Gadis Melayu kahwin pemuda Sikh, mana suara lebai Pas?

MALAYSIA DATELINE

Gadis Melayu kahwin pemuda Sikh, mana suara lebai Pas?

Susulan satu laporan berkenaan perkahwinan Kapten hoki India, Manpreet Singh Pawar dengan seorang gadis dari Malaysia Illi Najwa Saddique telah menimbulkan tanda tanya warga net tentang status agama gadis berkenaan.

Zaharin Mohd Yasin atau lebih dikenali sebagai Sang Kalembai melalui status Facebooknya turut mempersoalkan keabsahan agama gadis berkenaan yang berkahwin dengan pemuda Sikh.

Katanya, daripada sumber yang diberitahu gadis berkenaan adalah orang Melayu yang berasal dari negeri Johor dan didakwa murtad kerana sudah menukar agama.

“Perkhabaran yang diberi tahu kepada saya. Mempelai perempuan itu orang Melayu yang berkahwin dengan Pemuda Sikh yang juga Kepten Hoki India. Khabar sudah menukar agama.

“Jika begitu sudah murtad. Katanya asal dari Negeri Johor. Kita tunggu komen JAIJ-Jabatan Agama Islam Johor,” tulis beliau.

Dalam pada itu, beliau juga mencabar lebai Pas untuk memberi komen terhadap masalah ini kerana ia menyentuh soal kesucian Islam sepertimana Pas yang selalu bercakap tentang mempertahankan Islam.

“Tok Guru Haji Hadi Awang dan jajaran lebai-lebai Pas sila komen? Jangan berpolitik sahaja. Ini soal kesucian Islam saperti parti kamu meletakan mempertahankan Islam. Sebab mempelai perempuan seorang Islam dari Malaysia.

“Terserah kepada anda bagi penilaian. Apa kata Islam, jika seorang yang menurut atau mengikut sesuatu agama yang berlainan,” katanya yang terkenal sebagai penulis blog dan ‘cyber trooper’ Umno.

Manpreet dan Najwa sudah menjalinkan hubungan cinta sejak lapan tahun lalu dan telah mengadakan majlis perkahwinan di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab.

Bagaimanapun, menurut laporan sebuah portal The Tribune yang merakamkan sedutan video perkahwinan pasangan itu yang mengadakan majis perkahwinan mengikut adat Punjab.

Dan satu lagi portal Outlookindia.com telah melaporkan perkahwinan pasangan terbabit dengan tajuk “India Hockey Captain Manpreet Singh Marries Illi Najwa Saddique, Niece Of Malaysian Minister”, portal ini mendakwa menteri berkenaan adalah Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Saddique

Daripada hasil carian MalaysiaDateline laporan berita berkenaan telah ditukar tajuk kepada “Indian Hockey Captain Manpreet Singh Weds Malaysian Partner With Pakistani Roots”.

MalaysiaDateline bagaimanapun sempat tangkap layar laporan asal berita tersebut sebelum ditukar.

Gadis berkenaan dilaporkan akan tinggal bersama keluarga lelaki dan beliau dikatakan sudah terbiasa dengan budaya Punjabi dan sudah menyukainya

Pihak keluarga lelaki telah memberi nama Punjabi Navpreet Kaur.

Pasangan itu dijadualkan berkahwin pada April lalu, dengan resepsi majlis di Ludhiana, namun terpaksa ditangguhkan kerana penularan Covid-19.

Difahamkan Illi Najwa, 27, berjaya mendapatkan permohonan khas daripada kerajaan Malaysia dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri India untuk terbang ke New Delhi seterusnya meneruskan perjalanan ke kampung halaman Manpreet.

Sumber dalaman Persekutuan Hoki Antarabangsa mengesahkan bahawa Illi Najwa melakukan perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Disember untuk bersama kekasihnya.

“Ketika sekatan perjalanan antara India dan Malaysia kembali reda baru-baru ini, dia berjaya mendapatkan penerbangan ke New Delhi selepas mematuhi syarat ditetapkan oleh kerajaan,” menurut sumber itu.

Ibu Najwa, Masita pernah bermain hoki mewakili Angkatan Tentera Malaysia.

Menjayakan agenda Pakatan Raya pembangkang

ARIF JUHANI ABDUL RAHMAN

Sudah tiba masanya untuk Pakatan Harapan (PH) kembali ke meja rundingan dan menyelesaikan segala kekusutan yang melanda. Gesaan yang berulang kali disuarakan ini sepatutnya sudah disusuli dengan tindakan segera, jujur serta hati terbuka daripada semua pemimpin pembangkang.

Kegagalan sekali lagi pembangkang untuk menumpaskan Perikatan Nasional (PN) melalui undian belah bahagi bagi bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat pada 15 Disember lalu patut dijadikan pengajaran kepada semua pihak.

Pada waktu begini, sudah tiada manfaat untuk mana-mana pihak terus mengakui memiliki sokongan berdasarkan Akuan Bersumpah (SD) daripada mana-mana ahli Parlimen. Tutuplah buku dan mulakan agenda baharu menuju Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

Sedarlah dengan sesungguhnya bahawa ahli-ahli Parlimen daripada Umno sebenarnya langsung tidak berminat untuk melihat mana-mana pemimpin PH muncul sebagai Perdana Menteri yang baharu. Naiflah kalau masih ada yang mempercayai segala janji dan sokongan daripada golongan tersebut.

Sebaliknya, apa yang ingin dibuat oleh Barisan Nasional (BN) pada waktu ini hanyalah merencatkan kestabilan dan kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Itu sahaja. Tidak pernah pun mereka merancang menjatuhkan Muhyiddin atas faktor kepentingan nasional, bangsa dan agama.

Walaupun pelbagai ugutan atau lebih tepat rengek-rengek pemimpin Umno dihalakan kepada Muhyiddin, semua itu langsung tidak meninggalkan kesan langsung yang besar kepada Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN).

Walaupun yang mengugut dan mengancam PN itu adalah Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi, hingga kini Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri.

Walaupun kritikan dibuat dalam Dewan Rakyat dan media sosial masing-masing tetapi individu yang sama menyokong Belanjawan 2021 kononnya atas nama kepentingan rakyat.

Walaupun Muhyiddin diingatkan betapa besarnya kepentingan sokongan Umno terhadap kelangsungan PN tetapi pada akhirnya, pemimpin Umno hanya tertunduk sahaja kepada Muhyiddin; bekas pemimpin Umno.

Jika semua serangan dan kritikan yang dilancarkan oleh Umno yang merupakan sebahagian daripada kerajaan hari ini pun tidak mampu langsung menggugat Muhyiddin dan PN, apalah yang boleh pembangkang harapkan lagi.

Begitulah Umno. Umno tetap Umno. Mereka tidak akan selesa melihat pihak selain daripada pihak mereka menjadi Perdana Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Justeru, pengajaran mudah ini perlu difahami sedalam-dalamnya oleh para pimpinan PH dan segera mengorak langkah politik baharu yang lebih meyakinkan.

Memang menjemukan untuk mengulangi ingatan yang sama. Tetapi PH juga tidak perlu mengulangi bahawa Muhyiddin adalah Perdana Menteri yang lemah dan tiada sokongan kukuh.

Hakikatnya ketika Muhyiddin begitu lemah pun sehingga kini pembangkang juga masih belum berjaya menumbangkan pentadbirannya.

Maka wajarlah jika kali ini, strategi baharu diteroka untuk memastikan kelemahan Muhyiddin benar-benar dapat ditumpaskan. Gagasan Pakatan Raya (Grand Coalition) yang mula dicanang oleh segelintir pemimpin pembangkang harus segera diberi perhatian yang mendalam.

Cuma soalnya bagaimana pakatan pembangkang baharu perlu dibentuk dan lebih utama untuk didebatkan adalah siapa yang akan memimpin gerakan ini?

Semua maklum betapa sukarnya untuk menangani perbezaan pendapat dan konflik dalaman antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim. Benar kedua-duanya memiliki wibawa yang sukar diperkecilkan.

Tetapi wibawa besar inilah yang menyukarkan untuk kedua-duanya mengendurkan ego. Benarlah pepatah Cina yang menyebut ‘dua ekor harimau tidak boleh berada atas puncak bukit yang sama’.

Harimau sentiasa bersaing untuk menjadi pemimpin utama di rimba dan ego ini sukar dikendurkan demi memberi peluang kepada haiwan yang lain. Demikian juga manusia, pengaruh kuasa dan faktor jawatan memang sulit untuk sesiapa sahaja mengambil sikap beralah dan memberi jalan kepada orang lain.

Maka inilah cabaran besar dan berpanjangan dalam kalangan pembangkang untuk dileraikan. Kedua-dua kem pemimpin besar ini sentiasa bersaing untuk memastikan kemenangan boleh diperoleh walaupun hakikatnya musuh utama yang perlu ditumpaskan masih selesa menjadi pemerintah.

Jika kalangan pembangkang masih menginginkan agar dua pemimpin ini kembali berpadu dalam sebuah pakatan pembangkang yang lebih padu, jitu dan mantap, maka mungkin tugas penting sekarang adalah mencari tokoh luar yang dihormati oleh kedua-dua mereka untuk menjadi pendamai dan broker yang boleh merintis kepada jalan perpaduan sekaligus memastikan PN dan BN mampu ditumpaskan dalam pilihan raya umum akan datang.


Arif Juhani, bekas wartawan Harakah dan Suara Keadilan

Apa yang berlaku dalam Amanah?

Untuk makluman, saya telah meletakkan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional dan Pengerusi Biro Pertanian & Pembangunan Luar Bandar Amanah Nasional pada 30 okt 2020 yang lalu.

Pemakluman ini telah saya sampaikan kepada YB Tuan Hj Mohamad Sabu selaku Presiden parti pada tarikh yang sama.

Hari ini, jumaat 18 dis 2020, saya umumkan secara resmi bagi mengelak prasangka dan tanda tanya khususnya menjelang Konvensyen Amanah Nasional yang dijadualkan pada 26-27 dis ini di Melaka.

Saya mula terlibat dalam politik sejak tahun 1986. Terlibat dengan PAS dan kini Parti Amanah Negara di era pemerintan BN, PH dan PN. Suka duka, susah senang dan mehnah dalam perjuangan selama 34 tahun; banyak pengalaman yang dirasai dan pengajaran berguna sebagai muhasabah diri.

Saya berhasrat untuk memberi tumpuan penuh kepada beberapa Ngo yang saya dan rakan rakan tubuhkan. Antaranya Majlis Permuafakatan Ngo Felda(MPNF), Pertubuhan Gerak Tani Negeri Johor dan Ngo Malaysia Baru.

Selaku anak peneroka Felda yang dibesarkan dalam persekitaran Felda yang penuh warna warni, saya menerima banyak pendedahan dan berinteraksi dengan banyak pihak. Ia menguji prinsip dan intergriti kita; antara kepentingan peribadi atau peneroka felda yang kerap kali menjadi mangsa ketidak adilan.

Selama setahun empat bulan sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, saya terhutang budi khususnya kepada YB Datuk Seri Salahudin Ayub yang memilih saya menggalas amanah di agensi terbesar dalam Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani(MOA) dan menimba banyak pengalaman meskipun dalam tempoh yang singkat. Ia mendorong saya menubuhkan Ngo Pertubuhan Gerak Tani sebagai kesinambungan membina networking para usahawan tani di seluruh negara. Saya mensasarkan 2 tahun bagi Ngo ini memaksimumkan usaha membantu para usahawan tani hingga ke peringkat eksport/antarabangsa.

Sebagai ahli politik yang telah bergelumang dari bawah; polemik dan pertembungan dalaman parti dan berdepan lawan politik yang berbagai sifatnya; kematangan dalam melihat masa hadapan negara adalah amat penting.

Sudah sampai masanya politik baharu@konsolidasi yang merentasi politik kepartian dapat dijayakan.

Meskipun kita berbeza pandangan dan idealogi politik dari sistem demokrasi berparlimen,keutamaannya adalah keselesaan@kebahagiaan hidup rakyat. Political will melalui kemahuan yang kuat untuk mengubah nasib rakyat mesti diserlahkan. Bukan hanya retorik dan saling berebut kuasa yang tiada kesudahannya.

Inilah Malaysia Baru yang saya yakin diimpikan dan menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia .

Melalui Ngo, konsep semak dan imbang dapat diamalkan secara lebih terbuka. Ia menjadi kuasa ke tiga yang sentiasa memberi input kepada dasar dasar kerajaan dan saling bekerjasama dengan berbagai pihak.

