‘Saya tegur jangan merokok dalam restoran, tapi dia ajak lawan’

KOSMO!
Tangkap layar kejadian yang tular di media sosial berhubung teguran merokok.
PETALING JAYA – “MOH (Kementerian Kesihatan), @DrDzul (Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad), @PDRMsia (Polis Diraja Malaysia), @Marina _Ibrahims (Ahli Dewan Undangan Negeri Skudai, Marina Ibrahim), saya tegur dia jangan hisap rokok dalam restoran, dia boleh ajak saya lawan.”

Itu luahan seorang lelaki yang kecewa apabila tindakannya menegur pengunjung restoran yang merokok di sebuah restoran dibalas dengan respons tidak sopan.

Lokasi sebenar kejadian tidak dapat dipastikan, namun dipercayai berlaku di Skudai, Johor Bahru berikutan Marina turut ‘diseru’ menerusi hantaran aplikasi X itu.

ADVERTISEMENT
Amazing Cool GadgetsAmazing Cool Gadgets
Selain berkongsi video kejadian berdurasi empat saat, dia yang menggunakan nama PS Dhillon di media sosial turut memaklumkan akan membuat laporan polis ke atas perokok terbabit susulan kejadian itu.

“Apa ni smoking ban (larangan merokok)? Siap boleh nak ajak lawan. Saya akan susuli dengan membuat laporan polis,” katanya.

Orang ramai rata-rata mengecam tindakan perokok berkenaan, malah ada yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera ke atasnya.

“Orang macam ni dia tahu dia salah. Tunjuk ganas nak tutup malu la tu kena tegur hisap rokok,” kata seorang pengguna.

“Kalau aku ada kat situ, aku datang ‘back up’ punya. Banyak kali dah aku nampak perokok ni merokok kat kedai makan. Alasannya, dia merokok kat kawasan terbuka,” komen seorang lagi pengguna.

“Cabaran baharu. Mungkin penguatkuasaan perlu tegas supaya si perokok juga benar-benar takut,” ujar M.Amir.A. – KOSMO! ONLINE

Kerja gila 2 wanita selfie sambil berdiri atas trak pikap yang bergerak laju

Dua wanita berdiri atas trak pikap bergerak 

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan dua wanita itu sedang duduk di belakang pikap trak sambil merakam diri mereka. - Instagram
JAKARTA – Perbuatan dua wanita berdiri di ruang kargo sebuah trak pikap yang bergerak laju mengundang kecaman orang ramai, lapor saluran berita Detiknews semalam. 

Rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @wecarebangkalanmadura menunjukkan, dua wanita tersebut berdiri sambil merakam swafoto ketika melintasi Jambatan Suramadu. 

Lebih mengejutkan, aksi berbahaya itu dilakukan sambil ketawa. 

Menurut ketua polis tempatan, Iptu Wiwid Heru Santoso, aksi kedua-dua wanita itu boleh membahayakan diri sendiri serta orang lain. 

“Aksi mereka sangat berbahaya kerana angin kencang dan berisiko untuk terjatuh,” tambah Wiwid. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 87,400 tontonan dan menimbulkan kemarahan ramai orang. 

“Mesti dia ingat dia gempak dan cantik,” sindir seorang netizen. – AGENSI

Kanak-kanak 4 tahun parah jatuh tingkat 12 kondominium

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Georgetown: Kanak-kanak lelaki parah selepas terjatuh dari tingkat 12 sebelum tersangkut di tingkat tujuh sebuah kondominium di Lebuh Tunku Kudin, Jelutong di sini, hari ini.

Kejadian jam 9.20 pagi itu disedari nenek mangsa selepas menemui mangsa yang berusia empat tahun di bumbung konkrit tingkat tujuh bangunan berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika wanita warga emas berusia 63 tahun itu berada di bilik air.

Katanya, siasatan lanjut mendapati mangsa terjatuh dari tingkap bilik tidur utama.

"Semakan juga mendapati katil dalam bilik itu terletak berhampiran tingkap dan tiada saksi lihat kejadian.

"Mangsa kini dilapor berada dalam keadaan parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP)," katanya di sini, hari ini.

Menurut Lee, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dua pegawai PPD disyaki terima rasuah projek selenggara sekolah ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai kanan yang bertugas di sebuah pejabat pendidikan daerah di Sabah kerana disyaki menerima rasuah untuk projek selenggara dan pembaikan sekolah bernilai RM600,000.

Menurut Harian Metro yang memetik sumber, suspek lelaki dan wanita berusia dalam lingkungan 40an itu ditahan kira-kira jam 3 petang semalam, ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.

Kata sumber itu, SPRM juga mendapat kebenaran untuk menahan reman kedua-dua suspek sehingga 30 Okt ini.

“Suspek dipercayai menerima sejumlah rasuah pada 2023 hingga 2024 melalui kemasukan wang ke akaun bank milik proksi.

“Suspek dipercayai menerima rasuah sebagai balasan untuk berpakat melantik beberapa pembekal dalam urusan perolehan secara pembelian terus dan sebut harga bagi pembekalan bahan mentah penyelenggaraan dan pembaikan sekolah-sekolah di daerah berkenaan,” kata sumber yang dipetik sebagai berkata.

Tambahnya, tangkapan itu susulan penahanan seorang pemilik perniagaan semalam kerana disyaki mengemukakan dua tuntutan palsu bernilai kira-kira RM45,000.

Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy mengesahkan tangkapan itu kepada Harian Metro dan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kudat, Verdon Bahanda mendedahkan isu kartel penyelewengan dana sekolah membabitkan pejabat pendidikan daerah sewaktu ucapan perbahasan dasar Belanjawan 2025 di Parlimen dan menggesa SPRM menjalankan siasatan.

Eksekutif GLC dapat bonus RM210k, SPRM akan siasat

Hariz Mohd

Pendedahan baru-baru ini di laman X tentang eksekutif tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang didakwa diberi 'bonus' besar walaupun syarikat itu tidak mencapai indeks prestasi utama (KPI) menarik perhatian SPRM.

Difahamkan suruhanjaya antirasuah itu telah mengambil maklum mengenai kebocoran minit mesyuarat yang dikatakan daripada mesyuarat lembaga pengarah Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) awal tahun ini, yang meluluskan pembayaran gaji pokok tiga bulan bersamaan RM210,000 kepada eksekutif.

“SPRM akan menyiasat isu ini.

"Kami juga sedang meneliti isu lain yang didakwa melibatkan eksekutif tertinggi ini," kata seorang sumber dalaman SPRM, yang tidak mahu namanya disiarkan.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk pengesahan dan butiran lanjut.

Semalam, Malaysiakini melaporkan mengenai minit mesyuarat PHB yang dikatakan dibocorkan di X oleh pengguna bernama 'moebiuz' - yang memberi tumpuan kepada "bonus" yang dibayar kepada eksekutif tertinggi PHB.

Lembaga pengarah PHB didakwa telah meluluskan pembayaran gaji pokok tiga bulan bersamaan RM210,000 kepada eksekutif itu, walaupun syarikat berkenaan mencapai kurang daripada separuh daripada KPI.

Minit itu juga menunjukkan bahawa bayaran khas 2.75 bulan untuk syarikat itu dicadangkan oleh jawatankuasa pencalonan dan imbuhan PHB walaupun syarikat itu mencapai KPI sebanyak 42 peratus, dengan mengambil kira terdapat individu dan pasukan yang telah melebihi sasaran yang ditetapkan untuk mereka. 

Oleh itu, dikatakan bahawa pekerja sedemikian perlu diberi ganjaran untuk mengekalkan motivasi.

Walau bagaimanapun, jawatankuasa itu juga menyedari bahawa ia tidak boleh memanggil pembayaran itu sebagai "bonus" disebabkan oleh KPI keseluruhan yang lemah, oleh itu istilah yang digunakan ialah "bayaran khas".

Selain "bonus", pendedah maklumat itu juga mendakwa bahawa lembaga pengarah meluluskan pakej imbuhan yang disemak untuk diri mereka sendiri.

