Wanita seludup 6 tan emas bernilai lebih RM1.6 bilion

KOSMO!
GAMBAR fail jonkong emas yang dirampas hasil aktiviti penyeludupan di Vietnam. - Foto Polis Vietnam
BANDAR RAYA HO CHI MINH – Mahkamah Agung Rakyat di Bandar Raya Ho Chi Minh menyiapkan dakwaan melibatkan penyeludupan enam tan emas bernilai 8.5 trilion dong (RM1.61 bilion) yang dilakukan oleh seorang wanita, lapor portal berita VNExpress kelmarin.

Wanita dikenali sebagai Nguyen Thi Minh Phung, 43 itu mengetuai sebuah sindiket penyeludupan emas.

Pihak berkuasa turut mendakwa dua pemilik kedai emas di Hanoi dan Bandar Raya Ho Chi Minh, masing-masing Dang Thi Thanh Hang, 64, dan adiknya Dang Nam Trung, 51, serta 22 yang lain berhubung kes tersebut.

Phung dikenal pasti sebagai ketua sindiket, manakala Hang dituduh menyeludup paling banyak emas tetapi melarikan diri ke luar negara.

Kementerian Keselamatan Awam telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Hang.

Pada 28 September 2022, selepas melakukan pemantauan, polis menangkap beberapa anggota kumpulan itu ketika mereka sedang menukar emas di Daerah Tan Binh, Bandar Raya Ho Chi Minh.

Polis kemudian menangkap serjumlah individu lain dan menggeledah beberapa lokasi di wilayah Tay Ninh yang bersempadan dengan Kemboja.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa merampas 76 jongkong emas dan sejumlah wang tunai serta barangan lain sebagai bahan bukti. – AGENSI

CCTV tunjuk pemilik sebenar wang lebih RM500,000

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
HUSSEIN Omar (empat, kanan) menyampaikan topi keledar kepada penunggang motosikal ketika Majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.
HUSSEIN Omar (empat, kanan) menyampaikan topi keledar kepada penunggang motosikal ketika Majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Shah Alam: Pemilik bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 yang ditemukan di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya, disahkan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesahkan pemilik sebenar dan sumber kewangan itu.

"Berdasarkan rakaman CCTV, kita sahkan lelaki yang dirakam keterangan itu adalah individu sama membawa bagasi terbabit. Dia mendakwa bagasi itu dibawa keluar dari apartmen untuk dibawa pulang, namun tertinggal.

"Lelaki itu juga adalah daripada pihak syarikat yang sama membuat laporan polis mendakwa pemilik bagasi sebelum ini," katanya dalam sidang media pada Majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 di Kawasan Rehat Elmina, arah utara di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail dan Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi.

Hussein berkata, polis akan memanggil beberapa lagi saksi untuk mengukuhkan keterangan dan membantu siasatan lanjut.

Katanya, kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan lanjut.

Pada 19 Mac lalu, pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah menemui bagasi berisi wang tunai berjumlah RM500,000 yang ditinggalkan di parkir sebuah pusat beli-belah di Damansara.

Pengawal keselamatan berkenaan kemudian membuat laporan polis berkaitan penemuan bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana kira-kira jam 8 pagi.

Caltex siasat dakwaan kaunter bayaran pisah Muslim, bukan Muslim

K. Parkaran

PETALING JAYA: Chevron Malaysia mengoperasikan stesen petrol Caltex sedang menyiasat dakwaan kedai serbaneka sebuah stesen di Pulau Pinang melaksanakan pengasingan kaunter pembayaran antara Muslim dan bukan Muslim.

Jurucakap syarikat berkata, pihaknya telah dimaklumkan berhubung perkara itu melibatkan rakan niaga, FamilyMart, yang mengendalikan kedai serbaneka tersebut.

“Chevron memandang serius perkara ini dan sedang bekerjasama rapat dengan rakan kami bagi menyiasat dakwaan itu,” kata Chevron dalam kenyataan kepada FMT.

Viral sejak semalam memaparkan klip video mendakwa kedai di Bukit Mertajam dengan warganet membidas tindakan pengasingan dikatakan itu yang dianggap menambah jurang antara kaum.

Panjang usia kerana nasib, kata lelaki tertua dunia

Bernama-PA Media/dpa
TINNISWOOD bersama sijil daripada Guinness World Records yang mengiktirafkannya sebagai lelaki tertua di dunia. FOTO Reuters
TINNISWOOD bersama sijil daripada Guinness World Records yang mengiktirafkannya sebagai lelaki tertua di dunia. FOTO Reuters
London: Seorang warga emas berusia 111 tahun dari England kini merupakan lelaki tertua di dunia dan berkata rahsia panjang umur adalah "nasib semata-mata," lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

John Alfred Tinniswood lahir di Liverpool pada 26 Ogos 1912 - tahun sama kapal Titanic tenggelam - bergelar moyang dan kini menetap di rumah penjagaan di Southport, yang petugas menggambarkannya sebagai "individu yang suka cakap banyak."

Usia sebenar Tinniswood adalah 111 tahun 223 hari pada 5 April, menurut Guinness World Records.

Gisaburo Sonobe, 112, dari Jepun yang pada mulanya dijangka menjadi pemegang rekod baharu namun meninggal dunia pada 31 Mac lalu.

Di sebalik usianya yang lanjut, Tinniswood masih boleh melakukan tugas harian secara bebas - bangun dari katil tanpa bantuan - mendengar radio untuk mengikuti berita dan masih menguruskan kewangannya sendiri.

Mengenai rahsia panjang umur, pemegang rekod itu memberitahu Guinness World Records: "Nasib saya."

"Sama ada anda hidup lama atau hidup pendek, tiada siapa yang dapat menentukannya," katanya.

Selain menikmati ikan dan kentang yang digoreng rangup pada setiap Jumaat, Tinniswood berkata beliau tidak mengikuti diet tertentu.

"Saya makan apa yang disediakan untuk saya dan begitu juga orang lain. Saya tidak mempunyai diet khas," katanya.

"Jika anda minum terlalu banyak atau anda makan terlalu banyak atau anda berjalan terlalu banyak, jika anda melakukan terlalu banyak apa pun, akhirnya kamu akan menderita," katanya.

Tinniswood hidup menempuh kedua-dua perang dunia dan merupakan veteran Perang Dunia Kedua lelaki tertua yang masih hidup kerana pernah berkhidmat dalam pentadbiran untuk Kor Gaji Tentera.

Apabila ditanya bagaimana dunia di sekelilingnya telah berubah sepanjang hidupnya, Tinniswood berkata: "Dunia mengikut caranya, sentiasa berubah.

"Ia pengalaman yang berterusan... Ia semakin baik tetapi tidak begitu banyak lagi. Ia berjalan dengan cara yang betul.

Tinniswood bertemu isterinya, Blodwen, dalam majlis tari-menari di Liverpool dan pasangan itu menikmati kehidupan 44 tahun bersama sebelum Blodwen meninggal dunia pada 1986.

Setelah bergelar lelaki tertua di UK pada 2020, Tinniswood tidak terganggu dengan status baharunya sebagai lelaki tertua di dunia.

"Tidak memberi apa-apa perbezaan kepada saya. Tidak sama sekali. Saya terima apa adanya," katanya.

Memberikan nasihat untuk generasi muda, beliau berkata: "Sentiasa lakukan yang terbaik, sama ada anda belajar sesuatu atau sama ada anda mengajar seseorang.

"Berikan semua yang anda ada. Jika tidak, ia tidak berbaloi untuk disusahkan."

Lelaki tertua sebelum ini ialah Jiroemon Kimura dari Jepun, yang hidup hingga usia 116 tahun 54 hari dan meninggal dunia pada 2013.

Wanita tertua di dunia dan masih hidup ialah Maria Branyas Morera dari Sepanyol, yang baru-baru ini menyambut ulang tahun ke-117.

Orang Kelantan ke tu?

PBT diarah kompaun individu buang sampah keluar kenderaan

Bernama
Gambar tular menunjukkan sampah bertaburan di sepanjang jalan yang dibuang dari kenderaan dipercayai di laluan Kuala Lipis, Pahang ke Gua Musang, Kelantan.
IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengeluarkan kompaun terhadap individu yang membuang sampah keluar dari kenderaan serta-merta.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata ia susulan tular gambar menunjukkan longgokan sampah yang bertaburan di tepi jalan menyebabkan pekerja PBT perlu melakukan kerja pembersihan.

“PBT akan mengeluarkan kompaun dan pastikan ia dibayar. Tindakan tegas akan diambil dan kamu yang buang sampah kena bertanggungjawab.

“Kita semua ada pergi sekolah. Kita semua ada pendidikan sivik maka tanggungjawab semua pihak untuk menjaga kebersihan awam. Bukan sahaja kita serah kepada pekerja-pekerja PBT,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri Program Meriah Beraya di sebuah pusat beli-belah.

“Kita pun tahu cuaca sekarang panas terik, kasihanilah kepada pekerja-pekerja kita ini yang bertungkus-lumus untuk menjaga kebersihan awam.”

