31 kenderaan di atas bumbung bangunan terbakar, 20 letupan kedengaran

KOSMO!
SEBANYAK 31 kenderaan terbakar di Menara Golden Mile, Singapura. - Foto Facebook/Masterpiece Collectibles, Welcab.sg/ Chua
SINGAPURA  – Lebih 20 letupan kedengaran selepas 31 buah kenderaan terbakar di atas bumbung Menara Golden Mile, Beach Road, Singapura tengah hari tadi, lapor portal berita AsiaOne.

Sejumlah kenderaan yang mempunyai jenama sama itu terbakar dalam kejadian tersebut.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dilihat berada di lokasi kejadian.

AsiaOne bercakap dengan saksi dikenali sebagai Chua yang pejabatnya Welcab.sg terletak di tingkat 14 Menara Golden Mile.

Pejabatnya  menghadap tempat letak kereta itu di tingkat 7 sebuah bangunan berdekatan. 

“Saya datang dari makan tengah hari kira-kira pukul 12.40 tengah hari (waktu tempatan) apabila saya perasan tiga buah kereta yang diletakkan di sudut kanan terbakar. 

“Ketika itu, kenderaan polis pertama sudah berada di tempat kejadian dan anggota-anggota  dilihat pantas membuat panggilan. Kami mula berpindah tidak lama kemudian,” kata Chua.

Tambahnya, lebih 20 letupan kedengaran dalam kejadian itu.

SCDF berkata dalam satu kenyataan di laman  Facebook bahawa pihaknya berjaya memadamkan kebakaran itu. 

Ia menjelaskan,  penemuan awal menunjukkan kereta-kereta  itu bukan kenderaan elektrik.

Seramai 45 orang dipindahkan dari premis itu oleh polis dan SCDF, dengan tiga mangsa terhidu asap tetapi enggan dihantar ke hospital. 

Gambar yang diserahkan kepada AsiaOne menunjukkan sebanyak 31 kenderaan rosak akibat kebakaran itu.

Punca kejadian masih dalam siasatan. – AGENSI

PDRM siasat dakwaan bekas timbalan menteri, Datuk Mashitah terlibat pemerdagangan manusia

TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

KUALA NERUS – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap Datuk Dr. Mashitah Ibrahim yang didakwa terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PDRM diberi sepenyh kepercayaan untuk menyiasat bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu terhadap kes berkenaan.

“Aduan (laporan) sudah dibuat dan PDRM juga membuka kertas siasatan. Jadi biar proses (siasatan) itu berjalan dahulu.

“Tidak perlu timbulkan spekulasi, saya serahkan kepada profesionalisme PDRM untuk menyiasat dakwaan berkenaan,” katanya ketika ditemui pada program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di Kampung Baru Pulau Redang dekat sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin Nasution mengakui jenayah rentas sempadan antara negara-negara Asia Tenggara amat membimbangkan.

“Semua negara (ASEAN) mengakui ‘trend’ jenayah rentas sempadan meningkat termasuk kes pemerdagangan manusia. Kita juga bersetuju berkongsi maklumat perisikan bagi membanteras jenayah rentas sempadan daripada terus berleluasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Mana Che Nurul Izzah menghilang?

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
Che Nurul Izzah Che Salim, 36, dilaporkan hilang oleh keluar ganya, semalam. - Foto Ihsan Polis
Che Nurul Izzah Che Salim, 36, dilaporkan hilang oleh keluar ganya, semalam. - Foto Ihsan Polis
PETALING JAYA: Polis sedang mengesan seorang bekas jururawat yang dilaporkan hilang oleh keluarganya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, laporan itu dibuat jam 9.27 malam di Balai Polis Damansara.

Beliau berkata, individu terbabit iaitu Che Nurul Izzah Che Salim, 36, dipercayai keluar rumah di Jalan Kesum 24/37 Seksyen 24, Shah Alam pada 16 Februari lalu.

"Kakak mangsa memaklumkan adiknya keluar rumah bersama anak-anaknya pada 16 Februari lalu dan tidak tahu tinggal di mana.

"Wanita ini sudah bercerai serta mempunyai dua anak lelaki dan perempuan berusia 11 dan sembilan tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa pernah berkhidmat di KPJ Damansara sebagai jururawat dan sudah berhenti kerja pada 29 Ogos lalu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan wanita itu boleh menghubungi Inspektor Hafizzul Mohd Noor di talian 016-2236804 atau 03-77222222 bagi membantu siasatan," katanya.

Persatuan Ulama Malaysia gesa rakyat terus boikot syarikat berkaitan Israel

Malaysiakini 

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menggesa rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa untuk terus memboikot syarikat yang dikaitkan menyokong Israel.

Presiden PUM, Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata boikot lebih daripada sekadar langkah ekonomi kerana ia mewakili pendirian moral menentang penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin dan bertujuan menyampaikan mesej jelas ke seluruh dunia.

“PUM menggesa rakyat Malaysia dan masyarakat global untuk terus menyokong boikot sebagai sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk menamatkan penderitaan di Gaza dan untuk mendesak keamanan yang berkekalan.

“Tanpa usaha-usaha ini, penderitaan yang dihadapi penduduk Gaza berkemungkinan besar menjadi lebih buruk, menjadikan penting untuk kita berpegang teguh kepada tekad kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Gesaan itu dikeluarkan sebagai respons kepada Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan yang dalam temu bual dengan Malaysiakini baru-baru ini mempersoalkan keberkesanan boikot terhadap syarikat yang dikaitkan dengan Israel, khususnya berhubung kesannya ke atas Gaza.

Menurut Wan Mohamad, keadaan di Gaza mungkin menjadi lebih buruk tanpa gerakan boikot, kerana ia menjadi mekanisme penting untuk mengehadkan sumber yang ada kepada mereka yang menguatkuasakan sekatan.

“Kenyataan yang dibuat oleh Duta AS itu bukan sahaja tersasar tetapi juga mencerminkan kurangnya pemahaman tentang implikasi etika dan moral yang mendalam daripada boikot itu.

“Pendirian sedemikian menjejaskan usaha global untuk membawa keadilan kepada rakyat Palestin dan memandang remeh penderitaan yang mereka alami setiap hari,” katanya.

Kagan, yang menegaskan bahawa kerajaan AS menghormati hak melakukan protes aman, berkata gerakan boikot dilihat sebagai tindakan simbolik yang lebih membawa kesan negatif kepada mereka yang bekerja di syarikat-syarikat tersebut.

Sebagai respons, BDS Malaysia hari ini menyangkal kenyataan Kagan dan menyatakan bahawa tindakan menggambarkan pendudukan di Palestin oleh Israel sebagai konflik antara dua pihak, dengan Amerika Syarikat berperanan sebagai perantara yang adil untuk mencapai perdamaian, tidak mencerminkan realiti sebenar.

Mangsa terowong runtuh ditemui selamat

KOSMO
TIGA pekerja diselamatkan di bawah runtuhan sebuah terowong di Thailand. - Foto Khaosod
BANGKOK – Tiga pekerja ditemui selamat selepas sebuah terowong runtuh di tapak pembinaan kereta api berkelajuan tinggi antara Bangkok dengan Nakhon Ratchasima, lapor laman berita Thaiger. 

Pasukan penyelamat bekerja tanpa henti untuk menyelamatkan mangsa-mangsa yang terperangkap pada kedalaman 6 meter selama beberapa hari.

Kejadian berlaku pada Sabtu lalu di tapak pembinaan terowong kereta api laju antara stesen Janthuek dan Klong Khananchit di daerah Pak Chong, Nakhon Ratchasima.

Runtuhan berlaku di dalam terowong ketiga yang menjangkau jarak 1.5 kilometer, pada lokasi kira-kira 600 meter dari pintu masuk. 

Terowong itu runtuh sekitar tengah malam.

Pada pukul 4.30 pagi (waktu tempatan) Isnin lalu, peralatan penyelamat mengesan nadi pekerja kira-kira 6 meter di bawah serpihan runtuhan, menunjukkan mereka masih hidup sebelum diselamatkan.

Tiga pekerja tersebut termasuk penyelia warga China, operator jengkaut dan pemandu trak dari Myanmar. – AGENSI

Jalan raya meletup secara tiba-tiba

KOSMO!
TANGKAP layar rakaman video menunjukkan letupan kuat berlaku di jalan raya di Bandar Anshan, wilayah Liaoning pada 17 Ogos lalu. – AGENSI
BEIJING  – Satu siri letupan besar berlaku pada saluran paip bawah tanah di utara China, menyebabkan penutup-penutup lurang melayang ke udara dan memusnahkan jalan raya, demikian menurut sebuah laman berita baru-baru ini.

Letupan menakutkan itu dirakam kamera papan pemuka sebuah kenderaan yang melalui lokasi kejadian.

Siri letupan itu dirakam di Bandar Anshan dalam wilayah Liaoning pada 17 Ogos lalu.

Ia menunjukkan letupan saluran paip bawah tanah menyebabkan penutup-penutup  lurang melayang setinggi beberapa meter, meninggalkan kawah ternganga di jalan raya. 

Jalan raya itu juga  menjadi  bergelung dan retak, mengakibatkan kerosakan yang  teruk.

Pihak berkuasa tempatan kemudian tiba di tempat kejadian untuk menilai keadaan dan memulakan kerja pembaikan.

Biro Pengurusan Kecemasan Daerah Tiexi mengeluarkan kenyataan mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca letupan. 

Syarikat Gas  Anshan juga mengeluarkan notis tentang pengurangan tekanan dalam saluran paip yang terjejas. Syarikat itu menjangkakan bekalan gas dapat disambung pada malam hari yang sama.

Walaupun punca sebenar letupan masih tidak diketahui, pakar-pakar berkata, cuaca  panas terik pada hari kejadian mungkin mencetuskan tindak balas ganas melibatkan gas metana dalam sistem pembentungan bawah tanah. 

Bagaimanapun, pihak berkuasa terus berusaha untuk membongkar kebenaran di sebalik kejadian membimbangkan itu. – AGENSI 

Gurau terlampau: Lelaki ‘bergurau’ sentuh pekerja stesen minyak

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan gadis itu ‘diraba’ ketika mengisi petrol ke dalam tangki motosikal milik lelaki berkenaan. - Instagram @memomedsos,
JAKARTA  – Seorang lelaki di Cianjur, wilayah Jawa Barat ditahan selepas melakukan gangguan seksual terhadap kakitangan sebuah stesen minyak yang sedang mengisi petrol ke dalam tangki motosikalnya, lapor saluran berita Tribunnews semalam. 

Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @memomedsos, lelaki itu dilihat mendekatkan dirinya kepada gadis terbabit.  

Dia kemudian ‘meraba’ punggung gadis itu sambil melemparkan senyuman kepadanya.

Kejadian berlaku di sebuah premis Pertashop di Jalan Raya Sukabumi. 

Pegawai polis tempatan, AKP Tono Listianto berkata, suspek ditahan di kediamannya sebelum dibawa ke Balai Polis Cianjur untuk disoal siasat. 

“Dia (suspek) mengaku meraba punggung mangsa, namun menganggap ia adalah satu gurauan,” kata Tono. 

Rakaman itu mendapat lebih 267,000 tontonan dan menimbulkan kemarahan netizen. 

“Kalau saya, sudah lama saya lempar minyak itu ke mukanya,” kata seorang netizen. – AGENSI

12 sekeluarga maut, rumah runtuh ketika tidur

BHarianonline 
Orang ramai yang terjejas banjir berjalan melepasi khemah sementara mereka di sepanjang tepi jalan selepas hujan monsun lebat di Hyderabad. - Foto AFP
Orang ramai yang terjejas banjir berjalan melepasi khemah sementara mereka di sepanjang tepi jalan selepas hujan monsun lebat di Hyderabad. - Foto AFP
PESHAWAR: Seramai 12 orang, termasuk seorang kanak-kanak maut apabila rumah didiami mereka musnah ditimbus tanah runtuh ekoran hujan lebat, hari ini.

Dalam kejadian di kawasan terpencil Patrak di daerah Upper Dir, wilayah Khyber Pakhtunkhwa di Pakistan, semua mangsa maut ketika mereka sedang tidur dalam rumah berkenaan.

Ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif mangsa yang maut akibat insiden berkaitan hujan sejak musim monsun bermula Julai lalu, meningkat kepada lebih 300 orang.

Jurucakap perkhidmatan penyelamat 112, Bilal Faizi, berkata kediaman itu musnah sepenuhnya akibat kejadian terbabit, menyebabkan 12 sekeluarga yang mendiami rumah berkenaan terkorban.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Pakistan berkata, ribut petir diramal berlaku sepanjang hari ini, selain hujan lebat di sebahagian besar kawasan di negara itu sejak semalam.

Pihak berkuasa bencana wilayah Sindh pula berkata, ribut siklon dijangka melanda pantai selatan, membawa hujan lebat dan kemungkinan banjir.

Berdasarkan angka rasmi, kebanyakan kes kematian berlaku di barat laut Khyber Pakhtunkhwa dan wilayah Punjab berdekatan.

Agensi pengurusan bencana Punjab dalam kenyataan berkata, kematian akibat petir, kejutan elektrik, dan runtuhan lumpur atau rumah usang.

Pada akhir Julai lalu, 11 sekeluarga maut di Khyber Pakhtunkhwa apabila ruang bawah tanah rumah mereka dibanjiri air hujan ketika sedang tidur.

Monsun musim panas membawa 70 hingga 80 peratus jumlah taburan hujan tahunan Asia Selatan, antara Jun hingga September, yang penting bagi mata pencarian jutaan petani di kawasan dengan populasi kira-kira dua bilion orang itu.

Namun, ia turut mengakibatkan kejadian tanah runtuh dan banjir, dengan saintis menyatakan perubahan iklim menyebabkan hujan bermusim menjadi lebih lebat dan tidak menentu.

Pakistan masih berusaha untuk pulih daripada banjir yang menenggelamkan hampir satu pertiga negara itu pada 2022, dan menjejaskan lebih 33 juta orang. - AFP

Usaha mencari mangsa tragedi tanah jerlus di Jalan Masjid India dihentikan

SAR mangsa tragedi tanah jerlus di Jalan Masjid India dihentikan

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my
Pekerja kontrak melakukan kerja penyenggaraan paip dibawah tanah di beberapa sekitar kawasan Masjid India berikutan ada beberapa jalan dikawasan berkenan tidak rata dan mendap berikutan kejadian tanah jelus yang membabitkan seorang mangsa.
Pekerja kontrak melakukan kerja penyenggaraan paip dibawah tanah di beberapa sekitar kawasan Masjid India berikutan ada beberapa jalan dikawasan berkenan tidak rata dan mendap berikutan kejadian tanah jelus yang membabitkan seorang mangsa.
Kuala Lumpur: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah jerlus membabitkan wanita warga India di Jalan Masjid India di sini dihentikan serta-merta.

SAR yang memasuki hari kesembilan hari ini sudah menggunakan pelbagai kaedah pencarian seperti teknik 'flushing', 'jetter' dan alat pengesan bawah tanah atau Radar Pengesan Bawah Tanah (GPR), penggunaan kamera dan alat robotik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, keputusan diambil rentetan laporan kepada Jemaah Menteri mengenai kejadian yang berlaku.

Menurutnya, berdasarkan dapatan dikemukakan pihak di lokasi khususnya pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mengetuai SAR.

"Kita sudah terima laporan, apa yang menyebabkan kita tidak boleh teruskan adalah isu keselamatan.

"Pertama keselamatan kepada anggota dan pasukan yang turun ke bawah dari sudut kesihatan dan arus yang deras yang boleh bahayakan keselamatan anggota dan keselamatan kawasan sebagai contoh mendapan kedua yang membimbangkan kita.

"Kita juga perlu segera menyambung aktiviti di sini, kita tidak mengetepikan keselamatan umum dan pengunjung di Jalan Masjid India ini, kita akan teruskan 'search and recovery'," katanya pada sidang media di Jalan Masjid India, di sini, hari ini.

Menurutnya, tindakan selanjutnya akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Antaranya adalah pemetaan utiliti dan kajian struktur tanah yang akan dilaksanakan di seluruh Kuala Lumpur.

"Selain itu, sesi libat urus antara peniaga juga akan dilaksanakan bagi menyambung kembali aktiviti di kawasan ini, pihak DBKL juga diminta melakukan kerja pembaikan semula,"katanya.

Dr Zaliha berkata, kawasan dari Pintu Gerbang sehingga ke Pasaraya Mydin dengan jarak 100 meter akan dipastikan tidak dilalui oleh pengunjung bagi kerja pemulihan dan pembinaan semula.

"Selapas ini mana-mana bangunan perlu melaporkan geoteknikal. Laporan penuh tragedi ini juga akan dibentangkan kepada jemaah menteri.

"Orang ramai turut diminta mendapatkan berita sahih dari pihak berautoriti. Saya menegaskan Kuala Lumpur berada dalam keadaan selamat, kita akan berbincang dengan pakar geologi secara berkala,"katanya.

Macam mana motosikal berkuasa tinggi ini boleh tersangkut celah pagar kedai kopi

KOSMO!
SEBUAH motosikal tersangkut ada palang sebuah pagar di Pattaya. - Foto Thaiger
BANGKOK – Sebuah motosikal berkuasa tinggi tersangkut di celah pagar sebuah kedai kopi di Pattaya, Thailand, namun tiada mangsa yang cedera, lapor portal berita Thaiger semalam.

Dalam kejadian yang berlaku pada Isnin lalu, motosikal tersebut ditunggang oleh dua pelancong China.

Polis Pattaya menerima laporan mengenai kemalangan tersebut sebelum anggota-anggotanya bergegas ke tempat kejadian di samping pasukan penyelamat sukarelawan.

Menurut laporan polis, dua pelancong China dipercayai pasangan suami isteri, hilang kawalan sebelum merempuh pagar kedai kopi berkenaan. 

Ia menyebabkan tayar hadapan motosikal tersebut tersangkut di celah pagar.

Pembonceng wanita dilaporkan terjatuh di atas jalan tetapi dia diselamatkan individu lain.

Pemilik kedai kopi itu berkata, pasangan berkenaan bersetuju untuk membayar ganti rugi ekoran kerosakan pagar tersebut. – AGENSI

Pesakit warga asing mengangkut tilam bersamanya ketika discaj dari hospital (Gambar)

‘Dengan tilam-tilam pesakit angkut balik’

KOSMO!
Tangkap layar memaparkan seorang lelaki membawa keluar tilam selepas discaj di sebuah hospital.
PETALING JAYA – ‘Dengan tilam-tilam pesakit angkut balik, kata sudah bayar bil hospital,” tulis Arein Shaiz di kapsyen Reels Facebooknya.

Menerusi perkongsian video Reels itu, kelihatan pesakit warga asing dilihat mengangkut tilam bersamanya ketika discaj dari hospital tersebut.

Tindakan lelaki warga asing itu mengundang riuh tawa dan terkejut dalam kalangan kakitangan di situ dan mereka menghalangnya membawa keluar tilam tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna geli hati melihat perbuatan lelaki itu dan masing-masing menjadikannya bahan jenaka.

“Nasib baik dia bawa tilam, kaluar diangkut sekali dengan ‘nurse’kan lagi haru,” seloroh Hamzah Hassan.

“Hilang stres ‘nurse-nurse’ di sana ‘confirm’ satu minggu punya cerita,” kata Star Cool.

“Hahahaha dia dah bayar tu. Sebab tu dia nak bawa balik. Ingat dah jadi milik dia,” komen Anuar Dizayy.

