Hanya RM180 seorang upah lakon iklan judi raya

FMT Reporters

Terdahulu, sebuah iklan mempromosikan aktiviti perjudian yang menggunakan lagu Aidilfitri sebagai muzik latar, mengundang kecaman netizen kerana menyinggung sensitiviti umat Islam.

PETALING JAYA: Barisan pelakon yang terbabit dalam pembikinan video iklan bertema raya mempromosi judi dalam talian yang tular di media sosial semalam, hanya dibayar upah sebanyak RM180 seorang.

Ini dimaklumkan oleh individu (pelakon) yang ditahan semalam, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah.

“Melihat kepada kedua-dua video yang tular, individu yang bertindak sebagai pelakon merupakan individu yang berbeza, namun kita percaya mereka saling mengenali antara satu sama lain,” kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini, seperti dilaporkan Kosmo! Online.

Zainal berkata, seramai sembilan orang telah ditahan, iaitu lapan orang semalam manakala seorang lagi diberkas hari ini.

“Lapan individu, terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita, iaitu produser/pengarah video, pelakon, ejen artis, juruvideo atau kamera berjaya diberkas semalam.

“Bagaimanapun, enam daripadanya, iaitu lima pelakon dan produser video, dibebaskan selepas permohonan polis untuk menahan reman mereka ditolak hari ini oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur,” kata beliau.

Dua lagi individu yang ditahan diteruskan reman bermula hari ini hingga Rabu depan, tambah beliau.

Terdahulu, sebuah iklan mempromosikan aktiviti perjudian yang menggunakan lagu Aidilfitri sebagai muzik latar, mengundang kecaman netizen kerana menyinggung sensitiviti umat Islam.

Iklan selama dua minit yang dikeluarkan syarikat judi, GDBet333, itu turut dikecam kerana menggunakan pelakon dipercayai beragama Islam dan mengajak orang ramai meraih wang berganda menggunakan perkhidmatan syarikat itu bagi mencari dana untuk berhari raya.

'Saya hanya ikut apa ditetapkan' - Pelakon iklan judi

Syafil Syazwan Jefri

Pelakon iklan, dikenali sebagai Saiful.

Pelakon iklan, dikenali sebagai Saiful.

Kuala Lumpur: Pelakon iklan dikenali sebagai Saiful yang terbabit dalam iklan judi dalam talian menjelaskan dia pada awalnya ditawarkan untuk membintangi video muzik lagu hari raya.

Bagaimanapun, dia bersama lima rakan lain yang turut membintangi iklan itu mula berasa sangsi apabila diminta menyanyi mengikut lirik disediakan.  

"Ini pertama kali saya mendapat tawaran untuk berlakon dalam video muzik. Pada peringkat awal, saya terima tawaran untuk membintangi video muzik hari raya. 

"Ada benda yang tak jelas di situ kerana sebelum saya masuk ke lokasi penggambaran pada 13 Mac, saya difahamkan bahawa saya adalah watak sampingan. Namun, pengarah sendiri datang berjumpa saya dan maklumkan bahawa saya watak utama.

"Ketika di lokasi, saya sudah selesaikan 70 peratus babak saya. Kami kemudiannya diminta menyanyi lagu dan diberi lirik. Tapi, liriknya ditulis, diletak di sebelah kamera dan kami hanya 'lip sync'. Apabila sudah bermula, kami rasa ada perkara yang tak kena dan akan beri impak kepada negara kita.

"Kami cuba menjadi profesional. Takkanlah sudah 70 peratus proses berjalan, kami nak hentikan pihak produksi. Jadi, kami 'follow the flow'," katanya.

Saiful menerusi video yang disiarkan dalam sebuah portal berita turut meminta maat atas kekhilafan yang berlaku.

"Paling teruk adalah, apabila kami diminta menyebut nama jenama itu dan mengucapkan ucapan selamat hari raya. Kami berasa sangat tak puas hati dan sangat teruk.

"Saya rasa sangat bersalah. Saya nak minta maaf sebab tak meneliti tawaran itu. Ini adalah kesilapan terbesar saya.

"Saya tak ada tanda tangan apa-apa kontrak. Saya terima tawaran ini kerana dimaklumkan sebagai video muzik.

"Pihak polis sedang mengesan pelakon dan produksi untuk menyiasat mengenai perkara ini. Saya dan rakan-rakan saya ingin tampil ke hadapan dan ingin memberi penjelasan mengenai perkara ini," katanya.

Iklan hari raya syarikat perjudian itu dilihat sebagai satu bentuk penghinaan terhadap umat Islam kerana perayaan adalah hari kemenangan buat umat Islam selepas menyambut bulan Ramadan.

Isu itu menjadi bualan ramai di pelbagai platform media sosial dan mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk penggiat seni.

Musuh Islam, kafir harbi dan teks khutbah

TAUFEK YAHYA

“Marilah kita bersama-sama merebut peluang (beribadah di bulan Ramadan) ini dengan mempertingkatkan amal ibadah serta mengukuhkan penyatuan umat Islam khususnya dalam politik. Semoga kita dapat mengekalkan kuasa pemerintahan negeri dan negara ini di bawah pemerintahan Melayu Islam dan Raja Berperlembagaan. Ingatlah pengajaran yang berlaku sebelum ini, bangsa dan agama kita dihina kerana kuasa pemerintahan berada di bawah musuh Islam …”

Petikan teks di atas bukanlah ucapan politik pemimpin Umno dan Pas menjelang Ramadan. Ia juga tidak diucapkan di program-program parti di mana-mana himpunan politik dalam negara ini. Apa yang memeranjatkan, perenggan ucapan di atas dipetik daripada teks khutbah sebuah negeri di Semenanjung yang ditadbir BN.

Negeri itu satu-satunya negeri yang kekal ditadbir Perikatan/BN sejak sebelum merdeka (1955-sekarang). Negeri majoriti Melayu itu juga punya seorang mufti yang cenderung berpolitik. Kecenderungan politiknya amat menyerlah sehingga ke peringkat melabelkan DAP sebagai ‘kafir harbi’ – gelaran yang hanya terpakai kepada orang bukan Islam yang memusuhi negara Islam.

Ulama terkemuka dunia, Dr Yusuf al-Qaradawi (al-Qaradawi, Fiqh al-Jihad, Kaherah: Maktabah Wahbah, ms 888-908) menyimpulkan bahawa keseluruhan negara umat Islam yang wujud pada hari ini adalah dar al-Islam ataupun negara Islam termasuklah Malaysia.

Sementara semua negara bukan dar al-Islam yang berada di bawah Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah dar al-‘Ahd (negara yang mempunyai perjanjian damai dengan negara Islam) termasuklah Amerika.

Satu-satunya negara yang dikategori sebagai dar al-Harb (negara musuh Islam) pada masa ini adalah Israel disebabkan permusuhan yang zahir dan berterusan dengan umat Islam.

Warga bukan Islam yang hidup dalam masyarakat Muslim ataupun bawah dar al-Islam (negara Islam) dengan taraf kewarganegaraan disebut sebagai ahl-zimmah (zimmi). Sehubungan itu, tidak ada rakyat negara ini yang layak dipanggil ‘kafir harbi’ mengikut pandangan Sheikh Yusuf al-Qaradawi. Maka pastinya pandangan mufti itu yang secara semberono menggelarkan ahli parti DAP sebagai ‘kafir harbi’ tertolak apatah lagi DAP juga punyai ahli dan pemimpin beragama Islam.

Kita tinggalkan dulu soal kafir harbi dan teks khutbah Jumaat di atas.

Bernama pada 17 April lalu melaporkan bahawa lima lelaki dan tiga wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam penggambaran sebuah video yang mempromosikan perjudian secara dalam talian. Video lakonan pelakon Melayu-Islam itu tular di media sosial sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai.

Semua individu yang ditahan dipercayai terlibat sebagai pelakon, ejen artis, juruvideo, jurukamera, produser, pengarah.

“Semua mereka mengaku menerima bayaran bagi pembikinan video itu yang diadakan di dua lokasi iaitu Ampang dan Hulu Langat, Selangor pada 13 Mac lepas. Usaha mengesan dalang sebenar di sebalik pembikinan video berkenaan masih diteruskan,” kata Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.

Semua suspek direman dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Menurut Acryl, pihaknya juga maklum dengan penyebaran sebuah lagi video bertemakan Hari Raya yang turut mempromosikan perjudian dalam talian.

Syabas diucapkan kepada pihak polis kerana pantas membanteras aktiviti tersebut apatah lagi apabila ianya menyentuh sensitiviti umat Islam.

Pastinya kita tidak wajar menyalahkan kerajaan dalam insiden ini walaupun jumlah cabutan khas nombor ramalan (judi) telah ditambah dari lapan kepada 22 di era pentadbiran Perikatan Nasional (PN). Namun itulah yang berlaku di era 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH). Banyak isu-isu sensitif membabitkan kaum dan agama dijadikan modal untuk memburuk-burukkan kerajaan. Malah isu seorang transgender yang menunaikan umrah dengan berpakaian wanita (bertelekung) dibebankan kepada menteri agama ketika itu.

Naratif kononnya kerajaan PH dikuasai ‘bukan Islam’ terus dimainkan tanpa jemu walaupun jawatan-jawatan penting kerajaan dan majoriti anggota kabinet adalah Muslim.

Prinsip kebebasan bersuara yang dilaksanakan PH diambil kesempatan oleh golongan desperado ini untuk menggerakkan kempen ‘Islam terancam’ sehingga masjid dan surau juga dijadikan platform bagi menyebarkan kebencian kepada kerajaan.

Bagaimanapun naratif ‘Islam terancam’ itu terus reda dan padam apabila kerajaan bertukar tangan. Tiada lagi kedengaran suara-suara lantang ‘mempertahankan agama dan bangsa’ walaupun isu-isu sensitif yang berlaku di era pentadbiran PH dahulu semakin hebat berlaku di era PN. Ambil sahaja contoh industri judi dan arak yang semakin subur sekarang. Hudud yang dahulunya dijadikan modal politik kini menjadi sesuatu yang tabu (taboo) untuk disebut sehingga dianggap ‘bisikan syaitan’.

Banyak lagi isu membabitkan kaum dan agama yang 22 bulan dahulu didendangkan kini menjadi sepi seribu bahasa. Puncanya kerana kelompok yang dahulunya menjadi teraju utama pembakar sentimen agama dan bangsa sudah menjadi ahli kerajaan dan bercakap dengan bahasa ‘pemimpin kerajaan’.

Sehubungan itu, apakah rasionalnya bagi penulis teks khutbah di atas untuk menggelarkan kerajaan terdahulu sebagai ‘musuh Islam’ sedangkan keadaan dan isu yang wujud sekarang lebih teruk berbanding dahulu? Adakah hanya kerana DAP berada dalam kerajaan, maka kerajaan itu dianggap sebagai ‘musuh Islam’ sedangkan banyak parti-parti majoriti bukan Islam juga menganggotai BN dan PN yang kini membentuk kerajaan.

Institusi masjid dan surau perlu dijadikan platform untuk menyatukan ummah, bukan dijadikan medan pemecah belah masyarakat akibat agenda politik kepartian. Peranan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Persekutuan dan negeri perlu dihormati. Titah baginda Raja-raja Melayu agar masjid dan surau bebas dari pengaruh politik kepartian perlu dihormati bukan sahaja oleh rakyat, malah oleh kakitangan majlis dan jabatan agama termasuk yang bertanggung jawab dalam penyediaan teks khutbah.

Jalankan tugas dengan amanah, berintegriti dan bertanggung jawab. Jangan bersifat seperti peribahasa Melayu, “pepat di luar, rencong di dalam”.

Walaupun selepas ambil dua dos vaksin, 40 kakitangan KKM masih dijangkiti COVID-19

MALAYSIA DATELINE

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan seramai 40 kakitangan mereka yang lengkap mengambil dua dos suntikan vaksin dikesan dijangkiti COVID-19.

Kenyataan KKM melalui facebook berkata, daripada jumlah tersebut sembilan kes dijangkiti dalam tempoh lebih dari dua minggu selepas dos kedua.

Manakala menurut KKM 31 kes lagi telah dijangkiti kurang dari dua minggu.

Malaysia memulakan program vaksinasi percuma secara besar-besaran bermula 24 Februari lalu, di mana Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan satu daripada dua dos vaksin Pfizer-BioNTech.

