Pulak!!? Bekas PM Pakistan, isteri dipenjara tujuh tahun atas kesalahan perkahwinan tidak sah

BHarianonline 
Isteri bekas perdana menteri Pakistan, Imran Khan, Bushra (kiri) didakwa tidak menyempurnakan tempoh 'edah', selepas bercerai dengan suaminya sebelum ini dan berkahwin dengan Khan. - Foto AFP
Isteri bekas perdana menteri Pakistan, Imran Khan, Bushra (kiri) didakwa tidak menyempurnakan tempoh 'edah', selepas bercerai dengan suaminya sebelum ini dan berkahwin dengan Khan. - Foto AFP
ISLAMABAD: Bekas Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dan isterinya, Bushra Khan hari ini dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan denda, selepas mahkamah memutuskan perkahwinan mereka pada 2018 melanggar undang-undang.

Ia adalah keputusan buruk ketiga yang dihadapi bekas perdana menteri minggu ini dan muncul menjelang pilihan raya negara, Khamis ini, selepas beliau dilarang daripada bertanding.

Khan 71, yang masih dalam penjara, sejak beberapa hari lalu dijatuhi hukuman 10 tahun kerana membocorkan rahsia negara dan penjara 14 tahun bersama isterinya itu kerana menjual hadiah negara secara haram.

"Selepas berjam-jam perbicaraan tergesa-gesa di mahkamah, tiada pemeriksaan balas saksi, dan tiada proses wajar - satu penghinaan terhadap undang-undang.

"Melalui cara perbicaraan ini dijalankan, akan ada tanda tanya besar yang akan berlaku pada pilihan raya 8 Februari ini. Ini adalah kes ujian untuk badan kehakiman yang lebih tinggi di Pakistan," kata parti Khan, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), dalam satu kenyataan.

ARY News, melaporkan, dalam penghukuman itu, kedua-duanya masing-masing didenda 500,000 rupee (AS$1,800, RM8,491).

Bushra dituduh tidak menyempurnakan tempoh menunggu yang diamanatkan oleh Islam iaitu 'edah', selepas bercerai dengan suaminya yang terdahulu dan berkahwin dengan Khan.

Keluarga Khan menandatangani kontrak perkahwinan mereka, dipanggil 'Nikkah' pada Januari 2018 dalam satu majlis rahsia tujuh bulan sebelum bekas superstar kriket berkarisma itu menjadi perdana menteri buat kali pertama.

Terdapat kontroversi sama ada mereka melangsungkan perkahwinan sebelum haid selesai.

Selepas penafian di awal perkahwinan Januari itu, PTI kemudiannya mengesahkannya beberapa minggu kemudian.

Namun, kedua-dua Khan menafikan sebarang salah laku dilakukan.

"Boleh saya katakan saya adalah saksi nikah dan ia adalah satu lagi kes palsu. Daripada saksi kepada keterangan kepada prosedur," kata penasihat media Khan, Zulfi Bukhari kepada Reuters.

Khan berada di penjara di Rawalpindi, manakala isterinya dibenarkan menjalani hukuman di rumah agam mereka di atas bukit di Islamabad.

Pemimpin itu sudah kehilangan kelayakan selama 10 tahun daripada memegang jawatan awam dan ketika ini, adalah tidak jelas sama ada hukuman itu akan dijalankan serentak atau berasingan.

Difahamkan, bekas suami Bushra, Khawar Maneka, yang berkahwin dengan wanita itu selama kira-kira 30 tahun, membuat aduan jenayah terhadap Khan.

Khan, 71, sering menggelar Bushra sebagai pemimpin rohaninya.

Dia terkenal dengan pengabdiannya kepada tasawuf.

Dilahirkan dengan nama Bushra Riaz Watto, dia menukar namanya kepada Khan selepas perkahwinannya itu.

Suami dan pengikutnya biasanya memanggilnya sebagai Bushra Bibi atau Bushra Begum, gelaran yang menunjukkan rasa hormat dalam bahasa Urdu.

Tidak jelas bila atau bagaimana Khan bertemu Bushra, tetapi bekas pembantu Aun Chaudhry, berkata Khan terpesona dengan iman wanita itu.

Khan, pada era 1990-an memperoleh imej 'playboy' ketika kerjaya kriketnya bermula dan berkata, beliau sangat berminat dengan pengajian tasawuf.

Dua perkahwinan Khan sebelum ini berakhir dengan perceraian - iaitu bersama Jemima Goldsmith, anak kepada taikun perniagaan James Goldsmith dan wartawan televisyen, Reham Nayyar Khan. - REUTERS

Seorang India seorang Melayu tetapi adik-beradik kandung

Kawan karib rupanya adik beradik

Agensi
 THANGAH Koh dan Fatimah Mohidin. FOTO LimYaohuiTHANGAH Koh dan Fatimah Mohidin. FOTO LimYaohui
Singapura: Warga emas Singapura ini sering bermain sejak kecil, namun tidak menyangka rupanya mereka saudara kandung.

Thangah Koh, 72, dan Fatimah Mohidin, 71, adalah anak kepada seorang mekanik dan isteri keduanya yang mempunyai lapan anak.

Dua daripada lima anaknya daripada perkahwinan pertama turut tinggal bersama menyebabkan sumber kewangan mereka agak terhad.

Thangah adalah anak kedua, manakala Fatimah anak ketiga hasil perkahwinan kedua bapanya.

Dinamakan Koh Siew Kiang ketika dilahirkan, Thangah sering jatuh sakit semasa bayi sehingga seorang ahli nujum menasihati ibu bapanya menyerahkannya kepada orang luar seperti keluarga bukan Cina atau nasib malang mungkin menimpa bapanya.

Ketika berusia lima bulan, dia diserahkan kepada pasangan India yang tidak mempunyai anak dan mengusahakan gerai kantin di sebuah sekolah.

Setahun kemudian, Fatimah yang dinamakan Koh Siew Lang ketika dilahirkan turut diserahkan kepada keluarga angkat Thangah.

Namun, dia kemudian diserahkan kepada jiran keluarga angkat berkenaan, iaitu pasangan Melayu yang tidak mempunyai anak kerana mereka tidak dapat menguruskan dua anak kecil serentak.

Fatimah yang bersara dari sebuah kilang berkata, jiran tetangga sering bertanya sama ada mereka adik beradik kerana mempunyai wajah hampir sama.

"Orang kata kami serupa dan bertanya sama ada kami adik-beradik.

"Saya kata saya Melayu sedangkan Thangah India jadi macam mana kami boleh menjadi adik-beradik?

"Tetapi apabila kebenaran terbongkar, saya terima takdir ini," katanya.

Sementara itu, Thangah, yang juga pesara pembantu pejabat berkata, dia hanya mengetahui anak angkat ketika mendaftar untuk mendapatkan kad pengenalan ketika remaja.

Katanya, pegawai Imigresen bertanya sama ada dia berketurunan Cina kerana nama ibu bapa kandungnya pada sijil kelahirannya adalah Cina.

"Saya menerima berita itu dengan tenang dan tidak bertanya lanjut kepada ibu bapa saya kerana mereka sangat menyayangi saya, apatah lagi bapa saya seorang tegas.

"(Namun) Secara diam-diam saya mencari keluarga kandung ketika berusia 20 tahun kerana memerlukan maklumat untuk memohon kerakyatan Singapura kerana proses penyerahan anak angkat tiada dokumen.

"Apabila saya berjaya mencari mereka, ibu bapa dan adik beradik kandung saya menangis, malah bapa saya sangat gembira," katanya seperti dilaporkan Straits Times.

Katanya, keluarga kandung mereka pernah mencari dua beradik itu menerusi iklan di akhbar Cina, namun usaha itu tidak berjaya.

"Hari itu juga saya diberitahu, Fatimah juga adik kandung saya.

"Kami gembira kami adik beradik dan saya tidak pernah marah kerana diserahkan kepada keluarga angkat, malah saya berterima kasih kepada ibu bapa angkat saya kerana membesarkan saya dengan baik," katanya.

Kini, biarpun ibu bapa angkat dan ibu bapa kandung mereka sudah meninggal dunia mereka masih menyambut pelbagai perayaan bersama keluarga kandung mereka.

"Adik beradik kandung saya semuanya penyayang dan hormat-menghormati.

"Hubungan kami semakin erat, malah adik beradik saya panggil saya kakak India mereka dan Fatimah kakak Melayu mereka," kata Thangah.

Kisah mereka dipaparkan dalam buku mengenai penerimaan antara kaum di Singapura sebelum merdeka, yang diterbitkan pada Disember 2023 Little Drops: Cherished Children Of Singapore's Past ditulis Dr Theresa Devasahayam, pensyarah sosiologi sambilan.

Rumah tangga disangka goyah, sekali Siti Nurhaliza tepis gosip dengan kata-kata ini

WAN SITI AMINAH

Tiada angin tiada ribut, penyanyi kesayangan Malaysia iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza tiba-tiba dihimpit dengan kontroversi mengenai isu kegoyahan rumah tangganya.

Sempat menimbulkan kekecohan, penyanyi berusia 45 tahun itu tampil menjernihkan semula keadaan dan menjelaskan persoalan mengenai hubungannya dengan suami.

Menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya, Siti Nurhaliza memuat naik foto bersama suami iaitu Datuk Seri Khalid Jiwa atau Datuk K bersama dua anak mereka.

Foto tersebut difahamkan telah diambil ketika mereka sekeluarga menyambut hari ulang tahun Siti ke-45 yang berlangsung meriah di sebuah hotel mewah di ibu kota.

Dalam ruangan kapsyen foto terbabit, penyanyi yang mesra disapa Tokti itu meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi berdasarkan hantarannya di Instastory.

Siti menerusi penulisan ringkasnya itu tampil menegur sambil berseloroh, “Suka gosip tau. Tak baik fikir bukan-bukan”.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengikut menarik nafas lega apabila penyanyi nombor satu negara itu terlihat gembira bersama suami dan anak-anaknya.

Ramai juga pengguna media sosial membanjiri ruangan komen gambar tersebut mendoakan agar rumah tangga pasangan usahawan itu dikurniakan dengan kebahagiaan.

Terdahulu, desas-desus mengenai isu kegoyahan rumah tangga Siti Nurhaliza mula timbul selepas penyanyi itu membuat beberapa perkongsian di Instastory miliknya.

Menyiarkan semula hantaran mengenai ujian terbesar isteri, ibu kepada dua anak itu turut berkongsi enam alasan mengapa seorang suami tidak boleh membentak isteri.

Perkongsian inilah yang membuatkan ramai pengguna media sosial mula membuat andaian bahawa rumah tangga penyanyi kelahiran Pahang itu sedang bermasalah.

Walau bagaimanapun, tinjauan mendapati perkongsian tersebut segera dipadamkan oleh Siti sejurus selepas ia mula ditularkan semula di pelbagai platform media sosial.

Sekadar info, Siti menamatkan zaman bujangnya bersama Datuk K pada 21 Ogos 2006 lalu dan dikurniakan dengan dua cahaya mata iaitu Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa.

Beranikah PKR pecat Hassan Karim

Pecat saya dari PKR jika bersuara jadi satu kesalahan - Hassan
Malaysiakini 

Ahli Parlimen PKR, Hassan Karim berkata dia tidak berkecil hati dengan teguran keras oleh Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.

Sebaliknya Hassan berkata parti itu boleh memecatnya jika menganggap tindakannya bersuara sebagai satu kesalahan.

"Secara hormat dan merendah diri bahawa saya terbuka dan bersedia sekiranya Parti Keadilan ingin memulakan prosiding disiplin ke atas saya kerana bersuara lantang selama ini.

"Jika saya mempertahankan hak saya untuk bersuara dan menyatakan fikiran maka itu dianggap satu kesalahan oleh Kerajaan Perpaduan maka saya bersedia jika saya dikenakan tindakan pemecatan oleh pimpinan parti," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi meminta Hassan berhenti campur tangan dalam hal ehwal dalaman parti sekutu PH.

Ini selepas Hassan menggesa Umno menggantikan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, bagi mendapatkan semula keyakinan pengundi Melayu terhadap parti itu.

"Jangan jaga tepi kain parti orang lain. Kalau dia hendak suruh saya letak jawatan itu lain, kalau itu Pak Hassan Karim (Hassan) lah.

"Tapi jangan komen orang dalam parti lain, ia tidak baiklah, (jadi) saya bagi teguran keras pada Pak Hasan," kata Fahmi.

Tak kecil hati

Hassan pada Rabu lalu dilaporkan berkata Umno perlu diterajui muka baru dan tidak hanya 'menumpang dahan 'Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar Ibrahim yang dikatakan 'rapuh' berdepan PRU16.

Menurut Hassan, rombakan pemimpin baru yang segar, berintegriti dan berkarisma dalam parti itu penting untuk kembali mendapatkan undi Melayu.

Pada 1 Feb lalu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi mengkritik ahli parlimen Pasir Gudang itu dan menggesa dia untuk bermuhasabah diri sebelum meminta parti itu menggantikan presidennya.

Menurut Hassan, sepanjang tempoh lebih 4 dekad terlibat dalam politik, inilah kali pertama dia ditegur secara keras dan diumumkan secara terbuka di media sosial atas kesalahan menyatakan fikiran dan pandangan politik.

"Saya tidak berkecil hati.

"Hanya kerana teguran keras itu diumumkan secara terbuka maka izinkan saya menyatakan juga secara terbuka bahawa tidak ada kegetaran dan ketakutan di pihak saya atas teguran YB Menteri Fahmi Fadzil selaku jurucakap kerajaan dan ketua penerangan Parti Keadilan,” katanya.

Azizulhasni Awang walaupun sudah berusia 36 tahun masih mampu memenangi emas di Adelaide

Bernama
Azizulhasni Awang mempamerkan kayuhan bertenaga acara keirin lelaki di Kejohanan UCI Adelaide mengetepikan cabaran getir pelumba Jepun. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara Azizulhasni Awang membuktikan dirinya masih “berbisa” untuk menjadi pencabar di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila cemerlang memperoleh gelaran keirin lelaki di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Adelaide, Australia hari ini.

Pada perlumbaan yang berlangsung di Super-Drome itu, pelumba yang diberi julukan “The Pocket Rocketman” itu mempamerkan kayuhan bertenaga mengetepikan cabaran getir dari dua pelumba Jepun, Shinji Nakano dan Kaiya Ota untuk memperoleh emas pertamanya tahun ini.

Kemenangan itu sekali gus memberi mata buat Azizulhasni untuk ke pentas Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai ini.

Pelumba berusia 36 tahun itu sebelum ini menduduki tempat ketiga pada peringkat separuh akhir untuk mara ke pusingan akhir.

Bagaimanapun, seorang lagi pelumba negara Muhammad Fadhil Zonis gagal menamatkan perlumbaan dalam pusingan repechage selepas menamatkan saringan kedua di tempat kedua acara keirin.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menerusi akaun X mengucapkan tahniah kepada Azizulhasni atas kejayaannya.

“Azizulhasni Awang telah memenangi emas acara keirin di Kejohanan Tissot UCI Nations Cup Adelaide, Australia sebentar tadi. Tahniah! #RoadToGold,” katanya.

Tiga cedera, kereta Mazda CX5 tercampak sebelum terbakar

SAFINA RAMLI
Kemalangan membabitkan dua kereta jenis Mazda CX3 dan Mazda CX5 di KM5.7, Jambatan Kedua, hari ini.
GEORGE TOWN – Tiga mangsa dilaporkan cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta jenis Mazda di Kilometer 5.7, Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah atau lebih dikenali Jambatan Kedua dekat sini, hari ini.

Seorang lagi mangsa berusia 38 tahun dilaporkan terselamat dan dipercayai tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, kemalangan kira-kira pukul 12.08 tengah hari itu membabitkan kereta jenis Mazda CX3 dan Mazda CX5.

“Dalam kemalangan itu, kereta Mazda CX5 dilaporkan terbakar sehingga 80 peratus dan tercampak sejauh 300 meter di atas jambatan tersebut.

”Terdapat empat orang mangsa terlibat, di mana dua mangsa yang menaiki kereta jenis Mazda CX3 cedera dan telah dibawa ke Hospital Sungai Bakap, manakala seorang lagi mangsa yang menaiki kereta ini selamat.

”Seorang lagi mangsa cedera yang menaiki kereta jenis Mazda CX5 telah dibawa ke hospital oleh orang awam,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya.

”Operasi tamat pada pukul 1.32 petang dan kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tahanan lolos larikan diri kelaparan, beri mi goreng tapi mi segera diminta

BERNAMA
RAZALI (kiri) dan Mohd Isa (kanan) menceritakan kejadian menemui dua pendatang tanpa izin yang lolos dari Depot Tahanan Imigresen Bidor di Masjid Jamek Ar Rahmaniah Batu Melintang. Dua pendatang tanpa izin terbabit antara 131 pendatang tanpa izin yang telah melarikan diri pada Khamis lepas, dari blok lelaki Depot Tahanan Imigresen Bidor. FOTO Bernama
RAZALI (kiri) dan Mohd Isa (kanan) menceritakan kejadian menemui dua pendatang tanpa izin yang lolos dari Depot Tahanan Imigresen Bidor di Masjid Jamek Ar Rahmaniah Batu Melintang. Dua pendatang tanpa izin terbabit antara 131 pendatang tanpa izin yang telah melarikan diri pada Khamis lepas, dari blok lelaki Depot Tahanan Imigresen Bidor. FOTO Bernama
Tapah: Atas dasar kemanusiaan, penduduk Kampung Batu Melintang di sini memberi makan dan minum kepada dua tahanan yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor sebelum pendatang asing tanpa izin itu diserahkan kepada polis.

Pesara guru, Razali Talib, 69, berkata, dua tahanan dalam lingkungan usia belasan tahun itu dikesan oleh kariah Masjid Jamek Ar Rahmaniah Batu Melintang ketika berada di masjid berkenaan pada awal pagi tadi.

Menurutnya kerana berasa kasihan dengan keadaan mereka, dia memberi tahanan itu dua bungkus mi goreng walaupun mereka tidak memintanya.

"Bagaimanapun, seorang daripada tahanan iaitu yang (warga) Rohingya tidak mahu mi goreng sebaliknya dia minta maggi (mi segera), manakala yang (warga) Bangladesh mungkin disebabkan terlalu lapar dia habiskan satu setengah bungkus mi goreng tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menceritakan detik mula mengesyaki kehadiran dua tahanan itu, Razali yang juga imam masjid berkenaan, berkata dia ternampak pendatang warga asing itu berada di dalam masjid ketika mahu mengerjakan solat subuh.

– LAGI

PENDUDUK-TAHANAN (REAKSI) 2 TAPAH

Menurutnya selesai mengerjakan solat sunat, dia lalu bertanya dua tahanan itu tentang asal mereka, namun tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberi.

