20 individu penyokong sebuah parti menyerang Khalid Samad di Kuala Terengganu

MALAYSIA DATELINE
Khalid Samad membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, malam tadi
“Mereka baru dapat kuasa dua minggu dan sudah tunjuk mereka lebih tinggi daripada undang-undang. Ini bahaya. Mereka jelas sekali tak takut dengan pihak berkuasa,” kata Pengerusi AMANAH Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Raja Kamarul berkata demikian ekoran sekumpulan 20 individu dikatakan menyerang Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad di Kuala Terengganu malam tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata ahli Parlimen Shah Alam itu tidak cedera kerana sempat memasuki keretanya.

Beliau yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan percaya mereka yang menyerang itu adalah ‘penyokong sebuah parti politik’.

“Mereka ikut Khalid dan tunggu dia di luar balai polis. Menunjukkan mereka besar kepala. Kami tahu siapa mereka, ada antaranya kami kenal.”

“Mereka menjerit-jerit beritahu kami supaya tak sentuh ‘Tok Guru’ mereka, jadi kami tahu mereka siapa,” kata Raja Kamarul dipetik The Malaysian Insight.

Khalid bersama AMANAH Terengganu sepatutnya mengikuti Jelajah Harapan tetapi dibatalkan kerana wabak COVID-19, kemudian memutuskan untuk bersiaran langsung di ibu Pejabat AMANAH.

Selepas tamat siaran langsung Facebook selama dua jam, mereka meninggalkan bangunan AMANAH, sekurang-kurangnya 15 hingga 20 lelaki tiba-tiba muncul.

“Mereka memaki kami tetapi sasaran mereka ialah Khalid Samad.

“Khalid berjaya masuk ke kereta yang membawanya dan terus pergi ke balai polis berhampiran. Kumpulan lelaki itu agresif dan kasar. Nasib baik Khalid sempat masuk kereta,” kata Raja Kamarul.

Sementara itu, Raja Kamarul berkata kumpulan lelaki itu turut menunggu Khalid di depan Balai Polis Daerah Kuala Terengganu.

Sumber polis Kuala Terengganu yang dihubungi mengesahkan laporan polis sudah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.

IGP nafi anak Guan Eng kena tangkap ketika cuba membawa wang RM2 Juta ke Singapura

Annabelle Lee

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menafikan dakwaan anak bekas menteri kewangan Lim Guan Eng ditangkap di Singapura.

"Tidak benar," jawab beliau ringkas apabila ditanya Malaysiakini mengenai spekulasi anak setiausaha agung DAP itu berhadapan masalah dengan pihak berkuasa republik itu.

Peguam Lim, RSN Rayer, yang juga anggota parlimen Jelutong, ketika dihubungi, turut menafikan dakwaan tersebut.

"Ia palsu," katanya kepada Malaysiakini.

Seorang ahli keluarga Lim, yang enggan dinamakan juga menafikan laporan itu.

Seorang ahli keluarga Lim yang enggan dinamakan turut menyangkal dakwaan tersebut.

Terdahulu, akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau melaporkan anak seorang "pemimpin kanan Pakatan Harapan" ditahan selepas cuba membawa RM2 juta masuk ke Singapura.

Blog kontroversi, Malaysia Today kemudian dipetik laporan Nanyang menyatakan anak muda terbabit ialah anak lelaki Lim.

'Yang penting Melayu berkuasa'

Zharif Badrul

SATIRA |
Maka telah diadakan satu pemilihan ketua kelas tingkatan lima di sebuah sekolah yang berkesudahan tiada seorang pun boleh mendabik dada mengucap kalimah keramat “I have the numbers!”

Maka akan diadakan pemilihan pusingan kedua esok hari.

“Sepatutnya kita boleh menang. Kita majoriti!”

Begitu lantang sekali suara beliau.

“Aku syak lama dah si awak ni memang tali barut Cina! Munafik! Siap bangga tunjuk dekat Instagram kata dia undi apek tu! Jadi tali barut, jual bangsa kita dekat orang kafir!” Sambung si kawan beliau itu.

Perkataan kafir itu memang sengaja ditekankan sebutannya menjadi 'kapir' sepertimana dia menulis 'biadap' untuk biadab.

“Ustaz dah cakap dah yang ketua kena orang Melayu Islam. Orang kita. Yang pegang jawatan-jawatan dalam kelas ini pun kena Melayu Islam. Kita boleh bagi satu dua dekat Cina tapi jangan lebih-lebih sebab nanti diaorang akan pijak kepala kita!” Berbuih-buih mulut beliau saat melantunkan kata-kata ini.

“Betul tu! Kita ni majoriti. Kita tak patut kalah. Dan pemilihan ketua kelas ni pun tak patut diadakan. Kita patut minta cikgu Suraya pilih kau terus jadi ketua!” Tambah kawan beliau itu.

Kau masih diam membisu.

“Tapi kita kan ada 30 orang dalam kelas. Enam belas Melayu empat belas Cina. Si awak undi apek dan koi pulak tak mengundi jadi sepatutnya apek yang menang.

"Tapi tadi kiraan sama - 15 kau dan 15 dia. Maknanya ada seorang Cina undi kau,” ujar hang yang merupakan satu-satunya berlainan jantina dalam kumpulan itu.

“Haa yang sorang tu kita bagi dia jadi penolong bendahari. Ataupun AJK keceriaan,” sambung beliau sambil membetulkan songkok hitamnya.

“Kenapa tak boleh bagi bendahari?” Soal hang, polos.

Melayu kena tolong Melayu

Merah padam muka beliau menerima soalan itu. Macam menerima soalan sama ada babi itu haram atau tidak untuk dimakan.

“Hang gila! Nanti apek songlap duit kita macamana? Lepastu minta duit je memanjang dekat kita dan bagi alasan duit tak cukup. Padahal apek syok makan duit tu!”

“Tapi yang buat benda tu semua si koi dulu masa jadi ketua kelas tahun lepas dan kome bendaharinya. Ingat lagi duit kelas kita hilang padahal dua toyol tu dah guna duit tu untuk baiki basikal lajak. Mujur si kome tu tak masuk kelas ni sebab subjek sains tak lepas masa PT3!” Balas teman yang berdiri di sebelah hang.

Dirinya yang paling rendah fizikalnya dalam kumpulan itu tiba-tiba dia terasa menjadi tinggi dan kembang hidungnya apabila hang mengangguk bersetuju.

"Kau patut terima je syarat si koi tu. Dia nak jawatan penolong ketua kelas? Kau bagi jelah. Nak jawatan bendahari? Bagi jelah. Koi tu kan Melayu. Melayu kena tolong Melayu,” pujuk kawan beliau dengan menggunakan nada suara tuanpenasihatduapuluhlimapersen.

“Kalau koi songlap duit kita lagi?” Soal hang dengan nada konfrontasi.

“Tak apa! Janji koi tu Melayu. Koi songlap duit kelas pun tapi koi belanja kita makan kat kantin juga tiap-tiap minggu. Ingat tak koi belikan kita jambu batu lepas tu kita tanya mana dapat duit nak belanja, koi kata “ini rezeki daripada Allah. Koi kongsi-kongsi untuk kita je. Kita kan Melayu.”

"Koi masih ingat lagi dekat Allah so tak apalah! Janji Melayu! Janji Melayu yang berkuasa!” Bentak beliau dengan nada keras.

Teman menggelengkan kepala sebab teman tak percaya yang beliau lupa atau buat-buat lupa bahawasanya sebelum koi belanja jambu batu, koi dah makan nasi ayam goreng yang harganya selipat ganda dengan jambu batu yang dibelanjakan.

“Jadi kalau koi tu kebas duit kita pun tak kisah? Pakai duit kita baiki basikal lajak, makan sedap-sedap pun tak apa? Asalkan Melayu? Asalkan belanja jambu batu?” jerkah hang dengan nafas yang tak putus.

“Betul! Janji Melayu yang berkuasa. Sepet tak akan belanja kita makan jambu batu kalau menang. Kau kena menang sebab yang wajib jadi ketua adalah Melayu Islam! Kalau tak, kelas ni akan ditimpa bala bak kata ustaz!”

“Jadi kau kena minta koi mengundi?”

Beliau mengangguk seolah mengiyakan bahawa pastinya kiamat akan berlaku jika pemilihan esok akan berpihak kepada sepet.

“Atau kita patut ugut si awak tu? Suruh awak undi kau kalau tak kita halau awak keluar dari kelas ni!” Cadang kawan beliau lagi sambil mengangkat dahinya yang jendul itu.

“Jangan jadi bodoh boleh? Result PT3 awak tu bagus! Awak memang layak duduk dalam kelas ni. Tak macam orang tu; tak ada A pun boleh masuk kelas sains,” sindir hang selamba.

Perempuan, Cina jangan dibagi muka

Kalau bukan bapanya pengetua sekolah, memang kawan beliau akan tercurut seperti cencorot di dalam kelas yang paling tercorot di sekolah itu. Juga kalau bukan bapanya pengetua sekolah, sudah lama tudung hang itu ditariknya.

Perempuan memang tak patut dibagi muka, getus hatinya. Sama macam Cina, bagi muka terus pijak kepala.

Tuan-tuan dan puan-puan, menurut pengalaman penulis, barangsiapa yang menghidap penyakit misogini dan patriarki, dia juga tidak terlepas daripada penyakit bangga diri yang berlebihan dengan menganggap kaumnya, keturunannya,agamanya mahupun amal ibadatnya lebih tinggi nan mulia daripada orang lain.

“Kita pujuk si koi undi kau dan sebagai balasannya, koi akan jadi pengawas. Bapak aku boleh lantik koi jadi pengawas,” ujar kawan beliau kesipuan malunya selepas disindir hang.

“Takpun kita suruh apek tak payah bertanding. Bagi apek jawatan pengawas dan kau boleh menang tanpa bertanding!”

“Pilihan kat tangan kau sekarang. Kau pilih.”

“Kau nak bagi penyangak tu jadi pengawas? Habis dirembat duit-duit pengawas tu semua nanti. Dan bagi jawatan dekat apek sebab apek tarik diri daripada bertanding? Itu rasuah namanya!”

“Kalau macamtu kau offer apek jadi penolong bendahari. Atau AJK keceriaan.”

“Tak boleh!”

Semua diam. Pertama kali lihat kau merah padam mukanya menghentak buku limanya di atas meja.

“Ah sudahlah! Kalau kau tak nak, sudah. Aku boleh suruh koi calonkan diri sebagai ketua kelas dan suruh sepet tarik diri. Kalau sepet tak nak dan menang jadi ketua kelas, aku akan suruh ayah aku cakap dekat cikgu Suraya suruh lantik koi jadi ketua juga.

"Sepet tak akan melawan apa yang cikgu Suraya cakap. Kalau sepet melawan, cikgu Suraya akan hukum dan bawa pergi jumpa ayah aku. Apa susah! Kau dah boleh pegi mampus!” bentak kawan beliau dengan nada meninggi, menarik kopiah putih yang terletak di kepalanya lalu meninggalkan kelas.

Fikh tabayyun

Beliau pula terburu-buru membuntuti kawan beliau lantas meninggalkan sahabat-sahabat mereka yang masih di situ. Lupalah mereka akan perjanjian di awal tahun bahawa mereka tidak suka koi mencuri duit kelas dan berjanji akan tolong kau untuk menjadi ketua kelas tahun ini.

Kini, mereka sudah lupa perjanjian itu dan akan berfiqh tabayyun dengan koi agar koi menjadi ketua kelas. Beliau dan kawan beliau terus meninggalkan group whatsapp kita dan block kita di instagram, facebook dan twitter. Video tiktok mereka bersama semuanya juga telah dipadam.

“Macamana sekarang ni? Nampak gaya kau akan kalah,” ujar teman lemah; kembali menjadi dan merasa rendah di sebelah hang.

Kau diam dan melihat dalam-dalam mata kawannya itu. Belum sempat kau berkata apa-apa, hang sudah membuka mulutnya:

“Kalau kau kalah, kau akan kalah secara terhormat. Apa yang beliau dan kawan beliau nak buat, kau tak patut rasa bersalah sebab kau tak terlibat. Yang penting, kau masih ada conscience. Kau boleh hilang semuanya tapi kau tak boleh hilang diri kau sendiri.”

“Walau apa pun terjadi esok, kita tetap kena belajar satu kelas dengan semua orang dalam kelas ini. Kita tetap tiap-tiap bulan kena bayar duit kelas dan akan ada jadual kelas untuk kita buat itu ini.”

“Kalau sepet menang, tak apalah. Kau bertanding lagi tahun depan. Kalau sepet menang pun, bukannya sepet boleh paksa kita makan babi ke apa. Yang kita nak takut sangat kenapa?”

“Kalau sepet paksa?” Tanya teman, meragukan.

“Laporkan dekat pengetua. Viralkan dekat media sosial biar satu Malaysia tahu,” jawab hang mantap.

“Kita kena ingat depan Tuhan nanti Melayu tu tak ada nilai langsung - kalau kerjanya mencuri duit orang lain atau main tipu untuk menang, ke nerakalah jawabnya."

Dan apapun terjadi esok, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Dan kau juga tahu walau apa pun terjadi, kau akan tetap menjadi pelajar dalam kelas itu dan akan tetap bayar duit kelas dan akan tetap ikut jadual bersihkan kelas.

Kau juga tahu kalau kau kalah esok, baik di tangan sepet mahupun koi, kau tidak hilang conscience; kau masih boleh tidur malam dengan lelap selepas menonton House of Cards di Netflix dan masih boleh melihat dirinya di cermin selepas bangun di pagi hari.

Dan sesungguhnya kau yang masih belum kita dapat sebagai pemimpin hari ini. Atau mungkin, hang yang masih belum kita mahukan sebagai pemimpin hari ini.

ZHARIF BADRUL adalah seorang peguam dan penulis yang gemar berciap di akaun twitternya @zharifbadrul6.

Tun terus bersama PH, kata Salahudin selepas pertemuan

BORHAN AHMAD
Pertemuan dengan Anwar di sebelah pagi sebelum mereka bertemu Tun Dr Mahathir di sebelah petang bagi menyusun pendekatan jangka pendek dan panjang PH.

Tun Dr Mahathir Mohamad berjanji akan terus bersama Pakatan Harapan (PH) bagi menentang kerajaan pintu belakang yang ditubuhkan oleh Perikatan Nasional (PN) bagi mengembalikan mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum ke 14 lalu.

Perkara ini dinyatakan oleh beliau kepada rombongan pimpinan kanan PH yang mengunjungi beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putarajaya petang tadi.

“Insya Allah Tun (Mahathir) terus bersama kita,” kata Datuk Salahudin Ayub kepada Malaysia Dateline.

Salahudin bersama Presiden AMANAH Haji Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Setiausaha Organisasinya, Anthony Loke serta Pengarah Komunikasi PKR menemui Tun Dr Mahathir petang tadi. Turut serta adalah Ketua Pemuda (Armada) Bersatu Syed Saddiq.

Sebelum itu, iaitu pada jam 11 pagi, kesemua mereka mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabatnya di Kuala Lumpur.

“Anwar tidak menyertai pertemuan kami dengan Tun kerana beliau sudah ada PC (sidang media) yang telah dirancang terlebih awal,” kata bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu.

Dalam sidang medianya, Anwar memberitahu media, wakil beliau dan PH bertemu Tun Dr Mahathir petang tadi manakala beliau sendiri berhubung dengan Tun Dr Mahathir melalui telefon.

Dalam pertemuan dengan Anwar, pimpinan kanan PH telah menggariskan bersama pendekatan jangka pendek dan jangka panjang PH ketika suasana ekonomi dan politik negara tidak menentu.

Umno hanya tukang cukupkan korum kerajaan Azmin-Muhyiddin

HAFIZUL HILMI
Dua hari lepas TS Annuar Musa berkicau di Twitter mencadangkan supaya “Parlimen dibubarkan agar kerajaan dapat dibentuk melalui pintu depan, seperti yang dimahukan Muafakat Nasional.” Sejak semalam makin ramai MP/warlord Umno mula buat bantahan terbuka.

Sebenarnya dah menjadi rahsia umum bahawa:

1. MP Umno dan Pas hanya dijadikan pak turut kerajaan Muhyiddin-Azmin. Azmin yang dibuang oleh PKR diangkat sampai jadi TPM bayangan, menjadikan secara tidak langsung PPBM menguasai kerusi PM dan TPM. Tindakan Muhyiddin ini menghina peranan Umno yang ada 41 kerusi dan Pas dengan 18 kerusi. Harus diingat bahawa ahli parlimen PPBM yang asal cuma 13 orang (termasuk Tun Mahathir, Mukhriz, Dr. Maszlee, Syed Saddiq, Ir. Amiruddin, dan arwah Dr Md Farid). Jadi PPBM asal yang dibawa oleh Muhyiddin hanyalah 7 orang sebab 14 orang lagi MP PPBM adalah yang melompat dari Umno. Azmin cuma bawa 10 kerusi dan surprisingly 9 orang dapat jadi Menteri dan Timbalan Menteri, sorang lagi memang Timbalan Speaker.

2. Petanda bahawa Muafakat Nasional (Umno dan Pas) tidak akan melayan PPBM dan geng Azmin dalam PRU-15. MN dan BN tidak sanggup lagi berkongsi pertindihan kerusi Parlimen, kerana pertindihan kerusi antara Umno dan Pas pun sudah complicated.

3. Umno nampaknya tidak senang dengan penghinaan Muhyiddin terhadap Najib (Penasihat BN), Zahid, Tok Mat, Khaled Nordin, Mahdzir Khalid, Tengku Adnan, Tajuddin Rahman, Idris Jusoh, Shahidan Kasim, Bung Moktar, Ahmad Maslan, Asyraf Wajdi (Ketua Pemuda) dan lain-lain. Dengan tidak melantik mereka ini, Muhyiddin seolah-olah memberi gambaran bahawa nama-nama ini adalah liabiliti kerajaan, tidak lepas tapisan SPRM, dan yang penting sekali hanya backbenchers a.k.a tukang cukupkan korum kerajaan Muhyiddin-Azmin.

4. Sesama parti dalam PN berada dalam keadaan bersyakwasangka. Jika Muhyiddin-Azmin boleh meruntuhkan kerajaan PH dalam satu malam, tidak mustahil mereka juga boleh mempermainkan dan memanipulasi Muafakat Nasional (Umno dan Pas) dan memberi masalah kepada percaturan mereka dalam PRU-15.

5. Susunan kabinet Muhyiddin adalah untuk memerangkap Umno dan Pas. Jika kerajaan PN tidak dapat deliver, Umno dan Pas akan dikambinghitamkan. Contohnya ialah Annuar Musa yang sebelum ini sering mensasarkan usaha Khalid Samad dalam isu Kg Baru. Akhirnya Annuar Musa terpaksa menelan semua propaganda beliau sendiri, dan terpaksa menyelesaikan harga tanah Kg Baru yang katanya boleh dijual dengan harga RM2,000 sekaki persegi. Begitu juga Tuan Ibrahim yang dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar, yang terpaksa memainkan peranan besar di peringkat antarabangsa dan mengurus isu-isu pencemaran alam sekitar (seperti kes Pasir Gudang). Sementara menteri kereta terbang disimpan sebagai Tugas-tugas Khas, Menteri Undang-undang diberi kepada Takiyuddin (Pas) yang bergelut dengan kontroversi undang-undang hudud Pas. Malang sekali Presiden Pas yang diimpikan oleh ahlinya layak menjadi PM, langsung tak dipandang oleh Muhyiddin sekurang-kurangnya untuk Menteri Agama. Padahal masa nak setup kerajaan pintu belakang, Presiden Pas diusung ke sana ke mari jadi front liner siap jadi tekong baca doa.

Muhyiddin meletakkan orang Azmin untuk mengurus komunikasi dan media, melempar tanggungjawab kawalan harga barang kepada GPS dari Sarawak, dan meletakkan ‘kuda tua’ Umno sebagai Menteri Belia padahal dia boleh lantik Ketua Permuda Umno sebagai Senator (update: senator boleh maksimum 2 penggal je) berbanding ketua jargon PPBM.

Muhyiddin beri layanan istimewa untuk pakatan Hishamuddin-Ismail Sabri-Annuar Musa (berbanding geng Zahid) dari Umno. Tapi Hishamuddin yang digosip akan bertanding Presiden Umno pun diletak sebagai Menteri Luar, kerjanya melayan diplomat asing, tiada direct contact dengan program yang melibatkan rakyat. Ismail Sabri pulak jadi Menteri Pertahanan, juga satu kementerian yang tidak berinteraksi dengan orang ramai sebab kena fokus urusan tentera sahaja.

Annuar Musa yang menang undi 25 ribu pulak kena fokus Wilayah Persekutuan sahaja, berbanding Radzi Jidin yang dapat 6 ribu undi di parlimen yang sama dan baru 3 tahun join politik Malaysia dapat jadi Menteri Kanan. Di Wilayah Persekutuan ni masak la Annuar kena hadap kawasan urban dan 8 orang MP PH.

Pendek kata, kalau buat undi tak percaya, kemungkinan besar majoriti MP Umno akan buat undi protes bersandarkan percaturan MN dan BN untuk masuk PRU-15. Hanya ada satu pilihan untuk Muhyiddin iaitu nasihat YDPA untuk bubarkan Parlimen. Masa tu Umno dan Pas akan ucap ilalliqa ma’assalamah wa bittaufiq wannajah kepada PPBM dan kartel Azmin.

Sinar Harian diguna untuk lagakan Anwar dan Tun M

Sinar Harian diguna untuk lagakan Anwar dan Tun M, dakwa penulis
Malaysia Dateline
Laporan muka depan Sinar Harian yang dikatakan cuba melagakan Tun M dengan Anwar.
Penulis politik mendakwa akhbar Sinar Harian mempunyai strategi untuk meretakkan hubungan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohd Sayuti Omar dalam tulisannya mendakwa, interview Sinar Harian dengan Mahathir yang banyak menyoal bekas PM intrim itu tentang Anwar adalah strategi akhbar berkenaan untuk rosakan imej Anwar.

“Secara tersembunyinya interview itu sebagai strategi dan taktik akhbar itu yang cuba berlagak jadi bebas dan telus sebenarnya tidak ada pendirian konsisten untuk menstabilkan politik termasuk politik Melayu. Akhbar itu pemecah bukan penyatu,” kata Sayuti yang banyak menghasilkan buku politik tentang orang Melayu.

Bagi beliau, akhbar yang dimiliki oleh Datuk Hussamuddin Yaakub itu digunakan sebagai senjata.

PH kini 3 parti tapi masih boleh bincang dengan Dr M Anwar

Kow Gah Chie & Low Choon Chyuan

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan (PH) sekarang hanya mempunyai tiga parti berikutan pengunduran Bersatu daripada gabungan itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Dr Mahathir Mohamad masih merupakan pengerusi Bersatu.

"Kamu kena tanya dia, dia mungkin menukar fikirannya esok," katanya berseloroh.

"Setakat yang saya tahu, apakah kedudukan PH? PH adalah seperti hari ini, seperti yang kita bincangkan pagi ini iaitu Keadilan (PKR), DAP dan Amanah.

"Bersatu dah putuskan beberapa minggu lepas tinggalkan (PH). Tetapi sudah tentu kita masih boleh teruskan perbincangan, termasuk dengan Tun M," katanya kepada media selepas mempengerusikan Majlis Presiden PH awal hari ini.

'Majoriti Melayu sokong saya'

Anwar turut ditanya mengenai kenyataan Mahathir bahawa orang Melayu tidak dapat menerimanya sebagai perdana menteri akan datang.

Anwar berkata bekas perdana menteri itu sendiri menolaknya dan bukan orang Melayu.

"Tun M tolak saya, tapi orang Melayu saya belum pasti sebab saya bertanding di semua kawasan majoriti besar orang Melayu sokong saya.

"Di PD (Port Dickson) majoriti besar orang Melayu, lebin 60 percent sokong saya, di Pulau Pinang basednya Melayu," katanya.

DAP berubah, tapi PAS amat mengecewakan - Tun Mahathir

Malaysiakini
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata DAP telah "berubah" dan “tone down permintaan” berdasarkan realiti politik.

"Bukan persepsi saya berubah tetapi mereka yang berubah,” kata Dr Mahathir kepada Sinar Harian dalam satu wawancara yang diterbitkan hari ini.

Katanya, sebelum ini DAP adalah Cina tetapi sekarang dalam DAP pun ramai pemimpin dan anggota Melayu.

“Mereka juga harus sedar bahawa tanpa Melayu, mereka tidak boleh menang. Jadi dia sudah tone down permintaan mereka.

“Malah, apabila kita kata tidak mahu menerima Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) walaupun DAP mendesak, akhirnya mereka akur.

“Banyak lagi dasar-dasar DAP dulu yang sudah diketepikan, jadi itu bukan persepsi saya sahaja.

“Apabila kita dekat dengan orang, baru kita tahu apa sebenarnya pendirian mereka dan saya dapati ramai daripada DAP sedar bahawa tanpa sokongan Melayu mereka tidak boleh berjaya,” katanya.

Mengenai PAS, Dr Mahathir berkata penggunaan Islam sebagai alat politik adalah satu perkara tidak baik yang akan memecahbelahkan perpaduan ummah.

“Walaupun mereka sokong saya tetapi saya tidak berpuas hati kerana sehingga sekarang ini mereka tidak gugurkan pendapat bahawa orang bukan PAS tidak Islam.

“Inilah kekecewaan saya dengan kepimpinan PAS,” kata Mahathir.

Beliau menambah bahawa PAS juga mengkhianati beliau dengan pada mulanya menyokong dirinya untuk terus menjadi perdana menteri tetapi akhirnya menyokong Muhyiddin Yassin.

“Jadi apa maknanya dengan apa yang mereka cakap dan apa yang mereka buat. Ini amat mengecewakan.

“Mereka sendiri tidak berpegang dengan ajaran agama Islam. Apabila kita membuat janji maka kita perlu tunaikan janji,” kata Mahathir.

Sebelum "Langkah Sheraton" pada 23 Februari lalu, terdapat spekulasi yang bertiup kencang bahawa Umno akan menjalinkan hubungan bersama Bersatu.

Ketika itu, PAS berikrar akan membentangkan usul percaya untuk menyokong Mahathir sebagai perdana menteri untuk penggal penuh PRU-14.

Biarkan musuh terus hidup senang, satu malapetaka

DR KAMARUDIN MUSA
Matlamat dalam sesuatu peperangan adalah untuk mencapai kemenangan mutlak. Hanya dengan kemenangan mutlak sahaja musuh dapat dimusnahkan dan secara tidak langsung merupakan satu jaminan untuk terus mengekang pergerakan musuh, menjadikan musuh hilang fokus serta tidak mempunyai ruang untuk membina komunikasi bagi mengumpulkan kembali kekuatan.

Maka natijahnya, kemenangan bermakna meletakkan musuh dalam keadaan kecederaan berterusan, sehingga sukar untuknya bangkit. Peluang dan ruang untuk musuh bergerak perlu dimatikan serta dikekang secara fizikal dan mental.

Kebangkitan musuh merupakan bencana kepada kemenangan yang diraih, satu ancaman yang membolehkan musuh kembali untuk menyerang, seterusnya memecahkan benteng pertahanan, berkemungkinan mengakibatkan kemenangna awal akan berubah menjadi kekalahan kemudian.

Berdasarkan hakikat ini, medan politik sesuatu yang tidak dapat dinafikan juga merupakan satu peperangan, peperangan dalam bentuk dan kaedah yang lain, pertempuran melibatkan bertarungan ideologi, personaliti, manipulasi kuasa dan pendekatan taktikal dalam menguasai pemikiran pengikut serta membina jaringan untuk mengikat kepercayaan rakyat terhadap kelompok politik dalam konteks memperluaskan rangkaian pengaruh dan penguasaan persekitaran sosial.

Ini bermakna tindakan politik sememangnya juga penuh dengan perkiraan strategik dan memerlukan para strategis yang mempunyai keupayaan untuk membuat perancangan, peramalan dan berfikir secara berfokus alternatif dalam menentukan perkiraan pengambilan keputusan politik dalam aspek melancarkan serangan, bertahan dan mengatur serangan balas.

Sehubungan dengan itu, pemikiran politik dan tindakan politik seharusnya juga mempunyai kemampuan untuk bertindak dalam lingkungan strategi perang. Namun demikian, politik memerlukan ideologi yang kuat serta kukuh bagi mewujudkan keterikatan bersama, bagi membina sistem kepercayaan yang mantap serta dapat membangunkan akar keyakinan yang kuat dalam kalangan pengikut dan juga kumpulan masyarakat awam, bagi membolehkan pembentukan pasukan operasi yang padu serta agresif, khususnya dalam konteks usaha untuk mencapai matlamat politik.

Dalam sesuatu peperangan keperluan untuk melemah serta menghapuskan musuh menjadi objektif utama, namun demikian dalam konteks realiti politik, musuh bukan bersifat mutlak, musuh boleh bertukar menjadi rakan, rakan boleh bertukar menjadi musuh, situasi ini tentunya akan mendedahkan pelaku politik sentiasa berada dalam situasi bahaya untuk dikhianati dan diserang secara terbuka dalam konteks realiti percaturan politik kekuasaan.

Memandangkan musuh politik (khususnya yang asalnya rakan politik) pada bila-bila masa mempunyai ruang dan peluang untuk melancarkan serangan “pukul dan lari” sebagaimana strategi “Guerrilla warfare” Carl von Clausewitz (1780-1831).

Musuh yang melakukan serangan “pukul dan lari” akan membina komitmen politik baru dengan meninggalkan kumpulan dan kelompok lama, bersedia untuk bergabung dengan kumpulan kelompok baru yang mempunyai kepentingan bersama, bagi mewujudkan pasukan baru yang akan dijadikan mekanisme baru untuk menentang kumpulan lama.

Maka inilah fenomena politik yang sering kali dijadikan percaturan untuk melemahkan sesutau perikatan atau gabungan politik. Kemenangan sesuatu kumpulan gabungan politik bukan merupakan satu jaminan untuk terus berkuasa, sekiranya musuh politik masih boleh bergerak dan aktif mencari pengaruh.

Berkeliaran dalam membina pengaruh politik dan secara berterusan menyerang pihak yang menang, tanpa adanya tindakan serta usaha konkrit untuk mengekang penyebaran propaganda yang bertujuan merosakkan psikologi kelompok politik yang menang.

Keadaan ini tentunya akan memberikan kesan kepada usaha memperkukuh kestabilan keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan ahli-ahli kumpulan yang menang, impaknya berpotensi untuk memusnahkan komitmen pasukan serta kerterikatan terhadap falsafah perjuangan bersama dan menyumbang kepada perpecahan serta kejatuhan.

Kegagalan dalam bertindak ke atas penyebaran propaganda musuh tentunya akan melumpuhkan sistem berfikir dalam kalangan ahli kelompok politik yang menang dan akhirnya melemahkan jentera operasi, keadaan ini tentunya memberi kelebihan kepada pihak yang kalah untuk bangkit dengan menguasai persekitaran sosial secara aktif, seterusnya menghentikan langkah pihak yang menang.

Dalam situasi ini pihak yang kalah akan bertukar tempat menjadi pihak yang menang dan kembali berkuasa.

Ini bermakna dalam menggerakkan perikatan politik, meskipun dibentuk berasaskan tujuan bersama namun ia bukanlah satu jaminan dalam meneruskan konsesus tindakan.

Sebaliknya masih mempunyai ruang untuk berlakunya pertembungan dan konflik dalaman yang boleh melemah serta memecahkan perikatan tersebut. Kelonggaran dalam menguruskan idealisme politik, serta kegagalan dalam menguruskan lompang perbezaan matlamat politik akan menjadi antara faktor terpenting yang boleh merosakkan sesuatu penggabungan politik.

Situasi ini akan menjadi lebih kronik dan mampu untuk meruntuhkan ikatan politik, apabila pada masa yang sama wujudnya gerakan daripada luar yang membuat asakan dan serangan, dengan penglibatan anggota dalaman gabungan.

Keadaan ini akan menjadi lebih tidak terkawal apabila berlakunya peyusupan musuh politik yang melakukan penyamaran ke dalam kelompok gabungan, kesan daripada itu akan menjadi unsur dalaman yang akan berperanan sebagai agitator untuk memecahkan keyakinan dan kepercayaan bersama.

Dominasi golongan musuh yang mesyusup ini akan melemahkan interaksi dan komunikasi dalam kalangan anggota-anggota gabungan politik yang berpotensi untuk berlaku keretakan dan perpecahan sehingga terbubarnya sesuatu penggabungan.

Berdasarkan hakikat ini gerakan politik, aksi politik serta percaturan politik perlu difahami dalam konteks aksi medan perang, politik adalah perang ideologi yang lebih sengit, berbanding dengan perang bersenjata di medan tempur.

Apa pun realitinya kemenangan mutlak hanya boleh dicapai dengan kemampuan untuk melucutkan senjata musuh secara sepenuhnya, situasi ini menjadi tugas utama bagi seorang panglima perang, berusaha menjadikan pasukannya tidak lagi terancam dengan kebangkitan musuh, apa yang jelas musuh perlu dimatikan kekuatan mereka sama ada scara fizikal, mahu pun secara moral.

Keadaan ini sewajarnya dilakukan terhadap musuh sebagai satu tekanan supaya musuh kehilangan prinsip moral serta keluar daripada medan perang dengan kekalahan yang menyukarkan untuk bangkit kembali, memutuskan segala perhubungan dengan persekitaran.

Membiarkan musuh berinteraksi dengan persekitaran, bermakna membuka peluang untuk musuh kembali mengumpul kekuatan. Realitinya musuh perlu dipastikan tidak lagi mempunyai kekuatan untuk membuat serangan balas yang boleh merosakkan kemenangan
yang diperolehi.

Membiarkan musuh hidup, hakikatnya satu malapetaka dalam usaha untuk mempertahankan kemenangan.

Berdasasrkan hakikat inilah, Sun Tzu (545 BC-470 BC) menegaskan bahawa dalam sesuatu peperangan, bukan semata-mata mempunyai kesanggupan dan keyakinan untuk berhadapan dengan musuh secara terbuka.

Sebaliknya juga perlu difahami bahwa pertempuran bersemuka, bukannya merupakan satu-satu peluang untuk mencapai kemenangan, sekiranya musuh masih mempunyai benteng pertahanan yang kuat dan padu.

Rahsia kekuatan musuh adalah kesetiaan terhadap pasukan tanpa kompromi serta kepatuhan terhadap pemimpin pasukan.

Lantaran itu adalah menjadi kewajipan untuk menarik kesetiaan pengikut daripada pusat kepimpinan, situasi ini akan memudahkan usaha untuk mewujudkan kekacauan serta mematikan langkah musuh dengan menarik kesetiaan pengikut kepada jaminan peluang kehidupan yang lebih baik.

Tindakan ini secara tidak langsung akan menjadikan moral pengikut semakin lemah, memandangkan mereka telah kehilangan fokus kesetiaan.

Peluang ini tentunya lebih terbuka untuk menewaskan musuh. Apa yang ditegaskan oleh Sun Tzu ini merupakan satu usaha untuk mematikan pergerakan psikologi musuh dengan melemahkan moral serta semangat para pengikut, melarikan fokus kesetiaan mereka terhadap kepimpinan pasukan.

Pada masa yang sama menimbulkan secara berterusan akan keraguan terhadap kemamapuan sebenar keupayaan daya tempur mereka. Keadaan ini tentu menjadi makanisme yang lebih mudah untuk musuh ditewaskan.

Dalam setiap peperangan, sama ada pertempuran terbuka, mahu pun pertempuran gerila, begitu berkait dengan benteng pertahanan. Benteng pertahanan menjadi penentu kepada kekuatan musuh serta penghalang utama kepada bentuk kaedah serangan yang akan
dilakukan.

Kekuatan benteng pertahanan musuh, memerlukan tindakan berani untuk melancarkan serangan, namun serangan tanpa aspek taktikal yang ampuh akan menjadi medan “bunuh diri” buat anggota pasukan yang menggempur musuh.

Berdasarkan hakikat ini, maka benteng pertahanan musuh perlu dimusnahkan, kesetiaan musuh perlu dirosakkan, langkah terbaik dalam aspek ini adalah melemahkan musuh daripada sisi dalaman musuh itu sendiri.

Serangan daripada luar akan lebih mendatang kemudaratan kepada diri sendiri atau pasukan, maka adalah menjadi satu keperluan untuk melemahkan musuh dengan mencitpta musuh daripada dalaman pasukan musuh itu sendiri.

Lantas Sun Tzu mencadangkan “jadikan tuan rumah dan tetamu bertukar tempat.” Aspek taktikalnya, mengikut Sun Tzu, “kalahkan musuh dari dalam pasukan musuh itu sendiri dengan menyusup ke dalam benteng lawan berasaskan muslihat kerjasama, penyerahan diri, atau perjanjian damai.

Dengan kaedah ini, maka kelemahan lawan akan senang untuk ditemui. Lantaran itu kemudiannya saat pasukan musuh sedang leka, maka lancarkan serang secara langsung ke kubu pertahanan musuh.”

Berdasarkan pemikiran Sun Tzu, kekuatan musuh boleh dihancurkan serta dimusnahkan dengan begitu mudah, hanya menggunakan unsur dalaman musuh itu sendiri, hakikatnya musuh tidak akan menyedari bahawa mereka sebenarnya sedang diserang dan dalam proses untuk dimusnahkan.

Menggunakan unsur sumber dalaman musuh sebagai tindakan untuk mencapai matlamat, hakikatnya merupakan satu usaha berkesan untuk meminimumkan kerugian sebaliknya membesarkan keuntungan serta menjimatkan penggunaan tenaga untuk bertempur.

Keadaan ini akan membolehkan segala sumber dan tenaga digunakan sepenuhnya untuk mengawasi serta melemahkan musuh setelah kemenangan mutlak diperolehi.

Penggunaan sumber dalaman musuh akan lebih memudahkan usaha untuk memecahkan pertahanan musuh. Apa yang peting pastikan musuh hilang kepercayaan sesama sendiri, keadaan ini hanya boleh dilakukan dengan mewujudkan kerengganan hubungan antara
kumpulan musuh.

Berdasarkan hakikat ini biarkan musuh sentiasa berada dalam keadaan berkonflik dan jangan biarkan musuh mempunyai peluang untuk mengurus konflik tersebut.

Sebaiknya wujudkan gerakan agar musuh menghabiskan masa untuk berkonflik sesama sendiri, realiti ini merupakan sesuatu yang ampuh dalam usaha untuk menjadikan musuh berada dalam keadaan terbeban dengan pertentangan dalaman sehingga musuh tidak lagi
mampu memberikan fokus dalam menentu tindakan untuk memperkukuhkan benteng pertahanan.

Apa yang jelas musuh perlu dipecahkan dengan mewujudkan kecurigaan sesama sendiri. Biarkan musuh bertelagah sesama sendiri. Gunakan musuh untuk membunuh musuh.

Wujudkan konflik sesama musuh dan lancarkan serangan daripada luar, matikan pergerakan musuh sehingga musuh keluar daripada medan tempur. Musnahkan segala peralatan musuh dan lumpuhkan kekuatan musuh sehingga musuh hilang peluang untuk bergabung, kuasai segenap ruang sehingga musuh dilemahkan dan tiada mempunyai keupayaan untuk bangkit.

Realitinya, peperangan melibatkan proses pembuatan keputusan dalam menentukan pilihan, apa pun keadaannya membuat piihan akan menentukan situasi sama ada anda dikuasai atau anda menguasai, hanya terdapat dua pilihan dalam mengendalikan peperangan memusnahkan musuh atau anda dimusnahkan oleh musuh.

Begitu juga dalam politik, hanya terdapat dua pilihan dalam konteks pertempuran politik, sama ada kehilangan kuasa atau anda terus melebarkan kuasa, sama ada anda musnahkan musuh politik anda atau anda dimusnahkan.

* Penulis adalah pensyarah Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Pas terbukti licik ambil kesempatan, permain Mahathir

ZAKARIA MUSA
Apa yang diidamkan Pas sebelum PRU14 kini menjadi kenyataan; dapat membentuk kerajaan bersama Umno dan menjadi anggota Kabinet persekutuan.

Ketika gabungan pembangkang sepakat mengatur langkah dan strategi untuk menumbangkan kerajaan kleptokrat pimpinan Najib Razak ketika itu, Pas lebih selesa bersikap mesra-Umno, kononnya sekadar menjadi penasihat kerajaan.

Parti itu akhirnya bertanding lebih kurang 160 kerusi Parlimen, bilangan paling tinggi dalam sejarahnya. Tujuan utamanya bukan untuk menjatuhkan kerajaan BN-Najib, tetapi didorong oleh motif untuk memecahkan undi pembangkang dan mengekalkan regim sedia ada.

Pertandingan tiga penjuru di antara BN, Pakatan Harapan dan Pas bagi memudahkan penyandang bertahan, sekali gus membentuk kerajaan campuran pasca 9 Mei 2018.

Hasrat pemimpin utama Pas untuk bergabung dengan BN terhalang oleh sentimen0 anti-Umno yang begitu kuat di kalangan penyokong akar umbinya. Justeru, berdepan pendukung parti, khususnya cabaran terdekat daripada Parti Amanah Negara, Pas menafikan sekeras-kerasnya niat untuk bekerjasama dengan Umno.

Namun, segalanya terdedah dan diakui sendiri pemimpin Pas dan Umno selepas PRU14. Mereka – termasuk Najib dan Timbalan Mursyidul Am Pas — mengakui taktik pertandingan tiga penjuru itu ternyata “makan tuan” dan menguntungkan Pakatan Harapan.

Justeru, begitu mudah sekali konsep taawun diaplikasi bersama Umno, yang akhirnya mencetuskan gagasan Muafakat Nasional. Ya, apa yang dimpikan menjelang PRU14 sudah dapat direalisasikan tanpa bantahan.

Konflik dalaman Pakatan Harapan khususnya menangani proses peralihan perdana menteri, di antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim turut menjadi pemangkin dan bonus buat Pas-Umno mengambil kesempatan. PKR juga menghadapi masalah internal yang cukup serius. Presiden cuba disabotaj oleh timbalan sendiri.

Pas lebih ke hadapan cuba memanipulasi hubungan dingin di antara penyokong Mahathir dan Anwar. Mereka bercadang untuk mengusulkan di Parlimen undi percaya kepada Dr Mahathir untuk kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal.

Memang aneh sekali apabila pembangkang membawa undi percaya kepada perdana menteri, selalunya undi tidak percaya. Sebenarnya Pas hanya mahu memecah-belahkan gabungan PH, khususnya di antara PKR dan Bersatu. Terdapat wakil rakyat PKR yang ghairah memastikan Mahathir berundur selepas tempoh dua tahun — iaitu sekitar Mei 2020 — dan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar. Manakala sebilangan penyokong Mahathir dalam Bersatu, termasuk pegawai rapat perdana menteri, mahu Mahathir kekal sehingga PRU15.

Taktik licik Pas ini didedahkan sendiri oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan, selepas kerajaan PH ditumbangkan melalui komplot jahat sebahagian wakil rakyat Bersatu, sekumpulan ahli Parlimen PKR geng Azmin Ali dan dukungan bulat BN-Pas.

“Pas memulakan rancangan untuk membentangkan undi percaya bagi mencipta rasa tak percaya dalam PH, untuk membuat mereka syak wasangka, sampai mereka retak menunggu belah,” kata Mohamad ketika merasmikan persidangan Umno Pagoh, kawasan perdana menteri baharu, Muhyiddin Yassin.

Pemerhati politik rata-rata berpendapat, undi percaya Pas kepada Mahathir itu sebenarnya merupakan undi tidak percaya kepada Anwar yang dijanjikan jawatan perdana menteri kelapan.

“Disebabkan usul undi tidak percaya itu, mereka (parti PH) mula syak wasangka antara satu sama lain,” tambah Mohamad Hassan.

Sedangkan di bawah pentadbiran Mahathir, yang Kementerian Kewangan diterajui Lim Guan Eng, kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu, mendapat bayaran berbilion ringgit “duit petroleum”. Semua itu tidak menghalang Pas untuk terus bersikap bermuka-muka demi kelangsungan politik liciknya.

Perhatian kini tertumpu kepada kedudukan Pas dalam komposisi Kabinet Muhyiddin yang bakal dibentuk sedikit masa lagi. Berbekalkan 18 ahli Parlimen, pastinya Pas bakal menjadi komponen penting kerajaan pintu belakang ini.

“Jika parti AMANAH yang mempunyai 11 ahli Parlimen pun diberi lima jawatan menteri dan lima timbalan menteri dalam Kabinet Mahathir, masakan Pas yang ada 18 wakil rakyat tak dapat lebih daripada itu, sekurang-kurangnya lapan menteri,” kata seorang pemerhati politik. Beliau menambah, “saya dapat membayangkan kegembiraan penyokong Pas, termasuk mengharapkan presiden mereka diangkat menjadi timbalan perdana menteri”.

Impian Pas untuk bersama kerajaan persekutuan yang tertunda selama 22 bulan, kini menjadi kenyataan meskipun bercanggah dengan mandat rakyat PRU14. Musim melemparkan fitnah berbaur perkauman dan keagamaan sempit terhadap Pakatan Harapan mungkin berakhir. Selama ini kerajaan PH ditohmah menafikan kepentingan Melayu-Islam, maka perhatian kini tertumpu kepada Pas yang menjadi tulang belakang “kerajaan tanpa DAP”.

Sama-samalah kita memerhati perkembangan selanjutnya, khususnya meneliti komitmen kerajaan “yang merompak mandat rakyat” dan nasib ahli-ahli Parlimen yang membuka pintu kepada pengkhianatan luar biasa ini. Juga menarik untuk diteliti langkah Pas seterusnya, yang terbukti licik mengambil kesempatan untuk mengembalikan semula kerajaan yang di dalamnya bersekongkol perasuah dan penjenayah. Apakah rakyat hanya pasif menjadi pemerhati sahaja.

Faizal Azumu dilantik semula MB Perak

Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melantik semula Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar negeri yang ketiga belas.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor memaklumkan hal berkenaan pada suatu kenyataan hari ini.

"DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berpandukan Perkara 16, Fasal 2 (a), Undang-undang Tubuh Kerajaan perak, pada timbangan baginda, YB Datuk Seri Faizal Azumu, Adun Chenderiang mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeru untuk dilantik sebagai menteri besar Perak ketiga belas," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, istiadat mengangkat sumpah jawatan menteri besar akan diadakan di Istana Iskandariah, di Kuala Kangsar Perak pada jam 3.30 petang hari ini.

PKR cari satu persatu pengkhianat parti, kata Fahmi Fadzil

Adam Abu Bakar
PETALING JAYA:
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil memberi amaran kepada mana-mana pemimpin dan ahlinya bahawa parti itu akan mencari satu persatu mereka yang berniat atau bertindak mengkhianati parti, susulan tindakan beberapa bekas pemimpin yang menyebabkan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Fahmi berkata, ketika ini PKR sedang melakukan proses pemutihan dan mana-mana individu yang dianggap mengkhianati perjuangan parti akan diambil tindakan mengikut peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan parti.

“Semua yang mengkhianat, buat masalah dalam parti kita akan disiplinkan dan kita sudah mulakan. Sejumlah ahli yang didapati mengkhianat atau mengumumkan keluar dari parti, menyerang parti, melompat bersama, semuanya sudah disingkirkan. Kita adakan proses pemutihan.

“Pada semua yang berniat, anggaplah ini satu amaran, duri dalam daging, gunting dalam lipatan dan musuh dalam selimut kami akan cari satu persatu.

“Kami akan uruskan ada dengan langkah yang betul mengikut peruntukan parti,” katanya dalam bual bicara ‘Never Despair: Finding Hope & Rebuilding Malaysia’.

Terdahulu, PKR menerusi Ketua Setiausaha Pengelola Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan berkata, seramai 27 ahli PKR dipecat dan keluar dari parti sejak PH tidak lagi mentadbir Putrajaya. Manakala, 4 lagi ahli dalam proses untuk disingkirkan.

Jumlah itu termasuk bekas timbalan presiden, Azmin Ali dan bekas naib presiden, Zuraida Kamaruddin yang dipecat selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti pada 24 Feb lalu serta 2 lagi ahli yang dipecat pada 1 Mac.

Selain Azmin dan Zuraida, turut disenaraikan adalah senarai 9 lagi ahli Parlimen yang mengikut jejak ahli Parlimen Gombak itu untuk memberikan sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-8.

Mereka bertindak mengikut jejak Azmin yang kini diterima sebagai ahli PPBM, manakala Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian pula memilih untuk menjadi ahli Parlimen bebas selepas mengumumkan menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada saat akhir.

Turut berada dalam senarai berkenaan adalah bekas timbalan ketua Pemuda PKR, Muhammad Hilman Idham yang juga setiausaha politik Azmin, selain Setiausaha Politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad.

Mencari rezeki di Perak (Demokrasi tidak mati yang mati adalah Kemanusiaan)

Dr Muhaimin Sulam

Perak menjadi satu-satunya negeri Pakatan Harapan (PH) yang tumbang tetapi masih belum mempunyai menteri besar. Kedah - walaupun masih diketuai Mukhriz Mahathir - namun kedudukannya bolehlah diibaratkan seperti telur di hujung tanduk.

Ini adalah kesan domino daripada krisis PH yang menyebabkan kerajaan gabungan itu di peringkat persekutuan tumbang.

Adalah dijangka keadaan tidak menentu ini berpanjangan sehingga PRU15. Ketika negara berhadapan dengan keadaan ekonomi yang merudum dan serangan Covid-19, keadaan politik tanah air sekadar menambah kerumitan yang ada.

Sudah beberapa hari Perak tanpa menteri besar. Perikatan Nasional (PN) Perak yang diketuai Shaarani Mohamad masih buntu untuk memujuk Peja (Ahmad Faizal Azumu) melepaskan tuntuannya untuk kembali menjadi MB Perak.

Pesurhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, nampak sekadar mengambil sikap mengikut rentak Umno ketika Umno mempunyai wakil seramai 24 orang dalam DUN manakala PAS hanya ada tiga.

PAS juga khabarnya menghantar nama calon menteri besar mereka sendiri. Dipercayai PAS menghantar nama Razman.

Peja telah meletakkan jawatan sebagai menteri besar Perak hari lalu. Ia selari dengan tindakan Bersatu keluar daripada PH.

Anak emas Amanah

Peletakan jawatan itu telah membentuk satu landskap politik baru di Perak apabila empat Adun PH pula meninggalkan parti masing-masing dan membolehkan gabungan PN menguasai DUN.

Mereka yang terbabit ialah Adun PKR untuk Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamahri - yang menyertai Bersatu, Adun Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dan Adun Buntong, A Sivasubramaniam.

Yong dan Sivasubramaniam ialah wakil DAP sebelum ini.

Seorang lagi yang berpaling tadah ialah Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim dari Amanah yang menjadi wakil bebas.

Tindakan Abdul Yunus, Sivasubramaniam dan Yong memang tidak mengejutkan kerana diyakini mereka ada masalah dalam parti masing-masing.

Namun tindakan Hasnul meninggalkan Amanah adalah sesuatu yang mengejutkan. Hal ini kerana dia dianggap seperti anak emas Amanah. Dia ditimang-timang sejak kecil dan dipupuk-pupuk sehingga dewasa sebagai pemuda.

Tidak sampai sepenggal terjun dalam arena politik, masih muda, tapi - itulah politik - untuk beralih arah dan angin, selera seseorang tidak pernah kenal usia dan rupa.

Selain itu, Peja juga mendapat sokongan Zainol Fadzi Paharudin (Adun Sungai Manik) dan Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah). Ini menjadikan sokongan pada Peja sebagai menteri besar ada tujuh dengan mengambil kiri dirinya sendiri.

Adun Sungai Manik dan Tualang Sekah itu memang sejak awal menjadi penyokong kuat Peja.

Hanya bersandarkan jumlah tersebut, Peja tidak boleh membentuk kerajaan.

Sokongan Peja kemudian bertambah apabila Adun Pokok Assam, Leow Thye Yih, yang tidak sehaluan dengan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, memberi sokongan kepada bekas menteri besar Perak itu.

Oleh sebab itu dipercayai Peja telah memperolehi sokongan sebanyak 10 Adun. Kesemua sokongan tersebut diperolehinya dengan mengambil kira Adun PH yang masih dirahsiakan namanya.

Peja perlu mendapat sokongan sama ada daripada PN yang mempunyai 28 Adun atau PH yang mempunyai 24 Adun. Angka sokongan itu pun berubah-ubah.

Para broker yang dilantik oleh pihak-pihak tertentu sedang giat menumpukan beberapa calon tertentu dalam PH dan juga PN untuk mengolah sokongan kumpulan masing-masing.

Adalah dipercayai tawaran yang dibuat untuk mengumpan Adun terbabit melibatkan jumlah wang yang mencecah jutaan ringgit, selain habuan-habuan lain.

Betullah, memang untung berjual beling orang daripada berniaga unta!

Tawaran tersebut juga sebenarnya tidak memadai untuk mencairkan hati Adun. Justeru broker-broker politik itu mencari beberapa kelemahan peribadi dan hubungan mereka dengan pimpinan dalam parti.

Rasa tidak puas hati dengan pemimpin tertinggi di peringkat negeri akan digunakan sebagai racun yang mematikan semangat berjuang bersama.

Oleh itu, broker terbabit membuat semakan dan kajian tentang krisis dalaman yang berlaku dalam parti-parti PH atau PN. Mereka akan berperanan sebagai batu api bagi membakar segala jambatan yang ada.

Tujuh exco mengadap Sultan Perak

PN hanya perlu mencuri dua Adun PH untuk menafikan peluang Peja kembali sebagai menteri besar Perak dan membentuk kerajaan negeri.

Untuk mendapat majoriti mudah di DUN Perak, sesuatu kumpulan memerlukan 30 orang Adun. Oleh itu, PN sedang berusaha melobi dan meraih sokongan daripada Adun PH.

Amanah kini mempunyai lima Adun selepas Hasnul - yang juga bekas Ketua Pemuda Amanah Nasional - mengisytiharkan dirinya sebagai Adun bebas.

Apabila nama Peja tidak tersenarai dalam kabinet Muhyiddin Yasin, dia tidak ada pilihan selain tetap bertapak dan berakar di Perak. Ini adalah faktor yang sangat kuat untuk Peja terus mempertahankan tuntutannya sebagai menteri besar.

Tambahan pula Johor yang dahulunya dipegang oleh Bersatu kini terlepas dari genggaman dan sudah dicengkam Umno.

Selain untuk menempatkan diri dalam kerajaan, Peja juga terpaksa mempertahankan maruah Bersatu-Muhyidin dalam keadaan ini. Ia bukan soal peribadi Peja sendiri semata-mata tetapi maruah partinya.

Pukul 10 pagi tadi, Presiden Amanah Mohamad Sabu mengadakan pertemuan dengan semua Adun Amanah di Ipoh. Semalam Adun PH sudah mengadakan perbincangan sesama mereka.

Ada kemungkinan PH akan membuat keputusan terus menyokong Peja sebagai menteri besar Perak walaupun ada suara-suara yang menentang pendirian tersebut. Tunggulah.

Kira-kira jam 5 petang ini, tujuh bekas exco Perak akan mengadap Sultan Perak. Dipercayai pertemuan tersebut adalah sebahagian daripada usaha memecahkan kebuntuan politik di negeri itu.

Tidak diketahui mengapa tiga bekas exco lain yang meninggalkan parti mereka - Hasnul, Yong dan Yunus - tidak dipanggil. Terdahulu, Saarani Mohamad mengadap sultan dan menyampaikan nama calon menteri besar atas nama Umno.

Sebagai rakyat biasa, teruslah bekerja dan membanting tulang empat kerat kita demi sesuap nasi anak-anak isteri. Sebagai petani, teruslah menanam padi dan sayur-sayuran di tanah kalian. Semoga tumbuh-tumbuhan mendoakan kebahagian kita semua.

Sebagai kerani, kekalkan usaha mengurus kerja-kerja kepejabatan. Sebagai orang tua, berdoalah.

Sebagai penulis, inilah yang mampu saya catatkan. Sejarah pengkhianatan dan persaingan kuasa yang membunuh kemanusian. Kemanusiaan telah mati. Bukan demokrasi yang mati.

DR MUHAIMIN SULAM ialah pencatat sejarah suka dan duka bangsa. Daripada pensyarah universiti, penyair, aktivis politik dan budaya kini dia menjadi penghuni tanah perkebunan di pinggir kota Melaka.

Umno tak selesa Azmin jadi menteri kanan, kata Tajuddin

Haspaizi Zain

Umno berasa kurang selesa dengan tindakan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, meletakkan bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali sebagai menteri kanan.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman, berkata tindakan Muhyiddin memilih Azmin sebagai menteri kanan - dan akan mempengerusikan mesyuarat kabinet ketika ketiadaan perdana menteri - merupakan penerusan agenda Bersatu.

Malah, ahli parlimen Pasir Salak itu tidak menolak kemungkinan ada sesuatu yang lebih daripada itu.

"Ini adalah isyarat yang tidak bagus. Umno tidak berapa selesa melihat perkara itu.

"Bagi saya (pelantikan Azmin sebagai menteri kanan) itu sebagai penerusan agenda Bersatu, dan mungkin lebih daripada itu," katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat MT Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Untuk rekod Azmin ialah bekas timbalan presiden PKR yang berpaling tadah dan mengetuai 10 ahli parlimen lain meninggalkan parti itu untuk menjadi wakil rakyat bebas buat sementara waktu.

Tidak lama selepas itu Muhyiddin mengumumkan Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan membawa kepada jatuhnya kerajaan yang baru berusia kira-kira 22 bulan.

Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, ada menceritakan latar belakang yang membawa kepada tindakan Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari PH dalam temu bual beliau yang disiarkan Sinar Harian hari ini.

Jaga keselamatan saja

Selain Azmin, ada tiga lagi menteri kanan yang dilantik Muhyiddin iaitu Ismail Sabri Yaakob (Umno - Kementerian Pertahanan), Mohd Radzi Md Jidin (Bersatu - Kementerian Pendidikan) dan Fadilah Yusof (Gabungan Parti Sarawak - Menteri Kerja Raya).

Dalam perkembangan sama Tajuddin berkata kabinet Muhyiddin juga dilihat menyukarkan Umno berkhidmat untuk membantu rakyat.

Katanya kesimpulan itu dibuat berdasarkan portfolio yang dipersiapkan Muhyddin yang dianggap tidak menampakkan keseimbangan.

"Kita tengok jawatan yang diberikan kepada Umno pun jawatan yang tidak boleh membantu rakyat.

"Kementerian Pertanian, Kementerian Pembangunan Luar Bandar - Bersatu (yang) pegang.

"Macam Kementerian Pertahanan (yang) jaga keselamatan saja, dan apa yang boleh kita bantu rakyat di kampung-kampung yang melibatkan petani dan nelayan?" katanya.

Dalam pembentukan kabinet Muhyiddin baru-baru ini, seramai sembilan orang pemimpin Umno diberikan jawatan menteri dan sembilan timbalan menteri di sebalik jumlah ahli parlimen parti itu seramai 39 orang.

Bersatu pula - selain Muhyiddin - menguasai 10 kementerian dan 14 pemimpinnya ditempat sebagai timbalan perdana menteri. Jumlah ahli parlimen Bersatu ialah 30 orang.

Presiden dan timbalan presiden Umno tidak termasuk dalam kabinet Muhyiddin.

Kata Tajuddin, tanpa keseimbangan dari segi portfolio kepada Umno, ia akan menjejaskan kedudukan parti itu dalam politik negara.

Sebelum ini ada beberapa pemimpin kanan Umno dan bekas menteri menyuarakan rasa tidak puas hati dengan komposisi kabinet Perikatan Nasional (PN) itu.

Anggota Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor, misalnya menyifatkan kerajaan PN mengetepikan kepentingan Orang Asli apabila gagal melantik sebarang wakil masyarakat itu.

Katanya, masyarakat Orang Asli bukan sahaja kumpulan yang paling miskin dan mundur di negara ini, tetapi kini suara politik mereka yang julung kali hadir di persada politik negara "terus dikuburkan.”

Ada sebab tertentu

Turut meluahkan rasa tidak puas hati adalah bekas menteri Umno, Azalina Othman Said.

Katanya, gabungan kerajaan harus berdasarkan perwakilan yang seimbang dan bukannya didominasi oleh satu parti.

Ia kemudiannya disusuli dengan kenyataan veteran Umno, Shahrir Samad, yang tampil mendakwa semangat en bloc PN hilang dalam barisan jemaah menteri selepas Muhyiddin diumumkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri kelapan.

“Keputusan dan tindakan secara en bloc oleh BN bersama PAS berjaya dilaksanakan sehingga perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk Muhyiddin menjadi perdana menteri.

“Tetapi apabila tiba kepada peringkat perlantikan anggota jemaah menteri, seolah-olah sudah kehilangan pula semangat en bloc itu,” kata veteran Umno itu dalam satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, Azalina ketika ditemui selepas mesyuarat tersebut mendakwa Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi penjelasan berhubung kedudukan Umno dalam kabinet PN.

Jelasnya, ada sebab tertentu mengapa ia dibuat sebegitu dan Umno akur dengan keputusan tersebut selagi kebebasan bersuara dan menegur kerajaan tetap dibenarkan.

Bagaimanapun Azalina tidak menjelaskan sebab tertentu yang dimaksudkannya.

"Presiden telah memberikan penjalasan tentang perkara ini dan kita menerimanya. Apa yang penting suara parti akan dibawa ke kabinet oleh menteri Umno.

"Kita akan terus menjadi suara dan telinga rakyat dan akan terus menegur dan mengkritik kerajaan," katanya.

Anwar Ibrahim perlu ketuai Harapan, pertahan mandat rakyat

AKMAL MANAF
Kedudukan kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional (PN) sebagai parti pemerintah semakin rapuh dengan pengkhianatan terhadap mandat rakyat tanpa komitmen dan hala tuju yang jelas.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasir berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu kekal konsisten dengan prinsip dan perjuangan bagi mempertahankan hak dan kepentingan rakyat.

“Kami kekal komited dengan dasar dan pendirian Pakatan Harapan dan PKR iaitu Malaysia sebagai negara berbilang bangsa dan fokus kepada isu-isu rakyat.

“Bagi mempertahankan prinsip-prinsip ini, wajarlah untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan mengetuai usaha untuk mempertahankan mandat rakyat dan berhadapan dengan PN.

“Semoga ahli-ahli Parlimen lain yang kekal berprinsip dan tidak mahu bersekongkol dengan pembelot, dapat kekal bersama dengan perjuangan Pakatan Harapan dan mendokong kepimpinan saudara Anwar Ibrahim,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru menambah, perebutan politik dalam kalangan PN akan terus berlaku dalam keadaan negara berdepan dengan situasi ekonomi yang tidak menentu dan ancaman wabak Covid19.

Kronologi terperinci krisis politik Pakatan Harapan-Bersatu

DR MUHAMMAD FAIZ NA'AMAN
*Dari kacamata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan maklumat dari majoriti ahli MPT lain.

Sebanyak 131 surat Akuan Bersumpah (SD) telah berjaya dikumpul hasil rundingan pihak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan Umno-Pas sejak hampir setahun lalu.

Rundingan itu melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Pak Wan) dan Dato’ Seri Hamzah Zainuddin selaku antara wakil BERSATU serta ia direstui oleh Pengerusi Parti BERSATU Tun Dr. Mahathir (Tun M) sejak awalnya dan sentiasa dilaporkan perkembangannya dalam beberapa mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti BERSATU selama ini.

Ia sebagai persediaan agar Tun M mempunyai alternatif andai Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang diadakan pada Jumaat 21 Februari lalu mendesaknya agar meletak jawatan serta-merta. Namun, ia tidak berlaku. Seolah-olah pihak Pakatan Harapan (PH) telah menghidu usaha tersebut.

Pihak Umno pula melalui Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba-tiba meletakkan syarat baru kepada BERSATU agar menerima mereka secara “en-bloc” (keseluruhan) atau jangan terima langsung dan ia perlu diterima sekarang juga, bukan ditangguhkan.

Menyedari pihak sebelah Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) juga giat melobi ahli-ahli parlimen terutama dari Sabah dan Sarawak, maka satu mesyuarat khas MPT BERSATU telah diadakan pada Ahad pagi 23 Februari untuk membincangkan kewajaran BERSATU keluar dari PH untuk menjatuhkan kerajaan PH bagi menghalang DSAI daripada menjadi Perdana Menteri, dan bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (BERSATU + Muafakat Nasional) secepat mungkin.

Dalam mesyuarat MPT Ahad itu, majoriti ahli MPT menyokong BERSATU keluar dari PH namun Tun M tidak rela BERSATU menerima Umno secara “en-bloc” untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Tun M tegas dengan prinsip tidak mahu menerima para perasuah dan Orang Kena Tuduh (OKT) yang masih berjawatan dalam Umno. Ia menyebabkan TSMY dan majoriti ahli MPT berada dalam dilema kerana jika BERSATU terus kekal dalam PH maka sokongan Melayu terhadap BERSATU akan makin merosot disebabkan sentimen anti DAP di kalangan kaum tersebut.

Ini telah diterjemahkan melalui prestasi buruk PRK-PRK yang melibatkan calon dari BERSATU. Keputusan mesyuarat Ahad itu ialah majoriti ahli MPT bersetuju untuk bawa keluar BERSATU dari PH dan memberikan masa kepada Tun M seperti yang dimintanya untuk berfikir.

(Langkah Sheraton tidak signifikan untuk diceritakan memandangkan ia sekadar jemputan makan malam oleh pihak Datuk Seri Azmin Ali tanpa sebarang pengumuman penting. Tun M telah dijemput tetapi tidak hadir)

Namun, keesokan harinya, pada 24 Februari, Tun meletak jawatan sebagai PM dan Pengerusi Parti BERSATU tanpa sebarang notis awal kepada MPT dan TSMY. Maka, TSMY secara cepat mengumumkan BERSATU keluar dari PH sepertimana keputusan mesyuarat khas MPT sehari sebelum itu bagi mengelakkan DSAI ada sokongan majoriti dan sempat ke Istana Negara untuk ditabal menjadi Perdana Menteri ke-8 (PM8).

Maka, satu mesyuarat khas kecemasan MPT diadakan pada malam hari yang sama (Isnin) bagi membincangkan perkembangan politik terkini. Dalam mesyuarat tersebut, sekali lagi TSMY dan Pak Wan membuat penjelasan kronologi usaha rundingan dengan Umno-Pas dan kewajaran untuk BERSATU keluar dari PH.

Syed Saddiq dan Ulya terus mempersoal langkah TSMY tersebut manakala Akhramsyah tetap bertegas mahu Tun M sebagai PM8. Datuk Seri Mukhriz (DSMM) pula cuba mempertahankan kehendak ayahandanya yang hanya mahu menerima ahli Umno secara orang perseorangan, bukan secara “en-bloc”.

Keadaan sedikit beremosi apabila TSMY mempertahankan tindakannya yang mahu menyelamatkan BERSATU dari kehancuran serta dilema yang dihadapinya kerana bertentangan dengan prinsip Tun M.

TSMY dan Pak Wan juga ada memberitahu mesyuarat tentang Plan B iaitu Umno-Pas boleh menerima TSMY sebagai PM8 andai Tun M tidak dapat menerima Umno hingga ke akhir.
Mesyuarat tersebut tamat dengan keputusan bersama untuk menolak peletakan jawatan Tun M dan memujuknya untuk kembali sebagai Pengerusi Parti BERSATU serta menyokong Tun M untuk jadi PM8.

Keesokannya, Biro Politik Parti BERSATU telah membuat kunjungan ke atas Tun M dan memujuk beliau kembali sebagai Pengerusi Parti BERSATU. Tun M memberi respon akan mempertimbangkannya.

Dalam waktu sama, Tun M telah dilantik sebagai PM Interim (sementara) oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Pihak YDPA pula menitahkan untuk menemuduga setiap 221 orang ahli-ahli parlimen negara ini (sila rujuk: http://www.astroawani.com/berita-politik/221-ahli-parlimen-selesai-menghadap-yang-di-pertuan-agong-231801) untuk menilai sokongan mereka sama ada menyokong Tun M membentuk kerajaan perpaduannya, atau memilih watak lain sebagai PM8 atau bubar Parlimen untuk diadakan Pilihanraya Umum (PRU).

Ketika ini Umno-Pas menarik balik sokongan mereka kepada Tun M sebagai PM8 kerana konsep kerajaan perpaduan yang ditawarkan oleh Tun M tidak menepati agenda kerajaan Perikatan Nasional yang mahu ditubuhkan. PH telah mengumumkan calon PM8 mereka ialah DSAI.

Malangnya, hasil temuduga YDPA tersebut tidak memihak kepada Tun M, manakala pihak PH (DSAI sebagai PM) mendapat lebih 90 undi dari ahli-ahli parlimen, cukup untuk membentuk kerajaan minoriti sahaja (sila rujuk: https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/222450). Sementara itu Umno-Pas terus meminta agar diadakan PRU.

Maka TSMY dan sebahagian ahli-ahli MPT bersetuju untuk terus ke Plan B iaitu membuat Perikatan Nasional, dengan TSMY sebagai PM8 yang disokong oleh Umno-Pas. Ketika ditemubual oleh media, Tun M menyatakan OK jika TSMY mahu menjadi calon PM8 asalkan mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat (sila rujuk: http://www.astroawani.com/berita-politik/jika-semua-orang-pilih-muhyiddin-saya-ok-tun-mahathir-231936.

Tun M juga mengumumkan mahu sidang khas Dewan Rakyat diadakan untuk menentukan PM8 pada 2 Mac nanti. Pengumuman Tun M tersebut mendapat teguran banyak pihak yang menyatakan hanya YDPA yang layak menitahkan sidang khas Dewan Rakyat, bukannya PM Interim (sila rujuk: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/02/660108/umum-sidang-parlimen-cabar-hak-kuasa-agong-majlis-presiden-ph).

YDPA telah memanggil Raja-Raja Melayu untuk bersidang mencari penyelesaian terbaik untuk krisis politik ini (sila rujuk: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/raja-raja-melayu-bersidang-di-istana-negara-esok-231895). Dikatakan lima orang Raja-Raja Melayu menyokong TSMY menjadi PM8, namun prosedur perlu diikuti seperti pengumpulan SD yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Satu pertemuan diadakan di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur pada Jumaat 28 Februari antara Tun M dan semua 36 orang ahli-ahli parlimen dari BERSATU dan kumpulan pro Datuk Seri Azmin Ali untuk mencalonkan PM8 dari BERSATU.

Tun M dilihat meninggalkan pertemuan itu lebih awal kerana mahu berkecuali. Keputusannya ialah majoriti bersetuju untuk menyokong TSMY sebagai calon PM8 mewakili BERSATU bagi mengadap YDPA (sila rujuk: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/02/28/agong-akan-panggil-ketua-parti-selepas-tiada-majoriti-ketara/)

Ketika pihak Perikatan Nasional sedang mencukupkan SD terkini untuk membentuk kerajaan, Tun M pula kembali kepada PH setelah dipujuk anaknya Marina (sila rujuk: https://www.capitalpost.com.my/2020/02/29/marina-mahathir-punca-pendamaian-tun-m-dengan-ph/) dan dipilih sebagai calon PM8 oleh pihak tersebut.

Ketika itu, propaganda TSMY adalah pengkhianat kian dimainkan oleh para fanatik Tun, cytro-cytro di Facebook dan budak-budak Saddiq dalam ARMADA. Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula mengumumkan menyokong PERIKATAN NASIONAL (sila rujuk: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2020/02/660719/gps-sokong-muhyiddin-kekal-parti-mesra-perikatan-nasional).

Akhirnya, Istana Negara mengumumkan bahawa YDPA berkenan melantik TSMY sebagai PM8 pada 29 Februari kerana percaya bahawa TSMY mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli parlimen (sila rujuk: https://www.sinarharian.com.my/article/71977/KHAS/Peralihan-Kerajaan/Agong-pilih-Muhyiddin-sebagai-Perdana-Menteri).

Tidak berapa lama setelah itu pihak PH pula menyatakan bahawa mereka pula yang ada sokongan majoriti ahli-ahli parlimen. Maka, fitnah kononnya TSMY menipu jumlah SD mula ditularkan oleh pihak PH.

TSMY angkat sumpah selaku PM8 pada 1 Mac manakala Tun M telah tidak lagi diterima mengadap YDPA. Ketika ini DSMM telah keluar dari group WhatsApp MPT setelah mempersoalkan jumlah sokongan ahli-ahli parlimen dari BERSATU terhadap TSMY di mana ia telah dijawab oleh TSMY dengan jelas.

Tun M dan DSMM membuat sidang media menuduh TSMY sebagai pengkhianat (sila rujuk: https://www.sinarharian.com.my/article/72064/KHAS/Peralihan-Kerajaan/Muhyiddin-khianati-persaudaraan-kesetiaan) dan kononnya TSMY telah lama mahu menjadi PM.

Tun M juga menuduh Anwar sebagai “gila-gila” mahu jadi PM (sila rujuk: http://www.astroawani.com/berita-politik/anwar-memang-gila-gila-nak-jadi-perdana-menteri-tun-mahathir-232241) hingga menyebabkan kerajaan PH akhirnya jatuh.

*Penulis ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Muhyiddin gadai Johor untuk jawatan PM

AMNI JAGAT
Lumrah untuk membuktikan sesuatu perjanjian yang sulit, pasti cagaran juga besar. Hakikatnya pengadaian sesuatu hak itu akan dibuat sebagai tanda perjanjian telah termaktub dan terlaksana dengan berjaya. Angan-angan dan cita-cita yang besar pula akan menenggelamkan segala prinsip yang selama ini dipegang.

Atas alasan semangat bangsa dan agama – kononnya – perjanjian menyerahkan Johor kepada Umno dibuat. Inilah yang berlaku sehingga Muhyiddin Yassin terpaksa menidakkan orang yang paling taat kepadanya di Johor (Sahruddin Jamal) dan menggadaikan partinya untuk mengejar angan-angan serta cita-citanya.

Apalah sangat jawatan MB Johor jika hendak dibanding dengan jawatan Perdana Menteri Malaysia. Pasti ukurannya sejauh langit dan bumi. Namun yang tidak menjadi bijaknya apabila parti PPBM yang sebelum ini menjadi ‘abang besar’ di Johor terus dibuli.

Bagaimana pembulian ini boleh berlaku? Jawapannya ada pada Presiden PPBM sendiri yang membiarkan ahli serta orang bawahan parti itu menjadi mangsa. Masa telah menceritakan segalanya bahawa Umno bukanlah rakan yang baik untuk berkerjasama.

Parti purba itu sebelum ini telah lama menonjolkan diri mereka sebagai pengkhianat sejak sekian lama serta matlamat parti itu hanyalah demi kepentingan dan kuasa. Jelas perkara itu disenaraikan dari satu babak ke babak yang lain.

Sebelum ini Umno ketika kuat di tahun 2004 yang lalu, tidak terlintas pun di kepala pemimpin mereka untuk bergabung dengan parti melayu seperti Pas dan parti-parti yang lain. Selepas kekurangan kuasa pada tahun 2008, mereka mula berdagang wakil rakyat.

Pada tahun 2013, perjanjian-perjanjian sulit seperti Penyatuan Ummah mula didengari berbisik dengan pertemuan belakang kelambu bersama pemimpin Pas ketika itu (sebagai parti majoriti melayu) wujud.

Dalam sejarah itu, ‘master mind’nya adalah Hassan Ali dan Nasharudin Mat Isa yang telah diambil tindakan oleh partinya dan akibat dari syak wasangka yang memuncak, akhirnya parti itu terpecah dua menjadi Amanah dan Pas hari ini.

Ramai mengetahui sejarah ini dan pastinya tok dalang perpecahannya adalah Umno. Membuat perjanjian dengan Umno samalah erti seperti menerima hantu raya dari keturunan yang terdahulu. Jika kita membelanya kita akan terkorban dan jika kita menolaknya kita akan berlawan sehabis daya dengannya.

Perkara ini telah jelas terpampang apabila perjanjian untuk berkawan atau membela Umno itu wujud di Johor dengan korban yang terpaksa digadai adalah sebuah maruah perjuangan PPBM. Bukan sahaja maruah malah jawatan tertinggi di negeri, suara ahli bawahan terus dibisui dan yang paling malang sekali pastinya tindakan membela Umno itu akan mengecilkan kekuatan PPBM.

Terbukti juga apabila kita menolak hantu raya tersebut, perlawanannya pasti sengit. Namun perkara itu boleh diselesaikan dengan mewujudkan pertahanan yang kuat untuk berhadapan dengan perlawanan tersebut agar diri kita terbela dari segenap serangan lawan tersebut.

Ternyata, bila diri lemah pastinya mudah kita mengaku kalah dan akhirnya prinsip serta jati diri yang utuh akan terkorban. Hantu raya yang dimaksudkan pastinya akan dibela dan menjadi kawan yang akan memakan diri.

Itu perumpamaan dari sejarah orang-orang dulu. Perumpamaan itu tepat dan layak untuk ditujukan kepada tindak tanduk Muhyiddin yang awal-awal mengalah kerana merasakan gagasan PH sebelum ini tidak kuat untuk menangkis gelombang perkauman dan sentimen agama yang dimainkan oleh Umno bersama Pas.

Mungkin itu alasan untuk membenarkan perlakuan Muhyiddin dalam mencapaikan cita-citanya. Alasan sebegitu adalah alasan orang malas dan sombong. Luahan hati orang bawahan seperti ahli biasa PPBM tidak langsung didengari oleh Muhyiddin dan ini jelas.

Usaha Presiden PPBM itu juga dilihat lemah untuk menyakinkan orang melayu terhadap parti yang dinaungi beliau. Akhirnya pengabungan dengan Umno dilakukan dengan melacurkan jawatan MB Johor kepada Umno sebagai galang ganti untuk mendapatkan jawatan PM.

Hujah dan suara ahli PPBM yang mendedahkan rasa tidak puas hati mereka telah menimbulkan persoalan di mana Muhyiddin pada hakikatnya membuat keputusan tanpa mengira kesan jangka masa panjang parti PPBM yang pasti akan dimakan oleh Umno.

Dari segi percaturan pembahagian exco pun dilihat berat sebelah dengan meletakkan 4 Adun PPBM sahaja dalam barisan jawatankuasa negeri itu. Selebihnya empat dari Umno, satu MIC dan seorang bebas.

Kedudukan Umno dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan adalah lima (termasuk MB) dan ini membawa maksud bahawa dalam konsesus itu, PPBM akan menjadi minoriti apatah lagi sekiranya Umno bergabung dengan MIC dan mampu berdagang dengan seorang dari Bebas itu.

Pastinya PPBM akan menjadi empat berlawan dengan tujuh. Bagaimana teorinya untuk menunjukkan bahawa dalam pembahagian ini PPBM akan menjadi juara untuk membawa matlamat dalam perjuangan mereka sedang suara mereka hanya minoriti dalam perkongsian kuasa bersama Umno.

Sudah pastinya Umno hanya akan mempergunakan PPBM sebagai alat untuk mereka terus kekal berkuasa setelah hilang segala-galanya pada 9 Mei 2018 yang lalu. PPBM seharusnya mengekalkan kuasa mereka dalam PH kerana pastinya platfom bersama PH lebih mencerahkan peluang mereka untuk membina kekuatan parti berkenaan.

Muhyiddin juga harus berhati-hati dengan sabotaj dari ahli partinya sendiri kerana baraan ketidak puasan hati ahlinya kian marak untuk menunjukkan sikap terhadap tindakan Presiden mereka. Ahli PPBM juga mampu untuk berfikir panjang sehingga ada yang meluahkan pandangan soal pembahagian kerusi pada PRU kelak.

Ternyata fokus kemenangan untuk ketiga-tiga parti melayu (Umno, Pas dan PPBM) adalah di kawasan melayu di mana kawasan tersebut adalah kerusi yang bertindan pada PRU yang lalu. Ada pula yang bersuara soal gagasan yang dibuat di peringkat pusat tidak jelas dan rapuh tidak seperti PH atau BN.

Kita akan perlihatkan suatu sabotaj yang kuat bakal berlaku dari dalam PPBM di Johor kerana masih wujud golongan yang bermaruah dalam parti muda tersebut. Ada yang memberikan respon kepada saya berkenaan dengan pergolakkan yang dahsyat sedang berlaku dalam PPBM. Nantikan!

MB Selangor penyokong tegar pengkhianat bertukar kulit?

MB SELANGOR, WAJAR DIKEKAL ATAU DITUKAR?
Shahbudin Husin

Setelah sebelum ini memberi pelbagai alasan untuk tidak mengadakan Konvensyen PKR di Selangor, Pengerusi PKR negeri, Amirudin Shari akhirnya dilaporkan setuju ia diadakan pada pagi Ahad, 22 Mac depan di Dewan Hamzah, Kelang.

Tetapi, konvensyen yang bakal diadakan ini bukan saja dikira sudah terlewat kerana Kongres Nasional PKR sudah pun dilangsungkan di Melaka pada Disember lalu, tetapi juga menampakkan Amirudin benar-benar penyokong totok kepada Azmin Ali.

Sepanjang Azmin masih ada dalam PKR, beliau bukan saja memberi pelbagai alasan dan menangguh-nangguhkan konvensyen di Selangor, malah dalam beberapa majlis yang memperlihatkan bekas Timbalan Presiden PKR itu menghentam Anwar Ibrahim, beliau sering saja memperlihatkan kehadirannya.

Berikutan sikapnya itu, sebelum PKR mengadakan kongresnya di Melaka itu, hanya Selangor satu-satunya negeri yang tidak mengadakan konvensyennya.

Kini, hanya setelah Azmin tiada lagi dalam PKR, nampaknya barulah beliau berani mengadakan konvensyen yang akan dihadiri oleh Anwar Ibrahim di Selangor.

Ikhlaskah Amirudin yang secara tiba-tiba sedia mengadakan konvensyen di Selangor?

Atau beliau mengadakan konvensyen ini semata-mata untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor?

Dalam hal ini, wajarkah Amirudin terus dikekalkan lagi sebagai Menteri Besar, walaupun beliau telah memberi komitmen untuk terus kekal bersama PKR?

Tidak mungkinkah jika terus dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor, beliau nanti akan menjadi “api dalam sekam” atau “duri dalam daging” yang boleh membuatkan PKR sentiasa bermasalah, terbakar serta hangus daripada dalam? (ShahbudinHusin 11/03/2020)

Pemilihan Bersatu: Tengoklah saya atau Muhyiddin yang menang

Malaysiakini
Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pemilihan Bersatu sebagai medan terbaik kepada anggotanya untuk memilih antara beliau dan presiden Muhyiddin Yassin.

Mahathir mengaku Bersatu berpecah dua, namun menegaskan ia berlaku dalam semua parti, lapor Sinar Harian.

“Tidak lama lagi ada pemilihan Bersatu, mungkin dia akan bertanding dan saya juga akan tanding.

“Kita tengoklah siapa menang tetapi kerajaan tidak akan jatuh.