Terima kasih atas kepercayaan parti selama ini dan mohon maaf atas kesilapan dan kelemahan sepanjang memegang jawatan.

Datuk Mazlan Aliman

18 dis 2020

PKP: Ke mana kita dibawa

SYED IBRAHIM SYED NOH

Syed Ibrahim Syed Noh1. Sudah hampir 300 hari semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dikuatkuasakan. Pada 18 Mac, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sebuah perintah untuk mengehad pergerakan orang ramai bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

2. Melalui PKP ini, Malaysia pernah mencatat sifar kes tempatan baru untuk beberapa hari. Selepas hampir empat bulan PKP dikuatkuasakan dengan beberapa siri lanjutan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Malaysia menyaksikan kadar kes harian berkurang kepada dua digit malahan turun kepada satu digit.

3. Negara-negara yang turut mengamalkan konsep kawalan pergerakan seperti kebanyakan negara di Eropah juga merekodkan penurunan kadar jangkitan Covid-19. Keberkesanan perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan di New Zealand telah membuahkan kejayaan sifar kes Covid-19 untuk tempoh hampir sebulan seawal bulan Jun!

Ada bukit, ada paya

4. Namun, harus diingat PKP ini juga membawa impak yang besar kepada sektor ekonomi. Pergerakan rakyat, waktu bekerja dan jumlah tenaga kerja yang terhad menjadi antara faktor Malaysia mengalami kemurungan ekonomi. Kemurungan ini bukan sekadar menjejaskan ekonomi negara, bahkan menyerang serta melumpuhkan struktur ekonomi individu.

5. Tambahan lagi, akibat kekangan yang dihadapi oleh semua sektor dan perusahaan, kes pengangguran menjadi kebimbangan. Jumlah penganggur meningkat sehingga mencecah 800,000 orang. Lebih separuh daripada angka ini adalah penganggur aktif atau mereka yang tidak bekerja tetapi bersedia untuk bekerja.

6. Maka, fakta-fakta ini menunjukkan PKP yang dikuatkuasakan ini adalah sebuah langkah yang berkesan untuk membendung penularan wabak namun membawa impak kepada pergerakan ekonomi. Bak kata peribahasa; ada bukit, ada paya.

Ada baik, ada buruknya

7. Dalam konteks ini, saya telah membangkitkan persoalan dalam dewan rakyat berkenaan pendirian kerajaan untuk menangani penularan wabak Covid-19 antara pergerakan bebas rakyat, kenaikan kadar semasa kes Covid-19 dan pembukaan ekonomi. Menteri menjawab, proses penilaian Prosedur Standard Operasi (SOP) dan risiko dilaksanakan dengan menyeluruh dan sepadu. Namun ini tidak menjawab persoalan saya di atas. Yang lebih penting ialah penilaian menyeluruh terhadap strategi menangani fasa baharu pengurusan dan pengawalan wabak Covid-19 dalam suasana keterbukaan, keselamatan nyawa dan pembangunan ekonomi negara.

Mengeliru malah menyukarkan

8. Sungguhpun begitu, panduan SOP PKP yang ditetapkan oleh kerajaan menjadi isu besar yang kerap berbangkit. SOP yang ditetapkan tidak sesuai dan sukar untuk diamalkan.

9. Sebagai contoh, penetapan SOP hanya dua orang dalam satu kenderaan dilihat tidak sesuai malah menyukarkan banyak pihak. Persoalan timbul apabila SOP ini mengesani ibu bapa yang baru pulang dari tempat kerja dalam sebuah kenderaan termasuk anak yang baru diambil dari pusat jagaan. Selepas bantahan daripada pelbagai pihak, akhirnya kerajaan menarik balik penguatkuasaan SOP ini dan membenarkan SOP tiga orang dalam satu kenderaan.

10.Begitu juga dengan penetapan SOP aktiviti ibadah di masjid yang mengelirukan. Meskipun urusan agama tertakluk di bawah bidang kuasa negeri, Kerajaan gagal memainkan peranan mengurus perbezaan SOP aktiviti ibadah mengikut negeri sehingga ia menyukarkan pihak jemaah dan pengurusan masjid. Sebagai contoh, seorang lelaki yang tidak dapat menunaikan solat jumaat di Selangor, boleh memilih untuk menunaikan solat jumaat dalam kawasan jiran Kuala Lumpur yang membenarkan aktiviti solat jumaat dan SOP yang lebih longgar.

“Atas nasihat KKM”

11.Seperti yang dimaklumkan oleh kerajaan, penguatkuasaan panduan SOP PKP oleh MKN ditetapkan berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kerajaan mendakwa SOP ini dirangka dengan mengambil kira risiko penyebaran wabak tidak terkawal di atas nasihat dan panduan daripada KKM.

12.Namun, penyataan “Atas nasihat KKM” ini dilihat seperti disalahguna dalam menetapkan SOP yang mengelirukan, tidak konsisten, menyukarkan satu pihak dan menguntungkan pihak yang lain.

13.Hal ini juga telah mewujudkan dwi-standard dalam isu pematuhan SOP. Banyak contoh kes yang menunjukkan seperti wujud golongan yang tidak lut dek hukuman mengingkari SOP PKP. Rakyat kebanyakan dikompaun dengan denda yang tinggi atas kesalahan-kesalahan kecil melanggar SOP, tetapi ahli politik atau menteri-menteri hanya didenda dengan kompaun kecil malah ada yang terlepas daripada hukuman.

Bergerak ke hadapan

14.Saya berpendapat bahawa kerajaan, dalam hal ini harus menilai semula SOP PKP agar lebih efektif dan tuntas. Lebih khusus, MKN yang bersifat merentasi dan merangkumi sektor dan kementerian harus memastikan agar SOP PKP ini berperanan mengekang bukan mengongkong dan menyelesaikan bukan mengelirukan.

15.Justeru, saya ingin mengemukakan beberapa saranan untuk kerajaan laksanakan dalam bergerak ke hadapan.

16.Pertama, MKN wajar memperkasakan kementerian-kementerian yang terlibat supaya boleh menyesuaikan SOP ini dengan keadaan dan keperluan. Maklumbalas serta cadangan daripada kementerian dan sektor yang terkesan harus diberi perhatian oleh MKN agar mencapai maksud sebenar perintah ini dan mengurangkan impak buruk yang mungkin berlaku.

17.Dalam pada itu, kementerian-kementerian wajib giat memainkan peranan sebagai orang tengah antara masyarakat, agensi-agensi kerajaan dan MKN. Sebagai contoh, Kementerian Pendidikan Malaysia selaku organ kerajaan yang bertanggungjawab terhadap pendidikan sepatutnya memandu MKN dalam menetapkan SOP dan arahan yang jelas, tersusun dan konsisten terkait institusi pendidikan.

18.Tambahan lagi, para guru juga turut menyuarakan kebimbangan terhadap kelompongan SOP bagi institusi pendidikan dek kekangan melaksanakan sesi pembelajaran. Ada guru yang mencadangkan agar sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) diteruskan dengan menggunapakai SOP penggiliran sesi kelas serta mengutamakan pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan besar.

19.Kedua, saya ingin mencadangkan pihak KKM memperkasakan sistem ujian saringan Covid-19 dan pengesanan kontak jangkitan Covid-19.

20.Sebagai contoh, inisiatif ujian saringan besar-besaran dan ujian pandu-lalu oleh Korea Selatan telah berjaya mengurangkan kadar jangkitan wabak Covid-19 dengan pantas. Mereka tidak perlu membuat sebarang “Lockdown”. Seawal pertengahan Mac, mereka telah melaksanakan 270,000 ujian saringan Covid-19.

21.Selain itu, sistem pengesanan kontak jangkitan Covid-19 wajar diperkasakan agar lebih pantas dan efektif. Sehingga bulan November, menurut Menteri Kesihatan, hanya empat peratus kes yang dikesan menerusi aplikasi MySejahtera. Kadar ini menunjukkan kegagalan sistem ini bagi mengesan kontak jangkitan untuk mencegah jangkitan dengan segera.

22.Malah, menurut Tan Sri Dr. Norhisham, terdapat kes positif Covid-19 yang dikesan tetapi tidak diambil ke pusat kuarantin sehingga beberapa hari.

23.Ketiga, KKM dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi wajar mengambil langkah proaktif menggunakan sains dan data dalam penentuan bagi SOP PKP. Ini akan membantu MKN mengeluarkan panduan yang lebih efektif, tersusun dan bersesuaian mengikut kumpulan sasaran.

24.Seperti yang diamalkan oleh Korea Selatan, teknologi dan data saintifik dimanfaatkan dalam mengelak penularan wabak Covid-19. Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit Korea Selatan bertanggungjawab mengumpul dan menyampaikan maklumat berkenaan pesakit Covid-19 seperti lokasi orang yang dijangkiti dan status kesihatan mereka. Maklumat ini akan dikemaskini dalam masa sebenar dan dimaklumkan kepada orang awam.

25.Keempat, KKM wajib memperkasakan sistem kesihatan awam agar lebih kemas dan ampuh. Saya percaya sistem kesihatan awam yang efektif akan memudahkan banyak perkara terutamanya membantu para pejuang barisan

hadapan untuk berkhidmat dalam persekitaran yang lebih baik.

26.Tambahan lagi, sistem kesihatan awam yang lebih kukuh akan memberi kemudahan kepada rakyat. Aspek aktiviti ujian saringan, kuarantin di pusat kuarantin dan rawatan pesakit kritikal yang melibatkan pejuang barisan hadapan serta orang awam harus dikukuhkan melalui peruntukan yang besar, sumber yang bersesuaian dan kemudahan yang mencukupi.

27.Akhirnya, sudah hampir setahun dunia diuji dengan serangan wabak Covid-19. Langkah pencegahan kendiri sudah menjadi norma baru. Para pejuang barisan hadapan semakin mahir dan tersusun.

28. Namun, sudah sampai masanya kerajaan mengambil tanggungjawab memastikan kementerian-kementerian dan agensi-agensi memantapkan disiplin serta bekerja lebih gigih. Fasa pemulihan bagi ekonomi ini menuntut peranan kerajaan yang luar biasa efektif, demi kebaikan seluruh rakyat dan negara.

29. Peranan kerajaan ini juga penting supaya usaha pencegahan kendiri oleh rakyat dan jerih perih pejuang barisan hadapan tidak sia-sia. Kepada pemimpin-pemimpin di atas, beringatlah, rantau jauh diulangi, rantau

dekad dikendana!

————-

Penulis adalah ahli Parlimen Ledang.

Annuar menteri yang sangat malas, kata bekas menteri

SITI NUR ZAWANI MISCON

Bekas menteri, Khalid Samad menyifatkan Tan Sri Annuar Musa sebagai Menteri Wilayah Persekutuan yang sangat malas apabila didakwa telah mengurangkan jumlah agensi pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah kementeriannya

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, Annuar telah mengurangkan skop kementeriannya dengan tidak lagi menguruskan Plan Malaysia dan Jabatan Landskap Negara.

Menurutnya, dua perkara berkenaan sebaliknya telah diserahkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang sudah pun mempunyai beratus PBT yang perlu diselia.

“Kementerian Wilayah akhirnya jadi kementerian yang jaga hanya tiga PBT iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan.

“Tiga PBT bawah satu kementerian ini tak ada fungsi peringkat Nasional. Berbanding KPKT yang menjaga 100 lebih PBT.

“Dia serahkan jabatan landskap Malaysia kepada KPKT dan dia tinggal jaga dengan tiga PBT sahaja. Dia Menteri sangat malas. Ini sangat ‘demoralising’ bagi kakitangan kementerian yang mana mereka lihat tugasan mereka telah dikecilkan,” katanya dalam satu sidang media di bangunan Parlimen semalam.

Sementara itu, Khalid mendakwa Annuar tiada perancangan yang serius untuk membangunkan kawasan Kampung Baru sejak wakil rakyat BN itu mengambil alih kementerian berkenaan.

Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah itu turut mempersoalkan berhubung perbelanjaan tahunan berjumlah RM3 juta yang diperuntukkan untuk Kampung Baru, tetapi kawasan berkenaan tidak dibangunkan.

“Bila dia ambil alih, kita balik kepada asal. Tak ada perancangan secara serius nak bangunkan Kampung Baru.

“Belanja RM3 juta setahun tetapi tidak membangunkan kawasan itu. Ini mengecewakan,” katanya lagi.

Mazlan Aliman umum letak jawatan dalam AMANAH, mahu fokus NGO

SITI NUR ZAWANI MISCON

Bekas Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Aliman memaklumkan telah meletakkan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional sejak 30 Oktober lalu.