"Saya tanya asal mereka, seorang daripadanya jawab "saya Bangladesh", tetapi saya rasa dia berbohong kerana mukanya seperti orang Rohingya (Myanmar). Saya biarkan dulu untuk teruskan dengan solat subuh dan mereka pun solat sekali," katanya.

Razali berkata usai solat subuh, dia terus meminta rakannya yang merupakan pesara polis, Mohd Isa Ariffin, 70, menghubungi pihak polis bagi memaklumkan tentang kehadiran dua pendatang asing tanpa izin itu.

Sementara menunggu ketibaan polis, menurutnya dia meminta siak dan bilal masjid mengawal pergerakan dua tahanan itu supaya tidak lari sambil berbual dengan mereka.

"Seorang tidak boleh cakap Melayu dan seorang lagi mendakwa dari Myanmar bekerja di kawasan ini. Saya syak mereka berbohong kerana selama ini tiada orang Myanmar atau Bangladesh kerja di sini," katanya menambah dua tahanan itu berpakaian lengkap tetapi tidak memakai kasut.

– LAGI

PENDUDUK - TAHANAN (REAKSI) 3 (AKHIR) TAPAH

Razali berkata polis tiba di masjid itu selepas selesai tadarus al-Quran dan mengesahkan dua pendatang asing tanpa izin tersebut merupakan antara tahanan yang lari dari depot imigresen sebelum membawa mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Menurutnya kampung berkenaan memang sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga lebih-lebih lagi selepas ketua kampung memaklumkan kepada penduduk terdapat insiden tahanan lari dari depot tersebut dua hari lepas.

"Sebelum ini pun polis selalu masuk kampung dan ini adalah kawasan polis pencen. Apa-apa insiden yang berlaku, mereka akan maklumkan untuk keselamatan kampung," katanya.

Dalam kejadian Khamis malam, 131 pendatang asing tanpa izin iaitu 115 etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh, telah melarikan diri dari blok lelaki depot tahanan itu dan seorang daripada mereka meninggal dunia apabila terlibat dalam nahas jalan raya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh mengesahkan 10 tahanan yang melarikan diri berjaya ditahan setakat pagi ini.

'Jumpa di mahkamah," kata Dr Muhamad Akmal kepada Tony Pua

Mohd Nasaruddin Parzi
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemuda UMNO akan membuat laporan polis di seluruh negara bagi mengesa siasatan terhadap bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang didakwa mengeluarkan kenyataan biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Perkembangan itu dimaklumkan Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh, susulan keputusan Lembaga Pengampunan memberi pengurangan tempoh hukuman penjara serta denda ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Insya-Allah laporan polis terhadap Tony Pua akan dilakukan seluruh negara oleh Pemuda UMNO atas kebiadapan dia mempertikaikan keputusan yang telah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Jumpa di mahkamah," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam, Tony yang juga bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya memuat naik beberapa hantaran sinis di Facebook miliknya selepas keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib.

Pada Jumaat, Lembaga Pengampunan memutuskan untuk memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara dan lebih 70 peratus untuk denda yang dikenakan terhadap Najib.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh urusetia Lembaga Pengampunan.

12 lelaki ahli kongsi gelap ditahan dalam kejadian bakar mercun tengah jalan

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
Polis mengesan rakaman video tular yang menunjukkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire menghalang lalu lintas dan lelaki membakar mercun di Jalan Kayu Ara, Damansara, Petaling Jaya, semalam. FOTO Ihsan Polis
Polis mengesan rakaman video tular yang menunjukkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire menghalang lalu lintas dan lelaki membakar mercun di Jalan Kayu Ara, Damansara, Petaling Jaya, semalam. FOTO Ihsan Polis
Petaling Jaya: Polis menahan 12 individu yang disyaki terbabit kejadian membakar mercun dan menggantung sepanduk kumpulan kongsi gelap di Jalan Kayu Ara, Damansara di sini, semalam.

Kesemua lelaki berusia antara 22 hingga 68 tahun itu ditahan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sekitar Kampung Sungai Kayu Ara pada 10 malam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, pada mulanya polis terkesan satu video tular berdurasi 22 saat yang menunjukkan seorang lelaki membakar mercun sambil menghalang lalu lintas di persimpangan lampu isyarat.

"Terdapat konvoi beberapa motosikal yang mengiringi sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang menggantung sepanduk berunsurkan gengsterisme.

"Hasil siasatan mendapati video itu dimuat naik satu pemilik akaun media sosial Facebook pada 2 petang semalam dan kejadian dikesan berlaku di Kayu Ara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, berdasarkan maklumat dan risikan pasukan polis menahan 12 individu yang dipercayai terbabit kes itu.

Beliau berkata, polis turut merampas kenderaan Toyota Vellfire dan alat kawalan jauh.

"Semakan lanjut mendapati enam suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah, dikehendaki dan kes komersil di Penampang, Sabah," katanya.

Katanya, tiga suspek dibenarkan reman sehari manakala selebihnya direman empat hari sehingga Isnin ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 7(A) Akta Bahan Letupan 1957 serta Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Mayat mereput dengan mata ditutup, tangan bergari dalam beg plastik

Agensi
TANGKAP layar video sebahagian jasad tahanan rakyat Palestin ditemui di utara Gaza. FOTO agensi
TANGKAP layar video sebahagian jasad tahanan rakyat Palestin ditemui di utara Gaza. FOTO agensi
Baitulmaqdis: Sekurang-kurangnya 30 jasad dalam keadaan mereput, ditutup mata dan digari ditemui berhampiran sekolah Hamad di utara Gaza, Palestin.

Saksi memberitahu Al Jazeera, jasad berkenaan ditutup matanya, diseksa dan dibunuh sebelum dimasukkan dalam beg plastik hitam.

"Ketika kami sedang membersihkan kawasan itu, kami terserempak dengan timbunan runtuhan di halaman sekolah.

"Kami terkejut apabila mengetahui puluhan mayat tertimbus di bawah timbunan ini.

"Sebaik kami membuka beg plastik hitam, kami tengok mayat sudah reput dengan mata ditutup manakala kaki dan tangan diikat," katanya.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri Palestin berkata, penemuan kubur besar itu menunjukkan tentera Israel membunuh orang awam dengan gaya hukuman mati.

Katanya, mereka menuntut siasatan antarabangsa berhubung pembunuhan beramai-ramai Israel.

"Datang ke Gaza tengok kebenaran pembunuhan beramai-ramai yang terdedah kepada rakyat kami.

"Pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan tentera penceroboh terhadap rakyat kami di Semenanjung Gaza tanpa akauntabiliti atau pengawasan," kata kementerian itu.

Dalam pada itu, kumpulan pejuang Hamas berkata, pertubuhan hak asasi manusia harus mendokumentasikan penemuan kubur besar-besaran itu.

"Jenayah kejam ini dan perkara lain yang dilakukan neo-Nazi terhadap rakyat Palestin akan kekal sebagai sumpahan yang menghantui mereka dan hari akan tiba apabila mereka dipertanggungjawabkan atas kekejaman dan jenayah yang melebihi pelanggaran paling mengerikan dalam era moden kita," kata Hamas dalam satu kenyataan di Telegram.

Peguam hak asasi manusia Palestin, Diana Buttu memberitahu Al Jazeera, insiden ini kebenaran mengapa Israel diheret ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Katanya, penemuan kubur besar itu perlu disiasat segera kerana jelas jenayah perang.

Bulan lalu, pegawai hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ajith Sunghay menggesa penganiayaan Israel terhadap tahanan Palestin dihentikan.

Katanya, beliau sendiri bertemu dengan lelaki yang ditahan selama berminggu-minggu dan dipukul serta ditutup matanya.

Tahanan Palestin biasanya didera dan dipukul tentera Israel serta dipenjarakan selama berminggu-minggu di lokasi yang tidak diketahui.

Beberapa video dikongsi tentera Israel sejak perang bermula menunjukkan, ratusan lelaki Palestin dilucutkan seluar dalam mereka, duduk di luar dalam kesejukan serta ditutup matanya.

Dalam beberapa video, wanita dan kanak-kanak turut kelihatan dalam kumpulan tahanan itu.

5 anggota polis direman, didakwa ‘pau’ pekerja kilang RM4,500

FMT Reporters

Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin, berkata menurut mangsa anggota polis meminta RM10,000, namun selepas ‘bincang’, mangsa membayar RM4,500.  (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Lima anggota polis termasuk berpangkat sarjan direman empat hari kerana dipercayai melakukan pemerasan terhadap seorang pekerja kilang melibatkan RM4,500, kata polis Pulau Pinang.

Polis berkata, mangsa mendakwa sedang memandu kereta Toyota Vios untuk pulang ke rumahnya di Simpang Ampat, dekat Bukit Mertajam apabila ditahan anggota polis menaiki dua kereta MPV, pada 10.15 Khamis.

“Mangsa mendakwa ditahan dua kereta MPV dan tiga anggota keluar menjalankan pemeriksaan dan sebelum menemui satu beg plastik mengandungi serbuk dipercayai dadah.

“Mangsa menafikan dadah itu miliknya dan anggota di lokasi mengatakan dadah terbabit adalah milik mangsa dan boleh dikenakan hukuman berat.

“Kemudian, datang sebuah lagi kereta MPV yang dinaiki dua anggota sebelum mengarahkan mangsa membayar RM10,000 bagi mengelak ditahan,” kata Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin kepada Berita Harian.

Khaw berkata, selepas “perbincangan” antara mangsa dengan semua anggota berkenaan, mangsa dilaporkan membuat bayaran RM4,500 kepada seorang daripada anggota di lokasi lain, tidak jauh dari lokasi dia ditahan.

