Wartawan Pakistan dalam pelarian hilang di KL, kata isteri

Predeep Nambiar
Wartawan, Syed Fawad Ali Shah, dari Pakistan yang tinggal di Malaysia sebagai pelarian dikatakan hilang sejak Ogos.

PETALING JAYA: Seorang wartawan, Syed Fawad Ali Shah, dari Pakistan yang tinggal di Malaysia sebagai pelarian sejak lebih 10 tahun lalu dikatakan hilang sejak Ogos, kata isterinya.

Fawad, 41, dalam temubual dengan FMT sebelum ini mendakwa dia pernah ditahan pihak berkuasa Pakistan pada 2008 kerana menulis tentang kehilangan paksa, dan melarikan diri ke Malaysia bagi mengelak penganiayaan di negara sendiri.

Menurut wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Syeda, dia tidak tahu di mana suaminya berada sejak 23 Ogos. Katanya lagi, dia dan kawan-kawan Fawad ada membuat laporan polis berhubung kehilangan wartawan itu.

Syeda berkata dia terbang ke Kuala Lumpur untuk mencari suaminya. Wanita itu tidak percaya pihak berkuasa Malaysia menghantar Fawad pulang kerana tidak ada berita tentang kepulangannya di Pakistan.

“Tunjukkan bukti suami saya dihantar pulang. Apa jenayah yang sudah dia lakukan hingga dia perlu dihantar pulang dan kenapa dia belum temui keluarganya lagi?

“Saya minta butiran penerbangan yang menunjukkan dia dihantar pulang pada September, tetapi tiada seorang pun di Malaysia yang boleh berikan maklumat itu,” katanya kepada FMT, menerusi perbualan telefon.

Syeda berkata dia dan Fawad berhubung menerusi panggilan video selepas wanita itu pulang ke Pakistan pada Februari 2021. Namun pada penghujung Ogos, Fawad gagal dihubungi.

“Bila saya hantar pesanan ringkas ke nombor dia, saya hanya dapat tanda biru. Selepas hantar beberapa lagi pesanan, saya dapat mesej meminta saya jangan hubungi dia lagi,” kata Syeda.

“Si Fawad bukan macam itu orangnya. Selepas itu telefonnya ditutup,” tambahnya.

Syeda merayu pihak berkuasa mencari suaminya.

Wanita itu memaklumkan Fawad sebenarnya menunggu penempatan semula ke negara ketiga, dan UNHCR memberikan status pelarian kepada suaminya.

Fawad dalam temubual FMT sebelum ini mendakwa dia pernah ditahan pihak berkuasa Pakistan selama 18 hari pada 2008, selepas dia mula menyiasat tentang kes orang hilang di negaranya itu.

Dapatan siasatan mendorong wartawan itu untuk percaya bahawa pihak berkuasa Pakistan terbabit dengan kehilangan orang tertentu, yang kebanyakannya dituduh mengintip untuk AS atau India, atau bekerjasama dengan Taliban.

Fawad mendakwa dia ketika ditahan, disoal oleh penyiasat yang membawa fail-fail daripada agensi perisikan Pakistan.

Wartawan itu mendakwa dia kemudian dibebaskan dengan amaran supaya berhenti menulis tentang orang hilang dan bersara daripada bidang kewartawanan.

FMT sudah menghubungi polis berhubung kehilangan Fawad.

Tun M dedah alasan tak bersara politik, 'duduk di masjid kejar akhirat'

Ahmad Suhael Adnan

ahmad.suhael@bh.com.my

PUTRAJAYA: Bersara dan 'duduk di masjid' tiada dalam perancangan masa depan Tun Dr Mahathir Mohamad meskipun tidak lagi menjadi Ahli Dewan Rakyat selepas tewas di kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Meskipun usianya bakal mencecah 97 tahun pertengahan 2023, bekas Perdana Menteri tetap mahu meneruskan perjuangannya yang disifatkannya masih belum selesai, terutama bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu bangsa Melayu.

Dr Mahathir melihat masalah membabitkan orang Melayu terlalu dekat di hatinya dan percaya usaha menyelesaikannya adalah jauh lebih penting berbanding kepentingan dirinya, termasuk atas alasan 'duduk di masjid untuk mengejar akhirat'.

"Saya nak bersara daripada politik. Sebenarnya pada 2002, saya syorkan saya letak jawatan (Perdana Menteri), saya nak bersaralah. Tapi apabila saya bersara, terdapat banyak perkara berlaku yang tidak disenangi oleh orang ramai. Mereka bertanya kepada saya, sama ada saya boleh tolong atau tidak.

"Dengan pengalaman 22 tahun sebagai Perdana Menteri, saya faham tentang masalah dan cara-cara mengatasi masalah.

"Kalau orang tanya, boleh ke tak tolong, tapi saya kata 'sorrylah, saya nak rehat, saya nak balik ke madrasah, nak sembahyang untuk akhirat', nampak saya utamakan diri saya lebih daripada bangsa saya," katanya dalam temu bual eksklusif bersama BH di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, baru-baru ini.

Beliau ditanya sama ada dirinya masih relevan dalam politik negara selepas kalah teruk dan hilang deposit dalam PRU15 atau tiba masa untuk bersara sepenuhnya daripada politik dan 'duduk di masjid'.

Dalam PRU15, Dr Mahathir yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi dimenanginya pada PRU14.

Bekas Perdana Menteri hanya memperoleh 4,566 undi, sekali gus kalah kepada calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Suhaimi Abdullah yang menang dengan majoriti 13,518 undi.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir memberi bayangan akan terus aktif dalam politik, terutama selagi khidmatnya masih diperlukan untuk membantu orang Melayu.

"Saya selalunya memandang masalah bangsa saya itu adalah perkara utama dalam kehidupan saya. Jadi saya tak boleh utamakan diri saya sedangkan bangsa saya mungkin menghadapi masalah.

"Kalau saya ada cara untuk mengatasi, tak baiklah kalau saya lebih utamakan kepentingan diri saya," katanya.

Nasib Zuraida, pengikut dalam PBM diketahui lusa

Malaysiakini 

Zuraida Kamaruddin dan beberapa ahli politik yang dekat dengan bekas naib presiden PKR itu mungkin sedang menghitung hari untuk kekal bersama Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Hal itu kerana menurut presiden parti itu, Larry Sng, mereka hanya mempunyai masa sehingga Isnin ini untuk memberi respon kepada surat tunjuk sebab yang dikeluarkan awal minggu ini.

Kata Sgn, kegagalan berbuat demikian akan menjadikan Zuraida serta sejumlah individu lain - yang kini digantung keahliannya - dipecat serta-merta.

Menurut ahli parlimen Julau itu, Majlis Tertinggi PBM mengadakan mesyuarat pada minggu lalu namun Zuraida dan beberapa pemimpin lain tidak hadir.

“Saya telah hantar surat tunjuk sebab (kepada mereka) pada Isnin lalu kepada Zuraida dan mereka yang lain yang masih digantung keahlian.

“Jika mereka gagal untuk membalas surat saya hantar secara bertulis dalam masa se­minggu ini, mereka akan di­singkirkan daripada parti," katanya seperti dipetik Utusan Online hari ini.

Zuraida merupakan pemimpin kanan PKR yang memenangi kerusi parlimen Ampang sejak 2008 sehingga 2018. Dia merupakan seorang daripada 11 ahli parlimen parti itu yang berpaling tadah menjadi wakil rakyat bebas pada akhir Feb 2020 dan membawa kepada jatuhkan kerajaan PH.

Mereka kemudian menjadi ahli Bersatu dan menyertai kerajaan semula sebagai anggota PN.

Bagaimanapun sebahagian daripada bekas pemimpin PKR berkenaan meninggalkan Bersatu dan menyertai parti lain.

Turut bertindak menganggotai PBM ialah Adun Selangor seperti Haniza Mohamed Talha dan Dr Daroyah.

Biar parti tentukan

Bagaimanapun berlaku pergolakan dalaman pada PBM khususnya mengenai cadangan peralihan kepimpinan yang diuar-uarkan bakal diserahkan oleh Sng kepada Zuraida.

Menurut Sng, dalam mesyuarat PBM baru-baru ini, mereka bersetuju supaya penggantungan jawatan dua ahli majlis tertinggi parti yang dibatalkan.

Mereka ialah Chua Liam Chye dan Mira Muniraa Abu Bakar.

Selain Chua dan Mira Munira, individu yang masih digantung ialah Zuraida sendiri, Haniza, Daroyah, Rahimah Majid, Dr G Sathiskumar, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Sebelum itu, PBM turut menggantung setiausaha agung­nya, Nor Hizwan Ahmad dan ketua penerangan, Zakaria Abdul Hamid. Kedua-dua mereka merupakan tokoh yang dekat dengan Zuraida.

Dalam PRU ke-15 yang berlangsung pada 19 Nov lalu, Zuraida cuba mempertahankan kerusi Ampang sebagai calon PBM namun dia bukan saja gagal, malah kehilangan deposit kerana hanya mendapat 4,589 undi.

Calon PH, Rodziah Ismail, pula memperoleh 56,754 undi. Pencabar terdekat Rodziah ialah calon PN, Sasha Lyna Abdul Latif, yang mendapat 27,073 undi.

Sementara itu ditanya mengenai peralihan kuasa kepada Zuraida seperti yang dinyatakan sebelum ini, Sng berkata, dia menyerahkan isu tersebut kepada parti.

“Biar jawatankuasa tatatertib tentukan nasib dan keahlian Zuraida,” katanya.

Untuk rekod Sng sendiri merupakan bekas pemimpin PKR dan dia memenangi kerusi Julau pada 2018 sebagai calon PH. Dia meninggalkan parti tersebut secara rasmi pada 28 Feb tahun lalu.

Mahiaddin hanya tahu kritik walau pentadbiran PN lintang-pukang

AMIRUL AZHAN

Kritikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Yassin ke atas Kerajaan Perpaduan biarpun popular di media sosial tetapi tidak membawa apa-apa makna kerana pentadbiran beliau sendiri pada 2020 hingga 2021 lalu lintang-pukang, dan jauh lebih buruk berbanding kerajaan pada masa ini.

Menurut bekas ADUN Bandar, Azan Ismail, kritikan Mahiaddin itu kerana beliau ingin menjadi perdana menteri dan bukan kritikan membina yang diperlukan daripada pemimpin pembangkang.

“Ini sangat jelas keutamaan beliau (Mahiaddin) hanya nak jadi perdana menteri semata-mata.

“Sepatutnya, kebajikan rakyat ditumpukan sepenuh perhatian dan jadilah barisan pembangkang yang dapat memberi manfaat buat kerajaan,” katanya.

Malah kata Azan, ketika mentadbir negara banyak isu yang tidak didedahkan kepada umum untuk dinilai berjaya atau gagal.

Tegasnya, banyak perkara tidak dibahas di Dewan Rakyat apabila Mahiaddin mengisytiharkan darurat pada awal Januari tahun lalu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kritikan demi kritikan yang sering diperkatakan Mahiaddin terhadap Kerajaan Perpaduan sebelum ini meskipun perkara yang cuba dibangkitkan itu tidak munasabah sama sekali untuk diperkatakan.

Lelaki ditahan bertelekung curi beg jemaah wanita

FMT Reporters

Tangkap layar daripada video tular menunjukkan seorang lelaki bertelekung putih disyaki mencuri beg jemaah wanita yang menunaikan solat berjemaah di masjid sekitar Seksyen 18 Shah Alam. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Taktik seorang lelaki bertelekung untuk mencuri beg jemaah wanita di dua masjid di Shah Alam, Selangor terbongkar, selepas polis menerima dua laporan membabitkan kerugian kira-kira RM3,500.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Iqbal Ibrahim berkata, suspek dalam lingkungan 20-an itu menggunakan taktik sama memakai telekung putih memasuki ruangan jemaah wanita, ketika mangsa menunaikan solat berjemaah di masjid sekitar Seksyen 18 Shah Alam pada Selasa lalu.