Susulan laporan berita itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memberitahu sidang akhbar semalam bahawa perkara itu akan dibawa kepada perhatian Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Penyeludup tinggal kereta berisi minyak masak apabila dikejar penguat kuasa

Siti Rohana Idris
bhnews@bh.com.my
Proton Persona berisi muatan 850kg minyak masak bersubsidi dirampas di Kampung Simpangan, Pengkalan Kubor. - Foto ihsan KPDN
Proton Persona berisi muatan 850kg minyak masak bersubsidi dirampas di Kampung Simpangan, Pengkalan Kubor. - Foto ihsan KPDN
TUMPAT: Pemandu sebuah kereta disyaki penyeludup lari meninggalkan kenderaan membawa muatan 850 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi untuk mengelak ditahan pihak berkuasa.

Kejadian berlaku di Kampung Simpangan di Pengkalan Kubor, di sini, selepas suspek menyedari keretanya diekori penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Pasukan Polis Marin (PPM) semalam.

Terdahulu, kereta jenis Proton Persona itu dikesan dipandu dalam keadaan mencurigakan ketika menghala Kampung Simpangan kira-kira 7 pagi.

Pengarah KPDN negeri, Azman Ismail, pihaknya mengekori kenderaan terbabit bermula dari Kampung Bendang Pak Yong, namun sebaik tiba di Kampung Simpangan, pemandunya menyedari kehadiran pihak berkuasa lalu memberhentikan kereta dan keluar melarikan diri.

"Pemeriksaan mendapati kenderaan itu membawa 850kg minyak masak bersubsidi yang disimpan dalam kotak dan plastik biru pada bahagian penumpang dan bonet.

"Nilai minyak masak dianggarkan RM2,125 dan diperoleh dari luar Kelantan untuk diseludup ke Thailand menerusi Sungai Golok," katanya melalui kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dua pesawat ringan bertembung, 3 maut

Bernama-Xinhua
PASUKAN kecemasan berada di lokasi insiden pesawat ringan terhempas di barat daya Sydney  yang mengorbankan tiga individu. FOTO Ihsan 9News.
PASUKAN kecemasan berada di lokasi insiden pesawat ringan terhempas di barat daya Sydney yang mengorbankan tiga individu. FOTO Ihsan 9News.
Sydney: Tiga individu maut selepas dua pesawat ringan berlanggar di udara sebelum terhempas di barat daya Sydney pada Sabtu, lapor Xinhua.

Pasukan kecemasan dipanggil ke Belimbla Park, kira-kira 65 kilometer barat daya pusat bandar Sydney, sejurus sebelum tengah hari waktu tempatan susulan laporan bahawa dua pesawat telah bertembung dan terhempas.

Polis di negeri New South Wales (NSW) mengesahkan pada Sabtu petang bahawa tiga lelaki ditemukan mati di tempat kejadian.

Dua kawasan kejadian nahas yang berdekatan telah ditubuhkan di lokasi pesawat-pesawat terlibat terhempas.

Perbadanan Penyiaran Australia melaporkan bahawa salah satu pesawat itu terbakar sejurus selepas pelanggaran.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), badan kerajaan persekutuan yang bertanggungjawab menyiasat kemalangan berkaitan pengangkutan, berkata dalam satu kenyataan bahawa pesawat yang terlibat dalam pelanggaran itu ialah Jabiru dan Cessna 182.

"Satu pasukan penyiasat keselamatan pengangkutan daripada pejabat ATSB di Canberra, yang mempunyai pengalaman dalam operasi dan penyelenggaraan pesawat, sedang bersiap untuk dihantar ke lokasi nahas kedua-dua pesawat bagi memulakan aktiviti pengumpulan bukti," katanya.

Dalam beberapa hari akan datang, penyiasat akan menjalankan pemetaan tapak, memeriksa bangkai kedua-dua pesawat, dan mengumpul sebarang komponen yang berkaitan untuk pemeriksaan lanjut di kemudahan teknikal ATSB di Canberra.

Polis menasihatkan penduduk tempatan supaya menjauhi kawasan kejadian.

Sawa gergasi lintas jalan menyebabkan lalu lintas terhenti

KOSMO!
ORANG ramai merakamkan gambar seekor ular sawa melintas jalan. - Foto X/@er_ashu4444
NEW DELHI  – Pengguna jalan raya tergaman apabila melihat seekor ular sawa gergasi  melintasi jalan  dalam kejadian di Dehradun, India, lapor portal berita India Today kelmarin. 

Ketibaan ular di jalan tersebut mengejutkan pejalan kaki dan pengguna jalan raya lain yang  mula merakam pemandangan luar biasa itu.

Dalam video yang tular di media sosial, ular sawa itu dilihat menjalar di jalan tersebut menyebabkan lalu lintas terhenti.

Reptilia itu menyeberang dengan selamat sebelum hilang di dalam semak di seberang jalan.

Sementara itu, Pegawai Hutan Bahagian Dehradun, Neeraj Sharma memberitahu bahawa kejadian seperti itu kerap dilaporkan di kawasan sekitar sebuah hutan di negeri Uttarakhand.

Ada penduduk merakam  swafoto dengan ular sawa tersebut dengan menjadikannya sebagai latar belakang gambar. – AGENSI

Enam banduan larikan diri guna terowong rahsia

AFP

Moscow: Pihak berkuasa Rusia mengumumkan pemburuan pada Sabtu selepas enam banduan melarikan diri dari penjara melalui terowong rahsia.

Pengawal penjara di wilayah Lipetsk barat telah dimaklumkan mengenai kehilangan mereka selepas melakukan pemeriksaan rutin.

"Dalam koloni keseksaan rejim umum No. 2, terowong bawah tanah ditemui semasa rondaan di premis itu. Kiraan banduan dijalankan dan mendapati enam banduan tiada dalam sel," kata perkhidmatan penjara wilayah Lipetsk.

Ia tidak mendedahkan identiti mereka, tetapi berkata dalam satu kenyataan bahawa suspek adalah "dari Asia Tengah".

Pos carian sementara telah disediakan, manakala penguatkuasaan undang-undang tempatan telah dimaklumkan dan sedang dalam usaha mencari.

"Langkah-langkah sedang diambil untuk mengesan individu yang melarikan diri. Pelaku akan dibawa ke muka pengadilan," tambahnya.

Wilayah Lipetsk terletak kira-kira 300 kilometer di selatan Moscow.

Rusia mempunyai salah satu populasi penjara tertinggi di dunia, tetapi jumlahnya telah berkurangan apabila banduan dihantar untuk berperang di Ukraine.

Kejadian banduan melarikan diri agak jarang berlaku di Rusia dan mereka sering ditangkap dalam beberapa hari.

Mayat depan pasar raya, polis tahan wanita

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki dipercayai dibunuh di hadapan pintu masuk sebuah pasar raya di Klebang, Ipoh semalam.

Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat lelaki warga tempatan berusia 64 tahun itu dari orang awam kira-kira jam 6.13 petang semalam.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati lelaki itu ditemukan dalam keadaan terbaring, tanpa kesan kecederaan di tubuhnya.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat,” katanya lapor Bernama.

Abang Zainal berkata susulan itu polis menahan seorang wanita tempatan berumur 24 tahun bagi membantu siasatan dan perintah reman diperoleh selama seminggu ke atas suspek bermula hari ini.

“Wanita itu tiada rekod jenayah dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca serta suspek lain dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

“Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat memberi keterangan kepada pegawai penyiasat, Sukjit Singh di talian 019-5505536 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Rakyat Iran persenda serangan Israel

Harapandaily

Tular di media sosial sejumlah klip video menunjukkan rakyat Iran tidak terjejas dengan serangan Israel hari ini.

Rata-rata penduduk republik Islam itu dilihat mempersenda serangan daripada tentera Israel selama beberapa jam yang dilaporkan melibatkan kira-kira 20 lokasi itu.

“Orang Iran tidak pergi ke tempat perlindungan seperti Zionis, tetapi memanjat bumbung rumah mereka untuk melihat mercun yang datang dari Israel.

“Israel mengatakan bahawa Netanyahu mengikuti (perkembangan) serangan dari tempat perlindungan,” demikian antara komentar warganet di platform X.

Selain itu, ada yang secara sarkastik menghidupkan pemetik api beberapa kali dengan kapsyen, “banyak kebakaran di Mashhad”.

Malah, penduduk Iran juga meluahkan rasa “terkejut” dengan kebakaran belukar, mungkin dari peluru yang dipintas atau tidak berkaitan dengan serangan Israel.

Dalam masa sama, tersebar rakaman video memaparkan suasana Taman Laleh Tehran selepas serangan Israel ke atas Iran.

Menerusi klip itu, kelihatan beberapa kumpulan melebihi 100 orang sedang bersenam mengikut alunan muzik dan lagu rancak Iran.

“Orang Iran sedang keluar menikmati taman, manakala orang Israel bersembunyi di tempat perlindungan mereka,” kata seorang jurutera menerusi platform X, @fatimahfnz.

Terdahulu, tentera pengganas Israel berkata, serangan tersebut sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu Iran pada 1 Oktober lalu.

Lapor Al Jazeera, Israel telah memberi amaran kepada Iran agar tidak bertindak balas kerana negara pengganas itu akan “wajib untuk bertindak balas” dan mempunyai “sasaran tambahan” untuk diserang sekiranya hal itu berlaku.

Iran mengesahkan serangan Israel menyasarkan pangkalan tentera di wilayah Ilam, Khuzestan dan Tehran, dengan mengatakan ia hanya menyebabkan “kerosakan terhad”.

Tergamak paksa budak 5 tahun minta sedekah

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
SEBUAH bilik menempatkan kanak-kanak perempuan warga Filipina yang dipaksa melakukan kerja sebagai peminta sedekah. FOTO ihsan PDRM
SEBUAH bilik menempatkan kanak-kanak perempuan warga Filipina yang dipaksa melakukan kerja sebagai peminta sedekah. FOTO ihsan PDRM
Klang: Seorang lelaki Indonesia bersama wanita tempatan dikesan menjalankan kegiatan mengeksploitasi kanak-kanak perempuan warga Filipina berusia lima tahun untuk meminta sedekah.

Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar menerusi Op Pintas yang dijalankan sepasukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman hasil serbuan di sebuah rumah di Jalan Goh Hock Huat, di sini sebelum kanak-kanak itu diselamatkan Isnin lalu.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan dilakukan pihaknya kira-kira jam 11 malam.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menahan lelaki Indonesia berusia 67 tahun berstatus Pemastautin Tetap.

"Susulan itu, Bahagian D3 menyerbu sebuah lagi rumah di Sungai Kapar Indah, Klang pada jam 12.30 tengah malam Selasa lalu dan menahan seorang wanita tempatan berusia 50 tahun disyaki terbabit dalam kes ini.

"Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Atipsom 2007," katanya tadi.

Soffian berkata, siasatan mendapati rumah kedai tiga tingkat di lokasi serbuan pertama disewa oleh lelaki Indonesia terbabit.

"Ketika serbuan, mangsa berada dalam sebuah bilik dipercayai dijaga oleh suspek untuk melakukan kerja sebagai peminta sedekah di sekitar Klang sejak lebih sebulan lalu.

"Suspek wanita tempatan pula disyaki terlibat menguruskan mangsa untuk diserahkan kepada lelaki Indonesia berkenaan bagi tujuan eksploitasi," katanya.

Polis: Kibar bendera China: Penganjur langgar syarat larang warga asing berarak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Penganjur sambutan Guan Gong Sedunia yang terkait dengan pengibaran bendera China di Dataran Menara Condong Teluk Intan didapati melanggar permit melarang warga asing berarak.

Ketua Polis Perak Azizi Mat Aris berkata bagaimanapun ada warga asing menyertai perarakan pada sambutan berlangsung malam Khamis lalu.

“Telah ditetapkan dalam syarat permit polis, tidak dibenarkan warganegara asing menyertai perarakan diadakan pihak penganjur,” katanya dalam kenyataan.

Azizi berkata seramai 16 warga China termasuk lapan lelaki berusia 40 hingga 61 tahun yang juga peserta perarakan sudah dirakam percakapan.

Menurutnya, tiga penganjur terdiri daripada pengerusi, setiausaha dan bendahari sebuah persatuan berusia antara 26 hingga 61 tahun dirakam percakapan jam 12.30 tengah hari, semalam.

“Seorang lelaki berusia 49 tahun yang juga pengiring kepada 16 warga China itu turut diambil keterangan,” katanya.

Azizi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mengibar bendera asing di tempat awam dan Seksyen 4(1) Akta Perhimpunan 2012 iaitu melanggar syarat permit.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke pendakwa raya pada Isnin ini untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Perarakan berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu berlangsung dari 8 malam hingga 11.30 malam, Khamis lalu disertai kira-kira 400 penonton.

Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China oleh salah satu rombongan pada malam perarakan Guan Gong Sedunia.

Pengerusinya Soon Boon Hua berkata tindakan mengibarkan bendera negara asing tersebut tidak dirancang dalam tentatif acara oleh pihak pengelola.

Dua lelaki serang peguam di P Pinang diburu polis

Bernama

GEORGE TOWN: Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai menyerang seorang peguam sehingga cedera dalam kejadian di hadapan sebuah kedai kopi di Persiaran Karpal Singh 2 di sini pada Selasa lepas.

Pemangku Ketua Polis Timur Laut , Lee Swee Sake, berkata serangan yang berlaku kira-kira 9.50 pagi itu menyebabkan mangsa seorang lelaki warga tempatan dan berusia 37 tahun menerima tujuh jahitan di kepala.

“Polis kini giat memburu dua lelaki tempatan dan berdasarkan siasatan, mereka diupah oleh seseorang atau “mastermind” untuk menyerang peguam itu dengan menggunakan besi.

“Dua lelaki itu menaiki sebuah kereta semasa kejadian namun pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu, kami percaya insiden itu bukan bermotifkan samun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Badan Peguam Malaysia dalam kenyataan memaklumkan pihaknya terkejut dengan insiden serangan terhadap seorang daripada ahli badan berkenaan.

“Serangan hendap yang dirancang itu bukan sahaja serangan ke atas individu tetapi juga serangan terhadap kedaulatan undang-undang,” menurut kenyataan berkenaan.

Lee berkata polis sedang menjalankan siasatan lanjut daripada pelbagai sudut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis juga meminta kerjasama saksi atau sesiapa yang melihat kejadian itu supaya tampil membantu siasatan, identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

Bunuh bayi: Penuntut Malaysia di UK dihukum penjara seumur hidup

BERNAMA
Jia Xin Teo. FOTO UK's Crown Prosecution Sevices (CPS)
Jia Xin Teo. FOTO UK's Crown Prosecution Sevices (CPS)
Kuala Lumpur: Seorang pelajar Malaysia di United Kingdom (UK) yang meletakkan bayi yang baru dilahirkan ke dalam kotak bijirin sejurus selepas kelahiran pada Mac tahun ini dan menyembunyikan kotak itu dalam sebuah beg pakaian, telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 17 tahun.

Mahkamah Mahkota Warwick menjatuhkan hukuman ke atas Jia Xin Teo, 22, pada Jumaat (25 Oktober) di selepas disabitkan atas kesalahan membunuh, menurut kemas kini terbaharu di laman sesawang Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota UK (CPS).

Terdahulu, Bernama melaporkan mahkamah mendapati Teo bersalah pada Khamis (24 Oktober).

Teo, seorang penduduk Coventry yang tiba di UK awal tahun ini untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Coventry, menyembunyikan kehamilannya dan melahirkan bayi pada 4 Mac.

Dia kemudian meletakkan bayi yang baru lahir itu ke dalam kotak bijirin, yang dimasukkan ke dalam beg plastik dan disimpan dalam sebuah beg pakaian.

Polis menemui bayi berkenaan dua hari kemudian, di mana ketika itu bayi itu telah meninggal dunia.

Teo menafikan membunuh bayinya, mendakwa dia mendengar suara yang mengarahkannya untuk membunuh anak tersebut. Namun, juri menolak pembelaannya dan mendapati dia bersalah atas tuduhan membunuh.

James Leslie Francis daripada CPS berkata, "Jia Xin Teo menyembunyikan kehamilannya daripada semua orang yang dikenali dan tiba di UK dengan mengetahui bahawa dia mungkin akan melahirkan bayi itu di sini.

"Dia mempunyai peluang untuk mendapatkan bantuan tetapi sebaliknya memilih untuk merahsiakannya, malah sanggup berbohong kepada orang yang rapat dengannya, kepada penyedia penjagaan kesihatan, dan kepada polis.

Francis menambah, "Bayi Teo masih hidup selepas dilahirkan dan boleh bertahan, tetapi Jia Xin Teo membuat keputusan untuk meletakkannya di dalam kotak bijirin, dengan mengetahui bahawa tindakan itu akan membunuhnya.