Katanya, tidak puas hati dengan kejadian, mangsa bertindak membuat laporan dan bertindak atas aduan membawa kepada tangkapan lima anggota tersebut bagi membantu siasatan.

Kelima-lima mereka itu kini direman hingga Selasa dengan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Tentera diarah bakar rumah

Agensi
PASUKAN penyelamat Palestin memadamkan kebakaran di sebuah rumah di Rafah, selatan Semenanjung Gaza selepas dibom Israel. FOTO AFP
PASUKAN penyelamat Palestin memadamkan kebakaran di sebuah rumah di Rafah, selatan Semenanjung Gaza selepas dibom Israel. FOTO AFP
Baitulmaqdis: Pegawai kanan Israel mengarahkan tentera mereka membakar rumah penduduk Gaza, Palestin.

Akhbar Israel, Haaretz melaporkan arahan itu adalah amalan biasa dan tanpa sebarang kelulusan undang-undang.

Menurut maklumat diperoleh Haaretz, tentera Israel memusnahkan ratusan bangunan dengan cara ini sejak sebulan lalu.

Sumber memberitahu, pada mulanya, langkah membakar rumah dilakukan secara kecil-kecilan sebelum semakin menjadi amalan biasa.

Pada akhir operasinya di Semenanjung Gaza minggu lalu, satu batalion diberi arahan untuk mengosongkan barang-barang dari rumah dan bersedia untuk dibakar.

Laporan itu menyatakan, beberapa tentera Israel memuat naik video ke media sosial dan melabelkan tindakan mereka sebagai balas dendam terhadap warga Israel yang terbunuh pada 7 Oktober lalu.

Menjawab laporan itu, tentera rejim itu berkata, pemusnahan bangunan di Gaza sentiasa dilakukan dengan kelulusan rasmi dan dakwaan operasi itu tanpa kebenaran akan disiasat.

Seorang pegawai pemerintah tentera Israel memberitahu Haaretz, dia pun tidak tahu mengapa beberapa bangunan dibakar.

"Mungkin ada maklumat mengenai pemilik rumah itu atau mereka menjumpai sesuatu di situ.

"Saya tidak tahu dengan tepat kenapa rumah itu dibakar," kata pegawai itu.

Sejak operasi ketenteraan Israel bermula Oktober lalu, tentera Israel menggunakan periuk api dan bahan letupan lain untuk memusnahkan rumah dan bangunan.

Data satelit yang diperoleh BBC menunjukkan kira-kira 144,000 hingga 175,000 bangunan di seluruh Semenanjung Gaza rosak atau musnah.

Angka itu bersamaan dengan 50 hingga 61 peratus bangunan Gaza.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganggarkan, kira-kira 70 peratus infrastruktur awam Gaza kini dimusnahkan Israel.

Kemusnahan yang meluas menyebabkan pakar undang-undang melabelkan tindakan itu sebagai domisid atau pemusnahan besar-besaran rumah untuk menjadikan kawasan itu tidak boleh didiami.

Domisid ialah jenayah kemanusiaan di bawah undang-undang antarabangsa.

Minta sedekah, Guna sekolah tahfiz buat modal, warga asing raih RM10,000 sebulan di pasar malam

WAN SITI AMINAH

Sifat pemurah hati di kalangan rakyat Malaysia terbukti apabila warga asing berjaya meraih pendapatan mencecah RM10,000 sebulan dengan meminta sedekah.

Hanya menjalankan kegiatan mereka di pasar malam, warga asing ini juga tergamak menggunakan nama sekolah tahfiz atau institusi keagamaan untuk meraih simpati.

Susulan aduan daripada orang awam, pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor segera menjalankan operasi di sekitar pasar malam Gelang Patah, di Johor Bahru.

Operasi dijalankan Selasa lalu itu turut mendapat kerjasama pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru dan juga Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

Hasilnya, anggota penguat kuasa JIM telah berjaya menahan seramai tujuh orang pengemis warga asing yang berusia di dalam lingkungan 34 sehingga 63 tahun.

Perkara berkenaan dikongsikan menerusi satu kenyataan yang telah dimuat naik di akaun media sosial Facebook milik agensi penguatkuasaan negeri Johor tersebut.

“Tindakan diambil susulan aduan awam berhubung kegiatan dan juga kewujudan pengemis serta pengutip derma membabitkan warga asing di pasar malam tersebut.

“Pengutip derma warga asing yang ditahan menggunakan alasan membiayai sekolah tahfiz atau institusi keagamaan untuk meraih simpati. Manakala pengemis pula terdiri daripada mereka yang cacat anggota badan.

“Penahanan ini membuktikan ada dalam kalangan mereka yang meraih pendapatan sehingga RM300 sehari atau RM10,000 sebulan,” kata Pengarah JIM Johor, Baharuddin Tahir.

Menurut Baharuddin, pengemis dan pengutip derma yang berjaya ditahan ini terdiri daripada tiga lelaki warga Kemboja dan juga dua pemuda warganegara Thailand. 

Dalam operasi yang sama, seorang lelaki dan wanita warga Indonesia turut ditahan ketika anggota Imigresen melakukan pemeriksaan di sekitar gerai berdekatan.

Agensi penguatkuasaan tersebut berikrar akan mempergiatkan lagi operasi supaya kegiatan mengemis dan pengutipan derma ini dapat dibanteras daripada berleluasa.

“Jabatan Imigresen Malaysia turut memandang serius terhadap isu warga asing yang  telah menyalahgunakan pas atau permit masuk diberikan kepada mereka.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan sekiranya terdapat PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin) yang melanggar undang-undang.” Ulas Baharuddin lagi.

Remaja Korea Utara tonton K-drama dihukum kerja berat

KOSMO!

PYONGYANG – Dua remaja lelaki dari Korea Utara dihukum melakukan kerja berat selama 12 tahun kerana menonton drama televisyen Korea Selatan, lapor laman berita Oddity Central semalam.

Dalam satu rakaman video yang diperoleh oleh Perbadanan Penyiaran British (BBC), dua remaja berusia 16 tahun itu dilihat memakai pakaian berwarna kelabu.

Mereka dikelilingi oleh beratus-ratus orang ketika dijatuhi hukuman kerana menonton drama terbitan negara jirannya itu.

Semua bentuk hiburan dari Korea Selatan termasuk program televisyen adalah diharamkan di Korea Utara.

Menurut undang-undang Korea Utara pada 2020, menonton dan mengedarkan sebarang bentuk program dari Korea Selatan akan dihukum penjara bagi tempoh tertentu atau mati.

“Budaya rejim boneka (Korea Selatan) kini telah tersebar dalam kalangan remaja kita,” kata seorang pengulas televisyen yang merujuk kepada Korea Selatan. 

“Mereka hanya berumur 16 tahun dan telah memusnahkan masa depan masing-masing” ujarnya. – AGENSI

Parti tak perlu ‘tembak’ rakan, pengampunan kuasa raja

Mohd Farhan Darwis

PETALING JAYA: Para penganalisis mengingatkan parti-parti politik bahawa pengampunan atau memendekkan hukuman seseorang pesalah merupakan kuasa mutlak raja-raja, maka tidak perlu mereka bercakaran sesama sendiri.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan kadar hukuman dan denda Najib Razak semestinya tidak melibatkan campur tangan politik.

“Setiap ahli lembaga ada pandangan tapi Yang di-Pertuan Agong ada keputusan akhir. Keputusan Agong muktamad. Tak boleh pertikai sama ada parti politik, orang awam, atau apa pun institusi,” katanya kepada FMT.

Awang Azman berkata isu tidak perlu dijadikan bahan untuk menyalahkan mana-mana parti, kerana urusan berkenaan “tiada kaitan parti politik”.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan semalam mengumumkan hukuman 12 tahun penjara yang dikenakan terhadap Najib dikurangkan menjadi enam tahun, dan beliau akan dibebaskan lebih awal pada Ogos 2028.

Bekas presiden Umno itu juga diberikan pengurangan hukuman denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Awang Azman berkata kemungkinan pengampunan penuh pada masa depan juga urusan Agong.

Katanya, pertimbangan Agong “kita tak tahu… ini bukan kaitan kerajaan perpaduan, jadi mereka (pemimpin politik) tak boleh tembak sekutu-sekutu,” katanya.

Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia percaya keputusan lembaga itu semalam memberi kelegaan kepada ahli-ahli Umno, meskipun bekas presiden mereka itu tidak diberi pengampunan penuh.

Keputusan juga menunjukkan pentadbiran Anwar Ibrahim sudah melaksanakan tanggungjawabnya. “Ia kuasa mutlak hak budi bicara lembaga pengampunan,” katanya.

“Walaupun dapat pengurangan separuh, yang penting usaha sudah dibuat ia akan meningkatkan imej Anwar sebagai ketua kerajaan.”

Dua pemandu lori maut, gula pasir bertaburan atas lebuh raya

Muhamad Lokman Khairi
am@hmetro.com.my
KEADAAN kemalangan membabitkan tiga lori dan empat kereta di KM 288.1 Lebuhraya Utara-Selatan (Arah Utara), hari ini. FOTO Ihsan pembaca
KEADAAN kemalangan membabitkan tiga lori dan empat kereta di KM 288.1 Lebuhraya Utara-Selatan (Arah Utara), hari ini. FOTO Ihsan pembaca
Ipoh: Dua lelaki maut dengan satu daripadanya ditemui dalam keadaan berkecai dalam kemalangan membabitkan tiga lori dan empat kereta di KM 288.1 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara), di laluan antara Gopeng ke Simpang Pulai, dekat Kampung Tersusun Tekah, di sini, hari ini.

