MoU PH dan kerajaan demi nyawa dan mata pencarian rakyat

MALAYSIA DATELINE

Majlis Presiden Pakatan Harapan telah mengadakan mesyuarat pada hari ini untuk membincangkan sebuah memorandum persefahaman di antara Pakatan Harapan dan pihak Kerajaan, di mana Pakatan Harapan telah memberi pandangan dan cadangan tambahan kepada tujuh reformasi yang diumum Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Memorandum persefahaman (MoU) ini adalah susulan kepada pertemuan yang telah diadakan di antara pimpinan tertinggi Pakatan Harapan, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, bersama Perdana Menteri pada 25 Ogos lalu.

Siri pertemuan di antara wakil Pakatan Harapan dan wakil Perdana Menteri petang tadi  terdiri daripada lima orang wakil Perdana Menteri iaitu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang)  Datuk  Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Kewangan  Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz,.

Manakala lima wakil daripada Pakatan Harapan turut bersama dalam perbincangan itu, iaitu Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Presiden AMANAH Datuk Seri Salahuddin Ayub, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP  Gobind Singh Deo,  Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, dan  Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Dalam kenyataan bersama  Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng berkata, pertemuan semalam telah membincangkan sejumlah perkara dasar dan program khusus di mana penekanan juga diberikan kepada keperluan menjalankan reformasi dalam bidang ekonomi dan kesihatan awam bagi menangani pandemik COVID-19.

Selain itu, katanya, isu urusan perjalanan Parlimen, soal pengabsahan, dan perkara berkaitan penambahbaikan tatakelola kerajaan turut dibincangkan.

Pakatan Harapan berpendirian bahawa suntikan fiskal tambahan sebanyak RM45 bilion perlu dibuat kepada Dana COVID-19 RM65 bilion yang kini hanya berbaki RM8.6 bilion untuk menangani pandemik COVID-19 dan memberikan bantuan kewangan kepada rakyat.

Di samping itu, perlunya ada pengecualian bayaran faedah ke atas moratorium pinjaman bank untuk golongan B40 dan M40.

Majlis Presiden turut membincangkan langkah-langkah reformasi politik yang perlu disertakan di dalam memorandum tersebut, seperti memperkasakan pelaksanaan Undi 18 sekarang, reformasi Parlimen dan kebebasan institusi kehakiman, antara lain. Wakil-wakil turut telah membincangkan isu undi percaya serta mekanisme pemantauan pelaksanaan memorandum persefahaman ini.

Secara dasarnya, Pakatan Harapan cenderung untuk mempersetujui memorandum persefahaman ini demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat, tertakluk kepada perincian penambahbaikan deraf yang perlu diperhalusi wakil kedua-dua pihak sebelum boleh dimuktamadkan.

Marilah kita menggembleng seluruh kekuatan untuk menangani pandemik COVID-19 dan mengatasi kemelesetan ekonomi yang melanda negara kita. 

Mahiaddin sokong Ismail hanya mahu gelapkan fakta PN gagal

MALAYSIA DATELINE

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata Tan Sri Mahiaddin Md Yassin menyokong Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri sekadar satu cubaan terdesak untuk menggelapkan fakta atau mengalihkan perhatian masyarakat terhadap kegagalan Kerajaan PN di bawah beliau.

Menurut Khaled hakikatnya, kejatuhan PN adalah disebabkan oleh desakan ketidakyakinan rakyat dan ia antara sebab penarikan sokongan oleh Umno.

“Saya mengikuti kenyataan dari petikan ucapan Tan Sri Muhyiddin Yasin yang menjelaskan bahawa beliau sebenarnya menyokong Dato’ Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kerana tidak mahukan Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa dengan sokongan kumpulan kleptokrat.

“Dan atas dasar ingin memastikan Perikatan Nasional kekal berkuasa, maka beliau pun memberikan sokongan kepada wakil dari Umno tersebut,” kata beliau.

Kata Khaled, Mahiaddin sebenarnya sedar bahawa pendirian untuk menganggap Umno secara umum sebagai pendukung kleptorat adalah tidak benar, malah sangat bercanggah dengan kesanggupan beliau yang kini kembali bekerjasama dengan ramai wakil Umno.

Penolakan Mahiaddin kepada PH dan sebahagian pemimpin Umno katanya adalah bermusim dan sangat bersifat acuh tak acuh.

“Ini kerana, Perdana Menteri yang beliau sokong telah memutuskan untuk bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin PH atau pembangkang yang lain sebagai satu pendekatan baharu.

“Dan tidak terdapat sebarang bangkangan dari beliau dalam hal ini,” ujarnya lagi.

Justeru, jelas Khaled pemimpin tertinggi Bersatu sebenarnya tidak mempunyai pendirian yang jelas dan tetap sebaliknya Mahiaddin selesa menukar-nukar pegangan semata-mata untuk menjustifikasi tindakannya yang mahu kekal berada dalam kerajaan.

Malah, Khaled percaya ini adalah satu cubaan terdesak untuk kini tampil sebagai penyelamat Malaysia.

“Adalah jelas bahawa Mahiaddin sekadar memberi helah dan mahu mengelirukan kita. Dah diberi ruang dan peluang bertaraf Menteri, fokuskan sajalah kepada peranan dan tanggungjawab baru yang telah di beri,” bidas Khaled.

Dalam ucapan ulang tahun ke-5 Bersatu, Mahiaddin mendedahkan Pakatan Harapan (PH) dengan sokongan kumpulan kleptokrat berkemungkinan kembali menjadi kerajaan sekiranya beliau tidak menetapkan pendirian dalam pemilihan Perdana Menteri baharu.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, jika beliau dan ahli-ahli Parlimen Bersatu tidak mengambil apa-apa pendirian dalam pemilihan Perdana Menteri baharu dan pembentukan kerajaan juga, Bersatu mungkin akan menjadi pembangkang.

Dr Dzulkefly: cadang bentuk MoU kestabilan, reformasi antara PH dan kerajaan

MALAYSIA DATELINE

Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan agar Parlimen menstrukturkan semula Jawatankuasa Pilihan Khas dengan keahlian yang seimbang antara kerajaan dan pembangkang.

Katanya, bagi memperkukuhkan reformasi Parlimen jawatankuasa itu wajar dipengerusikan secara sama rata seperti amalan terbaik di negara-negara maju dan matang demokrasi.

Bekas Menteri Kesihatan juga berkata, dengan menentukan satu tempoh perlaksanaan yang jelas, tuntas dan dipersetujui bersama, adalah amat penting komitmen untuk melaksanakan Memorandum Persefahaman Kestabilan & Reformasi ini, dipacu demi ‘Menstabilkan Politik & Mengeluarkan Rakyat dari Pandemik & Memacu Pemulihan Ekonomi Negara”.

“Doakan agar Memorandum Persefahamaan ini akan dipersetujui, seterusnya dimeterai dan dilaksanakan dengan segala pertangungjawaban dan penuh amanahannya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyambut baik sejumlah penambahbaikan bagi Parlimen dan pentadbiran kerajaan sebagaimana ditawarkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Dzulkefly memberi jaminan komitmen pimpinan PH dalam mempastikan kestabilan negara dijamin dan suhu politik diredakan, seperti yang dititah YDPA dan Timb YDPA adalah amat mustahak dan kritikal.

“Sebagai timbal balik kepada komitmen ini, pimpinan PH menuntut dan mengharapkan supaya kerajaan Ismail Sabri akan turut memberikan sokongan dan komitmen untuk menunaikan beberapa reformasi dan penambahbaikan amalan Demokrasi Berparlimen dan Membuat Komitmen untuk Menambah Dana buat mengeluarkan Negara dari Pandemik Covid-19.

“Antaranya ialah membentang dan meluluskan RUU Anti-Lompat Parti, sekaligus meluluskan RUU Pilihan Raya Pecat atau Recall Election buat menangani secara serius, amalan lompat parti setelah menang pilihanraya.

“Bagi mempastikan penambahbaikan pengurusan pandemik, kerajaan dicadang menambah siling dana RM45 bilion, yang antara lain adalah untuk mengukuhkan sistem kesihatan, menambahbaikan bantuan kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan,” katanya.

Sebuah surau dan seorang pejuang tua

MUHAIMIN SULAM

Suatu ketika dahulu, Sanusi Junid seorang menteri Umno yang berasal dari Kedah pernah mengatakan bahawa kekuatan Pas terletak pada 3P. P pertama adalah Pas itu sendiri. P kedua adalah padi dan P ketiga adalah pondok. Itulah pengamatan Sanusi Junid terhadap kekuatan Pas yang menjadi musuh ketat Umno. Ungkapan itu dilontarkan kepada para pemimpin Umno semasa dalam Perhimpunan Agung Umno.

Jika diperhalusi kenyataan Sanusi Junid itu, surau adalah salah satu unsur yang wujud dalam pondok. Ini kerana pondok adalah institusi agama yang menjadi tempat bersembahyang, berkumpul dan juga pengajian diadakan. Salah satu kekuatan Pas adalah penguasaan mereka di insitusi agama seperti masjid dan surau. Salah satunya adalah surau di Padang Tembak, Teluk Intan.

Surau ini pernah menjadi surau tempat ustaz-ustaz Pas membuat dalam kuliah pengajian mereka. Antara yang memberi pengajian berkala dan tidak berkala ialah Ustaz Sidek Noor, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Sulaiman Mantap dan banyak lagi. Apabila tiba giliran mereka membuat pengajian, ramailah penyokong Pas datang ke surau tersebut. Meriahlah surau tersebut dengan program-program pengajian yang disusun oleh jawatankuasa surau.

Nama surau ini ialah Surau As Saadah tetapi orang Pas lebih mengenali dengan nama Surau Wak Johar atau nama sebenarnya Johar bin Ahmad. Orang tempatan tetap memanggil Surau as Saadah. Saadah adalah nama ibu kepada Wak Johar. Tapak surau itu merupakan wakaf Wak Johar atas nama ibunya, Saadah. Nama Saadah juga diabadikan sebagai nama salah satu lorong yang berdekatan surau itu.

Kampong Padang Tembak diteroka oleh orang Bagan Datoh yang terdiri dari orang Jawa dan Banjar. Mereka diberikan tanah seluas dua ekar untuk dibangunkan dengan aktiviti pertanian. Sebahagiannya meneroka kampong sebelah, Kampong Selabak.

Sebelah surau Wak Johar ada sekolah rendah Islam al Munir. Anak-anak saya bersekolah di situ juga. Tambahan pula, pengasas sekolah tersebut ialah Cikgu Sanusi dan isterinya. Cikgu Sanusi orang Sungai Manik, kampong saya. Kedua-dua pasangan itu adalah pimpinan Pas pada masa itu.

Jika ada program pengajian yang diisi oleh pimpinan Pas, para pelajar akan menerima handbill program tersebut. Biasanya anak saya bawa handbill untuk diberikan kepada saya. Begitu juga anak-anak orang lain. Pada peringkat awal, ramai penyokong Pas yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah tersebut tetapi lama kelamaan sekolah tersebut diterima oleh semua pihak tanpa mengira parti politik. Antara doktrin politik yang kuat pada masa itu bahawa sistem pendidikan di sekolah biasa adalah sekular dan tidak Islamik.

Dalam tempoh yang lebih kurang sama juga, bapa saya mengasaskan sekolah menengah agama rakyat di Sungai Manik. Ramai pelajar al Munir yang menyambung pengajian mereka ke peringkat sekolah bapa. Ini menjadikan hubungan kami bukan setakat dalam parti, sekampong tetapi juga satu aliran pendidikan.

Wak Johar bertanding dalam pilihanraya umum 1982 untuk dun Changkat Jong. Wak Johar dapat undi 1055 dan BN melalui Dato Arshad menang dengan mendapat undi 7746 undi. Jika dilihat mata kasar, Wak Johar bertanding atas dasar perjuangan. Meski beliau sekadar orang kampong biasa, tuntutan perjuangan pada masa itu memaksa untuk beliau bertanding. Wak Johar bukan ahli perniagaan, ahli politik, ulama atau tokoh besar tempatan.

Wak Johar berasal dari Sungai Sumun, Bagan Datoh. Saya sempat berjumpa dan bersembang dengannya. Wak Johar humble dan selalu berbaju Melayu, berkain pelikat dan berkopiah putih. Masa itu, Wak Johar sudah tua. Janggutnya putih beruban dan seorang pendiam. Susuk tubuhnya tidak jauh beza dengan Tuan Guru Haji Ahmad Chenderong Balai yang pernah jadi calon Pas di parlimen Hilir Perak peringkat awal.