Setakat ini, 571,802 anggota barisan hadapan mendaftar untuk mendapatkan pelalian itu dengan 57.3 peratus adalah petugas sektor perubatan dan kesihatan, sementara baki 42.7 peratus anggota sektor keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Penjara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Malaysia memperoleh 66.7 juta dos vaksin COVID-19 melalui Fasiliti COVAX daripada lima pengeluar. Vaksin berkenaan ialah Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBIO dan Sputnik V.

8 ditahan berikutan pembikinan video judi dalam talian bertema Hari Raya

FMT Reporters

pETALING JAYA: Bukit Aman menahan lapan individu yang disyaki terlibat dalam video promosi judi atas talian bertemakan Aidilfitri yang tular di media sosial baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima 38 laporan berkaitan video berkenaan yang membawa kepada penahanan lima lelaki dan tiga wanita disyaki sebagai pelakon, ejen, artis, juruvideo/kamera serta produser/pengarah video promosi tersebut.

Semua suspek akan direman bagi siasatan lanjut.

Dalam satu kenyataan beliau berkata, semua individu yang ditangkap mengaku menerima bayaran bagi pembikinan video tersebut yang diadakan di dua lokasi di Ampang dan Hulu Langat pada 13 Mac 2021.

Semua lapan individu berkenaan ditahan di bawah seksyen 504 Kanun Keseksaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Acryl Sani berkata usaha mengesan dalang sebenar disebalik pembikinan video tersebut masih diteruskan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana siasatan masih dijalankan dan mereka yang mempunyai sebarang makluat boleh menyalurkannya kepada pihak polis,” katanya.

Semalam, beliau berkata, kandungan video yang tersebar di media sosial itu didapati jelas melanggar undang-undang dan boleh menyebabkan gangguan kepada orang ramai.

#KerajaanGagal kini paling tular di kalangan pengguna media sosial

BORHAN AHMAD

Tanda pagar #KerajaanGagal menjadi tular sejak kebelakangan ini apabila pelbagai kegagalan ditunjukkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas mengambil alih kerajaan melalui Langkah Sheraton awal tahun lalu.

Tanda pagar ini digunakan oleh pelbagai pihak terutama ketika mereka berkicau dalam media sosial Twitter.

Menurut laporan, sehingga kini hampir 150,000 pengguna akaun Twitter telah menggunakan #KerajaanGagal sekarang.

“Dengar hashtag ini paling hangat sekarang #KerajaanGagal,” tulis Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melalui Twitter beliau.

Namun, seluruh jentera penerangan kerajaan PN, Bersatu dan Pas telah dikerah untuk menyerang bekas Menteri Kewangan itu dengan pelbagai dakwaan dan serangan.

Selain Guan Eng, turut menggunakan #KerajaanGagal adalah Syed Sadiq Abdul Rahman, ahli Parlimen Muar yang juga pengasas parti Muda.

Pengguna Twitter Zoey@itszoeymkay berkata, ada enam sebab yang boleh beliau senaraikan kenapa dinamakan Kerajaan Perikatan Nasional sebagai Kerajaan Gagal.

Ia adalah teruk mengendalikan Covid-19, proses vaksinasi yang sangat perlahan, darurat, tak cukup duit tetapi gagal untuk potong gaji sendiri, doktor air suam dan boleh dikatakan semua menterinya adalah pelawak (clowns).

KNB@nizambakeri menulis, “Menurut anggaran Bloomberg, dengan kadar vaksinasi 26,523 dos sehari, Malaysia hanya akan dapat melengkapkan vaksinasi kepada 75 peratus populasi selepas 4.5 tahun. #KerajaanGagal.”

Perlantikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baru dari kalangan mereka yang hilang wang pertaruhan ketika pilihan raya juga menjadi sasaran sehingga PN dilebelkan sebagai Kerajaan Gagal.

“Steady Timbalan Menteri kita yang baru! Bak kata orang puteh ‘the more teh merrier, afterall its taxpayers monies, innit?” tulis Syahredzan Johan melalui Twitternya yang menyindir ramainya menteri kerajaan PN ini.

“Inilah muka-muka yang menghabiskan duit rakyat dan tidak berguna langsung!” tulis Zack Rockstar menerusi Twitter beliau sambil memaparkan menteri-menteri Kabinet yang sangat ramai itu.

Iklan judi raya: Sudah jadi kerajaan Pas masih gagal pertahankan Islam

MALAYSIA DATELINE

Setelah kerajaan Perikatan Nasional yang dianggotai Pas menaikkan kembali jumlah cabutan nombor ekor dari 8 kali kepada 22 kali, umat Islam di Malaysia kini berdepan penghinaan dengan kewujudan satu video iklan raya yang mempromosikan permainan judi atas talian.

Ketua Pemuda AMANAH Terengganu Zamir Ghazali berkata, iklan promo tersebut sangat melukakan dan benar-benar merupakan ancaman kepada Islam di tanah air.

Menurutnya, mesejnya tepat mengajak berjudi, persenda kemuliaan Bulan Ramadhan dan 1 Syawal, mempamer budaya hendonisme pergaulan bebas serta tidak menutup aurat.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pas, Ahmad Marzuk Shaary pernah menggesa kerajaan Pakatan Harapan haramkan judi yang ‘dihalalkan’ oleh kerajaan, khasnya Kasino Genting, Magnum, Sports Toto dan Da Ma Cai.

“Suara PAS sangat garang ketika itu.

“Malangnya, sehingga kini setelah Marzuk menjadi Timbalan Menteri Agama, jumlah cabutan nombor ekor ditambah semula kepada 22 kali, dan kini wujud pula iklan judi raya secara terbuka.

“Jika ini bukan Islam terancam, maka apa lagi mahu disebut,” kata beliau.

Jelasnya, ini menunjukkan Pas gagal sebagai sebuah parti yang mempertahankan Islam walaupun menjadi sebahagian dari kerajaan.

Beliau mempersoalkan sama ada keberadaan Pas dalam kerajaan hanya sebagai tukang angguk yang mendapat jawatan dan kekayaan hasil kerajaan tebuk atap.

“Hilang sudah prinsip menolak judi secara tegas, bahkan turut bersekongkol dengan kerajaan yang menghalalkan judi?” soalnya lagi.

Katanya, rakyat muak dan penat melihat agamawan yang menjadi Menteri dan Timbalan Menteri seolah-olah membisu terhadap isu ‘ancaman Islam’ yang dulunya dilaungkan mereka bagai disampuk iblis dan diserang histeria.

“Letak jawatan adalah jalan terbaik. Dan kami mendesak seluruh pimpinan Pas dalam pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional ini khususnya dalam Kementerian Agama agar letak jawatan,” katanya.

Tular mengenai sebuah klip video berkisarkan mengenai sebuah syarikat perjudian online BET333 yang telah menggunakan unsur kegamaan iaitu Hari Raya Aidilfitri sebagai unsur muzik video bagi mempromosikan aktiviti perjudian online dalam video tersebut.

Sekaligus mengundang kemarahan umat Islam ketika mereka sedang berlumba-lumba membuat ibadah ketika bulan yang mulia ini, Ramadan.

Inilah kerajaan paling gila

ZULHAZMI SHARIF

Perdana Menteri Malaysia dalam kenyataan rasmi yang dimuatnaik di laman facebook mengguna nama Muhyiddin Yaasin memaklumkan bahawa “selaras dengan Fasal (1) Perkara 43A Perlembagaan Persekutuan, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan perlantikan YB Senator Datuk Guan Dee Bin Koh Hoi sebagai Timbalan Menteri Persekutuan”

Seterusnya dimaklumkan bahawa beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan.

Ini kerja gila lagi tidak munasabah yang dilakukan oleh Perdana Menteri yang turut mengheret Ke Bawah Duli Tuanku.

Alasan :

1) Perlantikan dibuat semestinya atas nasihat Perdana Menteri kerana Perkara 43A Fasal 1 berbunyi :

“(1) Yang di-Pertuan Agong boleh atas nasihat Perdana Menteri melantik Timbalan-Timbalan Menteri daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen; tetapi jika sesuatu pelantikan dibuat semasa Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan rakyat yang lepas boleh dilantik tetapi tidaklah boleh memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan jika dia ialah ahli sama ada bagi Dewan rakyat atau Dewan Negara”

Ironinya Perdana Menteri menggunakan Perkara 43A (1) dalam menasihati Ke Bawah Duli Tuanku untuk melantik seorang Timbalan Menteri tetapi Perdana Menteri sendiri tertakluk kepada Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi :

“(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan jemaah Menteri seorang ahli Dewan rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan rakyat itu;

Persoalannya sekarang, di ketika ini, adakah Perdana Menteri masih mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat?

Semua maklum kedudukan Perdana Menteri sekarang dengan penarikan sokongan oleh beberapa Ahli Dewan Rakyat seperti Gua Musang, Padang Rengas dan Machang. Sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat terhadap Perdana Menteri tidak pernah dibuktikan dan diabsahkan di mana-mana pada bila-bila masa.

Ya… satu kelebihan yang ada pada Perdana Menteri ialah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang digubal dan diisytiharkan kononnya atas keperluan membendung pandemik covid19 tetapi dalam masa yang sama mempertahankan kuasa sedia ada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri walau pun tiada sokongan majoriti.

Apa yang ajaibnya, kenapa perlantikan Timbalan Menteri Baru boleh terus menggunakan peruntukkan Perkara 43A sedangkan peruntukkan Perkara 43 yang lebih penting tidak diendahkan.

Inilah Kerajaan yang ada sekarang. Ikut suka dia asalkan terus berkuasa.

2) Perdana Menteri dalam 2-3 hari lalu menyatakan bahawa Kerajaan sekarang sudah tidak banyak wang. Tahniah.

Tahniah kerana Kerajaan banyak membelanjakan wang katanya untuk kebajikan rakyat. Katanya tetapi apa hasilnya?

Tidak tahu apa hasil bantuan kerajaan kepada rakyat. Adakah bantuan itu benar-benar membantu atau sekadar membelanja wang hanya atas terpaksa.

Jika kerajaan sudah tidak banyak wang, apa tindakan Kerajaan? Berjimat dan cari wang atau terus belanja dan harap wang datang sendiri?

Tindakan melantik seorang Timbalan Menteri yang baru bukan tindakan bijak dan berhemah.

Kerajaan PH sebelum ini mengecilkan jumlah anggota Jemaah Menteri dan Timbalan tetapi Kerajaan khianat ini menambah bilangan hingga ada antara mereka langsung tidak dikenali rakyat.

Boleh buat kajian lapangan untuk dapatkan daripada rakyat berapa ramai yang tahu siapa menteri dan timbalan menteri yang ada sekarang.

Jika nama menteri dan timbalan tidak dikenali, adakah kerja mereka diketahui rakyat? Lebih dari itu adakah benar mereka bekerja untuk rakyat?

Jika ada Timbalan Menteri boleh bercuti ke luar negara dengan kelulusan Perdana Menteri selama 55 hari, apa keperluan lantikan baru ini? Tidakkah ini menambah “pay roll” Kerajaan yang sewajarnya digunakan untuk perkara lain?

Gila apa ini? Sampai bila hendak menggila begini?

Belum terima suntikan tetapi warga emas 80 tahun disenarai telah divaksin

Ainaa Aiman

PETALING JAYA: Seorang bekas jururawat kerajaan berusia 80 tahun, disenaraikan sebagai individu telah divaksin, walaupun dia sebenarnya sedang menunggu temujanji vaksinasi, kata anak perempuannya.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Gill itu berkata, ibunya mendaftar untuk program vaksinasi pada 25 Februari, dan sedang menunggu notifikasi untuk divaksin.

Katanya, ketika dia memeriksa aplikasi MySejahtera ibunya hari ini, aplikasi itu memaklumkan sudah mengeluarkan sijil vaksinasi digital kepada ibunya dan menandakan ibunya sudah menerima kedua-dua dos vaksin.

“Ibu saya tidak pernah divaksin. Rakan memberitahu saya supaya memeriksa butiran lanjut di laman web www.vaksincovid.gov.my. Laman itu memberitahu pendaftaran sedang diproses,” katanya kepada FMT.

Dia berkata, beberapa bekas rakan sekerjanya dalam media yang mempunyai ibu bapa berusia lebih 80 tahun juga memaklumkan mereka sedang menunggu notifikasi tarikh temu janji vaksiniasi ibu bapa mereka.

“Saya ingin tahu apa yang sedang berlaku dan mengapa ibu saya diketepikan. Ini sangat mengecewakan kerana ibu saya pernah bertugas sebagai jururawat kerajaan selama 30 tahun,” tambahnya.