Beliau berkata, keputusan tersebut telah dimaklumkan kepada Presiden AMANAH, Mohamad Sabu pada hari beliau meletakkan jawatannya.

Menurutnya, keputusan tersebut diambil kerana mahu memberi tumpuan penuh kepada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkannya sebelum ini.

“Hari ini saya umumkan secara rasmi bagi mengelak prasangka dan tanda tanya khususnya menjelang Konvensyen AMANAH Nasional yang dijadualkan pada 26 hingga 27 Disember ini di Melaka.

“Saya mula terlibat dalam politik sejak tahun 1986. Terlibat dengan Pas dan kini AMANAH. Suka duka, susah senang dalam perjuangan selama 34 tahun banyak pengalaman yang dirasai dan pengajaran berguna sebagai muhasabah diri.

“Saya berhasrat untuk memberi tumpuan penuh kepada beberapa NGO yang saya dan rakan rakan tubuhkan. Antaranya Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF), Pertubuhan Gerak Tani Negeri Johor dan NGO Malaysia Baru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mazlan juga memaklumkan telah melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Biro Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar AMANAH Nasional.

Pada masa sama katanya, selaku anak peneroka Felda, banyak perkara yang menguji prinsip dan integritinya antara mahu menjaga kepentingan peribadi atau peneroka Felda yang kerap kali menjadi mangsa ketidakadilan

Tambahnya lagi, pengalaman setahun empat bulan sebagai Pengerusi LPP sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH), telah mendorongnya menubuhkan NGO Pertubuhan Gerak Tani sebagai kesinambungan membina ‘networking’ para usahawan tani di seluruh negara.

Beliau berpendapat, konsep semak dan imbang dapat diamalkan secara lebih terbuka jika ianya melalui NGO, di mana badan berkenaan dapat menjadi kuasa ke tiga yang boleh memberi input kepada dasar kerajaan.

“Saya mensasarkan dua tahun bagi NGO ini memaksimumkan usaha membantu para usahawan tani hingga ke peringkat eksport antarabangsa.

“Sebagai ahli politik yang bermula dari bawah, polemik pertembungan dalaman parti dan berdepan lawan politik yang berbagai sifatnya, memerlukan kematangan dalam melihat masa hadapan negara.

“Sudah sampai masanya politik baharu yang merentasi politik kepartian dapat dijayakan,” katanya lagi.

Umno sedang jadikan PN kuda tunggangan - Kadir

Walaupun hayat Belanjawan 2021 selamat daripada digagalkan pembangkang dalam undian terakhirnya pada 15 Dis lalu, suhu politik dalam negara dijangka akan terus 'menggelegak' dengan pelbagai percaturan lanjut.

Bekas penasihat media perdana menteri, A Kadir Jasin, berkata penyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mungkin melihat kejayaan belanjawan itu diterima adalah petanda bahawa kerajaan Perikatan Nasional sekarang kuat.

Pada masa sama katanya penyokong Anwar pula tetap yakin bahawa undian belanjawan itu tidak sama dengan undi tidak percaya ke atas Muhyiddin.

Bagi Umno pula kata bekas anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu, sesetengah pemimpin mereka akan terus berusaha mendapatkan apa yang terbaik dengan "bermain kayu tiga" di antara Muhyiddin dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.

"Di pihak lain pula, sesetengah pemimpin Umno - khususnya yang sedang menghadapi perbicaraan jenayah - akan terus bermain kayu tiga dengan Muhyiddin dan Anwar bagi mendapat 'the best deal' berkaitan kes-kes mereka," katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Menurut A Kadir keutamaan Umno sekarang ialah mahu kembali berkuasa melalui pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti. Untuk itu katanya Umno mesti membendung pengaruh Bersatu dan PAS dengan cara berbaik-baik dengan mereka tetapi pada masa yang sama mensabotaj parti terbabit.

"Matlamat sepadu Umno ialah menguburkan Bersatu dan menyekat PAS. Dengan Muhyiddin, Umno sudah tahu kekuatan dan kelemahannya serta apa lagi yang boleh diperas ugut.

"Dengan Anwar belum tahu," katanya lagi.

Sekat Bersatu dari dalam

Pun begitu, katanya Umno kekal berdepan dengan suasana suram selagi parti itu terus bergantung kepada pemimpin sekarang ketika mereka dianggap sebagai kleptokrat.

Katanya ia mendorong pihak tertentu dalam Umno untuk mendorong timbalan presiden parti itu, Mohamad Hasan, untuk mengambil alih pucuk pimpinan.

Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan PN dilihat menjadi peluang kepada pembangkang menyekat Muhyiddin dan kerajaannya selepas mereka berpakat menjatuhkan PH pada Feb lalu.

Pada masa sama Anwar mengumumkan dia memiliki sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan baru menggantikan PN. Bagaimanapun ia tidak dapat dibuktikan setakat ini dan belanjawan pula diluluskan di Dewan Rakyat walaupun dengan kelebihan tiga undi saja.

Undian itu juga sekali lagi menunjukkan tahap sokongan yang diterima Muhyiddin memang tipis dan kerajaan PN akan terus dilihat tidak utuh.

Kata A Kadir keadaan itu memang digemari pesaing PN khususnya Umno.

"Ia (Umno) adalah yang di hadapan sekali dalam mengeksploitasi kelemahan kerajaan PN.

"Sambil meraih faedah melalui penyertaan dalam kerajaan, Umno sedang berusaha menyekat kemaraan PN dan Bersatu dari dalam. Mereka menjadikan PN kuda tunggangan," katanya.

Di pihak Bersatu pula, kata A Kadir, Muhyddin kekal menjadi 'kambing korban' yang menunggu masa untuk 'disembelih'.

"Atau dia sendiri sedang berkomplot untuk merampas Umno dan kembali sebagai bos nombor satu parti itu," katanya.

“Ini yang Umno mahu sambil tunggu PRU 15”

MALAYSIA DATELINE

Tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jadin menyifatkan kedudukan politik yang ada sekarang adalah suasana yang dikehendaki oleh Umno sambil menunggu pilihan raya umum ke 15.

“Sambil meraih faedah melalui penyertaan dalam kerajaan PN, Umno sedang berusaha menyekat kemaraan PN dan Bersatu dari dalam.

“Mereka menjadikan PN kuda tunggangan,” kata bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, kumpulan media terbesar negara itu menerusi tulisan di facebook beliau.

Di pihak lain pula, katanya, sesetengah pemimpin Umno, khususnya yang sedang menghadapi perbicaraan jenayah, akan terus bermain kayu tiga dengan Muhyiddin dan Anwar bagi mendapat “the best deal” berkaitan kes-kes mereka.

“Bagi Umno, apa yang penting adalah cuba kembali berkuasa melalui Pilihan Raya Umum ke-15 nanti,” katanya.

Untuk itu, katanya, ia perlu membendung pengaruh Bersatu dan Pas dengan cara berbaik-baik dengan mereka tetapi pada masa yang sama mensabotaj mereka.

“Matlamat sepadu Umno adalah menguburkan Bersatu dan menyekat Pas.

“Dengan Muhyiddin, Umno sudah tahu kekuatan dan kelemahannya serta apa lagi yang boleh diperas ugut. Dengan Anwar belum tahu,” kata bekas Penasihat Media Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Namun bagi beliau, prospeks Umno malap kalau terus bergantung kepada kepemimpinan kleptokrasi yang ada sekarang dan serentak itu menekan barisan pengganti macam Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Maka dalam suasana itu, kekallah Muhyiddin sebagai kambing korban yang disajikan pelbagai makanan berkhasiat sambil menunggu masa disembelih.

“Atau dia sendiri sedang berkomplot untuk merampas Umno dan kembali sebagai bos nombor satu parti itu,” kata beliau lagi.

PKR kecewa sekutu PH 'bermain mata' dengan Dr M, Shafie - sumber

B Nantha Kumar

Seorang pemimpin kanan PKR menyatakan rasa kecewa dengan sikap beberapa pemimpin dalam kalangan sekutu Pakatan Harapan (PH) yang membelakangkan prinsip kerjasama gabungan pembangkang itu.

Kekecewaan itu susulan kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu, yang disifatkan sebagai bertujuan membawa semula bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan Shafie Apdal menyertai PH dalam barisan pembangkang.

"Saya percaya kenyataan Lim dan Mohamad hari ini bertujuan membawa semula Dr Mahathir dan Shafie menyertai PH dengan menjadikan pembangkang kalah undi belanjawan sebagai alasan.

"Namun, terdapat kegelisahan di kalangan PKR kerana perkara ini tidak pernah dibincang dalam mesyuarat PH sebelum ini," kata pemimpin itu yang bercakap kepada Malaysiakini dengan syarat namanya tidak didedahkan.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bersama Lim dan Mohamad hari ini yang mengingatkan agar PH tidak berharap kepada ahli parlimen dalam kerajaan untuk mengembalikan mandat yang mereka peroleh pada pilihan raya umum lalu.

Sebaliknya, mereka berkata, PH wajar mencari persamaan dalam kalangan parti pembangkang untuk membentuk kerjasama lebih luas bagi menghadapi Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang dijadual berlangsung di bangunan parlimen petang ini dibatalkan dan belum ada tarikh baru ditetapkan.

Pembatalan itu didakwa berkaitan dengan kenyataan Lim dan Mohamad.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata bahawa dalam mesyuarat PH bersama Mahathir dan Shafie pada 13 Jun, kedua-dua pemimpin itu mengisytiharkan mereka tidak akan hadir mesyuarat dengan PH setelah tiada persetujuan menerima Mahathir sebagai calon perdana menteri.

"PKR menerima keputusan Mahathir dan Shafie namun terus mengekalkan kerjasama dalam blok pembangkang.

"Saya antara yang menghadiri mesyuarat majlis PH dan saya boleh sahkan bahawa perkara membawa masuk semula Mahathir dan Shafie tidak pernah dibincangkan selepas itu.

"Kenyataan Lim dan Mohamad juga dibuat ketika idea 'grand coalition' (gabungan besar) dicanang walhal PH masih lagi utuh sebagai gabungan yang kuat dan berfungsi.

"Hal ini jelas perbuatan 'bermain mata' yang membelakangkan prinsip kerjasama PH berasaskan percaya dan hormati," katanya.

Sumber juga menambah bahawa PKR juga sedar usaha dalaman segelintir ahli parlimen muda dalam DAP yang mahu Anwar diganti dengan Shafie atau Mahathir sebagai ketua pembangkang.

Menurutnya, perkara ini sepatutnya dibawa ke dalam mesyuarat PH dan dibincang untuk diputuskan.

"Bukan dengan menyusun gerakan dengan membuat kenyataan menyalahkan Anwar apabila undian belanjawan kalah.

"PKR kekal dengan pendirian mengukuhkan PH dan menolak perbuatan khianat. PKR juga yakin usaha mengembalikan mandat wajib diteruskan dan didokong sesuai keputusan majlis PH dan keputusan ini tidak pernah diubah dalam mana-mana mesyuarat PH," tambahnya.

Dihubungi kemudian, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution mengesahkan bahawa mesyuarat hari ini dibatalkan atas beberapa perkara tidak dapat dielakkan.

Dia turut mengakui terdapat keresahan di kalangan pemimpin PKR berhubung perkembangan terkini PH.

"Ya, memang ada keresahan dikalangan pemimpin PKR berhubung perkembangan terkini di PH.

"Walaubagaimanapun, saya jamin PKR akan tetap komited dengan PH dan usaha mengembalikan mandat rakyat bersama PH akan dipelihara," katanya.

PH hanya diperalatkan, pembangkang perlu anjakan, kata Guan Eng, Mat Sabu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu menggesa Pakatan Harapan berhenti membuang masa dengan Ahli Parlimen kerajaan Perikatan Nasional “oportunis” yang memperalatkan mereka.

Dua pemimpin itu dalam kenyataan bersama berkata, PH perlu menghadapi hakikat pembangkang memerlukan anjakan politik baru, susulan kegagalan mereka menghalang belanjawan persekutuan diluluskan.

“Undian semalam jelas menunjukkan 108 Ahli Parlimen yang menentang PN adalah jumlah sama yang kekal teguh bersama PH pada Mac 2020.

“Tidak ada seorang pun Ahli Parlimen kerajaan yang mengundi bersama PH, termasuk mereka yang kononnya menyokong Anwar Ibrahim.

“Jelas Ahli Parlimen kerajaan ini sangat pandai dengan permainan politik untuk mengaut kelebihan dan meraih keuntungan daripada kerajaan PN.”

Mereka berkata, PH sudah menyuarakan sokongan kepada Presiden PKR, Anwar sebagai calon perdana menteri dan beliau boleh mendapat sokongan Ahli Parlimen kerajaan yang bukan kleptokrat.

