Musa Hitam: Umno, PAS, Bersatu gabung, belum cukup ‘kuat’ lawan pengaruh PKR

FMT Reporters

PETALING JAYA: Penggabungan parti Melayu antara Umno, PAS dan Bersatu masih belum cukup “kuat” dan meluas pengaruhnya seperti PKR, kata bekas timbalan perdana menteri, Musa Hitam.

Beliau berkata, justeru jika Umno, PAS dan Bersatu bergabung bawah “khemah” sama, gabungan itu perlu memberi jaminan kepada bangsa lain sebagai tumpuan perjuangan mereka.

Katanya, konsep ketuanan Melayu wujud disebabkan pegangan orang Melayu yang taksub yang wujud ketika negara digelar “Tanah Melayu”, sekali gus membuatkan orang Melayu menggunakan konsep berkenaan bagi melindungi kepentingan bangsa berkenaan.

Namun, beliau yang juga bekas timbalan presiden Umno berkata konsep sedemikian tidak lagi relevan terutama selepas negara merdeka, yang menyaksikan segala-galanya berubah dan Malaysia kini bukan lagi sebuah negara Melayu sepenuhnya.

“Masalah ideologi mereka tak begitu jelas, bercampur aduk. Macam Umno, mereka kata parti Melayu, Islam. PAS kata sama. Ada parti baharu pula seperti Bersatu juga katakan Melayu dan Islam. Ideologinya, bunyi macam sama.

“Kalau boleh idea mereka ini bersama iaitu ‘simple solid group’ dan menggelar parti ini mempromosikan kepentingan Melayu dan Islam. Secara prinsip dan dalam masa sama, kumpulan ini harus beri jaminan kepada bangsa dan agama lain yang akan diterima sebagai kumpulan rakyat Malaysia yang dilindungi,” katanya menurut Berita Harian.

Musa berkata, PKR pula terdiri daripada parti politik yang membawa konsep pelbagai bangsa.

“Seperti PKR pula, parti itu terdiri daripada parti politik yang mengatakan mereka percaya akan multiracialisme (pelbagai bangsa)…ada daya penarik mereka sendiri bukan sahaja dalam kalangan bukan Melayu, ada muda-mudi Melayu yang tertarik kepada kumpulan ini,” katanya.

Mengulas lanjut “daya penarik” parti bukan berpaksikan Melayu seperti DAP, Musa berkata, beliau pernah dijemput ke pelancaran buku Lim Kit Siang dan terkejut kerana mendapati ramai hadirin adalah orang Melayu dalam kalangan orang muda.

Katanya, ia menunjukkan DAP dan PKR memiliki ideologi yang meluas sehingga dapat menarik orang Melayu-Islam menyokong parti bukan Melayu itu.

“Saya nak beritahu dengan terus terang, waktu Lim Kit Siang melancarkan bukunya. Dia jemput, saya pergi…bila saya pergi orang cakap ‘kenapa kau pergi?’. Saya balas ‘kenapa tidak’.

“Yang anehnya saya masuk dalam dewan itu, saya tengok banyak yang bertudung, budak Melayu. Ini serius, ramai betul. Ini tidak nampak macam mesyuarat DAP tetapi mereka penyokong dan ahli DAP. Itu keadaannya,” katanya.

Musa berkata, parti politik yang mewakili orang Melayu dan Islam perlu memperluaskan ideologi untuk diterima keseluruhan rakyat.

“Sebabnya, DAP dan PKR saya nampak dia punya ideologi lebih luas daripada (parti) yang Melayu dan Islam. Kepada yang menganggap dirinya parti politik yang mewakili orang Melayu, Islam…mereka harus memperluaskan ideologi untuk diterima dalam kalangan orang Malaysia secara besarnya.

“PKR kebanyakan boleh kita anggap sebagai liberal demokratik racial…itu pandangan saya. PKR, saya nampak merupakan kumpulan idealisme Malaysia,” katanya.

Ada ‘langkah ala Sheraton’ singkir pimpinan, kata wakil Amanah Kelantan

Alias Abdul Rani dan Anne Muhammad 

Perwakilan Amanah Kelantan Che Ibrahim Mohamed berkata sekiranya parti menolak Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan, lebih baik parti itu juga menolak langkah ala Sheraton. (Gambar Facebook)

SEREMBAN: Seorang perwakilan Amanah Kelantan mendedahkan wujud gerakan mendesak pemilihan parti negeri itu diadakan segera bagi menyingkirkan kepimpinan dipilih pada 2019.

Che Ibrahim Mohamed berkata, gerakan itu didalangi 17 individu yang didakwanya membuat “akuan bersumpah” untuk mengganggu-gugat Amanah di negeri tersebut.

Difahamkan, individu tersebut telah menyerahkan memorandum pemilihan semula kepada Amanah Pusat untuk dipertimbangkan.

“Kita kecewa, kita tolak Langkah Sheraton. Amanah yang sama kena tolak juga langkah ala Sheraton. Kalau nak pemilihan, tunggu musim pemilihanlah,” katanya kepada media di Konvensyen Amanah Nasional.

Che Ibrahim dalam ucapannya sebelum itu mempersoalkan tindakan pihak tersebut yang disifatkannya sebagai “tidak sabar tunggu jadi pemimpin”.

“Jika kita tidak setuju dengan Langkah Sheraton, mengapa kita membiarkan ada gerakan yang dibuat untuk menggangu-gugat keutuhan parti Amanah,” katanya.

Amanah menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya perlu dibuat hujung tahun ini selama 18 bulan, kata setiausaha agungnya Hatta Ramli, menurut Bernama.

Hatta berkata, penangguhan itu membolehkan pemilihan parti berkenaan dilaksanakan selewat-lewatnya Jun 2024 dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) telah memberi kebenaran bagi penangguhan itu.

Pemilihan Amanah pertama kali diadakan pada Konvensyen Nasional Amanah 2019 pada 6 hingga 8 Dis 2019 di Shah Alam, Selangor bagi memilih Jawatankuasa Nasional Amanah untuk sesi 2019-2022.

Sihir tak berkesan, isteri upah 5 lelaki tetak suami sampai mati kerana hilang sabar 10 tahun jalin hubungan sulit

AYHAN FERHAT

Setelah menggunakan sihir tidak berhasil akhirnya isteri nekad upah 5 lelaki tetak suaminya sampai mati kerana menjalin hubungan sulit dengan perempuan lain.

Suaminya sering menjalinkan hubungan sulit sehingga berkahwin dan mendapat anak bahkan dia memberitahu bahawa suaminya sering meminta wang untuk kelakuannya itu.

Kelakuannya suaminya sejak 10 tahun yang lalu menyebabkan isteri hilang sabar di mana pada mulanya meminta bantuan pembunuh upahan untuk membunuh suaminya dengan menggunakan sihir.

Wanita itu kemudian diperkenalkan kepada seorang lelaki yang mendakwa boleh melakukan sihir dengan kos bayaran RM 1,500.

Wang sudah dibayar, tetapi dua bulan kemudian masih tiada hasil. Lelaki itu kemudian mencadangkan pilihan lain dengan mengupah pembunuh upahan dengan kos bayaran RM 9,000.

Menurut laman Detik.com, wanita itu dan lima pembunuh upahan tersebut telah dijatuhi hukuman penjara selama 13 tahun. Keputusan itu diputuskan oleh hakim Mahkamah Daerah (PN) Karawang pada 8 Ogos lalu.

Berdasarkan petikan daripada keputusan mahkamah itu, wanita itu mengakui berhasrat membunuh suaminya kerana marah. Marah kerana suaminya sering berkahwin walaupun sudah empat kali.

Selain itu, kelakuan suaminya yang juga sering mengambil wang dan pulang lewat malam juga dilaporkan turut menjadi punca wanita itu nekad merancang pembunuhan tersebut.

“Saksi (wanita) berasa sakit hati dengan perangai suaminya yang sering bermain dengan wanita lain dan seterusnya berkahwin melebihi empat kali,” petikan daripada dokumen keputusan itu.

Keputusan mahkamah menyatakan bahawa defendan telah terbukti bersalah dengan melakukan perbuatan jenayah itu dengan memerintahkan untuk membunuh.

Mahkamah juga telah menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun kepada defendan,” kata hakim itu, menurut fail keputusan.

Pemuda Amanah rasa dipinggirkan, cemburu dengan Muda

Shakira Buang

Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan berkata sayap pemuda parti itu tidak akan pernah lelah untuk menuntut hak yang sama diberikan kepada mereka berhubung soal pembahagian kerusi.

Berucap ketika membahaskan pidato presiden pada Konvensyen Nasional parti itu di Seremban, Hazmi mengakui bahawa pihaknya berasa cemburu dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang mahu diberikan tempat pada PRU akan datang.

"Hari ini kita melihat Pemuda Amanah seperti dikesampingkan. Bila pemuda minta kerusi gred A kita dikatakan merengek. Tahukah kita sebelum kita dapat solat 5 kali sehari, sebenarnya kita perlu solat 50 kali sehari.

"Oleh itu, kami tak akan jemu minta kerusi gred A.

"Kita perlu orang muda untuk memudakan parti kita. Kami minta di medan yang betul, kami meminta kepada parti kami bukan parti lain. Kami cemburu kepada parti Muda kerana kami sayangkan parti kami," katanya ketika membahaskan pidato presiden pada Konvensyen Nasional 2022, Parti Amanah Negara (Amanah) di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

Hazmi berkata, politik hari ini sudah berubah dan pemimpin muda harus diberi peluang untuk bertanding dalam PRU selain dapat memudakan parti itu.

"Ya, fasa abang-abang (pemimpin senior Amanah) memang sukar, kami tak mampu nak ulangi politik terdahulu, dipenjara, dibogel serta difitnah. Tapi, hari ini politik sudah berubah.

"Kami juga ingin perpatisipasi dengan parti ini. Ya, kami boleh setia dengan parti. Saya pada PRU14 diminta bertanding di kerusi gred F, lawan dengan pihak paling kuat dalam dunia, PAS, (iaitu) Mohamad Amar di Pancor Kelantan dan kalah serta hilang deposit.

"Tapi saya setia dengan parti, kami minta (kerusi gred A) sebab kami ingin parti ini lebih muda," katanya.

Sementara itu, Perwakilan Amanah Melaka menggesa pucuk pimpinan untuk memastikan Pakatan Harapan (PH) memberikan kerusi Parlimen kepada sayap pemuda dan Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) pada PRU akan datang terlebih dahulu sebelum memberikan kepada Muda.

Membangkitkan perkara itu, Ahmad Azri Abdullah berharap pertimbangan turut diberikan kepada Wanita Muda Nasional (Warda).

"Amanah perlu pastikan ada kerusi Pemuda, AWAN dan Warda di Parlimen terlebih dahulu sebelum jalinkan kerjasama dengan rakan-rakan lain di luar Pakatan Harapan," katanya.

Sebelum ini, Muda yang diketuai presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan hasrat untuk menyertai PH bagi menghadapi PRU-15 selain terbuka mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Majlis Presiden gabungan itu.

Muda turut memutuskan untuk bertanding sekurang-kurangnya 15 kerusi parlimen termasuk di Sabah dan Sarawak.

PH semalam dilaporkan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengadakan rundingan dan menilai kedudukan Muda yang berhasrat menyertai gabungan parti itu dalam waktu terdekat.

Mengejutkan: Di mana wujud bandar besar yang ada IPT, di situ ada pesakit HIV – Doktor ini dedah sisi gelap sebahagian penuntut

FAZLI RADZI

Jangkitan HIV disebabkan amalan seks songsang (gay) turut melibatkan penuntut institut pengajian tinggi (IPT) sehingga boleh dikatakan di mana wujud bandar besar yang ada IPT pasti ada kes HIV.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr Sakinah Sulong mendedahkan kebanyakan pesakit yang dijangkiti HIV adalah dalam kalangan pelajar IPT.

Beliau menyatakan hal itu sebagai amat membimbangkan kerana melibatkan golongan muda.

“Tak keterlaluan saya katakan, dalam 100 pesakit HIV, majoritinya anak muda yang dapat HIV daripada hubungan seks sesama jenis.

“Satu perkara yang amat merisaukan kerana mereka ini sangat muda. Ada yang masih penuntut. Kebanyakan daripada IPT.

“Sampaikan dalam kalangan doktor-doktor, kita kata jika kawasan tempat kita bertugas, adalah bandar besar yang ada IPT, kita pasti akan menerima pesakit HIV yang melakukan hubungan seks sesama jenis,” dipetik dari Sinar Harian.

Dalam satu pendedahan lain, dikatakan sebanyak 90 peratus jangkitan HIV adalah berpunca daripada golongan lelaki dan 57 peratus adalah disebabkan hubungan seks lelaki dengan lelaki (homoseksual/MSM).

Golongan tersebut terutamanya dalam kalangan belia yang berumur di antara 20 hingga 39 tahun, lapor BH Mac lalu.

Menurut Ketua Jururawat Kaunseling HIV/ AIDS, Unit Kejururawatan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Nik Mohd Irwan Nik Pa, hubungan seks sejenis dilakukan sesama lelaki terbahagi kepada insertif dan reseptif.

Jelasnya, cara reseptif berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan kerana lapisan dinding anus yang nipis memudahkan jangkitan virus HIV.

Beliau berkata, homoseksual ialah orientasi nafsu dalam hubungan tarikan personel, emosional, romantik, perasaan cinta dan sayang serta seks sejenis atau sesama gender.

Selain hubungan seks songsang atau seks rambsang, penyakit HIV atau ‘Human Immunodeficiency’ juga boleh dijangkiti melalui cecair dalam badan seperti darah, cecair rektal, susu ibu serta perkongsian jarum suntikan yang terkena jangkitan.

Rogol remaja, gantung mayat mangsa di pokok

AFP LOKASI mayat mangsa ditemukan. FOTO AP

LOKASI mayat mangsa ditemukan. FOTO AP

New Delhi: Polis India, pada Khamis, menahan enam lelaki kerana dituduh melakukan jenayah rogol beramai-ramai dan membunuh dua beradik perempuan yang mayatnya ditemukan tergantung pada pokok di luar kampung mereka, sehingga mencetuskan protes.

Mangsa berusia 15 dan 17 tahun itu adalah daripada komuniti Dalit, etnik terendah dalam sistem kasta Hindu, yang kerap mengalami tahap keganasan seksual di negara mempunyai kadar jenayah terhadap wanita itu.

Ketua polis tempatan, Sanjiv Suman berkata, suspek pada Rabu memikat mangsa ke padang di mana mereka menyerang mereka secara seksual dan kemudian membunuh gadis berkenaan dengan selendang mangsa.

Berpuluh-puluh penduduk tempatan termasuk keluarga remaja terbabit mengadakan protes jalanan berhampiran kampung mereka di negeri utara Uttar Pradesh, bagi menuntut hukuman terhadap tertuduh.

Seorang suspek utama, yang adalah jiran remaja perempuan itu sudah pun ditahan selepas pertempuran dengan polis yang menyebabkan dia ditembak di kaki.

Laporan bedah siasat mengesahkan serangan seksual dan sesak nafas sebagai punca kematian, kata Sanjiv.

Hampir 32,000 kes rogol dilaporkan di India pada 2021, menurut angka kerajaan, tetapi lebih banyak lagi dianggap tidak dilaporkan.

Tahun lalu, pihak berkuasa Uttar Pradesh segera melakukan bedah siasat ke atas mangsa rogol Dalit yang dibunuh oleh seorang lelaki Hindu turut menyebabkan kemarahan yang meluas.

Insiden terbaharu, mengimbau kepada kes rogol dan pembunuhan dua sepupu berusia 14 dan 15 tahun daripada komuniti Dalit pada 2014 di negeri sama, yang mencetuskan kekecohan.

Gadis-gadis itu ditemukan tergantung pada pokok mangga dan polis pada mulanya menuduh lelaki kasta atas tempatan melakukan serangan seksual dan membunuh mereka tetapi siasatan polis tidak berjalan dengan lancar dan tiada siapa yang disabitkan kesalahan.

Ekoran kanak-kanak cuba terjun tingkat empat kondo, suami isteri ditahan disyaki mendera anak saudara

Bernama

Bomba berkata kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang diselamatkan itu dipercayai didera. (Gambar Bomba)

KUALA LUMPUR: Polis menahan suami isteri kerana disyaki mendera dua anak saudara mereka di sebuah kondominium di Taman Cahaya, Ampang, petang tadi.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak, berkata kedua-dua suspek, masing-masing berusia 29 dan 33 tahun itu ditahan kira-kira 6 petang.

Beliau berkata, suspek wanita berkenaan merupakan adik kepada ibu kandung mangsa dan telah menjaga dua adik-beradik itu sejak dua tahun, selepas bapa kandung kepada kanak-kanak itu meninggal dunia.

Menurut Farouk, ibu kandung kanak-kanak berkenaan tidak mahu menjaga mereka dan menyerahkannya kepada suspek untuk penjagaan.

“Selain itu, polis turut mengesan adik kepada mangsa lelaki iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang juga mempunyai kesan kecederaan lebam di bahagian kaki, tangan dan belakang badan juga dipercayai akibat penderaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, kanak-kanak lelaki berkenaan didapati mempunyai kesan lebam di bahagian belakang badan, kaki dan tangan dipercayai akibat didera.

Farouk berkata, suspek wanita itu tiada pekerjaan dan rekod jenayah lampau, manakala suaminya merupakan pemandu Grab dan mempunyai satu rekod jenayah lampau.

“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek didapati negatif daripada sebarang jenis dadah. Kedua-dua mangsa telah dirujuk ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan oleh pegawai perubatan dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah dimaklumkan untuk tindakan penjagaan mangsa.

“Kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Ampang pada esok untuk permohonan reman bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Farouk berkata, kes disiasat bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana telah menganiayai kanak-kanak sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

KERATAN berita insiden kanak-kanak yang didera seorang wanita di sebuah kondominium Taman Cahaya.

Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang berada seorang diri di dalam rumah cuba terjun dan melarikan diri melalui tingkap sebuah kondominium tingkat empat.

Susulan itu, bomba berjaya menyelamatkan mangsa dengan memecah masuk ke dalam rumah dengan bantuan polis.

Senarai ahli parlimen yang paling kuat ponteng

 

Andrew Ong

Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin mencatatkan kehadiran sidang Dewan Rakyat yang terendah untuk tahun lalu dan setakat tahun ini.

Ia menurut inisiatif MyMP yang mengeluarkan apa yang dinamakan sebagai senarai ahli parlimen "B15" semalam.

"Paling bawah (dalam senarai) adalah bekas perdana menteri kita, Muhyiddin Yassin," kata MyMP.

Usaha untuk mendapatkan komen dari pejabat Muhyiddin setakat ini masih belum membuahkan hasil.

MyMP berkata selain Muhyiddin, turut termasuk dalam senarai "B15" adalah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan perdana menteri Muhyiddin Yassin.

"Bagi kehadiran terbaik? Anwar (Ibrahim) memiliki kadar kehadiran 92.86 peratus, sementara bekas perdana menteri Najib Razak 50 peratus.

"Namun, kami fikir (kehadiran) Najib akan menurun nanti," menurut MyMP.

Sejak Julai 2021, Dewan Rakyat mula mencatat kehadiran di Hansard (transkrip rasmi Parlimen).

Malaysiakini cuba mengesahkan dapatan MyMP dengan merangkumkan kehadiran Dewan Rakyat menggunakan Thevesh, program percuma untuk pengguna Github, dan melakukan pengesahan lanjut secara bebas.

Walaupun senarai MyMP itu dinamakan "B15", ia hanya menyenaraikan 14 nama. Berdasarkan senarai Malaysiakini.

MyMP mengeluarkan senarai itu bagi menunjukkan 15 ahli parlimen dengan kehadiran penuh sejak Julai tahun lalu.

Antara yang dinamakan MyMP adalah Mohd Salim Sharif (Umno-Jempol), berbanding purata kehadiran 75.8 peratus oleh ahli parlimen Umno secara keseluruhan.

"Melihat profilnya di MyMP juga menunjukkan trend positif lain. Dia bertanya 10 soalan dalam sidang-sidang ini, seringkali menjelaskan angka dan status projek, yang membawa kepada antara markah Etika Kerja terbaik di laman web kami," menurut MyMP.

Upko juga tak ponteng

MyMP adalah inisiatif sumber khalayak oleh Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights untuk memantau prestasi ahli parlimen.

Berdasarkan kajian ini, MyMP berkata Upko, Muda, Amanah, DAP dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mencatatkan purata kehadiran terbaik.

Hanya Upko yang mencatatkan kehadiran penuh. Namun perlu dinyatakan yang parti itu hanya ada seorang ahli parlimen.

"Upko boleh berbangga dengan wakil tunggal mereka di Parlimen. Muda juga ada seorang saja wakil iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan dia hanya tidak hadir satu daripada 84 sidang terakhir.

Amanah dan DAP juga boleh berbangga dengan purata kehadiran lebih 90 peratus, melibatkan 11 dan 42 wakil dari parti masing-masing. Ia satu usaha berpasukan yang hebat," kata MyMP.

Dua parti dengan kehadiran terendah adalah MIC dan Star. Kedua-duanya hanya ada seorang wakil di Dewan Rakyat.

"Bagaimanapun tiada alasan untuk Bersatu. Dengan 29 ahli parlimen, mereka hanya mencatat purata kehadiran 67.9 peratus," katanya.

Akibat krisis ekonomi penduduk Lubnan terpaksa ‘rompak’ bank untuk keluarkan wang sendiri

NASUHA RAHMAN

Akibat krisis ekonomi di mana bank di Lubnan menghadkan pengeluaran wang memaksa penduduk di negara itu merompak bank untuk mengeluarkan wang dari akaunnya sendiri.

Beliau sangat terdesak perlukan wangnya $13,000 (RM58,857.50) dari akaun simpanannya bagi membiayai rawatan kanser kakaknya.

Wanita terbabit yang dikenali Sali Hafiz bertindak menyerbu bank dan melakukan aksi rompakan sambil memegang pistol tetapi ia adalah pistol mainan anak saudaranya.

Sali Hafiz mengambil keputusan sendiri dengan melompat ke kaunter sebuah bank di ibu kota Beirut dan menuntut wang simpanannya, dibantu oleh lelaki daripada kumpulan yang disifatkan sebagai “Persatuan Bantahan Pendeposit”.

Video kejadian itu cepat tular di media sosial di Lubnan, menunjukkan Sali mengacungkan pistol ketika rakan subahatnya bertengkar dengan kakitangan bank, yang akhirnya mula mengira wang kertas dan menyerahkan bungkusan bil dolar AS kepada Hafiz.

Akibat krisis ekonomi wanita ini terpaksa 'rompak' bank untuk keluarkan wang sendiri 

Sali dikatakan telah menyiarkan secara langsung video itu di Facebook, menegaskan “Saya tidak menceroboh bank untuk membunuh sesiapa atau membakar tempat itu.

“Saya di sini untuk mendapatkan hak saya.”

Insiden itu berlaku di Lubnan, di mana pengeluaran dihadkan kepada $200-$400 sebulan kerana krisis ekonomi yang bergelora selama beberapa tahun.

PBB memberi amaran awal bulan ini bahawa hampir tiga perempat orang di negara Timur Tengah itu kini hidup dalam kemiskinan.

Sali kemudiannya mengadakan temu bual dengan Al Jadeed News di mana dia mendakwa bahawa pistolnya sebenarnya adalah mainan plastik yang dipinjam daripada anak saudaranya.

Dia menambah bahawa bil perubatan kakaknya untuk rawatan kanser menyebabkan dia tidak mempunyai banyak pilihan, kerana bank itu sebelum ini menasihatkan bahawa dia tidak berhak mendapat lebih daripada elaun bulanan $200.

Difahamkan, Hafiz masih belum ditangkap oleh pasukan keselamatan Lubnan, walaupun agensi berita milik kerajaan, National News Agency of Lebanon berkata dia telah menyiram dirinya dengan petrol dan mengancam untuk membakar dirinya jika kakitangan enggan memberikannya $20,000 daripada simpanannya.

Insiden itu adalah yang terbaru dalam rentetan situasi pengambilan wang di Lubnan, di mana kakitangan bank kerap diancam dengan keganasan oleh orang yang terdesak untuk mengakses wang mereka sendiri.

Bulan lalu Bassam al-Sheikh Hussein memegang sebuah bank Beirut kerana dia mahu $35,000 untuk membayar rawatan kanser bapanya.

Dia kemudiannya dipuji sebagai wira tempatan selepas pengepungan selama beberapa jam di mana dia mengancam kakitangan dengan senapang dan petrol dan, walaupun dia ditangkap, tuduhan jenayah tidak pernah dibawa.

Hafiz berkata dalam akaun Facebook peribadinya selepas pengepungan bahawa dia merancang untuk pergi ke Turki.

Dia menulis: “Seluruh kerajaan berada di bawah rumah saya, dan saya di lapangan terbang, jumpa anda semua di Istanbul, Ciao!”

Kerana tanah sanggup tembak isteri

RoselanAb Malek

am@hmetro.com.my

Jerantut: Akibat perselisihan faham dan tidak puas hati dengan agihan wang hasil penjualan tanah, seorang lelaki warga emas menembak isterinya sebelum menembak diri sendiri dalam kejadian di sebuah kampung di Mukim Tembeling dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa seorang pesara renjer hutan berusia 73 tahun cedera di leher dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara, isterinya yang juga pesara renjer hutan berusia 67 tahun cedera di bahagian belakang rusuk kiri meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Jerantut.

Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Mazlan Hassan berkata, polis menerima maklumat dari ketua kampung pada 8.30 pagi memaklumkan kejadian berkenaan.

"Hasil siasatan di lokasi kejadian iaitu belakang bahagian dapur rumah berkenaan menemui seorang lelaki dalam keadaan terduduk bersama selaras senapang patah.

"Seorang saksi yang tinggal di sebuah inap desa berhampiran rumah mangsa dikatakan mendengar dua das bunyi tembakan, sebelum mendengar suara meminta tolong.

"Saksi memaklumkan melihat seorang wanita terbaring di bahagian belakang dapur dalam keadaan sedar dan berlumuran darah sambil meminta tolong," katanya.

Mazlana berkata, wanita itu kemudian dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan.

Katanya, wanita terbabit cedera di bahagian belakang rusuk sebelah kiri dan disahkan meninggal dunia di Hospital Jerantut.

"Difahamkan pergaduhan suami isteri itu berpunca daripada isterinya yang tidak memberi wang hasil jualan tanah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Siasatan masih dijalankan," katanya menambah lelaki berkenaan mempunyai lesen senjata api.

Sementara itu seorang saksi, Ahmad Yassin Abdul Rahman, 52 yang menyewa inap desa berhampiran berkata, dia terdengar bunyi dua letupan dalam tempoh selang tiga minit pada 7.30 pagi.

"Saya bersama seorang lelaki pergi ke rumah berkenaan untuk melihat apa yang berlaku.

"Kami melihat seorang perempuan terbaring sambil minta tolong, sebelum membawanya ke hospital," katanya.

Ada 'malaun dan walaun' cuba wujudkan kerjasama BN, PN dan GPS - But Jazlan

Malaysiakini 

Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed mendedahkan terdapat usaha sulit membabitkan segelintir pemimpin Umno untuk mewujudkan kerjasama baru antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dia mendakwa agenda itu dirancang oleh pihak dalam Umno dan PAS.

"Katanya ada dua tiga kerat 'malaun' dalam Umno sedang buat gerakan sulit bersama 'walaun' PAS untuk jodohkan PN, BN dan GPS selepas PRU15 nanti.

"Kumpulan ini cuba melemahkan Umno dari dalam dengan harapan mereka dapat mempengaruhi barisan kepimpinan Umno/BN supaya menerima PN sebagai rakan kerjasama politik di masa depan.

"Mereka juga sanggup terima 'katak-katak' politik bekas Umno dari Bersatu dan cuba buat taktik 'reverse takeover' BN," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Katanya lagi, pihak yang terlibat ini bergerak secara sulit, termasuk dalam menarik GPS.

"Mereka juga dikatakan cuba untuk meminang GPS supaya menerima projek 'trans PN-BN-Borneo' bagi menubuhkan kerajaan campuran selepas PRU15.

"Tapi dengar ceritanya GPS pun tolak dan tak setuju dengan pinangan tak masuk akal kumpulan malaun dan walaun ini...," katanya lagi.

Nur Jazlan bagaimanapun tidak mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya itu.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PAS secara terbuka menyatakan mereka mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan pemimpin Umno.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah menegaskan parti itu akan bergerak solo dalam PRU akan datang.

Penumpang siku, ludah pemandu teksi gara-gara nombor plat kereta berbeza

KOSMO!

TANGKAP layar memaparkan seorang penumpang memarahi pemandu teksi. - Instagram

JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan aksi seorang penumpang memarahi dan meludah pemandu teksi kerana nombor plat kereta berbeza dengan yang ditempah dalam aplikasi, lapor laman berita Suara.com.

Video itu dimuat naik dalam akaun Instagram @kabarnegri.

Penumpang wanita yang membawa tiga anaknya itu pada awalnya mengadu kerana pemandu teksi itu membawa kereta berbeza daripada yang tertera dalam tempahan.

Pemandu itu menjelaskan bahawa kereta yang dipandu adalah miliknya dan data serta gambar pemandu masih sepadan dengan yang dipaparkan menerusi aplikasi.

Penumpang itu tidak menerima penjelasan tersebut lalu berkata-kata kasar kepada pemandu itu.

Salah seorang anak wanita itu turun daripada kereta dan berkata bahawa pemandu itu kurang ajar.

Walaupun sudah dipujuk sebaik mungkin, penumpang tersebut masih tidak dapat menerima penjelasannya.

Setelah pemandu itu enggan membawa mereka ke lokasi yang diminta, wanita itu menyiku dan meludahnya sebelum keluar daripada kereta.

Video tersebut mendapat perhatian netizen di ruangan komen.

“Sampai begitu sekali. Hanya perlu turun dan tidak perlu meludah. Tanya baik-baik kenapa nombor plat berbeza daripada paparan dalam aplikasi. Memang pemandu salah kerana berbeza,” kata seorang netizen. – AGENSI

Dr. Mahathir: Hadi kafirkan PAS untuk kerjasama dengan Umno, parti bukan Islam

Nora Mahpar

SERDANG: Dr Mahathir Mohamad melabel PAS sebagai parti kafir kerana sanggup bekerjasama dengan Umno dan parti bukan Islam demi kuasa dan kedudukan.

Pengerusi Pejuang itu berkata Abdul Hadi Awang yang pernah mengkafirkan Umno kerana bekerjasama dengan parti bukan Islam, kini “merelakan PAS dikafirkan” untuk bekerjasama dengan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN).

“PAS kita dapati tindakan mereka pelik sikit sebab tindakan mereka berbeza dengan pendirian PAS dulu, dahulu PAS kata Umno ni parti kafir dan macam-macam tuduhan dibuat tetapi tanpa menafikan Umno kafir, mereka bekerjasama dengan kafir.

“Ini yang kita fikir pelik. Nampak seolah-olah PAS ni ‘opurtunis’. Nampak peluang prinsip diketepikan…kononnya berjuang untuk Islam. Tak boleh bekerjasama dengan orang kafir (nanti) kita jadi kafir tetapi dia jadi kafir.

“Mengikut tafsiran PAS, PAS sekarang ini parti kafir selagi dia tak hapuskan dakwaan atau tolak dakwaan yang dibuat oleh PAS dahulu bahawa orang yang tak bersama dengan PAS itu adalah kafir, maka tindakan PAS sekarang ini bekerjasama dengan orang kafir PAS sudah jadi parti bukan Islam lagi, parti kafir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Aspirasi Wanita Merdeka: Penentu Hala Tuju Negara.

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim semalam mendakwa PAS yang dipimpin Hadi ketika ini berbeza ketika era Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Fadzil Mohd Noor.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata demikian susulan dakwaan Hadi yang menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana kalangan pemimpin gabungan itu “mengumpulkan pemberi rasuah dan penerima rasuah”.

“Amanat Hadi” merujuk ucapan Hadi pada 7 April 1981, ketika beliau menjadi pesuruhjaya PAS Terengganu. Petikan ucapan itu kerap dibidas Umno kerana didakwa mengkafirkan ahli parti komponen terbesar Barisan Nasional itu.

Ditanya sama ada gabungan Gerakan Tanah Air yang digagaskan beliau bersedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Mahathir berkata partinya tidak akan sekali-kali bersama dengan parti yang bersama terlibat dalam menubuhkan kerajaan pintu belakang.

“Mana-mana parti yang terlibat dengan rasuah atau terlibat mendirikan kerajaan melalui pintu belakang, kita takkan kerjasama dengan mereka,” tegasnya.

Pada 4 Ogos lalu, Mahathir mengumumkan penubuhan gerakan berasaskan Melayu dan Islam yang dinamakan GTA.

Gabungan itu terdiri daripada empat parti Melayu – Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), NGO serta orang perseorangan.

Resolusi temurapat pimpinan PH: Pakatan Harapan sedia hadapi pilihan raya

BORHAN AHMAD

Pakatan Harapan menegaskan kesediaan mereka untuk memasuki serta memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa.

Kesediaan ini dicapai dalam temurapat di Seremban, Negeri Sembilan yang telah mengumpulkan kesemua pimpinan utama dan pimpinan negeri parti-parti Pakatan Harapan khusus bagi membincangkan strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

“Kami menerima baik dapatan-dapatan kajian yang menunjukkan peningkatan sokongan terhadap Pakatan Harapan dari kalangan semua kaum sejak dua bulan kebelakangan ini.

“Mengambil kira semangat temurapat, Pakatan Harapan menegaskan kesediaan untuk memasuki serta memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa,” kata resolusi yang dicapai dalam temurapat itu.

Sebahagian pimpinan Pakatan Harapan yang menyertai temurapat di Seremban hari ini.

Namun begitu, dalam masa yang sama, Pakatan Harapan sangat gusar dengan suasana ekonomi yang tidak menentu, kenaikan harga barang yang mendadak, dan pengurusan ekonomi yang tidak memuaskan.

Ini turut dilihat dalam dapatan kajian yang menunjukkan 4 dari 5 rakyat Malaysia menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan ekonomi negara.

“Kesan daripada kegagalan menguruskan ekonomi ini lebih terasa di kalangan rakyat di Sabah dan Sarawak, walaupun kita bakal menyambut Hari Malaysia yang ke-59,” kata kenyataan itu.

Pakatan Harapan juga amat risau dengan ramalan Jabatan Meteorologi yang menjangkakan keadaan hujan lebat sehingga akhir tahun.

“Kami menyokong sepenuhnya cadangan agar Kerajaan-Kerajaan Negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan mengisytiharkan ‘kecemasan iklim’ (climate emergency) sebagai langkah proaktif menghadapi fenomena banjir yang mungkin akan berlaku,” kata resolusi itu.

Pakatan Harapan berpandangan bahawa semua parti politik, Kerajaan Persekutan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri perlu meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi membantu rakyat yang akan berdepan dengan ancaman banjir kelak.

“Oleh itu, temurapat memutuskan bahawa sebarang tindakan untuk memanggil Pilihan Raya di musim bencana banjir ini adalah sangat tidak bertanggungjawab,” kata resolusi itu.

Bagi membina gelombang rakyat ke arah Pilihan Raya Umum ke-15, Pakatan Harapan akan memulakan siri jelajah ‘road show’ melibatkan kesemua pimpinan utama bermula Oktober.

Satu Konvensyen Pakatan Harapan pula akan diadakan pada pertengahan Oktober.

Dalam pada itu, semua urusan rundingan kerusi serta manifesto Pakatan Harapan akan diselesaikan menjelang Konvensyen Pakatan Harapan tersebut.

Anwar: Pendekatan Nik Aziz, Fadzil Noor berbeza dengan PAS sekarang

Anne Muhammad

PETALING JAYA: PAS yang dipimpin Abdul Hadi Awang ketika ini berbeza dengan pendekatan yang dibawa bekas pemimpin parti itu Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Fadzil Mohd Noor.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata demikian susulan dakwaan Hadi yang menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana kalangan pemimpin gabungan itu “mengumpulkan pemberi rasuah dan penerima rasuah”.

Hadi turut menyifatkan PH sebagai sarat dengan orang “tidak beriman dan bermoral secara terbuka”

“Ustaz Hadi cakap tak beriman.. Oh saya dan Mat Sabu (Mohamad Sabu) tak beriman, pulak dah.

“Ustaz Hadi, Ustaz Hadi, saya tak nak cakap lebih-lebih, dulu dah kafir mengkafir dah, dah dua masjid, dah dua imam.

“Tapi memadai saya kata, saya maklum Almarhum Nik Aziz Nik Mat, Fadzil Noor berbeza pandangan mereka,” katanya dalam ceramah PH di Kuala Pilah yang disiarkan secara atas talian.

Nik Aziz pernah menjawat jawatan mursyidul am PAS dari 1995 hingga 2015 manakala Fadzil pula bekas presiden parti itu sebelum diambil alih Hadi pada 2003.

Ahli Parlimen Marang dalam kenyataannya hari ini turut mendakwa, PAS menolak kerjasama dengan PH untuk menyelamatkan negara.

Bagaimanapun, Hadi tidak menawarkan sebarang bukti untuk menjelaskan dakwaan bahawa PH, yang dianggotai PKR, DAP, Amanah, dan Upko, “mengumpulkan pemberi rasuah dan penerima rasuah”.

Sebelum ini, Hadi mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara.

Beberapa pihak termasuk pemimpin DAP membuat laporan polis terhadap Hadi yang disiasat polis baru-baru ini. Beberapa pemimpin PAS mendakwa kenyataan Hadi itu berdasarkan kajian di sebuah universiti tempatan.

Anak disyaki ketagih dadah, belasah bapa sampai putus ibu jari

FMT Reporters

PETALING JAYA: Anak yang didakwa ketagihan dadah sanggup memukul bapa sehingga putus ibu jari tangan apabila berang tidak diberikan wang, dalam kejadian di Kampung Pengkalan Sentol, di Jerteh, Terengganu.

Suspek berusia 50 tahun bukan sahaja sanggup memukul warga emas itu dengan rotan, malah membelasahnya menggunakan tongkat di bahagian kepala, mata kiri dan tangan kanan.

Ketua Polis Besut Abdul Rozak Muhammad, berkata dalam insiden kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa berusia 71 tahun dikatakan enggan memberikan wang kepada anak lelakinya.

“Suspek seorang duda berusia 50 tahun yang tinggal bersama mangsa tiba-tiba mengamuk dipercayai berang kerana bapanya tidak memenuhi permintaannya lalu memukul bapanya dipercayai dengan menggunakan sebatang rotan.

“Mangsa kemudian pergi ke rumah anak perempuannya yang tinggal berdekatan dalam keadaan berlumuran darah dan lemah,” lapor Bernama.

Beliau berkata, warga emas itu memberitahu anak perempuannya yang berusia 43 tahun bahawa suspek telah memukul mangsa dengan tongkat di bahagian kepala, mata kiri dan tangan kanan.

“Wanita itu dengan bantuan jiran telah membawa bapanya ke Hospital Besut untuk rawatan sebelum mangsa dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.

“Pemeriksaan doktor pakar mengesahkan mangsa mengalami patah dan putus ibu jari tangan kanan serta turut menerima jahitan di bahagian belakang kepala,” katanya.

Abdul Rozak berkata, suspek berjaya diberkas di rumahnya dan polis merampas sebatang tongkat rotan yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah bagi kesalahan mencuri dan kekerasan serta tiga rekod berkaitan dadah.

“Saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis metamfetamina dan polis tidak menolak kemungkinan suspek meminta wang daripada bapanya kerana mahu membeli dadah,” katanya.

Suspek ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Pakatan Harapan sedia hadapi pilihan raya, kata resolusi temurapat pimpinan di Seremban

BORHAN AHMAD

Pakatan Harapan menegaskan kesediaan mereka untuk memasuki serta memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa.

Kesediaan ini dicapai dalam temurapat di Seremban, Negeri Sembilan yang telah mengumpulkan kesemua pimpinan utama dan pimpinan negeri parti-parti Pakatan Harapan khusus bagi membincangkan strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

“Kami menerima baik dapatan-dapatan kajian yang menunjukkan peningkatan sokongan terhadap Pakatan Harapan dari kalangan semua kaum sejak dua bulan kebelakangan ini.

“Mengambil kira semangat temurapat, Pakatan Harapan menegaskan kesediaan untuk memasuki serta memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa,” kata resolusi yang dicapai dalam temurapat itu.

Sebahagian pimpinan Pakatan Harapan yang menyertai temurapat di Seremban hari ini.

Namun begitu, dalam masa yang sama, Pakatan Harapan sangat gusar dengan suasana ekonomi yang tidak menentu, kenaikan harga barang yang mendadak, dan pengurusan ekonomi yang tidak memuaskan.

Ini turut dilihat dalam dapatan kajian yang menunjukkan 4 dari 5 rakyat Malaysia menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan ekonomi negara.

“Kesan daripada kegagalan menguruskan ekonomi ini lebih terasa di kalangan rakyat di Sabah dan Sarawak, walaupun kita bakal menyambut Hari Malaysia yang ke-59,” kata kenyataan itu.

Pakatan Harapan juga amat risau dengan ramalan Jabatan Meteorologi yang menjangkakan keadaan hujan lebat sehingga akhir tahun.

“Kami menyokong sepenuhnya cadangan agar Kerajaan-Kerajaan Negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan mengisytiharkan ‘kecemasan iklim’ (climate emergency) sebagai langkah proaktif menghadapi fenomena banjir yang mungkin akan berlaku,” kata resolusi itu.

Pakatan Harapan berpandangan bahawa semua parti politik, Kerajaan Persekutan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri perlu meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi membantu rakyat yang akan berdepan dengan ancaman banjir kelak.

“Oleh itu, temurapat memutuskan bahawa sebarang tindakan untuk memanggil Pilihan Raya di musim bencana banjir ini adalah sangat tidak bertanggungjawab,” kata resolusi itu.

Bagi membina gelombang rakyat ke arah Pilihan Raya Umum ke-15, Pakatan Harapan akan memulakan siri jelajah ‘road show’ melibatkan kesemua pimpinan utama bermula Oktober.

Satu Konvensyen Pakatan Harapan pula akan diadakan pada pertengahan Oktober.

Dalam pada itu, semua urusan rundingan kerusi serta manifesto Pakatan Harapan akan diselesaikan menjelang Konvensyen Pakatan Harapan tersebut.

Buktikan PH ambil rasuah, Amanah beritahu Hadi

Sean Augustin

PETALING JAYA: Amanah mencabar Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk membuktikan bahawa Pakatan Harapan (PH) “mengumpulkan pemberi dan penerima rasuah”.

Timbalan presidennya, Salahuddin Ayub, berkata sebagai seorang cendekiawan Islam, Hadi sepatutnya lebih maklum bahawa umat Islam dilarang membuat tuduhan tanpa menyertakan sebarang bukti.

Justeru, Hadi mesti membuktikan dakwaannya bahawa gabungan pembangkang itu menerima dan memberi rasuah, katanya.

Salahuddin menyuarakan rasa hairan dengan dakwaan terbaru Hadi bahawa parti itu menolak sebarang kerjasama dengan PH, disebabkan gabungan itu memberi dan menerima rasuah.

Sebaliknya, katanya, PAS masih sedia bekerjasama dengan Umno sedangkan ada antara pemimpin parti itu telah pun disabit dengan kesalahan rasuah.

“Jadi, apa mesej yang mahu disampaikan kepada umum? Bahawa anda boleh menutup mata kepada rasuah apabila melibatkan pihak tertentu?”

Charles Santiago dari DAP turut sependapat dengan berkata, Hadi masih belum menjelaskan penyelesaian kes berjumlah RM1.4 juta dalam saman fitnah terhadap pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Rewcastle Brown sebelum ini mendakwa PAS telah menerima wang daripada Umno beberapa tahun sebelum pilihan raya umum terdahulu.

“Jadi, beliau tidak patut menuding jari sedangkan tangannya juga kotor,” katanya.

Ahli Parlimen Klang itu turut berkata, jika kenyataan terbaru Hadi itu diteliti, ia sekadar satu lagi serangan terhadap orang bukan Melayu, dan beliau menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.

Katanya, kenyataan terbaru Hadi itu menyusuli tindakannya mengaitkan rasuah dengan orang bukan Islam.

“Beliau mengapi-apikan perkauman dan ini sesuatu yang tidak wajar.”

Kes culik ejen produk kosmetik: Menantu pernah seludup rokok, tak sangka terbabit dadah

Siti Rohana Idris

am@hmetro.com.my

Tumpat: "Saya hanya tahu menantu pernah terbabit dalam perniagaan rokok seludup sahaja, tapi kegiatan lain yang menyalahi undang-undang saya tidak tahu," kata bapa kepada ejen produk kosmetik yang dilarikan sekumpulan lelaki, petang kelmarin.

Warga emas berusia 70 tahun itu berkata, hatinya berasa berat untuk mempercayai bahawa menantunya berusia 36 tahun itu terbabit dalam sindiket penyeludupan dadah kerana dia banyak menjalankan perniagaan termasuk memelihara haiwan ternakan.

"Yang saya tahu, dia (menantu) ada jual rokok seludup sahaja, selain itu saya tak tahu, rasa susah nak percaya.

"Tapi kalau dia betul-betul terbabit (dalam kes jenayah), kenapa perlu libatkan anak saya, kenapa dia yang diculik," katanya ketika ditemui di rumahnya di Wakaf Bharu, di sini, hari ini.

Menurutnya, sehingga kini dia berasa ralat kerana gagal menyelamatkan anak perempuannya ketika bergelut dengan dua lelaki yang mengheret mangsa untuk masuk ke dalam kereta.

Katanya, jika tidak difikirkan pistol yang ditunjukkan seorang penjenayah, dia pasti akan menyerang semula demi menyelamatkan anak keenam daripada 12 beradik itu.

"Saya rela mati demi anak dan ketika kejadian, saya diacu sebilah pisau oleh lelaki itu, namun masih cuba melawan sebelum terpaksa berundur apabila ditunjukkan pistol," katanya.

Sementara itu, ibu mangsa yang menghidap penyakit buah pinggang tahap lima pula berkata, sehingga kini perasaan trauma masih dirasai dan sedikit-sebanyak menjejaskan tahap kesihatannya.

Sambil memohon agar orang ramai mendoakan keselamatan anaknya dan dipulangkan dengan selamat, dia merayu agar tidak ditularkan berita yang tidak benar mengenai keluarganya.

"Entah bagaimana nasib anak (perempuan) saya sekarang yang katanya sudah dibawa ke negara jiran, hidup atau mati kami tidak tahu, tapi jauh di sudut hati saya mengharapkan anak ditemukan dengan selamat," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu, ejen produk kosmetik berusia 36 tahun itu dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Wakaf Bharu, di sini, dengan menaiki kereta Toyota Vios.

Malah, penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand sebelum kereta terbabit ditemui di Kampung Kuala Jambu, kira-kira 10 malam tadi.

Sementara itu, siasatan awal pihak polis mendapati suami kepada mangsa terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah dan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia 35 hingga 47 tahun ditahan bagi membantu siasatan, semalam.

Akhirnya terbongkar punca penculikan ejen kosmetik, suami terbabit aktiviti seludup dadah

AYHAN FERHAT

Penculikan ejen kosmetik yang heboh semalam akhirnya terbongkar apabila hasil siasatan pihak polis mendapati puncanya kerana perselisihan faham membabitkan ahli sindiket dadah.

Di mana polis mendapati suami kepada Rosnazirah Mohd Naim atau Azi yang diculik itu terbabit dalam aktiviti sindiket dadah.

Dalam kejadian jam 5.10 petang kelmarin, Rosnazirah berusia 36 tahun dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu Kelantan.

Menurut pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun polis sudah menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia 35 hingga 47 tahun semalam berkait kes penyeludupan dadah.

Akhirnya terbongkar punca penculikan ejen kosmetik, suami terlibat aktiviti sindiket dadah

“Suami mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai nelayan mempunyai dua rekod jenayah lampau, manakala seorang lagi lelaki mempunyai tujuh rekod jenayah. Kesemua mereka ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini.

“Kita sudah memohon bantuan daripada pihak berkuasa Thailand bagi menyelamatkan mangsa berusia 36 tahun dan usaha ke arah itu giat dilakukan.

“Bagi kes ini, polis percaya tiada pembabitan pihak lain kerana kita percaya kejadian ini berlaku akibat perselisihan di kalangan ahli sindiket,”katanya pada sidang media hari ini.

Rosnazirah dilarikan dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand, sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam kelmarin di Kampung Kuala Jambu.

Muhamad Zaki berkata, pihaknya percaya mangsa mengetahui aktiviti yang dilakukan suaminya selain mengenali suspek yang menculiknya petang kelmarin.

“Kita sudah mengadakan perbincangan dan satu operasi khas dilancarkan bagi menyelamatkan wanita berkenaan. Kita percaya wanita berkenaan dalam keadaan selamat.

“Pihak berkuasa Thailand juga memberi maklum balas positif bagi mengesan mangsa yang dipercayai berada di negara berkenaan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk kampung supaya tidak bimbang dan takut dengan apa yang berlaku kerana insiden seperti itu bukan berlaku kepada semua orang.

“Ini kerana apa yang berlaku di antara ahli sindiket dan mereka mengenali antara satu sama lain.

“Sehingga kini, keluarga mangsa juga tidak menerima sebarang panggilan daripada suspek dan siasatan terhadap nombor kenderaan Toyota Vios yang digunakan suspek adalah nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Exco Kelantan berjersi jenama bir: Kesian dia, kata pemimpin Amanah

Yasmin Ramlan

Seorang pemimpin Amanah Kelantan mengesyaki, exco negeri itu tidak mengetahui atau menyangka jenama Chang pada baju yang dipakainya merupakan produk arak dari Thailand.

Kata Che Ibrahim Mohamed dia sebenarnya berasa simpati terhadap Exco Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat, ketika berkunjung ke stadium sebuah kelab di negara jiran berkenaan.

“Kesian pada dia… dia tak tahu tu. Dia tak tahu pun Chang tu arak.

"Saya kenallah, dia kawan saya dulu. Saya yakin dia tak kenal, tak tahu pun Chang tu arak,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Terdahulu tular di media sosial dua keping gambar dimuat naik di Facebook Kelantan United Football Club (KUFB) pada 6 Sept lalu memaparkan Wan Roslan berkunjung ke kelab bola sepak profesional Thailand, Buriram United.

Pada gambar berkenaan kelihatan Wan Roslan serta beberapa individu lain, yang memakai jersi berwarna biru muda dengan logo jenama bir terkenal Thailand itu.

Bagaimanapun semakan Malaysiakini mendapati hantaran tersebut tidak lagi kelihatan pada Facebook KUFC.

‘Orang bagi, kita pakai’

Kata Che Ibrahim, biasanya PAS sangat sensitif dengan sesuatu yang ada kaitan dengan arak dan mereka tidak boleh bertolak ansur dengannya walapun sedikit.

“Pernah dulu penyokong-penyokong PAS yang fanatik mempertikaikan pasukan Liverpool sebab kelab itu pakai jersi ditaja Carlsberg. Jadi, mereka pertikaikan.

“Jadi benda ni nampaknya sekarang terkena PAS sendirilah,” katanya ketika diminta mengulas lanjut mengenai hantarannya itu.

Ditanya sama ada Wan Roslan wajar membuat permohonan maaf dan menjelaskan situasi sebenar, Che Ibrahim berkata, itu adalah perkara yang terbaik sepatutnya dilakukan Adun Pengkalan Kubur itu.

“Betullah, sepatutnya dia kena buat permohonan maaf secara terbuka, bahawa dia mengaku ada yang tak tahu Chang tu arak,” katanya.

Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini, Wan Roslan mengakui bahawa kejadian itu merupakan salah faham.

“Cerita pakai baju ni… orang bagi, kita pakailah,” jawabnya ringkas.

Ditanya sama ada akan terdapat sebarang permohonan maaf atau penjelasan berhubung isu itu, Wan Roslan sebaliknya berkata dia kini berada di Madinah, Arab Saudi.

Bekas setiausaha politik Menteri Besar Kelantan itu kemudian meminta agar isu tersebut dirujuk kepada KUFC.

Perselisihan ahli sindiket dadah punca ejen kosmetik dilarikan

Nor Fazlina Abdul Rahimn

fazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Perselisihan antara ahli sindiket dadah dipercayai punca utama seorang wanita yang juga ejen jualan kosmetik dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Wakaf Bharu, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal pihaknya mendapati suami kepada mangsa dipercayai terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah.

Susulan itu katanya, polis sudah menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan wanita, semalam bagi membantu siasatan.

"Kita sudah memohon bantuan daripada pihak berkuasa Thailand bagi menyelamatkan mangsa berusia 36 tahun dan usaha ke arah itu giat dilakukan.

"Polis juga percaya mangsa mengetahui aktiviti yang dilakukan suaminya selain mengenali suspek yang melarikannya kelmarin," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

PAS seperti hidup di dua alam berbeza, kata Amanah Kedah

N Faizal Ghazali

Keinginan Abdul Hadi Awang agar Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) meraih sokongan pengundi bukan Melayu seperti diperolehi DAP sifatkan sebagai tidak berpijak di bumi nyata.

Pengerusi Amanah Kedah, Phahrolrazi Mohd Zawawi, berkata kenyataan dibuat presiden PAS di akhir muktamar parti itu baru-baru ini membayangkan mereka sebenarnya berada di dua alam yang berbeza.

Selepas meninggalkan Pakatan Rakyat (Pakatan), kata Phahrolrazi, Abdul Hadi membawa PAS untuk bersama dengan Umno dengan menekankan perjuangan Melayu-Islam.

"Perjuangan penyatuan ummah yang dicanang ditujukan kepada siapa? Rasanya rakyat Melayu, rakyat Islam. Itu sudah jadi dasar utama PAS.

"Tiba-tiba sekarang dia suruh DHPP dapatkan undi orang Cina, orang bukan Melayu. Macam mana DHPP nak buat?

"Sebelum ini Abdul Hadi meletakkan asas bahawa PAS itu sebenarnya sebuah parti berteraskan Melayu-Islam, tapi kemudian dia suruh DHPP ajak pengundi bukan Islam, bukan Melayu untuk sokong PAS," katanya kepada Malaysiakini di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Dia yang juga anggota Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional menambah, tidak dapat diterima akal apabila PAS - yang menggambarkan parti itu sebagai pejuang kepentingan Melayu Islam - meletakkan calon dari DHPP dan berharap mereka mendapat undi orang bukan Melayu Islam.

"Tak boleh.... rakyat pun faham parti itu sebenarnya sedang menuju ke mana," katanya lagi.

Terdahulu Phahrolrazi diminta mengulas mengenai seruan Abdul Hadi kepada DHPP agar mereka menarik sebanyak mungkin sokongan pengundi bukan Melayu apabila bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Semasa ucapan penggulungannya Abdul Hadi berkata tidak ada sebab mengapa DHPP tidak boleh mendapat undi tersebut kerana DAP sudah melakukannya sebelum ini.

Tak ada untung politik

Kata ahli parlimen Marang berkenaan, DAP meletakkan calon orang India di kawasan majoriti pengundi Cina dan mampu memenangi kerusi berkenaan.

Phahrolrazi berkata, berdasarkan sikap ditunjukkan PAS sekarang, mustahil untuk mereka dapat menawan hati pengundi bukan Melayu.

"Takkan dia (PAS) tak faham yang dia cakap itu saling bertentangan, terutamanya apabila bercakap mengenai PAS bersefahaman dengan Umno.

"Semasa sesama sendiri, PAS cakap 'kami nak Islam' itu ini, tapi apabila PAS duduk bersama Umno, dia tak kata dia nak buat Islam pun," katanya.

Menurut Adun Alor Mengkudu itu lagi, sebelum ini PAS menegaskan mereka hanya boleh menerima Umno sekiranya parti terbabit menerima dasar al-Quran dan sunnah serta melaksanakan Islam.

Namun katanya ketika ini PAS tidak lagi menekankan syarat tersebut, sebaliknya terus berasa memadai dengan mengulang-ulang isu perpaduan Melayu-Islam

"Apakah PAS akan beruntung apabila Abdul Hadi bercakap soal orang bukan Melayu menjadi punca rasuah dan pada masa sama mengharapkan DHPP melawan pengaruh DAP.

"Akhirnya kita nak tanya: presiden PAS ini nak macam mana? Apa sebenarnya yang dia nak?

"Untungkah dari segi politik apabila Abdul Hadi dan PAS cakap orang bukan Islam dan bukan bumiputera punca amalan rasuah di negara ini? Tak ada siapa pun yang waras akan kata PAS untung," tegasnya.

Samy Vellu meninggal dunia

SAMY Vellu. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Bekas Presiden MIC Tun Samy Vellu meninggal dunia hari ini.

Perkara itu dikongsikan bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri S Subramaniam di dalam Facebooknya sebentar tadi.

"Ia adalah dengan kesedihan yang besar dan hati yang berat yang saya terima berita tragis mengenai kematian Tun Samy Vellu bekas Presiden MIC dan seorang menteri legenda di kabinet Malaysia dari anaknya Datuk Seri S Vell Paari.

"Bagi kebanyakan kita, dia adalah mentor utama. Sumbangannya kepada negara dan masyarakat India akan terukir dalam kenangan kita. Mied, Aimst University, dan Tafe College adalah sumbangan abadinya," katanya.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.
-hmetro 

Cadang bina kasino bertaraf dunia di Pulau Pinang, mana Bersatu dan Pas?

MOHD ALI HASHIM

Cadangan Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Baljit Singh seperti mana yang diwar-warkan ingin membina kasino bertaraf dunia di Pulau Pinang adalah tidak wajar sama sekali. 

Malah Naib Ketua Pemuda AMANAH Pulau Pinang, Muhammad Fitri Termizi menyifatkan cadangan pembinaan kasino tersebut bakal mencemarkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri industri dan pelancongan mesra keluarga. 

“Kasino yang dicadangkan untuk dimasukkan dalam manifesto PN juga seharusnya difikirkan semasak-masaknya dan disokong dengan kajian secara mendalam sejauh mana ia bakal memberi impak kepada rakyat tempatan dan bukannya semberono sahaja. 

“Harus disedari bahawa gejala ketagihan judi  berisiko meruntuhkan institusi kekeluargaan dan ianya amat penting untuk diberi perhatian serius dalam usaha membina sebuah masyarakat yang bahagia. 

“PN tidak sepatutnya gopoh dan gelojoh dalam mengejar wang ringgit dengan menolak serta mengabaikan pembangunan sahsiah rakyat. Malahan rakan-rakan dalam komponen PN termasuk Bersatu dan Pas sewajarnya menasihati rakan mereka agar lebih bijak dan berhati-hati mengeluarkan kenyataan, terutamanya dalam isu menyentuh sensitiviti umat Islam dalam negara ini, ” ujar beliau. 

PAS anjur solat hajat minta ‘dibukakan hati’ malam esok

Anne Muhammad

PETALING JAYA: PAS akan menganjurkan solat hajat bagi membuka hati pihak yang tidak mahu perpaduan ummah malam esok, kata mursyidul amnya Hashim Jasin.

Hashim berkata, seruan solat hajat itu dibuat kepada semua ahli PAS termasuk Umno, Bersatu dan parti lain yang inginkan perpaduan ummah terlaksana di negara ini.

“Kita tak putus harap, kita masih ajak untuk kita bersatu kerana ia adalah perintah Tuhan, jadi kita dah usaha ajak.

“Jadi sekarang ni yang boleh ubah hati adalah Allah maka kita ajak lah ahli-ahli kita doa pada Allah supaya diubah hati-hati orang yang tak mahu agenda perpaduan ummah supaya mereka kembali dan bersetuju dengan usaha suci yang kita sedang jalankan,” katanya kepada FMT.

Menerusi siaran akhbar Ketua Dewan Ulama PAS Ahmad Yahya, solat hajat itu akan diadakan pada esok (khamis malam Jumaat) bersempena sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan 16 Sept setiap tahun.

“Mesej utama penganjuran solat hajat dan munajat ini adalah gesaan penyatuan ummah dapat direalisasikan dalam negara,” kata Ahmad sambil menambah penganjurannya turut bagi memohon dihindarkan negara ini dari musibah termasuk banjir besar Nov akan datang.

Mengulas lanjut, Hashim berkata solat hajat itu akan diadakan di semua cawangan parti seluruh negara.

Ditanya adakah pihaknya memanjangkan jemputan itu kepada Umno, Hashim menjawab:

“Kita terbuka. Kalau dia nak hadir boleh kerana bukan semua orang umno tolak perpaduan ummah, jadi siapa yang nak perpaduan ni mari kita sembahyang hajat, lembutkan hati orang yang tak mahu,” katanya.

Jel tempat menebus dosa, bukan berselesa

A Kadir Jasin

Hospital Kuala Lumpur (HKL) adalah antara hospital tertua, terbesar dan terlengkap di Malaysia.

Ubat generik adaIah sama dari segi ramuan dengan ubat berjenama, tetapi ia lebih murah. Kalau banyak duit, belilah sendiri ubat berjenama.

HKL dibina pada 1870. Justeru tidak hairanlah kalau hari ini ada bermacam-macam pakar di situ. Cakap saja sakit apa, adalah doktor untuk mengubatinya.

Kalau seseorang mengadu sakit perut atau usus dan terkenal pula - macam Najib Razak - dia akan dirawat oleh pakar gastroenterologi. Bagi pesakit biasa, selalunya yang buat pemeriksaan dulu ialah doktor perubatan am atau GP (general practitioner).

Apabila sah masalahnya serius barulah pesakit dirujuk kepada doktor pakar.

Katakan ahli gastroenterologi terbabit tidak jumpa apa-apa masalah serius, dia prescribed-lah ubat biasa macam ubat gastrik atau kembung dan pesakit disuruh balik.

Tapi kalau dengan tidak semena-mena seseorang itu berasa sakit leher dan belakang, pakar ortopedik pula akan periksa. Perubatan autopedik ini berkaitan sistem otot rangka (tulang, sendi, ligamen, tendon, otot, dan saraf).

Boleh beli ubat sendiri

Untuk lebih meyakinkan, dia juga mungkin diperiksa oleh pakar neurologi iaitu berkaitan sistem saraf pusat dan periferi, otak, tulang belakang dan tisu penyambung di sekelilingnya.

Katakan, setelah diperiksa oleh semua jabatan perubatan yang ada di HKL tapi tak jumpa sebarang masalah luar biasa, pihak hospital atau pesakit sendiri boleh cadangankan supaya dia dirujuk kepada pakar psikiatri di Klinik Psikiatri & Kesihatan Mental HKL.

Manalah tahu dia mengalami masalah psikiatri.

Psikiatri ini adalah kajian dan rawatan berkenaan penyakit mental, gangguan emosi dan kelakuan aneh. Tapi tentulah tidak ramai pesakit mahu mengaku dia mengalami masalah mental.

Namun adalah biasa bagi kita mengalami tekanan jiwa dan gangguan mental dalam keadaan tertentu.

Tapi kalau kita kaitkan semua itu dengan Najib, ia adalah tidak perlu sebab kesihatan dia berstatus "a OK" macam kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam satu kenyataan media, dia kata, Najib disahkan sihat sebelum dilepaskan dari HKL. Najib dimasukkan ke HKL pada 9 Sept sebagai kes bukan kecemasan (non-emergency case) bagi memastikan kesihatannya berada di tahap terbaik.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, pula berkata, mengikut peraturan penjara, banduan hanya boleh dirawat di hospital kerajaan.

Tapi Khairy kata, boleh beli ubat sendiri kalau tidak mahu ubat yang dibekalkan hospital kerajaan.

Semua ini boleh dijadikan pengajaran. Kalau tidak mahu disiasat, ditangkap, dibicarakan dan dipenjarakan - janganlah lakukan jenayah.

Penjara bukan istana. Ia adalah tempat menghukum dan memulihkan penjenayah.

Selepas mahkamah arah bayar kos RM11,000, warganet ‘sekolahkan’ ulama Pas ini

FAZLI RADZI

Selepas Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menolak saman fitnah dikemukakan Ahmad Dusuki Abd Rani terhadap Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa; warganet dilihat berduyun-duyun ‘sekolahkan’ ulama Pas itu.

Hantaran Ahmad Dusuki di Facebook mengenai ganjaran besar kepada individu yang melakukan solat jenazah nampaknya dibanjiri komentar dan sindiran orang ramai.

Pengguna Facebook yang menggunakan akaun atas nama Pakchu Al-kelantani menegaskan golongan agama yang dilabelnya Tok Lebai sebenar dan beriman tidak akan menipu dan mendukung fitnah.

“Masya-Allah. Adegan fitnah yang hidup menyubur pada masa kini telah diterajui dan dipelopori oleh kumpulan yang berperwatakan ala-ala lebai. Nauzubillahiminzalik,” tulisnya diikuti sebanyak 120 tanda ‘suka’ hanya selepas tiga jam dimuatnaik.

Sementara itu, Abdul Rahman Razali pula menasihatkan Ahmad Dusuki yang merupakan bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Ulama Pas supaya tampil memohon maaf.

“Benda mudah saja ustaz. Kalau ustaz berjiwa besar, ustaz minta maaf dan tarik balik perkataan ustaz.

“Sementara kita semua ni hidup, mintalah maaf. Buang ego yang ada jauh-jauh. Tak jatuhlah maruah kerana memohon maaf atas kesilapan yang kita buat. Hakikat manusia itu berbuat silap,” nasihat Abdul Rahman lagi.

Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menolak saman fitnah dikemukakan Ahmad Dusuki berhubung dakwaan isu penjualan aset Lembaga Tabung Haji (TH) kepada orang bukan Islam.

Ahmad Dusuki juga diarah untuk membayar kos sebanyak RM11,000 kepada Mujahid yang merupakan bekas menteri hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Peguam Norazmir Zakaria yang mewakili Mujahid dalam kes itu memaklumkan bahawa saman fitnah oleh Dusuki difailkan ekoran ciapan Mujahid pada 22 November 2020 selepas tersebarnya video ceramah Ahmad Dusuki yang mendakwa aset TH dijual kepada orang bukan Islam.

Ciapan Mujahid itu adalah seperti berikut:

“Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan”.

Rentetan itu, Ahmad Dusuki yang juga bekas calon Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik menuntut Mujahid membuat permohonan maaf melalui siaran akhbar serta ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Pukul dan toreh belakang bekas suami, wanita mengaku tak salah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka atas tuduhan memukul dan menoreh belakang bekas suaminya menggunakan pisau, tahun lalu.

Norhayati Serurahman, 33, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohamad Sabri Hussin, 33, 2.45 pagi di sebuah rumah di Kampung Tambak Sebelong, Kandang, Melaka Tengah, 10 Mei 2021.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda sehingga RM4,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326, lapor Utusan Malaysia.

Difahamkan, kejadian berpunca akibat perselisihan faham antara tertuduh dan mangsa.

Mangsa kemudian membuat laporan polis dengan memberitahu, semasa bertengkar wanita itu telah memukul muka dan menoreh belakang badannya menggunakan pisau.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri memcadangkan jaminan sebanyak RM6,000 manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah dikurangkan.

Majistret Muhammad Izwan Mohamed Noh membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ejen produk kosmetik dilarikan tiga lelaki. 'Kami tak terima sebarang panggilan minta tebusan'

Siti Rohana Idris

am@hmetro.com.my

ROSNAZIRAH dilarikan tiga lelaki tidak dikenali semalam. FOTO ihsan pembaca

ROSNAZIRAH dilarikan tiga lelaki tidak dikenali semalam. FOTO ihsan pembaca

Tumpat: Wanita yang juga ejen jualan kosmetik dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini, petang semalam.

Mangsa, Rosnazirah Mohd Naim, 36, dilarikan tiga lelaki tidak dikenali pada 4.10 petang dengan menaiki Toyota Vios.

Menurut warisnya yang enggan dikenali, tiga lelaki itu datang ke rumah mangsa sebelum seorang daripada mereka mengetuk pintu dan memberi salam lalu dibuka oleh mangsa.

"Lelaki itu bertanya adakah mangsa bernama Azi dan dia mengiyakannya sebelum terus mengheretnya keluar untuk dimasukkan dalam kereta.

"Tiga lelaki itu turut menunjukkan pistol masing-masing kepada bapa dan anak perempuan mangsa yang berada dalam rumah selain mengugut akan mengapa-apakan mereka jika membuat sebarang tindakan.

"Bapa mangsa yang melihat Azi diheret masuk ke dalam kereta cuba untuk menyelamatkannya, namun seorang daripada lelaki itu mengacukan sebilah pisau rambo menyebabkan warga emas itu berundur dan hanya melihat mangsa dilarikan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat bahawa Azi dibawa ke arah Pengkalan Kubor iaitu kawasan sempadan negara menyebabkan suami mangsa bergegas ke lokasi, namun mangsa gagal ditemukan.

Katanya, terdapat saksi yang juga penduduk setempat mendakwa melihat seorang wanita dibawa sekumpulan lelaki menaiki bot menuju ke negara jiran, manakala Toyota Vios yang dinaiki turut ditemukan di sebuah pangkalan haram di situ.

"Suami mangsa juga turut menjejakinya hingga ke negara jiran dan masih belum pulang sehingga ke hari ini.

"Apa yang kami tahu Azi tidak mempunyai musuh dan sehingga kini kami tidak menerima panggilan yang meminta wang tebusan... tapi tidak pastilah jika ada yang tidak berpuas hati dengannya sepanjang dia menjalankan perniagaan kosmetik.

"Ibu bapanya masih terkejut dan bersedih dengan kejadian ini dan pada masa sama kami turut membuat solat hajat selain berdoa agar Azi segera ditemukan dengan selamat," katanya.

Terdahulu, tular rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) dari kediaman mangsa yang berdurasi dua minit 51 saat memaparkan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dibuat dan turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

------

'Kami tak terima sebarang panggilan minta tebusan'

Nor Fazlina Abdul Rahim

nfazlina@nstp.com.my

Tumpat: "Luluh hati makcik melihat anak diheret di depan mata, hanya Allah sahaja yang tahu betapa sedihnya hati ini mengenangkan nasib anak yang sehingga kini tidak diketahui."

Demikian luahan Zahasnah Mohd Zain, 75, iaitu ibu kepada ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, 36, yang dipercayai dilarikan beberapa lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini petang semalam.

Zahasnah berkata, sehingga kini mereka sekeluarga masih masih trauma dengan apa yang berlaku dan terngiang-ngiang lagi suara anaknya yang meminta tolong ketika diheret sekumpulan lelaki itu.

"Makcik tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya kerana sehingga kini kami sekeluarga tidak menerima sebarang panggilan sama ada mahu meminta wang tebusan ke apa.

"Makcik sekarang terlalu sedih mengenangkan nasib anak yang sehingga kini tidak mendapat sebarang khabar berita.

"Makcik hanya mampu berdoa supaya Rosnazirah ditemui selamat dan menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, hari ini.

Menceritakan kejadian yang berlaku jam 5.10 petang semalam, Zahasnah berkata, dia baru selesai solat Asar sebelum didatangi sekumpulan lelaki yang bertanyakan anaknya.

"Suami terus memanggil anak yang ketika itu berada di dapur dan secara tiba-tiba Rosnazirah diheret tanpa sempat memakai selipar atau tudung.

"Pakcik (suami) sempat bergelut beberapa minit walaupun lelaki itu mengeluarkan pisau, namun pakcik terpaksa mengalah sebaik lelaki itu mengeluarkan pistol sambil mengeluarkan kata-kata ugutan.

"Ketika itu ramai yang menyaksikan kejadian itu termasuk anak Rosnazirah yang menangis meminta pertolongan, namun tiada siapa yang berani mengenangkan lelaki itu mempunyai pistol.

"Ketika kejadian, terdapat lima lelaki semuanya iaitu seorang menunggang motosikal manakala empat lagi menaiki kereta.

"Sebelum kejadian saya perasan sebuah motosikal lalu lalang di kawasan rumah, mungkin dia datang memantau," katanya.

Sementara itu, adik mangsa, Mohd Syarafi, 26, berharap kakaknya ditemui selamat dan menyerahkan perkara itu kepada pihak polis.

Katanya, kakaknya bekerja sebagai ejen produk kosmetik sejak tiga tahun lalu dan dia serta keluarga tidak pernah dimaklumkan sama ada kakak ada berhutang atau sebaliknya.

"Kami sekeluarga akan mengadakan solat hajat dan besar harapan kami kakak dibebaskan dan pulang dengan selamat," katanya.

Dalam kejadian petang semalam, Rosnazirah dikatakan dilarikan sekumpulan lelaki dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam tadi.

Polis Filipina selamatkan wanita Malaysia diculik ‘kekasih’ dalam talian

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pertemuan pertama seorang wanita Malaysia dengan “kekasih” dalam taliannya bertukar mimpi ngeri apabila lelaki itu menculiknya dan menuntut wang tebusan lebih RM23,000 daripada keluarganya.

Manila Bulletin melaporkan wanita itu, yang identitinya tidak didedahkan, berkenalan dengan lelaki yang dikenali sebagai “Jerry” melalui aplikasi janji temu dan terbang ke Filipina pada Isnin lepas untuk menemuinya.

Mangsa dibawa “Jerry” dari lapangan terbang ke Carmona di Cavite, sebuah wilayah di Luzon, di mana dia ditahan, kata Ketua Polis Filipina Rodolfo Azurin.

Katanya, mangsa kemudian dipaksa menghantar mesej kepada keluarganya di Malaysia untuk meminta wang tebusan kira-kira 300,000 peso (RM23,760) agar dia dibebaskan.

Tanpa disedari penculik, mangsa menghantar gambaran “Jerry” dan seorang lagi lelaki serta kenderaan yang mereka gunakan ketika menjemputnya di lapangan terbang.

Berdasarkan maklumat itu, polis Filipina melancarkan operasi menyelamat bagi membebaskan mangsa dan menahan dua suspek, seorang daripadanya ialah rakyat Malaysia.

Dua suspek itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Filipina di bandar Quezon.

Ustaz PAS ini kalah saman lagi

Dr Mujahid menang saman fitnah, ulama Pas Dusuki Rani diperintah bayar kos RM11,000

BORHAN AHMAD

Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini telah menolak Saman Fitnah yang difailkan oleh Ustaz Dusuki Rani terhadap Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berhubung dengan dakwaan isu penjualan aset Tabung Haji kepada orang bukan Islam.

Mahkamah juga mengarahkan Ust Dusuki membayar kos sebanyak RM11,000.00 kepada Dato Seri Dr Mujahid.

Saman Fitnah ini difailkan oleh Dusuki rentetan daripada twitter Dr Mujahid pada 22 November 2020.

“Seorang Ustaz berdusta, berpuloh ribu jadi mangsa…berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri…hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya…Allahu Mustaan,” tulis Mujahid menerusi akaun twitter beliau.

Tweet di atas ditulis rentetan daripada tersebarnya video ceramah Ustaz Dusuki Rani yang mendakwa aset Tabung Haji dijual kepada orang bukan Islam.

Mahkamah ketika memberikan keputusannya hari ini antara lain memberikan alasan-alasan penghakimannya memutuskan pernyataan dalam twitter Dr Mujahid bukan merupakan suatu fitnah kerana daripada keterangan semasa perbicaraan telah terbukti bahawa aset Tabung Haji tidak dijual kepada orang bukan Islam.

Mahkamah juga memutuskan, pembelaan justifikasi, komen yang adil dan perlindungan bersyarat yang digunapakai oleh Defendan adalah pembelaan yang terpakai dalam kes ini.

Ini kerana defendan yang merupakan bekas Menteri Agama bertanggungjawab terhadap hal-ehwal pengurusan dan penjalanan Tabung Haji mempunyai suatu tanggungjawab moral dan sosial, dan atas dasar kepentingan awam yang, pernyataan dalam twitter itu dibuat berasaskan kepada fakta yang benar dan terbukti.

Sebagai bekas Menteri Agama, Defendan juga bertanggungjawab untuk memberitahu hal sebenar tentang Tabung Haji supaya Tabung Haji tidak lagi disalahanggap sebagai institusi yang memanipulasi harta orang Islam.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Kota Bharu juga menolak saman Dusuki terhadap Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Jeming atau Hazmi Hassan dalam isu yang sama. Dusuki diperintahkan membayar kos RM10,000 kepada Jeming.

PAS terdesak guna momokan ‘13 Mei’ menjelang PRU15

K. Parkaran

PETALING JAYA: Tindakan PAS memomok-momokkan kemungkinan berulangnya kejadian 13 Mei 1969 jika parti Melayu tidak menjadi tonggak dalam kerajaan menunjukkan keterdesakannya, kata penganalisis.

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, PAS sering menggunakan strategi itu dalam setiap pilihan raya, namun Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara menganggap tindakan parti itu kali ini mungkin “memakan diri” memandangkan pengundi telah melalui pelbagai perubahan besar.

“Saat PAS menggunakan 13 Mei, atau ‘sejarah hitam’ kita, bak kata mereka, jelas mereka terdesak dan memainkan sentimen Melayu untuk terus menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan,” kata Awang Azman kepada FMT.

“Pemimpinnya juga tahu, tanpa Umno sebagai sekutunya, sukar untuk PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan. Jadi jawatankuasa pusatnya memutuskan parti itu akan terus mengekalkan Umno sebagai rakan rundingan walaupun tidak diendahkan.”

Pada Ahad, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, hanya dengan perpaduan antara parti Melayu-Islam sahaja dapat terjamin terbentuknya pemerintahan yang adil dan saksama untuk semua rakyat pelbagai kaum.

Ini akan diterima baik oleh majoriti rakyat yang tidak mahu “sejarah hitam” negara berulang, katanya.

Awang Azman berkata, PAS perlu menyedari ia bukan satu-satunya parti Melayu yang ada, seterusnya menggunakan sentimen kaum dan agama, yang disifatkannya sebagai tindakan populis semata-mata untuk meraih undi. Katanya, PKR turut didominasi orang Melayu tetapi tidak memainkan sentimen kaum.

“PAS perlu realistik dan terima bahawa semua kaum mesti mempunyai suara politik sama rata, dengan hak mereka termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Azmi berkata, tindakan PAS “mengumpan” menggunakan isu perkauman dan mengaitkannya dengan 13 Mei jelas langkah terdesak untuk memastikan parti itu terus berada dalam kerajaan persekutuan.

“Tindakan ini akan memakan diri kerana pengundi tahu parti itu menggunakan kaum dan agama untuk kepentingan sendiri,” katanya.

“Ia mahu memburukkan lawan politik bukan Melayu, dan cuba menarik Umno untuk bekerjasama supaya dapat terus berada dalam kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).”

Selain itu, katanya, PAS juga mungkin cuba memberi gambaran negatif mengenai Umno, susulan keengganannya bekerjasama dengan PAS dan Bersatu, apabila mendakwa penyatuan parti politik Melayu dapat memastikan kerajaan stabil bagi mengelak kejadian 13 Mei berulang.

“PAS akan berkata Umno tidak berminat dengan penyatuan Melayu, seterusnya memberi gambaran negatif terhadap parti itu,” katanya.

Bawa kain rentang ‘Umrah untuk roh Ratu Elizabeth II’ di Masjidil Haram, lelaki Yaman ditahan

AYHAN FERHAT

Pihak berkuasa Masjidil Haram menahan seorang penduduk warga Yaman yang dilihat dalam video membawa satu kain rentang dalam Masjidil Haram telah melanggar peraturan umrah.

Semalam, lelaki warga Yaman itu memuat naik satu video di media sosial memaparkan dirinya di dalam Masjidil Haram di Makkah, lokasi paling suci bagi umat Islam, yang menjadi kawasan larangan bagi individu bukan Islam.

Dalam video berkenaan, lelaki itu memegang kain rentang tertulis ‘Umrah untuk roh Ratu Elizabeth II, kami memohon Tuhan menerimanya ke dalam syurga dan dalam kalangan orang beriman’.

Media tempatan, yang memetik satu kenyataan berkata, lelaki itu ditahan, langkah perundangan akan dilaksanakan terhadapnya dan dia diserahkan kepada pihak pendakwa raya.

Berikutan video itu tersebar luas di media sosial Arab Saudi, dengan pengguna Twitter menggesa lelaki itu ditahan.

Arab Saudi melarang jemaah yang tiba ke Makkah membawa kain rentang atau melaungkan slogan.

Meskipun amalan menunaikan umrah bagi pihak individu yang meninggal dunia ada dalam Islam, ia tidak merangkumi individu bukan Islam seperti mendiang Ratu, yang juga gabenor tertinggi Gereja England, gereja tertinggi bagi penganut Anglican seluruh dunia.

Umrah adalah ibadah yang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa, berbeza berbanding haji yang hanya dilaksanakan sekali setiap tahun dan membabitkan jutaan umat Islam dari seluruh dunia.

Ratu Elizabeth II mangkat pada usia 96 tahun Khamis lalu, dan majlis pemakaman monarki Britain paling lama bertakhta dalam sejarah negara itu dijadualkan pada Isnin depan.

Pukul guna penyangkut baju, bapa pelakon direman 4 hari

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bapa kepada pelakon yang dikaitkan dengan dakwaan serangan seksual, direman empat hari bagi membantu siasatan memukul anaknya menggunakan penyangkut baju.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed, berkata tempoh reman terhadap suspek berusia 43 tahun itu diperoleh selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret, hari ini.

“Justeru, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya menurut Bernama.

Semalam, Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim, memaklumkan lelaki itu ditahan minggu lalu dan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam susulan laporan dibuat mangsa pada 8 Sept lalu yang mendakwa dipukul menggunakan penyangkut baju, pada 2014.

Sebelum ini, bapa kandung kepada pelakon remaja perempuan itu ditahan polis pada 2.25 petang, 6 Sept lalu di Kedah susulan laporan polis dibuat anaknya itu membabitkan kes serangan seksual, pengabaian dan memiliki bahan lucah.

Gambar Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra

Bersua muka dengan Sultanah Nur Diana Petra

SULTANAH Nur Diana (tengah) bergambar kenangan dengan sebahagian kerabat diraja Kelantan.

Kota Bharu: Sebulan selepas diisytihar Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah hari ini berkenan menerima mengadap Pertubuhan Kerabat D'Raja Kelantan (PKDK) di Istana Negeri Kubang Kerian, di sini.

Unit Media Pejabat Sultan Kelantan dalam kenyataan berkata, rombongan diketuai Presiden PKDK, Tengku Ramizan Tengku Abdul Aziz dan disertai beberapa ahli pertubuhan yang lain.

Turut hadir, Tengku Sri Kelantan D' Raja Kelantan Datuk Seri Raja Rezza Shah, Tengku Kaya Perkasa, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan pegawai Istana Kelantan.

Sultanah Nur Diana turut berkenan mengurniakan cendera kenangan kepada semua ahli rombongan.

Pada 2 Ogos lalu, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan mengisytiharkan isteri baginda, Sultanah Kelantan dengan gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.

Pengisytiharan itu diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob yang berkuat kuasa tarikh berkenaan.