Selepas itu, Pas Teluk Intan diketuai Haji Samsuddin Tamyes yang tinggal di Kampong Bahagia. Perwatakannya dengan Wak Johar tidak banyak berbeza. Kedua-dua berketurunan Jawa dan memiliki ramai ahli keluarga mereka yang menyokong Pas.

Anak saudara Wak Johar, Kapten (B) Hj Aris Bakri adalah Yang Di Pertua Pas Bagan Datoh dan bertanding beberapa kali dalam pilihanraya umum. Adik ipar Wak Johar yang bernama Shamsuri bin Omardi pernah menjadi Setiausaha Dewan Pemuda Pas Perak sewaktu Ustaz Fakharuddin Dato Ahmad Ghazali menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas Perak.

Kini surau tersebut tidak lagi digunakan untuk sembahyang Jumaat apabila sebuah masjid baru yang terletak bersebelahan dibina. Hanya pelajar-pelajar sekolah al Munir yang menggunakan untuk solat Zuhor. Di situ juga ada Pasti dan pusat rawatan Islam tetapi kini semua aktiviti tidak dapat beroperasi ekoran Covid 19. Semoga roh Wak Johar dicucuri rahmatNya dan kebaikannya berterusan.

Pada masa tahun-tahun 80an, tulang belakang Pas Teluk Intan adalah di cawangan Padang Tembak. Semasa bawah kepimpinan Ustaz Hir Damanhuri, Pas Teluk Intan mula membina markaznya di sebuah tapak yang mereka kongsi membeli bagi mewujudkan sebuah penempatan ahli Pas. Ustaz Hir Damanhuri juga berasal dari Bagan Datok. Kampong asalnya di Sungai Batang, tempat saya lahir di rumah datuk saya, Kiyai Haji Yasin al Bakri.

Sekembalinya saya dari United Kingdom pada 2011, Pas Teluk Intan jemput saya untuk memberi pengisian usrah bulanan kawasan di markaz tersebut. Saya lupa apa topik yang menjadi tajuk usrah pada masa itu. Markaz Pas itu hanya dua pelaung dari rumah saya. Jika ada ceramah, boleh dengar terutama bila malam yang sepi.

Banyak kali juga saya berceramah di situ. Ceramah politik mudah. Bantai musuh politik kaw-kaw. Mereka yang datang mendengar akan bersemangat dam bertakbir. Penceramah kena memiliki kemahiran berpidato seperti Sukarno, Dato Asri atau Ustaz Hadi. Mereka memiliki magnet untuk pengikut yakin segala isi pidatonya.

Sayangnya saya bukan kaki pidato atau seorang orator. Saya suka mendeklamasikan puisi, mengarang kata untuk membina negara dan bangsa. Sayang pula, ramai pendengar pula tidak berahi dengan kata-kata puitis. Mereka mabukkan kata-kata beracun lagi berbisa. Mereka tidak minat sains politik tetapi suka politik emosi.

Oleh sebab itu, kita sebagai anggota masyarakat sepatutnya memberi pendidikan politik warga negara dapat bertanggungjawab memelihara keharmonian dan kemajuan negara. Ini merupakan tanggungjawab semua pihak tanpa mengira parti politik, kaum dan lapisan masyarakat. Untuk peringkat awal, golongan intelektuallah yang terlebih awal melangkah ke hadapan. Memecah ruyung. Tetapi jangan sampai tinggalkan mereka yang lambat faham dan bergerak.

Denmark mansuh semua sekatan Covid-19 mulai hari ini

Bernama

MURMANSK: Kerajaan Denmark memansuhkan semua sekatan Covid-19 bermula Jumaat sejak sekatan itu dikuat kuasa pada 11 Mac 2020, lapor Sputnik, memetik Perbadanan Penyiaran Denmark.

Berikutan itu rakyat tidak lagi diwajibkan memakai pelitup muka, tiada had jumlah orang ketika berkumpul dan tidak perlu penggunaan kad kesihatan. Bagaimanapun, sekolah akan kembali ditutup sekiranya terdapat peningkatan kes.

Covid-19 tidak lagi dianggap sebagai penyakit amat berbahaya berikutan kejayaan kempen vaksinasi yang terbukti berkesan melawan wabak itu, kata pakar penyakit berjangkit Denmark, Jens Lundgren.

Denmark, negara Kesatuan Eropah pertama yang memansuhkan semua sekatan Covid-19, termasuk penggunaan kad kesihatan sebelum masuk ke restoran dan kelab malam.

Negara itu berjaya mencapai imuniti kelompok dengan lebih 80% penduduknya lengkap divaksin.

Keliru jenis vaksin, wartawan tuntut kerajaan bayar RM250,000

B Nantha Kumar 

Seorang wartawan menuntut RM250,000 daripada Kementerian Kesihatan (KKM) susulan kekeliruan berkaitan jenis vaksin diterimanya.

Notis tuntutan guaman itu dihantar kepada seorang pegawai kesihatan yang dipercayai mengawal selia pemberian vaksin di daerah Hulu Langat Selangor.

Ravi Muniandy, yang berkhidmat dengan sebuah akhbar Tamil, menghantar notis tuntutan guaman itu melalui Tetuan M Manoharan & Co semalam.

Peguamnya M Manoharan ketika dihubungi Malaysiakini berkata lelaki 47 tahun itu memberikan masa 14 hari kepada KKM untuk memberikan ganti rugi am atau berdepan saman di mahkamah.

"Kesilapan pihak KKM menyebabkan anak guam saya mengalami tekanan dan kesakitan mental sehingga terpaksa mendapat nasihat pakar psikologi yang disarankan oleh pihak KKM.

"Kini dia terpaksa mengambil vaksin jenis Pfizer dengan ragu-ragu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Manoharan (atas) berkata Ravi baru mengambil suntikan kedua pada hari ini, walaupun telah menerima suntikan pertama kira-kira dua bulan lalu (16 Jun).

Julai lalu, wartawan itu membuat laporan polis terhadap KKM selepas menerima kad janji temu Sinovac, selepas mendapat suntikan Pfizer.

Manoharan berkata anak guamnya tidak berani berbuat demikian kerana diberitahu ujian darah tidak dapat dibuat untuk menentukan jenis vaksin pertama diterimanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi doktor itu serta KKM berkaitan isu ini.

Pas eksploitasi tegar agama untuk politik

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH

Sebaik sahaja Pas mendominasi kementerian agama di Putrajaya, dengan pelantikan menteri dan timbalannya dari Pas, satu cadangan sensasi dan kontroversi telah dieksploitasi oleh Pas untuk politiknya.

Cadangan empat undang undang Syariah baru “Pengawalan dan Pengawasan Penyebaran Agama Bukan Islam” tanpa memberi sedikit pun bayangan atau maklumat atau perbincangan peringkat awal tentang cadangan tersebut.

Bukan sahaja pihak bukan Islam tetapi orang awam Islam pun tertanya tanya dan Presiden Patriot- Persatuan Bekas Parajurit, Mohd Arshad Raji, telah membuat bantahan atas kenyataan tidak bertanggungjawab terbabit apatah lagi apabila cadangan tersebut belum pun dibawa kepada Mesyuarat Raja Raja Melayu yang menjaga hal ehwal Agama Islam. Secara konsep dasar awal pun belum dibentang kepada Majlis Raja Raja Melayu.

Jadi untuk apa pengumuman tidak bertanggungjawab dan gelojoh tersebut dibuat jika tidak untuk tujuan politik semata-mata.

Tahun 2017, Akta RUU 355 undang undang Islam telah dibawa sebanyak 3 kali ke parlimen untuk dibahas tetapi Pas menjawab masih belum bersedia untuk bahas. Sebelum itu berbagai-bagai demonstrasi politik puluhan tahun diadakan termasuk di Padang Merbok seolah-olah hukum hudud mesti diluluskan dan dilaksanakan segera.

Sejak menjadi sebahagian dari kerajaan, RUU355 atau isu hukum hudud tidak pernah disebut lagi oleh Pas.

Isu judi dan arak pun belum ditangani malahan cabutan judi Magnum ditambah dari 8 hinggga ke 22 setahun sementara Menteri Pelancongan mengucap “syukur” Pusat Judi Kasino Genting telah boleh di buka baru baru ini.

Ada pihak lain menyatakan krisis Covid- 19 ini adalah peluang untuk menutup pusat judi termasuk Kasino Genting. Ini satu lagi sandiwara politik Pas menunggang isu agama untuk politik.

Kalau yang berpuluh tahun hukum hudud dicanang dan digembar-gembur sehingga memecah belahkan sesama Islam dengan isu kafir mengkafir, kini isu cadangan undang-undang separuh masak akan memecah belahkan pula Islam dan bukan Islam semasa negara dan ekonomi ini tenat dilanda Covid-19.

Kalau dahulu amanat Haji Hadi di Banggol Peradong pada tahun 1981 telah “mengkafirkan” ahli Umno dan memporak peranda sesama Islam dan orang Melayu, cadangan separuh masak baru oleh Menteri dan Timbalan Menteri Agama dari Pas akan menghancurkan hubungan antara Melayu-Islam dengan bukan Melayu Islam pula.

Banyak isu Pas lama masih tergantung dan tidak dilaksanakan, hendak bawa pulak undang-undang “isu senjata politik” baru.

Pas kini kelihatan parti politik perosak masyarakat dan negara.

Anehnya, sejak Pas menjadi sebahagian dari kerajaan, Amanat Haji Hadi telah dipadamkan dari portal rasmi Jakim tanpa apa-apa penjelasan sehingga berbulan lamanya selepas kami menuntut pada penjelasan menteri.

Amanat Haji Hadi tersebut telah diisytiharkan “ajaran sesat” oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan dan diluluskan oleh Majlis Raja-Raja Melayu.

Bolehkah Menteri dan Timbalan Menteri Pas mengeluarkan kenyataan tentang Fatwa Haji Hadi dari Portal rasmi Jakim tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja dan Majlis Fatwa Kebangsaan?

Adakah Pas merupakan autoriti utama mutlak agama kerajaan hari ini mengenepikan peranan pihak lain?

Sudahkah Perdana Menteri memberi “sub kontrak” autoriti terus penuh kepada Pas untuk membuat sesuka hatinya dalam isu Agama hari ini?

Mungkin tidak perlu undang undang baru penyebaran agama lain jika Pas melaksanakan betul-betul pengagihan duit zakat, seperti contoh di Kelantan dan Terengganu, kepada yang benar benar miskin serta berhak dan memerlukan kerana dua negeri ini kaya duit zakat tetapi pengagihannya dan salahguna duit zakat amat lemah dan mendukacitakan.

Isu pengagihan secara sistem adil adalah isu lama lapuk dan ada pihak miskin terpaksa meminta dari pihak agama lain.

Cermin diri dahulu atas kelemahan sendiri.

Undang-undang baru tidak akan menyelesaikan masalah lama selagi sikap lama perlaksanaan lemah membuat orang meminta dan berjinak dengan pihak lain.

Kerana itu Islam menekankan bantuan dan sumbangan zakat yang adil dan menyeluruh untuk banteras kemiskinn kerana kemiskinan boleh membawa kesesatan.

Bersikap lebih bijaksana, sabar dan adillah dan jangan ekploitasi isu agama dan perkauman murahan semata mata untuk politik.

Sikap Pas mengekploitasi Islam serta gila kuasa politik dan bertindak tergesa-gesa, bukan gambaran ajaran Islam yang sebaik baiknya.

A Kadir Jasin: Tempo kempen naikkan semula kleptokrat semakin rancak

MALAYSIA DATELINE

Tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin menyifatkan kempen mengembalikan bekas pemimpin yang dikenali sebagai kluster mahkamah dan kleptokrat semakin rancak.

Dalam komen beliau menerusi facebooknya, Kadir berkata demikian ketika mengulas kenyataan ahli Parlimen Umno, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz yang menyifatkan negara rugi jika tidak menggunakan pengalaman Datuk Seri Najib Razak.

Bagi Kadir, yang kasihan adalah kakitangan awam dan GLC yang terpaksa bertuankan golongan ini.

“Salam sejahtera. Tempo kempen mengembalikan kluster mahkamah dan kleptokrat semakin rancak. Kasihan kakitangan awam dan GLC yang terpaksa bertuankan golongan ini. Wallahuaklam,” tulis Kadir.

Bagi beliau, melantik orang yang rendah moral ke sebuah organisasi akan menjatuhkan moral (semangat) kakitangannya.

Utusantv melaporkan, Datuk Seri Najib Tun Razak disebut-sebut mungkin akan dilantik sebagai Penasihat Ekonomi bertaraf menteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Cakap-cakap mengenai pelantikan itu mula bertebaran semalam apabila Ismail Sabri menerima kunjungan bekas Perdana Menteri itu selama sejam di Putrajaya.

Perdana Menteri melalui Facebooknya berkata, mereka telah membincangkan tentang cabaran ekonomi dalam dan luar negara termasuk strategi mendepani pandemik Covid-19.

“Datuk Seri Najib komited dalam menyumbangkan tenaga, masa dan idea untuk bersama-sama sebagai satu pasukan demi Keluarga Malaysia tercinta,” katanya.

Sebelum ini, timbul spekulasi Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan akan dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pontian itu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada 21 Januari 2020, atas dua tuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta wang yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu.

Ahmad mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Pembangkang calonkan Nga jadi timbalan speaker Dewan Rakyat

Malaysiakini 

Pakatan Harapan (PH) menamakan ahli parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming sebagai calon mereka untuk mengisi kekosongan jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat.

Ketika dihubungi Nga mengesahkan dia adalah calon tunggal dinamakan pihak pembangkang.

Katanya cadangan calon ityu sudah diserahkan kepada pihak parlimen mengikut kaedah yang ditetapkan peraturan mesyuarat.

Untuk rekod ketika ini satu daripada dua jawatan timbalan speaker itu kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Azalina Othman Said, baru-baru ini.

Dewan Rakyat akan membuat pemilihan bagi mengisi kekosongan ditinggalkan ahli parlimen Pengerang itu pada Selasa depan. Pada masa sama blok kerajaan pula mencadangkan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan sebagai calon mereka.

Sementara itu Nga juga hari ini menyenaraikan 10 pembaharuan parlimen yang akan dilaksanakannya jia terpilih menjadi timbalan speaker.

Dia yang pernah menjalankan tugas itu semasa PH menjadi kerajaan selepas PRU ke-14 lalu mengusulkan agar oarlimen bertindak sebagai cabang perundangan untuk mendapatkan kebebasan kewangan, memiliki perkhidmatan sendiri, mengkaji rang undang-undang kerajaan secara berkala, meneliti anggaran kerajaan dan menangani masalah setempat sesebuah kawasan parlimen.

Sepuluh pembaharuan yang dijanjikan oleh Nga adalah seperti berikut:

1. Memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memastikan pemisahan kuasa berlangsung

2. Menubuhkan jawatankuasa pilihan khas untuk menyemak belanjawan bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam peruntukan belanjawan tahunan kepada Parlimen.

3. Menubuhkan jawatankuasa pilihan khas untuk mengkaji semula rang undang-undang kerajaan.

4. Menubuhkan kamar khas kedua untuk membincangkan isu-isu khusus yang dihadapi pelbagai kawasan supaya menteri yang berkaitan dapat berhadapan secara langsung, menjawab soalan ahli parlimen dan memberikan penyelesaian.

5. Menetapkan hari persidangan minimum bagi parlimen untuk memastikan semua anggotanya dapat memainkan peranan sementara kehadiran ahli parlimen juga harus diumumkan secara terbuka untuk dipertanggungjawabkan kepada pengundi.

6. Mengadakan siaran langsung untuk mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)

7. Status menteri untuk ketua pembangkang

8. Melembagakan usul percaya untuk memastikan keabsahan perdana menteri agar tidak dipersoalkan. Untuk itu parlimen harus meminda peraturan mesyuarat bagi mensyaratkan seseorang perdana menteri baru untuk mengemukakan usul undi percaya kepada parlimen dalam tempoh 30 hari setelah mengangkat sumpah.

9. Undang-undang antilompat parti yang merangkumi pemilihan semula wakil rakyat.

10. Menubuhkan jawatankuasa terpilih khusus untuk isu-isui alam sekitar, sosial, dan tadbir urus.

Doktor ditahan ‘kantoi’ rakam pembantu wanita dalam tandas

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang doktor lelaki ditahan selepas disyaki merakam pembantu wanita yang ketika itu berada di dalam sebuah tandas di sebuah klinik swasta di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata perbuatan itu disedari mangsa yang berusia 30 tahun selepas ternampak satu telefon bimbit berada dalam kedudukan tinggi.

Katanya, mangsa mendakwa telefon bimbit itu berada dalam keadaan aplikasi kamera terpasang ketika dia masuk ke tandas berkenaan dan kemudiannya mengambil peranti berkenaan sebelum terus keluar daripada klinik berkenaan.

“Bagaimanapun, tindakan mangsa yang mahu keluar daripada klinik secara tergesa-gesa itu disedari oleh suspek dan lelaki itu bertindak menghalangnya.

“Suspek kemudian meminta mangsa memulangkan semula telefon itu dan berjanji akan menghapuskan rakaman berkenaan di hadapannya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Fakhrudin berkata, mangsa bersetuju menyerahkan telefon bimbit itu kembali kepada suspek sebelum doktor lelaki itu menunjukkan dia memadam rakaman di hadapan mangsa.

Tambah beliau, bagaimanapun mangsa tidak nampak kandungan rakaman yang dipadam suspek dan bertindak membuat laporan polis pada 2.30 petang, semalam.

Katanya, susulan laporan dibuat mangsa, suspek yang berusia 46 tahun ditahan di sebuah lokasi di sini kira-kira 7.30 malam tadi oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Kita turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek untuk membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 509 dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Bersatu atau Umno, hanya 'satu harimau akan hidup'

M Fakhrull Halim 

Umno akan memanfaatkan masa sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-15 untuk menghancurkan parti serpihannya Bersatu, ramal penganalisis politik Prof James Chin.

Dia menggunakan kiasan peribahasa Cina bahawa dua ekor harimau tidak akan dapat berkongsi sebuah gunung bermaksud dalam satu kawasan tidak boleh ada dua tokoh yang memimpin.

“Sekarang, ada dua harimau di gunung yang sama, hanya seekor yang akan terus hidup.

"Dan jika anda lihat cara Umno melayan harimau yang seekor lagi (Bersatu) yang cuba mengambil alih gunung, mereka (Umno) telan sahaja dia (Bersatu).

“[...] Melainkan kita mendapat satu pemenang yang jelas dalam PRU akan datang, kita akan terus berada dalam ketidakstabilan politik yang berpanjangan,” katanya.

Chin berkata demikian pada webinar bertajuk “Kebangkitan Semula Umno: Apa Seterusnya untuk Malaysia?” anjuran Malaysiana LCMS Sdn Bhd, bersempena pelancaran buku “Paradise Lost: Mahathir & The End of Hope” karangan Dennis Ignatius semalam.

Webinar itu turut disertai Dennis dan Mohamed Tawfik Ismail, serta Prof Mohd Tajuddin Mohd Rasdi dan Tommy Thomas selaku panelis selain Chin.

Terdahulu moderator Jonson Chong menyoal Chin mengenai bagaimanakah visi Malaysia yang dibayangkannya selepas 20 tahun yang akan datang, serta mengulas ucapan awal Dennis bahawa Malaysia sedang menuju ke arah negara yang gagal.

Tidak mahu meramal jauh 20 tahun ke hadapan, Chin sebaliknya mengulas mengenai PRU15 yang dia jangkakan akan berlaku pada tahun hadapan berbanding 2023 - tahun ia harus selewat-lewatnya dilangsungkan, iaitu pada bulan Julai.

Menurut Chin lagi, negara yang berada di ambang kegagalan sekalipun, boleh mengubah nasibnya daripada terjerumus menjadi negara gagal jika diterajui oleh seorang pemimpin yang tepat.

Katanya, antara punca kegagalan Malaysia kerana terdapat para pemimpin negara masa kini yang tergolong daripada generasi lama dan terperangkap dalam minda lama.

“Generasi terkini pemimpin, mereka yang gagalkan negara ini. Tak ada cara untuk membuatkan mereka mengubah cara mereka berfikir.

“Orang macam Dr Mahathir Mohamad, sangat tekal dalam cara pemikiran mereka. Bukan sahaja generasinya, (tetapi juga) generasi Muhyiddin Yassin, generasi Ismail Sabri Yaakob, mereka ini datang daripada tempoh masa spesifik dalam pembangunan Malaysia (yang membentuk cara pemikiran mereka).

“Mereka takkan berubah,” katanya.

Kata Chin, jika dilihat daripada sejarah kontemporari, terdapat banyak negara yang berada di ambang kegagalan institusi berjaya dipulihkan dalam kadar segera apabila dipimpin oleh seorang pemimpin yang tepat.

“Masalahnya di Malaysia, anda cari-cari, tak ada pemimpin sebegitu. Saya rasa itulah sebab orang menjadi semakin pesimis.”

Oleh sebab itulah, kata Chin, sejak beberapa tahun dahulu dia sering menerapkan (advocating) idea agar Malaysia melangkau generasi pemimpin-pemimpin tua yang ada sekarang untuk mencari pemimpin yang satu atau dua generasi lebih muda - dalam lingkungan usia 40 ke awal 50 tahun.

“Hujah yang selalu (diterima) adalah, orang-orang muda ini, bagaimana kita nak tahu mereka lebih baik daripada (pemimpin) generasi sekarang?

“Jawapan saya terhadap kritikan itu sentiasa bahawa mereka tak akan menyebabkan kerosakan lebih teruk daripada apa yang telah dilakukan kini,” katanya.

Untuk rekod, Dr Mahathir kini berusia 96 tahun, Muhyiddin 74 tahun manakala Ismail Sabri pula berusia 61 tahun.

Tambah Chin lagi, hal sama dapat dilihat pada negara-negara lain yang turut terperangkap dalam situasi sama seperti Malaysia seperti di Asia Timur dan Eropah Timur - yang memakan masa 15 hingga 20 tahun bagi negara-negara berkenaan menstabilkan semula negara mereka.

Mengulas mengenai demokrasi di negara ini, katanya, Malaysia tidak pernah mengamalkan demokrasi dalam erti kata yang sebenar. Sebagai contoh, katanya, sejak kemerdekaan hingga sebelum PRU12, parti yang menang dalam PRU sentiasa menjadi kerajaan pemerintah yang kuat.

Meskipun pilihan raya diadakan, terdapat amalan-amalan manipulasi (rigging) yang dilakukan seperti persempadanan semula kawasan pilihan raya serta mekanisme pembuangan undi yang memberi kelebihan kepada parti pemerintah.

“Selalunya, parti berkuasa (ketika itu), BN, kalau dilihat PRU sehingga 2008, sebelum undi pertama dibuang, kamu boleh katakan bahawa mereka sudah ada sekurang-kurangnya 40 peratus kerusi dalam poket.”

BN mengalami kemerosotan teruk keputusan pilihan raya pada PRU12 apabila gagal mengekalkan penguasaan majoriti dua pertiga di parlimen sehingga membawa kepada peletakan jawatan perdana menteri ketika itu Abdullah Ahmad Badawi beberapa bulan kemudian.

Kata Chin, terdapat pendapat cendekiawan yang melihat amalan demokrasi tidak dapat berakar umbi di rantau Asia kerana perbezaan budaya politik, sedangkan demokrasi sebenar dilihat hanya dapat subur di negara yang mempunyai institusi, taraf pendidikan dan tahap kekayaan yang baik.

Harapan terbaik untuk amalan demokrasi di Malaysia, katanya melalui kerajaan pelbagai kaum dengan kaum minoriti benar-benar diberikan jawatan tinggi dan mempunyai suara dalam kerajaan, selain norma politik yang bersifat merentasi spektrum politik.

Katanya lagi, sistem berdemokrasi di Malaysia tidak akan mengalami perubahan besar, melainkan negara berdepan dengan peristiwa yang mendatangkan trauma besar.

“[...] Sehinggalah kamu tiba di takat krisis, malang sekali, saya katakan bahawa keadaan akan terus kekal serupa,” katanya.

Masihkah ada harapan untuk kerajaan ini?

ATRIZA UMAR

Umumnya, Rakyat Malaysia telah ketahui, pada 20 Ogos 2021 lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah membuat keputusan melantik Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan menggantikan Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Pelantikan tersebut sedikit sebanyak memberi harapan kepada rakyat terhadap pucuk pimpinan yang baharu. Sebagaimana sebelumnya, harapan itu tetap ada, apatah lagi mengharapkan negara akan mampu pulih daripada virus Covid-19, permasalahan ekonomi, pendidikan, sosial serta ketenatan lain yang dihadapi.

Namun seribu kali sayang, seakan begitulah yang dirasakan rakyat apabila kabinet yang dipersembahkan ini sedikit sebanyak menghancurkan harapan rakyat berikutan kerajaan kini hanya ‘menyalin kulit’ daripada kerajaan terdahulu.