Hadi samakan parti tinggalkan Pas dengan penentang Nabi

Harapandaily

AHMAD MURSI

Tulisan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang semalam cuba menafikan Pas parti oportunis yang bertahaluf dan berpisah dengan parti lain kerana kepentingan kuasa.

Dia kemudian samakan parti lain yang telah berpisah dengan Pas itu seperti golongan pembesar (al-mala’) yang menentang perjuangan Islam Rasul-Rasul. (perenggan 1-3).

Begitulah cara fikir Khawarij masih dinormalisasikan pada zaman kita ini.

Bagi Hadi, Pas sahaja parti yang meneruskan perjuangan Rasul-Rasul dan yang lain tidak.

Parti politik dah jadi anutan agama dan bukan lagi menjadi alat.

Seolah-olah kesemua dalil berkenaan perjuangan Islam dalam Al-Quran itu secara eksklusif adalah berkenaan Pas sahaja secara qat’iy (mutlak).

Walhal, tafsiran Hadi dan agamawan lain tidak sama dan ulama sebenar akan sentiasa berlapang dada dalam berbeza pendapat.

Jika itu sahaja yang difikirkan, itu dia punya hal. Masalahnya bila mula letakkan pihak lain yang lawan Pas adalah lawan Islam seperti golongan yang melawan Rasul-Rasul.

Walhal, parti politik hanyalah alat yang mana kesemua parti boleh dijadikan alat tidak semesti namanya ‘parti Islam’ bergantung kepada niat individu dan ini hal ijtihadi sahaja.

Bezanya hanyalah, pemimpin mana yang kompeten dan amanah, yang mana pula makan gaji buta tidak kompeten dan sakau.

‘Kan itu yang Islam ajar, pemimpin mesti Qawiyul Amin bukan semesti ‘ulama Pas’?

Saya yakin, jauh di sudut hati Muhyiddin masih sama seperti dikata dulu: PAS ‘Parti Ajaran Sesat’.

Kibar bendera China, 17 dirakam keterangan

Bernama

IPOH: Sebanyak 17 peserta warga China yang terlibat sambutan Guan Gong Sedunia di Stesen Malaysia dan mengibarkan bendera asing ketika perarakan di Menara Condong Teluk Intan semalam diambil keterangan.

Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris, berkata pihaknya mendapat kebenaran daripada timbalan pendakwa raya (TPR) petang tadi dan semua mereka terdiri sembilan lelaki dan lapan wanita dipanggil untuk merakamkan keterangan bagi membantu siasatan.

“Ada arahan untuk menyiasat, jadi kita akan tunggu kertas siasatan dihantar kepada TPR untuk tindakan susulan,” katanya pada sidang media.

Sebelum ini, Azizi mengesahkan perarakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan yang mengibarkan bendera negara asing dan turut tular di media sosial melanggar syarat Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti kewujudan bendera negara lain yang turut dikibarkan dalam perarakan itu.

Katanya, menurut video yang tular terdapat juga bendera Thailand dan Vietnam.

Perarakan yang berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu berlangsung dari 8 malam hingga 11.30 malam semalam disertai kira-kira 400 penonton.

Terdahulu, Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China oleh salah satu rombongan pada malam perarakan Guan Gong Sedunia.

Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia, Soon Boon Hua, berkata tindakan mengibarkan bendera negara asing tersebut tidak dirancang dalam tentatif acara oleh pihak pengelola.

Polis lepas tembakan, tahan suspek curi kabel TNB

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Georgetown: Polis melepaskan sekurang-kurangnya dua das tembakan bagi menghentikan kenderaan dinaiki suspek kes curi kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Kelawai di sini, hari ini.

Tembakan dipercayai dilepaskan selepas lelaki itu bertindak agresif merempuh kenderaan anggota serta orang awam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, tembakan dilepaskan anggota ke arah tayar bahagian hadapan kenderaan suspek yang sedang bergerak walaupun diarahkan berhenti.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, ketika kejadian suspek berusia 32 tahun itu dipercayai merancang mencuri kabel di Bilik Pencawang TNB berhampiran Plaza Gurney di sini.

Katanya, sebaik diminta berhenti bagi pemeriksaan, suspek memandu secara berbahaya termasuk merempuh beberapa kenderaan lain dalam usaha melarikan diri.

"Bagaimanapun, selepas tembakan dilepaskan di bahagian tayar hadapan, kereta Honda Civic itu terhenti kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

"Suspek keluar daripada kereta dan melarikan diri kira-kira 500 meter sebelum berjaya diberkas polis di Solok Midlands di sini," katanya, hari ini.

Lee berkata, suspek dipercayai orang yang sama terbabit dalam satu kes curi kabel TNB, dilapor berlaku pada Rabu lalu.

"Anggota polis berada di lokasi bagi menjalankan siasatan sebelum sedar kehadiran suspek.

"Turut dirampas beberapa peralatan yang dipercayai diguna bagi kegiatan curi kabel dalam kereta suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Lima ditahan berkait kes culik lelaki China

Bernama

KLANG: Polis menahan lima lelaki termasuk seorang warga tempatan dipercayai terlibat kes penculikan seorang warganegara asing di sekitar Sepang baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata kejadian awal pagi 18 Okt berlaku ketika mangsa warga China dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menaiki perkhidmatan e-panggilan sebelum ditahan sebuah kereta di Plaza Tol Putrajaya.

“Empat suspek warganegara asing turun dari kereta itu dan melarikan mangsa yang kemudian dikurung di sebuah premis di ibu kota.

“Polis percaya hal itu bertujuan melakukan pemerasan terhadap keluarga mangsa dengan mengatakan mangsa berhutang dengan suspek dan telah bertindak meminta wang tebusan kira-kira RM300,000,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan dewan serbaguna IPD Klang Selatan.

Hussein berkata, susulan itu pada 19 Okt polis berjaya menemukan mangsa dalam keadaan cedera di Hospital Kuala Lumpur akibat cubaan menyelamatkan diri dengan terjun dari bangunan tempat dia ditahan sekali gus membawa kepada penahanan empat suspek itu.

“Tangkapan seterusnya pada 22 Okt iaitu terhadap seorang lelaki tempatan dan kes ini masih dalam peringkat siasatan untuk kita mencari barang kes,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek warganegara asing berusia antara 30 hingga 40 tahun direman hingga Isnin ini manakala suspek warga tempatan hingga Selasa untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, berhubung perkembangan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang dicabul selepas diculik di Bandar Bukit Tinggi 1, Hussein berkata kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya minggu depan.

Kelantan: 5 maut nahas lori, kereta di Gua Musang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tiga lelaki dan dua wanita terkorban dalam nahas jalan raya membabitkan sebuah lori dan kereta di Gua Musang, hari ini.

Mangsa yang maut adalah Mohd Junaizi Jusoh, 48; Shazwani Ismail, 39; Farhana Ismail, 35; dan Muhammad Fakrul Danish Mohd Junaizi, 20 – semuanya menaiki Perodua Myvi – serta pemandu lori G Mageswara, 53.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.25 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian di Jalan Gua Musang-Lojing 15 minit kemudian.

“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa tersepit dilakukan menggunakan peralatan khas,” katanya lapor Bernama.

Semua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Jabatan agama Islam, PBT serbu pusat perubatan Tabib Adam

Bernama

MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menyerbu sebuah pusat perubatan tradisional di Masjid Tanah semalam, dipercayai susulan fatwa sesat terhadap kaedah rawatan yang digunakan pusat itu.

Tindakan penguatkuasaan ke atas Pusat Perubatan Tabib Adam itu dilakukan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Menerusi hantaran di Facebook, MPAG memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan pemeriksaan di sebuah premis tertera nama ‘Villa Dato’ Tabib Diraja Dato’ Adam M.Isa’, dengan antara yang diperiksa termasuk dokumen dan pakaian yang mempunyai gambar pengasasnya.

Sementara itu Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Rahmad Mariman ketika dihubungi hari ini enggan mengulas mengenai serbuan berkenaan, memandangkan siasatan masih dijalankan.

Media pada 14 Okt melaporkan rawatan perubatan Tabib Adam difatwakan sesat oleh jawatankuasa fatwa negeri.

Mufti Melaka Abdul Halim Tawil berkata, perkara itu ditetapkan pada 12 Sept, setelah hasil kajian mendapati rawatan di pusat itu mempunyai elemen keraguan dan JAIM diminta mengambil tindakan lanjut termasuk membuat sesi wawancara dengan mereka secara bersemuka.