Difahamkan, mangsa masing-masing ialah pemandu lori gula pasir dan pemandu lori muatan logam yang meninggal dunia di tempat kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.46 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai serta BBP Gopeng dikejarkan ke lokasi.

"Pihak bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dan dipercayai meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Seorang mangsa yang patah tangan dibawa ke hospital untuk rawatan susulan," katanya.

Sementara itu, PLUS menerusi laman X memaklumkan semua lorong di kedua-dua arah jalan terhalang kerana tumpahan gula dan serpihan badan lori.

"Trafik tidak bergerak. Sila keluar ke Plaza tol Simpang Pulai (arah ke selatan) dan Plaza tol Gopeng (arah ke utara)," katanya, hari ini.

Siti Nurhaliza cetus tanda tanya

Hmetro

Kuala Lumpur: Hantaran penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza di Instagram Story menuai pelbagai persoalan dan andaian daripada netizen mengenai hubungan rumah tangganya dengan suami, Datuk Seri Khalid Jiwa.

Antara hantaran itu adalah mengenai bagaimana layanan seorang suami kepada isteri, ujian terbesar isteri, dan enam alasan kenapa suami tidak boleh membentak isteri.

Hantaran-hantaran itu seterusnya menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen terutamanya di platform media sosial X.

"Itulah. Tapi dia pun dah padam hantaran itu. Mungkin ada orang yang dia kenal sedang berhadapan dengan masalah rumah tangga. Jadi dia berkongsi hal itu. Semoga baik-baik sahaja untuk Siti Nurhaliza sekeluarga," tulis satu netizen.

"Selama kenal Siti Nurhaliza ini dari zaman tak ada media sosial sampai ada, hal-hal peribadi atau masalah tak pernah nampak pun dia kongsi sesuka hati.

"Nasib baik kita tak speku (spekulasi) apa-apa. Kekal tenang kalian. Insya-Allah semua baik-baik sahaja. Amin," tulis satu lagi pengguna X.

Inilah yang terjadi apabila wanita balas dendam kerana ditinggal tunang

'Saya ingin balas dendam kerana ditinggalkan tunang'

Agensi
 WANITA ditahan kerana membuat tempahan palsu. FOTO detikJateng
WANITA ditahan kerana membuat tempahan palsu. FOTO detikJateng
Jakarta: Sakit hati ditinggalkan tunangnya, seorang wanita Indonesia membuat ratusan tempahan palsu dalam talian menggunakan alamat rumah lelaki itu.

Wanita berusia 21 tahun dari Kota Semarang itu nekad melakukan perkara itu bagi membalas dendam terhadap tunangnya, Syahrul Maulana yang membatalkan perkahwinan mereka.

Menurut wanita itu, dia membuat pesanan 400 barang dan 200 tempahan lagi untuk perkhidmatan pengangkutan menggunakan alamat bekas tunangnya di kampung Karangayu, Cepiring.

"Saya buat macam ini kerana saya sakit hati dan ingin balas dendam.

"Keluarga kami rapat dan pernah melawat antara satu sama lain.

"Malah, dia berjanji berkahwin dengan saya pada Oktober lalu tetapi dia membatalkannya sesuka hati," katanya dalam detikJateng.

Wanita itu berkata, dia juga bengang kerana mahkota kesuciannya diragut tunangnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kendal, Komisioner Edy Sutrisno berkata, suspek melakukan perbuatan terbabit sejak September 2023 hingga Januari 2024 dengan motif membalas dendam kerana sakit hati.

"Kes ini terbongkar selepas mangsa melaporkannya kepada polis kerana dia tidak membuat pesanan tetapi tetapi barang itu sampai atas nama dan alamatnya.

"Suspek membuat pesanan palsu itu dengan menggunakan gambar kad pengenalan mangsa.

"Secara keseluruhan, 200 kenderaan perkhidmatan pengangkutan seperti motosikal dan kereta sewa dihantar ke rumah mangsa, serta 400 barang seperti perabot, barangan elektronik dan perkhidmatan sedut tandas," katanya.

Sabit kesalahan, wanita itu berdepan hukuman 12 tahun penjara atau denda maksimum 12 bilion rupiah (RM3,620,439.82).

Lelaki maut ditikam dengan kaca, satu ditahan

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut ditikam dengan kaca dalam kejadian pertengkaran di belakang sebuah restoran di Jalan Peel di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan Norhisham Mustapar berkata, polis menerima laporan kejadian pada 3.20 pagi.

Menurutnya, pertengkaran membabitkan mangsa dan rakan lelaki masing-masing berusia 22 serta 28 tahun.

"Dalam pertengkaran itu, suspek dipercayai mengambil serpihan kaca lampu dan menikam leher mangsa menyebabkan mengalami kecederaan parah.

"Suspek membawa mangsa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan namun mangsa disahkan meninggal dunia dan suspek kemudian melarikan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan, beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) pada 2.30 petang hari sama.

Norhisham berkata, suspek ditahan reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 7 Februari ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Wangsa Maju susulan penahanan tiga lelaki dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Gombak di sini, kelmarin.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 18.53 kilogram dadah jenis ganja dan 2,001 biji pil erimin 5 anggaran berat 57.06 gram.

"Polis turut menyita aset suspek membabitkan wang tunai RM277, sebuah kereta Nissan Navara, Ford Ranger dan dua komputer riba dengan nilai keseluruhan rampasan serta sitaan RM206,900," katanya.

Kata beliau, kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga 7 Februari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes bekas setpol menteri, 2 saksi didakwa kerana beri keterangan bercanggah

Bernama
Ahmad Hisham Mohd Tajuddin dan Zainudin Abdul Majid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan memberi keterangan bercanggah dalam perbicaraan kes rasuah bekas setiausaha politik kepada Mohamad Sabu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Dua saksi utama pendakwaan dalam kes rasuah bekas setiausaha politik kepada Mohamad Sabu, didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memberikan keterangan bercanggah semasa disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ketika perbicaraan kes itu.

Ahmad Hisham Mohd Tajuddin, 54, dan Zainudin Abdul Majid, 53, mengaku tidak bersalah, selepas semua pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Hisham yang merupakan bekas pengarah sebuah syarikat, didakwa atas empat pertuduhan memberikan keterangan tidak selaras pada perbicaraan kes rasuah dihadapi Mohd Azhar Che Mat Dali, dengan pernyataan yang diberikan kepada Penolong Kanan Penguasa SPRM Shamsudin Md Noh.

Tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 8 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 9 Mei dan 9 Jun 2023, manakala keterangan kepada SPRM di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 2 Nov 2022.

Zainudin pula didakwa atas lima pertuduhan sama ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan serupa pada 21 Mac dan 7 April 2023, yang tidak selaras dengan pernyataan kepada Shamsudin pada 4 Nov 2022.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Farah Yasmin Salleh, menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin untuk semua pertuduhan bagi kedua-dua tertuduh, serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali ke pejabat SPRM berhampiran sehingga kes selesai.

Peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon jaminan rendah atas alasan anak guam kini tidak bekerja dan menjaga ibu mereka yang lumpuh, selain kesalahan yang dilakukan tidak mendatangkan kemudaratan kepada pihak ketiga.

Mahkamah membenarkan Zainudin dan Hisham masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat-syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan serta menetapkan 26 Feb untuk sebutan semula kes.

Pada 12 Jan, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Azhar, 53, daripada tujuh pertuduhan menerima dan meminta rasuah berjumlah RM6.48 juta daripada syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan projek di sebuah kementerian.

Kerjasama PH-BN: ‘Takkan nikah cerai, nikah cerai’

AKMAL MANAF

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar optimis mahu melihat jalinan kerjasama yang dibentuk bersama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan berterusan.

”Saya ingat lagi, sewaktu di Pilihan Raya Kecil (PRK) Padang Serai, saya bersama dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

”Jamil Khir kata, insya-Allah kita kekal sampai Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

”Saya kata bukan kekal sampai pilihan raya akan datang, tetapi kekal sampai bila-bila.

”Takkan nikah kemudian cerai, nikah kemudian cerai,” kata Mahfuz sambil ketawa dalam satu sedutan video, dimuat naik di Facebook beliau, hari ini.

Dalam video sama, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkenaan turut mengimbau kembali detik kerjasama dengan UMNO-BN selepas PRU-15.

”Kalau kita tidak bersama dengan UMNO hari itu, kemungkinan UMNO akan bersama dengan Pas.

”Tetapi akhirnya, kita lihat masing-masing melunturkan ego untuk memikirkan soal kebaikan kepada kepentingan negara dan juga rakyat.

”Kita kena selamatkan dengan membawa satu warna Islam yang lebih bersifat rahmah dan mempunyai hubungan kasih sayang bukannya permusuhan,” kata Mahfuz lagi.

Hantaran Ketua Pemuda UMNO cetus tanda tanya

NURHIDAYAH HAIROM
Hantaran Dr Akmal di Facebook pada Jumaat
Hantaran Dr Akmal di Facebook pada Jumaat
SHAH ALAM - Hantaran terbaharu oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh yang dimuat naik bersama gambar ketika Himpunan Aman Pulangkan Najib tahun lalu menimbulkan tanda tanya.

Ia dipercayai dibuat sebaik sahaja keputusan Lembaga Pengampunan yang mengesahkan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dikeluarkan.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut tentang sebarang perkara yang dimaksudkan.

