Polis siasat individu minta perlahan azan

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Seberang Perai: Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung isu seorang lelaki meminta jemaah masjid di Sungai Puyu, Butterworth, di sini, memperlahankan azan sehingga ia tular di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya terkesan melalui media sosial hari ini, berhubung penyebaran menuntut masyarakat Islam memberi sokongan dan bantahan berkaitan isu pembesar suara laungan azan di Sungai Puyu, Butterworth, di sini.

Menurutnya, sebelum ini, pada 28 Jun lalu, satu laporan polis dibuat oleh seorang lelaki berkaitan tindakan lelaki yang tidak dikenali meminta pengadu untuk memperlahankan bunyi azan kerana mendakwa terlalu kuat sehingga mengganggu penduduk sekitar.

"Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba mensensasikan atau membuat provokasi kemarahan yang boleh menimbulkan isu perkauman atau pun kegusaran awam," katanya dalam kenyataan malam ini.

Siti Nor Salawati berkata, pihak polis boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

MP Pasir Gudang Hassan Karim menggesa Anwar Ibrahim mendedahkan identiti mereka yang berpakat mahu menjatuhkannya

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menyifatkan “geng kaya” yang mengugut dan mahu menjatuhkan kerajaan perpaduan seperti yang didakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai “mafia politik”.

Hassan berkata, walaupun ugutan itu boleh dianggap sebagai satu kesalahan jenayah tetapi beliau mencadangkan perdana menteri tidak perlu menggunakan menggunakan polis dan undang-undang untuk berdepan mereka.

“Sebaliknya dedahkan mereka ke pengetahuan umum untuk dinilai rakyat,” katanya menurut Berita Harian.

Katanya, Anwar perlu mendedahkan siapa “geng kaya” itu dan bagaimana mereka boleh memperoleh kekayaan yang luar biasa.

“Adakah mereka kapitalis kroni? Adakah mereka pemilik monopoli permit import (AP)? Adakah mereka dalam senarai Pandora Papers dan Panama Papers?

“Adakah mereka pemilik syarikat besar yang pernah di’bailout’ oleh kerajaan? Adakah mereka ada rekod lari dan mengelakkan diri dari membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri? Adakah mereka ada kes rasuah?” katanya.

Dalam satu ucapan di Pulau Pinang semalam, Anwar mendedahkan ada ugutan yang beliau terima daripada ‘geng-geng kaya-raya’ ketika kerajaan berusaha ‘membersihkan’ negara.

“Keadaan susah jadi kita patut bersihkan negara ini daripada kerja rasuah dan penyelewengan. Macam-macam ugutan saya terima. Geng-geng kaya-raya ini dah berpakat,” katanya.

PKR Kedah: PH tanding lebih kerusi di Kedah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) dijangka bertanding 20 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) bertanding 15 kerusi, menjelang PRN Kedah, kata Pengarah Pilihan Raya PKR negeri, Phahrolrazi Zawawi.

Katanya, bagaimanapun satu lagi baki kerusi belum diputuskan.

Beliau berkata, PKR kemungkinan bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), selain Amanah lapan kerusi dan DAP kekal dua kerusi.

“Saya berharap PKR akan diberikan satu lagi kerusi tambahan kerana terdapat satu kerusi masih dalam rundingan antara PH dan BN. Pada PRU14 lalu, PKR bertanding 10 kerusi dan menang tujuh DUN.

“Ketika itu Bersatu pun banyak bertanding, jadi kerusi ditandingi Bersatu kebanyakannya ditawar kepada BN dalam PRN ini,” katanya menurut Sinar Harian.

Menurut laporan itu yang memetik sumber, baki satu kerusi itu merujuk DUN Suka Menanti.

Phahrolrazi berkata, secara keseluruhan kerusi ditandingi PH melebihi jumlah kerusi BN.

“Agihan agak seimbang, kemungkinan PH letakkan calon di 20 kerusi dan BN 16 kerusi atau selepas rundingan dimuktamadkan, beranjak kepada PH sebanyak 21 kerusi dan BN (15),” katanya.

Beliau yang sebelum ini bekas Adun Alor Mengkudu menyerahkan kepada parti sama ada PKR akan menamakannya sebagai calon.

Phahrolrazi sebelum ini merupakan ketua Amanah Kedah, namun dipecat kerana didapati melanggar perlembagaan parti berhubung penamaan calon pada PRU15.

“Saya tak berkecil hati (tidak menjadi calon), terserah pada parti. Saya tak bertanding pun tak ada masalah, sebab saya akan fokuskan perhatian kepada jentera parti ke setiap DUN Kedah (selaku pengarah pilihan raya) untuk menang lebih kerusi,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi PH Kedah, Mahfuz Omar memaklumkan, kerusi DUN Alor Mengkudu dimenangi Phahrolrazi pada PRU14 akan ditandingi parti itu berikutan ia kuota Amanah.

Kaki wanita terpaksa dipotong selepas tersangkut pada eskalator lapangan terbang

Astro Awani

Kaki wanita terpaksa dipotong selepas tersangkut pada eskalator lapangan terbang

Pasukan perubatan sedang cuba membantu mangsa yang tersangkut kaki pada eskalator selepas dihempap bagasi ketika berada di atas tangga bergerak di antara pintu berlepas 4 dan 5. -Facebook Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang

BANGKOK: Seorang wanita terpaksa dipotong sebahagian kakinya selepas tersangkut pada eskalator di sebuah lapangan terbang di sini pada pagi Khamis.

Prosedur kecemasan itu dilakukan pasukan perubatan di lapangan Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang sebelum dia dikejarkan ke Hospital Bhumibol Adulyadej.

Mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Antarabangsa Bumrungrad yang memaklumkan bahawa kaki wanita itu boleh disambung semula, lapor laman berita Thaiger.

Pengarah lapangan terbang Karun Thanakunjeeraphat dalam sidang media pada petang Khamis berkata tangga bergerak yang dikeluarkan syarikat Hitachi itu telah beroperasi sejak 1996.

Karun berkata pihak lapangan terbang sudah mempunyai rancangan untuk menggantikan beberapa eskalator lama menjelang 2025, namun mungkin akan mempercepatkan proses penggantiannya sekarang.

Difahamkan wanita muda itu dalam perjalanan untuk menaiki penerbangan ke Nakorn Sri Thammarat di selatan Thailand ketika tragedi itu berlaku pada pagi Khamis.

Rakaman kamera keselamatan di lapangan terbang menunjukkan mangsa terjatuh selepas dihempap bagasi ketika berada di atas tangga bergerak di antara pintu berlepas 4 dan 5, lapor The Nation.

Kaki mangsa tersangkut di tepi eskalator selepas terjatuh, dan dia dilihat mengalami kesakitan teruk ketika bergelut untuk melepaskan kakinya.

Pihak pengurusan lapangan terbang dalam pada itu melahirkan rasa simpati mereka kepada mangsa dan berjanji akan membayar bil perubatan serta membayar pampasan atas kehilangan sebahagian kaki kirinya, menurut catatan di laman Facebook lapangan terbang itu.

Ketua pemuda UMNO terus bidas menteri yang buat kecoh di KLIA

Menteri perlu tahu garis bidang kuasa, bukan hentam sesuka hati - Dr Akmal
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemuda Umno hari ini membangkitkan beberapa persoalan yang perlu dijawab berkaitan campur tangan seorang menteri dalam isu pelancong dari China yang ditahan Jabatan Imigresen (JIM), di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Ketuanya Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, persoalan itu dibangkitkan pihaknya agar rakyat dapat mengetahui kisah yang sebenarnya berlaku.

"Adakah notis NTL (not to land) yang dikeluarkan ke atas individu yang ditahan atas faktor dokumen tidak lengkap?

"Jika notis NTL itu sudah dikeluarkan, adakah ia ditarik balik setelah campur tangan pihak ketiga?

"Dan jika ditarik balik, atas faktor apakah ia ditarik balik? Adakah dari kesilapan pegawai yang mengeluarkan notis NTL sebelum itu? "Atau secara tiba-tiba dengan campur tangan pihak ketiga menjadikan dokumen individu ditahan itu terus menjadi lengkap?" katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, jika segala tuduhan yang dilontarkan oleh menteri kepada pegawai imigresen ini tidak benar, beliau meminta individu terbabit membuat laporan polis.

Katanya, ia bagi menjaga nama JIM dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap jabatan itu.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan, beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasa untuk membebaskan wanita asing seperti yang didakwa, sebaliknya mendakwa pelancong dari China itu ditahan JIM tanpa sebarang sebab.

Beliau dilapor berkata, wanita itu ditahan kerana didakwa tidak mempunyai butiran tempat tinggal dan tiada tiket pulang semula ke negara asal.

Bagaimanapun, beliau dipetik berkata, butiran berkenaan sebenarnya tersimpan di dalam telefon bimbit milik wanita terbabit yang ketika itu dirampas oleh pegawai Imigresen.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau turut menasihatkan agar Tiong mengetahui garis bidang kuasa menteri dan tidak 'main hentam' sesuka hatinya.

"Sekiranya ada unsur rasuah sekali pun, menteri seharusnya mempunyai banyak cara dan yang paling berkesan adalah boleh terus berhubung dengan YB menteri KDN (Kementerian Dalam Negeri).

"Bawa ke dalam mesyuarat Kabinet, bukan masuk dan marah sesuka hati pegawai yang sedang bertugas dan menuduh pegawai tanpa bukti yang kukuh.

"Mereka juga ada hati dan perasaan yang perlu dijaga," katanya.

BN tanding 45% kerusi DUN, PH 55% - Zahid Hamidi

Bernama

Barisan Nasional (BN) dijangka bertanding 45 peratus daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN), manakala selebihnya akan ditandingi oleh Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dibuat, berdasarkan kedudukan semasa kerusi yang dimenangi oleh BN dan PH, pada pilihan raya umum yang lepas.

“Ini berdasarkan kepada kerusi (DUN) yang sedia ada, yang dimenangi oleh PH... Sebab itu peratus itu lebih kepada parti komponen dalam PH.

“Kita akan umum statistik (sebenar) apabila keputusan terakhir dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Korban Perdana dan Jamuan Rakyat BN di Pantai Penunjuk dekat Chukai, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata BN akan bertanding lebih 100 kerusi DUN dan keputusan akhir akan dibuat oleh beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam masa terdekat.

PRN akan datang membabitkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

“Saya dan perdana menteri akan berbincang buat kali terakhir pada minggu hadapan bagi seluruh enam negeri... kawasan bertindih juga kita telah dapat selesaikan.

“Insya-Allah lepas ni kita akan selesaikan pula tentang calon bagi kerusi yang diperuntukkan kepada BN dan PH. Biro politik telah ambil keputusan, setiap DUN, pihak perhubungan negeri akan kemuka sekurang-kurangnya tiga calon,” katanya.