Mengenai gambar longgokan sampah yang tular itu, Nga berkata perkara itu amat dikesali dan semua pihak diminta bertanggungjawab membuang sampah di tempat sepatutnya selain menggunakan tong sampah disediakan bagi memastikan kebersihan kawasan sekitar.

“Oleh kerana itu, jika hendak makan dalam kereta, bungkusan itu letak dalam kereta dulu. Bila sampai ke kampung halaman, barulah angkat keluar, buang dalam tong sampah. Bukan dengan suka hati buang di tepi jalan dan harap orang lain iaitu pekerja kita kutip untuk anda,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Adun Kepayang berkata KPKT telah menggerakkan hampir kesemua jenteranya untuk memastikan kebersihan awam menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Tular beberapa gambar di media sosial menunjukkan sampah termasuk bungkusan makanan dan minuman bertaburan di sepanjang jalan dipercayai di laluan Kuala Lipis, Pahang ke Gua Musang, Kelantan dengan pekerja pembersihan mengutip sisa berkenaan.

Kedah: Polis gempur pesta liar di bulan Ramadan

Polis gempur pesta liar di bulan Ramadan, kenapa Alor Setar ye?

Harapandaily

Polis menggempur pesta liar di bulan Ramadan oleh sekumpulan remaja termasuk pelajar sekolah yang menyewa sebuah inap desa di Jalan Suka Menanti, Alor Setar.

Pesta liar mereka berjaya dikesan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar selepas menerima aduan daripada orang awam berkenaan bunyi bising di kawasan kejiranan mereka.

Ekoran laporan yang diterima, sepasukan anggota daripada bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Setar bergerak ke lokasi pada jam 3.30 pagi.
Sejurus memecahkan pintu hadapan premis sekumpulan remaja dilihat berada di ruang tamu dalam keadaan khayal sambil mendengar alunan muzik yang kuat.

“Ada antara mereka cuba melarikan diri melalui pintu belakang premis.

“Ketika pemeriksaan dilakukan pihak polis menemui satu peket plastik lutsinar berisi empat biji pil berwarna ungu disyaki dadah jenis metamfetamin yang disembunyikan di bahagian dapur,” kata laporan program 999 di TV3 yang kemudian dikongsi di TikTok.

Seorang remaja perempuan yang berusia 17 tahun dan tinggal di bandaraya Alor Setar memberitahu dia mengeluarkan duit poketnya untuk menempah inap desa itu sebanyak RM200 termasuk deposit.

Dia kemudiannya mengajak rakan-rakannya untuk berhibur.

Seorang lagi pelajar perempuan Tingkatan 5 pula berkata, dia ingin mencuba sesuatu yang baru dalam hidup dengan mengambil dadah.

Walau bagaimanapun, dia yang pertama kali mengambil bahan terlarang itu turut menyesal dengan keputusan dibuat.

Hasil serbuan pada bulan Ramadan itu, seramai 11 lelaki dan 4 perempuan berusia 15 hingga 22 tahun ditahan.

Sebahagian daripada mereka ada yang sudah berhenti sekolah dan memilih untuk bekerja.

MPV langgar jengkaut, 8 cedera

Muhamad Lokman Khairi
am@hmetro.com.my
Lapan individu cedera akibat sebuah MPV jenis Vellfire terlanggar bahagian belakang backhoe di KM 21 Jalan Sitiawan-Teluk Intan, dekat Ladang Arcadia, di sini, hari ini. FOTO FOTO TULAR.
Lapan individu cedera akibat sebuah MPV jenis Vellfire terlanggar bahagian belakang backhoe di KM 21 Jalan Sitiawan-Teluk Intan, dekat Ladang Arcadia, di sini, hari ini. FOTO FOTO TULAR.
Manjung: Tujuh sekeluarga cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka melanggar jengkaut di Kilometer 21 Jalan Sitiawan-Teluk Intan, dekat Ladang Arcadia, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, hasil siasatan awal di lokasi mendapati, kejadian membabitkan seorang lelaki pemandu jengkaut berusia 63 tahun yang sedang dalam perjalanan dari Kayan ke arah Sitiawan.

"Setiba di tempat kejadian, sebuah MPV jenis Vellfire dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun dari arah belakang dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar bahagian belakang jengkaut secara mengejut.

"Penumpang MPV terdiri daripada isteri kepada pemandu berusia 40 tahun, empat anak perempuan berusia 6 hingga 14 tahun serta seorang anak lelaki berusia 4 tahun.

"Akibat perlanggaran itu, semua tujuh individu di dalam MPV terbabit dan pemandu jengkaut cedera. Semua mangsa dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan bertindak membantu mengeluarkan seorang lelaki yang didapati tersepit di tempat duduk pemandu Vellfire terbabit.

Menurutnya, operasi menyelamat membabitkan 12 anggota bomba itu ditamatkan jam 7.50 pagi.

Terdahulu, beberapa gambar dan video berhubung kemalangan terbabit tular di media sosial menunjukkan beberapa kanak-kanak dipercayai penumpang MPV terbaring dalam keadaan berdarah di tepi jalan akibat perlanggaran itu.

Simbolik buang sampah sebelum masuk Kelantan

Harapandaily

MUHAMMAD NAJIB
(Done keluar dalil untuk para walaun)

Upacara tahunan buang sampah tepi jalan ini sebenarnya satu ritual yang lebih kurang sama dengan melontar jamrah.

Simboliknya orang Kelate buang sampah di Pahang sebelum masuk ke sempadan Kelantan adalah satu bentuk penyucian diri.

Sampah-sampah itu semua mewakili dosa-dosa sepanjang mereka menetap dan bekerja di negeri-negeri PH yang banyak maksiat.

Justeru sebelum pulang ke negeri Serambi Mekah, perlu dibuang sampah ke tepi jalan agar diri setiap anak Kelate kembali suci bersih ibarat kain putih, tiada dosa walau sekecil zarah.

Barulah mereka dikira layak pulang ke pangkuan PAS dan menghirup air teh dari telaga boring.

Wallahualam.

Pemandu langgar dua beradik ditahan di kebun

ASLIZA MUSA
KEADAAN mangsa kemalangan langgar lari di Kilometer 38.9, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, Sungai Siput hari ini. -Foto MEDIA SOSIAL
SUNGAI SIPUT – Pemandu kenderaan pacuan empat roda yang terbabit dalam insiden langgar lari di Kilometer 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Taman Desa Salak Jaya di sini, berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, lelaki berusia 50-an itu ditahan oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Salak di sebuah kebun pada pukul 1.20 petang.

Katanya, ujian saringan air kencing telah dijalankan ke atas suspek namun keputusannya adalah negatif.

“Sampel darah suspek yang merupakan seorang kontraktor itu juga telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi siasatan lanjut.

“Kita juga turut merampas kenderaan yang digunakan suspek ketika kejadian,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Khaizam, permohonan reman terhadap suspek akan dijalankan esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Bedah siasat telah dijalankan terhadap mangsa dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan ‘polytrauma with suspected neck injury/ cervical fracture’,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kejadian berlaku apabila suspek yang memandu dari arah Kuala Kangsar ke Ipoh memasuki simpang ke kanan secara tiba-tiba.

Katanya, kenderaan itu kemudiannya merempuh motosikal yang dinaiki dua pelajar terbabit menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Dapat cincin berlian kerana selamatkan kanak-kanak di jalan raya

KOSMO!
AL ANZI mendapat hadiah mewah termasuk kuda selepas menyelamatkan nyawa seorang budak. - Foto Gulf News/Tangkap Layar Video
RIYADH – Seorang lelaki Arab Saudi dipuji dan menerima pelbagai  hadiah mewah selepas berita dia menyelamatkan seorang kanak-kanak daripada dilanggar di luar  Riyadh tersebar meluas, lapor portal berita Gulf News semalam.

Sebelum ini, tular rakaman video menunjukkan lelaki bernama Abdullah Al Anzi itu memberhentikan keretanya apabila melihat seorang kanak-kanak berjalan di tengah jalan raya di bandar Al Kharj, tenggara Riyadh.

Dia menghentikan keretanya untuk membolehkan kanak-kanak tersebut  melintas dengan selamat.

Ketika Al Anzi berbuat demikian, dia melihat sebuah kereta dipandu laju menuju ke arah kanak-kanak itu.

Dia pantas mengalihkan kenderaannya sekali gus menghalang kereta tersebut yang kemudian merempuhnya dalam usaha menyelamatkan mangsa. budak lelaki tersebut tidak cedera dalam kejadian itu.

Laman berita Arab Saudi,  Al Marsd melaporkan bahawa sebuah kedai barangan kemas  menghadiahkan sebentuk cincin berlian kepada  Al Anzi dan turut memberikan sebutir lagi kepada ibu budak itu.

Seorang ahli perniagaan, Sheikh Hazah Aba Al Rus turut memberikan hadiah berupa wang tunai, pedang, kuda Arab dan jubah tradisional kepadanya. 

