beliau menetap di Kemboja dan dalam perjalanan ke Myanmar dari Laos melalui Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, selepas tiba di Malaysia, James berkata beliau tidak dapat meneruskan perjalanan ke Myanmar selepas perkhidmatan visa ke negara itu dihentikan.

“Bila saya sampai di Malaysia pada 17 Mac, saya dapati Myanmar menggantung perkhidmatan visa ketibaan. Jadi, saya terkandas di sini.

“Sebelum ini saya duduk di Sungai Klang. Saya jumpa beberapa orang Malaysia, jadi saya duduk bersama mereka berhampiran sungai. Saya berada di sana hampir 12 hari,” kata James.

Katanya, beliau dalam perjalanan ke Myanmar untuk belajar agama Buddha, tetapi disebabkan keadaan sekarang, beliau mahu mengambil peluang untuk belajar Islam di Malaysia.

“Mungkin selepas semuanya dibuka semula, saya akan cuba dapatkan kerja mengajar Bahasa Inggeris untuk simpan duit dan kemudian pergi ke Myanmar tahun depan.

“Saya rasa ini peluang baik untuk belajar Islam. Saya tak pernah belajar Islam sebelum ini.

“Saya pernah baca Al-Quran tapi tak pernah belajar. Saya mahu belajar meditasi dan falsafah hidup Islam kerana ia tak sama dengan Buddhism.

“Jadi, saya agak gembira berada di sini kerana saya mahu belajar Islam sebelum ini cuma tiada peluang,” katanya, yang turut menyifatkan pusat perlindungan sementara itu bersih dan luas.

Pelarian Somalia

Warga Somalia, Ismael berusia 36 tahun datang ke Malaysia pada 2004 sebagai pelajar dan terus menetap di sini kerana perang saudara di negaranya. Beliau kemudiannya memohon status pelarian daripada PBB.

Beliau berkahwin dengan seorang wanita Somalia di sini dan mempunyai anak. Bagaimanapun, beliau sudah lima tahun tidak berjumpa mereka kerana isteri dan anaknya berpindah ke Indonesia.

“Mereka pergi pada 2015 dan sudah lima tahun saya tidak jumpa mereka,” katanya tanpa menjelaskan butiran lanjut mengenainya punca keluarganya berpindah.

Ismael berkata beliau menjadi gelandangan hampir setahun lalu dan tinggal berhampiran masjid di tengah ibu kota, sebelum dijumpa penguatkuasa yang membawanya ke pusat perlindungan itu.

“Saya jadi gelandangan tahun lepas dan hidup berhampiran masjid. Jadi, bila wabak koronavirus makin serius, polis datang dan temubual saya. Mereka kata mahu lindungi saya dan bawa saya ke sini.

‘Saya cuma berehat di sini. Saya terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana lindungi saya daripada koronavirus. Mereka beri kami makanan berkhasiat, tilam, selimut dan baju. Tempat ini pun tenang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sami Korea terkandas

Sebilangan yang berada di pusat perlindungan bukanlah gelandangan tetapi terpaksa tinggal di jalanan ketika musim wabak disebabkan sekatan perjalanan dan kekurangan wang untuk terus tinggal di hotel.

Kim Wang Won, seorang sami Buddha dari Korea Selatan berkata beliau berada di Malaysia untuk melawat sebuah tokong di Subang Jaya, Selangor.

Kim tiba di negara ini dari Thailand pada 16 Mac lalu, berkata beliau banyak kali datang Malaysia tetapi kali ini terkandas di KL Sentral kerana tiada pengangkutan tersedia disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan. Beliau di bawa ke pusat perlindungan pada 1 April lalu.

“Saya banyak kali datang Malaysia. Setiap kali datang, saya akan tinggal di tokong Buddha Subang Jaya. Pertama kali saya datang sembilan tahun lalu.

“Kali ini, saya datang ke Malaysia dari Thailand pada 16 Mac. Saya tinggal dua hari di Pulau Pinang dan datang ke KL pada 18 Mac. Kali ini semuanya ditutup dan saya tak boleh pergi ke tokong Buddha di Subang Jaya. Jadi, saya duduk di luar.

“Pada 1 April jam 3 pagi, saya di stesen keretapi KL Sentral. Jadi, mereka bawa saya ke sini,” katanya.

Kim berkata beliau akan berada di pusat perlindungan sehingga krisis tamat dan akan pergi ke tokong Subang Jaya selepas PKP dibatalkan.

Menurutnya, beliau mempunyai semua dokumen perjalanan sah dan mungkin melawat Singapura atau Thailand selepas ini.

“Selepas isu virus ini berakhir, saya mahu ke tokong Subang Jaya, mungkin duduk sebulan. Selepas sekatan perjalanan dibatalkan, saya mungkin ke Singapura atau Thailand,” kata Ki yang juga dikenali sebagai Gan Ta Sa Ra kepada The Malaysian Insight.

Selain Kim, Toshi dari Jepun juga dibawa ke pusat itu pada 1 April lepas selepas kehilangan pasport.

Toshi yang bekerja di sebuah syarikat besi di Ishikawa, Pulau Honshu, berkata beliau datang ke Malaysia untuk bercuti dua bulan lepas dan sepatutnya pulang minggu depan tetapi hilang pasport. Beliau sudah meminta bantuan kedutaan negaranya.

“Saya berjalan dengan beg saya dan ada pegawai bermotosikal berjumpa saya. Mereka bawa saya naik bas dan kami datang ke sini.

“Saya pelancong, saya datang sini dua bulan lepas untuk bercuti tetapi saya hilang pasport saya. Sebelum ini saya tinggal di hotel dan sepatutnya pulang ke Jepun tetapi saya hilang pasport. Jadi, saya minta bantuan kedutaan. Selepas dapat balik pasport, saya mahu balik,” katanya.

Di pusat perlindungan itu, mereka diberikan tilam yang ditempatkan satu meter satu sama lain untuk mematuhi syarat penjarakan sosial, bantal, selimut, topeng, pencuci tangan dan baju baru.

Daripada 71 warga asing yang berada di situ, 56 adalah lelaki dan 15 wanita. Pusat itu juga menempatkan tiga orang kanak-kanak.

Wanita bujang ditempatkan di sebuah bilik, yang berpasangan diletakkan di atas pentas yang berada di dewan itu, manakala lelaki ditempatkan di ruang lapang dewan.

Jumlah teramai warga asing adalah Myanmar (23) diikuti Indonesia (21) dan India (6).

Senang pantau

Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL Anwar Mohd Zain memberitahu The Malaysian Insight yang semua gelandangan warga asing dipindahkan ke Dewan Serbaguna Alam Damai Cheras untuk memudahkan kerja pemantauan.