Ahmad Zahid berkata setiap calon bukan sahaja akan melalui saringan daripada aspek boleh menang, malah penelitian akan turut dibuat di peringkat Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Mahkamah Syariah.

“Kita akan lakukan saringan bukan hanya dari segi kebolehmenangan, kebolehterimaan dan bagaimana pengundi beri dukungan kepada calon-calon.

“Apabila senarai pendek telah dibuat, kita akan buat juga saringan kesihatan bagi menentukan setiap calon bersih dari segi lahiriah, fizikal dan mempunyai tahap kesihatan yang baik,” katanya.

Mengenai kriteria pemilihan calon, beliau berkata golongan muda menjadi antara elemen utama dalam pemilihan calon, bagi membuktikan bahawa kerajaan BN-PH mendengar denyut nadi pengundi muda.

“Kita lihat daripada PRN Melaka dan Johor, memperlihatkan kebolehmenangan muka baharu telah terbukti... Ini memperlihatkan cita rasa terutama pengundi baharu dalam kalangan umur 40 ke bawah, terutama usia 18, 19 dan 20 tahun.

“Mereka mahu cita rasa dan denyut nadi mereka (golongan muda) diambil keprihatinan oleh parti yang akan memerintah nanti. Dalam perkara ini BN khususnya UMNO kira ini elemen penting untuk raih kemenangan di DUN,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan pelancaran jentera parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan akan bermula pada 7 Julai ini di Selangor, diikuti negeri-negeri lain.

Beliau berkata secara dasarnya, tarikh serta tentatif program telah ada dan akan dipanjangkan kepada setiap badan perhubungan negeri untuk tindakan persediaan.

- Bernama

UMNO paling gelap, tidak mungkin pulih - KJ

Mahani Ishak
am@hmetro.com.my

Cheras: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan UMNO adalah tempat paling gelap dan parti itu tidak mungkin pulih daripada keadaannya buat masa sekarang.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, parti yang pernah disertainya lebih 20 tahun lalu juga disifatkan berada dalam kegelapan selama-lamanya.

"Saya tak tahu mengenainya (peluang cerah jika menunggu memasuki semula UMNO atau menyertai Perikatan Nasional (PN), tetapi saya rasa UMNO sudah tergelincir daripada perjuangan asal.

"Saya tak pasti (UMNO) dapat pulih daripada (keadaan) ini. Sudah pasti itu parti dekat di hati kerana saya bersamanya lebih daripada 20 tahun, tetapi saya percaya parti itu berada dalam kegelapan selama-lamanya," katanya ketika hadir program Future Leaders Empowerment Series (FLES) di UCSI University di sini, tadi.

Khairy turut berkongsi pengalaman memasuki universiti di United Kingdom pada era 1990-an dan bersama dalam program bual bicara itu, Ketua Pengarah Youth Beyond Boundaries, Kingsly Cheah.

Pada Januari lalu, Khairy yang juga sebelum ini Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, dipecat keahliannya daripada UMNO.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, ditanya mengenai namanya disebut-sebut bakal bertanding di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Khairy hanya menjawab perkara itu sudah dijawab sebelum ini.

"Saya sudah bercakap mengenainya sebelum ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan bekas Menteri Kesihatan itu dilaporkan tidak akan menubuhkan parti baharu atau menyertai BERSATU buat sementara waktu dan juga tidak akan bertanding dalam pilihan raya di enam negeri.

Khairy bagaimanapun dilaporkan akan memberi sokongan kepada PN, termasuk membantu pakatan politik itu berkempen dalam pilihan raya enam negeri yang bakal diadakan.

Sementara itu, Khairy hanya mengatakan beliau akan melihat terlebih dulu ketika ditanya mengenai kemungkinannya bersara daripada dunia politik.

"Tunggu dan lihat," katanya ringkas.

Agus Yusoff: PAS paling banyak buat fitnah

Malaysiakini 

PAS merupakan parti politik paling banyak membuat fitnah dan terkait dengan saman di mahkamah, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Mohammad Agus Yusoff.

Menulis di Facebook, Mohammad Agus menyenaraikan permohonan maaf dibuat pemimpin PAS selepas melakukan sesuatu dakwaan kepada musuh politik mereka.

Antaranya, permohonan maaf oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria kepada Anwar Ibrahim kerana mendakwa perdana menteri itu membawa agenda songsang LGBT dan menyokong agenda komunis.

Menurutnya pada 22 Jun lalu, Adun Kubu Gajah, Khalil Yahaya memohon maaf kerana mendakwa perdana menteri melantik ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai pengerusi Felda.

Terbaru pada 25 Jun lalu, katanya, akhbar Harakah Daily pula memohon maaf kerana mendakwa bekas ahli DAP, Mohamed Razali Abd Rahman pernah menjadi penasihat khas Lim Guan Eng.

"Jika hendak disebutkan, senarai fitnah PAS paling banyak," kata Mohamad Agus yang turut menyenaraikan kes saman fitnah terhadap pemimpin PAS sejak 2017.

Agus berkata sebagai sebuah parti Islam, PAS sepatutnya membawa akhlak yang baik dan bukannya membuat persepsi serta tanggapan tanpa bukti.

"Tidak setuju, kritiklah. Jangan berkempen berunsur fitnah, perkauman, penghinaan dan unsur-unsur yang bercanggah dengan nilai Islam," katanya.

Menurutnya, perbuatan itu menjadi semakin berleluasa setiap kali menjelang pilihan raya.

Tambahnya, PH dan BN merupakan parti paling kerap difitnah dengan tujuan menakutkan rakyat supaya tidak menyokong kerajaan perpaduan sekarang.

Misalnya, katanya, DAP didakwa mengancam kedudukan Melayu-Islam, dituduh mahu menukar Malaysia menjadi republik serta menghapuskan raja berperlembagaan dan Islam sebagai agama rasmi.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pemimpin PAS, Mohammad Agus berkata tugas ulama sepatutnya menjadi contoh dan teladan kepada bukan Islam.

"Kerja ulama menyeru orang supaya beriman, jauh dari mungkar, buat kebaikan. Tunjukkan contoh kepada bangsa lain dengan akhlak yang baik supaya Islam dipuji dan dihormati.

"Demi generasi masa depan, hentikan politik fitnah. Ia budaya politik kotor dan keji.

“Fokus kepada usaha membina Malaysia yang lebih baik," katanya yang menyeru golongan muda menolak politik fitnah.

Kelantan: Wanita lemas jatuh bot, suami dan anak saudara hilang

FMT Reporters
Lokasi kejadian di Sungai Kelantan di mana seorang wanita ditemui lemas, manakala suami dan anak saudaranya hilang selepas terjatuh bot. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang wanita ditemui lemas, manakala suami dan anak saudaranya hilang selepas terjatuh bot di Sungai Kelantan, Kampung Kutan Hulu, Tumpat, petang semalam.

Wanita itu dikenali Nor Awadah Sulong, 30, manakala mangsa hilang ialah Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, dan Amrullah Fitri Afendi, 10.

Anak perempuan pasangan itu yang berusia 14 bulan, Wan Nur Ameena Wan Muhamad Najmi terselamat dalam kejadian kira-kira 6.45 petang.

Ketua Polis Tumpat, Amran Dolah berkata kejadian dipercayai berlaku ketika keluarga terbabit menaiki bot untuk bersiar-siar sebelum enjin terpadam secara tiba-tiba menyebabkan mangsa terpelanting ke dalam sungai.

“Ahli keluarga mangsa yang berada di tebing sungai segera ke lokasi menaiki bot dan menyelamatkan mangsa wanita serta bayi perempuan terbabit, sebelum dibawa ke tebing.

“Bagaimanapun, mangsa wanita disahkan meninggal dunia, manakala bayinya selamat dan mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat,” katanya menurut Berita Harian.

Amran berkata, operasi mencari dan menyelamat malam tadi hanya membabitkan pemantauan di permukaan sungai, manakala selaman akan dijalankan pagi ini bagi mencari dua mangsa hilang.

PMX: Tak sokong PAS musuh Islam? pasal apa arwah TGNA sokong saya dan saya bukan ahli PAS

Tak sokong PAS musuh Islam? Pemimpin PAS kena jawab - PM

Malaysiakini 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pemimpin mahupun Dewan Ulama PAS, untuk membetulkan beberapa kenyataan dikeluarkan penceramah bebas yang menyentuh sensitiviti umat Islam sebelum ini.

Beliau berkata ini termasuk kenyataan bekas Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli baru-baru ini, yang menyatakan bahawa sesiapa sahaja tidak menyokong PAS adalah musuh Allah.

“Apakah benar orang tidak bersama dengan PAS adalah musuh Allah.

"Kalau betul, pasal apa arwah Tok Guru (Tan Sri) Nik Aziz sokong saya dan saya bukan ahli PAS pun. Ini mereka (pemimpin atau Dewan Ulama PAS) kena jawab,” katanya.

Gambar fail, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada program Minum Petang bersama penduduk Kampung Sama Gagah, dekat Permatang Pauh hari ini.

Sebelum ini, Syeikh Muhd Zainul mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan berkait isu 'musuh Allah' ketika program Himpunan Kedah Berselawat pada 24 Jun lepas, namun beliau telah memohon maaf serta mengakui kesilapan mengungkap kalimah berkenaan.

Anwar turut mendesak kepimpinan PAS membetulkan dakwaan lama yang dikeluarkan penceramah bebas itu, antaranya Nabi Adam AS turun di Gunung Jerai, Kedah.

“Dua, dakwaan Saiyiddina Uthman bin Affan sampai di Kedah…kita kata dakwah tapi mengizinkan kepalsuan.

"Betul ke tidak, kalau tidak betul mengapa tidak ditegur,” kata perdana menteri.

- Bernama

PMX: 'Geng-geng kaya' berkomplot mahu jatuhkan kerajaan perpaduan

Nur Izzati Mohamad
bhnews@bh.com.my

BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa beliau menerima pelbagai ugutan daripada 'geng kaya' yang sedang berpakat untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya kini.

Tanpa mendedahkan secara terperinci siapa dimaksudkan dengan 'geng kaya' itu, Perdana Menteri berkata beliau bagaimanapun tidak terkesan dengan ugutan itu dan akan terus lawan untuk mempertahankan prinsipnya demi rakyat.

Katanya, sepanjang tujuh bulan mentadbir beliau juga tidak menggunakan apa-apa kelebihan untuk memberi kekayaan kepada isteri dan anak-anaknya.

"Saya lalui liku-liku hidup susah dan orang Permatang Pauh juga faham. Ketika ini hutang negara cecah RM1.5 trilion menjadikan keadaan susah.

"Jadi kita perlu bersihkan negara ini daripada kerja-kerja rasuah yang menyebabkan pelbagai ugutan saya terima daripada geng-geng kaya yang sedang berpakat dengan menggunakan agenda 'Hidup Melayu'.

"Saya tiada masalah (pakatan geng kaya) yang mana saya kini lawan tetap lawan untuk mempertahankan prinsip ini," katanya ketika berucap pada majlis kenduri korban di luar perkarangan Masjid Jamek An Nur Kampung Guar Perahu, di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat bersama jemaah masjid berkenaan sebelum meninggalkan majlis.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau juga tidak mempunyai sebarang dendam terhadap mana-mana individu khususnya pemimpin kerajaan terdahulu sepertimana didakwa.

"Orang kata Anwar ini tidak ada kerja lain, cakap pasal rasuah sebab nak balas dendam.

"Saya tak dendam, siapa yang disiasat oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dia yang jawab dan jelaskan serta bukan saya yang arahkan.

"Ini setiap kali ada kes rasuah, kata Anwar yang arahkan sedangkan (Perdana Menteri) ada banyak kerja lain perlu buat," katanya.

Sementara itu, Anwar turut meminta rakyat membuat penilaian dengan adil walaupun mendengar pelbagai 'cakap-cakap' luar yang terus menabur fitnah terhadap pentadbirannya.

Tegasnya, rakyat juga harus tahu membezakan antara fitnah dan serangan politik yang kerajaan ketika ini sedang giat memulihkan keadaan negara yang rosak teruk.

"Boleh kritik, bukan semua saya buat betul...adakalanya ada kelemahan yang saya tak tahu, tetapi cerca dan fitnah memang tak boleh...tak kira dia pakai kopiah, ketayap dan kot," katanya.

Menteri dedah kepincangan dan rasuah di KLIA

Menteri akui kekecohan: Kehadiran saya bongkar rasuah di KLIA
Raveena Nagotra

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tiong King Sing mengakui dirinya menteri yang dimaksudkan dalam kekecohan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Bagaimanapun, kata Tiong kehadirannya di sana telah mendedahkan rasuah di kalangan pegawai di lapangan terbang.

"Saya bersyukur, kerana kehadiran saya telah membongkar satu peristiwa yang memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.

"Pada mulanya saya tidak mahu mendedahkan perkara ini kerana sedang bertindak mengikut saluran serta platform yang lebih praktikal.

"Namun disebabkan isu ini tular dan ramai pengamal media menghubungi saya, maka ini penjelasannya,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Tiong menafikan dakwaan yang menuduhnya melepaskan pelancong asing yang ditahan oleh pihak imigresen.

"Saya tiada kuasa untuk itu, dan saya hanya merosakkan reputasi saya sendiri jika berbuat demikian," katanya.

Jelas Tiong, warga China yang dibelanya sebenarnya ditahan tanpa diberi alasan atas sebab-sebab penahanannya.

Ada pas masuk

Katanya, masalah timbul apabila kedua-dua, pihak pegawai imigresen dan pelancong asing tersebut mempunyai masalah komunikasi.

"Dimaklumkan bahawa pelancong tersebut telah lengkap segala dokumentasi namun kegagalan komunikasi kedua pihak mengagalkan pihak imigresen mendapatkan dokumen yang diperlukan dari pihaknya," katanya.

Penjelasan Tiong dibuat selepas laporan BebasNews mendakwa seorang menteri yang tidak dinamakan telah menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa untuk mempertahankan seorang warga China yang dilarang memasuki Malaysia.

BebasNews, memetik sumber, melaporkan menteri berkenaan mengetahui kejadian itu dan memasuki balai ketibaan KLIA tanpa terlebih dahulu memohon pas.

"Sedangkan saya memiliki pas yang sah untuk memasuki kawasan tersebut.

“Jadi mengapa perlu memperbesarkan isu ini dengan memberi persepsi yang salah," soal Tiong.

"Saya masih waras dan tahu batas-batas sebagai seorang menteri pelancongan, seni dan budaya (Motac). Apa guna saya sebagai menteri sekiranya saya tidak memberi tumpuan serius terhadap kepentingan negara, tambahan pula ia menjejaskan imej negara dan menakut-nakutkan pelancong asing?

"Jika kita tidak serius dalam isu ini sekarang, sampai bila-bila pun ia tidak akan diselesaikan.

"Mungkinkah ada segelintir pegawai takut jika perkara ini terbongkar sehingga memberi kesan kepada kepentingan peribadi mereka," soalnya.

Menurut Tiong, dia telah melobi penterjemah untuk warga asing dari Timur Tengah, China dan India seawal Mac lagi untuk menyelaraskan proses ketibaan dan memastikan kecekapan.

"Timbul persoalan, kenapa mereka menolak penterjemah yang telah disediakan oleh pihak Malaysia Airports Holding Berhad (MAB)?

"Dalam lawatan ke KLIA itu, saya turut membawa pegawai siasatan dari unit integriti di bawah Motac.

"Saya merasakan sudah tiba masanya pasukan SPRM masuk ke KLIA1 secara besar-besaran untuk menyiasat apa yang berlaku di pintu masuk utama negara ini," katanya.

Menteri itu berkata menjadi isu biasa mengenai warga asing yang tiba ke Malaysia dan telefon bimbit mereka dirampas dan tidak diberi alasan untuk penahanan mereka.

"Saya juga mendapat maklumat bahawa adanya pegawai yang mengubah akta yang termaktub dalam perundangan mereka sesuka hati ketika di lapangan.

Pegawai minta wang

"Malah, wanita yang ditahan tersebut juga tidak diberikan makanan yang sewajarnya ketika ditahan dan ini jelas melanggar undang-undang.

"Saya difahamkan wanita tersebut diberi makan hanya sekali sahaja dalam tempoh 15 jam sepanjang ditahan," katanya.

Kata Tiong, dia akan menyerahkan semua maklumat berkaitan kepada SPRM supaya siasatan dapat dijalankan seterusnya dapat memulihkan imej Malaysia terutamanya di pintu masuk negara.

"Saya turut diberitahu bahawa ada pegawai imigresen yang meminta wang diberikan sekiranya pelancong asing yang ditahan mahu dilepaskan.

"Ada yang minta sehingga RM3,000 untuk dikeluarkan dari tahanan termasuk tiket penerbangan pulang ke negara asal.

"Tambahan RM3,000 pula diminta jika mahu pulang ke negara asal dengan kadar segera menerusi ‘laluan khas’, manakala RM12,000 untuk kos memproses visa," katanya.

Sayap Bersekutu Bersatu bergolak?

B Nantha Kumar

Sayap Bersekutu Bersatu dikatakan sedang bergolak selepas sekurang-kurangnya tiga pemimpin penajanya dipecat serta merta.

Ini di tengah-tengah persiapan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Penolong Setiausaha Sayap Bersekutu Bersatu Dr Richard Ng memaklumkan perkara tersebut melalui satu surat bertarikh 16 Jun 2023.

Katanya, dia mendapat arahan bahawa pelantikan ahli jawatankuasa penaja Sayap Bersekutu Bersatu Kebangsaan yang sedia ada telah ditamatkan berkuatkuasa serta merta.

"Satu jawatankuasa penaja yang baru sedang dalam proses pelantikan.

"Sehubungan dengan itu, pemimpin yang dipecat diminta untuk tidak menggunakanjawatan yang lama dalam sebarang surat-menyurat dan komunikasi dengan masyarakat," kata Ng dalam surat tersebut.

Namun, surat itu tidak menjelaskan siapa yang memberikan arahan pemecatan tersebut. Surat itu juga tidak menyebut nama pemimpin yang dipecat.

Beberapa sumber parti Bersatu memberitahu Malaysiakini bahawa tiga pemimpin tersebut ialah naib ketua sayap bersekutu parti Dr Mahaganapathy Dass, ketua penerangannya S Subramaniam dan ahli jawatan kuasa MU Raja.
Ketika dihubungi, S Subramaniam (gambar, atas) mengesahkan dia telah melihat surat tersebut.

"Ya, saya boleh sahkan melihat surat tersebut. Ini adalah 'pemecatan' kedua saya dalam masa tiga minggu.

"Kali pertama, saya dimaklumkan menerusi teks WhatsApp sahaja. Kali ini surat dikeluarkan tanpa menyebut nama pemimpin yang dipecat.

"Saya menerima keputusan Chong untuk memecat saya kerana melantik dan memecat seseorang AJK adalah kuasa beliau tetapi saya mengharapkan Chong dapat memberikan alasan yang kukuh ke atas pemecatan saya kerana pemecatan tanpa alasan akan memberikan impak yang tidak baik," katanya merujuk pengerusi Sayap Bersekutu Bersatu.

Kata Subramaniam, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, MU Raja pula berkata dia masih belum menerima surat pemecatan.

"Saya tidak menerima sebarang surat. Bagi saya, saya masih AJK Bersekutu," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi pengerusi sayap Bersekutu Chong Fat Full untuk mendapatkan komen.

Bersekutu Bersatu ditubuhkan pada 2021, selaku sayap dalam parti yang mewakili ahli bukan bumiputera.

Pemuda Umno desak Anwar pecat menteri buat 'kecoh' di KLIA

Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
khairil.ashraf@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular di media sosial menunjukkan kekecohan yang berlaku membabitkan seorang menteri. FOTO video Tular
TANGKAP layar video tular di media sosial menunjukkan kekecohan yang berlaku membabitkan seorang menteri. FOTO video Tular
Kuala Lumpur: Pemuda Umno hari ini mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan terhadap seorang menteri yang didakwa menceroboh dan membuat kecoh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan, jawatan menteri itu seharusnya dilucutkan kerana tindakan yang dibuat sama sekali tidak boleh diterima oleh semua rakyat Malaysia.

"Tiada siapa pun boleh mengatasi undang-undang. Waima siapa dan apa sekalipun jawatan kamu.

"Saya mohon untuk YAB (Yang Amat Berhormat) Perdana Menteri untuk mengambil tindakan terhadap kelakuan menteri yang tidak wajar ini.

"Seharusnya dilucutkan jawatan sebagai menteri. Sama sekali tidak boleh diterima oleh semua rakyat Malaysia," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Sebelum ini, seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membebaskan pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.

Kejadian itu turut tular di media sosial apabila menteri terbabit dikatakan masuk ke ruangan itu tanpa memohon pas keselamatan.

Perbuatannya dipercayai bagi 'menyelamatkan' seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini sebaik tiba di lapangan terbang.

Perkara itu kemudiannya mendapat reaksi Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang meminta kerajaan termasuk pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya kesal dengan tindakan itu sekiranya benar berlaku kerana membabitkan pelanggaran protokol keselamatan negara serta mengganggu tugas penjawat awam.

Muhamad Akmal yang yang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau turut menegur perbuatan yang dilakukan oleh menteri berkenaan.

"Menteri bukan bermakna kamu boleh melakukan apa sahaja, menteri bermakna kamu perlu bekerja dan melaksanakan amanah rakyat bukan sebaliknya," katanya.

Tuan Ibrahim sebar fakta salah berkenaan konsep politik Islam

Wan Ji Wan Hussin

Tidak lama selepas tersebar video bahawa Ahli parlimen Jasin mempersoalkan status akidah Muslim bagi rakyat yang bukan ahli PAS, tersebar pula video ceramah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Tuan Ibrahim yang menyebut beberapa nama sahabat Nabi, lalu mendakwa bahawa mereka adalah ahli politik.

Selepas itu pula, berlaku himpunan PAS Kedah melibatkan Menteri Besar Kedah. Ustaz Zainul Asri yang merupakan tokoh agama terkenal di Kedah telah mengeluarkan kenyataan yang boleh memberi kesan bahaya pada sudut keamanan negara, iaitu apabila menampilkan bahawa kalangan yang berusaha hendak mengalahkan PAS di Kedah sebagai musuh Allah.

Bahaya

Menuduh musuh Allah kepada kalangan yang berbeza memberikan implikasi yang tidak baik kepada budaya bermasyarakat. Tuduhan musuh Allah akan membawa kepada kepercayaan bahawa menentangnya adalah jihad dan mati terbunuh pula adalah syahid.

Kalau dahulu, Khawarij menggunakan pendekatan yang sama sehingga tercetus pertumpahan darah di era Saidina Ali. Dalam sekitar tahun 1960-an dahulu, negara Mesir tidak membendung tuduhan musuh Allah yang bergema di masjid dan surau menyebabkan Presiden Mesir ke-3 mati terbunuh pada tahun 1981.

Bermula dari pengaruh pemikiran Syed Qutb menerusi buku bertajuk “Ma’alim Fi al-Toriq”, menyebabkan lahir idelog-idelog teroris seperti Soleh Sirriyyah dengan menulis buku bertajuk “Risalah al-Iman” dan Muhammad Abdul Salam Faraj dengan menulis buku bertajuk “al-Faridhah al-Ghaibah”.

Soleh Sirriyyah yang merupakan pengasas kepada gerakan bernama Jabhah al-Tahrir yang dijatuhkan hukuman mati pada tahun 1976, pada peringkat awal memulakan tuduh Jahiliyyah kepada pemerintah negara yang tidak melaksanakan hudud dan Qisas yang kemudiannya membawa kepada tuduhan musuh Allah (Usama al-Azhari, 2015).

Muhammad Abd al-Salam Faraj yang merupakan orang yang bertanggungjawab mempengaruhi Khalid Islambuli agar membunuh Presiden Mesir ke-3, Anuar Sadat; beliau menerusi buku “al-Faridhah al-Ghaibah” pula menyatakan bahawa Mesir pada eranya adalah negara kafir yang wajib bagi orang Islam melawan pemerintahan Mesir walaupun dengan angkat senjata sekalipun. (Imarah, 2009)

Pemikiran ini ternyata lebih merbahaya apabila mempengaruhi pemikiran beberapa tokoh teroris seperti Aiman al-Zawahiri (2001) yang merupakan ketua al-Qaeda dengan menulis buku bertajuk “Fursan tahta rayah al-Nabi” dan Omar al-Saif yang menulis buku “al-Idah Lima Fi Dustur al-Yaman” yang kedua-dua buku ini membawa naratif tuduhan kafir, murtad, musuh Islam, jahiliyyah dan toghut kepada Muslim yang terlibat dengan demokrasi.

Politik Islam

Islam tidak pernah berasingan dengan politik. Namun, menghalalkan kejahatan atas nama politik Islam adalah penyelewengan terhadap ajaran Islam.

Permasalahan besar yang berlaku pada PAS, apabila semua tindakan mereka yang bercanggah dengan Islam dipamerkan halal. Lalu mereka menggunakan dalil agama bukan pada tempatnya. Mereka bukan mengikut agama, tetapi agama menjadi hamba abdi mereka untuk halalkan kejahatan mereka.

Apabila Tuan Ibrahim mendakwa sahabat terlibat dengan politik, itu sesuatu hal yang tidak dapat dinafikan, malah diakui sesiapa sahaja yang belajar agama Islam. Tetapi, Tuan Ibrahim tidak bertanggungjawab apabila tidak mentarbiah ahli PAS dengan menyatakan politik yang Islam mahukan bukan kerana sahabat terlibat atau tidak, tetapi politik Islam itu membawa kepada kebaikan rakyat.

Yusuf al-Qaradawi dalam “al-Siyasah al-Syariyyah Fi al-Daw’ Nusus al-Syariah Wa Maqasidiha” mendefinisikan bahawa politik itu adalah melaksanakan sesuatu perkara berasaskan kepada rakyat. Dalam perincian terhadap definisi tersebut, beliau menjelaskan ada dua perkara penting bagi makna politik Islam; pertama, berusaha hilangkan kerosakan yang sedang berlaku (Waqi’). Kedua, berusaha menghapuskan kerosakan yang dijangka bakal berlaku (Tawaqqu’). (Qaradawi, 2005)

Jika dilihat pada definisi politik Islam oleh al-Qaradawi, lalu dibandingkan dengan budaya politik PAS ternyata ia bercanggah. PAS dengan budaya takfir dan menuduh lawan politik mereka sebagai musuh Islam yang diketahui umum boleh membawa kepada permusuhan. Budaya politik wang yang dijenamakan sebagai sedekah tidak kurang bahayanya kerana boleh memberi kesan buruk pada budaya politik rakyat Malaysia untuk jangka masa yang lama.

Dalam buku bertajuk “Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah wa Makarumuha”, politik Islam menurut Allal al-Fasi perlu kepada tiga perkara dasar; Pertama, melaksanakan keadilan serta mengiktiraf keadilan yang dilakukan oleh pihak lain. Kedua, memberikan hak kepada yang berhak. Ketiga, mengurus tadbir rakyat dengan baik. (Alal al-Fasi, 2011).

Jika dilihat pada definisi politik islam oleh Allal al-Fasi pula, juga jelas PAS sendiri tidak menepati dengan konsep politik Islam. Permasalahan air kotor di Kelantan menjadi kegunaan rakyat sudah berpuluh tahun tidak dapat diselesaikan. Dalam usaha mengatasi masalah banjir dan pengurusan hutan sehingga merosakan eko sistem bukan perkara baru dalam pentadbiran di negeri PAS itu.

Penutup

Dalam kitab al-Muwafaqat, Al-Imam al-Syatibi menyatakan bahawa syariah Islam datang untuk membawa kebaikan kepada hamba (al-Syatibi, 1997). Makanya, politik menurut syariah sudah pasti melibatkan pengurusan rakyat agar mereka mendapat kebaikan.

Menimbulkan permusuhan agama dengan tuduhan musuh Islam, tuduhan kafir kepada Muslim, mewujudkan prejudis kaum dan sentimen agama; semua ini bukan konsep politik Islam.

Budaya politik Islam perlu kepada wacana idea dan persaingan polisi, kerana pendekatan sebegini adalah mekanisma untuk memberi kemaslahatan kepada rakyat untuk kebaikan mereka di dunia dan akhirat.

Tercampak dalam MPV, penunggang motosikal kuasa tinggi maut

FMT Reporters
Dalam kejadian di Ipoh, tengah hari tadi, seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut setelah tercampak masuk ke dalam sebuah MPV selepas berlanggar dengannya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut setelah tercampak masuk ke dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) selepas berlanggar dengannya dalam kejadian di Ipoh tengah hari tadi.

Dalam kejadian pada 12.35 tengah hari di Jalan Tambun berhampiran Taman Industri Halal Mara itu, Mohd Farid Mohd Yusoff, 35, yang menunggang motosikal jenis Kawasaki, maut di lokasi.

Pemandu Proton Exora berusia 45 tahun yang terbabit cedera dan dirawat di Zon Merah Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Menurut Ketua Polis Ipoh Yahaya Hassan, nahas dipercayai berlaku apabila MPV yang datang dari arah Ipoh menghala ke Tanjung Rambutan ingin membelok ke kanan, masuk ke Jalan Pinggiran Perpaduan 1.

Pada masa sama, motosikal ditunggang Mohd Farid dari arah bertentangan tidak sempat membrek, menyebabkannya melanggar MPV terbabit di bahagian pintu penumpang hadapan.

Yahaya berkata, pelanggaran itu menyebabkan Mohd Farid tercampak masuk ke dalam MPV itu yang kemudian hilang kawalan lalu terbabas di tepi jalan.

“Selepas perlanggaran, MPV itu mula terbakar tetapi berjaya dipadamkan dengan bantuan orang awam menggunakan pemadam api,” katanya, lapor Berita Harian.

Punca kejadian masih dalam siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mansuh 80% hutang, peneroka Felda tarik nafas lega

Malaysiakini

Langkah kerajaan menstruktur semula pinjaman Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), dilihat mampu memperbaiki aliran tunai agensi itu, sekali gus memberi manfaat besar kepada kebajikan dan kesejahteraan terhadap golongan peneroka.

Ketua Peneroka Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff, berkata usaha yang dilakukan menerusi perjanjian melibatkan Jaminan Kerajaan itu, dapat mengurangkan prinsipal hutang agensi itu bersama institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion serta memberi suntikan semangat baru kepada generasi baru peneroka Felda.

Ini kerana, katanya, pendapatan yang diperoleh tidak lagi hanya disalurkan untuk membayar hutang semata-mata tetapi juga sebagai keuntungan.

“Dengan pemansuhan 80 peratus hutang itu, peneroka mendapat pendapatan bulanan yang lebih serta kebajikan kembali terjaga dan Felda juga dapat bernafas (tiada hutang),” katanya kepada Bernama, hari ini.

Felda mampu bina rizab tunai

Felda ketika ini mempunyai lebih 120,000 peneroka membabitkan di 317 tanah rancangan di seluruh negara.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kami Anak Felda, Fakhurrazi Mohd Habib, berkata dengan penstrukturan semula pinjaman itu, Felda kini mampu membina semula rizab tunai yang boleh digunakan untuk menampung kos pendahuluan pengurusan ladang kepada peneroka, sekiranya hasil tidak memberangsangkan.

Katanya, ketika ini, peneroka kini terpaksa membayar potongan pendahulan tersebut secara penuh, walaupun hasil tidak memberangsangkan berikutan Felda tidak mempunyai rizab tunai yang mencukupi untuk menangguhkan potongan itu seperti yang diamalkan agensi itu sebelum ini.

“Sekarang ini Felda melakukan potong terus pendahuluan kos operasi, tidak seperti sebelum ini. Apabila kewangan kukuh, agensi itu mampu tangguhkan potongan itu jika pendapatan peneroka tidak berapa banyak selain dapat memberikan pelanjutan potongan hutang,” katanya.

Menurutnya, langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menandatangani Jaminan Kerajaan itu juga menunjukkan keprihatinan Kerajaan Madani kepada peneroka sekali gus dapat membantu Felda kembali kepada landasan asal penubuhannya.

Ketua Peneroka Felda Wilayah Sahabat, Sabah, General Linjal, pula berkata Jaminan Kerajaan itu membantu golongan peneroka meningkatkan taraf ekonomi mereka selain dapat memulihkan kembali kedudukan kewangan Felda.

“Perkara ini satu langkah baik jika dapat dilaksanakan, ini dapat memulihkan kedudukan kewangan bukan sahaja kepada pihak pengurusan tetapi manfaat positifnya iaitu pengurangan 80 peratus hutang peneroka dapat diterima lebih 1,000 peneroka di Sabah, maka mereka (peneroka) tiada lagi alasan untuk keluar," katanya.

Inisiatif tersebut untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan agensi itu.

Jaminan Kerajaan itu juga mengurangkan kos kewangan Felda terhadap kadar faedah yang dikenakan serta membolehkan agensi itu memberi pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang dilaksanakan pada 2021.

- Bernama

'DUN dah bubar tapi Hilman

Malaysiakini 
Bekas Adun Gombak Setia Hilman Idham didakwa melanggar ketetapan bahawa bangunan kerajaan tidak boleh digunakan untuk tujuan politik kerana enggan mengosongkan premis bekas pusat khidmatnya.

"Setelah Dewan Negeri Selangor bubar pada 23 Jun 2023, notis pengosongan diberikan pada 27 Jun kepada pusat khidmat masyarakat yang bertapak di atas tanah kerajaan, termasuk di DUN Sungai Tua dan DUN Hulu Kelang.

"Kedua-dua pusat khidmat masyarakat ini telah akur kepada notis itu dan mengosongkan tapak masing-masing kerana penetapan Kerajaan Negeri adalah supaya bangunan kerajaan tidak digunakan bagi tujuan parti politik.

"Walaupun notis diberikan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Gombak kepada Hilman Idham, bekas Adun Gombak Setia, beliau ingkar dan menaikkan papan iklan politik di hadapan pusat khidmat itu dan menukar premis itu kepada Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional Gombak Setia," kata Jay Jay Denis selaku setiausaha akhbar kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Menurut Denis, premis yang digunakan sebagai bilik gerakan PN itu bertapak di tanah milik kerajaan yang berfungsi sebagai dewan orang ramai.

"Sebelum ini, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak tidak mengambil tindakan penguatkuasaan kerana ruang tersebut digunakan sebagai pusat khidmat masyarakat," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Kata Denis lagi, dia difahamkan pusat khidmat yang bertapak atas tanah kerajaan itu digunakan "secara percuma oleh bekas Adun itu."

"Hilman Idham, harus belajar menghormati proses serta undang-undang dan tidak bertindak biadab terhadap penjawat awam dengan tidak mempolitikkan perkara sebegini," tegasnya.

Terdahulu, Hilman sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang selepas didakwa diarah mengosongkan premis pusat khidmatnya oleh pihak berkuasa tempatan semalam.

Menurut notis bertarikh 27 Jun oleh majlis Tanah dan Daerah Gombak, pusat perkhidmatan Gombak Setia itu terletak secara tidak sah di atas tanah kerajaan.

Notis itu menyatakan bahawa menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 435 Kanun Tanah Negara (Akta 828) dan bangunan itu terpaksa dikosongkan berkuat kuasa serta-merta.

Dalam satu kenyataan, Hilman mendakwa beberapa pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang tiba di pusat itu pada jam 3.50 petang semalam untuk mengosongkan tempat itu.

Dakwanya lagi, perbuatan sedemikian adalah salah guna kuasa Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Dalam notis pentadbiran bertarikh hari ini, peguam Hilman dari Tetuan Sasha Lyna menegaskan bahawa pusat khidmat itu telah menduduki tanah berkenaan dengan pengetahuan penuh pihak berkuasa negeri.

Peguam Hilman berkata dia bersedia mengosongkan premis itu secara baik dalam tempoh masa yang munasabah dan akan mengambil tindakan undang-undang jika harta bendanya dialihkan secara paksa dari premis itu.

AI dan kita

Mohsin Abdullah

Pada Oktober 2022 terbit satu podcast memaparkan temubual dengan Steve Jobs, pengasas Apple. Mungkin anda bertanya apa yang luar biasanya temuramah itu? Bukankah Jobs ditemuramah ratusan kali? Benar, cuma temuramah yang saya maksudkan ini dijalankan 11 tahun setelah Jobs meninggal dunia.

Ia dilaksanakan dengan teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI). Temuramah 20 minit itu disifatkan sebagai “shockingly convincing”. Menakjubkan. Amat meyakinkan. Begitu hebatnya AI sehingga orang mati pun boleh diajak berbual, begitulah gambarannya.

Kalau orang yang tiada pun boleh diwawancara apa lagi orang sakit. Tahun ini akhbar tabloid Jerman, Die Aktuelle dengan megah mengumumkan edisinya pada 15 April menyiarkan apa yang dikatakan ‘temuramah pertama’ dengan juara Formula One, Michael Schumacher. Temuramah itu disifatkan the first interview kerana Schumacher tidak kelihatan di khalayak sejak kemalangan serius ketika bermain ski pada 2013. Oleh itu apa yang mahu dinyatakan akhbar itu ialah Schumacher muncul buat kali pertama sejak dilanda kemalangan.

Adakah akhbar itu berjaya menemubual beliau 10 tahun selepas kemalangan itu? Tidak. Temubual dilaksanakan dengan menggunakan AI. ‘Jawaban’ Schemacker terhadap soalan yang diajukan datangnya menerusi kaedah atau aplikasi “chatbot” yang dilatih untuk meniru pemandu F1 itu.

Sebenarnya pencapaian seperti ini bukan baharu. Pada Julai 1994 filem Forrest Gump diterbitkan dan watak utama dipegang Tom Hanks sebagai Gump. Filem itu seperti ramai tahu menayangkan beberapa babak Gump berinteraksi dengan personaliti terkenal yang sudah meninggal dunia, antaranya John F Kennedy, Lyndon B Johnson, Elvis Presley, dan John Lennon. Dengan menggunakan visual special effects dan teknik CGI yang membolehkan Hanks dicantumkan dengan bahan arkib, personaliti yang disebut tadi nampak berlakon bersama Hanks. Jika itu boleh dilaksanakan menggunakan teknologi 1994 bayangkan apa yang boleh dilakukan AI zaman ini. AI masih berkembang. Iya mengagumkan dan menakutkan.

AI boleh digunakan untuk kebaikan atau manfaat buat manusia. Ia boleh juga membawa kemusnahan kepada manusia. Menulis untuk portal berita MalaysiaNow, wartawan veteran Zin Mahmud memberitahu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau PBB mempunyai pusat bagi AI dan robotik yang memantau perkembangan AI, dan antaranya mahu memastikan AI tidak mengatasi kecerdasan manusia. Amat membimbangkan jika kepintaran AI yang berkembang pesat akan atau boleh mengatasi kepintaran manusia, lantas melahirkan apa yang dipanggil kecerdasan umum buatan atau Artificial General Intelligence (AGI) yang mampu rasa, berfikir, dan bertindak seperti manusia.

Dengan kepintaran hebat, AI atau AGI akan mengatasi dan mengambil alih peranan manusia. Kita biasa menonton fliem sains fiksyen dimana robot atau komputer menguasai dunia, mengancam kemanusiaan malah melenyapkan manusia. Semasa menonton filem seperti Terminator, Matrix, Robot, 2001: A Space Odyssey umpamanya, saya sekadar senyum dan terhibur akan dongeng yang disajikan. Nama pun science fiction. Namun sekarang saya tidak lagi tersenyum. Dongeng seakan boleh jadi realiti.

Sekarang pun di negara kita sudah ada robot menggantikan manusia sebagai pelayan di kedai makan. Polis juga diberitakan akan menggunakan robot untuk meronda kawasan dalam usaha menjaga keselamatan. But don’t worry. Robots are not about take over anytime soon. Semua under control. Setakat ini?

Namun satu rencana yang ditulis Erin Hale untuk Al Jazeera mengutarakan persoalan adakah mungkin AI seterusnya melancar rampasan kuasa jika tidak dihalang daripada sekarang? Menurut Hale, kumpulan pakar bimbang AI akan disalahkan guna untuk menggugat kestabilan kerajaan di merata dunia dan mengancam ekonomi.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mencadangkan penubuhan badan antarabangsa untuk memantau perkembangan AI. Beliau memberi amaran AI akan digunakan untuk penyebaran kebencian dan maklumat palsu. Ini membuat saya mengimbau artikel saya siaran FMT 25 Jun lalu mengenai fitnah dan fake news bertajuk “Mudahnya fitnah ditelan”.

Amaran Guterres semangnya mesti diberi perhatian. Dalam konteks Malaysia apa yang dibimbangi beliau sudah lama berlaku tetapi kemungkinan besar menggunakan “kaedah lama”. Lalu saya tidak dapat elak bertanya sekarang sudahkah AI digunakan untuk mencipta berita palsu dan menyebarkan kebencian? Atau akan digunakan? Pada waktu mendatang atau terdekat? Kesempatan paling afdal dalam waktu paling dekat menurut saya ialah apabila pilihan raya diadakan di enam negeri tidak lama lagi.

Jika anda kata kita tidak ada kemampuan menggunakan (atau menyalah guna?) AI, saya kata jangan pandang enteng akan kebolehan dan kemampuan orang kita. Kita ada orang yang boleh manfaatkan AI untuk kepentingan sendiri atau pihak tertentu. Jika orang kita tidak boleh berbuat demikian dengan sendiri, ada orang kita yang mampu mengupah orang lain untuk membuat kerja itu.

Jika itu terjadi apa yang dicipta kelak akan membuatkan kita si orang biasa bingung. Tidak akan tahu mana yang real mana yang tidak. Semua nampak real. Amat menakutkan.

Kes saman fitnah: Anwar, Sanusi diarah kemuka hujahan bertulis

Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini mengarahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengemukakan hujahan bertulis sebelum atau pada 26 Julai ini, berkait saman fitnah difailkan Perdana Menteri.

Hujahan bertulis berkenaan berhubung bantahan Anwar terhadap permohonan Sanusi supaya Mahkamah Tinggi menentukan persoalan berkaitan pengampunan yang diberikan kepada Ahli Parlimen Tambun itu, lima tahun lalu.

Sanusi juga memohon mahkamah untuk menentukan persoalan undang-undang, sama ada sesuatu pengampunan diberikan Yang di-Pertuan Agong di bawah kuasa yang diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, berupaya mengetepikan sabitan jenayah.

Bantahan itu berkait saman fitnah difailkan Anwar terhadap Sanusi pada 13 Disember tahun lalu berhubung ucapan berbaur fitnah yang mengaitkan Perdana Menteri dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah 'Jelajah PN Best Tambun'.

Peguam Anwar, Datuk SN Nair ketika dihubungi pemberita, memaklumkan arahan untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Alor Setar, VK Neethiya Nair pada pengurusan kes saman itu, hari ini.

Katanya, mahkamah juga mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan jawapan kepada hujahan bertulis itu selewat-lewatnya pada 9 Ogos ini dan tarikh pengurusan kes lanjut ditetapkan pada 14 Ogos.

Yang turut hadir pada prosiding itu ialah peguam, Jaden Phoon Wai Ken yang mewakili Anwar, manakala peguam, Adam Luqman mewakili Sanusi.

Dalam afidavit jawapan kes saman itu yang difailkan 25 April lalu, Anwar menyatakan bahawa permohonan Sanusi bagi menentukan persoalan itu adalah di luar bidang kuasa mahkamah.

Menurut Presiden PKR itu, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Perkara 181, memperuntukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan adalah kuasa yang tetap dan tidak terjejas.

Beliau menegaskan, pelbagai kes diputuskan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan yang mendukung prinsip perundangan itu apabila memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh mengesahkan apa-apa keputusan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, ia termasuk keputusan untuk memberikannya pengampunan, yang secara langsung membuktikan bahawa mahkamah tidak mempunyai apa-apa bidang kuasa untuk berbuat demikian.

"Selaras dengan pengampunan itu, saya diampunkan secara penuh dan segala keburukan ke atas diri saya, termasuk rekod mahkamah adalah diketepikan dan apa-apa kenyataan yang menyentuh perkara sama adalah fitnah serta boleh diambil tindakan," katanya.

Anwar dalam pernyataan tuntutan melalui saman itu, mendakwa kenyataan fitnah berkenaan, antaranya membawa maksud beliau mendapat pengampunan melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan.

Curi tabung surau, wanita dipenjara 4 bulan

FMT Reporters
Puteri Norazila Paimen @ Mohamed Inson dan Nur Hidayah Abdullah didakwa mencuri wang RM300 dari tabung derma milik di Surau Al-Hidayah, Taman Pertam Jaya, Melaka pada 7 April lalu.
PETALING JAYA: Seorang wanita sarat mengandung dan adik angkatnya didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, atas tuduhan mencuri duit tabung derma surau berjumlah RM300 pada April lalu.

Selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman, tertuduh Puteri Norazila Paimen @ Mohamed Inson, 32, minta dibicarakan manakala Nur Hidayah Abdullah, 24, mengaku bersalah.

Menurut laporan Harian Metro, kedua-dua wanita itu didakwa mencuri wang RM300 dari tabung derma milik di Surau Al-Hidayah, Taman Pertam Jaya pada 7 April lalu, jam 1.50 petang.

Mereka yang tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Peguam Ng Fun Boon yang mewakili Nur Hidayah memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya mempunyai empat anak dan seorang daripadanya sedang menerima rawatan di hospital.

Beliau juga memohon Puteri Norazila yang sarat mengandung lapan bulan dibebaskan dengan ikat jamin yang rendah.

Sharda kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bermula dari tarikh tangkapan iaitu 17 Jun lalu dan denda RM1,000 atau satu bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

Mahkamah juga membenarkan Puteri Norazila dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan untuk serahan dokumen pada 31 Julai depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri.

Cedera, ugut jiran, wanita dipenjara 10 bulan

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my

Melaka: Wanita warga Thailand dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan termasuk mencederakan jiran lelaki serta mengugut memukul mangsa dengan perengkuh paip, dua minggu lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman memutuskan hukuman itu terhadap Athin Chumjai, 43, selepas meneliti fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan niat mendatangkan ketakutan terhadap mangsa berusia 53 tahun, dengan mengugut: You jangan masuk campur, nanti I pukul you" sambil memegang perengkuh paip.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi jalan berhadapan Blok K, Rumah Pangsa MPMBB, Bukit Piatu, dekat sini, pada 12 Jun lalu, jam 3.10 petang.

Jika disabitkan dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, masa dan di tempat sama, dia dituduh dengan sengaja mencederakan mangsa sama dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Manakala pertuduhan ketiga tertuduh sebagai warganegara Thailand bagi pemegang pasport AC 2164323 didapati tinggal di negara ini selepas tamat tempoh pas lawatan sosial yang sah laku sehingga 29 Julai 2015 tanpa sebab munasabah.

Tertuduh didapati melanggar peruntukan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda minimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Sharda Shienha menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama, kedua (tiga bulan) dan ketiga (10 bulan) bermula serentak dari tarikh tangkap.

Mengikut fakta sewaktu kejadian pengadu sedang berbual dengan rakan di tepi jalan berhadapan rumah pangsa terbabit sebelum didatangi tertuduh yang menjerit dan memarahi kawan pengadu kerana tidak berpuas hati soal pembaikan rumah.

Pengadu menasihati tertuduh supaya tidak bising namun wanita itu bertindak mencekik leher serta memukul mukanya hingga luka di muka dan calar di leher.

Terdahulu, tertuduh menangis teresak-esak ketika merayu hukuman ringan atas beberapa alasan termasuk mempunyai empat anak.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Terengganu itu belum tentu kubu PAS

Shuhaida Mohd Said & Bernama

Setiap kali tiba musim pilihan raya, pertarungan sengit yang disaksikan di Terengganu hanyalah antara PAS dan Barisan Nasional (BN), manakala parti-parti politik lain agak sukar untuk 'cari makan' di negeri itu.

Sejak sekian lama, dua parti dominan itu mempunyai sokongan dasar yang sangat kukuh dan kenyataan ini disokong penganalisis politik, yang menyifatkan politik Terengganu sebagai 'politik pendulum', yang berubah mengikut tempoh waktu tertentu, tanpa dapat diduga dengan tepat siapa yang akan menang.

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpendapat, keyakinan tidak boleh diletakkan sepenuhnya ke atas PAS melalui kerjasama dengan Bersatu dan Gerakan di bawah Perikatan Nasional (PN), walaupun secara dasarnya mereka dilihat mampu mencapai kemenangan mutlak, sementelah keputusan 8-0 yang menyaksikan kesemua lapan kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menjadi milik PN.

"Kita tidak boleh meletakkan keyakinan bahawa PAS juga boleh menyapu bersih kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kerana ada kawasan tertentu menjadi kubu kuat BN... malah BN pernah mentadbir Terengganu sebelum ia beralih tangan kepada PAS.

"Kalau nak lihat politik di Terengganu, kena lihat lebih menyeluruh, bukan saja dalam konteks nasional, tapi konteks tempatan juga. Bagi saya betul, boleh nyatakan PAS ada kekuatan, tapi belum tentu Terengganu itu kubu PAS, berdasarkan kedinamikan politik yang pernah berlaku di Terengganu.

“Dinamik politik di Terengganu berbeza dengan negeri-negeri lain, pengundinya lebih realistik dengan politik negeri... inilah keunikan politik Terengganu yang tiada di negeri lain," kata Mohammad Tawfik.

Pandangan sama dicetus Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim yang menekankan bahawa kerangka PRU dan Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah tidak sama, justeru kesimpulan tidak boleh diluncurkan dengan mudah bahawa PN akan menawan Terengganu secara total dalam PRN akan datang. 

"Kita tidak boleh membuat kesimpulan bahawa momentum sokongan rakyat terhadap sesuatu parti adalah sama seperti PRU yang lepas... Peluang masih terbuka di Terengganu... bagi BN misalnya, selama ini mereka kalah hanya disebabkan timbul isu-isu besar setiap kali menjelang pilihan raya. 

"Sebenarnya sokongan terhadap BN masih kuat, cuma ia bergantung kepada bagaimana BN berusaha untuk 'merawat' penyokong mereka (apabila timbul isu). Penyokong biasanya akan mampu menyerap dan menerima penjelasan daripada kepimpinan parti, namun jika ia tidak berlaku dengan baik dan proses 'housekeeping' itu gagal, maka sokongan mereka akan beralih," katanya. 

Mengambil contoh isu kolaborasi antara BN dan Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan, ia tidak dinafikan sedikit sebanyak merenggut kepercayaan dan emosi penyokong Umno yang sebahagian besar berpaksikan kepada sentimen ethnoreligious.

"Justeru dengan sedikit masa yang ada ini (sebelum PRN), kepimpinan BN perlu melakukan proses housekeeping dengan baik, dampingi rakyat hingga ke peringkat akar umbi. Tidak mustahil BN mampu meraih sokongan yang lebih," katanya.

Pada pengamatan beliau juga, jika keputusan PRN di Terengganu memihak kepada PN sekalipun, usahlah dibiarkan kesemua kerusi DUN disapu bersih oleh PAS, sebaliknya BN perlu ada kerusi yang cukup untuk menjadi pembangkang yang kuat.

PAS mengambil alih pemerintahan negeri daripada BN dalam PRU14 selepas memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN, manakala BN hanya menang 10 kerusi iaitu di DUN Jertih, Kuala Besut, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemong, Bukit Besi dan Kijal.

Terengganu antara enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini selain Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

- Bernama

Adam Adli: Muda kena umum pilih kerajaan atau pembangkang

Malaysiakini 

Ikatan Demokrasi Malaysia (Muda) pimpinan Syed Saddiq Abdul Rahman harus mengumumkan sama ada mereka masih menyokong kerajaan atau ingin bersama pembangkang, gesa Adam Adli.

Ketua Pemuda PKR membuat gesaan itu setelah Muda mahu bertanding dalam pilihan raya di enam negeri secara bersendirian.

“Maka Muda hari ini perlu umum; masih anggap diri sebagai blok kerajaan atau tidak lagi menyokong. 

“Jika tidak lagi sokong; boleh lintas ke blok pembangkang. “Tiada siapa halang, tidak salah pun dari segi undang-undang,” katanya.

Muda, salah sebuah parti pendukung kerajaan, semalam mengumumkan akan bertanding di kesemua enam negeri dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Keputusan itu berpotensi memecahkah undi parti-parti kerajaan dan memberikan kelebihan kepada Pakatan Nasional (PN).

Muda mendakwa mereka dipinggirkan oleh Pakatan Harapan (PH), parti tunjang dalam gabungan kerajaan.Muda kena umum pilih kerajaan atau pembangkang

Ikatan Demokrasi Malaysia (Muda) pimpinan Syed Saddiq Abdul Rahman harus mengumumkan sama ada mereka masih menyokong kerajaan atau ingin bersama pembangkang, gesa Adam Adli.

Ketua Pemuda PKR membuat gesaan itu setelah Muda mahu bertanding dalam pilihan raya di enam negeri secara bersendirian.

“Maka Muda hari ini perlu umum; masih anggap diri sebagai blok kerajaan atau tidak lagi menyokong. 

“Jika tidak lagi sokong; boleh lintas ke blok pembangkang. “Tiada siapa halang, tidak salah pun dari segi undang-undang,” katanya.

Muda, salah sebuah parti pendukung kerajaan, semalam mengumumkan akan bertanding di kesemua enam negeri dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Keputusan itu berpotensi memecahkah undi parti-parti kerajaan dan memberikan kelebihan kepada Pakatan Nasional (PN).

Muda mendakwa mereka dipinggirkan oleh Pakatan Harapan (PH), parti tunjang dalam gabungan kerajaan.

Mahathir putar cerita bukan Melayu mahu tukar nama Malaysia

Malaysiakini 

Dalam sidang media yang agak panjang hari ini berhubung penduduk bukan Melayu, Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa mereka mahu "menukar nama dan pemilikan" Malaysia.

Bekas perdana menteri itu berulang kali mendakwa terdapat percubaan "dari negara lain" untuk mengubah  Malaysia daripada tanah Melayu menjadi negara berbilang kaum.

Dia juga mendakwa golongan ini enggan mengiktiraf orang Melayu sebagai pengasas, penduduk tempatan dan pembangun negara.

“Dan demikianlah angkuhnya mereka yang datang sini, kita yang jadikan mereka warganegara, tetapi warganegara yang datang ini nak tuntut supaya nama negara kita ditukar, dijadikan multiracial country (negara berbilang kaum).

“Banyak orang berhijrah daripada satu negara ke negara yang lain. Apabila mereka pergi ke negara yang lain, mereka terima negara yang lain itu dan pemiliknya dan mereka meniru hidup seperti orang di negara yang mereka pilih. 

“Tetapi kali ini kita dapati orang yang datang sini, datang ke tanah Melayu, kita sebagai tuan rumah, kita beri hak kepada mereka, kita sekarang ini disuruh tukar nama negara kita,” kata ahli politik veteran itu pada sidang media di Sepang.

Terdahulu, Mahathir membidas sejarah Malaysia dan mendakwa terdapat dua percubaan yang dibuat oleh "orang luar" untuk mengubah negara.

Dia menghuraikan secara panjang lebar mengenai latar belakang sejarah Malaysia, dengan tumpuan ketika zaman yang dikenali sebagai Malayan Union semasa pemerintahan penjajah British.

Dia kemudian menyentuh tentang era pasca kemerdekaan, semasa mendiang Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew, yang adalah ketua pembangkang ketika itu menentang kerajaan Malaysia, dengan menganjurkan konsep 'Malaysian Malaysia'.

Pada pertengahan 1960-an, istilah ‘Malaysian Malaysia’ diangkat sebagai slogan perhimpunan Konvensyen Solidariti Malaysia untuk memperjuangkan wawasan negara yang lebih egalitarian, mengatasi perpecahan etnik dan mempromosikan hak sama rata untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum atau etnik.

Ia bertujuan untuk mencabar penekanan yang lazim terhadap etnik Melayu dan keistimewaan khas untuk orang Melayu, seperti yang termaktub dalam dasar tindakan afirmatif Perlembagaan Persekutuan.

“Kita bernasib baik dalam pilihan raya tahun 1964 cadangan Kuan Yew itu ditolak, cuma seorang saja  yang menang, yang lain semua kalah. 

“Dan itu kita berjaya tolak satu lagi percubaan untuk menjadikan tanah Melayu ini sebagai negara berbilang kaum, bukan lagi milik orang Melayu. Akan ada hak sama rata (untuk semua rakyat),” katanya. 

Mahathir juga mendakwa setiap kali orang Melayu bercakap tentang perjuangan bangsa, mereka terus dihentikan dan dilabel sebagai rasis.

“Saya hairan, di negara kita, kita tak boleh bercakap berkenaan tentang bangsa kita.

"Oh itu rasis. Orang Melayu rasis kalau cakap pasal Melayu,” katanya.

Sebelum ini, bekas ahli parlimen Langkawi itu disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana didakwa terlibat dalam aktiviti yang disifatkan memudaratkan demokrasi berparlimen, berhubung perkara berkaitan Proklamasi Rakyat Melayu yang diterajuinya itu.

Selain itu, dia juga disiasat berhubung kenyataannya, yang didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja, apabila menyebut bahawa orang Melayu tidak boleh bergantung kepada raja-raja Melayu untuk melindungi mereka.

Rompak jutaan ringgit, 4 termasuk 2 sarjan mengaku tak salah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dua anggota polis yang bertugas di Bukit Aman antara empat lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan merompak seorang lelaki membabitkan kerugian jutaan ringgit bulan lalu.

Dua anggota polis berpangkat sarjan, Ahmad Shahrizan Ab Rahman, 42, dari Bahagian Risikan, Operasi dan Rekod Jenayah (D4) serta Mohamad Shawal Chekman, 40, dari E9 Cawangan Khas, bersama Khairul Anwar Ahmad, 40, dan Muhammad Firdaus Zainal, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Menurut Berita Harian, mereka didakwa dengan niat bersama melakukan rompak berkumpulan ke atas Mohammad Syafiq Hazane Dzulfikri, 25, di Kondominium Irama Wangsa, Seksyen 10 Wangsa Maju pada 8.30 malam 25 Mei lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan masing-masing diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 31 Julai ini.

ASP, sarjan, koperal kena tahan di pusat hiburan, positif syabu

Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri (kanan) pada sidang media di IPK Sarawak, hari ini. - NSTP/NADIM BOKHARI
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri (kanan) pada sidang media di IPK Sarawak, hari ini. - NSTP/NADIM BOKHARI
KUCHING: Seorang pegawai kanan polis bersama dua anggota pasukan keselamatan itu antara 152 individu positif dadah selepas ujian saringan urin dilakukan terhadap mereka yang ditahan dalam serbuan ke sebuah sebuah pusat hiburan di Jalan Sungai Padungan, di sini.

Pegawai berkenaan berpangkat Asisten Superintendan (ASP), manakala dua anggota polis itu pula, masing-masing berpangkat sarjan dan koperal. Mereka berusia 45 hingga 49 tahun.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata tiga lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine dan mereka disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Mereka kini ditahan tugas untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

Katanya, serbuan antara jam 1.20 pagi hingga 6 pagi Ahad lalu dilancarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Sarawak.

Dalam gerakan berkenaan, seramai 204 pengunjung pusat hiburan itu, membabitkan 181 warga tempatan termasuk 59 wanita dan 23 wanita warga asing diperiksa.

"Daripada jumlah itu, seramai 152 individu berusia antara 19 hingga 54 tahun didapati positif dadah. Lapan daripada mereka turut disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

"Seramai 14 wanita warga asing yang positif dadah sudah didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 di Mahkamah Majistret Kuching pada 26 Jun lalu.

"Pemeriksaan lanjut terhadap enam individu warga tempatan, termasuk seorang wanita dan seorang lagi wanita warga asing yang ditahan mengikut Seksyen 39B ADB 1952 membawa kepada penemuan 12 paket jus berisi serbuk campuran dadah MDMA dianggar seberat 540 gram.

"Semua mereka berusia antara 26 hingga 42 tahun. Selain itu, seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun turut ditahan kerana disyaki membekalkan dadah di pusat hiburan itu dan polis merampas 45 paket jus berisi serbuk dadah ekstasi seberat 2,085.90 gram dan 63 pil ekstasi," katanya.

Katanya, semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM197,458 dan boleh digunakan oleh 8,877 penagih.

"Polis turut menyita harta bernilai RM1.17 juta, iaitu empat kenderaan mewah, sejumlah barang kemas, lima utas jam tangan, 10 telefon bimbit, wang tunai RM30,650 serta mata wang Singapura berjumlah SGD300.

"Tujuh suspek terbabit ditahan reman lima hari mulai 25 Jun, manakala lelaki tempatan berusia 30 tahun itu direman tujuh hari sehingga 2 Julai," katanya.

Dr M: Gerak solo Muda ‘sia-sia’

Mohamad Fadli

SEPANG: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan Muda ingin bertanding pilihan raya di enam negeri secara sendirian ‘sia-sia’ jika tidak membantu membentuk kerajaan.

Beliau berkata sepatutnya calon yang bertanding dalam PRN mestilah boleh menang untuk membantu membentuk kerajaan.

“Jika kamu ingin bertanding secara sendirian pada beberapa kerusi pada PRN, apa kamu boleh buat dengan kerusi itu?” katanya pada sidang media di sebuah hotel.

“Kamu mesti dalam kerajaan. Perhatian kita adalah untuk menang dan menjadi kerajaan.”

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Isnin berkata Muda akan menyertai PRN tidak lama lagi secara sendirian. Perkembangan ini bererti parti itu akan bertembung Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, walaupun Muda menyokong kerajaan perpaduan.

Muda sebelum ini memohon menyertai PH namun gabungan itu belum memberi sebarang maklum balas. Syed Saddiq berkata cubaan untuk bekerjasama dengan PH tidak dihiraukan.

Setiausaha Agung Muda Amir Hariri Abd Hadi semalam mendakwa pentadbiran Anwar Ibrahim mengabaikan reformasi institusi dan pembangkang bermain sentimen sebagai sebab ia akan menentang semua parti pada PRN akan datang.

Dalam pada itu, Mahathir mengesahkan tidak akan bertanding pada PRN kali ini. Beliau bagaimanapun akan aktif menyokong pergerakan Melayu, katanya.

“Objektif saya untuk orang Melayu bukan untuk menjadi perdana menteri,” katanya.

Rahsia bunuh suami terbongkar selepas lebih 2 bulan

Agensi
GAIL ditahan selepas disyaki membunuh suaminya. FOTO Agensi
GAIL ditahan selepas disyaki membunuh suaminya. FOTO Agensi
Washington: Wanita berusia 76 tahun dari Westminster, Maryland, Amerika Syarikat ditahan selepas disyaki membunuh suami dengan memukul mangsa hingga mati.

Mirror UK melaporkan, pada 1 Mac lalu, polis Westminster dan Perkhidmatan Kecemasan menerima panggilan daripada Gail D'Anthony, seorang wanita tua bertubuh kecil yang membuat aduan suaminya mengalami serangan jantung.

Pasukan kecemasan tiba di tempat kejadian dan cuba memberi bantuan kepada lelaki itu tetapi tidak berjaya.

Selepas lebih dua bulan, hasil bedah siasat mendapati mangsa, John D'Anthony III, 72, mengalami banyak kecederaan yang tidak konsisten dengan punca kematian yang diduga.

Penemuan kesan kecederaan itu menyebabkan penyiasat membuka semula siasatan.

"Hasil bedah siasat mengesahkan bahawa (John) D'Anthony mengalami kecederaan parah di seluruh badannya tetapi tidak terhad kepada luka di mulutnya, patah leher, patah tulang rusuk kanan, dua mata hitam, lebam besar di tangan dan lengannya.

"Akhirnya, siasatan mendapati kecederaan yang ada tidak konsisten dengan satu kejatuhan atau kematian semula jadi dan menganggapnya sebagai pembunuhan," kata penyiasat.

Penyiasat kemudian mendapatkan bukti di rumah pasangan itu termasuk seluar dan but yang dipakai Gail ketika suaminya meninggal dunia, kata dokumen itu.

Percikan darah ditemui pada but selari dengan kecederaan yang ditemui semasa bedah siasat.

Akhirnya, seorang saksi dalam kes itu tampil dan mendakwa Gail membunuh suaminya John.

Gail didakwa menolaknya sebelum memukul kepalanya di atas lantai.

"Dia kemudian keluar dari bilik dan kembali dengan rotan, yang digunakannya untuk memukul kepala John, dan kemudian menggunakan rotan untuk menghalangnya daripada bangun.

"(Gail) D'Anthony masuk dan keluar bilik beberapa kali, akhirnya mendapati suaminya tidak bertindak balas. Dia kemudian menghubungi 911 untuk mendapatkan bantuan," kata jurucakap polis.

Gail ditangkap dan didakwa setiap satu pertuduhan atas pembunuhan tahap pertama dan kedua berkaitan dengan kematian suaminya.

"Penangkapan dan pendakwaan adalah hasil usaha Pejabat Sheriff dan Pejabat Peguam Negeri, terutamanya Detektif Ashley Owens dan Penolong Peguam Negara Amy Ocampo dan Connie Yarborough.

"Kami semua dalam penguatkuasaan undang-undang di Carroll komited untuk melindungi mangsa keganasan rumah tangga tidak kira muda atau tua" kata peguam daerah Carroll, Haven Shoemaker.

Warga Myanmar cuba terjun tingkat 10 selepas bakar bilik

FMT Reporters
Keadaan bilik dengan tilam yang dibakar seorang warga Myanmar di sebuah pangsapuri di Kajang. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Seorang warga Myanmar diselamatkan bomba selepas membakar biliknya dan cuba terjun dari tingkat 10 sebuah pangsapuri di Kajang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat pada 8.46 pagi tadi.

Setibanya di lokasi seorang lelaki berusia 30-an membakar bilik dan mengancam untuk terjun.

“Bomba berjaya memujuk mangsa dan memadam kebakaran itu,” katanya menurut Harian Metro. “Kebakaran membabitkan tilam dan kemusnahan 5%.”

Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Adu pada JPJ jika rasa nyawa terancam

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my

Seremban: Penumpang bas ekspres disaran membuat aduan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berserta bukti jika merasakan nyawa terancam dengan sikap dan cara pemanduan pemandu.

Timbalan Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Sairin Dula @ Sabdullah berkata, aduan boleh disalur menerusi aplikasi MyJPJ yang boleh dimuat turun di telefon pintar masing-masing.

Katanya, berdasarkan operasi sebelum ini, tiga kesalahan utama dikesan dilakukan pemandu bas ekspres iaitu, merokok, menggunakan telefon bimbit dan memotong atau menggunakan lorong kanan secara berterusan.

"Jadi bagi Ops Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) kali ini, JPJ Negeri Sembilan mewujudkan tiga pasukan yang akan menyamar sebagai penumpang bas ekspres.

"Jika penumpang rasa pemanduan bas ekspres dinaiki berbahaya, boleh melaporkannya kepada kami dengan buktinya sekali," katanya ditemui pada hari pertama Ops Khas HRAA 2023, di Plaza Tol Ainsdale di sini, semalam.

Beliau turut menggalakkan orang ramai supaya memuat turun aplikasi MyJPJ yang bukan sahaja boleh mengakses lesen memandu dan cukai jalan secara digital, sebaliknya medium untuk membuat aduan.

Dalam pada itu, Sairin menasihati pengguna jalan supaya tidak ghairah menjadi 'wartawan' di lokasi kemalangan dengan merakam apa yang berlaku hingga menyebabkan kesesakan.

"Ini bukan sahaja berisiko berlaku kemalangan kedua, malah mengakibatkan kesesakan teruk termasuk di laluan bertentangan yang tidak terbabit dengan kemalangan," katanya.

Korban di luar negara jejaskan penternak tempatan di Aidiladha

Emylia Rosli & Amiera Solihan

Korban menjadi ibadah yang dinanti-nantikan setiap kali menjelang Hari Raya Aidiladha, dan rata-rata umat Islam di Malaysia akan membuat perbandingan harga haiwan korban berdasarkan kemampuan mereka.

Kini, ada juga yang memilih untuk melaksanakan korban di luar negara kerana harganya jauh lebih murah berbanding di Malaysia.

Namun, bagaimana pula dengan nasib para penternak tempatan jika semakin ramai umat Islam yang ingin berbuat demikian?

Menurut penternak lembu Alif Aiman Osman, jualan haiwan ternakannya untuk Aidiladha tahun ini merosot kira-kira 50 peratus berbanding tahun lalu.

“Setakat ini yang kita ada di ladang, lembu lebih kurang 50 ekor dan kambing 350 lebih ekor lebih. Kalau sebelum ini banyak jualan tapi tahun ini boleh dikatakan kurang 50 peratus dari tahun lepas.

“Saya tak nafi harga lembu memang agak tinggi tahun ini tapi kerana kos jagaan pun tinggi dengan kenaikan harga dedak dan kenaikan kos korban yang secara tidak langsung mempengaruhi harga lembu tahun ini,” kata pemuda berusia 25 tahun itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Dia berpendapat jualan haiwan ternakan akan terus merudum jika kos jagaan dan kos korban tidak dikawal.

“Jika ada penurunan harga dedak atau kos korban, harga lembu pun akan berkurang pada kadar yang munasabah untuk pembeli," katanya yang memiliki ladang ternakan di Kota Tinggi, Johor.

Semalam, Prof Madya di Jabatan Perakaunan dan Kewangan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Amanuddin Shamsuddin dalam rencananya membangkitkan kemerosotan jualan haiwan ternakan yang dihadapi penternak atau pengusaha lembu menjelang Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Antara faktor yang dibangkitkannya adalah harga lembu yang meningkat ekoran kenaikan harga makanan ternakan seperti dedak, menyebabkan ramai yang beralih ke luar negara untuk melaksanakan ibadah itu.

“Ada tempat-tempat di luar negara seperti Kemboja, Laos, harga lembu lebih murah hanya dalam RM350 jika dibandingkan dengan Malaysia yang berharga RM750 untuk satu bahagian," kata dekan Uniten Business School itu.

Penternak lembu di Sungai Besar, Selangor Suhaila Shahrin, 30 mengadu nasib yang sama dengan Alif tentang kemerosotan jualan untuk tahun ini.

“Kalau tahun lepas, kita boleh jual 200 ekor tapi tahun ini dapat jual dalam 100 ekor sahaja.

“Selalunya kalau dua minggu sebelum raya, memang habis (lembu) tapi tahun ini tidak pula,” katanya.

Bagi Muhammad Omar, 28, yang mengusahakan ternakan lembu sejak tiga tahun lalu, dia terpaksa meletakkan harga yang lebih murah demi pulang modal.

“Saya masih tiada jualan walaupun harga yang saya letak lebih murah daripada pasaran, tapi masih tiada yang beli.

“Pilihan untuk melakukan korban di luar negara sedikit merencatkan penjualan dalam negara sendiri.

"Boleh dilihat sekarang banyak lembu yang ada belum terjual kerana harga lebih murah di luar negara,” katanya yang berasal dari Perak.

Syed Saddiq dakwa Muda disisihkan oleh Anwar, PH

Malaysiakini 

Muda menyangkal dakwaan veteran DAP Lim Kit Siang bahawa ia membuat keputusan tergesa-gesa dan sepatutnya bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution telah mengabaikan tiga surat berkenaan permintaan parti itu untuk "mesyuarat ringkas".

“Namun, bukan sahaja kami dibiarkan tergantung, malah diperlekehkan apabila Setiausaha Agung Pakatan Harapan menjawab bahawa dia tiada masa untuk membaca surat kami.

"Ini di sebalik hakikatnya pejabatnya pada mulanya bersetuju untuk berjumpa tetapi kemudian membatalkannya sekali lagi pada saat-saat akhir," kata Syed Saddiq.

Kaatnya, dia juga telah cuba menghubungi Anwar dan pegawainya beberapa kali tetapi tidak berjaya.

"Kami bukan meminta jawatan GLC yang lumayan seperti kebanyakan yang lain dalam kerajaan hari ini. Kami bukan  meminta kontrak.

"Kami hanya mahukan satu mesyuarat supaya kami boleh mencadangkan jalan bergerak ke hadapan untuk membina Malaysia yang benar-benar berbilang kaum, agama, sederhana dan berpaksikan reformasi.

"Kamu mahu pembaharuan, Tan Sri? Muda juga mahukannya," kata Syed Saddiq.

Lim Kit Siang dikurniakan pingat Tan Sri, baru-baru ini

Semalam, Lim berkata Muda tidak patut terlalu tergesa-gesa dan seharusnya bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Anwar dalam enam pilihan raya negeri pada bulan Ogos nanti bagi memastikan usaha reformasi dapat diteruskan.

Kenyataan Lim itu susulan pengumuman Syed Saddiq bahawa partinya akan bertanding pada PRN yang sekali gus bermaksud Muda akan bertembung PH dan BN.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata kerajaan Anwar tidak mempamerkan pembaharuan, justeru Muda terpaksa berperanan lebih besar dalam semak dan seimbang.

Katanya, kepincangan masih belum ditangani dengan jawatan GLC masih digunakan sebagai ganjaran politik dan tiada peruntukan yang adil untuk semua ahli Parlimen. 

Menurut Syed Saddiq kerajaan masih belum menetapkan had penggal untuk perdana menteri dan tiada pemisahan portfolio perdana menteri dan menteri kewangan.

Monopoli dan konsesi utama, katanya, berterusan  manakala undang-undang yang menindas masih dikekalkan.

“Senarai janji-janji palsu tidak berkesudahan,” katanya.