Al Anzi turut mendapat lebih banyak hadiah termasuk tawaran untuk membaiki keretanya selain insurans dan bekalan petrol selama setahun. – AGENSI

Lelaki Israel ditahan: Dua warga Turkiye, seorang warga Georgia antara tangkapan baharu

AZMI NORDIN

KUALA LUMPUR – 12 lagi individu ditahan pihak polis berkait kes penahanan seorang lelaki warga Israel yang memiliki enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini, 27 Mac lalu.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan kes ini 16 orang termasuk suspek utama Shalom Avitan, 38, pasangan suami isteri warga tempatan berusia 42 dan 40 tahun yang menjual pistol kepada Shalom dan seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai pemandu lelaki israel itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua mereka ditahan dalam serbuan oleh pasukan khas membabitkan kerjasama dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Kontinjen Kuala Lumpur dan Cawangan Khas (SB).

Tambah beliau, hasil risikan, siasatan dan maklumat yang diterima dari orang awam membawa kepada serbuan beberapa premis di sekitar Johor dan ibu negara.

“Sejurus penahanan Shalom dan tiga lagi suspek warga tempatan, polis kemudian menahan empat lelaki dan dua wanita berusia antara 25 hingga 41 tahun.

“Susulan daripada siasatan yang dijalankan, pasukan polis kemudian menahan enam lagi individu membabitkan dua warga Turki berusia 29 dan 40 tahun, seorang lelaki warga Georgia berusia 39 tahun dan tiga warga tempatan berusia antara 32 hingga 60 tahun,” katanya ketika dihubungi.

Jelas beliau, ada diantara tangkapan diperoleh hasil siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berhubung aktiviti pembayaran wang kripto dipercayai berkait dengan pembayaran senjata api antara suspek dan pasangan suami isteri tempatan.

Mengulas lanjut, Razarudin memaklumkan pasangan suami isteri yang ditahan kerana mengedar enam senjata api kepada Shalom disambung reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Sementara itu, kesemua 12 suspek baharu yang ditahan direman bermula semalam manakala sebahagian lagi ditahan reman bermula hari ini.

“Kesemua mereka dibenarkan ditahan reman selama tujuh hari,” katanya.

Tegas Razarudin, pada masa ini PDRM juga masih melengkapkan siasatan bagi mengetahui motif dan tujuan sebenar suspek utama memiliki enam pucuk pistol.

Terdahulu, media melaporkan Shalom dan pasangan suami isteri warga tempatan yang disyaki membekalkan senjata api kepadanya, bakal berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Ia berikutan kertas siasatan terhadap mereka dibuka mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Mana-mana individu yang didapati bersalah mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 boleh dihukum mati.

Kesemua mereka masih ditahan reman untuk siasatan lanjut bagi membolehkan polis mengenal pasti motif sebenar pemilikan senjata api berkenaan. – KOSMO! ONLINE.

Anthony Loke: Puluhan ribu dijangka banjiri lapangan terbang esok

Bernama

SEPANG: Puluhan ribu penumpang dijangka membanjiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 mulai esok hingga malam Aidilfitri, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Beliau berkata, waktu kemuncak penumpang mula balik kampung menggunakan pengangkutan udara ialah esok dan Ahad kerana ramai mengambil cuti sempena perayaan Aidilfitri yang dijangka disambut pada 10 April.

“Sabtu dan Ahad dijangka paling sibuk kerana kebanyakan ambil peluang cuti pada Isnin dan Selasa. Kebanyakan penerbangan sudah penuh hingga 9 April,” katanya usai majlis pelepasan penumpang penerbangan lewat malam dengan tambang tetap pertama AirAsia dari Kuala Lumpur ke Miri di KLIA Terminal 2.

Loke berkata, tiga syarikat penerbangan iaitu AirAsia, Malaysia Airlines, dan Batik Air mendapat sambutan tinggi dengan muatan penuh sejak tiga minggu lalu terutama bagi laluan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur ke Tawau.

Beliau turut meraikan pekerja sektor pengangkutan udara termasuk juruteknik kerana mengorbankan masa dan cuti raya mereka bagi memastikan operasi berjalan lancar.

Loke juga berkata, inisiatif penerbangan lewat malam AirAsia memanfaatkan 22,000 penumpang ke Sarawak dengan tambang tetap pada RM298 sehala dan RM348 ke Sabah.

Beliau berkata, 122 penerbangan lewat malam AirAsia yang bermula hari ini hingga 14 April bukan sahaja memastikan penerbangan mencukupi sempena Aidilfitri, malah penumpang dapat nikmati tambang berpatutan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aviation Bo Lingam pula berkata inisiatif penerbangan tambahan lewat malam merupakan komitmen syarikat penerbangan itu bagi memastikan tambang berpatutan dapat dinikmati oleh semua lebih-lebih lagi ketika musim perayaan.

“Hari Raya merupakan antara tempoh paling sibuk bagi AirAsia dengan lebih 500 penerbangan harian akan berlepas dari semua hab AirAsia,” katanya.

Beliau berkata, semua hab AirAsia dijangka menyaksikan kebanjiran penumpang sebanyak 75,000 bermula esok dengan 40,000 daripada mereka di KLIA Terminal 2.

Lelaki bingung disuruh tutup rambut dalam masjid

KOSMO!
Tangkap layar rakaman yang tular di media sosial.
PETALING JAYA – Seorang lelaki bingung apabila disuruh menutup rambut dan memakai jubah ketika memasuki sebuah masjid.

Melalui perkongsian video di TikTok lelaki itu, dia didatangi seorang wanita yang dipercayai pengawal keselamatan di masjid tersebut.

Wanita tersebut kemudian mengarahkan lelaki itu untuk menutup rambutnya dan mengenakan jubah.

“Awak turun bawah dan pakai jubah, tak boleh berpakaian begini,” kata wanita itu.

Lelaki berkenaan yang mempunyai rambut panjang paras bahu kemudian memaklumkan dia merupakan seorang lelaki dan tidak perlu menutup rambutnya.

Bagaimanapun pengawal tersebut masih bertegas menyuruh lelaki tersebut memakai topi serta jubah yang disediakan pihak masjid.

Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna memberi pelbagai reaksi terhadap video berkenaan.

“Dengar dia sebut rambut, topi itu pun dah tahu dia tengah tahan malu. Tapi tetap tak nak kalah,” kata Sabrina.

“Apalah salahnya kalau mak cik mengaku salah dan minta maaf saja. Kan dah selesai masalah,” kata Sariyah.

“Dia dah malu, terpaksa sambung apa yang dia dah cakap dan terus berlalu pergi,” kata Vibekai.

Sehingga kini video tersebut telah ditonton lebih 200,000 kali. – KOSMO! ONLINE.

Dua anggota polis ugut lelaki di BSI ditahan

Omar Ahmad
bhnews@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Dua anggota polis yang terbabit dalam insiden pemerasan seorang lelaki di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, ditahan tengah hari tadi.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, berkata anggota berusia 32 dan 33 tahun itu ditahan pada jam 1.50 tengah hari oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS).

Katanya, IPD JBS menerima laporan daripada mangsa pada jam 12.23 tengah malam tadi berhubung kejadian terbabit.

"Siasatan awal mendapati ketika mangsa berusia 29 tahun melalui BSI untuk pemeriksaan Imigresen, dia ditahan suspek kononnya mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

"Suspek memeras ugut mangsa supaya membayar wang sejumlah RM2,000 bagi mengelakkan daripada ditangkap dan ditahan di lokap polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kumar, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua anggota polis tersebut negatif dadah.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

"Suspek akan dibawa di Mahkamah Johor Bahru untuk permohonan reman esok di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah," katanya.

Pagi tadi, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lim mendakwa kejadian itu berlaku pada 2 April lalu.

Mangsa mendakwa ditemani seorang anggota polis untuk ke beberapa mesin ATM bagi mengeluarkan duit, biarpun sudah menyatakan tiada wang dalam akaun.

Tindakan mangsa yang berpura-pura sesak nafas selepas mengambil wang RM1,000 di sebuah bank di Taman Pelangi berjaya melepaskannya dengan bantuan pasangan tempatan yang melalui kawasan itu.

Kanak-kanak Korea Utara dihukum mati hanya kerana edar K-drama

BHarianonline

NEW YORK: Duta Besar Korea Selatan ke Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Hwang Joon-kook, mendakwa kanak-kanak Korea Utara menghadapi pencabulan hak asasi manusia paling teruk, termasuk hukuman mati kerana mengedar K-drama atau drama Korea Selatan.

Katanya, hampir tiada hak asasi bagi kanak-kanak di Korea Utara walaupun negara itu menandatangani Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak.

"Menurut banyak sumber awam, termasuk keterangan pembelot Korea Utara, kanak-kanak terdedah kepada pelanggaran hak asasi manusia yang teruk termasuk hukuman mati kerana mengedar drama Korea Selatan.

"Kanak-kanak juga terpaksa menjalani hukuman bersama jika ada anggota keluarga dipenjarakan atas sebab politik manakala penggunaan buruh kanak-kanak juga berleluasa," katanya.

