Tunku Putera Johor terbabit kemalangan di GT Australia

FMT Reporters

Kenderaan Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim yang terbabit dalam kemalangan di di litar Mount Panorama, Bathurst, New South Wales, Australia. (Gambar Facebook Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

PETALING JAYA: Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim, tidak mengalami sebarang kecederaan apabila kereta yang dipandu ketika pusingan kelayakan GT World Challenge Australia terbabas dan terbalik di litar Mount Panorama, Bathurst, New South Wales, Australia.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam hantaran di Facebooknya memaklumkan Tunku Abu Bakar hilang kawalan dan terbabas ke penghadang tayar sebelum kereta dipandunya terbalik, ketika memandu lebih 200 kilometer sejam melalui bahagian McPhillamy Park litar.

“Orang ramai menarik nafas lega sejurus melihat Tunku Abu Bakar berjaya mengeluarkan diri dari kereta dan menunjukkan tanda “peace” kepada para penonton sebelum menaiki kenderaan kakitangan litar dan perubatan.

“Oleh kerana kerosakan yang dialami, Tunku Abu Bakar dan rakan sepasukan Jamie Whincup terpaksa menarik diri daripada saingan perlumbaan ‘endurance’ tiga jam esok.” titah baginda.

Baginda bertitah bahawa Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim bersama rakan sepasukan Broc Feeney akan meneruskan cabaran JMR Triple Eight Race Engineering, bermula dari petak kedua grid.

“Saya bersyukur Tunku Putera tidak cedera. Pastinya tengah terkejut, tetapi dia ok. Saya memberitahunya untuk terus kuatkan semangat, teruskan usaha dan harumkan nama Johor.

“Dia hampir melayakkan diri di tempat ketiga untuk perlumbaan esok, dan ia merupakan penampilan pertama Tunku Putera di litar itu. Dia dan Tunku Panglima menunjukkan potensi serta persembahan yang baik. Semoga kita mendapat keputusan yang baik esok” titahnya.

Pemimpin Pemuda Pas celupar: AMANAH Kedah buat laporan polis

MOHD ALI HASHIM

Keceluparan Ketua Pemuda Pas kawasan Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir semasa menyampaikan ceramahnya pada 10 November lalu dengan mendakwa bahawa sesiapa yang mengundi BN dan PH masuk neraka membawa padah.

Selain mengundang kecaman orang ramai, AMANAH Kedah tampil membuat laporan polis.

Timbalan Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh menggesa supaya pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap Ketua Pemuda Pas kawasan Sik tersebut.

Menurut Ismail, ucapan tersebut telah menyinggung perasaan umat Islam apabila tuduhan masuk neraka dibuat terhadap siapa sahaja yang mengundi BN dan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Jelasnya, pihak polis harus segera mengambil tindakan terhadap ketua pemuda Pas berkenaan kerana ucapannya telah menimbulkan keresahan kepada umat Islam.

Tegas Dr Ismail lagi, walaupun permohonan maaf telah dibuat, siasatan harus diteruskan kerana ia telah menimbulkan kebimbangan kepada sebahagian besar umat Islam menjelang hari pembuangan undi pada 19 November nanti.

Semalam, Mohd Shahiful telah memohon maaf melalui satu rakaman video berdurasi 34 saat yang disiarkan di Facebook Pemuda Pas Sik.

SPRM sedia semak tuduhan Rafizi

Malaysiakini 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum menerima sebarang laporan berhubung pendedahan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengenai kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion.

Pun begitu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya sedia membuat semakan mengenai dakwaan Rafizi itu.

“Setakat ini saya tidak menerima laporan namun apa yang disebut kita ambil perhatian kerana segala maklumat yang diberikan kepada orang ramai, laporan secara bersemuka atau mana-mana media, kita akan ambil maklum.

“Sekiranya dakwaan berkenaan berasas, kita akan buka siasatan lanjut," katanya kepada media di Kota Bharu hari ini.

Azam berkata demikian selepas Majlis Pengurniaan Kehormatan Kelantan Sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan V yang ke-53.

"Setakat ini kita tunggu dan lihat serta kita semak terlebih dulu," katanya lagi.

Rafizi sebelum ini mendakwa Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) yang diterajui Tuan Ibrahim Tuan Man dalam proses menganugerahkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat milik individu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin Umno.

Timbalan presiden PKR itu mendakwa dimaklumkan sumber kerajaan bahawa usaha meluluskan segera projek itu bawah pentadbiran kerajaan sementara sebagai timbal balas selepas menerima dana PRU15.

Tuan Ibrahim beri masa tujuh hari

Dia menuntut Tuan Ibrahim menjawab dakwaan itu dan memberi jaminan tidak akan meluluskan sebarang projek dalam tempoh pentadbiran kerajaan sementara kerana ia bertentangan dengan pekeliling perbendaharaan.

Semalam, menteri alam sekitar dan air itu memberikan tempoh tujuh hari kepada Rafizi untuk memohon maaf dan mencadangkan jumlah ganti rugi kepadanya atau berdepan tindakan undang-undang.

Timbalan presiden PAS itu berkata Rafizi memfitnahnya dalam isu kontrak tebatan banjir Kasa bernilai RM2 bilion itu.

Ditanya sama ada SPRM akan memanggil Rafizi untuk mengambil keterangan atau tidak, Azam berkata perkara itu belum diputuskan lagi dan pihaknya mengalu-alukan Rafizi untuk mengemukakan maklumat.

"Kita mengalu-alukan Rafizi atau mana-mana pihak untuk tampil mentalurkan maklumat kerana kita terbuka dan ini adalah tugas kami.

"Sekiranya ada asas untuk menjalankan siasatan, kita akan buat,” tambahnya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim menyatakan kesediaan untuk disiasat dan dipanggil SPRM berhubung dakwaan itu.

Katanya, tiada apa yang perlu disembunyikan kerana jelas dakwaan Rafizi bersifat tohmahan terhadapnya.

“Jika SPRM panggil saya untuk ambil keterangan pada waktu pagi, pagi itu juga saya sampai dan tidak akan tangguh-tangguh.

“Saya tidak ada masalah sebaliknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kerana tiada apa yang perlu disorok atau disembunyikan," katanya lagi.

'Cuba ikat kelapa di perut Sanusi nak tengok mampu ke tak?'

N Faizal Ghazali

Calon Pakatan Harapan (PH) parlimen Sik Latifah Md Yatim menempelak tindakan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang dikatakan memperlekehkan calon wanita yang bertanding di kawasan itu pada PRU ke-15 kali ini.

Menegaskan bahawa kaum ibu mempunyai ketahanan diri yang lebih hebat, Latifah berkata Sanusi mungkin boleh cuba ikat sebiji kelapa di perutnya seperti mana seorang ibu mengandungkan anak selama sembilan 10 hari.

"Percayalah ketahanan diri wanita lebih hebat, sebab itu Allah beri wanita mengandungkan anak.

"Cuba ambil sebiji kelapa ikat di perut dia, tak usah lama tiga bukan saja. Sedangkan wanita mengandung 9 bulan 10 hari, macam gadai nyawa. Kita tanya dia (Sanusi) mampu ke tak?" katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui selepas menghadiri program ceramah berkelompok di Parlimen Pokok Sena, Kedah, malam tadi.

Terdahulu Muhammad Sanusi dalam satu video ceramah yang tular di media sosial semalam mengkritik langkah BN menampilkan calon wanita Maizatul Akmam Othman bertanding di parlimen Sik.

Sanusi berkata, tanpa berniat merendahkan muslimat PAS, faktor geografi kawasan itu yang luas dengan kedudukan di luar bandar serta ramai penduduk miskin di luar kemampuan untuk kaum wanita berkhidmat di situ.

"Di Sik ini dalam keadaan Sik yang luas, luar bandar, orang susah ramai. Orang panggil wakil rakyat tak kira waktu siang, pagi, tengah malam, pagi buta panggil. Dia kacau serba-serbi, adakah wakil rakyat orang betina (perempuan) boleh buat?

"Saya kata kamu tak boleh buat, pukul tiga pagi kita boleh bayang orang betina bangkit tidur rambut setara mana? Nak pergi tolong orang banjir. Dia nak bersiap keluar daripada rumah dua jam, sesuai di Sik ini orang lelaki.

"Seorang lagi (Latifah) itu dekat umur 70 dah, tauke kopi ayah dia dulu. Kita kenal ayah dia, dia kita tak tahu. Banyaklah rakan-rakan sejabatan dia cerita pada saya tapi saya tak mahu ceritalah, nanti dia kata duduk mengutuk dia pula. Yang saya nak suruh jangan undi dia," katanya.

Parlimen Sik akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Latifah dan Maizatul Akmam berdepan penyandang kerusi itu Ahmad Tarmizi Sulaiman yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu Latifah yang juga bekas pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di beberapa negeri berkata, dia sebagai pegawai agensi itu sentiasa bersedia 24 jam dalam melaksanakan tugas.

"Sebagai pegawai SPRM kami ini dianggap bertugas 24 jam, tengah malam dapat arahan kena buat pembongkaran, serbuan, tak menentu masa.

"Dia tak boleh cakap macam itu dan memperlekehkan wanita, dalam PAS pun ramai peratusan wanita yang bertanding atas tiket pas pun ramai, tak masuk akal dia kata macam tu," katanya.

Kalau KJ sendiri dah kata Umno sesat, takkan la pengundi nak undi juga

‘Parti sudah sesat, saya reformis Umno’, kata KJ

FMT Reporters

PETALING JAYA: Calon Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, menggelar dirinya sebagai “reformis Umno”, selain mendakwa parti itu sudah “sesat dan perlu kembali ke pangkal jalan”.

Katanya, justeru beliau mahu mengembalikan Umno menjadi wadah perjuangan yang boleh dibanggakan orang Melayu seperti satu ketika dulu.

Beliau berkata, sehubungan itu, perkara pertama perlu dilakukan adalah memenangi Sungai Buloh dan seterusnya memastikan Ismail Sabri Yaakob kembali menjadi perdana menteri.

“Cuma Umno (kini) dah sesat, dan kena kembali ke pangkal jalan. Kena ‘fix’ (perbaiki) balik Umno ni lagi, perbetulkan Umno. Dan saya bukan ‘yes man’.

“Pertama, saya nak menang pilihan raya ini, nak pastikan Ismail Sabri kembali menjadi perdana menteri, selepas itu kita bersihkan balik Umno dan BN, kita cuci balik.

“Saya seorang reformis dalam Umno, tak boleh kunci mulut, sebab itu (agaknya) saya dihantar ke Sungai Buloh,” katanya menurut Astro Awani.

Menteri kesihatan itu mengakui bertanding di Sungai Buloh merupakan cabaran terbesar dalam karier politiknya, selain menyatakan beliau bukan seperti pemimpin lain dalam Umno yang hanya berani memilih bertanding di kawasan selamat.

“Buat kali pertama, ada wakil daripada parti saya yang memegang jawatan di dalam Jemaah Menteri, yang berani untuk bertanding (di kawasan tidak selamat) di Selangor.

“Selama ini tokoh besar dalam parti saya selalu cuba, dan memilih kawasan yang selamat. Sebab itu tidak ada saingan yang hebat di Selangor. Kalau dulu yang menang Tan Sri Noh Omar saja. Itu pun di Tanjung Karang.

“Nak datang sedikit bandar macam Sungai Buloh tak ada siapa yang berani. Kuala Selangor pun tiada yang berani, kecuali Tengku Zafrul pergi ke Kuala Selangor. Walaupun ada sedikit kenyataan saya dan presiden (yang berbeza), akhirnya saya juga yang pilih untuk lawan di sini,” katanya.

SURAT | Dari rakyat, untuk rakyat, kepada rakyat

Amir Halim

Setiap kita mempunyai penanda aras yang berbeza dalam kelangsungan hidup. Ada yang berpaksikan pencapaian. Ada berpaksikan kebahagiaan. Ada berpaksikan mimpi. Ada berpaksikan sensasi. Setiap kita punya paksi berbeza.

Jika dilihat, paksi-paksi ini sebenarnya meraikan warna kehidupan. Supaya seimbang semuanya. Tidak lebih dan tidak kurang. Mengikut aturannya. Setiapnya punya sebab tersendiri dan tugasnya.

Setiap kita berkongsi beberapa keperluan asas yang sama, walaupun berbeza paksi kehidupan. Aspek keperluan ini menjadi penanda aras minimum dan titik mula sebelum setiap kita boleh mengejar paksi kehidupan masing-masing.

Memberi lebih baik dari memberi

Antara aspek asas utama adalah kestabilan pendapatan dan keterjaminan pekerjaan atau “job security” untuk setiap isi rumah. 

Aspek ini selalu dilihat mudah oleh kerajaan dengan menyalurkan bantuan yang bersifat sementara dan bukan berkala sepanjang tahun atau berterusan. Seakan satu pepatah yang sering kita dengar;

“Memberi pancing lebih baik daripada memberi ikannya” – Lao Tzu, pengasas Taoisme.

Kerajaan seharusnya memahami keperluan asas rakyat dan menghulurkan bantuan yang mampu untuk menyelesaikan masalah, bukan hanya menunda masalah semata.

Sebagai contoh, untuk mencapai kestabilan pendapatan, kerajaan yang dipilih perlu mengkaji semula setiap dasar berkaitan pekerja dan buruh seperti gaji minimum dan elaun mengikut keadaan ekonomi semasa supaya hak pekerja terjamin dan mampu menampung perbelanjaan harian dalam keadaan yang selesa, dan bukannya terdesak.

Kesan pelaksanaan dasar-dasar yang menjamin hak pekerja bukan sahaja menjamin kesejahteraan fizikal dan mental rakyat, juga akan meningkatkan ekonomi tempatan kerana kuasa membeli akan meningkat secara tidak langsung.

Lebih lagi kini kita berada di era pascapemulihan pandemik. Ramai rakyat yang terkesan. Ada yang diberhentikan kerja. Ada yang terpaksa menjual harta. Sebuah keadaan di luar norma biasa. Kerajaan yang dipilih perlu mengambil situasi ini sebagai titik mula untuk membantu semula rakyat untuk bangkit dan stabil semula.

Kuasa rakyat

Rakyat itu adalah kerajaan. Tanpa rakyat, tiada kerajaan. Kerusi parlimen hanyalah simbolik di dalam sebuah negara demokrasi berparlimen. Jika dilihat dari satu sudut lain, pilihan raya hanyalah sebuah sesi temu duga besar-besaran antara rakyat dan parti-parti yang berminat untuk menjadi kerajaan. Untuk mentadbir kerajaan. Di sini rakyat adalah penemuduga, dan parti adalah pemohon yang ingin mengisi jawatan kosong tersebut.

Jelas bahawa rakyat yang mempunyai kuasa menentukan siapa yang benar layak untuk mengisi jawatan kerajaan. Bukan parti. Mereka adalah pemohon. 

Berdasarkan rekod pilihan raya yang lepas, parti sebaliknya sering dilihat sebagai yang berkuasa menentukan siapa yang layak mengisi jawatan tersebut. Bukan kerana rakyat tidak peduli, tetapi kerana sebuah budaya yang telah lama diterap dari sekian dulu.

Tukar modus operandi lama

Pada zaman dahulu kala, hanya golongan “rakyat” yang dibenarkan mengundi ketika pilihan raya. Gelaran “rakyat” ini hanya diberi kepada golongan lelaki yang merdeka sahaja. Golongan wanita, kanak-kanak dan hamba pula tidak diktiraf sebagai “rakyat”.

Namun zaman berubah, sistem demokrasi juga bercambah.

Tetapi, modus operandi yang ditinggalkan masih lagi diguna pakai secara halus. 

Modus operandi yang mudah, tetapi berkesan. Untuk kekal berkuasa, perlu menekan rakyat supaya rakyat hanya memikirkan tentang kelangsungan hidup demi mencari sesuap nasi. Supaya rakyat tiada masa untuk memikirkan hal politik dan menyerahkan sepenuhnya kepada parti pemerintah untuk menentukan.

Apabila terlalu selesa dan tiada pemantauan, akan berlaku penyelewengan dan korupsi kerana keadaan semasa yang mendesak dan peluang yang terbuka luas sebagai wakil rakyat. Seterusnya, akan lahir sifat tamak dan mementingkan periuk nasi sendiri semata. Rakyat terus dilupa. Walaupun mereka juga sebenarnya adalah rakyat.

Perkara seperti ini boleh dielakkan jika kita, sebagai rakyat menilai parti-parti ini sebaiknya dan mengundi parti yang layak, dan mampu melaksanakan dasar dan tindakan dengan penuh integriti, bebas korupsi.

Seandainya tersalah pilihan, perlu ingat bahawa kuasa memilih selalu di tangan kita dan kita mampu menolak mereka di pilihan raya seterusnya. Jika mereka kerajaan yang gagal, berikan peluang kepada yang lebih layak.

Siapa pilihan di Parlimen Gombak? - PROF DATUK DR MOHAMMAD AGUS YUSOFF

PROF DATUK DR MOHAMMAD AGUS YUSOFF

Dalam PRU ke-14, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memenangi pilihan raya di kawasan Gombak atas tiket PKR dengan majoriti 48,721 undi.

Dalam PRU ke-15 ini, beliau bertanding sekali lagi, namun atas tiket Perikatan Nasional dan berlawan dengan empat calon lain, iaitu Datuk Seri Amirudin Shari (PH), Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin (BN), Aziz Jamaluddin (Pejuang) dan Zulkifli Ahmad (Bebas).

Pertandingan ini sengit dan ramai menjangkakan Azmin menghadapi laluan sukar untuk menang. Betulkah begitu?

Majoriti pengundi Gombak seramai 207 ribu orang adalah Melayu (75%) dan selebihnya bukan Melayu. Seramai 11.3 ribu adalah pengundi berumur 18-20 tahun, 45 ribu (21-29 tahun) dan 48 ribu (30-39 tahun).

Tulisan ini tidak mengulas kecenderungan pengundi mengikut kaum atau umur, tetapi menilai persaingan antara calon PN dan PH. Siapa lebih berwibawa antara dua ini dan siapa yang wajar menang?

Biarpun Azmin telah menjadi Ahli Parlimen di kawasan ini selama dua penggal, kemunculan Amirudin Shari yang juga MB Selangor telah menggugat peluangnya untuk menang.

Amirudin adalah tokoh muda dalam politik negara. Berusia 42 tahun, beliau graduan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menyertai PKR pada tahun 2004, beliau adalah calon PKR untuk kerusi DUN Batu Caves (kini dinamakan Sungai Tua) pada pilihan raya umum ke-12. Beliau yang berusia 28 tahun ketika ini menang dalam PRU tersebut.

Sejak dilantik menjadi MB Selangor pada Jun 2018, beliau telah meninggalkan banyak jejak untuk Selangor

Semasa menghadapi pandemik, kerajan Selangor telah menubuhkan Selangor Task Force COvid-19 (STFC) sebagai badan pemikir bertujuan membantu kerajaan negeri menangani pandemik Covid-19.

Melalui STFC, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan seperti:

i. Membangunkan aplikasi SELangkah yang merupakan aplikasi penjejakan kontak bagi melengkapi fungsi yang tidak ada di dalam MySejahtera.

ii. Menggerakkan program saringan Covid-19 secara percuma di seluruh Selangor.

iii. Memperkenalkan Program Vaksin Selangor (SELVAX) bagi mencapai imuniti kelompok warga Selangor.

iv. Memberi insurans perlindungan percuma kepada enam juta rakyat.

Dengan kecekapan pentadbirannya, kadar pertumbuhan ekonomi Selangor meningkat dari -5.2% pada tahun 2020 kepada 5.0% pada tahun 2021.

Setakat 10 Oktober tahun ini, Selangor mencatat pendapatan hasil sebanyak RM2.065 bilion lalu, mengatasi sasaran RM2.05 bilion yang ditetapkan.

Di era beliau jugalah diperkenalkan dua gagasan besar ekonomi: Klusterisasi Selangor serta Rancangan Selangor Pertama, yang menjadi landmark pembangunan masif ekonomi negeri Selangor yang mencakupi seluruh Selangor dari Sabak Bernam ke Sepang tanpa hanya menumpukan daerah industri di Petaling semata-mata.

Dengan pencapaiannya ini, satu yang terserlah ialah biarpun Amirudin MB muda, beliau terbaik.

Bukan sahaja beliau baik dari segi pengurusannya, tetapi juga mempunyai personaliti dan imej diri yang tidak tercalar dengan kontroversi.

Beliau bebas rasuah, low profile dan tokoh pemimpin muda yang akomodatif, terbuka dan disukai rakyat.

Kelmarin, semasa berkempen di Gombak, beliau mengumumkan akan menyumbangkan keseluruhan gajinya ke dalam Dana Komuniti Gombak untuk pemantapan infrastruktur tempatan, penyediaan rumah mampu milik, peningkatan sektor ekonomi tempatan, peluang pendidikan, dan pekerjaan bermaruah.

Amirudin adalah tokoh muda yang membanggakan. Dengan imej dan personalitinya dan kedudukannya, beliau perlu diangkat untuk mewakili kita di Parlimen. Beliau sosok pemimpin negara masa depan dan oleh itu perlu menang.

Rafizi cabar menteri PAS teruskan saman di mahkamah

Susulan surat tuntutan Tuan Ibrahim-“Saya ada bukti kukuh, harap teruskan saman di mahkamah bukan sekadar modal kempen”

AYHAN FERHAT

Susulan surat tuntutan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Rafizi Ramli berhubung projek tebatan banjir, hari ini calon Parlimen Pandan itu mengesahkan syarikat Mangkubumi dilantik secara rundingan terus.

Kerajaan Pas Umno Bersatu telah bersetuju melantik Mangkubumi bagi projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus, kata Rafizi dalam sidang media hari ini.

Beliau mengesahkan telah menerima satu Surat Tuntutan (“Demand Letter”) dari Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung kenyataan-kenyataan yang mendedahkan pelantikan Mangkubumi Sdn Bhd dalam beberapa projek besar di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Timbalan presiden Pas telah menghantar Surat Tuntutan bukanlah bermakna tindakan saman telah diambil.

Secara umumnya, menurut Rafizi satu pihak menghantar Surat Tuntutan ke satu pihak yang lain untuk mendapat penjelasan dan memaklumkan hasrat pihak itu untuk mengambil tindakan saman sekiranya tuntutan-tuntutan tidak dipenuhi.

“Tindakan saman hanya bermula apabila saman itu difailkan di mahkamah.

“Pengalaman saya selama ini menunjukkan hanya separuh dari surat-surat tuntutan yang dihantar kepada saya berakhir dengan tindakan saman. Surat-surat tuntutan dari 1MDB contohnya tidak pernah berakhir dengan tindakan saman.

“Oleh itu, selepas peguam-peguam saya menjawab Surat Tuntutan dalam tempoh seminggu ini, saya berharap Tuan Ibrahim Tuan Man meneruskan niatnya untuk menyaman saya di mahkamah,” kata Rafizi.

Bagi Rafizi, beliau tidak mahu Surat Tuntutan yang dihantar semalam menjadi alat kempen semata-mata dalam tempoh berbaki kempen PRU15, tetapi selepas itu ia tidak berakhir dengan saman di mahkamah.

“Saya mahu ke mahkamah kerana saya ada bukti yang kukuh mengenai pendedahan saya itu.

“Sejak saya membawa isu ini ke pengetahuan umum pada hari Isnin lalu, reaksi tidak rasmi dan kenyataan rasmi Tuan Ibrahim Tuan Man cuba memberi gambaran berikut:

• Bahawa isu yang saya bawa (iaitu projek tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2 akan diberikan secara rundingan terus pada harga RM2 bilion kepada Mangkubumi Sdn Bhd) adalah rekaan dan palsu

• Kenyataan saya bahawa proses untuk melantik Mangkubumi Sdn Bhd secara rundingan terus telah dan sedang berlaku adalah palsu

• Bahawa Tuan Ibrahim Tuan Man tidak tahu apa-apa mengenai keputusan untuk melantik Mangkubumi Sdn Bhd secara rundingan terus bagi sebuah projek yang sebegitu besar

Oleh itu, Rafizi bertindak tampil bagi menunjukkan bukti kukuh bahawa projek tebatan banjir Kuala Langat Fasa 2 berjumlah RM2 bilion ini sebenarnya telah pun diluluskan secara rundingan terus kepada Mangkubumi Sdn Bhd.

“Saya sertakan petikan surat dari Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon kepada Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir. Dr Zaini Ujang bertarikh 7 Oktober 2022 dengan nombor rujukan MOF.BPK(5)600-15/59/206(4) yang bertajuk “PROJEK RANCANGAN TEBATAN BANJIR SUNGAI LANGAT FASA 2, SELANGOR”.

Saya petik kandungan surat tersebut di perenggan 2 untuk manfaat rakyat Malaysia:

“2.Dimaklumkan bahawa YB Menteri Kewangan telah bersetuju meluluskan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 2, Selangor dilaksanakan secara rundingan terus dengan syarikat Mangkubumi Sdn. Bhd. (MSB).”

Keputusan ini juga merujuk kepada surat dari Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai projek ini yang bertarikh 16 Ogos 2022.

“Surat dari Kementerian Kewangan ini dikeluarkan pada 7 Oktober 2022 iaitu pada hari pembentangan bajet yang lepas. Secara logiknya, tumpuan keseluruhan kerajaan, Menteri Kewangan dan Kementerian Kewangan pada hari ini ialah pembentangan bajet.

“Sebaliknya, surat ini dikeluarkan juga pada tarikh itu memandangkan menteri-menteri telah pun tahu bahawa Parlimen akan dibubarkan pada hari Isnin, 10 Oktober 2022.

“Sebab itu saya katakan bahawa projek sebesar ini telah dipercepatkan keputusannya supaya kelulusan diberikan sebelum PRU15.

“Lazimnya, apabila keputusan sebesar ini yang melibatkan Kementerian Alam Sekitar dan Air telah diputuskan di peringkat Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, walaupun surat pemakluman keputusan adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan kepada Ketua Setiausaha KASA, sudah tentu KSU KASA telah pun memberi taklimat dan memaklumkan Menteri KASA sejurus selepas 7 Oktober 2022.

“Sebab itu saya kecewa dengan reaksi Tuan Ibrahim Tuan Man dan kepimpinan Pas yang cuba memberi gambaran mereka tidak tahu apa-apa.

“Malah, kempen Pas telah bertumpu sepenuhnya kepada menyerang peribadi saya untuk mengalihkan perhatian bahawa logiknya Tuan Ibrahim Tuan Man memang tahu projek berjumlah RM2 bilion ini telah pun diluluskan oleh kerajaan untuk tindakan beliau sebagai Menteri KASA.

“Saya juga akan menumpukan perhatian kepada tanggungjawab Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan yang meluluskan projek-projek rundingan terus seperti ini dalam sidang media yang akan datang.

“Buat masa ini, saya berharap Tuan Ibrahim Tuan Man tidak berselindung di sebalik satu Surat Tuntutan untuk mencuci tangan dari tanggungjawab beliau mengenai projek ini.

“Sekiranya Pakatan Harapan membentuk kerajaan dalam tempoh 10 hari dari sekarang, saya berhasrat untuk membuat laporan kepada pihak-pihak berkuasa mengenai peranan Ismail Sabri Yaakob, Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai peranan, fungsi dan keterlibatan mereka dalam kes ini untuk disiasat sepenuhnya oleh pihak-pihak berkuasa.

“Walaupun Tuan Ibrahim sebelum ini mencabar saya untuk membuat laporan SPRM, saya berharap beliau bersabar kerana sudah tentu laporan SPRM akan dibuat sekiranya Pakatan Harapan membentuk kerajaan persekutuan dalam masa terdekat,” katanya.

Zahid beritahu KJ: Mahu jadi PM? Menang Sungai Buloh dulu

Yasmin Abdul Latif

BAGAN DATUK: Calon Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin diingatkan supaya fokus memenangi kerusi itu sebelum bercita-cita menjadi perdana menteri.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi, berkata Khairy perlu memperkukuh dan dinasihatkan tidak mengeluarkan kenyataan menggugat nama baik parti.

“Terpulang kepada beliau, pertama beliau mesti memperkuatkan parti bukan merosakkan parti.

“Beliau juga mesti memenangi Parlimen Sungai Buloh,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan masyarakat Cina di Hutan Melintang.

Khairy dalam ceramah pada 9 Nov lalu menyatakan hasrat untuk memimpin Umno dan seterusnya menjadi perdana menteri 

Menurut Zahid, tiada salahnya berbeza pendapat dan memasang impian sebegitu, namun buat masa ini calon harus mengetepikan soal remeh-temeh dalam parti sebaliknya bersatu memastikan semua calon mendapat kerusi.

Mengulas kenyataan Khairy bahawa beliau tidak diberi tempat untuk bertanding, Zahid berkata, menteri kesihatan itu sepatutnya bersyukur kerana masih diberi peluang bertanding.

“Beliau harus berterima kasih. Sepatutnya Khairy tidak ada tempat kerana calon kerusi Parlimen Rembau yang baru ialah ketua bahagian (Umno) Rembau dan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Mohamad Hasan, beliau lebih layak untuk berada di Rembau.

“Jadi, saya memberikan peluang kepada Khairy sekali lagi untuk bertanding di Sungai Buloh,” katanya.

Zahid berkata, walaupun Sungai Buloh bukan kawasan Khairy namun beliau perlu bekerja keras untuk menyumbang kerusi bagi BN membentuk kerajaan.

Khairy sebelum ini menyatakan beliau mengambil inisiatif sendiri dengan menghubungi Pengerusi BN Selangor, Noh Omar, untuk bertanding di negeri itu.

Noh Omar: Saya sedih 'diterajang' begitu,

Malaysiakini

PRU15 | Penyandang kerusi parlimen Tanjung Karang, Noh Omar meluahkan rasa terkilan kerana tidak dapat mempertahankan kerusi yang telah dimenangi selama enam penggal walaupun dia sendiri menyusun calon pilihan raya di Selangor.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu berkata demikian dalam majlis Ceramah Perdana bersama calon Parlimen Gombak, Megat Zulkarnain Omardin di Gombak.

“Bila kita pilih calon bertanding, saya lihat Khairy Jamaluddin, Megat Zulkarnain dan ramai lagi mampu merampas semula Selangor.

“Tetapi bila saya susun kerusi calon, rupa-rupanya kerusi saya sendiri ‘dicuri’,” katanya.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Noh bagaimanapun akur dengan keputusan untuk mengetepikannya sebagai calon di Tanjung Karang.

“Tak apa, saya reda. Cuma saya sedih, diterajang begitu. Tetapi benda sudah berlaku, saya tidak lari daripada perjuangan. Tetap bersama BN,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Noh antara nama yang digugurkan daripada senarai calon bersama beberapa lagi menteri kabinet termasuk Annuar Musa dan Shahidan Kassim.

Tindakan mengejutkan itu dikaitkan dengan keretakan dalam Umno, antara presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Sementara, Ismail Sabri Yaakob.

Noh digantikan dengan Ketua Wanita Umno Tanjung Karang, Habibah Mohd Yusof.

Bagaimanapun, sumber dari dalam Umno berkata Habibah berdepan tugas berat kerana tidak mendapat sokongan padu cawangan Umno yang tidak berpuas hati dengan keputusan mengetepikan Noh.

Noh dikesan berkempen untuk beberapa orang calon BN di Selangor tetapi dia dilihat jarang membantu kempen Habibah di Tanjung Karang.

Pada 8 November lalu, Noh menjelaskan bahawa Tanjung Karang adalah 'kawasan putih', dengan membayangkan kemungkinan besar BN akan menang di kawasan itu.

Bagaimanapun, Noh hari ini berkata, pengundi terutamanya golongan muda lebih melihat prestasi calon berbanding parti.

“Pengundi sekarang tengok calon, bukan lagi parti. Mereka menilai, mengkaji khidmat yang ditawarkan. Kalau kita boleh menang di Gombak, percayalah Selangor kitamampu tawan semula,” jelasnya.

Pelakon wanita maut jatuh tingkat 22 pangsapuri

Bernama

Syazlin Zainal yang popular dalam drama Oh My Hantaran ditemui mati di bahagian bawah sebuah pangsapuri di Taman Iskandar, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU: Pelakon drama Oh My Hantaran, Syazlin Zainal maut dipercayai akibat jatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri di Taman Iskandar, di sini, semalam.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat wanita berusia 26 tahun itu di bahagian bawah pangsapuri tersebut pada 12.50 tengah hari.

“Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan seorang wanita yang bekerja sebagai pelakon sambilan.

“Sebab kematian adalah jatuh dari tingkat 22 pangsapuri dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata menerusi siasatan awal, pihaknya tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Raub meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Balai Polis Taman Pelangi atau Pegawai Penyiasat Mat Nawi Ab Rahman di talian 016 5050808.

Pemimpin PAS ini mohon maaf selepas menerakakan sesiapa yang mengundi BN atau PH

‘Undi BN, PH masuk neraka’, pemimpin PAS mohon maaf

FMT Reporters

Ketua Pemuda PAS Sik Shahiful Nasir mengakui kenyataan dibuatnya menyinggung ramai pihak.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PAS memohon maaf susulan memberi amaran kepada pengundi akan “masuk api neraka” jika memilih Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH), berbanding Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Semalam, tular rakaman Ketua Pemuda PAS Sik Shahiful Nasir berhubung ucapannya itu.

Dalam video dimuatnaik dalam laman Facebook Pemuda PAS Sik, Shahiful mengemukakan permohonan maaf, sambil mengakui kenyataan dibuat menyinggung ramai pihak.

“Berkenaan syurga dan neraka bukanlah ditentukan hanya kepada penyokong BN dan PH, tetapi dia melibatkan secara umum yang melakukan kebaikan atau pun kejahatan. Sekali lagi saya ingin memohon maaf kepada semua di atas kekhilafan yang ucapan yang telah saya sampaikan.

“Saya memohon untuk dihentikan segala bentuk sebaran video itu bagi menjamin keharmonian dan perlawanan PRU15, agar PRU kali ini medan yang bebas daripada isu perkauman dan agama yang melampau,” katanya.

Ucapan “menerakakan” pengundi itu mengundang kecaman ramai dengan warganet menyindir Shahiful yang dikatakan seorang ustaz.

Anwar dakwa ada tentera mengundi hari ini, dibayar RM300

Shakira Buang

Presiden PKR, Anwar Ibrahim, hari ini mendakwa ada anggota tentera khususnya dalam kawasan parlimen Bera di Pahang sudah mengundi untuk PRU kali ini.

Berucap di majlis ramah mesra di Kuala Terengganu hari ini, pengerusi PH itu turut mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian.

“Saya dapat maklumat sahih bahawa anggota tentera, undi pos telah mula mengundi pagi ini, (dan ia) melanggar peraturan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), terutama untuk (kawasan) parlimen Bera dan (mereka) dibayar RM300,” katanya di hadapan sekitar 100 hadirin yang hadir pada majlis itu.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga calon PH untuk kawasan parlimen Tambun di Perak berkata, dia menggesa SPR segera bertindak menyiasat kejadian tersebut.

“Saya nak nasihatkan SPR, supaya mengambil tindakan tegas sekarang supaya tidak mencemarkan pelaksanaan pilihan raya,” katanya.

SPR menetapkan hari mengundi ialah pada 19 Nov ini menakala bagi pengundian awal, pemilih yang terlibat boleh mengundi pada 15 Nov.

Anwar juga berkata, apa yang berlaku itu jelas memperlihatkan Umno-BN kini berada pada “tahap yang parah”.

“Jelas, Ismail Sabri Yaakob (perdana menteri sementara) dan menteri pertahanan (Hishamuddin Hussien) cemas.

"Mereka tahu BN berada di tahap paling parah sekarang dan mereka bersekongkol dengan PN untuk memastikan ada penipuan dalam proses pilihan raya," katanya.

Kesal dengan kejadian yang berlaku itu, Anwar turut meminta keadaan dibetulkan.

Untuk itu, katanya, 'undi' yang dilakukan oleh anggota keselamatan terbabit mesti dibatalkan dan mereka mengundi semula pada tarikh yang dinyatakan SPR iaitu pada 15 Nov ini.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi daripada SPR berhubung dakwaan Anwar tersebut.

Bila Ismail, Mahiaddin nak isytihar harta, kata Anwar di depan ribuan manusia di Pengkalan Chepa

BORHAN AHMAD

Calon Perdana Menteri dari Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diajak untuk sama-sama membuat pengisytiharan harta masing-masing menjelang hari mengundi pilihan raya ke 15 ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PM dari Pakatan Harapan membuat gesaan itu di hadapan ribuan penyokong Pakatan Harapan di Pengkalan Chepa malam tadi.

“Saya sudah mengisytiharkan harta saya. Saya harap Ismail Sabri dan Mahiaddin turut berbuat demikian kalau ikhlas,” kata Anwar di depan penonton yang penuh sesak itu walaupun hujan lebat di luar khemah.

Kelantan mencipta sejarah malam tadi apabila penyokong Pakatan Harapan penuh sesak datang mendengar ucapan pemimpin PH walaupun terpaksa merendam kaki dalam air di bawah khemah.

“Ini satu kebangkitan rakyat,” kata Anwar dalam ucapannya sebelum bergegas ke Pasir Mas pula untuk berucap di satu majlis di sana yang juga penuh dengan manusia.

Selain penonton yang datang ke tempat ceramah, lebih 16,800 penonton mengikuti ucapan ini secara live, antara angka tertinggi dalam siri Jelajah Mega Harapan.

“Inilah bukti kebangkitan Kelantan dan berlaku di tempat yang Pas paling kuat di dunia,” kata pengacara majlis di Pengkalan Chepa, Jeming Hassan yang juga Ketua Pemuda AMANAH dan PH Kelantan.

Rafizi dedah 'Projek RM2b dilulus melalui rundingan terus sehari sebelum Parlimen bubar'

Geraldine Tong

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menunjukkan surat yang didakwanya menunjukkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion di Sungai Langat 2, yang diluluskan kerajaan secara tender terus kepada sebuah syarikat pada 7 Oktober, iaitu satu hari bekerja sebelum Parlimen dibubarkan.

Surat itu menjadi pendedahan terbarunya dalam siri pendedahan melibatkan Kementerian Alam Sekitar dan Air di bawah menterinya, Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga timbalan presiden PAS.

Berdasarkan surat yang ditunjukkannya itu, ia dihantar oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidon kepada Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Zaini Ujang, bertarikh 7 Oktober.

Surat itu menyatakan menteri kewangan telah meluluskan agar projek tebatan banjir Sungai Langat 2 diberikan secara rundingan terus kepada syarikat yang didakwa Rafizi sebagai "kroni Umno".

"Surat dari Kementerian Kewangan ini dikeluarkan pada 7 Oktober 2022 iaitu pada hari pembentangan bajet yang lepas. Secara logiknya, tumpuan keseluruhan kerajaan, Menteri Kewangan dan Kementerian Kewangan pada hari itu ialah pembentangan bajet.

"Sebaliknya, surat ini dikeluarkan juga pada tarikh itu memandangkan menteri-menteri telah pun tahu bahawa Parlimen akan dibubarkan pada hari Isnin, 10 Oktober 2022.

"Sebab itu saya katakan bahawa projek sebesar ini telah dipercepatkan keputusannya supaya kelulusan diberikan sebelum PR15," katanya ketika sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Rafizi berkata dia menerima salinan surat itu dari pegawai kerajaan yang marah dengan amalan tersebut.

Menyifatkan situasi itu sebagai fait accompli (sesuatu yang sudah berlaku), Rafizi berkata tindakan memaklumkan ketua setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air berkenaan keputusan menganugerahkan kontrak itu hanyalah prosedur.

"Selepas itu, jika kementerian misalnya ingin mengeluarkan surat perjanjian (letter of award), mereka boleh mengelak peruntukan ini dan berkata komitmen dibuat sebelum Parlimen dibubarkan," katanya.

Sebelum ini, dia juga membangkitkan tentang pekeliling yang dikeluarkan perbendaharaan menghalang kerajaan sementara memetarai sebarang komitmen kontrak atau aku janji yang memberi implikasi kewangan kepada kerajaan baru selepas PRU15.

Pada masa sama pekeliling tersebut menyatakan kerajaan boleh meneruskan dasar dan projek pembangunan sedia ada, atau memeterai kontrak berhubung projek yang mana peruntukan telah pun diluluskan di Parlimen atau kerajaan sebelum Parlimen dibubarkan.

Hari ini Rafizi berkata Tuan Ibrahim mungkin cuba mengelak daripada tanggungjawab dengan mengatakan namanya tidak disebut dalam surat tersebut.

Namun, katanya, apabila keputusan sebesar itu dibuat melibatkan Kementerian Alam Sekitar dan Air, pastinya ketua setiausaha kementerian akan memberi makluman kepada Tuan Ibrahim selaku menteri.

"Sebab itu saya kecewa dengan reaksi Tuan Ibrahim dan kepimpinan PAS yang cuba memberi gambaran mereka tidak tahu apa-apa.

"Buat masa ini, saya berharap Tuan Ibrahim tidak berselindung di sebalik satu surat tuntutan untuk mencuci tangan dari tanggungjawabnya mengenai projek ini," katanya lagi.

Semalam, peguam yang mewakili Tuan Ibrahim menyerahkan surat tuntutan kepada Rafizi, mendakwa calon kerusi Parlimen Pandan itu memfitnahnya dalam isu tersebut.

Tuan Ibrahim juga memberikan tempoh tujuh hari kepada Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli untuk memohon maaf dan mencadangkan jumlah ganti rugi kepadanya.

Rafizi berkata dia berharap Tuan Ibrahim meneruskan tindakan saman itu kerana dia memang "mahu ke mahkamah" kerana ada bukti yang kukuh mengenai perkara itu.

Berkenaan gesaan Tuan Ibrahim agar dia membuat laporan di SPRM, Rafizi berkata dia telah membuat laporan kepada suruhanjaya itu banyak kali sebelum ini namun tanpa sebarang kesan.

Namun dia berkata jika PH menang dan menjadi kerajaan persekutuan nanti, dia akan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Walaupun Tuan Ibrahim sebelum ini mencabar saya untuk membuat laporan SPRM, saya berharap dia bersabar kerana sudah tentu laporan SPRM akan dibuat sekiranya PH membentuk kerajaan persekutuan dalam masa terdekat," katanya lagi.

Sementara itu, Rafizi berkata dia akan menumpukan perhatiannya kepada penglibatan Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai menteri kewangan sebelum ini dalam projek tersebut.

Haji Hadi : ‘Bodoh’ isytihar harta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Syarat PKR supaya calonnya mengisytiharkan harta adalah satu “kebodohan”, kata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Beliau yang juga timbalan pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, pendekatan itu seolah-olah mahu menunjuk-nunjuk kepada orang ramai.

“Isytihar harta ini kadang-kadang satu kebodohan. Nak tunjuk-tunjuk kepada orang ramai,” katanya dalam sidang media selepas kuliah mingguan di Rusila, Marang, menurut Malaysiakini.

Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas sejauh mana parti itu akan turut sama mengikuti langkah PKR dalam pengisytiharan harta.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dilapor berkata, setiap calon parti pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) perlu berbuat demikian bagi memastikan standard yang lebih tinggi untuk pilihan raya akan datang.

Langkah itu juga dikatakan akan menimbulkan keyakinan orang ramai terhadap pilihan raya dan institusi yang mereka berkhidmat sekiranya calon itu mula memegang jawatan.

Semalam, PAS berkata parti itu tidak akan mengambil pendekatan meminta calon PRU15 mengisytiharkan harta kerana ia mungkin akan memberikan implikasi negatif.

Naib presidennya Mohd Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun jumlah aset itu hanya dimaklumkan kepada menteri besar.

“Kita tidak boleh mendedahkannya (harta) kepada orang awam kerana ia ada baik dan buruknya. Bila orang tahu kita ada harta banyak, mungkin ada implikasi negatif.

“Oleh itu kita ambil pendekatan tidak berbuat demikian (isytihar harta). Lagi pun orang PAS tak ada harta banyak dan malu juga sedangkan orang lain berjuta-juta,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Mengapa ada ahli politik Pas gemar buat fitnah pada PH?

ZIN MAHMUD

Semasa kempen PRU tentulah calon-calon atau ahli politik sentiasa berucap di merata-rata tempat. Untuk sentiasa mempunyai bahan bagi ucapannya, ia merupakan perkara sukar.

Ini kerana ucapan mereka akan membosankan kerana perkara yang diperkatakan akan berulang-ulang. Lebih-lebih lagi pada zaman media sosial ini, yang mana satu ucapan boleh ditularkan dengan segera.

Untuk mencari bahan bagi memburukkan PH adalah dengan menyatakan sesuatu yang menarik dan sensasi. Maka cara terbaik ialah mencipta kisah-kisah yang boleh memburukkan PH dan pemimpinnya.

Ataupun bercakap mengenai kisah-kisah palsu yang berlegar dalam masyarakat mengenai pemimpin PH. Oleh kerana ia hanya cerita yang tidak benar, maka ia adalah fitnah.

Sudah boleh agak fitnah apa yang dilemparkan oleh tukang-tukang kempen Pas terhadap Anwar Ibrahim dan PKR. Untuk menyebar fitnah tsrhadap DAP lagi mudah. DAP itu dilabel “komunis” sedangkan parti itu pada susur galur dilahirkan untuk selamatkan negara ini daripada jatuh ke tangan komunis.

Terhadap Amanah, sasarannya lebih kepada Mujahid Yusof Rawa dan Tabung Haji semasa ia berada dalam tanggungjawabnya. Walaupun ia jelas fitnah tetapi tetap ďi diulang-ulang tanpa henti.

Mengapa perlu melemparkan fitnah? Mengapa perlu menyebarkan sesuatu tuduhan tanpa mempunyai maklumat sebenar?

Jika tiada maklumat yang dimiliki, mengapa Pas tidak tumpukan kepada rancangan yang mereka mahu lakukan jika menjadi kerajaan? Atau tumpukan kepada apa yang hendak mereka suarakan dalam Parlimen jika mereka hanya menjadi pembangkang?

Sebenarnya selepas merasa menjadi sebahagian daripada kerajaan dari tahun 2020 hingga 2022 ini, penampilan Pas berubah. Apa yang mereka laungkan sebelum itu bukan saja tidak dilaksanakan tetapi tidak disebut pun.

Berkemungkinan mereka sedar bahawa apabila memegang kuasa, banyak pertimbangan perlu dibuat untuk melaksanakan sesuatu. Lebih-lebih lagi Pas berkongsi kuasa dengan parti lain yang memerlukan tolak ansur dan kompromi.

Kini Pas bukan bertanding sendiri. Ia berkongsi dengan Bersatu dan Gerakan. Maka jika Perikatan Nasional jadi kerajaan, Pas tetap kena berkongsi dengan Bersatu dengan Gerakan.

Kini calon Bersatu turut bertanding menggunakan lambang bulan di Kelantan dan Terengganu. Sama ada menjadi parti utama atau tidak, Pas kena tolak ansur dengan Bersatu, sebuah parti yang dasarnya adalah serupa dengan Umno.

Jadi, sebenarnya Pas hendak ke mana? Adakah hanya mdnjadi parti untuk kuatkan Bersatu? Apa sebenarnya program Pas yang berbeza daripada parti lain? Atau Pas hanya sebuah parti biasa seperti pihak lain untuk mendapatkan kuasa.Tetapi dengan penampilan agama dan diketuai oleh orang berpendidikan agama?

Tetapi kalau agama menjadi asas, tentulah perkara penting ialah elakkan diri daripada menabur fitnah. Juga, mengelakkan diri daripada menyemai kebencian kepada kaum lain.

Dan di atas segalanya ialah mengelakkan diri daripada korupsi atau bersubahat dengan pihak yang terlibat dengan korupsi.

Semasa kempen sekarang, pengundi tidak mengenal perbezaan antara calon Pas dan Bersatu. Sedangkan dasar kedua-dua parti itu berbeza. Adalah tidak adil bagi pengikut Pas memberi undi untuk calon Bersatu yang berbeza fahaman. Lebih-lebih lagi apabila jentera Pas bertungkus-lumus berkempen untuk Bersatu.

Daripada menyebarkan cerita-cerita tidak benar mengenai PH, maka Pas patut menerangkan mengapa ia sanggup berpakat dengan Bersatu. Iaitu selepas BN menolak kerjasama dengannya. Kelihatannya Pas hanya mengejar kuasa dan bukannya untuk mendokong prinsip-prinsip perjuangan parti.

Bersama Bersatu itu hanyalah suatu percaturan bagi mendapatkan kuasa. Tetapi tidak kelihatan untuk apakah kuasa itu?

Pencetus idea Bendera Putih, Kak Jah, kini trending di Pengkalan Chepa

DR SHAHNOR BASRI

Ketika sempadan negara telah dibuka selepas mengalami Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang agak lama dan paling lama didunia, penulis telah menghadiri satu persidangan di Ankara, Turki. Seorang pesert yang juga Profesor Sains Kemasyarakatan Universiti Ankara, Turki mendekali penulis. Beliau bertanya “who is the woman who originated the idea of the white flag in Malaysia during pandemic? I really admire her idea and effort as social scientist”.

Penulis tidak mengenali pencetus idea bendera putih pada ketika itu, lalu menjawab spontan, “she is just a caring woman, mother and community activist..”. Kemudian barulah penulis membelek laman internet yang rupanya telah viral mengenai seorang wanita dengan idea kibarkan bendera putih.

Beliau lebih dikenail sebagai Kak Jah atau nama sebenarnya Nik Faizah binti Nik Othman. Rupanya fenomena “Bendera Putih” cetusan Kak Jah mendapat perhatian saintis sains sosial luar negara dan juga masyarakat antarabngsa, dan bukan sahaja fenomena dalam negeri Kelantan mahupun Malaysia sahaja.

Kak Jah bersama penyokongnya di Pengkalan Chepa.

Kak Jah adalah penggerak masyarakat yang tidak pernah mengenal lelah, penat dan juga kesibukannya sebagai ibu kepada lima cahaya mata. Di samping mendampingi seorang suaminya yang merupakan ahli perniagaan yang berjaya, Kak Jah adalah penggerak komuniti yang cakna terhadap kebajikan jiran tetangga dan masyarakat.

Kehidupan sekeluarga yang mencukupi, mungkin tidak memerlukan beliau sekeluarga cakna kepada kemelaratan dan kesukaran rakyat ketika menghadapi bencana Covid-19 dan PKP yang berpanjangan ketika itu. Kerana beliau bukan siapa-siapa, bukan ahli parlimen dan bukan ahli Dewan Negeri.

Namun, jiwanya dan pemikikirannya tidak pernah tenang dan sentiasa bertanya kepada persoalan demi persoalan – jiran aku ada makanan kah, anak mereka ada susu atau tidak, orang kampung didaerah Pengkalan Chepa ini cukup bekalan makanan kah, ada wang kah mereka untuk membeli lampin bayi-bayi mereka, yang sakit ada ubat kah? Bagaimana masyarakat dinegeri Kelantan yang rata-ratanya dhaif? Bagaimanakah aku hendak menghulurkan sedikit bantuan? Persoalan ini sentiada meronta-ronta dalam benak hati dan pemikiran Kak Jah, beliau tidak akan boleh melelapkan mata sehingga semua persoalan dibenak hati terjawab dengan jalan penyelesaian.

Walaupun dicemoh dengan idea mengibarkan bendera putih bagi sesiapa yang memerlukan bantuan ketika PKP dilaksanakan, Kak Jah terus mempromosikan “angkat dan kibarkan bendera putih” jika anda memerlukan sebarang bantuan. Fenomena ini bukan sahaja berlaku di negeri Kelantan namun turut mendapat sambutan diseluruh negara.

Ramai ahli parlimen khususnya di negeri Kelantan memperlekehkan idea kibar bendera putih ini. Kak Jah tidak pernah peduli dengan cemuhan itu. Fenomena ini telah membolehkan Kak Jah dan rakan-rakannya terdiri dari para sukarelawan mengerakkan bantuan kebajikan keseluruh Kelantan.

Tsunami bendera putih telah menjadi “harapan” baharu kepada masyarakat yang memerlukan bantuan. Cetusan “harapan” baharu ini dengan bantuan gerakerja sukarelawan dan sumbangan orang ramai, telah membolehkan ratusan pek makanan diedarkan setiap hari di daerah terkesan di seluruh negeri Kelantan.

Pada peringkat awal 150-170 pek makanan diedar di daerah seperti Tanah Merah, Tumpat, Langgar, Guntong Lipat dan tidak ketinggalan di sekitar Pengkalan Chepa, Kelantan. Bekalan yang berupa keperluan harian juga turut diedar hampir setiap hari sehingga PKP diangkat semula oleh kerajaan.

Idea kibar bendera putih Kak Jah ini telah disambut diseluruh negara oleh para artis, ahli politik, NGO, penyumbang persaorangan dan tidak ketinggalan oleh pihak kerajaan yang pada mulanya agak mencemuh serta memperlekeh idea Kak Jah.

Kak Jah sebenarnya telah memberi “HARAPAN” baharu kepada masyarakat yang tersepit dengan kemelaratan dan kesempitan hidup, hilang pendapatan dan sehingga ada yang hilang pertimbangan diri lalu mengambil langkah singkat “membunoh diri”. Fenomena Bendera Putih Kak Jah telah menyelamatkan kehidupan ribuan rakyat yang terkesan, menyelamatkan bayi-bayi tanpa susu dan meringan bebanan rakyat yang hilang punca pendapatan.

Maka, layaklahlah Kak Jah diberi penghormatan oleh Pakatan Harapan sebagai calon Parlimen P020 Pengkalan Chepa. Nik Faizah Nik Othman telah menetap lebih dari 20 tahun di Pengkalan Chepa. Beliau anak jati Kelantan. Beliau penggerak masyarakat yang sangat aktif, terutamanya sejak banjir besar 2014/2015 bersama NGO yang beliau ketuai Kelab Amal Jariah Kelantan.

Walaupun keperihatinan dan pernah mencadangkan gerak-kerja tersusun kebajikan kepada YAB Menteri Besar Kelantan selepas berlakunya banjir besar, namun cadangan wanita cekal dan gagah ini telah dianggap kerdil dan tidak dipedulikan oleh kerajaan negeri.

Beliau tidak pernah hampa, lalu mengambil langkah terus menggerakkan NGOnya sendiri bersama suami dan rakan-rakan sukarelawan tanpa dokongan kerajaan negeri. Mereka bergerak menyantuni masyarakat dan merasai denyut nadi rakyat serta seterusnya menghulurkan bantuan. Usaha gigih Kak Jah memang dikenali oleh masyarakat setempat.

Kak Jah merupakan bekas guru lulusan Maktab Perguruan Batu Rakit, Terengganu. Beliau merupakan Guru Terlatih dalam bidang Bahasa Melayu. Penguasaan Bahasa Melayu beliau amat tinggi dan juga merupakan pejuang penggunaan Bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran.

Jiwa sebagai pendidik menebal dalam diri Kak Jah, beliau mengimpikan terbinanya sebuah masyarakat terutama di Pengkalan Chepa yang mendapat pendidikan sepanjang hayat dalam sektor akademik, kemahiran hidup, industri tradisi dan pendidikan kebudayaan. Suara beliau amat penting diparlimen untuk memperjuangkan penggunaan Bahasa Melayu dalam pendidikan dan mempromosi khidmat kemasyarakatan yang progresif dalam negara ini.

Nik Faizah atau Kak Jah tidaklah dilahirkan sebagai ahli politik, namun skandal 1MDB, SRC International dan Skandal Projek Solar amat mengesan dalam jiwanya. Beliau melihat masyarakat yang amat dhaif dan melarat di Kelantan, sedangkan para pembesar, konglemerat dan pemimpin negara menyalah-guna kuasa dan merompak harta rakyat. Sedang rakyat ada yang tidak cukup makan, tidak cukup bekalan susu, rumah yang dhaif dan hilang perkerjaan, para pemimpin merompak hak-hak rakyat dengan rakus.

Jiwa Kak Jah tidak tenteram selepas mengikuti pendedahan skandal 1MDB, SRC International dan projek Tenaga Solar, lalu istikharahnya mengambil jalan terlibat dalam politik kepartian. Beliau memilih AMANAH atas dasar yang sebati dalam jiwanya “Rahmat-al-Alamin”. Kak Jah mahu menjadi mata-rantai pencetus kepada perubahan, kepimpinan berintegriti, masyarakat adil, masyarakat madani yang prihatin dan kerajaan bertata-kelola baik (good governance).

Tidak syak lagi, Kak Jah atau Nik Faizah Nik Othman yang cakna terhadap rakyat, penggerak komuniti, pendidik yang cemerlang, jujur dan berintegriti dan wanita sarat idea pilihan terbaik Pakatan Harapan untuk dinobatkan sebagai ahli Parlimen Pengkalan Chepa P.020. Menghantar Kak Jah keparlimen bermakna menghantar seorang yang merasai denyut nadi rakyat, menjadi suara rakyat dan anggota pasukan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang gigih lagi agresif dalam memberikan khidmatnya.

…..

Penulis merupakan Fellow Islamic Academy of Science, yang berpengkalan di Jordan. Penulisan ini merupakan pendapat dan pandangan penulis dan bukan melambangkan pendirian akademi.

Kecoh lelaki baling telur ke arah Raja Charles dan Permaisuri

SITI NUR ZAWANI MISCON

Seorang lelaki ditahan selepas bertindak membaling sebutir telur ke arah pemerintah United Kingdom, Raja Charles dan isterinya, Permaisuri Camilla, ketika melaksanakan tugas rasmi di utara England, semalam.

Lelaki berkenaan yang dilabel penunjuk perasaan telah ditahan serta merta yang ketika itu berada dalam kalangan orang ramai yang sedang berkumpul bagi menyambut pasangan diraja itu.

Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan telur yang dilempar jatuh di atas jalan raya semasa ketibaan Raja Charles III dan Permaisuri Camilla.

Baginda bagaimanapun tidak terkesan akibat serangan itu dan terus berjabat tangan dengan orang ramai.

Memetik Agensi, polis Yorkshire Utara memaklumkan bahawa lelaki berusia 23 tahun itu telah diberkas kerana mengganggu ketenteraman awam dan masih dalam tahanan.

Dia dilaporkan menjerit ‘negara ini (Britain) dibina menggunakan darah hamba-hamba’, sambil membaling telur tetapi tiada satu pun mengena pasangan monarki itu.

“Seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan kerana mengganggu ketenteraman awam susulan insiden di Micklegate, Yorkshire. Dia masih dalam tahanan polis,” kata Polis Yorkshire Utara dalam satu kenyataan.

Ratu Elizabeth II pernah menjadi sasaran balingan telur ketika baginda melakukan lawatan ke Auckland, New Zealand pada 1986. Dua wanita muda yang menyamar sebagai pegawai kawalan orang ramai melemparkan ‘telur bertubi-tubi’ dan mengotori kot baginda.

KJ tepis dakwaan Zahid Hamidi, ‘Saya ditinggal begitu saja’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menepis dakwaan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau meminta untuk bertanding di kerusi Sungai Buloh pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), dengan mengatakan dia “tiada pilihan”.

Khairy berkata, beliau menunggu isyarat daripada pucuk pimpinan parti mengenai di mana akan bertanding, namun tidak mendengar apa-apa daripada mereka, justeru beliau memutuskan mengambil inisiatif sendiri.

“Saya ditinggal begitu saja. Saya tahu kena keluar dari kawasan Rembau jadi pada waktu itu saya tiada pilihan, saya ambil inisiatif sendiri.

“Jadi, saya mengambil inisiatif untuk (berjumpa) dengan Noh Omar (pengerusi BN Selangor) dan Vicky (Presiden MIC SA Vigneswaran).

“Tiada banyak kerusi (Parlimen), hanya dua tiga yang tinggal ketika itu. Jadi saya kata, tak apalah saya pilih Sungai Buloh. Bukannya dari awal saya pilih (untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh),” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, Noh telah menasihatinya untuk bertanding di Selangor jika tiada kerusi lain lagi.

Kata Khairy lagi, beliau menemui Vigneswaran memandangkan Sungai Buloh sebelum ini pernah ditandingi oleh MIC pada pilihan raya umum lalu.

Terdahulu, Berita Harian memetik Zahid sebagai berkata, tiada siapa yang memaksa Khairy bertanding di kerusi Parlimen disandang PKR sejak 2008, yang dikenali sebagai Subang.

“KJ yang minta diberikan peluang bertanding di sana dan saya tunaikan permintaannya,” katanya.

Khairy, yang menjadi Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal sejak 2008, berkata pada September bahawa beliau diminta tidak mempertahankan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, yang mahukan peranan dalam politik peringkat persekutuan.

Beliau kemudian dikaitkan dengan kerusi Port Dickson, Seremban, Tampin, dan Kuala Pilah di Negeri Sembilan dan Alor Setar di Kedah.

Khairy menyifatkan perpindahan ke Sungai Buloh sebagai perjuangan paling sukar dalam karier politiknya.

Pada PRU15, Khairy akan ditentang R Ramanan daripada Pakatan Harapan, Ghazali Hamin (Perikatan Nasional) Akmal Yusoff (Pejuang), Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) dan dua lagi calon bebas.

PAS: Shahidan mungkin anugerah Allah buat PN

N Faizal Ghazali

PAS Perlis menganggap penyertaan Shahidan Kassim sebagai calon PN mengubah PRU ke-15 ini daripada biasa-biasa saja kepada sesuatu yang luar biasa.

Malah Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata apa yang berlaku itu mungkin "anugerah Allah" untuk perikatan terbabit.

"Pertamanya, saya ingat pilihan raya kali ini biasa saja, tetapi dengan penyertaan Shahidan saya tengok perkembangan khususnya di Arau nampak melonjak naik dan sesuatu yang luar biasa berlaku.

"Saya sendiri pun sebenarnya tidak menjangkakan suasana begini. Ini mungkin anugerah Allah kepada PN," katanya kepada media ketika ditemui di Kangar, hari ini.

Pengerusi PN Perlis itu berkata demikian sebagai ketika diminta mengulas situasi kempen gabungan terbabit serta kesan daripada penyertaan Shahidan.

Situasi politik di Perlis menjadi tumpuan ramai selepas Shahidan yang juga menyandang ahli Parlimen Arau memilih bertanding dengan tiket PN apabila tidak dicalonkan BN.

Dia akan berdepan cabaran Rozabil Abd Rahman (BN) dan Fathin Amelina Fazlie (PH).

Tak bincang calon MB

Mohd Shukri yang juga penyandang Adun Sanglang berkata, perjalanan kempen PN di negeri itu berjalan dengan baik termasuk di kawasan yang sukar ditembusi PAS sebelum ini.

"Misalnya di kawasan Wang Kelian, pengalaman saya 30 tahun dalam PAS sebelum ini susah nak buka pusat daerah mengundi (PDM) di situ, amat mencabar.

"Kali ini apabila petugas kami turun ke Wang Kelian, sudah ada khemah yang siap dipasang. Ini petanda yang cukup baik.

"Begitu juga di tempat lain termasuk di kawasan Felda, jadi kita harap momentum ini berterusan dan bertahan hingga hari mengundi," katanya.

Dalam perkembangan berasingan Mohd Shukri berkata PAS Perlis tidak akan membincangkan isu calon menteri besar, sebaliknya mahu memastikan PN menguasai negeri itu terlebih dahulu.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang sebelum ini menyokong untuk wakil rakyat PAS dilantik menjadi menteri besar Perlis jika mereka berjaya merampas negeri itu daripada BN.

"Kita tunggu menang dulu, setakat ini tak bincang langsung. Selalunya calon menteri besar ini PAS pusat akan tentukan.

"Mungkin saya akan dibawa berbincang dengan pimpinan pusat untuk pilih calon menteri besar jika kita dapat menguasai negeri ini," katanya.

Ha ha ha!!! Bantuan Keluarga Malaysia dipercepat sebelum PRU15

DANIAL HAKIM

Bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa Empat dipercepatkan bermula 15 November iaitu empat hari sebelum hari pengundian sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, keputusan kerajaan mempercepatkan bayaran bantuan itu sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.

Beliau mengumumkan hal itu pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Batu Bor di Kuala Bera hari ini.

Menurutnya, pembayaran membabitkan peruntukan bernilai RM2.1 bilion akan memberi manfaat kepada 5.2 juta penerima pelbagai kategori.

Penyandangan Parlimen Bera itu berkata, setiap penerima bakal menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Jelasnya, bayaran secara berperingkat yang dijangka selesai 18 November ini akan membantu penerima membuat persediaan menghadapi banjir.

“Keputusan mempercepatkan pembayaran BKM Fasa Empat daripada Disember kepada November adalah bagi membantu penerima untuk menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada pertengahan bulan ini.

“Jika bayaran dikreditkan lewat dan sudah berlaku banjir, ia akan menyusahkan rakyat untuk mengeluarkan wang di bank,” lapor BH.

Tambahnya, secara keseluruhan, RM8 bilion diperuntukkan kerajaan menerusi BKM yang memanfaatkan 8.7 juta penerima bagi 2022.

“Bersama kami anda suci, tidak bersama kami anda sekotor-kotornya”

NASUHA RAHMAN

Bersama-sama kami anda suci tapi tidak bersama kami anda sekotor-kotornya itulah maksud tersirat dalam gabungan Pas dengan parti Gerakan tetapi tidak untuk DAP.

Umum mengetahui Gerakan adalah satu-satunya komponen BN dahulunya tetapi telah hilang dari arus perdana sejak kalah pilihanraya tahun 2008.

Kemudian kalah lagi kesemua kerusi parlimen dan dun dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 dan PRU 2018.

Gerakan adalah parti yang dipenuhi 99 peratus kaum Cina, walaupun kalah, tetapi suaranya tetap agresif.

Di antaranya Parti Gerakan menentang perlaksanaan hudud di Kelantan bahkan bukan sekadar menentang, malah membawa kes ke mahkamah dengan menyaman kerajaan Kelantan kerana hendak melaksanakan hudud, demikian menurut bekas Setiausaha Politik Mohamad Sabu, Nasaie Ismail.

Seterusnya kata beliau dalam kes Chin Peng, Parti Gerakan mendesak kerajaan membenarkan bekas Ketua Parti Komunis Malaya itu untuk pulang ke Malaysia.

“Bukan sekadar abunya selepas kematian, tetapi jasadnya ketika Chin Peng masih hidup didesak Parti Gerakan agar diberi kebenaran untuk kembali ke Malaysia,” katanya.

Malangnya kata beliau Gerakan kembali bernafas apabila menyertai Perikatan Nasional (PN) apabila rakan-rakan gabungannya memberi nyawa baru selepas hilang 3 penggal.

Dan paling penting katanya tidak ada label anti Islam atau pro-komunis buat Parti Gerakan walaupun mereka pernah menyaman hudud dan pernah mendesak Ketua Komunis pulang ke Malaysia.

“Begitulah politik negara kita. Bersama kami, anda suci. Tidak bersama kami, anda kotor sekotor-kotornya,” ujar beliau.

Tuan Ibrahim tuntut Rafizi mohon maaf dalam tempoh 7 hari

Malaysiakini 

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memberikan tempoh tujuh hari kepada Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli untuk memohon maaf dan mencadangkan jumlah ganti rugi kepadanya.

Tuntutan itu dibuat setelah Rafizi didakwa memfitnahnya dalam isu kontrak tebatan banjir Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) bernilai RM2 bilion.

Tuntutan itu dibuat melalui tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid bagi pihak Tuan Ibrahim yang dikongsi bersama media hari ini.

Menurut surat tuntutan sembilan muka surat itu, Rafizi mengeluarkan penyataan itu pada 7 dan 9 November lepas dalam sidang media, media sosial, laman webnya dan laman web PKR.

“Firma kami juga diarahkan oleh anak guam kami untuk menyatakan bahawa tindakan kamu mengeluarkan penyataan-penyataan fitnah tersebut telah dibuat dengan niat jahat dan didorong oleh dendam, permusuhan peribadi dan/atau motif yang tidak wajar dan/atau tidak lebih dari sekadar satu tindakan sensasi bagi menjatuhkan reputasi anak guam kami di mata masyarakat demi kepentingan peribadi dan politik,” menurut surat tuntutan itu.

Rafizi sebelum ini medakwa Kasa dalam proses menganugerahkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat milik individu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin Umno.

Rafizi mendakwa dimaklumkan sumber kerajaan bahawa usaha meluluskan segera projek itu bawah pentadbiran kerajaan sementara sebagai timbal balas selepas menerima dana pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Dia menuntut Tuan Ibrahim menjawab dakwaan itu dan memberi jaminan tidak akan meluluskan sebarang projek dalam tempoh pentadbiran kerajaan sementara kerana ia bertentangan dengan pekeliling perbendaharaan.

Susulan itu, Tuan Ibrahim mencabar Rafizi membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) jika mempunyai bukti.

Katanya, tiada kelulusan boleh diberikan terhadap mana-mana peruntukan kewangan dalam tempoh kerajaan sementara. 

Aku janji atau disaman

Sementara itu, Tuan Ibrahim juga menuntut supaya Rafizi mengeluarkan aku janji untuk tidak menerbitkan lagi kenyataan serupa dalam tempoh tujuh hari.

Firma itu juga berkata mereka akan mengambil tindakan undang-undang dan/atau mendapatkan perintah injunksi, jika Rafizi tidak mengendahkan tuntutan itu.

Tiga lelaki halang, serang pemandu ambulans ditahan

Amirul Aiman Hamsuddin

bhnews@bh.com.my

Sekumpulan lelaki menyerang, menghalang petugas kesihatan membawa keluar pesakit yang cedera di pasar raya. - Foto tular

Sekumpulan lelaki menyerang, menghalang petugas kesihatan membawa keluar pesakit yang cedera di pasar raya. - Foto tular

KUALA SELANGOR: Tindakan tiga lelaki termasuk remaja menyerang pemandu ambulans yang sedang membawa seorang pesakit wanita mengundang padah apabila ditahan polis di sebuah pasar raya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata ketiga-tiga suspek berusia 17 hingga 35 tahun ditahan pada jam 11 malam di sekitar daerah ini.

Beliau berkata, penahanan dibuat susulan laporan dibuat Penolong Pegawai Perubatan Hospital Tanjong Karang berusia 27 tahun.

"Pada jam 8.40 malam tadi, pengadu menerima panggilan berhubung seorang wanita yang cedera di sebuah pasar raya.

"Pada jam 9 malam, pengadu tiba di lokasi dan ketika dalam perjalanan membawa pesakit ke ambulans, didapati ada pihak yang menyerang pemandu ambulans," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, susulan laporan itu polis menahan tiga lelaki yang terbabit dalam kejadian itu.

"Punca kecederaan wanita dan punca kejadian masih dalam siasatan. Permohonan reman terhadap kesemua suspek dibuat pagi ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial video berdurasi 32 saat memaparkan petugas kesihatan yang dihalang ketika membawa seorang pesakit yang cedera.

Jumlah calon PH paling dekat dengan komposisi kaum di Malaysia

BORHAN AHMAD

Berdasarkan komposisi kaum di Malaysia, calon yang dinamakan oleh Pakatan Harapan adalah paling hampir dengan komposisi kaum berkenaan berbanding parti-parti lain.

Bahkan, Harapan menamakan calon Melayu/Bumiputra dan India lebih dari komposisi kaum berkenaan dalam senarai calon mereka.

Harapan menamakan 71.5 peratus atau 118 orang calon Melayu Bumiputra manakala komposisi kaum di Malaysia, penduduk Melayu Bumiputra adalah 69.6 peratus berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia untuk tahun 2020.

Harapan menamakan 20 peratus atau 33 calon Cina manakala komposisi kaum Cina di Malaysia adalah 22.6 peratus.

Untuk kaum India pula, Harapan menamakan 8.5 peratus atau 14 calon berbanding dengan komposisi kaum India di negara ini adalah 6.8 peratus.

Ini bermakna, untuk calon Harapan, hanya calon Cina sahaja yang kurang dari peratusan mereka dalam komposisi kaum di Malaysia manakala calon Melayu dan India melebihi dari peratusan mereka dalam komposisi kaum di Malaysia.

Komposisi calon yang dinamakan oleh Perikatan Nasional (PN) jauh ekstrem kepada Melayu dari komposisi kaum di Malaysia apabila menamakan 81 peratus atau 134 calon Melayu, 14 peratus atau 23 calon Cina dan hanya 5 peratus calon atau lapan calon India.

Barisan Nasional pula melebihkan calon Cina dan India berbanding komposisi kaum di Malaysia apabila menamakan hanya 66 peratus atau 109 calon Melayu sedangkan Cina 25 peratus atau 41 calon manakala India pula 9 peratus atau 15 calon.

Dari PAS sertai Amanah kini ahli DAP, Calon PH parlimen Gerik

story-image

Tarmizi Mohd Jam mahu 'sampan dan dayung di tangan'

Ng Xiang Yi

Bekas pengarang Harakah dan pemimpin Amanah Tarmizi Mohd Jam pada mulanya ragu-ragu dengan label negatif yang dikaitkan dengan DAP.

Namun, dia terkejut apabila keluarga dan rakan-rakan tidak membantah rancangannya untuk menyertai DAP pada September tahun ini.

"Pelbagai keraguan ada. Umno yang cakap (persepsi negatif) memang di kepala kita.

"Bila turun padang tanya, tidak ada kawan-kawan yang ragu. Langsung tidak ada,” katanya.

"Itulah sebab dua minggu (bulan september) kita boleh kumpul anggota 300 orang - sebagai permulaan pergerakan PH Parit,” kata pengerusi Jawatankuasa Penaja DAP Cawangan Parit.

Cawangan DAP Parit mempunyai bilangan ahli Melayu tertinggi di Perak.

Pakatan Harapan dan DAP telah mengamanahkan Tarmizi, 53, dengan misi untuk menakluki kubu kuat Umno Gerik. Dia akan berhadapan dengan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini semalam, Tarmizi bercakap mengenai pengalaman politiknya.

Sikap Tarmizi dalam politik bermula seawal usia 15 tahun, apabila dia menjadi ahli PAS pada 1984. Dia kemudian menyertai Harakah sebagai wartawan selepas tamat Tingkatan 6.

"Saya memang minat politik, tertarik ucapan naib presiden PAS Abdul Hadi Awang masa itu.

"Pidato dia hebat antara orang-orang agama. Masa itupun tak banyak media tulis pasal politik. Harakah antara sumber media yang saya ambil tahu pasal politik,” katanya.

Tarmizi membuat penampilan sulung sebagai calon PAS pada pilihan raya umum 1995 apabila bertanding di kerusi DUN Bota tetapi tewas kepada calon Umno.

Dia dilantik pengarang Harakah pada 2008 dan kemudiannya berhijrah ke Kuala Lumpur dan menjadi naib ketua PAS Kawasan Batu.

Pada 2014, apabila Mohamad Sabu ketika itu pemimpin nombor dua PAS dan pemimpin progresif lain tersingkir semasa Muktamar PAS, Tarmizi dan ahli jawatankuasanya turut meletakkan jawatan yang menyebabkan PAS kawasan Batu bubar.

Pada tahun berikutnya, Tarmizi menyertai serpihan PAS Amanah yang diketuai Mohamad Sabu dan berkhidmat sebagai Ketua Amanah Wilayah Persekutuan sehingga 2018.

Pada pilihan raya umum 2018, dia kembali ke kampung halamannya dan bertanding di Parit tetapi tewas dalam pertembungan tiga penjuru.

Ditanya punca dia meninggalkan Amanah untuk menyertai DAP, Tarmizi mengakui terdapat masalah dalaman dan sikap berpuak-puak dalam Amanah.

"Kita yang pengasas di kawasan (Parit) dipinggirkan. Ada faktor menolak dari dalaman ini menyebabkan mereka yang nak buat kerja, nak sambung politik terpaksa untuk cari alternatif untuk bergerak

"Bila parti tidak hargai kami bila bergerak, seolah kita ada sampan, dayung dipegang orang lain.

"Ini menyebabkan kita kumpulan aktivis Amanah di Parit pilih DAP sebagai parti alternatif, tetapi pada masa sama masih berada dalam PH," katanya.

Mengenai memilih DAP dan bukannya PKR, Tarmizi berterus terang tentang pilihannya itu, berkata "di Parit keadaan tidak mengizinkan."

"Kita nak sampan di tangan, dayung juga di tangan. Kalau di PKR hanya boleh jadi ahli dan pengikut. Tak dapat ada impak besar," katanya.

Sementara itu, Tarmizi berterima kasih kepada pucuk pimpinan DAP kerana memilihnya bertanding di parlimen Gerik, yang dia percaya akan membantu "menghidupkan semula semangat Pakatan Harapan."

"Saya tidak terfikir langsung untuk bertanding di tempat lain - kita bukan sama level seperti pemimpin tinggi DAP tanding di mana-mana, dialih-alihkan," katanya.

Menurut Tarmizi, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming memaklumkan dia akan menjadi calon di Gerik dan bukannya Howard Lee, yang sebelum ini dispekulasikan untuk bertanding kerusi itu.

Bagaimanapun, tinjauan menunjukkan bahawa calon Cina tidak sesuai.

"Ini adalah perjudian hebat oleh DAP di Gerik. Harapan tinggi kerana ini adalah kerusi baru,” kata Tarmizi.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya, Gerik mempunyai 44,754 pengundi - 72 peratus Melayu, 13.6 peratus Cina, 4.8 peratus India dan 9.6 peratus kaum lain.

Selain ketua Pemuda Umno, Tarmizi juga akan berdepan Fathul Huzir Ayob Bersatu.

PRU15: Masa mengajar si mulut celupar

Al-Abror Mohd Yusuf

“Sekejap saja tu bang," kata seorang rakan sebagai komen kepada kenyataan kawan yang lain, "esok 'kepala rimau' turun, semua akan meriah semula."

Sebelum itu, ada penggiat politik semacam mengeluh. Dia melihat amalan yang sinonim dengan politik di tempatnya - cah keting - sudah bermula sejak sebelum hari penamaan calon.

Di sana sini ada kegiatan menurunkan bendera, menutup bilik gerakan, merajuk dan marah-marah.

Demikianlah politik kita. Asalnya politik itu wujud - sama ada secara langsung atau tidak - adalah untuk kebaikan manusia terbanyak. Ia merupakan salah satu cara menguruskan kuasa agar keadilan dapat dirasai.

Dengan politik, yang benar boleh ditegaskan sebagai benar, manakala yang salah lagi batil dapat dinyatakan setepatnya.

Pada beberapa dekad terakhir ini, kegiatan politik di negara ini semakin bertukar fungsinya. Daripada mencari kebaikan, kebanyakan pemain politik begitu gigih mahu merendahkan akal rakyat.

Sangat gigih sehinggakan kadang-kadang kita mengesyaki mereka sanggup berjaga malam demi mencari jalan agar rakyat dapat diperbodohkan lagi dan lagi.

Marahkan pilihan rakyat

Sewaktu pengumuman calon-calon parlimen dari PKR, Rafizi Ramli berkata benar apabila mengakui bahawa PRU kali ini diadakan ketika orang politik adalah individu yang paling dibenci masyarakat.

Tentu kita masih ingat bagaimana orang politik bersandar kepada ayat-ayat al-Quran semasa dengan angkuhnya memarahi pengundi kerana membuat pilihan sendiri pada 2018.

Berasakan mereka adalah kumpulan yang diberikan hak oleh tuhan untuk menentukan benar atau salah sesuatu tindakan, orang ramai dimarahi, disindir, dijerkah dan dihaiwankan hanya kerana tidak memilih kumpulan tertentu.

Seakan langsung tiada sedikit pun rasa aib pada diri masing-masing apabila mereka menyatakan hal tersebut, ketika hakikatnya pilihan raya adalah waktu untuk seseorang membuat pilihan secara bebas.

Memang tidak ada masalah jika orang sebegitu menyatakan rasa marahnya tetapi ia mestilah dibuat dengan akal yang waras serta menyedari bahawa seseorang pengundi itu berhak membuat pilihan sendiri.

Bahkan sebaliknya golongan terbabit memberikan isyarat bahawa orang ramai wajib memilih berdasarkan kehendak pihak tertentu saja. Dan seperti biasa, golongan terbabit tidak pernah gagal memberikan dalil dengan amat lancar.

Perbuatan menjerkah orang ramai yang memilih itu hampir-hampir membuat kita menganggap sebenarnya demokrasi di negara ini sudah mati dan diganti oleh autokrasi.

Kemudian berlangsung pula episod mendesak itu dan ini. Pada satu sisi, ada kumpulan yang mahu PRU diadakan segera dan mereka melacurkan nama rakyat untuk memberi justifikasi keserakahan masing-masing.

Pada sisi lain, ada pihak yang menentang. Sesetengahnya adalah pihak yang sekelambu dengan kumpulan yang ghairah mahukan parlimen dibubarkan segera.

Dan salah kesan utama daripada keputusan itu sedang 'dinikmati' oleh ramai orang.

Hujan lebat, air pasang, banjir kilat dan kerosakan sistem pengangkutan awam adalah mimpi ngeri buat rakyat biasa, sedangkan orang politik kebanyakannya masih bersenang-lenang ke sana ke sini bersama berpuluh-puluh pengiring.

Sekali lagi seakan-akan aib itu tidak ada langsung dalam hati masing-masing walaupun bagi orang Islam, ia merupakan salah satu petanda adanya sisa iman dalam diri.

Rakyat tak perlukan politikus

Ketika tarikh mengundi semakin hampir dan calon yang bertanding semakin giat menjual diri kita pun dihidangkan dengan satu demi satu kisah mengenai keraguan latar belakang individu tertentu.

Menggunakan gelaran tertentu yang disangsikan, misalnya, serta meletakkan butiran/maklumat yang kabur, ia sebenarnya satu lagi usaha orang politik membodohkan rakyat.

Ia juga melondehkan hakikat bahawa ada antara kita ini masih terlalu bebal kerana menganggap kuasa serta pengaruh akan mudah diperolehi melalui gelaran serta pangkat tertentu.

Jiwa hamba itu benar, dan keinginan menghambakan orang itu juga benar.

Namun orang politik barangkali lupa, zaman sudah jauh berubah. Maklumat terlalu banyak dan boleh diperolehi dengan mudah di hujung jari.

Justeru perlulah diingatkan bahawa dalam tempoh kurang dari dua minggu ini, ia adalah detik untuk rakyat mengumpul kesedaran serta maklumat yang tepat. Ia juga waktu yang 'istimewa' kerana PRU adalah waktu orang politik sangat memerlukan rakyat, bukan sebaliknya.

Sebanyak mana pun 'kepala rimau' turun, ia tidak akan mampu membeli maruah rakyat yang bertanggungjawab.

Ia juga masa untuk mengajar orang politik akan harga bermulut celupar serta padah membuat onar.

Ongkili bakal ‘tumbang’ selepas 18 tahun?

Tracy Bul

KOTA KINABALU: Perebutan kerusi Kota Marudu menarik perhatian pemerhati di Sabah, dalam pada desas-desus mengatakan keadaan mungkin “memudaratkan” Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili.

Sejak 18 tahun kebelakangan ini, Kota Marudu menjadi tugu kuat Ongkili yang juga menteri persekutuan bagi hal ehwal Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, beliau berdepan saingan sengit dalam pilihan raya umum 19 November ini, iaitu daripada bekas pembantu menteri Sabah Wetrom Bahanda dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM).

Sumber di Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disertai PBS berkata, kaji selidik mereka menunjukkan Ongkili mungkin berdepan masalah.

“Mereka meminta wajah baharu. Ini bukan mengenai parti, tetapi wakilnya.

“Wetrom sangat popular disebabkan kerjanya ketika bersama Barisan Nasional (sebelum menyertai Perikatan Nasional), dan popularitinya terus meningkat disebabkan interaksinya dengan rakyat,” kata sumber itu.

Menurut sumber berkenaan, pengkritik Ongkili mendakwa beliau tidak banyak “turun padang” seperti sepatutnya, selain tidak berjaya membawa perubahan kepada kawasan berkenaan, malah ia masih kekal antara 10 daerah termiskin di negara ini.

Wetrom yang juga ADUN Bandau memang telah lama menyasarkan kerusi berkenaan, malah sejak menjadi ketua Umno Kota Marudu lagi.

Bagaimanapun, sumber PBS menyuarakan keyakinan terhadap keupayaan Ongkili mempertahankan kerusi itu di bawah tiket GRS.

Ongkili yang berjaya mempertahankan kerusi Kota Marudu dalam pilihan raya 2018 dengan majorit 1,774 undian, bakal berentap dengan Wetrom, Jilid Kuminding (Warisan), Shahrizal Denci (Muda), Azmi Zulkiflee (GTA) dan Norman Tulang (Bebas).

Kelindan lori hina Islam di Facebook didenda RM12,000

NUZULSHAM SHAMSUDDIN

KUALA LUMPUR – Gara-gara membuat komen jelik menghina agama Islam di laman sosial Facebook, seorang kelindan lori didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Nor Hasniah Ab Razak menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Tham Wai Yuen, 49, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas lelaki itu menukar pengakuan kepada bersalah.

Sekiranya jumlah denda itu gagal dibayar, OKS boleh dipenjara selama enam bulan.

Mengikut pertuduhan, Wai Yuen didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komunikasi yang jelik sifatnya di ruangan komen yang menghina agama Islam menggunakan akaun Facebook miliknya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Hantaran komen yang dibuat pukul 2.30 petang pada 4 April 2020 itu kemudian telah dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di sini pukul 5 petang pda 20 April lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Norazman memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada OKS dan masyarakat dengan mengambil kira komen jelik yang dibuat oleh lelaki itu.

Bagaimanapun peguam Zaid Abd Malek mewakili OKS memohon anak guamnya hanya dikenakan hukuman denda dengan jumlah yang minima kerana anak guamnya hanya bekerja sebagai kelindan lori selain meenghidap penyakit darah tinggi. – KOSMO! ONLINE

KJ tempah kekalahan?

Shahbudin Husin 

PENGAKUAN TERBUKA MAHU JADI PERDANA MENTERI, KJ TEMPAH KEKALAHAN?

Rasanya Khairy Jamaluddin atau KJ adalah pemimpin UMNO yang pertama mengaku secara terbuka dirinya mahu jadi Perdana Menteri.

Sebelum ini, walaupun seseorang pemimpin UMNO itu memang diketahui sedang merancang untuk menjadi Perdana Menteri atau berkedudukan makin hampir dengan kerusi tersebut, tetapi tidak pernah ada yang secara terbuka mengaku mahu jadi Perdana Menteri.

Secara umumnya mereka masih berselindung atau malu-malu untuk mengakui mahu jadi Perdana Menteri.

Ini kerana risiko membuat pengakuan itu boleh menjadi senjata yang menikam karier sendiri akhirnya.

Pak Lah atau Tun Abdullah Badawi ketika sudah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pun tidak pernah secara terbuka mengaku mahu jadi Perdana Menteri.

Beliau ketika itu tetap menjadi timbalan yang setia kepada Tun Mahathir Mohamad sehinggalah diserahkan jawatan itu kepadanya pada 2003.

Begitu juga dengan semua Perdana Menteri yang lain, sebelum sampai ke jawatan Perdana Menteri, tidak pernah mereka secara terbuka meluahkan keinginan dalam hati terhadap jawatan tertinggi itu.

Ismail Sabri Yaakob, sebelum jadi Perdana Menteri, tidak pernah kita dengar ada mengakui secara terbuka mahu jadi Perdana Menteri.

Begitu juga dengan pemimpin lain seperti Hishammuddin Hussein misalnya, walau diketahui beliau ada cita-cita ke arah itu dan sentiasa pula berusaha meningkatkan kariernya dalam UMNO, tapi tidak pernah walau sekali pun mulutnya mengeluarkan kenyataan mahu jadi Perdana Menteri.

Lain benar nampaknya dengan KJ, belum pun memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri atau Timbalan Presiden UMNO, bahkan beliau tiada apa-apa jawatan dalam hireaki parti ketika ini dan sedang berjuang untuk memegangi kerusi Sungai Buloh pada 19 November ini, luahan keinginan menjadi Perdana Menteri itu sudah pun diluahkannya secara terbuka.

“Kalau orang Sungai Buloh menangkan saya, Sungai Buloh bukan hadnya. Saya bawa orang Sungai Buloh, satu hari nanti, kita pimpin Malaysia… Insya-Allah.

“Dengan takdir Allah, dengan sokongan daripada rakan, satu hari nanti, saya mahu memimpin UMNO.

“Satu hari nanti, saya mahu menjadi Perdana Menteri anda untuk membangunkan negara ini, tapi saya mesti menang di sini dulu,” kata calon Barisan Nasional (BN) itu semasa ceramah di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh malam tadi.

Tidak salah lagi tujuan KJ meluahkan keinginannya itu ialah agar pengundi Sungai Buloh tidak ragu-ragu untuk memberi kemenangan kepadanya pada pengundian 19 November nanti.

Mungkin ini senjata terakhirnya untuk memenangi kerusi Sungai Buloh memandangkan peluangnya untuk menang lagi masih samar berikutan majoriti kemenangan PKR di kerusi tersebut pada PRU14 lalu adalah lebih 26,000 undi.

Meskipun kedatangannya ke Sungai Buloh setelah diketepikan daripada Rembau setakat ini disambut baik oleh pengundi, tinjauan juga mendapati peluangnya untuk memang masih lagi 50-50.

Kelebihan pencabarnya, R Ramanan daripada PKR, selain beliau amat disenangi oleh penduduk tempatan, dua DUN dalam Parlimen Sungai Buloh iaitu Kota Damansara dan Paya Jaras memang sedia dalam genggaman PKR setelah memenangi pada PRU14 lalu.

Paya Jaras diwakili oleh Khairuddin Othman, manakala Adun Kota Damansara ialah Shatiri Mansor.

Melalui dua Adun berkenaan, usaha mendekati pengundi pasti lebih mudah bagi R Ramanan dan ini suatu kelebihan buatnya berbanding KJ.

Persoalan di sini, apakah dengan pengakuan secara terbuka mahu jadi Perdana Menteri itu boleh membawa keuntungan kepada KJ untuk memenangi kerusi Sungai Buloh?

Adakah pengundi Sungai Buloh boleh terpikat dengan perkara itu?

Atau mungkinkah, musuh dan pesaingnya dalam UMNO yang turut mengidam kerusi Perdana Menteri akan mula berusaha memastikan kekalahannya di Sungai Buloh ini? – ShahbudinHusin 09/11/2022.