Katanya, semua yang berada di situ sudah menjalani ujian Covid-19 dan tiada yang positif.

Kawalan keselamatan juga diperketatkan selepas dua orang gelandangan melarikan diri pada 3 April lepas.

“Seorang warga Bangladesh dan seorang Myanmar. Sekarang, kita ada pegawai polis dan tentera. Sebelum ini, hanya Rela. Kita juga letak pagar berduri di sekitar kawasan.

“Jadi, harapnya tidak berlaku lagi (lari),” katanya.

Anwar berkata, gelandagan diberi makan enam kali sehari dan aktiviti dirancang untuk mereka. Makanan ditaja oleh Kembara Kitchen.

Menurutnya selepas PKP tamat, warga asing itu akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

PKP dikuatkuasa pada 18 Mac lalu untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, dan dilanjutkan sehingga 14 Mac kerana berlaku peningkatan kes.

Setakat semalam, jumlah positif Covid-19 adalah 3,963 kes membabitkan 63 kematian. – 8 April, 2020.

Makin ramai orang lapar selepas 14 hari PKP

Zainal Rashid Ahmad

AGAK menyentuh perasaan apabila aktivis kebajikan kini mula kehilangan komuniti penyumbang dana amal secara mendadak. Terutama bagi yang bergantung dana sumbangan peniaga.

Selepas tiga minggu perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, peniaga terpaksa menutup premis. Apabila bisnes terhenti, peniaga mengalami kerugian malah terputus pendapatan.

Bagi aktivis Shahrizal Mat Zin, impak terhadap kerja amal dan bantuan kewangan kini terjejas teruk. Dia kehilangan sumber utama sokongan dana.

“Lebih 90% penyumbang projek kerja amal kami ialah komuniti peniaga di Chow Kit. Apabila bisnes ditutup, sukar mendapatkan bantuan kewangan,” katanya.

Komuniti peniaga kini tidak lagi mampu menghulurkan bantuan kewangan atau makanan kerana pendapatan mereka terjejas teruk.

“Lebih dua minggu kedai ditutup, peniaga kecil turut menjadi komuniti yang hidup dalam kesusahan,” kata Shahrizal.

Pada Sabtu lalu, Shahrizal terpaksa membelek senarai kontak dalam telefon genggamnya. Meneliti satu demi satu nama serta menilai potensi untuk menghubungi mereka bagi mendapatkan bantuan.

“Ada 11 keluarga yang sudah dua hari terputus bekalan makanan di PPR Desa Permai, Kepong. Untuk menyediakan bantuan stok makanan 10 hari bagi setiap keluarga, kami memerlukan sekitar RM700 ke RM800,” katanya.

Impaknya kehilangan sumber dana sangat terasa, kata Shahrizal. Ia berbeza dengan keadaan sepanjang lapan tahun lalu.

“Sejak kami menjalankan kerja amal pada 2012, angka RM3,000 boleh dikumpulan sepantas tiga jam,” katanya.

Pada 2014, ketika menerima berita mengenai nasib empat keluarga pesakit kanser terpaksa bermalam di kawasan parkir Stadium Raja Muda, satu kempen dana dijalankan dalam aplikasi grup WhatsApp peniaga.

“Tiga jam capai RM3,000 kutipan hasil sumbangan rakan-rakan peniaga. Kami terus menemui empat keluarga pesakit kanser dan menawarkan bantuan penginapan, makanan dan keperluan tunai,” kata Shahrizal.

Sekarang, katanya, memahami keadaan rakan-rakan peniaga yang mengalami impak kewangan yang teruk, Shahrizal terpaksa menghubungi kenalan lain secara peribadi.

“Alhamdulilllah… masih ada yang membantu. Kami bergerak ke pasaraya dan bertemu penderma yang terus saja membeli stok makanan. Kami bawa ke lokasi dan terus edarkan,” katanya.

Shahrizal menerima banyak aduan kes kelaparan dan ketiadaan makanan di kawasan PPR Kuala Lumpur. Paling kronik selepas minggu kedua PKP.

“Kami mengusahakan bantuan. Apa lagi dalam kes di PPR Desa Permai, keluarga yang terlibat sudah terputus bekalan selama dua hari,” jelasnya.

Merentas perjalanan ke Cheras bertemu penderma dan terus membeli keperluan makanan.

Selesai urusan mendapatkan bekalan bantuan, Shahrizal terus memandu ke Kepong untuk menghantar bantuan. Semua ini turut menjadi pengalaman mencabar.

“Saya berterus-terang kepada pihak polis ketika ditahan di sekatan jalanraya. Malah, menunjukkan bukti perbualan wasap mengenai urusan bantuan makanan. Saya dibenar meneruskan perjalanan,” jelasnya.

Di Cheras, Shahrizal mendapat bantuan membeli dua belas beg beras 10 kilogram, 22 tin sardin dan 22 paket gula, 11 botol minyak masak dan 22 paket teh dan kopi.

“Masih ada penderma yang bermurah hati,” katanya.

Kisah Shahrizal hanya satu titik kecil dalam skala kebajikan yang besar. Dalam period PKP, aktivis terpaksa lebih agresif untuk mendapatkan bantuan.

Di seluruh negara, aktivis NGO, kumpulan adhoc dan individu prihatin kini terpaksa mengubah pendekatan mengumpulkan dana. Malah, menukar strategi mengedarkan bekalan makanan.

“Di sekitar Kuala Lumpur, majoriti penghuni PPR ialah pekerja rencam atau bergaji hari. Mereka tidak akan dibayar gaji kerana tidak bekerja sepanjang PKP,” katanya.

Shahrizal yang juga peniaga kecil di Kampong Bharu tetap terus aktif. Dia perlu berusaha dengan pelbagai cara bagi mendapatkan bekalan makanan untuk keluarga yang kelaparan.

PKP bukan sekadar kisah mengawal lengkungan jangkitan. Atau kedegilan ratusan orang yang melanggar perintah berkurung.

Aktivis kemanusiaan di seluruh negara kini bertarung menangani masalah akses keluarga miskin yang gagal mendapatkan makanan.

PKP melonggarkan syarat dan membolehkan sesiapa saja keluar dan membeli bekalan makanan di pasaraya atau kedai serbaneka.

Persoalannya - makanan di semua premis ini tidak percuma. Tanpa wang, keluarga miskin akan kelaparan.