"Kita dipermainkan akhirnya. Jangan ingat kami tidak tahu apa yang berlaku.

"Sudah tiba masanya," tulisnya di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini Dr Akmal antara pemimpin dalam UMNO yang dilihat lantang memperjuangkan keadilan untuk Najib antaranya menerusi Gerakan ‘Pulangkan Najib’ berjaya mengumpulkan lebih satu juta tandatangan pada Oktober tahun lalu bagi tujuan menghantar petisyen ke Istana Negara.

Pada 12 Januari lalu, beliau turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengarahkan Netflix menghentikan siaran dokumentari berjudul Man on the Run kerana bersifat fitnah, subjudis, prejudis dan berat sebelah terhadap Najib.

Bapa kasari guru tangkap anak merokok didakwa di mahkamah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas tuduhan membuat ugutan jenayah dan menyebabkan kecederaan pada guru yang mengambil tindakan terhadap anaknya yang ditangkap merokok di kawasan sekolah.

Bagaimanapun, Daniel Dean Wong Kok Ching, 49, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap seorang guru lelaki berusia 40 tahun di gelanggang bola keranjang Sekolah Menengah Tinggi Kota Kinabalu pada 29 Jan lalu, 9.30 pagi.

Dia juga didakwa menyebabkan kecederaan kepada seorang lagi guru lelaki berusia 40 tahun pada masa dan tempat sama.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan menetapkan 7 Mac ini untuk pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Nahra Dollah, Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohamad Ramli dan Rustam Sanip, manakala tertuduh diwakili peguam Lim Chun Yuan dan Jo Anne Jameson.

Baru-baru ini tular video menunjukkan insiden guru dan pelajar bertengkar dalam bangunan sekolah.

Kejadian itu dipercayai berlaku selepas guru berkenaan menangkap pelajar itu merokok di tandas sekolah.

Satu lagi video tular memaparkan seorang lelaki dilihat menggasari guru terbabit kerana tidak berpuas hati dengan tindakan yang dikenakan terhadap anaknya itu.

Tahanan Rohingya Cenderung agresif dalam kumpulan besar

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Putrajaya: Tahanan etnik Rohingya yang berada di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di seluruh negara akan diasingkan serta-merta, berikutan mereka dikesan cenderung bersikap agresif terutama ketika berada dalam kumpulan yang besar.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Ruslin Jusoh berkata, ketika ini terdapat seramai 2,675 etnik Rohingya berada dalam tahanan daripada keseluruhan 13,145 pendatang asing tanpa izin (Pati) di 12 depot seluruh negara.

"Kita (JIM) akan buat pengasingan tahanan Rohingya yang mana setiap depot akan mengambil sebahagian daripada mereka dan mereka juga akan diasingkan dalam blok berasingan.

"Mereka akan dicampur tahanan lain seperti warga Indonesia, Thailand, Bangladesh dan sebagainya supaya mengurangkan mereka bertindak agresif.

"Apabila berkumpul beramai-ramai cenderung untuk mereka bertindak agresif itu ada," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JIM di sini, hari ini.

Ia susulan kejadian 115 Rohingya dan 16 Myanmar melarikan diri dari DTI Bidor, Perak, dengan seorang disahkan maut dalam kemalangan di KM335 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Bidor.

Susulan kejadian 9.50 malam tadi itu, Op Tutup dilancarkan di beberapa kawasan termasuk daerah Muallim bagi mengesan mereka.

Setakat jam 4 petang ini, empat tahanan yang melarikan diri berjaya ditahan semula di sekitar Bidor, manakala baki masih dikesan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi di sekitar daerah berkenaan.

Sementara itu, ditanya sama ada pegawai dan anggota bertugas di depot akan dibekalkan senjata selepas ini, Ruslin berkata, perkara itu akan dipertimbangkan.

Dalam pada itu, katanya, tiada isu berhubung kesesakan di depot seluruh negara dan setakat ini ia mematuhi kapasiti.

Kata beliau, warga asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan akan diusir pulang ke negara asal sebaik mendapat perintah mahkamah dan pengesahan kerakyatan oleh pihak kedutaan masing-masing.

Duda didenda RM3,000 mengaku intai wanita dalam tandas

MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
TERTUDUH mengaku mengintai seorang wanita di dalam sebuah tandas di medan selera Bukit Katil pada Selasa lalu. -Foto oleh SYAFEEQ AHMAD
MELAKA – Seorang lelaki didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengintai seorang wanita di sebuah tandas medan selera di Bukit Katil, minggu lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Helmi Ali, 33, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sengaja mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 38 tahun dengan cara membuat isyarat menceroboh privasinya yang telah mengganggu kesantunannya.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 4.20 petang di dalam tandas medan selera di Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah pada 30 Januari lalu.

Sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau keduanya sekali mengikut bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, pengadu yang berniaga di medan selera berkenaan telah melihat kelibat tertuduh yang dikenali dari ruang atas kanan tandas selepas selesai membuang air kecil.

Pengadu kemudian memintanya keluar dari tandas itu dan tertuduh meminta maaf dengan memberi alasan mahu mengambil barang.

Wanita itu yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak kemudian membuat laporan polis kerana bimbang sekiranya tertuduh ada mengambil gambar atau videonya semasa membuang air kecil.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Tertuduh yang juga seorang duda dan tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau lima bulan penjara jika gagal bayar. – KOSMO! ONLINE

‘Nak tanam ke nak bakar ni’ – Netizen jejaki walaun terlampau

Harapandaily

Seorang penyokong tegar Pas yang lazim digelar walaun mengejutkan warga maya apabila memuat naik gambar edit menyerupai Perdana Menteri dalam kain kapan.

“Nak tanam ke nak bakar ni,” kata pengguna Facebook, Muhammad Hawari Zulkeply diikuti dengan emoji ketawa.

Tangkap layar komentar Hawari di hantaran Rosli Hassan itu serta wajahnya kini tular di media sosial.

Susulan itu, netizen cuba menjejak individu berkenaan secara lebih terperinci lagi.

Difahamkan, dia tinggal di Kampung Gong Rusila, Marang yang juga ‘kubu’ kuat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, menerusi video dimuat naik pengguna laman X, @BadBoy2662, Hawari dipercayai merupakan peniaga roti canai.

Rakaman video itu menunjukkan Hawari sedang mencanai dan memasak roti yang didakwa sedap di Marang.

“Salam Muhammad Hawari Zulkeply.

“Anda sudah dikesan. Harap kekal tenang di rumah.

“Semoga ada lah loyar Pas datang tolong sebab kes kau ni berat.

“Nak kesian pun tak boleh bro,” kata @BadBoy2662 lagi.

Gaza: Amaran Raja Jordan

Bernama-Anadolu

Amman: Raja Jordan Abdullah II memberi amaran mengenai potensi letupan di rantau itu akibat 'peningkatan (serangan) Israel' di Tebing Barat dan Baitulmaqdis, menekankan keperluan untuk gencatan senjata di Semenanjung Gaza.

Amaran itu dibuat ketika panggilan telefon yang diterima oleh Raja Jordan daripada Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau pada hari Khamis, Agensi Anadolu memetik kenyataan dari Mahkamah Hashemite Diraja.

Kenyataan itu berkata Raja Abdullah menekankan 'perlunya gencatan senjata segera di Gaza dan perlindungan orang awam yang tidak bersenjata'.

Baginda turut menekankan keperluan untuk meningkatkan usaha menjamin penghantaran bantuan kemanusiaan dan bantuan yang mencukupi ke Gaza, selain menyatakan penghargaan atas usaha Kanada menyampaikan bantuan ke kawasan yang disekat.

"Raja Abdullah sekali lagi menegaskan peranan penting Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dalam memberikan bantuan kepada lebih dua juta rakyat Palestin di Gaza, yang memerlukan sokongan agensi itu untuk membolehkannya terus menyediakan perkhidmatan pentingnya mengikut mandat PBB," kata kenyataan itu.

Raja Jordan turut mengulangi keperluan untuk mewujudkan horizon politik bagi isu Palestin untuk mencapai keamanan yang adil dan menyeluruh berdasarkan penyelesaian dua negara, menekankan bahawa tidak mungkin ada kestabilan di rantau ini tanpa penyelesaian kepada konflik Palestin-Israel.

Sehingga 30 Januari, sebanyak 18 negara dan Kesatuan Eropah memutuskan untuk menggantung pembiayaan mereka untuk UNRWA, berdasarkan dakwaan Israel bahawa 12 pekerja agensi itu menyertai serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Najib bebas Ogos 2028, hukuman dikurangkan

Malaysiakini 
 
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bersetuju memberi pengurangan hukuman penjara yang dikenakan ke atas Najib Razak yang kini ditahan di Penjara Kajang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan petang ini, lembaga itu menyatakan, dengan pengurangan separuh hukuman tersebut, bekas perdana menteri terbabit dijangka dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri menyatakan denda yang perlu dibayar oleh Najib ialah sebanyak RM50 juta.

Jumlah asal yang diputuskan mahkamah sebelu ini ialah RM210 juta.

Ssarjan polis direman kali kedua kerana disyaki rogol mangsa lain

Bernama

BATU GAJAH: Anggota polis berpangkat sarjan yang ditahan sebelum ini kerana disyaki terlibat dalam kes rogol seorang pelajar tingkatan empat tahun lepas direman sekali lagi hari ini bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan mangsa lain.

Hakim Juraidah Abbas membenarkan reman sehari setelah permohonan itu dibuat di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Suspek berumur 42 tahun itu tiba di mahkamah kira-kira 8.30 pagi tadi, menaiki van polis dan meninggalkan mahkamah sekitar 10 pagi dengan kenderaan sama.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, sebelum ini mengesahkan suspek ditahan pada 28 Jan dan direman hingga 30 Jan lepas, sebelum disambung sehari lagi sehingga semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis dan ditahan semula semalam untuk membantu siasatan satu lagi laporan kes rogol.

Rabu lepas, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun mendakwa dirogol seorang pegawai rendah polis berpangkat sarjan dalam kejadian berasingan pada Julai dan Oktober tahun lepas.

Pelajar itu mendakwa dirogol di dalam sebuah kereta di dua lokasi berasingan di hadapan balai polis dan di kawasan tempat letak kereta sebuah pasar raya dalam daerah Perak Tengah.

3 tentera maut dilanggar lori terbabas di lebuh raya

FMT Reporters
Selain 3 anggota tentera yang maut, pemandu lori Isuzu berusia 31 tahun turut cedera parah dalam kemalangan melibatkan 4 kenderaan di Lebuh Raya Utara Selatan hari ini.
PETALING JAYA: Tiga anggota tentera maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan, termasuk tiga trak tentera, di Lebuh Raya Utara Selatan dekat Gurun hari ini.

Kesemua anggota tentera berusia antara 30 hingga 40 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak Mohd Fauzi Razali.

“Bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada 10.22 pagi dan sepasukan anggota BBP Guar Chempedak bersama bantuan enam anggota dari BBP Pendang telah dikerah ke lokasi kejadian.

“Terdapat empat mangsa, melibatkan empat kenderaan termasuk tiga trak tentera dan sebuah lori jenis Isuzu,” katanya, lapor Bernama.

Mohd Fauzi berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika konvoi trak tentera berhenti di KM77.5 lebuh raya itu arah utara apabila satu daripadanya rosak.

Ketika anggota tentera turun dari kenderaan, lori yang dipandu lelaki berusia 31 tahun itu terbabas dan melanggar semua mangsa.

Tambahnya, pemandu lori Isuzu yang cedera parah itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan lanjut,

Mayat tiga anggota tentera itu dihantar ke unit forensik hospital sama untuk proses bedah siasat.

PMX: Pengampunan Najib: Sudah ada keputusan

Shamz Johan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan Lembaga Pengampunan telah mempunyai keputusan mengenai pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak.

Bagaimanapun, Anwar enggan mengulas lanjut perkara tersebut sebaliknya meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi oleh Lembaga Pengampunan.

"Ya, sudah ada kepastian, tunggu pengumuman," katanya ketika ditanya pemberita selepas makan tengah hari di Gerai Makan Pertama Complex, di Kuala Lumpur, hari ini.

Apabila diminta menjawab mengenai pengampunan diberikan kepada Najib, Anwar hanya menjawab “tunggu pengumuman”.

Bagaimanapun, katanya kerajaan tidak akan membuat sebarang pengumuman mengenai keputusan itu, sebaliknya ia bakal dilakukan sendiri oleh Lembaga Pengampunan.

"(Itu) urusan Lembaga Pengampunan, tunggu... sudah ada kepastian (keputusannya),” kata Anwar.

Spekulasi yang dilaporkan oleh saluran-saluran berita luar negara  berkata, Lembaga Pengampunan (Wilayah Persekutuan) yang bersidang pada Isnin 29 Januari telah memendekkan tempoh penjara Najib daripada 12 tahun, yang dijatukhan oleh mahkamah, kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM210 juta.

Mengikut laporan Channel News Asia (CNA) Singapura, keputusan itu telah dibuat oleh Lembaga Pengampunan yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong kononnya kerana bekas perdana menteri itu  "berkelakuan baik".

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, memaklumkan bahawa Lembaga Pengampunan dijangka membuat pengumuman rasmi berhubung permohonan Najib itu, minggu ini.

Ustaz didakwa cabul 3 murid ketika sesi pembelajaran di kelas

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my

Tawau: Seorang ustaz sekolah rendah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas tiga muridnya antara September hingga November lalu.

Tertuduh, Sanyzam Dabal, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik ketiga-tiga pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Berdasarkan pertuduhan pertama, guru Pendidikan Islam itu didakwa melakukan amang seksual terhadap murid perempuan berusia sepuluh tahun dalam bilik darjah di sekolah tempat dia mengajar antara 20 Mac hingga 17 September 2023.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa, iaitu murid perempuan Tahun Empat ketika sesi pembelajaran Pendidikan Agama Islam, pada 30 November lalu.

Didakwa rompak 4 wanita, lakukan amang seksual terhadap mangsa [METROTV]
November 9, 2022 @ 4:47pm

Pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama ke atas seorang lagi murid perempuan Tahun Empat iaitu ketika sesi pembelajaran Pendidikan Agama Islam di dalam bilik darjah, pada 17 September lalu.

Bagi semua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana manakala tertuduh diwakili peguam Jhesseny P Kang.

Suhaimi tidak menawarkan ikat jamin kepada tertuduh mengambil kira kesalahan tertuduh adalah serius.

Katanya, tertuduh seorang guru yang diamanahkan oleh ibu bapa dan Kerajaan untuk mendidik serta menjaga anak-anak ketika di bawah seliaan mereka, tidak seharusnya melakukan perbuatan terkutuk apatah lagi salah laku terhadap muridnya.

Selain itu katanya, tertuduh juga tidak tawarkan jaminan kerana terdapat kemungkinan akan melarikan diri selain potensi mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Peguam tertuduh bagaimanapun merayu supaya anak guamnya diberi jaminan rendah.

Mahkamah akhirnya membenarkan tertuduh dijamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan, iaitu RM45,000 untuk tiga pertuduhan dan menetapkan tarikh 6 Mac depan untuk pengurusan dan sebutan semula kes.

Tular pekerja kencing, restoran mamak diarah tutup

Bernama
Tangkap layar video tular memaparkan seorang pekerja restoran itu kencing secara terbuka di longkang di belakang premis.
MELAKA: Sebuah restoran mamak di Jalan Hang Tuah diarahkan tutup selama dua minggu kerana beroperasi dalam persekitaran kotor.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) Jabatan Kesihatan Melaka, Dorothy Dayang Henry Sum, berkata arahan penutupan selama 14 hari bermula petang semalam dikeluarkan selepas pihaknya melakukan pemeriksaan mengejut susulan aduan orang ramai.

Beliau berkata, serbuan juga dilakukan berikutan video tular berdurasi 21 saat yang memaparkan seorang pekerja restoran terbabit kencing secara terbuka di longkang di belakang premis menjual makanan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan kita turut keluarkan empat notis kompaun bernilai keseluruhan RM1,500 atas pelbagai kesalahan. Premis diarahkan tutup bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tidak bersih, selain premis ini juga memperoleh markah 64% ke bawah hasil penilaian dilakukan penguat kuasa,” katanya pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan di premis itu semalam.

Dorothy Dayang berkata, pihaknya turut mengesan puntung rokok dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan perbuatan merokok tidak boleh dilakukan di dalam premis penyediaan makanan serta perlu jarak sejauh 3m dari meja terakhir.

“Kita juga dapati tiada tandas di dalam premis ini, yang ada hanyalah di stor iaitu di bangunan bersebelahan premis, namun tidak mempunyai air menyebabkan pekerja terpaksa menggunakan tandas di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata, restoran itu sebelum ini pernah diarahkan tutup sebanyak dua kali pada 2022, bagaimanapun tetap mengulangi kesalahan sama, justeru menjadi tanggungjawab pemilik dan pengendali makanan untuk memastikan premis mereka bersih setiap masa.

“Premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen-elemen penting kebersihan akan diberi bimbingan untuk mengambil tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan dan jika masih ingkar, boleh dikenakan arahan penutupan di bawah akta berkaitan,” katanya.

Hubungan terlarang berakhir dengan hukuman mati

AFP
ZHANG Bo dan Ye Chengchen. FOTO Weibo
Beijing: China, semalam, melaksanakan hukuman mati sepasang kekasih atas sabitan mencampak dua kanak-kanak dari tingkap sebuah bangunan pangsapuri, empat tahun lalu.

Mahkamah Perantaraan Rakyat No. 5 Chongqing dalam satu kenyataan mengesahkan, Zhang Bo dan Ye Chengchen sebelum ini didapati bertanggungjawab terhadap insiden kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan kanak-kanak lelaki berusia satu tahun yang maut selepas jatuh dari tingkat 15 di menara kediamandi Chongqing, barat daya China.

Zhang, bapa kepada dua anak itu menjalin hubungan sulit dengan Ye, yang pada mulanya tidak menyedari lelaki itu sudah berkahwin dan mempunyai anak.

Wanita itu kemudian, menggesa Zhang membunuh dua anaknya, yang dilihatnya sebagai penghalang untuk mereka berkahwin dan beban kehidupan masa depan mereka bersama.

Pada November 2020, Zhang mencampak anak-anaknya keluar dari tingkap apartmen, tanpa pengetahuan isterinya yang mahu dia ceraikan.

China Daily tahun lalu melaporkan, kedua-duanya didapati bersalah bersubahat dalam membunuh dua kanak-kanak itu.

Pasangan itu dijatuhi hukuman mati pada Disember 2021, sebelum hukuman itu dilaksanakan semalam.

Berita hukuman mati mereka menjadi topik sohor di laman media sosial China, Weibo, sejak semalam, serta meraih hampir 200 juta tontonan.

Pada masa sama, satu lagi hukuman mati berprofil tinggi dilakukan semalam.

