Kemenangan di Simpang Jeram bukti kerjasama PH-BN diterima

Bernama
Nazri Abdul Rahman memenangi DUN Simpang Jeram dengan majoriti 3,514 undi. (Gambar Bernama)
MUAR: Nazri Abdul Rahman menyifatkan kemenangannya pada PRK DUN Simpang Jeram sebagai hasil kerja keras dan kerjasama kukuh antara gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, keputusan itu sekali gus menghapuskan stigma kerjasama kedua-dua gabungan tidak diterima pengundi kawasan tersebut, khususnya Melayu.

“Kemenangan ini bukan kemenangan saya seorang, ini adalah kemenangan pasukan dan kita sedia maklum dalam pilihan raya kali ini adalah gabungan antara PH dan BN.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua jentera di pihak PH dan BN. Tanpa kerjasama dan kerja keras mereka, tak mungkin saya dapat kemenangan sebegini rupa,” katanya kepada pemberita selepas diumum memenangi kerusi itu.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Nazri memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 3,514 undi.

Timbalan ketua Amanah Bakri itu memperoleh 13,844 undi, menewaskan Dr Mohd Mazri Yahya daripada Perikatan Nasional (PN) yang mendapat 10,330 undi manakala calon bebas S Jeganathan, yang juga ahli perniagaan, hanya meraih 311 undi sekali gus hilang wang deposit.

Nazri juga berkata, selepas diberi mandat, beliau akan cuba memenuhi janji dalam pilihan raya dan perkara pertama akan dilakukan ialah berkunjung serta berjumpa pengundi seberapa segera untuk menzahirkan penghargaan kepada mereka.

Beliau juga berazam memberikan khidmat terbaik sepanjang menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Nazri juga menganggap dua pencabarnya pada pilihan raya itu sebagai rakan dan berharap mereka dapat bekerjasama.

Akhirnya Suhaizan menang lepas 6 kali bertanding

Malaysiakini

Suhaizan Kayat akhirnya terpilih menjadi ahli parlimen selepas enam kali percubaannya untuk menjadi wakil rakyat gagal.

Ketika bersama PAS, Suhaizan pernah menjadi calon parlimen bagi Parit Sulong (2004) dan Simpang renggam (2013). Dia juga pernah menjadi calon PAS untuk kerusi DUN Kempas sebanyak dua kali (2008 dan 2013).

Ketika menjadi ahli Amanah, Suhaizan adalah calon di Kukup (2018) dan Pulai Sebatang (2022).

Tiga daripada pertandingan itu (Kempas pada 2008, Pulai Sebatang pada 2022 dan Parit Sulong pada 2004) menyaksikan Suhaizan memenangi kurang daripada 40 peratus undi.

Rasmi: Suhaizan menang di Pulai dengan majoriti 18,641 undi

Malaysiakini

SPR secara rasmi mengumumkan Suhaizan Kaiat memenangi kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti 18,641 undi.

Calon PH itu memperoleh 48,283 undi secara keseluruhan dengan 62 peratus undi, meningkat daripada 55.5 peratus pada pilihan raya umum tahun lalu.

Sementara itu, PN pula memperoleh 29,642 undi. Peratusan undi untuk PN juga meningkat daripada 17.6 peratus tahun lalu kepada 38 peratus hari ini.

PH menang di Simpang Jeram, majoriti 3,514 undi

Bernama

Calon PH Nazri Abdul Rahman memenangi kerusi DUN Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini dengan majoriti 3,514 undi.

Timbalan Ketua Amanah Bakri itu memperoleh 13,844 undi, menewaskan Dr Mohd Mazri Yahya daripada PN yang memperoleh 10,330 undi, manakala calon Bebas S Jeganathan hanya memperoleh 311 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Simpang Jeram, Jamil Hasni Abdullah pada pukul 9.12 malam tadi di Dewan Jubli Sultan Ibrahim, Muar malam ini.

Menurut data SPR 40,379 pengundi yang layak mengundi pada PRK hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lepas, DUN Simpang Jeram dimenangi Salahuddin Ayub daripada PH apabila memperoleh 8,749 undi menewaskan calon BN Lokman Md Don (6,062 undi), Zarul Salleh dari PN (6,350 undi) dan Mahaizal Mahmor dari Pejuang (208 undi).

-Bernama

Tak rasmi: PH menang di Pulai

Malaysiakini

Pulai - Keputusan tidak rasmi menunjukkan PH memenangi kerusi parlimen Pulai dengan majoriti yang tidak boleh disangkal lagi.

Calon PN Pulai, Zulkifli Jaafar, juga akur dengan kekalahannya pada PRK kali ini.

Bagaimanapun, bercakap kepada pemberita, Zulkifli berkata menyifatkan kekalahannya sebagai "kalah bermaruah”.

Kata Zulkifli, sebelum ini perbezaan undi sangat besar, tetapi sekarang hanya belasan ribu.

Keputusan yang diperoleh Malaysiakini menunjukkan PN ketinggalan kira-kira 19,630 undi, dengan sekurang-kurangnya 4,000 undi masih belum dikira.

10 guru, 21 pelajar cedera disengat tebuan tanah

Bernama
Seramai 31 individu termasuk 10 guru cedera disengat tebuan tanah di Sungai Lepoh, Hulu Langat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Seramai 21 pelajar sebuah sekolah menengah dan 10 guru pengiring cedera akibat disengat tebuan tanah ketika melakukan aktiviti mendaki di sebuah pusat peranginan di Sungai Lepoh, Hulu Langat.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) berkata, dalam kejadian 1.50 tengah hari itu, enam pelajar dikejarkan ke Hospital Ampang sementara 25 lagi termasuk 10 guru pengiring dihantar ke Klinik Kesihatan Batu 14 Hulu Langat bagi mendapat rawatan susulan.

“Enam pelajar dikejarkan ke Hospital Ampang ditempatkan di zon merah dan zon kuning. Keadaan mereka dilaporkan stabil, semua yang terlibat terlebih dahulu menerima rawatan awal di lokasi kejadian daripada anggota paramedik APM, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya ketika dihubungi.

Menurut jurucakap itu, sebanyak 133 pelajar dan 10 guru pengiring daripada sebuah sekolah menengah di Shah Alam berada di rumah peranginan berkenaan bagi program kem kepimpinan sejak semalam dan dijadualkan tamat esok.

Warga emas datang dengan baju hospital, pesakit bertegas mahu mengundi pada PRK Pulai

Bernama
Pesakit HSA Daud Ismail, 71, selesai mengundi di pusat undi Sekolah Agama Bandar, Jalan Yahya Awal pada 10.31 pagi hasil bantuan petugas SPR. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU: Demi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, seorang warga emas nekad “lari” seketika dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mengundi pada PRK Parlimen Pulai hari ini.

Daud Ismail, 71, berkata walaupun pada awalnya niat itu dihalang petugas hospital, beliau tetap bertegas untuk ke pusat undi Sekolah Agama Bandar, Jalan Yahya Awal, yang terletak tidak sampai 3km dari hospital dengan dibantu anak angkatnya.

“Pagi tadi saya sudah bersiap untuk pergi mengundi, tetapi dilarang petugas hospital dengan alasan kurang sihat. Saya bertegas juga untuk keluar mengundi,” katanya.

“Saya kata pada mereka, kalau tidak benarkan mengundi, hospital kena keluarkan surat kerana mengundi itu hak saya. Jadi, saya tekad keluar dan minta anak angkat mengambil saya untuk bawa ke pusat undi.

Daud yang mendapatkan rawatan di HSA sejak Isnin lepas kerana menghidap penyakit kencing manis, buah pinggang, jantung bengkak dan darah pekat, bersyukur kerana proses pengundian cepat dan tidak berdepan sebarang masalah.

Beliau masuk ke bilik mengundi pada 10.29 pagi dengan berkerusi roda, memakai baju pesakit serta “drip” di tangan, selesai melaksanakan tanggungjawab itu pada 10.31 pagi hasil bantuan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya sangat bersemangat untuk mengundi, tak kisah siapa yang saya undi, ini tanggungjawab saya kepada negara…rasa lega sangat bila dah selesai.

“Harapan saya sama seperti orang lain yang mahukan wakil rakyat yang betul-betul memperjuangkan hak rakyat.

“Saya tak nak memperjudikan nasib anak cucu saya. Nasihat saya pada orang muda, keluarlah mengundi, jangan ambil mudah,” katanya.

Sebanyak 165,509 pemilih berdaftar akan mengundi bagi PRK Parlimen Pulai yang diadakan serentak dengan PRK DUN Simpang Jeram yang melibatkan 40,301 pengundi bagi memilih wakil rakyat baharu hari ini.

Kedua-dua PRK dilakukan susulan kematian penyandangnya, Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lepas.

Ilham Centre: Sengit tetapi PH masih dahului Pulai, Simpang Jeram

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI 
Biarpun DUN Simpang Jeram disebut-sebut sebagai kerusi panas yang akan jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN), namun Pakatan Harapan (PH) dijangka mendahului pihak lawan dengan sedikit kelebihan.

Ketua Penyelidikan Ilham Centre, Prof. Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, PH hanya berisiko kehilangan Simpang Jeram jika kadar keluar pengundi etnik Cina merosot di bawah kadar 50 peratus.

“Namun berdasarkan data-data semasa, pada hemat saya PH mempunyai peluang lebih besar di Pulai berbanding PN.

“Di Simpang Jeram lebih sengit, namun pada pandangan saya PH masih mendahului PN dengan sedikit kelebihan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Pada masa sama, Mohd Yusri berkata, jangkaan yang mengatakan bahawa gelombang PN tidak akan berjaya menerobos ke Johor adalah meleset sama sekali.

Katanya, banyak dapatan menarik berjaya dikumpul daripada kajian lapangan di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di mana dapatan paling menarik adalah berkaitan sentimen pengundi teras Umno itu sendiri.

Menurutnya, peratusan pengundi teras Umno yang memberi komitmen untuk memberi undi kepada PN hampir sama dengan peratusan yang bersetuju untuk mengundi PH.

Manakala sekitar 15 peratus lagi pengundi teras Umno belum membuat keputusan selepas seminggu kempen berjalan.

“Berdasarkan bahasa badan yang ditunjukkan, saya percaya pengundi teras Umno yang belum membuat keputusan tersebut sebahagian besar akan memberi undi kepada PN andai mereka keluar esok, atau mereka akan memilih untuk tidak keluar.

“PRK yang asalnya dilihat agak mudah bagi PH, namun akhirnya jadi sengit dan serba mungkin,” ujarnya

Majoriti besar 33,174 diperoleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga penyandang Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, secara relatifnya sangat sukar digugat PN.

Faktor komposisi pengundi adalah agak seimbang di Pulai dengan pengundi Melayu 44 peratus, pengundi Cina 40 peratus, pengundi India mewakili 12.3 peratus manakala lain-lain adalah 3.05 peratus.

Di Simpang Jeram, komposisi pengundi Melayu pula agak besar sebanyak 51.87 peratus daripada keseluruhan pemilih berdaftar, diikuti dengan Cina (44.58 peratus) dan India (2.53 peratus).

Lelaki dilarikan rakan ditemui maut

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Subang Jaya: Lelaki ditemui mati dalam sebuah kereta di Batu 14, Puchong, Subang Jaya, awal pagi semalam selepas dilarikan sekumpulan lelaki di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah.

Mangsa yang juga penganggur berusia 26 tahun, ditemui mati dalam sebuah kereta Proton Gen2, sekitar jam 12.50 tengah malam semalam di kawasan sebelah Stesen Minyak Petronas, Batu 14, Puchong.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, berdasarkan siasatan awal polis, mangsa dilarikan sekumpulan lelaki dipercayai rakan-rakannya ketika berada di kawasan PPR Kampung Muhibbah, di sini, pada malam Ahad lalu.

"Ekoran dari kejadian itu bapa mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Jalil, di sini, pada jam 5 pagi, Isnin.

"Bapa mangsa mengetahui tentang anaknya dilarikan selepas dimaklumkan oleh teman wanita anaknya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata susulan dari itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, kemudian menahan empat lelaki berusia antara 27 hingga 35 tahun di sekitar Lembah Klang, yang disyaki melarikan mangsa dari PPR Muhibbah.

"Susulan dari itu terdapat penemuan mayat seorang lelaki di Batu 14, Puchong, Subang Jaya, pada tengah malam semalam (6 September).

"Hasil siasatan susulan terhadap mendapati mayat itu adalah lelaki yang dilaporkan dilarikan di PPR Muhibbah," katanya.

Alllaudeen berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati motif kejadian ini dipercayai dendam akibat mangsa melarikan barang milik suspek utama yang masih diburu.

"Setakat ini, polis masih memburu dua lelaki berusia termasuk satu suspek utama berusia 40-an yang juga seorang warga asing, "katanya.

Hasil ujian air kencing juga mendapati kesemua empat suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah narkotik selain turut positif dadah semasa ditahan.

Setakat ini siasatan oleh Polis Kuala Lumpur dijalankan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan orang manakala siasatan oleh Polis Kontinjen Selangor dijalankan di bawah Seksyen 302 kanun yang sama atas kesalahan membunuh.

Bedah siasat ke atas mangsa di Hospital Serdang, mendapati dia mengalami kecederaan patah rahang dan tulang rusuk serta retak pada bahagian tengkorak.

Lelaki sepak, pijak al-Quran di luar Turkish House, New York

Bernama

Seorang individu yang tidak dikenali melemparkan senaskhah kitab suci umat Islam, al-Quran ke tanah dan menyepaknya di luar perkarangan Turkish House di New York pada pagi Jumaat.

Kakitangan keselamatan Turkish House segera campur tangan dan menghalau individu berkenaan dari premis yang menempatkan Konsulat Jeneral Turkiye dan misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lapor Agensi Anadolu.

Pegawai dari Jabatan Polis New York (NYPD) dan Unit Keselamatan Diplomatik (DSS) dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Video yang tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki membaling buku ke tanah dan memijaknya sambil menjerit, "Ini Al-Quran."

Insiden pembakaran al-Quran baru-baru ini di Sweden dan Denmark dengan alasan kebebasan bersuara telah mencetuskan kemarahan negara-negara Islam, termasuk serangan ke atas misi diplomatik.

- Bernama

Haram jadah punya pemimpin berputarbelit

‘Haram tak haram, kalau nak sokong juga’, kata Muhyiddin
Presiden Bersatu berkata kenyataan ‘haram’ dikeluarkannya hanya bahasa santai dan tidak berdasarkan al-Quran atau fatwa.

Mohd Farhan Darwis

JOHOR BAHRU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata, beliau percaya pengundi tidak akan terpengaruh dengan “kenyataan haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH)” jika mereka mahu mengundi calon itu.

Presiden Bersatu berkata, kenyataan “haram” dikeluarkannya itu hanya bahasa santai dan tidak berdasarkan al-Quran atau fatwa.

“Kita orang Melayu cakap bahasa santai. Saya cakap pun orang ketawa. Dalam hati dia haram tak haram, kalau nak sokong, sokong juga.

“Haram Muhyiddin tak sama haram al-Quran dan fatwa. Itu bukan hukum itu kenyataan yang ditekan jangan sokong, bukan haram berdosa itu pilihan maknanya jangan pilih,” katanya dalam ceramah “grand finale” kempen PRK Parlimen Pulai di Kempas.

Di kempen terakhir, Amanah gesa jangan benarkan 'pelampau' masuk Johor

Shakira Buang

Gesaan agar kemaraan PAS dihalang di Johor sekali lagi disuarakan, kali ini oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu di malam terakhir kempen untuk PRK Simpang Jeram.

Mohamad berkata ia bagi mengelakkan apa yang disifatkannya sebagai politik pelampau dan ekstrem daripada subur di negeri itu.

“Utamakan perpaduan. Jangan izinkan golongan pelampau masuk ke Johor dan kembangkan pengaruh mereka.

“Kekalkan perpaduan ini, kita boleh berbeza pandangan politik. Tidak mengapa.

“Tapi jangan mengatakan kamu ahli neraka, kamu tak masuk syurga, kami masuk syurga. Kunci syurga, neraka dekat sapa?

“Jangan (biarkan) unsur itu masuk ke Johor,” katanya di program Santai Perpaduan Keluarga Simpang Jeram di Dataran Cenderawasih, Muar, malam ini.

Sementara arus "gelombang hijau" kuat melanda ketika PRN di enam negeri lalu, PN pada masa ini hanya memiliki satu kerusi DUN di Johor, iaitu Maharani yang dipegang PAS.

Sehari selepas penamaan calon, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dalam usahanya untuk membangkitkan semangat jentera Umno di Simpang Jeram menegaskan bahawa PAS tidak boleh dibiarkan bertapak di Johor.

Pada masa sama Zahid mengakui PAS mempunyai tapak yang kuat di kawasan DUN itu.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi juga menyuarakan perkara sama dengan berkata "Tidak ada seinci pun kita biarkan untuk mereka bertapak di Johor".

Sementara itu, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Khaidirah Abu Zahar mengingatkan pengundi di Simpang Jeram dan Pulai agar terus menyokong kerajaan perpaduan ketika hari mengundi esok.

“Ikat janji dengan saya, kuatkan semangat walau apa dugaan yang mendatang, walau apa juga tawaran yang nak diberikan (pihak lawan), yang ini macam 'bom'.

“(Dugaannya) macam menunggu waktu berbuka puasa, yang ni hujung-hujung itu lagi banyak dugaannya," katanya lagi.

Esok, pengundi Simpang Jeram akan membuat pilihan antara calon PH dari Amanah, Nazri Abdul Rahman dan calon PN dari PAS, Dr Mohd Mazri Yahya.

Perbicaraan Zahid dihentikan sementara siasatan menyeluruh dibuat - Peguam Negara

Malaysiakini

Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata surat-surat representasi dan perkembangan lain yang memberikan fakta baru berkatan perbicaraan kes Yayasan Akalbudi terhadap Ahmad Zahid Hamidi membuatkan perbicaraan perlu dihentikan sementara siasatan lanjut dibuat.

Dalam kenyataan hari ini, Ahmad Terrirudin berkata peranan Jabatan Peguam Negara (AGC) adalah untuk memastikan proses undang-undang ditegakkan, bukan memastikan mana-mana tertuduh disabitkan "melalui apa cara sekalipun".

"Tugas hakiki jabatan ini adalah untuk memastikan proses undang-undang ditegakkan sepenuhnya berlandaskan kata-kata yang dikenali sebagai Blackstone Ration, 'It is better that ten guilty persons escape than that one innocent suffer'," katanya lagi.

Dia juga menyertakan sebab-sebab yang diberikan kepada mahkamah apabila memaklumkan keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan.

Antaranya sebab yang diberikan adalah:

Keterangan 15 saksi pembelaan (termasuk Zahid sendiri) yang perlu diteliti oleh pihak pendakwaan dan penyiasatan.

Lanjutan daripada representasi yang dikemukakan Zahid, SPRM pada 20 Januari lalu memaklumkan kepada AGC bahawa penting untuk siasatan lanjut yang lebih terperinci, mendalam dan menyeluruh dibuat.

Secara keseluruhan, Zahid menghantar enam surat representasi yang membangkitkan isu dan bukti baru yang memerlukan siasatan SPRM.

Surat representasi menyentuh isu berkenaan siasatan yang dikatakan dibuat secara "terburu-buru, cuai, pramatang dan tidak lengkap".

Zahid mendakwa dia menjadi mangsa pendakwaan terpilih oleh kerajaan sebelum ini dan ia perlu disiasat pihak pendakwaan dan SPRM. Ia juga selari dengan rancangan kerajaan untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat isu yang dibangkitkan dalam memoir bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Memo dalaman yang dikatakan dikeluarkan AGC berkaitan kes tersebut yang tular di media sosial, yang penting kerana menyentuh secara langsung isu yang dibangkitkan Zahid melalui representasi yang dikemukakan dan menguatkan lagi alasan untuk siasatan secara meluruh terhadap Zahid.

Bagi tidak menafikan hak Zahid dan memastikan tiada salah laku di sisi undang-undang berlaku, pertuduhan terhadapny perlu dihentikan buat masa ini sehinggalah siasatan lebih menyeluruh dan lengkap selesai.

Lelaki tular samun guna pisau diburu polis

FMT Reporters
Tangkap layar menunjukkan suspek bersenjatakan pisau melakukan samun terhadap pelanggan sebuah bank di Ipoh.
PETALING JAYA: Polis memburu seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian samun bersenjatakan pisau di sebuah bank di Ipoh selepas tular satu rakaman di media sosial.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 1 minit 3 saat itu menunjukkan tindakan suspek menghampiri dua individu yang sedang melakukan transaksi di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sambil menghunuskan pisau.

Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan, berkata siasatan mendapati kejadian itu berlaku sekitar 5.20 petang pada 14 Mei lalu.

“Setakat ini, tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Polis kini melaksanakan operasi khas bagi mengesan suspek tersebut,” katanya dalam kenyataan, menurut Sinar Harian.

Yahaya berkata kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ipoh, Mohd Zulkefli Mohd Mokhtar di talian 012 4336999 atau Pusat Kawalan Daerah IPD Ipoh di talian 05 2542222.

Lelaki pandu bawah pengaruh alkohol, sebabkan kematian polis kekal bebas

Bernama

PUTRAJAYA: Seorang pengurus jualan yang didakwa memandu bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang anggota polis dan mencederakan seorang lagi kekal sebagai individu bebas selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan pendakwaan untuk mendapatkan lanjutan masa bagi memfailkan notis rayuan.

Pendakwaan memohon mahkamah memberikan lanjutan masa itu bagi membolehkan mereka memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan N Mohan Rao daripada pertuduhan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak permohonan itu dengan keputusan majoriti 2-1 oleh M Gunalan dan S M Komathy Suppiah manakala Ahmad Zaidi Ibrahim menentang.

Gunalan, yang mengumumkan keputusan itu, berkata pendakwaan gagal mengemukakan alasan kukuh bagi membolehkan mahkamah menggunakan kuasa budi bicaranya untuk membenarkan lanjutan masa.

Beliau berkata alasan pendakwaan bahawa ia satu kesilapan di pihak mereka kerana terlepas pandang dan gangguan komunikasi adalah tidak mencukupi untuk membenarkan permohonan bagi lanjutan masa selain tidak mempunyai merit.

Dalam penghakiman menentangnya, Zaidi membenarkan lanjutan masa kepada pendakwaan kerana berpandangan alasan yang diberikan adalah mencukupi berhubung kelewatan memfailkan notis rayuan.

Beliau berkata kelewatan memfailkan notis rayuan tidak akan memprejudiskan Mohan Rao manakala persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh pendakwaan adalah cukup serius untuk diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Pada 25 Mac tahun lepas, Mahkamah Majistret memutuskan bahawa Mohan Rao, 49, bersalah kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dengan tahap alkohol melebihi had yang dibenarkan sehingga menyebabkan kematian Konstabel Mohd Zamiri Sinsian, 25, dan mencederakan Konstabel Osman Ibrahim, ketika itu berumur 23 tahun, di Jalan Semantan menghala ke bandar pada 3.30 pagi 5 Dis 2018.

Majistret Puteri Nursheila Rahimi menjatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM15,000 ke atas Mohan Rao serta mengarahkan agar lesen tertuduh digantung selama lima tahun.

Pada 31 Mei lepas, Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret dan membebaskan Mohan Rao daripada pertuduhan.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal berkata notis rayuan sepatutnya difailkan selewat-lewatnya pada 14 Jun lepas.

Bagaimanapun, katanya beliau hanya menerima arahan untuk berbuat demikian pada 19 Jun.

Norzilati Izhani berkata pada hari sama, beliau telah memohon kebenaran untuk lanjutan masa bagi memfailkan notis rayuan itu.

Katanya terdapat kesilapan di pihak pendakwaan yang terlepas pandang untuk memfailkan notis rayuan itu dalam tempoh yang ditetapkan.

Peguam Rajan Navaratnam, yang mewakili Mohan Rao, pula berkata Peraturan 58 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 mewajibkan pendakwaan untuk memfailkan notis rayuan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh keputusan Mahkamah Tinggi.

Akhirnya ND Lala bersuara

Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Memang benar saya sudah bernikah dengan Siti Munirah Abdul Ghani. Memang benar bekas isteri saya tidak setuju pada poligami. Memang benar sudah banyak kali bekas isteri saya mengugut, mendesak, meminta saya menceraikannya."

Itu kata pelakon dan penyanyi popular era 1980-an, Datuk ND Lala, 62, yang akhirnya tampil bersuara mengenai kontroversi yang melanda dia bersama bekas isteri, Fauziah Sarman, 55, sebelum ini.

Bapa kepada penyanyi popular, Shila Amzah ini menerusi satu hantaran video di Instagram berkata, keputusan untuk bercerai itu bukanlah satu yang mudah.

"Selepas 34 tahun kami bernikah dan Allah anugerahkan kami empat cahaya mata. Saya sudah menunaikan permintaan bekas isteri saya. Saya sudah melafazkan cerai terhadapnya pada 2 Ogos di Masjid Ar Rahman, Bangsar, Kuala Lumpur.

"Memfailkannya di mahkamah pada 7 Ogos dan beri audio lafaz cerai kepada bekas isteri pada 8 Ogos melalui aplikasi WhatsApp. Mahkamah sahkan perceraian kami pada 5 September.

"Hakikatnya bermula 2 Ogos lalu. Perkahwinan kami sudah pun berakhir. Tiada keperluan lagi untuk membicarakan mengenai perkahwinan kami kerana kami bukan lagi suami isteri," katanya.

Menurutnya, tidak keperluan lagi kisah dia dengan bekas isterinya itu diperkatakan selepas perceraian mereka disahkan mahkamah.

Bagaimanapun, ND Lala tidak mahu mengulas apa yang terjadi antara mereka sehingga membawa kepada perceraian kerana itu adalah perkara peribadi.

"Sekiranya berlaku pergaduhan suami isteri, platform yang betul untuk mengadu atau dirujuk adalah pejabat agama dan keabsahannya diputuskan mahkamah. Tiada keperluan mengadu perasaan kepada orang lain.

"Lebih buruk kalau mengadu di media sosial, wartawan. Apa yang terjadi, sudah terjadi. Saya percaya kepada rukun iman, qada dan qadar. Ini bahagian saya, saya reda. Saya percaya perancangan jauh lebih baik. Pasti ada kebaikannya untuk kami berdua di masa akan datang," katanya.

Pada 5 September lalu, Fauziah memaklumkan kes cerai mereka selesai secara baik.

ND Lala dan Fauziah mendirikan rumah tangga mereka pada 1989 dan hasil perkongsian hidup itu dikurniakan empat anak iaitu Shila, 33; Amir Syafiq, 30; Amir Syahir, 28; dan Nur Syuhada, 25.

Ulasan PMX mengenai DNAA Zahid

Zahid lepas: Idrus tegas mahu jalan tanggungjawab, tak setuju tangguh, kata PM

Faiz Zainudin dan Faisal Asyraf

KUALA LUMPUR: Peguam Negara Idrus Harun bertegas mahu ‘jalankan tanggungjawab’ berkaitan kes Presiden Umno Zahid Hamidi sebelum tamat berkhidmat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Peguam negara kata tarikh awal mahkamah ialah 4 Sept dan 5 Sept hari akhir beliau… jadi beliau jalankan tanggungjawab.

“Dia tak mahu lepaskan tanggungjawab kes yang dia uruskan kepada yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Seri Petaling.

Anwar memaklumkan bahawa Idrus, yang tamat tempoh kontrak pada 5 Sept, juga tidak bersetuju dengan penangguhan.

“Kalau tanya saya, kalau ada kuasa, saya nak tangguh. Sebab saya nak lepaskan semua pilihan raya, kemudian peguam negara jalankan lah tapi peguam negara tak bersetuju,” katanya.

Di sebalik kritikan daripada pelbagai pihak, Anwar sebelum ini bertegas tidak campur tangan dalam urusan Jabatan Peguam Negara (AGC) menghentikan pendakwaan terhadap Zahid.

Anwar berkata AGC memiliki kuasa penuh terhadap kes itu.

Mahkamah pada 4 Sept lalu melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi; selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan AGC ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya memaklumkan pihak pendakwaan memberikan beberapa alasan termasuk keperluan menyiasat tuduhan dengan lebih lanjut dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kandungan buku oleh bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Anwar berkata beliau maklum akan perhatian yang diterima kerana kes itu disifatkan sebagai berprofil tinggi.

“Saya syorkan baca ketetapan daripada peguam negara di hadapan hakim dan mengapa hakim kemudian rasa bersetuju dengan usul. Ada yang mengatakan hakim tak ada pilihan… tak benar, ” katanya.

“Saya juga minta penjelasan lanjut dari peguam negara tentunya. Saya tak salahkan rakyat yang inginkan penjelasan. Jangan dengar tohmahan orang politik, kadang-kadang ikut sedap kata saja.”

Takut nak beli kereta terpakai? Lelaki ini kongsi 8 cara nak uji kereta masih elok atau dah ‘KO’

KIM SYAZIE

Seorang pengguna laman X yang berpengalaman mengendarai lebih lima biji kereta terpakai, berkongsi tips kepada orang ramai sebelum membeli kereta ‘secondhand’.

Pengguna yang menggunakan akaun @iffatsalleh berkata, apa yang penting pembeli jangan mudah terpedaya bulat-bulat dengan apa yang diperkatakan seorang jurujual.

“Aku dah pakai 6 biji used car. Ada yang bagus, ada yang teruk. Ada yang beli terus daripada pemilik, ada beli dari kedai.

“Jadi, ini ialah tips untuk korang beli used car. Nota: Jangan percaya cakap pemilik kereta dan salesman,” ciapnya sambil menyenaraikan 7 tips untuk mereka yang mahu memiliki kereta terpakai.

Pastikan anda semak betul-betul beberapa perkara ni sebelum beli kereta terpaka

1) Check pintu, bonet dan minyak.

Benda pertama kena buat ialah semak semua pintu dan bonet belakang. Tiada buat apa-apa, cuma perlu buka dan tutup. Buat beberapa kali.

Kalau berbunyi pelik, kalau susah buka dan tutup, maka tinggalkan kereta tu segera. Sah kena baiki.

2) Pegang stereng
Korang masuk kereta, pegang stereng, pusing kiri sampai habis, pusing kanan sampai habis.

Kalau ada bunyi kluk kluk, klak klak, maka sah rosak steering rack dan komponen berkaitan. Makan modal.

3) Hidupkan enjin
Hidupkan enjin dan lihat gegaran pada dashboard meter. Kalau bergegar, maka sah engine mounting kena tukar. Makan modal juga.

Kalau nak tahu gegar atau tidak, ambil botol mineral kecil berisi separuh air, letak atas dashboard. Air bergoncang, rosak la tu.

4) Tekan brek dan masuk gear D
Yang ini penting, kadang-kadang hidupkan enjin tak terasa sangat getaran. So kena masuk gear D dan tekan brek. Tengok dashboard bergegar atau tak. Sama masalah, engine mounting rosak.

5) Cari garisan zebra
Pandu uji kereta tu, cari jalan yang ada garisan zebra atau garisan lintasan. Ada dua cara:

Cara 1: Bawa perlahan je, bawah 50kmh melintasi garisan zebra.

Cara 2: Bawa laju sikit dalam 50-90kmh melintasi garisan zebra.

Kenapa? Kalau melintasi garisan zebra ada bunyi kuk kuk kuk, kak kak kak, maka ada masalah undercarriage . Lower arm, drive shaft dan absorber kena tukar.

Lagi la makan modal. Ni mesti pemilik tak pernah tukar lagi.

6) Memecat laju 80-100KMH
Kalau masa memecat laju ada gegaran pada stereng, maka ada masalah pada absorber, shaft atau rim.

Gegaran akan berlaku pada 80 hingga 90kmh, lepas 100kmh akan hilang. Jadi, benda makan modal juga ni pun. Hati-hati la kalau nak beli.

7) Periksa kebocoran

Yang ini leceh sikit, kena tunduk bawah untuk tengok leaking. Tengok dalam enjin. Sebaiknya bawa la sorang kawan yang mahir bab enjin ni untuk tengok kebocoran.

8) Periksa aircond
Buka aircond pada kadar minimum. Takat 1, suhu 20 celcius. Tunggu lima minit. Tengok sejuk atau tidak. Kemudian naikkan satu takat lagi dan tunggu lima minit.

Ulang sampai habis full takat. Kemudian turunkan suhu pula sampai level LO. Kalau semua sejuk, maka cun la tu.

Kalau tak kerana Umno, PAS tak merasa jadi kerajaan - Khairuddin

Malaysiakini

Bekas pemimpin kanan PAS, Khairuddin Aman Razali, mengingatkan pemimpin parti terbabit bahawa mereka seperti terhutang budi kepada Umno.

Katanya jika tidak kerana kerjasama yang dihulurkan Umno, PAS masih belum merasa menjadi sebahagian daripada kerajaan dan menganggotai kabinet sehinggalah pada 2020 lalu.

Dia yang kini dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno berkata, kemenangan besar PAS dalam PRU ke-15 beberapa bulan lalu juga adalah disebabkan kesan berkerajaan bersama parti berkenaan.

Bahkan katanya, jika mengharapkan Bersatu semata-mata tidak mungkin PAS dapat kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas lebih 40 tahun menjadi pembangkang.

"Malah kejayaan PAS kembali menjadi Kerajaan Persekutuan setelah 42 tahun sejak 1978 adalah kerana kerjasama dengan BN dan Umno yang sebelumnya memiliki 78 kerusi parlimen sebelum menyusut kepada 55 kerusi akibat lompat parti dan (sebab) lainnya," kata Khairuddin.

Dia menambah dengan menjadi kerajaan pusat - ekoran Langkah Sheraton - PAS bersama Umno mendapat pelbagai peruntukan kerajaan, selain melegakan pentadbiran PAS di Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Terdahulu media melaporkan pemimpin PAS melahirkan rasa kesal kerana membantu Umno bangkit semula selepas kalah teruk dalam PRU ke-14 pada 2018.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sepatutnya Umno tidak dibantu dan dibiarkan begitu sahaja apabila ditolak rakyat dan kerajaan BN tumbang.

"Apabila Umno tumbang inilah kesempatan untuk kita nyak (tekan) terus, betul tak? Tak perlu kita bantu, tak perlu kita tolong.

" Tetapi apa yang berlaku PAS duduk berbincang dengan Umno. Mari PRK (pilihan raya kecil) kita bantu, kita tolong dia. Ini pada waktu di mana 10 daripada 14 parti komponen BN meninggalkan BN satu persatu," kata Tuan Ibrahim ketika berucap di Muar malam tadi.

Khairuddin yang juga bekas menteri berkata, nikmat menjadi kerajaan tidak akan dapat dirasai PAS jika mereka "nyak" Umno selepas parti itu dikalahkan pada 2018..

Hal itu kerana, kata Khairuddin, dalam PRU ke-14 PAS hanya memenangi 18 kerusi parlimen saja.

Hasil kerjasama tersebut, tambah bekas ahli parlimen Kuala Nerus itu. PAS memperoleh begitu banyak manfaat dan ia tidak wajar dinafikan oleh PAS.

Pengalaman bersama Umno itu juga, kata Khairuddin, merupakan sejarah manis buat PAS.

"Maka wajarkah ungkapan penyesalan diungkapkan setelah pelbagai manfaat diperolehi hasil kerjasama?" katanya.

'Ada YB bina jambatan ke kebun sendiri'

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
Dr Nor'izah Ahmad - Foto SPRM
Dr Nor'izah Ahmad - Foto SPRM
SEPANG - Sudah bukan menjadi rahsia umum bahawa ada 'Yang Berhormat' di negara ini mencampuri urusan projek pembangunan luar bandar untuk keuntungan mereka.

Perkara itu didedahkan pensyarah Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Nor'izah Ahmad yang mengakui wujud ahli politik menyalahgunakan kedudukan mereka untuk kesenangan peribadi dan kroni.

“Dapatan kita ada ahli politik menggunakan peruntukan (pembiayaan projek pembangunan luar bandar) untuk membuat jambatan sepanjang dua kilometer namun selepas diselidiki pemberi maklumat kami, dia mengakui projek itu tidak diperlukan pun.

“Tetapi ia dibuat juga kerana jambatan ini menjadi penghubung ke kebunnya,” katanya ketika membentangkan kertas penyelidikan berjudul 'Risiko Rasuah Dalam Sektor Pembangunan Luar Bandar' bersempena Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2 di Pusat Konvensyen Movenpick, di sini, pada Khamis.

Terdahulu, persidangan itu sebagai satu platform bagi perancang dasar dan pemain industri dalam menilai, merancang dan mengambil tindakan bersesuaian dalam membantu mewujudkan masyarakat Madani yang bebas rasuah.

Persidangan terbabit turut menjadi platform berkongsi dapatan penyelidikan dalam konteks tata kelola, integriti dan antirasuah serta membincangkan isu semasa berkaitan risiko rasuah, pelanggaran integriti dan kelemahan etika.

Penganjuran kali ini adalah kesinambungan persidangan sama yang kali pertama diadakan, juga di lokasi sama pada Mac tahun lalu.

Selain itu, Nor'izah turut mendedahkan, ada syarikat yang sudah disenarai hitam kerana gagal menyiapkan projek pembangunan sebelum ini, namun tetap diberi anugerah kerana campur tangan politik.

Tauke jeruk 'traffic light' kaut RM48k

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
SEBAHAGIAN penjual jeruk jalanan di sekitar Seremban. foto AZRUL EDHAM
SEBAHAGIAN penjual jeruk jalanan di sekitar Seremban. foto AZRUL EDHAM
Seremban: Guna khidmat ramai pekerja warga asing yang diupah menjual jeruk mangga dalam balang di persimpangan lampu isyarat sementara 'tauke' mampu menjana pendapat sehingga RM48,000 sebulan.

Itu antara taktik terkini penjual jeruk mangga yang dikesan semakin ramai membuka 'cawangan' di lampu isyarat utama seluruh negara.

Wartawan Harian Metro yang melakukan tinjauan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati kegiatan itu sebalik merebak ke hampir seluruh Seremban termasuk daerah Nilai.

Meski perbuatan ini adalah satu kesalahan, pihak berkuasa di negeri ini belum mengambil tindakan undang-undang ke atas penjual mangga jalanan ini atas dasar perikemanusiaan dengan mengambil kira rakyat bergelut dalam ekonomi pasca Covid-19.

Bagaimanapun, hasil perbualan dengan penjual mangga di daerah ini, wartawan mendapati majikan mereka mampu menjana jualan sekurang-kurangnya RM48,000 sebulan tanpa perlu menyewa premis atau memohon lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sudah semestinya, rasa simpati orang awam tertumpu kepada penjual yang dilihat berdiri dan berjalan dalam kesesakan lalu lintas sejak awal pagi hingga senja.

Atas faktor inilah, berlakunya permintaan yang membuatkan lebih banyak 'penawaran' wujud hingga merebak ke hampir semua persimpangan lampu isyarat utama.

Lebih mengejutkan, dalam satu operasi bersama dengan JPJ Negeri Sembilan baru-baru ini, terdapat peniaga yang mengambil pekerja warga asing tanpa permit selain pekerja tempatan luar dari negeri ini.

Salah seorang peniaga jeruk mangga berusia 19 tahun memaklumkan, majikan meletakkan sasaran mereka menjual 30 balang jeruk mangga dalam satu hari bermula dari jam 9 pagi hingga senja.

"Jeruk mangga dijual pada harga RM10 sebalang dan 'target' kami adalah 30 balang. Namun, kadang-kadang tidak capai 'target' dan purata jualan harian biasanya adalah sebanyak 20 balang.

"Kumpulan kami seramai lapan orang dan berpecah kepada dua kumpulan di Seremban. Majikan membayar kami komisyen sebanyak RM3 bagi setiap balang," katanya ketika ditemui.

Hasil tinjauan dan perbualan dengan penjual itu juga, wartawan mendapati majikan menyewa sebuah rumah untuk didiami pekerja yang rata-ratanya bukan penduduk Negeri Sembilan.

Mereka turut mendirikan khemah di lokasi mereka berniaga untuk menyimpan stok di dalam tong dan stok mangga pula akan dihantar menggunakan lori ke lokasi mereka berkumpul.

Abai faktor keselamatan pengguna lain

Meskipun sudah diberikan amaran keras sebelum ini, penjual jeruk mangga jalanan dan majikan mereka seolah tidak mengendahkan amaran diberikan pihak berkuasa.

Ada di antara mereka adalah penjual jalanan yang sama pernah diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini namun masih meneruskan aktiviti ditegah.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, perbuatan menjaja di jalanan ini boleh mendatangkan risiko bahaya dan kemalangan kepada penjaja itu sendiri dan pengguna jalan raya lain.

"Kesalahan ini merujuk kepada Kaedah 10A (1) Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959, iaitu tiada sesiapapun boleh menjual atau menawarkan untuk menjual benda atau barang kepada mana-mana orang yang berada di dalam atau di atas kenderaan di persimpangan jalan atau mana-mana jalan raya.

"Kaedah 10A (2) pula menyatakan tiada sesiapapun yang berada di dalam atau di atas kenderaan boleh membeli benda atau barang daripada mana-mana orang di persimpangan jalan atau mana-mana jalan raya," katanya ketika ditemui," katanya.

Beliau berkata, bagi kesalahan itu, penjaja dan pembeli boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

Hanif Yusabra berkata, sehingga kini JPJ Negeri Sembilan menggunakan kaedah advokasi kepada penjual bertujuan memberi kefahaman dan peringatan kepada golongan itu termasuk pembeli.

"Ia berkaitan kesedaran risiko kemalangan terutama dalam kalangan penunggang motosikal dan berkemungkinan berlaku kecuaian antara pengguna jalan raya dengan penjaja. Kami juga menekankan urusniaga ini boleh mengganggu fokus pemandu," katanya.

Bimbang jadi budaya baharu

Aktiviti menjual mangga di persimpangan lampu isyarat dibimbangi menjadi budaya atau kebiasaan baharu kepada rakyat negara ini.

Melihat kepada sambutan penjualan jeruk mangga, seorang pengguna jalan raya, Faiz Shahmi Muhammad, 27, tidak menolak kemungkinan ada penjual produk lain turut akan menggunakan medium pemasaran sama.

"Jika kita lihat dari sudut kemanusiaan, memang akan timbul rasa kasihan kepada golongan penjual ini kerana berdiri dan berjalan berjam-jam lamanya di bahu jalan dalam keadaan cuaca panas dan hujan.

"Faktor simpati menyebabkan ada pengguna jalan raya yang akan membeli mangga dengan niat mahu membantu. Ada juga yang memang mahu makan, tetapi tiada kesempatan untuk pergi ke premis yang menjualnya," katanya ketika ditemui.

Faiz Shahmi berkata, kehadiran penjual jeruk mangga jalanan ini akan memberi imej [kurang cantik' kepada sesuatu kawasan dan negara.

"Bagi pelancong asing, mereka akan menganggap negara ini tidak jauh bezanya dengan negara jiran. Di negara jiran aktiviti menjual makanan, rokok atau barangan di lampu isyarat adalah perkara normal dan dianggap budaya.

"Mungkin ada penjual produk lain akan melihat perkara ini salah satu strategi pemasaran untuk melariskan produk mereka. Situasi ini akan menjadi ikutan dan merebak ke seluruh tempat," katanya.

Seorang lagi pekerja swasta, Adnan Salleh, 43, berkata, jalan raya adalah bukan tempat untuk menjalankan aktiviti perniagaan dan perkara itu tidak adil bagi peniaga yang memiliki premis.

"Bukan saya mahu menghina atau memandang rendah segelintir golongan, namun penjual mangga jalanan ini boleh diibaratkan sebagai penghuni rumah setinggan.

"Penghuninya tidak membayar sewa, tidak membawa cukai pintu dan tidak membayar apa-apa bil utiliti. Sama juga penjual mangga jalanan ini.

"Mereka mendapat untung tanpa membayar apa-apa sedangkan penjual lain perlu membayar sewa kedai, membayar lesen dan perlu memiliki SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia). Ini tidak adil," katanya.

Dua minggu hilang, Lily ditemui lemah, tak ingat apa-apa di Ayer Hitam

Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my
Keadaan Lily ketika ditemui di perhentian bas dan ibu bapa memeluk Lily sebaik ditemui. FOTO Ihsan Keluarga
Keadaan Lily ketika ditemui di perhentian bas dan ibu bapa memeluk Lily sebaik ditemui. FOTO Ihsan Keluarga
Kuala Lumpur: Remaja perempuan Dinna Ismalaily Suhaidi, 15, atau Lily yang dilaporkan hilang sejak 25 Ogos lalu sudah dijumpai di perhentian bas Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor, jam 9.26 malam, hari ini.

Kakaknya, Dialiesa Irdina, 18, yang berkongsi perkara itu kepada Harian Metro berkata, adiknya itu dijumpai oleh orang awam sebelum menghubungi keluarganya.

"Alhamdulillah, adik saya sudah dijumpai. Dia ditinggalkan seorang diri dalam keadaan lemah. Apabila ditanya, dia tak ingat apa-apa.

"Dia juga masih memakai pakaian yang sama seperti kali terakhir dilihat sebelum dilaporkan hilang. Apabila mak sampai dan cuba bercakap dengannya, dia menjadi takut," katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga bersyukur kerana Lily akhirnya ditemui juga dalam keadaan selamat.

"Dapat saja panggilan dan gambar Lily, kami terus bergegas ke sana. Memang tak fikir apa dah. Syukur sangat. Buat masa sekarang keadaan mak saya sedikit lemah.

"Apa pun, terima kasih kepada semua pihak yang sudah membantu menghebahkan berita kehilangan adik saya. Hanya Allah yang dapat membalas jasa anda," katanya.

Menurutnya, Lily akan dibawa ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan lanjut sebelum dibawa pulang ke rumah.

Terdahulu, Lily yang juga anak kelima daripada sembilan beradik, didakwa meninggalkan rumah mereka di Kampung Ilham di Kahang Timur, Kluang sejak 1.22 pagi, 25 Ogos lalu.

Sejak itu, ibunya Norhayati Bakri, 45, aktif berkongsi maklumat mengenai anaknya di media sosial selain video TikTok dimuat naik kakak Lily yang mengundang pilu masyarakat.

Video itu memaparkan kesungguhan Norhayati dan suami mencari Lily tanpa kenal erti penat lelah, malah sanggup berulang-alik dari satu bandar ke bandar untuk mengesan remaja itu.

Pengumuman! India Mahu Tukar Nama, Ini Nama Baru

CNBC Indonesia

Jakarta, CNBC Indonesia - Khabarnya kerajaan India akan menukar nama negara itu. Nama Bharat akan dipilih sebagai penggantinya.

Media India, Economic Times, memetik Times Now, menyiarkan bahawa Perdana Menteri (PM) Narendra Modi berkemungkinan akan membawa resolusi untuk menukar nama rasmi India kepada Bharat semasa sesi khas parlimen. Ia akan berlangsung pada 18-22 September.

Pemimpin Kongres Jairam Ramesh juga dipanggil untuk mengesahkan. Isu menukar nama mula timbul apabila jemputan ke majlis makan malam rasmi G20 tersebar dan Presiden India menghantar mereka bagi pihak 'Presiden Bharat' bukan 'Presiden India'.

“Jadi berita itu benar,” katanya dipetik media, Khamis (7/9/2023).

"Rashtrapati Bhawan telah menghantar jemputan ke majlis makan malam G20 pada 9 September atas nama 'Presiden Bharat', bukan 'Presiden India' biasa," katanya, termasuk nama Presiden, di halaman X.

Pegawai dari parti pemerintah India, BJP, juga menyokong nama baharu itu. Termasuklah salah seorang menteri dalam kabinet.

"REPUBLIK BHARAT - gembira dan bangga kerana tamadun kita maju dengan berani," kata ahli politik BJP Himanta Biswa Sarma.

"Negara kita adalah 'Bharat', tidak ada keraguan tentang perkara ini," kata Menteri Kesatuan Rajeev Chandrasekhar.

Walaupun beberapa pihak menyokongnya, menurut NBC, terdapat beberapa pihak yang menentang. Pengkritik menyelar penukaran nama itu dan menyebutnya sebagai "penyelewengan identiti negara yang sinis dan merugikan diri sendiri."

“Kerajaan tidak sepatutnya mengeluarkannya,” kata Vijender Singh, 28 tahun.

"India adalah nama yang sangat lama," tambahnya sambil menegaskan bahawa kerajaan harus memberi tumpuan kepada pekerjaan dan kemudahan untuk golongan miskin dan bukannya menukar nama negara.

"Saya harap kerajaan tidak terlalu bodoh untuk mengabaikan India, yang mempunyai banyak nilai jenama yang dibina selama berabad-abad," tulis ahli politik parti Kongres pembangkang di X, Shashi Tharoor.

Malah, disiarkan dalam media yang sama, perlembagaan negara memang merujuk kepada dua nama ini. India yang digunakan untuk pernyataan dalam bahasa Inggeris dan Bharat yang digunakan dalam bahasa Hindi.

Negara itu juga dipanggil Hindustan, yang mana banyak kumpulan Hindu sayap kanan memanggil nama rasminya. Nama India berasal berabad-abad yang lalu berkaitan dengan Lembah Indus, yang terletak di bahagian barat laut negara itu.

Sejak PM Narendra Modi memegang jawatan pada 2014, kerajaan BJP telah mendesak untuk menukar nama penjajah di jalan raya dan banyak tempat. Ini dikatakan saki baki perhambaan.

Saman RM1 juta wajar, banteras budaya fitnah

HarapanDaily.com

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad bersetuju dengan tindakan naib pengerusinya Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang mengemukakan saman bernilai RM1 juta terhadap pendakwah bebas dan bekas AJK Pas Pusat Ahmad Dusuki Rani kerana ia dapat mengawal dan membanteras budaya fitnah.

“Ia pasal Dusuki masih lagi mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya berkaitan dengan Tabung Haji (TH).

“Kali ini saya harap Dr Mujahid tidak berlembut hati sehingga melepaskannya kerana dia (Dusuki) telah menunjukkan bahawa dia seorang manusia yang tidak tahu berterima kasih.

“Dusuki masih nak menegakkan benang yang basah walaupun sudah jelas apa yang dia tuduh, fitnah terhadap Dr Mujahid itu terbukti tidak berasas,” kata Khalid.

“Tindakan yang diambil oleh Dr Mujahid adalah wajar agar budaya fitnah dapat dikawal dan dibanteras,” ujarnya.

Mujahid menjelaskan, tindakan undang-undang itu diambil selepas Dusuki memfitnah dirinya secara berterusan.

Katanya, kenyataan berunsur fitnah itu dikeluarkan susulan kekalahan Dusuki dalam saman fitnah terhadapnya sebelum ini.

Dalam pada itu, Mujahid menambah peguamcaranya turut mengeluarkan notis semalam (kelmarin) bagi menuntut Dusuki membayar keseluruhan kos yang diperintahkan oleh mahkamah sebelum ini berjumlah RM23,000 dalam tempoh 14 hari.

“Sekiranya dia gagal mematuhi tuntutan, saya tidak teragak-agak akan teruskan dengan tindakan Mahkamah terhadap Dusuki, termasuk prosiding menghina mahkamah,” katanya.

Fitnah berterusan selepas tarik balik rayuan
Pada 29 Ogos lalu, Ahmad Dusuki yang menarik balik rayuan berhubung saman fitnah terhadap Mujahid menyindir bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu kerana dapat menyelamatkan hampir RM300 juta nilaian tanah ladang harta pendeposit Tabung Haji (TH).

Ahmad Dusuki menafikan kalah selepas menarik balik rayuan berhubung saman fitnah pada 28 Ogos lalu.

Rayuan Ahmad Dusuki itu membabitkan isu di sebalik penjualan aset TH dan berkaitan ciapannya: “Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan.”

Susulan penarikan balik rayuan itu pada Isnin lalu, Ahmad Dusuki diperintahkan membayar kos RM5,000.

Mahkamah Sesyen Shah Alam di Selangor sebelum ini, menolak saman fitnah itu dengan kos RM11,000 sebelum penceramah bebas itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Hariz nafi berkunjung ke kelab malam, cium pelakon wanita

Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my
Hariz Hamdan

Hariz Hamdan
Kuala Lumpur: Pelakon baharu, Hariz Hamdan, 21, menyangkal dakwaan dirinya adalah individu yang dilaporkan bercium di kelab malam bersama seorang pelakon wanita baru-baru ini.

Hariz berkata, sejak isu itu bertebaran di media sosial dia tidak berhenti menerima panggilan telefon daripada rakan-rakan yang bertanyakan mengenai gosip terbabit selain mendakwa adakah individu itu adalah dia.

"Saya tak pernah menjejakkan kaki di kelab malam, jadi bukan saya. Bercium dengan mana-mana wanita pun tak pernah.

"Sejak gosip ini diperkatakan saya tak nafikan, ada peminat yang menghantar mesej memaklumkan nama saya turut terpalit.

"Malah ada juga beberapa rakan yang berkongsi mengenai gosip terbabit. Mereka menghubungi saya dan bertanyakan adakah saya individu yang dimaksudkan. Saya nafikan perkara terbabit sebab memang bukan saya," katanya.

Menurut Hariz, demi memastikan kehadirannya terus kekal relevan dia sedaya upaya cuba mengekalkan imej bersih.

"Saya tak menghakimi sesiapa. Setiap orang ada cara mereka untuk berhibur. Secara peribadi, saya lebih gemar menghabiskan masa 'healing' menaiki motosikal, atau ke konsert.

"Sebagai pelakon baharu saya harus kekalkan nama baik. Saya tidak mahu langkah saya terjejas disebabkan perkara tidak baik.

"Lagipun saya kini dilantik sebagai duta untuk beberapa jenama seperti Asics, jadi saya seboleh mungkin mahu menjaga penampilan dan imej agar ia tidak memberikan implikasi negatif kepada sesiapa," kata Hariz ketika ditemui media pada majlis pelancaran Asics Gel-Kayano Legacy di Atmos, Mid Valley, di sini, hari ini.

3 beranak ditemui mati di bilik sewa

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang wanita yang bekerja sebagai jurujual pencuci rambut ditemui mati bersama dua anaknya di sebuah bilik sewa di Kampung Baru Ampang, pagi tadi.

Mayat tiga beranak itu ditemui oleh seorang lagi penyewa bilik lain unit pangsapuri sama kira-kira jam 7.30 pagi, menurut Berita Harian.

Jasad mereka ditemui di bilik tidur utama selepas sepasukan polis dari IPD Ampang Jaya bergegas ke lokasi terbabit.

Mayat wanita berusia 42 tahun terbabit ditemui bersama anak lelakinya yang berusia 14 tahun dan anak perempuan berusia 15 tahun.

Siasatan awal mendapati mereka disyaki mati akibat terhidu bau gas penghidup api.

Pemeriksaan oleh pegawai pembantu perubatan Hospital Ampang mengesahkan semua mangsa telah meninggal dunia lebih dari tempoh 24 jam.

Pas tiada harapan di Simpang Jeram, pemimpinnya ekstrem – bekas ADUN

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI 

Bekas ADUN Pas di Johor menyifatkan angan-angan Pas, yang mahu kembali merampas kerusi DUN Simpang Jeram dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 9 September ini sebagai sia-sia kerana parti tersebut sudah tidak relevan di kawasan itu.

Bekas ADUN Sungai Abong, Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh yang kini menyertai AMANAH berkata, perjuangan ‘Pas For All’ yang mesra kepada masyarakat bukan Islam sudah tiada apabila Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia.

Apa yang tinggal katanya, hanyalah sekumpulan pemimpin yang agak ekstrem dan sering memainkan isu 3R, raja, kaum dan agama.

“Dulu Pas sesuai dengan jiwa saya, masa itu perjuangan kita mesra kepada masyarakat bukan Islam, bila ada ‘Pas For All’ itu slogan yang dapat sambutan daripada masyarakat Cina, India, luar biasa kita tak jangka, sangat sesuai dengan perjuangan saya.

“Tapi apabila Allahyarham Nik Abdul Aziz meninggal, slogan itu mati, jadi Pas yang tinggal ini sedikit ekstrim dan hari ini nampak lebih ekstrim lagi dengan macam-macam isu Melayu, agama, raja-raja (3R) dimainkan dan ini sudah tentulah tidak sesuai di Simpang Jeram,” katanya seperti dilapor Bernama.

Simpang Jeram merupakan satu daripada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak di bawah Parlimen Bakri, Muar.

Dahulunya Simpang Jeram dikenali sebagai DUN Sungai Abong, sebelum persempadanan semula dibuat pada 2018.

Sheikh Ibrahim yang menjadi ahli Pas selama 36 tahun berkata, pemimpin ekstrem yang membuatkan beliau tawar hati dengan Pas dan kini menyertai AMANAH sejak 2019.

Menurutnya, perjuangan AMANAH yang turut bermula di Simpang Jeram pada 2015, adalah lebih sesuai dengan situasi masyarakat semasa, lebih terbuka dan lebih bersederhana sesuai dengan konsep Rahmatan Lil Alamin.

“Bila tak dapat sokongan Cina maka isu 3R ini Pas akan main dan saya percaya selepas ini mereka akan jadi lebih ekstrim memandangkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berada dalam satu gabungan yang lebih moderate (sederhana), DAP yang lebih sederhana, semua akan lebih bersederhana,” katanya.

Katanya, hasrat Pas yang mahu melahirkan doktor kedua, iaitu kemenangan calon berlatarbelakangkan pakar perubatan di Simpang Jeram melalui pendekatan kempen calon Perikatan Nasional (PN) merawat dan mendekati pengundi sakit, hanya dilihat sebagi gimik bagi meraih undi semata-mata.

“Kerana saya doktor dan anak tempatan di sini, berkhidmat di sini daripada mula saya bertugas pada 80-an hingga hari ini, walaupun saya sudah bersara, saya doktor berkhidmat dan calon berkhidmat dan memberi rawatan kepada penduduk di sini sepanjang saya jadi ADUN.

“Tapi calon PN ini berkhidmat semasa berkempen sahaja, beza berkhidmat semasa kempen untuk menarik pengundi. Dia pernah bertanding sini pada 2018, kalau niat nak berkhidmat di sini dia akan bertanding lagi pada 2022, tapi mana nampak dia punya keikhlasan, lepas kalah lari,” katanya.

PRK di Simpang Jeram dan Parlimen Pulai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara PN, BN-PH dan Bebas, dengan calon PH Nazri Abdul Rahman akan berdepan saingan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya daripada PN dan calon Bebas yang juga ahli perniagaan S Jeganathan.

Fitnah ceramah politik di masjid, Fahmi saman 3 individu

Bernama
Fahmi Fadzil memfailkan saman terhadap tiga individu termasuk Wan Muhammad Azri Wan Deris dan Dusuki Rani kerana memfitnahnya memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang.
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil memfailkan saman terhadap tiga individu termasuk blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atas dakwaan memfitnah kononnya beliau memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu selaku plaintif turut menyaman penceramah bebas Dusuki Rani serta pemilik dan pemilik akaun Facebook “N13 Kuang”, Mohd Fauzan Madzlan selaku defendan.

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi, yang mewakili Fahmi memberitahu Bernama, ketiga-tiga saman itu difailkan secara berasingan pada 5 Sept lepas di Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Asheeq Ali & Company.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa plaintif menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Dakwa plaintif, kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos, manakala di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai lepas.

Menurut Fahmi, kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor (Mais) telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.

Plaintif turut mendakwa kenyataan fitnah itu dibuat bertujuan memburukkan nama baiknya demi mendapatkan publisiti murahan atau mewujudkan sensasi dalam arena politik negara selain menjejaskan reputasinya sebagai Ahli Parlimen dan anggota Jemaah Menteri.

Menurut plaintif, pihaknya telah telah menghantar surat tuntutan bagi ketiga-tiga individu itu menarik balik kenyataan fitnah berkenaan, membayar ganti rugi dan menyiarkan permohonan maaf kepada plaintif, namun sehingga kini mereka gagal berbuat demikian.

Fahmi mendakwa tiga defendan itu masih mengekalkan kenyataan fitnah berkenaan dalam laman sosial mereka.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan, dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.

Plaintif juga menuntut agar tiga defendan itu membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan melalui akaun laman sosial mereka dan semua media massa dan media atas talian dengan kandungan permohonan maaf harus dipersetujui terlebih dahulu oleh plaintif.

Kes saman terhadap Dusuki dan Fauzan ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Shasha Hidayah Nor Azahar pada 5 Okt ini manakala kes membabitkan Muhammad Azri pada 9 Okt di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Aisyaf Falina Abdullah.

E-hailing Pati

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my
KENDERAAN Toyota Velfire yang dipandu remaja membawa kepada penemuan 25 Pati di Jalan Selinsing, ibu kota. Hasil pemeriksaan polis berjaya menemui 19 lelaki dan enam wanita berusia 15 hingga 39 tahun yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.
KENDERAAN Toyota Velfire yang dipandu remaja membawa kepada penemuan 25 Pati di Jalan Selinsing, ibu kota. Hasil pemeriksaan polis berjaya menemui 19 lelaki dan enam wanita berusia 15 hingga 39 tahun yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.
Kuala Lumpur: Sindiket penyeludupan manusia kini 'melantik' pemandu e-hailing warga tempatan sebagai tekong darat atau transporter bagi memudahkan urusan mereka membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Indonesia ke lokasi tertentu.

Mereka dikesan bergiat aktif di kawasan laluan tikus seperti di Port Dickson, Negeri Sembilan dan juga Kuala Selangor, Klang di Selangor serta Tanjung Sedili, Johor.

Mendedahkan kepada Harian Metro, sumber keselamatan berkata, modus operandi itu dikesan aktif di sekitar kawasan pendaratan Pati.

"Warga asing ini akan transit dahulu di rumah transit, bagi mengurangkan risiko aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa, sindiket itu kemudiannya akan menggunakan khidmat pemandu e-hailing untuk mengambil warga asing terbabit ke tempat yang ingin dituju.

"Sindiket akan membayar harga yang lagi mahal berbanding tambang mengikut aplikasi perkhidmatan berkenaan menyebabkan ramai pemandu e-hailing sanggup mengambil penumpang warga asing berkenaan walaupun tahu ia adalah satu kesalahan," katanya.

Menurutnya, pemandu e-hailing dibayar dari RM500 sehingga RM1,500 bergantung kepada lokasi yang ingin dihantar.

"Sebagai contoh, sindiket akan membayar RM1,000 kepada pemandu untuk membawa Pati ke Kedah.

"Selain itu, sindiket turut menawarkan pekerjaan tetap atau merekrut pemandu e-hailing yang dipercayai mereka," katanya.

Menurutnya, ada juga kereta 'prebet sapu' yang didapati menyamar sebagai kenderaan e-hailing dan mempunyai hubungan dengan pihak sindiket.

"Terdapat juga aktiviti prebet sapu untuk membawa warga asing keluar dari rumah transit.

"Mereka ini akan dihubungi pihak sindiket sekiranya Pati mendarat di negara ini.

"Prebet sapu turut menggunakan pelekat e-hailing bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Wartawan Harian Metro turut meninjau di beberapa lokasi di Klang yang menjadi tumpuan pemandu e-hailing.

Kebanyakan mereka didapati tidak memeriksa dokumen penumpang terlebih dahulu kerana panggilan dibuat menerusi akaun warga tempatan.

Seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali berkata, kehadiran kenderaan pemandu e-hailing yang ramai menimbulkan tanda tanya penduduk setempat.

"Pelik juga kalau kawasan sekitar pesisir Klang sehingga ke Banting, banyak kenderaan masuk, jika kita lihat penduduk disini kebanyakan mempunyai kenderaan sendiri.

"Boleh tengok di kawasan Pulau Carey dan beberapa kawasan di Banting, banyak kenderaan menunggu dengan pelekat e-hailing dipaparkan pada kenderaan masing-masing," katanya.

Ambil risiko dek upah tinggi

Menerima upah dengan kadar tinggi bagi membawa migran ke destinasi yang ingin dituju.

Itu antara punca pemandu e-hailing sanggup merisikokan diri walaupun sudah mengetahui ia menjadi satu kesalahan dan boleh didakwa di mahkamah.

Bagaimanapun, kegiatan itu berjaya dikesan menerusi beberapa tangkapan terhadap pemandu e-hailing oleh Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D3) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, hasil siasatan didapati sindiket sanggup membayar sehingga RM500 bagi satu kepala kepada pemandu e-hailing bagi membawa pendatang asing tanpa izin ke destinasi masing-masing.

"Memang tidak dinafikan, sindiket penyeludupan migran kini dikesan menggunakan khidmat pemandu e-hailing untuk menghantar Pati ke sesuatu destinasi.

"Sehingga Ogos lalu terdapat enam kes tangkapan membabitkan pemandu e-hailing yang membawa migran dari lokasi transit ke lokasi yang ingin dituju," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, walaupun kegiatan itu masih berada pada tahap yang rendah namun polis sentiasa memantau dan melakukan pemeriksaan terhadap pemandu dan penumpang e-hailing.

"Pada tahun ini terdapat enam kes membabitkan lapan tangkapan iaitu tujuh lelaki dan satu wanita dipercayai pemandu e-hailing.

"Mana-mana individu yang terbabit dalam jenayah ini akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

"Sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dihukum dengan penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya," katanya.

Menurutnya, polis menasihatkan kepada pemandu e-hailing untuk tidak terbabit dalam kegiatan ini walaupun sindiket menawarkan pulangan yang lumayan.

"Jenayah penyeludupan migran ini boleh mengancam kedaulatan negara. PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana sindiket atau individu yang terbabit dengan menggunapakai segala peruntukan undang-undang yang sedia ada seperti Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA)," katanya.

Juri terpesona persembahan Putri Ariani, mara ke final AGT

Agensi
Putri Ariani
Putri Ariani 
Los Angeles: Penyanyi Indonesia, Putri Ariani berjaya mara ke pentas akhir program America's Got Talent (AGT) musim baharu pada 26 September ini selepas mendapat tepukan berdiri dan membuatkan Simon Cowell hilang kata-kata menerusi persembahan terbarunya.

Putri, 17, mendendangkan lagu U2 berjudul I Still Haven't Found What I'm Looking For dengan versi tersendiri sambil duduk bermain piano.

Cowell yang juga juri program itu paling teruja dengan persembahan menakjubkan terbabit serta mengakui sangat bersyukur Putri mencuba nasib untuk musim baharu AGT.

"Saya sebenarnya agak kehilangan kata-kata sekarang. Sungguh indah suara kamu. Versi yang cukup indah. Dan sejujurnya Putri, disebabkan inilah saya masih buat pekerjaan ini.

"Seikhlasnya untuk momen-momen seperti ini. Ia (persembahan) sangat indah," katanya.

Tiga juri lain iaitu Sofia Vergara, Heidi Klum, dan Howie Mandel juga sangat bersetuju persembahan berkenaan antara yang terbaik pernah mereka saksikan.

Putri adalah antara peserta yang berjaya layak ke peringkat seterusnya selepas mendapat 'Golden Buzzer' daripada Cowell di peringkat uji bakat.

Terdahulu, penyanyi yang mempunyai masalah penglihatan itu memukau dunia dengan nyanyian Sorry Seems to Be the Hardest Word sewaktu uji bakatnya.

Lelaki tayang alat sulit pada wanita ditahan

FMT Reporters
Tangkap layar video tular memaparkan seorang penunggang motosikal mendedahkan kemaluannya kepada seorang wanita.
PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai mendedahkan alat sulitnya kepada seorang wanita di satu tempat letak kereta di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Ahad.

Ketua polis Seberang Perai Tengah Tan Cheng San berkata suspek akan dibawa ke mahkamah Bukit Mertajam untuk mendapatkan perintah reman, lapor Berita Harian.

“Lelaki warga tempatan berusia lingkungan 50-an itu ditangkap di sebuah premis di Jalan Aston, jam 3.30 petang semalam,” katanya.

Katanya, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Dalam kejadian pada Ahad lalu, seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal menghampiri seorang wanita di tempat letak kereta sebuah restoran makanan segera lalu membuka seluar nak menunjukkan kemaluannya sebelum melarikan diri.

Wanita itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Bukit Mertajam.

Satu video berdurasi 24 saat kejadian itu turut dikesan tular di media sosial.

'Orang Cina gerun fikirkan kalau PAS jadi kerajaan'

Shakira Buang

PRK JOHOR | Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Sungai Abong Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh, mendakwa masyarakat dan pengundi Cina merupakan golongan yang paling gerun apabila memikirkan PAS akan menjadi kerajaan.

Dia yang mewakilil kawasan Sungai Abong selama dua penggal berkata kebimbangan itu lahir berdasarkan corak kepimpinan yang ditonjolkan PAS ketika ini.

“Mereka sangat-sangat khuatir dan gerun apabila memikirkan apakah masa depan mereka sekiranya PAS yang ada pada hari ini (yang dilihat) bersikap ekstrem akan memerintah negara.

“Contohnya, ahli perniagaan, mereka sangat bimbang dengan trend yang berlaku dalam negara kita pada hari ini,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini di kediamannya di Taman Desa, Muar, kelmarin.

Ahli politik veteran itu berkata demikian mengulas perbezaan corak kepimpinan PAS sebelum ini dengan sekarang.

Mengulas lanjut, Pengarah Pilihan Raya PH Simpang Jeram itu berkata kebimbangan masyarakat Cina juga tidak dapat diredakan dengan penjelasan dan penegasan yang dibuat oleh kepimpinan PAS dan gabungannya, PN.

Sheikh Ibrahim berkata segala penegasan yang dibuat kepimpinan parti itu semata-mata mahu meraih undi mereka ketika pilihan raya.

“Mereka (masyarakat Cina) tak rasa begitu, mereka akan rasa mereka berada di kelas yang kedua dalam negara ini dan apa yang dikatakan, ditegaskan oleh kepimpinan PN itu sekadar untuk merayu undi bukan Melayu," katanya.

Pimpinan PN khususnya PAS dilihat sering kali memainkan isu yang menyentuh 3R baik dalam pilihan raya kecil, pilihan raya negeri mahu pun pilihan raya umum.

Antara pemimpin yang dilihat kerap menjadikan isu terbabit sebagai bahan kempen mereka adalah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Ekoran kenyataannya berkait isu 3R juga Abdul Hadi kini disiasat bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung ucapannya di Johor pada 26 Ogos.

Abdul Hadi ketika berucap pada majlis Ceramah Perdana PN Johor di Markas PAS Kawasan Bakri, di Muar pada 27 Ogos lalu berkata pengampunan kepada pesalah yang diamalkan di negara ini tidak sesuai dengan ajaran Islam.

Katanya, anggota keluarga mangsa jenayah yang berhak memberikan pengampunan, bukan lembaga pengampunan.

Bagaimanapun, Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Agong untuk “memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan Raja atau Yang Dipertua Negeri sesuatu negeri berkuasa memberikan ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam negerinya.”

Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad juga dalam ucapannya dalam siri kempen PRK DUN Simpang Jeram secara terbuka berkata dia akan terus "bersuara" terutamanya melibatkan isu-isu 3R walaupun sudah sembilan kali disoal siasat polis berkenaan isu itu.

Perdana menteri ketujuh itu berkata larangan untuk bercakap isu 3R sebenarnya tidak mengikut lunas undang-undang negara kerana tidak dibawa ke kabinet, dipersetujui oleh Dewan Rakyat dan ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong.

Mahathir juga menegaskan larangan berkenaan tidak dianggap sebagai undang-undang.

Di pentas sama Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin turut mempersoalkan sejak bila pemimpin tidak boleh bercakap berkaitan 3R.

“Sejak bila tak boleh bercakap (berkaitan 3R). Kita bangsa Melayu nak membicarakan soal bangsa kita tak boleh?

"Bukan kita nak menyemarakkan perasaan perkauman, (kenapa) tak boleh? Agama kita agama Islam,” katanya.

‘Lebai Pas buka mulut saja fitnah’, ramai sokong Mujahid saman Dusuki RM1 juta

HarapanDaily.com
‘Lebai Pas buka mulut saja fitnah’, ramai sokong Mujahid saman Dusuki RM1 juta
Orang ramai menyokong keputusan Naib Presiden AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa untuk mengenakan tindakan saman terhadap Ahmad Dusuki Rani yang berterusan mengeluarkan fitnah terhadapnya.

Rata-ratanya berpendapat sikap bekas pimpinan Dewan Ulama Pas berkenaan yang masih memutarbelitkan keputusan mahkamah tidak harus dibiarkan.

Malah, Dusuki yang kalah dalam saman fitnah terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri tersebut sebelum ini dilihat tetap menegakkan benang yang basah.

Dusuki yang bertindak menarik balik rayuan berhubung saman fitnah pada 28 Ogos lalu itu juga dianggap tidak serik untuk menabur fitnah malah mempertikai keputusan mahkamah.

Semalam, Dr Mujahid dalam satu kenyataan memaklumkan telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Dusuki dengan menuntut membayar ganti rugi berjumlah RM1 juta.

Beliau menegaskan tindakan undang-undang itu dibuat selepas mendapati Dusuki mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempunyai unsur penghinaan kepada mahkamah.

Sehubungan itu, warganet menyifatkan Dusuki dan ramai lagi pemimpin Pas pada masa ini memang sudah sinonim dengan amalan fitnah yang terbukti dengan deretan kes membabitkan jumlah bayaran ganti rugi lebih RM2 juta setakat ini.

Malah, pereka grafik dan aktivis terkenal, Fahmi Reza bulan lalu melalui karya parodinya ‘menganugerahi’ Dusuki dengan gelaran ‘Pencipta Fitnah Popular Tahun Ini’.

“Dah kalah pun masih ego. Tak sedar diri, bukan nak minta maaf tapi masih nak tegakkan benang yang basah.

“Kenapa pemimpin Pas sekarang banyak sangat memfitnah? Inilah akibatnye bila lari dari perjuangan asal Pas. Ada saja fitnah yang mereka lempar.

“Bohong dan buat fitnah tu satu ibadah bagi Pas. Cakap benar tu satu dosa besarlah.

“Saman segera, jangan biarkan pemfitnah bertopengkan kopiah ini,” demikian antara komentar warganet di media sosial.

Dalam masa sama, pengundi Perikatan Nasional (PN) juga diharap celik akal dalam menolak pemimpin yang bukannya memberikan keutamaan terhadap keperluan dan kebajikan rakyat sebaliknya sibuk menjaja politik fitnah.

“Pengundi PN takkanlah tak boleh nampak semua ni? Dah kalah saman fitnah pun tetap fitnah lagi.

“Sampai bila nak undi PN?” soal pengguna Facebook Parandeep Singh.

Pesawat bawa 12 rakyat Israel mendarat cemas di Malaysia

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pesawat membawa 12 rakyat Israel dalam penerbangan dari Dubai ke Singapura melakukan pendaratan luar jangka di Malaysia, pagi semalam.

Memetik laporan Jewish News Syndicate (JNS), pesawat Emirates EK354 terpaksa melakukan penghentian tidak berjadual di Kuala Lumpur susulan “keadaan cuaca buruk”.

“Ketika mendarat di bumi Malaysia, penumpang tidak diarahkan turun dan selepas hampir lima jam menunggu di landasan penerbangan bersambung menuju Singapura,” kata kenyataan Kementerian Luar Israel yang dipetik JNS.

Israel tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Dalam kenyataan, Emirates berkata pihak kesal berhubung ketidakselesaan yang berlaku.

Dalam pada itu, JNS melaporkan pada 29 Ogos, pesawat komersial dari Seychelles ke Tel Aviv, membawa 128 rakyat Israel melakukan pendaratan sama di Jeddah, Arab Saudi, akibat masalah elektrik.

Pengembara bermalam di hotel lapangan terbang di mana mereka dilapor tidak dibenar meninggalkan bilik masing-masing sebelum berlepas menaiki pesawat gantian dan terbang ke Dubai keesokannya.

Israel dan Arab Saudi juga tidak mempunyai hubungan diplomatik.

Penduduk gali kubur selepas dengar bunyi dentuman

KOSMO!
Penduduk kampung mengerumuni kubur seorang lelaki di Nusa Tenggara Barat. - Facebook
JAKARTA – Sekumpulan penduduk tempatan di Nusa Tenggara Barat, Indonesia menggali semula kubur seorang lelaki yang baru sebulan meninggal dunia selepas mendengar bunyi dentuman kuat dari dalam tanah, lapor program berita Liputan6 hari ini.

Video memaparkan kejadian itu dimuat naik dalam akaun Facebook @Salome Kuah Mamagina.

Orang ramai nekad menggali semula kubur itu selepas mendengar bunyi dentuman kuat seolah-olah seseorang sedang memukul papan yang menutupi liang lahad selama dua hari berturut-turut.

Kubur itu dikatakan milik seorang penduduk bernama Ahmad yang meninggal dunia kira-kira 42 hari lalu. 

Ketika kubur itu digali, penduduk kampung menghidu bau busuk daripada mayat yang sudah mereput lalu mereka menutup semula kubur itu.

Walaupun mendapat persetujuan keluarga si mati, tindakan penduduk kampung itu mendapat bantahan pengguna di media sosial.

“Kenapa perlu digali semula? Atas alasan ingin tahu? Bagaimana mungkin mayat itu hidup semula. Mungkin ramai menganggap bunyi ketukan daripada mayat yang hidup semula,” komen seorang netizen.

“Ramai bersekolah tetapi tidak berpendidikan,” komen netizen lain. – Agensi

Netizen kecam acara tarian dalam kawasan masjid

Agensi
TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan majlis yang diadakan di dalam kawasan Masjid Mohammad Ali di Kaherah.
TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan majlis yang diadakan di dalam kawasan Masjid Mohammad Ali di Kaherah.
Kaherah: Satu majlis perkahwinan gilang-gemilang, lengkap dengan acara tarian dan nyanyian, yang diadakan di dalam kawasan Masjid Mohammad Ali di sini baru-baru ini, menerima kecaman daripada ramai pihak.

Gulf News melaporkan pengguna media sosial menyebarkan secara meluas klip video acara yang diadakan di masjid terletak di dalam Istana Salah Al Deen itu.

Rakaman itu memaparkan hadirin menari mengikut alunan DJ, dengan beberapa wanita tampil tanpa bertudung, seolah-olah tidak menghiraukan kesucian agama Islam dan masjid berkenaan.

Tindakan sedemikian di dalam masjid, tempat ibadat yang dihormati, mendapat kritikan keras daripada pengguna media sosial.

Mereka menganggap perbuatan itu tidak sopan dan menekankan bahawa masjid adalah rumah Allah yang ditetapkan untuk ibadat dan bukan untuk tarian atau perayaan tradisi.

Insiden itu membawa kepada gesaan untuk tindakan undang-undang terhadap penganjur acara yang dikatakan melanggar kesucian masjid.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian itu.

Masjid Mohammad Ali berdiri sebagai satu daripada mercu tanda bersejarah pelancongan Mesir yang terkenal.

Reka bentuknya mencerminkan keindahan Masjid Sultan Ahmed di Istanbul yang dibina pada 1616. Ia juga mempunyai persamaan dengan Masjid Khalid bin Al Walid di Homs, Syria, terutamanya dalam keseluruhan struktur, kubah dan menaranya.
- hmetro 

Ada yang panggil saya pakcik Agong, abang Agong'

BERNAMA

Kota Kinabalu: Sabah memerlukan kestabilan politik dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat bagi memastikan negeri ini maju, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka bertitah Sabah adalah sebuah negeri yang amat besar, justeru kestabilan politik dan perpaduan rakyat adalah acuan penting untuk negeri itu dimajukan dengan sebaiknya dan tanpa semua itu, usaha memajukan Sabah tidak akan dapat direalisasikan.

Al-Sultan Abdullah bertitah sepanjang Kembara Kenali Borneo, Seri Paduka mendengar pelbagai suara daripada rakyat Sabah terutama membabitkan kemajuan negeri, malah berseloroh dengan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam perjalanan itu untuk menjadi 'tukang catit' apa disuarakan rakyat negeri ini.

"Kecantikan bukit ini, ladang ini semua ada dalam buku kita (dicatit) ada juga aduan yang kita tulis. Ada juga bukan aduan.

"Mudah-mudahan pandangan saya mengenai jalan raya, bekalan air dan elektrik juga pandangan lain di Sabah dapat diusahakan.

"Saya ketengahkan, bila jumpa PM (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) saya suarakan apa yang patut disuarakan," titah Seri Paduka pada Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Sabah Sempena Kembara Kenali Borneo di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini malam ini.

Turut berangkat pada majlis itu Tunku Azizah.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim Haji M Yahya.

Al-Sultan Abdullah juga meminta pihak terlibat supaya melihat kepada isu jambatan di kawasan Sungai Liwagu yang menurut Seri Paduka mempunyai kawasan cantik tetapi jambatan 'pecah dua' yang menyukarkan penduduk kampung untuk melintas.

Seri Paduka bertitah Kembara Kenali Borneo juga memberi peluang untuk Seri Paduka meninjau sendiri pembangunan Lebuhraya Pan Borneo yang mampu memberi manfaat kepada rakyat Sabah selain membuka peluang lebih banyak kemajuan projek infrastruktur impak tinggi di sepanjang laluan.

"Kerajaan beri tumpuan (Lebuhraya Pan Borneo) jadi 'game changer' (pengubah keadaan) di Sabah. Kesejahteraan mereka di kawasan pedalaman dapat diberikan dan dapat dimajukan dengan lebih pantas," titah Seri Paduka.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong bertitah Kembara Kenali Borneo merealisasikan hasrat baginda untuk mengenali dengan lebih rapat lagi rakyat di Sabah dan Sarawak terutama yang tinggal di kawasan pedalaman.

"Saya dijemput selalu di Kota Kinabalu dan Kuching, tetapi di luar ini tidak pernah jejak, jadi saya fikir umur pun dah meningkat saya cuba melihat dan kenal rakyat pelosok Sabah.

"Saya jumpa, salam rakyat hulur tangan tanpa mengira latar belakang kerana bagi saya semua sama, kita rakyat Malaysia.

"Saya dapat realisasikan di Sabah. Saya sudah memandu sendiri 759 kilometer, alhamdulillah pinggang saya masih kuat lagi.

"Saya tak nak mengadu jalan raya di sini. Harap dapat akhiri (keseluruhan) 985 kilometer di Sabah. Saya terharu dengan layanan mesra orang Sabah," titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut berkongsi cerita lucu sepanjang kembara itu apabila ada rakyat yang memanggil Seri Paduka dengan nama 'pakcik Agong', dan 'abang Agong', malah memanggil Tunku Azizah sebagai 'Datin Permaisuri'.

"Ada juga panggil saya Gong-Gong, ini semua hiburkan hati saya juga. Ada puji isteri saya (Tunku Azizah) cantik. Ini semua tidak dapat saya lupakan dan rakyat Sabah akan kekal berada dalam hati saya untuk selamanya," titah Seri Paduka.

Seri Paduka berdua kini berangkat melakukan perjalanan sejauh 2,154 kilometer Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 September bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.