Beliau berkata, tindakan itu dikesan polis menerusi video tular hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan lelaki terbabit memasuki ruang solat wanita untuk mencuri.

Dalam kejadian pertama, katanya, seorang wanita berusia 60 tahun kehilangan beg berisi pelbagai barangan berharga selepas menunaikan solat di Masjid Al-Azahariah pada 3.41 petang.

“Dalam kejadian kedua, seorang jemaah wanita berusia 58 tahun menjadi mangsa kecurian beg tangannya di Masjid Al-Hidayah pada 10.47 malam hari sama,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Iqbal berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan lelaki itu di sekitar Seksyen 18 pada 12.05 tengah malam tadi dan merampas dua telefon bimbit curi.

Katanya, hasil semakan mendapati lelaki terbabit merupakan penganggur dan memiliki lima rekod jenayah lampau, termasuk kes penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, suspek direman empat hari hingga Isnin depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

10 kejayaan DSAI selama sebulan. Mampukah anda menahan diri?

CAMELIA K

Tanggal 24 November 2022, merupakan satu tarikh bersejarah buat rakyat Malaysia apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Pelantikan ini sekaligus menamatkan penantian selama 24 tahun bukan sahaja buat Anwar Ibrahim, malah buat para pendokong gerakan reformasi di Malaysia.

Bukan itu sahaja, pelantikan ini juga diharapkan mampu memberi sinar baharu buat rakyat Malaysia yang kini dihimpit dengan isu tekanan kos sara hidup yang semakin membarah.

Jadi, tidak hairanlah mengapa ramai yang tertunggu-tunggu dasar dan tindakan yang bakal dilakukan oleh barisan Kabinet Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Memandangkan telah genap sebulan selepas Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri yang disaksikan oleh jutaan rakyat Malaysia yang mendambakan perubahan, mari kita imbas kembali sebulan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

1 Meneruskan usaha martabat agama Islam, hak bumiputera dan Bahasa Malaysia

Dalam ucapan sulung selepas mengangkat sumpah, Anwar memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan bawah pimpinannya akan meneruskan usaha memartabatkan Bahasa Malaysia dan agama Islam di Malaysia. Beliau juga akan mengangkat hak bumiputera dan kedaulatan Raja-Raja Melayu seperti yang tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan.

2 Fokus isu kos sara hidup rakyat

Perdana Menteri menegaskan bahawa isu kos sara hidup menjadi fokus utama beliau terutamanya harga barang yang mencengkam dan menekan kehidupan rakyat. Buktinya, Anwar sendiri telah mengadakan mesyuarat dengan jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk membincangkan isu ini pada hari ketiga selepas mengangkat sumpah.

3 Tolak gaji, elaun PM dan kereta mewah

Seperti yang dijanjikan dalam sesi ceramah dan kempen, Anwar Ibrahim telah menunaikan janjinya untuk menolak gaji, elaun sebagai Perdana Menteri dan penggunaan kereta mewah kerajaan. Menurutnya, ia adalah langkah pertama untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap pemimpin dan kerajaan.

4 Potong 20% gaji menteri

Jemaah Menteri Kabinet Perpaduan juga bersetuju untuk menerima potongan gaji sebanyak 20% setiap bulan atas tanda keprihatinan kepada rakyat yang sedang dihimpit teknanan ekonomi.

5 Nilai ringgit semakin pulih

Nilai ringgit melonjak naik 1.8 peratus ke paras tertingginya dalam tempoh dua bulan berbanding dolar Amerika susulan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia yang seterusnya meredakan ketidakpastian politik negara.

6 Hentikan amalan “direct tender”

Anwar Ibrahim dalam ucapannya pada sesi perhimpunan bulanan bersama penjawat awam di Putrajaya menegaskan supaya tata kelola pentadbiran kerajaan baharu tidak boleh lagi berlaku kelulusan perolehan tanpa tender di semua peringkat. Beliau juga menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinannya tidak akan mengizinkan sebarang kebocoran, ketirisan dan rasuah dari terus berleluasa.

7 Tidak menaikkan tarif elektrik

Baru-baru ini, kerajaan memberi jaminan untuk tidak akan menaikkan tarif elektrik terhadap rakyat untuk mengurangkan beban rakyat, biarpun jumlah keseluruhan kos subsidi bahan api itu yang bakal ditanggung oleh kerajaan mencecah RM30 billion.

8 Menamakan Kabinet Perpaduan dan berjaya mendapatkan undi percaya

Anwar Ibrahim telah menamakan senarai ahli Kabinet Kerajaan Perpaduan dan beliau juga seterusnya telah membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri ke-10 dengan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen dalam usul percaya pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15. Usul tersebut sekaligus telah memperkukuhkan kestabilan Kerajaan Perpaduan.

9 Bantuan kepada mangsa banjir dan tanah runtuh

Negara diuji dengan tragedi bencana alam yang amat memilukan menjelang berkahirnya tahun 2022 ini. Bagi tragedi Tanah Runtuh Batang Kali, Kerajaan Perpaduan telah memberikan bantuan berjumlah RM10,000 kepada mangsa terkorban dan RM1,000 untuk mangsa yang terlibat. Manakala bagi bencana banjir yang menimpa Kelantan dan Terengganu, Perdana Menteri telah mengumumkan bantuan banjir berjumlah RM100 juta untuk penduduk Pantai Timur yang terjejas.

10 Cabutan khas judi diturunkan daripada 22 kali kepada 8 kali

Anwar Ibrahim memutuskan untuk menurunkan cabutan khas atau istimewa nombor ramalan empat digit (4D) kepada lapan kali setahun berbanding 22 kali pada era pemerintahan kerajaan terdahulu. Untuk rekod, kerajaan Pakatan Harapan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu telah menurunkan kekerapan cabutan khas menjadi 11 kali pada 2019 sebelum dikurangkan lagi kepada lapan kali pada 2020. Namun, ia telah dinaikkan menjadi 22 kali sepanjang tahun 2021 semasa pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional.

Ini hanyalah permulaan. Perjalanan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim masih panjang dan diharapkan lebih banyak lagi dasar dan usaha bagi membela dan menaikkan taraf hidup rakyat bakal dilaksanakan.

Dosa tidak mengundi, dosa beri rasuah mengundi? Apa jawapan Hadi

AMIRUL AZHAN

Dosa tidak keluar mengundi kerana menunaikan haji yang tular dari kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang masih bermain di media sosial.

Bagi pemimpin PKR Terengganu, Azan Ismail beliau mempunyai sudut pandang lain.

Katanya Presiden Pas sepatutnya tidak terhad komen kepada isu berdosa tidak mengundi tetapi juga perlu menjawab isu pengundi dipaksa bersumpah dengan nama Allah dan diberi duit untuk mengundi Pas – PN dalam pilihanraya lalu.

“Hadi kena jawab dahulu mana yang lebih berdosa antara jemaah haji atau umrah tidak mengundi atau guna sumpah dengan nama Allah dan kemudian dapat duit untuk Pas raih undi.

“Mana yang lebih mustahak besar dosanya kerana isu ini melibatkan penyelewengan akidah umat Islam.

“Beliau (Hadi) kena buat penjelasan kepada rakyat Malaysia kerana ia perbuatan rasuah pengundi, dan jauh lebih besar mudaratnya,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Terdahulu semasa PRU15, tular video menunjukkan beberapa individu didakwa diminta bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka mengundi Pas sebelum diberikan bayaran tambang perjalanan pulang mengundi walaupun telah dinafikan Pas Kelantan.

Tambahnya, video ini sudah banyak tersebar sehingga hari ini boleh ditonton dan ternyata dakwaan Pas menggunakan duit untuk mendapatkan undi berasas.

Lanjutan daripada isu dosa tidak mengundi kerana menunaikan haji, Azan menggesa agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengeluarkan pendapat mahupun mengambil tindakan di atas kenyataan-kenyataan Presiden Pas itu yang dianggap keterlaluan.

Ujarnya lagi, ini bukan kali pertama pemimpin Pas itu mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

Profesor Agus tolak tawaran Anwar, mahu nikmati indah laut di Gorontalo

Malaysiakini 

Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Mohammad Agus Yusoff menolak sebarang jawatan dan tawaran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk menyumbang kepada kerajaan hari ini.

Kata Agus, dia menyokong kepimpinan Anwar kerana mahukan perdana menteri ke-10 itu membawa perubahan kepada negara ini dan tidak lebih daripada itu.

"Kawan-kawan yang merasakan saya mengampu untuk mendapatkan jawatan, janganlah berpandangan serong begitu.

"Saya menyokong DSAI kerana mahu beliau memimpin bagi membawa perubahan kepada negara kita. Saya tidak boleh bayangkan apa akan terjadi jika pemimpin lain yang memerintah," katanya dalam satu komen pada hantaran di Facebook.

Pada hantaran yang sama Agus menyiarkan klip video dia berjabat tangan dan berpelukan dengan Anwar dalam satu majlis makan malam kumpulan 70 profesor Melayu yang dikenali sebagai G70.

Agus sebelum ini mempertahankan penglibatannya dengan kumpulan profesor Melayu berkenaan yang secara terbuka menyokong Anwar dilantik sebagai perdana menteri melalui dokumen "Deklarasi Profesor Melayu G70".

Deklarasi itu menyatakan mereka menyokong Anwar sebagai perdana menteri kerana dia mempunyai pengalaman, kredibiliti dan integriti untuk memimpin masyarakat majmuk berdasarkan keperluan Islam sebagai agama persekutuan.

Mereka juga menyifatkan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Anwar adalah pilihan terbaik untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara dan menjaga kepentingan umat Islam, Melayu dan bumiputera.

Dalam pada itu, Agus, yang pakar dalam Sains Politik dan Sejarah berkata dia sudah cukup selesa dengan kehidupan dan kerjayanya sekarang sebagai Profesor Politik di Universitas Negeri Gorontalo di Sulawesi Indonesia.

"Jika soal kerja saya sudah cukup untuk hidup selesa. PM tawarkan saya supaya menyumbang kepada kerajaan hari ini, saya bagitahu 27 Disember ini saya kembali ke Gorontalo.

"Saya damai bergabung dengan alam di sana. Gorontalo sudah tertulis sebagai daerah persaraan saya.

"In Shaa Allah, beberapa bulan lagi villa saya siap dan saya akan bermain dengan indah laut di sana. Begitulah," kata Agus.

Maklumat kesalahan jenayah mungkin dalam telefon Ebit Lew, kata saksi

Bernama

TENOM: Seorang saksi perbicaraan kes pendakwah popular Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew, memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa disyaki terdapat maklumat berkaitan sesuatu kesalahan jenayah dalam telefon bimbit yang dirampas daripada tertuduh.

Saksi keempat perbicaraan, Siti Nooraini Mohd Sahid berkata kemungkinan terdapat maklumat atau bukti yang boleh menjurus kepada sesuatu kesalahan jenayah yang merujuk kepada Ebit atau pengadu kes.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam Ram Singh yang mewakili Ebit apabila ditanya apakah yang dimaksudkan “kerana terdapat keraguan munasabah” dalam keterangan pegawai polis itu pada perbicaraan tersebut.

Dalam pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Nooraini berkata telefon bimbit itu dirampas pada 19 Ogos tahun lepas dan tiada telefon bimbit lain yang dikemukakan tertuduh pada ketika itu.

Sementara itu, Nooraini tidak bersetuju apabila Ram menyatakan bahawa tindakan merekod keterangan seorang saksi daripada sebuah syarikat keselamatan siber iaitu LGMS Berhad adalah menghina mahkamah kerana beliau hanya menjalankan tugas seperti yang diarahkan.

Noraini juga tidak bersetuju dengan dakwaan Ram bahawa tindakan merekod keterangan saksi itu boleh menyebabkan penghinaan terhadap mahkamah.

Ram: Anda mengaku bahawa anda telah menyoal dan merekod keterangan seorang pemeriksa, Hoo Kah Yan. Adakah anda tahu Hoo sebagai perunding digital kanan LGMS berpotensi menjadi saksi pembelaan?