Bagaimanapun, kelulusan belanjawan itu menunjukkan Ahli Parlimen kerajaan hanya memperalatkan PH demi kepentingan peribadi mereka.

Lim dan Mohamad berkata, lebih banyak masa dan sumber perlu digunakan untuk sekutu yang bergelut untuk perjuangan bersama dan PH perlu melihat melepasi 92 Ahli Parlimennya serta memfokuskan 108 Ahli Parlimen pembangkang. 

“Undian belanjawan pada Selasa mengajar kita untuk tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang lebih daripada 111 Ahli Parlimen dengan berdasarkan hanya 92 Ahli Parlimen PH. Andai kata berdasarkan 108 Ahli Parlimen, PH Plus betapa kuat laginya?”

Jumlah itu nampaknya termasuk Ahli Parlimen Warisan dan Pejuang, yang masing-masing diketuai bekas ketua menteri Sabah, Shafie Apdal dan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Dua pemimpin itu kini tidak sependapat dengan Anwar.

“Sekarang mesti ada anjakan politik baru untuk fokus kepada membangunkan pakatan pembangkang lebih bersatu yang dapat bertanding sebagai satu pasukan dalam pilihan raya akan datang.

“Pemimpin PH mesti mengetepikan bebanan lampau supaya PH dapat berkembang menjadi PH Plus dengan kekuatan hebat 108 Ahli Parlimen. Dengan 108 Ahli Parlimen PH Plus sebagai pakatan mantap, apa-apa saja kemungkinan boleh berlaku kelak.”

Ehhh … Zaman Bani Lebai pun ada pertandingan Ratu Cantik

MALAYSIA DATELINE

Ehhh … Zaman Bani Lebai pun ada pertandingan Ratu Cantik

Ehhh … Zaman Bani Lebai pun ada pertandingan Ratu Cantik? Itulah pertanyaan yang dikemukakan para netizen berikutan pertandingan ratu cantik Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 2 Januari ini.

“Jgn fitnah ulamak,” kata Marzuki Ismail, ketika mengulas usikan yang dibuat oleh Jamzuri Ardani, seorang aktivis media sosial mengenai isu ini.

Isu pertandingan ratu cantik memuncak pada tahun 1995 ketika Datuk Ishak Baharom menjadi Mufti Selangor.

Beliau bersama pegawainya membantah pertandingan itu dan menjadi isu utama yang dimainkan oleh Pas pada ketika itu.

Namun, selepas Pas menyertai kerajaan, pertandingan ini bebas diadakan dan mendapat liputan dari media utama negara termasuk New Straits Times, Utusan Malaysia dan Malay Mail.

Berbeza dengan ratu cantik sebelum ini, tema Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 agak menarik kerana temanya adalah ‘for promoting body positivity, healthy lifestyle, and women empowerment’ (membuat promosi bentuk badan secara positif, gayahidup sihat dan memperdayakan wanita).

Pertandingan ini menonjolkan wanita gemuk tetapi cantik.

Mengapa ‘pengkhianat’ tidak boleh disebut di Dewan Rakyat?

RAYUSA

Sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 bagi Kementerian Komunikasi dan Multmedia Malaysia di Dewan Rakyat pada 10 Disember lalu menarik, dan panas.

Walaupun sudah seminggu berlalu, tetapi masih relevan disebut lagi kerana salah satu perkara yang timbul daripadanya akan berlarutan, dan kekal sebagai sejarah hitam dalam demokrasi/politik negara!

Selain penubuhan J-Kom, perkara yang tercetus dalam perbahasan yang melibatkan menteri berkaitan, Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota-Bersatu) itu ialah pengkhianat.

J-Kom merupakan nama bagi penjenamaan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA). Menurut Saifuddin, peruntukan bagi agensi yang mencetuskan bantahan itu telah dikurangkan dari RM85.5 juta kepada RM40.5 juta.

Dengan nama J-Kom, bererti JASA sudah tidak wujud lagi, dan pengurangan peruntukan bermakna tuntutan pembangkang – Pakatan Harapan (PH) telah dipenuhi.

Begitu yang dikatakan oleh pemimpin kerajaan PerikatanNasional (PN). Walau bagaimanapun, perubahan itu tetap dibantah oleh beberapa Ahli Parlimen PH seperti Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor-AMANAH), Khalid Samad (Shah Alam-AMANAH), Datuk Wira Mahfuz Omar (Pokok Sena-AMANAH), dan Hannah Yeoh (Segambut-DAP).

Ahli-ahli Parlimen PN seperti Datuk Sri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas-Umno), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau-Umno), dan Datuk Sri Bung Moktar Radin (Kinabatangan-Umno) bersungguh-sungguh mempertahan J-Kom, dan Saifuddin.

Nazri mengatakan di samping peruntukan bagi Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menentang Covid-19, kementerian dan agensi lain juga perlu bergerak, dan kerana itu memerlukan dana. Masalah negara sekarang, katanya, bukan wabak pandemik sahaja.

Shahidan pula mendakwa kerajaan PH kejam kerana memecat para pekerja menerusi pemansuhan JASA. Lebih zalim, tambahnya, apabila PH membantah pula pemberian semula kerja menerusi penubuhan J-Kom.

Hannah menegaskan ketika ekonomi negara tenat, peruntukan RM40.5 juta itu lebih wajar diberikan kepada agensi sedia ada dengan tujuan penambahbaikan. Tidak timbul soal menolak usaha memberikan semula pekerjaan.

Khalid juga lantang membidas Shahidan yang sibuk dengan isu pegawai kerajaan hilang pekerjaan. Katanya, kehilangan tersebut kerana mereka diberikan jawatan dead end, iaitu hanya tahu membuat kerja-kerja mengampu kerajaan Barisan Nasional sahaja (cybertrooper).

Apabila JASA dimansuhkan, mantan kakitangannya yang menjadi propagandis terkapai-kapai buntu menganggur. Setelah PN berkuasa, tugas membazirkan wang negara mereka itu mahu disambung.

Daripada memberi gaji lumayan kepada para ‘pencacai’, tegas Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH, lebih baik dana diperuntukkan buat memperkukuh agensi lain, ataupun yang kehilangan pekerjaan itu diserap dengan jawatan baharu. Latihan boleh diberikan kepada mereka sambil bekerja.

Bung Moktar menyetujui Nazri apabila mengatakan kerajaan PN prihatin dengan nasib rakyat dalam soal kebajikan asas (makanan). Itu, kata beliau, tiada pada kerajaan PH hingga membawa kepada kejatuhannya.

Ternyata Moktar lupa atau sengaja lupa bahawa kerajaan PH jatuh bukan kerana kalah pilihan raya, tetapi disebabkan oleh pengkhianatan. Ketika itulah perkataan khianat mula terdengar apabila disebut oleh Khalid.

Selepas itu, Dewan Rakyat mula panas apabila RSN Rayer (Jelutong-DAP) bangun mencelah mengatakan Saifuddin lupa beliau sendiri menteri Kabinet kerajaan PH, dan telah mengkhianati rakan-rakan dalam kerajaan.

Rayer tidak puas hati kerana Saifuddin menyebutkan kerajaan PH zalim apabila membuang ramai pekerja dengan membubarkan JASA. Apabila dipanggil sebagai menteri tidak berguna, tidak tahu malu, dan pengkhianat oleh Rayer, Saifuddin mengatakan perkara itu tidak relevan kerana yang sedang dibahaskan ialah J-Kom.

Mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo (Puchong-DAP) turut menempelak Saifuddin sebagai mudah lupa.

Saifuddin dianggap tidak mengenang budi kerajaan PH. Sebagaimana kata Gobind, Saifuddin melompat dari Umno ke PKR, kemudian kini Bersatu.

Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai-AMANAH) agak panjang lebar serta berhemah menyindir Saifuddin.

Walaupun bersetuju dengan Saifuddin kerana menyebutkan maksud firman Allah SWT yang antara lain kita (umat Islam) akan mendapat balasan pahala atas kebaikan yang dilakukan, tetapi beliau turut mengingatkan Saifuddin atas pengkhianatannya.

Tambah Timbalan Presiden AMANAH itu, jika Saifuddin mengatakan PH lemah, sebenarnya diri beliau yang lebih sedemikian.

Kedengaran beberapa suara dari sebelah PN meminta perkataan pengkhianat tidak disebut di Dewan Rakyat. Mereka mengatakan Rayer biadab, dan celupar.

Shahidan malah sanggup bertikam lidah dengan Rayer hingga menggelarnya penyamun tarbus, dan terpaksa diredakan oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Mengapa perkataan ‘pengkhianat’ tidak boleh disebut di Dewan Rakyat? Ia perkataan yang tidak lucah, dan para pengkhianat telah pun (lama) berada di dewan yang mulia itu.

Di samping Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh-Bersatu) yang juga Perdana Menteri dan Saifuddin, pengkhianat PH yang lain ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak-Bersatu-Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Panglima Hamzah Zainuddin Hamzah Zainuddin (Larut-Bersatu-Menteri Dalam Negeri), Dr Mohd Radzi Md Jidin (Menteri Pendidikan), Zuraidah Kamaruddin (Ampang-Bersatu-Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Alor Gajah-Bersatu/-Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas)), Datuk Seri Rina Mohd Harun (Titiwangsa-Bersatu-Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat), Dato’ Sri Mustapha Mohamed (Jeli-Bersatu-Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Ekonomi), dan Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak-Bersatu-Timbalan Menteri Luar).

Mengapa memarahi perkataan pengkhianat? Sepatutnya mereka gembira kerana disebabkan oleh pengkhianatan, ada yang kembali menjadi atau kekal sebagai menteri penuh/timbalan menteri, dan dilantik atau dinaikkan sebagai menteri penuh (walaupun dipanggil Kabinet kerajaan ‘tebuk atap’/‘pintu belakang’).

Antaranya, ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sembrong-Umno-Menteri Luar), Khairy Jamaluddin (Rembau-Umno-Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong-PBB-Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Mustapha atau Tok Pa, dan beberapa orang lagi.

Sementara Azmin, Zuraidah, Redzuan, Rina, dan Saifuddin sendiri kekal sebagai menteri penuh walaupun kerajaan sudah berubah.

Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian-Pas) dan Hamzah diangkat sebagai menteri penuh (Tuan Ibrahim sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air).

Ketika Kamaruddin kekal sebagai timbalan menteri, Radzi naik pangkat sebagai menteri penuh walaupun hanya Senator.

Saifuddin kini sama seperti Azmin yang menyelar PH (diri sendiri) ketika mengaitkan dengan isu Covid-19, tanpa menyedari (ingat) beliau pernah menjadi sebahagian daripada PH.

Dalam satu majlis politik beberapa bulan lalu, Azmin mengatakan PH gagal membela rakyat, malah jika ada rakyat yang mati, katanya, bukan mati kerana Covid-19 tetapi disebabkan oleh PH!

Menariknya, Saifuddin turut menghadiri majlis tersebut.

PH perlu hala tuju jelas, jangan biar luka lama jadi kudis berpanjangan

MOHD ALI HASHI

Selagi Pakatan Harapan (PH) tiada halatuju yang jelas dan terang sama ada kekal PH sahaja atau pun kembangkan PH kepada PH Plus, maka selagi itulah aktivis dibawah akan terus serang-menyerang dan bertempur antara satu sama lain.

Seandainya ini berterusan, tidak dapat dinafikan luka-luka sedia ada akan merebak menjadi kudis yang lebih besar serta sukar untuk dirawat.

Demikian dinyatakan oleh Pengarah Komunikasi, AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria.

Jelasnya, pimpinan PH mahu pun Majlis Presiden perlu menetapkan hala tuju PH dengan seberapa segera kerana perbezaan dan pertembungan akan mempengaruhi aktivis bawahan mengakibatkan mereka bertempur sesama sendiri.

“Telah difahami dan sedia maklum oleh aktivis di semua peringkat, iaitu PKR tidak duduk bersama parti-parti pembangkang yang lain seperti Warisan Sabah, UPKO, PSB, Pejuang dan MUDA.

” Manakala AMANAH dan DAP bersetuju membentuk gabungan semua pembangkang terlibat dan terkini sepertimana dinyatakan oleh Timbalan Presiden AMANAH bahawa parti ini mendukung aspirasi gabungan besar pembangkang iaitu ‘grand coalition’ yang turut melibatkan parti-parti pembangkang tersebut.

“Ia juga disahuti oleh Presiden Warisan apabila beliau menyatakan bahawa pembangkang perlu menukar kepimpinan baharu dan sudah pasti kedua-dua kenyataan tersebut iaitu dari AMANAH dan WARISAN tidak akan dipersetujui oleh PKR,” ujarnya.