Joon-kook berkata, kanak-kanak Korea Utara menghadapi krisis kemanusiaan kerana kepimpinan negara itu membelanjakan sumbernya untuk program nuklear dan peluru berpandu balistik serta barangan mewah.

Beliau turut mendedahkan bahawa 17 peratus kanak-kanak Korea Utara dilaporkan mengalami pertumbuhan terbantut akibat kekurangan zat makanan.

Joon -kook berkata demikian Memetik laporan diterbitkan Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kumpulan Bank Dunia.

Beliau menegaskan, kanak-kanak yang terjejas akibat konflik bersenjata berhak mendapat penghormatan dan perlindungan khas mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

"Dalam menghadapi cabaran yang mengecewakan ini, adalah penting bagi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) berdiri teguh dengan tolak ansur sifar terhadap penafian akses kemanusiaan kepada kanak-kanak," katanya. - AGENSI

Bekas pengarah rumah urut, isteri didakwa makan suap RM656,395

ISKANDAR SHAH MOHAMED
Pasangan suami isteri itu ketika dihadapkan ke mahkamah itu hari ini. FOTO ISKANDAR SHAH MOHAMED/ KOSMO!
SHAH ALAM – Bekas pengarah syarikat rangkaian pusat urut bersama isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas 68 pertuduhan rasuah berjumlah RM656,395 berkaitan tawaran kerja pembekalan minyak urut antara 2014 hingga 2020.

Tertuduh, Chuah Seong Keat, 59, dan Wong Choi Nyet, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Kesemua 68 pertuduhan itu dibacakan dua jurubahasa mahkamah dalam bahasa Melayu selama kira-kira 55 minit bermula pukul 10.55 pagi.

Berdasarkan semua pertuduhan, Chuah ketika kejadian sebagai pengarah sebuah syarikat rangkaian pusat urut dan isterinya didakwa dengan niat secara rasuah menerima suapan keseluruhan RM656,395 daripada sebuah syarikat yang merupakan pembekal minyak urut.

Suapan itu didakwa sebagai upah kerana memberi tawaran kerja pembekalan minyak urut kepada syarikat tersebut dengan kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di daerah Petaling antara 2014 hingga 2020.

Justeru, pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dengan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Mohd. Alimi Mustapha mencadangkan jaminan RM200,000 bagi setiap tertuduh dan memohon penyerahan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri kepada SPRM setiap bulan.

Bagaimanapun, Peguam Adam Haikal yang mewakili pasangan itu memohon pengurangan kerana anak guamnya mempunyai tanggungan tiga anak yang masih menuntut di intitusi pengajian tinggi (IPT).

Awang Kerisnada kemudian membenarkan jaminan RM100,000 bagi setiap tertuduh dengan penjamin berasingan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Shah Alam. Sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Jun depan. -KOSMO!ONLINE

Amaran Muhyiddin pada 6 MP sokong Anwar boleh beraya dulu, tunggu lepas raya

FMT Reporters

PETALING JAYA: Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memberi amaran tindakan terhadap enam Ahli Parlimen parti itu yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan diambil selepas Aidilfitri.

“Mereka boleh beraya dulu selepas itu kita akan ambil langkah-langkah sewajarnya mengikut pindaan perlembagaan itu,” katanya dalam video di Facebook.

Muhyiddin menepis dakwaan mengatakan pindaan itu tidak akan beri kesan pada wakil-wakil rakyat terbabit.

“Mungkin mereka tak faham atau sengaja nak cari alasan untuk menyatakan sesuatu nak sedapkan diri sendiri,” katanya.

Beliau menambah Bersatu mempunyai pasukan peguam yang meneliti penguatkuasaan pindaan itu nanti.

“Kita nak pastikan segala bentuk tindakan kita ambil akan mengikut aturan,” katanya.

Perhimpunan agung khas Bersatu pada 2 Mac lepas meluluskan pindaan pada perkara 10 perlembagaan parti, yang melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada pihak lain, bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman, bagaimanapun berkata pindaan itu tidak terpakai bagi mereka kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia menetapkan ia hanya berkuat kuasa pada 1 April, sedangkan mereka menyatakan sokongan kepada Anwar sekitar Oktober hingga Januari lepas.

Selain Suhaili, Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Pada Selasa, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor, berkata Bersatu perlu memaklumkan secara rasmi kepada speaker Dewan Rakyat untuk menentukan status enam Ahli Parlimen berkenaan.

Pasangan suami isteri bela 159 kucing dalam pangsapuri dihukum penjara

BHarianonline 
Pasangan Perancis yang mengambil 160 ekor kucing dan hidup dalam serba kekurangan dilarang memiliki haiwan peliharaan lagi. - Foto AGENSI
Pasangan Perancis yang mengambil 160 ekor kucing dan hidup dalam serba kekurangan dilarang memiliki haiwan peliharaan lagi. - Foto AGENSI
NICE: Sepasang suami isteri dari Perancis yang berkongsi pangsapuri mereka dengan hampir 160 ekor kucing dan tujuh ekor anjing, dihukum penjara selama setahun dan larangan kekal memelihara haiwan peliharaan.

Mahkamah Jenayah Nice memutuskan pasangan itu bersalah atas kesalahan pengabaian keadaan kesihatan yang sangat teruk terhadap kesemua haiwan terbabit.

Pasangan itu juga diperintahkan membayar lebih 150,000 euro (RM765,376.22) sebagai ganti rugi kepada persatuan kebajikan haiwan.

Pasangan itu mendiami bersama 159 kucing dan tujuh anjing di sebuah pangsapuri di Nice yang berkeluasan 80 meter persegi.

Tahun lalu, pegawai polis bertindak selepas menerima aduan daripada kejiranan yang mendapati puluhan haiwan mengalami dehidrasi, kekurangan zat makanan, diselaputi parasit dan luka di setiap bilik di rumah pasangan itu.

Di dalam bilik mandi, penyiasat menemukan bangkai sekurang-kurangnya dua kucing dan dua anak anjing.

Pada akhir perbicaraan, pemilik haiwan itu, seorang wanita berusia 68 tahun, berkata dia tidak berniat untuk 'menyerah kalah' atas hukuman yang dikenalkan kepada mereka.

"Siapa yang tidak akan merayu terhadap ketidakadilan seperti ini?

"Ia seperti menyatakan seorang wanita dia tidak akan mempunyai anak lagi.

"Haiwan itu pelengkap dan lambang kasih sayang dalam hidup saya tetapi keadaan itu sudah tiada telah meleset," kata pemiliknya.

Dia menegaskan keadaan haiwan peliharaan terjadi begitu berikutan pangsapurinya rosak dan keadaan peliharaannya hanya bersifat sementara.

Katanya, dia sedang mencari penyelesaian tetapi mendapati dirinya tidak berdaya kerana jangkitan yang menjejaskan kucing dan gelombang haba yang menyebabkannya sakit.

Penilaian psikiatri mendedahkan keadaan mental yang dikenali sebagai 'sindrom Noah' atau penimbunan haiwan, yang dicirikan oleh keinginan untuk mengekalkan bilangan haiwan yang lebih tinggi daripada biasa tanpa keupayaan untuk menjaganya dengan betul.

Wanita itu dan pasangannya yang berusia 52 tahun menghadapi prosiding pengusiran dan hutang sewa 8,000 euro (AS$8,665).

Pada 2014, pasangan itu menjadi subjek siasatan apabila mereka tinggal bersama 13 kucing dan seekor anjing di sebuah studio berkeluasan kira-kira 18 meter persegi.

Beberapa tahun kemudian wanita itu mengambil kira-kira 30 kucing yang ditemui di sebuah bangunan terbiar dan mengatakan ia berisiko diracun.

Kemudian haiwan itu membiak sehingga bilangan sekarang. - AFP

Gerhana Matahari Isnin depan bakal berlaku 4 minit sahaja

MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Fenomena gerhana matahari penuh yang dijangka berlaku di Amerika Utara pada Isnin ini tidak mungkin akan menyebabkan Hari Raya Aidilfiri disambut awal mahupun menyebabkan bumi bergelap tiga hari seperti didakwa segelintir pihak.

Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (Eseri) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Madya Ts. Dr. Roslan Umar berkata, gerhana matahari yang hanya boleh dilihat dalam tempoh kira-kira empat minit di beberapa negeri di Amerika Syarikat dan Kanada berkenaan tidak akan memberi kesan kepada cerapan anak bulan bagi penentuan 1 Syawal di negara ini.

“Antara syarat utama penentuan hilal (anak bulan) ialah matahari telah terbenam sedangkan sewaktu gerhana penuh itu berlaku waktu masih siang tetapi cuma matahari dilindungi sebentar oleh bulan yang berada pada kedudukan selari dengan bumi.

“Apatah lagi fenomena gerhana matahari penuh tersebut hanya boleh dilihat di benua Amerika Utara sekali gus tiada kena-mengena dengan negara kita yang terletak di garisan Khatulistiwa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan kononnya bumi bakal bergelap selama tiga hari dari Isnin hingga Rabu ini disebabkan fenomena gerhana matahari penuh berkenaan.