Mereka akan menghubungi pejabat kesihatan daerah Isnin ini.

Katanya, ibunya kini menderita sakit kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi. Tambahnya lagi, ada banyak persoalan yang berlegar sama ada mereka yang berpenyakit perlu meneruskan ubatan yang diambil ketika ini atau sebaliknya.

“Dengan siapa kita perlu tanya?” katanya. Gill berkata ketika ini terlalu banyak “ketidakpastian.”.

FMT sedang menunggu maklum balas dari kementerian kesihatan berhubung perkara itu.

Data rasmi kerajaan menunjukkan, 1.08 juta dos vaksin sudah diberikan sejak program imunisasi bermula dengan lebih 400,000 sudah divaksinasi sepenuhnya.

Suami gadai nyawa terjun Jambatan P Pinang selamatkan isteri

FMT Reporters

Polis marin membawa pasangan itu dalam bot mereka selepas diselamatkan.

PETALING JAYA: Seorang lelaki sanggup menggadai nyawa untuk menyelamatkan isterinya selepas wanita itu jatuh ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang.

Kejadian dipercayai berlaku selepas pertengkaran antara mereka berdua, dengan anak lelaki pasangan terbabit dilaporkan menahan pemandu kereta lain meminta bantuan.

Pegawai Bomba Kanan (PBK) II dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Mohd Azizul Alim berkata, dalam kejadian kira-kira 4.30 petang tadi, pihaknya mendapati mangsa telah diselamatkan oleh suaminya sebelum jentera bomba tiba.

Wanita itu dibantu anggota bomba selepas diselamatkan.

Berdasarkan laporan, pasukan bomba berjaya memujuk mangsa yang mengancam membunuh diri serta menenangkannya sebelum dibawa ke tempat selamat.

“Anggota bomba turun ke bawah dengan menggunakan kaedah ‘rappelling’ untuk memujuk dan menenangkan mangsa.

“Mangsa dan suaminya dibawa ke Jeti Batu Uban menggunakan bot nelayan dengan iringan pihak polis marin,” kata Azizul dalam kenyataan.

Kanak-kanak dipercayai anak pasangan berkenaan menahan pemandu lain untuk meminta bantuan selepas ibu bapanya terjun dari jambatan itu.

Tambah beliau, operasi yang dijalankan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai itu tamat sepenuhnya pukul 6.18 petang tadi dan mangsa difahamkan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, tular di media sosial berkenaan seorang kanak-kanak yang menahan pemandu di Jambatan Pulau Pinang untuk memohon bantuan selepas mendakwa ibu dan bapanya terjun ke laut. Orang awam kemudian menghubungi talian kecemasan.


Mereka yang merasa tertekan, atau mempunyai masalah emosi boleh meminta bantuan doktor atau menghubungi sukarelawan terlatih di Befrienders di talian 03-7627 2929, pada bila-bila masa, atau melalui e-mel admin@befrienders.org.my.

Pensyarah UUM dikecam, jadikan bantuan isu perkauman

MALAYSIA DATELINE

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini dikecam netizen kerana menyifatkan isu bantuan yang diberikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam (DAP) Stevan Sim kepada rider Foodpanda, isu perkauman.

Dr Kamarul Yusoff dalam hantaran di Facebooknya membuat perbandingan antara pemberian bantuan Ahli Parlimen Pendang (Pas) Datuk Awang Hashim dengan Steven Sim yang sama-sama menghulurkan bantuan kepada pekerja Foodpanda.

Katanya, kedua-dua Ahli Parlimen yang memberikan bantuan tiada beza dari segi nilai bantuan, dan latar belakang penerima bantuan.

“Yang berbeza ialah pemberi bantuan, satu Melayu Islam, tetapi satu lagi Cina Kristian,” katanya.

Tambah beliau, yang membezakan juga ialah Ahli Parlimen Pas hanya dinyatakan secara ringkas fakta kejadian beserta gambar rasmi pemberian bantuan.

Sebaliknya, kata beliau, Steven Sim menceritakan panjang lebar dengan menggunakan ayat-ayat yang dimaksudkan untuk mencetuskan emosi, dikaitkan dengan Ramadan dan disertakan dengan gambar-gambar terperinci yang sengaja dirancang dari awal untuk tujuan publisiti.

Berikutan kenyataan pensyarah UUM itu, netizen meninggalkan komen-komen mengecam beliau antaranya;

“Prof ke ni? Bunyi posting ni sangat defensif bila publisiti YB yang awak banggakan tu tak menjadi. Posting dia jadi geli bila disuruh orang lain buat kerja, dia datang untuk serahan saja. Posting YB Cina tu melihatkan dia sendiri bawa pemuda tu membeli motor. Nampak bezanya? Jadilah muslim yang lebih baik.. Bukan berbaur dengki,” tulis Amiruddin Karim.

“Sembang pejuang melayu Islam.. racist sungguh.. sangat-sangat memalukan orang Islam,” kata Dzu Ra.

“Tidak perlu nak bandingkan…tidak kira lah siapa yang memberi bantuan…tak payah nak politikan benda-benda macam ni…yang baik kita terima….yang tidak elok kita bakang…Harap-harap banyak lagi YB-YB yang turun padang hulurkan bantuan kepada yang memerlukan,” komen Awemito Awemito.

“Tak. Sekarang ni engkau tak puas hati yang Melayu tu tidak viral macam Cina tu ke apa? Dua-dua beri bantuan. Kalau ikhlas, tutup mulut. Nak banding-banding buat apa?

“Soal bantuan nak bagi pada siapa-siapa pun biarlah. Dah nama pun bagi bantuan. Bukan dia mencuri. Soal Cina post panjang-panjang yang Melayu post ringkas, itu pun jadi isu ke? Macam point awal-awal tadi, nawaitu kita post di social media untuk apa? Untuk orang tahu kan? Posting tu panjang ke, pendek ke, tetap nak suruh orang tahu. Lepas itu tidak viral, main sentimen kaum, agama,” komen Ayden Aliff.

Menurut Kamarul, cerita Cina Kristian memberi bantuan kepada pekerja Food Panda Melayu Islam yang sengaja mahu disensasikan ini segera viral dengan mendapat lebih 29,000 shares.

“Serta dilapor oleh pelbagai portal seperti Malaysia Kini, Malaysia Date Line, Malaysia Post, Sinar Harian, Siakap Keli, World of Buzz dan sebagainya.

“Manakala cerita Melayu Islam memberi bantuan sama kepada pekerja Food Panda Melayu Islam pula tidak viral dengan hanya beroleh tidak sampai 500 shares serta hanya dilapor oleh media parti Melayu Islam itu sahaja.

“Maka dipuja-pujilah Cina Kristian itu kerana budi baiknya itu walhal ini semua adalah perancangan untuk publisiti bagi memenuhi agenda tertentu sahaja.

“Bukannya tidak ada Cina Kristian atau Cina lain yang hidup melarat, malah ramai, tetapi mengapa Melayu Islam yang dipilih untuk disensasikan ceritanya?

“Bukannya tidak ada Melayu Islam yang boleh membantu Melayu Islam yang hidup melarat jika diketahui tetapi mengapa Cina Kristian yang dipilih untuk mengadu? Sama-samalah kita fikir dan renungkan,” katanya.

Steven Sim sebelum ini pernah menolong ibu tunggal yang dihalau keluar keluar rumah kerana tidak membayar sewa kemudian beliau pula menolong seorang gelandangan India mendapatkan pekerjaan dan tempat tinggal, terkini beliau membelikan sebuah motosikal honda kepada pemuda Melayu Foodpanda.

Pengkhianatan semakin menggila, apa tugas kita

ZULHAZMI SHARIF

Negara tidak akan lupa dan tidak boleh dilupakan bagaimana segolongan Ahli Parlimen mengkhianati undi dalam PRU14 hingga mengakibatkan pakatan yang diundi memenangi pilihanraya terpaksa menjadi pembangkang sejak Mac 2020.

PRU14 pada 9 Mei 2018 telah mencatat sejarah ulung kejatuhan Umno/BN yang pertama kali berlaku sejak Merdeka. Pengundi memilih Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai KeADILan, DAP, Amanah dan PPBM dengan sah menjadi pentadbir negara.

Selama 22 bulan mentadbir sebelum dikhianati Muhyiddin dan kumpulannya, PH telah mula mengubah sistem pentadbiran menjadi lebih baik sehingga perbendaharaan negara yang tenat dek kleptokrak 1MDB dan konconya mula menunjukkan prestasi membanggakan.

Hutang negara mula dibayar. Pelbagai projek luarbiasa bazir dan rugi dirunding semula memberikan faedah kepada negara serta rakyat.

Hasilnya tidak sempat dibelanjakan secara baik dan berhemah oleh PH tetapi diborosi oleh Perikatan Khianat dengan sokongan kleptokrat.

Bermula Mac 2020 Pakatan Khianat mentadbir, negara mula dilanda pandemik covid19 seperti mana dunia turut derita.

Apa yang dilakukan Perikatan Khianat ini semua maklum tetapi samada redha, suka atau malas ambil tahu menyebabkan Perikatan Khianat terus dan semakin menggila.

Tiada nilai tambah dalam Perikatan Khianat ini melainkan menjaga kuasa dan jawatan peribadi. Saiz Kabinet PH yang kecil untuk menjimatkan wang negara dibesarkan oleh Pengkhianat untuk mendapatkan sokongan.

Apabila dilihat sokongan semakin menipis, Darurat dilaksana konon atas niat membendung pandemik. Sejak Januari 2021 darurat diproklamasi sehingga hari ini dalam keadaan Program Imunisasi Kebangsaan berjalan, pandemik covid19 masih tidak mampu dibendung dan dikawal.

Semalam 15 April 2021, kes baru masih di angka ribu atau lebih tepat 2,148 kes dengan 8 kematian.

SOP demi SOP diperintahkan tetapi angkanya tetap tidak menggambarkan akan berlaku penurunan.

Tiba-tiba Perdana Menteri Pakatan Khianat maklumkan negara semakin kurang wang akibat berbelanja untuk rakyat. Lalu dicadangkan kakitangan awam berwakaf.

Kepimpinan melalui teladan. Sewajarnya Perdana Menteri mengecilkan anggota Kabinet untuk menjimatkan bayaran gaji Menteri dan Timbalan Menteri.

Seorang Menteri bergaji bulanan tidak kurang RM50,000 sebulan. Timbalan Menteri bergaji tidak kurang RM30,000 sebulan. Tiada siapa tahu apa yang dilakukan oleh Menteri-Menteri yang ramai dan Timbalan-Timbalan Menteri yang bersusun melainkan cukup bulan dapat gaji.

Menteri Kewangan punyai dua timbalan sebagai contoh. Apa yang timbalan lakukan? Menteri Kesihatan juga punyai dua timbalan, apa tugas mereka?

Menteri Wilayah Persekutuan pula timbalannya boleh bercuti bergaji di luar negara atas kelulusan Perdana Menteri. Apa kerja mereka yang memberikan hak kepada mereka menerima gaji setiap bulan?

Hari ini dilaporkan seorang Ahli Dewan Negara akan mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Pelancongan. Untuk apa? Menteri Pelancongan pun rakyat tidak tahu apa yang beliau lakukan, sekarang Kerajaan menambah timbalan pula! Apa yang Timbalan Menteri nak buat kalau Menteri pun tak tahu apa yang dibuat?

Ahli-Ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara malah Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri seluruh Malaysia masih bergaji bulanan dalam keadaan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak bersidang atas halangan Kerajaan Persekutuan.

Rakyat makin tertekan. Ekonomi makin mendesak. Rakyat ada yang mati semasa mencari rezeki. Semalam seorang remaja penghantar makanan mati setelah dihempap pokok semasa menghantar pesanan.

Menteri Kanan Keselamatan umumkan pula negara kemungkinan akan menghadapi gelombang ketiga. Ehhhh ini apa pula? Negara sedang menjalani vaksinasi, tiba-tiba pandemik akan meningkat. Apakah vaksin yang diperolehi dengan ratusan juta wang negara tidak baik?

Adakah makluman ini hanya helah untuk melanjutkan darurat? Darurat apa kita ini? Menteri, pimpinan bebas ke sana ke sini. Rakyat juga ada yang bebas keluar merata-merata dengan pematuhan SOP. Darurat apa kita?

Pengkhianat-pengkhianat ini akan terus menggila jika dibiarkan berkuasa. Bukan mereka yang khianat ini saja yang akan dihina dan dibenci tetapi yang mempertahan dan merestui mereka juga akan terpalit sama.

Nak bagaimana lagi kita??

Bangkitlah, sedarlah, bersama-samalah kita nyahkan pengkhianat demi negara.

Tamatkan DARURAT, Selamatkan Malaysia.

Dengan penuh tanggungjawab menulis.

PM tidak ada niat jahat

 Zaid Ibrahim

Perdana Menteri berkata, dia tidak ada niat jahat dalam menggunakan darurat untuk mentadbir negara Malaysia. Saya percaya Perdana Menteri tidak ada niat jahat sedikit pun. Kebanyakan ketua negara dan Perdana Menteri di mana pun jarang sekali mengambil satu-satu tindakan dengan niat jahat (lainlah pemimpin gila seperti Pol Pot dan Hitler).

Malah, saya sendiri percaya Najib Razak tidak ada niat jahat dalam menubuh 1MDB dan SRC, cuma orang yang dia percayai seperti Jho Low, Nik Faisal, kakitangan AmBank, Bank Negara, Suboh dan sebagainya mungkin telah gagal menjalankan tugas mereka sehinggakan negara kerugian wang ringgit begitu banyak.

Di Abu Dhabi, saya percaya Raja dan Putera Mahkota tidak merancang untuk menipu syarikat pelaburan negara tersebut, IPIC dan Aabar Investments, sehingga rugi beratus juta dolar dengan penglibatan Abu Dhabi dengan 1MDB. Di sana jelas yang menipu dan penyangak sebenar ialah dua pegawai kanan kerajaan (Kobayashi dan Badawy) yang mencuri wang kerajaan Abu Dhabi. Malangnya di Malaysia, Jho Low, Nik Faisal dan rakan-rakan tidak dapat “dijumpai”.

Balik kepada niat Perdana Menteri, yang penting bukan sahaja niat, tetapi kesan daripada tindakan seseorang Perdana Menteri. Bila Mugabe menghalau dan merampas harta orang kulit putih di Zimbabwe, dia tidak berniat jahat. Dia mahu rakyatnya yang berkulit hitam dapat sebahagian dari harta negara. Tetapi malangnya kesan dari tindakan beliau itu, pelabur lari dan ekonomi hancur sehingga Zimbabwe jadi bankrap.

Begitulah terjadi kepada Stalin, dia bukan ada niat jahat untuk menjadikan rakyat Rusia lapar sehingga berjuta mati melalui dasar pertaniannya. Stalin hanya memaksa semua petani menjual hasil tanaman mereka kepada ‘Koop Kerajaan’ dan tidak di pasar (open market). Kesannya kerana rasuah dan salah guna kuasa semua makanan dihantar ke Moscow dan dijual untuk mengkayakan jentera perang kerajaan. Rakyat Ukraine dan lain-lain mati kebuluran kerana tidak ada makanan yang cukup.

Orang seperti saya yang tidak setuju dengan pelaksanaan darurat juga tidak ada niat jahat bila kita mengkritik. Kita bimbang terhadap kesan bila negara ditadbir dengan cara darurat selalunya banyak kesan negatif akan berlaku. Negara akan rosak dan demokrasi akan luput. Tanpa penglibatan semua pihak, Covid-19 akan jadi lebih sukar untuk dikawal, rasuah, dan salah guna kuasa akan bermaharajalela.

Khalid ke Istana lagi, kali ini akan membawa Tun M dan Anwar

SITI NUR ZAWANI MISCON

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad akan ke Istana Negara sekali lagi pada 20 April depan bagi menghantar surat permohonan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah buat kali kedua.

Ini susulan permohonannya menerusi Jawatankuasa Tamat Darurat pada 26 Mac lalu untuk menghadap Agong masih belum mendapat sebarang maklum balas dari pihak istana.

Bagaimanapun katanya, sesi penyerahan surat permohonan kali ini akan disertai Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad dan ketua parti dari blok pembangkang

“Kali ini, saya dan Jawatankuasa telah menjemput bekas Perdana Menteri Tun Mahathir, Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk bersama-sama ke Istana Negara.

“Apabila mendapat tarikh menghadap, kami semua akan ke Istana Negara bagi mempersembahkan rayuan dan petisyen untuk merayu kepada Tuanku bagi memperkenankan agar darurat ditamatkan.

“Ini kerana jelas terbukti darurat merosakkan ekonomi negara dan tidak diperlukan untuk malawan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 26 Mac lalu, Khalid selaku Pengerusi jawatankuasa tamat darurat telah menyerahkan surat kepada pihak istana untuk memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 9 April.

Beliau berkata, majlis menghadap itu bagi menyampaikan hasrat rakyat kepada Al-Sultan Abdullah supaya darurat dapat ditamatkan segera.

Petisyen yang digerakkan tamatdarurat.com sehingga hari ini mengumpul hampir 20,000 tandatangan rakyat Malaysia yang membantah pengisytiharan darurat.

“Untuk pengetahuan semua, saya dan Jawatankuasa Tamat Darurat telah menghantar surat kepada Istana Negara pada 26 Mac 2021 untuk memohon perkenan Baginda bagi menyerahkan rayuan itu.

“Ketika itu kami memohon tarikh 9 April 2021 atau lain-lain tarikh yang sesuai untuk menghadap Yang Dipertuan Agong bagi menyerahkan petisyen dan rayuan itu.

“Namun sehingga kini, kami belum mendapat sebarang maklum balas dari pihak Istana Negara,” katanya.

Lokman Noor Adam ahli politik pertama ditahan bawah Ordinan Darurat

Raja Noraina Raja Rahim

DATUK Lokman Noor Adam. FOTO ARKIB NSTP

DATUK Lokman Noor Adam. FOTO ARKIB NSTP

Kuala Lumpur: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam menjadi ahli politik pertama ditahan polis di bawah Ordinan Darurat.

Lokman menerusi siaran langsung di Facebook (FB) miliknya, malam tadi mengesahkan mengenai penahanannya itu.

Menurutnya, beliau diarah ke balai polis, semalam, bagi memberikan keterangan berhubung kenyataannya mengenai kematian Allahyarham Asisten Komisioner (ACP) Shariman Saidin, pada 3 April lalu.

"Semalam saya ditahan polis di bawah Ordinan Darurat. Secara rasmi saya orang politik pertama (ditahan bawah) ordinan darurat.

"Hanya kerana saya cuba untuk membela nasib keluarga ACP Shariman yang meninggal dunia disahkan sakit jantung selepas beberapa saat mengambil vaksin kedua," katanya.

Pada 3 April lalu, Shariman, 56, disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pahang, akibat sakit jantung.

Bagaimanapun, tular di media sosial bahawa kematian Allahyarham Shariman dikatakan selepas pengambilan vaksin Covid-19.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan kemudian dilaporkan menafikan dakwaan berkenaan yang tular di media sosial.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, berlaku salah faham berhubung kenyataannya melalui video siaran langsung yang tular di media sosial.

Beliau menafikan membuat kenyataan bahawa punca kematian pegawai kanan polis itu akibat pengambilan vaksin, sebaliknya hanya mahu membantu keluarga itu mendapatkan pampasan sewajarnya.

Katanya, polis sudah mengarahkan beliau memadamkan video kenyataan itu dan jika gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan denda.

Terdahulu, media melaporkan pewartaan ordinan bagi mengekang berita tidak benar berkaitan Covid-19 dan proklamasi darurat yang berkuat kuasa 12 Mac lalu membolehkan polis menahan pesalah tanpa perlu menunggu perintah untuk siasat (OTI) daripada Pejabat Pendakwa Raya (DPPO).

Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No 2) 2021 memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali selain denda tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari kesalahan berterusan selepas sabitan.

Tanpa sokongan Umno-BN, tiada kerajaan PN

ARIF ATAN

Tanpa sokongan ahli Parlimen BN termasuk dari Umno, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh wujud, tegas Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad.

Beliau berpendapat Umno-BN tidak harus berdolak-dalik kerana kerajaan yang wujud pada masa ini bukan semata-mata PN.

“Kerajaan yang ada dengan pelbagai masalah sekarang ini hasil daripada kelemahan pentadbiran dan dasar-dasar PN dan BN.

“Kita mahu Umno dan BN jangan seolah-olah cuci tangan konon tidak terlibat. Walhal, menteri-menteri ramai dari Umno,” katanya menerusi FB Live di Jom Channel hari ini.

Majikan pukul dua pekerja Muslim: Penceroboh Perlembagaan perlu ditentang, diadili

FAZLI RADZI

Rakyat Malaysia harus hidup dalam mempertahankan dua perkara dalam Perlembagaan iaitu Islam agama Persekutuan dan kebebasan beragama, kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

“Sesiapa yang hilang hormat pada dua asas ini adalah penceroboh yang perlu ditentang dan diadili, jika bersalah dikenakan hukuman setimpal.

“Artikel 3 Perlembagaan jelas menyebut Islam agama Persekutuan dan agama lain bebas untuk diamalkan.

“Apakah majikan ini tidak sedar dia hidup di bumi bernama Malaysia? Islam adalah teras tegak berdirinya negara ini, apakah majikan ini masih di alam lain?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan seorang ahli perniagaan berusia 43 tahun menampar dan memukul dua pengawal peribadinya yang berpuasa selain mengacu pistol ke arah mereka.

Mengulas lanjut, Mujahid menegaskan masih terdapat majikan kuno yang hidup pada zaman batu menghalang hak warganegara mengamalkan tuntutan agamanya selain diburukkan dengan profil kaum yang sudah menjadi budaya di negara ini.

“Sesiapa sahaja yang menghalang hak kebebasan beragama perlu memahami juga Artikel 11 yang menjamin hak kebebasan beragama.

“Betapa banyak kes sebelum ini yang dibawa dari pengadu untuk mempertahankan hak ini di mahkamah, malah ada yang menang,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sudah tiba masanya rakyat Malaysia menunjukkan ketegasan terhadap budaya kebencian antara agama jika benar motivasi tertuduh adalah atas kebencian agama.

“Dalam nafas yang sama kita orang Islam harus punya sikap tanpa prejudis jika penganut agama lain diperlakukan perkara yang serupa.

“Yakinlah kehidupan yang aman dan damai antara pelbagai agama dan kaum di dunia terbina atas prinsip keadilan yang sifatnya buta warna.

“Pada waktu yang sama hentikan prejudis sosial dan politik identiti kaum dan agama yang sempit dan destruktif,” tambah Mujahid lagi.

Jauhi puasa sekular!

ISMAIL HASHIM YAHAYA

Suatu aspek yang dikurang disenangi dengan kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini ialah sisi komodifikasi dalam amalan puasa yang dipenuhi dengan ciri kepenggunaan atau konsumerisma totok itu.

Sayangnya, kemuliaan bulan Ramadan sebagai sebahagian daripada konsep ketakwaan kini menjadi persoalan? Dalam usaja meningkatkan kualiti keagamaan kepada diri kita ia telah menjadi instrumen perniagaan komersial yang sangat menggiurkan dan menjadi sekular. Bulan puasa telah dikomersiali menjadi sebahagian daripada aspek kapitalisme di mana keuntungan diutamakan daripada kerohaniannya.

Dalan mengkomersialkan Ramadan ia telah mencabut roh bulan yang mulia itu menjadi peluang bagi mempromosikan barangan dan perkhidmatan. Dalam aspek-aspek yang menghilangkan kemurnian agama, komersialisasi Ramadan yang menyerupai komersialisasi sambutan Krimas yang telah menjadi musim membeli-belah di Barat.

Juadah makanan, pakaian, perabot, kereta dan seumpamanya yang menganuti budaya pengguna hedonistik yang bersifat sekular. Iklan Ramadan memujuk pengguna supaya menikmati makanan dengan lahap di gerai-gerai, hotel-hotel dan restauren-restauren serta berbelanja besar dengan boros ,merupakan suatu pembaziran yang merupakan amalan yang amat dilarang di dalam Islam.

Secara tidak sedar dalam komodifikasi Ramadan dan Aidil Fitri di sjnila berlaku proses sekularisasi melalui berlakulah secara halus iaitu pemisahan antara amalan mulia di bulan puasa yang terbatas di masjid dan surau oleh ibadat solat tarawih dan bacaan quran dengan ciri kehidupan harian yang tidak disatukan dalam ihya Ramadan.

Jika malam kita ke surau atau masjid tetapi apabila menyentuh bab makanan, pakaian, menghias rumah misalnya, segala tuntutan amalan yang mementingkan kawalan nafsu, adap bersosial dan keperluan menghidupakan tuntutan Ramadan dipisahkan.

Seolah-olah waktu malam hanya untuk beribadat dan waktu siang untuk membeli belah dan perkara-perkara berkaitan aspek kepenggunaan melampau.

Adakah kita mengamalkan budaya menyemarakan tuntutan agama di bulan puasa atau menyemarakan budaya materialism dan kepenggunaan.

Amalan berpuasa tidak holistik dan terpisah-pisah atau bersifat sekular, sesuatu yang harus umat Islam jauhi. Di mana kehadiran suasana hati yang melahirkan sikap tawaduk, sabar disiplin dan qanaah jika hati kita diselaputi oleh ketaksuban pembelian barangan yang baharu?

Kita menjadi begitu taksub dengan mengumpulkan begitu banyak wang untuk membeli barangan, perkhidmatan dan hiburan yang tidak perlu sehingga kita mengabaikan tugas dan hubungan kita dengan Allah. Kita lupa bahawa kita hanyalah seorang musafir yang dalam perjalanan ke akhirat.

Apakah yang perlu kita lakukan untuk mengatasi sekularisasi yang semakin menjalar ini? Kita sebagai pengguna Islam harus berusaha untuk tidak terjebak atau terjerumus dalam amalan mengikut nafsu.

Walaupun Syaitan dirantai pada bulan Ramadan tetapi jin dan syaitan dalam diri tetap liar dan angkuh untuk mempengaruhi hati manusia.

Umat Islam harus menjauhi dan menghindari produk-produk yang cuba untuk mengkomersialkan agama dan menjadi penungang agama ini.

Komersialisasi agama yang dimaksudkan ialah, wujudnya unsur memperdagangkan, mempengaruhi, serta mengeksploitasi agama untuk kepentingan kebendaan semata.

Al-Ghazali dalam magnum opusnya, Ihya Ulumuddin, memilih dan memilah orang berpuasa kepada tiga golongan. Pertama, puasa orang kebanyakan (awam) yang sekadar menahan haus dan dahaga. Kedua, puasa orang khusus (khawwash) yang tidak sekadar menahan haus dan dahaga tetapi juga memelihara diri dari segala jenis perbuatan maksiat. Ketiga, puasa orang yang paling istimewa (khawwashul khawwash) bertujuan untuk mencapai derajat Nabi yang mendedikasikan seluruh hidupnya hanya untuk Allah semata.

Keruntuhan adab iaitu kehilangan disiplin akliah, rohaniah dan jasadiah dalam memahami maksud, tujuan dan makna berpuasa itu telah menghilangkan upaya meletakkan suatu perkara di tempat wajar hingga menimbulkan kekeliruan dan kezaliman dalam kehidupan di lapangan. Inilah yang terjadi dalam amalan puasa sekular. Kita hanya menjadikan Rukun Islam ketiga ini sebagai amalan ritual kosong yang tiada makna.

Dalam ibadat Islam, tiada kenal pemisahan antara sisi keagamaan denga sisi-sisi kehidupan lainnya. Bahkan dalam ajaran Islam yang bersifat mahdhah sekalipun, gabungan agama dan kehidupan sosial disatukan.

Dalam ajaran Islam, tiada dikenal pemisahan yang ketat antara sisi ritual dengan sisi-sisi kehidupan lainnya. Bahkan dalam ajaran Islam yang bersifat mahdhah sekali pun selalu ada sisi-sisi sosial di samping sisi ritualnya. Puasa, contohnya, aspek utamanya bersifat ritual dalam hal ini mendekatkan diri kepada Sang Khaliq dengan cara-cara tertentu. Namun, ada aspek lainnya yang sama-sama harus diberikan perhatian, misalnya aspek sosial, budaya, sains, kesihatan, ekonomi bahkan sehingga bidang siasah atau politik.

Ia harus dipandang sebagai bahagian integral dari ibadah puasa. Itu sebabnya, betapa pentingnya sudut pandangan holistik dalam ibadah puasa ini supaya kita tidak terjebak ke dalam puasa sekular.

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)

Timbalan menteri persekutuan baru akan dilantik

Timbalan menteri persekutuan baru akan mengangkat sumpah esok.

Menurut Bernama, upacara mengangkat sumpah akan diadakan di Istana Negara pada pukul 10.30 pagi esok di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, setakat laporan ini ditulis, tiada perincian lanjut tersedia.

‘YB Hulk’ hilang sabar, ‘amuk’ peniaga bazar Ramadan Melaka

FMT Reporters

Norhizam Hassan Baktee dilihat bertengkar dalam klip video yang tular, semalam.

MELAKA: Seorang anggota exco yang dilihat “memarahi” peniaga di bazar Ramadan dalam klip video yang tular berkata, beliau hanya mahu memastikan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dipatuhi.

Norhizam Hassan Baktee, yang digelar “YB Hulk” selepas pertengkaran dengan beberapa penduduk pada Oktober 2018 ketika Pakatan Harapan memerintah, berkata beliau tidak boleh membiarkan saja peniaga berkenaan, yang akhirnya akan merugikan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi itu dilihat bertengkar dengan peniaga di Bazar Ramadan Peringgit, semalam, dengan klip video kejadian itu tular di media sosial.

“Saya bertengkar dengan peniaga kerana tak mahu pasar Ramadan ditutup kerajaan negeri sekali gus menyebabkan mereka rugi,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, beliau ke bazar berkenaan sekitar 6 petang untuk memeriksa pematuhan SOP peniaga.

“Bagaimanapun, ada segelintir peniaga terutama yang berniaga di hujung pasar berkenaan, yang minta supaya kerajaan benarkan dua jalan masuk dan dua jalan keluar dibuka di pasar Ramadan berkenaan sekali gus melanggar SOP yang menetapkan hanya satu jalan masuk dan satu jalan keluar dibuka,” katanya.

Norhizam berkata, bazar Ramadan itu menggunakan sistem kupon yang membolehkan jumlah pengunjung dihadkan, sebaliknya jika dibuka dua laluan bererti keadaan tersebut tidak dapat dipantau rapi.

“Perkara ini juga telah dibincangkan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mereka bersetuju hanya satu jalan masuk dan satu jalan keluar dibenarkan,” katanya.

Katanya, sebahagian besar peniaga serta pengunjung memahami perlunya mematuhi SOP ditetapkan dalam usaha bersama mencegah penularan Covid-19.

'Dia tanya you pilih Allah ka mahu pilih saya?'

Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: "Kami dijadikan seperti 'show' (pertunjukan), dia siap cakap you (awak) mahu pilih Allah ke mahu pilih saya," kata pengawal peribadi yang dipukul majikannya, semalam.

Menerusi satu video yang tular di media sosial, lelaki berkenaan mendedahkan dia dipukul di hadapan pekerja lain.

"Individu yang memukul saya itu seorang sahaja iaitu bos, yang membuatkan ramai itu apabila kami dijadikan sebagai 'show' pertunjukan.

"Dia beritahu jika dia membuang kami berdua, adakah Allah boleh tolong saya, dia bertanya duit yang diterima itu adakah dari Allah atau dari dia," katanya.

Video berdurasi seminit 38 saat itu dirakam seorang lelaki di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, semalam.

Terdahulu, dua pengawal peribadi dibelasah dan diacukan pistol disebabkan enggan menuruti arahan majikan supaya tidak berpuasa.

Mangsa berusia 43 tahun bersama seorang lagi rakan sekerja dibelasah menggunakan rotan oleh majikannya di rumah di Batu Nilam, Klang.

Susulan itu, polis menahan empat individu dipercayai terbabit dalam kejadian dua lelaki dipukul di belakang badan dengan rotan oleh majikannya seperti tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli dilaporkan berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut seksyen 324 Kanun Keseksaan, 506 Kanun Keseksaan dan 298 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan ahli perniagaan itu antara empat individu ditahan berkaitan kes itu.

Katanya, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan 8.20 malam tadi di ibu kota hasil risikan polis susulan laporan dibuat mangsa.

"Ya, suspek sudah ditahan malam tadi dan akan direman pagi esok (Khamis) untuk siasatan lanjut," katanya.

Bekas calon AMANAH cerita beza sikap Mujahid dengan menteri agama sekarang

SITI NUR ZAWANI MISCON

Susulan tersebar video Menteri Agama ke Arab Sudi yang didakwa bersama individu dari syarikat ‘travel’ haji, bekas calon AMANAH, Azhar Abdul Shukur menceritakan bagaimana permohonan beliau sendiri pernah ditolak ketika meminta pertolongan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof untuk mendapatkan visa khas haji bagi syarikatnya.

Azhar yang pernah bertanding di Parlimen Sungai Besar berkata, ketika itu beliau berkecil hati kerana Mujahid yang rapat dengannya, menolak permohonan beliau untuk mendapatkan Visa Furada untuk syarikat pelancongan umrahnya.

Untuk rekod, Furada adalah visa haji yang dikeluarkan oleh Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur secara terus kepada jemaah haji yang terpilih. Visa khas ini tidak dikeluarkan melalui pengurusan Lembaga Tabung Haji Malaysia (TH).

Beliau mengakui ‘geram’ tetapi menyatakan bahawa itu adalah nilai sebuah integriti kerana Mujahid yang sewaktu itu Menteri Agama menolak segala hal yang boleh dikira seperti ‘berniagakan haji’

“Saya ada syarikat pelancongan yang menguruskan umrah. Datuk Seri Dr Mujahid Yusof amat rapat dengan saya. Begitu juga Abang Ahmad Kerdee, setiausaha politik beliau semasa menjadi Menteri Agama.

“Pada tahun 2019, saya memohon pertolongan mereka untuk mendapatkan Visa Furada bagi syarikat pelancongan saya.

“Jawapan yang saya terima: ‘Kami tak berniagakan haji’. Geram juga tapi itu nilai sebuah intergriti,” katanya dalam satu coretan Facebooknya selepas tular di media sosial apabila Menteri Agama dilihat bersama beberapa individu dari syarikat pelancongan menaiki jet peribadi ke Saudi Arabia untuk urusan perbincangan haji dan umrah.

Azhar juga menceritakan bahawa Mujahid pernah menolak untuk menghadiri satu majlis berkaitan jemaah haji selepas mengetahui ada unsur perniagaan di dalam program tersebut.

Kerana itulah katanya, beliau terus bersama di dalam AMANAH dan sehingga hari ini masih merupakan tulang belakang kepada satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipimpin Mujahid.

“Pernah Mujahid bagi tahu saya… ‘ada satu syarikat travel menjemput beliau ke satu majlis untuk buat ‘pelepasan’ kepada jemaah haji tapi bila diketahui ada unsur perniagaan, selaku Menteri Agama beliau tidak pergi.

“Atas semua itu, saya tetap bersama mereka di dalam Parti AMANAH Negara.

“Kenapa saya cerita peristiwa ini. Sajalah sebab baru-baru ini dalam satu rakaman video yang tersebar luas, kelihatan beberapa ‘tokey syarikat travel’ berada bersama orang penting dalam sebuah kenderaan mewah,” katanya lagi.

Takkan Menteri Agama nak berdusta di bulan puasa

MALAYSIA DATELINE

Tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin yakin Menteri Agama Datuk Dr Zulkifli Albakri bercakap benar ketika berkata beliau menaiki kapal terbang eksekutif semasa di Arab Saudi atas tajaan pihak tertentu.

“Takkan lah Menteri Agama (Islam) nak berdusta dalam bulan puasa mengenai lawatannya ke Saudi Arabia?” kata beliau menerusi facebooknya.

Namun, dalam masa yang sama beliau mempertikaikan apakah wajar seorang menteri menerima ‘sponsor’ atau tajaan dari badan-badan kerajaan asing.

“Adakah ini bukan satu kompromi terhadap tugasan beliau sebagai pegawai kerajaan Malaysia.

“Ini kerana, kecenderungan boleh dengan mudah bertukar menjadi rasuah,” kata Kadir dalam tulisannya itu.

Sebelum ini tular Menteri Agama menyertai satu rombongan menaiki sebuah kapal terbang mewah yang di dalamnya ada katil untuk tidur.

Dr Zulkifli kemudiannya menjelaskan ia adalah penerbangan dari Riyadh ke Madinah bukan dari Malaysia ke Saudi.

“Semuanya ditaja kerana hubungan baik antara kedua-dua negara,” ciapnya melalui Twitter.

Perjalanan Zulkifli adalah atas undangan Liga Dunia Muslim – sebuah NGO yang dibiayai oleh kerajaan Arab Saudi.

Berdasarkan video yang dimuat naik akaun Twitter Bernama, Zulkifli dilihat menaiki Airbus A319, yang sememangnya memiliki varian jet korporat.

Zulkifli tiba di Riyadh pada 10 April sebelum bertolak ke Madinah.

Pengawal peribadi dakwa dirotan, diacu pistol kerana berpuasa

FMT Reporters

Mangsa mendakwa dibelasah menggunakan rotan sehingga menyebabkan lebam dan mengalami pembekuan darah.

KUALA LUMPUR: Seorang majikan ditahan selepas dua pengawal peribadinya mendakwa dirotan kerana berpuasa, tidak sampai 24 jam selepas gambar dan salinan laporan polis kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah, berkata suspek berusia 43 tahun itu diberkas di kediamannya di Klang, Selangor kerana disyaki melakukan ugutan jenayah dengan pistol dan merotan dua lelaki terbabit disebabkan tidak berpuas hati dengan tindakan mereka berpuasa.

Menurutnya, kejadian bermula apabila pengadu dan seorang rakannya didatangi suspek yang bertanya sama ada mereka berpuasa atau tidak ketika berada di lobi sebuah kondominium di Jalan Pinang, Kuala Lumpur, kira-kira jam 11 malam tadi.

Zainal berkata selepas pengadu dan rakannya memaklumkan mereka berpuasa, majikannya memarahi dan menampar pengadu di kepala, sebelum mengikut suspek ke rumahnya di Batu Nilam, Klang.

“Apabila sampai di rumah suspek, pengadu dan rakannya dipukul menggunakan sebatang rotan dan diacukan pistol.

“Pengadu dan rakannya yang mengalami lebam di belakang badan kemudiannya mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Klang kira-kira jam 3 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Zainal berkata siasatan awal polis mendapati pengadu dan rakan sekerjanya bekerja dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan sebagai pengawal peribadi.

Beliau berkata siasatan polis mendapati punca kejadian disebabkan suspek tidak suka pengadu dan rakannya berpuasa pada bulan Ramadan dan memaksa mereka tidak berpuasa.

“Apabila pengadu enggan dengar arahan tersebut, suspek tidak puas hati dan tamparnya sekali di kepala semasa berada di Jalan Pinang.

“Pekerja suspek telah memukul pengadu dan rakannya semasa berada di rumahnya di Batu Nilam menggunakan rotan sehingga menyebabkan badan pengadu lebam dan mengalami pembekuan darah.

“Suspek semasa berada di rumahnya, bertindak merampas sepucuk pistol jenis Glock milik pengawal peribadinya dan mengacukannya ke arah pengadu sambil membuat ugutan bunuh,” katanya.

Berikutan itu, Zainal berkata polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mencederakan serta melakukan ugutan jenayah.

“Polis juga merampas sepucuk pistol jenis Glock milik pengawal peribadi itu yang digunakan untuk mengugut kedua-dua mangsa,” katanya.

Beliau berkata polis masih mengesan beberapa suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan kes terbabit.

Makna integriti yang perlu Presiden Pas tahu

DATUK ZAID IBRAHIM

Presiden Pas, Haji Hadi Awang menulis dalam Facebooknya bahawa apa guna orang politik memegang majoriti besar kalau mereka tidak ada integriti.

Rumusan yang saya faham dari kenyataan ini ialah kalau parti seperti Umno dan Pakatan Harapan (PH) mendapat kemenangan besar, itu semua tidak ada erti kerana mereka tidak ada integriti.

Bagi Presiden Pas dan barisan kepimpinan hari ini, integriti itu bererti hanya ada pada orang yang belum dituduh atau tidak ada kes jenayah di mahkamah, sebaliknya ramai pemimpin Umno sekarang ini (ramai menggelar kumpulan pemimpin ini “court cluster”) nampaknya tidak berintegriti.

Integriti itu berbeza dengan keperluan majoriti. Ia dua konsep yang berlainan. Kerajaan yang sah di negara kita adalah kerajaan yang disokong oleh sebahagian besar wakil rakyat yang dipilih semasa pilihan raya umum. Ini konsep yang mudah difaham.

Kalaulah peluang diberi oleh Speaker, kita sudah lama mengetahui hal ini tanpa was-was. Keperluan majoriti adalah tuntutan perlembagaan dan kalau kita hormati perlembagaan itulah yang perlu dilaksanakan.

Integriti, untuk maklumat Tok Guru Hadi Awang adalah sifat dan nilai seseorang seperti keikhlasan, keterbukaan, patuh kepada undang-undang dan tidak putar belit fakta untuk sesuaikan diri mereka dengan keadaan semasa.

Mereka bukan hipokrit, mereka tidak menyalahguna kuasa dan sebagainya. Orang yang dihadapkan di mahkamah, di mana keputusan muktamad belum selesai tidak termasuk dalam golongan orang yang tidak berintegriti.

Contoh terbaik kumpulan orang yang tidak berintegriti termasuk mereka yang menggunakan Covid-19 sebagai alasan untuk kekal berkuasa melalui darurat.

Contoh lain ialah menggunakan kuasa kerajaan untuk “memujuk wakil rakyat lompat parti, menggunakan wang kerajaan tanpa perlu diluluskan oleh Dewan Rakyat, bercakap mengenai reformasi dan kerajaan cara Islam, tetapi tidak sanggup membuat perubahan “structural” dan menyeluruh dalam sistem pentadbiran negara secocok dengan kehendak negara demokrasi tulen.

Akhir kata, biarlah rakyat menentukan siapa ada majoriti dan siapa ada integriti. Buatlah pilihan raya secepat mungkin supaya kita tidak lagi perlu bercakap mengenai hal-hal yang kita sendiri tidak faham atau tidak mahu faham.

Cerita lawatan rasmi Menteri Agama zaman PH

USTAZ ALI MUDA

 

Pada Januari 2020, saya ditugaskan mengiringi Menteri Agama ke Mesyuarat Urusan Haji di Arab Saudi.

Saya adalah satu-satunya pegawai pengiring dari pejabat menteri diberikan arahan untuk bersama menteri pada mesyuarat tersebut.

Tahun sebelumnya ada seorang pegawai lain mengiringi menteri. Pegawai jabatan lain yang menyertai mesyuarat haji pada masa itu ialah dari Tabung Haji iaitu, Pengerusi TH, Pengurus Besar Operasi dan dua orang lagi pegawai berkaitan haji. Semuanya enam orang sahaja.

Untuk menjimatkan kos dan masa, saya telah mengatur lebih awal supaya menteri boleh membuat kunjungan rasmi terhadap Menteri Hal Ehwal Agama Saudi. Di Saudi Menteri Haji dan Menteri Agama adalah dua pos yang berbeza.

Tiada isteri menteri atau isteri mana-mana pegawai dibenarkan menyertai lawatan rasmi itu. Juga tiada syarikat travel yang ikut bersama rombongan kami.

Sehari atau dua hari sebelum penerbangan, Pengurus Besar Operasi TH menghubungi saya bertanyakan pendapat saya untuk pilih di antara dua sebut harga tiket.

Satu dari syarikat Emirates berharga seingat saya RM3,000 lebih (tidak capai RM4,000) seorang dan satu lagi dari syarikat Etihad yang berharga tiga kali ganda lebih mahal iaitu hampir RM12,000 seorang.

Saya jawab ambil tiket yang lebih murah dan tidak perlu membazir duit TH. Yang penting tiket 1st class. Pengurus Besar Operasi setuju kerana lebih menjimatkan wang TH.

Maka terbanglah kami berenam dengan penerbangan biasa kelas satu Emirates (bukan jet mewah) dari KLIA sampai ke Jeddah. Ketika itu waktu malam. Maka kami bermalam di rumah tamu Konsul Haji milik TH di Jeddah.

Menteri kata tidak payah membazir ambil hotel, rumah tamu kita kan ada. Esoknya dari Jeddah kami naik kereta yang disediakan oleh Konsul Haji Jeddah ke Makkkah.

Selepas tamat sesi mesyuarat haji, saya, Menteri Agama, Pengerusi dan Pengurus Besar Operasi Haji perlu terbang ke Riyadh kerana pejabat Menteri Agama Saudi di Riyadh. Dua orang lagi pegawai TH terus ke Jeddah dan balik ke KLIA.

Kami terpaksa tunggu penerbangan awam ke Riyadh kerana kami tidak mendapat layanan istimewa daripada keluarga di Raja Saudi, maka tiadalah jet mewah dengan bilik tidur khas untuk menteri. Mungkin sebab tiada seorang pun daripada kami lulusan Universiti Madinah, atau Ummul Qura atau mana-mana universiti di Saudi. Kami redha sajalah.

Akhirnya, kami dapat naik sebuah penerbangan macam kapal terbang domestik kelas ekonomi AirAsia itu saja dan kami duduk bersepit dengan pak Arab saja, tiada kelas bisnes pun. Alhamdulillah, selamat sampai di Riyadh.

Selesai kunjungan rasmi terhadap Menteri Agama Saudi, kami balik ke lapangan terbang Riyadh untuk balik menaiki penerbangan Emirates semula. Kami transit sekejap di Abu Dhabi dan terus ke KLIA dengan selamat.

Alhamdulillah, semua selamat dan Menteri Agama membuat kenyataan akhbar di KLIA memaklumkan tentang pencapaian lawatan.

Antaranya, jemaah haji Malaysia akan melalui laluan ekspres (pre-clearance /Eyab) untuk masuk Saudi sebagai meneruskan hasil percubaan rintis tahun sebelumnya, memaklumkan pujian dan penghargaan kerajaan Arab Saudi terhadap TH dan jemaah Malaysia, serta sambutan positif kerajaan Saudi terhadap dasar Rahmatan lil Alamin dan Maqasid Syariah.

Kuota haji dinaikkan dari 30,200 ke 31,600, manakala kuota tambahan tidak diumumkan kepada media kerana ia sulit.

Sekian cerita lawatan rasmi Menteri Agama zaman dulu. Zaman sekarang lainlah, sebab zaman sudah berubah.


*USTAZ ALI MUDA ialah bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Caj parking Pasir Puteh lebih mahal dari Shah Alam mengejutkan

ARIF BASHARUDIN

Pasir Puteh adalah sebuah bandar kecil atau lebih layak dipanggil pekan sahaja yang terletak di sempadan Kelantan dan Terengganu tetapi jangan terkejut jika berkunjung ke sana kerana caj parking keretanya lebih tinggi dari Bandaraya Shah Alam di Selangor.

Mungkin kerana sumber pendapatan lain tidak ada maka bebanan untuk mendapatkan hasil untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ini dibebankan kepada pemandu kereta di daerah ini apabila mereka mahu meletakkan kenderaan mereka.

Menurut Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan, perkara ini mengejutkan kerana Pasit Puteh bukanlah satu bandar yang sesak sehingga kadar car parking sedemikian rupa.

Muhammad Husain melihat sistem parking baru di pekan Pasir Puteh yang dianggap tidak mesra pengguna manakala kadarnya sangat tinggi.

Dalam suatu siaran video di saluran YouTube Jeming Hassan itu, Hazmi yang lebih dikenali sebagai Jeming itu  bersama Pengerusi AMANAH Kelantan Ustaz Muhammad Husain turun padang memeriksa meter-meter pembayaran parking yang terdapat di Pasir Puteh itu.

“Dengan kadar bayaran RM1 untuk sejam, sedangkan Pasir Puteh bukanlah sebuah bandar yang benar-benar pesat membangun, adalah tidak wajar,” kata Muhammad yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan itu (gambar atas).

Sistem pembayaran parking itu juga dipertikai oleh Muhammad kerana walaupun pengguna hanya meletakkan kenderaan mereka hanya lima minit, mereka perlu membayar RM1 kerana caj yang dikenakan adalah RM1 untuk satu jam pertama.

Sedangkan di Kota Bharu sendiri pun, katanya, tidak semahal Pasir Puteh dari segi kadar bayaran tempat letak kereta bagi setiap sejam.

Menurut sumber, caj parking setiap jam di bandar Kota Bharu adalah 80 sen, Machang 60 sen manakala Shah Alam juga dikatakan 60 sen sejam.

“Jadi Kerajaan Pas Kelantan kena pertimbangkan semula kadar bayaran yang agak mahal ini, rakyat Pasir Puteh bukan semua orang kaya sampai nak kena bayar RM1 sejam,” kata beliau.

Kelantan sebelum ini pernah gempar akibat dari isu berkaitan kadar bayaran tempat letak kereta dan tindakan keras yang dikenakan oleh pihak penguatkuasa.

Sebelum ini, wujud beberapa bantahan dari kalangan rakyat negeri ini yang mengecam tindakan pihak penguatkuasa mengunci tayar kenderaan atas alasan ada tunggakan saman, walaupun kenderaan itu diletak dalam petak yang disediakan.

Jeming melalui video ini turut menemubual para pengguna bagi mendapatkan pandangan mereka tentang isu parking ini.

Zaid 'ajar' presiden PAS makna integriti

Malaysiakini 

Aspek integriti dan majoriti dalam kerajaan adalah dua perkara berbeza, kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim menyanggah minda Abdul Hadi Awang.

Kata Zaid berdasarkan apa yang difahaminya daripada tulisan duta khas perdana menteri ke Timur Tengah itu, Abdul Hadi berpendapat tidak ada maknanya jika parti politik seperti Umno atau Pakatan Harapan (PH) mendapat kemenangan besar kerana mereka dianggapnya tiada integriti.

Menurut Zaid, di mata Abdul Hadi pihak yang memiliki integriti ialah seseorang yang belum dituduh atau berdepan kes jenayah di mahkamah.

Justeru kata Zaid pemimpin Umno yang didakwa di mahkamah kini dianggap sebagai tiada integriti

"Integriti itu berbeza daripada keperluan majoriti. Ia dua konsep yang berlainan," kata Zaid dalam kenyataan yang dibuat melalui media sosial hari ini.

Bekas ahli parlimen Kota Bharu itu menjelaskan kerajaan yang sah di negara kita adalah kerajaan yang disokong sebahagian besar wakil rakyat yang dipilih semasa pilihan raya umum.

Konsep yang mudah itu, katanya, bagaimanapun masih belum teruji kerana tidak mendapat peluang di Dewan Rakyat walaupun ia merupakan tuntutan perlembagaan.

"Integriti - untuk maklumat Abdul Hadi - adalah sifat dan nilai seseorang seperti keikhlasan, keterbukaan, patuh kepada undang-undang dan tidak memutar belit fakta untuk menyesuaikan diri mereka dengan keadaan semasa," kata Zaid lagi.

Pada 12 Apr lalu Abdul Hadi berkata tidak ada gunanya sebuah kerajaan yang mendapat majoriti besar jika tidak disertai integriti.

Alasan untuk kekal berkuasa 

Menurut ahli parlimen Marang itu lagi Islam memerintah dengan bermula sebagai kuasa minoriti sebelum ia diterima majoriti bukan Islam kerana kerajaannya adil dan bertakwa.

"Apakah faedahnya jika sekadar mendapat jumlah sokongan majoriti yang besar tetapi tidak berintegriti, sekiranya pada awal lagi sudah mula berbohong kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan majoriti.

"Berbohong itu sahaja sudah cukup untuk menjadi tanda hilangnya integriti, yang pasti mengundang semua perangai buruk yang lain, termasuk menjadi kleptokrat.

"Kehilangan integriti pemimpin diikuti dengan kelemahan kerajaan dan penamatnya dengan kemusnahan negara," katanya. 

Ia dibuat Abdul Hadi ketika hubungan di antara PAS dan Umno - yang diikat piagam Muafakat Nasional - terus menjadi tanda tanya ekoran kesungguhan PAS bersama dengan Bersatu.

Abdul Hadi juga mengesahkan PAS sudah memulakan rundingan pembahagian kerusi dengan parti serpihan Umno itu.

Zaid berkata seseorang yang berintegriti tidak menyalahgunakan kuasa.

Orang yang dihadapkan ke mahkamah pula, katanya, tidak termasuk sebagai individu yang tidak berintegriti selagi proses dan keputusan muktamad belum ditetapkan.

"Contoh terbaik kumpulan orang yang tidak berintegriti termasuklah mereka yang menggunakan Covid-19 sebagai alasan untuk kekal berkuasa melalui darurat.

"Contoh lain ialah (pihak yang) menggunakan kuasa kerajaan untuk memujuk wakil rakyat melompat parti, menggunakan wang kerajaan tanpa perlu diluluskan oleh Dewan Rakyat, bercakap mengenai reformasi dan kerajaan cara Islam tetapi tidak sanggup membuat perubahan struktur dan menyeluruh dalam sistem pentadbiran negara secocok dengan kehendak negara demokrasi tulen," katanya.

Pada masa sama kata Zaid PRU perlu diadakan segera agar rakyat dapat menentukan pihak mana yang wajar diberikan kuasa majoriti, selain mengelak seseorang berkata-kata mengenai hal yang tidak difahaminya, atau sengaja enggan difahami. 

MP DAP buat hal lagi, kali ini dengan pemuda Foodpanda

MALAYSIA DATELINE

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim kali ini berkongsi kisah beliau dengan seorang pemuda Foodpanda yang bukan bermotosikal sebaliknya berbasikal sahaja.

Pemuda yang berasal dari Kelantan merantau ke Pulau Pinang demi mencari sesuap nasi bagi menyara keluarga dan adik beradik 10 orang.

Mohamad, 22, membuat Foodpanda dengan mengayuh basikal yang dipinjam daripada rakannya selepas habis waktu kerja memandangkan gaji yang diperolehinya cukup-cukup makan sahaja.

Steven Sim yang sebelum ini pernah viral dengan sikap pemurahnya menolong ibu tunggal yang dihalau keluar rumah serta seorang gelandangan berbangsa India, kali ini bermurah hati membantu Mohamad membeli sebuah motosikal bagi memudahkan beliau bergerak menghantar makanan.

Mohamad pinjam basikal daripada rakannya selepas habis waktu

Sebelum ini, Mohamad berbasikal menghantar makanan menyebabkan kulitnya terbakar kerana terdedah dengan panas terik membuatkan Steven Sim bersimpati lalu membelikan beliau krim aloe vera.

Mohamad terkedu bercampur sedih dan tidak percaya akan dapat memiliki motosikal pemberian Ahli Parlimen DAP itu pada hari mula-mula berpuasa.

Ikuti coretan Steven Sim menyantuni Muhamad pada hari pertama Ramadan;

Hari ini Ramadan pertama.

Saya ditemukan dengan seorang rider Foodpanda yang menginsafkan saya tentang nilai sebuah kehidupan. Adik Mohamad mengayuh basikal meredah hujan dan panas demi sesuap nasi, walaupun ketika berpuasa.

Apabila saya bertanya kepadanya, mengapa dia berbasikal dan tidak menunggang motorsikal seperti yang lain; dia jawab, dia tidak ada motorsikal.

Basikal pun dipinjam daripada kawan, itupun seat dia banyak yang sudah rosak. Tapi demi mencari rezeki, dia redha.

Adik Mohamad berusia 22 tahun, merantau jauh dari Kelantan ke Pulau Pinang untuk bekerja. Keluarganya tidak kaya tapi mementingkan pendidikan. Ada 10 orang adik beradik. Ayahnya seorang guru agama. Dia sendiri lulusan diploma kejuruteraan Politeknik, dengan keputusan cemerlang.

Tapi setakat ini gajinya hanya RM500 sebulan, hendak makan pun tidak cukup, sewa bilik dia tidak bayar, atas ehsan kawannya. Adik Mohamad tidak merungut, malah bersyukur dengan peluang yang ada. Sebaliknya lepas kerja setiap hari, dia pinjam basikal kawan untuk jadi rider food panda. Lepas kerja, rehat satu jam, pergi kayuh sampai 11 malam. Dapat RM20 hingga RM30 sehari, cukup makan beberapa kali. Ada kala, makan nasi lemak tiap-tiap hari sebab mahu jimat duit.

Saya tengok kedua-dua belah tangannya pun sudah terbakar dek terik matahari. Mata masuk habuk mendengar kisah adik Mohamad.

Walaupun saya hormat Tun Dr Mahathir, saya dari dulu lagi tidak setuju dengan stereotype Tun yang kata Cina kaya, Melayu malas.

Ramai Cina yang bergelut demi mencari makan, ramai anak Melayu seperti adik Mohamad yang rajin berusaha demi kehidupan.

Bila saya tanya adik Mohamad apa pertolongan yang diperlukan, dia segan hendak jawab.

Beginilah, saya tidak pandai hal agama, tapi kawan-kawan ajar saya bulan Ramadan ini banyak berkat. Saya mohon berkat Ramadan, saya belikan adik Mohamad sebiji motor. Asalnya adik Mohamad macam tidak percaya.

Tapi bila saya bawa ke kedai motor dekat Bukit Mertajam, dia terus terharu. Kita beli Honda. Saya bayar cash. Kalau orang kecam saya guna peruntukan kerajaan beli motor, saya  beritahu saya tidak ada peruntukan hendak guna. Saya sekarang Ahli Parlimen pembangkang. Ini saya beli guna wang gaji saya sendiri. RM4,500 termasuk road tax, insurans, settle penuh, minyak isi full tank, adik Mohamad boleh terus bawa motor ini tidak payah bimbang. Bolehlah adik naik motor ke kerja (sekarang dia tumpang motor kawan) dan jika jadi rider, tidak payah susah-susah kayuh basikal. Usah risau lagi hujung Ramadan macam mana mahu balik Kelantan jumpa mak ayah – kuda sudah ada.

Kami juga pergi farmasi beli krim aloe vera dan krim sunblock. Saya peringat adik Mohamad agar wajib sapu krim setiap kali sebelum keluar buat Foodpanda. Kita perlu jaga kesihatan diri. Kalau jatuh sakit, mak ayah juga yang akan bimbang.

Hari ini Ramadan pertama, saya belajar satu benda yang penting. Kita perlu banyak-banyak bersabar dalam menempuh cabaran hidup. Jangan putus asa walau susah macam mana sekalipun, dongipap kipidap!

Setiap perkara ada hikmahnya, Tuhan tidak pernah mengabaikan kita. Adik Mohamad telah menginsafkan saya tentang perkara ini.

Iftar pertama tahun ini, saya buka puasa bersama adik Mohamad. Walaupun berjauhan dari keluarga dan terpaksa bekerja keras mencari rezeki, saya doakan Ramadan ini akan menjadi Ramadan yang lebih bermakna buat dirinya.

Ustaz Azhar Idrus belasah MB Terengganu

COVID-19 tidak pilih tempat, Ustaz Azhar Idrus bidas Samsuri

MALAYSIA DATELINE

Susulan kerajaan Negeri Terengganu melarang mengadakan jamuan berbuka di semua masjid dan surau sepanjang Ramadan bagaimanapun penceramah terkenal di negeri itu Ustaz Azhar Idrus pula tidak bersetuju.

Beliau tidak bersetuju dengan larangan tersebut seperti yang dinyatakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar melalui akaun Facebooknya.

Penceramah yang terkenal dengan slogan ‘dok rok chetong’ itu berkata, kerajaan Terengganu tidak sepatutnya melarang di masjid sahaja sebaliknya harus melarang di semua tempat yang dipenuhi orang ramai.

“Buat larangan untuk semua majlis berbuka puasa yang ada orang ramai bukan di masjid saja,” katanya.

Tegasnya, tempat-tempat yang lain seperti hotel dan restoran serta dewan juga boleh berlakunya penularan COVID-19 kerana pendemik ini tidak memilih tempat. 

“Bukan di masjid sahaja tapi hotel dan restoran dan dewan , sebab Covid tak pilih tempat,”katanya.

Terdahulu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memaklumkan, larangan majlis jamuan berbuka puasa, moreh dan makan sahur di semua masjid serta surau dilakukan bagi membantu kerajaan membendung penularan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, jemaah masih dibenarkan berbuka puasa, moreh serta makan sahur makanan berbungkus dan tidak membabitkan jumlah yang ramai.

Untuk rekod, Kerajaan Negeri Terengganu tidak pernah memberi pentauliahan kepada Ustaz Azhar Idrus untuk mengajar agama kerana beliau tidak pernah membuat permohonan rasmi untuk mendapatkan pentauliahan sedemikian.

Ogos 2020, Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah mengesahkan perkara itu, dan menyatakan ceramah beliau di surau dan masjid yang dijayakan selama ini merupakan kebenaran sementara yang dipohon pihak penganjur.

Menteri agama dan rombongan ke Saudi naik jet peribadi

SITI NUR ZAWANI MISCON

Tular satu klip video Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang dilihat berada dalam sebuah jet peribadi dalam satu lawatan kerjanya ke Saudi Arabia baru-baru ini.

Berdasarkan video yang dimuat naik seorang pengguna Twitter, keberadaan Menteri Agama bersama rombongannya di dalam jet berkenaan mengundang kecaman orang ramai.

Tindakan berkenaan dipersoalkan warganet yang menyifatkan kerajaan cuba untuk bermewahan di saat rakyat mengikat perut kelaparan.

Difahamkan, Zulkifli tiba di Riyadh pada 10 April sebelum bertolak ke Madinah semalam.

Menurut kenyataan media beliau pada 9 April, lawatan kerja itu meliputi perbincangan dua hala mengenai haji dan umrah, serta pertemuan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa mengenai hal ehwal Islam.

Bagaimanapun, dalam satu ciapan terbarunya, Zulkifli memaklumkan bahawa lawatannya ke Arab Saudi ditaja sepenuhnya.

Dia memaklumkan perkara itu sebagai menjawab ciapan Twitter yang bertanyakan jumlah kos perbelanjaan untuk menyewa penerbangan ke Madinah.

PH jatuh bukan kerana Umno dan Pas

FAZLI RADZI

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berpendapat kejatuhan kegagalan Pakatan Harapan (PH) mempertahankan Putrajaya sebelum penggal tamat bukannya disebabkan Umno dan Pas.

Sebaliknya, beliau menegaskan, tumbangnya PH selepas hanya 22 bulan berada di Putrajaya kerana perbuatan golongan pengkhianat menerusi Langkah Sheraton.

“PH jatuh bukan kerana Umno dan Pas. PH dijatuhkan oleh pengkhianat Pakatan Harapan sama ada dari Bersatu dan mereka yang ‘lari’.

“Apabila (PH) dah goyang, datanglah Umno dan Pas bersama bina kerajaan dengan cara yang tidak demokrasi,” katanya dalam Jelajah Ceramah Isu Politik Semasa di Kampung Bharu di ibu negara kelmarin.

Bekas Menteri Pertahanan berkenaan bahkan menyifatkan sistem demokrasi berperlembagaan yang menjadi amalan di negara ini musnah di tangan pengkhianat terbabit.

“Sistem yang dibina ini hancur dan sekarang kita dapat lihat pemerintah pada masa ini tidak dihormati. Baru pergi Indonesia, (Muhyiddin) teruk kena hentam tempoh hari.

“Menteri-menteri Malaysia bolehlah pergi negara-negara Arab. Mereka bukan negara demokrasi berbeza dengan negara-negara Eropah,” bidasnya lagi.

Sehubungan itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja menganggap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sama seperti negara-negara Arab terlibat hanya membina kekuatan menteri dan wakil rakyat bukannya kekuatan ummah.

Turut memberi ceramah Setiausaha Agung AMANAH, Dr Mohd Hatta Ramli; Pengerusi Mobilisasi AMANAH Nasional, Sany Hamzan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer; Pengarah Pilihan Raya Pemuda AMANAH Nasional, Asmaaliff Abdul Adam serta Ketua AMANAH Titiwangsa, Zaharudin Othman.

MN sudah 'mati? Ini jawapan PAS Terengganu

Hariz Mohd

Pentadbiran Terengganu pimpinan PAS percaya mereka akan dapat menyelesaikan isu percanggahan pendapat dengan Umno negeri dan mengajak ketua parti itu Ahmad Said untuk berbincang.

Undangan itu dibuat selepas Ahmad menyifatkan gabungan Muafakat Nasional (MN) di negeri tersebut sudah ‘mati’ dan menegaskan Umno akan bertanding di semua 32 kerusi negeri serta lapan daripada 12 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum (PRU) kelak.

Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu Mohd Nor Hamzah berkata, kerjasama dua parti dalam Muafakat Nasional (MN) itu perlu dilihat menerusi aspek yang luas bagi memastikan perpaduan Melayu-Islam..

“Muafakat mesti diperkukuhkan. Atas asas itu, saya rasa perundingan dan perbincangan seterusnya boleh dilakukan melainkan jika kedua-dua bersedia untuk berbincang.

“Dan saya sehingga hari ini harapkan agar pemimpin-pemimpin Umno BN khususnya dari kerajaan negeri Terengganu, terus bersedia untuk menghulurkan tangan supaya kita berdamai dan kita membina penyatuan ini di meja rundingan dan kita bersedia utk berbincang seterusnya di meja rundingan.

“Apa saja persoalan dan isu yang berkaitan untuk kita melihat perpaduan ini terus berlaku,” katanya kepada Malaysiakini pagi ini.

Portal The Malaysian Insight (TMI) hari ini melaporkan, Ahmad berkata, MN seakan ‘mati’ di Terengganu dan menyifatkan situasi pakatan politik itu hanya seperti pertemuan pemimpin menjamu selera tetapi tidak membincangkan perkara penting.

“Saya menitiskan air mata.

“Kita mengharapkan MN tapi sebenarnya tak berlaku hanya gimik semata-mata. Sebab itu saya kata MN tak berlaku di Terengganu,” katanya.

Ahmad yang juga merupakan bekas menteri besar Terengganu mendakwa akar umbi Umno masih tidak dapat menerima MN susulan serangan PAS sebelum ini.

Dia merujuk ucapan kontroversi Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 1981 yang dikenali sebagai Amanat Hadi - yang antaranya berkata Umno dan BN mengekalkan “peraturan kafir”.

“Hal kafir-mengkafir, fatwa yang mengelirukan berlaku. Macam mana kita nak berdepan (PAS) hari ini,” katanya seperti dipetik portal terbabit.

Mengulas hal demikian, Mohd Nor menambah pemimpin Umno perlu memimpin ahlinya supaya menerima agenda kerjasama.

Tambahnya, PAS juga telah berbuat hal sama bagi memastikan ahlinya menerima MN.

“Kita bukan melihat pada ruang yang sempit di negeri Terengganu ini tapi kita mesti melihat bahawa perpaduan ini adalah perpaduan yang penting untuk negara ini,” jelasnya.

“Saya rasa apa salahnya kita teruskan rundingan ini, kita teruskan perbincangan ini, kita perkukuhkan muafakat ini, kita lupakan isu-isu yang lama ke arah permuafakatan dan perpaduan ummah di negeri Terengganu dan seluruh negara bahkan kita mahu melihat agar Melayu Islam ini kuat,” tegasnya.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika dihubungi tidak mengulas panjang berhubung hal tersebut.

“PAS kekal dengan prinsip memperkukuhkan MN dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Persoalannya, siapa calon PM BN? Tok Mat atau Ismail Sabri?

BAHA M. ISA

Adakah Umno pasca-PAU (Perhimpunan Agung Umno) 2020 sudah bersedia menghadapi PRU-15? Jika benar, siapakah calon perdana menteri (PM) bagi Barisan Nasional (BN)?

Ini terutama selepas kesepakatan Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM mereka pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Perikatan Nasional (PN) pula memiliki Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini menjadi Perdana Menteri. Kepimpinan Muhyiddin dilihat akan menjadi sandaran gabungan PN.

Jadi, persoalan siapa calon PM yang ditawarkan BN untuk PRU-15 perlu dijawab segera sebelum menjelang PRU-15.

Isu siapa calon PM dari BN juga pernah disebut oleh parti komponennya iaitu MIC sebelum ini. Ia dikatakan salah satu masalah yang perlu diselesaikan jika BN ingin bertarung bersendirian pada PRU akan datang.

Para penganalisis politik turut berpendapat, sudah tiba masa BN mengumumkan calon PM gabungan itu atau setidak-tidaknya dimaklumkan kepada parti-parti komponennya, lapor Malaysiakini baru-baru ini.

Antara calon PM yang dikatakan sesuai bagi mewakili parti tersebut ialah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Jelas pemerhati politik, Arif Anwar Lokmanol Hakim, prestasi Mohamad ketika menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dijadikan contoh kerana bersih dan sudah tentu membawa faktor wow kepada rakyat di situ.

Senada dengan Arif, penganalisis politik Dr. Rusdi Omar turut menyifatkan pencalonan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat dapat membaiki imej BN.

Baru-baru ini di PAU, Mohamad menjawab soalan mengenai calon PM UMNO jika menang PRU-15. “Err… kamu sedang bercakap dengan dia sekarang,” kata Mohamad bergurau.

Pencabar terdekat Mohamad Hasan yang dilihat ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau merupakan salah seorang Menteri Kanan dalam Kerajaan PN ketika ini.

Sehubungan itu, Umno dan BN perlu mencontohi kesepakatan PH dalam mengetengahkan calon PM.

Para penyokong BN perlu tahu siapa tokoh sandaran gabungan itu untuk diangkat memegang jawatan pemimpin utama kerajaan Malaysia itu.

Biar rakyat dan para penyokong tahu, yang BN sebagai sebuah gabungan politik, mempunyai kesepakatan dalam menawarkan seorang tokoh sebagai pemimpin negara jika menang PRU-15.

‘Buang saja menteri, duta bertaraf menteri yang makan elaun buta’

FAZLI RADZI

Rata-rata rakyat Malaysia menyarankan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) ‘membuang’ menteri dan timbalan menteri yang terlalu ramai tetapi tidak berguna., 

Kecaman warganet itu ekoran pengakuan Perdana Menteri bahawa negara sudah tidak mempunyai banyak wang.

Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kerajaan terpaksa membelanjakan wang bagi membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Sehubungan itu, ramai yang mengaitkan pembaziran banyak wang negara akibat saiz XXL

Kabinet Muhyiddin dengan 31 menteri dan 38 timbalan menteri iaitu 70 orang keseluruhannya termasuk Perdana Menteri.

Malah, barisan Kabinet yang diumum Muhyiddin pada 9 Mac 2020 menyaksikan ada kementerian ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditugaskan kepada seorang menteri sudah dipecahkan kepada tiga.

“Buang saja Menteri dan Duta bertaraf Menteri yang makan elaun buta. Membazir duit rakyat saja,” selar pengguna Facebook, Saili Ismail.

Hal sama ditegaskan Zaha Dzul yang berpendapat peruntukan untuk membantu rakyat berdepan Covid-19 tidak seberapa jika dibandingkan belanja bagi menampung gaji puluhan ribu ringgit bagi seorang menteri.

“Menteri terlalu ramai dengan gaji puluhan ribu tapi tidak buat kerja. Itu sebab duit kerajaan makin susut. Bantu rakyat dan menghadapi Covid-19 itu tidak seberapa pun.

“Kalau sudah tak mampu nak uruskan kewangan negara berhenti saja jadi PM dan kerajaan bagi kepada mereka yang mampu mentadbir serta menguruskan kewangan negara,” sarannya.

Kerja bermatian

Sementara itu, Chew Kok Ming menganggap rakyat biasa yang terpaksa berhempas pulas mengumpul pendapatan berbanding menteri PN yang dilihat tidak membawa ramai pelabur ke negara ini.

“Bukan ada menteri dah bawa ramai pelabur? Apa mereka buat di luar negara? Semua boleh pergi cuti di luar.

“Yang tidak pergi cuti, tidur di rumah dengan gaji buta. Kita rakyat Malaysia yang kerja mati-mati untuk cari rezeki keluarga,” luahnya.

Untuk rekod, PN dengan banyak jawatan perlu diberi kepada parti komponen kerajaan turut menyaksikan tiga menteri memegang portfolio hampir sama sekali gus lebih tinggi kos ditanggung Putrajaya.

Tidak hairanlah, pernah dilapor kerajaan PN dengan Kabinet bersaiz besar itu perlu membelanjakan hampir RM10 juta setahun berbanding zaman PH kira-kira RM7.4 juta setahun.

Angka itu belum mengambil kira pelbagai jenis elaun yang disediakan seperti keraian dan rumah.

Oleh sebab itu, warganet terutama pengguna Facebook ‘menyerang’ kerajaan PN yang lebih banyak membuang duit kepada menteri-menteri yang sebahagiannya tidak buat kerja yang sepatutnya.

“Kerajaan bayar gaji menteri tidak ada fungsi pun sudah lebih 70 orang. Ada yang tidur. Ada yang bercuti.

“Ada yang tidak buat apa-apa pun tapi taraf menteri terutama sekali parti Islam yang kenyang makan habis keliling. Takdirrr,” seloroh Daniel Akmal.

Turut berkongsikan pandangan, Athar Ali yang menulis, “Sudah tahu tak ada wang, mengapa lantik menteri-menteri Kabinet paling ramai dalam dunia?”