Ilham Centre: Pengundi PN kembali kepada BN faktor kemenangan

SITI NUR ZAWANI

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim tidak menolak kemungkinan kekalahan Perikatan Nasional (PN) adalah disebabkan dua faktor iaitu pengundi PN tidak keluar mengundi, atau berlaku peralihan undi kepada Barisan Nasional.

Bagaimanapun Mohd Yusri berkata, kemenangan besar Kerajaan Perpaduan di DUN Mahkota adalah disebabkan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Beliau percaya peningkatan undi kepada BN adalah hasil kerjasama yang baik dua gabungan itu.

“Pertama kali bekerjasama dalam PRK Mahkota ini, BN-PH berjaya mengganda jumlah undi kepada 20,609 atau 78 peratus undi daripada keseluruhan 54 peratus yang keluar mengundi. 

“Peningkatan besar bilangan dan peratusan undi yang dikumpul oleh BN ini adalah hasil kerjasama PH-BN dalam PRK ini,” katanya.

Mohd Yusri berkata, berbanding sikap dingin yang awalnya dipamerkan oleh pengundi Cina, kadar keluar mengundi kumpulan itu secara relatifnya sangat memuaskan berbanding kebimbangan awal. 

Akuinya, strategi saat akhir oleh PH-BN untuk memujuk pengundi Cina keluar boleh ditafsirkan sebagai berjaya kerana sumbangan segmen tersebut banyak membantu kemenangan dengan majoriti sangat besar.

“Kerjasama BN-PH dalam PRK ini membuahkan hasil berlipat ganda. Sebagai contoh dalam PRU15 pada November 2022 sewaktu pengundian Parlimen Kluang, BN hanya mengumpul 14,834 atau 30 peratus undi daripada 77 peratus pengundi Mahkota yang keluar. 

“Manakala sebelum itu dalam PRN pada Mac 2022, BN hanya mengumpul 16,611 atau 45 peratus daripada keseluruhan 57 peratus yang keluar mengundi,” katanya lagi.

Mengulas kekalahan teruk PN, Mohd Yusri mendapati ada perkara yang tidak kena apabila sepanjang berkempen, Pas kelihatan tidak cukup ghairah untuk memenangkan calon Bersatu.

Selain itu hanya pasukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sahaja yang dikatakan bekerja bersungguh-sungguh dan berkempen untuk menang.

“Pengurangan ketara undi PN ini khususnya berbanding PRU15  hanya ada dua kemungkinan iaitu sama ada pengundi PN sedia ada tidak keluar mengundi, atau mereka keluar tetapi bertukar mengundi BN.

“Ada sesuatu tidak kena yang boleh diberi perhatian oleh kepimpinan tertinggi PN berkaitan hubungan Pas-Bersatu dalam gabungan tersebut. 

“Ini kerana sepanjang kempen, Pas kelihatan tidak cukup ghairah untuk membantu dan memenangkan calon PN,” ulasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan