Sedih dilayan macam sampah

Mohd Nizam Mohamad Yatim

SAUDARA PENGARANG,

TARIKH 20 Mei lalu ialah hari terakhir berpuasa sunat enam Syawal dan sepatutnya saya gembira meraikan Hari Raya Puasa buat kali kedua tetapi suasana itu bertukar pula menjadi marah.

Segalanya bermula apabila Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksinasi (JKJAV) membuka pendaftaran secara sukarela bagi vaksinasi AstraZeneca dan saya antara yang bertuah apabila mendapat slot setelah tiga kali mencuba nasib.

Niatnya satu kerana sebagai bakal jemaah haji saya perlu mematuhi arahan kerajaan Arab Saudi untuk mengambil vaksin Covid-19 sebagai persediaan sekiranya negara itu membenarkan rakyat Malaysia melakukan ibadah itu kali ini.

Bagaimanapun, sehari sebelum dicucuk vaksin AstraZeneca di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, saya menerima mesej daripada pihak berkenaan bahawa sebagai bakal jemaah haji, saya layak mendapat vaksin Pfizer di Dewan Komuniti Ampang, Selangor, esoknya.

Persoalan yang ingin saya timbulkan adalah mengenai sukarnya untuk membatalkan pendaftaran vaksin AstraZeneca.

Peliknya, nama saya tidak boleh didaftar secara bertindih dalam sistem kerana sudah pun ada rekod dalam MySejahtera untuk vaksinasi AstraZeneca pada hari sama.

Saya cuba merayu kepada petugas Kementerian Kesihatan bahawa saya perlu vaksin Pfizer seperti arahan Tabung Haji selaras dengan peraturan ditetapkan Arab Saudi untuk bakal jemaah haji dari seluruh dunia.

Malangnya, baru saya tahu aplikasi ciptaan kerajaan ini bukan sahaja tiada perasaan ihsan, malah gagal mesra pengguna apabila langsung tidak boleh membatalkan daftar rekod vaksinasi AstraZeneca.

Hakikatnya, saya jadi macam bola ditendang ke sana sini dan dilayan bak sampah dengan alasan kononnya mereka cuma akur arahan pihak atasan tanpa boleh berbuat apa-apa. 

Di manakah  keutamaan untuk bakal jemaah haji kerana tempoh sekarang amat kritikal dengan penerbangan terakhir seminggu sebelum wukuf di Arafah pada awal Julai depan.

AMREE AHMAD

Bangi, Selangor

Khairuddin nafi ditahan di SJR Perasing, akan ambil tindakan undang-undang

Malaysiakini 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali menafikan dia ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Perasing pada 16 Mei lalu.

Dalam satu kenyataan, Khairuddin juga menafikan gosip berkaitan hubungannya dengan seorang selebriti wanita dan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan berkenaan.

"Segala cerita yang disensasikan kononnya berlaku penahanan di sekatan jalan raya di Perasing termasuk gosip berkaitan hubungan dengan selebriti wanita adalah tidak benar dan berniat buruk untuk merosakkan reputasi saya.

"Tindakan undang-undang akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati menulis, menyiarkan atau menyebarkan cerita palsu serta tidak benar," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Terdahulu, media melaporkan Khairuddin diperiksa ketika melalui SJR Perasing dengan memetik kenyataan pihak polis.

Ketua Polis Terengganu, Roslee Chik ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan perkara itu, namun berkata siasatan kini diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Dev Kumar ketika dihubungi pula mengesahkan bahawa siasatan sedang dilakukan.

Namun, katanya polis membuka kertas inkuiri terlebih dahulu bagi memastikan apakah ada kesalahan yang dilakukan Khairuddin dalam kejadian berkenaan.

Beberapa hari lalu tular mesej di media sosial yang mendakwa Khairuddin ditahan ketika melalui SJR Perasing bersama usahawan tudung yang juga bekas isteri seorang pelakon terkenal. 

Kes Covid-19, cecah 13,000 kes pada 14 Jun

SHAH ALAM - Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjangkakan jumlah kes pandemik Covid-19 boleh mencecah angka 13,000 kes menjelang 14 Jun mengikut trend terkini peningkatan graf jangkitan Covid-19 di negara ini.

Berdasarkan trend tersebut, kadar kebolehjangkitan pada Sabtu sehingga 14 Jun tahun ini meningkat kepada 1.2 berikutan ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).

“Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt jangkaan mengikut kes seharian pada 28 Mei 2021 untuk seluruh negara ialah 1.15,” katanya dalam ciapan Twitter miliknya pada Sabtu.

Covid-19: 9,020 kes baru hari ini

Malaysiakini 

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat 9,020 kes baru Covid-19 yang dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak itu kini sebanyak 558,534 kes.

Berikut jumlah kes baru mengikut negeri:

Selangor - 2,836

Kelantan - 907

Negeri Sembilan - 898

Kuala Lumpur - 789

Sarawak - 726

Johor - 468

Kedah - 468

Pulau Pinang - 345

Melaka - 340

Labuan - 253

Perak - 272

Sabah - 265

Pahang - 216

Terengganu - 189

Putrajaya - 29

Perlis - 19

10 ditahan termasuk kanak-kanak merusuh guna senjata di PPR Kempas

FMT Reporters

Tangkap layar dari video berdurasi satu minit lebih memaparkan sekumpulan individu bertengkar dipercayai berlaku di kawasan lapang di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas, Johor Bahru.

PETALING JAYA: Polis menahan 10 individu termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun kerana terbabit dalam pergaduhan menggunakan senjata di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas, Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Rupiah Abd Wahid berkata, semua suspek berusia dalam lingkungan 12 hingga 45 tahun itu ditahan pada 6.45 petang semalam.

Rupiah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di kawasan lapang di PPR itu membabitkan dua keluarga yang dipercayai berpunca masalah peribadi pada Rabu lalu.

Rakaman video kejadian itu juga tular di media sosial yang difahamkan dirakam seorang individu tidak dikenali, katanya.

“Semua suspek juga diambil tindakan kerana ingkar perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Kompaun dikeluarkan kepada mereka mengikut Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2020.

“Pergaduhan yang berlaku pula disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

Terdahulu, satu video tular di media sosial berkaitan kejadian pergaduhan itu yang turut membabitkan seorang wanita dan kanak-kanak.

Video berdurasi satu minit lebih itu menunjukkan sekumpulan individu berkumpul di kawasan lapang PPR terbabit sebelum berlaku pertengkaran.

SURAT Terbuka MSO KEPADA MAHIADDIN MD YASSIN.

YAB Tan Sri Mahiaddin Md Yassin,

Pejabat Perdana Menteri,
Putrajaya, Kuala Lumpur.

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

APA khabar Tan Sri, saya mendoakan Tan Sri sihat-sihat sahaja dan terus mendapat hidayah daripada Allah SWT. Dipelihara dan diselamatkan Allah didunia dan akhirat. Surat terbuka ini merupakan surat terlanjang saya kedua untuk Tan Sri, selepas surat pertama saya tempoh hari yang saya hantar dan siarkan melalui blog ini tanggal 15 Oktober 2020. Surat itu ada juga saya muatkan dalam buku saya berjudul KEMENANGAN DIKHIANATI terbitan November 2020.
Saya tidak pasti apakah Tan Sri baca atau tidak surat berkenaan? Antara lain menerusi surat itu saya minta Tan Sri berundur daripada menjadi perdana menteri dengan alasan dan sebab-sebab yang dijelaskan. Saya jujur berharap demikian kerana sudah dapat mengagak Tan Sri akan berhadapan dengan pelbagai masalah kalau terus memegang jawatan perdana menteri.  Saya menyarankan demikian memandang Tan Sri sudah dibalun kaw-kaw oleh banyak pihak, jadi sebagai jalan keluar untuk Tan Sri, dan tidak memburukkan imej Tan Sri perlu berundur. 

Saya membuat cadangan itu bukan bencikan Tan Sri melain sayang kepada Tan Sri seperti mana kata saya, Tan Sri salah seorang tokoh atau politician yang saya hormati di negara ini. Sebelum terjadi rampasan kuasa (25 Februari 2020) penerimaan saya terhadap Tan Sri sebagai seorang pemimpin sangat tinggi. Dalam mata saya Tan Sri berbeza dengan pemimpin lain berdasarkan perwatakan dan latar belakang keluarga berpendidikan agama. Tetapi setelah berlaku kudeta dan Tan Sri menduduki kerusi panas (PM), persepsi saya turut berubah. 

Bagaimana pun saranan dan cadangan saya tersebut tidak dipedulikan oleh Tan Sri. Tiada petunjuk Tan Sri untuk berundur. Tan Sri saya lihat bahkan semakin ghairah dengan jawatan itu dan tidak takut menghadapi apa-apa masalah mendatang. Saya tahu Tan Sri ikhlas untuk membela Melayu dan negara dengan jawatan itu, tetapi kesan daripada itu tidak begitu menyenangkan. Tampaknya keberadaan Tan Sri dijawatan itu tidak banyak menyelesaikan masalah, bahkan membebankan masalah. 

Alasan Tan Sri mengambil alih kerajaan dan memusnahkan kerajaan PH kononnya hendak selamatkan KEADAAN masih belum dijelas sampai kini. Saya dan orang lain juga ternanti-nanti. Sebaliknya keadaan negara semakin teruk jadinya setelah Tan Sri menjabat jawatan PM yang sudah memasuki tahun pertama bulan kedua. 

Nasib Tan Sri kurang baik. Sebaik Tan Sri mengangkat sumpah jadi PM negara ditimpa bencana Covid-19, sehingga proklamasi darurat perlu diadakan. Dan pandemik Coronavius juga walaupun proklamasi darurat diperkenankan seakan tidak mahu reda, seolah-olah ia memberi isyarat makrifat kepada Tan Sri. Apakah itu suatu hukum karma ke atas Tan Sri, walahu'alam. 

Kini sudah setahun dua bulan Tan Sri memimpin kerajaan PN. Macam-macam orang tohmahkan kepada Tan Sri. Tagline #KerajaanGagal, nampak begitu popular dan dijaja oleh rakyat. Negara juga ditimpa berbagai bencana dan insiden yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Terbaharu ialah perlanggaran dua buah LRT dalam terowong sehingga Pengerusi Prasarana Sdn Bhd dipecat. 

Paling ketara dan ini mendukacita, kes Covid di negara kita naik mencanak setiap hari. Daripada awalanya dua angka, menjadi tiga angka dan kini sudah cecah empat angka. Semasa saya tulis surat ini kes Covid negara kita hari ini sudah mencecah 8,290 kes dengan kematian 61. Keadaan Covid negara kita lebih buruk daripada India dan terkebelakang daripada negara jiran. Saya percaya dan yakin Tan Sri anak beranak memantau setiap saat keadaan ini, dan dada Tan Sri tentu tidak pernah berhenti berdebar dan "bergerunyuk" mengenangkan Covid.

Masalah Covid sudah jadi bencana buat negara ini. Semua orang resah gelisah menghadapinya. Berbagai cadangan dan formula dikemukakan untuk mengatasinya bagi meringankan beban Tan Sri. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbulkan soal proses vaksinasi yang lembab. Sehubungan itu beliau meminta kerajaan menyerahkan "data granular" kepadanya untuk sama-sama memantau dan membuat unjuran kes lebih tepat.

Pihak Umno juga membuat cadangan dalam hubungan sama. Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azalina Othman Said meminta parlimen dibuka. Begitu juga dengan Naib Presiden Umno Datuk Mohamed Khaled Nordin. YB Lim Kit Siang juga memberi pandangan ke atas untuk menyelamatkan negara. Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga memberi idea bernasnya dengan mencadangkan agar lockdown diadakan secara bersasaran di sempadan negeri. Cuma kalaupun yang tidak bersuara apa-apa memberi cadangan hanya daripada parti agama se Malaysia. 

Teguran dan pandangan itu menjelaskan keresahan mereka yang ikhlas ingin berkongsi membantu Tan Sri meringankan beban. Malangnya Tan Sri menepis segala cadangan dan pendapat itu. Sikap degil Tan Sri ini menjadikan Tan Sri akan dimusuhi ramai. 

Berkenaan apa dilontarkan kepada Tan Sri saya yakin Tan Sri mengambil maklum setiap apa yang orang kata dan lemparkan kepada Tan Sri. Dalam wawancara khas dengan RTM 23 Mei lalu, Tan Sri mengakui ramai orang marah kepada Tan Sri, dan Tan Sri sedia menghadapinya. Malahan Tan Sri bersedia menghadapi apa sahaja demi rakyat dan negara. 

Tan Sri secara jujur saya nyatakan apabila saya menulis surat seperti ini merayu agar Tan Sri berundur bukan bermakna saya benci dan tidak sukakan Tan Sri. Tetapi saya kesian kepada Tan Sri yang sudah jelas tidak mampu untuk menstabilkan negara. Tiga aspek yang nyata, POLITIK, KESIHATAN/KESELAMATAN dan EKONOMI seakan sudah tidak terkawal dan terjangka lagi. Justeru sebagai menyelamatkan diri dan jalan alternatif terus dikecam, elok Tan Sri berundur. Resign.

Tan Sri kena sedar dan insaf bahawa keadaan politik negara dibawah Tan Sri tidak akan stabil sehinggalah Parlimen dibubarkan. Kedudukan Tan Sri hari ini bukan seperti telor di hujung tanduk lagi, tetapi sudah jatuh dan tergolek ke bawah. Cuma telor itu retak dan belum terbelah. Namun telor itu sudah buruk, busuk dan tidak berguna lagi, Tan Sri.

Tan Sri gagal mendamaikan keadaan POLITIK menyebabkan Tan Sri terus diserang dan dilanyak. Pihak pembangkang serta sebahagian kerajaan tidak henti menyerang Tan Sri. Bukan saja golongan oposisi tetapi entiti lain juga meragu keupayaan dan cara Tan Sri menghadapi masalah. Tan Sri sudah jadi macam Harimau tua yang kurus yang dikejar dan diusik oleh haiwan predator lain. Selama mana Tan Sri hendak mempertahankan diri, berlari, berlindung dalam keadaan diri sudah tidak bermaya sedangkan musuh semakin galak. Tan Sri akan keletihan. 

Begitu juga dengan keadaan EKONOMI negara tidak akan pulih dalam jangka masa terdekat, hinggalah dua tiga tahun lagi pun. Pendapatan negara kian merosot dan menguncup. Apbila Tan Sri tidak bersedia melakukan lockdown, ia adalah indikator kantung duit negara sudah kering. Pengangguran juga akan bertambah dan nasib rakyat B40 terus tertekan. Masalah sosial dan jenayah juga melambak. Walaupun angka-angka pencapaian dan ujuran dibuat oleh para menteri, tetapi ia semua adalah palsu dan tipu. Ia adalah propaganda dan umpan untuk menyakin dan melenakan rakyat sahaja. Tan Sri amat arif mengenai manipulasi dan taktik wayang gambar pacak ini. Dan rakyat pula tidak mudah percaya serta mengubah sikap menjadi positif untuk negara dengan angka-angka dimanipulasi itu.  

Dan paling mencemaskan Tan Sri ialah KESELAMATAN dan NYAWA rakyat. Unjuran dan ramalan yang dibuat oleh pihak KKM, bahawa pandemik akan meluas dan angkanya boleh sampai ke 10,000 kes sehari sesuatu menakut dan menggerunkan. Mulanya kita mengambil ringan dan dipoliticize dengan unjuran dibuat itu, tetapi hari ini ia sudah hampir tiba. Realiti sudah sampai ke hadapan kini. Dimana-mana kita nampak gamitan tangan maut Covid. 

Tan Sri rakyat tahu, sebagai manusia biasa Tan Sri tidak memiliki lampu ajaib dan diberikan mukjizat untuk menyelesaikan masalah negara seperti dimiliki para Nabi dan Rasul. Sebab itu Tan Sri menempelak pewacara dalam siaran khas, "apakah saya mampu jaga 30 juta rakyat?". Pertanyaan itu menunjukkan Tan Sri emosi dan resah. Dan orang semua tahu Tan Sri tidak dapat memberi jaminan bahawa Covid akan terhenti. Tan Sri bukan ubat dan penawar atau menjadi syarat Covid akan berhenti kalau Tan Sri berundur.  Tidak. Tetapi ada manfaatnya kalau Tan Sri berundur. Setidak-tidaknya dengan berundurnya Tan Sri rakyat mempunyai semangat dan keyakinan baru untuk mengatasi masalah negara dengan berketuakan orang baru. Rakyat akan merasa lega dan kurang tension kalau Tan Sri berundur.

Di sini saya tidak obses (melulu) mahu diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi mahukan perdana menteri tidak lagi Tan Sri. Apapun sebaik-baiknya kalau Tan Sri serahkan kepadanya. Apabila berlaku pertukaran, rakyat akan berasakan mereka mendapat semangat baru untuk berhadapan dengan Covid dan masalah sampingan lain, ekonomi dan keselamatan rakyat. Perdana Menteri baru tentu mempunyai jalan dan akal penyelesaian berbeza dengan Tan Sri. Yang penting PM itu nanti mendapat sokongan rakyat.

Tan Sri saya tahu sukar untuk Tan Sri berundur secara terhormat dan terus menyerahkan diri kepada takdir. Anologi saya kepada orang politik dan kuasa, "seperti lelaki yang berada atas perut wanita. Lelaki tidak akan turun selagi ia tidak puas." (Maaf Tan Sri, sexi sikit). Tan Sri mungkin merasa malu untuk meletakkan jawatan sebagai mengambil tanggungjawab. Sebenarnya Tan Sri tidak patut berasa malu atau terhina untuk berbuat demikian. Bahkan saya yakin ramai yang gembira dan menyanjungi Tan Sri meletak jawatan daripada Tan Sri jatuh secara paksa. Tan Sri jangan degil. Beradulah sementara angin belum kencang bertiup.

Sebagai seorang hamba yang dinamakan "Mahiaddin" (penyelamat agama) Tan Sri mengaku kelemahan dan nasib yang menimpa Tan Sri kini. Bertindaklah selaras dengan maksud dan erti nama Tan Sri itu. Kelemahan dan kelembaban kerajaan yang menjadikan kerajaan PN GAGAL, bukan sahaja kerana ulah dan perangai Tan Sri seorang, tetapi ia disumbang oleh para menteri lain. Mereka (para menteri) juga seakan tidak dapat berbuat apa-apa dan menjadi lemah apabila Tan Sri sendiri lemah. Setengahnya macam Pak Kadok atau Pandir.