Sehingga kini, video tersebut meraih 5800,000 tanda suka dan ulang siar (respost) sebanyak 1,200. – KOSMO! ONLINE

Warga Bangladesh dicekup jual burung

Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
PEGAWAI WCU Perhilitan menyoal siasat suspek warga Bangladesh yang dikesan menjalankan aktiviti penjualan burung liar dilindungi. FOTO Ihsan Perhilitan
PEGAWAI WCU Perhilitan menyoal siasat suspek warga Bangladesh yang dikesan menjalankan aktiviti penjualan burung liar dilindungi. FOTO Ihsan Perhilitan
Kuala Lumpur: Tidak sekadar aktif menjual pakaian atau berniaga runcit malah pendatang Bangladesh di negara ini turut dikesan menceburi aktiviti jenayah pemerdagangan haiwan liar dilindungi.

Warga asing yang sudah 'berevolusi' ini dikesan meraih keuntungan besar melalui aktiviti haram penjualan unggas selain jadi pembekal kepada negara jiran.

Terbaharu seorang lelaki warga Bangladesh diberkas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia selepas dikesan memiliki pelbagai spesies unggas dilindungi.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi membanteras jenayah pemerdagangan haiwan liar dilindungi menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) diketuai pegawai Wildlife Crime Unit (WCU) Perhilitan Celescoriano Razond.

Beliau berkata, serbuan dilakukan di sebuah premis di Pasir Gudang, Johor pada jam 6 petang kelmarin.

"Seorang lelaki Bangladesh yang juga pemilik premis ditahan untuk soal siasat.

"Pemeriksaan lanjut kemudian menemui empat ekor burung sun conure tidak matang disimpan di dalam akuarium.

"Turut ditemui seekor burung rose-ringed parakeet, dua burung fischer's lovebird, tiga burung mata putih, seekor burung murai batu, dua burung rainbow lorikeet, seekor burung white crowned shama dan seekor burung murai batu," katanya.

Menurutnya, suspek yang disoal siasat gagal menunjukkan lesen atau permit bagi menyimpan hidupan liar berkenaan.

"Malah suspek mengaku menjual burung murai batu yang dilesenkan sebagai lesen menyimpan.

"Suspek didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [AKTA 716]. Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Seri Alam untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, semua burung liar dilindungi bernilai hampir RM100,000 itu kemudian disita untuk bukti pendakwaan.

Wanita berusia 28 tahun yang ditemui mati di rumahnya diklasifikasikan kes bunuh

Asol Awang
bhnews@bh.com.my

KUANTAN: Seorang suri rumah berusia 28 tahun yang ditemui mati di rumahnya di Indera Mahkota, di sini pada 14 Ogos lalu, meninggal dunia akibat tekanan pada leher.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata kes itu dikaitkan dengan unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

"Berdasarkan laporan bedah siasat, terdapat tekanan pada leher yang menyebabkan mangsa meninggal dunia. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan suspek dan motif kejadian itu," katanya.

Yahaya ditemui media pada Seminar Cakna Anti-Scam (Kenapa Terus Jadi Mangsa) peringkat Pahang 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Afzan di sini, hari ini.

Dalam kejadian 14 Ogos lalu, mangsa yang pada mulanya dilaporkan hilang ditemui mati di dalam rumahnya di Indera Mahkota.

Tiada kesan pecah masuk rumah tetapi telefon bimbit dan kunci kereta milik mangsa didapati hilang.

Berikutan kes itu, empat individu yang juga ahli keluarga mangsa berusia antara 27 dan 62 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Boleh buat yang dalam video tak?

Mohsin Abdullah

Lazimnya tiba Ogos kita disajikan pelbagai video yang menunjukkan rakyat berbilang bangsa dan agama cukup berharmoni. Semuanya indah belaka.

Orang Melayu tak makan babi tapi makan lembu. Orang Cina boleh makan babi. Orang India pula yang majoritinya beragama Hindu tak makan lembu. Kalau nak diikutkan nak duduk makan semeja pun rakyat Malaysia tidak boleh.

Tapi realitinya kita boleh. Kerana apabila makan bersama sajian yang dipesan ialah makanan yang boleh dinikmati semua, ertinya yang tidak boleh dimakan kita ketepikan. Sekurang-kurangnya buat seketika. Ada tolak ansur dan toleran.

Tolak ansur serta toleran yang dijadikan amalan dalam menjalani hidup sebagai rakyat Malaysia. Most of the time until now. Namun ada rasa tidak puas hati, kecewa malah marah tentang bermacam isu. Tidak boleh dinafikan bukan semuanya bagai fairy tale.

Beberapa hari lalu timbul komik yang bertujuan mengajar kanak kanak akan agama yang mereka anuti tetapi dilihat melukai dan juga menimbulkan kemarahan penganut agama lain. Sebelum ini timbul soal universiti yang dianggap dikhaskan kepada golongan Bumiputera diminta membuka pintu kepada pelajar bukan Bumiputera untuk pengajian tertentu. Serta merta dibantah ramai dalam kalangan Bumiputera (baca: Melayu) dan dijadikan isu ras walaupun baharu dicadang. Cadangan pun membabitkan satu jurusan.

Banyak lagi isu yang tidak membantu perpaduan rakyat. Jika hendak disenaraikan artikel ini akan berjela-jela. Cuma ingin menyebut satu isu yang potentially divisive yang timbul kebelakangan ini, membabitkan pendirian Malaysia terhadap konflik di Gaza.

Sejak dahulu dasar negara terhadap isu pembebasan Palestin jelas. Negara memang pro-Palestin dan anti-Israel kerana keganasan dan kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Palestin.

Tetapi baru-baru ini apabila kerajaan yang ada sekarang mengambil langkah pro-Palestin yang ketara, ada kalangan rakyat yang kurang senang. Mungkin mereka tidak suka akan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim. Bagi saya itu bukan masalahnya. Itu hak mereka nak suka atau nak benci sesiapa. Tetapi apabila sentimen anti-Anwar dikaitkan dengan sentimen anti-Palestin ini bagi saya agak menyedihkan.

Secara am yang tidak suka Malaysia berbaik dengan Hamas adalah kalangan bukan Melayu. Mereka senada dengan kebanyakan negara Barat yang melabel Hamas pertubuhan pengganas. Majoriti orang Melayu pula berpendapat berbeza. Hamas tidak dilihat sebagai pengganas. Bagi orang Melayu, rakyat Palestin wajib ditolong. Bagi beberapa orang lain, charity begins at home. Keadaan ini seperti disebut tadi berpotensi merenggangkan hubungan antara kaum, lantas membimbangkan.

Mujur ada aktivis seperti Tian Chua dan rakan-rakan yang pro-Palestin. Bukan mahu memuji tetapi pembabitannya dan rakan-rakan menunjukkan bukan semua orang bukan Melayu tidak suka rakyat Palestin dibantu. Hakikatnya ada golongan bukan Melayu yang berpendirian sama dengan orang Melayu.

Tetapi hakikatnya juga ada segelintir orang Melayu yang tidak suka kerajaan membantu Palestin. Berlebih-lebih untuk score political points, kata mereka.

Lazimnya tiba Ogos kita disajikan pelbagai video yang menunjukkan rakyat berbilang bangsa dan agama cukup berharmoni. Semuanya indah belaka. Tidak ada rasis, tidak ada religious extremism. Itu sekadar paparan indah dalam dunia video. Persoalannya bolehkah keindahan dan keharmonian yang dipamerkan menjadi reality? Mahukan kita mencapai apa yang dipaparkan?

Saya tutup dengan mengulangi apa yang disampaikan khutbah Jumaat semalam. Walaupun ia ditujukan kepada umat Islam yang datang ke masjid untuk mendirikan sembahyang, saya kira ada juga mesej yang sesuai untuk setiap rakyat walau apa agama dan bangsanya.

Khatib menyatakan nikmat kemerdekaan harus disyukuri dengan meningkatkan ketakwaan kepada Allah serta melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Ini sememangnya ditujukan kepada Muslim.

Seterusnya Khatib menyatakan pesanan yang bagi saya boleh dihayati oleh non-Muslim juga. Berbunyi begini:

“Malaysia merupakan bumi bertuah yang memiliki banyak keistimewaan. Maka pelihara sebaiknya dengan terus memelihara perpaduan dan toleransi dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

Marilah kita gembleng seluruh daya dan tenaga dan usaha kita dan turut menyumbang kepada pembangunan negara dalam apa apa jua aspek demi kemakmuran dan kesejahteraan tanah air tercinta.

Not easy but not impossible.

Selamat Hari Kebangsaan Malaysia.

Polis tembak mati penjenayah miliki 16 rekod jenayah

Amirul Aiman Hamsuddin
bhnews@bh.com.my
Seorang lelaki yang mempunyai 16 rekod jenayah lalu ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis dalam kejadian di Jalan Bandar Bukit Beruntung, Rawang di sini, malam tadi.
Seorang lelaki yang mempunyai 16 rekod jenayah lalu ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis dalam kejadian di Jalan Bandar Bukit Beruntung, Rawang di sini, malam tadi.
HULU SELANGOR: Seorang lelaki yang mempunyai 16 rekod jenayah maut selepas berbalas tembakan dengan polis di Jalan Bandar Bukit Beruntung, dekat Rawang di sini, malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata dalam kejadian jam 9.33 malam itu, suspek berusia 36 tahun terbabit enggan memberhentikan kenderaan ketika diarah berbuat demikian sambil melepaskan tembakan ke arah polis.

"Sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berbalas tembakan dengan suspek menyebabkan lelaki itu maut di lokasi kejadian," katanya.

Hussein berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60641223," katanya.

Terdahulu, tular foto serta video memaparkan maklumat berhubung kejadian itu.

Gila!! Sanggup berdiri tanpa seurat benang untuk menang iPhone

KOSMO!
L
EMPAT orang termasuk gadis sanggup berbogel untuk memenangi iPhone. - Foto East2West
MOSCOW – Perbuatan empat orang termasuk dua wanita menanggalkan pakaian di hadapan orang ramai untuk mendapatkan peluang memenangi telefon pintar iPhone telah mencetuskan kemarahan di Russia, lapor portal berita MailOnline semalam.

