Ismail Sabri: Cadangan bubar Parlimen akan dibincang ‘Top 5’ Umno

FMT Reporters

KUALA LUMPUR: Keputusan berkaitan cadangan untuk membubarkan Parlimen akan dibincangkan dalam kalangan lima pimpinan tertinggi atau ‘Top Five’ Umno, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno, berkata, perkara itu juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.

“Saya akan bawa kepada ‘Top Five’ untuk membincangkan perkara ini. Selepas ‘Top Five’ kita akan bawa dalam MKT untuk bincang bersama-sama.

“Kita mahu BN jadi parti dominan semula. Jadi kalau kita yakin dengan kemenangan, kita tidak akan tunggu walau satu saat pun untuk membubarkan Parlimen bagi pilihan raya umum (PRU) ke-15,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Ismail berkata, untuk memenangi PRU15, Umno mesti bersatu padu dan mengelak perpecahan dalaman.

“Saya umumkan pada 1 April ini di dalam masjid, kita akan mula rapatkan saf dan kita Umno juga mesti rapatkan saf.

“Saya berjanji dengan rakan-rakan di atas pentas ini, akan rapatkan saf bersama dengan akar umbi. Jika kita bersatu, insya-Allah kemenangan PRU15 di tangan Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Surat layang kecam Ismail Sabri, gesa PRU ditemui di hari terakhir PAU

Haspaizi Zain, Kow Gah Chie, M Fakhrull Halim & Raveena Nagotra

PAU 2021 | Surat layang yang ditemui di hari terakhir perhimpunan agung Umno, mendakwa Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob merupakan perdana menteri paling lemah kerana tidak mampu menyelesaikan pelbagai isu.

Surat tanpa nama itu juga menggesa pilihan raya umum diadakan dengan segera supaya negara dapat diselamatkan.

Surat tersebut ditemui di atas lantai di luar koridor Pusat Dagangan Dunia (WTC), hanya kira-kira 100 meter dari pintu masuk utama sekitar jam 12.30 tengah hari tadi.

Tidak jelas sama ada ia turut diedarkan kepada perwakilan Umno yang hadir.

Malaysiakini telah menghubungi Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan untuk mendapatkan repsons balas berhubung isu itu.

“Baik buat pilihan raya cepat. Tumbang dia selamatlah kita,” menurut surat tersebut.

“Ismail Sabri paling lemah antara perdana menteri Malaysia! Boneka atas pentas pun kena tolak ke tepi, ke belakang nak bagi laluan kepada Bossku (Najib Razak untuk bercakap kepada media). Nasib baik (Ismail Sabri) tak masuk longkang.

“(Dia) terbang ke Singapura, terbang ke Indonesia, terbang ke Thailand, ke Kemboja naik jet kerajaan. Semua tu makan angin,” menurut surat itu lagi.

“Sampai sekarang percaya apa (M) Saravanan (Menteri Sumber Manusia) cakap sampai negara nak tumbang sebab (orang) Bangladesh. Negara dah jadi macam negara buruh paksa. Satu pun Mail (Ismail) tak boleh selesai,” katanya.

Surat itu juga menyentuh masalah pandemik Covid-19 yang masih tidak selesai, insiden banjir kilat yang melanda negara sehingga menjejaskan kerosakan harta benda.

“Gula-gula RM10,000 berapa lama nak bertahan? Buat kita umpama kerbau dicucuk hidung - tarik jalan, tarik jalan,” menurut surat itu lagi.

Umno Kelantan tolak kerjasama selagi ada '3 jahanam' dalam PAS

Hasapaizi Zain, M Fakhrull Halim, Kow Gah Chie & Raveena Nagotra

PAU 2021 | Perwakilan Umno Kelantan menganggap parti itu tidak boleh bekerjasama dengan PAS selagi ada "tiga jahanam" yang memimpin parti itu.

Menurut Zawawi Othman tiga pemimpin terbabit digelarkan begitu kerana dianggap “bermulut jahat.”

Mereka ialah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Mohd Amar Abdullah dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor.

Menyampaikan perbahasannya di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Zawawi berkata selama ini pemimpin tertinggi Umno tidak pernah melabel pemimpin PAS dengan gelaran yang buruk.

Itu berlaku, katanya, ketika PAS sendiri mengelar, menghina serta mempersenda Umno dengan pelbagai nama seperti itik patah kaki.

"Tetapi pemimpin PAS terutama tiga jahanam [...] Presiden PAS, Haji Hadi; Nik Amar, dan juga Sanusi [...] ini mulut-mulut jahat.

"Jadi, Umno kelantan tidak menolak PAS tapi menolak pemimpin-pemimpin PAS yang ada pada hari ini iaitu orang yang saya sebut ini.

"Kalau PAS menolak pemimpn-pemimpin mereka ini, kita boleh terima untuk bersama dengan PAS. Kalau tidak ada Haji Hadi, insya-Allah kita boleh berbincang (untuk bekerjasama) balik, tapi kalau ada dia, biarlah kita dengan kita, dia dengan dia," katanya.

Dalam ucapannya itu juga Zawawi meminta Umno tidak menerima dengan mudah mana-mana wakil bekas wakil rakyat mereka yang ingin menyertai parti itu semula dari Bersatu.

Jika mereka mahu kembali, katanya, letakkan garis akhir (deadline) untuk wakil rakyat terbabit membuat keputusan.

Pada penghujung ucapannya juga Zawawi sempat memuji bekas perdana menteri Najib Razak, yang dirujuknya dengan gelaran popular 'Bossku'.

Katanya ketika ini sebahagian daripada roh Umno ada pada Najib.

"Insya-Allah kita akan selamat jika permata-permata kita lima top five yang di atas bersama Bossku, bincanglah, fikirkanlah, satukanlah untuk kebahagiaan kami dan kami akan berjuang hingga ke titisan darah terakhir," katanya.

Suami pandu jengkaut tidak sengaja gilis isteri

KOSMO!

BANGKOK – Seorang lelaki Thailand secara tidak sengaja membunuh isterinya apabila dia terlanggar mangsa ketika mengendalikan sebuah jengkaut, lapor laman berita The Thaiger semalam.

Kemalangan tragis itu berlaku di sebuah tapak pembinaan landasan kereta api di wilayah Ratchaburi, barat Thailand pada Isnin lalu. 

Lelaki bernama Kaikaew Thongkham yang berusia 45 tahun itu bekerja dalam satu pasukan bersama isterinya, Amphon Pima, 40, di tapak pembinaan landasan kereta api berkembar tersebut.

Kaikaew memandu kenderaan itu dan Amphon pula ditugaskan untuk memberi arahan. 

Polis mengesyaki Amphon berada di tempat yang tidak sepatutnya ketika suaminya memandu ke arah mangsa.

Kaikaew berkata, dia tidak menyedari telah melanggar mangsa. Lelaki itu menangis setelah mendapati isterinya mati akibat digilis. 

Polis bagaimanapun menahan Kaikaew untuk disoal siasat sebelum melakukan prosiding undang-undang selanjutnya. – Agensi 

Lebai PAS diperintah bayar RM250,000 kepada Guan Eng

Exco Perak diperintah bayar Guan Eng RM250,000 atas dakwaan larangan bertudung

Predeep Nambiar

Lim Guan Eng berkata, catatan Razman Zakaria bersifat memfitnah dan menjejaskan reputasi serta peranannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu.

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi memerintahkan seorang Exco Perak membayar ganti rugi RM250,000 kepada Lim Guan Eng dan membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung satu catatan Facebook yang disifatkan memfitnah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Razman Zakaria, yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, dalam catatan Facebook pada 18 Nov 2017 mendakwa Lim dan kerajaan Pulau Pinang menyokong larangan pekerja hotel memakai tudung.

Lim yang memfailkan saman terhadap Razman berkata, catatan itu direka-reka bertujuan mencemarkan reputasinya dan menggambarkannya tidak menghormati Islam dan budaya Melayu.

Dalam keputusan dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Amarjeet Singh pada Isnin, Razman diperintahkan membayar kepada Lim RM150,000 sebagai ganti rugi am dan RM100,000 sebagai ganti rugi teruk dan teladan.

Amarjeet turut mengarahkan Razman membuat permohonan maaf secara terbuka di Facebooknya dalam tempoh 14 hari dan perlu “tag” akaun Facebook Lim pada catatan tersebut.

Razman juga diperintahkan tidak mengulangi kenyataan itu di Facebook dalam apa cara sekalipun pada masa akan datang.

Amarjeet mengarahkan Lim dibayar kos berjumlah RM15,000.

Lim sebelum ini memberi keterangan bahawa catatan Razman bersifat memfitnah dan menjejaskan reputasi serta peranannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu.

Beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pekerja hotel beragama Islam dilarang memakai tudung, katanya.

Peguam Murelidharan M Navaratnam dan Felix Lim mewakili Lim, manakala Mohd Harris Mohan Abdullah mewakili Razman.

Koperal PGA ditemukan mati dengan kesan tembakan di rusuk

Erika George

MIRI: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat Koperal, ditemui mati dengan kesan tembakan pada rusuk kiri dalam pikap yang dipandunya dekat Jalan Riam di sini, malam tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bergegas ke lokasi kejadian di kawasan Hilltop Garden, sejurus menerima makluman berhubung kejadian pada jam 7.50 malam.

Pada mulanya, insiden itu disangka hanya kemalangan kendiri, memandangkan pikap dipandunya melanggar sebatang pokok di tepi jalan.

Namun pemeriksaan lanjut menemukan kesan tembakan pada bahagian rusuk kiri mangsa.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari, yang mengesahkan kejadian itu, berkata setakat ini kes itu diklasifikasi sebagai kes mati mengejut (SDR).

"Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini.

"Mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Miri untuk bedah siasat," katanya.

Desakan disegerakan PRU-15, Umno begitu pasti mampu menang?

SHAHBUDIN HUSIN

Berdasarkan ucapan perasmian Perhimpunan Agung Umno (PAU) bagi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden, Mohamad Hasan malam semalam, sebagaimana dijangka, adalah jelas bahawa desakan disegerakan PRU-15 akan menjadi agenda utama PAU kali ini.

Dengan petunjuk daripada ucapan Mohamad Hasan atau Tok Mat itu, perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri yang bermesyuarat hari ini pastinya akan menyambut isu yang sama tanpa banyak soal.

Seterusnya, apabila Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden Umno merasmikan PAU 2021 ini esok, tanpa keraguan juga, desakan menyegerakan PRU-15 akan lebih dipanaskan dalam intipati ucapannya.

Tidak mustahil, 80 peratus daripada ucapannya adalah berkisar tentang kewajaran mengadakan PRU-15 seawal yang mungkin dan bukannya pada tahun depan.

Sudah barang tentu, kalau pun tidak semua, majoriti perwakilan yang membahas ucapan beliau, tidak mahu ketinggalan untuk turut sama mendesak disegerakan PRU-15.

Pendek kata, desakan disegerakan PRU-15 akan menjadi agenda tunggal PAU tahun ini dan mengenepikan semua agenda lain seperti mengukuhkan parti serta memperkasa lagi kedudukan orang Melayu yang merupakan teras perjuangan Umno selama ini.

Soalan pokoknya, apakah Umno sudah begitu pasti mampu menang PRU-15 jika ia diadakan sekarang?

Melihat kepada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini iaitu Melaka dan Johor, kemenangan BN hanya dicapai melalui peratusan keluar mengundi yang rendah.

Ini bermakna, sebahagian lagi rakyat tidak berminat dengan pilihan raya dalam keadaan pandemik, di ketika ekonomi belum pulih dan sekadar melibatkan peringkat negeri saja.

Lalu, keputusan PRN Melaka dan Johor sebenarnya tidak harus dijadikan ukuran untuk mewajarkan PRU-15 diadakan lebih awal.

Apakah nasih BN jika rakyat tiba-tiba berminat keluar mengundi sebaik Parlimen dibubarkan kerana keinginan sebenar mereka ialah menukar kerajaan di peringkat pusat dan untuk mengembalikan mandat kepada blok pembangkang?

Apakah Umno sudah benar-benar bersedia menghadapinya?

Populariti Najib Razak

Menyandarkan populariti Najib Razak untuk memenangi PRU-15, terutama berdasarkan kemenangan di Melaka dan Johor, barangkali adalah perkiraan yang tidak tepat.

Di Melaka dan Johor, Najib tidak bertanding dan sekadar turun bersama rombongan yang besar ke medan-medan selera serta tempat tumpuan makan orang ramai, kemudian memuatkan aktiviti tersebut di laman sosial untuk menunjukkan sambutan orang ramai terhadapnya.

Apakah jika dalam PRU-15 awal nanti di mana Najib yang sudah didapati bersalah dan Zahid Hamdi yang sedang dalam perbicaraan mahkamah serta dilihat berpotensi untuk kembali memegang jawatan utama dalam kerajaan, maka rakyat masih mahu mengundi BN lagi?

Apakah rakyat tidak serik dengan kes 1MDB, cerita beg tangan, barang kemas dan berita-berita dalam mahkamah sewaktu perbicaraan kedua-dua mereka itu?

Desakan disegerakan PRU-15, Umno begitu pasti mampu menang?

Lebih 300 beg tangan jenama mewah dan duit tunai pelbagai mata wang antara yang disita dari kediaman Najib dan Rosmah pada Mei 2018.

Dalam hal ini, tidakkah jika pemilihan Umno diadakan terlebih dahulu dan pemimpin baru menerajui parti, maka wajah Umno lebih selamat sebagai pertaruhan untuk memenangi PRU-15?

Di sebalik kejayaan cemerlang BN di Johor, Umno ketika ini juga sebetulnya sedang ditimpa malapetaka berikutan kegagalan menunaikan janji meletakkan “poster boy”, Hasni Mohamad sebagai Menteri Besar.

Sementara kuasa Sultan Johor difahami dalam pelantikan tersebut, daripada sudut Umno, kegagalan meletakkan pilihan yang dipertaruhkan, seterusnya dipilih rakyat sebagai Menteri Besar adalah petanda kepimpinan Umno tidak mempunyai cukup kewibawaan untuk berunding.

Kepimpinan Umno juga dilihat tidak cukup mampu meyakinkan pihak istana dalam memenuhi tuntutan perjuangan yang diraih dengan kejayaan.

Apakah dengan kepimpinan yang sama yang dilihat tidak cukup berwibawa itu, jika berdepan dalam pilihan raya di peringkat Parlimen, ia masih mampu meyakinkan pengundi?

Soalan tepi dan terakhir, kenapa PRU-15 begitu didesak untuk diawalkan dan kepimpinan Umno sedia ada bagaikan begitu terdesak berbuat demikian?

Apakah jika Zahid Hamidi dan Najib tidak berdepan kes mahkamah, desakan menyegerakan PRU-15 ini akan tetap dilakukan secara terbuka, termasuk pertama kali dalam sejarah dengan menggunakan pentas PAU seperti tahun ini?

Jawatan timbalan presiden PKR, Rafizi bakal berentap dengan Saifuddin Nasution

Bukan Farhash, tapi Saifuddin akan lawan Rafizi jawatan no 2 PKR

FMT Reporters

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dilihat akan memberi saingan kepada Rafizi Ramli bagi merebut jawatan timbalan presiden.

PETALING JAYA: Saingan merebut jawatan nombor dua PKR bakal menyaksikan pertembungan antara Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail dengan Naib Presiden Rafizi Ramli, kata sumber.

“Farhash tidak akan merebut jawatan itu sekiranya Saifuddin bertanding. Beliau akan membantu kempen Saifuddin,” kata sumber itu, merujuk kepada Farhash Wafa Salvador, yang juga bekas pembantu kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, Farhash menjadi antara individu dalam PKR yang lantang mengkritik Rafizi, bekas Ahli Parlimen Pandan berhubung keputusan kembali aktif dalam politik dan mahu merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, dalam pemilihan parti itu, tahun ini.

Pada 2018, Rafizi mencabar Timbalan Presiden PKR ketika itu, Azmin Ali, namun tewas tipis. Setahun kemudian, beliau mengambil keputusan berundur daripada kancah politik, sambil menyatakan mahu memberi tumpuan terhadap projek baharunya.

“Saifuddin pasti akan memberi cabaran getir kepada Rafizi, perebutan itu akan menjadi sengit mengambil kira Saifuddin juga adalah orang kuat parti,” kata sumber itu.

“Beliau dilihat akan memberi lebih saingan kepada Rafizi berbanding Farhash”.

Jawatan timbalan presiden parti itu kosong selepas Azmin dipecat susulan “Langkah Sheraton” yang mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020.

PKR akan mengadakan pemilihan pada Mei ini.

Politik negara tak stabil selagi pemimpin parti sekarang ‘aktor utama’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Politik negara tidak akan stabil selagi parti diterajui pemimpin sedia ada, kata penganalisis Mohammad Agus Yusoff.

Beliau berkata, oleh itu sampai masanya pemimpin lama melepaskan teraju kepada kepimpinan baharu.

“Pada hemat saya, politik negara tidak akan stabil selagi pemimpin parti sekarang masih lagi sebagai aktor utamanya,” katanya.

Katanya, pengunduran tokoh utama parti bukan didorong faktor “tidak hebat”, namun gaya kepimpinan mereka semakin tidak memenuhi tuntutan politik hari ini.

“Khusus untuk Dr Mahathir Mohamad (Pejuang), Anwar Ibrahim (PKR), Muhyiddin Yassin (Bersatu), Najib Razak (Umno), Ahmad Zahid Hamidi (Umno), Abdul Hadi Awang (PAS), Lim Guan Eng (DAP) — lepaslah teraju parti kepada pemimpin baharu.

“Jika mahu kekal dalam politik dan masih sayangkan parti masing-masing, jadilah pengerusi parti atau ketua umum sahaja. Biar urusan operasi harian parti diuruskan orang baharu.

“Lakukan ini sebagai jasa bakti kepada negara. Negara perlu bergerak cepat ke depan dan ini memerlukan tenaga dan idea baharu untuk menggerakkannya. Politik Malaysia perlu disuburkan. Kita perlukan kesegaran,” katanya di Facebook.

Kestabilan merosot

Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, sejak 2018 Malaysia sudah mempunyai tiga Perdana Menteri, namun kestabilan negara dalam segenap segi terus merosot.

“Dengan tiga Perdana Menteri ini, apa yang dapat dilihat ialah ekonomi negara tidak terurus baik, rasuah berleluasa, kos barangan menaik, peluang pekerjaan terbatas, pengangguran rakyat meningkat, nilai ringgit merudum, bilangan menteri bertambah, dan hutang negara membengkak,” katanya.

Agus juga mengulas empat pilihan raya negeri (PRN) diadakan sejak 2018 dan mempersoalkan adakah Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor semakin maju atau stabil politiknya.

“Selepas empat PRN, semakin majukah empat negeri tersebut? Dalam konteks negara pula, semakin stabilkah politik kita? Semakin yakinkah pelabur kepada negara kita? Semakin perlukah kita kepada PRU15 dipercepatkan?” soalnya.

Sabtu lalu, PRN Johor menyaksikan kemenangan besar berpihak kepada Barisan Nasional (BN). Terdahulu pada PRN Melaka, juga menyaksikan sokongan pengundi kembali berpihak kepada BN.

Kemenangan bergaya BN itu menyaksikan segelintir ahli dan pimpinannya menggesa PRU15 segera diadakan. 

Lelaki maut terhentak batu nisan kubur isteri

KOSMO!

Polis menunjukkan lokasi di mana mangsa terjatuh dan terhentak batu nisan kubur isterinya. - BeritaJatim

JAKARTA – Seorang lelaki di Gampengrejo dalam wilayah Jawa Timur ditemui meninggal dunia di tepi kubur isterinya selepas dipercayai terjatuh dan kepala terhentak pada batu nisan, lapor laman BeritaJatim, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gamperejo, Asisten Komisioner Sunaryo berkata, hasil pemeriksaan Pasukan Pengecam Polis Kediri dan doktor pusat kesihatan setempat mendapati, tiada kesan penderaan pada tubuh mangsa yang dikenali sebagai Sugeng Prawoto.

“Tiada kesan penyeksaan pada badan mangsa. Daripada maklumat keluarganya, mangsa mempunyai sejarah sakit tua,” kata Sunaryo.

Tambah Sunaryo, pada hari kejadian, mangsa bersama cucunya menziarahi kubur isterinya yang baru meninggal dunia.

Setibanya di lokasi, mangsa melihat kubur isterinya berlubang seperti ada cubaan pencerobohan. Mangsa kemudian mengambil inisiatif mencari tanah untuk membaiki semula kubur isterinya.

“Apabila mangsa sedang menabur tanah untuk menimbus kubur isterinya dalam keadaan mencangkung, mangsa tergelincir lalu terjatuh dan kepalanya terkena pada batu nisan kubur isterinya,” jelas Sunaryo.

Sementara itu, keluarga mangsa reda dengan apa yang berlaku ke atas kedua ibu bapa mereka dan menganggap ia satu insiden yang menyedihkan. – Agensi

Perhimpunan Agung Umno: Takiyuddin sahkan PAS tidak diundang

N Faizal Ghazali

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan pihaknya tidak menerima undangan untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.

Justeru katanya, tiada wakil daripada PAS hadir ke program tahunan sekutu dalam Muafakat Nasional itu.

"Setakat saya sebagai setiausaha agung saya tak terima jemputan untuk hadir (PAU). Jadi kita tak hadirlah.

"PAS dan Umno masih dalam kerajaan persekutuan, kita berperdana menterikan ahli parlimen Umno," katanya pada sidang media di pejabat pusat khidmat Parlimen Kota Bharu, hari ini.

Dia berkata demikian ketika ditanya jika PAS ada menerima jemputan untuk menghadiri PAU 2021 seperti tahun-tahun lepas.

Sementara itu, kata Takiyuddin, PAS dan Perikanan Nasional (PN) tiada masalah dengan kerajaan persekutuan dan bersama membuat keputusan dalam kabinet serta menjalankan kerja-kerja dalam kementerian secara bersama walaupun mereka berbeza parti politik.

"Bagi pihak kita PN tak pernah ada masalah, bukan saja peringkat nasional tetapi juga peringkat negeri-negeri.

"Seperti di Perak misalnya PN ada yang jadi exco walaupun menteri besar daripada Umno dan begitu juga di Kedah menteri besar daripada PAS dan ada exco daripada Umno. Jadi kita tiada masalah," katanya.

10 perkara ‘luar biasa’ dalam keputusan PRN Johor

FAZLI RADZI

Terdapat sekurang-kurangnya 10 perkara ‘luar biasa’ dalam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac lalu. Kajian pihak Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati PRN ke-4 selepas Pilihan Raya Umum (PRU-14) itu antara lain menyaksikan amat tinggi jumlah undi rosak.

Berikut 10 perkara ‘luar biasa’ seperti didedahkan firma penyelidikan IDE semalam:

1. Peratusan undi rosak adalah berjumlah satu peratus daripada keseluruhan 2,597,743 pemilih berdaftar yang layak mengundi pada PRN Johor.

2. Undi rosak adalah lebih tinggi daripada jumlah undi diperoleh enam parti politik bertanding serta calon-calon bebas iaitu Parti Pejuang Tanahair (0.72 peratus); Parti Warisan (0.25 peratus); Parti Bangsa Malaysia (0.14 peratus); Parti Sosialis Malaysia (0.04 peratus); Parti Pribumi Perkasa Malaysia (0.01 peratus) dan bebas (0.36 peratus).

3. Terdapat jumlah undi rosak yang melebihi kedudukan kemenangan majoriti calon di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir dan Parit Yaani yang dimenangi BN, manakala kerusi DUN Bukit Batu dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

4. Empat DUN mengalami masalah undi rosak mencapai hampir 1,000 undi iaitu Johor Jaya yang dimenangi DAP serta Tiram, Kota Iskandar dan Permas (BN).

5. Ada Polling Agent dan Counting Agent (PACA) memaklumkan wujud situasi orang menconteng kertas undi dengan ekspresi tidak puas hati.

6. Sebilangan besar kawasan DUN yang memiliki peratusan kaum bukan Melayu terutama kaum Cina, mencatatkan rekod keluar mengundi terendah berbanding kawasan majoriti Melayu.

7. Lima DUN memiliki komposisi pengundi Cina lebih tinggi, mencatatkan kadar peratusan keluar mengundi kurang daripada 50 peratus iaitu Bentayan, Stulang, Skudai, Puteri Wangsa dan Perling.

8. Hampir kesemua 14 DUN yang melebihi 60 peratus keluar mengundi adalah kerusi DUN majoriti Melayu yang dimenangi BN, kecuali DUN Bukit Kepong yang dimenangi calon PN, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

9. Peratusan keluar mengundi di kerusi DUN majoriti pengundi bukan Melayu adalah bawah 50 peratus dengan dimenangi DAP manakala DUN Puteri Wangsa dimenangi Muda.

10. Berlaku pengurangan ketara majoriti undi kemenangan diperoleh hampir keseluruhan 10 calon DAP yang menang sehingga menyebabkan parti itu terlepas empat kerusi DUN kepada MCA iaitu Yong Peng, Bekok, Paloh dan Pekan Nanas.

Budak ni gelar Rafizi biadab

Malaysiakini

Farhash bidas Rafizi: 'Biadab, henti main politik murahan'

Bekas ketua PKR Perak Farhash Wafa Salvador membidas pemimpin PKR Rafizi Ramli, memintanya menghentikan 'permainan politik murahan' dan bersikap jujur.

Farhash menyentuh kenyataan Rafizi ketika temubual bersama radio BFM 89.9 pagi tadi berhubung keengganannya bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti pada Mei.

Bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim itu mendakwa kenyataan bekas ahli parlimen Pandan dalam temubual tersebut banyak berbaur sindiran terhadap presiden PKR.

“Rafizi juga secara biadab menyatakan bahawa dia memilih untuk tidak bertanding jawatan presiden supaya tidak menimbulkan kacau-bilau dan mengganggu mesej-mesej parti kepada umum.

“Persoalan penting yang harus dijawab adalah, adakah beliau merasa layak untuk menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden?

“Jika dirasakan begitu, gelanggang demokrasi ini dibuka seluasnya. Biar anggota PKR melihat wajah sebenar kerakusan kuasa yang sanggup membelakangkan kepimpinan parti,” cabarnya dalam satu kenyataan hari ini.

“Saya ingin menasihatkan saudara Rafizi untuk bersikap jujur pada diri sendiri dan berhenti bermain politik murahan sebegini,” kata Farhash lagi.

Terdahulu, Rafizi berkata dia tidak akan bertanding jawatan presiden PKR untuk mengelakkan mengganggu perhatian awam kepada mesej-mesej parti dan seterusnya mencetuskan keadaan kelam-kabut.

Sebaliknya, kata Rafizi tumpuan boleh beralih kepada pertandingan antaranya dan presiden PKR, bukannya masalah rakyat, seperti isu kesihatan awam.

Mengulas mengenai pengumuman Rafizi untuk kembali aktif dalam politik, Farhash berkata kenyataan bekas naib presiden PKR itu seperti terdapat agenda tersembunyi demi mencapai cita-cita sebenarnya.

“Rafizi yang banyak berkias dalam kenyataannya dengan menyindir presiden parti sebagai lemah dan menyifatkan percutiannya dari aktif dalam PKR sebelum ini adalah kerana tidak bersetuju dengan keputusan dibuat pimpinan,” katanya.

“Sebagai orang parti, dia sewajarnya lebih beradab sejurus kembali ke gelanggang politik dan sentiasa berhati-hati dalam setiap pertuturannya agar tidak mengguris hati semua anggota PKR,” katanya.

Semalam, Rafizi berkata dia akan kembali aktif dalam politik dan bertanding jawatan timbalan presiden PKR dalam pilihan raya parti akan datang.

Pengumuman itu dibuat setelah PKR dan Pakatan Harapan terus menunjukkan prestasi buruk dalam pilihan raya negeri, terbaru di Johor, Sabtu lalu.

Tentera mendarat atas bumbung rumah

KOSMO!

PETALING JAYA – Penduduk di sebuah taman perumahan dikejutkan dengan bunyi penggera keselamatan dari sebuah rumah selepas seorang anggota tentera ‘mendarat’ di atas bumbung rumahnya.

Sebuah video berdurasi 10 saat memaparkan anggota tentera tersebut yang dipercayai sedang melakukan latihan payung terjun terpaksa mendarat di atas bumbung sebuah rumah yang tidak dipastikan di mana lokasinya.

Susulan kejadian itu, penggera keselamatan di rumah tersebut juga berbunyi dengan kuat sekali sehingga menarik perhatian jiran-jiran sekelilingnya.

Tinjauan Kosmo! di ruang komen mendapati rata-rata pengguna terkejut dengan kejadian itu selain turut meluahkan rasa lega kerana anggota tentera tersebut dilihat berada dalam keadaan selamat.

“Alhamdulillah, janji selamat, tak apalah atas bumbung rumah orang sekali pun,” kata Azhar.

“Terhibur tengok, tapi nasib baik selamat dan bumbung rumah orang itu pun tak runtuh,” kata Noraini.

“Nasib baik tidak mendarat di tempat yang tidak sepatutnya. Tak sengaja kan,” kata Sal.

Sehingga kini video berkenaan ditonton lebih 20,000 kali dan mendapat 300 tanda suka. – KOSMO! ONLINE

'Wanita dakwa dicabul di hadapan ahli keluarga ketika rawatan tradisional'

Izad Thaqif Hassan

ALOR SETAR: Seorang penjawat awam wanita mendakwa dicabul pengamal perubatan ketika menjalani rawatan tradisional akibat gangguan mistik di rumah ibunya dekat Kulim pada Jumaat lalu.

Mangsa berusia 39 tahun mendakwa pengamal perubatan terbabit meraba bahagian sulitnya ketika melakukan rawatan berkenaan.

Sumber berkata, menurut ibu mangsa, anaknya itu mengalami gangguan mistik sejak 2017, didakwa akibat terkena santau namun sakitnya itu semakin teruk sejak seminggu lalu.

"Malah, wanita berkenaan kerap pengsan dan dirasuk sejak kebelakangan ini dan kejadian itu berlaku ketika malam yang berlanjutan hingga Subuh ketika berada di rumahnya.

"Kejadian paling teruk berlaku pada Khamis lalu apabila wanita berkenaan didapati menghilangkan diri selama sehari sebelum dia ditemui di pusat mengasuh anaknya dalam keadaan histeria," katanya ketika dihubungi.

Sumber berkata, melihatkan keadaan yang makin teruk, ibunya mengambil keputusan membawa wanita itu pulang ke rumahnya di Kulim dan mendapatkan khidmat pengamal perubatan tradisional untuk merawat anaknya itu.

"Pengamal perubatan yang dipanggil tiba pada jam 11 pagi dan memulakan sesi rawatan sambil disaksi serta dibantu lima ahli keluarga mangsa termasuk ibu dan adik lelaki.

"Bagaimanapun, sesi rawatan itu terpaksa dihentikan dan disambung semula selepas solat Jumaat, namun ketika itu wanita terbabit mengambil kesempatan menghubungi polis kerana dia mendakwa dicabul," katanya.

Sumber berkata, anggota polis kemudian bergegas di rumah terbabit sebelum membawa wanita berkenaan keluar dan dia membuat satu laporan berhubung kejadian yang didakwa menimpanya itu.

"Bagaimanapun, ketika sesi temubual dijalankan, wanita berkenaan didapati kerap mengubah keterangan, selain emosinya juga dilihat agak terganggu dan mengalami tekanan.

"Malah, dia juga turut memarahi polis yang menyoalnya dan ada kala seperti hilang kawalan sehingga terpaksa ditenangkan beberapa kali anggota polis," katanya.

Sumber berkata, polis kemudian menjalankan siasatan di rumah ibunya dan mendapati kediaman terbabit dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) termasuk di lokasi wanita itu mendapatkan rawatan.

"Hasil semakan, kita meneliti rakaman CCTV dan melihat tiada sebarang kejadian mencurigakan seperti didakwa wanita itu ketika rawatan dijalankan terhadapnya.

"Pengamal perubatan memakai sarung tangan dan rawatan dilakukan di hadapan ahli keluarga wanita berkenaan yang ketika itu dilihat separuh sedar dan sesekali terbangun sambil melakukan tarian yang agak pelik," katanya. 

Katanya, siasatan masih dijalankan dan setakat ini polis sudah mengambil keterangan daripada semua individu berkenaan sejak semalam, namun ada beberapa ahli keluarga wanita itu tidak hadir kerana dikuarantin.

"Kita akan menjalankan siasatan secara terperinci dan sedang meneliti segala bukti yang ada serta keterangan yang diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan," katanya.

Khairuddin keluar PAS: Itu dia punya pasal, kata naib presiden

Malaysiakini

PAS menganggap tindakan Khairuddin Aman Razali meninggalkan parti itu mulai kelmarin sebagai hak peribadi ahli parlimen Kuala Nerus berkenaan.

Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata oleh itu parti tidak akan berusaha memujuk bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS berkenaan.

"Itu dia punya pasal, itu hak dia dalam negara demokrasi. Setahu saya kita tidak ada apa-apa usaha (memujuk Khairuddin)," katanya pada sidang media di Kuala Terengganu hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri PAS akan mengadakan mesyuarat pada Sabtu ini dan isu Khairuddin mungkin menjadi satu daripada banyak agenda yang akan dibincangkan.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Khairuddin yang keluar daripada menjadi ahli PAS kelmarin dalam tindakan yang dilihat sebagai protesnya terhadap kepemimpinan Abdul Hadi Awang.

Terdahalu Malaysiakini melaporkan Khairuddin yang juga bekas menteri perusahaan ladang dan komoditi mengemukakan permohonan berhenti sebagai ahli PAS kepada Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Dia juga mengisytiharkan dirinya sebagai anggota parlimen bebas.

Ahmad Samsuri berkata PAS bukanlah tidak kisah dengan langkah diambil Khairuddin namun menganggap ia adalah pilihan masing-masing.

"Bukan tak kisah tetapi oleh kerana pilihan masing-masing kita tiada konsep paksaan.

"Kalau dia tak mahu bersama (PAS) dan (atas) apa jua alasan terserah masing-masinglah. Tidak ada apa-apa masalah dengan kedudukan yang ada sekarang.

"Dalam parti semua penting, pemimpin dan ahli di bawah pun penting," katanya yang juga menteri besar Terengganu.

Selepas keluar parti, Khairuddin dedah kerjasama Pas-PN tak ikut perlembagaan parti

FAZLI RADZI

Selepas mengumumkan pendiriannya keluar daripada Pas, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendedahkan proses kerjasama parti itu dengan Perikatan Nasional (PN).

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas tersebut mendakwa perjanjian yang ditandatangani Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan PN itu tidak melalui proses sah mengikut lunas perlembagaan parti.

“PN ditubuhkan tanpa mengikut lunas perlembagaan parti, hanya dengan tandatangan surat oleh presiden parti dan nasihat dua tiga orang sahaja.

“Ia ditandatangani, bersetuju untuk tubuhkan PN tanpa dibawa kepada jawatankuasa harian pusat, tanpa ada kertas kepada ahli jawatankuasa Pas Pusat, tanpa dibawa ke Majlis Syura Ulama dan dibahaskan untuk dilihat siasah syarie, maqasid syariahnya, belum dipersetujui tetapi sudah diluluskan,” ujarnya.

Khairuddin berkata demikian dalam rancangan Ruang Bicara di Bernama TV, malam tadi.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu menegaskan beliau sudah berusaha membetulkan kerjasama dengan PN supaya ia mengikut lunas perlembagaan parti.

“Ini contoh kesilapan tetapi apa yang berlaku kita diamkan, kita betulkan dalaman sahaja, maka sebab itu digunakan slogan pertahankan Muafakat Nasional (MN) dan perkasakan PN,” ujarnya.

Berbeza dengan Muafakat Nasional (MN) yang dicapai bersama Umno, beliau berkata, MN dicapai bersama Umno melalui tempoh yang panjang dan mengikut lunas perlembagaan parti.

Menurutnya, MN menjadi dasar parti yang dibuat menerusi proses yang hebat, bermula dengan kertas kerja di peringkat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan dibawa ke Majlis Syura Ulama mengikut peraturan Fasa 26 (9)(K).

Seterusnya, kata beliau, Majlis Syura meluluskan dua kali apabila dibawa ke muktamar iaitu pada 2018 dan 2019 sebelum akhirnya penubuhan MN dipersetujui.

“Draf MN dibawa ke dalam jawatankuasa kerja Pas Pusat, Majlis Syura dan diturunkan ke pusat, dibetulkan draf dan dibawa semula ke bawah.

“Kemudian barulah ditandatangani di hadapan ahli dan kepemimpinan Pas dan Umno di PWTC pada 14 September 2019.

“Ini contoh proses mengikut saluran dan proses dalam parti tetapi apa jadi pada PN,” tambahnya lagi.

Selepas PRN Johor, kedudukan ‘kluster mahkamah’ dalam Umno jelas

Reshna Reem Ganesan

PETALING JAYA: Pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini telah melenyapkan sebarang keraguan mengenai kedudukan kelompok yang dipanggil “kluster mahkamah” dalam Umno, kata seorang penganalisis politik.

“Kluster mahkamah merujuk kepada pemimpin Umno, termasuk presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak, yang sama ada sedang dibicarakan atau telah disabitkan atas dakwaan seperti pecah amanah jenayah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Profesor Madya Universiti Malaysia Sabah (UMS), Anantha Raman Govindasamy berkata, akan wujud peningkatan permintaan dalam Umno untuk menerima kenyataan bahawa ahli politik “kluster mahkamah” bukanlah suatu liabiliti.

Di sebalik serangan lawan Barisan Nasional (BN) terhadap “kluster mahkamah”, pemimpin seperti Najib berjaya menarik perhatian orang ramai ketika berkempen di Johor, sehinggakan Zahid berkata, beliau adalah “pengurus kempen sebenar” ketika gabungan itu meraih kemenangan dalam PRN Johor.

“Mereka adalah aset penting untuk memenangi semula Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang (PRU15),” kata Anantha kepada FMT merujuk kepada kelompok “kluster mahkamah”.

Beliau berkata, keputusan PRN Johor akan menyatukan pelbagai kelompok dalam Umno untuk menuntut PRU15 awal.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, kemenangan Umno di Johor tidak ada kaitan dengan “kluster mahkamah” semata-mata, tetapi kerana pengaruh Zahid dan Najib.

“Akar umbi Umno tidak melihat Najib sebagai sebahagian daripada ‘kluster mahkamah’. Mereka tahu beliau adalah orang yang boleh membawa Umno ke arah kemenangan dan meletakkan parti itu kembali berkuasa di peringkat persekutuan,” katanya.

Bagaimanapun Chin berkata, kumpulan dalam parti yang tidak sehaluan dengan “kluster mahkamah” seperti Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan menghadapi cabaran besar tidak lama lagi.

“Tiada apa-apa yang akan berlaku kepada mereka sekarang. Mereka akan terus mentadbir kerajaan persekutuan, tetapi mereka akan diketepikan selepas PRU15,” katanya kepada FMT.

Chin berkata, Ismail yang juga naib presiden Umno dijangka berdepan tekanan daripada parti itu supaya mengadakan pilihan raya umum lebih awal.

“Kelompok (penyokong) Najib dan Zahid mudah memenangi pemilihan parti, tetapi itu bukan keutamaan mereka. Hadiah besar ialah menguasai semula kerajaan pusat dan itu hanya boleh dilakukan dengan PRU15,” katanya.

Felo Penyelidik Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Azmi Hassan berkata, beliau bagaimanapun tidak percaya “kluster mahkamah” boleh menuntut semua kredit di Johor kerana pemimpin lain seperti Ismail dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan juga memainkan peranan penting.

Kes Najib Razak: Sudut pandang undang-undang

FAIZ FADZIL

Conflict of interest seorang hakim biasanya tidak membatalkan keputusan kes kecuali dibuktikan ada element ‘real danger of bias’ oleh hakim.

Keputusan bersalah pula biasanya dibuat berasaskan bukti dan disahkan oleh tiga hakim rayuan.

Yang boleh membatalkan keputusan kes jika boleh ditunjukkan bukti Najib tidak bersalah mengambil wang dari akaun SRC atau sekurang-kurangnya putera Arab itu benar-benar wujud.

Even ketika Najib menjadi PM, sewaktu dia dibersihkan oleh bekas AG, telah ditunjukkan bukti money trail bagaimana duit SRC mengalir masuk ke akaun peribadi Najib.

Bila kes dibicarakan, hakim-hakim menolak pembelaan sebelum ini yang Najib tidak tahu sumber duit itu dari mana.

Lucu. Duit sebanyak RM42 juta, Pak Pandir pun tahulah nak cek mai mana duit kalau banyak macam tu. Duit tu bolehlah bina rumah baru (RM60,000) untuk 700 keluarga Melayu yang miskin macam Makcik Kiah.

Perlu diketahui bahawa kes SRC yang telah diputuskan bersalah tiada kaitan dengan kes 1MDB. Setiap kes dibicarakan berasingan berasaskan keterangan yang ada bagi setiap kes.

Maknanya, kes SRC dan 1MDB melibatkan keterangan berbeza. Apa yang didedahkan dalam kes di Amerika Syarikat (AS) itu adalah berkaitan kes 1MDB yang tiada kaitan dengan SRC. Seperti juga keterangan ejen FBI yang Najib terima AS$756 juta (RM3.2 bilion), tiada kaitan dengan kes SRC.

Sumber wang SRC itu datang dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP). Jumlah pinjaman bukan sedikit tetapi RM4 bilion.

Yang kena bayar balik kerajaan Malaysia. Duit rakyatlah kiranya.

Ramai penjawat awam yang memerlukan hidup lebih selesa.

Belalah mereka.

Shahrir luah rasa kecewa Hasni bukan lagi MB, malu hadir PAU 16 Mac ini

NASUHA RAHMAN

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap, Onn Hafiz Ghazi mendapat perkenan sebagai menteri besar Johor yang baru bagi menggantikan Datuk Hasni Mohammad.

Menurut sumber dalaman Umno, bekas exco kerajaan negeri itu bakal mengangkat sumpah hari ini.

Bagaimanapun Ketua Bahagian Umno Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad meluahkan rasa kecewanya dengan konflik pelantikan Menteri Besar Johor yang baru selepas Umno BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan majoriti mudah.

Berikutan itu, menurut Shahrir beliau tidak akan hadir ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang akan diadakan bermula 16 Mac ini.

Ini kerana katanya, sepanjang berkempen di PRN Johor beliau mentertawakan PN dan PH serta sekutu yang tidak mampu menamakan calon mereka sebagai menteri besar.

“Umno sudah pasti dengan Dato Hasni sebagai MB.

“Tapi itu tidak cukup kuat. Dan Umno Johor tidak mampu lakukan apa-apa.

“Jadi, saya malu hendak ke Perhimpunan Agung Umno Malaysia hujung minggu ni,” kata beliau.

Beliau turut menyifatkan Umno Johor tidaklah sekuat manapun kerana tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan.

“Patut saya juga jurucakap Umno Johor di PAU kali ini. Tapi kalau saya sudah malu nak ke PAU atas nama bahagian Umno dari negeri Johor, tak adalah saya nak cakap apa-apa pun.

Shahrir luah rasa kecewa Hasni bukan lagi MB, malu hadir PAU 16 Mac ini

“Maaf kepada rakan-rakan. Saya sungguh malu dengan apa yang sudah berlaku selepas sebuah PRN yang kita menang dengan begitu cemerlang sekali dibawah kepimpinan Dato Hasni,”ujarnya lagi.

Terdahulu, beliau hanya mendengar khabar angin sahaja akan ada calon baru mengganti Menteri Besar Johor , akhirnya ia terbukti apabila Hasni telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau rela menyerahkan jawatan ketua kerajaan itu kepada orang muda.

Terdahulu, Umno dikatakan mengemukakan tiga nama iaitu penyandang, Hasni Mohammad, Mohd Puad Zarkashi dan Onn Hafiz sebagai calon menteri besar.

Bagaimanapun nama Onn Hafiz dikatakan telah mendapat perkenan istana.

Onn Hafiz yang berusia 43 tahun merupakan anak saudara kepada Hishammuddin Hussein dan cicit kepada Onn Jaafar yang mengasaskan Umno.

Pada pilihan raya negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, Onn menewaskan tiga pencabarnya di kerusi DUN Machap dengan majoriti 11,029 undi.

Bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR selepas sedar parti, PH jadi gabungan ketiga

RAFIZI RAMLI

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini mengesahkan bahawa KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) telah menjadi parti ketiga selepas Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). Keputusan itu perlu diterima dengan terbuka dan tawaduk oleh semua rakyat Malaysia yang mendukung idealisme politik progresif yang dibawa KEADILAN dan PH.

Ini adalah kekalahan keempat berturut-turut dalam beberapa siri pilihan raya negeri. Setiap kali KEADILAN dan Pakatan Harapan mengalami kekalahan, selain dari menyalahkan sesama sendiri, sehingga kini belum nampak strategi yang berlainan untuk menambat kembali hati rakyat.

Satu-satunya strategi yang diulang-ulang ialah pendekatan “khemah besar” untuk menyatukan semua parti yang bersaing dengan Umno/Barisan Nasional. Terbaru, saya dimaklumkan Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju mengambil pendekatan untuk berbincang dengan PN mengenai kemungkinan bekerjasama dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Walaupun tidak ada tanda-tanda pun pendekatan “khemah besar” ini mendatangkan sebarang hasil setakat ini, ia kekal menjadi satu-satunya jalan yang difikirkan pimpinan PH seolah-olah keseluruhan pimpinan PH sudah mati akal untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat.

KEADILAN dan Pakatan Harapan menang dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) kerana isu-isu yang dibawa ketika itu dekat dengan rakyat.

Rakyat memahami kesan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak ketika itu kepada kehidupan seharian dan masa depan mereka. Rakyat juga tertarik dengan beberapa penyelesaian yang dibawa untuk merungkai masalah ekonomi yang dihadapi.

Rentetan peristiwa yang berlaku selepas PRU14 meyakinkan sebahagian rakyat (terutamanya pengundi atas pagar) bahawa pertelingkahan politik di peringkat pimpinan negara hanyalah berkisar kepada agihan kuasa sesama mereka.

Baik dari gabungan politik mana pun yang berkuasa, akhirnya kehidupan mereka tidak akan berubah. Yang berubah hanyalah siapa yang menjadi menteri dan mendapat keistimewaan yang datang dengan kedudukan.

Sebab itu Umno/Barisan Nasional boleh menang bergaya sedangkan sokongan rakyat di peti undi tidak banyak berubah sejak 2018.

Dalam keadaan sebahagian besar pengundi atas pagar merasakan KEADILAN dan Pakatan Harapan sudah tidak ada beza dengan Umno/Barisan Nasional atau Perikatan Nasional, sebahagian besar dari mereka mengalami kelesuan politik. Mereka mual dengan isu politik kerana tiada perbezaan ketara dari gabungan-gabungan politik.

Kelesuan politik ini juga berpunca dari pelbagai taktik yang dibawa gagasan-gagasan politik untuk mendapat kuasa selepas PRU14.

Kegilaan membentuk gabungan

Di peringkat Persekutuan, Umno dan Bersatu boleh berkongsi kuasa tetapi memaki hamun sesama sendiri di luar. Pas boleh mendakap Umno demi kuasa (walaupun bermusuh sekian lama), kemudian memaki hamun kembali juga disebabkan kuasa.

KEADILAN boleh dimainkan hidup-hidup oleh helah Umno konon untuk menyokong calon KEADILAN menjadi Perdana Menteri, seolah-olah KEADILAN tidak kenal siapa Umno.

DAP menyatakan pengkhianatan Bersatu meruntuhkan mandat rakyat, tetapi DAP juga yang menjadi broker persefahaman MoU untuk mengekalkan Perdana Menteri dari Bersatu (seterusnya bersambung dengan Perdana Menteri dari Umno).

Terkini, pandangan terbaru ialah supaya PH mencari jalan bekerjasama pula dengan PN.

Di mata ahli-ahli politik ini adalah strategi demi meningkatkan peluang memenangi pilihan raya. Di mata rakyat biasa, politik Malaysia sudah menjadi drama Keluarga 69 seperti yang dinukilkan Allahyarham P.Ramlee dahulu.

Saya memang kurang minat dengan politik sejak dari kecil. Saya tidak bercita-cita menerima jawatan awam kerana ia satu tanggungjawab. Jika kita tidak yakin boleh memikul sesuatu amanah, lebih baik kita beri laluan kepada orang lain.

Sejak 2019, saya telah menyuarakan pandangan yang tidak bersetuju dengan kegilaan membentuk gabungan (dengan sesiapa sahaja tanpa mengira sentimen rakyat) demi untuk mendapat kuasa. Suara saya menjadi suara minoriti di kalangan pimpinan KEADILAN, apatah lagi di kalangan Pakatan Harapan.

Bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR selepas sedar parti, PH jadi gabungan ketiga

Ketaasuban kepada strategi gabungan politik makin menjauhkan PKR dan PH dari rakyat.

Saya mengambil tanggungjawab bahawa saya tidak boleh berada di dalam kepimpinan yang strategi dan keputusannya saya tidak bersetuju. Jika saya kekal, maka saya perlu menyokong keputusan itu. Jika saya tidak menyokong, saya tidak boleh kekal menjadi sebahagian dari pimpinan. Ini adalah asas utama prinsip pertanggungjawaban (accountability).

Sebab itu, saya sangat gembira untuk kembali ke kehidupan sebagai rakyat biasa dan memberi ruang sepenuhnya kepada pimpinan KEADILAN dan Pakatan Harapan memikat kembali hati rakyat untuk memegang tampuk pentadbiran negara.

Jika mereka yakin taktik membawa mana-mana Ahli Parlimen yang sanggup menukar kesetiaan (demi mencukupkan angka sokongan) boleh mengembalikan pentadbiran PH dan seterusnya meningkatkan peluang memenangi PRU15, saya tumpang gembira (walaupun saya tidak mahu terlibat).

Malangnya, dari satu khemah ke khemah lain, ketaasuban kepada strategi gabungan politik ini makin menjauhkan KEADILAN dan Pakatan Harapan dari rakyat.

Apabila hari ini kita mengkritik dan kemudian esoknya kita berpacaran dengan orang yang kita kritik, lama-lama rakyat merasakan ini semua hanyalah drama Keluarga 69.

Lebih-lebih lagi apabila terlalu banyak tumpuan diberikan kepada membentuk gabungan, usaha mengangkat derita rakyat dan menawarkan penyelesaian menjadi semakin sepi.

Saya terus mendapat desakan dari pendukung KEADILAN dan Pakatan Harapan dari kalangan rakyat biasa untuk kembali ke gelanggang politik.

Saya mengambil masa yang panjang kerana saya tidak yakin saya boleh membantu keadaan dalam keadaan pandangan saya adalah pandangan minoriti di kalangan pimpinan KEADILAN dan Pakatan Harapan.

Saya berpendapat kegilaan mencatur sokongan di peringkat atas sehingga KEADILAN dan Pakatan Harapan nampak terpisah dan kaku dari suara rakyat akan dihukum oleh rakyat.

Jika KEADILAN dan Pakatan Harapan ingin menambat kembali hati rakyat, kembalilah berjuang habis-habisan untuk memudahkan kehidupan harian rakyat.

Bukan sahaja menuding jari, bawalah penyelesaian-penyelesaian yang masuk akal untuk meyakinkan rakyat bahawa kehidupan mereka boleh menjadi lebih baik jika mereka memilih KEADILAN dan Pakatan Harapan.

Usaha menambat hati rakyat seperti ini lebih memenatkan berbanding berbincang di meja rundingan atau di restoran mahal mengenai gabungan politik. Sebab itu saya faham kenapa lebih mudah untuk memilih jalan bergabung politik dari menambat hati rakyat.

Selepas keputusan PRN Johor, saya menyedari bahawa KEADILAN dan Pakatan Harapan telah ditolak rakyat hingga jatuh menjadi gabungan ketiga selepas Umno/Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

Saya menganggotai KEADILAN sejak 1999 kerana saya yakin masa depan Malaysia adalah satu masa depan yang progresif, berbilang bangsa dengan citra idea yang pelbagai.

Sumbangan saya dalam menubuhkan Pakatan Harapan dalam tahun 2015 bukanlah semata-mata demi kemenangan dalam pilihan raya, saya bertekad memastikan politik progresif pelbagai bangsa di negara ini dapat dipertahankan ketika itu.

Pada pandangan saya, dengan perkembangan-perkembangan terbaru, politik progresif pelbagai bangsa sedang berada di dalam bahaya jika KEADILAN dan Pakatan Harapan terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar.

Atas kesedaran itu, saya telah membuat keputusan untuk kembali menyertai gelanggang politik dengan mengesahkan saya akan bertanding jawatan Timbalan Presiden KEADILAN dalam pemilihan akan datang.

Kenapa saya kembali ke gelanggang politik?

Malaysiakini

Rafizi: Kenapa saya kembali ke gelanggang politik?

Rafizi Ramli

ULASAN | Keputusan pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini mengesahkan bahawa PKR dan Pakatan Harapan (PH) telah menjadi parti ketiga selepas BN dan Perikatan Nasional (PN).

Keputusan itu perlu diterima dengan terbuka dan tawaduk oleh semua rakyat Malaysia yang mendukung idealisme politik progresif yang dibawa PKR dan PH.

Ini adalah kekalahan keempat berturut-turut dalam beberapa siri pilihan raya negeri. Setiap kali PKR dan PH mengalami kekalahan, selain dari menyalahkan sesama sendiri, sehingga kini belum nampak strategi yang berlainan untuk menambat kembali hati rakyat.

Satu-satunya strategi yang diulang-ulang ialah pendekatan “khemah besar” untuk menyatukan semua parti yang bersaing dengan Umno/BN.

Terbaru, saya dimaklumkan Majlis Presiden PH bersetuju mengambil pendekatan untuk berbincang dengan PN mengenai kemungkinan bekerjasama dalam PRU ke-15.

Walaupun tidak ada tanda-tanda pun pendekatan “khemah besar” ini mendatangkan sebarang hasil setakat ini, ia kekal menjadi satu-satunya jalan yang difikirkan pimpinan PH seolah-olah keseluruhan pimpinan PH sudah mati akal untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat.

Kelesuan politik

PKR dan PH menang dalam PRU ke-14 kerana isu-isu yang dibawa ketika itu dekat dengan rakyat. Rakyat memahami kesan pentadbiran Najib Razak ketika itu kepada kehidupan seharian dan masa depan mereka.

Rakyat juga tertarik dengan beberapa penyelesaian yang dibawa untuk merungkai masalah ekonomi yang dihadapi.

Rentetan peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas PRU ke-14 meyakinkan sebahagian rakyat (terutamanya pengundi atas pagar) bahawa pertelingkahan politik di peringkat pimpinan negara hanyalah berkisar kepada agihan kuasa sesama mereka.

Baik dari gabungan politik mana pun yang berkuasa, akhirnya kehidupan mereka tidak akan berubah. Yang berubah hanyalah siapa yang menjadi menteri dan mendapat keistimewaan yang datang dengan kedudukan.

Sebab itu Umno/BN boleh menang bergaya sedangkan sokongan rakyat di peti undi tidak banyak berubah sejak 2018. Dalam keadaan sebahagian besar pengundi atas pagar merasakan PKR dan PH sudah tidak ada beza dengan Umno/BN atau PN, sebahagian besar dari mereka mengalami kelesuan politik.

Mereka mual dengan isu politik kerana tiada perbezaan ketara dari gabungan-gabungan politik.

Kelesuan politik ini juga berpunca dari pelbagai taktik yang dibawa gagasan-gagasan politik untuk mendapat kuasa selepas PRU ke-14.

Drama ‘Keluarga 69’

Di peringkat Persekutuan, Umno dan Bersatu boleh berkongsi kuasa tetapi memaki hamun sesama sendiri di luar. PAS boleh mendakap Umno demi kuasa (walaupun bermusuh sekian lama), kemudian memaki hamun kembali juga disebabkan kuasa.

PKR boleh dimainkan hidup-hidup oleh helah Umno konon untuk menyokong calon PKR menjadi perdana menteri, seolah-olah PKR tidak kenal siapa Umno.

DAP menyatakan pengkhianatan BERSATU meruntuhkan mandat rakyat, tetapi DAP juga yang menjadi broker persefahaman MOU untuk mengekalkan Perdana Menteri dari BERSATU (seterusnya bersambung dengan Perdana Menteri dari UMNO).

Terkini, pandangan terbaru ialah supaya Pakatan Harapan mencari jalan bekerjasama pula dengan Perikatan Nasional.

Di mata ahli-ahli politik ini adalah strategi demi meningkatkan peluang memenangi pilihanraya. Di mata rakyat biasa, politik Malaysia sudah menjadi drama Keluarga 69 seperti yang dinukilkan Allahyarham P Ramlee dahulu.

Saya memang kurang minat dengan politik sejak dari kecil. Saya tidak bercita-cita menerima jawatan awam kerana ia satu tanggungjawab. Jika kita tidak yakin boleh memikul sesuatu amanah, lebih baik kita beri laluan kepada orang lain.

Sejak 2019, saya telah menyuarakan pandangan yang tidak bersetuju dengan kegilaan membentuk gabungan (dengan sesiapa sahaja tanpa mengira sentimen rakyat) demi untuk mendapat kuasa. Suara saya menjadi suara minoriti di kalangan pimpinan PKR, apatah lagi di kalangan PH.

Saya mengambil tanggungjawab bahawa saya tidak boleh berada di dalam kepimpinan yang strategi dan keputusannya saya tidak bersetuju.

Jika saya kekal, maka saya perlu menyokong keputusan itu. Jika saya tidak menyokong, saya tidak boleh kekal menjadi sebahagian dari pimpinan. Ini adalah asas utama prinsip pertanggungjawaban (“accountability”).

Sebab itu, saya sangat gembira untuk kembali ke kehidupan sebagai rakyat biasa dan memberi ruang sepenuhnya kepada pimpinan PKR dan PH memikat kembali hati rakyat untuk memegang tampuk pentadbiran negara.

Jika mereka yakin taktik membawa mana-mana Ahli Parlimen yang sanggup menukar kesetiaan (demi mencukupkan angka sokongan) boleh mengembalikan pentadbiran PH dan seterusnya meningkatkan peluang memenangi PRU ke-15, saya tumpang gembira (walaupun saya tidak mahu terlibat).

Tambat semula hati rakyat

Malangnya, dari satu khemah ke khemah lain, ketaksuban kepada strategi gabungan politik ini makin menjauhkan PKR dan PH dari rakyat.

Apabila hari ini kita mengkritik dan kemudian esoknya kita berpacaran dengan orang yang kita kritik, lama-lama rakyat merasakan ini semua hanyalah drama Keluarga 69.

Lebih-lebih lagi apabila terlalu banyak tumpuan diberikan kepada membentuk gabungan, usaha mengangkat derita rakyat dan menawarkan penyelesaian menjadi semakin sepi.

Saya terus mendapat desakan dari pendukung PKR dan PH dari kalangan rakyat biasa untuk kembali ke gelanggang politik. Saya mengambil masa yang panjang kerana saya tidak yakin saya boleh membantu keadaan dalam keadaan pandangan saya adalah pandangan minoriti di kalangan pimpinan PKR dan PH.

Saya berpendapat kegilaan mencatur sokongan di peringkat atas sehingga PKR dan PH nampak terpisah dan kaku dari suara rakyat akan dihukum oleh rakyat. Jika PKR dan PH ingin menambat kembali hati rakyat, kembalilah berjuang habis-habisan untuk memudahkan kehidupan harian rakyat.

Bukan sahaja menuding jari, bawalah penyelesaian-penyelesaian yang masuk akal untuk meyakinkan rakyat bahawa kehidupan mereka boleh menjadi lebih baik jika mereka memilih PKR dan PH.

Usaha menambat hati rakyat seperti ini lebih memenatkan berbanding berbincang di meja rundingan atau di restoran mahal mengenai gabungan politik. Sebab itu saya faham kenapa lebih mudah untuk memilih jalan bergabung politik dari menambat hati rakyat.

Selepas keputusan PRN Johor, saya menyedari bahawa PKR dan PH telah ditolak rakyat hingga jatuh menjadi gabungan ketiga selepas Umno/Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

Saya menganggotai PKR sejak 1999 kerana saya yakin masa depan Malaysia adalah satu masa depan yang progresif, berbilang bangsa dengan citra idea yang pelbagai.

Sumbangan saya dalam menubuhkan PH dalam tahun 2015 bukanlah semata-mata demi kemenangan dalam pilihan raya. Saya bertekad memastikan politik progresif pelbagai bangsa di negara ini dapat dipertahankan ketika itu.

Pada pandangan saya, dengan perkembangan-perkembangan terbaru, politik progresif pelbagai bangsa sedang berada di dalam bahaya jika PKR dan PH terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar.

Atas kesedaran itu, saya telah membuat keputusan untuk kembali menyertai gelanggang politik dengan mengesahkan saya akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan akan datang.

RAFIZI RAMLI merupakan bekas ahli parlimen Pandan.

Kalah teruk di Johor Khairuddin lempar kritikan keras kepada Pas

NASUHA RAHMAN

Bekas setiausaha Majlis Syura Ulama Pas Datuk Dr Khairuddin Aman Razali terus mengkritik partinya itu hari ini susulan Pas hanya berjaya memenangi satu kerusi daripada 15 yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

Sebelum ini beliau pernah mengkritik kepimpinan partinya agar tidak menyerang lawan ketika berkempen dalam PRN Johor.

Namun, menurut Khairuddin, budaya politik matang dan sejahtera Pas yang menjadi dasar parti telah dibuang jauh ke dalam Laut China Selatan.

Katanya, serangan keras bertali arus oleh pimpinan utama Pas dan PN terhadap Umno BN yang masih lagi menjadi rakan muafakat Pas menerusi Muafakat Nasional.

Hakikat ini, katanya pastinya tidak akan diperakui oleh pimpinan dalam bedah siasat pilihanraya nanti.

Pas bertanding 15 kerusi di PRN Johor hanya 1 kerusi sahaja yang menang

“Budaya penafian (denial syndrome) dan menyapu sampah ke bawah karpet jika terus dibiarkan akan membunuh parti satu hari nanti,” kata beliau dalam kenyataan.

Sehubungan itu, katanya walak dan ketaatan terhadap pemimpin tidak seharusnya mematikan muhasabah dan kritikan.

Kritikan pula katanya bukannya penderhakaan terhadap walak.

“Kritikan terbuka perlu diterima disaat teguran dalaman menerusi mesyuarat tertutup tidak lagi diendahkan bahkan dibocorkan kepada awam sehingga menimbulkan fitnah kepada orang yang menegur,” tambah beliau.

‘Ulama Pas pun boleh isytihar keluar parti, apa sangatlah ahli biasa’

ZULHAZMI SHARIFF

“Bahawa saya …… (sebut nama) berikrar untuk patuh kepada hukum Allah dan Rasul-Nya dan patuh kepada arahan pucuk pimpinan parti selagi mana tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

“Dan bahawa saya bersumpah dengan nama Allah, Wallahi Wabillahi Watallahi, sekiranya saya meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan kerelaan saya sendiri setelah terpilih menjadi ahli Dewan Negeri / Dewan Rakyat, maka saya akan dilaknat oleh Allah, Rasul, orang yang beriman serta sekalian yang melaknat.”

Tuan-tuan, akhi ukhti sekalian.

Ini adalah perenggan di dalam sumpah baiah setiap calon pilihan raya bagi Pas. Hanya calon yang berbaiah.

Ahli-ahli Pas atau mana-mana orang biasa yang menjadi ahli Pas tidak perlu bersumpah baiah ini. Cukup sekadar isi borang dan bayar yuran ahli.

'Ulama Pas pun boleh isytihar keluar parti, apa sangatlah ahli biasa'

Tuan-tuan;

Jika Ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali at-takiri yang merupakan ulamak, mantan Setiausaha Majlis Syura yang merupakan badan tertinggi dalam Pas boleh isytihar berhenti menjadi ahli Pas (keluar parti), apa sangatlah tuan-tuan ahli biasa.

Apabila Khairuddin at-takiri keluar parti, semestinya Khairuddin percaya bahawa pucuk pimpinan sudah bercanggah dengan ajaran Islam kerana Khairuddin bersumpah akan patuh dengan hukum Allah dan Rasul-Nya serta arahan pucuk pimpinan selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Mustahil Khairuddin hendak ingkar hukum Allah dan Rasul. Jadi, alasan Khairuddin keluar parti semestinya pucuk pimpinan Pas sudah lari daripada ajaran Islam.

Tuan-tuan,

Khairuddin itu antara “ulamak” hebat yang tuan-tuan hormati. Dia bukan ahli biasa. Dia bukan sekadar Inspektor atau Sarjan Unit Amal. Dia adalah ahli Majlis Syura. Setiausaha Majlis Syura.

Mungkin tuan-tuan berpandangan biarlah Takiri dilaknat dan tuan-tuan turut melaknat tindakan Takiri.

Namun, tuan-tuan juga perlu faham, ulamak buat salah atau berijtihad yang khilaf pun dapat pahala. Tuan-tuan laknat Takiri tapi bagi Takiri, ijtihad dia keluar Pas dapat pahala.

Tuan-tuan dapat apa?

Pimpinan Pas kaya-raya. Gaji elaun puluh ribu, zaujah dua tiga, yang antum semua dapat apa?

Cukuplah dibutakan oleh mereka atas nama agama. Tak ada Pas pun Islam akan terjaga kerana Islam agama Allah. Islam bukan hak Pas.

Jom pakat keluar Pas.

Onn Hafiz angkat sumpah sebagai MB Johor

Malaysiakini

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor yang baru.

Majlis angkat sumpah nenteri besar Johor ke-19 itu diadakan di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Onn Hafiz, 44, ialah cicit kepada pengasas Umno Onn Jaafar yang juga bekas menteri besar ketujuh.

Onn Hafiz juga merupakan cucu saudara kepada perdana menteri ketiga Hussein Onn.

Anak saudara Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein itu dalam penggal lalu berkhidmat sebagai exco belia dan sukan dalam pentadbiran Hasni Mohammad.

Umno dikatakan mengemukakan tiga nama untuk diperkenan istana -iaitu Hasni sebagai penyandang, anggota Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi dan Onn.

Hasni lewat petang semalam mencadangkan pemimpin muda menerajui kerajaan negeri.


-------

Malaysiakini 

Onn Hafiz teruskan legasi kepimpinan keluarga

Mempunyai darah kepimpinan yang mengalir dalam dirinya, Datuk Onn Hafiz Ghazi kini meneruskan legasi keluarganya sebagai pemimpin penting Johor dan negara apabila dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang ke-19.

Pelantikan Onn Hafiz, 43, yang merupakan piut kepada Menteri Besar pertama Johor Datuk Jaafar Muhamad menambah seorang lagi pemimpin daripada keluarga yang tidak asing dalam landskap politik negara itu yang menerajui Negeri Johor Darul Takzim.

Moyang beliau adalah pengasas dan Presiden pertama Umno Datuk Onn Jaafar yang juga Menteri Besar Johor ketujuh manakala datuk beliau, Tun Hussein Onn adalah Perdana Menteri ketiga Malaysia.

Onn Hafiz hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang baharu di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, di Johor Bahru.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 Sabtu lepas, beliau menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dengan majoriti 6,543 undian menewaskan Azlisham Azahar daripada Perikatan Nasional (PN) dan R. Sangaran daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Datuk Dr Sharuddin Md Salleh mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)

Sebelum ini, beliau menyandang kerusi DUN Layang-layang yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor yang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan pada 6 Mac 2020.

Di bawah portfolio beliau, beberapa program telah dilaksanakan meliputi pembangunan sukan dan belia termasuk penubuhan pasukan sukarelawan Southern Volunteers (SV) dan juga membuka Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC).

Mendapat pendidikan dalam bidang perakaunan di University of Hertfordshire, United Kingdom (UK), Onn Hafiz mula aktif dalam politik apabila memegang jawatan Naib Ketua Pemuda Umno Sembrong, kemudian Ketua Pemuda Umno Sembrong dan selepas itu menjadi Naib Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam.

Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika Hishammuddin menjadi Menteri Pertahanan sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Beliau menggantikan Datuk Hasni Mohammad yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Feb 2020.

- Bernama

Jangan ego dan bebal, pemimpin veteran PH/PN perlu berundur

SOFI WAHAB

Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional (PH/PN) kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana:

1) Peratusan undi yang sangat rendah – pengundi tegar pembangkang dan atas pagar tidak balik mengundi.

2) Undi pembangkang berpecah walaupun peratus keseluruhan undi pembangkang PH/PN/Muda melebihi 55 peratus sedangkan BN hanya dapat 45 peratus.

3) Pengundi tidak yakin dengan PH/Muda – logo berlainan, tiada kesepakatan untuk calon Menteri Besar.

4) SOP yang ketat, ceramah umum terhad, kempen terhad, rakyat takut keluar dengar ceramah, akses kepada pemgundi terhad menyebabkan PH tidak dapat berkempen menerangkan manifesto dan profil calon dan menangkis serangan BN.

5) BN menggunakan sepenuhnya jentera kerajaan untuk berkempen.

6) Politik wang yang berleluasa tanpa pemguatkuasaan undang-undang oleh pihak tertentu.

Cadangan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15):

1) PH/PN dan semua parti selain BN mesti duduk semeja dan bergabung untuk menentang BN jika mahu kalahkan BN pada PRU-15. 

2) Parti-parti dalam PH jangan ego dan bebal. Pentingnya guna satu logo dan kata sepakat mengenai calon MB/PM.

3) Sudah sampai masanya pemimpin-pemimpin veteran dalam PH/PN mengundurkan diri dan beri peluang kepada pemimpin baru/muda memimpin parti dan gabungan.

Enggan tangani isu penting punca pembangkang kalah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tiada guna menyalahkan kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor atas peratusan keluar mengundi yang rendah bagi menutup keengganan berterusan untuk menangani isu penting, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Lim berkata, “kurangnya perpaduan pembangkang yang mencetuskan kegagalan menggunakan logo dan visi bersama atau sebarang perbincangan mengenai calon Menteri Besar” jelas tidak membantu.

Katanya, ini ditambah dengan pecahnya sokongan pembangkang dengan banyaknya parti daripada blok itu yang bertanding sesama sendiri.

“Wujud keperluan mendesak untuk berfikir sebagai satu gabungan dan tidak hanya tertumpu kepada kepentingan sempit parti sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, parti komponen PH perlu memikul tanggungjawab atas kekalahan mereka dalam PRN itu.

“Hanya dengan itu kita boleh mengelak daripada kehilangan semua kerusi kita dan menawarkan harapan untuk bangkit semula dan menang pada pilihan raya umum akan datang.”

PH memenangi hanya 12 daripada 56 kerusi di Johor. BN menang 40 kerusi.

PKR menggunakan logonya sendiri manakala Amanah dan DAP bertanding bawah logo PH.

Lim menolak wabak Covid-19 sebagai alasan dengan menambah bahawa “tempat mengundi adalah jauh lebih selamat daripada pasar dan kedai kopi di mana orang ramai bergaul”.

“Tiada gunanya mengaitkan kekalahan PH dengan peratusan keluar mengundi yang rendah,” katanya.

Beliau berkata, kluster Covid-19 membabitkan pengundi dan petugas di pusat mengundi adalah perkara remeh berbanding kawasan awam seperti pasar dan kedai kopi, di mana calon yang berkempen juga dijangkiti virus itu

‘Beruk upahan yang tertelan lobak’, jentera petugas parti kecewa Umno dipimpin orang salah

MALAYSIA DATELINE

Walaupun Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan besar dengan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diumum tengah malam tadi, ada jentera petugas Umno kecewa dengan kepimpinan tinggi parti itu.

Laungan ‘Bubar Parlimen’ pada saat Umno-BN meraikan kemenangan semalam dilihat oleh sesetengah ahli parti itu sendiri sebagai tidak menghormati Menteri Besar Johor dan Perdana Menteri.

Padahal, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno dan Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad, dianggap ahli Umno tertentu banyak memberi sumbangan dalam kejayaan BN di selatan tanah air itu.

Ada ahli Umno nyata ‘semak mata’ melihat penonjolan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam meraikan keputusan PRN Johor malam tadi.

Berikut luahan Ramlan Yusof seorang ahli Umno yang juga jentera petugas Zon Tengah yang selama 16 hari berkempen dalam PRN Johor:

Belum pernah dalam sejarah di mana-mana PRK atau PRN sebelum ini, Perdana Menteri turun sekerap yang dilakukan Ismail Sabri Yaakob dalam PRN Johor.

Malah, beliau menjelajah seluruh Johor untuk bertemu dengan semua kepimpinan bahagian bagi memberi semangat dan meninjau perjalanan kempen.

‘Beruk upahan yang tertelan lobak’, jentera petugas parti kecewa Umno dipimpin orang salah

Ada ahli Umno menyifatkan tidak wajar laungan ‘Bubar Parlimen’ dihadapkan kepada Perdana Menteri.

Selain tenaga, masa dan kesungguhan, saya yakin bukan sedikit wang ringgit yang beliau habiskan untuk parti dan calon dalam PRN Johor ini.

Semuanya tidak lain adalah untuk memastikan UMNO dan BN mencapai kejayaan yang diidam-idamkan.

Berbanding dengan Najib Razak atau Bossku dan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang dilihat memilih kawasan Parlimen atau calon tertentu untuk dibantu, Perdana Menteri sebaliknya berjumpa dan membantu semua kawasan serta menyeluruh.

Semasa kempen juga kedengaran suara-suara nakal daripada calon dan kepimpinan bahagian yang mengeluh bahawa Bossku hanya datang untuk makan-makan dan kemudian terus balik.

Seolah-olah berpenat jentera parti datang beramai-ramai menyambut beliau tidak lebih hanya untuk jadi “contents” dalam media sosialnya saja.

Bagi yang pernah jadi calon, ada juga yang dikatakan mengeluh, ini kali pertama dalam sejarah di mana parti dan Presiden tidak membantu calon dari segi kewangan.

Kesemua peruntukan untuk menggerakkan jentera adalah datang daripada UMNO Johor semata-mata.

Dalam hal ini, mujurlah kepimpinan UMNO dan BN Johor sangat beruntung kerana mempunyai seorang pemimpin yang bertanggungjawab, memahami serta hebat seperti Hasni Mohamad.

Beliaulah yang membantu semua calon dan kawasan DUN seluruh Johor selain dari bantuan yang dihulurkan oleh menteri-menteri UMNO serta kepimpinan UMNO negeri-negeri yang lain.

Saya sempat bertanya kepada sorang Pengerusi Perhubungan UMNO negeri di sebuah negeri di utara, berapa banyak yang ibu pejabat UMNO bagi untuk PRN Johor kepada setiap calon, selamba dia Jawab.. ‘Sekupang pun Presiden tak bantu kali ini.’

Tetapi bila UMNO dan BN diumumkan menang semalam, bukan Perdana Menteri, Hasni atau UMNO negeri-negeri yang diberi penghargaan, sebaliknya Zahid Hamidi telah menghadiahkan kemenangan serta terima kasih kepada Bossku.

Yang tidak begitu membantu, hanya bermain di media sosial, bahkan merupakan liabiliti sepanjang kempen kerana diserang pelbagai parti lawan telah dijulang sebagai hero yang sebenar.

Bahkan, kalau mahu dikira, tiada sekeping pun poster gambar Presiden dan Bossku yang berani UMNO jual sepaniang kempen berlangsung, melainkan yang ada hanyalah gambar Perdana Menteri dan Hasni.

Saya amat bersimpati kepada Menteri Besar Johor yang tidak diraikan dan Perdana Menteri yang jelas dimalukan dengan laungan ‘Bubar Parlimen’ pada saat UMNO dan BN meraikan kemenangan semalam.

Tidak sewajarnya laungan itu dihadapkan kepada Perdana Menteri, melainkan untuk menekan dan menunjukkan rasa tidak hormat kepadanya sebagai ketua kerajaan.

Bukan sedikit jasa Perdana Menteri dalm PRN Johor ini dan saya yakin Bangsa Johor tidak berperangai begitu, semua yang terpamer semalam itu adalah gelagat sekawan ‘beruk upahan yang tertelan lobak’ yang dipercayai datang dari luar negeri Johor.

Saya sedih melihat UMNO sekarang ini kerana ia sedang dipimpin oleh orang yang salah dan dikelilingi insan-insan yang yang hanya perasan mereka adalah hebat.

Ingatlah, perjuangan belum lagi selesai dan rakyat menunggu PRU15 sebagai detik sebenar di mana mereka akan keluar beramai-ramai untuk menolak pemimpin yang kotor.

PRN bukan ukuran atau sandaran kekuatan sokongan rakyat, UMNO perlu menukar nakhoda dengan segera jika ingin diterima rakyat seperti mana Hasni diterima oleh Bangsa Johor.

Pembangkang jadi pemecah undi

MOHD NUR FARHAN

Pembangkang kalah teruk dalam PRN Johor. Saya memang sudah ramalkan keputusan akan jadi seperti PRN Melaka, empat bulan lepas. Sebab kekalahan disebabkan beberapa faktor:

Political fatigue (kelesuan politik)

Perkara yang menyebabkan perkara ini berlaku adalah kurang keyakinan pengundi terhadap pembangkang. Ada beberapa faktor ini terjadi.

Pertama, manifesto PRU-14 yang tidak ditunaikan sepenuhnya. Kedua, political crisis yang memberi impak besar kepada pembangkang keseluruhannya.

Ketiga, non effective solution dalam menyelesaikan masalah rakyat sehingga rakyat menjayakan kempen #kitajagakita melalui media sosial.

Keempat, kluster mahkamah masih mendapat tempat dalam rakyat sehingga mewujudkan political game dan kerajaan tidak stabil.

Atas sebab perkara ini, peratusan mengundi jatuh dan hilangnya keyakinan rakyat terhadap pembangkang.

Non-unity opposition dan separatism

PRN kali ini kita boleh lihat pembangkang bertindak sebagai pemecah undi. Jika digabungkan undi pembangkang sebenarnya ia boleh membentuk keputusan berlawanan.

PN, PH, Pejuang, Muda dan Warisan memiliki persamaan membanteras rasuah. Namun, masalah utama dalam penyatuan pembangkang adalah Presiden PKR.

Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH terlalu berkehendak untuk mendominasi pembangkang selain dalam masa sama sebahagian pimpinan DAP kurang beraliran ketengah.

Oleh sebab itu, pembangkang perlu berbaiah kepada pemimpin baru untuk mewujudkan kesatuan yang lebih progresif.

Pasca PRN Johor: Pembangkang jadi pemecah undi

Pasca PRN Johor: Pembangkang jadi pemecah undi

PKR hanya menang satu kerusi DUN di Bukit Batu melalui calon Chiong Sen Sern.

Strategi BN yang berjaya

Pembubaran DUN Johor selepas Tahun Baru Cina sebelum bulan Puasa dan Raya semasa SPM dan semasa kes Covid-19 meningkat adalah satu strategi yang berjaya.

BN hanya memerlukan precedence causes untuk mengurangkan peratusan keluar mengundi. Mereka tahu sekiranya ramai rakyat keluar mengundi mereka tidak akan berjaya memenangi kerusi yang banyak.

Faktor kejayaan mereka juga adalah kerana undi BN tidak berpecah terutamanya ahli Umno. Ketaksuban ahli Umno adalah bersifat kritikal walaupun pemimpin terpalit rasuah terutama bagi golongan berusia 50 tahun ke atas.

PAS terus merudum, di Melaka kalah 8 kerusi, di Johor 14

FMT Reporters

PETALING JAYA: Selepas kecundang pada PRN Melaka dan Sarawak akhir tahun lalu, PAS malam ini hanya berupaya memenangi satu kerusi daripada 15 DUN yang ditandingi bawah payung Perikatan Nasional (PN).

Keputusan tidak rasmi setakat ini menunjukkan PAS menawan Maharani yang sebelum ini disandang Amanah, parti serpihan PAS.

Bagaimanapun, PAS tewas di satu-satunya kerusi DUN yang dimenanginya pada PRU lalu.

Kerusi DUN Bukit Pasir yang sebelum ini dimenangi calon PAS, Najib Lep kini beralih kepada Umno-Barisan Nasional, mengikut keputusan tidak rasmi.

PAS meletakkan harapan tinggi sebelum ini, bukan sahaja untuk menawan kerusi milik Amanah tetapi juga mencabar Umno dan PKR di kerusi-kerusi lain.

Namun ramai calon PAS akhirnya kecundang kepada Umno-BN dan sekali lagi menunjukkan parti itu belum boleh mencabar Umno di luar Pantai Timur Semenanjung.

PRN Johor memperlihatkan pemimpin PAS memperbaharui permusuhan politik dengan Umno dengan melancarkan serangan bertubi terhadap pemimpinnya seperti Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.

Bagaimanapun, seperti mana di Melaka, kempen PAS tidak memperolehi sokongan diharapkan sungguhpun pemimpin utama parti termasuk presidennya Abdul Hadi Awang rajin turun padang berkempen bersama sekutunya Muhyiddin Yassin.

Susulan keputusan PRN Johor, ada kemungkinan PAS bersedia membuka kembali buku Muafakat Nasional bersama Umno, namun Umno kini dalam kedudukan kukuh untuk meletakkan syarat parti itu menamatkan kerjasama dengan Bersatu.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, sebelum ini berkata isu MN berkemungkinan di kupas balik selepas PRN Johor.

Khairuddin AtTakiri menasihatkan pemimpin PAS

PAS perlu dengar pandangan ahli bawah, kata Khairuddin selepas kecundang di Johor

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kalah itu biasa, menang itu luar biasa, kata bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Mohd Khairuddin Aman Razali susulan prestasi teruk parti itu di Johor, semalam.

PAS hanya memenangi satu kerusi iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani dan kalah di 13 DUN lain. Manakala Bersatu, rakan komponen dalam Perikatan Nasional menang dua kerusi di Endau dan Bukit Kepong.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata kepimpinan tertinggi PAS perlu mendengar pandangan ahli bawahan dan jentera tempatan yang hidup bergelumang dengan rakyat setempat untuk mengetahui kemampuan sebenar parti.

“Muhasabah boleh dibuat, namun ahli tetap akan terus patuh dengan arahan kepimpinan, maka kepimpinan mesti membuat keputusan strategi lebih tepat dengan kajian yang lebih halus,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, PAS boleh menang semula di kerusi DUN Bukit Pasir sekiranya ditambah dengan undi bekas penyandang kerusi itu, Najib Lep dari PAS yang bertanding atas tiket Bebas kali ini.

Najib membuat kejutan bertanding sebagai calon Bebas selepas tidak berpuas hati dengan kepimpinan tertinggi PAS yang memindahkan beliau ke kerusi DUN Simpang Jeram untuk berdepan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Dalam pada itu, Khairuddin berkata PAS boleh terus berjihad sebagai pembangkang yang mesra dan matang kepada kerajaan.

“Meskipun belum menang di Johor, PAS masih akan terus mencuba dengan strategi yang baru untuk PRU mengharapkan kemenangan.

“Kerja dakwah diteruskan. Ahli dan penyokong perlu ditambah dan cawangan-cawangan PAS perlu terus dibuka bermula sekarang,” katanya.

Sukar bagi Ismail Sabri untuk menangguhkan PRU15

Kini sukar PRU15 ditangguh, kata penganalisis

Imran Ariff

PETALING JAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pasti sukar mengelak desakan dari dalam partinya supaya pilihan raya umum (PRU15) diadakan awal susulan kemenangan besar Barisan Nasional di Johor, semalam.

Naib Presiden Umno itu juga perlu berhati-hati dalam memastikan bagaimana untuk menangguhkan PRU sekiranya itu yang mahu dilakukannya kelak, menurut penganalisis politik.

Dua pemimpin Ismail dalam Umno – Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya Mohamad Hasan – lantang mendesak PRU diadakan awal. Begitu juga ramai penyokong di peringkat akar umbi.

Bagaimanapun, mereka yang bersepakat dengan Ismail lebih melihat perlunya kestabilan politik selain membangkitkan risiko sekiranya PRU diadakan dalam suasana pandemik.

Felo Kanan Akademi Nusantara Azmi Hassan berkata, sekiranya Ismail memilih untuk tidak membubarkan Parlimen susulan kemenangan di Johor, beliau perlu penuh berhati-hati dalam menguruskan persepsi awam supaya tidak dilihat seolah-olah gila kuasa.

“Ketika ini, persepsinya adalah (Ismail) keberatan mengadakan PRU15 kerana beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri lagi jika melihat kepada hierarki Umno, dengan Mohamad Hasan dan Ahmad Zahid Hamidi masing-masing memegang jawatan lebih tinggi daripadanya.

“Kemenangan besar untuk Umno akan mengakibatkan PRU15 sukar ditangguhkan. Beliau perlu meyakinkan semua bahawa penangguhan itu adalah disebabkan pandemik, bukan untuk mengekalkan jawatannya,” katanya.

Tambahnya, Ismail perlu berhati-hati dengan kata-kata digunakannya kerana jika tidak, golongan yang mendesak PRU diadakan awal akan menganggap seolah-olah beliau mahu memegang kuasa selama mana yang mampu.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, lebih baik sekiranya Ismail menangguhkan pilihan raya sehingga kepemimpinan Umno diperkemaskan menerusi pemilihan parti.

“Jika beliau mahu berkuasa untuk tempoh lama, beliau mesti menggunakan kelebihan jawatannya untuk memberi kata putus mengenai calon PRU yang dinamakan, seterusnya mencalonkan mereka yang setia kepadanya,” katanya kepada FMT.

Disoal sama ada Ismail berisiko mengasingkan penyokong akar umbi parti, Oh berpendapat perkara itu tidak mungkin mempengaruhi sebarang keputusan berkaitan dengan waktu pilihan raya diadakan.

“Kini ahli politik lebih memikirkan survival politik biarpun untuk tempoh singkat, berbanding sokongan politik untuk parti mereka dari satu-satu kumpulan masyarakat.

“Apapun, nampaknya pengundi Melayu akan terus menyokong Umno untuk tempoh terdekat ini.”

PRN Melaka, Johor jelaskan siapa musuh bersama PH dan PN

BORHAN AHMAD

Pilihan Raya Negeri Johor telah selesai. Pada jam 12 malam tadi, keputusan menunjukkan Barisan Nasional (BN) telah berjaya mendapat kemenangan dua pertiga, manakala Pakatan Harapan 11, (DAP mendapat 10 kerusi, AMANAH 1, PKR 1 dan Muda 1) dan Perikatan Nasional (PN) 3 kerusi.

Sepanjang kempen berlangsung, satu petanda besar yang ditunjukkan oleh semua pemimpin PH dan PN, bahawa mereka ada satu perasaan bersama, mereka tidak mahu melihat BN khasnya Umno memerintah negara ini sekali lagi.

Mereka dengan tegas tidak mahu dan tidak redha Umno dan BN menjadi kerajaan kembali apatah lagi kalau “national embarrassment” iaitu Datuk Seri Najib Razak kembali menjadi perdana menteri.

Punca utama kemenangan Umno adalah perpecahan undi khasnya di kalangan pengundi Melayu antara BN, PH dan PN. Dengan peratusan keluar mengundi yang tidak sampai 60%, jumlah pengundi tegar Umno yang agak besar di Johor, telah menyebabkan BN menang dua pertiga dalam PRN kali ini.

Dengan menguasai kira-kira 40% pengundi Melayu, BN berjaya menang apabila PH mendapat sebahagian dan sebahagian lagi PN. DAP berjaya memenangi 10 kerusi kerana pengundi Cina sebahagian besarnya tetap percaya kepada DAP.

Trend yang sama juga berlaku di PRN Melaka. Peratusan keluar mengundi rendah (apabila pengundi luar tidak pulang khasnya Cina), pengundi Melayu pula berpecah antara tiga parti ketika Umno mempunyai undi asas yang kuat.

Semasa PRU 14 lalu, PH mendapat 36 kerusi, BN (19) manakala Pas atau Gagasan Sejahtera, satu kerusi.

Selepas mendapat pengajaran dari PRN Melaka dan Johor serta rekod PRU 14 lalu, PN dan PH perlu membuat keputusan segera. Apakah mereka mahu kekal dengan trend keputusan di PRN Melaka dan Johor kekal atau berbuat sesuatu untuk mengubahnya.

Kalau ketika mereka berkempen, mood ‘common enemy’ boleh dilaungkan, iaitu tidak mahu BN kembali memerintah negara, menjelang PRU 15 yang tidak berapa lama lagi ini, pemimpin PH dan PN perlu duduk semeja.

Mereka perlu mencapai kata sepakat untuk mempastikan BN tidak memerintah negara semula. Ketika hakim Mahkamah Rayuan boleh menamakan Najib sebagai “national embarrassment” atau memalukan negara bagi menjawab kempen ‘malu apa bosku’, sudah tentu rakyat negara ini boleh bersatu sekali lagi untuk mempastikan “national embarrassment” tidak menjadi perdana menteri atau tokoh yang mengawal kerajaan sekali lagi.

Kita yakin rakyat akan bersatu sekali lagi menyokong usaha untuk menyekat BN dari memerintah negara ini semula dengan pra syaratnya, iaitu pemimpin harus bersatu.

Usaha dan perbincangan yang berputik di Johor akan menghasilkan buah yang baik dalam PRU 15 nanti. Ingat, kita ada ‘common enemy’, yang lain perlu tolak tepi jika PH dan PN mahu menang dalam PRU 15 nanti.

PRN Johor: 5 parti hilang semua deposit

Malaysiakini 

Kehilangan wang deposit pilihan raya merupakan sesuatu yang memalukan bagi calon pilihan raya. Bagaimanapun, beberapa parti semasa pilihan raya negeri (PRN) Johor menyaksikan ramai calon. menerima nasib sedemikian.

Pejuang - parti yang diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan kini mempunyai empat ahli parlimen - meletakkan 42 calon dan kesemuanya kehilangan deposit.

Ia berjumlah RM210,000 yang disumbangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Malah calon Pejuang yang dilihat paling berprngaruh, Shahruddin Md Salleh - bekas timbalan menteri, wakil rakyat beberapa penggal dan kini ahli parlimen - hanya boleh mengumpulkan 2.39 peratus undi untuk Machap.

Calon terbaik mereka ialah Zam Zam Hashim, yang memenangi 4.81 peratus bahagian undi di Kukup.

Dua lagi parti yang mempunyai ahli parlimen tetapi gagal menyelamatkan deposit di Johor ialah Warisan dan Parti Bangsa Malaysia (PBM). Warisan meletakkan enam calon dan PBM empat.

Warisan kini sedang menguji pengaruh mereka di Semenanjung Malaysia kerana ia berusaha untuk berkembang ke luar Sabah. Bagi PBM pula, pilihan raya Johor akan menyukarkan mereka untuk masuk ke dalam BN.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing meletakkan seorang calon. Kedua-duanya turut hilang deposit.

Calon Putra tidak dapat memenangi satu peratus pun bahagian undi. Calon PSM melakukan sedikit lebih baik, memenangi 1.76 peratus bahagian undi.

Pakatan Harapan, walaupun memenangi cukup kerusi untuk membentuk kerajaan pada 2018, menyaksikan 11 calon kehilangan deposit kali ini.

PKR mengalami tujuh kekalahan sedemikian dan Amanah empat. DAP dan sekutu PH, Muda, yang membuat penampilan sulung dalam, berjaya mengekalkan deposit mereka di semua kerusi yang ditandingi.

Di Perikatan Nasional, dua calon Bersatu hilang deposit.

PAS dan Gerakan menyaksikan seorang calon masing-masing kehilangan deposit.

Tiada seorang pun calon BN yang hampir kehilangan deposit mereka. Prestasi terburuk mereka ialah di Bentayan, di mana mereka memenangi 20.6 peratus bahagian undi.

PN kalah teruk, Muhyiddin umum sedia letak jawatan pengerusi

Mohamad Fadli

JOHOR BAHRU: Muhyiddin Yassin malam ini menawarkan peletakan jawatan sebagai pengerusi Perikatan Nasional susulan kekalahan teruk gabungan itu pada PRN Johor.

“Saya bersedia pada bila-bila masa kalau ada ahli parti buat keputusan begitu. Pasal Apa? Keputusan itu atas persetujuan rakan-rakan pimpinan dalam PN,” katanya pada sidang media malam tadi.

“Kalau nak tukar saya terima. Kita amalkan sistem progresif. (Jawatan pengerusi) Bukan hak saya, (tapi) keputusan parti atau kepimpinan parti komponen PN.”