Segelintir pihak juga mengemukakan teori kononnya Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada Rabu ini bakal disambut awal disebabkan fenomena alam terbabit.

Roslan berkata, fenomena gerhana bulan penuh itu juga mustahil menyebabkan seluruh bumi bergelap selama tiga hari seperti didakwa.

Jelas beliau, dakwaan itu hanya akan menjadi kenyataan sekiranya bumi tidak lagi mengorbit mengelilingi matahari seperti kelaziman.

“Gerhana matahari merupakan fenomena alam biasa yang boleh berlaku antara dua hingga lima kali setahun melibatkan kawasan tertentu.

“Ia hanya berlaku beberapa minit malah Malaysia juga dijangka akan mengalami gerhana matahari penuh pada 12 Ogos 2026,” katanya.

Sehubungan itu, Roslan menasihatkan orang ramai agar mengamal sikap “tabayyun” iaitu selidik atau semak dahulu sebelum sebar seperti dalam seperti dalam surah Surah al-Hujurat: ayat 6. Orang ramai juga jangan mudah terpengaruh dengan dakwaan bukan-bukan tidak sahih sebaliknya mengambil peluang menikmati fenomena alam kurniaan Allah itu dengan ilmu sains. – KOSMO! ONLINE

Gunung Merapi meletus 6 kali

Bernama
Pemerhatian oleh BPPTKG Yogyakarta dari tengah malam hingga 6 pagi waktu tempatan menunjukkan aliran lahar Gunung Merapi bergerak ke arah barat daya.
JAKARTA: Gunung Merapi yang terletak di sempadan wilayah Jawa Tengah dan Yogyakarta meletus enam kali pada Khamis, memuntahkan lahar sehingga 1.5km.

Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Bencana Geologi (BPPTKG) menasihatkan penduduk berhampiran agar sentiasa berwaspada dan tidak melakukan sebarang aktiviti dalam zon bahaya.

Menurut Ketua BPPTKG Yogyakarta Agus Budi Santoso, unjuran abu gunung berapi semasa letusan boleh menjangkau sehingga 3km dari puncak.

“Aliran lahar dan piroklastik menimbulkan ancaman kepada kawasan barat daya dalam lingkungan 5-7km dan tenggara dalam lingkungan 3-5km,” katanya dalam kenyataan.

Pemerhatian yang dijalankan oleh BPPTKG Yogyakarta dari tengah malam hingga 6 pagi waktu tempatan menunjukkan aliran lahar bergerak ke arah barat daya.

Pusat itu mengekalkan status Gunung Merapi setinggi 2,891m itu pada Tahap III atau Amaran, menunjukkan risiko berterusan.

KPN: Kes lelaki Israel miliki senjata api: 16 individu ditahan secara keseluruhan

Safeek Affendy Razali
safeek@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Polis secara keseluruhan menahan 16 individu berhubung siasatan kes penemuan enam pucuk pistol terhadap seorang lelaki warga Israel, yang ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini, pada 27 Mac lalu.

Terbaru, polis menahan 12 individu selepas menjalankan siasatan terhadap suspek utama Shalom Avitan, 38; pasangan suami isteri warga tempatan berusia 42 dan 40 tahun yang menjual pistol kepada Shalom dan seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai pemandu Shalom.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata tiga daripada 12 individu yang ditahan membabitkan dua lelaki warga Turki dan seorang lelaki warga Georgia.

"Kesemua mereka ditahan dalam serbuan oleh pasukan khas membabitkan kerjasama dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Kontinjen Kuala Lumpur dan Cawangan Khas (SB).

"Mereka ditahan dalam serbuan ke atas beberapa premis di sekitar Johor dan ibu negara berdasarkan risikan, siasatan dan maklumat yang diterima daripada orang awam.

"Malah, ada tangkapan diperoleh dengan kerjasama hasil siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berhubung aktiviti pembayaran wang kripto," katanya kepada BH hari ini.

Setakat ini, tangkapan hasil siasatan oleh JSJK itu dipercayai diperoleh berdasarkan penjejakan pembayaran senjata api di antara suspek dan pasangan suami isteri tempatan yang membayar menggunakan matawang ktipto.

Razarudin berkata, pasangan suami isteri yang ditahan kerana mengedar enam senjata api kepada Shalom disambung reman tujuh hari bermula hari ini.

"Sejurus penahanan Shalom dan tiga lagi suspek warga tempatan, polis kemudian menahan empat lelaki dan dua wanita berusia antara 25 hingga 41 tahun.

"Susulan daripada siasatan yang dijalankan pasukan polis kemudian menahan enam lagi individu membabitkan dua warga Turki berusia 29 dan 40 tahun, seorang lelaki warga Georgia berusia 39 tahun dan tiga warga tempatan berusia antara 32 hingga 60 tahun," katanya.

Katanya, sebahagian mereka ditahan reman bermula semalam manakala sebahagian lagi ditahan reman bermula hari ini.

Kesemua mereka dibenarkan ditahan reman tujuh hari.

Razarudin berkata, pada masa ini PDRM juga masih melengkapkan siasatan bagi mengetahui motif sebenar suspek utama iaitu Shalom, memiliki enam pucuk pistol.

Selasa lalu, Razarudin pada sidang media khas menyatakan bahawa siasatan terhadap Shalom dibuat terhadap semua sudut dan kemungkinan yang ada termasuk bermotifkan ancaman terhadap Ketua Negara iaitu Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, orang kenamaan dan diplomat asing, pemimpin-pemimpin Hamas (Palestin) yang ada di negara ini serta keselamatan rakyat negara ini sendiri.

23 lelaki termasuk 19 pelajar sekolah ditahan merusuh di Pantai Puteri

BERNAMA

MELAKA: Seramai 23 lelaki termasuk 19 pelajar sekolah menengah ditahan kerana merusuh dalam kejadian di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini pada 29 Mac lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata kesemua individu berkenaan ditahan secara berperingkat di sekitar kawasan Tanjung Kling, Malim dan Tanjung Minyak bermula 2 petang hingga 9 malam pada Rabu lepas.

Beliau berkata kesemua pelajar terlibat dari sekolah menengah yang berbeza di sekitar Tanjung Kling dan dalam kejadian itu seorang pelajar berusia 15 tahun lebam seluruh badan serta muka akibat dipukul.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan melibatkan dua kumpulan disebabkan rasa tidak puas hati serta selisih faham melibatkan insiden lama yang berpunca daripada perbuatan ejek-mengejek yang akhirnya mencetuskan pergaduhan.

“Polis turut merampas tiga topi keledar dan sebatang kayu dipercayai digunakan dalam kejadian itu dan kesemua suspek telah dirakam percakapan dan tidak direman,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Semalam, tular di media sosial video berdurasi 4.09 minit memaparkan insiden pergaduhan itu dan nenek kepada mangsa berusia berusia 15 tahun itu membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Kling pada 31 Mac lepas.

Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bila pelabur emas terpaksa

Sinar Harian

RAMAI pelabur mula marah-marah dan berasa sangsi terhadap kredibiliti sebuah syarikat yang terlibat dalam urusan perniagaan emas.

Pada awalnya, mereka menjadi ahli dan membeli emas ketika harganya jatuh, sehingga ada yang menghabiskan wang simpanan beratus ribu ringgit dengan harapan dapat pulangan melimpah ruah.

Ketika harga emas melonjak ke paras setinggi AS$2,135 seauns pada awal Disember lalu, beratus-ratus ribu ahli yang berdaftar di seluruh negara tidak henti-henti membuat jualan dan optimis mendapat keuntungan berlipat ganda.

Bagaimanapun, timbul isu apabila hasil emas yang dijual atau terminate mengambil masa terlalu lama untuk masuk ke dalam akaun bank pelabur.

Sehingga artikel ini ditulis, masih ramai pelabur yang belum nampak ‘bayang’ wang mereka walaupun pihak pengurusan berjanji menyelesaikan semua pembayaran sebelum 31 Mac 2024.

Syarikat yang turut disertai ramai figura terkenal tanah air itu juga membuat beberapa alternatif lain bagi meredakan keresahan ahli dengan menawarkan saham.

Namun, ia masih tidak dapat menyelesaikan masalah apabila Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengarahkan pengasasnya supaya segera menamatkan penawaran saham tersebut pada 23 Mac lalu.

Siapa sebenarnya yang perlu dipersalahkan dalam hal ini?

Sudah tentu ramai akan menuding jari kepada orang ramai yang menjadi ahli kerana tidak berfikir panjang membuat pelaburan di platform yang masih tidak dapat disahkan kestabilannya.

Jika diteliti, seperti ada yang tidak kena pada sistem pentadbiran syarikat tersebut.

Sistem yang digunakan syarikat itu juga tidak meyakinkan apabila ramai ahli mengadu sukar menghubungi khidmat pelanggan, bahkan talian telefon disediakan sudah tidak berjawab.

Kesannya kini, pelabur terpaksa ‘mengemis’ wang sendiri sehingga berbulan-bulan lamanya.

Yang tinggal kini hanyalah harapan agar wang mereka dapat dikembalikan semula.