Nooraini: Saya tidak pasti.

Nooraini berkata laporan yang diperoleh daripada syarikat itu diperlukan pihak polis untuk tujuan analisa bagi membuat perbandingan dengan maklumat atau dokumen sedia ada dalam kes tersebut.

Katanya, laporan yang diperoleh daripada syarikat itu diperlukan pihak polis untuk tujuan analisa bagi membuat perbandingan dengan maklumat atau dokumen sedia ada dalam kes tersebut.

Sementara itu saksi kelima Norfazliyani Zolkapeli dalam keterangan memaklumkan telah merampas sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy berwarna biru, satu kad sim Unifi dan kad memori daripada pengadu pada 7 Ogos tahun lepas.

Beliau berkata selepas rampasan dibuat, semua barang kes itu telah diserahkan kepada pegawai penyiasat iaitu Noor Asyikin Shamsuri pada hari sama.

Ebit, 37, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lepas.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani bersambung pada 7 hingga 10 Feb tahun depan.

'Saya mahu menegur ketika ramai tak sanggup kritik Anwar'

Mary Victoria Dass

am@hmetro.com.my

Pasir Gudang: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tidak berhasrat meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila menghasilkan tiga puisi kontroversi baru-baru ini yang mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, puisi-puisi berkenaan yang ditujukan khas kepada Anwar adalah teguran secara berhemah terhadap Presiden PKR kerana tiada saluran untuk berbuat demikian dalam parti disebabkan tiada jawatan dalam PKR.

Menurutnya yang juga bekas Pengerusi PKR Johor, puisi-puisi dihasilkannya bukan bermaksud mahu menentang kepimpinan Kerajaan Perpaduan tetapi itu adalah cara beliau menegur dalam keadaan semua pemimpin PKR mendiamkan diri.

"Niat saya mahu menegur ketika ramai orang tak sanggup menegur dan kritik Anwar.

"Tidak apalah saya dimarahi segelintir pemimpin dan menteri daripada PKR tetapi sehingga kini saya tidak dengar Anwar suarakan rasa marah atau kecewa berkenaan perkara terbabit.

"Anwar boleh terima (puisi-puisi mengkritiknya) kerana selain disiarkan dalam Facebook (FB) saya, saya juga hantar puisi itu menerusi aplikasi WhatsApp dan orang pertama yang saya hantar adalah kepada Anwar.

"Sekurang-kurangnya dia tahu seseorang bercakap (mengkritiknya)," katanya.

Hassan berkata, tujuannya adalah mahu ingatkan Perdana Menteri agar tidak lari daripada perjuangan asal.

"Terpaksa bercakap jujur walaupun ramai kawan minta saya bersabar," katanya pada lawatan kerja sempena persaraan Ketua Balai Bomba Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba II Ibrahim Omar di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang di sini, hari ini.

Pada 5, 14 dan 18 Disember lalu Hassan menghasilkan tiga puisi bertajuk Ku Simpan Risalah Reformasi di Dalam Peti, Kuasa Mengubah Segala-galanya dan Satu Deklarasi yang mengkritik Anwar, dimuat naik dalam FB miliknya.

Beliau mengkritik secara berkias Anwar serta PKR yang sanggup menggadai prinsip dan perjuangan asal parti demi kuasa selain mempersoalkan perjanjian persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dengan gabungan parti yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, berasa lega apabila dapat meluahkan tegurannya menerusi puisi dan ramai pihak membuat pelbagai tafsiran daripada bait-bait puisinya tetapi masih tidak 'lari' maknanya daripada konteks atau mesej asal yang ingin disampaikan kepada Anwar.

"Sebelum ini saya menghasilkan sajak-sajak reformasi untuk Anwar semasa saya menjadi Ketua Pemuda Parti Rakyat Malaysia (PRM).

"Saya sokong perjuangan Anwar sejak zaman PRM, sebelum PRM bergabung dengan Parti Keadilan Nasional (PKN) pada 2001 menjadi PKR. Menerusi puisi terakhir, saya nyatakan rela 'dipancung'.

"Ini adalah bahasa puisi yang bermakna rela dikenakan tindakan disiplin kerana melawan arus dan mengeluarkan kenyataan yang selalu berbeza dengan pucuk pimpinan parti," katanya.

Wanita maut dihempap pokok

FMT Reporters

Bomba bertindak memotong pokok itu menggunakan gergaji berantai bagi mengeluarkan mangsa yang kemudian disahkan meninggal dunia. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang wanita maut selepas rumahnya dihempap sebatang pokok ara yang tumbang dalam kejadian di Kampung Laut Kinarut, Papar, Sabah, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Misran Bisara, berkata mangsa Katizah Juani, 55, meninggal dunia akibat kecederaan parah dialaminya dalam kejadian kira-kira 3 petang.

“Apabila sampai ke lokasi anggota mendapati sebatang pokok ara tumbang serta merosakkan tiga rumah di kampung itu,” katanya menurut Bernama.

Misran berkata, pasukan bomba bertindak memotong pokok itu menggunakan gergaji berantai bagi mengeluarkan Katizah yang dihempap pokok berkenaan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada 5.29 petang selepas bomba memastikan keadaan di lokasi selamat,” katanya.

Kejadian itu berlaku ketika cuaca buruk termasuk hujan lebat melanda beberapa kawasan di Sabah petang tadi.

Sementara itu, Misran berkata pertembungan air pasang dengan hujan lebat berterusan mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan di Tanjung Lipat, termasuk Jalan Tun Fuad Stephen yang terletak di tepi pantai, yang merupakan antara jalan utama di bandar raya berkenaan.

Beliau berkata, jalan itu ketika ini hanya boleh dilalui kenderaan berat dan menasihatkan pengguna supaya melalui jalan alternatif.

‘Tanah air ini untuk semua rakyat Malaysia tapi ada ulama sibuk lagakan Melayu dengan bukan Melayu’

MAISARAH AISYA

Seorang penyokong Pakatan Harapan (PH) dikenali sebagai Muhammad Najib memberi peringatan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa negara ini adalah tanah air untuk semua rakyat Malaysia dan bukannya untuk Melayu sahaja.

Muhammad Najib yang dikatakan sebagai ahli DAP itu mengakui terkesan dengan penulisan Hadi semalam yang menyentuh tentang pengundi beragama Islam telah melakukan dosa besar kerana “berundur ketika musuh mara menentang Islam”.

Beliau mengingatkan Hadi bahawa DAP bukanlah musuh Islam seperti yang didakwa kerana jika benar, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tidak akan berdiam diri.

Najib turut menyatakan rasa malu dengan tuduhan tersebut kerana pada saat negeri diperintah Pas ditimpa musibah banjir, Hadi masih lagi mahu berpolitik dan menabur fitnah.

“Malaysia ini negara kita bersama dan kita bersaudara sebagai warganegara, tetapi ada seorang pemimpin yang juga kononnya ulama asyik sibuk melagakan Melayu lawan bukan Melayu, Islam lawan bukan Islam bahkan sampai sanggup menyebut tentang berperang antara satu sama lain,” katanya lagi.

Kami kongsikan nukilan penuh Muhammad Najib seperti di bawah

Pagi tadi semasa memulakan hari ini, saya terbaca Tweet tulisan Abdul Hadi Awang tentang artikel bertajuk “Surat Terbuka Kepada Jemaah Haji Dan Umrah Yang Tidak Mengundi”.

Hadi tulis, 98% bukan Islam dari seluruh pelosok dunia dikerah mengundi untuk mendapatkan kuasa di tanah air kita dengan menyokong DAP dan kumpulannya.

Kemudian, Hadi salahkan pengundi beragama Islam yang hanya 60% keluar mengundi kerana ada yang lebih utamakan ibadat haji dan umrah dari mengundi.

Pengundi beragama Islam ini dibimbangi telah melakukan dosa besar kerana “berundur ketika musuh mara menentang Islam”.

Sebagai orang Melayu beragama Islam yang merupakan ahli DAP dan menyokong Pakatan Harapan, saya terkesan dengan tulisan ini.

Ini kerana DAP adalah sebuah parti politik yang sah dan ‘tanah air kita’ yang ditulis oleh Hadi adalah juga tanah air milik bersama rakyat bukan Melayu dan bukan Islam.

DAP juga bukan musuh Islam seperti yang didakwa, adalah pelik bin ajaib jika benar DAP ini musuh Islam kenapa YDPA, Majlis Raja-Raja, PDRM atau ATM semuanya berdiam diri tidak berbuat apa?

Tapi Hadi lebih suka menabur fitnah dan mencipta persepsi untuk melaga-lagakan rakyat Melayu Islam dengan rakyat bukan Melayu Islam yang hidup dalam satu negara.

Sayangnya Hadi buat semua ini ketika dua negeri yang diperintah partinya iaitu Pas ditimpa musibah bencana dan rakyatnya sedang bergelut dengan banjir yang memusnahkan harta dan nyawa.

Kalau tadi sebagai ahli DAP dan penyokong PH saya terasa dengan tulisan Hadi, kali ini sebagai seorang Melayu beragama Islam saya pula berasa malu dengan tulisan Hadi.

Seorang pemimpin berbangsa Melayu beragama Islam lebih mengutamakan permainan politik ketika negerinya sendiri dilanda bencana banjir.

Tak malukah kita yang berbangsa Melayu dan beragama Islam bila tulisan Hadi dibaca oleh rakyat berbangsa dan beragama lain?

Malaysia ini negara kita bersama dan kita bersaudara sebagai warganegara, tetapi ada seorang pemimpin yang juga kononnya ulamak asyik sibuk melagakan Melayu lawan bukan Melayu, Islam lawan bukan Islam bahkan sampai sanggup menyebut tentang berperang antara satu sama lain.

Mujurlah, kekecewaan membaca tulisan Hadi pagi tadi akhirnya diubati dengan perkembangan lewat petang yang mengingatkan kita semua bersaudara dalam negara ini.

Seperti bagaimana Anwar Ibrahim melawat Kelantan dan Terengganu lalu mengumumkan bantuan sebanyak RM100 juta kepada kedua negeri ini walaupun berbeza parti politik.

Ataupun isteri PM yang sudi meluangkan masa menziarahi keluarga di Kelantan yang baru-baru ini kehilangan tiga beradik perempuan akibat renjatan elektrik ketika banjir.

Hal-hal ini yang akan membantu kita memupuk semangat persaudaraan dan kasih sayang antara satu sama lain dan inilah yang dituntut oleh agama Islam.

Bukannya sikap yang membawa kepada perpecahan dan permusuhan hingga mengancam perpaduan negara kerana politik sempit.

Bak kata Anwar sendiri ketika dalam lawatannya di Kelantan, “Tanggungjawab saya selepas diberi amanah adalah mengurus dengan baik tanpa mengira negeri mana”.

Anwar: Usah bazir, henti anjur majlis besar-besaran

Bernama

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu agensi kerajaan menghentikan penganjuran majlis besar-besaran serta pembelian pakaian baharu bagi sesuatu majlis untuk mengelak pembaziran perbelanjaan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sekiranya amalan itu dapat dihentikan, peruntukan yang digunakan untuk tujuan tersebut dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

“Tiap agensi perlu mengurangkan pembaziran, menghentikan pembaziran. Mengurangkan acara-acara yang meriah dan megah.

“Ada jabatan-jabatan umpamanya, tiap kali majlis atau perayaan, akan ada pakaian baharu, batik baharu dan beberapa persiapan baharu. Saya katakan, kita akan hentikan amalan ini,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2022 (HPPK2022) di sini hari ini.

Anwar berkata sekiranya perlu untuk membuat pembelian pakaian baharu bagi sebarang majlis, ia boleh dikhususkan untuk diedarkan kepada kakitangan gred rendah sahaja.

“Kalau nak bagi, sediakan kepada yang miskin, pekerja gred rendah atau golongan B40. Jangan beri kepada saya, menteri dan ketua setiausaha,” katanya.

Beliau berkata langkah itu mungkin disifatkan perkara kecil namun dapat dimanfaatkan sekumpulan besar golongan miskin di negara ini.

“Ada orang kata ini perkara kecil (seperti) saya tolak kereta Mercedes, saya tidak ambil gaji, tetapi semua yang kecil ini jika dihentikan, maka peruntukan dapat dipulangkan kepada rakyat miskin,” katanya

Dakwaan bayaran RM15 juta: Anwar saman MP Kuala T'ganu

Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Hashim atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah bahawa dia berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi penasihat ekonomi Selangor.

Anwar, 75, selaku plaintif memfailkan saman itu hari ini menerusi Tetuan S N Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu dengan menamakan Ahmad Amzad sebagai defendan tunggal.

Peguam SN Nair yang mewakili Anwar ketika dihubungi Bernama berkata saman itu difailkan pada 3.59 petang tadi.

Dalam pernyataan tuntutan, pengerusi PH itu mendakwa pada 7 Dis lepas, defendan telah membuat beberapa kenyataan kepada sekumpulan pelanggan semasa menjamu selera di sebuah restoran.

Dakwa presiden PKR itu, kenyataan terbabit telah diterbitkan semula di aplikasi TikTok di bawah nama @nelly3868 pada hari sama (7 Dis) dan mendapat tontonan melebihi 4,980 kali, 62 komen, 116 butang “like”, 18 butang “favourite” dan 50 kali perkongsian serta boleh diakses sehingga kini.

-Bernama

3 pembantu kesihatan mengaku salah terima rasuah urus jenazah

Bernama

SHAH ALAM: Tiga pembantu perawatan kesihatan di Hospital Kajang dipenjara sehari dan denda masing-masing antara RM3,000 dan RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah berkaitan kerja pengurusan jenazah.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Sharum Hassim, 42, Muhd Azhar Nahar, 45, dan Mohd Nizam Noordin, 42, selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah bagi pertuduhan pilihan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 kepada Sharum manakala Azhar dan Nizam masing-masing didenda RM5,000.

Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga lelaki terbabit menjalani hukuman penjara tersebut bermula hari ini dan dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan pilihan, Sharum, Azhar dan Nizam yang merupakan pembantu perawatan kesihatan di Unit Forensik Hospital Kajang, masing-masing menerima wang berjumlah antara RM300 dan RM600 daripada Nur Azlan Azmi melalui akaun mereka tanpa sebarang balasan daripada Nur Azlan yang diketahui olehnya ada kaitan dengan tugas rasmi tertuduh iaitu bagi kerja-kerja pengurusan jenazah.

Sharum didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Taman Ria Jaya Sungai Petani, Kedah manakala Azhar dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Kajang, Hulu Langat dan Nizam pula dituduh melakukan kesalahan itu di Bank Islam Cawangan Kajang, Hulu Langat.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 21 Mei hingga 9 Dis 2020.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Aliff Shaharuzaman manakala ketiga-tiga lelaki itu diwakili peguam Mohd Fikah Sanusi.

Apa masalahnya kalau Anwar sebagai PM masih berjiwa Ketua Pembangkang?

SHAHBUDIN HUSIN

Anwar Ibrahim adalah pemimpin pertama di negara kita yang berjaya melompat terus daripada kerusi Ketua Pembangkang kepada Perdana Menteri.

Dengan itu, beberapa pihak, terutama Perikatan Nasional (PN) yang Anwar berjaya turunkan tarafnya daripada kerajaan kepada pembangkang, terlihat kurang senang dengan beberapa tindakannya yang didakwa masih seperti Ketua Pembangkang, walau sudah bergelar Perdana Menteri.

Terbaru, Hamzah Zainuddin yang baru dilantik sebagai Ketua Pembangkang tidak terkecuali turut mengingatkan Anwar bahawa beliau kini adalah Perdana Menteri.

Sebagai Perdana Menteri, Anwar mesti bertindak sebagai Perdana Menteri, bukan lagi seperti Ketua Pembangkang, kata Hamzah.

Ketidaksenangan PN terhadap tindakan Anwar yang didakwa masih seperti Ketua Pembangkang itu adalah berikutan beberapa pendedahannya sejak menguasai Putrajaya mengenai wujudnya kepincangan dan mungkin wujud salah laku dalam kerajaan terdahulu.

Antaranya ialah perbelanjaan tanpa kawalan yang dilakukan Mahiaddin Md Yasin ketika PKP, termasuk pembelian vaksin, perbelanjaan ketika kempen PRU15 dan menyemak semula projek-projek yang sebelum ini diberikan secara rundingan terus.

Kata mereka, bukan watak sebegitu yang harus dimainkan oleh seorang Perdana Menteri yang kini ada kuasa di tangannya.

Kata mereka lagi, Anwar seharusnya mengambil tindakan terus kepada mana-mana pihak yang terbukti melakukan kesalahan itu, bukan sibuk mendedahkan kesalahan mereka.

Mendedahkan kesalahan pihak lawan adalah kerja politik Ketua Pembangkang, ujar mereka seterusnya.

Sebenarnya, jika kita teliti beberapa kenyataan Anwar sejak memegang jawatan Perdana Menteri ini, beliau begitu komited untuk membersihkan negara ini daripada segala bentuk rasuah dan penyelewengan.

Tetapi, sudah tentu untuk mengumpul bukti atas semua kesalahan itu akan mengambil sedikit masa dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

Sementara bukti-bukti dikumpul untuk diketengahkan dan seterusnya didakwa di mahkamah, maka ia perlu didedahkan sebagai gambaran awal bahawa wujud kesalahan dan kerajaan terdahulu tidaklah sebersih mana sebagaimana yang mereka canangkan ke seluruh negara.

Beberapa projek yang didedahkan dan disemak semula jelas didapati memang menelan belanja yang tinggi dan seterusnya komitmen Anwar ialah untuk melakukan secara tender terhad dengan matlamat utama agar wang rakyat berjaya diselamatkan, selain projek yang dirancang tetap dilaksanakan.

Jadi, kalau tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan atau mengambil komisyen misalnya, apa masalahnya dengan pendedahan dan gaya Anwar yang masih seperti Ketua Pembangkang itu?

Sebagai Perdana Menteri yang baru mengambil alih kerajaan, salah laku dan kecurangan kerajaan terdahulu tidak boleh dipendamkan begitu saja, terutama untuk memberi kesedaran kepada rakyat agar tidak terus terpedaya.

Lagi pun, mendedahkan itu hanyalah tindakan awal sementara bukti-bukti dikumpulkan untuk mereka yang terbabit di dakwa di mahkamah.

Tambahan lagi, meski banyak mendedahkan salahlaku dan kelemahan kerajaan terdahulu, fokus Anwar terhadap rakyat dan membina semula negara tidak sama sekali diabaikan.

Pendedahan itu juga bukan retorik kerana selama dalam pembangkang sebelum ini banyak pendedahan yang dilakukan Anwar dan pasukannya, akhirnya terbukti kebenarannya.

Kalau tak pernah buat salah, nak panas pasal apa dan bukankah sesuatu yang lebih baik untuk rakyat dan negara bila dapat Perdana Menteri yang masih boleh bertindak seperti Ketua Pembangkang, walau sudah bergelar Perdana Menteri?

Tidaklah macam ada bekas Perdana Menteri itu, jangankan nak buat apa-apa pendedahan secara terbuka, bercakap dengan media pun langsung tiada keberanian.

Asyik-asyik dengan perutusan khas dan kenyataan media berbentuk PDF saja sebagai ulangan aksinya.

Hakikatnya, tiada apa-apa yang tidak baik bila Perdana Menteri masih berjiwa Ketua Pembangkang, sebaliknya yang rosak hanyalah jika Ketua Pembangkang cuba berlagak seperti Perdana Menteri.

Demi berkereta mewah, Muhyiddin sanggup ketepi hal rakyat semasa Covid-19 melanda

AMIRUL AZHAN

Ahli Parlimen Ledang, YB Syed Ibrahim Syed Noh menyifatkan cadangan pembelian kereta mewah untuk kegunaan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri pada waktu itu sebagai tidak wajar dan keterlaluan, ketika negara dihimpit wabak Covid-19.

Katanya, rakyat tidak boleh menerima apabila seorang Perdana Menteri sanggup untuk membeli kereta mewah berharga jutaan ringgit dalam keadaan di negara ini merana dalam meneruskan kehidupan.

“Tan Sri (Muhyiddin) sendiri sebut nak tumpu pada isu rakyat semasa negara berhadapan dengan Covid-19 tapi tindakannya tidak selari dengan apa yang diperkatakannya.

“Sebagai pemimpin negara apa yang dicakap kena selari dengan apa yang dilakukan tapi nampaknya beliau lebih berminat untuk berkereta baru,” katanya kepada Malaysia Dateline.

November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan telah membatalkan pembelian Mercedes S600 yang dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri untuk kegunaan rasmi dan katanya tempahan dibuat oleh Perdana Menteri terdahulu.

Menurut Bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad melalui hantaran di Facebook miliknya antara lain berkata:

“Sebagai Perdana Menteri pada masa itu, Tan Sri Muhyiddin diberikan dua pilihan kereta rasmi iaitu MPV Lexus dan Mercedes S600. Harga kedua-duanya terlalu mahal dan minit terakhir Tan Sri Muhyiddin kepada Jabatan Perdana Menteri ialah supaya harganya dikaji dan dirunding semula. Kelulusan akhir perlu dibuat oleh Kementerian Kewangan.”

Dalam masa sama, Syed Ibrahim turut mengingatkan pemimpin-pemimpin di semua peringkat untuk mencontohi sikap Perdana Menteri yang bersederhana dalam isu penggunaan kereta.

“Faham kedudukan dan imej sebagai seorang pemimpin tetapi kena beringatlah tidak terlalu mewah, kenderaan yang selesa dan bersesuaian pun sudah memadai.

“Eloklah dengan mencontohi sikap PM (Anwar) di mana-mana peringkat sekalipun, pakai apa sahaja yang sudah tersedia untuknya,” ujarnya lagi.

Dipenjara sebulan, denda RM6,000 kerana cabul, tunjuk kemaluan

Faris Fuad

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM6,000 terhadap seorang pembantu restoran kerana mencabul kehormatan dan menunjukkan kemaluan kepada wanita.

Yap Jian Sheng, 24, menjalani hukuman penjara bermula kelmarin iaitu hari tangkapan dan akan dipenjara tiga minggu lagi jika gagal membayar denda berkenaan.

Majistret Nuzul Izzah Shaharuddin menetapkan keputusan itu selepas Yap mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan menggunakan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan seorang wanita warga asing berusia 27 tahun.

Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Yap juga didakwa melakukan perbuatan lucah dengan menunjukkan kemaluan yang mendatangkan kegusaran kepada seorang wanita berusia 26 tahun.

Kesalahan mengikut Seksyen 294(a) KK yang memperuntukkan penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-keduanya.

Dua kesalahan terbabit dilakukan di sebuah residensi sama di Kepong, Sentul, pada 2 pagi dan 1.30 pagi masing-masing 14 serta 19 Oktober lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diana Mohamad Saad, memohon hukuman berat dan setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

"Tindakan tertuduh juga menyebabkan mangsa trauma dan takut. Kejadian itu berlaku pada Oktober lalu, namun mangsa masih ingat insiden yang berlaku.

"Tertuduh bukan saja mengancam keselamatan mangsa, namun kepada masyarakat secara menyeluruh," katanya.

Bagaimanapun, Yap yang tidak diwakili peguam meminta hukuman minimum kerana perlu menanggung keluarga.

"Saya belum berkahwin dan hanya kerja di restoran selain tinggal di rumah majikan.

"Bapa sakit dan tak bekerja, manakala ibu hanya seorang penjaja. Saya minta denda dan hukuman dikurangkan," katanya.

Sementara itu, Yap mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua lagi pertuduhan membabitkan dua remaja perempuan.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal dengan memeluk dan menyentuh kemaluan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.