“Kita tidak akan membiarkan orang susah hidup dalam kelaparan,” kata Shahrizal mengakhiri perbualan telefon. – 8 April, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera

Muhyiddin dijangka mengagihkan ghanimah dikalangan Ahli Parlimen yang menyokong PN

Muhyiddin dijangka lantik lebih ramai MP PN ketuai GLC
MALAYSIA DATELINE

Dalam rangka untuk memperkukuhkan kedudukan beliau, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan melantik lebih ramai Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Laporan FocusM semalam menyebutkan, berdasarkan maklumat yang diberikan oleh mereka yang tahu mengenai perkara tersebut tetapi enggan nama didedahkan, ahli-ahli Parlimen PN telahpun diberitahu mengenai perkembangan ini.

Menurut laporan itu, nama-nama yang disebutkan termasuk tokoh-tokoh penting Umno seperti MP Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang akan mengetuai Felda, MP Besut Datuk Seri Idris Jusoh atau MP Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub untuk menerajui Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Pengerusi Felda sekarang ialah Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan menurut laporan The Straits Times Singapura, Bakke telah diminta melepaskan jawatannya di Malaysian Palm Oil Board (MPOB). Bakke dilantik sebagai pengerusi Felda pada 26 Jun tahun lalu atas kontrak selama dua tahun.

Sebelum ini FocusM melaporkan bahawa pengerusi Socso Zakri Khir telah meletakkan jawatan dan tempatnya akan digantikan dengan MP Sabak Bernam dari Bersatu, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh.

Di Mara juga telah berlaku perubahan apabila pengerusinya Hasnita Hashim dan ahli lembaga pengarahnya dipecat pada 18 Mac lalu.

3 April lalu, The Malaysian Reserve melaporkan bahawa Dr Nungsari Radhi menarik diri dari Institut Penyelidikan Khazanah. Nungsari juga adalah pengerusi eksekutif Malaysian Aviation Commission.

Perubahan pimpinan yang lain termasuk penamatan perkhidmatan Datuk Noripah Kamso sebagai pengerusi Bank Rakyat pada 3 April lalu. Kontrak beliau sepatutnya berakhir pada Disember tahun ini.

Datuk Noor Farida Ariffin, menurut laporan Malay Mail pada 1 April lalu, tidak lagi menjadi pengerusi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF). Beliau bersama kesemua ahli lembaga telah dipecat. Tempat beliau kini digantikan oleh Datuk Nelson Renganathan, bekas ketua Pemuda MIC.

Jangan sampai orang kata Mufti cap ayam


MALAYSIA DATELINE
Kenyataan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang meminta Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, memberi penjelasan berhubung kebenaran kilang arak Heineken beroperasi dibidas oleh Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin.

Dalam hantaran di Facebooknya, Asri membuat gesaan itu atas alasan yang diberikan oleh kerajaan bahawa “pihak menteri yang berkenaan tidak dimaklumkan kelulusan tersebut”.

Hanipa berkata, hantaran di Facebook Mufti berkenaan adalah berdasarkan fakta yang tidak betul.

Kata Hanipa, semalam menurut laporan Malaysiakini, Menteri dan Timbalan Menteri KPDNHEP mempunyai maklumat dan tahu mengenai kelulusan kepada Heineken untuk beroperasi.

“Jadi, fakta yang kata YB Menteri tak tahu atau tidak dimaklumkan adalah tak betul.

“Maknanya, posting Mufti berdasarkan fakta tak betul.. Bukan Mufti selalu ajar orang ramai untuk Tabayyun ke?

“So, siapa yang nak kena bagi penjelasan sekarang ya?

“Jika terus begini kita khuatir nanti orang akan tuduh Mufti Cap Ayam pulak,” tulis bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam Facebooknya.

Hanipa bagaimanapun berharap keadaan tidak sampai ke tahap itu.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Timbalan Menteri KPDNHEP, Rosol Wahid dipetik sebagai berkata bahawa laporan mengatakan menteri (Alexander Nanta Linggi) dan beliau tidak dimaklumkan mengenai kebenaran Heineken beroperasi itu adalah tidak benar.

Kerajaan Muhyiddin macam mabuk arak - Kadir Jasin

AKMAL MANAF
Bekas Penasihat Media dan Komunikasi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk A Kadir Jasin hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap isu operasi kilang arak.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau menempelak barisan Kabinet yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

Menurutnya, jumlah jemaah Menteri kerajaan PN yang terlalu ramai mengundang masalah daripada segi penyelaran sesuatu dasar.

“Inilah masalahnya bila banyak sangat Menteri, Menteri Kanan dan Timbalan Menteri. Kemudian ada Menteri yang mendiamkan diri dan biarkan Ketua Setiausaha Kementerian menanggung bala.

“Menteri membisu seribu bahasa. Timbalan Menteri kata, bukan kebenaran operasi pengeluaran, tetapi sekadar mengedar stok yang ada,” dipetik dari Facebook beliau.

Kadir juga berpendapat Menteri yang tiada berkaitan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi gambaran seolah-olah operasi pengeluaran minuman keras dibenarkan dan menuntut segera dibatalkan.

“Menteri lain pula kata sudah diarah supaya dibatalkan. Yang mana satu betul? Kebenaran mengilang arak atau mengedarkan stok sedia ada?,” bidasnya mempersoalkan tindakan mengelirukan itu.

Disebabkan hal serba tidak menentu tersebut, Kadir yang juga Tokoh Wartawan Negara 2011 itu turut memberi gambaran kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin.

“Macam mabuk arak pula kerajaan yang Perdana Menteri sendiri mengaku ‘bukan yang dipilih oleh rakyat’ atau kerajaan tebuk atap seperti diperkatakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” sindir beliau.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kerajaan sudah membatalkan kebenaran operasi sebuah kilang minuman keras sepanjang PKP.

Katanya, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Akhirnya kerajaan PN kantoi: Permohonan untuk mengedar arak bukan operasi

SHAHBUDIN HUSIN
Selama ini kita diberitahu bahawa ketika Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hasnol Zam Zam Ahmad mengeluarkan surat membenarkan dua kilang arak beroperasi ketika arahan PKP, ia dilakukannya di luar pengetahuan menterinya, Alexander Nanta Linggi.

Sehubungan itu, di sebalik keputusan itu dikecam oleh ramai pihak, mereka yang pro PN pula mengutuk Hasnol Zam Zam kerana didakwa bertindak sendirian tanpa kebenaran menteri.

Tidak kurang yang mengaitkan Hasnol Zam Zam sebagai pro PH, meskipun hakikatnya beliau adalah seorang penjawat awam yang dilantik menjadi Ketua Setiausaha oleh Ketua Setiausaha Negara dan bukan merupakan lantikan politik.

Berikutan kerajaan sudah membatalkan kebenaran beroperasi kepada dua kilang arak terbabit, Hasnol Zam Zam turut ditukarkan menjadi Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau SSM.

Pengumuman yang dibuat semalam itu disebut berkuatkuasa sejak 1 April lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid akhirnya tampil dengan kenyataan yang berbeza mengenai surat kebenaran beroperasi kepada kilang arak yang ditandatangani oleh Hasnol Zam Zam itu.

Kata beliau, kebenaran itu adalah untuk mengedarkan stok arak sedia ada di kilang-kilang terbabit sewaktu PKP berkuatkuasa dan bukannya kebenaran untuk beroperasi.

Tambahnya, pengurusan kilang memohon kepada pihaknya untuk mengedarkan stok yang sudah sedia ada ketika PKP dan kelulusan diberikan berdasarkan pengedaran dan bukannya operasi.

Menurut Rosol lagi, kementeriannya dimaklumkan mengenai jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM340 juta dan mengambil kira kepentingan semua pihak, maka kelulusan pengedaran stok terbabit diberikan.

“Ada laporan mengatakan menteri dan saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Ketua Setiausaha KPDNHEP, Hasnol Zam Zam.

“Itu tidak betul, kami tahu mengenainya.

“Apa yang berlaku ialah mungkin orang ramai salah faham mengenai surat yang tular itu. KPDNHEP tidak ada kuasa memberi kebenaran beroperasi, itu di bawah kuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” jelas beliau.

Dalam hal ini, jika kita imbas kembali pengumuman Ismail Sabri Yaakob mengenai perkara itu semalam, beliau turut menyebut bahawa MITI akan mengeluarkan surat melarang kilang arak berkenaan daripada beroperasi dengan serta merta.

Bermakna, memang diakui bahawa pihak yang boleh menentukan sama ada sesebuah kilang boleh beroperasi atau sebaliknya adalah MITI dan bukannya KPDNHEP.

KPDNHEP hanya bertanggungjawab mengenai pengedaran saja.

Cuma, di sebalik kabinet telah memutuskan bahawa kilang arak itu tidak dibenarkan beroperasi semasa PKP, bagaimana pula dengan permohonan mereka untuk mengedar stok arak sedia ada sewaktu tempoh larangan ini?

Adakah ia sebenarnya tetap diberi kebenaran tanpa kita semua ketahui?

Kenapa Ismail Sabri tidak memaklumkan mengenai perkara tersebut?

Covid - 19: Ketakutan melampau bakar menara telekomunikasi 5G dakwa boleh sebar covid-19

Bernama

MobileUK mengeluarkan surat terbuka meminta pelanggan membantu usaha menghentikan serangan ke ata menara telekomunikasi. (Gambar Bernama)
LONDON: Sekurang-kurangnya 20 menara telekomunikasi di United Kingdom (UK) dibakar atau dirosakkan sejak beberapa hari lalu, selepas timbul dakwaan mengatakan rangkaian 5G boleh menyebarkan wabak Covid-19, lapor agensi berita Sputnik memetik laporan The Guardian.

Terdapat siri vandalisme menara telekomunikasi di sekitar Liverpool dan West Midlands. Disebabkan perkhidmatan 5G yang perlahan di UK, banyak menara dirosakkan meskipun menara terbabit tidak memiliki teknologi dan peralatan 5G.

Menurut The Guardian, MobileUK, yang menggabungkan 4 rangkaian mudah alih utama di UK, mengeluarkan surat terbuka meminta pelanggan membantu usaha menghentikan serangan itu.

“Kami berdepan kes vandalisme ia menyebabkan gangguan terhadap infrastruktur penting dan penyebaran maklumat palsu menunjukkan hubungan antara 5G dengan pandemik Covid-19. Tiada bukti saintifik lagi setakat ini,” menurut surat itu.

“Tolong bantu kami untuk menghentikannya. Jika anda lihat terdapat perbuatan vandalisme terhadap kemudahan kami sila laporkannya. Jika ada maklumat tidak benar sila hubungi kami. Bantuan anda ketika ini sangat bermakna,” katanya.

Kami lompat bukan kejar habuan - Hanipa jawab Maza

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, hari ini membidas kenyataan dibuat Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dan meminta mufti Perlis itu tidak membuat ulasan secara sembernono tanpa melihat konteks secara keseluruhan.

Beliau yang juga bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri menjelaskan memang ahli parlimen Amanah sekarang pernah 'melompat' dari PAS.

Kata Hanipa, ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) yang menjadi kerajaan juga melakukan perbuatan sama, yakni melompat, namun kerana konteks yang berbeza.

“Ya, Amanah dulu lompat dari parti ehem (PAS) dan sekarang pula ada dari kalangan anggota GPB (gomen pintu belakang) yang juga melompat.

"Tajuk yang sama - lompat - tapi konteks yang berbeza, tuan mufti.

“Kami dari Amanah pada masa tu bukan suka-suka nak melompat tuan mufti. Kami bukan lompat sebab nak jadi menteri!" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Hanipa lagi selepas meninggalkan PAS mereka berdepan dengan pelbagai kesukaran termasuk menubuhkan parti baru - Amanah. Sesetengahnya, kata beliau, diminta berpindah pejabat oleh PAS dengan notis yang singkat.

Dari miskin jadi lebih miskin

Malah, katanya, ada antara mereka difitnah kononnya 'berzina' dengan isteri kerana melanggar baiah.

Mengenai PN pula, Hanipa berkata, mereka boleh dianggap mengkhianati mandat diberikan rakyat.

“Tapi adakah cara itu cara yang beretika atau berakhlak? Adakah cara tu sama seperti PH tubuhkan kerajaan melalui pilihan raya dan mendapat mandat rakyat?” soalnya.

Pada 5 April, Mohd Asri memberi penjelasan mengenai sikapnya menyokong PN ketika sesetengah pihak mempertikaikan kewajaran kerajaan itu dibentuk melalui pakatan beberapa ahli parlimen.

Dalam penjelasan itu Mohd Asri yang juga dikenali sebagai Maza berkata, tiada sesiapa boleh dianggap pengkhianat kerana pihak terbabit didakwanya tidak terikat dengan sebarang janji, berbanding Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

"Sudah pasti DYMM YDPA (Yang di-Pertuan Agong) tidak terikat dengan janji tersebut.

"Rakyat awam seperti saya juga tidak terikat dengan janji itu. Maka, tiada siapa yang boleh dituduh sebagai khianat kerana mengiktiraf kerajaan yang ada," katanya dalam satu kenyataan dibuat di media sosial.

Mohd Asri berkata demikian sebagai menjawab soalan seorang penyokong Amanah yang bertanya mengapa beliau mengiktiraf golongan pengkhinat - merujuk kepada pemimpin PH yang melompat ke PN.

Hanipa berkata ahli parlimen Amanah meninggalkan PAS kerana mahu mengelak daripada mengkhianati mandat rakyat yang memilih mereka atas gabungan Pakatan Rakyat (PR).

“Ya, kami mengambil risiko yang menyakitkan... bukan kejar habuan. Seperti kata presiden Amanah: Kita berpindah dari miskin kepada lebih miskin!" katanya.

Justeru Hanipa meminta Mohd Asri - yang dianggapnya tidak tahu konteks isu berkenaan - supaya berdiam diri dan tidak memberikan 'fatwa' mengenai isu berkenaan.

Haram khianati perjanjian, mengapa Dr MAZA mendiamkan diri?

USTAZ ALI MUDA
Berikut adalah jawapan balas saya terhadap jawapan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA) kepada persoalan pendiriannya yang dikatakan menyokong al-ghadr atau pengkhianatan perjanjian. Yang bernombor adalah tulisan Dr. MAZA dan di bawahnya jawapan balas saya:

1. Saya bersetuju bahawa manusia berpegang kepada ikrar dan janji. Itu pun hendaklah dilihat, sejauh mana ikrar dan janji bercanggah atau tidak dengan syarak. Adapun saya dan majoriti rakyat tidak pernah terlibat dengan perjanjian atau ikrar antara orang-orang politik tersebut. Itu urusan mereka. Majoriti rakyat tidak terbabit dengan perjanjian ‘memfaraidkan kuasa’ antara orang-orang berkaitan.

Jawapan:
Dr. Maza bersetuju manusia wajib berpegang dengan ikrar dan janji yang tidak bercanggah dengan syarak. Baik, jika hari ini Dr. Maza kata harus melanggar perjanjian 4 parti PH itu, sila buktikan di mana perjanjian itu bercanggah dengan syarak. Daripada dokumen perjanjian bertarikh 6 Januari 2018 yang ditandatangani oleh Tun Mahathir Mohamad, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tuan Tan Kok Wai dan Tuan Haji Mohamad Sabu selepas ayat “Maka dengan ini kami bersepakat dan bersetuju dengan muafakat Bersama ini sebagai perjanjian yang mengikat parti-parti kami” itu, perkara yang mana bercanggah dengan hukum syarak wahai mufti? Jika anda tidak tahu akan isi perjanjian itu, atau anda tidak membaca pun perjanjian itu, bagaimana anda memberi fatwa dalam kegelapan? Adakah anda sudah lupa apa yang anda sendiri tulis dalam buku kecil terbitan Jabatan Mufti Perlis itu tentang bagaimana sepatutnya seorang mufti memahami realiti sebelum memberi fatwa?

Anda kata anda dan majoriti rakyat tidak pernah terlibat dengan perjanjian itu? Ya, anda dan minoriti rakyat (bukan majoriti) yang mengundi BN atau Pas dalam PRU14 tidak terlibat dengan perjanjian itu, tetapi anda dan semua rakyat Malaysia telah terikat dengan perjanjian mematuhi Perlembagaan Persekutuan di mana Suruhanjaya Pilihanraya diberi mandat untuk menentukan kerajaan selepas mana-mana gabungan parti politik memenangi PRU secara majoriti. Bagaimana anda mendakwa anda dan majoriti rakyat tak terlibat dengan perjanjian? Atau anda berani mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan atas kuasa yang diperuntukkan kepada SPR?

Satu aspek lagi, adakah anda ingin memberitahu bahawa para Sahabah r.a. tidak terikat dengan perjanjian al-Hudaybiyyah yang ditandatangani Rasulullah s.a.w.? Ya, itu perbuatan nabi yang menerima wahyu dan perjanjian PH bukan ditandatangani nabi atau nabi-nabi, tetapi bukankah di sana ada nas yang jelas:
المسلمون على شروطهم
“Umat Islam itu wajib berpegang dengan syarat-syarat yang dipersetujui bersama di antara mereka”? (Hadis sanadnya Hasan atau Sahih menurut al-Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ 9/376). Pernahkah ada rakyat Madinah berkata kami tak terikat dengan perjanjian yang ditandatangani Muhammad ketika itu? Kalau ada, sudah tentu itu orang munafik atau Yahudi!

Wahai mufti, orang Arab ada berkata: “Jangan kamu teraba-raba seperti unta yang teraba-raba di waktu malam”! Kata-kata anda “Majoriti rakyat tidak terbabit dengan perjanjian ‘memfaraidkan kuasa’ antara orang-orang berkaitan” adalah kata-kata orang yang teraba-raba dalam kegelapan tanpa cahaya semata-mata untuk melepaskan diri daripada keputusan syarak dan undang-undang.

2. Perdana Menteri yang ada sekarang dilantik oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong iaitu kuasa tertinggi yang diiktiraf oleh Perlembagaan Negara. Di sisi Perlembagaan, dia merupakan Perdana Menteri yang sah. Apabila ia sah, di sisi syarak ia wajib ditaati selagi dia tidak menyuruh kepada dosa dan maksiat.

Jawapan:
Kita bersetuju dengan kewajipan mentaati YDP Agong sebagai kuasa tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan dalam melantik Perdana Menteri. Namun kenapa anda sebelum ini sangat lancang mempertikaikan dasar Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia sebagai gagasan yang telah dititahperkenankan oleh YDP Agong pada 11 Mac 2019 di Dewan Rakyat? Ketika itu anda tidak sedarkah siapa diri anda di bawah Perlembagaan Persekutuan? Ketika itu tidak wajibkah mentaati perkara yang telah diperkenankan oleh YDP Agong dalam Dewan Rakyat?

3. Bercakap tentang ikrar dan janji, adapun saya, bahkan semua rakyat yang sebenar, telah berikrar RUKUN NEGARA yang kedua iaitu ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’. Saya percaya saudara pun pernah berikrar. Dengan saudara tidak mengiktiraf perlantikan yang dibuat oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bererti saudara telah melanggar ikrar dan janji yang saudara telah buat sejak dahulu. Justeru, saya mengiktiraf kerana saya menunaikan janji dan ikrar.

Jawapan:
Tiada pertikaian tentang kuasa DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam melantik sesiapa yang dipercayai mendapat kepercayaan majoriti wakil rakyat itu. Persoalan bukan selepas perlantikan itu, tetapi sebelum itu lagi di mana usaha-usaha dijalankan secara tersusun di bawah pengetahuan anda (dan mungkin anda sendiri terlibat memberi konsultansinya) untuk melanggar perjanjian yang wajib dipatuhi dalam agama. Bukankah melanggar perjanjian yang disebutkan sebagai al-ghadr dalam agama itu merupakan satu dosa besar? Bagaimana pula orang yang menyokong atau mengharuskannya?

Sukalah saya mengingatkan anda dengan firman Allah s.w.t. daripada Surah al-Nahl 16: ayat 91-94 yang bermaksud:
“Dan sempurnakanlah perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (mengesahkan, menandatanganinya), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan. (16:91)

Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah dia selesai memintalnya kuat teguh; dengan kamu menjadikan sumpah/perjanjian kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian yang telah dimeteraikan) sesama kamu, disebabkan adanya satu golongan/penyokong yang lebih ramai dari golongan/ penyokong lain. Sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu; dan Dia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu, pada hari kiamat, apa yang kamu berselisihan padanya. (16:92)

Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama Allah yang satu); akan tetapi Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang kamu telah kerjakan. (16:93)

Dan janganlah kamu jadikan sumpah kamu sebagai tipu daya sesama kamu, kerana dengan yang demikian itu akan menyebabkan tergelincir kaki kamu sesudah ia tetap teguh (di atas jalan yang benar); dan kamu pula akan merasai balasan buruk (di dunia) dengan sebab kamu menghalangi manusia dari jalan Allah; dan bagi kamu juga disediakan azab yang besar (di akhirat kelak).” (16:94)

Ketika mentafsirkan ayat 16:94 itu al-Imam al-Hafidz Ibn Kathir menulis, maksudnya: “(Perbuatan mengkhianati perjanjian sangat tercela) kerana orang kafir melihat orang beriman (Islam) telah mengikat perjanjian dengan mereka, lalu orang Islam itu khianat, tiadalah lagi padanya (orang kafir itu) dia (orang Islam) berpegang pada agama. Dengan sebab perbuatan khianat itu, maka jalan untuk orang masuk Islam menjadi terhalang. Kerana itu Allah berfirman, “…dan kamu akan merasai balasan buruk (di dunia) dengan sebab kamu menghalangi manusia dari jalan Allah; dan bagi kamu juga disediakan azab yang dahsyat (di akhirat)”

Manakala dalam hadis pula banyak larangan keras terhadap perbuatan al-ghadr yang merupakan dosa besar itu. Antaranya hadis yang bermaksud:
“Bagi setiap pengkhianat perjanjian itu terdapat bendera di punggungnya pada hari kiamat, (bendera itu) diangkat setakat mana pengkhianatannya. Ketahuilah bahawa tiada pengkhianatan yang lebih besar daripada pengkhianatan pemimpin orang ramai” (Sahih, riwayat Muslim)
“Bagi setiap pengkhianat perjanjian itu bendera pada hari kiamat yang tercatat padanya “Inilah pengkhianatan si polan” (Sahih, riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Allah berfirman, “Tiga golongan yang Aku menjadi musuh mereka pada hari kiamat; seseorang yang memberikan perjanjian dengan namaKu kemudian dia mengkhianat, seseorang yang menjual orang merdeka lalu memakan hasilnya, dan seseorang yang mengupah orang bekerja, apabila pekerja itu menunaikan kerjanya, dia tidak membayar upahnya.” (Sahih, riwayat al-Bukhari)

Dengan begini banyak dalil pengharaman al-ghadr yang telah saya suakan kepada anda sebelum ini, adakah anda hanya mahu mendiamkan diri? Di mana penjelasan atau takwilan anda terhadap dalil-dalil ini sehingga anda mengatakan perjanjian sesama PH itu harus dilanggari oleh pihak-pihak terlibat?

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

4. Untuk pengetahuan saudara, pada 8 Oktober 2019, Perdana Menteri Malaysia ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamed telah menulis sepucuk surat peribadi kepada saya. Antara isi kandungan surat tersebut, beliau menyatakan: “Saya buat janji siapa yang ganti saya jika saya jadi PM” saya tidak boleh mungkir janji. Orang lain tidak janji apa-apa. Mereka boleh pilih siapa sahaja. Tetapi saya nak pilih orang lain, ini salah jika saya lakukannya.”

5. Dari surat Tun Mahathir itu, ternyata orang lain tidak terikat dengan janji selain dari Tun M sahaja. Sudah pasti DYMM YDPA tidak terikat dengan janji tersebut. Rakyat awam seperti saya juga tidak terikat dengan janji itu. Maka, tiada siapa yang boleh dituduh sebagai khianat kerana mengiktiraf kerajaan yang ada.

Jawapan:
Tanpa merujuk dokumen perjanjian itu terlebih dahulu dan tanpa mengetahui siapa sebenarnya yang terlibat dalam perjanjian itu dan menandatanganinya, anda dengan mudah membuat keputusan bahawa ia cuma perjanjian peribadi Tun Mahathir. Ternyata anda tidak melakukan kajian sepatutnya dan anda tiada pengetahuan yang mencukupi sebelum membuat fatwa. Surat peribadi Tun Mahathir kepada anda itu tidak melepaskan anda daripada tanggungjawab membuat semakan dokumen yang lain sebelum berhukum.

Tidakkah anda mengetahui bahawa mengeluarkan hukum atau fatwa tanpa ilmu yang mencukupi itu haram dan berdosa besar kerana dua sebab? Pertama kerana berani berdusta dan berbohong atas nama Allah s.w.t. dan kedua, menipu dan memperdaya manusia ke arah kesesatan.

Ketika menerangkan ayat 116-117 Surah al-Nahl, Ibn al-Qayyim menyatakan: “Allah s.w.t. memberi ancaman seksa terhadap orang yang berdusta dalam menerangkan hukum-hakamNya, iaitu mengatakan apa yang Allah tidak haramkan sebagai haram atau mengatakan apa yang Allah tidak halalkan sebagai halal. Ayat ini adalah keterangan daripada Allah s.w.t. bahawa tidak harus mengatakan “ini halal, ini haram” melainkan dengan secara ilmu yang pasti bahawa Allah taala telah menghalalkan atau telah mengharamkannya.” (I’lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabbi l-‘Alamin, 1/38)

6. Kita semua tahu, apa yang berlaku Perdana Menteri ke-7 yang meletakkan jawatan. Maka negara tiada Perdana Menteri. Seorang Perdana Menteri perlu dilantik. Apakah cara? DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah mengambil langkah yang wajar dan dipertujui oleh Majlis Raja-Raja. Satu cara pemilihan telah dibuat di Istana Negara. Parti saudara dan ahli-ahli parlimen PH turut menyertai pemilihan tersebut dengan hadir ke Istana Negara dan memaklumkan calon pilihan mereka kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Jika pemilihan itu satu pengkhianatan dan tidak sah, mengapa parti saudara dan ahli-ahli parlimen PH turut menyertainya? Tidakkah pemilihan Perdana Menteri sekarang ini hasil dari proses tersebut? Jika diandaikan calon parti saudara menang, adakah sah? Jika calon saudara tidak menang, maka tidak sah?!!! Lojik apakah ini?!

Jawapan:
Seperti disebutkan di atas, persoalan yang ingin saya bincangkan bukanlah selepas perlantikan PM8. Tetapi persoalan hukum asal melanggar perjanjian oleh segolongan wakil rakyat itu yang kini berada dalam kerajaan. Anda telah merestui perbuatan mereka tanpa sedikit teguran sebagai orang yang dipikulkan amanah ilmu dalam agama.

Tidakkah anda merenung dan gerun akan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.” (Al-Baqarah 2:159)

Berkata al-Imam al-Qurtubi ketika menerangkan maksud ayat ini: “Maksudnya ialah sesiapa sahaja yang menyembunyikan kebenaran, maka ayat itu umum untuk sesiapa sahaja yang menyembunyikan ilmu dalam agama Allah yang diperlukan untuk disebarkan. Hal ini ditafsirkan juga oleh hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang ditanya tentang sesuatu ilmu yang diketahuinya tetapi dia menymbunyikannya, maka Allah akan merejamkannya pada hari kiamat dengan rejaman api neraka” (Riwayat Abu Dawud dengan sanad sahih)

Tidakkah anda juga tahu, sebagai mufti, tentang satu kaedah Usul iaitu ( لا يجوز تأخير البيان عن وقت الحاجة إليه ) “Tidak harus melewatkan keterangan (hukum) daripada waktu (manusia) memerlukannya”. Di zaman sekarang, cukup dibuat pencarian melalui Google sahaja tentang syarah kaedah itu oleh para ulama Usul zaman dahulu dan ulama kontemporari. Sedangkan anda sendiri mengikuti dengan rapat gerakan-gerakan yang dilakukan oleh golongan manusia pengkhianat perjanjian itu sebelum pengkhiatan mereka itu benar-benar berlaku. Sedangkan saya sendiri, dengan keterbatasan liputan pandangan saya, telah beberapa kali memberi amaran tentang keburukan perkara itu pada pandangan agama sebelum ia dilaksanakan. Adakah nanti di akhirat anda sanggup memikul tanggungjawab untuk menjawab bagi pihak para pengkhianat perjanjian itu di depan Allah s.w.t.?

Nampaknya anda sudah pandai mencekik dalil-dalil syarak sehingga tak berbunyi lagi. Ini satu kemajuan baru bagi anda dalam ilmu pusing-pusing dalil setelah sebelum ini anda memulas fakta tentang Ka’b bin al-Asyraf seorang Yahudi kafir harbi anda samakan dengan warganegara Malaysia yang bukan muslim. Bagi sesiapa yang hendak baca pemulasan fakta Ka’b al-Asyraf oleh Dr Maza, boleh baca di wall saya pada 28 Nov 2019 bertajuk “Rahmatan Lil Alamin Tak Ikut Sunnah Nabi s.a.w.?”

7. Adapun sudut ketelusan parti saudara yang tidak akan mengiktiraf lompat parti, mungkin saudara terlupa sejarah parti saudara. Parti saudara muncul hasil dari lompat parti. Bukan sahaja lompat parti, bahkan melanggari baiah dengan parti asal mereka. Bukan baiah biasa, tetapi baiah atas nama Allah dan RasulNYA bahawa isteri tertalak jika mereka lompat. Pun begitu mereka telah melompat. Pemimpin saudara pernah menghantar surat kepada saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Perlis untuk memutuskan apakah isteri mereka tertalak. Jawapan yang kita berikan ialah sama ada jatuh atau tidak talak itu berdasarkan niat semasa sumpah talak tersebut dibuat. Saudara boleh rujuk keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri perlis kali ke-24 & 25/2016 pada20-21 disember 2016. Namun, perbuatan menggunakan nama Allah, RasulNYA serta talak isteri untuk berpolitik adalah perbuatan yang keji. Hal itu pernah dilakukan oleh parti saudara.

Jawapan:
Kewujudan parti Amanah adalah kerana para pemimpinnya melarikan diri daripada majoriti pemimpin parti lama (Pas) yang telah mengkhianati perjanjian Pakatan Rakyat atas alasan Dap menentang hudud, sedangkan hudud tiada dalam persepakatan PR. Bermakna jika mereka terus duduk bersama Pas, mereka duduk bersama para al-ghadirin. Tindakan Pas keluar dan mengkhianati perjanjian PR juga tidak mengikuti peraturan dan perlembagaan parti itu, iaitu muktamar agung, sebaliknya tindakan diambil berdasarkan keputusan seorang presiden yang memanipulasi walak pengikut. Persoalan baiah dengan talak tiga itu sudah diselesaikan dan ia ada pelbagai pandangan. Anda bukan ahli politik, maka ingatan dan cernaan terhadap peristiwa dalam parti-parti tertentu agak cetek dan dangkal.

8. Jika saudara masih ingat atau membaca, ada percubaan menjatuhkan kerajaan pada 16 September 2008, yang cuba membentuk kerajaan melalui lompat parti. Pemimpin-pemimpin parti saudara juga bersama dengan pemimpin berkenaan. Pemimpin tersebut juga calon PM yang saudara sebut. Saya bukan mahu memburukkan beliau, tetapi jika saudara bercakap soal prinsip yang parti saudara pegang, mungkin saudara boleh menilainya.

Jawapan:
Hal itu tidak berlaku pun. Maka hukum tidak tersandar pada perkara yang tidak berlaku. Niat untuk melakukan kemungkaran belum dicatat sebagai dosa selagi ia tidak dilakukan. Seperti anda berniat tidak memberitahu hukum haram al-ghadr tidak dikira berdosa lagi, sehingga anda memang tidak memberitahunya ketika manusia berhajat mengetahuinya.

9. Pengiktirafan saya tiada kaitan dengan perjanjian antara orang-orang politik. Saya mengiktiraf apabila seseorang telah sah sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan di sisi Perlembagaan. Jika satu hari kumpulan saudara menjadi kerajaan yang sah, saya iktiraf. Soalan mengkritik, itu perkara kedua. Berbeza antara kritik dan iktiraf. Mengapa saya iktiraf dan taat selagi tidak mungkar? Jawapannya kerana saya bukan orang parti seperti saudara. Saya muslim yang berpegang kepada arahan Nabi s.a.w :
إِنْ أُمِّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ فَاسْمَعُوا لَهُ وَأَطِيعُوا مَا قَادَكُمْ بِكِتَابِ اللهِ تَعَالَى
“Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba habsyi, dengar dan taatlah jika dia memimpin kamu dengan Kitab Allah” (Riwayat Ahmad, Ibn Majah dll, sahih atas syarat al-Imam Muslim).
Juga sabda Nabi s.a.w:

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ
“Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Jawapan: Telah dijawab dalam perkara no. 2 di atas.

10. Prinsip rakyat dalam urusan pemerintahan ialah kita menyokong yang baik dan ijtihad yang tidak berdosa dalam pentadbiran. Kita memberikan pandangan balas dan kritikan jika perlu. Kita membantah dan tidak menyokong hal-hal yang mungkar. Apa yang penting, negara mesti stabil dan memelihara kepentingan rakyat dan agama.

Jawapan:

Dasar Rahmatan Lil ‘Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia yang anda dan rakan anda lancang memperlekeh sehingga ke tahap mengatakan ‘Rahmatan Lil Kafirin’, ‘Rambutan Pak Amin’ itu di mana maksiat dalam dasar-dasar itu?

Apa bukti ia rahmah kepada orang-orang kafir selagi pengamalannya menurut undang-undang dan Perlembagaan? Persepsi negatif yang dicipta oleh anda dan rakan-rakan bukanlah satu bukti ia bercanggah dengan syarak.

Apatah lagi ketidakpuasan hati anda tentang Dr. Zakir Naik tidak dibenarkan berceramah umum itu bukan keputusan dasar RLA itu, sebaliknya keputusan Kabinet dan di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri yang menterinya sekarang telah menjadi PM8.

Sebagai bukti RLA bukan penghalang atau penindas Dr. Zakir Naik, sampai sekarang sudah bertukar kerajaan pun beliau masih belum dibenarkan berceramah umum dan berdebat dengan penganut agama lain.

11. Telah berlaku pertukaran kerajaan dalam sepanjang sejarah manusia melalui pelbagai cara. Ada yang melalui cara terpuji dan ada yang melalui cara yang keji. Kerajaan ‘Abbasiyyah ditegakkan hasil rampasan kuasa dari Kerajaan Umawiyyah. Pun begitu, rakyat terus hidup. Berkurun-kurun kerajaan itu berlangsung. Para ulama yang fakih terus dengan sikap jujur mereka. Mereka mentaati hal yang patut ditaati dan membangkang hal yang patut dibangkang. Para imam yang empat, hidup di bawah Kerajaan Abbasiyyah. Demikianlah kebanyakan ulama dan sarjana pelbagai bidang. Mereka khidmat dalam hal yang perlu dan membantah perkara yang perlu. Sebahagian buku yang parti saudara baca juga dari ulama-ulama kerajaan Abbasiyyah.

Jawapan:
Tiada takwilan tentang kewajipan mentaati pemerintah semasa hatta pemerintah kafir di United Kingdom wajib ditaati orang Islam di sana. Begitu juga tanpa pertikaian, semua rakyat Malaysai mesti mentaati kerajaan semasa termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 sekarang. Itu bukan soalnya.

Soalnya sekarang ialah anda sebagai ilmuan agama hebat dan mufti yang dilantik yang sangat lantang sebelum ini tentang halal, haram dan isu-isu politik semasa tiba-tiba diam tidak berbunyi tentang hukum haramnya al-ghadr, sedangkan ia bukan suatu yang terpencil dalam agama.

Sedangkan al-Imam al-Nawawi mengkhususkan satu bab dalam kitab Riyadhus Solihin yang anda gunakan untuk berkuliah itu, iaitu Bab Tahrim al-Ghadr.

12. Jika saudara menyatakan parti saudara hidup atas prinsip Islam berpegang pada janji, mungkin saudara boleh semak semula. Selain dari apa yang saya sebutkan di atas, tidakkah pemimpin parti saudara juga yang pernah cuba menjustifikasikan perlanggaran janji politik dengan membuat satu kenyataan yang menghina Nabi s.a.w bahawa ‘Nabi s.a.w pun pernah tak tunai janji’. Mungkin kemudian dia bertaubat, saya harap begitu.

Jawapan:
Perkara itu telah dijelaskan oleh pemimpin itu iaitu YB Khalid Samad bahawa beliau tidak bermaksud menghina Nabi Muhammad s.a.w. ketika itu, sebaliknya beliau menyebutkan hal itu sebagai respon kepada ahli-ahli Amanah yang lantang mengkritik kerajaan PH dalam konvensyen tahunan di Ipoh tahun 2018 yang dikatakan tidak menunaikan janji manifesto PRU14. Beliau menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w. pun berjanji hendak mengerjakan umrah tetapi tidak dapat menunaikan janji itu kerana tidak mampu akibat disekat oleh puak Quraisy Makkah. Tidak menunaikan janji kerana tidak atau belum mampu, bukan menghina baginda sengaja tidak menunaikan janji.

Sekali lagi anda sebagai pemerhati politik di tepi gantang dangkal dan gagal memahami senario sebenar politik kepartian, tetapi sibuk hendak membuat komentar di luar maksud si penutur asal.

Adakah anda tidak tahu kaedah yang masyhur dalam kalangan ulama Usul ( العبرة بالمقاصد والمعاني ليس بالألفاظ والمباني ) “Perkiraan hukum adalah berdasarkan tujuan dan maksud (penutur), bukan berdasarkan lafaz dan binaan ayat”? Boleh dan sempat lagi mengaji dengan carian Google.

Akhir kritikan saya, sebagai mufti yang sepatutnya anda bercakap dan mengupas secara mendalam tentang dalil-dalil syarak dan tafsirannya berkaitan hukum al-ghadr atau pengkhianatan perjanjian yang merupakan satu dosa besar, malangnya kali ini anda hendak cuba-cuba menjadi pensyarah Perlembagaan Persekutuan atau guru subjek Pengajian Am pula.

Sekali lagi anda kelihatan bagai melukut yang gagal memberi jawapan yang tuntas kepada persoalan sebenar orang ramai. Kenapa anda malu-malu untuk menyentuh dalil-dalil syarak yang saya sebutkan di atas seolah-olah ia tidak wujud dalam agama?

Sekian, semoga anda sedar dan bertaubat.

*Ustaz Ali Muda juga dikenali sebagai Abu Mishkat ialah mantan Pegawai Tugas-Tugas Khas Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama).