Peringatan Anwar buat Tian Chua

Malaysiakini

Anwar ingatkan Tian: 'Perjuangan bukan hanya melalui pilihan raya'

PRU15| Presiden PKR, Anwar Ibrahim menegaskan tidak semua pemimpin daripada parti itu perlu diketengahkan sebagai calon pada Pillihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Anwar mengulas kenyataan bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua hari ini yang memberi amaran bahawa langkah PKR menggugurkan beberapa ahli parlimen menjelang PRU15 boleh menjejaskan parti itu.

Kata Anwar, muka-muka baru termasuk golongan generasi baru perlu diberi peluang untuk bertanding pada pilihan raya berkenaan.

“Saya ingin tegaskan (kepada) Tian Chua, tidak semua perjuangan itu harus melalui jalur pilihan raya.

“Kita perlukan sokongan tokoh-tokoh lama ini dalam parti untuk terus bimbing anak-anak muda,” katanya seperti dilapor Bernama.

Terdahulu, Tian Chua memberitahu terdapat ramai dalam kalangan ahli parti itu kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan dalam memilih calon-calon dalam pilihan raya kali ini.

Antara bekas Ahli Parlimen PKR yang tidak akan mempertahankan kerusi mereka termasuk Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), R Sivarasa (Sungai Buloh), Tan Yee Kew (Wangsa Maju), June Leow (Hulu Selangor), Johari Abdul (Sungai Petani) dan Chan Ming Kai (Alor Setar).

Sementara itu Anwar menjelaskan pemindahannya ke kerusi parlimen baru berikutan keyakinan dua kerusi yang pernah disandangnya sebelum ini dapat meneruskan rentak kemenangan.

Bekas ahli parlimen Permatang Pauh dan penyandang kerusi Parlimen Port Dickson itu berkata pemindahan ke kerusi Parlimen Tambun diputuskan selepas kajian dilakukan di kawasan tersebut.

"Saya telah meninggalkan suatu gelanggang yang sudah kukuh. (Parlimen) Permatang Pauh bagi saya sudah kukuh dan (Parlimen) Port Dickson dalam beberapa tahun ini saya telah berikan perhatian sangat banyak.

"(Jadi) saya hendak kukuhkan dan harus tawan kawasan baru untuk memenangi dan menawan negara," katanya dalam rakaman audio yang dikongsikan kepada media menerusi kumpulan WhatsApp di Kuala Lumpur hari ini.

Pada majlis pengumuman calon PKR semalam, Anwar, yang juga calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) disahkan bertanding di kerusi Parlimen Tambun .

Dia dijangka akan berdepan penyandang kerusi itu Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden Bersatu.

Salahuddin: Siapa yang bertanding kerusi Changkat Jong akan diketahui selewat-selewatnya esok

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Pertikaian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong antara Amanah dan DAP Perak bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dijangka akan selesai selewat-lewatnya esok, kata Salahuddin Ayub.

Timbalan Presiden Amanah itu berkata, parti akan mengadakan mesyuarat di peringkat pusat hari ini atau esok bagi memuktamadkan calon di kerusi berkenaan agar tiada pertembungan antara parti komponen Pakatan Harapan (PH).

“(Pertikaian kerusi) itu akan diselesaikan di peringkat tertinggi parti hari ini atau esok. Disiplin kita dalam PH, sebarang pertelingkahan berlaku di peringkat negeri akan dibawa ke peringkat tertinggi,” katanya kepada FMT.

“Calon parti mana yang akan diletakkan di kerusi itu akan diketahui selepas mesyuarat.”

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, keputusan meletakkan calon di DUN Changkat Jong telah dibuat di peringkat ‘top three’ sebelum ini yang turut dihadiri Presiden Amanah Mohamad Sabu.

“Kami telah bermesyuarat sebelum Konvensyen PH diadakan baru-baru ini. Jadi, kita bukannya umum sesuatu yang baharu, yang tiada keputusan. Ia telah dimuktamadkan di peringkat tertinggi.

“Tidak akan timbul pertembungan nanti kerana ada hanya satu wakil PH di Changkat Jong iaitu DAP. Ini salah faham yang boleh diselesaikan,” katanya.

Pada majlis itu, Loke mengumumkan parti itu akan bertanding di 19 kerusi DUN, pertambahan satu kerusi berbanding PRU14 iaitu di Changkat Jong yang diwakili Badrul Hisham Badarudin, dan lapan kerusi Parlimen, pertambahan satu kerusi iaitu Gerik yang diwakili Ahmad Tarmizi Mohd Jam.

Pagi tadi, Amanah Perak dilapor akan bertanding di 20 kerusi DUN termasuk Changkat Jong yang diwakili Naib Pengerusi negeri Muhaimin Sulam.

Ketua Amanah Teluk Intan Ahmad Munzirie Ahmad Kabir berkata, penetapan semua kerusi yang ditandingi Amanah mewakili PH adalah seperti diumumkan dalam Majlis Pengumuman Calon Amanah Perak pagi tadi oleh pengerusi Amanah Perak merangkap pengarah pilihan raya Amanah Nasional, Asmuni Awi.

Perak mempunyai 59 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 24 kerusi Parlimen.

Anwar: Tak timbul konflik pemimpin Amanah jadi calon PKR

Mohamad Fadli

BANGI: Tindakan memilih pemimpin Amanah bertanding atas kuota PKR pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak menimbulkan konflik dalam Pakatan Harapan (PH), kata Pengerusi PH, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pencalonan Nik Omar Nik Aziz dan Husam Musa itu telah dimaklumkan dalam gabungan itu.

“Tak ada masalah. Dia (Nik Omar, Husam) bertanding atas simbol PH.

“Kawasan itu diperuntukkan kepada PKR,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Muktamar Nasional kali ke-16, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah).

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pencalonan pemimpin Amanah atas tiket PKR akan menimbulkan konflik dalam PH.

Sebelum ini dan semalam, PKR mengumumkan Nik Omar dan Husam akan bertanding atas tiket kerusi PKR.

Nik Omar akan menjadi calon PKR di Pasir Salak dan Husam di Pasir Mas.

Dalam pada itu, Anwar berkata, terdapat pertimbangan dilakukan PKR terhadap kawasan yang diperuntukkan kepada Nik Omar dan Husam.

“Jadi pertimbangan kita mengenai Nik Omar dia rasa di Kelantan tidak sesuai. Jadi beri laluan di Pasir Salak. Kerana rasa ketokohan dia boleh memenangkan beliau.

“Husam seorang teman akrab kepada Nik Omar dan anak murid kepada Tok Guru Nik Aziz. Jadi (letak) di Pasir Mas,” katanya.

Anwar juga berkata, hubungan di antara pemimpin PH sangat baik masa ini dan sukar untuk diretakkan.

“Jika lihat keadaan sekarang hubungan sangat baik. Saya dan Mohamad Sabu, Loke Siew Fook dan pimpinan lain sangat mantap, kukuh dan sukar diretakkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar menerima penjelasan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berhubung tuduhannya bahawa beliau sebagai ahli Freemason sedunia.

Beliau berkata, sebelum ini hanya mahu mendapatkan penjelasan daripada Hadi berhubung perkara tersebut.

“Saya dah kata saya minta hanya penjelasan, beliau menafikan tuduhan itu. Bagi saya cukup baik,” katanya.

Dalam kenyataannya di laman Facebook, Hadi berkata, pihaknya tampil membuat penafian itu berikutan tular video ucapan Anwar yang mendakwa beliau menuduhnya sedemikian.

Husam: Tanding bawah PKR tak jejas hubungan dengan Amanah

MUHAMMAD AMNAN HIBRAHIM

AMPANG - Bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa menjelaskan bahawa tindakan beliau menjadi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan menjejaskan hubungan antara kedua parti itu.

Husam berkata, keputusan untuk mencalonkan beliau di Parlimen Pasir Mas itu juga telah pun dibincangkan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang turut dibarisi pimpinan daripada daripada PKR dan Amanah.

“Amanah dan PKR adik-beradik, tidak ada masalah, satu keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon PKR yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Kosas di sini pada Jumaat.

Husam berkata, dengan perkembangan tersebut, beliau akan menjadi ahli PKR.

Sementara itu, beliau mengakui berhadapan dengan cabaran besar untuk bersaing di Pasir Mas yang disifatkan sebagai kubu kuat Pas.

“Tetapi dengan mood dan perubahan ditunjukkan oleh rakyat untuk lihat negara kita berubah dan sokongan kepada PH, saya cuba untuk membawa kemenangan kepada PH,” ujarnya.

Pada PRU14, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas dengan majoriti 13,075 undi apabila berjaya meraih 28,080 undi dalam persaingan empat penjuru.

Husam menerusi ucapannya pada majlis tersebut turut menyatakan bahawa untuk PH memenangi PRU15, gabungan itu perlu memenangi kerusi Parlimen di negeri Kelantan dan Terengganu.

“Kalau Kelantan boleh menyumbang satu, Terengganu boleh menyumbang satu, ia akan mengukuhkan langkah kita ke Putrajaya,” ujarnya.

Pada PRU14, PH gagal untuk memenangi sebarang kerusi yang dipertandingkan di Kelantan dan Terengganu.

‘Saya pun baru tahu Husam tanding’ - Fahmi

Pencalonan Husam di kerusi Parlimen Pasir Mas mewakili PKR mengejutkan ramai pihak, termasuk pimpinan parti itu.

Ketua Penerangannya, Fahmi Fadzil mengakui, hanya mengetahui tentang perkara itu pada malam Jumaat, iaitu semasa Majlis Pengumuman Calon PKR yang berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Kosas.

Bagaimanapun katanya, ia bukanlah perkara luar biasa dalam politik dan percaya, pencalonan Husam tidak akan menjejaskan hubungan parti itu dengan Amanah.

“Bagi sesetengah kerusi, mungkin ada sejarah tersendiri dan ia juga berkait dengan taktik dan strategi parti. Jadi, bagi saya tiada isu sebenarnya.

“Kita dalam Pakatan Harapan (PH) ada sejarah yang panjang dan mempunyai mekanisme untuk urus jika ada perbezaan pandangan dan seterusnya mencari kata sepakat,” katanya.

Sementara itu, Fahmi yang kembali dicalonkan parti untuk mempertahankan Parlimen Lembah Pantai berkata, akan berusaha yang terbaik untuk memastikan kerusi itu terus menjadi milik PKR.

Jelasnya, telah banyak perubahan yang berjaya dilakukan di kawasan berkenaan, walaupun berlaku pertukaran kerajaan.

“Walaupun ada perubahan kerajaan, tapi khidmat bakti kepada rakyat kita teruskan. Jadi, harapnya rakyat bersedia untuk mengharungi apa jua keadaan cuaca dan keluar mengundi pada 19 November nanti serta memilih PH untuk membina Malaysia yang lebih baik, Insya-ALLAH,” ujar beliau.

Fahmi menang kerusi Parlimen Lembah Pantai dalam PRU14 dengan majoriti 5,598 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan calon Pas, Fauzi Abu Bakar dalam persaingan tiga penjuru.

Beliau mendapat 33,313 undi berbanding Raja Nong Chik (27,715 undi) dan Fauzi (5,277 undi).

Sanusi: PAS dapat 8, Bersatu 7 Parlimen di Kedah

FMT Reporters

PETALING JAYA: PAS mengesahkan akan bertanding di lapan daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Sanusi Md Nor.

Bakinya iaitu tujuh kerusi lagi akan ditandingi rakan komponen PN iaitu Bersatu.

Sanusi berkata, rundingan pembahagian kerusi berkenaan telah dimuktamadkan menerusi beberapa perbincangan termasuk untuk negeri lain.

“Betapa baik kita tak tinggal siapa-siapa. Parti Gerakan kita nak bagi (kerusi di Kedah) tetapi dia kata belum masanya lagi (untuk bertanding),” katanya menurut Utusan Malaysia.

Sanusi yang juga ketua pengarah pilihan raya PAS pusat berkata, kesemua 15 calon PAS dan Bersatu berkenaan akan bertanding menggunakan logo PN di Kedah.

Sementara itu, beliau turut memberi gambaran PAS akan bertanding di Padang Terap dan Baling yang kini disandang oleh Barisan Nasional (BN).

“Di Baling, calon PAS pada PRU14 mendapat 37,483 undi, BN menang 38,557 undi. Kita perlu 1,000 lebih sahaja lagi untuk tewaskan (Datuk Seri) Azeez Rahim.

“(Datuk Seri) Mahdzir Khalid (Padang Terap) menang dengan calon PAS 1,009 undi sahaja beza dan boleh jadi menteri. Tak susah untuk menang kerana kebanyakan kerusi Parlimen di Kedah beza (undi) sangat kecil,” katanya.

PAS ketika ini menyandang tiga kerusi Parlimen iaitu Jerai, Sik dan Pendang termasuk yang diwakili Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim.

Dalam pada itu, Sanusi yang juga menteri besar berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berkemungkinan hanya akan dibubarkan selepas Jun 2023.

“Kita akan hadapi pilihan raya negeri (PRN) di negeri-negeri yang belum bubar, tahun depan lepas Mac akan masuk bulan Ramadan diikuti Aidilfitri kemudian orang pergi haji dan sembelih lembu (Hari Raya Aidiladha), lepas itu baru kita bubar,” katanya.

Rafizi: Ginie buat bising, kerusi Alor Gajah bukan milik PKR

Malaysiakini 

PRU15 | Pengarah pilihan raya PKR, Rafizi Ramli membidas bekas ADUN Machap Jaya, Ginie Lim kerana berkeras mahu bertanding di kerusi Parlimen Alor Gajah pada pilihan raya umum (PRU) bulan depan.

Bercakap kepada pemberita selepas PKR mengumumkan barisan calon PRU15 semalam, Rafizi berkata Ginie mahu bertanding di Alor Gajah - yang tidak pernah menjadi kerusi milik PKR.

"Ginie mahu bertanding di Alor Gajah yang tidak pernah menjadi kerusi PKR.

“Saya fikir ia tidak produktif dan telah menyentuh disiplin parti. Itu satu hal jika kamu mahu kerusi PKR tetapi dia mahu kerusi bukan PKR dan membuat bising kerana dia fikir saya tidak memberikan kerusi untuknya. Itu agak mengarut,” katanya di Padang MPAJ, Taman Kosas, Ampang malam tadi.

Pada 2018, kerusi Parlimen Alor Gajah diserahkan kepada Bersatu yang pada masa itu merupakan salah sebuah parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Kerusi itu dimenangi oleh penyandang ahli parlimen dari Bersatu, Mohd Redzuan Md Yusof.

Bagaimanapun, Bersatu keluar daripada PH pada Februari 2020 susulan Langkah Sheraton.

Alor Gajah merupakan kubu kuat BN di Melaka selama 44 tahun sehinggalah PH berjaya menembusinya pada PRU 2018.

Ketika ditanya sama ada Ginie akan dirujuk kepada lembaga disiplin parti, Rafizi berkata parti itu akan menguruskan hal itu secara dalaman dan sebaliknya akan memberi tumpuan kepada PRU.

Ginie sejak beberapa tahun kebelakangan ini menimbulkan kemarahan pimpinan pusat PKR.

Ini susulan tindakannya dan Muhammad Jailani Khamis (Rembia) pada 2019 menyebabkan pencalonan Ketua PKR Melaka Halim Bachik sebagai senator di Dewan Negara gagal.

Untuk rekod, setiap negeri boleh mencalonkan dua senator ke Dewan Negara, yang mesti mereka undi di DUN masing-masing.

Sebelum pengundian berlangsung di DUN Melaka, Ginie dan Jailani meninggalkan Dewan, menyebabkan PH gagal mendapat majoriti untuk meluluskan pencalonan tersebut.

Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan langkah itu sebagai "tidak boleh diterima" dan memanggil mereka untuk berbincang.

Jailani kemudiannya membantu menjatuhkan kerajaan PH untuk membentuk kerajaan baru yang dipimpin Umno-Bersatu.

Dia kemudiannya menang kerusi DUN Rembia di bawah tiket Umno, setelah memenangi kerusi itu di bawah tiket PKR sebelum ini.

Bagaimanapun, Ginie kekal dengan PH namun sejak itu dia telah dipinggirkan.

Dr Zaidi: Umno-BN akan kalah PRU-15

MOHD ALI HASHIM

Tidak dapat dinafikan Umno-BN akan kecundang dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 kali ini ekoran terlalu banyak faktor yang mendorong kepada kekalahan mereka nanti. 

Malah kata Naib Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria, rakyat takut dan bimbang sekiranya Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerajui kerusi Perdana Menteri kerana beliau sedang berhempas pulas membebaskan diri dari 47 pertuduhan membela diri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan kes rasuah dan pecah amanah Yayasan Akal Budi. 

“Lebih ketara apakala ucapan Zahid di Perhimpunan MIC baru-baru ini memperlihatkan beliau akan menggunakan kuasa eksekutif sebagai PM bagi menghalang rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) dari diseret dan didakwa di Mahkamah. 

“Ditambah lagi dengan ucapan penasihat undang-undang Umno di perhimpunan agung Umno dengan seruan ‘AG mestilah orang PM’. Jelas bahawa konsep pengasingan kuasa eksekutif dan kehakiman akan turut terjejas sekiranya Umno-BN menang PRU kali ini. 

“Zahid sebenarnya liabiliti kepada Umno setelah wujudnya pertembungan kluster mahkamah dan kluster menteri, bahkan keputusan beliau membawa 70 peratus muka baru dalam PRU kali ini adalah rentetan pertembungan calon-calon pro Zahid dan pro-pembaharuan dalam Umno, ” ujar beliau yang juga merupakan Pengerusi Penerangan dan Komunikasi Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Tegas Dr Zaidi lagi, Umno dalam keterpaksaan membubarkan Parlimen dalam tempoh waktu banjir juga faham sekiranya peratusan yang keluar mengundi melebihi 80 peratus mereka berada dalam bahaya. 

Walau bagaimana pun katanya, apa jua helah Umno-BN untuk melepaskan diri tidak akan menjadi realiti kerana rakyat sudah muak, bosan dengan pelbagai korupsi, salah laku dan ketirisan membabitkan pimpinan mereka. 

Yang pasti ujar beliau, Umno-BN akan sekali lagi mengulangi sejarah kekalahan mereka dalam PRU 2018 menjelang PRU ke-15 bulan hadapan. 

Pengumuman calon oleh Anwar selesaikan ‘soksek-soksek’ dalaman PKR dan AMANAH

BORHAN AHMAD

Pengumuman calon PKR oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi menyelesaikan perselisihan pendapat di kalangan penyokong PKR dan AMANAH selama ini.

Di dalam PKR, Anwar memuktamadkan bahawa PKR tidak menerima pengkhianatan yang dilakukan oleh Datuk Seri Azmin Ali dan rakan-rakannya manakala di dalam AMANAH pula Anwar memuktamatkan hubungan antara penyokong Datuk Husam Musa dengan kepimpinan AMANAH di Kelantan.

Ini kerana isu pengkhianatan Azmin terhadap PKR dan isu Husam yang membuat pasukan lain (Save Kelantan) sentiasa menjadi isu yang memudaratkan PKR dan AMANAH di Kelantan.

“Saya anggap dua masalah ini sudah diselesaikan oleh Pengerusi Pakatan Harapan sendiri, mari kita move on,” kata seorang penganalisis politik yang mengikuti pengumuman calon PKR oleh Anwar malam tadi.

Pertelagahan sentiasa berlaku dalam PKR tentang pengkhianatan yang dilakukan Azmin dan penyokongnya sebelum ini. Ekoran itu, mereka yang dianggap penyokong Azmin dahulu sentiasa menjadi sasaran dalam PKR.

Walaupun sebahagian penyokong Azmin kekal dalam PKR tetapi mereka sentiasa dicurigai oleh ahli PKR yang lain apakah satu hari nanti mereka akan ditikam dari belakang sekali lagi.

Begitu juga di Kelantan. Para penyokong Husam dan kepimpinan AMANAH Kelantan sentiasa sahaja bertembung dan saling serang menyerang antara satu sama lain termasuk melalui media sosial walaupun Pengerusi AMANAH Kelantan, Ustaz Mohamad Hussin dilihat tidak ada masalah dengan Husam.

Melalui pengumuman itu, Anwar menghantar mesej jelas tidak mahu lagi mendengar pertelagahan berlaku di kalangan penyokong dan mereka perlu fokus untuk memenangi pilihan raya kali ini.

Hampir kesemua pemimpin yang dianggap penyokong Azmin diketepikan dari menjadi calon PKR manakala beberapa penyokong Husam yang bermasalah dengan kepimpinan AMANAH di Kelantan pula diumumkan menjadi calon PKR.

“Ini adalah tindakan untuk mengerat semua masalah dalaman parti PKR di peringkat nasional dan AMANAH di negeri Kelantan.

“Penyokong Azmin diketepikan, manakala penyokong Husam Musa pula diambil jadi calon PKR,” kata penganalisis itu yang mengkaji senarai calon PKR malam tadi.

Bagi beliau, dalam politik tidak timbul masalah siapa yang salah atau siapa yang betul tetapi sebagai pemimpin apabila datang masalah ia perlu diselesaikan.

“Dan Anwar mengambil pendekatan ini,” katanya kepada Malaysia Dateline tanpa mahu disebutkan namanya.

Penyokong Azmin yang diketepikan dari menjadi calon adalah Chua Tian Chan atau Tian Chua yang sebelum ini bertanding di Batu, Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya) dan Sivarasa Rasiah (Sungai Buluh).

Anwar mengumumkan P Prabakaran yang menang dalam PRU – 14 lalu kekal di Parlimen Batu, Ramanan Ramakrishnan menggantikan R Sivarasa di Sungai Buluh manakala Lee Chean Chung menggantikan Maria Chin di Petaling Jaya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pula diminta bertanding melawan bekas bosnya di Gombak.

Sementara itu, Husam dan dua penyokongnya di Kelantan diumumkan bertanding atas tiket PKR malam tadi.

Husam sendiri diumumkan bertanding di kerusi Parlimen Pasir Mas, Nik Omar Nik Aziz (Pasir Salak) dan Dr Rosli Allani (Machang).

Kenapa Raja Charles mahu ketepikan Putera Harry, Putera Andrew dalam senarai diraja

LONDON: Raja Britain, Raja Charles III dilaporkan akan mengetepikan kerabat yang tidak menggalas tugas diraja termasuk anakandanya, Putera Harry dan adindanya, Putera Andrew (Duke of York) daripada senarai diraja.

Raja Charles juga dikatakan akan meminda Akta Pewaris Takhta untuk menambah Putera Edward (Earl of Wessex) dan kakaknya, Puteri Anne, The Daily Telegraph dan BBC melaporkan dengan memetik sumber.

The Telegraph melaporkan pindaan itu boleh dibawa ke Parlimen 'dalam beberapa minggu', memetik 'orang dalam diraja' sebagai berkata ia adalah 'langkah logik'.

Istana Buckingham bagaimanapun belum mengulas secara rasmi.

Pada masa ini, senarai diraja yang boleh mengambil alih buat sementara waktu bagi pihak Raja Charles yang berusia 73 tahun, jika sakit atau meninggal dunia termasuk isteri Charles, Camilla, pewaris takhta Putera William, Harry, Andrew dan anak perempuannya Beatrice, yang tidak menggalas tugas diraja.

Wartawan diraja Daily Express, Richard Palmer menerusi tweet berkata, bahawa pindaan akta 'untuk mewujudkan lebih banyak pendirian bagi raja kini menjadi keutamaan, sumber telah mengesahkan'.

Beliau berkata, ini bermakna 'raja tidak perlu meminta keluarga diraja yang tidak menjalankan tugas seperti Harry, Andrew atau Beatrice untuk mewakilinya'.

Peranan itu termasuk menandatangani dokumen dan menerima duta, kata BBC.

Isu pewaris takhta dibangkitkan di House of Lords Isnin lalu, dengan anggota Parti Buruh, Stephen Benn mempersoalkan keadaan semasa di mana Andrew dan Harry boleh menggunakan kuasa itu.

"Bukankah sudah tiba masanya untuk kerajaan menghadap raja untuk melihat sama ada pindaan yang wajar boleh dibuat kepada akta ini?" tanya Benn.

Ahli Parlimen kanan, Nicholas True turut mengesahkan perbincangan sedemikian, mengatakan bahawa kerajaan "akan sentiasa mempertimbangkan pengaturan yang diperlukan untuk memastikan daya tahan dalam pengaturan perlembagaan kita."

Dia menambah bahawa "pada masa lalu kita telah melihat bahawa titik kesertaan telah membuktikan peluang yang berguna untuk mempertimbangkan susunan yang ada."

"Mendiang Ratu Elizabeth ketika mengalami masalah kesihatan pada tahun terakhir hidupnya, meminta Raja Charles untuk mewakilinya pada acara seperti pembukaan Parlimen, menunjukkan bahawa undang-undang itu "masih sangat relevan", kata Benn. - AFP

-bharianonline

PBM bergolak, Sng gantung 12 ahli majlis tertinggi termasuk Zuraida

Malaysiakini

Krisis kepimpinan dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM) semakin meruncing apabila Larry Sng yang mendakwa masih lagi presiden parti, menggantung 12 ahli majlis tertingginya termasuk Zuraida Kamaruddin.

Zuraida awal bulan ini "secara rasmi" dilantik sebagai presiden PBM, susulan mesyuarat majlis tertinggi parti itu.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Sng berkata Zuraida turut digantung sebagai "ahli biasa PBM" susulan pembabitannya yang berterusan menjejaskan kepentingan dan kepimpinan parti itu.

“Saya amat membenci dan mengecam muslihat politik sebegitu yang telah menjejaskan kepercayaan kepimpinan saya dan telah menyebabkan banyak kekeliruan kepada ahli parti dan masyarakat umum.

"Oleh itu, jawatan mereka akan digantung sehingga jawatankuasa tatatertib ditubuhkan untuk meneliti perkara itu selepas pilihan raya," katanya sambil menambah mesyuarat majlis tertinggi akan diadakan Ahad ini di Sarawak untuk membincang dan menyelesaikan isu itu dengan segera.

Menurutnya lagi, individu yang digantung tugas itu telah dimaklumkan melalui surat, dan mereka tidak akan dijemput untuk menghadiri mesyuarat itu.

Awal minggu ini, Sng, yang merupakan presiden pengasas PBM, menggantung setiausaha agung parti Hizwan Ahmad dan ketua penerangan Zakaria Abdul Hamid - kedua-duanya adalah sekutu Zuraida.

Mengejutkan!!! Husam Musa bakal bertanding di Parlimen Pasir Mas atas tiket PKR

Datuk Husam Musa bakal bertanding di Parlimen Pasir Mas dan Nik  Omar Nik Aziz pula bakal bertanding Di Pasir Salak mewakili PKR seperti diumumkan dalam siaran langsung sebentar tadi.  

-----

Husam 'pindah' ke PKR jadi calon di Pasir Mas

Wartawan Malaysiakini

Bekas naib presiden Amanah Husam Musa akan bertanding sebagai calon PKR di Pasir Mas, Kelantan.

Perkara itu diumumkan pada majlis pengumuman calon PKR di Ampang, malam ini.

Ketika ditanya Malaysiakini mengenai keanggotaan partinya, Husam menjawab pemimpin Amanah telah dimaklumkan mengenai keputusannya “berpindah kepada PKR.”

“Keahlian, saya kena isi borang PKR,” katanya.

“Akan masuk (PKR),” jelasnya lagi.

Pasir Mas kerusi majoriti Melayu, yang menyaksikan PAS menang kerusi itu dengan majoriti besar dalam tiga pilihan raya umum sejak 2008.

"Saya rasa berat kerana bertanding di kubu kuat PAS, satu tempat di mana PAS menang majoriti yang besar.

"(Keputusan bertanding) ini berasaskan kepada sokongan kebanyakan rakyat terutamanya generasi muda. Mungkin dengan sokongan mood perubahan ini saya boleh sumbang kemenangan kepada PH," katanya.

Menjawab soalan jika tindakannya itu boleh merosakkan hubungan antara Amanah dan PKR, Husam memberi kiasan ia ibarat permainan bola sepak.

PH tak boleh hilang Husam

“Tengok mana posisi yang boleh memberi kemenangan.

“Saya harap Kellantan dan Terengganu dapat beri kemenangan pertama kepada PH,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution mengeluarkan kenyataan mengimbau persahabatannya yang lama dengan Husam sejak di zaman siswa.

"Justeru saya cukup mengenalinya. Husam ulat buku. Bacaannya luas sekali. Oleh demikian idea banyak, ori dan segar. Dalam beberapa hal agak mendahului zaman.

"Amalannya juga terjaga. Solat dan wirid sangat berdisiplin," katanya.

Menurut Saifuddin lagi hubungannya serasi dengan Husam yang meskipun mengakui pemimpin itu "ada kelemahan."

"Dia juga ada banyak kelebihan. Saya bersyukur akhirnya dapat membantu sedikit sebanyak meredakan 'sedikit ribut' yang beliau hadapi.

"PRU15 ini suatu pentas besar. PH tidak boleh kehilangan Husam," jelasnya lagi.

Pada PRU14, Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari menang kerusi parlimen Pasir Mas dalam pertandingan empat penjuru meraih 28,080 undi dengan majoriti 13,075.

Ahmad Fadhli menewaskan calon Umno Nor Azmawi Ab Rahman yang memperolehi 15,005 undi dan calon bebas Ibrahim Ali yang mendapat 5,373 undi.

Sementara itu, calon Bersatu Che Ujang Che Daud meraih 5,093 undi

Umno tolak ajakan PAS bekerjasama dengan PN untuk mengalahkan Anwar Di Tambun

Malaysiakini

Umno tolak kerjasama tewaskan Anwar di Tambun - laporan

Umno dilaporkan menolak cadangan bekerjasama dengan PAS dan Bersatu di Tambun untuk menewaskan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan menamatkan kerjaya politiknya.

Laporan Free Malaysia Today memetik Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata bahawa BN akan meletakkan calonnya sendiri di sana dan mereka yakin berpeluang memenangi saingan pelbagai penjuru di Tambun.

"Kita tidak mempunyai sebarang pakatan (untuk BN) untuk memberi laluan (kepada mana-mana parti lawan) di mana-mana kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15)," katanya dipetik sebagai berkata.

Ahmad dilaporkan menyatakan bahawa BN pernah menang dalam pertembungan pelbagai penjuru sebelum ini, semasa pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Melaka.

Dia turut melahirkan keyakinan bahawa rakyat Malaysia yang inginkan kestabilan dan kemakmuran akan mengundi BN, tanpa mengira calon yang bertanding.

Ahmad dilaporkan berkata demikian sebagai menjawab cadangan ahli jawatankuasa PAS pusat Zuhdi Marzuki, yang mencadangkan kerjasama antara Umno, PAS dan Bersatu untuk mengalahkan Anwar bagi kerusi parlimen Tambun pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Zuhdi dilaporkan berkata Anwar adalah penyumbang utama kepada "krisis politik yang tidak berkesudahan" di Malaysia dan mengalahkannya di Tambun akan menamatkan kerjaya politiknya.

"Sebagai balasan, Umno boleh meletakkan calon untuk kerusi DUN Hulu Kinta manakala PAS boleh melakukan perkara yang sama di Manjoi," katanya.

Anwar, yang merupakan penyandang parlimen Port Dickson sebelum ini mengumumkan hasratnya bertanding di kerusi Tambun.

Kerusi itu pernah menjadi kubu kuat BN tetapi ditawan oleh Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu pada 2018 ketika parti itu bersama Pakatan Harapan (PH).

Ahmad Faizal, yang kini timbalan presiden Bersatu dijangka mempertahankan kerusinya.

Sementara Umno dijangka meletakkan ketua bahagian Tambun Aminuddin Md Hanafiah.

KJ dijangka tanding kerusi Sungai Buloh

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Penyandang kerusi Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin hampir pasti disahkan sebagai calon Umno untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Sumber Umno Sungai Buloh memberitahu FMT, perkara itu kini hampir pasti.

Bagaimanapun, sumber MIC berkata jentera parti tidak akan menyokong calon Umno di Sungai Buloh, yang dianggap MIC sebagai kerusi tradisi mereka.

Sumber Umno itu berkata, Sungai Buloh mungkin kerusi yang sukar untuk Khairy bertanding, tetapi bahagian itu percaya beliau akan berjaya kerana popularitinya terutama sejak menjadi menteri kesihatan pada Ogos tahun lalu dan menguruskan pandemik Covid-19.

“Popularitinya akan membolehkannya mendapat undi daripada pengundi di sini,” kata sumber itu yang enggan dikenali.

Khairy yang menjadi Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal berkata, bulan lalu beliau diberitahu perlu memberikan laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang juga ketua Umno bahagian Rembau dan bekas menteri besar Negeri Sembilan.

Minggu lalu, Khairy berkata: “Saya hampir pasti akan dihantar ke kawasan yang dikuasai pembangkang dan kemungkinan besar kawasan yang tidak dianggap sebagai kerusi selamat.”

Kerusi Sungai Buloh diwujudkan pada 2018 daripada kerusi Subang dan Kuala Selangor. Ia dimenangi R Sivarasa daripada PKR dengan majoriti 26,634 undi menewaskan calon PAS dan Prakash Rao Applanaidoo daripada MIC, yang menduduki tempat ketiga dengan 16,681 undi, ketinggalan 316 undi di belakang calon PAS.

PRU15 akan berlangsung pada 19 Nov, dengan hari penamaan calon ditetapkan 5 Nov manakala pengundian awal ditetapkan pada 15 Nov.

Perihal RUU355 PAS telah berbohong?

Saya ada terbaca satu tulisan yang menyatakan bahawa RU355 tidak sempat dibentangkan kerana parlimen sudah bubar sedangkan RUU berkenaan sudah siap.

Lalu diceritakan bahawa pada 26 Ogos 2022, Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggubalan RUU355. Draf RUU355 juga telah disemak dan diluluskan oleh Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara pada 7 Oktober 2022. Cuma tinggal nak bentang saja dakwa tulisan itu.

Benarkah RUU ini hanya selangkah saja lagi? Atau ianya hanya alasan kerana sudah 3 tahun Pas dalam Kerajaan tapi masih gagalkan melaksanakan janji mereka?

Mari kita lihat proses bagaimana satu-satu RUU itu boleh mrnjadi undang-undang.

1.. Menteri berkaitan merangka dasar.

2. Menteri menyediakan usul rang undang-undang dan dihantar ke Jabatan Peguam Negara, berbincang dengan Perbendaharaan dan kementerian berkaitan.

3. Draf rang undang-undang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara.

4. Draf dibawa ke Majlis Kebangsaan Bagi Agama Islam (MKI) untuk kelulusan.

5. Draf diangkat kepada Majlis Raja-Raja utk perkenan Tuanku Raja-Raja Melayu.

6. Draf dibawa semula ke kabinet.

7. Draf akan beratur masuk Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat.

8. Bacaan Kali PERTAMA – Notis pemberitahuan tentang usul kepada Setiausaha Dewan Rakyat & Dewan Negara. Menteri membaca tajuk.

9. Bacaan Kali KEDUA – rang undang-undang dibahaskan di Dewan Rakyat:

– Meneliti kepentingan dan kesan usul kepada rakyat

– Menteri menjelaskan sebarang persoalan

– Membuat undian sama ada menerima atau menolak undang-undang oleh Dewan Rakyat

10. Peringkat jawatankuasa

– meneliti setiap fasa, jadual dan panduan secara terperinci

– membuat pindaan yang sesuai

7. Bacaan Kali KETIGA – dibaca di Dewan Rakyat dan Dewan Negara

– dihantar untuk kelulusan

– mendapat undian majoriti untuk diluluskan sebagai akta

8. Diperkenan oleh YDPA dalam tempoh 30 hari jika tidak diperkenan, rang undang-undang tetap akan menjadi undang-undang mengikut Perkara 66 Fasa 4.

9. Warta kerajaan ; dicatatkan sebagai rang undang-undang sah dgn kuasa Parlimen. Dinyatakan tarikh penguatkuasaan untuk diamalkan.

Melihat kepada aliran di atas, jelaslah bahawa Pas baru saja berada di tangga ke 3. Masih jauh lagi. Bukan hanya selangkah saja.

3 tahun jadi kerajaan. Satu hal pun tak selesai.

Hisham Fauzi

Mantan Pegawai Tugas-Tugas Khas (Parlimen)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri

SENARAI CALON PRU15 AMANAH PERAK

Mujahid kekal pertahan kerusi, Ketua WARDA antara muka baharu dipertandingkan di Parlimen Parit

SITI NUR ZAWANI MISCON

Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak selesai mengumumkan muka baharu dan senarai calon di semua 20 kerusi Parlimen dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Asmuni Awi dalam sidang media hari ini mengumumkan beberapa nama tertinggi dalam AMANAH kekal bertanding mempertahankan kerusi masing-masing seperti Datuk Seri Mujahid Yusof di Parlimen Parit Buntar, dan Dr Mohd Hatta Ramli di Parlimen Lumut.

Beliau turut mengumumkan 12 calon baharu yang diletakkan di DUN manakala tiga calon baharu ditempatkan di Parlimen Larut, Bukit Gantang dan Parit.

Tiga calon baharu yang dipertandingkan di Parlimen ialah Zolkarnain Abidin (P.56 Larut), Ahmad Termizi Ramli (P.67 Kuala Kangsar) dan Ketua Wanita Muda AMANAH, Nurthaqaffah Nordin (P.9 Parit).

Wanita Muda AMANAH (WARDA) pertama kali diperuntukkan kerusi untuk Pilihan Raya Umum dan Nuthaqaffah calon terpilih bertanding atas tiket Pakatan Harapan.

Calon termuda ialah Ketua Pemuda AMANAH Perak, Khairol Najib Hashim yang berusia 30 tahun dan akan bertanding di DUN Behrang.

Ketua Wanita Muda AMANAH, Nurthaqaffah Nordin (P.69 Parit).

Menurut Asmuni, kesemua muka baharu ini bertanding di kawasan yang sebelum ini ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU14.

“Jumlah tambahan kerusi, dulu pada PRU14 kami bertanding di 12 DUN, kali ini tambah lapan kerusi.

“Di Parlimen, kita juga ambil kerusi-kerusi dari zaman ketika PH dulu. Semua kerusi itu, kita ambil balik,” katanya pada sidang media di Wisma Amanah Perak di sini pada Jumaat.

Tambah beliau, Amanah Perak mendapat tambahan lapan kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen berbanding PRU14.

Parti itu juga menampilkan sembilan calon muda berusia bawah 40 tahun dalam pilihan raya kali ini.

SENARAI CALON PRU15 AMANAH PERAK

PARLIMEN

P56 Larut: Zolkarnain Abidin

P57 Parit Buntar: Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa

P59 Bukit Gantang: Fakhruldin Mohd Hashim

P67 Kuala Kangsar: Ahmad Termizi Ramli

P69 Parit: Nurthaqaffah Nordin

P74 Lumut: Mohd Hatta Md Ramli

DEWAN UNDANGAN NEGERI (DUN)

N01 Pengkalan Hulu: Mohd Saad Ismail

N04 Kota Tampan: Mohd Sabri Abdul Manaf

N05 Selama: Razali Ismail

N06 Kubu Gajah: Mohd Nazri Din

N08 Titi Serong: Muhammad Nakhaie Wahab

N11 Gunung Semanggol: Sheikh Khuzaifah Sheikh Abu Bakar

N12 Selinsing: Ahmad Saqif Ansarallah Ahmad Jihbaz Mokhlis

N14 Changkat Jering: Megat Shariffudin Ibrahim

N16 Kamunting: Muhd Fadhil Nuruddin

N20 Lubok Merbau: Zaiton Latiff

N23 Manjoi: Datuk Asmuni Awi

N35 Manong: Mohd Jamsari Mahamood

N39 Belanja: Mohd Ikhmal Mohd Iskandar

N44 Sungai Rapat: Datuk Seri Dr Mohammad Nizar Jamaluddin

N48 Ayer Kuning: Mohd Nazri Hashim

N50 Kampong Gajah: Mohd Syamsul Alauddin

N51 Pasir Panjang: Yahaya Mat Nor

N53 Rungkup : Ahmad Munzirie Ahmad Kabir

N56 Changkat Jong : Muhaimin Sulam

N59 Behrang : Khairol Najib Hashim

Perebutan kuasa dalam PBM semakin parah

Hanya Zuraida boleh gantung saya, kata setiausaha agung PBM

'Ainin Wan Salleh

AMPANG: Setiausaha Agung Parti Bangsa Malaysia (PBM) Nor Hizwan Ahmad menafikan beliau dan ketua penerangan Zakaria Abdul Hamid telah digantung daripada parti.

Nor Hizwan memberitahu sidang akhbar di sini bahawa mereka masih belum menerima sebarang notis rasmi mengenai penggantungan mereka, sambil menambah bahawa mereka hanya mempunyai tangkap layar daripada Facebook Sng mengenai perkara itu.

Hizwan turut menolak tindakan Sng dan menyifatkan ia sebagai publisiti yang tidak perlu dan usaha untuk mensabotaj parti.

Katanya, beliau dan Zakaria akan “mengikut proses yang sewajarnya, bukan posting di Facebook”, sambil menambah hanya Zuraida Kamaruddin boleh menggantung mereka kerana beliau adalah presiden PBM yang sah.

Semalam, Sng menegaskan beliau masih presiden PBM dan mengumumkan penggantungan Nor Hizwan dan Zakaria.

Beliau berkata penggantungan kedua-dua mereka adalah berkaitan dengan mesyuarat Majlis Tertinggi PBM pada 7 Okt yang beliau tidak panggil, walaupun beliau adalah presiden parti.

Mesyuarat itu akhirnya menyaksikan majlis bersetuju agar Zuraida menggantikan Sng sebagai presiden parti.

FMT sedang menghubungi Sng untuk mendapatkan maklum balas.

Sepang akan menjadi pertembungan antara wanita, cuma BN belum tentukan calon

BORHAN AHMAD

Parlimen Sepang di Selangor bakal menjadi pertandingan antara calon wanita apabila GTA pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.

Dengan pengumuman ini bermakna, Che Asmah akan berdepan dengan dua lagi calon wanita yang disebut-sebut akan bertanding dalam Parlimen ini.

Mereka adalah Datuk Seri Rina Mohd Harun (PN) dan Aiman Athirah, Ketua Wanita Pakatan Harapan di kerusi itu.

Namun kedua-duanya belum diumumkan secara rasmi sebagai calon di situ.

“Salam pengenalan dari saya. Dengan pengalaman yang ada, saya dengan rendah diri menawarkan khidmat kepada rakyat Malaysia di Sepang khususnya, untuk masa depan yang lebih baik kepada generasi yang akan datang,” kata Che Asmah menerusi akaun Facebook beliau.

Sehingga kini, Barisan Nasional (BN) masih belum mengumumkan nama calon mereka untuk kerusi yang sebelum ini dimenangi calon Pakatan Harapan, Mohamed Hanipa Maidin dengan majoriti 18,705.

Husam Musa mungkin tanding Shah Alam

Nor Fazlina Abdul Rahim

nfazlina@nstp.com.my

KOTA BHARU: Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa dijangka bertanding di Parlimen Shah Alam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Husam dijangka bertanding di Parlimen berkenaan sebagai salah seorang calon dari kuota PKR mewakili Pakatan Harapan (PH) menggantikan penyandang kerusi itu, Khalid Samad yang berpindah ke Parlimen Titiwangsa.

Husam sebelum ini pernah menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian pada tahun 1999 selama satu penggal.

Husam juga pernah menjadi wakil rakyat selama dua penggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor sehingga 2013.

Pada PRU13, Husam bertanding di Parlimen Putrajaya namun kalah kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur daripada Barisan Nasional (BN).

Selepas itu, beliau dipecat daripada PAS pada 23 April 2016 atas tindakan melanggar tatatertib dan menegur kerjasama belakang tabir UMNO dan PAS.

Pada PRU14 pula, beliau bertanding di Parlimen Kota Bharu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor di bawah logo PKR, namun tewas di kedua-dua kerusi terbabit.

Media semalam melaporkan, Husam tidak akan bertanding di mana-mana kerusi Parlimen di Kelantan.

Pengerusi PH Kelantan, Muhammad Hussin berkata, langkah itu adalah satu strategi parti yang sudah ditentukan pimpinan di peringkat pusat.

Pas bersama Gerakan dalam Perikatan Nasional

ZIN MAHMUD

Pas terima Gerakan apabila bertanding PRU sebagai anggota Perikatan Nasional. Kalaulah BN terima Pas, maka Pas pun terima MCA.

Gerakan dan MCA tolak Hudud dan RUU 355. Tak mengapa. Kalau Gerakan dan MCA lawan Pas, maka Gerakan dan MCA akan dilabel sebagai “komunis” dan “iblis”.

Dalam PRU ini, Gerakan akan bertanding di banyak kawasan majoriti bukan Melayu. Tetapi di situ tentu minoritinya ialah orang Islam. Gerakan akan guna lambang PN. Jadi penyokong Pas yang undi PN bermakna menyokong Gerakan.

Maka segala lambang dan bendera PN yang dipikul dan dibawa ke hulu dan ke hilir oleh penyokong Pas, di dalamnya terdapat Gerakan. Nampaknya Pas boleh tolak ansur dengan parti yang tolak Hudud dan RU355.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia mempunyai sejarah dan latar belakang yang tentu tidak disukai oleh banyak penyokong Pas. Parti ini ditubuhkan oleh bekas pemimpin MCA dan Parti Buruh.

Dasar-dasar mereka semasa penubuhannya juga tidak akan dapat diterima oleh kebanyakan orang Melayu.

Apa maksudnya “Ahli politik tidak baik dipilih oleh orang baik yang tidak mengundi.”

Orang politik semua sama ke?

Mohsin Abdullah

Lim Hong Siang, pengarah eksekutif Saudara.org, sebuah badan penyelidikan sosio-budaya, baru-baru ini menulis di Facebook seperti berikut: “Pada tahun 2018 setelah tarikh hari pengundian diumumkan, media sosial sarat dengan gambar orang beratur untuk membeli tiket dengan tanda pagar undi Rabu”.

Kita masih ingat PRU14 diadakan pada 9 Mei 2018, hari Rabu bukan Sabtu sebagai lazim. Lalu timbul #undirabu. Kata Lim lagi: “Kali ini agak dingin (mungkin mereka masih tercari-cari perkhidmatan sampan)”. Bab sampan ini sindiran tajam kerana ramai bimbang PRU15 diadakan pada musim banjir.

Lantas menurut Lim, “Ini petanda awal. Moga mereka yang mengharapkan peningkatan peratusan keluar mengundi ambil maklum akan petanda ini. Masih ada 29 hari lagi (daripada tarikh Lim membuat catatan FB).”

Hantaran Lim mendapat reaksi pembaca. Antara sebab yang diajukan ialah belum ada ‘mood’ kerana PRU15 akan diadakan ‘hanya’ pada 19 Nov. Ada yang berkata tiket penerbangan boleh dibeli dalam talian maka tidak perlu beratur. Sebab lain diberi ‘tiket mahal’. Mungkin alasan yang boleh diterima kerana menurut laporan media ramai terkejut harga tiket penerbangan melonjak selepas tarikh pengundian diumum SPR.

Tetapi itu membabitkan pengundi yang berada atau menetap di luar kawasan mengundi yang memerlukan mereka terbang pulang. Bagaimana pula dengan pengundi yang duduk di kawasan mereka mendaftar sebagai pengundi? Atau mereka yang duduk berdekatan yang boleh balik mengundi dengan mudah?

Kata pemerhati politik, keadaan setakat ini agak dingin. Benar jika dibandingkan dengan suasana menjelang PRU14 dulu. Waktu itu tidak ada apa yang boleh menghalang rakyat keluar beramai-ramai mengundi.

Ingat tak satu gerakan oleh beberapa aktivis menggesa rakyat yang bosan dengan kerajaan dan pembangkang waktu itu memulau pilihan raya dengan merosakkan kertas undi, bersama gerakan yang dipanggil #undirosak. Namun seperti yang ditunjukkan jumlah orang yang keluar mengundi pada PRU14, gerakan #undirosak gagal mendapat sambutan rakyat. Kali ini tidak ada gerakan menyarankan rakyat memboikot pilihan raya walaupun ada pihak dikatakan boleh mendapat ‘faedah’ jika peratusan pengundi kecil.

Apa pun seperti dikata pemerhati politik keadaan agak dingin buat masa ini. Mungkin dingin kerana cuaca hujan. Kata seorang kawan, orang Kelantan, waktu PRU15 dijadual biasanya banjir berdasarkan pengalaman masa lalu.

Tetapi mungkin juga rakyat belum ada “mood” seperti yang dinyatakan pembaca catatan Lim. Mungkin ambil masa lama untuk “warm up”, tetapi saya sendiri ada dengar orang (termasuk kenalan) yang berkata mereka tidak mahu mengundi kali ini kerana bosan – bosan dengan politik dan politikus.

Di Indonesia, golongan seperti ini dipanggil “golput” atau golongan putih. Mereka rakyat Indonesia yang “neutral” atau yang mengambil sikap berkecuali dan tidak memihak dalam landskap politik republik itu. Lantas pada pilihan raya atau dalam istilah Indonesia, Pemilu (pemilihan umum), mereka memilih untuk tidak mengundi walaupun layak.

Jelas kita pun ada “golput” kita. Cuma jumlahnya tidak dapat dipastikan. Setakat ini saya belum temui kajian terperinci mengenai “golput” Malaysia. Berdasarkan penyelidikan yang dijalankan selepas PRN Johor awal tahun ini, ada kalangan anak muda tak minat, tak kisah, serta tak peduli soal dan hal politik. Oleh itu Undi 18 tidak dimanfaatkan.

Bagaimanapun, daripada apa yang saya dengar secara langsung atau tidak, sememangnya ada orang berkata dengan agak lantang mereka tidak akan keluar mengundi kerana ‘semua orang politik sama sahaja’. Saya terbaca perbualan antara dua kenalan menerusi WhatsApp, dan yang mereka perkatakan ialah:

“Macam-macam parti dah bertukar rakyat masih di takuk lama. Semua parti politik sama. Orang politik hanya pentingkan diri sendiri dan hanya nak buat duit. Semua tak boleh pakai.”

Juga yang saya dengar rungutan serta kekecewaan terhadap Langkah Sheraton: “Buat apa pilihan raya kalau kerajaan boleh ditubuhkan secara ‘nego’, ‘kaw tim'”.

Ini saya faham, tetapi menyifatkan semua orang politik sama, pentingkan diri sendiri, dan hanya mahu buat duit saya tidak setuju. Walaupun saya akui ada benarnya sedikit sebanyak apa yang dikatakan itu.

Saya tidak suka politik tetapi saya membuat liputan hal politik dan saya tetap akui politik penting. Bagi saya mengambil sikap berkecuali khususnya untuk tidak mengundi hanya merugikan diri sendiri dan negara. Ia melepaskan peluang menentukan hala tuju negara untuk kebaikan bersama.

Jika keadaan negara tidak baik malah menjadi buruk, golongan yang tidak mengundi tidak boleh merungut. Tidak boleh mengadu kerana mereka sendiri melepaskan peluang untuk membuat penentuan.

Menyertai politik bukan mudah. Jika ia dianggap kotor, seseorang mesti buat ‘kerja kotor’ itu. Untuk menuduh semua orang politik kotor atau korup, pada hemat saya tidak adil. Begitu juga menyalahkan mereka secara “total” bagi semua masalah yang dihadapi. Pun begitu saya akui sejak kebelakangan ini memang ramai ahli politik yang tidak menyenangkan rakyat dan menimbulkan masalah terdedah.

Hakikatnya ada orang politik baik dan ikhlas dan ada yang tidak baik dan tidak ikhlas. Termasuk yang jahat. Begitu juga parti. Ada bagus ada tak bagus. Tetapi manusia yang mencorak parti. Maka yang buat politik kotor bukan politik itu sendiri.

Oleh itu, hukumlah ahli politik kotor dan korup melalui peti undi. Jika ada maklumat mengenai “kekotoran” mereka, dedahkan atau berikan kepada pihak berwajib atau orang yang berani membuat pendedahan. Perbetulkan kepincangan, keburukan, serta kelemahan menerusi peti undi. Pilih orang yang diyakini boleh membawa kebaikan.

Ada pihak menyarankan kita undi berdasarkan calon bukan parti. Pilih calon yang baik, ikhlas, dan jujur. Namun calon yang baik memerlukan pelbagai bentuk sokongan dan bantuan untuk membawa kebaikan. Lazimnya sokongan atau “backup” datang daripada parti yang kukuh. Calon bebas yang baik perlu bekerja dengan ahli politik lain untuk membuat perubahan. Secara individu hasrat murni tidak mungkin terlaksana.

Kesimpulannya ialah, walaupun tidak sempurna, mengundi cara terbaik untuk membuat perubahan. Saya ada menerima mesej menerusi WhatsApp berbunyi:

“Ahli politik tidak baik dipilih oleh orang baik yang tidak mengundi.”

Menghormati PAS dulu, dan masa kini

Juwaini Abdul Rahman

ULASAN | Beberapa hari sebelum PRU ke-14 lalu berlangsung, saya ke Bangi untuk menghadiri satu program latihan berkaitan keselamatan maklumat. Ia bukanlah program politik.

Saya menaiki MRT dari stesen Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur dan turun di stesen Kajang. Dari situ saya menaiki teksi untuk ke tempat latihan.

Pemandu teksi tersebut ialah seorang lelaki berbangsa India. Peramah orangnya. Biasanya saya jarang berbual politik dengan orang yang saya tidak kenal. Tapi uncle tersebut tanpa segan silu menyatakan sokongan beliau kepada Pakatan Harapan (PH).

Mujur juga uncle itu penyokong PH. Kalau dia penyokong kuat BN, barangkali perjalanan menaiki teksi itu akan menjadi sangat panjang dan serba kekok.

Antara ayat pemandu teksi itu yang saya masih ingat sehingga kini ialah betapa dia memuji calon PAS di kawasan tersebut, Mohd Shafie Ngah.

Menurut uncle berkenaan, Mohd Shafie merupakan calon yang betul tetapi malangnya mewakili parti yang 'salah'.

Tambah dia lagi, kalau Mohd Shafie bertanding sebagai wakil PH, dia akan memberikan undinya kepada Mohd Shafie tanpa ragu-ragu sama sekali.

Masihkah ada persepsi baik

Sokongan pengundi bukan Melayu dan bukan Islam terhadap calon 'pekat' PAS bukan perkara yang baru khususnya selepas 1998.

Pada PRU ke-12 (2008), seorang kakitangan pejabat saya tanpa teragak-agak mengaku dia mengundi Dr Mariah Mahmud (ketika itu menjadi calon PAS) di Kota Raja. Pengakuan tersebut terasa aneh pada waktu berkenaan.

Pertama, kerana majikan kami adalah sebuah agensi kerajaan yang boleh dikira 'totok BN'. Gambaran ketotokan itu ialah apabila ketua pegawai eksekutif agensi tempat kami bekerja menghadiri Perhimpunan Agung Umno.

Kedua, kerana ketika itu - barangkali - tiada siapa menjangka yang seorang calon parti Islam mampu mengalahkan calok BN yang begitu kuat pada waktu tersebut.

Baru-baru ini saya terbaca sebuah tulisan mengenai bagaimana Mohd Shafie menggelar bakal calon PH bagi kawasan parlimen Bangi, Syahredzan Johan, sebagai "tali barut Kit Siang."

Bagi sesetengah orang, label itu adalah satu penghinaan yang keras. Ia mungkin setaraf dengan 'macai' atau 'barua'.

Saya jadi terfikir: Masihkan uncle pemandu teksi dulu masih melihat Mohd Shafie seorang calon yang baik?

Selepas Hannah Yeoh diumumkan memenangi kerusi parlimen Segambut pada 2018, dia menciap rasa terima kasihnya kepada PAS.

Di sebalik perseteruan dalam politik Yeoh menghargai calon PAS, Mohd Solleh Ab Razak, yang berkempen tanpa memainkan sentimen agama dan bangsa.

Harus diingat, pada PRU ke-14, PAS dan PH tidak memasuki pilihan raya sebagai musuh yang ketara kerana serangan politik banyak difokuskan terhadap BN.

Samakan dengan haiwan

Hubungan PAS - PH ketika itu boleh dianggap sebagai bukan kawan tetapi tidak sampai ke tahap bermusuhan.

Sekarang, ketika kedatangan PRU ke-15 semakin hampir, adakah Yeoh akan merasai perkara yang sama nanti?

Secara peribadi, saya bukanlah asing dengan PAS. Saya dibesarkan dalam keluarga penyokong PAS walaupun tidak menjadi ahli parti tersebut. Apabila PAS mengambil tindakan untuk bermufaraqah dari Pakatan Rakyat, saya sedih.

Saya melihat PAS dan ahlinya sebagai orang baik. Umumnya dalam komuniti Melayu, orang PAS yang selalu mengimarahkan masjid dan surau. Saya mempunyai persepsi bahawa pemimpin PAS adalah Muslim yang baik.

Mereka - pada saya - ahli PAS ialah orang yang mampu berwacana dengan kata-kata baik, berhujah dengan bernas dan bertutur dengan beradab. Cuma pandangan tersebut mungkin betul ketika Nik Abdul Aziz Nik Mat masih hidup. Kini, saya tidak pasti.

Tanpa susuk bernama Nik Abdul Aziz, presiden PAS tanpa teragak-agak menggelar musuh politiknya sebagai iblis.

Secara bandingan, memang tiada keraguan bahawa label "iblis" itu jauh lebih keras berbanding "tali barut". Ia berlaku ketika lidah Abdul Hadi Awang begitu fasih menyamakan lawan politiknya dengan haiwan.

Dia pernah menggelar lawannya seumpama itik, lembu, kuda, dan sebagainya.

Pimpinan dan ahli PAS membawa tanggungjawab sosial sebagai 'duta' Islam kerana parti mereka membawa nama Islam. Justeru biar ada beza di antara tutur kata seorang pemimpin dengan laskar siber.

Andai laskar siber yang diupah menggunakan kata maki hamun, ia tidaklah mengejutkan kerana memang ada golongan taasub sebegitu dalam mana-mana parti.

Tapi tentulah amat menjengkelkan jika pimpinan atasan gagal mengawal lidah masing-masing. Kecuali pemimpin terbabit memang mahu menyamakan diri mereka dengan laskar siber itu.


JUWAINI ABDUL RAHMAN ialah pembaca Malaysiakini yang mengundi PAS pada PRU ke-12 dan ke-13.

Dua TPM dianggap tambah kos kerajaan, tapi kenapa Pas boleh terima saiz Kabinet terbesar kerajaan Mahiaddin?

