RAYUSA
Sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 bagi Kementerian Komunikasi dan Multmedia Malaysia di Dewan Rakyat pada 10 Disember lalu menarik, dan panas.
Walaupun sudah seminggu berlalu, tetapi masih relevan disebut lagi kerana salah satu perkara yang timbul daripadanya akan berlarutan, dan kekal sebagai sejarah hitam dalam demokrasi/politik negara!
Selain penubuhan J-Kom, perkara yang tercetus dalam perbahasan yang melibatkan menteri berkaitan, Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota-Bersatu) itu ialah pengkhianat.
J-Kom merupakan nama bagi penjenamaan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA). Menurut Saifuddin, peruntukan bagi agensi yang mencetuskan bantahan itu telah dikurangkan dari RM85.5 juta kepada RM40.5 juta.
Dengan nama J-Kom, bererti JASA sudah tidak wujud lagi, dan pengurangan peruntukan bermakna tuntutan pembangkang – Pakatan Harapan (PH) telah dipenuhi.
Begitu yang dikatakan oleh pemimpin kerajaan PerikatanNasional (PN). Walau bagaimanapun, perubahan itu tetap dibantah oleh beberapa Ahli Parlimen PH seperti Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor-AMANAH), Khalid Samad (Shah Alam-AMANAH), Datuk Wira Mahfuz Omar (Pokok Sena-AMANAH), dan Hannah Yeoh (Segambut-DAP).
Ahli-ahli Parlimen PN seperti Datuk Sri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas-Umno), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau-Umno), dan Datuk Sri Bung Moktar Radin (Kinabatangan-Umno) bersungguh-sungguh mempertahan J-Kom, dan Saifuddin.
Nazri mengatakan di samping peruntukan bagi Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menentang Covid-19, kementerian dan agensi lain juga perlu bergerak, dan kerana itu memerlukan dana. Masalah negara sekarang, katanya, bukan wabak pandemik sahaja.
Shahidan pula mendakwa kerajaan PH kejam kerana memecat para pekerja menerusi pemansuhan JASA. Lebih zalim, tambahnya, apabila PH membantah pula pemberian semula kerja menerusi penubuhan J-Kom.
Hannah menegaskan ketika ekonomi negara tenat, peruntukan RM40.5 juta itu lebih wajar diberikan kepada agensi sedia ada dengan tujuan penambahbaikan. Tidak timbul soal menolak usaha memberikan semula pekerjaan.
Khalid juga lantang membidas Shahidan yang sibuk dengan isu pegawai kerajaan hilang pekerjaan. Katanya, kehilangan tersebut kerana mereka diberikan jawatan dead end, iaitu hanya tahu membuat kerja-kerja mengampu kerajaan Barisan Nasional sahaja (cybertrooper).
Apabila JASA dimansuhkan, mantan kakitangannya yang menjadi propagandis terkapai-kapai buntu menganggur. Setelah PN berkuasa, tugas membazirkan wang negara mereka itu mahu disambung.
Daripada memberi gaji lumayan kepada para ‘pencacai’, tegas Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH, lebih baik dana diperuntukkan buat memperkukuh agensi lain, ataupun yang kehilangan pekerjaan itu diserap dengan jawatan baharu. Latihan boleh diberikan kepada mereka sambil bekerja.
Bung Moktar menyetujui Nazri apabila mengatakan kerajaan PN prihatin dengan nasib rakyat dalam soal kebajikan asas (makanan). Itu, kata beliau, tiada pada kerajaan PH hingga membawa kepada kejatuhannya.
Ternyata Moktar lupa atau sengaja lupa bahawa kerajaan PH jatuh bukan kerana kalah pilihan raya, tetapi disebabkan oleh pengkhianatan. Ketika itulah perkataan khianat mula terdengar apabila disebut oleh Khalid.
Selepas itu, Dewan Rakyat mula panas apabila RSN Rayer (Jelutong-DAP) bangun mencelah mengatakan Saifuddin lupa beliau sendiri menteri Kabinet kerajaan PH, dan telah mengkhianati rakan-rakan dalam kerajaan.
Rayer tidak puas hati kerana Saifuddin menyebutkan kerajaan PH zalim apabila membuang ramai pekerja dengan membubarkan JASA. Apabila dipanggil sebagai menteri tidak berguna, tidak tahu malu, dan pengkhianat oleh Rayer, Saifuddin mengatakan perkara itu tidak relevan kerana yang sedang dibahaskan ialah J-Kom.
Mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo (Puchong-DAP) turut menempelak Saifuddin sebagai mudah lupa.
Saifuddin dianggap tidak mengenang budi kerajaan PH. Sebagaimana kata Gobind, Saifuddin melompat dari Umno ke PKR, kemudian kini Bersatu.
Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai-AMANAH) agak panjang lebar serta berhemah menyindir Saifuddin.
Walaupun bersetuju dengan Saifuddin kerana menyebutkan maksud firman Allah SWT yang antara lain kita (umat Islam) akan mendapat balasan pahala atas kebaikan yang dilakukan, tetapi beliau turut mengingatkan Saifuddin atas pengkhianatannya.
Tambah Timbalan Presiden AMANAH itu, jika Saifuddin mengatakan PH lemah, sebenarnya diri beliau yang lebih sedemikian.
Kedengaran beberapa suara dari sebelah PN meminta perkataan pengkhianat tidak disebut di Dewan Rakyat. Mereka mengatakan Rayer biadab, dan celupar.
Shahidan malah sanggup bertikam lidah dengan Rayer hingga menggelarnya penyamun tarbus, dan terpaksa diredakan oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Mohd Rashid Hasnon.
Mengapa perkataan ‘pengkhianat’ tidak boleh disebut di Dewan Rakyat? Ia perkataan yang tidak lucah, dan para pengkhianat telah pun (lama) berada di dewan yang mulia itu.
Di samping Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh-Bersatu) yang juga Perdana Menteri dan Saifuddin, pengkhianat PH yang lain ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak-Bersatu-Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Panglima Hamzah Zainuddin Hamzah Zainuddin (Larut-Bersatu-Menteri Dalam Negeri), Dr Mohd Radzi Md Jidin (Menteri Pendidikan), Zuraidah Kamaruddin (Ampang-Bersatu-Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Alor Gajah-Bersatu/-Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas)), Datuk Seri Rina Mohd Harun (Titiwangsa-Bersatu-Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat), Dato’ Sri Mustapha Mohamed (Jeli-Bersatu-Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Ekonomi), dan Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak-Bersatu-Timbalan Menteri Luar).
Mengapa memarahi perkataan pengkhianat? Sepatutnya mereka gembira kerana disebabkan oleh pengkhianatan, ada yang kembali menjadi atau kekal sebagai menteri penuh/timbalan menteri, dan dilantik atau dinaikkan sebagai menteri penuh (walaupun dipanggil Kabinet kerajaan ‘tebuk atap’/‘pintu belakang’).
Antaranya, ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sembrong-Umno-Menteri Luar), Khairy Jamaluddin (Rembau-Umno-Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong-PBB-Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Mustapha atau Tok Pa, dan beberapa orang lagi.
Sementara Azmin, Zuraidah, Redzuan, Rina, dan Saifuddin sendiri kekal sebagai menteri penuh walaupun kerajaan sudah berubah.
Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian-Pas) dan Hamzah diangkat sebagai menteri penuh (Tuan Ibrahim sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air).
Ketika Kamaruddin kekal sebagai timbalan menteri, Radzi naik pangkat sebagai menteri penuh walaupun hanya Senator.
Saifuddin kini sama seperti Azmin yang menyelar PH (diri sendiri) ketika mengaitkan dengan isu Covid-19, tanpa menyedari (ingat) beliau pernah menjadi sebahagian daripada PH.
Dalam satu majlis politik beberapa bulan lalu, Azmin mengatakan PH gagal membela rakyat, malah jika ada rakyat yang mati, katanya, bukan mati kerana Covid-19 tetapi disebabkan oleh PH!
Menariknya, Saifuddin turut menghadiri majlis tersebut.