Sekali lagi saya dengan ikhlas memohon Tan Sri ambillah langkah berani dan bijak dalam situasi hari ini, dengan MELETAK JAWATAN. Usah berdegil atau terus mahu menegakkan benang yang sudah kebasahan, kerana ia meletihkan dan natijah memburukan diri dan imej Tan Sri sahaja. Benang basah sukar ditegangkan semula apabila dalam hujan. Ambil contoh dan iktibar daripada kejadian dan tindakan bekas-bekas PM sebelum ini.

Apa dilakukan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi boleh dicontohi. Pak Lah apabila beliau tahu kelemahannya, dikecam dan dimaki (termasuk oleh Tan Sri sendiri) akhirnya beliau mengambil keputusan meletak jawatan. Apakah Pak Lah selepas itu menjadi hina dan tidak dihormati rakyat? Tidak, bahkan Pak Lah dihormati rakyat dan rakyat menganggapnya beliau seorang pemimpin yang soleh, dan tahu serta bijak mengetahui tarikh dan detik beliau berundur. Beliau mengambil keputusan berat itu demi survive partinya. 

Jangan hendaknya jadi seperti  Seri Datuk Najib Razak, yang berundur apabila partinya tewas dalam pilihan raya. Dan jangan juga jadi seperti Tun Dr Mahathir Mohamad yang berhenti secara taktikal yang memberi peluang kepada Tan Sri menjadi perdana menteri. Berundurlah seperti Allahyarham Tun Hussein Onn yang dilihat bermaruah dan bertanggungjawab. Allahyarham perdana menteri ke tiga itu mengambil keputusan tidak  mempertahankan jawatan selaku presiden Umno apabila menyedari ada kritikan terhadap kepimpinannya sebagai presiden Umno. 

Allahyarham Hussein tidak dan belum kalah sebagai presiden Umno, tetapi meninggalkan jawatan dan juga jawatan PM apabila ia ditentang dalam perhimpunan agung Umno untuk jawatan presiden. Cara Hussein Onn sangat bermaruah dan bertanggungjawab jauh sekali dilihat sebagai gilakan kuasa. Tan Sri berhentilah sebagai seorang imam yang tulus dan ikhlas apabila ia terbatal syarat sebagai imam, dia membatalkan sembahyang dan diserahkan kepada makmum lain yang layak menjadi imam. Imam yang baik tidak akan mengsia-siakan jemaahnya.

Akhirnya saya pohon maaf atas surat ini kepada Tan Sri. Percayalah saya tidak benci dan dengki dengan Tan Sri, saya tidak memperolehi apa-apa ganjaran daripadanya pun, melainkan memberi sedikit pandangan kalau-kalau hendak didengar demi negara tercinta ini. Tan Sri jangan lupa makan ubat. 

Sekian wassalam.


Yang benar,
MOHD SAYUTI OMAR (MSO).
Penulis Kerdil di Pinggir Kota,
Wangsa Melawati, Kuala Lumpur. 

Gadis jadi 'pemuas nafsu' bapa sejak berusia 6 tahun

Dewi Nur Harasha Alias

BUKIT MERTAJAM: Penderitaan seorang gadis berusia 18 tahun yang dipercayai menjadi mangsa rogol dan liwat bapa kandung sendiri sejak 12 tahun lalu akhirnya terbongkar apabila mangsa membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan membuat laporan dicabul bapanya yang berusia 45 tahun, Selasa lepas.

Mangsa memberitahu bapa yang bekerja sebagai juruteknik telah mencabulnya ketika berada di ruang tamu rumah mereka di sebuah apartment di Bukit Mertajam.

"Bagaimanapun hasil soal siasat lanjut ke atas mangsa mendapati dia sebenarnya dipercayai telah dipaksa melakukan hubungan seks sejak berusia enam tahun malah pernah diliwat semasa berusia 15 tahun.

"Kejadian itu dipercayai berterusan sehingga dia berusia 18 tahun. Mangsa merahsiakan kejadian tersebut daripada pengetahuan ibunya kerana tidak mahu menjejaskan hubungan kedua-dua ibu bapanya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun akibat tertekan mangsa akhirnya membuka mulut dan tampil membuat laporan polis.

Mangsa telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk pemeriksaan lanjut.

Shafee berkata, polis kini sedang mengesan suspek yang dipercayai telah melarikan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Lelaki tegur jiran Jerman tanam pokok depan rumah diugut potong tangan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Jerman mengugut mahu memotong tangan jiran kerana berang ditegur menanam pokok di hadapan rumah jirannya itu dalam kejadian di Taman Desa Permai, Klang, pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Mohd Khairi Shafie, berkata bukan hanya mengugut malah lelaki berusia 60 tahun itu menceroboh rumah jirannya dan melakukan beberapa kerosakan dalam kejadian kira-kira 7 malam itu.

“Ketika kejadian, mangsa dan isterinya berada di rumah. Lelaki itu dilihat masuk ke kawasan tempat letak kereta jirannya itu dan menyebabkan kerosakan pada tayar kereta mangsa.

“Mangsa kemudian membuka pintu rumahnya sebelum lelaki itu mengugut mahu memotong tangan mangsa,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Hasil siasatan, Khairi memberitahu mangsa sebelum ini menegur lelaki berkenaan kerana menanam pokok di hadapan rumahnya dan di taman permainan berdekatan.

“Mangsa merupakan ahli jawatankuasa penduduk taman perumahan berkenaan telah menegur perbuatan lelaki itu. Ini kerana lelaki itu tidak mengurus dengan baik tanaman yang ditanam suspek itu.

“Siasatan turut mendapati suspek sebelum ini pernah mendapat rawatan psikiatri namun telah selesai mendapatkan rawatan berkenaan. Bagaimanapun dia kadangkala sukar mengawal diri,” katanya.

Berikutan itu, polis sudah mengambil keterangan lelaki berkenaan dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 427, 447 dan 506 Kanun Keseksaan.

Sumber sahkan Tajuddin ditahan SPRM, dijangka hadapi tuduhan dalam masa terdekat

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pemimpin Umno, Tajuddin Abdul Rahman, ditahan sementara oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan kes salah guna kuasa, dan dijangka menghadapi pertuduhan dalam masa terdekat.

Menurut sumber, Tajuddin dibebaskan selepas memberikan keterangan kepada penyiasat badan anti-rasuah itu di ibu pejabat SPRM Putrajaya semalam.

Katanya, siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM iaitu berkaitan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan. SPRM mahu menyiapkan kertas siasatan untuk pertuduhan tidak lama lagi, tambahnya.

Berita penahanan Ahli Parlimen Pasir Salak itu itu menyusul beberapa hari selepas beliau dipecat sebagai bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), berkuat kuasa serta-merta.

Dalam surat kepada Pengarah Pilihan Raya Umno itu bertarikh 26 Mei, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengucapkan terima kasih kepada Tajuddin atas perkhidmatannya.

Tajuddin dilantik sebagai pengerusi Prasarana pada 11 Mei tahun lalu.

Sementara itu, FMT difahamkan selepas dibebaskan SPRM, Tajuddin pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk memberikan keterangan berhubung dakwaan melanggar SOP berkaitan pencegahan wabak Covid-19 pada satu sidang media.

Sebelum ini, polis memaklumkan siasatan berhubung SOP itu mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

(Gambar) Makhluk dari 'planet asing' ambil vaksin

COVID-19: Lelaki pakai alat pernafasan buatan sendiri tarik perhatian ramai

Sinar Harian

COVID-19: Lelaki pakai alat pernafasan buatan sendiri tarik perhatian ramai

COVID-19: Lelaki pakai alat pernafasan buatan sendiri tarik perhatian ramai

Gambar lelaki yang dirakam memakai alat pernafasan buatan sendiri di PPV Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi. -Foto Sinar Harian

LANGKAWI: Gelagat seorang lelaki memakai alat pernafasan buatan sendiri di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di sini menarik perhatian ramai sehingga tular di media sosial Facebook, sejak petang Khamis.

Gambar lelaki bersama alat 'pelik' itu yang dipercayai dirakamkan oleh seorang pengunjung yang turut berada dalam PPV sama dua hari lalu.

Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi, Dr Mansor Ismail berkata, lelaki itu disahkan hadir di PPV tersebut dua hari lepas untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 sambil memakai peralatan tersebut.

Menurut beliau, difahamkan lelaki itu mendapat panggilan untuk menerima suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

"Dia didapati berpakaian biasa dan lengkap dengan pelitup muka sewaktu tiba di kaunter pendaftaran dan menerima suntikan vaksin.

"Namun, lelaki itu dipercayai mengeluarkan peralatan dari beg yang dibawa sebelum memakainya pada muka dan kepalanya ketika berada di sesi pemantauan," katanya pada Khamis.

Dr Mansor berkata, lelaki itu tidak mengalami sebarang penyakit berkaitan pernafasan berdasarkan pengakuan yang diberikan kepada petugas kesihatan di situ.

Tambah beliau, pihaknya tidak tahu tujuan sebenar mengapa individu tersebut melakukan perbuatan itu hingga menarik perhatian ramai.

Polis tembak lelaki ‘amuk’ serang warga emas guna parang

Bernama

Mangsa ditembak selepas cuba menyerang polis. (Gambar Facebook)

KULIM: Polis menembak mati seorang lelaki yang mengamuk serta menyerang seorang lelaki warga emas menggunakan sebilah parang di Kampung Ulu Mahang, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Mohd Roze Shaari berkata kejadian berlaku pada kira-kira 11 pagi tadi, selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai satu kejadian amuk di kampung berkenaan.