Tidak dinafikan semua aktivis dan kepimpinan komponen PH disemua peringkat kepimpinan tahu, faham dan arif dengan kondisi serta situasi perbezaan dan pertembungan tersebut, sekali imbas ianya merupakan percaturan antara Tun M dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sejarah turut membuktikan pertembungan Tun M dan Anwar telah mengheret semua parti pembangkang berada dalam dilema umpama diluah mati emak, ditelan mati bapa.

Sehubungan itu Majlis Presiden PH perlu segera memutuskan apa jua kaedah ‘ win-win’ atau menang-menang yang terbaik bagi semua kerana kenyataan media unilateral dari setiap parti komponen PH tidak mampu menyelesaikan masalah.

Tambah beliau, paparan pemimpin tertinggi PH berfoto maupun berselfie sambil minum semeja, senyum atau ketawa bersama termasuklah Perhimpunan Agong, Kongres Tahunan, Konvensyen Tahunan atau apa jua jenama bagi komponen PH tidak akan menyelesaikan masalah.

Yang pasti sarannya, hanyalah mesyuarat Majlis Presiden ataupun pimpinan PH bagi menyelesaikan segala kekusutan dan kemelut yang ada.

Tumpang tidur rumah penduduk sebelum buang al-Quran ke parit

MyMetro

Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Parit Buntar: Lelaki yang ditahan polis kerana membuang peralatan Surau Al-Rahman, Parit Haji Samsuri, Simpang 3, Kuala Kurau ke dalam parit dikatakan sempat menumpang tidur di rumah seorang penduduk pada malam Ahad, sebelum kejadian.

Difahamkan selain peralatan surau dan al-Quran, lelaki berusia 43 tahun yang turut dikenali penduduk sekitar turut bertindak membuang kerangka gambar kalimah Allah dan Nabi Muhammad yang diambil dari rumah itu tanpa disedari pemiliknya.

Penduduk yang enggan nama disiarkan berkata, sebelum itu lelaki terbabit dikatakan mahu menebang pokok kelapa di hadapan rumah berikutan melihat satu 'benda besar' di atas pokok itu namun dihalang pemilik.

"Kemungkinan lelaki itu bertindak demikian akibat dihalang berbuat demikian selain tidak mempercayai apa yang diceritakannya.

"Habis tikar dan beduk surau dibuang ke dalam parit dan al-Quran serta Muqaddam dipercayai miliknya, turut dibuang ke lokasi sama.

"Tidak cukup dengan itu difahamkan dia mengambil racun kegunaan sawah milik penduduk berhampiran dan dibuangnya ke dalam parit sehingga menyebabkan banyak ikan mati," katanya. Menurutnya, susulan kejadian itu penduduk bergotong-royong membersihkan tikar surau dan beduk yang dibuang manakala cebisan al-Quran dan Muqaddam dikutip dan diserahkan pada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut atau dihapuskan.

Terdahulu pada 7 pagi pada Isnin lalu, seorang penduduk melihat lelaki itu berada di tepi parit dalam keadaan pelik dan sempat menegurnya namun sebaik lelaki terbabit menghempaskan tangan ke kereta penduduk sambil menjerit dan melaungkan ayat al-Quran menyebabkan penduduk segera beredar.

Terdahulu media melaporkan lelaki berusia 43 tahun ditahan polis kelmarin dan direman selama tiga hari sehingga Jumaat.

Mahkamah tangguh keputusan rayuan wanita mahu diisytihar bukan Islam

Hidir Reduan Abdul Rashid

Mahkamah Tinggi Shah Alam terkhilaf ketika menolak tindakan undang-undang seorang wanita berbapakan seorang Islam tetapi dibesarkan sebagai Buddha oleh ibunya, kata peguam Gopal Sri Ram.

Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar rayuan Rosliza Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam dan Mahkamah Rayuan yang tidak membenarkan dia diisytihar sebagai bukan Islam.

Gopal berkata anak guamnya tidak pernah menjadi Islam atau mengamalkan ajaran Islam.

Katanya, Mahkamah Tinggi terkhilaf dengan bergantung kepada kes Lina Joy, melibatkan seorang individu ingin keluar Islam.

Pada 30 Mei 2007, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Joy dan memutuskan status Islam pada kad pengenalannya dikekalkan dan hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa mendengar isu orang Islam ingin meninggalkan agamanya.

Susulan penghujahan ringkas dua responden yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi, panel sembilan hakim Mahkamah Persetuan memutuskan untuk menangguhkan keputusan hari ini.

Kerajaan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menjadi responden dalam kes itu.

“Kami tangguhkan perkara ini pada suatu tarikh yang akan ditetapkan,” kata Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel itu.

Panel itu dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, Ketua Hakim Malaya Azahar Mohamed, serta hakim Mahkamah Persekutuan P Nallini, Abdul Rahman Sebli, Zabariah Mohd Yusof, Hasnah Mohammed Hashim, Mary Lim Thiam Suan dan Rhodzariah Bujang.

Pada 25 April 2018, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosliza, 38, yang mahukan pengisytiharan bahawa dia dilahirkan sebagai anak luar nikah kepada bapa yang beragama Islam dan ibu yang beragama Buddha.

Veteran Umno tak faham Ku Li 'tak serik' dengan Mahathir

Haspaizi Zain

Veteran Umno menyatakan rasa hairan dan terkejut melihat Tengku Razaleig Hamzah "tidak serik dipermainkan" bekas perdana menteri yang pernah ditentangnya dalam parti itu Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub, berkata pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu sudah berkali-kali dipermainkan Mahathir sewaktu bersama Umno.

"Saya hairan dan terkejut apabila Ku Li (Tengku Razaleigh) masih membiarkan dirinya dipermainkan Mahathir.

"Ku Li sebelum ini ditipu Mahathir berkali-kali sejak zaman Hussein Onn lagi, bahkan Mahathir juga pernah menafikan haknya untuk menjadi timbalan perdana menteri.

"Begitu juga dalam pemilihan Umno, Ku Li juga pernah dipermain Mahathir. Saya kecewa dan tak faham kenapa dia tak serik," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Kelmarin, Mahathir dan Tengku Razaleigh mengadakan sidang media bersama bagi mengumumkan kerjasama politik mereka dalam usaha menjatuhkan kerajaan PN.

Sidang media itu adalah yang pertama setelah Mahathir pernah berunding dengan Tengku Razaleigh mengenai kemungkinan kerjasama politik, sejak lebih sebulan lalu. 

Dalam sidang media itu, tokoh politik disegani itu mengumumkan kesediaan untuk menerajui kepimpinan kerajaan jika ahli Parlimen menolak Belanjawan 2021.

Tengku Razaleigh ataupun lebih dikenali sebagai Ku Li dalam sidang media itu menegaskan yang dia menolak belanjawan serta mempersoal keabsahan kerajaan PN.

Bagaimanapun Dewan Rakyat semalam meluluskan Belanjawan 2021 pada bacaan kali ketiga dengan kelebih tiga undi iaitu, 111 ahli parlimen menyokong, manakala 108 menolak.

Dalam pada itu, ditanya sama ada kerjasama Ku Li dan Mahathir akan menarik sokongan ahli parlimen Umno menyebelahi pembangkang, Mustapha berkata, dia yakin yang ahli parlimen Gua Musang itu tidak mampu untuk berbuat demikian.

"Kerana dia bekerjasama dengan Mahathir, orang Umno tak boleh lupa apa yang Mahathir lakukan dan tak akan memaafkan Mahathir," katanya lagi.

Ditanya keperluan Tengku Razaleigh dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti, Mustapha berkata dia melihat tiada keperluan untuk berbuat demikian.

"Tak perlu ambil tindakan disiplin kerana apa yang dia lakukan adalah atas kapasitinya sebagai ahli Parlimen," tambahnya

Penamat dalam usaha Anwar jadi PM?

Ainaa Aiman

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik melihat Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat jawatankuasa sebagai isyarat Anwar Ibrahim sudah sampai ke penghujung jalan dalam usahanya menjadi perdana menteri seterusnya.

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan memberitahu FMT, ia kini menunjukkan sokongan diraih ketua pembangkang itu terhad kepada 108 Ahli Parlimen yang mengundi menolak belanjawan itu.

Belanjawan tahunan negara itu diluluskan di peringkat jawatankuasa, selepas bacaan kali ketiga semalam, dengan 111 undi menyokong dan seorang Ahli Parlimen tidak hadir.

“Ini sebab utama kenapa Anwar teragak-agak untuk undian blok ke atas rang undang-undang itu pada bacaan pertama. Beliau juga mungkin menolak undian belah bahagi dalam bacaan kali ketiga.”

Beliau juga mendapati UMNO tidak mengendahkan gesaan untuk Ahli Parlimen mengundi berdasarkan hati nurani mereka, bukannya pendirian parti.

Gesaan itu dibuat bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dalam sidang media Isnin lalu.

Semua Ahli Parlimen UMNO, kecuali Razaleigh, hadir untuk mengundi belanjawan itu.

Dalam sidang media itu, dua veteran politik itu berkata, Malaysia memerlukan kerajaan yang benar-benar mengutamakan rakyat dan pembangunan negara, memberi bayangan mereka sedang berusaha menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mahathir berkata, beliau akan menolak kerjasama dengan bekas perdana menteri, Najib Razak dalam penubuhan kerajaan baru.

“Apabila Dr Mahathir kata beliau tidak akan bekerjasama dengan Najib, saya rasa itulah titik perubahan. Mesej lebih besar, bukan hanya daripada UMNO, tetapi juga Pakatan Harapan (PH), adalah masanya sudah berakhir untuk Mahathir dan Tengku Razaleigh,” kata Azmi.

Tetapi, beliau berkata, 111 undi menyokong belanjawan tidak boleh dianggap sebagai penentu sama ada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya sependapat yang sokongan untuk belanjawan perlu diasingkan daripada sokongan untuk perdana menteri.

Katanya, kekuatan Muhyiddin sebagai perdana menteri hanya boleh dibuktikan melalui undi tidak percaya.

Bagaimanapun, beliau berkata, majoriti tipis untuk belanjawan menunjukkan kedudukan PN tidak stabil dan sukar diramal.

Tetapi, katanya, PN mungkin dapat bertahan sehingga tiba masa untuk pilihan raya umum akan datang, jika ia mampu menawarkan manfaat politik sebagai balasan untuk sokongan.

Beliau percaya pembangkang akan berusaha untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan akuan bersumpah bantahan terhadap Muhyiddin terus menjadi perdana menteri.

Katanya, undi untuk belanjawan bagi menjamin kebajikan awam dan mengelakkan kejatuhan kerajaan tidak sama dengan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Prof Ungku Aziz meninggal dunia

Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Prince Court di Kuala Lumpur hari ini.

Allahyarham dilaporkan meninggal akibat sakit tua pada jam 4.30 petang tadi dan dijangka dikebumikan pada malam ini.

Isteri allahyarham Rohayah Ahmad Bahiran dipetik Astro Awani berkata jenazah Prof Ungku Aziz, 98, akan dibawa ke Masjid At-Taqwa.

Allahyarham merupakan tokoh penting di sebalik penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji dan gagasan koperasi tanah air, termasuk Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

Antara anugerah yang pernah diberikan kepada allahyarham Ungku Aziz ialah "Profesor Diraja Ekonomi" (Pembangunan Luar Bandar) pada 17 Jun 1978, Tokoh Koperasi Negara sempena Hari Koperasi Negara pada 21 Julai 2002.

Allahyarham merupakan bapa kepada bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar.

Mahathir dan Ku Li ada rancangan besar, kata Kadir Jasin

MALAYSIA DATELINE

Bekas Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin yakin bekas bos beliau, Tun Dr Mahathir Mohamad dan musuh politiknya Tengku Razaleigh Hamzah mempunyai rancangan besar selepas sidang media bersama mereka semalam.

“Jika esok tidak datang untuk Muhyiddin Mohd Yassin dan kerajaan tebuk atapnya, apakah yang akan terjadi?

“Atau yang lebih tepat, adakah mana-mana pihak yang ada cukup sokongan untuk mengambil alih dan siapakah bakal Perdana Menteri mereka?” katanya.

Bagi beliau, ramalan di sidang akhbar bersama Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah petang semalam menjurus ke arah kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional.

Untuk pengetahuan generasi muda, kata bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP itu, Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh ini adalah dua sahabat baik yang “bermusuh” dalam politik.