Kibar bendera China: Penganjur mohon maaf, PAS desak siasatan

Malaysiakini 

Penganjur sambutan Guan Gong Sedunia tampil memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China pada malam perarakan di Teluk Intan, Perak, semalam.

Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua menjelaskan perbuatan itu dilakukan oleh rombongan dari negara Tembok Besar itu dan bukan penduduk Malaysia.

Malah katanya, tindakan mengibarkan bendera negara lain tidak dirancang dalam tentatif sedia ada oleh pihak pengelola.

“Sebagai pihak yang mengelolakan Sambutan Guan Gong Sedunia di Stesen Malaysia, saya ingin memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China oleh rombongan negara China (bukan penduduk Malaysia) pada malam perarakan di Teluk Intan, Perak yang berlangsung pada 24 Oktober 2024.

“Sambutan Guan Gong Sedunia merupakan program yang sudah berlangsung banyak tahun dan dianjurkan dari Johor ke Kedah dan Perak merupakan salah satu stesen yang terlibat.

“Dalam setiap program sambutan ini di pelbagai negeri, pihak pengelola akan mengibarkan bendara Malaysia iaitu Jalur Gemilang sebagai simbol patriotisme. Perarakan dan sambutan di Teluk Intan, Perak adalah tidak terkecuali daripada itu.

“Sebagai pihak pengelola, saya sekali lagi memohon maaf atas insiden tersebut dan akan meneliti segala aspek yang perlu diperbaiki demi menjayakan program tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu video perarakan sambutan itu tular di media sosial memaparkan peserta mengibarkan bendera China sekali gus menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak.

Kejadian itu juga mendapat perhatian Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria yang mendakwa Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming turut hadir merasmikan program pada 13 September lalu.

Razman mendakwa dia juga difahamkan program tersebut akan berlangsung sehingga 26 Oktober ini.

Ketua pembangkang Perak itu bagaimanapun tidak pasti paparan video berkenaan adalah program yang sama atau tidak.

“Apa yang mengejutkan dan mengecewakan ialah berkibarnya bendera negara China dalam sambutan di sekitar Menara Condong, Teluk Intan. Program melibatkan menteri persekutuan daripada DAP dilaporkan bertujuan mempromosikan perpaduan dan pelancongan setempat.

“Negara ini diasaskan dengan penuh harmoni dan toleransi kaum untuk menjunjung perlembagaan. Sebarang tindakan yang bertentangan dengan perlembagaan dan akta serta semangat perpaduan nasional yang menjunjung kedaulatan negara mestilah diambil tindakan,” tegasnya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Adun Gunung Semanggol itu, dengan kehadiran Nga dan exco kerajaan negeri Perak, program tersebut boleh dianggap sebagai program rasmi dan direstui kerajaan.

Tegas Razman, mengikut Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan mempamer) 1949 (Akta 139) Seksyen 3 memperuntukan tiada seorang pun boleh mempamer mana-mana lambang kebangsaan termasuk bendera negara asing di tempat awam atau di sekolah.

“Tindakan seperti ini boleh dianggap sebagai satu provokasi yang mencabar kedaulatan dan keharmonian negara.

“PAS Perak mendesak siasatan dibuat terhadap peserta, penganjur termasuk menteri dan exco yang hadir secara rasmi atas kapasiti mereka sebagai wakil kerajaan persekutuan dan negeri,” katanya.

Malaysiakini difahamkan, satu laporan polis akan dibuat oleh PAS Perak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada 2.45 petang ini.

OKU diantara 5 yang didakwa lakukan rompakan berkumpulan

Norzamira Che Noh
bhnews@bh.com.my
LIMA lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Klang atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata parang terhadap seorang lelaki, awal bulan ini. FOTO Faiz Anuar
LIMA lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Klang atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata parang terhadap seorang lelaki, awal bulan ini. FOTO Faiz Anuar
Klang: Lima lelaki termasuk orang kurang upaya (OKU) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang, awal bulan ini.

Tertuduh, M Linggeshwaran, 23; P S Tamil Kumaran, 38; G Siva, 33; R Thamilarasan, 33 dan S Nagen, 28 masing-masing mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh secara bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang terhadap harta seorang lelaki berusia 54 tahun iaitu pelbagai patung berhala dengan anggaran nilai RM74,500.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Jagong, Pandamaran, Pelabuhan Klang pada 6.16 pagi, 3 Oktober lalu.

Justeru, mereka dituduh mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran, manakala tertuduh masing-masing diwakili peguam Reenajit Kaur Golen (Linggeshwaran); S K Loges Kesavan (Tamil Kumaran dan Nagen) dan Mohamad Fauzi Abdul Samad (Siva dan Thamilarasan).

Annur Athirah tidak menawarkan sebarang jaminan dengan mengambil kira keseriusan jenayah bersenjata yang dilakukan kumpulan berkenaan selain ia turut mendapat perhatian awam.

Bagaimanapun, ketiga-tiga peguam yang mewakili tertuduh memohon budi bicara mahkamah dan memberikan ikat jamin munasabah dengan alasan tertuduh masing-masing mempunyai tanggungan sama ada ibu bapa, isteri, anak serta adik-beradik.

Kesemua tertuduh juga bekerja sebagai pengawal keselamatan, kelindan lori dan penghantar barang sambilan dengan pendapatan antara RM30 sehari hingga RM2,000 sebulan.

Loges Kesavan turut memaklumkan Tamil Kumaran adalah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) di mana mata kanannya buta selepas terbabit dalam kemalangan pada 2012 selain menjaga isteri yang menghidap kanser perut.

Bagaimanapun, Annur Athirah memohon jaminan yang tinggi berjumlah RM50,000 dikenakan kepada setiap tertuduh dengan syarat tambahan jika mahkamah ingin memberikan jaminan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 kepada setiap tertuduh dengan syarat tambahan iaitu melapor diri ke balai polis berhampiran setiap 1 haribulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Januari 2025.

Media sebelum ini melaporkan 10 individu termasuk seorang wanita ditahan disyaki terbabit dalam jenayah pecah masuk rumah seorang ahli perniagaan di Pandamaran, Klang.

‘Ustaz Mekah’ buka slot servis baca doa di Tanah Suci cetus perdebatan

SITI NUR ZAWANI

Tindakan seorang individu yang menggunakan media sosial TikTok untuk menawarkan khidmat membaca doa di hadapan Kaabah mengundang kebimbangan banyak pihak.

Pengguna dengan nama Ustaz Mekah itu mendakwa dia tidak mengenakan bayaran kepada sesiapa yang mahu doanya dibacakan di hadapan Kaabah.

Meskipun begitu, beberapa pengguna mendakwa pautan yang disertakan untuk mengirim doa perlu berserta dengan wang infak.
Jika tidak berbuat demikian, doa yang ditulis tidak dapat dihantar kerana proses pindahan wang tidak berlaku.

Pautan untuk mengirim doa dan infak disediakan di profil TikTok Individu tersebut.

Berdasarkan laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perbuatan meminta orang lain yang menunaikan ibadah di Tanah Haram untuk mendoakan kebaikan buat kita yang tidak berada di sana adalah dibolehkan.

Walau bagaimanapun, tentang isu kiriman doa (Valet Doa) dengan bayaran tertentu seperti yang pernah tular pada 2017, Mufti Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata ia tidak menepati dengan ajaran Islam.

Pelajar Malaysia sembunyi bayi dalam beg didapati bersalah membunuh di UK

FMT Reporters

Teo Jia Xin meletakkan bayi yang baru dilahirkannya dalam kotak bijiran yang ditutup plastik sebelum disembunyikan dalam beg pakaian.
Teo Jia Xin mendakwa mendengar suara yang mengarahkannya membunuh atau mencederakan bayi tersebut, tetapi juri di Mahkamah Warwick menolak pembelaannya. (Gambar Polis West Midlands, UK)
PETALING JAYA: Seorang pelajar Malaysia yang meletakkan bayi yang baru dilahirkannya dalam kotak bijirin dan sebelum disembunyi dalam beg pakaian telah disabitkan atas kesalahan membunuh di United Kingdom.

Menurut laporan BBC, Teo Jia Xin, 22, tiba dari Malaysia awal tahun ini untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Coventry di London.

Dia melahirkan bayi itu yang cukup bulan pada 4 Mac lalu dan meletakkannya dalam kotak bijirin yang ditutup dengan beg plastik, sebelum menyembunyikannya dalam beg pakaian.

Laporan itu menyatakan bahawa Teo pergi ke hospital dengan menunjukkan tanda-tanda baru melahirkan anak, tetapi menafikannya ketika ditanya oleh kakitangan hospital.

Gadis itu kemudian mengaku telah melahirkan bayi dan hanya memberitahu pihak polis di mana dia menyembunyikan bayi itu dua hari kemudian.

Polis berkata, Teo tidak mendapatkan bantuan perubatan dan melahirkan bayi itu di rumah. Dia juga merahsiakan perkara itu daripada rakan serumahnya, kerana tidak mahu diketahui keluarga dan rakan-rakannya di Malaysia sekali gus menjejaskan pelajarannya.

Ketika dibicarakan di mahkamah, Teo mendakwa mendengar suara yang mengarahkannya membunuh atau mencederakan bayi tersebut, tetapi juri di Mahkamah Warwick menolak pembelaannya.

Pihak pendakwaan berhujah bayi itu ‘masih hidup selepas dilahirkan dan berpotensi untuk terus hidup, tetapi Teo membuat keputusan untuk meletakkannya dalam kotak bijirin dengan mengetahui ia akan menyebabkan kematian bayi itu’.

Mahkamah akan menetapkan tarikh untuk menjatuhkan hukuman terhadap Teo.

Lelaki tular samun wanita warga emas di tepi jalan didakwa

NUZULSHAM SHAMSUDDIN
Thanabalan (baju putih) ketika dibawa anggota polis ke Mahkamah Sesyen hari ini.
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang tular merompak seorang wanita warga emas dalam kejadian di tepi di Bangsar dua minggu lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Bagaimanapun tertuduh M.Thanabalan, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Egusra Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan niat melakukan rompakan harta beg tangan dan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita warga emas berusia 78 tahun dengan cara meragut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Limau, Bangsar di sini pukul 7.30 pagi pada 7 Oktober lalu yang didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Sementara itu di dua Mahkamah Sesyen lain, tertuduh turut berhadapan dengan tiga lagi pertuduhan merompak.

Di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin, tertuduh didakwa merompak dua wanita termasuk seorang warga Korea dengan mengambil barang peribadi masing-masing
di hadapan sebuah stesen sebuah minyak dan kondominium di Brickfields pukul 6.15 pagi dan 6.50 pagi pada 7 Oktober dan 18 Mac lalu.

Sementara di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin, lelaki itu didakwa merompak wang RM3,500 milik seorang lagi wanita di kawasan sama (Brickfields) pukul 7.40 pagi pada 12 Februari lalu.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara boleh sampai 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan denda atau sebat.

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, Nidzuwan Abd Latip dan Joshua Tee Yee Khuan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 dan 28 November ini bagi sebutan semula kes.

Pada 7 Oktober lalu, Kosmo! melaporkan seorang wanita warga emas dikejarkan ke hospital selepas cedera disamun dalam kejadian di tepi Jalan Limau Manis, Bangsar, di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian itu berlaku sekitar awal namun tiada kerugian kerana tiada barangan berharga dalam beg diragut suspek. – KOSMO! ONLINE

Polis tahan lelaki warga Indonesia tetak mangsa guna parang

Abdul Rahemang Taiming
bhnews@bh.com.my
 Suspek (dua dari kiri) ditahan polis selepas menetak mangsa menggunakan parang panjang. Foto ihsan polis
Suspek (dua dari kiri) ditahan polis selepas menetak mangsa menggunakan parang panjang. Foto ihsan polis
TAWAU: Perselisihan faham dipercayai menjadi punca seorang lelaki ditetak di lengan kanan sehingga terpaksa menerima tujuh jahitan dalam kejadian di Kampung Kurnia Jaya Batu 4, Jalan Apas, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu berlaku ketika mangsa berumur 50 tahun diserang seorang lelaki yang dikenalinya menggunakan sebilah parang ketika sedang bersarapan di kawasan siar kaki di rumahnya.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada anak mangsa sebelum suspek ditahan kira-kira jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek warga Indonesia berumur 30 tahun itu mempunyai pasport sudah tamat tempoh.

"Mangsa yang mengalami kecederaan di lengan kanan dihantar ke hospital dan menerima tujuh jahitan sebelum dibenarkan pulang.

"Polis juga merampas sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jasmin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kelantan: Masalah bunuh diri semakin serius

Harapandaily

Tular beberapa rakaman video dikaitkan cubaan bunuh diri dengan terjun ke dalam Sungai Kelantan antaranya dari Jambatan Pasir Pekan.
Klip video yang tersebar di TikTok itu memaparkan sebuah motosikal ditinggalkan di atas jambatan tersebut.
Sementara itu, kumpulan Facebook Kelantan Info Semasa pula memberitahu kejadian terjun berdekatan Lotus di Kota Bharu.
“Musim terjun mari pulak di jambatan sohor Tendong dan (Jambatan) Sultan Yahya Petra atau Jambatan Tesco.
“Katanya hari ini (semalam) di Tesco pula,” kata laman yang mempunyai 128,000 pengikut itu.
Dalam masa sama, tular sedutan video di WhatsApp menunjukkan seorang pemuda kelihatan duduk di tepi sebuah jambatan di Kota Bharu.

Difahamkan, individu disamping motosikalnya dengan dikelilingi orang ramai itu berjaya diselamatkan daripada cuba untuk terjun ke Sungai Kelantan.

Jambatan Sultan Yahya Petra berdekatan Lotus yang menghubungkan Pasir Pekan, Tumpat ke Kota Bharu merupakan jambatan yang pertama siap dibina merentasi Sungai Kelantan pada 1965 dengan menelan kos sebanyak RM5 juta.
Jambatan Sultan Yahya Petra pernah menjadi jambatan yang terpanjang di Asia Tenggara ketika siap dibina pada 1965.
Muncul menjadi lokasi sohor untuk cubaan bunuh diri di Kelantan, trend sama juga dicatatkan di Jambatan Sultan Ismail Petra (Pasir Mas ke Kota Bharu) yang lebih dikenali sebagai Jambatan Tendong.
Jasad seorang peniaga kosmetik ditemukan di Pulau Dollah, Pantai Kuda pada Januari lalu selepas dilaporkan terjatuh dari Jambatan Sultan Ismail Petra.
Kedua-dua jambatan yang berjarak kira-kira 9 kilometer itu sejak pandemik Covid-19 kerap menyaksikan aksi cubaan menamatkan nyawa sama ada berjaya diselamatkan mahu pun ditemukan lemas.

Sebanyak 19 kes terjun ke Sungai Kelantan direkodkan di Jambatan Sultan Yahya Petra dan Jambatan Tendong sejak 2021 hingga Ogos lalu.

Pelaku terbabit terdiri daripada pelbagai peringkat usia jantina dan kaum.

Sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mendedahkan, daripada jumlah itu, 17 kes melibatkan mangsa ditemukan lemas selepas terjun dari jambatan ke Sungai Kelantan.

Antara lokasi paling banyak dilaporkan ialah Jambatan Sultan Yahya Petra, diikuti Jambatan Tendong serta Jambatan Salor dan Pak Nik Lah di Kota Bharu.

Kes terjun jambatan di Kelantan turut berlaku di Wakaf King dekat Tumpat dan Tok Bali, Pasir Puteh.

Mayat 2 lelaki terjatuh Jambatan P. Pinang ditemui selang sejam

KOSMO!
Dua mayat lelaki dipercayai terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang ditemui selang sejam petang tadi.
SEBERANG PERAI – Mayat dua lelaki tempatan yang masing-masing dipercayai terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang dalam dua kejadian berasingan ditemui selang tempoh kurang dua jam, petang tadi.

Kejadian pertama melibatkan seorang lelaki berusia 31 tahun dipercayai terjatuh dari Kilometer 7.4 jambatan berkenaan dari pulau menghala kepada Perai, Sabtu lalu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, mangsa lelaki tempatan telah bertindak meninggalkan sebuah kereta jenis Perodua Viva dan juga kad pengenalan diri.

“Pasukan penyelamat melakukan operasi mencari mangsa di permukaan air dan dibantu oleh pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) serta Unit PPDA JBPM.