Realistiknya, sejauh mana orang yang sama mampu membuat sesuatu yang baharu sedangkan barisan jemaah menteri adalah bersifat recycle dengan hanya berlaku beberapa perubahan suka sama suka, bukan integriti mahupun kompetensi yang ada pada diri masing-masing?

Melihat kepada situasi ini, keyakinan rakyat beransur pudar berikutan kerajaan baharu ini seakan tidak serius memperbaiki isu #Kerajaangagal yang lalu.

Ini bertepatan dengan pandangan Timbalan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Hj Badlishah Sham Baharin yang menyifatkan barisan kabinet baharu tidak ada kejutan kerana 85 peratus menteri dan timbalan menteri itu daripada kabinet yang lama.

“Jadi tidak hairanlah orang boleh melabelkan sebagai kabinet ‘kitar semula’, kabinet ‘PN 2.0’. Bila kita lihat komposisi kabinet itu masih sama, jadi maknanya expectation tu tak tinggi,” katanya ketika menjadi ahli panel forum Analisis bertajuk ‘Kerajaan Baharu: Apa Harapan Rakyat?’ yang disiarkan menerusi laman Facebook Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Sinar Harian.

Beliau berkata, apa yang sedang berlaku sekarang ini pun, masalah pandemik, masalah ekonomi, kerajaan kini masih lagi belum dapat diatasi dengan sebaik-baiknya.

Kuasa rakyat yang dikhianati?

Memetik kata-kata Abraham Lincoln, demokrasi ialah “government of the people, by the people and for the people” yang bermaksud pemerintahan daripada rakyat oleh rakyat dan untuk rakyat.

Adakah ungkapan keramat itu ‘hidup’ dalam suasana politik negara kita kini?

Dengan bahasa mudahnya, daripada kata-kata itu, rakyat adalah penentu sesebuah pemerintahan yang mahu dibentuk dan perjalanan sesebuah kerajaan mesti berpaksikan rakyat, bukan berpaksikan kelompok politik, ekonomi apatah lagi kepentingan pihak tertentu.

Buat julung kalinya, pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diwarnai dengan pelbagai konflik politik dan negara telah bertukar sebanyak tiga Perdana Menteri setakat ini.

Ironinya jelas menampakkan keadaan politik negara sangat tidak sihat apabila bertukar buat kali ketiganya ini. Ia mensahihkan lagi telahan rakyat terhadap situasi yang melanda siasah negara. Bukan hanya isu pandemik, ekonomi rakyat semakin tersepit dan tertekan, tetapi politik dalam negara juga sedang sangat tenat.

Apa yang menariknya, sedikit kelainan yang dibawa oleh Ismail Sabri adalah mengadakan pertemuan dengan ketua dan pemimpin parti pembangkang utama iatu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) serta mengeluarkan kenyataan bersama.

“Saya ingat tidak pernah berlaku sebelum ini pertemuan antara Perdana Menteri dan pembangkang mengeluarkan kenyataan bersama,” ujar Badlishah Sham.

Ia sedikit sebanyak memberi sesuatu gambaran yang baik. Akan tetapi, semua itu berubah 360 darjah apabila perdana menteri mengumumkan barisan kabinet yang memang majoritinya daripada kerajaan gagal Tan Sri Dato’ Mahiaddin Md Yasin yang lalu.

Dalam pada itu menurutnya, rakyat tidak mahu politik yang terlampau sebab rakyat semakin susah dan menderita, dengan keadaan Covid-19, ekonomi, pendidikan dan sosial yang belum ada kesudahannya.

“Perlu ada kesepakatan dan kerjasama antara kerajaan dan pembangkang untuk memberi fokus kepada perkara ini. Selesaikan masalah ini, bawa solusi-solusi yang konkrit untuk mengatasi masalah ini,” tegasnya.

Sampai bila situasi yang tidak sihat ini akan berterusan? Tentunya ketika ini rakyat mahu melihat penyelesaian terbaik dalam menangani masalah pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi dengan penuh integriti dan hikmah, namun adakah ia sekadar harapan yang tinggal harapan?

Parti yang menang pilihan raya menjadi pembangkang manakala yang kalah pula menjadi kerajaan. Adakah 32 juta rakyat Malaysia bersedia dengan normal baharu ini?

Tidak menguntungkan rakyat

Konsep federalisme yang dilaksanakan tentu dapat direalisasikan. Malah, ia bukan lagi halangan untuk dijayakan dan pada masa sama seluruh warga Malaysia dapat menikmati kemakmuran secara bersama bersesuaian dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963.

Sedarkah kita, politik negara kini tidak lagi bergantung pada satu-satu parti atau gabungan politik lama dalam mentadbir negara selain mencari titik penyelesaian agar proses pemulihan negara dapat berjalan lancar dan inklusif.

Tetapi, ia tetap tidak menghadirkan pulangan yang baik apabila kerajaan kini hanya mengambil semula ahli-ahli parlimen yang jelas menampakkan hasil kerja yang tidak berkualiti, berintegriti apatah lagi kompetensi.

Presiden Ikatan Inteligensia Membangun Malaysia, Datuk Nizam Mahshar berkata, politik dalam kalangan rakyat perlu berubah. Ini kerana beliau melihat ia semakin tidak memberikan pulangan yang menguntungkan rakyat.

“Yang patut kita risaukan bergerak ke hadapan ini, adakah pertukaran rejim yang ada ini sebenarnya menyelesaikan masalah utama dalam politik? Bagi saya kita sebagai rakyat kena mengambil pengajaran bahawa persoalan nak mengubah individu itu tidak menyelesaikan masalah.”

Rakyat sudah tidak boleh buat apa-apa?

Apabila mantan Perdana Menteri dilantik semula mengetuai majlis pemulihan Negara (MPN), bertaraf menteri, menjadi persoalan kepada sekalian rakyat yang prihatin, adakah Perdana Menteri sekarang sekadar menjadi boneka?

Rakyat mula sangsi, adakah pimpinan yang diatur ini bertujuan memimpin negara demi kepentingan rakyat atau mengekalkan kuasa demi kepentingan peribadi?

Sebagai rakyat, tentunya kita mempunyai harapan terhadap kerajaan yang memerintah. Boleh jadi harapan itu sekadar tinggal harapan atau didengari dan diambil peduli oleh pihak kerajaan untuk merealisasikannya.

Namun, sebilangan besar rakyat Malaysia menjadi kecewa dengan tindakan Perdana Menteri yang kesembilan ini yang mengambil semula mereka dalam kalangan menteri sebelum ini, menerajui barisan kabinetnya.

Ketidakpuasan hati rakyat terzahir di media-media sosial, menandakan kerajaan kini sama saja seperti kerajaan sebelumnya yang diberi tanda pagar (#) kerajaan gagal.

Sebagaimana kata Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dalam program forum Analisis, “Kita perlu bergerak dengan cara baru. Biarlah luncai terjun dengan labu-labunya.”

Menurutnya, rakyat sudah tidak boleh buat apa-apa.

“Dalam masa 21 bulan saja lagi kita perlu susun kerana kita yang buat mistake. Selama 60 tahun kita membiarkan rasuah berleluasa hingga rakyat sendiri terlibat dengan kancah tersebut.”

Katanya lagi, kebangkitan rakyat yang menolak value system (sistem nilai), kerana yang parahnya adalah disebabkan value system.

“Dengan value system ini membenarkan orang menjual kerusi, jual undi atau apa sahaja yang boleh dijual,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, mereka yang mengambil rasuah, terima rasuah, dan jika value system itu kuat, ketika ditawar, seseorang itu boleh menolak, ketika diminta ia boleh tidak mahu beri.

“Jadi, segala ini perlu kembali kepada value system.”

Tambahnya lagi, ini bermakna rakyat perlu tinggalkan, biar mereka baiki dan tugas rakyat menyelamatkan.

“Kita perlu sasarkan lima ke 10 tahun lagi, mereka yang duduk di universiti dan kita perlu tanamkan segala operating system itu berasaskan nilai-nilai yang ada pada agama masing-masing.”

Jangan putus harapan, teruskan berjuang

Naratif kerajaan kali ini seakan tiada bezanya, hanya berubah ketua iaitu perdana menteri sahaja. Barisan jemaah menterinya copy paste daripada kerajaan terdahulu.

Sedarkah mereka yang di atas sana, walaupun menggunakan slogan ‘Keluarga Malaysia’ yang merujuk kepada rakyat Malaysia, rakyat sudah sangat letih dengan situasi politik yang ‘dramanya’ sangat kontra dan hipokrit.

Situasi pandemik, masalah kewangan, ekonomi yang semakin lembab dan masalah sosial yang semakin meruncing seakan tidak nampak penyelesaiannya.

Apalagi pelajar-pelajar sekolah, Malaysia antara negara yang paling lama menutup sekolah di dunia. Dan kita juga antara negara yang paling lama berada dalam keadaan lockdown.

Sampai bila kerajaan akan benar-benar merealisasikan konsep ‘Malaysia Prihatin’ sebagaimana tema kemerdekaan yang disensasikan?

Dan sebilangan besar rakyat seperti biasa setiap hari meneruskan rutin berusaha meneruskan kehidupan mendapatkan rezeki untuk diri, isteri dan keluarga.

Adakah harapan yang diungkapkan rakyat dipeduli mereka atau hanya menjadi kekecewaan yang tidak berkesudahan sehingga tibanya PRU15?

Ditabur dengan gula-gula manifesto, meraih undi rakyat tanpa rasa malu setelah mempermainkan bertalu-talu?

Teruskan perjuangan dan doa kita sebagai rakyat untuk mendapatkan sebuah kerajaan yang berintegriti dan kompeten dalam melaksanakan amanah kepimpinan mentadbir negara Malaysia yang disayangi ini.


*ATRIZA UMAR merupakan Pegawai Penyiaran dan Komunikasi, Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Sumbangan besar Pas naikkan semula para “koruptur”

 
ZAKARIA MUSA
 
Umno sudah berada hanya setapak lagi untuk berkuasa mutlak seperti era sebelum Mei 2018.

Mungkin pemimpin Umno sendiri kaget dan takjub dengan pencapaian yang luar biasa itu. Hanya tidak sampai dua tahun Umno berada di posisi pembangkang.

Tidak sempat serasi, apatah lagi sehingga dapat menghayati asam garam kehidupan sebagai pembangkang.

Mulanya, dengan pengkhianatan sebahagian ahli-ahli parlimen PKR dan Bersatu, juga sokongan bulat daripada Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), maka Umno berpeluang masuk balik dalam kerajaan pintu belakang.

Majoriti pemimpin PKR dan Bersatu itu asalnya pun daripada spesis Umno-BN juga. Tapi yang menakjubkan adalah sikap Pas. Bermati-matian Pas berjuang untuk menjatuhkan Umno sejak awal ditubuhkan 70 tahun lalu. Berani berdepan pelbagai risiko dan penindasan sehingga ada ahli dan pemimpinnya yang terkorban, tapi akhir-akhirnya berdakapan mesra dengan Umno.

Lebih tragis, Pas telah membantu mendukung Umno semula untuk menjadi teraju utama kerajaan. Umno dengan rupa bentuk dan semangatnya yang asal. Umno yang mengasaskan budaya politik jelik, sarat dengan korupsi, salahguna kuasa, kronisme.

Presiden Pas menandatangani akuan bersama Bersatu dan Umno semasa kemelut pelantikan Menteri Besar Perak, Disember tahun lalu.

Bermain mata

Sikap politik Pas ini mula dikesan sekitar 2015 lagi. Kumpulan pemimpinnya yang rapat dengan Presiden Pas, bermain mata dengan perdana menteri, sang kleptokrat Najib Razak.
 
Pas waktu itu tidak lagi serasi dengan parti-parti pembangkang yang lain, PKR dan DAP. Ada-ada sahaja isu yang mencetuskan rasa tidak puas hati terhadap parti sekutu dalam Pakatan Rakyat.

Pas lebih cenderung menggunakan dalih berunsur perkauman; Pas sudah bermesra-mesra dengan elemen asobiyah yang ditentang kuat sejak bermulanya era kepimpinan ulamak.

Sedang Najib berdepan isu paling kontroversi mencuri berbilion ringgit dana awam, anehnya Pas mengambil sikap cukup lunak. Bertiup kencang gosip politik bahawa Pas juga menerima “suapan” lumayan daripada Umno, termasuk bertujuan untuk menyingkirkan kelompok yang dilabel “Anwarinas, jebon, anti-ulamak” dan sebagainya.

Malah, ada pendedahan menjelang PRU-14, yang disertakan bukti slip transaksi bank, perpindahan wang berjuta ringgit daripada pemimpin Umno ke dalam akaun Pas.

Tentu sekali Pas menafikannya dan menyifatkan pendedahan itu sebagai fitnah semata-mata. Dan reaksi majoriti ahli-ahli Pas pastinya “kami dengar dan kami patuh” dengan apa jua sikap pemimpin. Namun, penafian Pas itu cukup longgar; sekadar berkata-kata dengan lidah tidak bertulang.

Talam dua muka

Dalam banyak keadaan pun, Pas juga mengakui ia terpaksa bercakap tidak benar (berbohong) demi kepentingan dan survival parti. Maknanya, menerima duit atau bantuan Umno itu adalah keperluan strategik Pas dan bagi pemimpinnya ia langsung tidak memberi walaupun sedikit kudis buat imej parti Islam itu.

Berdepan pengundi yang rata-ratanya cukup marah dan muak dengan rejim Najib-BN ketika itu, Pas bermati-matian menafikan ia sedang bermukah dengan Umno.

Maknanya, sokongan yang Pas raih dalam PRU-14, sehingga mampu menguasai Kelantan dan Terengganu, dan meraih jumlah kerusi yang besar dalam Dun Kedah-Pahang, juga 18 kerusi Parlimen adalah berpunca daripada gelombang besar penolakan kepada Umno-BN.

Sesungguhnya, Pas nampak tidak rasa bersalah pun atas sikap talam dua muka itu. Pendirian politiknya bagai flip-flop dengan dalih strategi atau pendekatan boleh berubah mengikut keperluan semasa.

Walhal, apa yang dilakukannya itu adalah pendustaan, yakni berbohong kepada pengundi. Lebih buruk lagi, sikap Pas seolah-olah menerima jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang melampau.

Sudahlah Pas juga bersekongkol dan menjayakan komplot pengkhianatan yang merampas mandat rakyat dalam PRU-14. Tanpa sokongan Pas, Umno masih berada di posisi pembangkang dan agenda reformasi masih boleh dilaksanakan.

Sementara Umno belum pun serik dihukum pengundi, ia bingkas menduduki takhta kuasa, bermula sebagai rakan kongsi Perikatan Nasional (PN) dan 17 bulan selepas itu, menjadi perdana menteri. Di Malaysia, kerusi PM begitu “powerfull” sekali, manakala mekanisme semak-imbang tidak berfungsi dengan berkesan.

Kini, Umno tidak lagi tunduk malu kesipuan. Umno kini mampu berdada dan “tegak kepala” dengan megahnya. Umno sudah memperolehi apa yang dihajatinya.

Malah dunia antarabangsa — melalui laporan media asing — mengesahkan bahawa rejim kleptokrasi Malaysia sudah kembali berkuasa. Dan Pas tentunya boleh tumpang berbangga akan sumbangan besarnya menaikkan gerombolan para koruptur itu!

Peranti kesan Covid-19 melalui bau badan

AFP

Penyelidik dari Universiti Chulalongkorn menunjukkan peranti yang digunakan untuk mengesan Covid-19 daripada bau badan. - FOTO AFP

Penyelidik dari Universiti Chulalongkorn menunjukkan peranti yang digunakan untuk mengesan Covid-19 daripada bau badan. - FOTO AFP

Penyelidik dari Universiti Chulalongkorn menunjukkan peranti yang digunakan untuk mengesan Covid-19 daripada bau badan. - FOTO AFP

Bangkok: Bagi peniaga di pasar, peluh luar biasa yang membasahi baju mereka mungkin menjadi petanda jangkitan Covid-19, kata saintis tempatan.

Penyelidik Thailand sedang membangunkan pengesan mudah alih untuk mengesan bau badan yang terhasil ketika berpeluh, dan ujian sedang dijalankan ke atas peniaga di pasar makanan Bangkok minggu ini.

"Berdasarkan sampel, kami mendapati mereka yang dijangkiti Covid-19 akan mengeluarkan kimia tertentu.

"Hasil dapatan ini kami gunakan untuk membangunkan peranti bagi mengesan bau badan tertentu yang dihasilkan bakteria daripada peluh pesakit Covid-19," kata Chadin Kulsing dari Universiti Chulalongkorn.

Chadin berkata, ujian berkenaan mencapai ketepatan sehingga 95 peratus dan ia diharap dapat digunakan sebagai alternatif mampu milik menggantikan ujian calitan yang lebih mahal dan memerlukan proses di makmal.

Bagaimanapun, peranti berkenaan masih di peringkat pembangunan dan kajian mengenainya masih belum diterbitkan atau mendapat penilaian rakan setara.

Saintis menggunakan peranti yang biasa digunakan untuk mengesan bahan toksik pada alam sekitar.

Subjek perlu meletakkan kapas calitan di bawah ketiak selama 15 minit, sebelum memasukkan kapas berkenaan ke dalam bebuli kaca dan disteril dengan sinar UV.

"Juruteknik akan mengambil sedikit sampel menggunakan hos penyedut dan meletakkannya pada alat analisis bagi mendapatkan keputusan," katanya.

Ia hanya mengambil masa 15 minit dan keputusan boleh diperoleh dalam tempoh 30 saat.

Ujian daripada peluh itu mendapat pujian daripada peniaga di pasar berkenaan berikutan ia lebih 'selesa' berbanding ujian calitan pada hidung.

"Saya boleh meneruskan kerja ketika menunggu keputusan. Jika melakukan ujian PCR, saya perlu menunggu di pusat ujian, duduk dan tunggu keputusan. Ia membuang masa," kata seorang penjual.

 - Hmetro 

Tak dapat duit, lelaki tikam kepala adik dengan gunting

FMT Reporters

Suspek ditahan polis manakala gunting yang didakwa digunakan untuk menyerang adiknya turut dirampas. (Gambar PDRM)

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki menikam kepala adiknya menggunakan gunting dalam pergaduhan di Kampung Pintas, Beaufort, Sabah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang, suspek berusia 31 tahun dikatakan mengamuk selepas gagal mendapatkan wang yang dipercayai untuk membeli dadah daripada ibunya.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek turut merosakkan barang di sekeliling sambil menjerit.

Katanya, adik suspek berusia 25 tahun yang melihat kejadian itu menegurnya, namun dia pula diserang.

Beliau berkata, pergelutan berlaku antara mereka sehingga suspek dikatakan mengambil gunting dan menikam kepala adiknya.

“Ibu mereka yang melihat kejadian itu segera meleraikan. Akibat insiden itu, mangsa luka di kepala dan dada kerana terkena gunting yang didakwa digunakan suspek. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.

“Susulan laporan dibuat ahli keluarga terbabit, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, menahan suspek dan merampas gunting dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek disyaki penagih dadah, manakala wang yang diminta dipercayai untuk membeli bahan terlarang itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” katanya.

Sekat sebaran agama bukan Islam: Harap menteri agama dapat jawab, jernihkan keadaan

HANIPA MAIDIN

La ni, saya lihat agak hangat dibincangkan di media isu hasrat gomen tebuk atap 2.0 untuk bentang Rang Undang-Undang (RUU) menghalang penyebaran ajaran bukan Islam kepada muslim.

Berdasarkan laporan media, saya lihat ramai orang khususnya dari kalangan rakyat yang bukan islam yang membantah.

Bila saya membaca kenyataan mereka, meskipun saya boleh kait dengan kebimbangan mereka, tapi dalam masa yang sama saya agak simpati dengan mereka kerana majoriti dari mereka mungkin tak berapa arif tentang perkara yang mereka kritik.

Yang lebih malang sama ada menteri undang-undang (GPS) dan menteri agama dan timbalannya (parti ehem) pun nampaknya tidak berusaha untuk menjernihkan keadaan.

Malangnya, depa tak bersuara menjawab reaksi pandangan dan kekeliruan para non muslim itu.

Saya tak pasti jika andai kata RUU 355 pindaaan ingin dibentang, lepas atau tidak menteri agama nak yakinkan teman mereka di Kabinet apa lagi di Parlimen ?

Maaf, jujurnya saya tak pasti sama ada menteri dan timbalan menteri agama dari parti ehem itu sendiri benar benar faham atau tidak isu ini?

Saya harap depa faham dan dapat “engage” dengan para pengkritik bagi menjernihkan keadaan.

Belum 100 hari, Rina sudah gagal, kata ketua Wanita PKR

FMT Reporters

KUANTAN: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun yang memegang portfolio sama ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN), pernah berjanji akan membentangkan Rang Undang–undang (RUU) Gangguan Seksual di Parlimen, namun tidak berbuat demikian.

Selepas beberapa minggu menjawat jawatan dalam pentadbiran Ismail Sabri Yaakob, Rina sekali lagi membuat kenyataan yang menjurus kepada kegagalan beliau menunaikan janji itu.

Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh, berkata Rina ketika berucap di Sungai Pelek, Selangor, selepas penyampaian sumbangan dan Bakul Prihatin Negara pada 8 September lalu berkata, tidak perlu menunggu RUU Gangguan Seksual dibentangkan sebaliknya mangsa boleh membuat laporan terus kepada pihak berkuasa.

“(Ini) adalah bukti bahawa beliau tidak layak menjadi anggota pentadbiran dalam badan eksekutif yang tertinggi negara.

“Beliau gagal menggunakan kedudukan (sebagai menteri) untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan gagal memahami kepentingan RUU Gangguan Seksual bagi mengukuhkan undang-undang sedia ada yang tidak mencukupi untuk menangani kes gangguan seksual,” katanya di Facebook.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, Rina seharusnya lebih memahami bahawa laporan polis merupakan prosedur biasa diamalkan orang awam.

Katanya, jika Rina komited untuk membawa RUU berkenaan ke Dewan Rakyat, seharusnya beliau mengumumkan ketika berucap di majlis itu bila RUU Gangguan Seksual akan dibentangkan, bukan sekadar meminta mangsa membuat laporan polis.

“Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini bertungkus-lumus membentangkan ‘road map’ RUU Gangguan Seksual, termasuk cadangan mewujudkan mekanisme perlindungan dan tribunal keadilan kepada mangsa, mendesak supaya Rina lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan yang seolah-olah tidak memihak kepada mangsa.

“Kerajaan juga digesa mengemukakan pelan menangani keganasan berasaskan gender, termasuk memberikan tumpuan kepada kes gangguan seksual dalam tempoh pandemik Covid-19 dengan mengambil kira situasi semasa di mana kes gangguan seksual secara dalam talian juga dilaporkan meningkat dan memerlukan tindakan segera,” katanya.

Beberapa kemungkinan pada sidang parlimen pertama Ismail Sabri

Malaysiakini 

Parlimen akan bersidang semula pada 13 September, yang merupakan kali pertama ia bersidang di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang baru, Ismail Sabri Yaakob.

Ini juga merupakan persidangan Dewan Rakyat secara bersemuka pertama dalam tempoh 270 hari selepas kali terakhir ia bersidang pada 17 Disember tahun lalu.

Sidang khas parlimen selama empat hari diadakan pada Julai lalu oleh kerajaan Muhyiddin Yassin setelah mendapat tekanan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Berada di ambang kejatuhan, kerajaan Muhyiddin pada masa itu mengubah sidang khas berkenaan menjadi sesi taklimat oleh para menteri. Kerajaannya bagaimanapun akhirnya tumbang.

Dengan Ismail Sabri kini merupakan perdana menteri dan kurang empat bulan sebelum 2021 berakhir, sidang parlimen tahun ini perlu dihabiskan pada masa yang berbaki.

Terdapat dua pusingan mesyuarat yang akan dijalankan secara berturut-turut. Parlimen bersidang dari Isnin hingga Khamis, kecuali cuti umum.

Dalam mesyuarat pertama, Dewan Rakyat akan bersidang dari 13 September hingga 12 Oktober, diikuti oleh Dewan Negara dari 4 Oktober hingga 26 Oktober.

Mesyuarat kedua akan disusuli dengan persidangan Dewan Rakyat dari 25 Oktober hingga 16 Disember dan Dewan Negara dari 14 Disember hingga 23 Disember.

Belanjawan 2022 akan dibentangkan dalam mesyuarat kedua ini.

Inilah yang harus diperhatikan semasa mesyuarat pertama parlimen pada sesi 2021.

Titah diraja

Titah Yang di-Pertuan Agong kebiasaannya disampaikan pada hari pertama mesyuarat parlimen penggal pertama setiap tahun di hadapan anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara

Titah itu disediakan kerajaan dan kebiasannya Agong akan menggunakan teks yang telah disiapkan.

Namun akibat Istana Negara diseret dalam krisis politik pada tahun lalu, perlu diperhatikan jika istana menyisipkan pesanannya sendiri dalam titah diraja tahun ini.

Yang di-Pertuan Agong berkenaan mengisytiharkan darurat pada Januari berikutan kerajaan pimpinan Muhyiddin memerlukan lebih banyak kuasa untuk memerangi wabak Covid-19. 

Namun pada Jun, Majlis Raja-Raja menitahkan agar Darurat tidak dilanjutkan.

Seri Paduka juga memanggil speaker Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Negara untuk menitahkan agar parlimen bersidang semula berikutan keengganan kerajaan ketika itu.

Agong sekali lagi diseret ke dalam konflik dengan kerajaan Muhyiddin apabila kerajaan menolak untuk membentangkan Ordinan Darurat bagi dibahaskan di Dewan Rakyat sebagaimana dititahkan.

Tetapi drama itu mungkin tidak berakhir di bawah kerajaan baru apabila Seri Paduka kini diseret ke dalam episod "cakap dengar"

Agong secara terbuka menitahkan agar perdana menteri baru membenarkan usul percaya dibentangkan di parlimen, namun kerajaan sekarang mendakwa baginda telah berubah fikiran.

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Undang-Undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang mengatakan perkara itu disampaikan oleh Ismail Sabri semasa mesyuarat kabinet.

Tetapi tidak lama selepas itu, timbul persoalan apakah yang diberitahu oleh Ismail Sabri dalam mesyuarat kabinet adalah tepat seperti yang dihendaki Yang di-Pertuan Agong. 

Sehingga kini, tidak ada pengumuman rasmi bahawa Agong telah menukar pendirian baginda, oleh itu, titah Agong pada hari pertama persidangan parlimen akan menjadi peluang bagi baginda untuk memberi penjelasan.

Undi percaya

Buat masa ini, tidak ada usul dalam Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk Ismail Sabri mendapatkan undi percaya.

Keengganan kerajaan mengesahkan majoriti yang diperolehnya adalah aneh kerana sokongan terhadap Ismail Sabri daripada 114 daripada 220 anggota parlimen di Dewan Rakyat tidak dipertikaikan walaupun oleh pembangkang, dengan dua kerusi masih kosong.

Pembangkang kini mempertimbangkan semula mengenai perjanjian keyakinan dan perbekalan dengan Ismail Sabri.

Mereka melihat keenganan menguji majoriti, proses yang normal secara demokratik, sebagai langkah yang salah dan bukan petanda baik bagi  komitmennya terhadap pembaharuan.

Menarik untuk diperhatikan jika kerajaan membenarkan usul percaya setelah persidangan parlimen bermula sebagai respons terhadap tekanan yang diterimanya.

Akan tetapi, tekanan itu boleh dikendurkan oleh Seri Paduka  sekiranya disahkan bahawa baginda tidak lagi mengkehendaki undi percaya.

Kedudukan timbalan speaker

Jawatan timbalan speaker kosong setelah Azalina Othman meletakkan jawatan pada 18 Disember.

Secara rasmi, Azalina menyebut perlunya pembaharuan di parlimen, malah mengesyorkan ahli parlimen pembangkang dilantik menggantikan tempatnya.

Selain itu, pengundurannya, kurang seminggu sebelum kabinet baru diumumkan, memberinya peluang untuk dilantik sebagai menteri, berikutan pengalamannya sebagai menteri undang-undang dari tahun 2015-2018.

Bagaimanapun, Ismail Sabri mengetepikan Azalina, yang merupakan penyokong dari kem yang berasingan dalam Umno.

Kekosongan jawatan timbalan speaker menarik perhatian kerana ia boleh berfungsi sebagai proksi undi percaya.

Walaupun undi percaya untuk memilih timbalan speaker tidak memerlukan majoriti mutlak, penglibatan penuh ahli parlimen pembangkang akan memaksa kerajaan melakukan hal yang sama, memandangkan Ismail Sabri hanya memiliki majoriti empat kerusi.

Kerajaan juga telah melantik Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan, yang merupakan Umno 15 - iaitu antara 15 ahli parlimen Umno yang bertanggungjawab menjatuhkan Muhyiddin Yassin - untuk mengisi jawatan timbalan speaker.

Langkah itu kemungkinan akan mengekalkan sokongan 114 anggota parlimen kerajaan.

Kumpulan Umno 15 dilihat hilang sabar atas beberapa keputusan Ismail Sabri, termasuk mengekalkan sebahagian besar anggota kabinet Muhyiddin sebelum ini dan melantik bekas perdana menteri itu sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

Kerajaan juga menggunakan strategi serupa yang digunakan kerajaan Muhyiddin sebelum ini untuk melantik speaker dan timbalan speaker dengan mendakwa pembangkang tidak menamakan calon, oleh itu undi tidak diperlukan kerana hanya ada seorang calon kerajaan bagi jawatan itu.

Tidak jelas apakah pembangkang menamakan calonnya sendiri untuk jawatan timbalan speaker.

Kedudukan speaker

Cakap-cakap dalam lingkungan Umno 15 adalah mereka mungkin mencalonkan Azalina sebagai speaker baru selepas dia tidak terpilih untuk jawatan menteri.

 Azalina yang merupakan sebahagian daripada Umno 15, turut menampakkan dirinya sebagai penyokong kuat pembaharuan parlimen.

DAP turut terbuka untuk mencalonkan Azalina sebagai speaker Dewan Rakyat yang baru.

Bagaimanapun, tidak ada petanda bahawa Ismail Sabri mahu menyingkirkan speaker Dewan Rakyat yang sekarang ini, Azhar Harun, yang menunjukkan sikap sebagai sekutu yang boleh diharap buat cabang eksekutif.

Kedudukan Azhar mungkin tidak akan terancam, meskipun jika pembangkang dan Umno 15 bekerjasama, memandangkan apa-apa usul untuk menyingkirkannya, harus melalui dirinya.

Membangkitkan soal konflik kepentingan, Azhar menyerahkan urusan usul untuk menyingkirkannya kepada timbalan speaker, Mohd Rashid Hasnon, seorang ahli parlimen PN yang hampir pasti menyebelahinya, selagi mana kedudukan Azhar itu masih direstui kerajaan.

Ada dua jawatan timbalan speaker. Satu lagi kosong buat masa ini.

Perjanjian keyakinan dan perbekalan

Syarat utama ditetapkan pembangkang untuk perjanjian keyakinan dan perbekalan dengan kerajaan ialah pembaharuan parlimen.

Menteri undang-undang membayangkan Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) yang dapat memberikan Dewan Rakyat lebih autonomi, dan juga permodenan undang-undang berkaitan parlimen, dengan menggantikan Akta Hak Istimewa & Kuasa Parlimen 1952.

Dia turut berkata kerajaan sedang mengkaji pembaharuan terdahulu yang dicadangkan Muhyiddin, termasuk had penggal untuk jawatan perdana menteri.

Bagaimanapun, dengan permulaan goyah yang tidak menggambarkan keyakinan terhadap komitmen kerajaan, pembangkang mungkin mahu melihat komitmen yang lebih meyakinkan apabila parlimen bersidang nanti.

Ini termasuklah pembentukan jawatankuasa dwipartisan untuk meneliti soal pembaharuan.

Komitmen kerajaan penting kerana tempoh jawatan Ismail Sabri hanya akan bertahan kurang 22 bulan sehingga luputnya penggal parlimen, yang bermakna sekiranya mereka tidak bertindak tangkas, banyak pembaharuan yang dicadangkan akan terkubur begitu sahaja.

Khalid Samad: Pelik, sudah ada 114 sokongan pun masih takut bawa usul percaya

SITI NUR ZAWANI MISCON

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak dapat lari dari anggapan bahawa dirinya kini sedang merasai ketakutan yang sama seperti bekas perdana menteri terdahulu, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin apabila enggan membawa usul percaya ke Parlimen.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad menyatakan rasa hairan mengapa Ismail begitu gentar dengan usul tersebut sedangkan beliau mempunyai 114 sokongan yang tiap seorang telah pun menyatakan kepercayaan di hadapan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Beliau yakin, bagaimana Mahiaddin takut dikhianati rakan sekapalnya dari Umno, begitu jugalah Ismail ketika ini takut dikhianati Bersatu.

“Kenapa takut sangat nak buat undi percaya. Awak kan sekarang dapat 114 (undi). Nanti Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) mesti ‘backing’ awak, dapatlah 115 tu. Kamu tak percaya ke dengan 114 tu. Ini yang pelik ini.

“Maka gambaran pada rakyat, kerajaan Ismail ini ‘sestabil’ kerajaan Mahiaddin. Sama je dua kali lima. Tak nak buat undi kerana ibarat dalam lubang ular. Dia tak percaya satu sama lain sebab takut bila-bila masa boleh dipatuk.

“Seperti mana Mahiaddin tak berani (kerana) takut geng Umno patuk, Ismail pun tak berani sebab takut geng Bersatu pula patuk,” katanya dalam satu bual bicara membincangkan isu usul percaya di Facebook Jom Channel malam tadi.

Untuk rekod, sidang Parlimen minggu depan tidak akan membabitkan apa-apa usul undi percaya terhadap perdana menteri mahu pun undi mengosongkan kerusi Speaker Dewan Rakyat.

Najib ‘pembohong’, perlu periksa kesihatan mental, kata Justo

FMT Reporters

Andre Xavier Justo mempersoalkan kesihatan mental Najib Razak, selepas bekas perdana menteri itu mendakwa warga Switzerland berkenaan dipecat PetroSaudi International dan mencuri emel dalam pangkalan data.

PETALING JAYA: Pemberi maklumat yang menarik perhatian selepas membocorkan dokumen berkaitan 1MDB mengecam Najib Razak kerana mendakwa beliau dipecat PetroSaudi International.

Sambil mendakwa penulisan Najib penuh dengan pembohongan, Andre Xavier Justo, berkata beliau sebenarnya meletakkan jawatan dalam syarikat minyak dan gas berkenaan.

Dalam hantaran di Facebook, warga Switzerland itu menyenaraikan dua sebab mengapa bekas perdana menteri itu ‘berterusan berbohong’.

Justo mendakwa, sebab pertama adalah dengan harapan semua pembohongannya itu akhirnya akan diterima sebagai kebenaran; dan kedua, katanya, akibat daya ingatan Najib semakin merosot berikutan semakin berusia.

“Saya fikir anda perlu menemui doktor untuk memeriksa secara menyeluruh tahap kesihatan mental,” katanya.

Justo juga memuat naik paparan gambar berhubung surat peletakan jawatannya dengan harapan dapat menghentikan Najib daripada terus mendakwa dirinya dipecat.

Selain itu, katanya, beliau menemui ahli perniagaan India berpangkalan di United Kingdom, Kamal Siddiqi, selepas pilihan raya umum 2018, bukannya sebelum waktu itu seperti didakwa Najib.

Terdahulu, Najib mendakwa Justo dipecat dari PetroSaudi – yang menyertai usaha sama dengan 1MDB – atas ‘alasan peribadi’.

Najib mendakwa disebabkan tidak berpuas hati kerana diberhentikan, Justo mencuri kandungan emel dalam pangkalan data milik PetroSaudi.

Ahli Parlimen Pekan itu, berkata demikian sebagai membalas dakwaan dibuat Clare Rewcastle-Brown daripada Sarawak Report, yang menyatakan Najib penyebab Justo dipenjara di Thailand.

Justo mendapat perhatian selepas penahanannya pada 2015 kerana membocorkan dokumen PetroSaudi berhubung usaha sama dengan 1MDB. Susulan daripada itu, ia menjadi asas siasatan pengubahan wang haram dalam syarikat pelaburan milik kerajaan terbabit.

Bagaimanapun, Justo turut dipenjara 18 bulan di Thailand kerana didakwa meminta bayaran sebagai tukaran untuk tidak mendedahkan maklumat sulit.

PANAS!!! Najib buat laporan polis terhadap LHDN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak membuat laporan polis terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana mendakwa salah guna kuasa dan penggunaan dokumen palsu.

Dalam catatan di Facebook, Ahli Parlimen Pekan itu berkata beliau membuat laporan berkenaan selepas menerima maklumat dan “bukti kukuh” bahawa pegawai yang terlibat dengan kes terhadapnya, serta “ahli politik tertentu” telah melakukan kesalahan berkaitan isu cukai yang sedang dihadapinya.

Ada orang Pas tak puas hati tapi takut nak hentam “ulama” parti

ZOLKHARNAIN ABIDIN 

Ada seorang dua lebai Pas dok bagi idea kepada saya suruh hentam ulama Pas. Dia kata, dia sendiri tidak berani nak tulis, takut kena hentam balik. Dia juga takut “doa” ulama Pas makbul.

Orang Pas ni rupanya penakut. Dengaq ke sembang nak mati syahid. Tengok-tengok dengan ulama Pas pun menikuih. Nak takut apa kat ulama Pas?

Sesetengahnya, bukan ulama pun. Tasrif 14 fi’il madhi pun tidak lepas. Tanya bab enam wazan dalam matan bina’ sorof pun tidak tau. Tak usah dok tanyalah pasai akdariyyah dalam faraid, bab istihsan dalam usul fiqh, ke lautlah!

Itu pun jangan, dilambung-lambung macam ulama besar lagi tersohor. Hat syok lagi, diri sendiri mengaku ulama. Dialah pemimpin bertaraf ulama dalam parti Islam. Siap dengan jubah serban kalah syeikh Ben Bayyah!

Memanglah ada sungguh dalam Pas berstatus ulama. Ilmu memang banyak. Tapi ulama apa kalau dok berpeluk, bersetubuh dengan pengkhianat mandat rakyat?

Mandat bukan khianat

Dulu, ulama Pas kutuk ulama Umno seperti Hamid Othman, Wan Mokhtar, Zainal Abidin Kadir (Semoga Allah mengampuni mereka). Tapi depa itu pegang jawatan dalam kerajaan dengan mandat rakyat, bukan dengan khianat.

Ulama Pas pula bersekongkol dengan pengkhianat. Lepas itu buat sembang pandai. Apabila ditanya pasal undang-undang Islam yang dulu depa dok kafirkan ulama Umno, mulalah kona sana-sini.

Puphhh… puphhh… mulut penuh sagon cari alasan. Sebenarnya, ulama Pas ini cari kedudukan dunia saja. Bukan jujur pun dengan ilmu depa. Kalau depa jujur, depa tidak akan sekongkol dengan pengkhianat.

Kalau ulama Pas jujur, depa akan hormat keputusan syura dalam sistem pilihan raya. Kalau ulama Pas amanah dengan ilmu, depa tidak akan berani mempermain proses demokrasi yang sah sebab depa tahu risiko doa rakyat yang terzalim.

Tapi tidak boleh nafilah, ulama Pas memang jujur. Depa jujur ligan jawatan, jujur makan gaji besaq walaupun tidak tahu kerja apa satu, jujur sokong pengkhianat. Bab jujur itu, tak boleh nafi.

Yang hang dok kutuk ulama Pas tu, hang ulamakah? Belum naik matahari lagi, saya dah mengaku bukan ulama. Tapi kalau setakat nak sembang-sembang bab maqasid syariah dengan lebai Pas itu, saya bolehlah sikit-sikit.

Kepada lebai Pas hat tak puas hati dengan “ulama” Pas tu, hentam sajalah ulama tu. Syurga bukan milik depa pun!

Perjanjian kerajaan, pembangkang tergugat tanpa undi percaya

MALAYSIA DATELINE

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menegaskan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) serta agenda reformasi antara kerajaan dan pembangkang berada dalam keadaan tidak menentu tanpa undi percaya di Parlimen.

Pemimpin veteran DAP itu dalam masa sama mempersoal penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini bahawa Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya undi percaya tidak diadakan.

“Jika Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berubah fikiran dan bersetuju untuk tidak perlu adanya undi percaya di Parlimen seperti yang didakwa oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Parlimen dan Undang-undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengapakah perkara ini tidak dinyatakan dari awal lagi?

“Sebaliknya apa yang kita dapat adalah kenyataan luar biasa daripada Peguam Negara, Idris Harun, Sabtu lepas (4 September) dengan hujah yang tidak masuk akal yang cuba mengatakan undi percaya ini merendah-rendahkan kuasa Yang di Pertuan Agong untuk melantik perdana menteri mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.

Terdahulu, kerajaan mencapai persetujuan bersama blok pemimpin pembangkang pada 25 Ogos lalu bagi memperkasa fungsi Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif.

Semalam, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, keabsahan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri tidak perlu dipertikaikan lagi memandangkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan menetapkan kuasa melantik Perdana Menteri adalah bawah Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan itu mengudang kritikan pembangkang kerana dilihat bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong pada 18 Ogos lalu bahawa Perdana Menteri yang baharu dilantik perlu mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkannya mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Kluster mahkamah?: Ahmad Maslan dicalonkan sebagai timbalan speaker

Malaysiakini 

Kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan menamakan Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan sebagai calon tunggal untuk jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamed Nazri Abdul Aziz, ketika dihubungi, mengesahkan pencalonan tersebut.

"Ya, sah. YB Pontian dicalonkan bagi jawatan timbalan speaker," katanya kepada Malaysiakini.

Kami juga sedang menghubungi Ahmad bagi mendapatkan ulasannya tetapi setakat ini dia tidak menjawap sebarang panggilan.

Ahmad yang juga adalah setiausaha agung Umno sedang dibicarakan kerana pertuduhan pengubahan wang haram dan memberikan kenyataan palsu kepada SPRM berhubung lebih RM2 juta yang diterimanya dari perdana menteri ketika itu, Najib Razak pada tahun 2013.

Najib pada Julai tahun lalu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun kerana penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang melibatkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. Dia sedang mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.

Jawatan timbalan speaker kosong setelah Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said meletakkan jawatan pada 23 Ogos lalu.

Azalina dilaporkan berkata, dia berharap pengundurannya membolehkan "reset" pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Bahkan, dia juga mengusulkan calon pembangkang mengisi jawatan berkenaan.

Namun, Nazri menolak cadangan tersebut.

"Kerusi timbalan speaker parlimen masih perlu diisi dengan calon kerajaan dengan kita tidak akan sesekali memberi jalan kepada calon pembangkang mengisinya,” katanya yang dipetik oleh Sinar Harian.

Menurut Nazri, adalah difahamkan pembangkang akan mencadangkan ahli parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming sebagai calon timbalan speaker.

"Dalam isu ini, pembangkang tidak perlu cakap banyak kononnya kerajaan perlu lebih terbuka menerima calon mereka untuk mengisi jawatan timbalan speaker Parlimen.

“Ini kerana sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH), mereka sendiri pun langsung tidak beri ruang kepada kami sebagai pembangkang ketika itu," katanya lagi.

Peja balun KJ

Pawagam dibuka, gim dan sukan padang? Tolonglah KJ, kena bijak buat keputusan, tegur Peja

FMT Reporters

Ahmad Faizal Azumu berkata, kementeriannya sudah mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar sektor sukan dibuka semula.

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu bertanya kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, sama ada gimnasium dan sukan padang akan dibenarkan beroperasi semula dengan berkata perlu ada kebijaksanaan dalam membuat keputusan.

Faizal berkata, sektor sukan itu boleh dibuka semula dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, sambil menambah banyak pengusaha perniagaan industri itu sudah hampir bergelut.

“Panggung wayang dibuka? Gim dan sukan padang? Tolonglah YB @Khairykj, perlu ada kebijaksanaan dalam keputusan kita.

“Mungkin perlu dibuka dengan SOP ketat. Ramai yang hampir terhenti nafas. Tolonglah @KKMPutrajaya,” katanya di Twitter.

Beliau berkata, kementeriannya sudah mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar sektor itu dibuka semula.

“KBS telah cadangkan agar sukan padang dan gimnasium dibuka. Kuasa ada pada MKN. Harap KKM (Kementerian Kesihatan) sokong,” kata timbalan presiden Bersatu itu.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenarkan pawagam di semua negeri dibuka kepada individu lengkap divaksin dengan 50% kapasiti mulai esok.

Beliau berkata, membenarkan lebih banyak sektor dibuka akan memanfaatkan lebih sejuta penggiat seni dan pekerja industri kreatif, serta lebih 19,000 perniagaan.

Jadi bahan jenaka jika ‘kluster mahkamah’ dilantik timbalan speaker, kata pembangkang Perak

FMT Reporters

Abdul Aziz Bari berkata, Ahmad Maslan perlu melalui proses undang-undang dan tidak diberikan kedudukan serta peranan yang penting di Parlimen.

PETALING JAYA: Kemuliaan dan ketinggian Parlimen sebagai badan perundangan akan terjejas sekiranya “kluster mahkamah” dilantik sebagai timbalan speaker, kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Perak Abdul Aziz Bari.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan akan dilantik sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.

Katanya, Ahmad telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2011 pada 21 Jan tahun lalu.

“Sepatutnya beliau perlu melalui proses undang-undang dan tidak diberikan kedudukan serta peranan yang sedemikian penting di Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

Pada 23 Ogos lalu, Ahli Parlimen Umno Azalina Othman Said meletakkan jawatan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, beliau mengundurkan diri bagi membolehkan kerajaan dan pembangkang “menetapkan semula” fungsi Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan, beliau menegaskan keperluan Dewan Rakyat berfungsi sebagai “forum persaingan profesional dan kerjasama antara parti mengenai polisi dan urus tadbir negara”.

Sementara itu, Aziz berkata, di Parlimen masih ramai calon lain yang sesuai untuk jawatan itu dan melantik seorang yang masih terpalit dengan ‘kluster mahkamah’ akan menjadikan Parlimen “bahan jenaka” di dalam dan luar negara.

“Dalam keghairahan Umno ‘memberi imbuhan’ kepada pimpinan mereka dengan jawatan dalam kerajaan, mereka secara bersahaja dan sengaja membelakangkan bukan sahaja kepentingan rakyat malah mengabaikan teguran dan pesanan Raja-raja Melayu yang mahukan kerajaan baharu ini bersih daripada mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan kuasa.

Aziz berkata, pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sekarang tidak serius dalam melakukan reformasi institusi yang dilaungkan.

“Melihat kepada cadangan ini nampaknya reformasi yang dilaungkan itu hanyalah retorik politik dan sekadar meneruskan budaya pimpinan kerajaan sebelumnya,” tambahnya.

Sementara itu, ketika bercakap kepada FMT Ahmad meminta rujukan dibuat kepada Pejabat Speaker dan Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon berhubung khabar angin mengenai pelantikannya.

“Sila rujuk Pejabat Speaker dan Timbalan YB Rashid. Terima kasih,” jawabnya ringkas.

Saman fitnah 'terima dana DAP' - Husam dapat ganti rugi RM200,000

N Faizal Ghazali

Anggota Dewan Negara Senator Husam Musa berjaya mendapat bayaran ganti rugi setimpal atas dakwaan palsu “menerima dana daripada tauke judi DAP” yang dibuat bekas ketua pegawai eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Wan Zawawi Wan Ismail.

Peguamnya Hisham Fauzi dan Alawi Abdul Rashid memaklumkan, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Roslan Abu Bakar, memutuskan agar Wan Zawawi membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 dan bayaran kos RM6,000.

Menurut Hisham, mahkamah menetapkan keputusan itu selepas meneliti dan mempertimbangkan hujahan bertulis kedua-dua pihak.

"Berdasarkan pertimbangan yang dibuat, mahkamah berpendapat ganti rugi global yang ditetap dalam keputusan sebelum ini adalah rendah dan tidak setimpal dengan kesan fitnah itu kepada Husam,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Sebagai rekod Malaysiakini pada 26 Jun 2019 melaporkan bekas exco kerajaan Kelantan itu berjaya dalam saman fitnahnya terhadap Wan Zawawi.

Saman itu berkenaan kenyataan di laman Facebook Wan Zawawi yang mendakwa Amanah Kelantan menerima dana daripada DAP untuk menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan.

Wan Zawawi di dalam status facebooknya menuduh Amanah Kelantan menerima duit daripada seorang tauke judi dari DAP untuk digunakan bagi menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan dengan gambar Husam bersama tulisan tersebut.

Dalam keputusan terdahulu, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bharu Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan Husam selaku plaintif berjaya membuktikan kesnya dan memenuhi kriteria kes fitnah.

Dia kemudian memerintahkan Wan Zawawi membayar ganti rugi dengan jumlah yang akan diputuskan mahkamah nanti.

Sementara itu Husam yang turut memaklumkan perkembangan kes itu di Facebook, hari ini, menyatakan kesyukuran susulan keputusan terbabit.

Zahid Hamidi: Kerajaan hari ini hanya sementara

Malaysiakini 

Kerajaan yang ada hari ini hanya bersifat sementara sehingga mandat mutlak diperoleh daripada rakyat pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya perkara itu antara dua mandat besar akar umbi yang diamanahkan kepadanya dan kepimpinan parti melalui ketetapan Perhimpunan Agung Umno dan Majlis Kerja Tertinggi Umno (MKT) sebelum ini.

"Pertamanya, kerajaan hari ini hanyalah bersifat sementara selagi mana tidak memiliki mandat mutlak rakyat. 

"Justeru sebagaimana diputuskan dalam MKT lepas dan berpedomankan Titah saranan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, apabila pandemik Covid-19 mulai berakhir dan setelah imuniti kelompok (herd immunity) dicapai, maka Pilihan Raya Umum Ke-15 perlulah diadakan bagi membolehkan mandat mutlak diperolehi untuk membentuk sebuah Kerajaan yang stabil dan dipilih oleh rakyat.

"Keduanya, kehendak akar umbi yang menghendaki agar kerusi-kerusi tradisi Umno dan kerusi-kerusi yang dikhianati setelah diamanahkan oleh rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional pada PRU-14 lalu tidak boleh sesekali dikompromikan dan mesti diambil kembali untuk ditandingi.

"Ini termasuklah ketetapan PAU yang membataskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya setelah parlimen dibubarkan untuk PRU-15 yang akan datang," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Ahmad Zahid mengulas perkembangan politik terbaru kira-kira dua minggu selepas pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri bagi menggantikan Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin sebelum ini meletakkan jawatan selepas ahli-ahli parlimen Umno yang diketuai Ahmad Zahid menarik balik sokongan terhadapnya dan kerajaan PN.

Selepas Ismail dilantik sebagai perdana menteri ke sembilan, kabinet memutuskan pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Bagaimanapun pelantikan itu dipertikaikan banyak pihak termasuk daripada Umno sendiri.

'Tak ulangi kesilapan kerajaan lalu'

Kata Ahmad Zahid, dia menerima banyak pertanyaan mengenai apakah pendirian Umno dalam pembentukan jemaah menteri dan pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN bertaraf menteri.

Jelasnya, Umno menyerahkan kepada kebijaksanaan Ismail Sabri untuk membuat keputusan yang dirasakan sesuai.

"Parti telah membuat pendirian menyokong perlantikan YAB Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. 

"Ini bermakna, parti menyerahkan kebijaksanaan kepada beliau sebagai perdana menteri dalam membuat keputusan atau kebijakan-kebijakan yang beliau rasakan sesuai dalam mengemudi pentadbiran negara," katanya.

Pun begitu, dia mengingatkan kerajaan yang dipimpin Ismail supaya tidak mengulangi 'kesilapan' kerajaan lalu.

"Pendirian parti ini juga boleh ditakwilkan bahawa perdana menteri yang mengetuai kerajaan hari ini mempunyai kuasa-kuasa perlembagaan dan sehubungan itu, menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi dengan baik dan tidak mengulangi kesilapan-kesilapan kerajaan terdahulu.

"Umno konsisten dalam pendiriannya. Kita telah pun memberikan sokongan kepada perdana menteri dan bagi pihak parti, saya akan memastikan kita akan terus menjadi mata, telinga dan suara rakyat dalam menyentuh soal-soal kesejahteraan mereka dan kemakmuran negara," jelasnya.

Tular video lelaki kahwin dengan tiga wanita serentak

KOSMO!

Video tersebut menjadi perdebatan dalam kalangan netizen mengenai kesahihannya. - Instagram/@magelangzone

JAKARTA – Satu Video tersebut menjadi perdebatan dalam kalangan netizen mengenai kesahihannya. - Instagram/@magelangzone klip video memaparkan seorang lelaki didakwa berkahwin dengan tiga wanita secara serentak menjadi tular di media sosial serta mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen mengenai kesahihan rakaman tersebut, lapor laman berita Suara.com hari ini.

Dalam video yang dimuat naik itu, lelaki tersebut kelihatan mengenakan baju pengantin adat Jawa dan  diiringi oleh tiga wanita didakwa isteri-isterinya.

Dua daripada mereka  turut memakai pakaian pengantin lengkap dengan perhiasan kepala seperti  dipakai oleh pengantin perempuan berketurunan Jawa.

Bagaimanapun, wanita ketiga sekadar memakai baju kebaya tanpa perhiasan pada bahagian kepalanya.

Keempat-empat mereka berjalan seiringan menuju ke pelamin dan kemudiannya bersalaman dengan tetamu yang hadir.

“Keempat-empat pengantin kelihatan sangat bahagia ketika majlis perkahwinan mereka,” tulis keterangan pada video yang dimuat naik di laman Instagram itu.

Bagaimanapun, ada dalam kalangan netizen berpendapat bahawa video itu adalah strategi pemasaran seorang jurusolek yang ingin mempromosikan solekannya.

Jurusolek tersebut dikatakan merupakan individu pertama yang memuat naik video itu dan mendakwa bahawa lelaki berkenaan berkahwin dengan tiga wanita itu secara serentak.

“Strategi pemasaran jurusolek,” komen seorang netizen yang tidak mempercayai kesahihan video itu.

“Inilah sebabnya mengapa ramai orang muda masih bujang,” kata seorang lagi. – Agensi

Rekod Pas dalam kerajaan burukkan imej parti Islam

ZAKARIA MUSA

Era kerajaan pintu belakang Mahiaddin Yassin hanya bertahan 17 bulan. Rupa-rupanya — bagai diduga sejak awal — pertukaran perdana menteri kepada Ismail Sabri Yaakob langsung tidak memenuhi harapan rakyat. Hanya berubah ketua tetapi seluruh struktur, budaya dan misi pemerintahan tetap menyalin yang lama.

Bukan sahaja dikekalkan Kabinet Mahiaddin yang terbukti gagal, hanya dengan sedikit ubahsuai tempat dan muka baru seorang dua, namun semangat dan falsafah pasukan baharu ini tetap berakar pada penghayatan usang rejim kleptokrat sebelumnya, Barisan Nasional (BN).

Kita pastinya belum lupa gelombang kebangkitan rakyat pada Mei 2018. Sanggup berbaris panjang dalam cuaca panas terik semata-mata didorong tekad perubahan bagi menghumban gerombolan penguasa yang khianati kepercayaan rakyat. Pengundi yang berada jauh di luar negara bersedia mengorbankan wang ringgit, pulang seketika, tidak mahu walaupun satu undi disia-siakan.

Memori indah tiga tahun lalu itu harus selalu diperingatkan. Dan cerita pengkhianatan dan pembelotan Mac 2020 juga mesti dibingkaikan dengan baik, agar rakaman sejarah ini tidak dipesongkan susur-galurnya.

Petanda terkeji

Kerajaan Perikatan Nasional 2020 – 2021 itu adalah petanda terkeji yang merosakkan proses demokrasi di negara ini sejak pilihan raya pertama 1955. Namun, jenayah terburuk itu cuba dipaparkan dengan wajah manis, bersama sokongan bulat, termasuk oleh parti Islam.

Tanpa segan-silu Pas, terutama melalui kenyataan-kenyataan presidennya, sentiasa mempertahan dan mencipta dalil, untuk membenarkan apa jua langkah dan aksi kerajaan tebuk atap itu.

Ironi sekali apabila Pas satu-satunya parti Islam di dunia yang bersekongkol dan berdakap erat gerombolan yang merampas mandat rakyat.

Di seluruh dunia, parti-parti Islam ditindas, dizalimi dan dinafikan kemenangan yang dicapai melalui pilihan raya, seperti kes di Mesir dan Algeria, namun realiti di Malaysia, Pas pula bersama pakatan Umno-BN, Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencuri kerajaan melalui pintu belakang.

Malang sungguh, Pas yang dilihat berpegang teguh dengan prinsip-prinsip mulia sejak awal ditubuhkan lebih tujuh dasawarsa lalu, telah meleburkan pegangannya, tersilau dengan kemilau kuasa.

Bertukar kepada perjuangan asobiyah sempit dan melupakan asas-asas kesederhanaan. Pas sudah tidak seperti dahulu, lebih tertutup dalam tempurung wilayah tradisinya.

Pas satu-satunya parti Islam di dunia yang berdakap erat gerombolan yang merampas mandat rakyat.

Dalih bukan dalil

Kini, Pas merupakan anggota penting dalam pentadbiran negara. Tiga pemimpinnya diangkat ke jemaah menteri, manakala presidennya dilantik duta khas bertaraf menteri. (Pelik juga, presiden parti yang menang 18 kerusi parlimen tidak dibawa masuk ke dalam Kabinet, malah sepatutnya menjadi menteri kanan). Mungkin elaun dan kemudahan setaraf menteri sedangkan rakyat tidak nampak sumbangan bermakna buat negara.

Menghairankan. Pas boleh menyambutnya dengan lapang dada pembentukan kerajaan tanpa mandat rakyat ini. Malah, dalil-dalil agama (sebenarnya dalih) disogok Pas kepada umum bagi menjustifikasikan aksi pengkhianatan dan pembelotan itu.

Lebih tragis, Pas juga berperanan besar mengembalikan Umno — yang ditolak rakyat dalam PRU-14 — ke tampuk pemerintahan. (Ia tidak pelik, menjelang PRU-14, bukankah Pas sudah bermukah dengan Umno dan Najib Razak).

Dahulu bermati-matian Pas menafikan dakwaan hasratnya untuk merangkul Umno dalam satu persefahaman. Dilemparkan bermacam-macam label buruk kepada para pemimpin parti yang menolak usaha kerjasama sulit peringkat tertinggi itu.

Walhal, Pas sudah pun menerima suntikan dana Umno berjuta ringgit. Ternyata Pas begitu lama tidak bercakap benar, malah lazim berbohong kepada ahli dan penyokongnya.

Pas boleh menerima pemimpin negara yang korup dan mencuri duit rakyat. Pas lebih selesa berkawan dengan parti pemerintah waktu itu yang mempermainkan sentimen bangsa tapi membolot khazanah negara dengan rasuah melampau.

Dipukul dahsyat

Apakah perubahan yang dirintis oleh Pas atas statusnya sebagai sekutu parti pemerintah? Ketika duduk bersama di Putrajaya, merancang polisi dan dasar negara, tambahan ketika Malaysia dipukul dahsyat pandemik Covid-19 dengan segala padah dan bencananya, apakah sumbangan Pas untuk menyejukkan suasana panas itu?

Saya percaya Pas tidak menjalankan kewajipannya untuk membetulkan kerajaan yang gagal dan mengarut ini. Segala pesan keagamaan yang dahulunya menjadi basahan lidah pemimpin Pas kini hilang entah ke mana.

Benarlah kata bijak pandai, sekali terjebak dalam langkah pengkhianatan, selamanya berpenat-lelah untuk pertahankan aksi pembelotan itu. Sekali terperangkap dalam lingkaran pendustaan selamanya bergelumang dengan pembohongan itu.

Dahulu, Pas mengambil berat isu penggunaan dana dan kemudahan awam. Sering kisah tawadhu Umar Abdul Aziz dan pelita kerajaan diulang siar bagi mempamerkan sikap berhemat pemimpin yang baik. Namun, kini Pas turut terjerumus dalam keghairahan membelanjakan wang rakyat demi kehendak elit politik.

Lebih dahsyat, ia berlaku ketika negara berdepan krisis ekonomi – kesihatan yang dahsyat. Lihatlah keutamaan pemimpin Pas apabila mendapat peruntukan besar; apakah disalurkan demi kepentingan rakyat atau berbelanja boros untuk keselesaan penguasa?

Apa sikap Pas terhadap prinsip dan amalan tadbir urus yang baik? Korupsi dan salahguna kuasa kembali subur. Malah, nampak ada kecenderungan ketara campur tangan Eksekutif terhadap kes-kes mahkamah tertentu.

Oh ya, bukankah kerajaan yang terbentuk ini tidak pernah menjanjikan sebarang komitmen untuk menambahbaik, apatah lagi menawarkan agenda reformasi?

Mungkin kepada Umno-BN dan Bersatu, isu-isu di atas tidak menjadi kudis pun, tetapi buat parti Islam seperti Pas, rekod dan prestasi kerja dalam kerajaan pintu belakang ini amat diperhatikan, khususnya oleh penyokong tegarnya sendiri.

Mungkin ketaatan dan kesetiaan ahli-ahli Pas sudah diikat dengan ketaksuban dan sikap fanatik mereka tetapi bagaimana pula penilaian rakyat seluruhnya? Apakah sokongan kepada Pas boleh bertahan sehingga PRU-15 nanti? Kita menunggu keajaiban itu.

Segala pesan keagamaan yang menjadi basahan lidah pemimpin Pas, kini hilang entah ke mana.