Kejadian sebegini perlu dijadikan iktibar kepada orang ramai agar berhati-hati dan tidak mudah terperdaya sebarang bentuk pelaburan yang menjanjikan pulangan besar dalam tempoh singkat.

Tidak dinafikan, mereka yang menyertai pelaburan pasti mengimpikan untuk menjadi kaya.

Namun, ingatlah bahawa kemewahan bukan boleh datang sekelip mata.

Sebaliknya perlu disusuli dengan usaha keras dan bukan setakat ‘goyang kaki’ mencongak untung.

Dua beradik dalam perjalanan ke sekolah maut dilanggar lari

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
KEADAAN motosikal dinaiki mangsa dilanggar lari sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) di KM 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar. FOTO Tular
KEADAAN motosikal dinaiki mangsa dilanggar lari sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) di KM 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar. FOTO Tular
Sungai Siput: Dua beradik maut apabila motosikal dinaiki dilanggar lari sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) di KM 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Difahamkan, kejadian kira-kira 7.10 pagi itu berlaku ketika penunggang motosikal, Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan adiknya, Ahmad Marikh Norazlan, 13, dalam perjalanan ke sekolah.

Kedua-duanya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru, Kuala Kangsar.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan terbabit dari arah Kuala Kangsar menghala Ipoh memasuki simpang ke sebelah kanan iaitu di persimpangan Taman Desa Salak secara tiba-tiba.

Menurutnya, ia menyebabkan kenderaan itu merempuh motosikal Honda EX5 dua pelajar itu yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat rempuhan itu, kedua-duanya maut di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mereka adalah disebabkan 'polytrauma with suspected neck injury/cervical fracture'," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khaizam berkata, polis kini sedang giat mengesan pemandu dan pemilik kenderaan 4x4 itu, dan sehingga kini belum membuat laporan berhubung kemalangan itu.

"Orang ramai yang menyaksikan kemalangan boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Ahmad Kasidi Che Ghani di talian 014-5073473 bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, jenazah dua beradik itu disolatkan di Masjid Kariah Salak (U), Kampung Perik, di sini oleh kira-kira 200 jemaah selepas solat Jumaat sebelum dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Perik, Enggor, di sini.

AFRIKA Bayi terselamat selepas ditanam 'hidup-hidup' semalaman

Agensi
BAYI berkenaan kemudian dibesarkan oleh neneknya. FOTO Agensi
BAYI berkenaan kemudian dibesarkan oleh neneknya. FOTO Agensi
Kampala: Ajaib apabila bayi perempuan yang ditanam 'hidup-hidup' di Uganda selepas dilahirkan, diselamatkan selepas berjam-jam berada di dalam tanah.

Ibunya yang berusia 23 tahun mengebumikan bayi itu di sebuah taman pada tengah malam dan mangsa hanya dapat dikesan semula jam 11 pagi keesokannya.

Metro UK melaporkan, si ibu melahirkan anaknya tanpa sebarang bantuan perubatan dan bayi itu ditemukan selepas ahli keluarga lain menemukan kesan darah di taman berhampiran rumah mereka.

Paramedik bergegas ke taman untuk menyelamatkan bayi itu, yang plasenta dalam keadaan masih melekat.

Walaupun terselamat, bayi yang ditarik keluar dari tanah itu sudah dipenuhi luka dan lebam akibat tekanan kerana tertimbus di dalam tanah, semalaman.

Tubuh bayi itu terasa sejuk apabila disentuh dan warna kulitnya juga menjadi kebiruan selepas dikebumikan sepanjang malam.

Paramedik segera membersihkan tanah menyelaputi tubuh mungil itu, memisahkannya daripada plasenta dan memotong tali pusat. Selepas beberapa minit mereka mendengar tangisan lemah, sebelum membawa bayi comel itu ke hospital.

Setibanya di hospital, luka bayi itu dibersihkan dan disterilkan dan dia dimasukkan ke dalam inkubator.

Ujian mendapati bayi itu tidak mengalami sebarang kecederaan pada jantung, perut, atau mana-mana organ lain, dan dia dibenarkan untuk dibawa keluar dari hospital dalam masa enam hari sahaja.

Laporan kes itu diterbitkan dalam Jurnal Laporan Kes Perubatan Antarabangsa.

Bayi itu kini dibesarkan oleh neneknya. Semakan selepas enam bulan mendapati dia mengalami 'pertumbuhan normal'.

Sementara itu, ibu bayi ditahan oleh pihak berkuasa tempatan kerana cubaan membunuh mangsa, dan dilaporkan ditempatkan di pusat pemulihan, sebelum dipindahkan ke kemudahan psikiatri.

Pelajar Tingkatan 3 cedera dibelasah 20 individu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Gara-gara perselisihan faham, seorang pelajar Tingkatan 3 lebam seluruh badan dan muka dipercayai dibelasah sekumpulan individu termasuk 20 pelajar sekolah, dalam kejadian di Melaka akhir bulan lalu.

Ketua Polis Melaka, Zainol Samah, berkata kejadian dikesan selepas satu video tular di media sosial sejak semalam yang menunjukkan insiden pergaduhan di
Pantai Puteri, Tanjung Kling itu.

Katanya, siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku pada 29 Mac lalu yang berpunca kerana perselisihan faham dan rasa tidak puas hati berpunca daripada tindakan ejek-mengejek.

“Polis menerima satu laporan polis dibuat seorang wanita berusia 65 tahun pada 31 Mac lalu selepas mendapati cucu lelakinya yang berusia 15 tahun dipukul oleh sekumpulan lelaki dikenali di Pantai Puteri sehari sebelumnya, kira-kira 1 tengah hari.

“Pengadu kemudian membawa cucunya untuk rawatan di Hospital Melaka dan mangsa kini masih dirawat,” katanya menurut Harian Metro.

Menurutnya, bertindak atas laporan, pihaknya menjalankan siasatan dan menahan 23 individu berusia 15 hingga 20 tahun di sekitar kawasan Tanjung Kling, Malim dan Tanjung Minyak, kelmarin bagi membantu siasatan.

Katanya, semua suspek yang berumur di bawah 18 tahun adalah pelajar dari sekolah berbeza di sekitar kawasan Tanjung Kling.

“Kes disiasat Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Kita turut merampas tiga topi keledar serta sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam insiden itu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, semua suspek dilepaskan dengan jaminan polis selepas dirakam percakapan memandangkan kebanyakan mereka adalah pelajar.

Perompak larikan wang RM142 juta dalam bilik kebal

KOSMO!
WANG tunai RM142.16 juta dilarikan oleh sekumpulan pencuri di stor GardaWorld, Los Angeles. - Foto ABC 7
LOS ANGELES  –  Dalam rompakan setanding adegan filem  Ocean’s Eleven, sebuah kumpulan pencuri melarikan wang tunai berjumlah AS$30 juta (RM142.16 juta) dari sebuah bilik kebal tanpa meninggalkan sebarang bukti, lapor portal berita The Sun semalam.

Polis  masih keliru bagaimana bilik kebal itu  dikosongkan malam Ahad lalu. Kes tersebut merupakan antara rompakan wang tunai terbesar dalam sejarah bandar raya  Los Angeles.

Rompakan berlaku di sebuah stor simpanan wang GardaWorld yang mempunyai sistem penggera keselamatam canggih  di pinggir kejiranan Sylmar, Los Angeles.

Dalam operasi melarikan wang itu yang dilakukkan secara profesional, tiada tanda-tanda bilik kebal itu diceroboh.

Pemilik kemudahan itu menyedari tentang kehilangan wang yang berlaku hanya apabila bilik kebal tersebut dibuka pada Isnin lalu.

Menambahkan lagi misteri, hanya segelintir  individu mengetahui bahawa sejumlah besar wang tunai disimpan di dalam bilik kebal itu, demikian menurut akhbar Los Angeles Times. 

Sumber siasatan memberitahu, kumpulan pencuri itu menyelinap masuk melalui bumbung bilik kebal itu sebelum melarikan wang tersebut. – AGENSI

Nadma: Kanak-kanak 3 tahun maut akibat strok haba

BERNAMA

Kuala Lumpur: Satu kes kematian baharu akibat strok haba dilaporkan berlaku minggu ini menjadikan kes kematian berkaitan cuaca panas kepada dua orang, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Berdasarkan laporan ringkas status cuaca panas oleh Nadma bertarikh 4 April, kematian baharu pada 1 April itu membabitkan kanak-kanak berusia tiga tahun di Kelantan.

Kematian pertama membabitkan individu berumur 22 tahun di Pahang pada 2 Februari lalu.

"Pemantauan sehingga 3 April mendapati jumlah kes kumulatif bagi penyakit berkaitan cuaca panas meningkat kepada 37 kes dengan pecahan 10 kes strok haba, kes kelesuan haba (26 kes) dan kes kejang haba (satu kes).