Dengan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Yap juga didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menunjukkan kemaluan kepada seorang remaja perempuan berusia 13 tahun.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 15 (a) (i) akta sama yang membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Dua kesalahan berkenaan dilakukan di sebuah residensi sama di Kepong, Sentul, pada 6.30 petang dan 8.30 malam masing-masing 11 Oktober dan 25 November lalu.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin, memohon tertuduh tidak diikat jamin kerana mendatangkan risiko kepada masyarakat.

"Ia memandangkan kesalahan terhadap kanak-kanak dilakukan di kawasan berlainan sekali gus wujud masalah jika tertuduh dilepaskan. Tertuduh tidak akan dapat dikesan jika diberi jaminan kerana tiada tempat tinggal tetap," katanya.

Bagaimanapun, Yap memohon diberi jaminan atas alasan sudah insaf.

"Saya tidak minta apa-apa kecuali jaminan. Saya diberitahu pengurus saya akan menjadi penjamin, namun setakat ini tidak nampak kehadirannya dalam mahkamah," katanya.

Hakim Tasnim Abu Bakar kemudian tidak menetapkan sebarang jaminan dan sebutan kes seterusnya pada 31 Januari tahun depan.

Ketika Kerajaan Perpaduan sibuk bantu rakyat, Hadi anggap kerajaan diambil alih secara luar tabii

FAZLI RADZI

Ketika Kerajaan Perpaduan sedang sibuk melaksanakan dasar negara dan membantu rakyat, Pas dilihat masih ‘bersilat’ politik kepartian yang sempit dengan mengungkit keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menganggap bahawa pembentukan kerajaan hasil gabungan kumpulan pasca PRU15 sebagai menghalalkan segala cara dan di ‘luar tabii’.

Wakil rakyat sejak tahun 1982 itu turut memetik sabda Rasulullah SAW (Riwayat al-Bukhari, no. 7149 dan Muslim, no. 1733) berkaitan penegasan tidak akan melantik orang yang bernafsu meminta-minta untuk menjadi ketua.

“Amaran Rasulullah SAW itu telah menjadi pilihan dalam kalangan PH yang menghalalkan segala cara.

“Kumpulan ini juga akhirnya berjaya mengambil alih kerajaan dengan cara di luar tabii daripada demokrasi yang biasa diamalkan di seluruh dunia,” katanya hari ini dalam Minda Presiden Pas bertajuk “Tolak Pemimpin Berbohong dan Menipu”.

Menurut Hadi, 75, kejayaan PH yang bergabung bagi membentuk kerajaan dicukupkan dengan individu dan kumpulan yang menjadi sasaran semasa kempen PRU15.

“Puak yang mereka senaraikan dalam kalangan yang tidak bermoral, dikatakan perasuah, perompak, lanun dan sebagainya.

“Golongan itu terdiri daripada kalangan yang telah disabitkan kesalahannya dan dihukum tidak bermoral, atau yang masih dibicarakan menjadi kluster mahkamah.

“Begitu juga, kalangan yang telah diberhentikan perbicaraan mahkamah atau yang boleh diragukan sifat peribadinya dan telah dikesan DNA-nya,” kata Hadi lagi.

Semalam, dalam artikel panjangnya juga menerusi Minda Presiden itu, Abdul Hadi mengingatkan bakal jemaah haji dan umrah mengenai kewajipan mengundi dalam pilihan raya.

Tentang kereta rasmi PM dan MB bercuti

A Kadir Jasin

Cerita mengenai Mercedes Benz S600 atau Lexus MPV untuk perdana menteri ini hanya sesuai bagi diktator dan despot Dunia Ketiga saja. Atau untuk ketua negara dan ketua kerajaan negara kaya.

Itu pun banyak daripada mereka sangat berjimat-cermat dan bersederhana.

Kita ambil contoh Canselor German. Dia diberikan kereta Mercedes Benz S600 dan Audi 8. Jawatan canselor itu bersamaan taranya dengan perdana menteri.

Presiden Jerman pula adalah ketua negara yang tugasnya berkaitan adat istiadat.

Tapi German negara besar dan maju. Penduduknya seramai 83 juta dan ekonominya keempat terbesar di dunia. Mercedes dan Audi adalah antara kereta buatan Jerman. Satu lagi, Volkswagen.

Angela Merkel adalah Canselor German zaman moden yang paling berjaya dan dihormati. Dia menjadi canselor selama 16 tahun iaitu hingga 2021.

Angela dan suaminya tinggal di apartmen biasa saja di Berlin dan membeli sendiri barang keperluan dapur mereka. Gajinya semasa menjadi canselor ialah €315,307 (kira-kira RM1.5 juta) setahun.

Kita pula negara membangun dengan penduduk 33 juta dan ekonomi ke-37 di dunia. Perdana menteri kita mendapat gaji RM264,000 setahun. Itu tak termasuk segala macam kemudahan dan ganjaran.

Tengok sajalah pengiring bermotosikal perdana menteri kita. Kalah raja Inggeris.

Dah setuju tapi ada isu harga

Kebanyakan masa Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri, dia pakai kereta Proton Perdana walaupun pernah pakai kereta mewah yang diimport sebelum adanya Proton.

Semua menteri dan pegawai kanan yang berhak dapat kereta rasmi, semua pakai Proton Perdana. (Saya pun semasa 22 bulan dengan kerajaan dapat Proton Perdana juga tapi saya tak ambil. Saya pakai kereta sendiri yang lebih jimat minyak - Toyota Camry Hybrid).

Dua perdana menteri selepas itu pakai macam-macam kereta. Boleh jadi kereta mereka sendiri. Yang mereka suka ialah MPV Toyota jenis Alphard atau Vellfire.

Media massa melaporkan yang perdana menteri sekarang, Anwar Ibrahim, pakai semula kereta Proton Perdana dan tak ambil gaji.

Saya rasa dia boleh ambil gaji. Kalau tidak perlu untuk kegunaan sendiri, boleh tubuh yayasan kebajikan, tapi janganlah pula langgar peraturan.

Jadi, idea siapa nak beli kereta Mercedes Benz S600 untuk kegunaan perdana menteri itu?

Orang kanan Muhyiddin Yasin, Marzuki Mohamad, dalam tampalan Facebook, antara lain berkata: "Sebagai perdana menteri pada masa itu, Tan Sri Muhyiddin diberikan dua pilihan kereta rasmi iaitu MPV Lexus dan Mercedes S600. Harga kedua-duanya terlalu mahal dan minit terakhir Tan Sri Muhyiddin kepada Jabatan Perdana Menteri ialah supaya harganya dikaji dan dirunding semula. Kelulusan akhir perlu dibuat oleh Kementerian Kewangan."

Maksudnya dia (Muhyiddin) setuju dengan cadangan itu cuma mahu harga dikurangkan.

Soalnya siapa yang bagi Muhyiddin dua pilihan kereta super mewah tersebut? Ketua Setiausaha Negara atau Jabatan Perdana Menteri sendiri?

Tak kiralah siapa, tapi yang jadi capo di tutti i capi (ketua kepada segala ketua) ketika itu ialah Muhyiddin.

Kereta Mercedes yang dicadangkan itu - kalau ikut harga biasa yang disebut - dekat RM700,000. Kalau MPV Lexus harganya RM1.14 juta.

Harap-harap Anwar tidaklah mabuk kereta! Boleh saja beli kereta baru bagi menggantikan Proton Perdana yang dah tak dikeluarkan.

Tapi jangan jadi macam sesetengah despot yang membiarkan rakyat jelata papa kedana tapi mereka diarak ke hulu ke hilir dengan Mercedes Maybach.

Kemudian pasal Menteri Besar PAS di Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, yang dikatakan bercuti di Selandia Baru ketika negerinya sendiri dilanda banjir.

Selandia Baru adalah nama Indonesia bagi New Zealand.

Ceritanya mudah saja. Pada bila-bila masa negara dilanda banjir atau malapetaka lain, pegawai tinggi kerajaan hanya boleh berada di luar kawasan tanggungjawab atas urusan rasmi penting atau rawatan kesihatan kritikal saja.

Kalau bercuti sambil berubat, kena bagi tahu.

Maaf cakaplah kalau saya kata, tingkah laku, tindak-tanduk dan budi bahasa pemimpin-pemimpin PAS ini kerap mengelirukan dan tidak secocok dengan dakwaan keislaman parti mereka.

Saya tidak bersedia beri keterangan perbicaraan Shahrir, Najib memberitahu mahkamah

Ho Kit Yen

KUALA LUMPUR: Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak bersedia untuk memberi keterangan dalam perbicaraan pengubahan wang haram berjumlah RM1 juta melibatkan veteran Umno Shahrir Samad hari ini.

Najib juga berkata, beliau tidak dapat menyediakan keterangan saksi untuk perbicaraan kerana peguamnya Shafee Abdullah berada di luar bandar.

“Adalah penting untuk peguam saya berada berdekatan,” kata Najib.

Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi kemudian menggesa mahkamah mempertimbangkan pengakuan Najib agar Shafee hadir semasa kenyataan itu dibuat dan apabila bekas perdana menteri itu memberi keterangan.

“Kami mempunyai satu lagi tarikh pendengaran pada 5 Jan 2023,” tambahnya.

Hakim perbicaraan Jamil Hussin kemudian bertanya kepada Najib, yang duduk di kandang saksi, sama ada beliau boleh memberi keterangan secara lisan.

Najib berkata, beliau tidak bersedia untuk berbuat demikian.

Jamil kemudian mengarahkan Najib kembali ke mahkamah pada 5 Jan tahun depan.

Shahrir dibicarakan atas pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 kerana didakwa menerima RM1 juta daripada Najib pada 2013 yang tidak mengisytiharkan jumlah itu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dana itu didakwa berasal daripada 1MDB.

Mahkamah juga mendengar keterangan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurzahidah Yacop, yang ditugaskan untuk menyiasat kes terhadap bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu.

Ketika sesi soal balas oleh peguam Syed Faisal Syed Abdullah Al-Edros, beliau memberitahu mahkamah bahawa sebanyak tiga kenyataan direkodkan daripada Shahrir semasa siasatan dijalankan antara 7 Julai 2019 dan 20 Jan 2020.

Faisal kemudian bertanya kepada pegawai itu sama ada dia melihat pembelian kereta Honda Civic Hybrid Shahrir pada 2013.

Mahkamah diberitahu Shahrir membayar RM118,485 untuk kereta itu menggunakan cek pada 21 Dis 2013.

“Adakah pegawai SPRM merampas kereta itu di Ipoh pada 2019?” Faisal bertanya dan Nurzahidah menjawab “ya”.

Peguam itu kemudian mempersoalkan sama ada saksi itu mengetahui kereta itu didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggunakan alamat Umno bahagian Johor Bahru, dan bukannya alamat rumah Shahrir di Bukit Tunku.

Nurzahidah berkata, dia menyedarinya.

Faisal: Adakah terdapat bukti yang menunjukkan Honda Civic hanya digunakan oleh beliau secara peribadi?

Nurzahidah: Tidak.

Perbicaraan bersambung.

4 lagi mayat ditemui, korban tanah runtuh meningkat kepada 30 orang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mayat empat lagi mangsa tanah runtuh ditemui di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Dalam catatan ringkas di Facebook, Nadma berkata, keempat- empat mayat itu ditemui pagi ini sekaligus menjadikan korban tanah runtuh meningkat kepada 30 orang.

Operasi mencari dan menyelamat di lokasi tragedi tanah runtuh memasuki hari ketujuh hari ini. Operasi itu disambung semula pagi ini selepas ditangguhkan pada 10 malam semalam.

Seramai 94 orang terjejas akibat tanah runtuh di tapak perkhemahan tersebut awal Jumaat lalu. Daripada jumlah itu, 61 berjaya diselamatkan.

Pasukan penyelamat meneruskan misi mencari tiga lagi mangsa masih belum ditemui setakat ini.

Apa yang bahaya dengan ajaran sesat Millah Abraham?

Ruwaida Md Zain

am@hmetro.com.my

Harian Metro pernah menyiarkan laporan 58 individu dihadapkan di mahkamah pada 2016 kerana terbabit  dengan ajaran Millah Abraham. 
Harian Metro pernah menyiarkan laporan 58 individu dihadapkan di mahkamah pada 2016 kerana terbabit dengan ajaran Millah Abraham.
Shah Alam: Setiap pengikut ajaran Millah Abraham perlu membayar wang untuk bertaubat, menuntut cerai ke atas pasangan yang tidak menyertai gerakan, menggunakan kelas al-Quran dalam talian bagi menarik pengikut baharu.

Itu sebahagian dari modus operandi dan strategi ajaran sesat Millah Abraham @ Ibrahim yang difatwakan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 17 September 2015.

Menurut kenyataan di Facebook rasmi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) hari ini, modus operandi ajaran Millah Abraham terbahagi kepada tiga iaitu indoktrinasi ahli, propaganda dan perkaderan ahli.

"Ajaran Millah Abraham ini dikaitkan dengan rangkaian Gerakan Pemuda Kahfi di Bogor, Indonesia yang diterajui oleh Ahmad Musodiq. Ajaran itu dipercayai berpusat di Cilimus Kuningan, Kota Cirebon, di Jawa Barat Indonesia yang diketuai oleh Zubaedi Djawahir.

"Mereka meyakini ajaran itu adalah ajaran yang lurus lagi benar setelah jatuhnya Kerajaan Islam Abbasiyah, manakala Islam yang diamalkan pada hari ini adalah palsu. Dakwaan itu mengakibatkan sesiapa sahaja selain daripada pengikutnya menjadi sesat.

"Baru-baru ini, ajaran sesat ini turut mengambil kesempatan meluaskan propaganda melalui media sosial seperti kelas al-Quran secara dalam talian," demikian kenyataan itu, hari ini.

Pada 17 September 2015, fatwa yang diwartakan menegaskan beberapa perkara berhubung ajaran itu, antaranya agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW berakhir sejak kejatuhan kerajaan Islam dan diganti dengan agama baru iaitu Millah Abraham@Ibrahim.

"Menggelar mereka yang tidak mengikuti ajaran Millah Abraham@Ibrahim sebagai sesat, kafir dan syirik serta wajib bertaubat dengan ajaran Millah Abraham@Ibrahim.

"Kumpulan ajaran sesat itu juga menafikan kefardhuan solat lima waktu dan solat Jumaat, selain mewajibkan bai'ah dan berpegang dengan bai'ah.

"Mereka terlalu taksub dengan dakyah sehingga sanggup membuang keluarga, ibu bapa, isteri dan lain-lain hanya kerana tidak mengikut Millah Abraham @ Ibrahim ini, malah menggabungkan kitab suci tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi," katanya.

Selain itu, ajaran ini menyasarkan golongan muda sebagai wadah untuk dakyah yang dibawa serta mempunyai unsur militan yang sesat dan membahayakan.

"Kumpulan ini juga bersolat melalui penyampaian makna dalam Bahasa Melayu selain tidak berpegang kepada Hadis Nabi (Muhammad) SAW," katanya.

Menurut Mais, kelicikan gerakan Millah Abraham@Ibrahim yang berterusan ini mampu mengancam keselamatan negara, malah memberi implikasi kepada sifat taksub melampau dan fenomena takfir iaitu kafir mengkafirkan dalam kalangan masyarakat Islam.

Justeru itu katanya, kerjasama dan tindakan bersepadu pihak berkuasa agama bersama dengan pelbagai agensi kerajaan termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia perlu diperkukuhkan lagi.

"Ini bertujuan memantau gerakan Millah Abraham@Ibrahim dan kumpulan ajaran sesat lain yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan dan menggugat ketenteraman awam.

"Tindakan tegas terhadap pengikut dan pemimpin gerakan Millah Abraham@Ibrahim dan kumpulan-kumpulan ajaran sesat lain yang terbabit perlu dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012, Akta Pencegahan Keganasan (Pota) 2015 dan Kanun Keseksaan," katanya.

Isu kestabilan politik sudah hilang hak untuk dibangkitkan lepas Anwar peroleh sokongan majoriti

SITI NUR ZAWANI MISCON

Isu kestabilan politik sudah hilang hak untuk dibangkitkan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim sah memperoleh sokongan majoriti Dewan Rakyat sebagai perdana menteri.

Peguam, Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla berpandangan, apabila rakyat menuntut sesebuah kerajaan melakukan perkara terhormat dengan mengemukakan usul undi percaya, ia sebenarnya untuk menghilangkan persoalan tentang ketidakstabilan politik.

Justeru apabila hal itu dibawa ke Dewan Rakyat, isu tersebut perlu diletakkan nokhtah supaya tidak terus dimainkan.

“Bagi saya kestabilan politik sudah hilang hak untuk dibangkitkan dari segi moralnya, keperlembagaannya atau perundangan

“Jadi, nokhtah perlu diletakkan terhadap isu kestabilan politik ini,” katanya dalam segmen Bicara Semasa yang membincangkan isu Usul Undi Percaya dan Memorandum Persefahaman, di Facebook Jom Channel malam tadi.

Mohamed Haniff juga percaya apabila perdana menteri terdahulu iaitu Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak membenarkan usul percaya dibawa ke Parlimen, ia telah memberi persepsi buruk kepada rakyat.

Menurutnya, apabila seseorang perdana menteri menunjukkan bahawa dirinya seperti ketakutan, maka ia menampilkan satu lagi persepsi bahawa individu itu tiada sokongan majoriti.

“Kalau perkara itu dibawa secepat mungkin pada masa itu oleh kedua-dua perdana menteri yang lalu, maka ada kemungkinan sejarah tertulis dengan cerita yang lain.

“Namun ia tidak berlaku kerana mereka khuatir tidak berjaya dalam usul undi percaya. Itu persepsi yang muncul dalam minda rakyat tentang kenapa tak bawa (usul), takut hilang majoriti ke.

“Ini juga menimbulkan persepsi lanjut bahawa tiada kestabilan politik,” katanya.

Menyentuh tentang isu pelabur, Haniff juga berpendapat kegagalan dua perdana menteri yang lalu dalam menzahirkan usul percaya di mata rakyat antarabangsa menyebabkan ramai pelabur ragu-ragu untuk melabur di negara ini.

Tambahnya, jjka seseorang pemimpin politik tidak memikirkan diri sendiri dan sememangnya mementingkan kestabilan negara, maka sewajarnya usul undi percaya dibawa sejak awal.

“Kali ini pasca PRU15 adalah satu duluan yang perlu diikut. Jadi apa yang kerajaan buat sekarang ini akan dijadikan sebagai duluan dan ianya penting. Jangan lari dari paksi Perlembagaan sebab ia akan dituruti paksi masa depan.

“Sebab itu teguran pakar dalam bidang tertentu perlu diambil kira kerana ia adalah untuk kebaikan negara. Jangan ambil teguran sebagai cuba bermain politik. Yang mereka minta adalah kebaikan negara

“Jika ada cacat cela dan perkara tidak sihat, menjadi kewajiban perlu ditegur,” katanya lagi.

Banjir kilat dijangka landa 6 negeri dalam tempoh 24 jam

Bernama

KUALA LUMPUR: Banjir kilat dijangka melanda Johor, Pahang, Perak, Selangor, Terengganu dan Sabah dalam tempoh 24 jam jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan, menurut Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Berdasarkan notis yang dikeluarkan 7 pagi ini, kawasan terlibat di Johor termasuk Kota Tinggi sekitar Sedili Kechil dan Ulu sungai Sedili Besar, Muar (Bandar, Bandar Maharani dan Jalan Bakri) serta Mersing (Bandar Padang Endau).

Di Pahang, tiga daerah terlibat, iaitu Kuantan sekitar Bandar Kuantan, Hulu Kuantan, Kuala Kuantan, Pulau Manis dan Sungai Karang, Maran (Pekan) serta Pekan (Bebar, Pekan dan Langgar).

Sementara itu, di Perak, dua daerah dan kawasan sekitar yang dijangka terjejas ialah Bagan Datuk (Pekan Simpang Empat) dan Hilir Perak (Durian Sebatang) manakala di Selangor membabitkan Klang.

Bagi Terengganu pula, kawasan diramal terjejas termasuk Marang (Bukit Payung) dan Kuala Terengganu (Batu Buruk, Chendering dan Kuala Terengganu), manakala di Sabah, Tuaran (Kampung Berungis dan Pekan Tenghilan).

Notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan berisiko berwaspada dengan kemungkinan berlaku banjir kilat dalam tempoh tersebut.

Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir, dan melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk mendapatkan maklumat lanjut dari semasa ke semasa.

'Orang sana sentiasa suci'- Shahrir Samad sindir pemimpin PAS

Malaysiakini

Veteran Umno, Shahrir Samad secara sinis menyindir pemimpin PAS yang sentiasa "suci" meskipun Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar bercuti di luar negara ketika Terengganu dilanda banjir besar.

Tambahnya, pemimpin PAS menolak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada musim banjir namun boleh pula pemimpin mereka bercuti ketika rakyat berdepan musibah.

"Orang sana (PAS) sentiasa suci dan bersih.

"Geng mereka pun begitu mengambil berat tentang banjir sampai tak mahu PRU.

"Tapi boleh pula cuti semasa banjir," tulisnya pada hantaran di Facebook, hari ini.

Kelmarin, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Lokman Noor Adam mendedahkan Ahmad Samsuri sedang bercuti bersama keluarga di Auckland, New Zealand ketika banjir besar melanda negeri di bawah pentadbirannya.

Lokman membuat pendedahan itu melalui siaran langsung di media sosialnya.

Menurut Lokman, Ahmad Samsuri dan isterinya berlepas ke Auckland pada 11 Dis dan hanya dijangka pulang hari ini (22 Dis).

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, dan Perpaduan Nasional Terengganu Hanafiah Mat (gambar, atas) mengesahkan yang menteri besar Terengganu itu berada di luar negara.

Bagaimanapun, katanya Kerajaan Terengganu berpendapat, tidak timbul apa-apa isu berhubung cara pengurusan banjir di negeri itu kerana keadaan terkawal walaupun menteri besar tidak ada.

Jelasnya lagi, dia sangat berpuas hati dengan semua pihak membantu mangsa banjir di Terengganu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus meningkat daripada 36,009 orang pada 12 tengah malam tadi kepada 36,231 orang pagi ini.

Tun M Dan Persaraan Penuh Kepedihan

Shahbudin Husin

Minggu lalu Tun Mahathir Mohamad mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Pengerusi Pejuang dan seterusnya bersara sepenuhnya daripada dunia politik.

Berbeza dengan pengumuman bersara kali pertama dulu yang penuh emosi, teriakan dan tangisan, persaraan kali ini hanya dilakukan dalam diam saja.

Tiada sidang media, tiada tangisan dan tiada air mata, malah pemakluman bersara itu hanya dihebahkan oleh bekas calon Pejuang iaitu Lan Lando, seorang aktivis seni yang barangkali tidak pernah pun berlakon sebagai hero dalam drama atau filem.

Persaraan Tun Mahathir itu kemudian disahkan oleh Mukhriz Mahathir selaku Presiden Pejuang melalui kenyataan media yang menyanjung jasa serta sumbangan bekas Perdana Menteri itu selama ini.

Bersara sepenuhnya Tun Mahathir ini tidak dinafikan adalah penuh dengan kesedihan dan kepedihan.

Walaupun cemerlang sebagai Perdana Menteri, Tun Mahathir sebaliknya bersara dengan kegagalan yang menyakitkan.

Kegagalan terbesar, walaupun beberapa kali cuba menghalang kemaraan politik Anwar Ibrahim, termasuk memecatnya pada 1998 dan sengaja memungkiri janji peralihan kuasa selepas kemenangan PH pada 2018, Tun Mahathir akhirnya bersara di ketika bekas sahabat dan musuh politiknya itu gagah berdiri sebagai Perdana Menteri yang disanjung dunia.

Lebih malang lagi, di ketika PH yang dipimpin oleh Anwar berjaya memenangi paling banyak kerusi pada PRU15 lalu, Pejuang pula kalah semua kerusi yang ditandinginya.

Sudah tentu yang terburuk sekali, semua calon Pejuang, termasuk Tun Mahathir sendiri hilang wang pertaruhan mereka.
Dipedihkan dengan semua kekalahan, walaupun melalui jalan berliku, kerusi Perdana Menteri tetap jatuh kepada Anwar jua akhirnya.

Makna kata, bersama kejayaan Anwar menjadi Perdana Menteri itu seumpama ada sesuatu hukuman turut ditimpakan kepada Tun Mahathir.

Agaknya, kalau Pejuang sekadar kalah dan hilang deposit pilihanraya tetapi bukan Anwar yang jadi Perdana Menteri, kesediaan dan kepedihan Tun Mahathir tidaklah begitu menusuk-nusuk jantung kalbunya.

Kini dengan bersara sepenuhnya dan tidak mungkin mampu kembali aktif lagi sebagaimana selepas bersara pada 2003 dahulu, hari-hari mendatang Tun Mahathir pastinya akan terus sepi dan sunyi.

Menonton berita tv pun barangkali cuba dielakkannya kerana jika terpandang wajah Anwar ketika ini, bertambah lagilah luluh hatinya.

Dengan persaraan Tun Mahathir, Pejuang kini dipimpin oleh anaknya Mukhriz yang tentunya memerlukan keluarbiasaan dirinya untuk menghidupkan kembali parti itu.

Diperbualkan sejak minggu lalu lagi dan sekarang disahkan oleh Khairuddin Abu Hassan, Mukhriz dikatakan telah melontarkan cadangan agar Pejuang bernaung di bawah PH sebagai pilihan untuk memastikan parti itu terus bernyawa.

Bernaung di bawah PH itu adalah sama seperti apa yang parti Muda yang dipimpin Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Diberitakan, Mukhriz sedar jika Pejuang bergerak sendirian, nasibnya tidak akan ke mana-mana dan bakal hilang deposit sekali jika bertanding dalam pilihanraya akan datang.

Dengan itu, pilihannya sama ada menyertai PH atau PN dan dalam hal ini, Mukhriz dikatakan lebih condong memilih PH kerana melihat masa depan gabungan itu lebih cerah dalam konteks politik Malaysia yang pelbagai kaum dan agama ini.

Difahamkan lagi, Mukhriz juga dikatakan sebolehnya mahu penyertaan Pejuang ke dalam PH dilakukan sebelum PRN beberapa negeri tahun depan dengan harapan mereka diberikan kerusi untuk bertanding sama.

Berikutan tidak setuju dengan cadangan Mukhriz itu, selain Khairuddin telah meletak jawatan jawatan dan berundur daripada Pejuang, difahamkan beberapa pemimpinnya yang lain akan juga berbuat demikian sedikit masa lagi.

Apakah akhirnya nasib Pejuang dalam politik Malaysia dan bolehkah ia diterima oleh PH?

Sama ada Pejuang diterima untuk bekerjasama dengan PH atau tidak, kedua-dua keadaan itu adalah satu lagi kesedihan dan kepedihan buat Tun Mahathir dalam menanti hari-hari kehidupannya di dunia ini berakhir.

Jika Pejuang diterima untuk bersama PH, ia bermakna parti yang diasas dan ditubuhkan oleh Tun Mahathir sendiri akhirnya terpaksa tunduk dan akur untuk berasa bawah kawalan serta kekuasan Anwar.

Kalau tidak diterima pula, ini bererti Pejuang akan berdepan laluan yang gelap dan mungkin akan terkubur begitu saja.

Apabila Pejuang terkubur dan karier politik Mukhriz berakhir, inilah yang sebenarnya paling dan paling menyedihkan Tun Mahathir. – ShahbudinHusin 21/12/2022.

Nampak kaki mangsa ketika korek tanam bangkai anjing

Noor Atiqah Sulaiman

nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Batang Kali: "Kami nak tanam bangkai anjing, tetapi masa jengkaut korek tanah nampak ada kaki," kata Syahmi Wafiq, 24.

Beliau ialah salah seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang ditugaskan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting, di sini.

Mengulas lanjut mengenai penemuan mayat ke-26 itu, Syahmi menyifatkan penemuan mayat berkenaan sebagai kebetulan.

"Kami mahu menanam anjing yang ditemui di kawasan berkenaan kerana ia mula berbau, jadi kami memerlukan jengkaut untuk menggali tempat berkenaan.

"Selepas menggali, kami ternampak ada kaki terkeluar dari tanah dan ketika itulah kami menyedari ada mangsa di situ.

"Anjing yang ingin ditanam itu ditemui berhampiran mayat, manakala mangsa pula dilihat memeluk seekor lagi anjing,"katanya.

Sebelum ini, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor memaklumkan penemuan mayat lelaki dewasa bersama anjingnya itu ditemui pada jam 11.16 pagi tadi di sektor B (Farmview) dengan kedalaman lebih empat meter dari aras tanah.

Dalam pada itu, Syahmi memaklumkan sudah tentu penemuan mayat sejak hari pertama SAR dilaksanakan adalah pengalaman yang menyeramkan baginya.

Namun itu adalah tanggungjawab yang harus dipikul selepas memilih bomba sebagai kerjayanya.

"Sudah tentu meremang setiap kali ada penemuan mayat di lokasi, tetapi bila saya memakai seragam sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menjalankan tugas.

"Ini adalah tahun keempat saya berkhidmat dalam unit ini dan sudah menyertai banyak misi menyelamat terutamanya ketika negara dilanda banjir," katanya.

Mayat ke-26 ditemui selepas anggota bomba laung azan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Melaungkan azan antara inisiatif diambil pasukan bomba dan penyelamat untuk mencari baki tujuh mangsa hilang dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali.

Pegawai bomba, Mohd Iqhmal Kamaruddin, 29, berkata ini kali pertama beliau diberi peluang melaungkan azan di lokasi bencana dalam usaha mencari orang hilang.

“Sebenarnya, ini hasil perbincangan dengan dua pegawai kanan yang berada di pos kawalan hadapan (PKH).

“Mereka merasakan pihak bomba belum pernah laungkan azan di lokasi bencana, jadi mereka rasa mungkin ini salah satu cara yang boleh dilakukan.

“Sebab kita tahu azan ini bukan saja untuk panggil orang bersolat, tetapi ia juga membantu kita mencari orang hilang atau sesat,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau yang bertugas di Cawangan Pendakwaan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berkata, beberapa minit selepas beliau melaungkan azan, mayat seorang lelaki dewasa yang merupakan mangsa ke-26 ditemui berpelukan dengan anjing peliharaannya pagi tadi.

“Lepas azan bukanlah terus jumpa, ia beberapa minit kemudian, namun syukurlah kita dapat petanda positif kedudukan mayat berkenaan.

“Semalam memang sepatutnya ada ura-ura jumpa dua mayat, tetapi sebab keadaan yang terlampau gelap sangat serta bahaya, jadi terpaksa sambung (operasi mencari dan menyelamat) hari ini.”

Mayat ke-26 itu dijumpai pada 11.16 pagi tadi. Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan untuk mengesan tujuh lagi mangsa hilang.

Seramai 61 orang selamat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada 2.42 pagi Jumaat lalu.

Anwar: Tuduhan terhadap saya ‘konspirasi politik dirancang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim mendakwa semua tuduhan jenayah terhadapnya sebelum ini sebahagian daripada satu konspirasi politik terancang.

Perdana menteri menyifatkannya sebagai dendam keji bagi menyingkirkannya daripada memegang jawatan awam dan merosakkan kerjaya politiknya secara kekal.

“Bukti akan dikemukakan untuk menyokong penegasan tidak berdosa plaintif pada semua masa yang material,” menurut pernyataan tuntutan pindaan difailkan presiden PKR itu pada Isnin.

Dokumen pindaan itu diserahkan petang ini kepada Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid, peguam cara yang mewakili Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor yang menghadapi saman fitnah oleh Anwar kerana kenyataan yang didakwa menggambarkannya “berperwatakan tidak bermoral”.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) dilantik perdana menteri pada 24 Nov dan membentuk kerajaan perpaduan bersama Barisan Nasional (BN) serta parti dari Sabah dan Sarawak.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar berkata, beliau menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan sebelum 2 Sept 1998 dan mempunyai rekod prestasi sempurna.

Beliau memegang jawatan itu ketika tempoh Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri antara 1981 hingga 2003.

Menurut pernyataan tuntutan itu, Anwar telah disingkirkan secara tidak tertib dan teruk daripada jawatan awam pada September 1998.

“Selepas itu, dengan motif luar biasa yang dikira untuk merosakkan reputasi dan imej plaintif ke tahap tidak boleh diperbaiki, plaintif telah didakwa dan dipertuduhkan dengan beberapa kesalahan jenayah rekaan, telah dibicarakan beberapa kali dan didapati bersalah atas semua kesalahan yang didakwa serta dijatuhkan hukuman penjara sebanyak dua kali,” menurut pernyataan tuntutan itu.

Tambahnya, sepanjang masa itu sehingga kini beliau “bersungguh-sungguh, tanpa henti dan tidak berbelah bahagi mengekalkan pendirian tidak bersalah,” dan bertegas semua tuduhan jenayah terhadapnya adalah sebahagian daripada konspirasi politik yang dirancang.

Menurut pernyataan tuntutan itu, disebabkan inilah Yang di-Pertuan Agong (Sultan Muhammad V) mengampuninya pada 16 Mei 2018 bagi memulihkan imej dan reputasi Anwar.

Menurutnya, titah bagi memerintahkan Pengampunan Diraja adalah untuk memadamkan sepenuhnya dan secara muktamad “semua atau mana-mana keburukan terhadap plaintif berkenaan ketiga-tiga kesalahan jenayah yang disabitkan”.

Susulan itu, katanya, defendan telah secara melulu, dan tanpa mengambil kira kesan serta akibat pengampunan itu mengenakan, mengulangi dan menghidupkan semula noda dan kepedihan daripada fitnah terhadap plaintif itu.

“Oleh itu, plaintif berhak untuk memulakan tindakan ini dan untuk membicarakan perkara yang sama dengan sekuat tenaga, untuk mengelakkan pengulangan perkara yang sama pada masa hadapan, oleh orang lain yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Dalam saman difailkan Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 13 Dis, Anwar memohon ganti rugi daripada Sanusi kerana didakwa merosakkan reputasinya.

Sanusi dikatakan membuat kenyataan itu dalam ucapan menjelang pilihan raya umum. Video ucapan itu turut dimuat naik ke Facebook.

Anwar berkata, Agong telah memberikannya pengampunan penuh bagi tuduhan jenayah terhadapnya iaitu satu tuduhan salah guna kuasa dan dua liwat, atas dasar salah laku keadilan.

Katanya, pengampunan turut diberikan atas dasar wujud konspirasi untuk memusnahkan nama baiknya.

Elak kebencian kaum, agama meresap dalam anak muda – Ambil perhatian titah Sultan Nazrin

AKMAL MANAF

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengingatkan bahawa pentingnya titah Sultan Perak berkaitan aktiviti meracuni emosi rakyat dengan kebencian kaum dan agama diambil perhatian.

Menurutnya, seluruh rakyat di negara ini harus mendukung titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi memastikan Malaysia selamat daripada golongan yang memfitnah, mengapi-apikan, merosakkan serta meracuni pemikiran tentang hubungan antara kaum.

“Melalui TikTok khususnya, telah pun meresap masuk dalam minda anak-anak muda.

“Kita harus menanganinya dengan bijaksana dan mengambil titah Tuanku sebagai semangat untuk kita menjadikan negara ini lebih aman. Harapnya tidak ada apa-apa lagi kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum.

“Saya sangat menjunjung kasih tidak terhingga kepada Tuanku kerana sangat prihatin menyebut perkara-perkara tersebut dalam ucapan penting titah pembukaan pertama sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Semalam, dalam Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama Dewan Negeri Perak ke-15, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, tindakan tegas dan segera wajib diambil bagi menghentikan aktiviti mana-mana pihak yang meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi isu agama serta kaum melalui pandangan ekstrem.