Wu Xieyu, yang didapati bersalah membunuh ibunya dengan berulang kali memukulnya dengan dumbel pada 2015, kata satu kenyataan mahkamah di wilayah timur Fujian.

China merahsiakan data mengenai penggunaan hukuman mati, walaupun kumpulan hak asasi manusia Amnesty International menganggarkan, ribuan orang di negara itu dijatuhi hukuman mati setiap tahun.

Lazimnya, hukuman mati sering dijatuhkan bagi jenayah seperti pengedaran dadah, rasuah dan pembunuhan dan dilaksanakan menerusi kaedah suntikan maut.

Seorang Pati maut dalam kemalangan ketika melarikan diri

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Tapah: Polis akan membantu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesan 130 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang melarikan diri dari Depoh Imigresen Sementara Bidor, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, setakat ini Pati terbabit terdiri 115 Rohingya dan 16 Myanmar yang mana seorang disahkan maut dalam kemalangan di KM335 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Bidor.

Menurutnya, setakat ini belum dapat dikesan mereka yang melarikan diri dan polis akan membantu Jim mengesan Pati terbabit menerusi Op Tutup.

"Sekarang tinggal 130 lagi yang akan dikesan kerana seorang sudah meninggal dunia dalam kemalangan dan bukan 13 orang seperti yang tular di media sosial.

Kawasan carian sekitar Hutan Simpan 

"Kita akan keluarkan kenyataan media nanti berkaitan kes ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Nenek, cucu ditemukan rentung dalam kebakaran

FMT Reporters
Beberapa anggota bomba cuba memadam kebakaran sebuah rumah di Kampung Matan, Ranau yang meragut nyawa seorang nenek dan cucunya, malam tadi. (Gambar Bomba)
PETALING JAYA: Nenek berusia 60 tahun dan cucu perempuannya ditemukan rentung dalam kebakaran di Kampung Matan, Ranau, malam tadi.

Mayat kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Jafflan Sigal, 60, dan cucunya, Carla berusia empat tahun ditemui di dalam bilik oleh pasukan bomba sebaik api berjaya dipadamkan.

Difahamkan, ketika kejadian, mereka turut bersama seorang lagi ahli keluarganya yang berjaya keluar menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib, berkata mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.53 malam.

Katanya, sepasukan bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran.

“Kebakaran memusnahkan sebuah rumah jenis tidak kekal dan hasil pemeriksaan menemui dua mangsa rentung di dalam bilik berkenaan,” katanya ketika dihubungi, menurut Harian Metro.

Ridwan berkata mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi terkawal pada jam 11.45 malam dan kerja-kerja pemadaman sisa kebakaran sedang dijalankan.

“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya.

Satu kampung tidur bertilamkan pasir

KOSMO
Satu kawasan pasir dibina khas di dalam bilik untuk menggantikan katil. – Fadami Indozone
JAKARTA – Sebuah kampung di Madura, wilayah Jawa Timur menjadi perhatian ramai kerana penduduknya  tidur di atas pasir dan bukannya tilam, lapor laman berita Detik semalam.

Penduduk Kampung Legung Timur tidur di atas pasir kerana ia sudah menjadi amalan turun-temurun.

Berdasarkan  klip video yang dimuat  naik oleh seorang netizen di laman Instagram, kelihatan beberapa rumah yang mempunyai lantai seramik dan berdindingkan bata.

Namun, apa  yang menarik  adalah ketika netizen bernama Daeng itu memasuki bilik tidur, tiada katil atau tilam disediakan, sebaliknya ruang berisi pasir yang dibentuk menyerupai katil.

Bukan sekadar di dalam bilik, pasir yang banyak juga  kelihatan di pekarangan rumah, di mana bantal dibiarkan di atas pasir untuk membolehkan penghuninya berehat.

“Bukan sekadar tempat tidur, pekarangan rumah juga dipenuhi pasir untuk penduduk duduk, baring dan bersembang,” kata hantaran tersebut.

Sementara itu, portal berita Hops.id melaporkan, amalan tersebut dilakukan kerana penduduk kampung percaya pasir yang digunakan dapat membantu mengubati penyakit seperti gout, reumatik dan beberapa  penyakit lain.

Pasir digunakan juga berasal dari Pantai Lombang yang terletak tidak jauh dari kampung tersebut.

Tradisi yang menjadi amalan dari zaman nenek moyang itu menjadi kebanggaan penduduk setempat. – AGENSI  

Penganut Hindu India mula ibadat di masjid yang dipertikaikan selepas perintah mahkamah

Bharianonline
Anggota polis berkawal ketika penganut Islam tiba untuk menunaikan solat Jumaat di masjid Gyanvapi di Varanasi pada 20 Mei 2022. - Foto AFP
Anggota polis berkawal ketika penganut Islam tiba untuk menunaikan solat Jumaat di masjid Gyanvapi di Varanasi pada 20 Mei 2022. - Foto AFP
VARANASI: Penganut Hindu hari ini mula beribadat di dalam sebuah masjid yang dipertikaikan di bandar Varanasi, India hanya beberapa jam selepas perintah mahkamah membenarkan mereka di tapak yang sangat sensitif itu, lapor media.

Masjid Gyanvapi di bandar suci Varanasi adalah salah satu daripada beberapa rumah ibadat Islam yang dicari oleh aktivis Hindu, yang disokong oleh parti Perdana Menteri Narendra Modi, selama beberapa dekad untuk menuntutnya semula.

Semalam, Mahkamah Varanasi memutuskan penganut Hindu boleh beribadat di ruang bawah tanah bangunan itu dan mengarahkan pihak berkuasa untuk 'membuat pengaturan sewajarnya' untuk penganut dalam tempoh seminggu.

Sementara itu, stesen penyiar NDTV melaporkan, ahli keluarga sami Hindu mula beribadat di ruang bawah tanah masjid pada awal pagi ini.

Masjid Gyanvapi dibina pada abad ke-17 ketika empayar Moghul Muslim di sebuah bandar di mana penganut Hindu dari seluruh negara membakar mayat keluarganya di tepi sungai Ganges.

Penganut Hindu percaya masjid itu dibina di atas kuil kepada dewa Hindu Shiva.

Bulan lalu, agensi arkeologi rasmi India, memaklumkan tinjauan tapak itu tambah menguatkan kepercayaan bahawa ia pada asalnya adalah rumah kepada sebuah kuil, menurut laporan berita tempatan.

Kumpulan Hindu sayap kanan yang berkuasa menuntut beberapa tapak masjid yang dikatakan mereka dibina di atas kuil purba semasa pemerintahan Moghul.

Minggu lalu, Modi mengetuai upacara perasmian besar-besaran di bandar Ayodhya berdekatan untuk sebuah kuil Hindu yang dibina di atas perkarangan yang pernah menjadi tapak kepada masjid Babri yang berusia berabad-abad.

Penganut agama Hindu merobohkan masjid itu pada 1992 dalam kempen yang diterajui oleh ahli parti Modi, mencetuskan rusuhan mazhab yang membunuh 2,000 orang di seluruh negara, kebanyakannya beragama Islam.

Pertikaian mahkamah selama beberapa dekad yang berlaku mengenai masa depan tapak Babri berakhir pada 2019 apabila mahkamah tertinggi India membenarkan pembinaan kuil kepada dewa Ram, yang menurut kitab suci Hindu dilahirkan di bandar itu.

Gesaan agar India mengekalkan ketuanan Hindu semakin kuat sejak Modi memegang jawatan pada 2014, menjadikan minoriti Islam yang berjumlah kira-kira 210 juta orang semakin bimbang mengenai masa depan mereka. - AFP

Tiga lelaki ditahan kurung, pukul wartawan China - Polis

Malaysiakini

Tiga lelaki tempatan ditahan polis semalam di sekitar Kajang, bagi membantu siasatan kes melibatkan mengurung dan menyamun seorang wartawan lelaki warga China, hujung tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan dalam kenyataan hari ini berkata pada kejadian yang berlaku pada 31 Dis tahun lepas itu, mangsa berusia 40 tahun sedang bercuti dalam negara, dan telah dijemput untuk bermain serta ditawarkan cip tunai bernilai RM100,000 di sebuah kasino di Genting Highlands, Pahang.

Beliau berkata mangsa yang kalah, kemudiannya telah diminta untuk membayar semula hampir RM200,000 dan mangsa telah membayarnya melalui transaksi dalam talian bank dari China.

“Mangsa kemudiannya diminta untuk memindahkan wang lagi sebanyak RM150,000, namun enggan membayarnya kerana mengesyaki telah ditipu dan diperdaya,” katanya.

Mohd Zaid berkata berikutan itu, mangsa diperdaya dengan jemputan makan malam dan dibawa ke sebuah kebun durian berdekatan Genting Highland, sebelum dipukul dan barangan peribadi miliknya dirampas.

“Selepas itu, mangsa dibawa ke kawasan taman perumahan di sekitar Kajang dan dikurung, diikat serta dipukul oleh beberapa lelaki di dalam pondok pengawal keselamatan berhampiran,” katanya.

Mohd Zaid berkata mangsa yang kemudiannya berjaya melepaskan diri dan dibantu orang awam, telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, pada 2 Jan lepas.

Beliau berkata kesemua suspek yang berusia lingkungan 30an hingga 50an, telah mengaku terlibat kes ini dan mereka direman selama lima hari oleh Mahkamah Kajang bermula hari ini sehingga Isnin depan, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini, diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Afiq Rifdi Mohd Azmi di talian 011-29667474 atau mana-mana balai polis berhampiran, bagi membantu siasatan,” katanya.

- Bernama