"Terdapat dua kes masih mendapat rawatan di hospital, iaitu masing-masing satu kes strok haba yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kes kelesuan haba di wad biasa. Kes lain telah mendapat rawatan dan sembuh," menurut laporan itu yang memetik sumber Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagi pecahan mengikut negeri, Perak dan Kedah masing-masing merekodkan lapan kes, Johor (lima), Negeri Sembilan (empat), Sabah (empat), Selangor (tiga), Perlis (dua) dan masing-masing satu kes di Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan.

Memetik sumber Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Nadma melaporkan setakat semalam enam empangan menunjukkan stok bekalan air pada paras amaran dengan tiga daripadanya di Kedah iaitu Empangan Muda (39.12 peratus), Empangan Malut (35.70 peratus) dan Empangan BS Padang Saga (41.29 peratus).

Empangan lain ialah Empangan Sembrong Barat, Johor (31.51 peratus), Empangan Air Hitam di Pulau Pinang (34.60 peratus) serta Empangan Timah Tasoh di Perlis (56.46 peratus).

Nadma juga melaporkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan dua hebahan ramalan kemarau bagi dua lembangan sungai pada 1 April lalu iaitu Lembangan Sungai Muda di Kedah dan Lembangan Sungai Kelantan, Kelantan.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula melaporkan tiga kawasan merekodkan kualiti udara tidak sihat bagi tempoh 1 April hingga semalam, iaitu Kimanis di Sabah dan Balok Baru di Kuantan serta Rompin, kedua-duanya di Pahang.

Ini punca Diva AA, Azwan Ali naik angin

“Terbakarlah engkau di alam kubur!” – Ini rupanya punca adik Azmin Ali berang

Harapandaily

Heboh adik kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berang selepas terbeli air tebu basi di bazar Ramadan Bangsar Baru, Kuala Lumpur.

Diva AA atau nama sebenarnya Mohamed Azwan Ali berharap peniaga air tebu terbabit terbakar di alam kubur dan merangkak di Padang Mahsyar

“Kepada penjual air tebu di tengah-tengah bazar Bangsar Baru, azablah engkau dalam alam kubur.

“Merangkaklah engkau di Padang Mahsyar cari Diva AA. Sebab… harga dah lah RM10.

“Terbakarlah engkau di alam kubur dan merangkaklah engkau mencari Diva AA. Air tebu basi kau jual!”

“Rasa najis ye! Air tebu basi yang dijualnya,” kutuk Diva AA menerusi rakaman video yang tular di media sosial.

Umum tahu, hubungan Diva AA dan Azmin tidak baik ekoran siri serangan peribadi.

Walaupun begitu, Azwan kerap menyatakan hasrat untuk berbaik semula dengan abangnya setiap kali menjelang Aidilfitri.

CIA beri amaran Iran serang Israel dalam tempoh 48 jam

SINAR HARIAN
Ayatollah Ali Khamenei. Foto AFP
NEW YORK - Agensi Perisikan Pusat (CIA) memberi amaran kepada Israel bahawa Iran akan menyerang rejim itu dalam tempoh 48 jam akan datang.

Pada Isnin, Israel membunuh dua komander tentera Iran dalam serangan terhadap sebuah konsulat Teheran di Damsyik, ibu negara Syria.

Iran berikrar bahawa mereka akan membalas dendam atas serangan itu dan kini media asing melaporkan bahawa agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) itu bimbang dengan serangan terhadap Israel.

Menurut portal Al Mayadeen, Iran merancang menyerang dengan satu gabungan 'hujan' dron dan peluru berpandu ditembak dari pangkalannya di lokasi strategik dalam Israel.

Situasi ini berlaku selepas pegawai AS menimbulkan kebimbangan bahawa serangan Israel boleh membawa kepada perang yang lebih meluas di Timur Tengah.

Bekas pegawai kanan CIA yang beroperasi di Timur Tengah, Ralph Goff berkata, serangan melulu Israel akan mengakibatkan kemarahan Iran dan sekutunya.

Bercakap kepada New York Times, beliau menambah bahawa Israel cuba menyerang Pengawal Revolusi Iran (IRG) sebagai 'menghukum mereka kerana rancangan berterusan untuk membunuh atau menculik rakyat Yahudi Israel di seluruh dunia'.

Bekas ketua Komando Pusat AS dan pesara Jeneral Empat Bintang, Kenneth F McKenzie memberi amaran bahawa serangan itu adalah memberi 'tamparan' kepada Iran.

Sementara itu, bekas pegawai tinggi dasar Timur Tengah Pentagon, Dana Stroul berkata, serangan Iran disifatkan bakal menentukan ketidakstabilan ke kancah perang berskala penuh.

"Persoalannya, adakah Iran akan bertindak balas dengan cara meredakan keadaan atau meningkatkan peperangan," katanya.

Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menambah tindakan kejam rejim Zionis akan dihukum di tangan pasukannya sendiri.

"Kami akan membuat mereka menyesal atas jenayah ini dan yang lain," katanya. - Agensi

Dera dua kanak-kanak guna seterika, air panas, pasangan suami isteri ditahan

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
Depan dan belakang badan mangsa lelaki berusia 13 tahun yang ditekap menggunakan seterika oleh suspek. FOTO PDRM
Depan dan belakang badan mangsa lelaki berusia 13 tahun yang ditekap menggunakan seterika oleh suspek. FOTO PDRM
Keningau: Polis menahan pasangan suami isteri selepas disyaki mendera dua kanak-kanak lelaki berusia lima dan 13 tahun, sejak bulan lalu.

Kedua-dua mangsa didera menggunakan seterika, batang besi, sudu panas dan air panas hingga menyebabkan badan luka dan melecur.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, kejadian itu disedari oleh seorang lelaki berusia 27 tahun ketika didatangi mangsa berusia 13 tahun yang menjual burger di sebuah premis di daerah ini, jam 12 tengah hari, pada 2 Mac lalu.

Katanya, lelaki itu menyedari terdapat kesan luka seperti kesan terkena seterika pada badan kanak-kanak terbabit disyaki didera.

"Menyedari keadaan mangsa seperti didera, dia kemudian membuat laporan polis sebelum kedua-dua suspek suami isteri berusia 27 dan 36 tahun ditahan ditahan di rumah sewa mereka di pekan Keningau, petang tadi (semalam).

"Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek adalah peniaga burger," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut turut mendapati seorang lagi mangsa lelaki berusia lima tahun turut didera oleh kedua-dua suspek.

"Mangsa berusia 13 tahun itu adalah anak tiri kepada suspek wanita. Kedua-dua mangsa tiada sebarang talian persaudaraan dan dipelihara oleh kedua-dua suspek.
"Mangsa berusia 13 tahun adalah anak tiri kepada suspek wanita iaitu ayah kandung mangsa berkahwin dengan wanita terbabit dan mangsa dijaga oleh suspek.

"Manakala mangsa berusia lima tahun adalah anak angkat kedua-dua suspek," katanya.

Yampil berkata, siasatan mendapati kejadian dera itu berlaku di rumah sewa suspek antara 24 Mac 2024 hingga 30 Mac 2024.

"Mangsa berusia 13 tahun didera menggunakan seterika beberapa kali pada bahagian depan dan belakang badan kerana terdapat kesan melecur yang sudah hampir kering. Kejadian itu dilakukan suspek kerana mendakwa mangsa menipu menghabiskan jualan burger.

"Selain itu, mangsa turut dipukul menggunakan kayu dan batang besi pada belakang badan manakala mangsa berusia lima tahun disiram menggunakan air panas di atas lantai.

"Mangsa juga dipaksa berdiri di atas air panas hingga kedua-dua kakinya melecur. Selain itu mangsa turut dipukul menggunakan besi di bahagian belakang badannya.

"Mangsa turut ditekap dengan seterika oleh suspek wanita pada bahagian kiri dan kanan tangan serta belakang badan hanya kerana lambat membuka lampin pakai buang ketika bangun tidur," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek juga didapati mempunyai kes jenayah lampau berkait dadah.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Hamzah tunggu ‘lampu hijau’ Muhyiddin tanding jawatan tinggi Bersatu

Amin Ishak dan Nora Mahpar

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin tidak akan mengintai kedudukan lebih tinggi dalam parti tanpa lampu hijau daripada Muhyiddin Yassin.

Dalam temu bual dengan FMT, Ahli Parlimen Larut itu menegaskan tidak timbul isu mengenai kedudukannya pada pemilihan parti tahun ini, malah beliau komited memastikan Muhyiddin kekal sebagai presiden.

“Saya pun tak cerita kedudukan nak bertanding…malah sesiapa sahaja nak lawan beliau saya akan memastikan kemenangan presiden,” katanya yang difahamkan tidak layak bertanding jawatan tertinggi pada pemilihan Bersatu kerana belum cukup tempoh dua penggal menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Beliau mengulas masa depannya dalam parti itu menjelang pemilihan MPT Bersatu yang ditangguhkan selama 18 bulan sejak Mei tahun lalu kerana ingin memfokuskan kepada PRN.

Hamzah berkata beliau sedar kenyataan Muhyiddin yang menamakannya sebagai calon berpotensi memimpin Bersatu dan negara pada masa depan termasuk melantiknya sebagai ketua pembangkang.