Mengulas lanjut, Mujahid yang juga merupakan bekas Menteri Agama menyifatkan, titah Tuanku dalam istiadat pembukaan semalam sememangnya tepat pada waktunya.

“Memang sangat tepat pada masanya kerana kita lihat dalam kempen pilihan raya yang lepas, isu-isu yang menimbulkan kebencian kaum dan juga fitnah tentang hubungan antara kaum ini, menjadi bahan kempen yang tersebar luas khususnya melalui TikTok dan lain-lain saluran,” ujarnya lagi.

Dalam istiadat pembukaan semalam, Sultan Nazrin turut bertitah, pandangan ekstrem berunsur kaum dan agama berbentuk hasutan yang boleh menyemaikan rasa benci serta berpotensi mencetuskan permusuhan sesama warga wajib dihentikan.

Baginda bertitah, segala bentuk ancaman dan cabaran yang boleh mencetus pertelingkahan antara kaum, agama dan ideologi politik, hendaklah diuruskan dengan berhikmah dan bijaksana, agar penyelesaian jangka panjang berjaya diolah dan dicapai.

Khairuddin pertikai cara Hadi keluar hukum

Malaysiakini

Pandangan Abdul Hadi Awang berkaitan ‘dosa’ jemaah haji dan umrah yang tidak mengundi perlu diperhalusi, kata bekas setiausaha Majlis Syura PAS Khairuddin Aman Razali.

Khairuddin berkata tindakan presiden PAS mengqiyaskan perkara itu dengan tindakan lari daripada medan perang adalah “istinbat (mengeluarkan) hukum yang tersasar dan sangat tidak halus”. 

“Apakah ia bermaksud mereka yang tidak mengundi dalam PRU yang lalu adalah berdosa besar.

“Dan lebih jauh lagi mengundi parti lain sehingga terbentuk kerajaan baru sekarang di peringkat persekutuan bermaksud kuasa Islam telah jatuh?

“Atau dengan maksud hanya mengundi parti tertentu sahaja barulah dikira mengundi untuk kuasa Islam?” soalnya bekas pensyarah pengajian Islam itu.

Justeru, kata Khairuddin “fatwa” itu perlu diperhalusi kerana kesannya besar pada umat Islam. 

Hadi dalam surat terbuka kepada jemaah haji dan umrah yang tidak mengundi mengingatkan golongan itu kepada dosa besar akibat perbuatan itu.

Dakwanya, ketika 98 peratus bukan Islam dari seluruh pelusuk dunia dikerah pulang menyokong DAP, hanya 60 peratus orang Islam keluar mengundi, walaupun alasannya kerana haji dan umrah.

Hadi berkata, mereka dibimbangi melakukan dosa besar kerana melanggar perintah Allah, dan mengqiyaskan perkara itu dengan hadis yang bermaksud “berundur ketika musuh mara menentang Islam.” 

Tidak jelas bagaimana Hadi memperoleh angka peratusan yang disebutnya. Dia juga tidak menghuraikan lanjut dalam tulisan panjang lebarnya itu.

Khairuddin keluar PAS pada Mac tahun ini, kira-kira sebulan selepas dipecat sebagai setiausaha Majlis Syura itu.

Tindakan itu dilihat susulan kecenderungannya ke arah kerjasama PAS-Umno ketika parti itu berminat bersama Bersatu.

Dia bertanding untuk mempertahankan kerusinya di Kuala Nerus sebagai calon BN tetapi gagal.

Surat terbuka Hadi ‘backfire’ diri lepas salahkan pengundi Islam tak keluar mengundi

MAISARAH AISYA

Rakyat Malaysia meluahkan rasa amarah dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyalahkan orang Islam kerana tidak keluar mengundi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 dengan alasan menunaikan ibadah haji dan umrah.

Beliau dalam satu ciapan di Twitter berkata, jika tugas mengundi tidak ditunaikan kewajipannya bagi memenangkan dan mempertahankan Islam, maka akibatnya adalah lebih besar dan lebih parah.

Ketika ini menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan sudah mula menggerakkan usaha untuk membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan Pantai Timur, namun ada yang merasakan Hadi masih lagi dengan naratif menyalahkan pengundi ketika PRU15.

Susulan itu warganet membalas sinis ciapan Hadi supaya melupakan benda yang lepas dan hentikan politik karut untuk sementara waktu.

“Harap lupakan benda yang sudah lepas dan hentikan politik karut ini untuk sementara waktu. Pantai Timur sedang alami salah satu banjir yang paling teruk dalam beberapa tahun dan ia berlaku di negeri anda sendiri. 

“Saya tahu anda sudah turun dan melawat kawasan tersebut, tapi ciapan ini tidak perlu dimuat naik dan perlu kekal hanya dalam draf,” jelas ciapan tersebut.

Seorang lagi pengguna Twitter menyatakan yang pada kali ini, Hadi bukan sahaja menyalahkan orang bukan Islam malah orang Islam yang buat haji dan umrah juga menjadi mangsa.

“Dia pukul keliling, orang bukan Islam dia bantai, orang Islam yang pegi buat haji dan umrah pun dia bantai,” komen dibalas pada hantaran tersebut.

Sebelum ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mengeluarkan kenyataan yang meminta semua pihak menghentikan perbuatan menyalakan api perkauman dan meniup bara permusuhan antara agama.

Titah baginda, perbuatan itu wajib dihentikan segera dan undang-undang wajib didaulatkan supaya keselamatan nyawa, keselamatan harta benda warga tidak berdosa dilindungi.

“Sultan Perak dah bagi amaran semalam, jangan bagi batu api bermaharajalela, ambil tindakan segera,” komen pengguna Twitter.

Ada juga yang mempersoal adakah pemimpin DAP bukan rakyat Malaysia sehingga tidak layak untuk memerintah negara ini.

“Tak habis-habis dengan DAP, ciapan ini seolah-olah orang bukan Islam di negara ini bukan rakyat Malaysia dan mereka tidak mempunyai hak sama sekali untuk berada dalam kedudukan memerintah.

Hadi dalam ciapannya menyalahkan orang Islam yang tidak keluar mengundi atas alasan menunaikan Haji dan Umrah, malah mendakwa ada yang menunggu upah duit baru keluar mengundi.

“Malangnya, orang Islam yang keluar mengundi hanya sekitar 60 peratus, menunjukkan orang Islam yang tidak menunaikan kewajipan mengundi walaupun alasannya kerana ibadat haji dan umrah, malah ada yang menunggu upah duit dan sebagainya.

“Keadaan ini dibimbangkan mereka itu melakukan dosa besar kerana telah melanggar perintah Allah SWT yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW,” tulis Hadi.

K'jaan bubar MPN diketuai Muhyiddin, tangguh pelantikan Ahmad Jazlan

Malaysiakini

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin dibubarkan.

Anwar juga mendedahkan bahawa pelantikan semula bekas ahli parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakob, sebagai pengerusi Felcra telah ditangguhkan.

Bercakap kepada media selepas menghadiri mesyuarat kabinet hari ini, perdana menteri berkata kerajaan sedang berusaha untuk mengurangkan jumlah agensi kerajaan yang mempunyai tugas bertindih.

Katanya, antara badan yang dianggap mempunyai pertindihan tugas ialah MPN.

"MPN telah dibatalkan (kerana) itu satu pertindihan (tugas).

"Jawatan itu diwujudkan bagi memenuhi keperluan ketika itu," katanya sebelum secara berseloroh bertanya kepada pemberita sama ada ia perlu diteruskan atau tidak.

MPN ditubuhkan oleh kerajaan dengan Muhyiddin dilantik sebagai pengerusi badan itu pada Sept 2021.

Mesti berdasarkan kelayakan

Ia dibuat kira-kira sebulan selepas Naib Presiden Umno dipilih sebagai perdana menteri bagi menggantikan pemimpin tertinggi Bersatu dan PN itu.

Pelantikan itu dipercayai menjadi jalan tengah di antara Muhyiddin dan Bersatu selepas dia disingkirkan daripada jawatan perdana menteri.

Sementara itu ditanya mengenai status Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Anwar berkata ia sedang dikaji semula.

"Jika sesuatu perkara (tugas) itu boleh dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau polis, kita mahu kurangkan pertindihan, kerana setiap agensi yang bertindih akan menanggung kos yang tinggi," katanya.

Pada masa sama Anwar menegaskan, prinsip tadbir urus baik GIACC adalah sesuatu yang diterima kerajaan.

Mengenai pelantikan politik pula, Anwar berkata kedudukan Ahmad Jazlan yang diumum dipilih sebagai pengerusi Felcra ditangguhkan dan keputusan tersebut sudah disampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Pada 17 Dis lalu Ahmad Zahid mengumumkan kerajaan melantik semula Ahmad Jazlan ke jawatan pengerusi agensi terbabit dan ia dibuat dua hari selepas Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengeluarkan arahan agar semua lantikan politik sebelum ini ditamatkan serta-merta.

Ahmad Jazlan dianggap salah seorang pengikut setia Ahmad Zahid dalam Umno.

Anwar menjelaskan, dia sebenarnya tidak menentang sepenuhnya pelantikan ahli politik dalam agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Saya tidak pernah kata mana-mana ahli politik tidak boleh terlibat dalam pengurusan (GLC).

"Bagaimanapun ini tertakluk kepada terma dan mereka mesti mempunyai kelayakan dalam bidang berkaitan.

"Mungkin ada beberapa pemimpin politik atau ahli parlimen yang ditugaskan (mengetuai agensi berkaitan) tetapi kami telah menetapkan bahawa ia mesti berdasarkan keupayaan profesional mereka, prestasi sebelum ini, dan pematuhan peraturan," katanya.

Bapa didakwa bunuh, simbah anak dengan air panas

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang tukang kasut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas didakwa membunuh anak perempuan sulungnya berusia sembilan tahun dan menyimbah seorang lagi anaknya dengan air panas menggelegak daripada cerek sehingga melecur di bahu dan lutut, 9 Dis lalu.

Tertuduh, Mohd Yasin Halik, turut didakwa menyimbah teman wanitanya warga Indonesia yang ketika itu sedang tidur, dengan air panas sehingga mangsa melecur bahagian punggung, lapor Berita Harian.

Kedua-dua anak perempuannya yang berusia sembilan dan enam tahun itu juga adalah warga Indonesia hasil bersekedudukan dengan teman wanitanya dikenali sebagai Suma itu.

Pada prosiding itu, tertuduh hanya mengangguk tanda memahami pertuduhan membunuh anak perempuannya dalam kejadian 9 malam di sebuah rumah di Jalan Pudu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Majistret Wong Chai Sia menetapkan pada 21 Feb bagi sebutan semula kes.

Manakala bagi tuduhan mencederakan teman wanita pula yang didakwa dilakukan di tempat sama 1 pagi 8 Dis lalu, Wong menjatuhkan hukuman penjara empat bulan selepas tertuduh selepas mengaku salah.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum maksimum tiga tahun penjara atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Di Mahkamah Sesyen pula, tertuduh turut mengaku salah menyimbah air panas ke atas anak bongsunya berusia enam tahun enam bulan pada 1 Dis lalu.

Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan 9 Jan ini bagi jatuh hukum.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya B Sareeka dan Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar mengendalikan pendakwaan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang bapa ditahan polis kerana disyaki mendera anaknya sehingga mati sebelum menanam mayat kanak-kanak itu berhampiran sebuah tempat riadah, bagi menyembunyikan jenayahnya.

Perbuatan kejam itu terbongkar selepas polis menerima aduan teman wanita suspek, yang memaklumkan anak perempuannya berusia sembilan tahun didera oleh teman lelakinya.

Teman wanita suspek yang juga seorang warga asing berusia 41 tahun, membuat laporan selepas mendapati anak yang berusia sembilan tahun dalam keadaan lemah dan darah keluar dari mulutnya, sebaik pulang bekerja.