Kejadian itu berlaku di sebuah kelab malam bawah tanah di wilayah Astrakhan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menyerbu dan memaksa empat individu terbabit dan mengancam mereka dengan hukuman penjara. 

Kejadian berlaku ketika penganjur meminta dua lelaki dan dua wanita pergi ke hadapan kelab dan mereka mula menanggalkan pakaian masing-masing. 

Satu rakaman video menunjukkan tiga daripada mereka gelisah berbogel, manakala seorang wanita berusia 22 tahun gembira menanggalkan pakaian untuk mendapatkan peluang memenangi iPhone.

Pihak berkuasa menahan empat orang yang tidak berpakaian itu dan beberapa individu lain yang membantu mengatur acara tersebut.

Seorang wanita berkenaan terpaksa membuat permohonan maaf di hadapan pengunjung kelab.

“Saya sangat menyesal atas apa yang saya lakukan. Perbuatan saya adalah tidak bermoral dan tidak normal sama sekali. Saya sangat malu kerana saya melakukannya,” katanya. – AGENSI

Ebit Lew minta saksi padam mesej melalui WhatsApp

Bernama

Seorang wanita hari ini memberitahu Mahkamah Majistret di Tenom bahawa beliau diminta oleh Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, untuk memadam mesej di aplikasi WhatsApp antara mereka kerana terdapat laporan berkaitan gangguan seksual melibatkan pendakwah itu.

Wanita berusia 40-an itu, selaku saksi kesembilan pendakwaan yang juga pengadu kes tersebut, berkata Lew turut memberitahunya menerusi mesej WhatsApp pada 30 Julai 2021 bahawa telefon bimbit milik pendakwah berkenaan akan dirampas oleh pihak polis.

Peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili Lew, menyoal saksi adakah beliau bersetuju bahawa laporan forensik akan dapat mengenal pasti mesej itu.

Di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani, saksi itu bersetuju kerana beliau tidak memadam mesej itu.

Saksi juga memaklumkan bahawa beliau menggunakan satu lagi telefon bimbit iaitu telefon yang dikhaskan bagi kegunaan rumah untuk menyambung aktiviti bermesej dengan Lew selepas menerima permintaan tersebut.

Bagaimanapun, wanita itu tidak menyerahkan telefon tersebut kepada polis kerana hanya terdapat mesej WhatsApp yang berkisar tentang laporan terhadap Lew dan tidak mengandungi gangguan seksual pendakwah tersebut terhadap dirinya.

Kepada soalan lain, saksi itu bersetuju sepanjang Mei 2021 tiada rekod bahawa beliau menghantar gambar atau mesej kepada Lew kerana gambar bahagian dadanya terdedah diambil semasa panggilan video manakala mukanya dipadam.

Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan disambung pada Selasa depan.

- Bernama

Persenda pakaian muslimah: Imej wanita berpurdah terjun tiruk, polis cari Rayn Azzaro

Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@bh.com.my
Hantaran dimuat naik pemilik akaun, Ryan Azzaro yang memaparkan wanita mengenakan burqa iaitu pakaian berwarna hitam terjun ke kolam. - Foto tular
Hantaran dimuat naik pemilik akaun, Ryan Azzaro yang memaparkan wanita mengenakan burqa iaitu pakaian berwarna hitam terjun ke kolam. - Foto tular
KUALA TERENGGANU: Polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung hantaran di Facebook yang didakwa mempersendakan pakaian yang menjadi syariat wanita Muslim.
-Advertisement-
Ads by

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata laporan yang dibuat Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Terengganu di Balai Polis Kuala Terengganu itu diterima pihaknya jam 3.35 petang semalam.

Setakat ini, tiada laporan berkait isu sama dibuat di daerah lain dan pihaknya akan membuat permohonan segera kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mendapatkan pemilik sebenar akaun Facebook yang bernama 'Ryan Azzaro' itu.

"Siasatan sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Orang ramai juga dinasihatkan tidak menjadikan isu 3R (agama, kaum dan raja) sebagai satu sentimen politik, gurauan serta usikan dan tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang berbuat demikian," katanya.

Azli berkata, berdasarkan laporan diterima pihaknya sebelum ini, pengadu melihat satu hantaran di Facebook yang menggunakan nama 'Ryan Azzaro' yang mengandungi imej dihasilkan menggunakan teknologi AI menunjukkan seorang wanita berpurdah sedang melakukan aksi melompat ke kolam renang dengan kapsyen " Wellcome to Afganu " kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Beliau berkata, pengadu merasakan kiriman itu memperlekehkan simbol agama Islam dan dasar kerajaan Negeri Terengganu yang tegas mempertahankan pematuhan syariat khusus berkaitan aurat dalam sukan.

Menerusi laporan itu, katanya, pengadu mengatakan hantaran itu berbaur penghinaan terhadap agama Islam yang secara tidak langsung menjejaskan keharmonian masyarakat negara ini.

"Pengadu beranggapan hantaran itu dibuat ekoran arahan Kerajaan Negeri Terengganu yang melarang atlet wanita menyertai acara terjun dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 kerana pakaian tidak mematuhi syariah.

"Pengadu memaklumkan tindakan suspek bukan saja mencabar keputusan kerajaan negeri malahan menyentuh sensitiviti agama yang bertentangan dengan kempen 3R yang sedang ditekankan kerajaan Persekutuan.

"Hantaran dibuat suspek iaitu wanita memakai purdah sedang membuat terjunan ke kolam, melanggar prinsip kempen 3R kerana ia menyentuh isu agama dengan menghina simbol keagamaan yang dipakai oleh wanita Islam," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial sebuah hantaran memaparkan wanita mengenakan burqa iaitu pakaian berwarna hitam yang menutup seluruh badan sedang membuat aksi terjunan.

Hantaran itu dipercayai mengaitkan kontroversi penyertaan dua penerjun wanita beragama Islam mewakili Terengganu pada SUKMA di Sarawak yang tidak mendapat kebenaran kerajaan negeri.

Gangguan seksual: Polis siasat pegawai bank

Polis siasat pegawai bank disyaki laku gangguan seksual

FMT Reporters

Mangsa, wanita berusia 38 tahun, membuat laporan mendakwa diganggu secara seksual oleh pegawai atasannya berusia 52 tahun pada 2021.

Ketua Polis Perak Azizi Mat Aris berkata, setelah siasatan lengkap, pihaknya akan merujuk kertas siasatan kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Polis sedang menyiasat pegawai operasi sebuah bank di Bercham, Ipoh, berhubung gangguan seksual terhadap seorang kerani wanita yang bekerja di cawangan sama.

Ketua Polis Azizi Mat Aris berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 38 tahun itu pada 16 Ogos lepas, mendakwa diganggu secara seksual oleh lelaki berusia 52 tahun di bank terbabit pada 2021.

Polis sudah merakam percakapan mangsa dan suspek, katanya, lapor Harian Metro.

Pihak polis sedang melengkapkan siasatan kes dan akan merujuk kertas siasatan kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Azizi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan membabitkan tingkah laku mengaibkan kehormatan seseorang.

Sementara itu, beliau berkata, polis mengesan satu video tular memaparkan demonstrasi disertai kira-kira 120 individu anjuran Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (Nube) di hadapan premis bank di Taman Tasek Indera.

Katanya, demonstrasi kelmarin tu bertujuan menyuarakan perasaan tidak puas hati atas kegagalan pengurusan bank mengambil tindakan terhadap pegawai operasi yang melakukan gangguan seksual terhadap seorang kakitangannya.

Perhimpunan itu berjalan dengan aman tanpa sebarang pergaduhan atau kekecohan, kata Azizi, menasihati orang ramai agar tidak melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

Terdahulu dilaporkan Nube mendakwa mangsa digantung tugas kerana melaporkan salah laku pegawai atasannya kepada pengurusan bank.

Pelakon lelaki popular ini dedah pernah ikut ajaran sesat Millah Abraham

SITI NUR ZAWANI

Seorang pelakon lelaki mendedahkan kisah hitamnya apabila pernah terjebak dengan ajaran sesat Millah Abraham ketika sedang hangat bercinta dengan kekasihnya.

Pelakon itu, Pablo Amirul berkata, dia mengikuti ajaran itu selama dua tahun kerana cinta sebelum akhirnya tersedar perbuatan itu adalah salah.

Mendedahkan perkara itu di Instagram, Pablo berkata dia tidak mahu lebih ramai menjadi mangsa ajaran itu dan berharap kisahnya menjadi pengajaran kepada masyarakat agar lebih berhati-hati dalam mencari Tuhan.

“Saya mengikuti dan percaya akan ajaran itu kerana cinta. Selepas tersedar baru saya tahu apa yang dilakukan itu adalah salah.

“Sebab cinta saya menjual akidah, satu perkara yang tidak patut saya lakukan. Orang di luar sana senanglah cakap kerana tidak terkena batang hidung mereka sendiri.

“Asbab Allah pilih saya untuk mengalami, menjalani dan mendedahkan perkara ini kepada orang ramai. Jadikan apa yang saya lalui sebagai sempadan dan tauladan” kata Pablo.

Biarpun dilihat seolah-olah menjadi ‘kambing hitam’ Pablo tidak kisah demi menyelamatkan lebih ramai orang daripada terperangkap dengan ajaran sesat Millah Abraham.

“Jika pendedahan saya membongkar kebenaran dan menyebabkan pelbagai pihak terpanggil untuk mengkaji permasalahan ini baguslah.

“Saya hanya lakukan untuk membantu ummah dan mempertahankan agama kita. Kalau apa yang saya lakukan beri ancaman kepada pihak di sana (ajaran sesat) saya tidak boleh lakukan apa-apa,” katanya lagi.

Pablo yang kini telah kembali ke agama Islam berkongsi kesilapannya kerana tidak merujuk terlebih dahulu golongan arif dalam bidang agama ketika mencari Tuhan.

Oleh itu, dia berharap orang ramai berhati-hati kerana ajaran sesat seperti Millah Abraham dan fahaman lain masih berleluasa di luar sana.