“Dr Mahathir panggil Tengku Razaleigh, “Li” dan Tengku Razaleigh panggil Dr Mahathir, “Doc” (untuk doktor).

“Jadi apabila mereka berkongsi sidang media dan bercakap berkenaan kejatuhan kerajaan PN, tentulah mereka mempunyai asas yang kuat,” katanya.

Bagi beliau, kalau tidak sama kuat dengan sokongan “strong, formidable, convincing” yang Anwar Ibrahim dakwa ada kepadanya, mungkin lebih kuat.

“Rasanya mereka tidak bercakap dalam nada “kuat, utuh, meyakinkan” yang Anwar dakwa. Kalau ia, tentulah Anwar hadir sama.

“Jadi kalau Doc dan Li ada sokongan yang lebih kuat daripada Anwar, siapakah calon mereka untuk ambil alih daripada Muhyiddin dan PN?

“Apakah gabungan Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh ini lebih daripada sekadar sidang media bersama,” tanya Kadir lagi.

Akar umbi serah memo, gesa PAS tolak gabungan PN

B Nantha Kumar

Sekumpulan ahli akar umbi PAS berkumpul di ibu pejabat parti hari ini untuk mendesak pucuk pimpinan parti supaya menolak kerjasama bersama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Mereka turut menuntut agar satu muktamar khas diadakan untuk membahaskan pendirian akar umbi berhubung kerjasama PAS bersama PN.

"Sejak sekian lama kami ingin meluahkan perasaan yang seolah-olah kami sedang ditipu atau sedang dipaksa oleh segelintir kepimpinan untuk menerima dan bersetuju berada di dalam PN.

"Setelah hampir sebulan menghubungi rakan-rakan di seluruh negara serta membuat kajian secara rambang terutama pada akar umbi PAS, kami dapati rata-rata akar umbi tidak setuju PAS berada di dalam gabungan PN. 

"Mereka nyatakan jangan mengharapkan keuntungan jangka masa pendek akan tetapi kerugian untuk jangka masa panjang," kata jurucakap kumpulan itu, Khairul Anuar kepada pemberita di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

Khairul mendakwa bahawa dia adalah ahli PAS dari Kedah, yang kini tinggal di Putrajaya.

Menurutnya lagi, ahli akar umbi begitu terkilan dengan pendirian pusat pimpinan.

"Sepatutnya, kerjasama PAS pada Mac 2020 bersama gabungan PN semasa krisis politik negara hanya melibatkan ahli-ahli parlimen PAS sahaja.

"Namun, kini kepimpinan telah membawa parti ke dalam gabungan PN tanpa persetujuan ahli.

"Maka, kami menuntut satu muktamar khas diadakan untuk membahaskan akan hal ini," katanya sambil menambah bahawa PAS kini dilihat sebagai 'budak suruhan' dalam gabungan PN.

Untuk rekod, PAS yang sebelum ini memeterai perjanjian kerjasama politik dengan Umno yang dikenali sebagai Muafakat Nasional (MN) pada 2019, kemudian secara rasmi mendaftar bersama gabungan PN melibatkan Bersatu dan beberapa parti dari Sabah dan Sarawak.

Terdahulu, Khairul mengetuai sekumpulan 20 ahli PAS menyerahkan memorandum selepas tidak puas hati dengan keputusan pucuk pimpinan parti itu bersama gabungan PN.

Mereka turut dilihat membawa sepanduk bertulis: "Akar umbi PAS penyokong PAS tolak PN"

Turut tertera adalah sepanduk bertulis: "Jangan jadi jurucakap Bersatu" dengan gambar Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung), Ahmad Samsuri Mokhtar (Menteri Besar Terengganu) dan Mohd Syahir Sulaiman (penolong Setiausaha Agung PAS).

‘PM dalam tawanan rakan politik, pendakwaan rasuah berakhir dengan pembebasan’

ADLY ZAHARI

Perdana Menteri kita sudah ditawan. Ditawan oleh rakan kerjasama politik.

Tidak berupaya membuat keputusan bagi memastikan politik kita stabil, ekonomi pulih dan covid 19 diperangi.

Ini kerana niat beliau hanya untuk berkuasa, khianati perjanjian bertulis, membeli wakil rakyat dan lakukan sogokan politik melalui GLC.

Setelah berjaya berkuasa selama hampir 10 bulan, negara kekal dengan krisis politik, ekonomi dan covid 19, malah lebih buruk.

Krisis politik menatijahkan pertukaran kerajaan di negeri Perak, undi percaya menjadi tak percaya, termasuk usul undi tidak percaya dikalangan wakil rakyat kerajaan di parlimen.

Rakan kerjasama politik menikam dari belakang. PM gagal menyatukan Melayu Islam. Penyatuan menjadi retorik.

Krisis ekonomi tidak perlu diceritakan, semua orang merasainya, haiwan dalam zoo pun terasa.

Krisis Covid-19 lebih parah, kalau dulu beratus kes setiap hari sudah dikira ngeri, sekarang beribu kes setiap hari sudah dikira biasa. Macam-macam SOP pelik termasuk menghadiri sidang dewan rakyat dengan memakai PPE.

Selepas 10 bulan, negara hilang kawalan, kemaruk kuasa politik sesama pemimpin Melayu Islam makin membarah.

Sehingga sesetengah pemimpin itupun sudah tiada kepastian dia menyertai parti apa dan dia terlibat dalam gabungan mana sama ada PN, MN, BN. Pening.

Rakyat memang terabai, negara hilang fokus, pelabur tiada keyakinan kerana semuanya tiada kepastian.

Perdana Menteri sentiasa dalam tawanan rakan politik, pendakwaan rasuah berakhir dengan pembebasan.

Krisis ekonomi dan covid 19 berpaksi kepada kestabilan politik negara, ia tentang kepimpinan yang mampu membuat keputusan untuk kepentingan rakyat.

Kepimpinan negara mesti dipulihkan, tidak boleh melalui proses beli membeli kesetiaan, yang akhirnya menjadi tawanan dan ketakutan kehilangan kuasa.

Masa belum terlambat untuk kita membetulkan keadaan. Semoga wakil rakyat di dewan rakyat kembali membetulkan hala tuju kepimpinan negara dilandasan yang jelas.

Berpadu untuk negara dan bebaskan PM yang ditawan dengan tunjukkan jalan keluar pintu hadapan.

Saya doakan yang terbaik buat Malaysia.

*ADLY ZAHARI merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka dan bekas Ketua Menteri.

Menjelang bacaan ke 3 Belanjawan 21, mesej Umno berpecah

BORHAN AHMAD

Menjelang undi belah behagi bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat hari ini, para pemimpin dan Ahli Parlimen Umno menunjukkan perbezaan pendapat dan pendekatan di kalangan mereka.

Tengku Razaleigh Hamzah (Umno-Gua Musang) mengumumkan secara rasmi bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan tidak menolak kemungkinan membawa bersamanya beberapa MP Umno.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan pula menyatakan kesedihan beliau dengan apa yang berlaku dengan kerajaan yang ada dan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat sekarang.

Yang menarik juga adalah kenyataan Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Puad Zarkashi yang berkata, slogan “no Anwar no DAP” yang diterima parti itu tidak semestinya relevan sepanjang masa kerana senario politik negara berubah-ubah.

Namun begitu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Ahmad Maslan mengumumkan beliau akan menyokong Belanjawan 2021 dalam pengundian hari ini.

Dr Mahathir pula memberikan bayangan kerajaan PN akan jatuh hari ini melalui undi bacaan kali ketiga Belanjawan 2021.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama dengan Tengku Razaliegh Hamzah semalam.

Dewan Rakyat akan menentu Belanjawan 2021 diluluskan untuk bacaan terakhir iaitu bacaan kali ketiga hari ini.

Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai bilang Ahli Parlimen paling ramai iaitu 91 anggota telah membuat keputusan akan menolaknya dengan undi belah bahagi.

Jika ia berjaya mendapat sokongan sekumpulan MP Umno dan Warisan, undi belah bahagi ini akan membuktikan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen.

Mohamad Hassan dalam kenyataannya berkata, setelah 10 bulan berlalu semenjak Umno menyokong pembentukan kerajaan baru, namun politik bangsa Melayu dan Malaysia terus berantakan.

“Rakyat kebanyakan telah sangat bosan, muak dan jelik dengan pelbagai kenyataan, perlakuan dan pertembungan ahli politk bangsa Melayu terutamanya.

“Semua ini tidak menguntungkan bangsa. Semua ini meletakkan kedudukan bangsa Melayu pada kedudukan yang lemah dan tanpa haluan yang jelas,” kata pemimpin Umno yang dilihat bersih itu. 

Bekas Ketua Pengarah Jasa, Dr Puad Zarkashi pula berkata, slogan “no Anwar no DAP” yang dilihat orang ramai berupa penegasan untuk menolak kerjasama Umno dengan Pakatan Harapan (PH) hanya digunakan beberapa pemimpin parti yang berjawatan dalam kerajaan Perikata Nasional (PN) sahaja.

Menurutnya pemimpin terbabit berpendirian begitu kerana mereka tidak mahu melihat kerajaan PN tumbang.

“Apakah mereka ini nasionalis dan agamawan tulen? Biar ahli dan rakyat menilai sama ada mereka hipokrit atau tulen.

“Maaf kalau kritikan ini keras dan pedas, tetapi saya tidak mohu menoleh ke belakang. Saya tidak apologatik dan takut dikecam.

“Nak marah marahlah. Saya yakin masih ramai yang bersetuju dengan saya tetapi mereka simpan di dalam hati,” katanya dalam satu hantaran di media sosial malam tadi.

A Kadir Jasin: Tentulah Dr M dan Ku Li ada asas yang kuat

Wartawan veteran A Kadir Jasin berkata ada sesuatu di sebalik sidang media bersama dua ahli politik veteran, Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah, di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya kedua-dua mereka - yang pernah bersama dalam kabinet suatu ketika dulu - meramalkan pada petang tadi bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan jatuh esok.

Menurut A Kadir kedua-dua veteran terbabit merupakan sahabat walaupun 'bermusuh' dalam politik.

"Jadi apabila mereka berkongsi sidang media dan bercakap berkenaan kejatuhan kerajaan PN, tentulah mereka mempunyai asas yang kuat," katanya dalam satu hantaran di media sosial awal malam ini.

Petang tadi Mahathir dan Tengku Razaleigh - atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li - mengadakan sidang media bersama di sebalik kedudukan mereka dalam dua parti berbeza.

Tengku Razaleigh merupakan ahli parlimen Umno yang mewakili Gua Musang manakala Mahathir kini bergerak sebagai pembangkang melalui Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kini didakwa tidak mengetuai sebuah kerajaan yang kukuh kerana kedudukan sokongan yang ada padanya begitu tipis malah tidak pernah dicabar di Dewan Rakyat.

Justeru Mahathir dan Tengku Razaleigh membayangkan mereka sedia membantu mengembalikan kedudukan negara ini seperti pernah dinikmati pada suatu masa dulu melalui pengalaman yang ada pada mereka.

Mahathir dan Tengku Razaleigh selepas mengadakan sidang media bersama di KL pada 14 Dis

Tidak lama selepas sidang media itu berakhir Pakatan Harapan (PH) mengeluarkan kenyataan mengajak semua ahli parlimen menolak Belanjawan 2021 yang dibaca untuk kali ketiga esok.

Kegagalan Belanjawan 2021 mendapat sokongan majoriti akan menjadi tamparan besar buat Muhyiddin dan kerajaan PN.

Menurut A Kadir ada kemungkinan sokongan di belakang Mahathir dan Tengku Razaleigh jauh lebih kuat berbanding apa yang pernah didakwa Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum ini.

Sokongan itu juga, katanya, dipercayai bukanlah daripada pihak yang sama "kuat, utuh dan meyakinkan" seperti dimaksudkan Anwar.

A Kadir juga berkata menunjukkan keakraban dua ahli politik itu, Mahathir memanggil Tengku Razaleigh hanya sebagai Li, dan jika Tengku Razaleigh memanggil Mahathir dia hanya menggunakan gelaran Doc (untuk doktor).

Bekas penasihat media Mahathir itu kemudian melontarkan persoalan jika benar PN jatuh esok adakah mana-mana pihak memiliki sokongan mencukupi untuk mengambil alih kerajaan dan mengisi jawatan perdana menteri.

"adi kalau Doc dan Li ada sokongan lebih kuat daripada Anwar, siapakah calon mereka untuk ambil alih (kerajaan) daripada Muhyiddin dan PN?

"Apakah gabungan Mahathir dan Tengku Razaleigh ini lebih daripada sekadar sidang media bersama?" soalnya.

Majlis Setiausaha PH gesa semua MP tolak belanjawan esok

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pakatan Harapan (PH) menggesa semua Ahli Parlimen sama ada di blok pembangkang mahupun kerajaan untuk bersama menolak Belanjawan 2021 pada bacaan kali ketiga esok.

Majlis Setiausaha PH berkata, belanjawan yang dibentangkan dan dibahaskan selama lebih tiga minggu ini tidak menepati objektif untuk memerangi Covid-19, membantu rakyat dan menghidupkan semula ekonomi.

“Pakatan Harapan sebelum ini telah menyatakan bahawa kami akan membahaskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar dan jawatankuasa, dan akhirnya akan membuat undian belah bahagi pada bacaan kali ketiga.

“PH menggesa agar semua Ahli Parlimen, sama ada pembangkang mahupun penyokong kerajaan yang memahami bahawasanya belanjawan ini tidak menepati matlamat, supaya memilih menolak Belanjawan 2021 pada bacaan kali ketiga esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama antara AMANAH, Datuk Dr Hatta Ramli; PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; DAP, Anthony Loke.

Pada masa sama kata Majlis Setiausaha PH, apa yang diumumkan Menteri Kewangan semasa penggulungan Belanjawan 2021 mahupun dalam siri kenyataan medianya, sama sekali tidak memenuhi apa yang diharapkan Ahli-Ahli Parlimen dan rakyat.

“Ini termasuklah isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), moratorium, bantuan kepada petugas barisan hadapan, pendidikan anak-anak, pendapatan yang berkurangan, pekerjaan yang hilang, kos sara hidup yang makin meningkat dan banyak lagi,” katanya.

Tun M dan Ku Li umum bergabung

SITI NUR ZAWANI MISCON

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan akan bekerjasama dengan Tengku Razaleigh Hamzah untuk membangunkan semula negara dari ahli-ahli politik yang hanya mementingkan kedudukan parti mereka.

Bagaimanapun difahamkan, gabungan kedua tokoh berkenaan bukanlah dibentuk dengan kerjasama dua parti, tetapi lebih kepada gabungan individu.

Menerusi sidang media tadi, Tun berkata beliau dan Ku Li mempunyai pengalaman selama 22 tahun dalam bidang pentadbiran dan politik yang membolehkan mereka berdua bergabung untuk menyumbang kepada kemajuan negara.

Menurutnya juga, gabungan itu tidak memerlukan sokongan atau undi, namun keputusan memulihkan ekonomi negara didorong atas permintaan ramai pihak agar satu tindakan dilakukan.

“Kita tak minta sokongan cuma ramai kawan-kawan dan ahli profesional yang datang jumpa dan bertanya tidak boleh kah sesuatu dibuat untuk mengembalikan kemajuan negara kita.

“Kita dapati bahawa kerajaan ini cuma terlibat dalam politik diri sendiri. Tak ada satu strategi pun untuk memulihkan ekonomi negara dan menangani masalah Covid-19.

“Tetapi kita harap kita dapat sokongan untuk kami menggunakan idea dan pengalaman kami demi kebaikan negara. Ini bukan untuk kami,” katanya di Yayasan Al-Bukhary hari ini.

Sementara itu, Ku Li yang juga merupakan Penasihat Umno berkata, ini adalah masa untuk pemimpin politik mengaktifkan semula kedudukan ekonomi.

Beliau juga menyifatkan kerajaan yang ada pada hari ini bukanlah kerajaan yang mempunyai keabsahan dan tidak dapat menjamin kestabilan dengan hanya kelebihan dua undi.

“Saya harap perjumpaan kita hari ini akan memulakan langkah baru yang bukan mahu mementingkan sesiapa dari kalangan kita, tetapi mementingkan rakyat lebih dari segalanya,” katanya.

Ada kemungkinan kerajaan PN jatuh esok, kata Dr M

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali lagi berdepan kemungkinan akan jatuh sekali lagi jika pengundian kali ketiga Belanjawan 2021 gagal mendapat sokongan majoriti esok, kata Dr Mahathir Mohamad.

Menyatakan hal itu Mahathir berkata ahli parlimen perlu memikirkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan sendiri atau jawatan kerana ketika ini rakyat sudah cukup marah kepada kerajaan.

Justreru bekas perdana menteri itu berkata dia dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sedia menawarkan diri untuk membantu mengembalikan negara dan membantu rakyat.

Tengku Razaleigh juga mengesahkan dia tidak akan terlibat dalam pengundian belanjawan esok.

Rumah paling sunyi (Gambar)


Agensi

Reykjavik: Sebuah kediaman berwarna putih di kepulauan Ellidaey atau Ellirey di pantai selatan Iceland dikatakan sebagai rumah paling sunyi di dunia.

Oddity Central melaporkan, ia berikutan kedudukannya yang terletak di tengah bukit dikelilingi lautan dan menjadi satu-satunya rumah yang berada di situ.

Rumah itu dikatakan tidak berpenghuni sejak tahun 1930-an dan pelbagai khabar angin, teori serta spekulasi dikaitkan dengannya selepas tersebarnya gambar kediaman berkenaan di Internet. 

Antara dakwaan itu termasuklah kisah kononnya rumah itu dibina oleh seorang peniaga eksentrik sebagai tempat perlindungan zombie selain desas desus mengatakan ia milik seorang fanatik agama.

Malah penyanyi Iceland, Bjork pada satu ketika dulu pernah dikhabarkan memiliki tempat percutian itu dan berunding dengan pihak berkuasa untuk membeli pulau berkenaan.


Hakikatnya, bangunan itu hanya pondok berburu yang dibina pada tahun 1950 oleh Persatuan Pemburuan Ellidaey, yang menjadi tempat persinggahan ahlinya ketika datang memburu puffin iaitu sejenis burung laut di pulau berkenaan.

‘Nasi tangas’ Bersatu dayuskan Umno?

MOHD ARIF JUHANI

Entah tangkal apa yang digunakan Bersatu, Umno ketika ini kelihatan seperti terlalu mudah mengalah dan memohon maaf. Pantang silap sikit dengan Bersatu, muncullah kenyataan terbuka daripada pemimpin Umno yang meminta maaf.

Memohon maaf memang merupakan amalan terpuji. Dalam ajaran Islam dan budaya kesantunan Melayu, memohon maaf amat dianjurkan selepas melakukan kesilapan. Tetapi memohon maaf sahaja tidak cukup kalau kesilapan yang dibuat terlalu besar atau berbentuk jenayah yang melibatkan kepentingan awam.

Contohnya, jika didapati seseorang melakukan rasuah, tidak cukup untuk dia memohon maaf sahaja. Jenayah itu mesti diputuskan hukuman oleh mahkamah manakala masyarakat pula mesti dididik dan dibudayakan supaya tegas membenci pelaku dan perbuatan jenayah rasuah.

Tetapi di Malaysia, situasi ini sukar dilihat. Perasuah bukan sahaja tidak dibenci malah diangkat sebagai pemimpin dalam organisasi tertentu. Puncanya kerana budaya politik naungan (patronage) berasaskan ‘cash is king’ yang begitu membarah.

Wang tunai sentiasa menjadi pemberat utama dalam menentukan tahap kesetiaan seseorang. Maka, jika seseorang itu terkenal sebagai perasuah sekalipun tetapi kerana dia berduit, maka orang ramai akan tetap tunduk kepadanya.

Di Malaysia ada penjenayah kewangan yang terkenal di seluruh dunia. Buruknya jenayah yang dia lakukan sehingga Malaysia dikenali sebagai negara ‘kleptokrasi’.

Namun, malangnya dia tidak dibenci malah diangkat dan dikenali sebagai bos. Dia bukan sahaja tidak dibenci, bahkan pihak yang mendedahkan jenayah penyelewengan dia pula yang dibenci.

Bagi melawan pendedahan tentang penyelewengan yang dibuat, penjenayah skandal kewangan ini turut menggunakan sentimen sempit untuk mempengaruhi fikiran dan emosi orang ramai supaya tidak mempercayai dakwaan itu.

Salah satu sentimen yang masih berkuasa adalah propaganda kononnya wujud ‘campur tangan asing’ di Malaysia. Taktik licik ini tidak sukar digunakan untuk mempengaruhi orang ramai.

Maka, walaupun Amerika Syarikat (AS) dipandang tinggi dan hormat oleh Malaysia tetapi oleh kerana kuasa besar itu mendedahkan penyelewengan bekas pemimpin negara ini, maka imej AS digubah sebagai sebuah negara musuh yang cuba mencampuri urusan dalaman Malaysia.

Maka di Malaysia, walaupun sering dilaung-laungkan sebagai negara Islam contoh dan menjadi ikutan dunia tetapi anehnya rasuah pula gagal dibudayakan dalam pemikiran masyarakatnya sebagai satu jenayah besar. 

Zahid memohon maaf kepada Muhyiddin selaku Pengerusi PN selepas Umno menggulingkan Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak.

Kelangsungan nyawa Umno

Berbalik kepada isu memohon maaf, jika dalam ajaran dan budaya tempatan menganggap itu sebagai perbuatan mulia. Namun, dalam politik, memohon maaf dianggap sebagai satu kelemahan yang boleh menjejaskan kedudukan, kredibiliti, wibawa dan pengaruh sesebuah parti atau seseorang pemimpin.

Sejak kebelakangan ini, amalan memohon maaf mula dilihat telah dibudayakan oleh para pemimpin tertinggi Umno. Malangnya, permohonan maaf itu bukan kepada rakyat Malaysia kerana gagal menentang rasuah atau memajukan bangsa Melayu.

Sebaliknya, permohonan maaf dibuat demi kepentingan peribadi dan memelihara kelangsungan nyawa Umno. Maka, ketika ini walaupun Umno memiliki bilangan ahli Parlimen paling ramai tetapi parti ini dilihat begitu tunduk kepada Bersatu yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin sebagai Presiden.

Dalam segala hal membabitkan hubungan antara Barisan Nasional (BN) yang diketuai Umno dan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Bersatu, BN dilihat lebih mudah mengalah kepada PN. Maka, kelihatan hebatlah PN di mata masyarakat manakala BN pula dianggap seperti dayus.

Secara umumnya, masyarakat di rantau ini menganggap menjadi dayus bukanlah satu pilihan. Sebaliknya, gelaran itu adalah penghinaan yang melampau. Masyarakat Melayu sendiri begitu benci kepada dayus.

Dalam amalan khurafat Melayu, kaedah untuk mendayuskan lelaki atau suami adalah melalui amalan sihir ‘nasi tangas’ atau ‘nasi kangkang’. Perbuatan terkutuk ini diamalkan oleh isteri untuk menundukkan suami supaya tunduk dan patuh kepada arahannya.

Caranya, isteri menanak nasi yang telah dicampurkan dengan bahan-bahan kotor dan terlarang. Kemudian selepas nasi masak, isteri akan mengangkang di atas nasi yang masih berwap itu sambil membaca jampi serapah sebelum dihidangkan untuk santapan suami.

Natijah daripada nasi tangas dimakan, suami yang sebelum ini panas baran, mudah membelasah isteri akan berubah menjadi suami yang tunduk, patuh taat dan takut kepada isteri. Suami akan menjadi bodoh dan isteri akan gunakan kesempatan itu untuk mengarahkannya melakukan segala-gala kerja rumah atau apa sahaja. 

Nasi tangas tidak akan menjadi penawar kepada kebahagiaan rumah tangga. Memang suami tidak lagi akan menakutkkan isteri tetapi perubahan sikap itu bukan datang daripada kesedarannya sendiri. Sebaliknya, akibat penangan sihir. Penghujungnya, tiada kebahagiaan yang dicapai seperti digariskan dalam matlamat perkahwinan.

Jika ini dibawa dalam konteks hubungan Umno dan Bersatu kelihatannya seperti tiada perbezaan yang ketara. Umno yang dahulu begitu angkuh dan besar kepala seperti abang besar. Tetapi kini, di mata Bersatu, Umno tidak ubah seperti seekor kucing kurap.

Sebarang kesilapan yang dibuat secara sengaja atau tidak, permohonan maaf dengan pantas akan menyusul.

Inilah yang boleh disaksikan selepas Ahmad Faizal Azumu dijatuhkan sebagai Menteri Besar Perak pada 4 Disember lalu.

Ketika Adun Chenderiang itu digulingkan melalui usul undi percaya yang dibawa oleh Adun Pengkalan Baru, Datuk Abd Manaf Hashim dari Umno, parti itu mula dilihat seperti menguasai situasi politik dan kedudukan Menteri Besar di Perak.

Faizal juga bukan hanya sekadar Menteri Besar Perak tetapi dia juga merupakan Timbalan Presiden Bersatu.

Tentunya langkah itu mempunyai implikasi besar kepada maruah Bersatu yang memiliki Presiden sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Gelora politik dalaman Umno mungkin berterusan dan boleh sahaja mengganggu parti itu daripada kembali berpengaruh.

Pasukan tentera berperang 

Ramai yang menjangkakan penggulingan itu akan menutup pintu kepada hubungan Umno dan Bersatu yang masih bergelora. Tetapi tidak lama kemudian, selepas kejayaan Adun Umno menjatuhkan Menteri Besar Perak, muncul pula Zahid Hamidi memohon maaf kepada Muhyiddin yang merupakan Pengerusi PN.

Cuba bayangkan, dua pasukan tentera berperang. Tetapi selepas menang, jeneral dari pasukan yang menang muncul di hadapan orang ramai dan memohon maaf. Aneh bukan? Tetapi demikianlah yang berlaku kepada Umno kini.

Zahid Hamidi mempunyai pengalaman sebagai Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan. Sepatutnya wibawa sebagai menteri yang memegang portfolio kritikal itu boleh dikekalkan walaupun tidak lagi menjadi pemimpin negara.

Sayangnya, mungkin kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diketuai oleh Hamzah Zainuddin yang juga Setiausaha Agung Bersatu, maka sukar untuk Zahid Hamidi bersikap bagai kaduk naik junjung atau menerima padah jika fail-fail ‘nasi tangas’ Zahid Hamidi didedahkan.

Selain permohonan maaf daripada Zahid Hamidi, satu lagi perbuatan yang sama telah dibuat oleh Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi Umno Sabah. Hal ini apabila dia memohon maaf kepada Zahid sebagai Presiden Umno kerana gagal menjadi Ketua Menteri Sabah.

Kata Bung Moktar, walaupun jawatan Ketua Menteri Sabah adalah harapan Umno tetapi selepas BN memperoleh hanya 14 kerusi DUN berbanding PN sebanyak 17, sukar untuk parti itu berunding dengan sekutu parti yang lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memperoleh jawatan itu.

Tetapi jika dibuat perbandingan mengikut parti pula, Umno memperoleh 14 kerusi berbanding Bersatu hanya 11. Kalau Umno cekap dalam perundingan, tidak mustahil peluang untuk mereka meletakkan Bung Moktar sebagai Ketua Menteri Sabah masih terbuka.

Namun mungkin kerana penangan ‘nasi tangas’ Bersatu, Umno tidak boleh lagi terlalu besar kepala untuk tunjuk kejantanan sebagai parti Melayu terbesar di Malaysia.

Berdasarkan kepada pengakuan Tengku Adnan Tengku Mansor yang merupakan Setiausaha Agung Umno pada 2017, parti itu dianggotai lebih tiga juta ahli seluruh negara. Berbanding Bersatu, walaupun tiada laporan anggaran secara rasmi tetapi bolehlah dikatakan bilangan ahlinya jauh lebih rendah daripada Umno.

Sikap tunduk kepada Bersatu ini memang merimaskan segelintir pemimpin Umno terutamanya yang berasal dari Johor. Shahrir Samad, Nur Jazlan Rahmat, Khaled Nordin, Puad Zarkashi antara pemimpin yang konsisten mengkritik pendirian Umno kini yang serba kalah dengan Bersatu.

Gelora politik dalaman Umno ini mungkin berterusan dan boleh sahaja mengganggu parti ini daripada kembali berpengaruh manakala Bersatu, walaupun bilangan ahlinya kecil tetapi cukup selesa mengatur strategi untuk menguasai pergerakan politik seluruh negara.

Maka, Umno kini bolehlah diibaratkan seperti keris pusaka yang lunyai disintuk kelopak bunga raya.

Ustaz Zolkharnain sekolahkan MB Kedah

‘Harap Menteri Besar Kedah baca teori al-Raisuni dalam berkerajaan’

USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN

Kerajaan tidak perlu kaya kerana tugas kerajaan bukan mengumpul wang. Cukuplah kerajaan mempunyai wang yang mencukupi untuk mengurus, menyelia dan menyelaras aktiviti dan perjalanan negara.

Rakyat yang perlu kaya. Apabila rakyat kaya, maka tiada pergantungan rakyat kepada kerajaan. Keperluan kehidupan rakyat dalam semua bidang ditanggung oleh rakyat sendiri.

Maka, pemimpin perlu cari jalan memperkayakan rakyat. Pemimpin tidak perlu risau jika kerajaan tidak banyak wang, tapi perlu risau tentang rakyat yang tiada wang.

Al-Raisuni mengumpamakan kerajaan dan rakyat seperti segitiga normal. Puncaknya kecil mewakili kerajaan sementara tapaknya besar mewakili rakyat. Kerajaan kecil tetapi berada di atas (menyelia dan menyelaras) tetapi rakyat besar dan berada di bawah (mendukung kerajaan).

Kehidupan bernegara akan rosak jika segitiga diterbalikkan menjadikan bahagian yang besar (kerajaan) berada di atas sementara bahagian kecil (rakyat) berada di bawah. Dalam kedudukan ini kerajaan menindas rakyat.

Menteri Besar Kedah tidak perlu risau jika Sungai Muda mengalir ke Pulau Pinang dan airnya dinikmati oleh rakyat negeri itu. Apabila rakyat Pulau Pinang senang, rakyat Kedah juga akan turut senang.

Biarlah rakyat senang, rakyat negeri mana sekalipun. Menteri Besar Kedah jangan hanya fikir untuk kerajaan negerinya saja.

Menteri Besar Kedah patut belajar dari kerajaan Pulau Pinang untuk mengoptimumkan penggunaan air Sungai Muda seperti yang Pulau Pinang buat. Bukannya minta duit daripada hasil usaha kerajaan negeri itu.

Menteri Besar Kedah jangan terbalikkan segitiga untuk senangkan dan besarkan kerajaan tetapi rakyat menjadi susah dan kecil. Kerana air Sungai Muda itu manfaatnya untuk rakyat. Kerajaan hanya menyelia dan mengurus.

Harap Menteri Besar Kedah dapat baca teori al-Raisuni dalam berkerajaan, khususnya apabila menjadi ketua kerajaan.


*USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN merupakan Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional dan mantan Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Lima perkara asas PH perlu buat untuk menghadapi PRU-15

JAMZURI ARDANI

1. Mulakan perbincangan agihan kerusi di kalangan parti komponen. Ianya tidak sukar kerana agihan ketika PRU14 sudah boleh dijadikan asas. Hanya kerusi-kerusi dari PPBM dan Warisan sahaja yang perlu diagihkan kepada tiga parti komponen Pakatan Harapan (PH).

2. Pengarah Komunikasi dari ketiga-tiga parti komponen perlu mengadakan sidang media secara bersama dan berkala (setiap dua minggu atau setiap bulan) bagi menjelaskan segala isu-isu politik yang melibatkan kepentingan negara, rakyat, dan PH.

3. Unit Media PH perlu ditubuhkan segera dengan peruntukan yang munasabah bagi menggerakkan dan menyebarkan ‘messagging’ kepada rakyat secara bersepadu.

4. Mesyuarat Majlis Presiden PH perlu lebih fokus di dalam menentukan hala tuju dan pendekatan Pakatan Harapan. Setiap gerakan politik hendaklah diputuskan bersama di dalam Majlis Presiden secara konsensus.

5. Program turun padang atau jerayawara (roadshow) oleh pemimpin ketiga-ketiga parti perlu dibuat lebih kerap dan disesuaikan dengan prosedur operasi standard (SOP) pandemik Covid-19.

Sekiranya perkara-perkara asas ini tidak dapat digerakkan dalam masa yang terdekat, saya fikir rombakan besar-besaran perlu dibuat di peringkat kepimpinan tertinggi ketiga-ketiga parti komponen PH.

Para pemimpin utama PH juga wajar diperingatkan tentang amanah kepimpinan, akauntabiliti, dan kebertanggungjawaban. Harapan dan pengorbanan para pendokong jangan dipersia-siakan.

Buck up or back out!

Anwar dikelilingi golongan pembodek dengan budaya samseng, politik wang - Rafizi

 FMT Reporters

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli meggesa presiden parti, Anwar Ibrahim, supaya waspada terhadap golongan “pembodek” di keliling beliau yang membawa “budaya samseng dan politik menabur duit serta janji.”

Rafizi berkata beliau sudah memberikan peringatan itu kepada Anwar sebelum ini, namun membayangkan kumpulan “pembodek” itu masih belum disisihkan oleh Ketua Pembangkang itu.

“Saya jenis yang tak suka bercakap benda sama berulang-ulang. Kalau dah nasihat itu telah diberi dan nampaknya tidak berkesan, maka biarlah Anwar tanggung sendiri risiko menyimpan jenis-jenis opportunis di keliling beliau,” kata Rafizi dalam facebooknya.

Rafizi tidak menamakan sesiapa tetapi menegaskan Anwar perlu berhati-hati supaya pengkhianatan lalu ke atasnya oleh Azmin Ali tidak berulang.

“Ramai tahu dan sedar ada beberapa kerat yang mengelilingi Anwar adalah opportunis haprak yang membawa budaya berbahaya dalam parti. Mereka membawa budaya gangster dan politik wang menabur duit dan janji,” kata Rafizi dalam facebooknya.

“Anwar perlu pandai pilih orang kelilingnya yang menjadi penjaga tol ke pejabatnya. Dulu pilih Azmin, tengok apa yang jadi. Yang ada sekarang pun dua kali lima,” kata Rafizi.

Azmin, menjadi orang kanan Anwar untuk sekian lama tetapi akhirnya berpaling tadah dengan membawa keluar sejumlah Ahli Parlimen PKR untuk bergabung dengan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin dan menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Rafizi berkata, individu yang kini “menghimpit” Anwar tidak berjuang membebaskan Anwar semasa beliau dipenjarakan, berbeza dengan pengorbanan pemimpin lain yang dipenjarakan.

“(Tetapi) bila (PKR dan Pakatan Harapan) dah menang tahun 2018, berhari-hari dia berkampung di depan Hospital Cheras untuk mula menempel. Tiba-tiba, menjadi pembela parti dan orang paling setia kepada Anwar Ibrahim, sedangkan tindak tanduk mereka boleh menjatuhkan parti dan Anwar,” katanya.

Rafizi berkata “puak pembodek” berkenaan kini mensasar untuk menjatuhkan pemimpin yang lantang bersuara seperti Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir, demi keuntungan diri.

“Sekarang mereka mula pula sasarkan pimpinan seperti Akmal untuk diburukkan supaya mana-mana pimpinan yang boleh ada pandangan bebas dan kekuatan yang boleh mengancam mereka menjadi pembodek tegar; perlu disingkirkan dengan cara ini,” kata Rafizi.

Beliau juga memberi amaran kepada mana-mana individu yang berhasrat menunggang parti demi kekayaan dan kedudukan peribadi supaya tidak mengacaunya.

“Kalau species ini banyak buat kacau, boleh saja saya kacau balik.”

‘Dari Alor Setar’ ke datuk bandar di California

FMT Reporters

Jocelyn Yow yang ‘berdarah’ Malaysia dilantik sebagai datuk bandar Eastvale di California. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Seorang wanita ‘berdarah’ Malaysia Jocelyn Yow, melakar sejarah apabila menjadi wanita termuda dilantik sebagai datuk bandar Eastvale di California, Amerika Syarikat (AS).

Bapa Jocelyn Yow dari Malaysia dan ibunya berasal dari Vietnam berpindah ke Amerika Syarikat pada 1990-an.

Yow, 25, ibu kepada seorang bayi lelaki berusia enam bulan mengakui bangga menjadi orang Malaysia-Vietnam-Cina-Amerika.

“Ayah saya datang ke sini dari Malaysia pada 1980-an untuk melanjutkan pelajaran dan masa depan yang lebih baik.

Jocelyn Yow dilaporkan pernah belajar di Sekolah Keat Hwa di Alor Setar.

“Pada tahun 1996, kami pindah ke Malaysia (Alor Setar, Kedah) ketika datuk ayah saya didiagnos menghidap barah, dan akhirnya saya menghabiskan lebih 10 tahun di sana, yang membolehkan saya belajar lebih banyak mengenai sejarah, warisan dan budaya keluarga kami,” katanya yang memuat naik gambarnya memakai baju kebaya hitam di Instagram.

Sebelum ini, beliau pernah bertugas sebagai pembantu Dewan Perwakilan AS dan juga menjadi wakil daerah di Senat California.