SITI NUR ZAWANI MISCON 

AMANAH Sabah membidas dakwaan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan cadangan mewujudkan dua Timbalan Perdana Menteri sebagai ‘menambah kos bagi kerajaan’.

Pengerusinya, Lahirul Latigul berkata, tuduhan itu sama sekali tidak tepat kerana Pakatan Harapan memberi jaminan saiz anggota Kabinet akan dikurangkan.

Jelasnya, jawatan TPM ini sebenarnya bersekali dengan pengurangan bilangan menteri, dan TPM akan memegang salah satu portfolio yang ada di dalam Kabinet.

Malah, beliau turut mengingatkan Tuan Ibrahim agar sedar bahawa tawaran TPM itu pernah disokong pimpinan Pas ketika bersama Pakatan Rakyat.

“Sekiranya pimpinan Pas menentang pembaziran, mengapa mereka bersetuju dengan saiz kabinet Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang dianggap paling besar dalam sejarah pada 2020?

“Ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih kerajaan juga menggunakan saiz Kabinet yang sama,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Lahirul berkata, Pemimpin Pas seharusnya antara yang kedepan menentang pelantikan Kabinet sehingga 70 orang sekiranya ia membazir serta bertentangan dengan tadbir urus yang baik.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, AMANAH Sabah menyambut baik pengumuman Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik dua Timbalan Perdana Menteri masing-masing Semenanjung dan dari Sabah, Sarawak.

Lahirul berkata, keputusan tersebut memberi harapan kepada penduduk di Borneo bahawa Sabah dan Sarawak bakal mendapat perhatian besar dari Kerajaan Persekutuan selepas Pakatan Harapan menakluk Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 ini.

“Dengan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri itu, kami yakin beliau bakal mempunyai kuasa yang lebih besar berbanding hanya Menteri Kanan sebagaimana yang diamalkan oleh kerajaan Perikatan Nasional dan dicadangkan oleh Barisan Nasional,” katanya.

Mujahid mulakan tindakan saman PAS

Malaysiakini

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof, hari ini memulakan tindakan undang-undang ke atas PAS.

Menurut Mujahid, surat tuntutan itu dihantar kepada PAS melalui firma guaman Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir hari ini.

"Pihak Pejabat Agung PAS juga telah mengaku terima surat tuntutan tersebut," katanya malam ini.

Mujahid yang juga naib presiden Amanah menjelaskan, pihaknya memberi tempoh selama 48 jam kepada PAS untuk melakukan beberapa perkara termasuk memadamkan tulisan yang dianggap sebagai fitnah.

Mujahid juga menuntut agar tulisan yang mengaitkan dia dengan kumpulan LGBT ditarik balik, selain PAS perlu meminta maaf kepadanya.

Penyandang kerusi parlimen Parit Buntar itu juga menuntut PAS membayar ganti rugi atas kerosakan reputasi yang disebabkan oleh tulisan berkenaan.

"Saya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sama kepada mana-mana pimpinan PAS yang tidak serik-serik membuat tulisan-tulisan fitnah dan mengaitkan saya dengan LGBT," katanya.

Kenyataan Mujahid itu merujuk kepada tulisan “Mantan Menteri Agama PH Sokong Eljibiti?” dan ditularkan oleh akaun Facebook PAS pada 16 Okt lalu.

Pelik, tapi Amanah ucap terima kasih beri Nik Omar tanding kuota PKR

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Walaupun pelik untuk pemimpin Amanah bertanding atas kuota PKR pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), tetapi Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad mengucapkan terima kasih kerana membenarkan Nik Omar Nik Aziz bertanding atas tiket parti itu.

“Nik Omar masih ahli Amanah. Dia ditawarkan kerusi kuota PKR sebagai calon Pakatan Harapan (PH).

“Ianya sesuatu yang pelik, tetapi saya ucapkan terima kasih kepada PKR kerana bersedia membenarkan seorang pemimpin Amanah bertanding menggunakan kuota PKR,” katanya kepada FMT.

Semalam, Pengerusi PH yang juga Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengumumkan Nik Omar akan bertanding di kerusi Parlimen Perak.

Semua calon parti komponen PH akan bertanding sebagai calon gabungan itu, kecuali DAP di Sarawak.

Status keahlian Nik Omar, yang juga ahli Jawatankuasa Amanah Pusat, menjadi tanda tanya kerana beliau akan bertanding atas kuota PKR pada 19 Nov ini.

Pada PRU 2018, Nik Omar bertanding atas tiket PKR di kerusi DUN Chempaka, Kelantan. Tetapi tewas dalam pertembungan tiga penjuru yang menyaksikan calon PAS, Ahmad Fathan Mahmood menang dengan majoriti 3,474 undi.

Nik Omar percaturan PH mahu tawan Pasir Salak

Malaysiakini

PRU15 | Anak bekas menteri besar Kelantan, Nik Omar Nik Abdul Aziz, bakal menjadi tawaran terbaik Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi parlimen Pasir Salak pada PRU akan datang.

Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Muhaimin Sulam, mengesahkan percaturan tersebut kepada Malaysiakini hari ini.

Katanya, langkah membawa anak Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dianggap mampu memberi pilihan terbaik buat pengundi di kawasan yang dianggap kubu kuat Umno-BN.

Muhaimin yang juga anggota Jawatankuasa Amanah Pasir Salak yakin kemunculan Nik Omar di situ akan mampu menarik sokongan pengundi termasuk dalam kalangan pengundi atas pagar.

“Pengumuman rasmi mengenai pencalonan Nik Omar akan dibuat dalam tempoh terdekat,” katanya.

Nik Omar merupakan anak lelaki sulung kepada Nik Abdul Aziz dan pertama kali menyertai pilihan raya pada 2018 apabila dicalonkan untuk bersaing dengan PAS bagi kerusi DUN Chempaka.

Selepas PH menjadi kerajaan pusat, Nik Omar dilantik menjadi Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Bagaimanapun khidmatnya berakhir selepas Langkah Sheraton.

Dalam PRU lalu, Tajuddin Abdul Rahman mempertahankan kerusi tersebut dengan meraih 20,003 undi dan mengalahkan dua pencabar lain dengan perbezaan undi 7,712 undi.

Di bawah kawasan parlimen Pasir Salak ada dua kerusi DUN iaitu Sungai Manik dan Kampung Gajah.

Sementara itu Ketua PKR Cabang Pasir Salak, Mohamad Maharani Md Tasi, berkata parti itu turut mengalu-alukan kedatangan Nik Omar ke kawasan tersebut.

"Kami percaya pencalonan Ustaz Nik Omar menjadi momentum besar kedua di Perak selepas Anwar Ibrahim mengistiharkan dia bertanding di Tambun.

"Ini tentu sekali memberi tenaga baru kepada PH Perak," katanya.

Tedung selar 'makan' tuan

Agensi

FOTO menunjukkan Imam bermain dengan ular peliharaannya. FOTO Agensi

FOTO menunjukkan Imam bermain dengan ular peliharaannya. FOTO Agensi

Surabaya: Sejak berpuluh tahun lalu, Imam Rokhani dianggap pakar menjinakkan ular tedung selar.

Lelaki berusia 49 tahun dari Trenggalek, Jawa Timur, Indonesia itu akhirnya tewas selepas dipatuk dua ekor tedung selar peliharaannya, Ahad lalu.

Haiwan itu dilaporkan mematuk Imam ketika lelaki itu mahu menggantikan air di dalam sangkar peliharaan.

Imam sebelum ini pernah digigit ular dan mengalami kecacatan kekal pada tangannya.

Kejadian itu menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berehat.

Rakannya, Puji Setiawan berkata, Imam memelihara reptilia itu yang ditemukan di sebuah kebun.

Ular sepanjang tiga meter ketika ditemukan itu sudah dipelihara Imam, sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, ular berkenaan kemudian terus membesar sehingga panjangnya mencecah lima meter.

Sepanjang tempoh dipelihara, ular itu akan diberi makanan iaitu haiwan yang saiznya jauh lebih kecil.

"Dua ekor tedung selar itu akan diberi makan pada waktu malam dan saya menjadi orang terakhir memberi haiwan peliharaan makan sebelum ini.

"Namun, tiada sebarang tindak balas ganjil sepanjang proses itu dibuat.

Menurut Puji, rakannya itu pernah menyatakan bahawa dia pasrah sekiranya meninggal dunia kerana dipatuk ular.

Anwar: PKR tanding Sungai Siput…buat masa ini

Shaq Ismail

IPOH: Buat masa ini Pakatan Harapan (PH) akan meletakkan calon daripada PKR untuk bertanding kerusi Parlimen Sungai Siput, kata pengerusi gabungan itu, Anwar Ibrahim.

Anwar bagaimanapun berkata, rundingan untuk kerusi itu masih berjalan dan pihaknya belum terima hasil perbincangan itu.

Beliau tidak menyatakan parti yang terlibat dalam rundingan itu.

“Buat masa ini, masih kekal, PKR akan letak calon di sana,” katanya pada sidang media.

Sebelum ini, Parti Sosialis Malaysia meminta PH membenarkan pengerusinya, Dr Michael Jeyakumar Devaraj bertanding di situ.

Jeyakumar mewakili rakyat Sungai Siput selama dua penggal, dari 2008 hingga 2018. Beliau bagaimanapun tewas kepada calon PKR, S Kesavan pada PRU14.

Pertembungan itu berlaku selepas rundingan antara PH dan PSM menemui jalan buntu.

Sementara itu, Presiden MIC, SA Vigneswaran, dikatakan berminat bertanding di kerusi itu, yang pernah disandang bekas presiden, S Samy Vellu selama lapan penggal.

PSM mahukan kerjasama dengan PH agar calonnya bertanding atas tiket gabungan itu, namun tiada rancangan untuk menyertainya.

Kemajuan perbincangan antara PH dan PSM masih belum diketahui.

Parlimen Batu: Ramai disebut-sebut, pertandingan berapa penjuru?

Malaysiakini

story-image

Parlimen Batu di ibu negara mungkin menyaksikan penyertaan ramai calon dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU) bulan depan.

Ketika PKR belum memutuskan sama ada membariskan penyandangnya P Prabakaran atau orang lama parti Tian Chua, dua lagi pihak sudah menyatakan hasrat masing-masing.

Mereka ialah peguam dan aktivis popular Siti Zabedah Kasim dan ahli perniagaan Nur Fathiah Syazwana yang lebih dikenali sebagai Cleopatra.

Prabakarandan dan Tian Chua setakat ini menyuarakan kesediaan bertanding di Batu, yang secara tidak langsung dilihat mencetuskan ketegangan dalam parti.

Tian Chua memenangi kerusi Batu pada 2013 dengan majoriti besar 13,284 tetapi hilang kelayakan bertanding dalam PRU 2018.

Setahun selepas itu, Mahkamah Tinggi memutuskan nyah kelayakan terhadap Tian Chua sebagai tidak sah, membolehkan dia bertanding lagi dalam pilihan raya.

Sementara itu, penampilan Siti Kasim dibuat sebagai sebahagian dariapada agenda kumpulan yang ditubuhkannya, Gerak Independent.

Dia memberitahu Malaysiakini, dia percaya penduduk Batu lebih memahami perjuangannya berbanding kawasan luar bandar.

Siti terkenal dengan penglibatannya bersama aktivis Orang Asli dalam mempertahankan tanah adat mereka.

Berkaitan Nur Fathiah, Siti menyuarakan kesangsiannya selepas mendakwa dia dilihat bersama beberapa pemimpin MIC di media sosial.

Malaysiakini sudah menghubungi Nur Fathiah dan masih menunggu maklum balasnya.

Sementara itu, Nur Fathiah menggerakkan kempen #ResetBatu yang dilancarkan pada 16 Oktober lalu dan mengumpulkan 26,000 pengikut di media sosial setakat ini.

Sementara itu, bagi BN pula, Batu merupakan kerusi tradisi Gerakan sejak awal. Gerakan kini bersama Perikatan Nasional (PN).

Batu–seluas kira-kira 20km persegi–mempunyai 113,519 pengundi. Ia dijangka menyaksikan 40,000 pengundi baru dalam pilihan raya umum 19 November ini.

Dalam pilihan raya 2018, Prabakaran menang dengan majoriti  24,438 undi.

Dia ketika itu menentang calon Gerakan Dominic Lau Dominic Lau yang mendapat 13,687 undi, calon PAS Azhar Yahya (10,610 undi) dan bebas Panjamorthy Muthusamy (383 undi).

Anwar: Sebelah kaki dah ada di istana pada 2021

B Nanta Kumar

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim, berkata jika dia bertolak ansur dalam isu prinsip, perdana menteri selepas Muhyiddin Yassin bukanlah Ismail Sabri Yaakob.

Menafikan dakwaan yang dia "kemaruk" mahu menjadi perdana menteri, Anwar memberitahu ketika berlaku krisis politik ekoran jatuhnya Muhyiddin, dia sudah sangat hampir menjadi pemimpin nombor satu negara.

"Saya nak beritahu, sebelah kaki saya dah ada di Istana Negara untuk angkat sumpah pada keesokan hari.

"(Bagaimanapun) Malam itu Najib (Razak) meminta saya tandatangani perakuan untuk beri jaminan agar dia bebas daripada hukuman.

"Saya kata saya tak boleh (buat begitu) kerana ini soal prinsip. Kalau saya (lupakan prinsip) dan tandatangan, dah lama saya masuk istana angkat sumpah," katanya di majlis bersama lebih 100 pesara tentera dari kawasan parlimen Tambun hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Amanah Perak merangkap peyandang kerusi DUN Manjoi, Asmuni Awi.

Pada Ogos 2021, Muhyiddin terpaksa meletak jawatan selaku perdana menteri setelah kehilangan sokongan di Dewan Rakyat apabila 15 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan terhadap kerajaannya.

Sebelum itu Anwar mengumumkan dia memiliki sokongan yang kukuh daripada ahli parlimen, termasuk di luar PH, untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Menurut Anwar ketika itu, dia mempunyai 114 orang ahli parlimen pelbagai parti yang memberikan sokongan kepadanya.

Bagaimanapun ahli parlimen Umno terbabit mengalih semula sokongan mereka daripada Anwar selepas BN dan Perikatan Nasional (PN) bersetuju melantik Ismail Sabri menggantikan Muhyiddin.

Ismail Sabri ialah naib presiden Umno.

Menurut Anwar perubahan sokongan itu tidak akan berlaku jika dia tunduk kepada kehendak bekas perdana menteri, Najib, agar dia tidak dikenakan hukuman atas pertuduhan jenayahnya.

"Ada orang berkempen (kononnya) Anwar ini kemaruk nak jadi perdana menteri.

"Kalau saya tolak prinsip, sedia bertolak ansur (dengan Najib), dah lama saya menjadi perdana menteri.

"Kalau saya kemaruk nak jadi perdana menteri, saya tandatangani perjanjian dengan Najib. Dan (kalau itu berlaku) hari ini saya yang jadi perdana menteri, bukan Ismail Sabri," katanya.

Polis siasat kelucahan melampau dalam surau di Kuala Langat

Malaysiakini 

story-imagePolis menyiasat video yang memaparkan dua lelaki berciuman dalam sebuah surau di Kuala Langat.

Siasatan dibuat bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan melakukan kelucahan melampau di tempat awam yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata siasatan dibuat susulan video sepanjang 1 minit 49 saat yang dimuat naik di media sosial semalam.

Katanya, laporan polis dibuat oleh seorang bilal 54 tahun setelah melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melibatkan dua lelaki tempatan tersebut.

“Pihak polis ingin memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai pelaku di dalam kes ini supaya tampil untuk membantu siasatan dan berhubung dengan Pegawai Penyiasat Insp Norhidayah Mohd ditalian 017-4055363 / 03-31872222,” katanya.

Amirudin lawan Azmin: Siapa pilihan pengundi Gombak?

Dahlan Maamor

Itu tanggapan banyak pihak selepas PKR memilih Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berdepan Azmin Ali di Parlimen Gombak.

Sangat dinanti nantikan apatah lagi politik Azmin bakal ditentukan selepas malam 19 November ini.

Atas kertas, Azmin dijangka tumbang namun cabaran Umno tidak perlu diperkecilkan walaupun dilihat lemah untuk memikat hati rakyat Gombak.

Selaku ketua kerajaan Selangor,Amirudin dilihat tokoh paling berwibawa untuk mengenepikan Azmin yang dianggap sebagai pengkhianat sehingga rebahnya kerajaan PH selepas 22 bulan.

Namun kali ini Azmin dijangka tidak mampu bertahan berikutan tindakan meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu sekaligus dianggap mencabuli mandat rakyat.

Sementara Amirudin sudah sekian lama menjadi wakil rakyat di DUN Batu Caves sebelum ditukar nama kepada DUN Sungai Tua adalah tokoh politik tempatan yang sudah lama berakar umbi di situ.

Ada banyak sebab jika kita perincikan bahawa Amirudin memiliki banyak kelebihan. Selain kedudukan politik Azmin yang suam suam kuku selepas menyertai Bersatu.

Antaranya, ketiadaan jentera parti terdahulu menjadikan Azmin banyak bergantung kepada jentera PAS yang sebelum ini serba salah antara memihak kepada Perikatan Nasional atau mahu meneruskan sokongan kepada Muafakat Nasional yang diterajui Umno.

Amat mudah dan wajar Amirudin berada di kerusi itu kerana Gombak selepas ini adalah "penghulu" kawasan di Selangor dan bakal mendapat banyak manfaat. Selaku ketua kerajaan Selangor, mudah untuk Amirudin membantu menaikkan Gombak sekaligus menyelesaikan masalah yang masih tertangguh sebelum ini.

Paling utama, seorang menteri besar sentiasa berada hampir setiap masa di hati rakyat Gombak.

Reputasi Azmin Ali makin tenggelam berbanding sebelumnya Dan dia dianggap antara punca jatuhnya kerajaan PH apabila terlibat dengan langkah Sheraton.

Kini, di bahu Amirudin dan PH Selangor harapan besar diletakkan untuk menghukum Azmin kerana dianggap menodai mandat rakyat dan mendurjanai Pakatan Harapan.

Menyertai Bersatu untuk menyambung nyawa politiknya memberi gambaran, Azmin telah melakukan kesilapan besar dalam kerjaya politiknya.

Apapun lewat malam 19 November Parlimen Gombak dijangka berubah dan Amirudin harus mengembalikan maruah pengundi Gombak sekaligus membawa perubahan besar kelak.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim menganggap Amirudin sebagai "panglima" Selangor yang dihantar ke Gombak untuk mengalahkan Azmin dan dia penuh yakin menteri besar itu mampu melakukannya.

Dalam PRU14 lalu, Azmin yang bertanding atas tiket PKR mendapat 75,113 undi dengan majoriti 48,721 mengalahkan calon PAS dan BN.

PRU15: Wan Saiful ke Tasek Gelugor?

Mohamad Fadli

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan dijangka dicalonkan di Parlimen Tasek Gelugor pada PRU15.

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan dijangka dicalonkan di kerusi Parlimen Tasek Gelugor di Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Sumber rapat dengan Bersatu berkata keputusan berkenaan dibuat selepas kepimpinan parti itu di Kubang Pasu dilihat lemah dan gagal menubuhkan jumlah cawangan yang cukup untuk menggerakkan kempen menjelang PRU15.

Katanya, bagi Tasek Gelugor Bersatu dijangka akan meletakkan calon “heavyweight” untuk mempertahankan kerusi itu, tambahan pula penyandangnya Shabudin Yahaya telah mengesahkan tidak bertanding dalam PRU15.

“Dijangka Wan Saiful akan mengambil alih dengan sokongan kukuh Bersatu Tasek Gelugor,” katanya kepada FMT.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), BN menang di kerusi Tasek Gelugor. Namun penyandangnya Shabudin daripada Umno berpaling tadah menyertai Bersatu, pada 2019.

Tambah sumber itu, terdapat masalah yang berlaku dalam hubungan Bersatu Kubang Pasu dengan peringkat Pusat.

Beliau berkata walaupun PAS menuntut Tasek Gelugor, parti Islam itu dirasakan boleh menerima Wan Saiful kerana latar belakangnya.

“Hubungan kurang baik di Kubang Pasu sehingga menyukarkan lagi keadaan. Sebagai bekas ahli PAS, Wan Saiful dianggap boleh mengeratkan lagi hubungan Bersatu dan PAS di Tasek Gelugor,” katanya.

Shabudin menjadi Ahli Parlimen Tasek Gelugor selama dua penggal. Pada PRU14, beliau hanya mampu meraih majoriti tipis sebanyak 81 undi iaitu 18,547 undi menewaskan Marzuki Yahya dari PKR (18,466) dan Rizal Hafiz Ruslan dari PAS (14,891).

Pada 24 Okt lalu, Norliza Abdul Rahim disebut-sebut calon “heavyweight” Barisan Nasional (BN) yang bakal mengisi kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada PRU15.

Sementara itu, sumber berkenaan menambah, Bersatu merasakan Wan Saiful perlu diletakkan di kerusi dengan struktur bahagian yang lebih kemas dan tersusun, kerana bekas pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu dilihat berpotensi menjadi anggota Jemaah Menteri sekiranya Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan.

“Wan Saiful juga dilihat telah mula bergerak di Tasek Gelugor apabila menghadiri kursus jentera pilihan raya Bersatu Tasek Gelugor pada 22 Okt lalu.

“Meletakkan Wan Saiful di Tasek Gelugor melambangkan Bersatu yakin dengan kebolehan beliau seperti parti-parti lain yang juga memindahkan beberapa tokoh parti mereka ke kawasan strategik sebagai langkah untuk memperkukuh parti,” katanya.

Pesara tentera didakwa hantar mesej lucah

NOR FARHANA YAACOB

Pesara tentera (dua, dari kiri) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh di sini, pada Rabu.

Pesara tentera (dua, dari kiri) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh di sini, pada Rabu.

MELAKA - Seorang pesara tentera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas empat pertuduhan menghantar mesej WhatsApp secara seksual dan menjijikkan terhadap anak tirinya berusia 14 tahun.

Tertuduh berusia 60 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga keempat, tertuduh didakwa telah berkomunikasi secara seksual ke atas anak tirinya berusia 14 tahun 6 bulan dengan menghantar kandungan lucah di sebuah rumah di Bemban, Jasin antara 11 Jun sehingga 31 Ogos lalu.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama, yang memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan hendaklah dikenakan tidak kurang dua sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun beliau menawarkan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dan meminta agar syarat tambahan sekiranya mahkamah ingin membenarkan sebarang jaminan.

Muhammad Nazrin turut menyatakan, mangsa kini tinggal bersama ibunya, manakala tertuduh dijaga oleh anak-anak kandung.

Kejadian itu dipercayai terbongkar selepas ibu mangsa telah bercerai dengan tertuduh.

Tertuduh diwakili Peguam Umar Zulkarnain memohon jaminan rendah dibenarkan dengan memberikan alasan anak guamnya telah bekerjasama dengan baik sepanjang siasatan dan bayaran ikat jamin akan dibuat oleh anak kandung yang hadir pada prosiding itu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 beserta syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai dan turut menetapkan 23 November depan sebagai sebutan semula kes.

Minta video alat sulit wanita, ‘doktor’ Malaysia dipenjara 40 bulan di Singapura

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki Malaysia dipenjara 40 bulan oleh Mahkamah Daerah Singapura kerana menipu 35 mangsa perempuan supaya menghantar gambar dan video alat sulit mereka selepas berpura-pura menjadi pakar sakit puan sebuah hospital swasta.

Ooi Chuen Wei, 37, mengaku salah atas enam tuduhan penyamaran manakala 15 lagi tuduhan serupa diambil kira mahkamah bagi tujuan hukuman. Butiran lain mengenai pekerjaan atau kehidupan peribadi Ooi tidak diketahui.

Mahkamah diberitahu, pada lewat 2016, Ooi mewujudkan akaun Facebook atas nama “Dr Janice Lee Yan Hooi” dari “Gleneagles Medical Singapore” dengan menggunakan gambar rambang seorang wanita Malaysia untuk profilnya.

Ooi turut menambah “kenalan” wanita dan lelaki dalam Facebooknya itu supaya kelihatan lebih sahih, selain mewujudkan akaun Instagram dan LinkedIn menggunakan nama sama, lapor The Straits Times Singapore.

Selepas mengenal pasti mangsa wanita sebagai sasaran, Ooi memperkenalkan dirinya sebagai Dr Lee dan menawarkan untuk mengongsikan pelan perubatan bagi kesihatan payudara dan seksual dengan rundingan secara bulanan, kononnya diluluskan oleh “Gleneagles Medical Centre”.

Ooi kemudian menghantar wanita berkenaan garis panduan teliti mengenai cara mengurut payudara dan kemaluan mereka. Dia turut meminta mangsa menghantar video kepadanya, kononnya untuk membolehkannya mendiagnos sebarang masalah kesihatan seterusnya mencadangkan pelan rawatan.

Timbalan Pendakwa Raya R Arvindren memberitahu mahkamah, semua mangsa mempercayai tertuduh, malah Ooi turut mengelak bercakap dengan mangsa supaya mereka tidak mengetahui dia sebenarnya lelaki.

Katanya, 35 mangsanya menghantar 919 gambar dan video antara 2018 hingga 2021. Tembelangnya pecah selepas seorang mangsa mengesyaki sesuatu tidak kena pada 2021 seterusnya membuat kajian sendiri dan mendapati tiada “Dr Janice Lee Yan Hooi” di hospital berkenaan.

Wanita itu terus membuat laporan polis dan Ooi ditahan pada 11 Nov 2021.

Tokoh di belakang “Bendera Putih” mula panaskan kempen PH di Kelantan

BORHAN AHMAD

Tokoh NGO yang memperkenalkan kempen “Naikkan bendera putih” untuk mereka yang memerlukan bantuan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, Nik Faizah Nik Othman kini menjadi tumpuan dalam kempen Pakatan Harapan di Kelantan.

Program yang dianjurkan oleh beliau di Pantai Cahaya Bulan semalam mendapat sokongan ramai ketika sokongan kepada Pakatan Harapan masih sejuk di negeri yang dikawal oleh Pas sejak lebih 30 tahun lalu itu.

“Terima kasih warga Pengkalan Chepa hadir ke program Dikir Barat Segar Angin. Ini satu inisiatif Kak Jah membantu merancakkan peniagaan di Pantai Cahaya Bulan,” tulis Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Hazmi @ Jeming Hassan menerusi Facebook beliau.

Nik Jah, Timbalan Ketua Awan Kelantan, disebut-sebut sebagai bakal calon Pakatan Harapan di Parlimen Pengkalan Chepa.

Jeming yang merupakan Ketua AMANAH Pengkalan Chepa mula memperkenalkan Nik Jah sebagai calon Pakatan Harapan di Pengkalan Chepa.

“Alhamdulillah…sambutan yang sangat-sangat mengejutkan. Hampir penuh pantai PCB dengan orang ramai yang datang menonton dikir barat sambil ambil angin bersama keluarga.

“Dikir barat wajar di angkat sebagai satu seni budaya Kelantan ke satu peringkat yang lebih tinggi.

“Ia boleh menjadi tarikan kepada pelancong yg datang ke Kelantan.

“Terima kasih warga Pengkalan Chepa,” tulis Nik Jah dalam Facebook beliau semalam selepas kejayaan program dikir barat itu.

Pada jam 11.28 pagi, 28 Jun 2021 lalu, Nik Faizah yang lebih dikenali Nik Jah itu menaikkan satu posting di Facebook beliau yang menggunakan nama ‘Jah’ meminta pihak yang dalam kesusahan dan terputus bekalan makanan agar menaikkan bendera putih di hadapan rumah mereka.

Pada asalnya ia bertujuan untuk memberitahu komuniti di sekelilingnya sahaja atas sifat beliau sebagai Penyelia Peduli Rakyat Tumpat, tanpa mengetahui ia akan tular dan kini ‘trending’ dalam masyarakat.

Nik Jah adalah aktivis masyarakat dan juga Timbalan Ketua Wanita AMANAH (AWAN) Kelantan itu menasihati mereka yang sedang susah ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh ini agar berbuat demikian bagi membolehkan masyarakat sekeliling tahu dan membantu mereka.

Amirudin, Azmin bakal berentap di Gombak,

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, bakal berentap dengan bekas pemimpin PKR, Azmin Ali, di Parlimen Gombak pada PRU15, jika maklumat sumber dalaman terbukti sahih.

Pemimpin PKR Gombak itu juga memberitahu FMT, beliau yakin Amirudin yang juga ADUN Batu Caves akan ke Parlimen.

“Keupayaan dan kemampuan (Amirudin) telah terbukti melalui pencapaian serta rekod cemerlang beliau sebagai ADUN sejak 2008, exco belia dan sukan, dan mutakhir ini sebagai menteri besar,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, PKR Gombak sebulat suara mencalonkan Amirudin untuk kerusi Parlimen itu.

Terdahulu, Azmin menyatakan beliau akan mempertahankan kerusi itu, selepas tiga penggal mewakili rakyat Gombak.

Pada PRU 2018, bekas timbalan presiden PKR itu menang dengan majoriti 48,721. Azmin dipecat keahlian pada Februari 2020 atas dakwaan “pengkhianatan terbuka”.

Gandingan Azmin dan beberapa bekas Ahli Parlimen PKR bersama Bersatu, PAS, dan Barisan Nasional membawa kepada pembentukan kerajaan baharu bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin. Azmin menyertai Bersatu pada Ogos 2020.

Sementara itu, timbalan pengarah komunikasi PKR Selangor, yang juga bendahari PKR Gombak, Zainol Abidin Mohamed, berkongsi di media sosial poster menyatakan Amirudin calon Pakatan Harapan di kerusi berkenaan.

Katanya, PH membuat keputusan tepat meletakkan Aminudin sebagai calon di situ.

“Rakyat Gombak sejak 2008 memilih Pakatan Rakyat dan PH dengan kemenangan majoriti yang besar. Itu bukti kukuh bahawa Gombak ini kubu kuat perjuangan reformasi dan PH.

“Amirudin sosok yang amat sesuai bagi mengembalikan mandat rakyat yang telah dicabuli melalui Langkah Sheraton yang menyaksikan kerusi Parlimen Gombak ini ‘dicuri’ secara khianat tanpa melalui proses demokrasi yang bermaruah,” katanya.

PKR umum Nik Omar tanding di Perak

Alyaa Alhadjri & Hariz Mohd

PKR hari ini mengumumkan anak Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Omar sebagai calon parti itu dalam PRU15 kali ini dan akan diletakkan di Perak.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden PKR Anwar IBrahim dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Turut diumumkan adalah lima lagi calon parti itu, merangkumi ahli akademik, pemimpin belia dan bekas penjawat awam.

Pada PRU lalu, Nik Omar bertanding di DUN Chempaka di Kelantan di bawah tiket Amanah.

Helikopter terhempas di Cameron Highlands

NS Ramli

Sebuah helikopter bersama enam penumpang, termasuk juruterbang, dipercayai terhempas di kawasan Brinchang, dekat Cameron Highlands, hari ini.

Timbalan Pengarah (Operasi) Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, berdasarkan maklumat awal, helikopter itu sedang dalam penerbangan dari tanah tinggi itu menghala ke Ipoh, Perak.

"Pusat gerakan operasi menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira jam 1 petang tadi dan operasi mencari dan menyelamat sudah digerakkan oleh pasukan Bomba Pahang dan Perak.

"Kami dimaklumkan tiga penumpang cedera manakala tiga lagi selamat dan mereka sudah dapat menghubungi ibu pejabat polis (IPD) satu daerah di Perak," katanya ketika dihubungi di Kuantan, sebentar tadi.

Ismail berkata, Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm) dan pasukan pelbagai kemahiran (Must) bomba juga sudah digerakkan ke lokasi pencarian bagi mengesan mangsa.

Katanya, helikopter dari unit udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga sudah bersedia untuk dihantar ke lokasi kejadian, namun bergantung kepada keadaan cuaca semasa.

Hangat pendedahan Mat Sabu: PH tolak cubaan guling Ismail Sabri

Raveena Nagotra

Satu lagi percubaan untuk menggulingkan pentadbiran kerajaan diusahakan sebelum pembubaran Parlimen baru-baru ini, dedah Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Tanpa menyebut nama, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata seorang tokoh politik telah berjumpa dengannya dan Presiden PKR Anwar Ibrahim, antara lain meminta sokongan mereka untuk membentuk kerajaan baharu.

“Kalau Ismail Sabri tak mahu bubar Parlimen, (Yang di-Pertuan) Agong tidak mahu bubar parlimen makna perdana menteri baru akan dilantik. Takkanlah kita nak ikut Britain yang mana seorang perdana menteri ditukar dalam masa 44 hari.

“Dasar Ismail Sabri belum lagi berjalan nak datang perdana menteri baru pula... (Orang) yang nak jadi perdana menteri jumpa kita berkali-kali.

“Mat tolonglah sokong kami kali ini. Saya nak jadi PM, katanya dan jumpa Anwar Ibrahim dan sebagainya,” katanya pada majlis jelajah mega PH di Alor Gajah, Melaka malam semalam.

Namun, katanya, PH menolak permintaan itu.

“Kita kata enough is enough. Tak apa la kamu bubar, kita berdepan pilihan raya.

“Banjir pun nak buat macam mana kalau banjir. Kalau banjir kita berenang ke tempat mengundi. Sebab kalau berlaku banjir itulah kehendak (Presiden Umno) Zahid Hamidi,” katanya.

Dia menambah BN akan menggunakan jentera kerajaan mengangkut penyokong-penyokong mereka ke pusat pengundian semasa banjir.

Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat pada 10 Okt lalu, selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut spekulasi, naib presiden Umno itu menerima tekanan hebat daripada partinya, khususnya daripada Zahid, untuk mengadakan pilihan raya umum tahun ini.

Ini di sebalik penentangan daripada parti pembangkang yang berpendapat bahawa pilihan raya umum perlu diadakan selepas musim tengkujuh yang dijangka berlaku dalam beberapa minggu akan datang.

Bagaimanapun, Umno dan Ismail Sabri turut menyalahkan 12 menteri kabinet daripada Perikatan Nasional yang menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong kerana membantah pembubaran Parlimen.

Ismail Sabri berhujah bahawa kedudukannya menjadi tidak dapat dipertahankan selepas 12 menteri PAS dan Bersatu itu membelakanginya.

Dalam ucapannya, Mat Sabu mendakwa tindakan 12 menteri PN itu sebagai “biadap” kerana menarik balik sokongan kepada Ismail Sabri.

“Sekarang ketua eksekutif ialah Ismail Sabri yang hantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, tiba-tiba 12 menteri kabinet hantar surat, mereka biadap terhadap PM mereka.

“Pengkhianat ini dia khianat kita, dia khianat PM (Ismail Sabri). Sebab itu pengkhianat ini jangan kita percaya. Sekali dia khianat dia akan khianat terus.

“Kita dia khianat, Muhyiddin Yassin, Azmin (Ali)... dia juga khianat Ismail Sabri. Mana boleh (hantar) dua surat kabinet kepada Yang di-Pertuan Agong. Ertinya 12 menteri kabinet termasuk daripada PAS tiga menteri buat undi tidak percaya kepada Ismail Sabri,” kata Mat Sabu.

Untuk rekod, Amanah adalah parti serpihan PAS dan Mat Sabu pernah menjadi timbalan presiden parti itu.