“Mayat mangsa ditemui oleh PBS Bukit Bendera kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa hilang pada pukul 3.25 petang tadi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 40-an dilaporkan terjatuh di
KM 6.5 dari Perai menghala ke George Town kira-kira pukul 4.57 petang tadi.

Menurutnya, mangsa telah berjaya dibawa naik ke atas bot oleh nelayan yang berada di lokasi dan dibawa ke Jeti Polis Marin.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.

“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemuru­ngan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Soko­ngan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999. -KOSMO! ONLINE

Pemandu mabuk langgar murid lintas jalan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Port Dickson cedera selepas dilanggar kereta dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk.

Dalam kejadian 7.10 pagi tadi, mangsa sedang melintas jalan sebelum dilanggar Perodua Myvi dipandu suspek.

Ketua Polis Port Dickson, Maslan Udin, berkata pemandu itu gagal mematuhi lampu isyarat merah dan melanggar mangsa yang melintas.

“Kejadian menyebabkan mangsa patah ibu jari kaki kanan serta luka di kaki dan tangan,” katanya dalam kenyataan malam ini, menurut Harian Metro.

Beliau berkata, polis menahan pemandu berusia 28 tahun itu.

Katanya, ujian menunjukkan bacaan alkohol pemandu itu sebanyak 230mg alkohol/100ml darah (lebihan 153mg alkohol/100ml darah).

“Suspek direman empat hari bermula hari ini hingga Ahad untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Pencuri gali kubur, curi 27 tengkorak

KOSMO!
Prawate melaporkan insiden kecurian tengkorak kepada polis. - Amarin TV
BANGKOK – Polis Thailand sedang memburu suspek yang mencuri 27 tengkorak dari dua kawasan perkuburan di wilayah Chon Buri, lapor laman berita Thaiger hari ini.

Seorang anggota penyelamat setempat, Prawate Swatsri, 39, berkata, dia mendapat tahu mengenai kegiatan itu selepas diminta menyiasat mengenai sebuah kenderaan misteri diparkir di tengah kawasan perkuburan di Jalan Panat Nikhom-Nong Samed.

Ketika menyiasat perkara itu kelmarin, Prawate tidak menemui sebarang kenderaan yang dilaporkan.

Dia sebaliknya melihat sebuah kubur dalam keadaan seperti baru lepas digali. Binaan batu di kubur itu turut dihancurkan.

Prawate dengan segera memaklumkan kepada penjaga kubur, menyebabkan siasatan menyeluruh terhadap setiap kubur dijalankan. 

Mereka kemudian mendapati bahawa 15 tengkorak hilang di kawasan tersebut sekali gus menimbulkan syak wasangka tentang motif di sebalik kecurian itu.

Penduduk tempatan percaya bahawa tengkorak itu dicuri untuk digunakan dalam ritual atau bagi menghasilkan tangkal sihir yang dikenali sebagai Phra Nang. 

Tangkal itu diperbuat daripada tulang dahi atau tulang tengah tengkorak manusia.

Prawate menambah, kejadian serupa berlaku di sebuah lagi tanah perkuburan berhampiran, di mana 12 tengkorak sebelumnya telah dicuri.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan tengkorak yang hilang sebanyak 27.

Sementara itu, pegawai di Balai Polis Panat Nikhom sedang meneliti rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) dari sekitar dua tanah perkuburan itu dalam usaha mengenal pasti suspek. – AGENSI 

Heboh lain macam ‘aktiviti tarbiyah’ Pas Sabak Bernam

Harapandaily

Heboh diperkatakan di media sosial apabila laman Facebook rasmi Pas Kawasan Sabak Bernam dibanjiri dengan hantaran ‘aktiviti tarbiyah’ yang disifatkan sebagai lain macam.

Mengikut keterangan pada laman itu, “Page mengenai aktiviti-aktiviti Pas Kawasan Sabak Bernam“.

Namun, apa yang terpampang mengejutkan apabila kumpulan Facebook parti pembangkang itu dipenuhi dengan deretan klip video wanita Barat dan Asia Timur hampir telanjang.

Pas menerusi laman itu juga menyiarkan sejumlah rakaman ibu menyusukan bayi sejak lebih setahun lalu.

Semakan mendapati hantaran terakhir yang berkaitan parti itu adalah pada 9 September tahun lalu.

Posting itu memaparkan poster kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram di Johor yang menampilkan calon PN, Dr Mazri Yahya.

Lelaki Myanmar jatuh kapal ditemukan tanpa kaki, tangan

CHERINE JON
Anggota bomba mengambil mayat mangsa yang ditemukan terapung di Muara Payang, Sarikei pagi tadi.
SARIKEI – Lelaki warga Myanmar yang terjatuh dari sebuah kapal berhampiran jeti Susur Jambu di sini pada 22 Oktober lalu ditemukan terapung dalam keadaan tidak sempurna, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Mahmudin Narudin berkata mayat Min Wai Lin, 45, dijumpai oleh orang awam kira-kira pukul 9 pagi di Muara Payang iaitu 15 kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).

Susulan itu, katanya pasukan bomba dan agensi lain yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera bergerak ke lokasi untuk mengenal pasti mayat mangsa.

“Mayat mangsa telah dibawa ke PKB untuk proses pengecaman disebabkan keadaan mayat tidak sempurna dengan kaki kiri dan tangan kanan tiada, serta ada bekas gigitan.

“Pengecaman yang dibuat oleh majikan kemudian mengesahkan mayat itu adalah mangsa yang jatuh dari kapal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu berdasarkan laporan, mangsa yang bekerja di sebuah kapal dari Kuching sampai di jeti Susur Jambu kira-kira pukul 6.12 pagi, 22 Oktober lalu untuk memunggah batu di jeti berkenaan.

Bagaimanapun apabila hendak sampai ke jeti berkenaan, dua orang anak kapal itu memaklumkan kepada pengemudi kapal bahawa mangsa terjatuh ke sungai. – KOSMO! ONLINE

Kes penculikan seorang ahli perniagaan, 13 suspek ditahan

MOHAMAD FAIZAL HASHIM

ISKANDAR PUTERI – Polis menahan seramai 13 individu termasuk tiga wanita dan seorang ahli keluarga mangsa, kerana disyaki terlibat dalam kes penculikan seorang ahli perniagaan di daerah ini, 13 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, mereka yang ditahan berusia 23 hingga 58 tahun itu dalam beberapa siri tangkapan di sekitar negeri ini bermula pukul 9 malam tadi.

Beliau berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat dan risikan dibuat pasukan ‘task force’ yang ditubuhkan sejurus menerima laporan dibuat mangsa pada hari kejadian.

“Daripada 10 lelaki itu, lapan merupakan warga tempatan dan dua lelaki warga asing manakala tiga wanita itu melibatkan dua wanita tempatan serta seorang wanita warga asing.

‘Empat daripada suspek yang ditangkap mempunyai rekod jenayah dan dadah. 10 daripadanya direman sehingga 29 Oktober ini selama tujuh hari sementara tiga lagi suspek akan dimohon reman esok, di mahkamah di Johor Bahru,” katanya selepas menghadiri Program Community Policing Kontinjen Johor Sempena Sambutan Deepavali Tahun 2024 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang ahli perniagaan diculik oleh beberapa lelaki dalam kejadian di daerah ini sebelum dipercayai dibebaskan selepas wang tebusan dibayar. – KOSMO! ONLINE

Lelaki tunggu anak balik sekolah cedera ditembak

Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my
POLIS melakukan pemeriksaan di lokasi lelaki cedera ditembak di Sibu, hari ini. IFOTO Ihsan PDRM
POLIS melakukan pemeriksaan di lokasi lelaki cedera ditembak di Sibu, hari ini. IFOTO Ihsan PDRM
Kuching: Lelaki cedera ditembak individu yang tidak dikenali di depan sebuah sekolah di Sibu, hari ini.

Difahamkan ketika kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa berusia 40-an sedang menunggu anaknya balik dari sebuah sekolah di Jalan Wong King Hou.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, penyerang yang dipercayai keluar dari kawasan semak tiba-tiba melepaskan tembakan dipercayai menggunakan pistol.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa sedang duduk di bahagian pemandu kenderaan pacuan empat roda.

"Akibat tembakan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kanan belakang badannya.

"Sejurus melepaskan tembakan, suspek melarikan diri," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian keluar dari keretanya untuk meminta bantuan daripada orang awam.

"Mangsa yang cedera di bahagian belakang kemudian rebah di tepi jalan berkenaan dan dikejarkan ke Hospital Sibu," katanya.

Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan sedang menjejaki suspek.

Lelaki tempatan jadi dalang seludup petrol RON95 bersubsidi tertangkap

Padah ‘atur’ stesen minyak untuk seleweng petrol
 
SYED AZLAN SAYED HIZAR
Hasbullah (tengah) menunjukkan paip dan tangki tambahan yang diubah suai pada sebuah kereta yang disyaki cuba menyeleweng minyak bersubsidi di sebuah stesen minyak di Beseri.
KANGAR – Cubaan seorang lelaki tempatan menyeleweng petrol RON95 bersubsidi gagal apabila dia ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sebuah stesen minyak di Beseri, dekat sini malam tadi.

Sepasukan penguat kuasa KPDN melakukan operasi kira-kira pukul 8 malam itu selepas mendapat maklumat awam serta hasil risikan selama dua minggu yang dijalankan ke atas kereta tersebut.

Pengarah KPDN negeri, Hasbullah Abd. Rashid berkata, pemeriksaan awal terhadap kereta itu menemui beberapa tangki tambahan yang telah diubah suai dan berisi petrol bersubsidi.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kereta jenis Nissan Sentra berwarna perak yang dipandu suspek berusia 29 tahun itu mendapati terdapat kira-kira 300 liter petrol bernilai RM615,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat KPDN negeri, di sini hari ini.

Menurutnya, maklumat risikan dalam tempoh dua minggu itu mendapati suspek sering melakukan pengisian minyak bersubsidi berulang kali di beberapa stesen minyak sekitar Kangar dan Beseri.

“Ketika suspek ditahan, ia adalah stesen minyak kelima suspek berhenti untuk mengisi bahan bakar bersubsidi ke dalam tangki tambahan yang telah diubah suai.

“Kita percaya suspek mengisi minyak dengan jumlah yang kecil dan berulang kali di beberapa stesen minyak berlainan bagi mengaburi mata penguat kuasa dan kemungkinan ia diseludup ke negara jiran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Sembilan premis dah digeledah, SPRM jumpa petunjuk baharu kes MBI Selangor

Harapandaily

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan RasuahMalaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memberitahu telah menemukan petunjuk baharu dalam siasatan kes rasuah membabitkan Menteri Besar Incorporated (MBI).

Menurutnya, perkara itu masih belum boleh didedahkan berikutan pihaknya masih dalam proses menjalankan siasatan, termasuk mengumpul keterangan daripada saksi.

“Memang ada penambahan keterangan baharu yang diperolehi tetapi buat masa ini saya tidak boleh kongsikan lagi berhubung dapatan baru itu, perkara ini kita akan siasat lebih lanjut lagi,” katanya hari ini, memetik Bernama.

Identiti ahli politik yang dikaitkan dengan pangsapuri digeledah SPRM masih teka-teki.
Azam Baki berkata demikian selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 28 Bil. 1/2023 (Penolong Penguasa Gred P29) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini.

“Ada sembilan premis telah digeledah semasa siasatan, dan kita tak ada sita sebarang premis kerana ia bukan milik mereka, ada satu premis milik seseorang yang tinggal di situ namun ia bukan perkara yang berkaitan dalam siasatan kami,” katanya lagi.

Pada 12 Oktober lalu, SPRM menggeledah sebuah pangsapuri yang didakwa dijadikan ‘safehouse’ seorang ahli politik berpengaruh susulan siasatan berkaitan konsesi perlombongan pasir dilakukan syarikat cabang MBI.

Sejumlah mata wang asing berjumlah kira-kira RM5 juta dijumpai dalam operasi tersebut.

SPRM kemudiannya menggeledah dua lagi lokasi yang juga didakwa dijadikan safe house.

Satu daripadanya membabitkan sebuah pejabat dengan wang dijumpai bernilai lebih kurang RM78,000 manakala satu lagi lokasi itu ditemukan wang berjumlah SG$74,000 bersamaan RM243,000.

Satelit Boeing meletup,150 negara terputus komunikasi, internet

KOSMO!

WASHINGTON  – Sebuah satelit Boeing mengalami ‘kejanggalan sistem’ yang menyebabkannya meletup secara spontan di orbit, mengakibatkan internet dan komunikasi terputus secara meluas di seluruh dunia, lapor portal berita MailOnline semalam.

Satelit seberat hampir 2,267 kilogram, iS-33e pecah menjadi lebih 50 serpihan pada Isnin lalu.

Ia dikendalikan oleh penyedia perkhidmatan satelit antarabangsa, Intelsat yang menyediakan perkhidmatan komunikasi kepada pelbagai pelanggan yang merangkumi hampir 150 buah negara.

Amerika Syarikat (AS) sedang mengesan sekitar 20 serpihan yang dikaitkan dengan kejadian itu. 

IS-33e ialah ialah satelit yang digunakan untuk telefon, internet dan komunikasi mudah alih dan penyiaran isyarat televisyen serta radio.

Intelsat berkata, pihaknya sedang dalam proses memindahkan perkhidmatan iS-33e ke satelit lain dan analisis dilakukan bagi mengetahui apa yang menyebabkan satelit itu meletup. – AGENSI

Budak 7 tahun maut ditimpa rekahan simen rumah kedai

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak warga Vietnam berusia tujuh tahun maut selepas ditimpa rekahan simen rumah kedai di hadapan sebuah restoran makanan segera di Melaka, Selasa lalu.

Kanak-kanak lelaki itu dirawat di Hospital Melaka akibat parah di badan dan meninggal dunia pada 10.12 malam hari kejadian.

Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit, berkata dalam kejadian kira-kira 10 malam rekahan simen di tingkat tiga bangunan restoran di Kompleks Perniagaan Al-Azim, Bukit Baru, itu tiba-tiba terjatuh dan menimpa mangsa.

“Ketika kejadian, mangsa bersama bapa dan adik lelakinya menaiki motosikal ke kompleks perniagaan itu untuk ke bank berhampiran restoran makanan segera tersebut,” katanya lapor Bernama.

Katanya, bapa mangsa iaitu rakyat tempatan berusia 42 tahun dan adik lelakinya berusia lima tahun hanya cedera ringan.

Christopher berkata, bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan pelbagai kecederaan akibat impak objek berat yang jatuh ke atasnya.

Rogol anak tiri hingga lahir bayi, pemandu van dipenjara 10 tahun, 2 sebatan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pemandu van dihukum penjara 10 tahun dengan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini kerana merogol anak tirinya sehingga mengandung dan melahirkan seorang bayi tahun lepas.

Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman terhadap lelaki berusia 59 tahun itu selepas dia mengaku bersalah dan memerintahkannya dipenjara bermula tarikh dia dituduh di mahkamah, iaitu 11 Okt.

Tertuduh juga diperintahkan untuk menjalani sesi kaunseling selama dipenjara dan pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai hukuman, lapor Bernama.

Lelaki itu didakwa merogol kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun itu di sebuah pangsapuri di Setapak Jaya, Wangsa Maju pada 10 Sept 2023, mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 376(2)(d) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dengan sebatan.

Menurut fakta kes, seorang pegawai perubatan hospital membuat laporan polis selepas mangsa mendapatkan rawatan haid tidak teratur dan kemudian didapati mengandung 19 minggu.

Mangsa memberitahu dirogol oleh bapa tirinya di rumah mereka dan memaklumkan perkara itu kerana mahu mendapatkan perlindungan serta takut hal tersebut diketahui oleh ahli keluarga lain.

Ujian DNA yang dijalankan selepas bayi itu dilahirkan menunjukkan tertuduh ialah bapa kandung kepada bayi tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, mengambil kira perbuatannya mendatangkan trauma kepada mangsa.

“Perbuatan tertuduh menyebabkan mangsa melahirkan seorang bayi sehingga kanak-kanak itu tidak ke sekolah kerana malu, serta perlu melalui proses pemulihan yang lama selepas bersalin,” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana menanggung keluarga, termasuk isteri OKU dan anak menghidap autisme, selain menghidap penyakit buah pinggang dan sakit lutut.

“Hanya saya seorang sahaja yang menanggung keluarga…saya minta maaf,” katanya.