Dibayar RM25,000 untuk dijangkiti varian Delta

KOSMO!

LONDON – Sekumpulan saintis dari Kolej Imperial London dan Universiti Oxford sedang menjalankan satu kajian khas dengan membiakkan virus Covid-19 varian Delta dalam makmal,, lapor portal berita MailOnline, semalam.

Penyelidikan itu dibuat untuk menjangkiti peserta kajian dengan varian Delta secara sengaja bagi mengenalpasti proses mutasi virus berkenaan.

Ia juga dilakukan untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi membangunkan vaksin dan cara rawatan terbaharu Covid-19 dengan kerjasama, syarikat hVivo.

Seramai 40 peserta muda dan sihat menerima bayaran sehingga £4,500 (RM24,984) sebagai persetujuan mengambil bahagian dalam kajian itu.

“Proses pembiakan varian Delta lebih sukar berbanding varian asal Covid-19 kerana mutasi yang mengubah struktur protein dan kultur virus.

“Namun para penyelidik kami sudah membiakkan jumlah yang cukup untuk memulakan kajian di peringkat awal,” kata ahli virologi dan Ketua Pegawai Saintis hVivo, Andrew Catchpole.

Semasa proses pembiakan, para saintis perlu memastikan agar virus yang dibiakkan tidak bermutasi dan menghasilkan varian baharu dalam tempoh ditetapkan.

Pakar jangkitan virus pernafasan, Dr. Garth Rapeport memberitahu, proses itu tidak sama dengan penghasilan vaksin kerana prosesnya yang lebih rumit.

Bagi tujuan kajian tersebut, para penyelidik menggalakkan individu berusia antara 18 hingga 30 tahun yang berisiko paling rendah dijangkiti Covid-19 untuk menjadi sukarelawan.

Peserta hanya diterima jika mereka tidak mempunyai sejarah atau gejala Covid-19, mempunyai tahap kesihatan terbaik, berat badan ideal dan tidak merokok. – Agensi

RASA-RASANYA ISMAIL SABRI AKAN TERIMA NASIB LEBIH BURUK DARIPADA MAHIADDIN

Shahbudin Husin

Setakat ini belum ternampak lagi ada mana-mana suara yang memuji kabinet yang dibentuk semalam oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Rata-rata melontarkan kritikan dan kecaman yang menampakkan ketidakyakinan dan rasa kecewa mereka kerana tiada pembaharuan yang ditampilkan dalam sususan kabinet itu.

Sementara UMNO dan Najib Razak sendiri dilihat agak berhati-hati dalam memberi reaksi, mereka yang biasa mengampu Perdana Menteri pun nampaknya takut mengeluarkan suara puji-pujian.

Di dunia nyata dan di alam maya, semuanya sarat dengan kritikan daripada pelbagai aspek yang menggambarkan Ismail Sabri sebenarnya adalah Perdana Menteri paling buruk buat negara.

Kalau dulu disangkakan Mahiaddin Md Yasin yang paling teruk, kini rupa-rupanya Ismail Sabri jauh lebih memperlihatkan ketidakmampuan dan tiada wibawa dalam dirinya.

Melantik menteri-menteri seharusnya menjadi titik-tolak yang mampu memberi keyakinan awal kepada rakyat terhadap kerajaan yang diketuainya, tetapi dengan kabinet besi buruk yang dibentuknya semalam, kepercayaan rakyat sudah pun musnah sebaik mahu mula berlari di garisan permulaan lagi.

Bukan saja dengan menteri-menteri lama yang dikekalkan posisi atau ditukar jawatan yang tidak memberi apa-apa harapan buat rakyat, melantik Shahidan Kassim, Noh Omar dan Mahadzir Khalid dalam kabinet dengan sendirinya lebih memburukkan tanggapan.

Tiada mana-mana kelompok rakyat, tua atau muda, di bandar dan di desa, yang tertarik hati dengan kemasukan Shahidan, Noh dan Mahadzir ke dalam kabinet.

Berdasarkan reaksi negatif yang ditunjukkan rakyat sehingga ini, keberadaan Ismail Sabri jelas tidak diterima dan beliau dianggap lebih teruk jika dibandingkan dengan Mahiaddin sebelum ini.

Setidak-tidaknya ketika Mahiaddin membentuk kabinetnya dulu, ada juga yang memuji beberapa aspek perlantikannya, antaranya dalam mewujudkan jawatan menteri kanan yang dilihat sebagai suatu pembaharuan.

Hanya beberapa bulan kemudian, itu pun banyak disebabkan pendekatan, sikap, kelemahan dan ego Mahiaddin sendiri, barulah kerajaannya mula dikritik dan dikecam oleh rakyat, khususnya dalam kegagalan mengurus pandemik Covid19, tidak peka dengan suara rakyat dan asyik-asyik syok sendiri dengan perutusan khasnya.

Malang bagi Ismail Sabri, sususan kabinet yang seharusnya merupakan langkah awal untuk beliau meraih kepercayaan, kalau pun tidak puji-pujian, tetapia ia langsung tidak berlaku demikian atau seperti yang mungkin beliau sendiri harap-harapkan.

Menteri yang dilantik langsung tidak diterima dengan baik dan Ismail Sabri dianggap membentuk kerajaan yang sama sekali tiada harapan untuk rakyat meletakkan apa-apa sandaran atau kepercayaan kepadanya.

Selain Ismail Sabri sendiri adalah pemain nombor dua dalam pasukan kerajaan gagal pimpinan Mahiaddin, mengekalkan lagi menteri-menteri gagal dengan tambahan kemasukan pemain baru yang tidak lagi laku di pasaran seperti Shahidan, Noh dan Mahadzir, kejayaan apa yang boleh kita harapkan daripadanya?

Tidak mungkin berlaku keajaiban yang mampu menghasilkan keputusan berbeza melalui pemain dan format permainan yang masih sama.

Tidak perlu menunggu 100 hari untuk melihat kerajaan pimpinan Ismail Sabri ini mampu membuahkan sesuatu yang berbeza, belum 10 hari pun tanda-tandanya sudah ada di depan mata kita semua.

Di samping hari pertama memulakan tugas telah menunjukkan kegelojohan membawa kawan-kawan menaiki jet eksekutif milik kerajaan yang ditanggung melalui cukai rakyat, membentuk kabinet yang dikecam ramai dan menjadikannya dirinya tidak diyakini serta lebih teruk berbanding Mahiaddin, apa yang menunggu di depan Ismail Sabri sekarang ini hanya satu – kerajaan yang lebih gagal daripada sebelum ini.

Ismail Sabri adalah seperti seorang suami yang tidak dipercayai isteri dan keluarga mertua sejak hari pertama perkahwinan lagi, bolehkah rumahtangga bertahan lama? – ShahbudinHusin 28/08/2021.

RUU355: Adakah Idris Ahmad akan sia-siakan peluang kedua ini?

MALAYSIA DATELINE

Rata-rata rakyat negara ini khususnya umat Islam menaruh harapan begitu tinggi agar pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau dikenali sebagai RUU355 direalisasikan dalam kerajaan baru setelah Menteri Agama diberi kepada Pas.

Ketika Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyyuddin Hassan memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Parlimen dan Undang-undang beliau menegaskan RUU355 bukan keutamaan dan sebab itulah RUU itu tidak dibentangkan.

Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria berharap peluang kedua diberikan kepada Pas apabila naib presiden parti itu Idris Ahmad dilantik Menteri Agama ianya tidak disia-siakan

“Peluang keemasan untuk Pas bentang RUU355, ketika SUA PAS, Takiyuddin memegang jawatan Menteri JPM (Hal Ehwal Parlimen dan Undang2).

“Peluang itu telah disia-siakan PAS dengan alasan RUU355 bukan keutamaan pada masa 17 bulan itu.

“Kini, Peluang kedua PAS hadir lagi, bila Naib Presiden PAS, Idris dilantik Menteri Agama. Timbalan Menteri Agama, Marzuk dari PAS dikekalkan,” katanya.

Menurut Zaidi, pada 10 Mac 2021 Idris menegaskan Pas masih komited memperjuangkan RUU355.

“Apakah Idris akan melakukannya kali ini?

“Bila mereka bawa usul RUU355 dahulu, mereka tolak mentah-mentah hujah orang lain yang kata RUU355 bukan keutamaan.

“Bahkan mereka naik ke mimbar-mimbar masjid dan berkhutbah, membaca ayat-ayat mengenai orang munafik.

“Mereka tidak sebut nama, tapi terang dan jelas kepada siapa mereka tujukan dan maksudkan. ‘Sangat panas’ ketika itu, mereka begitu berapi-api menghukum orang yang tidak setuju dengan keutamaan mereka sebagai munafik.

“Ini bukan rekaan cerita. Ini sejarah yg benar,” tulisnya di Facebook.

Justeru katanya, Pas tidak boleh gagalm dalam memenuhi gesaan rakyat negara ini apabila peluang keemasan kali kedua yang terbuka kepada Pas.

“Jika kalian terus gagal kali ini, bertaubatlah kalian kerana menghukum orang sebagai munafik akidah suatu masa dulu.

“Jangan salahkan orang lain lagi. Jangan memunafikkan (munafik akidah) orang lain lagi. Orang lain kata bukan keutamaan, dihukum munafik akidah.

“Mereka kata bukan keutamaan, orang bertanya pun dikatakan ‘bisikan syaitan’,” katanya lagi.

Mac 2021, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan pusat sudah bersedia untuk dibawa ke rundingan bersama negeri-negeri dan memakumkan satu Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Bil 159 telah berlangsung pada 9 hingga 11 Mac lalu.

RUU355 menjadi agenda utama Pas dalam memperkasakan Mahkamah Syariah sehingga berlakunya satu himpunan di Padang Merbok bagi mendesak kerajaan BN ketika itu melaksanakan RUU355

Merajuk tak dapat jawatan ke?

‘Dah puas nikmati dunia politik,’ sekarang masa untuk saya berundur, kata Nazri

Durie Rainer Fong

KOTA KINABALU: Nazri Aziz akan bersara dari politik setelah enam penggal menjadi Ahli Parlimen, dan tidak akan bertanding dalam PRU15.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu memberitahu FMT, beliau berniat untuk berundur daripada arena politik sejak dua PRU lalu, namun akur kepada kehendak pemimpin Umno dan pengundi yang mahukannya terus berkhidmat.

Nazri yakin sekarang adalah waktu yang tepat untuknya bersara kerana generasi pemimpin Umno seterusnya seperti Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan Hishammuddin Hussein semakin mengukir nama dalam parti dan negara.

“Saya rasa, ketika kami (Barisan Nasional) kalah dalam PRU 2018, ada hikmahnya kerana selepas itu, kami tidak dapat jadi kerajaan dan tidak lagi memiliki kuasa membentuk Jemaah Menteri. Jadi, jauh lebih mudah (untuk berundur).

“Zaman kegemilangan (saya) akan berakhir, tapi tidak apa. Saya puas nikmati masa saya dalam politik. Saya berusia hampir 70 tahun sekarang, jadi berundur dengan cara baik sangat penting (bagi saya),” kata Nazri, 67.

Tambahnya, ada ramai ahli politik baharu bersedia menggantikannya pada masa ini. Beliau yakin keputusannya untuk bersara akan mendapat persetujuan parti dan pengundi Padang Rengas.

“Saya sudah bertahun-tahun mendokong amanah rakyat. Saya bermula sebagai pengerusi MARA pada 1990 selama lima tahun, berkhidmat sebagai timbalan menteri selama lima tahun, menteri selama 19 tahun dan Ahli Parlimen sejak 1995. Saya juga menjadi Senator pada 1990.

“Saya telah luangkan banyak masa untuk berkhidmat kepada rakyat, jadi kenapa perlu ada penyesalan?” katanya.

Ditanya siapa yang beliau cadangkan sebagai pengganti untuk mempertahankan kerusi Padang Rengas pada PRU15, Nazri berkata, keputusan itu bukan  di tangannya.

Nazri dikenali sebagai Ahli Parlimen Umno yang lantang bersuara. Beliau  antara ahli parti yang mendesak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan susulan perbalahan dalaman parti.

Sebelum itu, beliau  mahukan Muhyiddin Yassin mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri tetapi kemudian mengubah fikiran dan memutuskan untuk menyokong Muhyiddin.

Ismail lepaskan peluang keemasan untuk pulihkan keyakinan terhadap negara

MALAYSIA DATELINE

Selepas pertemuan bersejarah pemimpin pembangkang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub baru-baru ini, peluang terbuka cerah untuk membolehkan krisis keyakinan kepada kepimpinan negara pulih.

Rakyat juga dari pelbagai sektor memberikan sepenuh harapan agar kerajaan yang ada akan stabil dan sangat berharap kebajikan rakyat akan diberikan perhatian sepenuhnya.

Namun, PM Ismail nampaknya tidak mengambil peluang itu sepenuhnya untuk membuat perubahan persepsi kepada kerajaan gagal yang dilebelkan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Sepatutnya Ismail memberitahu kepada seluruh rakyat bahawa kerajaan ini bukan lagi kerajaan PN yang gagal dahulu. Ia sudah berubah dan bersedia untuk berubah bagi membolehkan negara kita keluar dari pandemik Covid-19 dan akibatnya kepada ekonomi negara.

Ia sepatutnya dimulakan Ismail melalui pembentukan kabinet beliau yang diumumkan kelmarin dan akan mengangkat sumpah Isnin ini.

Hampa. Awak telah melepaskan peluang terbaik. Itulah reaksi rakyat negara ini terhadap kabinet yang diumumkan oleh Ismail.

Bahkan awak telah mengangkat semula menteri yang disebut dengan jelas oleh Yang Dipertuan Agong sebagai menteri yang cuba mengelirukan rakyat dan negara.

Tanyalah siapa sahaja di negara ini dan itulah jawapan mereka. Sudahlah media luar sudah melebelkan kerajaan korup bakal kembali berkuasa di negara ini apabila Ismail dilantik sebagai PM, kini Ismail sendiri sudah menolak sedikit sinar yang cuba diberikan kepada negara melalui pertemuan dengan pemimpin pembangkang yang mempunyai 105 sokongan dari 220 anggota Dewan Rakyat itu.

Bacalah pandangan pelbagai pihak terhadap pengumuman barisan kabinet Ismail yang kekal terlebih sais dan mengekalkan muka lama yang jelas gagal itu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sendiri menganggap senarai anggota Jemaah Menteri yang diumumkan semalam, tidak memberangsangkan.

Beliau mengharapkan agar PM Ismail akan membentuk satu Kabinet bipartisan atau merentas parti ketika waktu pandemik ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai sokongan 105 ahli Dewan Rakyat, kurang sembilan dari Ismail, juga turut melahirkan kekecewaan beliau selepas Ismail mengumumkan kabinetnya.

Beliau menyifatkan kebinet baru yang dibentuk ini tidak mampu untuk menyuntik semangat baru bagi menyakinkan pelabur dalam atau luar negara.

Menurut Anwar, menteri yang ada sekarang merupakan mereka yang berada dalam kabinet sebelum ini yang mana lebih satu setengah tahun tidak ada kemajuan yang membanggakan.

Anwar yang berharap satu perubahan yang berlaku dalam pembentukan kabinet baru ini selepas pertemuan beliau serta dua rakannnya dengan Ismail, tetapi ia tidak berlaku.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa pula berkata, harapannya yang mahukan kabinet bersaiz kecil dan menteri-menteri berprestasi lemah diganti, nampaknya tidak tercapai.

“Harapan saya Kabinet yang akan diumumkan bersaiz kecil. Tukar mereka yang berprestasi lemah. (Buat) pelantikan atas merit. Tiada lagi Duta Khas bertaraf Menteri dan menteri yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditukar.

“Malangnya, barisan Kabinet nampaknya kitar semula atau PN 2.0, ‘wish list’ saya dan rakyat tak tercapai. Keluarga besar Malaysia kekal tertanya-tanya apakah badi Sheraton masih menghantui Ismail?,” soalnya dalam satu respon segeranya selepas Ismail mengumumkan senarai anggota Kabinetnya.

Kabinet Ismail mempunyai 69 Jemaah Menteri dengan 31 menteri dan 38 timbalan menteri iaitu mempunyai sais yang sama dengan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Mahiaddin Yassin dan lebih teruknya ia kini dikawal oleh Umno, parti yang ditolak oleh rakyat dalam PRU 14 lalu.

Kini, seorang ahli parlimen pembangkang dari AMANAH, Mohamed Hanipa Maidin mempersoalkan, apakah perjanjian kerjasama antara pembangkang dengan Ismail itu sah.

“Ekoran dari berita di media ini ada soalan yang timbul. Adakah perjanjian kerjasama ini adalah sah dan boleh dikuatkuasakan?.

“Pada hemat saya, perjanjian kerjasama ini meskipun telah di “reduced into writing”, ia hanya sekadar persefahaman longgar antara beberapa pemain politik dan TIDAK berstatus sebuah kontrak yang SAH, MUKTAMAD dan ia juga TIDAK BOLEH DIKUATKUASAKAN.

“Dengan kata lain, ia tidak boleh mengikat mana-mana pihak dari sudut perundangan. Lagipun tidak jelas adakah perjanjian itu sekiranya boleh mengikat sekalipun, adakah ia juga mengikat parti- parti pembangkang di luar PH?” kata beliau dalam satu tulisannya di Malaysia Dateline.

Apa salahnya pindahkan Surau Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ini ke lokasi lain…

ANBAKRI HARON

Keunikan seni bina masjid atau surau dan rumah-rumah ibadah peninggalan silam atau binaan masa kini yang tidak terpisah dari roh peradaban lalu di Malaysia banyak tertumpu kepada ciri-ciri khas binaannya seperti aspek bumbung, kubah, menara, mimbar dan mihrab.

Di samping itu, binaan masjid juga terpancar dari hal-hal yang dampak hasil dari kehalusan presentasi keindahan yang telah disampaikan lalu dapat terzahir pada sekelian hiasan dan ornamen yang digantung dipelbagai bucu, sudut, ruang dan serambinya.

Ini sering menyentuh aspek seni ukir dan seni khat yang melambangkan kehalusan seni budaya Melayu di alam nusantara.

Bentuk bangunan. Hiasan permukaan. Kaligrafi Islam dan ornamen corak geometri yang “interlace” – ini semua ada serba sedikit terakam di dalam seni reka surau unik ini.

Ya, ia kecil tetapi ia masih sempat memuat, merakam dan memancarkan serba sedikit pelbagai kraf kesenian hasil pemikiran dan kebijakan seni nenek moyang kita dahulukala.

Akhirnya bangunan telah diatur untuk mengalah. Pada 24 Ogos 2021, ia ditarik untuk tenggelam disebatikan dengan bumi buat selama-lama.

Apa erti kecintaan jika ia tidak disusuli dengan kecermatan. Apa erti kesabaran jika ia digelojohi oleh kesegeraan membuat keputusan lalu apa yang bersifat pemuliharaan ditolak tepi?

Surau Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra:

Fakta 1). Pada saya, tentu ada siri mesyuarat yang telah diatur antara Kerajaan Negeri dengan MOT, DCA , Perbadanan Muzium atau pihak penguasa lapangan terbang. Saya percaya, ini telah berlaku.

Fakta 2). Semua pihak akur yang surau ini tidaklah termasuk dalam senarai bangunan sejarah justeru ia dibina baru kira-kira 30 tahun lalu.

Fakta 3). Yang ramai rasa terkilan ialah apakala bangunan yang ada sentuhan klasik, yang unik ; yang dilihat “taat kepada hukum senibina” sebuah masjid atau surau Islam Melayu dari segi nilai reka bentuk seninya; tiba-tiba tidak diberi layanan mesra dari sebuah kerajaan Islam Melayu sewaktu; lalu ia dirobohkan. Ini kepelikan !

Apa salahnya ia dilakukan dengan lebih cermat , antara lain misalnya:

3.1). Dirombak dengan lebih teliti untuk tujuan dipindah dan digunapakai di tempat yang lain kalau pun untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembesaran lapangan terbang. Jika dirombak dan dipasang siap semula di Tunjong atau di PCB, apa salahnya ?

3.2). Ini soal mengambil inisiatif tambahan yang sifatnya lebih sedikit dan berfikir lebih sedikit demi menghargai sebuah fasiliti; benda yang dah ada. Pindahkan saja ke lokasi lain yang strategik – apa salahnya?

3.3). Jika berfikir hening sedikit, akan ada-ada sajalah kaedahnya. Insya Allah, jika kita sama-sama jujur, pandailah Allah menganugerahi sebuah ilham pendekatan yang lebih mesra.

3.4). Ramai orang yang pernah menggunakan kemudahan surau ini memang terkesan kerana seni bina surau dan masjid kecil ini cukup indah – ini yang sebetulnya! Ia dilihat amat bersepadu dengan pintu gerbang yang dibina dan berada tidak jauh darinya.

3.5). Bahkan setakat yang mampu ditarikh, masjid dan surau ini dibina serentak. Ia dibina dengan konsep 3 serangkai yakni masjid, perkampungan kraftangan dan pintu gerbang rehal yang sememang telah menjadi sebuah mercu tanda.

3.6). Ketiga-tiga seni bina ini amat menyentuh denyut nadi seni bina sebuah bandar budaya bernama Kota Bharu, bagai yang pernah kerajaannya sendiri mewartakannya, sebelum ini di sedikit masa.

3.7). Masjid ini cukup “cute.” Ia berbudaya dan ia genit lagi bergaya. Bergaya seni bina akitektur timur, ia beraurakan kemasyhuran pemerintahan Puteri Saadong dan Cik Siti Wan Kembang. Ia menghimbau sebuah nostalgia.

3.8) Bahkan, pergi lebih jauh, kita boleh “capitalise” aspeknya dengan membuat pelbagai usaha pengukuhan serba sedikit lagi. Ini diikat dengan aspek naratif persejarahan, sekali gus tarikan pelancongan.

3.9). Isunya di sini, ia kurang dicermati. Dengan jentera jengkaut yang berlengan panjang dan segagah itu, sudah dapat kita bayangkan “degree” kemusnahan yang telah dilakukan. Pendekatan ‘total damage’ jenis ini jarang berlaku melainkan dilakukan oleh penguasa yang alpa. Sayang, tiada disedari akan perihal pangkal hujung dan jatuh kemusnahannya.

3.10). Nak bina surau atau masjid seklasik ini. Entah , saya tak nampak mampu dilakukan dalam upaya dan komitmen terkini pihak berkuasa yang sedia ada. Ya, meruntuh lebih senang dari membina, demikian lazimnya.

3.11). Dalam bahasa loghat, izin saya petik sebuah keluhan seorang teman akrab saya yang saya selalu panggil Deng jah (#Nourdin Anwar):

“Taktau lah War, baso jenis mano? Surau comel llotey – molek ggitu mor. Ya kauk sodok gitu jah. Ore rombok la, gi pasang tempat lain pulok. Pasang di PCB ko. Palo buleh. Tidok bbazir. Bukae main lawa. First class War. Uh, basso . Tok jadi apo,”.

Penulis merupakan bekas Setiausaha Politik Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Ini kabinet kerajaan gagal, PH wajar teliti semula bentuk kerjasama

MALAYSIA DATELINE

Kabinet baru yang diumumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ternyata mengundang kritikan seolah-olah menunjukkan beliau ketandusan pemimpin yang berkebolehan untuk diberi tanggungjawab sebagai Menteri dalam kerajaan.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional Muhammad Taquiddin Che Man berkata, dengan hanya membuat rombakan kecil untuk beberapa portfolio, sebahagian besar menteri yang berada dalam kebinet semasa Tan Sri Mahiaddin Md. Yasin mengetuai kerajaan dikekalkan meskipun telah terbukti gagal.

Dalam pada itu, katanya barisan kabinet ini juga dilihat gagal menterjemah aspirasi rakyat yang mahu sebuah pasukan baharu yang lebih berwibawa untuk membawa Malaysia keluar dari masalah yang sedang dihadapi.

“Pemuda AMANAH juga ingin melahirkan kebimbangan sama ada jalinan kerjasama antara kerajaan bersama Pakatan Harapan yang dirundingi baru-baru ini mampu mencapai agenda reformasi dalam menggubal dasar serta polisi pro-rakyat seperti yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, beliau menggesa agar pertimbangan dan penelitian yang lebih mendalam dibuat oleh Pakatan Harapan sebelum sebarang bentuk kerjasama atau persefahaman dimaterai bersama kerajaan.

“Kami bimbang sekiranya semua yang dipersetujui tidak ditunaikan seperti yang diharapkan, ia sekali gus mengheret PH bersama dalam menanggung kegagalan kerajaan di bawah pimpian Ismail Sabri ini,”katanya.

Hari ini, Perdana Menteri Ismail Sabri mengumumkan senarai menteri kabinetnya di mana ramai muka-muka menteri lama dikekalkan cuma beralih portfolio sahaja.

Di mana Datuk Sri Azmin Ali sekali lagi menerajui Kementerian MITI yang banyak mengundang kritikan rakyat kerana isu sektor perkilangan antara faktor terbesar kepada penularan COVID-19 khususnya di Selangor.

Kem Zahid paling tak untung

Kabinet: Siapa masuk, siapa keluar dan maksud di sebaliknya

Malaysiakini 

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilihat cuba menstabilkan kerajaan dengan mengekalkan keseimbangan kuasa antara parti-parti kerajaan.

Banyak faktor diambil kira, termasuk kesesuaian, keseimbangan gabungan, politik parti serta perkumpulan-perkumpulan pemimpin.

Dia juga perlu mengambil kira rungutan berterusan Umno bahawa mereka mendapat kedudukan yang tidak setara dengan jumlah sokongan dalam parlimen.

Walaupun jumlah besar kabinet Muhyiddin Yassin - dengan 70 menteri dan timbalan menteri - dikritik hebat sebelum ini, demi semua pertimbangan di atas, Ismail mengekalkan jumlah sama.

Kabinet Pakatan Harapan (PH) sebelum ini hanya mempunyai 55 anggota.

Bukan saja mengekalkan jumlahnya, Ismail juga mengekalkan hampir semua lantikan Muhyiddin.

Tidak termasuk Ismail, hanya lima menteri baru dilantik, 16 menteri dikekalkan portfolio manaka 10 lagi ditukar kementerian.

Bagi timbalan-timbalan menteri pula, hanya empat muka baru dilantik, sementara 23 lagi dikekalkan (termasuk portfolio sama) dan 11 lagi ditukar.

Berikut antara rumusan utama berkaitan kabinet Ismail:

Pengembangan pengaruh Umno

Dalam kabinet Muhyiddin yang juga presiden Bersatu, paling banyak pemimpin Bersatu dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

Sekarang, perkara sama cuba dipastikan Ismail sebagai pemimpin Umno.

Perbandingan antara kedua-dua kabinet boleh dilihat di bawah:

Kini, jumlah menteri Umno lebih ramai berbanding Bersatu.

Bagaimanapun, anggota parlimen Bera itu “tidak mengambil terlalu” banyak daripada Bersatu.

Dia sebaliknya menggugurkan menteri agama Zulkifli Mohamad, bekas mufti yang dilantik senator dan tidak mewakili mana-mana parti.

Kekosongan itu membolehkan Umno mengisi “kuota” itu. Umno juga mengambil satu tempat yang disandang kerusi Bersatu sebelum ini.

Bagaimanapun, Bersatu masih mempunyai jumlah timbalan menteri yang paling ramai.

Sama seperti formula lantikan menteri, Umno mengambil satu kerusi timbalan menteri daripada Bersatu. Satu lagi diambil daripada Star.

Ia membuatkan parti Sabah sekutu Bersatu itu tidak mempunyai sebarang wakil dalam kabinet.

Bagaimanapun, sebagai gabungan, PN masih mempunyai menteri dan timbalan menteri paling ramai.

Kerajaan Ismail disokong oleh PN, BN, GPS, PBS dan anggota parlimen bebas.

PN melibatkan Bersatu, PAS, Star. Gerakan dan SAPP juga mengganggotai PBN tetapi tidak mempunyai sebarang kerusi parlimen.

BN pula merangkumi Umno, MCA, MIC dan PBRS manakala GPS dianggotai oleh PBB, PRS, PDP and SUPP.

Kem Zahid paling tak untung

Laluan untuk Ismail terbuka selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan 14 anggota parlimen Umno menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.

Namun selepas peralihan tampuk kekuasaan, seramai sembilan menteri daripada kem Ismail (termasuk dirinya) dilantik manakala hanya dua daripada kem Zahid dipilih.

Anggota parlimen Lenggong Shamsul Anuar Nasarah, daripada kumpulan 15 itu, yang meletakkan jawatan bagi menekan Muhyiddin, tidak dilantik ke dalam kabinet.

Kekosongan ini bagaimanapun diisi oleh muka baru, iaitu anggota parlimen Tanjung Karang Noh Omar yang juga daripada kem Zahid.

Satu-satunya menteri dilantik daripada kem Zahid ialah anggota parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad. Noraini turut meletakkan jawatan dalam kabinet Muhyiddin.

Selain itu, anggota parlimen pengerang MP Azalina Othman Said, daripada kem Zahid, turut tidak dilantik memegang sebarang jawatan, walaupun dia telah mengosongkan kerusi timbalan speaker Dewan Rakyat.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan juga diketepikan, walaupun terhadap desakan supaya dia dilantik sebagai menteri kewangan,

Ismail sebaliknya mengekalkan bekas pegawai kanan bank Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang tidak mewakili mana-mana parti di jawatan itu.

Kem Azmin kekal tapi hilang portfolio penting

Pengurangan penguasaan Bersatu berpunca daripada pengurangan kem Muhyiddin (anggota asal bersatu) dan kem Hamzah Zainudin (kumpulan yang melompat dari Umno ke Bersatu selepas PRU15).

Kem Azmin, terdiri daripada bekas anggota parlimen PKR, tidak diusik.

Kem Azmin mengekalkan tiga menteri, enam timbalan menteri, walaupun berlaku perubahan portfolio.

Portfolio-portfolio baru ini juga dilihat boleh melemahkan pengaruh kumpulan ini.

Orang kuat Azmin, Zuraida Kamaruddin misalnya dipindahkan daripada kementerian perumahan ke kementerian perladangan dan komoditi:

Kementerian perumahan mempunyai kaitan yang kuat dengan kerajaan tempatan, yang memberikan akses kepada sokongan akar umbi.

Saifuddin Abdullah pula dipindahkan daripada kementerian komunikasi ke kementerian luar, portfolio lamanya ketika berada dalam kerajaan Pakatan Harapan.

Walaupun kementerian luar dilihat lebih berprestif, kementerian komunikasi bagaimanapun amat berguna untuk tujuan-tujuan propaganda dan pengaruh politik.

Anwar: Bagaimana nak bukti dalam 100 hari, bila gagal selama 17 bulan

Malaysiakini 

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim membidas pembentukan barisan kabinet oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang dilabelnya sebagai kabinet 'kitar semula'.

Ini susulan pengumuman barisan kabinet pagi tadi yang hanya menyaksikan lima menteri dan empat timbalan menteri baru.

Selebihnya 26 menteri (tidak termasuk Ismail Sabri) dan 34 timbalan menteri sama ada dikekalkan dalam portfolio yang sama atau dirombak.

"Negara menghadapi krisis akibat Covid-19, yang lebih meruncing dan masalah ekonomi yang menekankan rakyat terutama golongan bawahan.

"Tetapi, langkah yang diambil (oleh Ismail Sabri) hanya dikitar semula menteri-menteri yang tidak menunjukkan keupayaan, menangani masalah ini secara berkesan," katanya secara langsung menerusi Facebook.

Pemimpin Pas nikah online dan pemimpin dikatakan kantoi bawa janda di SJR digugur dari kabinet

MALAYSIA DATELINE

Dua pemimpin Pas hilang dari Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub apabila nama Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dan Datuk Che Abdullah Mat Nawi hilang tiada dalam pengumuman kabinet pagi ini.

Kedua-duanya digantikan oleh Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad yang dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) manakala Datuk Nik Zawawi Salleh dilantik sebagai timabalan menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Khairuddin sebelum ini dikaitkan dengan tindakan menjual tanah milik Lembaga Getah Malaysia (LGM), dikaitkan dengan kes satu sekatan jalan raya serta melanggar SOP yang ditetapkan oleh kerajaan sendiri.

Che Abdullah pula hilang jawatan timbalan menteri Pertanian dan Industri Asas Tani selepas terlibat dalam perkahwinan dengan isteri ketiga beliau secara online ketika kerajaan mengenakan PKP penuh di seluruh negara.

Namun begitu, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan masih kekal dalam kabinet walaupun nama beliau dikecam dalam satu kenyataan Yang Dipertuan Agong sebelum ini.

Takiyuddin ditukarkan dari Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

'Kerajaan gagal' cuti dua minggu kini kembali masuk bertugas?

Syed Saddiq: PM bazirkan peluang tak lantik Azalina, Asyraf Wajdi

Malaysiakini

Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

menyifatkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah membazirkan peluang dalam pemilihan kabinetnya.

Syed Saddiq membangkitkan beberapa nama, yang menurutnya, patut dilantik sebagai menteri, iaitu anggota parlimen Pengerang Azalina Othman Said, Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan dan serta Timbalan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari.

“Mengapa lantik lagi menteri yang jelas tidak mempunyai prestasi yang baik? Mengapa pemimpin yang ada rekod buruk masih lagi jadi sebahagian dari Kerajaan ini?

“Jadi kerajaan gagal sebelum ini hanya mengambil cuti lebih kurang dua minggu sebelum kembali masuk bertugas,” katanya.

------

Ini kabinet PN 2.0, kata pembangkang

B Nantha Kumar

Pembangkang mengkritik komposisi kabinet Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang memaparkan majoriti muka-muka sama dengan kerajaan lama.

"Ini bukan kerajaan baru. Timbalan perdana menteri dahulu naik jadi perdana menteri dengan sokongan 114 orang-orang yang sama.

"Yang dibuat ialah kekal muka lama dan diberi portfolio baru dengan prestasi sebagai menteri sudah diketahui umum - gagal.

"PM akan dihantui persepsi bahawa dia memimpin kerajaan PN 2.0," kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution ketika dihubungi.

Barisan kabinet baru ini dijadual akan mengangkat sumpah jawatan pada Isnin depan.

Tidak ada jawatan timbalan perdana menteri diwujudkan.

Bagaimanapun, Ismail mewujudkan jawatan empat "menteri kanan" seperti mana yang pernah dilakukan ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin sebelum ini.

"Amat jelas PM terpaksa mengimbangi sokongan politik parti-parti dalam kerajaan dalam memilih barisan kabinet, bimbang sokongan kepada dirinya tergugat.

"Juga jelas bahawa PM tidak mengambil kira pendapat MKT (Majlis Kerja Tertinggi) Umno dengan mengenepikan pimpinan utama seperti Timbalan presiden Umno Mohamad Hasan dan Naib presiden Khaled Nordin," kata Saifuddin.

Hanya dua orang daripada kem Presiden Umno Zahid Hamidi - Dr Noraini Ahmad dan Noh Omar - dilantik dalam kabinet baru hari ini.

‘Kitar semula’

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran berpendapat bahawa kabinet baru hari ini sebagai 'kitar semula'.

"Ini adalah kabinet kitar semula. Persepsi rakyat adalah pentadbiran baru. Tapi, tidak ada banyak perubahan," katanya kepada Malaysiakini.

Bekas menteri Sumber Manusia itu turut mendakwa bahawa Ismail Sabri melepaskan peluang keemasan membawa masuk pakar yang boleh mengendali pandemik.

"Kabinet sebelum ini semasa BN dan PH berbeza. Ketika itu, ketika itu kita tidak ada situasi pandemik.

"Tapi, sekarang Malaysia menderita dengan pandemik Covid-19. Kerajaan PN sebelum ini tidak ada pakar di kalangan menteri yang tahu cara menangani situasi pandemik ini.

"Ismail Sabri sepatutnya sedar situasi sekarang sangat berbeza. Dia seharusnya lantik seorang pakar bukan dari kalangan ahli politik untuk menguruskan pandemik Covid-19. Bukan dari kalangan sama yang ternyata gagal sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Ibrahim Ali berkata bahawa tidak ada kejutan besar dalam pengumuman kabinet baru hari ini.

"Dalam kata lain tidak ada kejutan besar dan ia pasukan lama," katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Barisan kabinet hari ini menampilkan beberapa muka baru.

Selain Noh Omar, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu (Menteri Belia dan Sukan), Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid (Menteri Pembangunan Luar Bandar), Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim ( Menteri Wilayah Persekutuan) dan Idris Ahmad sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Senarai Jemaah Menteri, Timbalan Menteri dan portfolio masing-masing

Berikut anggota Jemaah Menteri dan portfolio masing-masing:

1. Kewangan: Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

2. Perdagangan Antarabangsa dan Industri: Mohamed Azmin Ali

3: Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna: Alexander Nanta Linggi

4. Tenaga dan Sumber Asli: Takiyuddin Hassan

5: Perusahaan Perladangan dan Komoditi: Zuraidah Kamaruddin

6: Pertanian dan Industri Asas Tani: Ronald Kiandee

7: Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan: Nancy Shukri

8. Pembangunan Usahawan dan Koperasi: Noh Omar

9. Pembangunan Luar Bandar: Mahadzir Khalid

10: Perumahan dan Kerajaan Tempatan: Reezal Merican Naina Merican

11. Sumber Manusia: Saravanan Murugan

12. Kesihatan: Khairy Jamaluddin Abu Bakar

13. Pendidikan: Mohd Radzi Md Jidin

14. Pengajian Tinggi: Noraini Ahmad

15. Hal Ehwal Dalam Negeri: Hamzah Zainuddin

16. Hal Ehwal Luar Negeri: Saifuddin Abdullah

17. Pertahanan: Hishammuddin Hussein

18. Kerja Raya: Fadillah Yusof

19. Pengangkutan: Wee Ka Siong

20. Komunikasi dan Multimedia: Annuar Musa

21. Alam Sekitar: Tuan Ibrahim Tuan Man

22. Sains, Teknologi, dan Inovasi: Adham Baba

23. Wanita, Keluarga, dan Masyarakat: Rina Harun

24. Belia dan Sukan: Ahmad Faizal Azumu

25: Perpaduan Negara: Halimah Mohamed Sadique

26. Wilayah Persekutuan: Shahidan Kassim

Berikut Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan portfolio masing-masing:

1. Ekonomi: Mustapa Mohamed

2. Hal Ehwal Sabah dan Sarawak: Maximus Johnity Ongkili

3. Undang-undang: Wan Junaidi Tuanku Jaafar

4. Hal Ehwal Agama: Idris Ahmad

5. Tugas-tugas Khas: Abdul Latiff Ahmad

Berikut Timbalan Menteri dan portfolio masing-masing:

1. Kewangan: Mohd Shahar Abdullah dan Yamani Hafez Musa

2. Perdagangan Antarabangsa dan Industri: Lim Ban Hong

3: Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna: Rosol Wahid

4. Tenaga dan Sumber Asli: Ali Biju

5: Perusahaan Perladangan dan Komoditi: Wee Jeck Seng dan Willie Mongin

6: Pertanian dan Industri Makanan: Ahmad Hamzah dan Nik Muhammad Zawawi Salleh

7: Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan: Santhara Kumar Ramanaidu

8. Pembangunan Usahawan dan Koperasi: Muslimin Yahaya

9. Pembangunan Luar Bandar: Abdul Rahman Mohamad dan Hasbi Habibollah

10: Perumahan dan Kerajaan Tempatan: Ismail Abdul Mutalib

11. Sumber Manusia: Awang Hashim

12. Kesihatan: Noor Azmi Ghazali dan Aaron Ago Dagang

13. Pendidikan: Mah Hang Soon dan Mohamad Alamin

14. Pengajian Tinggi: Ahmad Masrizal Muhammad

15. Hal Ehwal Dalam Negeri: Ismail Mohamed Said dan Jonathan Yassin

16. Hal Ehwal Luar Negeri: Kamarudin Jaffar

17. Pertahanan: Ikhmal Hisham Abdul Aziz

18. Kerja Raya: Arthur Joseph Kurup

19. Pengangkutan: Henry Sum Agong

20. Komunikasi dan Multimedia: Zahidi Zainul Abidin

21. Alam Sekitar: Mansor Othman

22. Sains, Teknologi, dan Inovasi: Amzad Mohamed @ Hashim

23. Wanita, Keluarga, dan Masyarakat: Siti Zailah Mohd Yusoff

24. Belia dan Sukan: Ti Lian Ker

25: Perpaduan Negara: Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal

26. Wilayah Persekutuan: Jalaluddin Alias

Ismail Sabri lantik 4 menteri kanan, tiada TPM

FMT Reporters

PETALING JAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menamakan anggota Jemaah Menterinya hari ini, dan empat menteri kanan.

Empat menteri kanan yang diumumkan Hishammuddin Hussein (Umno), Mohamed Azmin Ali (Bersatu), Radzi Jidin (Bersatu), dan Fadillah Yusof (Gabungan Parti Sarawak).

Setakat pengumuman hari ini, tiada seorang wakil rakyat dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Perkembangan ini di sebalik spekulasi seorang pemimpin Bersatu akan dinamakan sebagai timbalannya.

Ismail mengangkat sumpah perdana menteri ke-9 Sabtu lalu.

Senarai kabinet baru adalah seperti berikut:

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri): Azmin Ali

Menteri Kanan (Pertahanan): Hishammuddin Hussein.

Menteri Kanan (Kerja Raya): Fadillah Yusof.

Menteri Kanan (Pendidikan): Mohd Radzi Md Jidin.

Menteri Kewangan: Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menteri Kesihatan: Khairy Jamaluddin

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi: Dr Adham Baba

PM tidak harus lepaskan tiga peluang ini

SHAHBUDIN HUSIN

Bukanlah perkara biasa bagi Perdana Menteri menjemput Ketua Pembangkang dan pemimpin utama blok pembangkang datang ke pejabatnya sebaik dilantik memegang jawatan tersebut.

Biasanya yang lebih dulu dipelawa datang ke pejabat apabila dapat jawatan besar seperti Perdana Menteri ini ialah penyokong dan rakan sekutu yang selama ini memang diketahui merupakan penyokongnya.

Biasanya juga, inilah masanya untuk sesama sendiri meraikan kejayaan, bergelak ketawa, berpeluk-peluk sambil menawarkan apa yang boleh ditolong dan meminta-minta kedudukan bagi keselesaan hidup masa depan.

Tetapi, Ismail Sabri Yaakob sebaik mengangkat sumpah pada 21 Ogos lalu dan baru memulakan tugas rasminya pada 23 Ogos nampaknya telah melakukan pendekatan yang berbeza.

Di hari ketiga memulakan tugas rasminya, beliau telah menjemput Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan dua pemimpin utama PH, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng datang ke pejabat untuk berbincang beberapa isu berkaitan negara dan kepentingan rakyat.

Yang nyata, dengan apa yang dilakukan Ismail Sabri ini ialah beliau sedar cabaran di depannya adalah besar dan jawatan Perdana Menteri yang dipikulnya bukanlah anugerah selepas menang perang, namun merupakan amanah serta tanggungjawab yang harus ditunaikan sebaik mungkin.

Meskipun pertemuan beliau dengan pemimpin PH semalam menimbulkan pelbagai tafsiran – ada yang senang, cemas, susah hati dan tidak mustahil ada yang mula mata bergenang, pada peringkat awal ini sekurang-kurangnya tiga perkara ini tidak harus dilepaskan peluang untuk dilakukannya.

Pertama, pada sesi Parlimen September akan datang ini, Ismail Sabri harus tidak berlengah lagi untuk mengabsahkan sokongan majoriti yang dimilikinya.

Jangan lagi meniru gaya Mahiaddin Md Yasin yang takut dengan Parlimen dan berlengah-lengah membenarkan sidang serta tergamak mendaruratkan institusi tersebut.

Dengan adanya jaminan Anwar dan PH semalam bahawa mereka akan menyokong undi percaya di Parlimen, ini adalah peluang terbaik untuk beliau membuktikan dirinya lebih jantan berbanding Mahiaddin serta untuk mengelakkan jawatan yang dipegangnya dipertikai serta diperlecehkan secara berterusan.

Walau bukan keperluan, tetapi dengan berani mengabsahkan jawatannya di Parlimen, gangguan tentang majoritinya tidak akan berbangkit lagi.

Ambillah teladan Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Badawi yang sebaik mereka dilantik sebagai Perdana Menteri, masing-masing telah bertindak mendapatkan mandat sokongan Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Kedua, perkara yang paling dinanti-nantikan oleh rakyat dalam minggu ini adalah pembentukan Kabinet dan pelantikan menteri-menteri.

Berikutan pertemuan Ismail Sabri dengan Anwar, Mohamad Sabu dan Guan Eng semalam, bermakna inilah pertama kali Perdana Menteri bertemu pemimpin-pemimpin pembangkang terlebih dahulu sebelum beliau menyusun barisan Kabinetnya.

Dalam suasana krisis kesihatan, ekonomi dan politik yang sedang melanda negara, kalau tidak membentuk kerajaan perpaduan pun tidak mengapa.

Apa yang paling sederhana rakyat harapkan adalah Kabinet kali ini sekurang-kurangnya mestilah lebih kecil dan tidak dibarisi mereka yang tidak berwibawa serta tidak berguna yang ada dalam era kepimpinan Mahiaddin sebelum ini.

Bentuklah Kabinet yang kecil dengan menteri yang sedikit, tetapi di dalamnya penuh dengan pemimpin yang mempunyai otak yang besar, bukan pemimpin mulut besar dengan cakap atau kenyataan mereka lebih membuatkan rakyat meluat mendengarnya.

Dengan adanya jaminan PH untuk menyokong usul percaya juga, Ismail Sabri tidak perlu risau lagi untuk melantik atau mengenepikan sesiapa.

Malah, beliau boleh tidak ambil peduli jika ada yang cuba mengugut atau mengancam menarik sokongan lantaran tidak dilantik sebagai menteri atau tidak diberikan jawatan lebih besar daripada itu.

Pedulikan mereka, sekarang adalah masa untuk mengutamakan rakyat dan negara, bukan menjaga perut dan nafsu mereka yang haloba.

Ketiga, imej yang ada pada Ismail Sabri sekarang ialah beliau diangggap merupakan pewaris kerajaan gagal yang ditinggalkan Mahiaddin sebelum ini dan beliau mesti segera keluar daripada persepsi itu.

Jika susunan Kabinet, jumlah menteri dan mereka yang dilantik lebih memperlihatkan sikap tunduknya kepada faktor-faktor tertentu berasaskan kelompok atau parti, Ismail Sabri dijangka akan berdepan masalah yang sama atau mungkin lebih parah daripada Mahiaddin dahulu.

Lagi pun, PRU mungkin tidak berapa lama lagi perlu diadakan, pertengahan tahun depan sebaik-baiknya ia harus dilangsungkan untuk mengembalikkan kestabilan secara total kerana mandat yang ada sekarang adalah lanjutan daripada sebuah pengkhianatan.

Untuk itu, tidak perlu ada menteri yang ramai dan lebih tidak perlu juga untuk dilantik ialah muka-muka lama yang usang yang nampaknya masih kemaruk lagi untuk berada dalam kerajaan.

Bakat-bakat baru daripada kalangan pelapis parti atau profesional yang berkelayakan harus diberi peluang menunjukkan kedudukan mereka sebagai pelapis kepimpinan negara.

Dengan tiga perkara di atas, jika diambil perhatian oleh Perdana Menteri selepas pertemuannya dengan pemimpin-pemimpin PH semalam, beliau akan lebih berpeluang untuk diterima serta diyakini dengan lebih baik lagi.

Calon TPM: Kambing 92%, Azmin 5%

Azmin dahului Hamzah dalam undian siapa calon TPM, tetapi 92% undi ke…

SURI LAILA

Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendahului dalam undian calon Timbalan Perdana Menteri yang digerakkan warganet, sekaligus mengalahkan saingan rapat beliau iaitu Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Undian tersebut digerakkan pengguna Twitter @zack_rockstar.

Daripada keseluruhan 7,339 warganet yang mengundi, 5 peratus daripada pengundi menyokong Azmin untuk dilantik sebagai TPM di dalam Kabinet Ismail Sabri.

Bekas Menteri Dalam Negeri, Hamzah pula hanya mendapat 1 peratus undian dari lebih 7,000 pengundi.

Tidak ketinggalan, bekas penasihat kepada Tan Sri Mahiaddin Md Yasin iaitu Faizal Azumu turut dinamakan dalam undian calon TPM, dan memperoleh undian sebanyak 3 peratus.

Bagaimanapun kesemua mereka dikalahkan dengan ‘kambing’ yang mendapat 92 peratus undian warganet.

Menjelang pengumuman Kabinet baru, Azmin dan Hamzah antara nama yang disebut-sebut sebagai calon timbalan perdana menteri.

Senarai jemaah menteri difahamkan akan diumumkan dalam minggu ini.

Biadab jadikan ibadah sebagai bahan persenda politik - Tuan Ibrahim

Malaysiakini

PAS menyelar sikap pihak-pihak tertentu yang mempersenda ibadah anggota Jabatan Amal Malaysia (Jabatan Amal) parti itu yang dijadikan sebagai bahan gurauan atau hasut maya (troll) politik.

Timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata solat mesti dilaksanakan setelah memenuhi syarat dan rukunnya walaupun di mana saja.

"Paling penting adalah menjaga solat.

"Amat biadab jika ibadah solat yang diwajibkan dan diharuskan dalam keadaan tertentu dijadikan bahan gurauan atau troll politik oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu tulisan di Facebook, hari ini.

Tulisan anggota Parlimen Kubang Kerian itu dibuat dengan merujuk kepada ejekan sesetengah pihak terhadap gambar yang mempamerkan anggota Jabatan Amal mengerjakan solat berjemaah di kawasan air terjun serta berbatuan di Yan, Kedah.

Mereka adalah sebahagian daripada sukarelawan yang terbabit membantu kerja-kerja pemulihan kawasan dilanda kepala air di kaki Gunung Jerai baru-baru ini.

Terdahulu, gambar tersebut tular di media sosial dengan pelbagai komen dan sindiran, selain ada juga yang menyambut baik perkara itu.

Tinjauan Malaysiakini mendapati ada juga reaksi diberikan dengan mendakwa solat berjemaah itu dibuat dengan niat untuk menunjuk-nunjuk kebaikan.

Malah ada juga netizen yang mempersoalkan sama ada di lokasi tersebut tidak mempunyai tempat yang lebih sesuai untuk dijadikan tempat beribadah.

Hantaran dibuat Tuan Ibrahim itu juga disertakan dengan sekeping gambar dari sudut pandang lain yang menunjukkan anggota Jabatan Amal sedang solat di kawasan lereng tanah tinggi berbatu.

Jalin kerjasama kerana tidak mahu wujudnya Kerajaan Gagal 2.0

NASUHA RAHMAN

Kesanggupan Pakatan Harapan menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baru dibentuk kerana tidak mahu wujudnya Kerajaan Gagal 2.0.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata, Pakatan Harapan percaya kerajaan hari ini memang tidak mampu untuk menyelesaikan masalah rakyat kerana barisan kepimpinan mereka tidak ada beza dengan kepimpinan kerajaan PN sebelum ini.

“Tidak ada bezanya dari segi anggotanya, kemampuannya. Ini terbukti selepas setahun mereka mengemudi kerajaan akhirnya mereka telah gagal.

“Kita sampaikan kepada PM baru kalau dia buat cara Mahiaddin iaitu tak nak dengar pandangan pembangkang tak nak buat sidang Parlimen maka kerajaan beliau akan gagal seperti kerajaan Mahiaddin.

“Maknanya kerajaan gagal 1.0 diganti dengan kerajaan gagal 2.0,” kata beliau dalam program Biara YB Khalid Samad di Jom Channel malam ini.

Katanya, jika Ismail mempunyai iltizam mahu membantu rakyat beliau mesti mengambil pendekatan terbuka dan inklusif dengan menjalinkan kerjasama dengan semua pihak termasuk pembangkang.

“Dia kena kembalikan persoalan semak imbang dengan menghidupkan institusi Parlimen supaya perkembangan dalam parlimen di mana perbincang bersama pihak kerajaan dan pembangkang mengenai masalah-masalah rakyat dapat didengar dan cari jalan penyelesaiaan.

“Inilah cara politik di negara-negara maju dengan demokrasi yang matang ada kerjasama, perbahasan dan perbincangan antara kerajaan dan pembangkang,” kata beliau.

Justeru katanya yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Pakatan Harapan yang menjadi pembangkang bertanggunbgjawab sanggup untuk bekerjasama dengan Ismail demi rakyat.

Dalam masa yang sama, Pakatan Harapan memberikan cadangan yang bernas untuk diambil kira Ismail supaya kerajaan dapat bertindak dengan lebih berkesan membantu rakyat jelata.

“Dia panggil kita dan kita sanggup pergi untuk sampaikan hasrat rakyat untuk memulihkan negara,” katanya.

Di dalam pertemuan petang tadi, beliau berharap segala cadangan yang dikemukakan  Pakatan Harapan dapat dipertimbangkan dan dari sudut pelaksanaan Pakatan Harapan diberikan peranan untuk memantau bagi memastikan ia dilaksanakan sebaik mungkin.

Tiga pemimpin utama Pakatan Harapan dengan diketuai oleh pengerusinya Anwar Ibrahim telah dijemput Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub ke pejabatnya pada jam 2 petang tadi.

Politik Malaysia lebih baik jika warlord disingkirkan

HASBI MUDA

Pada hari Jumaat yang lepas (20 Ogos 2021), Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah membuat keputusan melantik Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan menggantikan Tan Sri Mahiaddin Yassin. Ini bermakna kerajaan terdahulu yang gagal hanya bersalin kulit. Hasrat supaya mandat dikembalikan kepada Pakatan Harapan yang menang dalam PRU14 nampaknya terus digagalkan. Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dipersalahkan. Baginda hanya bertindak mengikut peruntukan Perlembagaan dan memang terbukti 114 ahli Dewan Rakyat telah memilih Ismail Sabri.

Walau bagaimanapun, adakah 32 juta rakyat Malaysia bersedia dengan normal baharu ini? Parti yang menang pilihanraya menjadi pembangkang manakala yang kalah menjadi kerajaan. Ia akan terus berlaku kerana wakil rakyat yang khianat kepada partinya akan bebas melompat lagi pada masa yang akan datang.

Kerajaan Mahiaddin mahupun Ismail Sabri kedua-duanya terbentuk hasil pengkhianatan mandat rakyat dalam pilihan raya lima tahun sekali. Pada masa ini, tiada peruntukan undang-undang yang menghalang amalan lompat parti berdasarkan keputusan mahkamah dalam kes Nordin Salleh vs DUN Kelantan pada tahun 1992.

Diabetes hilang selama-lamanya! Lakukan ini sebelum tidur

Ada cadangan supaya Akta Anti-Lompat Parti digubal di parlimen. Ia cadangan yang baik tetapi bagaimana pula jika parti politik sendiri yang melompat keluar dari coalition asal ke coalition parti lawan? Ia juga akan tetap menyebabkan mandat rakyat dalam pilihan raya dikhianati. Ini bermakna, Akta Anti-Lompat Parti belum tentu boleh menyelesaikan masalah seperti yang berlaku baru-baru ini melainkan dalam akta tersebut sesebuah parti diikat untuk kekal dalam sesebuah coalition sewaktu pilihan raya tetapi saya fikir ia kurang praktikal.

Kita mengamalkan sistem demokrasi. Kata Abraham Lincoln demokrasi ialah “government of the people, by the people and for the people”. Pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat. Ini bermakna, rakyat adalah penentu sesebuah pemerintahan yang mahu dibentuk dan perjalanan sesebuah kerajaan mesti berpaksikan rakyat, bukan berpaksikan elit politik, elit ekonomi apatah lagi kepentingan asing.

Realitinya, Malaysia hari ini dikuasai oleh warlord. Penaungan politik (political patronage) atau politik naungan masih berleluasa. Skandal 1MDB wujud kerana politik naungan. Kerajaan PH gagal bertahan juga kerana politik Malaysia belum dapat keluar dari politik naungan.

Apabila UMNO kalah dalam PRU14 yang lepas, secara logiknya muka-muka baru akan mengambil alih parti kerana pertama kali UMNO kalah selepas 63 tahun berkuasa. Justeru Najib dan pasukannya perlu dipertanggungjawabkan. Malangnya ia tidak berlaku kerana UMNO masih dikuasai oleh warlord. Najib hanya digantikan oleh orang kanan beliau Zahid Hamidi kerana para warlord rasa lebih selamat dengan rejim lama.

Ada satu kelompok dalam PH yang tidak bersedia untuk melihat negara dipimpin oleh Anwar Ibrahim kerana reformasi yang sebenar akan menghapuskan amalan politik naungan. Kelompok yang membina kartel politik melalui penaungan politik ini sudah menghidu bahawa masa depan politik mereka gelap di bawah refomasi. Oleh itu, mereka meninggalkan PH dan berpakat dengan parti lawan untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang.

Salah satu punca anak muda benci politik adalah kerana penguasaan warlord yang masih menebal. Warlord juga menghalang anak-anak muda yang bersih dan berbakat untuk aktif dalam politik kerana ia akan mengancam kedudukan mereka. Warlord hanya menarik anak-anak muda yang boleh menjadi pengikut setia atau ‘budak-budak’ mereka.

Dalam PRU 2013, Pakatan Rakyat sebenarnya telah menguasai undi popular majoriti rakyat Malaysia iaitu sebanyak 50.87 peratus mengatasi BN hanya hanya meraih 47.38 peratus sahaja. Walau bagaimanapun, oleh kerana kita mengamalkan sistem first past the post dan bukannya proportional representation maka jumlah kerusi yang dimenang oleh PR hanya 89 kerusi, kuasa pemerintahan masih kekal di tangan BN yang mendapat 133 kerusi.

Ini dapat difahami dengan mudah apabila kita dapati kerusi-kerusi yang jumlah pengundi besar iaitu di kawasan bandar dikuasai oleh PR manakala BN menguasai kerusi-kerusi luar bandar yang jumlah pengundinya kecil. Bandingkan kerusi Kapar yang dimenangi oleh PR berjumlah 144 ribu pengundi manakala kerusi Lawas hanya berjumlah seramai 18 ribu pengundi. Bezanya hampir 8 kali ganda. Secara logiknya nilai undi seorang pengundi di Lawas menyamai nilai undi 8 orang di Kapar.

Sebagai parti yang berkuasa cukup lama, BN sudah tentu akan menggunakan apa sahaja kaedah untuk mengekalkan kuasa dan hegemoni mereka. Persempadanan semula kawasan pilihanraya adalah antara taktik tersembunyi yang cukup berkesan cuma ia memakan diri BN apabila gerrymandering tahun 2003 memberikan kelebihan kepada pembangkang kerana kerusi-kerusi campuran bertambah berbanding sebelum itu.

Kewujudan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sendiri adalah strategi BN untuk menghalang kerajaan Selangor jatuh kepada pembangkang kerana dalam PRU 1969, kerusi yang dimenangi oleh UMNO (Perikatan) dengan parti-parti pembangkang serta bebas adalah sama. Waktu itu, Kuala Lumpur yang penduduk majoritinya kaum bukan Melayu adalah sebahagian daripada Selangor.

Satu lagi langkah kerajaan dahulu untuk mengekalkan kuasa adalah dengan memansuhkan pilihan raya kerajaan tempatan. Ramai beranggapan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan dimansuhkan untuk elak kaum bukan Melayu menguasai kerajaan tempatan kerana kaum bukan Melayu banyak mendominasi kawasan-kawasan bandar di negara ini. Walhal 85 peratus bandar-bandar di negara kita majoriti penduduknya adalah orang Melayu.

Hakikatnya, pilihanraya kerajaan tempatan dimansuhkan kerana kerajaan Perikatan di bawah Tunku Abdul Rahman mahu kuasa yang lebih luas di tangan mereka dan pembangkang terus dikekang. Waktu itu wujud pertembungan antara pemimpin Majlis Perbandaran Georgetown yang dikuasai oleh Barisan Sosialis dengan kerajaan Perikatan yang berkuasa di negeri dan persekutuan. Beberapa tahun selepas dimansuhkan, kerajaan Perikatan pernah menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja mengenai kerajaan tempatan tetapi syor suruhanjaya tersebut yang mencadangkan agar pilihan raya kerajaan tempatan diwujudkan semula telah ditolak mentah-mentah.

Selepas beberapa peristiwa yang berlaku dalam landskap politik kita, seharusnya kita merenung semula sejauh mana model sistem politik dan pentadbiran yang kita amalkan ini masih sesuai dengan bentuk yang sedia ada.

Politik baru sebenarnya tidak akan wujud hanya dengan slogan yang indah semata-mata. Politik baru hanya akan wujud melalui perubahan sistem secara menyeluruh. Kita kekal dengan demokrasi tetapi model demokrasi manakah sesuai dengan negara kita pada masa ini.

Kita ada tiga peringkat kerajaan tetapi hanya kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan dipilih secara langsung oleh rakyat. Kerajaan peringkat ketiga iaitu kerajaan tempatan dilantik oleh pemimpin kerajaan negeri walhal kerajaan tempatan adalah kerajaan yang paling dekat dengan rakyat.

Hasilnya wakil-wakil rakyat sama ada ahli parlimen atau ADUN keliru dengan tugas sebenar mereka. Tugas menggubal undang-undang menjadi tugas sampingan manakala peranan sebagai ‘pegawai kebajikan’ atau ‘ahli majlis’ diutamakan. Rakyat juga menerima pandangan sebegitu. Oleh itu, wakil-wakil rakyat atau pemimpin politik perlu miliki duit yang banyak untuk memenangi hati rakyat serta membayar atau menggaji pemimpin-pemimpin komuniti yang bekerja untuk mereka.

Sejak era Umno dahulu, ketua-ketua bahagian perlu miliki duit yang banyak termasuk dari sumber yang diragui. Kita marah apabila wujud skandal 1MDB tetapi tanpa sedar kita sendirilah yang membiarkan skandal sebegitu terus wujud dengan sistem dan budaya politik sedia ada.

Akta Pendanaan Politik perlu segara dibentangkan dan diluluskan. Reformasi institusi berlu bermula dengan memperkukuhkan peranan institusi penting negara terutamanya Parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya, SPRM dan pejabat peguam negara. Perubahan-perubahan ini mungkin mengambil sedikit masa tetapi rakyat mesti diyakinkan bahawa ia perlu dilakukan.

Masa depan politik Malaysia akan lebih baik jika warlord berundur secara sukarela tetapi saya percaya ia mustahil berlaku selagi mereka masih sihat atau bernyawa.

Tiada pilihan lain, anak-anak muda perlu menunjukkan jalan keluar kepada mereka dalam pilihan raya akan datang.

Isu ‘no Anwar, no Dap’ selesai selepas PH jumpa PM Umno

NASUHA RAHMAN

Jika sebelum ini Umno menegaskan pendirian mereka ‘no DAP no Anwar’ namun selepas pertemuan Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri bersama tiga pimpinan Pakatan Harapan (PH)  hari ini pendirian itu terpaksa diketepikan.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Umno sudah menunjukkan perubahan apabila boleh menerima kerjasama antara beliau dengan DAP.

“Ismail mewakili Umno, saya cakap kepada dia sudah boleh bincang dengan Anwar dan DAP, sebelum ini ‘no DAP no Anwar’.

“Nampaknya sudah berubah, jadi Ismail kata demi titah Agong untuk kerjasama tangani COVID-19,” kata Anwar kepada media sebaik sahaja keluar dari pintu pagar Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya petang ini.

Bagi Anwar, perjumpaan ini adalah satu permulaan yang baik untuk menangani masalah pendemik yang melanda negara dengan lebih berkesan.

Pakatan Harapan turut menekankan agar program-program untuk rakyat terutama golongan miskin yang kehilangan pekerjaan perlu diberi keutamaan perdana menteri yang baru ini.

Sebaik ditanya media adakah pertemuan ini ada kaitan dengan tawaran jawatan dalam kabinet, Anwar menegaskan perkara ini tidak berbangkit.

“Isu ini (jawatan kabinet) tidak berbangkit. Kita tidak datang untuk minta jawatan, isu kita adalah ekonomi rakyat dan kebajikan mereka,” tegas Anwar.

Menurut Anwar di dalam pertemuan hampir sejam itu, Presiden AMANAH Mohamad Sabu turut membangkitkan isu kesan parah akibat Covid-19 kepada rakyat negara ini.

Mohamad turut meminta agar perdana menteri memperkenalkan kaedah dan pendekatan yang baru bagi mengatasi masalah pandemik dan tidak perlu lagi menggunakan kaedah yang lama.

Begitu juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang turut membangkitkan permasalahan ekonomi yang terpaksa dihadapi rakyat negara ini ketika pendemik, di mana isu-isu ini perlu diberi keutamaan oleh Ismai Sabri.

Dalam pada itu, pertemuan yang berlangsung ini tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persmaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rayat daripada cengkaman ekonomo berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

PH juga bersetuju dan memahani pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia

Tiga pemimpin utama Pakatan Harapan dengan diketuai oleh pengerusinya Anwar Ibrahim telah dijemput Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub ke pejabatnya pada jam 2 petang tadi.

Dalam ucapan sulung Ismail telah mempelawa parti pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Hamzah TPM, Azmin kekal di MITI, kata khabar angin di Putrajaya

MALAYSIA DATELINE

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin disebut-sebut akan mengangkat sumpah sebagai timbalan perdana menteri di samping Menteri Dalam Negeri dalam kabinet baharu pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.

Saingan beliau, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula dijangka akan mengekalkan jawatannya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dijangka akan mengambil alih jawatan Menteri Kewangan sebagaimana yang dibuat oleh bekas PM dari Umno, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad dijangka akan mengambil alih jawatan Menteri Kesihatan dari Datuk Seri Dr Adham Baba sebelum ini.

Dalam PRU-14 lalu, Dr Abdul Latif menang sebagai calon BN namun melompat ke Bersatu selepas itu. Dalam Kabinet Tan Sri Mahiaddin, beliau adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Khabar angin tentang perkara ini kini bertiup kencang di Putrajaya dengan cerita bahawa senarai kabinet baharu ini telah dihantar kepada Yang Dipertuan Agong pagi tadi.

Menurut sumber itu, seorang lagi pemimpin Umno, Datuk Seri Mahathir Khalid dijangka akan dilantik sebagai Menteri Pertahanan bagi menggantikan Datuk Seri Hishammuddin Husein.

Tan Sri Annuar Musa pula dikatakan akan naik pangkat dari Kementerian Wilayah Persekutuan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, sebuah kementerian yang bakal mengawal komunikasi untuk kerajaan.

Tempat beliau dikatakan akan diisi oleh ahli parlimen Umno dari Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Sementara itu, menteri dari MCA dan MIC dijangka akan kekal dengan jawatan masing-masing termasuk Datuk Seri Zuraidah Kamaruddin.

Sehingga kini, belum ada lagi maklumat atau khabar angin tentang bakal menteri kabinet dari Pas.

Tiga tuntutan buat kerajaan baharu

MOHD HAFIZ ABD HAMID

Negara kita sekali lagi berdepan episod baru krisis politik susulan peletakan jawatan Tan Sri Mahiaddin Yassin dan seluruh Kabinetnya apabila sudah hilang majoriti di dalam Parlimen.

Pastinya krisis politik ini akan menghadirkan pelbagai kejutan buat kita. Kita akan melihat kenaikan Perdana Menteri dan Jemaah Kabinet yang baru sekali lagi bagi tempoh kurang lima tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dilaksanakan.

Sesiapa pun yang bakal mengemudi negara, perlu sedar bahawa mereka akan berdepan cabaran yang sangat berat untuk membetulkan semula konflik yang multidimensi pada waktu ini.

Ada beberapa tuntutan penting yang mesti dijayakan oleh kerajaan yang baru nanti, bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah yang ada, tetapi juga untuk memberikan sinar harapan buat rakyat terhadap keyakinan mereka bahawa masih ada harapan buat negara. Saya simpulkan kepada Keutamaan, Komitmen dan Ketelusan.

Keutamaan

Pertama, keutamaan. Barisan kepimpinan negara yang baru nanti mesti jelas dan sedar keutamaan yang perlu mereka berikan. Apabila krisis yang sedia ada ini datang dari pelbagai sudut, penting untuk kerajaan dilihat mementingkan hal yang utama pada mata dan sentimen rakyat.

Paling asas adalah kesihatan dan pendidikan. Kerajaan mesti dapat membangunkan sebuah pelan kerja yang berkesan dan jelas. Ia mestilah meliputi kerja secara ‘quick-win’ dan pelan jangka masa panjang; yang gah mestilah intinya, bukan pada jenama atau bentuk pengumumannya.

Kerajaan mesti mengelakkan apa-apa tindakan yang dilihat tidak berkaitan dengan hal yang menjadi keutamaan, sebagai contoh melantik ahli kabinet dengan saiz yang terlalu besar seperti jawatan Timbalan Menteri 1 dan 2.

Selain itu, lantikan orang-orang politik di mana-mana GLC atau agensi kerajaan, juga lantikan yang tidak signifikan dalam sistem pendidikan seperti lantikan ahli politik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Awam.

Semua ini akan dilihat sebagai ‘scheme of things’ yang menyebabkan persepsi rakyat melihat kerajaan hanya memikiran soal kedudukan dan kekuasaan, bukan kepentingan rakyat.

Kerajaan mesti berusaha dengan bersungguh-sungguh menampilkan suatu gerak kerja yang menunjukkan bahawa kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan mereka.

Komitmen

Kedua, komitmen. Siapa pun yang mengemudi negara mestilah menunjukkan komitmen yang jitu terhadap kerja yang berada di tangan mereka. Komitmen ini mestilah dampak pada gerak kerja, hantaran di media sosial, respon balas terhadap isu-isu yang dibangkitkan dan waktu masa yang mereka gunakan untuk bekerja pada urusan rakyat.

Komitmen ini akan menunjukkan keseriusan pimpinan negara. Tanpa ada komitmen, maka kepimpinan yang baru nanti tidak akan dilihat serius ingin membetulkan situasi. Maka, label ‘semua parti politik itu sama’ akan semakin bergema dengan kuat.

Antara cara yang menunjukkan bahawa kerajaan menunjukkan komitmen mereka yang tinggi adalah kesediaan dan keterbukaan untuk bekerja secara kolektif dengan mana-mana pihak yang wajar walaupun pihak berkenaan sering mengkritik dasar dan polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Sebagai contoh dalam isu kesihatan, Kementerian Kesihatan akan dilihat mempunyai komitmen yang cukup jitu jika berani mewujudkan sesi libat urus secara berterusan terhadap Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan kesihatan khususnya yang bersama dalam Malaysian Health Coalition.

Kita perlu ingat bahawa terlalu banyak NGO bidang kesihatan yang telah memberikan saranan dan kritikan yang keras terhadap dasar daripada Kementerian Kesihatan di bawah kepimpinan Dr Adham Baba.

Tapi atas sebab ia dilihat tidak diendahkan oleh beliau, maka Kementerian Kesihatan dilihat tidak bersungguh-sungguh memberikan komitmen. Soal libat urus ini juga termasuk pakar-pakar kesihatan seperti Dr Musa Nordin, Dr Rafidah Abdullah dan Prof. Madya Dr Malina Osman.

Hal yang sama apabila melibatkan bidang yang lain, tapi terkesan secara langsung dalam masalah kesihatan seperti pendidikan. Libat urus secara berterusan dengan pemegang taruh di lapangan seperti Nation Union of Teaching Profession (NUTP), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), persatuan mahasiswa dan lain-lain.

Semua ini mesti ada proses libat urus yang serius dan berkesan. Jika kerajaan bersedia bertemu dan berbincang dengan serius secara berterusan, ia akan menjadi satu citra yang sangat ampuh menggambarkan komitmen kerajaan.

Akauntabiliti

Ketiga, akauntabiliti. Kerajaan mesti bersedia dan berani untuk bertanggungjawab terhadap kuasa yang ada di tangan mereka. Apa-apa keputusan yang ditetapkan, mestilah mempunyai justifikasi yang berasas, tidak lagi dilihat seperti percubaan untuk melarikan diri daripada bertanggungjawab dengan tindakan yang dilakukan.

Kerajaan yang baharu mestilah berani untuk berdepan dengan media massa dan blok pembangkang. Pengumuman melalui rakaman atau sebaran PDF wajib dibuang daripada menjadi amalan kerajaan kerana semua ini akan menjadikan kerajaan yang baru tidak mempunyai akauntabiliti, seterusnya menyalahgunakan kuasa.

Antara yang paling asas dalam pelaksanaan akauntabiliti adalah memastikan parlimen kembali bersidang dengan ruang perbahasan yang luas dan terbuka kepada semua ahli parlimen.

Kerajaan mesti melalui proses semak dan imbang untuk memastikan mereka ada akauntabiliti dalam proses yang rasmi, tidak ada lagi percubaan untuk mengehadkan kehadiran, apatah lagi cuba menangguhkan persidangan dengan alasan-alasan yang tidak wajar.

Mempunyai sikap bertanggungjawab dengan semangat Perlembagaan ini selaras dengan titah YDPA yang inginkan nuansa politik yang baru. Ia mesti nyaman dan aman buat rakyat.

Jika kerajaan ada akauntabiliti, kita akan memanfaatkan semua sumber yang kita kerahkan kepada rakyat sepenuhnya, tidak lagi ada ketirisan dan penyelewengan.

Kita perlu ingat bahawa sumber perbendaharaan negara sangat terhad, masa yang kita ada pula sangat singkat dan kerja yang perlu dibuat terlalu banyak. Maka, akauntabiliti adalah satu proses yang sangat penting bagi memastikan impak positif yang paling tinggi dapat diberikan kepada rakyat.

Inilah tiga perkara yang gagal dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan Nasional. Pengabaian tiga perkara ini telah mencipta ‘snowball effect’ yang semakin parah hingga sukar untuk dibendung dan dibetulkan.

Maka, jika ada kerajaan yang baru dinaikkan sekali lagi, wajib buat kepimpinan yang baru ini untuk mempunyai iltizam politik dan moral yang tinggi bagi memastikan mereka melakukan kerja mengikut keutamaan, penuh komitmen dan ada akauntabiliti.

Moga-moga kembali bersinar harapan buat kita semua.


*MOHD HAFIZ ABD HAMID merupakan Ketua IKRAM Muda, Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Ulama Pas beri amaran jangan sesiapa jadi ‘abang long’

FAZLI RADZI

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik mengingatkan parti-parti dalam kerajaan untuk tidak mengulangi kesilapan yang pernah menghancurkan mereka.

Tegasnya, hanya orang yang bodoh tidak mampu mempelajari apa-apa daripada perkara yang telah berlalu.

“Masing pihak perlu belajar dari sejarah. Belajar tawaduk dan bertolak ansur. Kerana kaedah berkawan ‘yang memberi jangan kedekut dan yang menerima jangan tamak’.

“Seperti yang saya selalu sebut dalam gabungan parti-parti kerajaan ini jangan ada siapa pun nak jadi ‘abang long’ kepada yang lain,” katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.

Untuk rekod, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas memperoleh 114 sokongan Ahli Parlimen.

Jumlah sokongan itu terdiri daripada Umno sebanyak 37 Ahli Parlimen, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (31), Pas (18), Gabungan Parti Sarawak (18), Bebas (empat), MCA (dua) dan masing-masing satu daripada MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star).

Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berkata, berkat persefahaman dan keinsafan parti-parti terbabit, kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya dipertahankan walaupun terpaksa menghadapi saingan yang hebat dari Pakatan Harapan (PH) yang sentiasa mengintai peluang menggulingkan PN.

“Walaupun PM baru telah berjaya dilantik dan PH gagal mengubah status mereka sebagai pembangkang, namun mempertahankan kerajaan ini walaupun dalam masa beberapa bulan sebelum PRU-15, bukan suatu yang mudah,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar parti-parti kerajaan saling bertolak ansur.

“Duduk elok-elok dan berpakat baik-baik selaku adik beradik. Jika kapal ini (PN) bocor lagi, bukan hanya parti-parti yang kecil sahaja yang akan lemas, bahkan semuanya akan berselerak dihanyutkan arus.

“Jangan jadi macam anjing dan bayang-bayangnya,” kata Mokhtar lagi menjelang pengumuman senarai anggota Kabinet yang dikatakan akan berlangsung minggu ini.

Jawatan TPM: SU politik nafi Azmin ugut tarik balik sokongan

Malaysiakini 

Seorang pegawai Azmin Ali menafikan laporan yang mendakwa ahli parlimen Gombak itu mengugut untuk menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob jika dia tidak dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Setiausaha politik Azmin, Muhammad Hilman Idham berkata laporan yang disiarkan Malaysiakini dan Free Malaysia Today adalah "sama sekali palsu, berniat jahat dan tidak bertanggungjawab".

"Laporan tersebut diyakini bertujuan untuk menggugat kestabilan dan perpaduan yang semakin utuh dalam Perikatan Nasional (PN) yang mendukung kepimpinan Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

"Amat dikesali, kedua-dua portal media tersebut tidak dapat mengesahkan kebenaran sumber yang dilaporkan demi menjamin laporan yang tepat dan bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, Malaysiakini ada menghubungi beberapa ahli politik Bersatu yang dilihat sebagai penyokong Azmin - serta Hilman - sebelum laporan tersebut disiarkan tengah hari tadi.

Baca: Azmin bakal jadi TPM, kata sumber Bersatu dan Umno

Dalam laporan itu, sumber daripada Umno dan Bersatu memberitahu Malaysiakini yang Azmin besar kemungkinan akan dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun, dua sumber Umno - yang berbeza kem - juga mendakwa Azmin mengugut untuk menarik balik sokongan terhadap Ismail bersama penyokongnya jika tidak diberikan jawatan itu.

Malaysiakini juga memetik kenyataan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang menafikan ugutan seumpama itu dibuat.

Azmin merupakan seorang daripada tiga pemimpin Bersatu yang dipertimbang untuk menjadi timbalan Ismail Sabri.

Dua lagi adalah setiausaha agung Hamzah Zainuddin dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Redzuan Mohd Yusof.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) juga menggesa jawatan timbalan perdana menteri kedua diwujudkan untuk diisi ahli parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bukan PAS 'Kingmaker' ke? Kalau Umno tak setuju, tarik balik sokongan la

Adun PAS mahu dasar tiada kelab malam, pusat judi di Pahang

Malaysiakini 

image placeholder

Kerajaan Pahang perlu mengadakan dasar baru sifar pusat judi dan kelab malam selepas pandemik Covid-19, kata Adun Beserah daripada PAS Andansura Rabu.

Katanya, penularan Covid-19 yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan memberi rekod positif apabila statistik jenayah turun, lapor Harakahdaily.

“Kerana aktiviti luar rumah selepas jam tertentu tidak dibenarkan. Pusat hiburan, kelab malam dan perjudian atau tempat-tempat berkumpul seperti ini ditutup. Tiada kes pecah rumah kerana orang berada di rumah masing-masing.

“Tiada lagi bergaduh disebabkan mabuk. Anak-anak juga tidak lagi keluar rumah dan mereka dapat dikawal ibu ayah,” ujarnya semasa membahas titah diraja pada Sidang DUN Pahang di Kuantan hari ini.

Dia yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Pahang, berkata Adun selaku pembuat dasar telah diberi peluang oleh Allah untuk melakukan “reset” kehidupan ke arah lebih diredai-Nya.

Dicelah beberapa Adun untuk pusat judi dan kasino di Genting Highlands ditutup, dia bersetuju dengan perkara.

Katanya, sepanjang tempoh ini tidak ada sebarang masalah apabila ia tidak beroperasi.

Ayah saya di hospital, perlu dibedah, kata anak Zahid

FMT Reporters

Tangkap layar daripada video dimuat naik Nurulhidayah Zahid yang menafikan fitnah mendakwa ayahnya ‘berehat’ di hospital untuk mengelakkan kes di mahkamah.

PETALING JAYA: Anak Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi tampil mempertahankannya selepas timbul spekulasi mendakwa beliau berpura-pura dimasukkan ke hospital untuk mengelakkan kes rasuahnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.

Nurulhidayah Zahid memuat naik satu rakaman video selama 48 saat di Instagram hari ini yang menunjukkan Zahid ditolak ke bilik pembedahan untuk dibedah, sebagai bukti bagi menyangkal spekulasi itu.

“Fitnah di hujung jari. Ini video pagi tadi sewaktu abah (Zahid) dibawa ke OT (bilik pembedahan).

“Saya tergerak hati nak rakamkan secara sembunyi tanpa pengetahuan abah sebab saya tahu ini akan jadi bukti kepada umum bila ia diperlukan.

“Sangkaan saya amat tepat. Belum pun abah selesai di OT, berita fitnah tersebar yang dia sedang ‘berehat’ di hospital untuk elak kes mahkamah.

“Tak masuk akal. Benda sakit ni bukan boleh buat-buat,” katanya di Instagram.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi dimaklumkan Zahid tidak dapat menghadiri prosiding penghujahan kes rasuahnya kerana beliau dimasukkan ke hospital.

Peguamnya, Hisyam Teh memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah yang Zahid dimasukkan ke hospital Ahad lalu selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh minggu lalu.

Zahid menghadapi 47 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi, pengubahan wang dan menerima rasuah untuk pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

Mahkamah pada asalnya dijadualkan mendengar penghujahan pada akhir kes pendakwaan hari ini dan dari 6 hingga 9 Sept ini.

Polis ambil keterangan individu didakwa mangsa dalam siasatan babit Ebit Lew

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bukit Aman mengesahkan keterangan sudah diambil daripada individu yang didakwa mangsa dalam kes gangguan seksual pendakwah popular, Ebit Lew.

Bagaimanapun, identiti mangsa dan berapa ramai saksi yang sudah tampil membantu siasatan tidak didedahkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Abd Jalil Hassan mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, tetapi enggan mendedahkan identiti mangsa dan berapa ramai saksi yang sudah tampil membantu siasatan.

Katanya, siasatan masih diteruskan dan polis sedang menunggu lebih ramai saksi lain untuk tampil.

“Masih belum ada perkembangan terbaru lagi, orang ramai ada maklumat boleh tampil,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Khamis lalu, Lew dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu siasatan.

Katanya, beliau memberikan kerjasama penuh kepada polis yang mengambil keterangannya lebih sejam.

Lew sebelum ini menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah sangat kejam dan melampau, tetapi beliau memaafkan individu terbabit.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Suri rumah didenda RM10,000 hina Agong, Institusi Raja, menteri

Bernama

Nur Faizah Wahid didenda RM10,000 atau penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah mengeluarkan kata-kata menghasut dan memuat komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, menteri dan Institusi Raja dalam laman sosial Twitternya. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah didenda RM10,000 atau penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen kerana mengeluarkan kata-kata menghasut dan membuat komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Institusi Raja dan menteri, dalam laman sosial Twitternya.

Hakim M M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Faizah Wahid, 28, selepas dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

Nur Faizah dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara tiga bulan bagi pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut serta denda RM8,000 atau penjara enam bulan atas pertuduhan membuat komunikasi jelik.

Mengikut pertuduhan pertama, Nur Faizah didakwa telah mengeluarkan kenyataan melalui Twitter miliknya “Eija Boo” dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap YDPA, Institusi Raja dan menteri.

Dia melakukan kesalahan itu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini, pada 8.33 malam, 22 Mei lepas dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Wanita itu juga dituduh secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, melalui aplikasi Twitternya. menggunakan nama profil “Fazrin Ismail” pada masa dan tarikh sama.

Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 8 malam, 10 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum kerana menyesal dan insaf dengan tindakannya, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat bahawa menghina Institusi Raja adalah satu kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama, pengawal keselamatan, Sharil Mohd Sarif, 38, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya terhadap YDPA dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, melalui aplikasi Twitter menggunakan nama profil “Sharil bin Mohd Sarif” pada 7.43 pagi, 20 April 2021.

Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 8 malam, 10 Jun lepas serta didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman serupa.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Sept ini untuk sebutan semula kes.

'Kabinet Ismail akan berasaskan kepentingan Umno?'

Malaysiakini 

image placeholder

Wartawan veteran A Kadir Jasin mempersoalkan kemungkinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan menubuhkan kabinet berdasarkan konsep “keluarga Malaysia” yang diumumkannya baru-baru ini atau berasaskan kepentingan kedudukannya dan Umno.

Kadir berkata demikian selepas tular gambar yang memaparkan rombongan ahli-ahli parlimen Umno menyertai lawatan rasmi bersama Ismail ke daerah yang dilanda banjir di Kedah semalam, menaiki pesawat kerajaan.

“Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah mendapat publisiti percuma besar-besaran apabila gambarnya bersenang-senang dengan kemewahan jawatan tular di media sosial semalam.

“Jadi sekarang kita tengok apa pula tindak-tanduknya dalam penubuhan kabinet. Adakah dia akan menubuhkan kabinet untuk berkhidmat kepada ‘keluarga Malaysia’ atau untuk mengukuhkan kedudukannya dan Umno.

“Namun begitu keabsahan dia dan kabinetnya tetap akan dipertikaikan selagi tidak diundi di Dewan Rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

'Keluarga Malaysia' merujuk kepada seruan Ismail kepada semua ahli Dewan Rakyat untuk bersatu dan menggembleng tenaga memulihkan semula negara.

Dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri pada 22 Ogos lalu, dia mengajak pemimpin politik tanpa mengira latar belakang ideologi supaya mencari persamaan dan tidak lagi menggali perbezaan.

Mengulas lanjut peralihan kuasa dari pentadbiran di bawah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kepada Ismail yang juga merupakan naib presiden Umno, Kadir berkata mainan politik Muhyiddin bersama pihak separtinya - Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali tidak sehebat mainan politik kluster mahkamah dan kleptokrat dari Umno.

“Namun rasanya majoriti ahli Umno yang baik-baik tidak mahu kelompok kleptokrat dan mahkamah kembali berperanan dan berkuasa dalam parti mahupun kerajaan kerana mereka ini sudah menjadi beban. Bak kata simpulan bahasa, umpama menggalas biawak hidup.

“Kalau ketika Umno berkuasa pun, kelompok ini sudah menjadi beban sehingga parti itu kalah setelah lebih 60 tahun memerintah, apatah lagi sekarang apabila ramai di antara mereka sedang dibicarakan, sudah didapati bersalah atau dalam rayuan.

“Lagi pun usia mereka sudah cukup lanjut untuk dibersarakan supaya pemimpin yang lebih muda boleh mengambil alih,” katanya.

Bagaimanapun, Kadir mencadangkan pilihan terbaik dan termudah untuk Ismail adalah mengelakkan pelantikan di kalangan kluster mahkamah yang telah mencalarkan imej partinya sebelum ini.

“Lagi pun 'bossku' Mohd Najib Abdul Razak sendiri telah mengatakan yang dia mahu membersihkan namanya di mahkamah.

“Ismail Sabri boleh membantu mereka dengan meluangkan seluas-luasnya masa agar mereka boleh menumpukan sepenuh tenaga kepada perbicaraan mereka,” katanya.

Tambahnya, Ismail boleh meminta bantuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat saringan terperinci terhadap mereka yang terlibat dengan kes rasuah dan pelbagai skandal video.

“Elok jugalah Ismail Sabri dari awal-awal lagi menolak kerajaan perpaduan dengan pembangkang.

“Dengan itu tidaklah terjadi pecah belah di kalangan pembangkang macam terjadi kepada PN apabila kluster mahkamah dan kleptokrat menarik balik sokongan terhadap Mahiaddin,” katanya.

Azmin bakal jadi TPM, kata sumber Bersatu dan Umno

Malaysiakini

Anggota parlimen Gombak Azmin Ali akan dilantik sebagai timbalan perdana menteri (TPM), kata sumber-sumber Bersatu dan Umno.

Sumber Bersatu yang rapat dengan Azmin memberitahu Malaysiakini, besar kemungkinan bekas menteri kanan itu akan dilantik ke jawatan nombor dua bagi membantu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, tiga sumber Umno - seorang anggota Majlis Tertinggi dan dua anggota parlimen - turut memberitahu perkara sama.

Dua daripada sumber itu, yang berbeza kem, memberitahu langkah itu diambil bagi mengekalkan sokongan majoriti terhadap kerajaan.

Sumber-sumber mendakwa Azmin mengugut untuk menarik balik sokongan terhadap Ismail bersama penyokongnya jika tidak diberikan jawatan itu.

Ismail yang mengangkat sumpah Sabtu lalu hanya memperoleh sokongan 114 daripada 220 anggota Dewan Rakyat.

Kem Azmin mempunya kekuatan sekurang-kurangnya 10 anggota parlimen - jumlah yang cukup untuk menggoncang kedudukan Ismail.

Malaysiakini sudah menghubungi pihak daripada kem Azmin dan sedang menunggu maklum balas.

Seorang anggota parlimen daripada kem Azmin menafikan terdapat ugutan untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan.

Karut, kata Razali Idris

Sementara itu, anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Razali Idris menafikan keputusan memilih timbalan perdana menteri sudah dibuat.

“Tak putuskan (lagi). Mana ada yang keluar embargo semua, itu karut.

“Perdana menteri dah khabar dah kelmarin, insya-Allah minggu ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Selain Azmin, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin dan anggota MPT Redzuan Mohd Yusof tuirut disebut-sebut sebagai calon TPM.

Gabungan Parti Sarawak juga melobi untuk diperkenalkan jawatan TPM II untuk diisi oleh wakil rakyat mereka.

(Gambar) Kejayaan hari pertama PM bertugas, berkongsi jet eksekutif kerajaan dengan ramai pemimpin dan Ahli Parlimen Umno?

ADAKAH JET EKSEKUTIF PERDANA MENTERI SUDAH JADI BAS EKSPRESS?

Shahbudin Husin

Hari ini adalah hari pertama Ismail Sabri Yaakob memulakan tugasnya sebagai Perdana Menteri sejak mengangkat sumpah pada Sabtu lalu.

Selepas masuk ke pejabatnya pagi tadi, beliau kemudian melakukan lawatan pertama ke Kedah meninjau keadaan kawasan yang terjejas akibat banjir susulan fenomena kepala air dari Gunung Jerai yang berlaku Rabu lalu.

Beliau pergi ke Kedah dengan menaiki jet eksekutif kerajaan Malaysia atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri.

Tetapi, beliau pergi dengan disertai beberapa pemimpin dan Ahli Parlimen UMNO yang turut sama menaiki jet eksekutif milik kerajaan itu.

Tidak pernah sebelum ini mana-mana Perdana Menteri membawa kawan-kawannya dengan jumlah yang ramai bersamanya sama ada untuk lawatan dalam negeri, mahu pun luar negara.

Persoalannya, sejak bila jet eksekutif kerajaan untuk Perdana Menteri sudah jadi seperti bas ekspress yang boleh dinaiki sesiapa saja?

Apakah juga menukar jet eksekutif kerajaan menjadi bas ekspress merupakan kejayaan pertama Ismail Sabri di hari pertama beliau memulakan tugasnya sebagai Perdana Menteri? – ShahbudinHusin 23/08/2021