“Saya telah melalui kedua-duanya (ajaran sesat dan agama Islam), sekarang apa yang saya nampak kebenarannya adalah agama Islam yang diajar kepada kita. Saya kembali melakukan solat lima waktu,” kata Pablo.

Ajaran Millah Abraham atau Millah Ibrahim itu difatwakan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

'PAS berisiko pecah jika sertai kerajaan perpaduan'

N Faizal Ghazali

Penganalisis politik berpendapat sekiranya PAS menyertai kerajaan perpaduan parti itu berisiko berdepan perpecahan dan kehilangan sokongan besar pengundi tradisi mereka.

Pensyarah sains politik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSza) Hussain Yusri Zawawi berkata dalam konteks semasa langkah tersebut adalah tidak rasional bagi PAS menyertai kerajaan diterajui PH dan BN, lebih-lebih jika ia meninggalkan PN.

Malah menurutnya jika keputusan untuk menyertai kerajaan perpaduan yang turut melibatkan DAP atau parti-parti lain yang tidak selari dengan ideologi PAS ia akan dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan.

"Sejarah politik PAS menunjukkan bahawa penyokong parti ini sangat sensitif terhadap sebarang bentuk kompromi yang dianggap melemahkan prinsip-prinsip Islam.

"Sebagai contoh, penyertaan PAS dalam Pakatan Rakyat suatu ketika dahulu telah menyebabkan beberapa ketegangan dalaman parti, terutama apabila PAS dilihat terpaksa berkompromi dengan DAP dalam isu-isu penting.

"Meskipun akhirnya Pakatan Rakyat berpecah, pengalaman tersebut menjadi satu pengajaran bagi PAS tentang risiko menyertai gabungan yang terlalu berbeza dari segi ideologi.

"Dalam konteks ini, menyertai kerajaan perpaduan boleh menyebabkan PAS kehilangan sokongan daripada sebahagian besar pengundi tradisi mereka.

“Ini bukan sahaja akan menjejaskan kedudukan politik PAS, tetapi juga boleh menyebabkan perpecahan dalaman dalam parti, akhirnya merugikan PAS untuk jangka masa panjang," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin yang mengakui terdapat usaha daripada pihak tertentu mempelawa parti mereka bersama dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, perkara itu juga ada dibangkitkan pada Majlis Syura Ulama PAS, namun secara sepintas lalu dan belum ada sebarang keputusan muktamad.

Menurut Hashim, perkara itu akan diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat.

Untuk rekod, PAS juga mengalami perpecahan selepas meninggalkan Pakatan Rakyat dan berlarutan dengan beberapa isu menyebabkan sebahagian pemimpin utamanya keluar daripada parti itu yang kini membentuk Amanah.

Hussain Yusri menyifatkan faktor keberadaan DAP dalam kerajaan perpaduan menjadi penghalang utama untuk PAS menjadi sebahagian parti kerajaan.

Katanya, PAS sering kali menyuarakan kebimbangan terhadap dasar-dasar dan pendirian DAP yang dianggap tidak selari dengan perjuangan mereka.

"Ketegangan antara kedua-dua parti ini telah berlarutan selama bertahun-tahun dan telah menjadi salah satu sebab utama kenapa PAS memilih untuk tidak lagi bersama dalam gabungan yang melibatkan DAP.

"Oleh itu secara prinsip, adalah mustahil bagi PAS untuk menyertai kerajaan perpaduan yang melibatkan DAP," jelasnya.

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia, Nur Ayuni Mohd Isa, pula berpendapat lebih baik PAS kekal sebagai pembangkang sehingga PRU ke-16 nanti.

Dalam konteks semasa, jelasnya, PAS lebih signifikan memainkan peranan utama sebagai pembangkang dalam proses semak dan imbang serta berfungsi untuk mengehadkan kuasa majoriti daripada bertindak tanpa mengambil kira pandangan atau kepentingan pihak lain.

"Tujuannya antara lain adalah bagi memastikan suara pembangkang didengari dalam proses penggubalan undang-undang.

"PAS dan PN dapat membantu meningkatkan kualiti pembuat keputusan serta mencegah tingkah laku yang mungkin mengancam integriti dalam pentadbiran," katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Ayuni, PAS sudah tujuh kali terlibat dalam kerjasama politik dengan pelbagai latar belakang parti politik.

Katanya, walaupun tidak mustahil bagi PAS untuk membuat kerjasama politik yang baru, keadaan sekarang agak berat untuk PAS mengabaikan kerjasama dengan Bersatu dan Gerakan dalam PN.

"Lagipun parti-parti yang ada dalam kerajaan perpaduan kini semuanya pernah bekerjasama dengan PAS.

“Tetapi PAS sebuah parti yang tidak akan tinggalkan kerjasama politik tanpa sebab yang kukuh," katanya.

Merajuk kena marah, pemuda lari ke hutan sesat 2 jam

FMT Reporters

Pesakit psikiatri itu sesat selepas lari ke kawasan hutan berhampiran rumahnya di Taman Belimbing Harmoni, Alor Gajah malam tadi.
Anggota bomba membawa mangsa yang juga pesakit psikiatri keluar dari kawasan hutan selepas tersesat hampir dua jam. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Seorang pesakit psikiatri tersesat hampir dua jam di kawasan hutan berhampiran rumahnya di Taman Belimbing Harmoni, Alor Gajah malam tadi.

Kejadian dipercayai berlaku apabila pemuda berusia 20 tahun itu merajuk akibat dimarahi sebelum masuk ke kawasan hutan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Mohamad Hamizan Mohd Husin, berkata pihaknya menggerakkan lapan anggota bersama sebuah jentera untuk membantu mencari mangsa.

Katanya, pihaknya bergerak ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 9.06 malam.

“Mangsa ditemukan ketakutan di kawasan curam di hutan berkenaan selepas lebih setengah jam pencarian dilakukan.

Mangsa dibawa keluar dari hutan berkenaan dan dihantar pulang, katanya, menurut Berita Harian.

Menurutnya, mangsa disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kegiatan seks bertukar pasangan, polis tahan 36 individu

Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Penjawat awam dan pelajar institusi pengajian tinggi antara 36 yang dtahan kerana disyaki terbabit aktiviti persundalan seks bebas dengan bertukar pasangan atau 'swinger' yang dipromosi secara dalam talian.

Kesemua mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di ibu negara dan Puchong, Selangor pada Ahad dan Selasa lalu oleh Polis Diraja Malaysia bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus, berkata serbuan dijalankan susulan risikan yang dijalankan sejak Jun lalu dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Katanya, dua daripada 36 individu yang ditahan itu, dua daripadanya adalah pemilik laman sesawang 'Swing That Fun' yang dikesan mempromosi kegiatan persundalan secara dalam talian dan mampu meraih 147,000 pelanggan atau 'subscriber'.

"Melalui risikan yang dijalankan, kita dapati laman sesawang itu adalah platform mencari kenalan, berkongsi kandungan lucah, menyediakan perkhidmatan seks dan lain lain dengan pakej berbayar.

"Kita kemudian mengesan satu kumpulan yang menganjurkan aktiviti ini (seks bebas bertukar pasangan) dan telah mempromosikan aktiviti persundalan itu dan membentuk komuniti seks bebas bagi tujuan keseronokan dan meraih keuntungan," katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Hasil risikan itu, katanya dua operasi serbuan dijalankan dengan serbuan pertama dijalankan kira-kira jam 8.30 malam Ahad lalu, bersama pihak JAWI di sebuah kondominium di Mont Kiara, Sentul di sini.

"Kita telah menahan sekumpulan individu yang dinamakan sebagai 'Pet GB (Pet Gang Bang) dan dalam serbuan itu, seramai 34 orang ditangkap membabitkan warganegara tempatan dan asing.

"Mereka terdiri daripada 18 wanita dan 11 lelaki tempatan, serta lima warga asing terdiri daripada masing-masing satu lelaki warga Perancis, China, Nigeria, Republik Czech dan seorang wanita warga Filipina. Semua yang ditahan berusia antara 19 hingga 41 tahun,"katanya.

Tambah beliau, semakan mendapati antara warga tempatan yang ditahan ini ada yang terdiri daripada pelajar pusat pengajian tinggi, penjawat awam serta pekerja syarikat swasta.

"Semakan turut mendapati dua daripadanya mempunyai rekod jenayah atas kesalahan mencuri, mencederakan orang tanpa senjata dan ugutan jenayah," katanya.

Dalam operasi kedua pada jam 2.15 petang Selasa lalu, katanya polis menyerbu sebuah kondominium di Puchong, Selangor dan menahan dua lelaki, masing-masing seorang warga Singapura dan warga tempatan yang dipercayai berperanan sebagai pemilik laman sesawang, penganjur aktiviti persundalan dan juga pemilik akaun bank keldai yang menerima bayaran daripada pelanggan.

"Kita turut membuat rampasan antaranya sejumlah wang tunai, peralatan komputer, telefon bimbit serta peralatan seks.

"Modus operandi kumpulan ini ialah dengan berselindung di sebalik laman sesawang itu yang menawarkan khidmat mencari kenalan dan mencari keuntungan.

"Kita dapati setakat ini, pelanggan mereka melalui akaun keldai yang diwujudkan ini telah mengumpul 147,000 ahli (pelanggan), dan kebanyakannya adalah rakyat Malaysia. Ini yang cukup membimbangkan kita," katanya.

Fadil berkata pembayaran untuk langganan akaun dibuat melalui kaedah pembayaran dalam talian ke satu akaun bank milik satu lelaki tempatan dipercayai akaun keldai.

"Untuk menjadi ahli, subscriber perlu membayar RM388, dan untuk membentuk komuniti melakukan aktiviti seks bebas dikenakan yuran penyertaan RM400 seorang.

"Bayaran sebanyak RM350 pula akan dikenakan kepada ahli yang mahu menyertai aktiviti bersama pasangan, dan mereka bersama-sama bole menyertai aktiviti 'swing' (bertukar pasangan seks)," katanya.

Bagaimanapun, katanya setiap peserta yang mahu menyertai aktiviti itu, penganjur akan 'menapis' peserta melalui satu temuduga melalui panggilan video.

Dalam pada itu, katanya siasatan mendapati penganjur akan kerap menukar lokasi aktiviti bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, penduduk setempat dan pihak pengurusan kondominium.

"Aktiviti akan dimaklumkan sehari sebelum tarikh ditetapkan dan penganjur akan menyediakan tentatif kepada peserta seperti sesi suai kenal seterusnya menjalankan aktiviti seks secara berkumpulan dalam tiga bilik berasingan," katanya.

Menurut Fadil, kesemua tangkapan ditahan reman dengan pertuduhan dicadangkan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan iaitu mempromosi, mengiklankan, menerbitkan dan menawarkan khidmat persundalan serta Seksyen 424 Kanun Keseksaan iaitu memberi orang lain menggunakan akaun bank.

Selain itu, Seksyen 377D Kanun Keseksaan (melanggar kesopanan dan perbuatan kelucahan melampau), Seksyen 377A Kanun Keseksaan (melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabie) dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan (memiliki bahan lucah).

Fadil berkata pada masa ini siasatan lanjut sedang dijalankan kerana pihaknya percaya kegiatan ini mempunyai banyak cabang yang masih aktif melalui pelbagai platform media sosial serta laman sesawang.

Tiga cedera rakan serumah mengamuk guna pisau

Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my
Rumah di mana seorang lelaki mengamuk menggunakan pisau dan mencederakan tiga rakan serumahnya, dua daripada mereka parah - Foto ihsan PDRM
Rumah di mana seorang lelaki mengamuk menggunakan pisau dan mencederakan tiga rakan serumahnya, dua daripada mereka parah - Foto ihsan PDRM
KUALA LUMPUR: Tiga lelaki cedera, dua daripadanya parah apabila rakan serumah mereka mengamuk menggunakan senjata tajam di sebuah rumah di Taman Muda, Pandan Indah di sini, semalam.

Kejadian dipercayai berpunca apabila suspek dikatakan berang ditegur kerana sering menimbulkan isu dengan keluarga.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, mangsa, kesemuanya lelaki masing-masing berusia 18, 28 dan 30 tahun mengalami pelbagai kecederaan dengan duanya daripadanya parah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata semasa kejadian, dua mangsa yang berusia 18 dan 28 tahun berada di ruang tamu rumah bersama suspek yang sedang memotong buah dengan pisau.

"Seterusnya, terjadi perselisihan faham dan berlaku pergelutan sehingga suspek mencederakan dua mangsa dengan menggunakan sebilah pisau dan batang kayu.

"Seorang lagi mangsa yang baharu sampai di rumah turut dicederakan oleh suspek. Kesemua mangsa dan suspek tinggal bersama di rumah itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tiga mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Ampang dengan dua daripada masih menerima rawatan, manakala seorang lagi dirawat sebagai pesakit luar.

"Berikutan kejadian itu, suspek yang berusia 31 tahun dan tidak bekerja ditahan di kediaman terbabit pada jam 4 petang semalam.

"Pihak polis dengan dibantu pasukan Forensik Bukit Aman turut merampas sebilah pisau, dua batang kayu dan dua helai pakaian bagi membantu siasatan," katanya.

Tambahnya, hasil ujian air kencing terhadap suspek dapati negatif dadah.

"Hasil soal siasat mendapati punca kejadian adalah disebabkan suspek sering ditegur atas pelbagai sebab dan sering berselisih faham berkenaan hal keluarga.

"Suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini hingga 4 September dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh orang.," katanya.

Rogol: 'Kamu pendakwah, perbuatan itu tidak diterima akal' - Hakim

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my
PENDAKWAH selebriti, Da’i Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Shah Alam hari ini kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu. FOTO Faiz Anuar
PENDAKWAH selebriti, Da’i Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Shah Alam hari ini kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu. FOTO Faiz Anuar
Shah Alam: Tindakan pendakwah selebriti, Da'i Syed merogol mangsa disifatkan suatu yang tidak dapat diterima akal secara munasabah kerana mempergunakan mangsa yang lemah.

Hakim Mahkamah Sesyen, Norazlin Othman berkata demikian sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan ke atas Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, atas tuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun, lima tahun lalu.

Norazlin dalam penghakimannya berkata, tertuduh dalam masyarakat sebagai seorang pendakwah selebriti yang memberi impak besar kepada orang awam terutama masyarakat Islam di negara ini, anak-anak muda dan penuntut universiti.

"Mahkamah mengambil kira peranan yang sering dimainkan oleh tertuduh dalam memberikan ceramah agama dan motivasi.

"Mahkamah juga mempertimbangkan kesan trauma kepada mangsa kerana membabitkan wanita dan kehormatan.

"Pastinya mangsa mengalami trauma kerana perlu kumpulkan kekuatan untuk tampil membuat laporan dan melalui setiap proses perundangan yang panjang dan bukan mudah, kejadian ini akan terus berada dalam ingatan mangsa hingga akhir hayat," katanya.

Norazlin berkata, mahkamah mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan itu.

"Pembelaan tertuduh bersifat penafian dan tidak cukup mematahkan kes pendakwaan bahawa kejadian rogol sememangnya berlaku.

"Pihak pendakwaan membuktikan bahawa tertuduh adalah orang yang mula-mula mengajak mangsa keluar dan membawa pergi ke rumahnya.

"Selain itu, mangsa yang lemah dan lurus bendul dibuktikan tidak boleh membuat keputusan serta melawan tertuduh ketika kejadian," katanya.

Menurutnya, mahkamah turut mengambil kira faktor peranan tertuduh sebagai penceramah dan pakar motivasi yang memberi impak besar kepada masyarakat terutama golongan muda.

"Kes ini membabitkan mangsa yang juga masih muda dan kesan trauma itu akan terus berada dalam ingatannya sehingga akhir hayat.

"Justeru, hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan bukan saja pengajaran kepada tertuduh malah bagi orang awam lain secara keseluruhannya," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memohon hukuman berat dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan kekerapan kes rogol yang semakin berleluasa.

"Kredibiliti tertuduh yang mempunyai latar belakang agama dipandang tinggi namun dia menggunakan kedudukan itu untuk mengambil kesempatan ke atas mangsa.

"Saya memohon hukuman penjara tertuduh sekurang-kurangnya selama 12 tahun," katanya.

Bagaimanapun, peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili tertuduh memohon pelaksanaan penangguhan hukuman kerana anak guamnya itu sudah berkahwin dan baru saja menimang cahaya mata baru berusia 16 hari.

"Ini kesalahan pertama tertuduh, justeru saya memohon penangguhan hukuman dan akan memfailkan rayuan. Jika tertuduh berada dalam penjara, ia menimbulkan kesan signifikan," katanya.

Norazlin bagaimanapun menolak permohonan penangguhan itu kerana tiada keadaan khas untuk mempertimbangkan perkara berkenaan dan hukuman penjara berkuat kuasa mulai hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, Syed Shah Iqmal didakwa merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di dalam bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, kira-kira jam 1.35 pagi, 11 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 10 April tahun lalu, Mahkamah Sesyen di sini, melepas dan membebaskan daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Namun, Mahkamah Tinggi di sini, pada 7 Mac lalu memerintahkan dia membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang dijalankan bermula April 2022 dan Syed Shah Iqmal sebagai satu-satunya saksi pembelaan.

Abdul Hadi menyanggah kata-kata sendiri

Ali Muda

Dalam program Bicara Merdeka yang diadakan di Auditorium Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada pada 24 Ogos lalu Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengeluarkan satu pandangan yang boleh dianggap mencabar Perlembagaan Persekutuan.

Dia dipetik sebagai berkata: "Betapa terbelenggunya orang Melayu Islam sehingga apa yang dilakukan pada zaman penjajah dulu masih berterusan.

“(Zaman) penjajah dulu kita bebas untuk menegur pemimpin, menegur raja dan menegur siapa sahaja, nasihat menasihati. Sekarang ini tak boleh, di mana orang putih dulu menggunakan alasan kalau lawan British, (dianggap) lawan raja.

"Raja jadi perisai mereka (sedangkan) raja tak tahu apa pun. Sekarang ini 3R. 3R ni ke arah itu, tak boleh (tegur pemimpin), raja jadi perisai. Dulu orang putih jadikan raja ni perisai. Kalau lawan British, (bermakna) lawan raja.

"Sekarang ni kalau lawan kerajaan, (dianggap) lawan raja, dihidupkan balik (amalan British). Ini menyebabkan kita terbelenggu. Jadi kita tak merdeka selagi tak pecahkan masalah-masalah yang seperti ini.”

Abdul Hadi yang cuba diberikan sifat seorang negarawan setaraf Dr Mahathir Mohamad dalam program itu telah menyanggahi kata-katanya selang beberapa detik sahaja.

Awalnya dia mengatakan zaman penjajah dahulu kita bebas untuk menegur pemimpin, menegur raja dan menegur siapa sahaja.

Selang satu ayat, Abdul Hadi mengatakan sebaliknya pula iaitu “orang putih dahulu menggunakan alasan kalau lawan British (dianggap) lawan raja”.

Perlembagaan junjung demokrasi

Kita hairan apa yang sebenarnya ingin diberitahu Abdul Hadi? Zaman penjajah dahulu rakyat bebas menegur pemimpin, atau zaman dahulu rakyat tidak boleh menegur pemimpin (penjajah) kerana akan dianggap melawan raja?

Percanggahan dengan dirinya sendiri dalam beberapa detik saja itu menunjukkan dakwaan tersebut mungkin mengarut atau rekaannya saja iaitu tanpa rujukan kepada mana-mana sumber sejarah.

Dari sudut pandang lain, kita boleh melihat Abdul Hadi cuba mempertahankan rakan kongsinya di dalam PN iaitu Muhyiddin Yasin yang menghadapi pendakwaan mengikut Akta Hasutan selepas dituduh mempertikai peranan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung pelantikan Anwar Ibrahim.

Semasa berkempen di Nenggiri, Muhyiddin dianggap memperlekeh Agong kerana tidak melantiknya sebagai perdana menteri ke-10.

Untuk rekod, pada Mac 2023 Abdul Hadi juga pernah mempertikai titah nasihat Agong supaya semua pihak menstabilkan kerajaan apabila mengatakan “kenyataan Agong satu kenyataan yang tidak qat’ie, tidak menjadi kata putus yang menghalang untuk perubahan dalam negara demokrasi.

"Mengikut (prinsip) raja berperlembagaan, raja di bawah Perlembagaan. Perlembagaan kita menjunjung demokrasi” pada Mac 2023.

Kenyataan Abdul Hadi itu sangat biadab dan merendah-rendahkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara bagi menurut Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan.  

Walaupun negara ini negara demokratik yang ditadbir menurut keluhuran perlembagaan, kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai salah seorang raja-raja Melayu tidak seperti rakyat kebanyakan.

Perkara 181 (1) menyatakan: “Tertakluk kepada peruntukan perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa raja-raja dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa pembesar-pembesar memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas.”

Rasa amat dukacita

Perkara 3 (2) pula menegaskan: “Di dalam tiap-tiap negeri selain negeri-negeri yang tidak mempunyai raja, kedudukan raja sebagai ketua agama Islam di negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh perlembagaan negeri itu, dan - tertakluk kepada perlembagaan itu - segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai ketua agama Islam tidaklah tersentuh dan tercacat.”

Sangat tidak wajar dan memalukan apabila seorang ahli parlimen selama 34 tahun seperti Abdul Hadi tidak menghormati dan gagal memahami kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara dan ketua agama Islam.

Walaupun Abdul Hadi mempertikai titah nasihat Yang di-Pertuan Agong dengan alasan baginda berada di bawah perlembagaan, pendirian Abdul Hadi terhadap perlembagaan itu sendiri tidak konsisten.

Untuk mempertikai Yang di-Pertuan Agong, Abdul Hadi berkata perlembagaan lebih tinggi. Tetapi Abdul Hadi juga berpendirian perlembagaan negara ini tidak perlu ditaati kerana ia dicipta atau digubal oleh Inggeris.

Dalam surat yang diutuskan Sultan Selangor kepada Pesuruhjaya PAS Selangor pada 27 Feb 2024, baginda melahirkan rasa amat dukacita terhadap Abdul Hadi kerana menuduh raja-raja Melayu tidak berwawasan akhirat.

Dalam surat yang sama baginda mencatat: "Kenyataan Abdul Hadi mengkritik hakim yang dikatakan gagal mentakrifkan Perlembagaan Persekutuan mengikut prinsip Islam sebenar dan kononnya dicipta dan digubal oleh penjajah mengikut acuan mereka dengan tujuan menghancurkan agama, bangsa, bahasa dan tanah air.”

Warkah Sultan Selangor itu adalah rentetan kenyataan Abdul Hadi di laman web partinya yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli parlimen, dan Adun serta raja-raja Melayu sejurus selepas hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan 16 peruntukan kesalahan jenayah dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 2019 bercanggah dengan perlembagaan.

Abdul Hadi sering menganggap dan menyebarkan dakyah bahawa perlembagaan negara ini dicipta dan digubal penjajah. Hal itu mungkin kerana Abdul Hadi keliru dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang diperkenalkan British rentetan kegagalan Malayan Union akibat tentangan sengit orang Melayu.

Tuntutan pelbagai kaum

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 tawaran British itu juga gagal kerana kaum bukan Melayu pula menentang dengan hebat kerana ia memberi perlindungan kepada kedudukan istimewa orang Melayu dan mengetatkan syarat kerakyatan.

Selepas Parti Perikatan (gabungan Umno, MCA dan MIC) memenangi pilihan raya Persekutuan pada 1955, gelombang menuntut kemerdekaan semakin kuat.

Ia bertepatan dengan manifesto Parti Perikatan yang berjanji untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu dalam masa empat tahun.

Pertemuan Tunku Abdul Rahman Putra dengan Setiausaha Tanah Jajahan British, Alan Lennox-Boyd, pada 22 Ogos 1955, membawa kepada perbincangan yang lebih serius tentang kemerdekaan Tanah Melayu di antara delegasi Kuala Lumpur dengan kerajaan British di London pada 18 Jan hingga 6 Feb 1956.

Persidangan selama hampir 20 hari itu telah membuahkan hasil apabila British bersetuju mengiktiraf Tanah Melayu sebagai full self-government dan bersetuju menubuhkan suruhanjaya bebas seperti tuntutan Parti Perikatan dalam pilihan raya 1955.

Pada Mac 1956, satu suruhanjaya bebas dibentuk dan dikenali sebagai Suruhanjaya Reid. Melalui memorandum-memorandum (sebanyak 131 semuanya) yang dihantar oleh individu dan pertubuhan, suruhanjaya tersebut menghadapi tuntutan pelbagai kaum dalam empat isu utama iaitu kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan hak kerakyatan orang bukan Melayu.  

Isu kerakyatan (berdasarkan prinsip jus soli dalam gagasan Malayan Union) dan kedudukan istimewa orang Melayu banyak menimbulkan ketegangan hubungan kaum semasa proses rundingan berlangsung.

Usaha British untuk mencari penyelesaian tuntutan kaum tersebut telah dimulakan sejak 1949 lagi dengan penubuhan Communities Liaison Committee.

Selepas itu Parti Perikatan yang ditubuhkan secara rasmi pada 1954 juga memulakan usaha penyelesaian secara serius melalui Manifesto Perikatan pada 1955, dan melalui Memorandum Perikatan pada 1956.

Ia berjaya dimuktamadkan pada 1956 melalui Persidangan London.

Majlis Raja-raja Melayu telah memberikan persetujuan rasmi terhadap draf Perlembagaan Merdeka pada 27 Jun 1957. Draf tersebut kemudian diluluskan dengan sebulat suara oleh semua perwakilan di Dewan Undangan Persekutuan pada 11 Julai 1957.

Dengan persetujuan Majlis Raja-raja, Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Jadi bagaimanakah boleh dikatakan Perlembagaan Persekutuan dicipta dan digubal oleh British sedangkan ia terbentuk melalui rundingan, memorandum, perbincangan sebelum persetujuan dimuktamadkan oleh semua kaum secara syura?

Bayangkan jika sejarah diseleweng

Tidak dapat dipastikan di manakah sumber rujukan Abdul Hadi yang menuduh perlembagaan itu dicipta dan digubal penjajah.

Kepercayaan kepada dakwaan yang salah itulah yang menjerumuskan Abdul Hadi dan pengikut PAS kepada fahaman ekstrem yang menolak atau tidak menghormati perlembagaan.

Walaupun perlembagaan itu mungkin tidak menepati ajaran Islam sepenuhnya, namun ia adalah dokumen perjanjian dan kontrak yang telah dipersetujui semua kaum sejak merdeka.

Perjanjian Hudaibiyah yang dimeterai Rasulullah SAW dengan Quraisy pada tahun keenam Hijrah juga tidak Islamik sepenuhnya kerana terdapat perjanjian yang berat sebelah.

Namun Rasulullah tidak pernah menolak atau melanggar perjanjian yang telah ditandatangani tersebut. Baginda juga telah memeterai perjanjian yang diangkat menjadi Perlembagaan Madinah untuk mengurus masyarakat Madinah yang pelbagai kaum dan agama, walaupun al-Quran dan al-Sunnah telah wujud.

Justeru kenyataan-kenyataan menyeleweng daripada fakta sejarah seperti yang sering diucap oleh Abdul Hadi - dan dipercayai para pengikutnya - haruslah dibanteras dengan tegas.

Bayangkan kalau kaum lain cuba menyelewengkan fakta sejarah perlembagaan demi kepentingan kaum mereka, apakah reaksi kaum Melayu?

Kewujudan Akta Hasutan untuk melindungi negara daripada perpecahan akibat isu agama, kaum dan raja (3R) dibangkitkan adalah sah menurut Perlembagaan Persekutuan.

Prinsip kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan seperti dimuktamadkan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tertakluk kepada Fasal 2, 3 dan 4.

Fasal 4 Perkara 10 menyatakan: “Pada mengenakan sekatan-sekatan demi  kepentingan keselamatan persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah perenggan (a) Fasal (2), parlimen boleh  meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak,  taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau  prerogatif yang ditetapkan  atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153 atau 181 melainkan yang berhubungan dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.”

Perkara 10 Fasal 4 itu termasuklah perkara yang tidak boleh dipinda atau diluluskan pindaannya tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu.

Menurut Perkara 159 (Pindaan Perlembagaan), Fasal 5 menyatakan: “Sesuatu undang-undang yang membuat sesuatu pindaan kepada Fasal (4) Perkara 10, apa-apa undang-undang yang diluluskan di bawahnya,  peruntukan Bahagian III, Perkara  38, Fasal (4) Perkara 63, Perkara 70, Fasal  (1) Perkara 71, Fasal (4) Perkara 72, Perkara 152, atau 153 atau kepada fasal  ini tidaklah boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis  Raja-Raja.”

Nampaknya Abdul Hadi adalah seorang ahli parlimen yang tidak menguasai makna dan maksud Perlembagaan Persekutuan apabila sering bercakap perkara-perkara yang sensitif dan dilindungi tanpa boleh dipinda.

Kewujudan anasir agamawan yang kononnya alim ilmu Islam tetapi tidak memahami fiqh al-waqi’ (realiti negara) ini telah menimbulkan banyak masalah kepada negara dan masyarakatnya yang pelbagai kaum di bawah naungan raja berdaulat.

Justeru kerajaan haruslah berusaha menerapkan kefahaman dan penghayatan tentang kontrak perlembagaan kepada semua lapisan masyarakat melalui pelbagai saluran pendidikan sama ada di sekolah, universiti atau media massa.

Selain itu, tindakan tegas mestilah dikenakan terhadap mana-mana pihak yang mempunyai kecenderungan menghasut seperti mengatakan perlembagaan negara dicipta dan digubal penjajah, atau mendakwa kenyataan Agong tidak qat’ie dalam memberikan titah nasihat kepada rakyat.

Amaran dan peringatan sudah diberi: Kenapa masih sentuh 3R?

Zeanaaima Mohd Yusof

Orang ramai kesal kerana segelintir pihak seolah-olah tidak serik dan sengaja mencetuskan ketidakharmonian dalam negara dengan memainkan isu sensitif.

PETALING JAYA: Rakyat mempersoalkan mengapa masih ada segelintir pihak berterusan menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) walaupun berulang kali diberi amaran oleh kerajaan dan polis mengenai perkara itu.

Mereka melahirkan kekesalan kerana pihak terbabit seolah-olah tidak serik dan sengaja mencetuskan ketidakharmonian dalam negara dengan memainkan isu sensitif itu.

Penjawat awam, Muhd Firdaus Mohd Foad, berkata tidak pernah terdetik mahu bercakap soal 3R kerana sedar ia isu sensitif yang tiada manfaat untuk diperdebatkan terutama di media sosial.

Saya tak (akan sentuh isu 3R) sebab tahu akibat dan hukuman bakal dikenakan apabila disabitkan kesalahan. Pelik, sebab kita dah diberitahu sebelum ini oleh pemerintah dan polis (mengenai) isu 3R tapi masih ada yang berani, katanya kepada FMT.

Pekerja swasta, Amirul Faiz, berpandangan media tanpa sempadan hari ini mendorong rakyat mengulas isu 3R secara berlebihan sehingga mendatangkan perpecahan dalam masyarakat.

Katanya, pihak berkuasa perlu meningkatkan pemantauan di ‘zaman tular’ ini dan tapisan terhadap sesuatu kandungan mesti lebih ketat.

Isu 3R sekian lama berakar umbi dalam masyarakat, namun semakin membarah akibat penggunaan media sosial yang tidak terkawal dan bersifat tanpa sempadan dengan kebencian, persepsi serta sentimen berlebihan disebarkan sepantas kilat hanya melalui ‘hujung jari’.

Tak halang hak bersuara

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, mengakui pihaknya berdepan cabaran getir menangani isu 3R terutama melibatkan media sosial.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bukan mahu menghalang hak bersuara orang ramai namun mereka dinasihatkan mengawal diri daripada menyentuh isu sensitif itu.

Isu ini sudah lama, cuma dulu tiada internet. Sekarang lebih mencabar untuk kita pantau media sosial sebab ia sangat laju dan luas. Sesiapa sahaja boleh kongsi pandangan walaupun isu sensitif tanpa kawalan, katanya.

Beliau berkata, banyak usaha dilakukan untuk menanganinya seperti mewujudkan beberapa majlis perpaduan bagi memantau kenyataan berlebihan bersabit 3R, dan membangunkan sistem e-Sepakat untuk menjejak pernyataan sensitif secara meluas di internet.

Katanya, KPN juga membina ‘Dashboard Analitik Perpaduan’ untuk memantau kawasan berisiko tercetus perpecahan atau ketegangan sosial, mewujudkan mediator komuniti, Pusat Mediasi Komuniti dan Jawatankuasa Keharmonian antara Penganut Agama (Harmoni) selain memberi nasihat mengenai perpaduan.

KPN sedang memperkukuh sistem pemantauan bagi mengesan dan mengurus isu 3R dengan lebih berkesan memandangkan kes dilaporkan semakin meningkat, katanya.

Data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menunjukkan dari 1 Dis 2023 hingga 21 Jun lalu sebanyak 459 kandungan berita palsu dikenal pasti manakala 446 kandungan berkaitan isu 3R (211 pemimpin, 180 etnik, 55 agama).

Aaron berkata, KPN juga memantau rapat isu 3R dengan mengesan 47 kes pada suku pertama dan 63 kes suku kedua tahun ini.

Kerajaan khususnya KPN akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan perpaduan dan keharmonian kaum, tapi rakyat juga harus memainkan peranan. Ini tanggungjawab bersama. Faham, terima dan hormat. Malaysia akan terus aman sejahtera, katanya.

Kes bunuh penyelia ladang kerana rogol isteri dan gaji rendah, dua beradik dipenjara 5 tahun

Berita 2 bulan lepas 

Abdul Rahemang Taiming
bhnews@bh.com.my
Dua beradik dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi Tawau hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian penyelia ladang kira-kira tiga tahun lalu.
Dua beradik dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi Tawau hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian penyelia ladang kira-kira tiga tahun lalu.
TAWAU: Akibat tidak berpuas hati dibayar gaji rendah, selain mendakwa isteri dirogol, dua bersaudara dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang penyelia ladang kira-kira tiga tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Al Nasir Abdullah, 27 dan adiknya, Al Dimal Abdullah, 22, terlepas hukuman mati apabila diberi peluang membuat pengakuan itu mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan (KK) di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Ketika kedua-duanya dituduh di mahkamah sama buat pertama kali pada 23 Ogos 2023, mereka berdepan pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 KK, yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.

Bagaimanapun, ketika prosiding hari ini mereka diberi pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(b) KK selepas surat representasi dikemukakan peguam bela masing-masing diluluskan oleh Pejabat Peguam Negara.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina itu didakwa secara bersama membunuh pengurus ladang (mandor) Mark Aquino Conahap, di kawasan perumahan pekerja Ladang Kebun Jaya Estate, Ulu Segama Lahad Datu, di antara jam 6.30 hingga 6.55 pagi pada 17 April 2021.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh datang ke rumah mangsa sambil menjerit kerana tidak berpuas hati dengan gaji yang diberikan, selain Al Nasir yang juga tertuduh pertama mendakwa mangsa merogol isterinya dengan muslihat menyembuhkan secara perubatan tradisional.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan dan menyebabkan berlaku pertengkaran antara kedua-duanya sebelum mangsa bertindak turun dari rumah sambil membawa tombak dan cuba menyerang tertuduh tetapi berjaya dielak.

Al Nasir kemudiannya menetak tangan mangsa menggunakan parang yang dibawanya, namun mangsa sekali lagi menyerang tertuduh menggunakan tombak menyebabkan adiknya (Al Dimal) turut bertindak menetak mangsa sehingga mati menggunakan parang miliknya sebelum kedua-duanya melarikan diri.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hurman Hussain, dalam hujahnya berkata, walaupun terdapat elemen mempertahankan diri oleh tertuduh pertama dan percubaan mempertahankan orang lain oleh tertuduh kedua, ia adalah disebabkan mangsa (si mati) yang membawa senjata bersamanya.

Tegasnya, harus diambil perhatian bahawa kedua-dua tertuduh telah pergi ke rumah si mati dengan melemparkan tuduhan, penganiayaan dan rogol, sambil membawa senjata mereka sendiri sehingga insiden ini berakhir dengan kematian.

Katanya, semua perkara yang dibangkitkan oleh kedua-dua peguam bela tertuduh telah dipertimbangkan oleh Pejabat Peguam Negara sehingga tuduhan alternatif dikemukakan pada prosiding hari ini.

"Oleh kerana kedua-dua tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan pilihan, maka pertuduhan asal mengikut Seksyen 302 KK digugurkan" katanya.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkapan, selain dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk diusir pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman.

Kes bunuh Hanis Amanda: Mahkamah Persekutuan kembalikan hukuman mati bekas anggota polis

Bernama

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan telah mengembalikan hukuman mati seorang bekas koperal polis kerana membunuh anak tiri perempuannya yang berusia dua tahun, Hanis Amanda Mohd Zafil, sembilan tahun lalu.

Panel tiga hakim yang bersidang pada Selasa lalu terdiri daripada Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu setelah membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan perintah Mahkamah Rayuan.

Pada 8 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan telah meminda pertuduhan terhadap Muhammad Khairuanuar Baharuddin daripada membunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Muhammad Khairuanuar atas pertuduhan membunuh dan hukuman mati terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim yang mewakili pendakwaan dan peguam Fahri Azzat yang mewakili Muhammad Khairuanuar mengesahkan perkara itu ketika dihubungi.

Pada Selasa, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan pendakwaan dan rayuan balas Muhammad Khairuanuar yang memohon agar dia dibebaskan.

Iznina Hanim berkata, Harmindar berpandangan bahawa Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul apabila mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah.

Beliau berkata, panel itu turut menolak rayuan balas Muhammad Khairuanuar.

Sementara itu, Fahri memaklumkan Bernama bahawa jika keputusan Mahkamah Rayuan dikekalkan, Muhammad Khairuanuar akan dibebaskan daripada penjara pada 9 Sept ini, mengambil kira pengurangan satu pertiga hukuman.

Muhammad Khairuanuar, 42, yang didakwa membunuh Hanis Amanda di sebuah kondominium di Seksyen 5, Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara 7 pagi dan 7.30 malam 6 November 2015 telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi serta dihukum mati pada Mac 2021.

Pada 8 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan mensabitkan Muhammad Khairuanuar dengan kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.

Bapa kandung kanak-kanak itu dan ibu tirinya memberi keterangan bahawa mereka menyedari terdapat kesan lebam pada badan mangsa terutama di bahagian rusuk serta paha ketika Hanis Amanda berada dalam jagaan mereka iaitu antara 17 Oktober 2015 dan 19 Oktobre 2015.

Bapa Hanis Amanda juga berkata mangsa mengadu sakit dan memberitahu 'Papa Bi' yang menyebabkan lebam itu.

Beliau berkata, 'Papa Bi' yang disebut oleh anaknya itu merujuk kepada Muhammad Khairuanuar.

Ibu bapa kanak-kanak itu bercerai pada 2013 dan ibunya berkahwin dengan Muhammad Khairuanuar manakala bapanya berkahwin dengan wanita lain. – BERNAMA