“Orang yang menyebelahi dia pegang jawatan. Kerajaan tidak jatuh. Tinggal lagi dia mungkin tidak lagi jadi pemimpin Bersatu,” beliau dipetik sebagai berkata dalam wawancara di Putrajaya, kelmarin.

Analisis: Pertembungan Mahathir-Muhyiddin dalam pemilihan Bersatu

Sebanyak 189 bahagian Bersatu dijangka mengundi kepimpinan peringkat nasional yang baru bulan depan.

Pertembungan mereka kelihatan selepas Muhyiddin membawa Bersatu membentuk gabungan baru politik dan menjadi perdana menteri, sedangkan Mahathir mahu membentuk kerajaan tanpa parti.

Muhyiddin juga cuba menguasai Bersatu dengan mengambil alih jawatan pemangku pengerusi Bersatu yang mengabaikan kedudukan rasmi Mahathir sebagai pengerusi.

Sebulan lalu, Bersatu membayangkan tiga jawatan tertinggi parti, iaitu pengerusi, presiden, dan timbalan presiden, yang dipegang oleh Mukhriz Mahathir, tidak akan dipertandingkan.

Tetapi kelihatan perkembangan mutakhir menunjukkan aturan ini telah berubah.

Anwar masih aset PH, tetapi DAP ‘mesti dikawal’, kata penganalisis

Nicholas Chung
PETALING JAYA
: Dua ahli akademik tidak bersedia menyifatkan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin politik yang gagal selepas partinya hilang kuasa kerajaan persekutuan dengan berkata, beliau paling berkemapuan memastikan kelangsungan Pakatan Harapan (PH).

Azmi Hassan dan Awang Azman Pawi memberitahu FMT bahawa mereka tidak melihat orang lain, termasuk Dr Mahathir Mohamad, lebih berkemampuan daripada Anwar untuk memimpin PH yang kini menjadi pembangkang semula.

Bagaimanapun Azmi berkata, presiden PKR itu perlu membuktikan kemampuannya mengawal DAP sebagai anggota gabungan PH.

“Anwar perlu menunjukkan bahawa PKR di bawah kepimpinannya masih merupakan parti yang berwibawa, dan untuk itu beliau mesti membuktikan kebolehan untuk mengawal DAP,” kata pensyarah UTM itu kepada FMT.

“Liabiliti yang dihadapinya kini ialah nyawa politik beliau bergantung kepada DAP. Ini kelemahan utamanya di mata orang Melayu. Beliau perlu mengatasi masalah ini dengan membuktikan sebaliknya.”

Azmi menyifatkan Anwar sebagai “penyelamat tunggal” yang boleh diharapkan oleh PH bagi memastikan gabungan politik itu tidak berkubur.

“Pengaruh Mahathir dalam PH perlu dikurangkan,” katanya.

“Bagi saya, hanya kehadiran Anwar dalam PH boleh memungkinkan perkara itu berlaku.”

Awang Azman dari Universiti Malaya berkata, adalah tidak adil Anwar dipersalahkan atas kehilangan kuasa PH kerana beliau tidak memegang apa-apa jawatan dalam Kabinet Mahathir.

Katanya, Mahathir lebih patut disalahkan kerana beliau melengahkan penyerahan kuasa kepada Anwar, justeru membuka ruang kepada “pihak dalaman dan luaran” untuk mengambil kesempatan ke atas keadaan itu.

“Anwar masih mempunyai pengikut dan merupakan idola kepada pelbagai kumpulan umur,” katanya.

“Tanpa Anwar, PKR tidak mungkin ditubuhkan dan gerakan Reformasi tidak akan berlaku.”

Bagaimanapun James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, beliau percaya banyak pihak menyalahkan Anwar atas kejatuhan PH, terutamanya golongan kelas menengah, yang merupakan kumpulan demografi utama yang menyokong gabungan tersebut.

Chin berkata, ini merupakan peluang terakhir Anwar untuk menjadi perdana menteri kerana peluang itu akan terhapus sama sekali jika PH kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

“Tetapi masalah lebih besar ialah bagaimana untuk bertahan sebagai pembangkang sewaktu Perikatan Nasional ‘mengumpan’ ahli Parlimen PH supaya menyeberang,” katanya.

“Justeru kepimpinan sangat penting.

“Dalam jangka pendek, bahaya paling besar bukan siapakah pemimpinnya, tetapi sama ada Mahathir akan menyeberang. Kedudukan beliau tidak jelas. Beliau mungkin dan mungkin juga bukan ahli PPBM.”

Dr M, Muhyiddin bertarung rebut pengerusi Bersatu?

Malaysiakini
PEMILIHAN BERSATU |
Sebanyak 189 bahagian Bersatu dijangka mengundi kepimpinan peringkat nasional yang baru bulan depan.

Ia dikatakan boleh menjadi 'medan' baru pertembungan antara Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan Presidennya, Muhyiddin Yassin.

Susulan kerajaan PH runtuh, Dr Mahathir mahu membentuk kerajaan baru teknokrat yang tidak berdasarkan keanggotaan parti tetapi Muhyiddin berjaya menukar perancangan itu dengan bergabung bersama MP PKR yang berpaling tadah, anggota parlimen BN, PAS, GPS dan parti kecil lain.

Muhyiddin, yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac lalu, juga cuba menguasai Bersatu dengan mengambil alih jawatan pemangku pengerusi Bersatu, yang mengabaikan kedudukan rasmi Mahathir sebagai pengerusi.

Mahathir telah meletak jawatan sebagai pengerusi Bersatu pada 24 Feb lalu, tetapi parti itu meyakinkan beliau supaya terus memegang jawatan tersebut dan beliau bersetuju.

Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya mengeluarkan kenyataan pada 27 Feb yang mengesahkan Dr Mahathir masih menjadi pengerusi parti.

Muhyiddin, dalam usaha untuk menguasai Bersatu, pada 29 Feb lalu mengumumkan beliau sebagai pemangku pengerusi Bersatu, lantas mengabaikan kenyataan setiausaha agung parti pada 27 Feb.

Mengikut perlembagaan Bersatu, jawatan pengerusi mempunyai kuasa muktamad mengatasi jawatan presiden.

Langkah Muhyiddin untuk menguasai jawatan tertinggi parti itu bermakna jawatan itu kini sedang dalam pertikaian.

Bagaimanapun, ia dijangka tidak akan bertahan lama kerana anggota Bersatu akan mengundi kepimpinannya pada pemilihan parti yang julung kali bakal berlangsung pada 18 April nanti.

Seorang pemerhati yang merupakan sebagahagian daripada pihak yang dekat dengan Mahathir tetapi enggan dinamakan mendakwa bekas perdana menteri tidak akan semudahnya mengalah pada pemilihan parti dan Muhyiddin perlu mencabar beliau secara rasmi.

3 jawatan tertinggi dipertandingkan

Baru sebulan lalu, Bersatu membayangkan tiga jawatan tertinggi parti, iaitu pengerusi, presiden, dan timbalan presiden, yang dipegang oleh Mukhriz Mahathir, tidak akan dipertandingkan.

Tetapi kelihatan perkembangan mutakhir menunjukkan aturan ini telah berubah.

Bersatu, pada satu kenyataan malam tadi, berkata semua jawatan kepimpinan, termasuk tiga kerusi tertinggi parti akan dipertandingkan.

Tidak kira sama ada Muhyiddin mencabar Mahathir atau tidak, MP Langkawi bertekad untuk menyingkirkan Muhyiddin, disifatkannya telah "menikamnya dari belakang."

Pemerhati itu juga berkata Mukhriz, yang juga anggota parlimen Jerlun, mungkin akan bertanding jawatan presiden parti.

Sekiranya Mahathir berjaya mengekalkan jawatan pengerusi pada 18 April, kerajaan baru Perikatan Nasional (PN) boleh tergugat walaupun sebelum parlimen bersidang pada 18 Mei.

"Jika Tun (Dr Mahathir) menang, beliau dijangka membawa Bersatu keluar daripada PN," katanya.

Mahathir sebelum ini bertegas menentang kesediaan Muhyiddin memasukkan Umno dalam kerajaan baru, kerana beberapa pemimpinnya terpalit dakwaan rasuah dan sedang dibicarakan di mahkamah.

Bagaimanapun, Muhyiddin telah menegaskan menteri yang dilantik beliau telah dibersihkan SPRM dan tidak berhadapan pertuduhan rasuah di mahkamah.

Bagaimanapun, Mahathir masih tidak berpuas hati kerana pemimpin berkenaan kini menjadi MP penyokong kerajaan walaupun tanpa jawatan menteri.

Menjelang minggu depan, gambaran yang lebih jelas mengenai pertarungan ini akan muncul apabila senarai calon dinamakan pada 16 Mac.

Calon yang disahkan untuk pelbagai jawatan Bersatu akan diumumkan pada 23 Mac.

Dengan apa pengkhianatan ini akan dibayar?

MOHD ARIF JUHANI ABDUL RAHMAN
Mungkin inilah minggu paling sedih kepada AMANAH. Sepanjang siri pengkhianatan dilaksanakan dengan pra-kemuncaknya adalah ‘Langkah Sheraton’ sebelum berjaya menobatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, AMANAH dan DAP merupakan parti yang masih boleh berbangga dengan integriti dan prinsip perjuangan.

Tatkala rakan komponen Pakatan Harapan berdepan ujian pengkhianatan yang cukup menyakitkan perasaan, AMANAH dan DAP pada awalnya kelihatan kalis daripada ujian tersebut.

Ahli-ahli seluruh negara berbangga dengan kepimpinan AMANAH yang cukup berintegriti.

Daripada rasa bangga, tanpa sedar mungkin kebanggaan tersebut telah bertukar menjadi ujub dan angkuh dalam menilai pihak lain.

Dalam laman sosial, kita cukup megah untuk mengutuk dan menjatuhkan pihak lain yang dianggap begitu mudah curang dengan risiko perjuangan.

Pada pandangan kita, mereka tidak layak menggelarkan diri sebagai pejuang dan reformis. Disusuli rasa bangga itu, pelbagai grafik dan poster bertebaran untuk kita menyatakan rasa bangga kepada para pimpinan kita yang begitu teguh menahan ujian kemewahan yang dijanjikan oleh pihak lawan.

Kita hampir begitu yakin bahawa rakyat akan mengangkat martabat dan wibawa yang kita pertahankan selama ini. Memang dalam melakukan kebaikan, kita sering merasa puas.

Tetapi kerana kesilapan kita untuk mengenang nasib diri, kita terlupa bahawa sesiapa sahaja boleh ditimpa ujian yang sama.

Akhirnya pada 9 Mac lalu, AMANAH yang selama ini berbangga dengan kehebatan prinsip perjuangan secara mengejut menerima ujian getir.

Semuanya bermula apabila Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mengumumkan keluar parti dan menjadi Adun bebas.

Adun Titi Serong yang merupakan salah seorang Exco Kerajaan Negeri Perak sebelum ini dilihat mempunyai kualiti kepimpinan yang agak cerah untuk dibawa ke peringkat nasional pada masa depan.

Malangnya, ketidakstabilan yang melanda beberapa negeri tidak mengecualikan Perak daripada menerima tempias yang serupa.

Apakah punca beliau bertindak sedemikian sukar untuk dijawab. Memanglah ada beberapa khabar angin yang berlegar-legar tetapi tidak usahlah itu dibahaskan di sini.

Cuma dalam menghadapi pengkhianatan terbaharu ini, apakah tindakan dan sikap yang perlu kita ambil?

Apa yang menjadi kebimbangan adalah kegagalan kita sendiri itu mengambil iktibar daripada pengkhianatan ini.

Kebimbangan adalah kita masih melihat bahawa pengkhianatan itu atas kecurangan dan kelemahan pihak mereka dan tiada kaitan dengan kita.

Yang telah khianat itu adalah sahabat kita sendiri. Yang sama-sama telah mengharungi kegetiran berpolitik dan perjuangan selama ini. Selepas khianat ini adakah kita sudah memutuskan persaudaraan dengan mereka?

Sehingga artikel ini ditulis, nampaknya bukan sahaja mereka, kita juga dengan sekelip mata berubah. Daripada mengangkat martabat mereka sebagai pejuang dan pemimpin, secara drastik, kita menjadikan musuh ketat yang perlu diperangi sehabis mungkin.

Maka bertebaranlah poster-poster baru dalam laman-laman sosial yang penuh dengan perasaan benci, mengutuk, memaki hamun dan sebagainya.

Benar, tiada siapa yang bersetuju dengan pengkhianatan yang dilakukan. Tetapi sudah habiskah sekelumit rasa insaf dan sayang kepada hubungan yang terbentuk selama ini?

Justeru, kita harus bertanya semula secara jujur kepada diri sendiri, apakah jenis politik yang telah kita bergelumang selama ini?

Adakah sekadar berusaha untuk menguasai tampuk pemerintahan dan terus berusaha untuk memastikan tidak jatuh ke tangan pihak musuh?

Sampai bilakah politik kebencian dan pengkhianatan ini akan berakhir? Jika dilihat kepada senario semasa, belum nampak sebarang tanda budaya berpolitik dalam negara ini akan disuburi dengan nafas yang positif, membina dan membawa kebajikan.

Kita harus berhenti sebentar. Meneliti dahulu diri sendiri. Cermin diri. Melihat dan menilai semula perjuangan selama ini. Dari mana ingin bermula dan di manakah harus berakhir.

Pada pengkhianatan yang berlaku memang ada harga yang perlu dibayar, tetapi dengan cara apakah ingin kita bayar akhirnya?

Kelantan, Terengganu di landasan terbaik laksana hudud

N Faizal Ghazali
Jalan bagi perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2015) atau hudud sebagaimana yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 18 Mac 2015 dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002 kini terbentang luas kata seorang peguam.

Pengerusi Pertubuhan Pengamal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Proguam) Kelantan, Hisham Fauzi, peluang untuk pelaksanaan dua enakmen itu tidak lagi berdepan halangan kerana kerajaan persekutuan kini dikuasa Perikatan Nasional (PN) dengan PAS menjadi sebahagian daripadanya.

Kata Hisham, Kelantan dan Terengganu juga kini tidak lagi menjadi negeri pembangkang seperti sebelum ini.

"Kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu mempunyai wakil yang berkuasa di peringkat pusat, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, dan Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary.

"Untuk melaksanakan enakmen hudud ini, kerajaan Malaysia hanya perlu kemukakan usul pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) di mahkamah untuk meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah daripada hukuman maksimum tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan kepada tahap yang membolehkan hudud dilaksanakan.

"Kuasa untuk menyusun aturan urusan dewan adalah tertakluk kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, tetapi menteri yang bertanggungjawab ke atas parlimen mempunyai legitimasi untuk memastikan bahawa usul meminda Akta 355 boleh dibawa dan menjadi keutamaan dalam senarai aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini di Kota Bharu, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah, beranggapan masih terlalu awal untuk perbincangan mengenai perkara itu dilakukan dan pada masa sama kerajaan persekutuan perlu memberi keutamaan kepada perkara asas dalam pentadbiran terlebih dahulu.

Takkan tak boleh setuju

Sementara iti Hisham berkata, beliau antara individu yang terlibat sejak awal dalam proses penggubalan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2005).

"Kemudiannya saya juga terlibat berunding dengan kerajaan pusat ketika itu di bawah BN.

"Perkembangan sekarang adalah amat kondusif bagi perlaksanaan hudud di Malaysia dalam masa terdekat ini. Sekaranglah masanya.

"Malah bagi negeri-negeri yang belum ada enakmen hudud di semenanjung, Sabah dan Sarawak, inilah masanya untuk DUN negeri berkenaan tersebut segera menggubal enakmen berkenaan," ujarnya.

Tambah Pengarah Undang-undang PH Kelantan itu, sebagai langkah pengukuhan tambahan, menteri bertanggungjawab boleh membawa usul pindaan kepada Jadual 9 Perlembagaan Malaysia agar tiada lagi sebarang pertikaian mengenai keabsahan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2015) dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002 itu.

"Ini untuk menyelesaikan dakwaan bahawa enakmen tersebut adalah melanggar Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.

"Ia juga demi memberi jalan seluas-luasnya ke arah pelaksanaan enakmen hudud tersebut.

"Selain itu, dengan sistem whip yang diamalkan di Malaysia, sokongan keseluruhan ahli parlimen daripada PN akan dapat digemblengkan bagi menjayakan usaha yang sekian lama diidam-idam oleh PAS.

"Takkanlah ada ahli parlimen PN tak boleh bersetuju dengan usul daripada menteri PN sendiri, mereka perlu buktikan kesepaduan kerjasama," kata Hisham.

Kerajaan tebuk ikut atap: Tabik spring untuk Hadi, kata Kadir Jasin

Malaysia Dateline
"Ini memang kerja pencuri dan kaki mengendap kelas dunia - intai dan masuk ikut celah atap," tulis Kadir.
Bekas Penasihat Media kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin membuat ‘tabik spring’ kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila berkata, kerajaan yang ada sekarang bukan dibentuk melalui pintu belakang tetapi “tebuk ikut atap.”

“Yang ini saya tabik spring kepada Tuan Guru Abdul Hadi. Masuk ikut bumbung ini selalunya bomba saja buat. Sekarang Muhyiddin buat. Hebat.

Kadir mengulas berita yang disiarkan oleh Malaysia Dateline sebelum ini.

“Tapi yang perempuan dan jantan lembut tu boleh ke kerabat masuk ikut celah atap?” tulis Kadir ketika berkongsi laporan Malaysia Dateline yang melaporkan berita kenyataan Hadi.

Dalam berita itu, Hadi berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada sekarang bukan masuk ikut pintu belakang tetapi tebuk ikut atap.

Menurut Kadir, kerja masuk ikut atap ini bukan kerja orang biasa.

“Ini memang kerja pencuri dan kaki mengendap kelas dunia – intai dan masuk ikut celah atap.

“Kalau atap rumbia masuk akallah. Tapi rumah dan bangunan sekarang semua atap genting atau zink.

“Tak tahulah kalau Tuan Guru Abdul Hadi dah ajar Muhyiddin ilmu ghaib dan ilmu toyol,” tulis bekas Ketua Pengarang akhbar NST itu.

Bagi Kadir, walaupun Hadi tidak menyertai Kabinet Muhyiddin, dia mesti tahu apa yang Muhyiddin buat.

“Kalau macam tu, walaupun Tuan Guru Abdul Hadi tak dibawa masuk Kabinet, dia mesti tahu apa yang Muhyiddin buat.

“Wak Zahid macam mana? Orang Jawa pun setahu saya pandai ilmu ghaib ni.

“Jadi bukan saja pintu belakang Perikatan Nasional masuk. Semua lubang dan celah mereka masuk. Ajaib,” tulis Kadir, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu.

Kerajaan pimpinan Muhyiddin diselubungi ketidakpercayaan

MALAYSIA DATELINE
AJK Pimpinan Nasional AMANAH, Mohamed Hanipa Maidin berkata, keabsahan kabinet Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin yang ditubuhkan melalui kerajaan pintu belakang itu akan diragui bahkan sampai bila-bila.

Kata beliau, biarpun manifesto bukan keperluan mandatori, namun ia menjadi pegangan rakyat untuk melihat pencapaian sesebuah kerajaan dengan merujuk kepada manifesto yang dibuat setelah berunding dengan rakyat.

“Dengan mempunyai manifesto, kerajaan terikat dengan tanggungjawab, untuk menunaikan segala janji yang dibuat dalam manifesto tersebut.

“Dari situlah timbulnya tanggapan pentadbiran yang baik dan kerajaan yang bertanggungjawab,” kata beliau yang merujuk kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin yang tidak mempunyai manifesto.

Selain itu kata Hanipa, ketiadaan jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah jelas bertentangan dengan contoh yang diambil daripada persidangan perlembagaan Wesminister.

Jelas beliau, ia barangkali membuktikan bahawa Muhyiddin berhadapan dengan kesukaran memilih dan melantik timbalan perdana menteri yang dipercayai.

“Menurut pandangan saya, tidak keterlaluan untuk menyimpulkan bahawa kerajaan beliau diselubungi dengan ketidakpercayaan yang tinggi. Justeru, senario sebegini bakal menyumbang ke arah ketidakstabilan.

“Umum mengetahui bahawa kerajaan yang tidak stabil tidak baik bagi ekonomi, sekali gus menghalang pelabur luar datang ke Malaysia,” kata Ahli Parlimen Sepang itu.

Ujar beliau, sebaik dilantik sebagai PM, Muhyiddin berjanji kepada semua rakyat, menerusi ucapannya di kaca tv, bahawa kabinetnya hanya akan terdiri daripada mereka yang layak dan berintegriti.

“Apakah kita boleh menghubungkan integriti dengan tindakan khianat?

“Suka atau tidak, beliau hanya mampu membentuk kerajaan setelah berjaya menghianati mandat rakyat,” kata beliau.

Perkara tersebut, jelas Hanipa, merupakan fakta yang tidak boleh dipertikaikan.

Anwar perlu beri laluan kepada pemimpin muda, kata penganalisis

Robin Augustin
PETALING JAYA:
Beberapa penganalisis politik sangsi dengan kemungkinan Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan kembali berkuasa.

Ahmad Fauzi Abd Hamid daripada Universiti Sains Malaysia, Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah serta bekas pensyarah Jeniri Amir percaya Anwar tidak lagi berkarisma seperti dahulu dan beliau perlu memberi laluan kepada pemimpin muda.

Mereka mengulas laporan memetik bekas timbalan perdana menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berkata, suaminya lebih berkemungkinan mentadbir negara berbanding Dr Mahathir Mohamad, jika PH kembali berkuasa.

Katanya, PH yang baru-baru ini digulingkan akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perkara itu.

Dengan menyifatkan Anwar sebagai individu yang menjadi inspirasi kepada ramai pejuang keadilan, Fauzi berkata, penting untuk beliau tahu yang beliau sudah kehilangan sejumlah sokongan dalam beberapa tahun ini.

Beliau mendapati sesetengah penyokong tegar Anwar seperti Mohamed Azmin Ali, Kamaruddin Jaffar dan Mansor Othman, kini berpaling daripadanya.

“Relevannya sebagai simbol ketidakadilan dan penindasan ialah sesuatu yang diabadikan. Tiada orang boleh mengambilnya daripada beliau.

“Masalahnya ialah beliau masih menyimpan cita-cita menjadi perdana menteri. Tetapi disebabkan beliau sudah lama berada dalam politik, beliau mempunyai ramai musuh yang tidak selesa dengannya menjadi perdana menteri,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, PH perlu menunjukkan tiada pemimpin yang sangat diperlukan dan “Malaysia Baru” berdasarkan satu wawasan, bukannya cita-cita seorang individu.

“Anwar sudah memberikan sumbangannya, tetapi beliau tidak boleh menjadi tumpuan selamanya. Ia hanya adil untuk memberi ruang kepada pemimpin muda seperti yang dilihat di seluruh dunia.”

Katanya, beliau akan memberi nasihat sama kepada Mahathir, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam mana-mana kes, Fauzi berkata, Anwar perlu menjadi pemimpin tidak tercabar PH terlebih dahulu jika beliau mahu menjadi perdana menteri, tetapi ini dilihat tidak mungkin dengan adanya Mahathir.

Lee pula mendapati PH mengubah pendiriannya lebih daripada sekali antara menyokong Anwar dan Mahathir dalam seminggu susulan pembentukan blok oleh PPBM, Umno dan PAS.

Oleh itu katanya, lebih baik jika kenyataan Wan Azizah yang dilaporkan media datang daripada mulut Mahathir.

Beliau berkata, Anwar tidak boleh mendapat sokongan 112 ahli Parlimen – majoriti mudah yang diperlukan – untuk menyokong beliau walaupun sebelum nama Muhyiddin Yassin muncul sebagai calon perdana menteri blok baru itu.

“Adalah baik jika kita boleh melangkaui politik Mahathir dan Anwar.”

Jeniri berkata, PH perlu memilih seorang pemimpin baru untuk mara dan individu itu perlulah diterima serta dihormati rakyat Malaysia.

Katanya, PH dan PKR yang diketuai Anwar perlu melangkauinya kerana beliau tidak mendapat sokongan rakyat secukupnya, walaupun daripada partinya sendiri.

Beliau berkata, krisis politik baru-baru ini semuanya berpunca daripada perselisihan antara Anwar dan Mahathir.

“Mereka tidak boleh bertentang mata dan politik mereka merosakkan parti mereka. Tiba masanya untuk pemimpin baru.”

Baru semalam angkat sumpah, Annuar Musa cadang bubar Parlimen

BORHAN AHMAD
"Setelah kerosakan yg ditinggalkan PH diuruskan dan wabak covid-19 reda, kita harap pintu depan segera dibuka dengan Parlimen dibubarkan, seperti mana dari awal dimahukan oleh Muafakat Nasional."
Baru sehari angkat sumpah dan sudah menjadi menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Annuar Musa mencadangkan agar Parlimen dibubarkan.

Annuar Musa minta Parlimen dibubar melalui twitter beliau.

Dalam satu kenyataan melalui twitter beliau, Anuar yang juga Setiausaha Agung Umno itu berkata, “Kita serah pada rakyat, sejauh mana rakyat mahu geng bersama DAP ini.”

Dalam ciapan yang dibuatnya pada jam 8.09 pagi ini, Annuar menulis, “setelah kerosakan yg ditinggalkan PH diuruskan dan wabak covid-19 reda, kita harap pintu depan segera dibuka dengan Parlimen dibubarkan, seperti mana dari awal dimahukan oleh Muafakat Nasional.”

Annuar bersama 69 lagi anggota jamaah menteri dan timbalan menteri mengangkat sumpah petang semalam di hadapan Yang Dipertuan Agong.

Langkah beliau meminta agar Parlimen dibubarkan selepas berada dalam barisan Kabinet Muhyiddin mengejutkan banyak pihak.

“Apakah Annuar dan Umno tidak yakin dengan kabinet Muhyiddin atau tidak tahan dengan gelaran pintu belakang yang diberikan kepada kerajaan Perikatan Nasional ini,” kata seorang penganalisis politik, Mohamad Azlan Zainal.

Azlan, Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre berkata, apa yang berlaku umpama “rumah siap, pahat berbunyi” membayangkan Umno tidak berpuashati dengan apa yang berlaku dalam kerajaan Muhyiddin ini.

Katanya, tindakan Muhyiddin mengenepikan pemimpin utama dalam Umno termasuk Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hassan sudah tentu menyebabkan Umno tidak berpuashati kerana Kabinet ini dikuasai oleh Muhyiddin, padahal Umno paling ramai ahli Parlimen.

PAS JUGA TIDAK PUASHATI

Bagi beliau, Pas juga tidak berpuashati dengan Kabinet ini.

“Saya yakin tindakan memberikan portfolio Alam Sekitar bukan agama kepada timbalan presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sudah tentu merimaskan parti itu.

“Pas sudah tentu berhadapan dengan tekanan dari ahli-ahlinya, memberikan sesuatu bukan pada tempatnya. Ini satu kezaliman. Tuan Ibrahim ini ulama, kenapa jaga alam sekitar,” kata Azlan kepada Malaysia Dateline.

Kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa dia tidak dilantik ke dalam Kabinet untuk membolehkan beliau memantau pemimpin Pas yang ada dalam Kabinet juga tidak lojik.

“Bila Ustaz Hadi memantaunya sebagaimana berlaku kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu. Adakah dia pantau tindakan Exco Kelantan membeli kereta mewah dan memberi bonus kepada mereka sendiri. Ini satu tindakan yang menyusahkan Pas,” kata Azlan.

Bagi seorang aktivis Umno, apa yang dibuat Muhyiddin kepada Tuan Ibrahim adalah satu kes penganiayaan.

Melalui Facebooknya, Datuk Zaharin Mohd Yasin berkata, Menteri Alam Sekitar ini tidak ada pejabat, KSU (Ketua Setiausaha) pun tidak ada lagi.

Tulisan Zaharin dikecam oleh cybertrooper Pas, namun itulah hakikatnya.