“Dua anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati suspek berumur 44 tahun dipercayai berada di bawah pengaruh dadah, telah menyerang seorang lelaki warga emas di hadapan sebuah rumah hingga menyebabkan warga emas itu cedera di kedua-dua tangannya.

“Anggota polis cuba menenangkan suspek, namun suspek melarikan diri ke rumah lain yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian pertama dan terus masuk ke dalam bangsal di belakang rumah itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, hari ini.

Beliau berkata semasa memujuk suspek untuk menyerah diri, lelaki itu keluar dari bangsal dan cuba menyerang salah seorang anggota polis menggunakan parang.

“Seorang lagi anggota yang berada di situ melepaskan dua das tembakan untuk menyelamatkan rakannya. Tembakan mengenai bahagian sisi rusuk kiri suspek.

“Siasatan lanjut di dalam bangsal, menjumpai dadah serta beberapa peralatan dadah, dan penganggur itu didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau termasuk kes narkotik,” katanya.

Mohd Roze berkata setakat ini pihaknya hanya menjumpai dua kelongsong peluru di tempat kejadian dan siasatan lanjut akan diteruskan.

Katanya proses bedah siasat akan dilakukan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Wanita lengkap dua dos vaksin cetus kluster baru di Tawau

Seorang wanita berumur 53 tahun yang telah lengkap menerima dua dos vaksin pada Mac lepas, dikesan menjadi kes indeks dalam kluster baharu di Sabah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata, Kluster Desa Ranggu di Tawau itu tercetus ketika perayaan Aidilfitri, dan berdasarkan saringan kontak rapat serta kontak sosial mendapati, 17 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 18 kes.

“Wanita berkenaan mempunyai gejala sejak 15 Mei, kemudiannya disahkan positif di Klinik Kesihatan Tawau pada 20 Mei, hasil saringan bergejala. Berdasarkan siasatan awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan daripada satu kontak sosial yang berhari raya ke rumahnya, pada 13 Mei.

“Kontak sosial terbabit mempunyai rekod pergerakan ke tiga rumah di Taman Desa Ranggu serta rumah mertua di Kampung Jawa Tawau, sebelum dikesan positif pada 22 Mei. Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sementara itu Masidi berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah hari ini melaporkan sebanyak 217 kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif wabak berkenaan di negeri ini 61,274 kes, dengan terdapat satu kematian direkodkan di Kunak.

Masidi berkata terdapat peningkatan kes untuk 11 daerah di Sabah, namun catatan peningkatan kes bagi setiap daerah itu masih dalam satu angka, selain turut berlaku penurunan kes di sembilan daerah dalam julat satu angka, kecuali Tawau yang mencatatkan penurunan dalam julat dua angka.

Beliau berkata setakat hari ini, tujuh daerah mencatatkan sifar kes iaitu Ranau, Tambunan, Nabawan, Kota Marudu, Beluran, Telupid dan Tongod.

“Keberkesanan penurunan kes dalam membendung penularan COVID-19 ini sangat bergantung kepada sejauh mana kesungguhan komuniti dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kendiri dan SOP yang ditetapkan kerajaan negeri,” katanya.

- Bernama

Adakah kami ‘pelitup muka’ untuk biar Parlimen diketepikan, soal PH

FMT Reporters

PETALING JAYA: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata, darurat bukan saja tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos, sebaliknya ditamatkan segera dan Parlimen bersidang semula untuk memulihkan demokrasi.

Gabungan parti pembangkang itu yang bimbang dengan lonjakan kes melebihi 7,000 jangkitan untuk tiga hari berturut-turut berkata, keadaan itu jelas membuktikan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengekang penularan Covid-19, walaupun dengan perisytiharan darurat dan penggantungan sidang Parlimen.

Oleh itu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan bersama mendesak Jawatankuasa Khas Bebas Darurat menyuarakan pendiriannya terhadap kerajaan PN yang gagal mengekang penularan Covid-19.

“Sekiranya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat masih mendiamkan diri, PH terpaksa mempersoalkan peranan dan fungsi wakil kami di dalam jawatankuasa tersebut atau apakah kehadiran wakil kami dijadikan ‘pelitup muka’ untuk mengiakan segala penggunaan kuasa darurat yang mengetepikan Parlimen.

“Strategi menangani Covid-19 sedia ada memerlukan penjajaran semula dan Majlis Presiden mengarahkan Jawatankuasa PH berkaitan mengadakan perbincangan segera bagi meneliti dasar untuk menyelamatkan negara dari pandemik ini.”

Terdahulu, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat dilaporkan bersetuju dengan penetapan beberapa kriteria dan “threshold” dalam menilai sama ada darurat akan diteruskan atau ditamatkan.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu tidak mengulas secara terperinci isu tersebut.

Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengisytiharkan darurat untuk membendung penyebaran Covid-19 sehingga 1 Ogos atau lebih awal, jika kes dapat dikurangkan dan stabil.

PH mendakwa “lockdown” kendiri politik bertujuan menyelamatkan kerajaan PN daripada kehilangan kuasa dan dilaksanakan tanpa tanggungawab, ketelusan serta proses semak dan imbang yang memburukkan keadaan seperti dipersetujui Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said.

“Maka dalam keadaan hampir semua Ahli Parlimen telah menerima vaksin, Majlis Presiden menggesa semua Ahli Parlimen bersama menuntut agar Parlimen dibuka semula.”

Gabungan parti pembangkang itu turut membangkitkan isu pemberian vaksin pada kadar rendah disebabkan kekurangan bekalan dan pendaftaran yang menyukarkan rakyat, selepas RM70 juta dibelanjakan.

“Kadar pemberian vaksin perlu disegerakan, terutama apabila keperluan dana RM5 bilion tercapai dengan pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) tanpa kelulusan Parlimen untuk kos pembelian dan pelaksanaan.”

Azalina hari ini dilaporkan berkata, kerajaan boleh mengenakan perintah kawalan terhadap rakyat, tetapi bukannya untuk demokrasi kerana menafikan hak Ahli Parlimen untuk melibat urus dengan kerajaan bermaksud menafikan hak rakyat di negara ini.

Oleh itu, beliau menggesa kerajaan melabur bagi mengadakan sidang Parlimen secara maya ketika darurat kerana tiada cara lain negara untuk maju melainkan Parlimen dibenarkan bersidang semula.

Doktor jadi penghasut orang ramai jangan ambil vaksin, kata Exco Kedah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang doktor di Kedah dikesan menghasut orang ramai supaya tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19, kata Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dr Mohd Hayati Othman.

Katanya, doktor itu memuat naik satu video meminta orang ramai tidak mengambil vaksin Covid-19 kerana meragui status halal vaksin berkenaan.

Mohd Hayati berkata, walaupun tindakan doktor terbabit tidak melanggar etika perubatan namun perbuatannya itu tidak baik dari segi moral.

“Sebagai doktor perubatan, beliau sepatutnya membantu kerajaan menggalakkan orang ramai mendapatkan suntikan vaksin.

“Ini tidak, beliau membuat hujahan yang mungkin menyebabkan orang yang melihat video berkenaan membatalkan hasrat mendaftar atau menerima suntikan vaksin,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau difahamkan doktor itu yang juga seorang individu yang agak berpengaruh, pernah dijemput menjadi ahli panel dalam beberapa rancangan televisyen.

Mohd Hayati berkata, masyarakat diharap untuk tidak mudah percaya dengan tohmahan doktor terbabit berikutan status vaksin Covid-19 memang sudah diketahui adalah halal.

Katanya, vaksin Covid-19 sudah diijtihad sebagai halal oleh mufti di Malaysia termasuk ulama di Universiti Al-Azhar, Mesir, yang mengharuskan suntikan vaksin demi kepentingan kesihatan dan nyawa.

“Beliau (doktor terbabit) beritahu orang ramai bahawa vaksin ini, ramuannya adalah bahan daripada babi, itu sekadar hujah sedangkan mufti dan ulama ijtihad bukan dari cakap mulut, mereka ada kitab yang dirujuk.

“Begitu juga dengan audio ‘mak teh’ yang tular baru-baru ini, jangan percaya semua itu dan teruslah mendaftar dan datang pada tarikh temu janji,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya sudah memberi nasihat kepada doktor terbabit supaya menghentikan berita tidak sahih yang boleh mempengaruhi orang lain.

Langgar SOP: Siti Nurhaliza, Ustaz Don, UAI antara dikompaun

Ruwaida Md Zain

(Dari kiri) Ustaz Iqbal, Ustaz Don, Ustaz Azhar Idrus, Khalid dan SitiNurhaliza pada majlis tahnik. FOTO Instagram Siti Nurhaliza

(Dari kiri) Ustaz Iqbal, Ustaz Don, Ustaz Azhar Idrus, Khalid dan SitiNurhaliza pada majlis tahnik. FOTO Instagram Siti Nurhaliza

(Dari kiri) Ustaz Iqbal, Ustaz Don, Ustaz Azhar Idrus, Khalid dan SitiNurhaliza pada majlis tahnik. FOTO Instagram Siti Nurhaliza

Shah Alam: Penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika majlis tahnik anak keduanya, awal bulan ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, selain pasangan itu, tiga anaknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta penceramah Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal dan Ustaz Iqbal turut dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang.

Arjunaidi berkata, Norman Hakim dan Abby Abadi serta pasangan masing-masing turut dikenakan kompaun.

Senaraikan 7 menteri didakwa 'tidak berfungsi'

Malaysiakini 

Seorang pemimpin Umno hari ini menyenaraikan tujuh menteri - kebanyakannya dari Bersatu - yang didakwanya gagal memainkan peranan serius ketika negara berdepan wabak Covid-19.

Menurut ahli Majlis Tertinggi Umno, Razlan Rafii, berkata menteri-menteri terbabit dilihat gagal berfungsi secara berkesan bagi menangani wabak berkenaan.

Tujuh menteri yang disorotnya ialah Antara menteri yang dilihat gagal berfungsi ialah Menteri Luar Bandar, Dr Abdul Latiff Ahmad; Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun; Menteri Pendidikan, Radzi Jidin; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Nancy Sukri; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali.

Mengenai Nancy, Razlan berkata dia ingin tahu kenapa menteri terbabit "berlepas tangan" apabila ada kluster di kementerian berkenaan, selain mendakwa ahli parlimen Batang Sadong itu tidak turun padang.

Kata Razlan, Nancy sepatutnya melihat sendiri pelaksanaan gelembung pelancongan secara dekat dan memantau keadaan berkenaan, bukannya berpeluk tubuh ketika banyak isu timbul seperti di Genting Highlands.

"Bukankah ini dibawah tanggungjawab Kementerian Pelancongan?" katanya dalam kenyataan dibuat hari ini.

Berkenaan Azmin pula, Razlan mendakwa ahli parlimen Gombak itu berdiam diri ketika banyak kilang dikesan mencatatkan kes Covid-19.

"Kenapa tak turun sendiri melihat keadaan. Apabila pergi ke Arab Saudi, mana duit bawa masuk negara? Kenapa pentingkan gambar (mengelap lantai) daripada tanggungjawab membawa pelaburan ke dalam negara?" katanya merujuk kepada lawatan rasmi Azmin ke luar negara baru-baru ini.

Ancaman Covid-19 belum selesai

Mengenai Hamzah pula Razlan menyalahkah ahli parlimen Larut itu sebagai gagal memastikan penguatkuasaan prosedur operasi standard secara berkesan.

"Banyak sangat kluster kayangan yang langgar (SOP) tapi tindakan diambil jadi bahan lawak rakyat," katanya.

Tambah Razlan, apabila Perdana Menteri Muhyiddin Yassin gagal memakai pelitup muka Hamzah yang juga setiausaha agung Bersatu gagal memastikan pihak berkuasa mengambil tindakan sedangkan rakyat biasa dikenakan denda beribu ringgit jika mengingkari peraturan tersebut.

Razlan turut menyalahkan Abdul Latiff atas kegagalan ketua-ketua kampung di seluruh negara menggalakkan orangr amai mendaftar untuk mendapatkan vaksin.

Zuraida pula dikaitkan dengan kegiatan NGO Penggerak Negara yang didakwa Razlan lebih diutamakan bekas naib presiden PKR itu berbanding membantu rakyat berdepan ancaman Covid-19.

"Kenapa tidak melihat setiap sen yang dibelanjakan oleh NGO itu sepatutnya digunakan untuk membantu mendaftarkan orang ramai untuk vaksinasi?" katanya.

Tidak ketinggalan disentuh Razlan ialah salah seorang menteri kabinet Muhyiddin Yassin, iaitu Radzi, yang didakwa sehingga kini gagal menguruskan pengagihan komputer riba kepada pelajar.

"Masalah murid-murid masih tidak selesai," katanya.

Dalam pada itu, Razlan berkata Muhyiddin sepatutnya bertindak sebagai ketua kerajaan yang berkesan dengan mengarahkan setiap kementerian berganding bahu dalam krisis Covid-19.

"Setiap kementerian mesti diarahkan memberi fokus kepada krisis Covid-19, duit negara semakin habis, bajet pembangunan habis diedarkan.

"Apa gunanya projek-projek diagihkan sekarang sedangkan ancaman Covid-19 tidak selesai?" katanya.

Remaja perempuan lahir tanpa alat sulit


ANNABELLE Astley menghidap Sindrom Mayer Rokitansky Kuster Hauser (MRKH). - AGENSI

Sheila Rani A/P Chandrasekaran

LONDON: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang dilahirkan tanpa alat sulit berasa terhina selepas teman lelakinya membocorkan rahsia mengenai kekurangannya kepada pelajar lain di universiti.

Lapor Mirror, Annabelle Astley menyedari dia menghidap Sindrom Mayer Rokitansky Kuster Hauser (MRKH) ketika berusia 16 tahun selepas melakukan pemeriksaan di sebuah hospital kerana tidak datang haid.

Sindrom MRKH merupakan keadaan seorang wanita dilahirkan tanpa rahim dan alat sulit serta tidak boleh hamil.

Astley berkata, dia terpaksa menjalani rawatan yang menyakitkan untuk membentuk semula saluran alat sulitnya.    

Menurut pelajar teater muzikal itu, dia tidak menyangka rahsia yang diluahkan kepada teman lelakinya akhirnya tersebar dan menjadi buah mulut kira-kira 350 pelajar yang tinggal di asrama universiti tempat mereka belajar.

“Saya tidak tahu rahsia itu menjadi bahan bualan sehingga suatu hari seorang pelajar menceritakan kepada saya,” katanya,

Jelas Astley, dia kemudiannya memutuskan hubungan dengan teman lelakinya dan berkongsi kisahnya dalam TikTok bagi meningkatkan kesedaran ramai mengenai penyakit MRKH.  

Kata Astley, kisahnya menjadi tular dan menerima pelbagai reaksi, selain gembira dengan banyak sokongan positif.

Aktivis Palestin 'tawan' kilang senjata Israel

SINAR HARIAN

Dua aktivis kumpulan Tindakan Palestin ditangkap di atas bumbung sebuah kilang pembuat senjata Israel iaitu syarikat Elbit Systems di Leicester pada Isnin lalu. - Foto: VXP/Vedat Xhymshiti

LONDON - Sekumpulan aktivis kumpulan Tindakan Palestin memanjat bumbung dan 'menawan' selain mengibarkan bendera Palestin di sebuah kilang yang dikendalikan syarikat pembuat senjata Israel, Elbit Systems di bandar Tamworth, Britain pada awal pagi Selasa.

Setakat ini tidak diketahui sama ada para aktivis itu berjaya mengelakkan diri daripada ditangkap oleh polis Britain.

Kilang itu mengeluarkan sistem komputer, perkakasan dan komponen penting untuk kereta kebal Merkawa 4 yang pernah digunakan oleh tentera Israel di Gaza.

Syarikat Elbit Systems pula merupakan pengeluar senjata terbesar Israel dan ia mempunyai pejabat-pejabat dan kilang-kilangnya di United Kingdom (UK).

Para aktivis kumpulan Tindakan Palestin itu menyemburkan cat merah pada sebuah struktur bangunan kilang sebagai simbolik terhadap penggunaan senjata yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut di Palestin dan seluruh dunia.

Menurut portal berita Middle East Eye, tindakan aktivis tersebut telah menyebabkan kilang berkenaan ditutup iaitu kurang seminggu selepas sebuah lagi kilang senjata milik anak syarikat berkenaan di Leicester, Britain ditutup selama enam hari ekoran perbuatan para aktivis Palestin tersebut.

Penutupan dua buah kilang itu menyebabkan berlakunya gangguan dalam pengeluaran senjata-senjata Israel.

Dalam pada itu, dua aktivis kumpulan Tindakan Palestin ditangkap pada hari Isnin kerana memanjat bumbung kilang syarikat Elbit Systems di Leicester, Britain.

Penolong Ketua Polis Leicester, Kerry Smith berkata, pihaknya menyokong hak penduduknya melakukan protes tetapi ia perlu dilakukan secara sah dan para penunjuk perasaan tersebut ditahan kerana melakukan kerosakan ketika melakukan tunjuk perasaan.

Bagaimanapun, kumpulan Tindakan Palestin dilaporkan mengutuk tindakan polis tersebut dengan menyatakan mereka yang ditahan itu menunjukkan keberanian bersolidariti dengan penduduk Palestin.

Pada 10 Mei lalu, Tentera Udara Israel melancarkan serangan udara selama 11 hari ke atas Gaza sehingga menyebabkan lebih 200 penduduk Palestin terkorban manakala hampir 3,000 lagi cedera sebelum ia berakhir dengan satu gencatan senjata dengan Hamas dan Jihad Islam. - Agensi

Penjenayah maut terjun tebing, polis cedera tertembak diri sendiri

FMT Reporters

Keadaan kereta suspek dan polis yang terbabit dalam kemalangan di Taman Len Seng semalam. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang penjenayah yang cuba melarikan diri daripada polis, maut selepas nekad terjun dari tebing setinggi kira-kira 6m di Taman Len Seng, Cheras semalam.

Dalam kejadian 10.45 malam itu, seorang anggota polis berpangkat Koperal berusia 30 tahun turut dilaporkan cedera tertembak lengan kanan sendiri akibat impak kemalangan membabitkan kereta suspek dan polis.

Ketua Polis Daerah Cheras, Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata pada mulanya, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras cuba menghampiri sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu suspek bersama kekasihnya di Cheras Sentral dalam keadaan mencurigakan.

Terkejut dengan kehadiran polis, katanya, suspek bertindak mengundur dan melanggar kereta polis sebanyak tiga kali, sebelum berjaya meloloskan diri.

Beliau berkata, polis terus mengejar kereta suspek sebelum berlaku kemalangan antara kereta polis dan suspek yang mengakibatkan seorang anggota cedera tertembak diri, manakala suspek keluar dari keretanya untuk melarikan diri, dengan terjun di tebing.

“Suspek warga tempatan berusia 30 tahun tersebut ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Semakan mendapati suspek memiliki 25 rekod lampau, termasuk tujuh membabitkan jenayah kekerasan seperti cubaan bunuh dan samun bersenjata, 10 kes pecah rumah dan lapan kes dadah,” katanya dipetik Kosmo.

Mokhsein berkata, hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek menemui pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah dan kereta yang dipandu suspek turut dilaporkan hilang di Kajang.

Katanya, polis turut menahan teman wanita suspek dan hasil soal siasat membawa kepada penangkapan tiga lagi lelaki, termasuk seorang warga Myanmar pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di sekitar kawasan sama.

Susulan itu, beliau percaya 15 kes pecah rumah dan kedai di Cheras serta Kajang berjaya diselesaikan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Rekod baharu 7,478 kes Covid-19

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan melaporkan satu lagi rekod tertinggi untuk jangkitan harian, dengan 7,478 kes baharu Covid-19.

Rekod sebelum ini ialah 7,289 kes baharu yang dicatatkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keseluruhan jangkitan harian kini mencecah 533,367 kes.

Selangor terus mencatatkan kes harian tertinggi, dengan 2,455 kes.

Ini disusuli Kuala Lumpur (760), Sarawak (640), Johor (587), Kelantan (547), Kedah (542), Pulau Pinang (420), Negeri Sembilan (370), Perak (264), Melaka (230), Sabah (229), Terengganu (177), Pahang (171), Labuan (49), Putrajaya (29) dan Perlis (8).

Selepas panggil China ‘taiko’, ruang udara pula diceroboh, maruah negara dipijak O

MUKHLIS SHARIF

Sudah lebih lapan jam masih tidak ada apa-apa respon daripada Menteri Pertahanan, Menteri Pengangkutan ataupun Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). Tapi bab LRT yang bukan skop kerja dia bising, bab kerja dia tak ketahuan hala).

Mungkin Menteri nak rehat cuti Hari Wesak hari ini agaknya? Mana saya tahu, sayakan cuma ikan.

Saya dah semak silang dengan kawan saya kapten penerbangan yang pesawat tersebut memang ada terbang di ruang udara kita pada 19 Mei sebelum offkan transponder. Kenapa tiba-tiba rasa deja-vu macam pesawat MH370 pula yang hilang dari radar.

Semua menteri dalam Kabinet senyap sepi termasuklah ‘Duta Wali’; urusan negara di biarkan berjalan secara auto pilot. Benar sekali sabda Nabi, apabila urusan diserah pada bukan ahlinya, tunggu sahajalah kiamat – Sahih al-Bukhari.

Di mana maruah negara? Dalam Facebook berdegar-degar penyokong kerajaan maki hamun Israel, tapi apabila Isreal lalu di ruang udara kita, depa semua pakat krik-krik.

Kalau macam itu baik mai jemput saja penyamun masuk rumah kalau sudah tiada maruah. Semua 4X- Flight, nombor itu dari Israel, jadi memang pasti itu pesawat dari sana.

“Jika kamu tidak mempunyai rasa malu, maka lakukanlah apa sahaja yang kamu mahu” – [Riwayat al-Bukhari].

Tidak pernah lagi sepanjang kemerdekaan, maruah negara dipijak-pijak macam ini, hari itu panggil China taikor, hari ini jemput pesawat Israel pula.

Apa lagi yang tinggal pada kedaulatan negara kalau semua orang boleh suka-suka ceroboh negara kita?

Ingatlah tuan-tuan, segala bala dari kegagalan kawal Covid-19 sampailah sempadan diceroboh ini adalah peringatan dari Allah untuk kita.

Ajar anak cucu kita nanti yang hangan berkhianat, jangan ambil hak orang lain, tunaikan perjanjian kerana setiap yang berjanji akan ditanya.

Walaupun yang suruh mungkir janji itu seorang Mutfi dengan jaminan peribadinya.

Wallahualam.


Hulur lebih RM100,000 kepada polis, juruteknik direman SPRM

Norzamira Che Noh

Shah Alam: Seorang juruteknik direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Shah Alam bermula hari ini kerana disyaki cuba memberi rasuah wang tunai berjumlah lebih RM100,000 kepada seorang pegawai polis bagi menyelesaikan kes dadah.

Perintah reman sehingga 31 Mei itu dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor membuat permohonan itu pagi ini.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 36 tahun itu ditahan SPRM di sebuah stesen minyak di Bandar Sri Damansara kira-kira jam 9.30 malam semalam ketika cuba memberikan wang rasuah berkenaan.

Difahamkan, wang rasuah yang diberikan kepada pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden (ASP) itu adalah sebagai dorongan untuk melepaskan rakan sekerjanya daripada dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana ditangkap atas kesalahan memiliki dadah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Kes disiasat di mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

Kehadiran pesawat pengintip protaip Israel timbul tanda tanya

MUHAMMAD ZULKARNAIN MOHD AZMAN

SHAH ALAM - Kehadiran pesawat pengintip prototaip Israel yang dilaporkan sedang menjalankan penerbangan ujian merentas ruang udara Putrajaya sebelum mendarat di Singapura mengundang pelbagai tanda tanya.

Penganalisis pertahanan Zaki Salleh berkata, walaupun pada dasarnya ia adalah penerbangan biasa tetapi kehadiran pesawat tersebut yang dilengkapi dengan perkakasan perisikan elektronik menarik perhatian ramai.

Menurut beliau, berkemungkinan pesawat berkenaan sedang melakukan ujian sistem terbaharu dan penerbangan jarak jauh yang dilaksanakan adalah bagi melihat keberkesanan perkakas yang diuji.

“Sekiranya benar sepertimana dilaporkan, pesawat Boeing 732-400 dengan bernombor pendaftaran 4X-AOO milik syarikat IAI-Elta merupakan pesawat perisikan elektronik.

“Pesawat ini digunakan sebagai platform ujian peralatan radar dan elektronik.

"Ia direka untuk menampung sistem perisikan semboyan rondaan maritim, perisikan imej, sistem amaran awal udara (AEW) dan sistem perlindungan misil pesawat komersil,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Jelas Zaki, dengan pelbagai sistem penderiaan dan sensor yang amat sensitif, maka sebab itu kehadiran pesawat tersebut di Singapura menarik perhatian selain boleh menimbulkan kemusykilan berhubung tujuannya.

Sebelum ini, sebuah portal media melaporkan sebuah pesawat pengintip prototaip Israel dilaporkan sedang menjalankan penerbangan ujian di Singapura.

Ujian penerbangan selama 4 jam itu telah melibatkan sebuah pesawat Boeing 737-400 yang bernombor pendaftaran 4X-AOO milik syarikat IAI-Elta.

Mahkamah arah Raja Petra bayar RM600,000 pada Lim

Hidir Reduan Abdul Rashid

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan ganti rugi sebanyak RM600,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, dalam kes saman fitnahnya terhadap penulis blog Raja Petra Kamaruddin.

Ia berhubung 10 artikel berkenaan projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion yang disiarkan Raja Petra.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Mohd Arief Emran Arifin turut mengarahkan Raja Petra untuk membayar RM10,000 sebagai ganti rugi kos kepada Lim.

Sebelum ini, Lim dalam saman fitnahnya menuntut ganti rugi sebanyak RM20 juta.

Pada 28 Februari lalu, Mahkamah Tinggi menetapkan penghakiman ingkar untuk Lim. Berdasarkan undang-undang, plaintif boleh memohon penghakiman ingkar jika defendan gagal menghadiri perbicaraan tindakan sivil, walaupun kertas kausa telah diberikan kepadanya.

Peguam Lim, Simon Murali hari ini mengesahkan jumlah ganti rugi tersebut.

"Defendan diarahkan membayar RM600,000 kepada plaintif sebagai ganti rugi am dan ganti rugi teruk. Defendan juga diarahkan membayar kos RM10,000 kepada plaintif," katanya ketika dihubungi.

Katanya lagi, mahkamah turut mengarahkan Raja Petra untuk membayar kadar faedah ganti rugi sebanyak lima peratus, bermula tarikh saman difailkan (6 September 2019) sehingga tarikh ia dibayar sepenuhnya.

"Kami sedang menunggu arahan daripada anak guam (Lim)," katanya berhubung tindakan selanjutnya bagi mendapatkan ganti rugi itu daripada Raja Petra.

Saman yang difailkan Lim menamakan Raja Petra sebagai satu-satunya defendan.

Dia memfailkan saman itu susulan siri artikel "Dari Fail SPRM" yang disiarkan di laman Malaysia Today - dalam kedua-dua versi bahasa Melayu dan Inggeris - antara 24 Februari hingga 15 Mac.

Artikel itu berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap projek infrastruktur itu.

Lim kini sedang berdepan pertuduhan rasuah berhubung projek itu. Perbicaraannya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dijadual bermula 8 Jun ini.

Wee: 'Kecuaian pandu salah arah punca kemalangan LRT'

Malaysiakini 

Kecuaian pemanduan salah arah tren yang membawa gerabak kosong tanpa penumpang merupakan punca kemalangan LRT aliran Kelana Jaya malam semalam, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

"Siasatan awal mendapati kemalangan adalah disebabkan kecuaian hostler yang memandu TR40 dalam arah yang salah.

"TR40 sepatutnya bergerak ke arah south-bound telah bergerak menuju ke stesen Dang Wangi telah bergerak ke arah north-bound atau different orientation yang telah mengakibatkan pelanggaran berlaku antara TR40 dan TR81.

"Inilah dapatan awal yng dikemukan kepada saya oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat,” katanya dalam sidang media dalam talian hari ini. 

Suami bawa isteri hamil ceroboh sempadan guna tangga

Bernama

BANGKOK: Sepasang suami isteri ditahan ketika cuba menyeberangi tembok di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia untuk menyelinap ke Sadao, di selatan Songkhla, Thailand pada Isnin.

Wanita berusia 39 tahun sedang hamil lima bulan dan suaminya berumur 41 tahun dari daerah Tha Phae, wilayah Satun itu ditahan ketika cuba menggunakan tangga untuk melepasi tembok sempadan.

Komander Tentera Kittikhun Na Way berkata pasangan itu bekerja di ladang getah di Perlis, memutuskan untuk pulang ke negara asal selepas isterinya mengalami beberapa komplikasi.

Mereka akan didakwa kerana memasuki Thailand secara haram dan telah menjalani ujian saringan Covid-19, kini diletakkan di bawah kuarantin wajib 14 hari.

Thailand meningkatkan kawalan termasuk mendirikan pusat pemeriksaan di sepanjang sempadan untuk mencegah aktiviti menyeberang secara haram bagi membendung penularan Covid-19.

Negara itu telah mengesan kes tempatan varian Afrika Selatan membabitkan seorang peniaga berusia 32 tahun dari Tak Bai, Narathiwat.

Enam mangsa tragedi LRT tenat

Malaysiakini 

Enam penumpang yang terlibat dalam kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) malam tadi yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam keadaan kritikal.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dalam ciapan di Twitternya, tiga daripada mereka terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

Annuar berkata 15 penumpang lagi berada dalam keadaan separa kritikal manakala 43 orang lagi tidak kritikal.

Dalam insiden malam tadi, seramai 47 penumpang parah manakala 166 cedera ringan apabila dua tren LRT bertembung dalam kemalangan berhampiran Stesen KLCC.

Siasatan awal mendapati, tren tersebut bertembung dengan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji secara kawalan manual tanpa diselaras dengan pusat kawalan.

Kejadian jam 9.15 malam itu melibatkan tren bernombor 40 dan 81.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua mangsa terlibat terdiri 36 wanita dan 29 lelaki.

Nahas LRT: Tren berhenti 15 minit sebelum hentakan kuat, penumpang terpelanting

MALAYSIA DATELINE

Seorang mangsa nahas pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) dekat stesen Kampung Baru, malam tadi memberitahu tren berhenti selama 15 minit sebelum kemalangan berlaku.

Afiq Luqman Mohd Baharudin, 27, berkata, tren kemudiannya bergerak semula tetapi tidak sampai 10 saat selepas itu, tiba-tiba berhenti mengejut dan berlaku pelanggaran dengan impak yang sangat kuat.

Berkongsikan pengalamannya, beliau berkata, kemalangan yang berlaku di laluan bawah tanah berdekatan Stesen LRT KLCC itu menyebabkan sebahagian penumpang tercampak dalam tren.

“Ketika dalam perjalanan menuju ke arah stesen Kampung Baru, tren tiba-tiba berhenti mengejut hingga menyebabkan sebahagian penumpang terpelanting dalam tren.

“Keadaan tenang dalam tren tiba-tiba bertukar menjadi panik dengan suara penumpang menjerit.

“Saya cedera di kepala, kaki kiri dan sakit dada,” katanya lapor BH.

Beliau yang bekerja di sebuah syarikat swasta di ibu negara ketika kejadian dalam perjalanan menuju ke Ara Damansara.

Afiq dan penumpang lain kemudiannya dibawa keluar oleh pasukan keselamatan dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

Kira-kira jam 8.45 malam tadi, sekurang-kurangnya 47 penumpang cedera parah manakala 166 penumpang lagi cedera ringan apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT), masing-masing dari arah Gombak dan Kelana Jaya bertembung.

Pelanggaran melibatkan 213 penumpang dalam tren dari Gombak dan tren tanpa penumpang dari arah Kelana Jaya itu berlaku di antara stesen Kampung Baru dan KLCC.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata semua penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan beberapa hospital lain.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010,” katanya malam tadi.

Darah, tangisan dan kaca pecah selepas 2 tren LRT bertembung

Robin Augustin

Pasukan penyelamat membawa seorang penumpang cedera untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan segera.

PETALING JAYA: “Kami masuk ke koc dan ternampak darah serta kaca pecah. Ramai yang cedera, ada yang menangis, keadaannya teruk,” kata seorang anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur.

Wan (bukan nama sebenar) antara anggota kecemasan pertama yang tiba di tempat kejadian dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bertembung antara stesen Kampung Baru dan KLCC.

Seramai 213 penumpang cedera, termasuk 47 yang parah dalam kemalangan yang pertama kali berlaku dalam sejarah 23 tahun operasi LRT.

Wan berkata, pihak berkuasa tiba di tempat kejadian kurang 10 minit selepas menerima panggilan.

“Kami perlu memberi maklum balas pantas untuk menstabilkan mangsa. Ramai yang menangis dan keliru, jadi kami perlu meyakinkan mereka yang semuanya akan baik-baik saja.

“Kami meminta mereka ‘bertenang, anda akan baik-baik saja’, kerana mereka dalam keadaan terkejut dan mengalami trauma,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, mereka mengeluarkan mangsa yang boleh berjalan, manakala penumpang tidak boleh berjalan diletakkan atas pengusung dan dibawa ke ambulans di luar stesen kereta api.

Katanya, ramai yang tidak boleh berjalan sendiri dan memerlukan sokongan, dengan sesetengah daripadanya patah tulang.

Beliau berkata, walaupun ini kali pertama dua tren LRT bertembung, tetapi mereka sudah dilatih cara menghadapi keadaan itu.

“Setiap tahun, Jabatan Bomba dan Penyelamat menyertai latihan antara agensi untuk kemalangan membabitkan kereta api, ini termasuk pelanggaran, jadi kami sudah bersiap sedia,” katanya sambil menambah pihak berkuasa berjaya mengeluarkan semua mangsa dalam tempoh sejam.

Terdahulu, dua tren LRT yang dipercayai berada dalam terowong di laluan sama, iaitu di Laluan Kelana Jaya, bertembung pada 8.45 malam tadi.

Polis berkata, siasatan awal mendapati sebuah daripada tren itu yang kosong mengalami kerosakan dan sedang dipandu uji secara manual, manakala sebuah lagi tren membawa 213 penumpang dipandu secara automatik.

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong dilaporkan berkata, sebuah pasukan petugas akan ditubuhkan untuk menyiasat punca kemalangan itu, dengan laporan penuh siasatan dijangka siap dalam dua minggu.

47 mangsa cedera parah, tren LRT laluan Kelana Jaya bertembung

FAZLI RADZI

Sejumlah 47 penumpang cedera parah apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bertembung dalam kemalangan antara stesen KLCC dan Kampung Bharu jam 8.45 malam tadi.

Dalam masa sama, seramai 166 mangsa lagi cedera ringan dalam insiden akibat brek mengejut yang berlaku dalam terowong tersebut.

Penumpang yang cedera dalam kemalangan dengan kelajuan tren kurang 40 kilometer sejam itu telah dipindahkan dan dihantar ke hospital berhampiran pada jam 9.50 malam.

Ketua Polis Daerah (KPD) Mohamad Zainal Abdullah dalam sidang media sebentar tadi di lokasi berkata, nahas melibatkan tren memuatkan 213 penumpang dari Gombak menghala ke Kelana Jaya yang dipandu secara automatik dengan tren yang mengalami masalah teknikal tanpa penumpang dari Kampung Baru.

Menurutnya, tren yang rosak dengan seorang pemandu menghala ke Gombak itu sepatutnya tidak bertembung jika menggunakan dua laluan berbeza.

“Mungkin berlaku kegagalan komunikasi di pusat kawalan LRT ini. Kita akan menyiasat jika berlaku kecuaian dan sebagainya kerana melibatkan kepentingan awam dan ramai yang cedera.

“Sepatutnya tidak berlaku (bertembung) kerana menggunakan laluan berbeza. Setakat ini belum ada apa-apa menunjukkan adanya unsur sabotaj,” katanya.

Jelasnya lagi, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat.

Ratusan penumpang LRT cedera akibat pertembungan dekat stesen KLCC malam ini.

Sementara itu, Pengurus Kanan (Komunikasi dan Hal Ehwal Media) Prasarana, Azhar Ghazali, berkata perkhidmatan LRT melibatkan tren bernombor 40 dan 81.

“Pasukan kami sedang menguruskan bantuan dan kerja-kerja menyelamat sekarang. Sila bertenang dan patuhi segala arahan.

“Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan. Pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Terdahulu, tular video dan gambar mengenai kemalangan itu yang antara lain memperlihatkan penumpang bergelimpangan dan cedera dengan lantai tren bersimbah berdarah.

Sejak lebih 20 tahun LRT beroperasi di Kuala Lumpur, belum ada lagi tragedi berdarah seumpama ini berlaku.

Salah seorang mangsa cedera parah terbaring di lantai LRT sejurus pelanggaran berlaku.

Tawaran Shafie mungkin ‘epal beracun’ untuk kembali berkuasa, kata Pemuda Bersatu

FMT Reporters.

KOTA KINABALU: Naib Ketua Pemuda Bersatu, Ceasar Mandela Malakun menggesa semua parti berasaskan Kadazan Dusun Murut (KDM) tidak terjerat kepada agenda politik Presiden Warisan, Shafie Apdal yang mementingkan dirinya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mandela, mendakwa Shafie menggunakan umpan untuk memecah-belahkan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan mencetuskan ketidakstabilan dalam kerajaan negeri.

“Jadi, mereka perlu berhati-hati dengan tawaran Shafie yang kononnya demi kebaikan Sabah. Mungkin ia adalah epal beracun yang Shafie tawarkan bagi membolehkan dirinya kembali berkuasa.

“Tiada alasan untuk mana-mana parti komponen GRS bekerjasama dengan Shafie dan Warisan kerana ideologi serta pendekatan mereka bertentangan dengan kita,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Shafie menyuarakan hasrat untuk menjalin kerjasama dengan PBS demi kebaikan Sabah dan hak negeri itu.

Susulan itu juga, Presiden PBS, Maximus Ongkili turut menyuarakan kesediaan parti itu untuk bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang, termasuk Warisan.

Bagaimanapun, Ongkili selepas itu mengulangi komitmennya untuk terus teguh bersama GRS yang dipimpin Ketua Menteri Hajiji Noor.

Mandela berkata, rakyat Sabah berpendirian tegas terhadap “kelembutan” Warisan ke atas pendatang asing tanpa izin (PATI), melalui bantahan Pas Sementara Sabah (PSS) yang dicadangkan parti itu ketika menjadi kerajaan negeri.

Katanya, rakyat turut menghantar mesej jelas kepada Warisan yang orang Sabah tidak akan menggadaikan negeri itu kepada PATI kerana Sabah milik rakyatnya yang perlu dilindungi demi generasi akan datang.

Beliau berkata, senarai rasa tidak puas hati orang Sabah terhadap Shafie dan kerajaan negeri pimpinan Warisan terdahulu adalah panjang dan diterjemahkan dalam undi pada pilihan raya negeri 2020.

“Majoriti rakyat Sabah mengundi untuk menyingkirkan Shafie dan kerajaan negeri pimpinan Warisan.

“Kita juga tidak boleh lupa pengundi KDM memainkan peranan penting dalam menghancurkan rejim Shafie. Mereka ternyata memandang enteng undi KDM dan terlalu yakin boleh memenangi banyak kerusi di kawasan Orang Asal.”

Ulama Pas anggap Hadi wali dan anugerah Allah, ‘kamu ada, seperti yang kami ada?’

FAZLI RADZI

Tidak lagi berselindung, seorang ulama Pas dari Pantai Timur Semenanjung mengangkat Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai wali Allah.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik bahkan berasa iri hati dengan apa yang dianggap kelebihan dimiliki Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf menteri itu.

“Sejujurnya, ada dua perkara yang saya iri hati terhadap sosok mulia ini. Pertama, ketinggian ilmunya dan kedua, ketenangan beliau di tengah hujanan fitnah dengan makian.

“Iri hati itu sekali gus menjadikan hati saya mencintainya kerana Allah. Beliau (Abdul Hadi) adalah wali yang tenggelam dalam zauq dan fana’ kerana hubungannya dengan Allah.

“Dentuman guruh, petir dan halalintar cacian di sekelilingnya sedikit pun tidak menganggu asyiknya dengan perjuangan dan ubudiyyahnya kepada Allah,” tulisnya di Facebook semalam.

Dia juga berkongsikan lapan gambar memaparkan sosok Hadi dengan salah satu daripadanya memperlihatkan dirinya duduk bersebelahan Ahli Parlimen Marang itu.

Untuk rekod, mendakwa sebagai wali Allah adalah antara 45 ciri kesesatan dari segi akidah yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2012.

Lanjut meluahkan kekaguman hatinya kepada Hadi, Mokhtar menyifatkan bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu sebagai “sibuk berbisik dengan Allah, lalu tidak lagi menarik baginya perkataan makhluk.”

Dia juga menganggap Abdul Hadi yang dicintainya itu tidak mempedulikan puji dan caci malah lebih gentar akan pujian.

“Puji dan caci sama sahaja baginya. Bahkan, beliau lebih takut kepada pujian berbanding cacian. Sungguh saya iri hati kepadanya.

“Dengan ilmunya beliau terus menulis, mengajar dan memberikan tausihah. Di tengah bedilan musuh beliau terus melangkah,” madah Mokhtar lagi.

Pemilik Pondok An- Nuur di Kampung Kuala Penor, Kuantan tersebut turut mengakui tidak pernah menyesal menyokong bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia itu.

“Kami abna’ul harakah tidak pernah menyesal berada di belakangnya. Bahkan, kami berbangga dengan anugerah Allah kepada kami iaitu seorang murabbi yang alim, sufi dan mujahid,” ujarnya.

Tidak cukup itu, Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat tidak peduli jika pendiriannya itu dianggap taksub, bahkan menempelak pihak lain yang tidak mempunyai ‘wali’ seperti dimilikinya.

“Nak kata saya taksub? Katalah. Tapi kamu ada, seperti yang kami ada?” soalnya pula.

Berdiri depan cermin, tunggang agama tiada dalam senarai, warganet ‘sekolahkan’ MP Pas

FAZLI RADZI

Hanya dalam tempoh 21 jam, hantaran yang dimuatnaik oleh Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkenaan sumbangan kemanusiaan buat rakyat Palestin hanya dibanjiri kecaman dan sindiran.

Reaksi rata-rata warganet dalam lebih 270 komentar di akaun rasmi Facebook Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu susulan kenyataannya yang antara lain mengaitkan setitis air tidak akan diberi kepada penghuni neraka yang ketika di dunia bersifat kedekut.

“Jauhi sifat kedekut. Kita tak terlawan kedekut neraka nanti. Setitis air pun tidak akan diberinya kala penghuninya menjerit meminta-minta kehausan.

“Teruslah menderma walau secubit tamar. Ia akan memadam murka Allah,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam diakhiri dengan tanda pagar #Aid4Palestine.

Sehubungan itu, orang ramai menyifatkan wakil rakyat Pas tersebut seperti menepuk air di dulang, terpercik muka sendiri.

“Masa up status ni mesti tengah berdiri depan cermin ‘kan?” perli Ibn Khairani.

Sementara itu, pengguna Facebook Nurul Ashikin pula berharap semoga pimpinan Pas yang kini sebahagian dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) memahami teguran Ahli Parlimen Bachok berkenaan.

“Jauhi sifat kedekut. Hak rakyat dapat air bersih, jalan raya, pembangunan ekonomi, rumah, pekerjaan ya.

“Jangan kedekut! Nik Abduh the best,” tulisnya bernada sinis.

Tidak kurang juga warganet yang ‘menyekolahkan’ Nik Abduh ekoran sumbangan kemanusiaan buat rakyat Palestin yang masuk melalui akaun bank Pas.

“Berenang, memanah, tunggang kuda. Tunggang agama tiada dalam senarai ya YB. Beritahu saja. Janganlah marah ana,” usik Zulhilmi Hanapi.

Bahkan, ada berpendapat tiba masa wakil rakyat pula turun menjengah marhaen memandangkan sudah menjadi kerajaan.

“Dah jadi kerajaan kena banyak turun padang, tolong-tolong menderma sekali kepada rakyat yang memerlukan,” kata Zhafran Zahari.

Tinjauan pendapat di ruangan komentar bagi hantaran itu bagaimanapun mendapati ada juga segelintir warganet dipercayai penyokong tegar Pas yang cuba membalas kecaman warganet.

Ada daripada mereka mengaitkan pihak yang mengkritik Nik Abduh dan Pas itu sebagai ejen DAP malah tali barut proksi Yahudi di negara ini.

“Setiap kali keluar status dari ustaz (Nik Abduh), tali barut proksi Yahudi Malaysia tidak senang duduk. Kenapa ya?

“Alhamdulillah, satu peringatan yang baik dari ustaz. Tq,” puji Halim Hashim.

Walau bagaimanapun, reaksi Halim itu kemudiannya hanya dibalas dengan mengaitkan dakwaan Nik Abduh yang dikatakan ada hubungan rapat dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

“Sebab ustaz tu rapat dan baik dengan CIA, dia mungkin agen CIA,” kata pengguna Facebook Tansri Awangku Jangok.

Untuk rekod, pada 2019 tersebar rakaman audio berhubung pengakuan penerimaan wang jutaan ringgit daripada Umno.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan kemudiannya mengesahkan bahawa rakaman audio yang tersebar adalah suara milik Nik Mohamad Abduh.

Rakaman audio itu antara lain berbunyi: “Ana (saya) boleh bercakap dengan CIA. CIA Amerika tu ana kenal orang dia yang sentiasa berhubung dengan ana.”