Namun di sebalik pengiktirafan itu, beliau mengambil sikap tunggu dan lihat ‘lampu hijau’ daripada Muhyiddin sebelum membuat langkah seterusnya.

“Kalau presiden kata ‘Hamzah sampai masa kamu bertanding’, baru saya boleh cerita pasal pertandingan. Itu pun tunggu beliau beri signal (isyarat) bertanding jawatan mana satu, kalau tak beritahu saya masih lagi setiausaha agung.

Hamzah Zainudin berkata beliau mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung kedudukannya dalam Bersatu.
“Sebagai setiausaha agung kena bersama presiden dan tak boleh lari. Hanya apabila terputus link (pautan) itu barulah tidak lagi terikat,” katanya.

Berdasarkan perkembangan semasa, Muhyiddin dijangka sekali lagi menang tanpa bertanding jawatan presiden Bersatu selepas tiada calon lain dilihat tampil mahu mencabarnya.

Pada perhimpunan agung tahunan Bersatu November lalu, Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden parti, tetapi kurang 24 jam mengubah pendirian.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berbuat demikian selepas diyakinkan isterinya Noorainee Abdul Rahman, untuk “tidak mengecewakan ahli yang memerlukannya.”

Bersatu dijangka mengadakan pemilihan MPT dan bahagian tahun ini dengan tumpuan kepada kerusi presiden dan timbalannya yang akan membayangkan calon perdana menteri PN, seperti ketika PRU15 apabila Muhyiddin dicalonkan ke jawatan itu sesuai statusnya sebagai pengerusi PN.

Sebelum ini, timbul cakap-cakap Hamzah disebut-sebut antara calon utama mengisi kerusi nombor satu parti jika Muhyiddin memutuskan tidak bertanding pada pemilihan akan datang.

Namun, sumber parti memberitahu beliau sebenarnya masih tidak layak bertanding jawatan “top 5” Bersatu kerana baru penggal pertama menganggotai MPT, merujuk pelantikan Hamzah sebagai setiausaha agung pada 26 Mac 2020 dan mengekalkannya selepas pemilihan parti empat bulan kemudian.

Baru sehari bekerja, ‘maid’ larikan motosikal dan rantai

KOSMO
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan pelaku mencuri motosikal majikannya selepas baru sehari bekerja. – @TKPMEDAN
JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan seorang pembantu rumah yang baru sehari bekerja, melarikan motosikal milik majikannya, lapor akhbar Tribun Medan semalam. 

Lebih memeranjatkan, pembantu rumah itu turut mencuri rantai anak mangsa. 

Menerusi perkongsian di akaun Instagram @tkpmedan, mangsa berkata, dia mengenali pelaku menerusi Facebook sebelum mengupahnya sebagai pembantu rumah. 

Namun, biarpun belum mula bekerja, suspek telah meminta wang tambang sebanyak 100,000 rupiah (RM29.87) sebaik tiba di rumah mangsa.

Kemudian, selepas hanya sehari bekerja, suspek membawa lari motosikal jenis Honda Scoopy milik mangsa dan mencuri rantai leher anaknya.

“Pada hari Jumaat, 29 Mac, pukul 10 pagi (waktu tempatan), dia (suspek) melarikan motosikal itu. Barulah kami sedar bahawa kami juga kehilangan seutas rantai leher yang tertulis Nayra,” kata mangsa. – AGENSI

'Tak tahu masih hidup atau tidak'

Nurul Najwa Mohd Noordin dan Nor Syazrina Muhamad Tahir
am@hmetro.com.my
SITUASI anak Majed yang menyambut Ramadan di Gaza, Palestin.
SITUASI anak Majed yang menyambut Ramadan di Gaza, Palestin.
Kuala Lumpur: "Saya menangis setiap hari mengenangkan nasib keluarga di Gaza pada Ramadan ini," kata Majed Fadel, 44, penuntut Palestin yang menetap di Malaysia.

Penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, sudah banyak hari dia tidak mendapat perkhabaran mengenai keadaan keluarganya dan tidak tahu sama ada mereka masih hidup ataupun tidak.

Majed yang mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Komunikasi Media berkata, dia terkenangkan keluarganya di Gaza setiap kali membuka puasa.

"Di saat semua orang dapat berbuka dengan sempurna, keluarga saya di sana kadang-kadang tidak mampu untuk berbuka puasa tepat pada waktu yang sepatutnya," katanya ketika ditemu bual Harian Metro.

Dia berkata, ramai ahli keluarganya yang sudah terkorban termasuk bapa kerana dibunuh rejim Zionis.

"Setiap hari saya mengambil masa lebih dari lima jam untuk membaca harian mengenai situasi semasa di Gaza, paling saya takut dan bimbang ialah jika terbaca berita mengenai kematian ahli keluarga saya.

"Saya sangat sedih dan takut, saya juga tidak mampu tumpukan perhatian kepada pelajaran.

"Bayangkan diberitahu berkenaan kematian keluarga tetapi saya di sini hanya mampu menangisi berjam-jam tanpa henti," katanya.

Menurutnya, lebih 43 ahli keluarganya sudah terkorban akibat serangan tentera Israel.

"Saya masih ingat tahun lalu, kami sekeluarga dapat berbuka puasa bersama-sama dengan selesa, tetapi tahun ini, ramai ahli keluarga saya terbunuh manakala rumah dimusnahkan oleh rejim Zionis.
MAJEED Alqedra
MAJEED Alqedra
"Saya cuma berharap saya dapat berjumpa dengan keluarga saya dan semoga Allah menjaga mereka semua," katanya.

Sementara itu, penuntut Kejuruteraan Awam di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Majeed Alqedra, 23, berkata, keluarganya terpaksa menjadikan makanan haiwan sebagai juadah berbuka puasa disebabkan rejim Israel menyekat bantuan makanan.

"Israel menutup segala akses kepada sumber makanan di Gaza.

"Keluarga saya kebiasaannya dapat menikmati pelbagai hidangan lazat ketika Ramadan, tetapi pada tahun ini, mereka terpaksa makan makanan haiwan sebagai juadah berbuka," katanya.

Menurutnya, Ramadan kali ini amat suram kerana mereka tidak terdaya merasai kemeriahan suasana berpuasa dan keakraban umat Islam di Gaza.

Sanusi dicabar ambil tindakan undang-undang kes Kedah Agro

M Hifzuddin Ikhsan
am@hmetro.com.my
MUHAMMAD Sanusi (kiri) dan Shaiful Hazizy. FOTO Arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi (kiri) dan Shaiful Hazizy. FOTO Arkib NSTP
Alor Setar: Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dicabar mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mendakwa berlaku kesalahan dalam tadbir urus Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB).

Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata ramai pihak menunggu tindakan selanjutnya bakal diambil Menteri Besar itu selepas mengeluarkan kenyataan 'jumpa kamu di mahkamah' sebelum ini.

Berikutan itu, beliau mencabar Muhammad Sanusi membawa kes berkaitan Kedah Agro ke mahkamah jika Menteri Besar itu berasakan berada di pihak yang benar.

"Sanusi ini kalau bercakap, memang dia nombor satu. Dia yang terpaling berani, dia terpaling hebat, dia terpaling itu ini. Tapi, cakap sahaja, buat belum tentu tidak.

"Sebab itu saya rasa ramai pihak ternanti bila masa Sanusi akan membawa orang yang membongkar mengenai sisi hitam Kedah Agro, yang menurut Sanusi adalah fitnah ke mahkamah?

"Malah Sanusi sendiri yang kata dengan penuh bangganya see u in court tapi setakat ini, dekat gelanggang badminton pun Sanusi tidak berani hendak jumpa dengan orang tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berikutan itu, Shaiful Hazizy mendakwa Muhammad Sanusi tidak berani mengambil tindakan mahkamah ke atas individu terbabit, sebaliknya hanya akan berdiam diri dalam isu KAHB yang belum tamat.

Katanya, tindakan itu hanya akan memalukan kerajaan negeri selaku pemilik Kedah Agro melalui Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang mengawal syarikat itu sebelum ini.

"Saya yakin sekarang ini, Sanusi sendiri tidak berani, tetapi sudah keluar kenyataan makan diri. Akhirnya, apa yang terjadi? Berdiam diri, sunyi sepi.

"Nasihat saya kepada Sanusi, jangan tarik hand brake kalau dulu sudah kata hendak jumpa di mahkamah. Teruskan kalau MB (Menteri Besar) buat cara MB. Jangan buat cara pembangkang. Selesaikan ikut lunas undang undang.

"Kalau orang tua tua dulu selalu pesan, berani kerana benar. Jadi kalau lihat perangai Sanusi sekarang, agak-agak Sanusi dalam golongan yang benar atau salah? Tepuk dada tanya akal fikiran," katanya.

Terdahulu, seorang wanita yang juga bekas kakitangan KAHB mendakwa berlaku kesalahan tadbir urus dalam syarikat itu sehingga menyebabkannya menanggung kerugian.

Wanita terbabit turut mendakwa MBI telah mengambil keuntungan dan mengambil staf KAHB sebelum ini, selain mendakwa MBI campur tangan dalam pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu.