Mayat nelayan mangsa serangan buaya ditemukan

Mayat seorang nelayan yang dipercayai menjadi mangsa terbaharu serangan buaya di Sungai Batang Oya, Mukah, kira-kira 180 kilometer dari sini berjaya ditemukan tengah malam Jumaat.
Mayat seorang nelayan yang dipercayai menjadi mangsa terbaharu serangan buaya di Sungai Batang Oya, Mukah, kira-kira 180 kilometer dari sini berjaya ditemukan tengah malam Jumaat.
SIBU - Mayat seorang nelayan yang dipercayai menjadi mangsa terbaharu serangan buaya di Sungai Batang Oya, Mukah, kira-kira 180 kilometer dari sini berjaya ditemukan tengah malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintenden Saga Chunggat berkata, mayat Roslin Madaie, 58, dari Kampung Boom Oya dijumpai penduduk kampung menggunakan teknik tradisional menunda mata kail di sungai itu kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Saga berkata, polis menerima panggilan kejadian itu kira-kira pukul 11.26 malam tadi sebelum sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Dalat menggunakan Land Rover Polis. Hasil pemeriksaan doktor bertugas dan pegawai penyiasat kes mendapati kecederaan pada badan mangsa ialah sinonim dengan gigitan binatang buas," katanya.

Berdasarkan laporan yang diterima polis, beliau berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 malam hari Jumaat ketika mangsa sedang menjala udang di sungai berkenaan.

Saga berkata, seorang saksi kejadian yang berada tidak jauh dari bot mangsa telah melihat mangsa disambar seekor buaya ketika sedang menebar jala sebelum diheret reptilia itu ke dalam perahu.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan jenazah mangsa telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Oya, pagi Sabtu.

Kes terbaharu ini merupakan kes serangan buaya yang kelapan dilaporkan di sungai terbabit sejak 2015 melibatkan enam orang maut manakala dua lagi terselamat. - Bernama

Demi kekasih: Gelap mata seleweng RM700,000 wang syarikat

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
Wida berpelukan bersama ayahnya ketika Majlis Jalinan Kasih Hari Raya Aidilfitri dan Kaamatan di Penjara Wanita, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Wida berpelukan bersama ayahnya ketika Majlis Jalinan Kasih Hari Raya Aidilfitri dan Kaamatan di Penjara Wanita, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Kota Kinabalu: Tiada yang lebih menggembirakan buat seorang penghuni Penjara Wanita Kota Kinabalu, apabila berpeluang memeluk dan memohon kemaafan daripada bapa tercinta sempena Majlis Jalinan Kasih Hari Raya Aidilfitri dan Kaamatan, di sini, hari ini.

Wida adalah antara lapan penghuni Penjara Wanita yang terpilih untuk program berkenaan.

Wanita itu berkata, bapanya sanggup datang ke Kota Kinabalu daripada Lawas, Sarawak untuk melawatnya di penjara.

"Saya sangat bersyukur bertemu ayah tercinta kerana keluarga saya jarang melawat di penjara berikutan jarak tempat tinggal yang jauh.

"Perjumpaan pada Aidilfitri ini sangat bermakna kerana tidak dihalang lagi oleh dinding kaca seperti sebelum ini.

"Saya dapat bersalam dan memeluk ayah serta memohon keampunan dengan kesalahan yang saya lakukan sebelum," katanya.

Berkongsi mengenai kesalahan yang dilakukan sehingga dipenjara, Wida berkata, dia melakukan kesalahan pecah amanah di sebuah syarikat kontraktor sebelum ditahan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan pada 2021.

Katanya, dia adalah pekerja kesayangan majikan sebagai kerani bahagian kewangan namun dia menjadi bertindak menyeleweng wang syarikat.

"Saya mengambil kesempatan menyeleweng wang syarikat sedikit demi sedikit sehinggalah jumlah itu mencecah RM700,000 selama setahun.

"Wang itu adalah untuk diberikan kepada teman lelakinya yang bekerja sebagai kontraktor kerana terdesak memerlukan wang," katanya.

Menurutnya lagi, pada mulanya teman lelakinya berjanji untuk membayar sehinggalah pada satu tahap tiada bayaran balik diberikan.

"Tetapi saya masih menjalankan kegiatan mengambil wang syarikat. Semua perbuatan saya akhirnya terdedah selepas syarikat melakukan audit dan saya ditahan sebelum dijatuhkan hukuman enam tahun penjara," katanya.

Wida adalah antara lapan penghuni Penjara Wanita terpilih untuk program berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu, Kesumawati Ilas berkata, seramai lapan penghuni terpilih bertemu dengan keluarga secara bersemuka dalam program ini.

Beliau bagaimanapun berkata, dua penghuni tidak dapat melepaskan rindu bersama keluarga berikutan keluarga mereka berhadapan kekangan untuk ke penjara.

"Program Jalinan Kasih ini adalah aktiviti berkala anjuran Penjara Wanita Kota Kinabalu bagi memberi peluang kepada penghuni bertemu dengan keluarga secara bersemuka.

"Hanya penghuni yang melepasi tapisan sahaja yang akan mendapat peluang ini termasuklah warganegara Malaysia, mempunyai baki hukuman tiga tahun maksimum atau kurang dan tidak menerima sebarang tindakan disiplin dalam tempoh enam bulan sebelum pemilihan.

"Antara keperluan lain pula adalah mendapat 90 peratus markah bagi ujian penilaian yang diadakan," katanya.

Mayat nelayan dalam dua buaya

Agensi

Sydney: Mayat manusia dipercayai nelayan yang hilang April lalu ditemukan dalam dua buaya di Australia, baru-baru ini.

Polis Queensland berkata, pihaknya percaya kedua-dua buaya itu mempunyai kaitan dengan kehilangan seorang nelayan berusia 65 tahun.

"Buaya itu dibunuh pegawai hidupan liar Jabatan Alam Sekitar dan Sains (DES).

"Polis sedang menyediakan laporan untuk koroner dan misi mencari lelaki bernama Kevin Darmody itu dihentikan," kata kenyataan itu.

Pengurus Operasi Hidupan Liar DES utara, Michael Joyce berkata, renjer membunuh buaya itu dalam masa 10 saat.

"Kami tidak percaya dua buaya memakan seorang manusia, tetapi ini adalah kali kedua ia berlaku," katanya.

Sebelum ini, polis berkata, pihaknya menjalankan misi mencari lelaki itu yang dikatakan hilang semasa menangkap ikan di di Sungai Kennedy, Taman Negara Rinyirru (Lakefield) pada 29 April lalu.

Sebuah helikopter juga dikerahkan dalam pencarian di bahagian terpencil di timur laut Australia itu.

Serangan maut itu adalah kali ke-13 di Queensland sejak 1985.
-hmetro 

Lagi feri terbakar

79 penumpang selamat, feri terbakar di Pulau Bidong
Bernama
Feri berkenaan musnah hampir 100% dalam kebakaran yang berlaku berhampiran Pulau Bidong. (Gambar Facebook)
KUALA TERENGGANU: Sebuah feri membawa 79 penumpang termasuk kru dalam perjalanan ke Jeti Taman Tamadun Islam (TTI) terbakar, petang tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Khairulanuar Abd Majid, berkata pihaknya menerima laporan daripada Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat Maritim Kuantan pada 3 petang.

“Feri berkenaan membawa 79 individu dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Redang menuju ke Jeti TTI sebelum terbakar ketika berada berhampiran Pulau Bidong.

“Bertindak atas laporan, dua aset milik APMM telah digerakkan ke lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dipindahkan ke Jeti TTI.

Katanya, kebakaran telah merebak ke seluruh bahagian feri dan dianggarkan musnah 100% manakala punca insiden masih disiasat.

Video insiden itu yang tular di media sosial memaparkan sebuah feri terbakar di Pulau Bidong dan sesetengah warga maya mendakwa kepulan asap boleh dilihat dengan jelas beberapa kilometer dari lokasi.

PH yakin kuasai 50 kerusi DUN di Selangor

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kerjasama antara Pakatan harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan membantu gabungan itu memenangi sekurangnya 50 daripada 56 kerusi dalam pilihan raya negeri Selangor yang akan datang, kata Pengarah pilihan raya Pakatan Harapan (PH) negeri, Yahya Mat Sahri.

Menurut laporan Sinar Harian, Yahya berkata beliau yakin prestasi PH akan lebih baik dalam pilihan raya negeri dengan sokongan pengundi BN.

“Kita yakin untuk menang lebih banyak kerusi, tidak hanya di kawasan bandar tetapi juga di kawasan luar bandar, terutama di kubu kuat BN.”

Beliau mendakwa kajian menunjukkan bahawa 50% pengundi Melayu di Selangor menyokong PH dan menambah bahawa PH yakin akan dapat mengekalkan kawalan negeri tersebut.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Azmin Ali, menyatakan bahawa gabungan itu boleh memenangi 33 kerusi di Selangor.

Ketika ini, PH menguasai 40 daripada 55 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Selangor menerusi PKR (19), DAP (15) dan Amanah (enam).

Baki kerusi DUN tersebut disandang wakil-wakil daripada BN (lima), PN (lima), Pejuang (dua), PBM (dua) dan Warisan (satu).

Kerusi DUN Batang Kali diisytiharkan kosong pada 16 Februari selepas wakil rakyatnya, Harumaini Omar daripada Pejuang, gagal menghadiri sidang dewan negeri selama lebih enam bulan.

Pilihan raya negeri dijangka diadakan selepas Julai.

Tong gas meletup dalam kereta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sebuah kereta rosak teruk apabila tong gas diletakkan dalam kenderaan itu meletup dalam kejadian di sebuah rumah flat di Bentong, Pahang.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan pada 11.44 pagi.

Katanya, siasatan mendapati kejadian itu berpunca tong gas LPG berada di dalam kereta tersebut.

“Tong gas itu diletakkan terbaring di bahagian tempat duduk penumpang belakang. Bagaimanapun, letupan itu tidak melibatkan kebakaran dan kemalangan kepada mangsa,” katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan jangan meletakkan bahan mudah terbakar dan meletup yang ditinggalkan di dalam kereta terutama ketika musim suhu panas ketika ini.

Wanita maut selepas kejar dan langgar peragut beg tangan

 
ORANG ramai membantu mengangkat motor mangsa ke daam trak polis. - AGENSI
PALU: Seorang wanita dilaporkan meninggal dunia selepas mengejar peragut yang mencuri beg tangannya.

Wanita yang dikenali sebagai Fitriani Bhamid, 30 tahun itu meninggal dunia selepas dia mengejar peragut dengan menunggang motosikal sebelum melanggar suspek.

Menurut polis, kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal di Jalan RE Martadinata ke arah pusat bandar Palu.

Peragut yang datang dari arah belakang terus meragut beg tengannya menyebabkan mangsa mengejar suspek.

Ketika hampir mendekati motosikal suspek, mangsa melajukan motosikalnya lalu melanggar suspek sekuat hati.

“Akibat insiden itu, mangsa terpelanting jauh menyebabkan bahagian kepalanya mengalami kecederaan parah.

“Hal itu menyebabkan mangsa meninggal dunia ketika dibawa ke hospital,” menurut Ketua Polis Palu, Stavanus Sanam.

Berikutan kejadian itu, suspek hanya mengalami kecederaan ringan dan kini ditahan bagi membantu siasatan.

Mangsa merupakan tenaga pengajar di sebuah sekolahdi Sigi, Sulawesi Tengah.-AGENSI

Enam anggoa polis direman kes minta rasuah RM5,000

Bernama

Enam anggota polis termasuk seorang berpangkat inspektor dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut direman sehingga 11 Mei ini, bagi membantu siasatan berhubung kes meminta rasuah berjumlah RM5,000.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Temerloh, Mohamed Shah Reza Noor Azman.

Menurut kenyataan itu kesemua mereka ditahan petang semalam selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Temerloh bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu Rabu lepas, apabila dikatakan meminta suapan daripada seorang lelaki bagi menyelesaikan kes serbuan serta penemuan air ketum di rumah lelaki berkenaan.

Selain inspektor yang berumur 36 tahun, lain-lain anggota polis yang ditahan adalah mereka yang berpangkat Lans Koperal, Koperal dan Sarjan Mejar, yang berumur antara 28 dan 46 tahun, semuanya bertugas di Bahagian Narkotik IPD berkenaan.

-Bernama

Nyawa Bersatu di hujung kuku PAS

Hasmi Hashim

Abdul Hadi Awang bersama beberapa orang kanan PAS mengadap Dr Mahathir Mohamad di kediaman mantan perdana menteri dua kali itu. Di sana mereka menandatangi “Proklamasi Orang Melayu”. Foto rombongan Hadi yang duduk bersama Mahathir, ditularkan entah oleh siapa.

Bukan baru sekali ini, sebuah dokumen yang mengatasnamai Melayu dikeluarkan oleh Mahathir. Dokumen dengan maksud yang sama pernah dikeluarkan dengan pelbagai nama seperti “deklarasi”, “proklamasi” dan sebagainya.

Apa pun namanya—bahkan apa pun isinya!—tidaklah begitu bermakna lagi kepada bangsa Melayu. Selagi ia ditulis dan dikeluar oleh Mahathir, dokumen seumpama itu akan dilihat oleh orang Melayu sebagai helah untuk membakar sentimen bangsa dan kaum semata- mata.

Sebagai taktik politik, PAS juga hendak “tumpang tui”, bermain sentimen perkauman sama.

Moga-moga masih ada saki-baki orang Melayu yang tidak termakan dan percaya bahawa memang Mahathir mahu memperjuangankan nasib orang Melayu; sambil menyembunyikan kepentingannya yang kini mula terancam.

PAS bukannya tidak sedar Mahathir sudah hilang pengaruh yang signifikan. Parti Mahathir, Pejuang kalah bahkan hilang deposit di hampir kesemua kerusi yang ditandingi dalam PRU yang lalu. Parti Mahathir itu bukan sahaja kalah kepada BN atau PH, kalah juga kepada calon-calon PAS dan PN. Bagi yang berakal, mengitar semula perjuangan sebegitu, sebenarnya bukan sahaja tidak berbaloi, tapi juga membuang masa.

Di kala Hadi menandatangani proklmasi Mahathir, ia petanda yang Hadi juga sedar bahawa Bersatu sudah tidak boleh diharap terlalu banyak untuk menambah sokongan orang Melayu kepada PAS. Kemampuan dan pengaruh Bersatu hampir sampai ke siling. Sudah maksima. Hendak cari seratus orang sahaja lagi untuk penyokong Bersatu pun sudah amat sukar.

Buruk atau melemahnya Bersatu adalah rahmat buat Hadi dan PAS. Nampaknya kini Bersatu juga tidaklah begitu bersatu lagi. Sudah ada bibit-bibit ketidakbersatuan keputusan dan tindakan dalam Bersatu. Di kala Hadi menandatangan proklamasi Mahathir, rupa-rupanya ada segelintir pemimpin kanan Bersatu juga yang turut tandangan sekali.

Sedangkan, tidak sampai tiga bulan lalu, PN melalui Bersatu menolak permohonan parti Mahathir untuk menyertai PN. Walaupun Mahathir sendiri sudah meninggalkan parti berkenaan, tetapi tindakan tersebut dipercayai tidak lebih hanya sebagai helah untuk menyelamatkan Mukhriz Mahathir yang menjadi presiden tanpa bapanya.

Muhkriz perlu dilihat sudah ‘terbebas’ daripada terus berada di bawah ketiak bapanya.

Kalau perlu, Muhkriz hendaklah digambarkan mempunyai ‘pergeseran’ dengan sang bapa.

Sebagai anak kepada Mahathir, kita doakan yang baik-baik sahaja.

PAS tidak terikat untuk melaporkan semua langkah mereka kepada Bersatu atau pengerusi PN, Muhyiddin Yassin. PAS boleh dikatakan sekarang merupakan abang besar dalam PN dan mempunyai kelebihan yang terlalu banyak ketimbang Bersatu; daripada jumlah ahli sehinggalah kuasa pentadbiran di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Bersatu ada apa? Nol, nehi! Hanya jawatan-jawatan yang tidak penting seperti ketua pembangkang, dan kononnya pengerusi PN yang boleh diragut bila-bila masa.

Dalam politik demokrasi, bukan jawatan yang menjadikan seseorang atau sesebuah parti itu kuat, tetapi yang dihitung adalah bilangan wakil rakyat serta jumlah ahli akar-umbi. Sebuah parti dengan ahli seratus ribu takkan sekuat parti yang ada ahli 1.5 juta orang. Selain daripada asas ini, faktor lain hanya illusi dan fatamorgana kuasa sahaja.

Lihatlah betapa malang nasib si Luncai apabila Bersatu sudah tidak mempunyai seorang pun menteri besar di mana-mana pun negeri akibat Langkah Sheraton yang diciptakan oleh pemimpin mereka sendiri.

Sebelum Sheraton, Bersatu ada dua MB iaitu di Perak dan Johor. Demi memenuhi nafsu sarakah Muhyiddin yang terburu-buru hendak menjadi PM, maka anak buahnya sendiri dikorbankan sehingga kehilangan jawatan masing-masing di peringkat negeri. Kebodohan apakah itu apabila Muhyiddin menjadi PM dan menongkat langit pun tidaklah begitu lama?

Justeru, memang wajar kalau ada suara keras ahli-ahli Bersatu yang mula sedar dan mengecam atau menyalahkan Muhyiddin kerana membuatkan partinya sendiri kehilangan tapak kekuatan akar umbi. Posisi seperti menteri besar adalah penting untuk menjadi tapak kepada kekuatan teras mana-mana parti, yang tidak wajar digadai meski atas alasan untuk seorang presiden menjadi PM. Langkah politik itu membukti Muhyiddin lebih mengutamakan dirinya, berbanding partinya.

Semua helah dan tindakan Muhyiddin sejak beberapa tahun kebelakangan bukan tidak dibaca dan diamati oleh PAS.

PAS tahu, kalau Bersatu tergamak mengkhianati semua parti di dalam PH seperti PKR, Amanah dan DAP; Bersatu juga kalau lebih kuat nanti, pasti akan mengkhianati PAS pula. Sudah menjadi hukum alam, sekali berkhianat maka selamanya akan kerasukan untuk terus enak berkhianat. Seketika tidak melakukan khianat, merasa seperti tidak lengkap hidup mereka.

Maka sebelum saat itu tiba, lebih baik PAS mengambil tindakan-tindakan yang tidak memerlukan lagi hubungan rapat atau restu Bersatu. Terlebih-lebih pula, tidak mungkin di atas sebuah bukit politik Melayu ada dua ekor singa. Begitu ingatan perpatah lama, di setiap bukit hanya boleh ada seekor raja rimba sahaja.

Dalam saat-saat akhir sebelum PRN, PAS hanya perlu menyaksikan Bersatu melangsaikan tugasan atau ‘hutangnya’ untuk mengumpan saki-baki tokoh Umno yang tergelincir daripada Umno agar menyertai PN. Tidak kisahlah sama ada menyertai BERSATU, atau terlebih baik kalau mereka isi borang PAS.

Sepertimana Bersatu, PAS juga percaya kemasukan tokoh-tokoh seperti Annuar Musa, Noh Omar, Khairy Jamaluddin, Shahril Hamdan dan beberapa yang lain boleh melonjakkan sedikit sebanyak sokongan kepada PN. Di sana nanti, PAS pasti paling beruntung kerana PAS yang akan bertanding kerusi terbanyak secara keseluruhannya. Dan Bersatu bakal kena ‘game’ lagi.

Jangankan Selangor atau Negeri Sembilan, PAS juga begitu yakin dapat menguasai kerajaan Pulau Pinang. Apabila ada pemimpin Bersatu yang berura-ura untuk ‘chop’ atau ‘menempah’ jawatan MB di Selangor atau Negeri Sembilan, kurang 48 jam kemudian terdengarlah bantahan keras dan ditolak mentah-mentah oleh pimpinan PAS. Cadangan sebegitu, di peringkat kawasan atau negeri pun tidak lepas.

Di Terengganu dan Kelantan, keadaannya lebih parah. Calon Bersatu diharamkan sama sekali memakai logo PN. Mahu tidak mahu, mereka perlu bertanding atas tiket PAS-pis-pus sahaja.

Dengan wujudnya akta antilompat parti yang sudah terpakai sekarang, sekali seseorang calon bertanding dengan tiket PAS, maka selamanyalah dia akan terperangkap sebagai wakil rakyat PAS. Keanggotaannya sebagai ahli Bersatu cuma wujud di dalam sistem data parti masing-masing sahaja, sementara hakikatnya dia diikat oleh PAS sebagai wakil rakyat PAS.

Dalam percaturan politik sebegini, PAS memang jauh lebih berpengalaman dan licik. Kalau diamati, PAS yang relatif mendapat jumlah undi Melayu akan besar dalam PRU lalu ialah kesan hubungannya Umno dalam MN tidak lama dulu. Lihatlah betapa bijaknya PAS yang sentiasa mahu untung lebih besar berbanding rakan gabungan.

Kalau Umno pun nyaris-nyaris ditelan oleh PAS, inikan pula Bersatu—di mata PAS, Bersatu hanya sebuah parti serpihan yang masih menjejeh hingus. Kalau disorot sejarah lebih awal, parti Semangat 46 sebagai ‘abang’ atau ‘mak-bapak’ kepada Bersatu pun diratah-ratah, inikan pula ‘adik-adik’ atau ‘anak-cucu’ seperti Bersatu.

Pemimpin Bersatu tentu menafikan hakikat ini, tetapi sambil lututnya mengigil dan dahi berpeluhan.

Saya yakin, PAS tidak akan melepaskan ‘haknya’ untuk jadi singa di atas bukit politik Melayu—sama ada ketika jadi kerajaan atau pembangkang. Tujuan PAS memang untuk itu, cuma sebelum ini mereka terpaksa berhadapan dengan Umno secara satu lawan satu. Atas perebutan yang panjang, PAS sedikit pun tidak akan rela Umno digantikan oleh Bersatu.

Bersatu hanya parti sekular serpihan Umno yang tidak faham Islam.

Walaupun mula kedengaran suara hati Bersatu merayu untuk kekal menjadi tuan atau singa yang berkongsi sebuah bukit politik Melayu, tetapi di telinga PAS, bisikan Bersatu ibarat suara tikus luka yang kalah perang. Kalau dibiarkan hidup, ia akan membawa virus dan penyakit. Kalau dirawat dan dibiarkan mendewasa, ia pasti akan membaham semula.

Oleh itu, PAS hanya menunggu masa untuk memijak mampus sang tikus itu. Mundur ajal, maju apatah lagi.

Wanita Vietnam didakwa serang polis guna gunting

Bernama
MELAKA: Seorang wanita Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas dua pertuduhan menyerang seorang pegawai polis dan menghalang tugas penjawat awam, bulan lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Nguyen Thi Cam Nhung, 28, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap Inspektor Mohd Shahrol Firdaus Senawi dengan sebilah gunting mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa menghalang tugas rasmi penjawat awam mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Wanita itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Silverscape Resident, Element Mall, Jalan Syed Abdul Aziz, pada 9.30 malam, 16 April lepas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya J Banusha menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga Malaysia dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap minggu serta menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Muhamad Syah Azlan Abdullah memohon mahkamah memberikan jumlah jaminan rendah atas alasan tertuduh tidak bekerja dan mempunyai seorang anak autisme berusia tiga tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga Malaysia dan menetapkan 13 Jun ini untuk sebutan semula kes, serahan dokumen serta menyediakan jurubahasa Vietnam.

Kerana mahukan rumah, ibu tergamak upah orang bunuh anak perempuan

IBU berkenaan ditahan polis selepas mengupah pembunuh membunuh anak perempuannya. FOTO Agensi.
IBU berkenaan ditahan polis selepas mengupah pembunuh membunuh anak perempuannya. FOTO Agensi.
Moscow: Seorang wanita Rusia dituduh mengupah seseorang untuk membunuh anak perempuannya sendiri semata-mata mendapatkan apartmen wanita itu.

Wanita berusia 67 tahun dari Krasnoyarsk, Rusia, dituduh mengarahkan pembunuhan anak perempuannya yang berusia 48 tahun supaya dia boleh mewarisi apartmennya, lapor Oddity Central.

Menurut penyiasat, pesara itu berkongsi niat buruknya dengan seorang kenalan tempatan yang memberitahunya bahawa mereka mengenali seseorang yang boleh melakukannya, dengan bayaran.

Pada 19 April lalu, kenalan itu mengadakan pertemuan antara wanita itu dengan pembunuh di sebuah taman di Odesskaya Street, di bandar Krasnoyarsk, di mana mereka membincangkan butiran dan kaedah melakukan jenayah itu.

Wanita itu didakwa berjanji untuk membayar pembunuh kontrak 80,000 rubel (kira-kira RM4,595) sebaik saja dia mengemukakan bukti pembunuhan itu.

Bagaimanapun, bakal pembunuh itu, seorang lelaki tempatan, memaklumkan kepada polis dan memberitahu mereka tentang niat jahat wanita itu.

Untuk mengumpul bukti yang diperlukan untuk sabitan, penyiasat memberitahu lelaki itu supaya terus memainkan peranan malah membantunya melancarkan pembunuhan itu.

Selepas memberitahu mangsa berusia 48 tahun tentang niat ibunya, polis meminta sesuatu yang peribadi yang boleh ditunjukkan oleh pembunuh upahan kepada majikannya sebagai bukti kematiannya.

Pada 3 Mei, pembunuh itu yang bertindak di bawah pengawasan penyiasat Rusia, memberitahu 'ibu penyayang' bahawa dia menyelesaikan kontrak, membunuh anak perempuannya dengan menikamnya berulang kali dengan pisau.

Sebagai bukti perbuatan itu, lelaki itu memberikan beg anak perempuannya kepada suspek.

Pada hari yang sama, wanita itu memindahkan upah00 rubel yang dijanjikan ke dalam akaun pembunuh bayaran.

Setelah mengumpulkan semua bukti yang diperlukan, polis menahan ibu Rusia itu dan dia kini secara rasmi dituduh melakukan jenayah di bawah Bahagian 3 Seni. 33, bahagian 1 Seni. 30, hlm. "Z" bahagian 2 Seni. 105 Kanun Jenayah Persekutuan Rusia (organisasi penyediaan pembunuhan untuk disewa).
-hmetro 

Selepas enam tahun melarikan diri, suspek skandal 1MDB dan SRC International dicekup

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suspek skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd dicekup di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas hampir enam tahun melarikan diri.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, suspek yang disyaki menerima sebahagian dana diseleweng daripada dua syarikat terbabit dikesan tiba di KLIA 2, jam 3.30 pagi kelmarin.

"Sebaik tiba, dia yang menghilangkan diri sejak 2018 diserahkan Notis Perintah untuk hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada jam 10 pagi kelmarin.

"Pegawai SPRM telah merakamkan keterangannya dan penggeledahan rumah dilakukan pada hari yang sama," katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek didapati terbabit dengan skandal itu dan menerima wang hasil seleweng menerusi akaun bank syarikat yang dikenali sebagai Wright Shaw Limited.

Sumber berkata, suspek juga dipercayai menerima sebahagian wang diseleweng dari dana 1MDB melalui Yayasan Rakyat Malaysia (YR1M).

"SPRM dengan kerjasama Commercial Affairs Departments Singapura (CAD Singapura) berjaya menyita akaun bank milik Wright Shaw Limited berjumlah kira-kira USD 5.2 juta," katanya.

Sementara itu, sumber memberitahu, pada 26 April lalu, SPRM membawa pulang kira-kira RM16 juta dana 1MDB yang diseleweng menerusi Totality Limited milik bekas Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan syarikat 1MDB, Casey Tang Keng Chee.

"Tang atau lebih dikenali Casey Tang terbabit dengan 1MDB ketika itu yang dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) sehingga 2011.

"Konspirasinya adalah untuk mengelirukan bank dan menyembunyikan fakta tertentu daripada lembaga pengarah 1MDB untuk memindahkan USD700 juta kepada Good Star Ltd, yang didakwa dimiliki oleh Low Taek Jho (Jho Low)," katanya.

Menurut sumber, SPRM mengeluarkan waran tangkap atau red notice bertarikh 29 Jun 2018 terhadap Tang yang masih gagal dikesan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penangkapan itu dan sedang berusaha mengesan beberapa lagi suspek dan aset lain di Singapura.

SPRM setakat ini berjaya mendapatkan kembali kira-kira 70 peratus aset 1MDB membabitkan jumlah kira-kira RM28.3 bilion.

Pembantu Anwar diarah bayar RM80,000 kepada Yusoff Rawther

FMT Reporters

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi menolak rayuan terhadap bayaran ganti rugi oleh setiausaha akhbar Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Tunku Abaidah atas tuduhan memfitnah Yusoff Rawther.

Bagaimanapun, Hakim Khadijah Idris membenarkan rayuan Tunku Nashrul berkenaan jumlah pampasan dan mengurangkan jumlah yang diberikan oleh mahkamah sesyen tahun lalu daripada RM200,000 kepada RM80,000.

Beliau juga memberi Yusoff, bekas pembantu penyelidikan Anwar, RM6,000 sebagai kos.

Peguam Yusoff, Haniff Khatri Abdulla berkata hakim memberikan keputusan melalui e-mel hari ini selepas mendengar hujahan pada 21 Feb tahun ini.

Haniff, yang dibantu Nurul Huda Razali berkata Mahkamah Tinggi juga mengekalkan perintah bahawa Tunku Nashrul mesti memohon maaf atas syarat yang boleh diterima oleh Yusoff.

Tunku Nashrul, yang diwakili oleh Azwar Manab, juga dikehendaki menarik balik kenyataan media yang memfitnah Yusoff pada 10 Jun 2019.

Yusoff mengemukakan tuntutan pada 12 Sept 2019, mengatakan kenyataan Tunku Nashrul merosakkan reputasinya di mata awam.

Tunku Nashrul mengeluarkan kenyataan itu untuk menafikan tuduhan berlakunya serangan yang didakwa Yusoff berlaku di pejabat Anwar.

Kenyataan itu dibuat selepas Yusoff membuat laporan polis yang mendakwa dia diserang secara fizikal oleh setiausaha politik Anwar ketika itu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Yusoff juga mengemukakan tuntutan sivil berasingan terhadap Farhash, menuntut pampasan atas kecederaan yang dialaminya semasa serangan tersebut. Namun, kedua-dua pihak menyelesaikan tuntutan di luar mahkamah tahun lalu.

Yusoff, yang bekerja di pejabat bungalow Anwar di Bukit Gasing, Petaling Jaya, juga mengemukakan tuntutan terhadap presiden PKR dengan mendakwa pemimpin itu melakukan serangan seksual ke atasnya 10 hari sebelum Anwar menang dalam pilihan raya kecil Port Dickson pada 13 Okt 2018.

Yusoff mendakwa dia mengalami trauma fizikal, psikologi, dan sosial yang serius akibat kejadian tersebut. Anwar menafikan tuduhan itu.


Perkara itu masih belum selesai di mahkamah.

Isu ‘duit balik mengundi’ akan kacau usaha PAS dominasi Kelantan

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Seorang penganalisis percaya isu ‘duit balik mengundi’ akan menjadi topik penting menjelang PRN Kelantan kelak, memandangkan penguasaan PAS di beberapa kawasan boleh tergugat sekiranya rakyat di perantauan tidak pulang untuk membuang undi.

Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata semakan ke atas rekod pilihan raya sejak 2018 menunjukkan PAS bergantung kepada sokongan rakyat Kelantan di perantauan untuk mengatasi penyokong pembangkang, di enam hingga sepuluh kawasan DUN.

Katanya kepada FMT, pengundi “ghairah” pulang mengundi apabila ada ‘duit minyak’. “Dalam keadaan logistik tak berapa kemas … mereka nak pulang pun akan fikir balik.”

“Kalau undi luar tak balik, PAS akan ada masalah.”

Mazlan menjangkakan pentadbiran PAS akan bertahan namun Barisan Nasional-Pakatan Harapan berpotensi merapatkan jurang di Dewan Undangan Negeri.

“Kalau pengundi luar tak balik dan peratusan undi rendah, BN ada peluang tambah kerusi di beberapa kawasan apabila bergabung dengan PH,” katanya.

Ahmad Atory Hussain daripada Universiti Sains Malaysia pula berkata ketiadaan pemimpin Umno yang berwibawa di Kelantan menyukarkan peluang BN-PH memenangi lebih banyak kerusi.

“Harapkan Tengku Razaleigh Hamzah, dia pun sudah kalah di Gua Musang. Harapkan Dr Asyraf Wajdi, dia pun ‘lari’ ke Grik dan kecundang. Lain-lain pemimpin pun tidak segagah mana,” katanya.

Atory percaya bekas Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa, boleh memberi ‘nilai tambah’ kepada PAS di Kelantan, “cuma setakat mana nilai itu tidak pasti.”

Pada kedudukan sekarang, PAS menduduki 37 daripada 45 kerusi DUN di Kelantan dan selebihnya milik BN. Pada PRU15, PAS dan Perikatan Nasional menawan semua kerusi Parlimen di negeri itu.

Anwar: Kalau cukup ‘nombor’ bawa ke Parlimen

Nora Mahpar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta pembangkang membuktikan jumlah sokongan yang didakwa diperoleh mereka bagi menubuhkan kerajaan baharu pada sesi Parlimen akan datang.

“Kalau dia (PN) ada (cukup sokongan) tunggu masa Parlimen nanti, bawalah SD (akuan berkanun). Usulkan di Parlimen tiada masalah.

“Ini tiap-tiap minggu mengigau,” katanya mengulas dakwaan pembangkang diketuai Perikatan Nasional (PN) bahawa mereka mempunyai 126 sokongan Ahli Parlimen.

Beliau berkata demikian selepas berucap melancarkan sambutan Ulang Tahun ke-75 Bulan Sabit Merah (BSMM) dan perasmian ibu pejabat kebangsaan organisasi itu Jalan Wisma Putra.

Anwar yang juga presiden PKR mengulangi keyakinannya kerajaan perpaduan akan bertahan sehingga habis penggal lima tahun.

“Saya sangat yakin,” katanya.

Timbul spekulasi konon wujud komplot menjatuhkan Anwar selepas dilaporkan bahawa 10 Ahli Parlimen yang sebelum ini menyokong Pengerusi PN Muhyiddin Yassin selepas PRU15 merancang memaksa pilihan raya kecil diadakan.

Mereka dikatakan merancang keluar parti, sekali gus menyebabkan kerusi dikosongkan, menurut undang-undang anti-lompat parti.

Pemimpin Bersatu Faiz Na’aman menghangatkan lagi spekulasi dengan berkias menerusi catatannya di Facebook: “126 dah … jika benar, Alhamdulillah.”

Faiz kemudian berkata, beliau tidak dapat mendedahkan apa-apa, tetapi meminta penyokongnya “tunggu dan lihat”.

Wow!!! Mahathir saman Anwar RM150 juta

Hidir Reduan Abdul Rashid

Dr Mahathir Mohamad memfailkan saman berjumlah RM150 juta terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berhubung dakwaan bahawa dia mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa.

Peguam Mahathir memfailkan writ saman itu di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dua hari lalu.

Pada 17 April lalu Mahathir dilaporkan akan meneruskan tindakan undang-undang selepas Anwar tidak mematuhi surat tuntutan agar membuat permohonan maaf terhadapnya berhubung dakwaan yang dibuat semasa ucapan dasar di Kongres Nasional Khas PKR 2023, pada 18 Mac lepas.

Mahu rampas tanah, rumah ahli perniagaan Malaysia ditembak mafia Pakistan

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my
Kesan tembakan peluru di rumah Ahli perniagaan Malaysia berasal dari Pakistan yang diserang sekumpulan mafia di daerah Hisari Nehri, Pakistan.
Kesan tembakan peluru di rumah Ahli perniagaan Malaysia berasal dari Pakistan yang diserang sekumpulan mafia di daerah Hisari Nehri, Pakistan.
Kuala Lumpur: Ahli perniagaan Malaysia bimbang dengan keselamatan dirinya dan keluarga selepas kediaman mereka di Pakistan diserang sekumpulan mafia tempatan dengan peluru, baru-baru ini.

Rakyat Malaysia berasal dari Pakistan itu, Datuk Mohammad Tahir Rahat turut meminta bantuan Wisma Putra berhubung keselamatan keluarganya.

Mohammad Tahir berkata, serangan mafia itu berpunca daripada tindakan kumpulan itu yang mahu merampas tanah miliknya yang diwarisi sejak turun-temurun di daerah Hisari Nehri, Pakistan.

Menurutnya, kejadian berlaku Ahad lalu apabila 200 mafia lengkap bersenjata melepaskan tembakan ke arah menara peninjau rumahnya kira-kira 7 pagi menyebabkan beliau juga terpaksa berbalas tembakan dengan mereka.

"Kejadian itu berlarutan sehingga 8.30 pagi, itupun setelah pihak polis tiba. Namun, kedatangan mereka hanya menyuraikan tembak-menembak bukan menghentikan kegiatan mafia berkenaan.

"Kumpulan mafia itu sudah merampas tanah milik saya buat masa sekarang dan mereka juga membina tembok pengadang serta menara peninjau di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, mafia terbabit turut bertindak menutup semua jalan keluar masuk ke rumahnya itu dari jam 7 pagi hingga 7 malam supaya tiada bantuan dapat diberikan.

Mohammad Tahir yang berasal dari Pakistan berhijrah ke Malaysia bagi memulakan kehidupan baharu pada sekitar akhir 1980-an dan berjaya mendapatkan taraf kewarganegaraan.

Bayar segera atau terima notis bankrap, kata Mahfuz pada Sanusi

Malaysiakini

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor diminta segera membayar saman fitnah sebanyak RM120,000 berserta kos tambahan atau notis kebankrapan akan difailkan terhadapnya, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Mahfuz Omar.

Mahfuz berkata sekiranya Muhammad Sanusi terus melengahkan bayaran saman itu, dia akan berbincang dengan peguam dalam tempoh terdekat termasuk menyita aset menteri besar itu.

"Saya kena minta peguam saya untuk bertindak membuat tuntutan itu atau saya akan tunggu nasihat daripada peguam sama ada nak failkan kebankrapan ke atasnya atau sita harta beliau yang berjumlah RM120,000," katanya pada sidang media di Alor Setar semalam, seperti lapor BH.

Mahfuz berkata alasan Muhammad Sanusi meminta dia berurusan dengan peguamnya adalah tidak relevan kerana Menteri Besar itu sudah menangguhkan bayaran saman itu lebih dua minggu.

Katanya, Muhammad Sanusi sepatutnya tidak perlu menunggu lebih daripada tempoh itu kerana perlu mematuhi keputusan mahkamah.

"Kalau dia (Sanusi) nak memindahkan wang itu terus ke akaun saya iaitu RM120,000 campur RM15,000 iaitu kos mahkamah dan RM10,000 kos guaman, jadi keseluruhan RM145,000.

"Beliau boleh pindahkan terus secara dalam talian dan kongsi di WhatsApps, kemudian buat permohonan maaf. Jadi selesai.

"Tak perlu lagi melalui peguam dengan peguam, apabila sudah lebih tempoh 14 hari saya kena minta peguam saya bertindaklah," katanya.

Pada 9 Oktober 2019, bekas ahli parlimen Pokok Sena itu memfailkan saman terhadap Muhammad Sanusi berhubung hantaran melalui akaun Facebooknya pada 30 Julai tahun sama yang mengaitkan dia dalam isu pemindahan premis judi ke kawasan itu.

Pada 3 April lalu, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah berkenaan selain Mahfuz memohon menaikkan saman terbabit daripada RM50,000 kepada RM120,000.

Bila Mahathir ketik jari, bergegas datang Hadi

Mohsin Abdullah

Saya petik dialog satu babak filem komedi Tiga Abdul. Berkata lah anak bongsu saudagar barang-barang purba, Sadiq Segaraga, iaitu Ghasidah (lakonan Sarimah) kepada Abdul Wahub (laporan P Ramlee): “Sekali di sini ketik sepuluh yang datang tau.”

Saya kira begitu juga lah kisahnya dengan Mahathir Mohamad. Sekali beliau ketik bergegas Hadi Awang, presiden PAS, bersama rombongan datang mengadap, untuk menyokong apa yang dinamakan Proklamasi Melayu.

Rasanya ramai tahu pertama kali Mahathir mengumumkan proklamasinya itu pada Mac lalu. Walaupun mendakwa tanpa bukti hasrat menganjurkan himpunan
proklamasi itu disekat, sambutan terhadap agenda itu agak dingin termasuk daripada PAS. Ringkasnya parti itu tidak mengeluar sebarang reaksi.

Beberapa hari lalu Mahathir berkicau menerusi Twitter yang membawa makna rakyat tidak perlu takut dengan pengaruh Gelombang Hijau.

Catatan beliau saya ibaratkan Mahathir mengetik jari. Lima hari kemudian Hadi diiringi antaranya Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan. Lantas teringat kata-kata Ghasidah dalam filem Tiga Abdul yang diperkatakan tadi.

Hadi menyifatkan sokongan yang diberikan sebagai kembali kepada prinsip asal perjuangan Islam. Kata saya cuma sokongan berkenaan diberi selepas Mahathir memuji Gelombang Hijau yang kita tahu kemenangan besar PAS di wilayah utara dan pantai timur Semenanjung pada PRU15. Adakah satu kebetulan? Tak apa lah.

Saya lanjut dengan mengulangi pendapat pemerhati politik yang saya utarakan pada artikel 29 April lalu, yakni mereka percaya Mahathir sedang menunjukkan sokongan kepada apa dan siapa sahaja asalkan bukan Anwar Ibrahim.

Semalam FMT memetik penganalisis politik berkata Mahathir menghimpunkan kumpulan anti-Anwar melalui proklamasi itu. Menurut Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, menghimpunkan kumpulan anti-Anwar akan mengkukuhkan pengaruh pembangkang dalam kalangan pengundi Melayu terutama di Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

Namun bagi Ibrahim Ali, politikus yang pernah menyokong Mahathir, menentangnya dan sokong semula, sukar bagi Mahathir mengetuai rancangan menjatuhkan kerajaan dan percaya pertemuan Mahathir–Hadi “bukan bersifat gerakan politik”.

James Chin dari Universiti Tasmania pula dipetik FMT berkata kumpulan anti-Anwar yang dihimpunkan Mahathir sememangya mempunyai matlamat sama dan mereka boleh uji kekuatan semasa pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

Percubaan menggulingkan Anwar dan kerajaan perpaduan tidak ada salahnya jika menggunakan lunas demokrasi. Yang menjadi masalah ialah percubaan merampas kuasa ala Langkah Sheraton. Diharapkan Mahathir tidak terlibat dalam apa-apa usaha ala langkah itu. Sehingga sekarang ada pihak yang masih yakin beliau ada peranan dalam Langkah Sheraton Februari 2020 meskipun Mahathir menafikannya.

Sekarang ada desas-desus komplot untuk jatuhkan kerajaan tanpa menerusi peti undi sedang diatur dan dikatakan akan dijalankan. Ertinya merampas kuasa sekali lagi melalui pintu belakang atau tebuk atap versi 2.0. Adakah ini benar atau sekadar cakap-cakap kosong?

Ada pihak yang seolah seronok melihat tercetusnya tanda tanya. Misalnya teka teki pemimpin Bersatu, Faiz Na’aman, dengan hantaran di Facebook mengenai angka 126.

“Wartawan tanya saya pasal 126 tu. Saya sebut maaf tiada komen. ‘Just wait and see’. Saya juga tak pernah cakap itu nombor apa. Tapi dulu Anwar pun selalu sebut ‘I have the numbers’,” katanya dipetik Malaysiakini. Maka timbullah spekulasi demi spekulasi.

Presiden Umno, Zahid Hamidi, beberapa kali menegaskan Ahli Parlimen dari partinya akan terus sokong Anwar dan kerajaan perpaduan. Ramai yang pro-kerajaan saban hari mengingatkan kita rampasan kuasa atau tukar kerajaan sekarang akan memudaratkan negara. Walaupun apa yang dikatakan itu benar tetapi apabila peringatan kerap diulangi saya tidak dapat elak daripada bertanya, “kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang.”

Mungkinkah mereka tahu apa yang kita tidak tahu?

Dalam pada itu FMT menyiarkan laporan tempoh hari dengan memetik sumber berkata Istana Negara tidak akan melayan sebarang dakwaan oleh mana-mana pihak bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah kehilangan sokongan majoriti.

Sumber itu memberitahu portal berita ini perubahan secara mendadak mungkin tidak berlaku sambil menambah “sebarang percubaan untuk menukar kerajaan menerusi Istana tidak akan berlaku.”

Dan “jika hendak ubah kerajaan ia mesti dilakukan sama ada melalui undi tidak percaya atau pembubaran Parlimen.”

Tampil Sultan Johor. Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyuarakan kebimbangan desas-desus gerakan cuba menggagalkan kestabilan kerajaan selepas PRU15. Titahnya gerakan ke arah itu terus kedengaran sehingga ke hari ini.

“Sudah sudahlah.Sampai bila lebih 30 juta rakyat hendak menanggung keadaan begini? Ekonomi perlu dipulihkan, kesejahteraan dan kemakmuran negara mesti diutamakan,” titahnya menerusi akaun rasmi Facebook baginda.

Memang tepat apa yang dititahkan tetapi adakah gerakan tumbangkan kerajaan akan terhenti dengan bertitahnya Sultan Johor?

Logik atau afdalnya tidak harus diganggu gugat kerajaan yang ada ini kerana ia ditubuhkan atas nasihat Yang di-Pertuan Agong demi kebaikan negara. Namun logik dan afdal sering diketepikan demi jalan pintas untuk mendapat kuasa, meskipun menyusahkan rakyat dan memudaratkan negara.

Pendapat saya si pengkomplot akan terus berkomplot. Saya harap saya salah dalam membuat kesimpulan ini.

Khalid Samad: 'Lepas akaun bank Abah dibeku, PAS cari Atok pula'

Malaysiakini 

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad membayangkan seakan ada motif tersembunyi di sebalik keputusan PAS untuk bertemu dengan musuh lama Dr Mahathir Mohamad.

"Mungkin benar apa yang dikatakan oleh budak-budak netizen, PAS kini mencari sumber kewangan baru untuk membiayai partinya.

"Selepas akaun bank Abah dibeku, mungkin kini PAS mencari Atok pula yang dananya masih banyak dalam akaunnya, tanpa mengira berapa harga yang perlu dibayar,” katanya pada satu kenyataan malam tadi.

Abah merupakan nama panggilan untuk Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin manakala akaun parti itu telah dibekukan sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah.

Akaun Bersatu didakwa digunakan untuk menerima sogokan yang kemudiannya digunakan untuk membiayai kempen Perikatan Nasional pada pilihan raya tahun lalu.

Sementara itu, Mahathir, 97, dituduh mengumpul kekayaan sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri kali pertama dahulu - satu dakwaan yang dinafikannya.

Mahathir baru-baru ini menyaman Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana membuat dakwaan sedemikian.

Rabu lalu, pemimpin tertinggi PAS termasuk Presidennya Abdul Hadi Awang bertemu dengan Mahathir untuk menandatangani "Proklamasi Orang Melayu" - dokumen yang menggesa orang Melayu bersatu untuk "menyelamatkan" kaum mereka.

Sebelum ini, Hadi juga pernah berkongsi pentas dengan Mahathir semasa "Kongres Martabat Melayu" pada 2019.

Menjelaskan tindakannya menandatangani proklamasi itu, Hadi semalam berkata perjuangan berasaskan kaum ini tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Bagaimanapun, Khalid - yang juga bekas ahli PAS - berkata ini tersasar daripada dasar parti itu sebagai sebuah parti Islam inklusif yang merangkumi semua tanpa melihat kaum.

Lina Mukherjee didakwa hina agama Islam


LINA Mukherjee (kanan) hadir di Balai Polis Sumatera Selatan kelmarin.-AGENSI
JAKARTA: Bahagian Siasatan Jenayah Khas Polis Wilayah Sumatera Selatan menamakan pempengaruh, Lina Mukherjee sebagai suspek dakwaan mempersendakan agama Islam melalui video aksinya memakan babi di laman TikTok baru-baru ini.

Pengarah Siasatan Jenayah Khas, Komisioner Agung Marlianto berkata, penentuan pendakwaan adalah mengikut prosedur dan undang-undang negara.

Malah, Agung berkata, polis turut memanggil tiga pakar dalam bidang maklumat dan transaksi elektronik; bahasa serta undang-undang jenayah untuk menganalisis kandungan video yang dimuat naik Lina.

Lina yang beragama Islam tular di media sosial kerana memuat naik video di TikTok menunjukkan dia memakan hidangan kulit babi atas alasan didorong rasa ingin tahu.

Wanita Indonesia itu diburu pihak berkuasa selepas didakwa menghina Islam kerana memakan kulit babi berkenaan sambil membaca Bismillah.

Difahamkan, selepas video Lina tular, seorang peguam bernama M. Syarif Hidayat membuat laporan polis dan Majlis Ulama Indonesia (MUI) Sumatera Selatan pada 18 April lalu turut mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan itu.

Lina hadir di balai polis dengan memakai baju hijau dan seluar putih ditemani dua pembantunya namun enggan mengulas ketika cuba ditemu ramah wartawan.

Lina tidak hadir ketika dipanggil memberi keterangan bulan lalu namun akur dengan panggilan kedua semalam selepas polis memaklumkan akan mengambil tindakan tegas jika tiada sebarang respon diberikan wanita itu.-AGENSI
-utusanonline

‘Tak bosan ke pembangkang setiap hari berangan kembali berkuasa’

MALAYSIA DATELINE

Tak bosankah pembangkang setiap hari berangan kembali berkuasa? Itulah pertanyaan yang keluar dari mulut Prof. Dato’ Dr. Mohammad Agus Yusoff yang juga merupakan Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom).

Kelmarin, apabila ahli MPT Bersatu memberi bayangan angka ‘126’ dalam satu hantaran di Facebooknya, ahli politik kecoh dengan mengaitkan angka itu sebagai jumlah ahli parlimen yang akan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Saya bertanya, tidak bosankah pemimpin pembangkang setiap hari berangan untuk kembali berkuasa?

Masa berkuasa 33 bulan dahulu pun gagal sehingga rakyat terpaksa menaikkan bendera putih, dan sekarang ini hendak cuba tebuk atap 2.0 pula.

Jika hendak uji pengaruh, pergi ke lantai dewan dan buat undi tidak percaya. Jika tidak yakin untuk melakukannya, nasihat saya terimalah realiti PN itu adalah pembangkang.

Cukuplah bermimpi ke Putrajaya, fokus dahulu kepada usaha untuk membangunkan negara. Rakyat mahukan kestabilan dan kemajuan ekonomi. Kalau kerap berpolitik begini, pelabur pun segan untuk datang.

Saya tidak faham dengan pembangkang ini. Jika PMX yang bercita-cita untuk menjadikan Malaysia negara bebas rasuah pun hendak ditumbangkan, apa lagi yang boleh diharapkan dengan orang politik ini, terutamanya yang mendakwa memperjuangkan Islam.

Cukuplah apa yang berlaku sebelum ini. Bagi ruang kepada PMX uruskan negara. Tunggulah PRU 16 supaya kita serahkan semula mandat kepada 20 juta pengundi untuk membuat keputusan. Itu lebih absah.

Kembali kepada angka 126, boleh jatuhkah kerajaan perpaduan ini? Saya baharu selesai membaca monograf terbaharu Kai Otswald yang diterbitkan oleh ISEAS pada 2 Mei 2023 bertajuk Why Malaysia’s Unity Government will (probably) survive?

Dapatan beliau hampir sama dengan pandangan saya. Sukar jikapun tidak mustahil. Ini kerana PMX dan kerajaan perpaduan mendapat sokongan daripada Raja-Raja Melayu, berhati-hati dalam mengendali hal ehwal Melayu-Islam, agenda Malaysia Madani mula meresap dalam sanubari bangsa Malaysia, PMX berkarisma dalam soal mengangkat martabat rakyat, melawan perasuah dan menoktahkan kemiskinan.

Di pihak oposisi pula, ternyata ia gagal menjadi pembangkang untuk mengkritik secara konstruktif dasar-dasar kerajaan dan menjalankan peranan semak dan imbang.

Mereka hanya berjaya mencipta kelesuan dan keresahan politik. Tetapi, jika melihat kepada keyakinannya bahawa kerajaan ini tumbang, saya katakan cara pembangkang berangan dan bermimpi, ular pun boleh keluar kaki. Nakal sungguh pembangkang.

Pekerja hotel maut terkena renjatan elektrik tiang lampu

Bernama

LABUAN: Seorang pekerja hotel maut akibat terkena renjatan elektrik dari sebuah tiang lampu jalan bervoltan tinggi di pusat bandar tengah malam tadi.

Ketua Polis Labuan, Ahmad Jawila, berkata mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Ryandeigo Roselee, 18, berasal dari Sook, Keningau, Sabah.

“Remaja itu tersentuh tiang lampu bervoltan tinggi ketika berjalan di laluan berbumbung sepanjang 50m yang berpagar dan tercampak ke laluan pejalan kaki,” katanya pada sidang media.

Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebelah tiang lampu di laluan pejalan kaki ketika ambulans tiba dan meninggal dunia di tempat kejadian pada 12.05 tengah malam.

Ahmad berkata, mangsa ditemukan oleh abangnya yang berasa tidak sedap hati selepas menyedari adiknya masih belum pulang seperti kelaziman iaitu pada 11.30 malam.

“Abang mangsa mengambil keputusan mencari adiknya dan menemukan si mati di laluan pejalan kaki dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Katanya, pemeriksaan di tiang lampu mendapati ia dalam keadaan baik dan tiada wayar hidup yang terdedah di luar tiang lampu itu.

“Kami menutup sementara laluan pejalan kaki sehingga pihak berkuasa tempatan Perbadanan Labuan dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengesahkan laluan itu selamat untuk pejalan kaki,” katanya.

Polis menasihatkan orang ramai sentiasa berhati-hati semasa berjalan berhampiran talian elektrik yang terdedah terutama dalam cuaca berkabus.

5 pegawai Sivakumar dipecat

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kontrak lima pegawai bekerja di bawah Menteri Sumber Manusia V Sivakumar sudah ditamatkan, kata sumber kementerian itu.

Sumber itu juga mengesahkan ada pegawai lain dipindah keluar dari Kementerian Sumber Manusia ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

FMT sedang mendapatkan pengesahan Sivakumar.

Bulan lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pembantu Sivakumar, namun membebaskan mereka selepas perintah reman empat hari tamat pada 17 Apr lalu.

Penahanan mereka dipercayai berhubung siasatan kelulusan kuota pekerja asing.

Sumber terdahulu memberitahu FMT, bahawa dua daripada tiga pembantu kembali bertugas, manakala seorang lagi digantung dengan bayaran.

Beberapa pihak sebelum ini mendesak Sivakumar bercuti atau meletakkan jawatan selepas beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan.

Bagaimanapun, Sivakumar bertegas tidak akan meletak jawatan, sambil menyatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga berpandangan tiada keperluan baginya untuk berbuat demikian.

Sikap kanak-kanak dari Malaysia menyentuh hati Sonny Bill, bekas atlet ragbi New Zealand

Mohamed Basyir
m.basyir@nst.com.my
SONNY bergambar bersama kanak-kanak dari Malaysia di Madinah. FOTO Twitter Sonny
SONNY bergambar bersama kanak-kanak dari Malaysia di Madinah. FOTO Twitter Sonny
Kuala Lumpur: Bekas pemain All Blacks, Sonny Bill Williams, berasa kagum dengan kerendahan hati dan sikap yang ditunjukkan oleh tiga kanak-kanak dari Malaysia ketika bertemu mereka di Tanah Suci baru-baru ini.

Berkongsi detik itu di akaun Twitternya, bekas atlet ragbi New Zealand itu berkata, satu keluarga Malaysia mendekatinya bersama tiga kanak-kanak lelaki itu untuk bergambar ketika dia menunaikan umrah di Madinah.

Selepas itu mereka bersalam mengikut cara orang Malaysia ketika bersalam dengan mereka yang lebih berusia.

"Kanak-kanak itu berjabat tangan dengan saya, memandang ke mata saya, menundukkan kepala mereka dan menyentuh belakang tangan saya dengan dahi mereka.

"Mereka mempunyai martabat, rasa hormat dan kemuliaan hati dalam nilai keluarga mereka. Ia adalah saat yang indah," tulisnya dalam laman twitternya, semalam.

Tweetnya dilihat mencecah lebih dua juta setakat 10.30 pagi hari ini dengan ramai yang memuji rasa hormat yang ditunjukkan oleh kanak-kanak lelaki itu.

Seorang warga Malaysia, @ZacZakirin13 berkata, tindakan itu mencerminkan budaya Malaysia menghormati orang tua.

Seorang lagi pengguna Twitter Malaysia @NurulChubby8 berkata, ini adalah cara yang diajar oleh ibu bapa sejak kecil.

"Terima kasih kerana mengiktiraf budaya Melayu yang indah ini dalam twitter anda," katanya.

Adun Belantik kritikal di ICU

Bernama
Adun Belantik Isa Shafie ketika ini sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) kerana jangkitan kuman pada jantung, paru-paru, dan buah pinggang. (Gambar Facebook)
ALOR SETAR: Adun Belantik Isa Shafie dilaporkan kritikal dan sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Timbalan Ketua PAS Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman, berkata Isa, 69, yang juga ahli Jawatankuasa PAS Kedah itu dimasukkan ke Hospital Sik kira-kira 7 malam tadi sebelum dibawa ke HSAH pada 4 pagi kerana mengalami jangkitan kuman pada jantung, paru-paru, dan buah pinggang.

“Menurut anak beliau, Ustaz Mohd Isa kelihatan lemah dan rebah di dalam bilik air di rumahnya di Kampung Jelutong, Sik lebih kurang pukul 1.30 tengah hari semalam sebelum dibawa ke Hospital Sik dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim.

“Keadaan kesihatannya lemah dan menurun sebelum doktor menidurkannya, saya memohon orang ramai mendoakan beliau agar sembuh dan dapat terus berkhidmat kepada rakyat Belantik,” katanya menurut Bernama.

Tarmizi yang juga Ahli Parlimen Sik, berkata pada masa ini, orang ramai tidak dibenarkan melawat Adun itu dan mengharapkan semua ahli keluarganya bersabar menghadapi ujian berkenaan.

Beliau berkata, Isa menjadi Adun Belantik selama tiga penggal dan sebelum ini menghidap penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi serta jantung.

Selamat Erdogan! Turki Temukan Ladang 'Harta Karun' Raksasa

CNBC Indonesia
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berbicara kepada pers di Pusat Koordinasi Otoritas Manajemen Bencana dan Darurat (AFAD) setelah gempa berkekuatan 7,7 melanda provinsi selatan Turkiye pada 6 Februari 2023 di Ankara, Turkiye. Otoritas Manajemen Bencana dan Darurat (AFAD) Turkiye mengatakan gempa berkekuatan 7,7 terjadi pada pukul 4.17 pagi (0117GMT) dan berpusat di distrik Pazarcik di provinsi selatan Kahramanmaras, Turkiye. Provinsi Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adiyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay, dan Kilis sangat terpengaruh oleh gempa tersebut. (Aytac Unal/Anadolu Agency via Getty Images)
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berbicara kepada pers di Pusat Koordinasi Otoritas Manajemen Bencana dan Darurat (AFAD) setelah gempa berkekuatan 7,7 melanda provinsi selatan Turkiye pada 6 Februari 2023 di Ankara, Turkiye. (Anadolu Agency via Getty Images/Anadolu Agency)
Jakarta, CNBC Indonesia - Turki berhasil menemukan ladang minyak raksasa dengan perkiraan kapasitas produksi 100.000 barel per hari. Hal tersebut diumumkan langsung oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan, Selasa (2/5/2023)
Sumber daya baru tersebut telah diidentifikasi di dekat ladang minyak yang ada di daerah Pegunungan Gabar di tenggara Provinsi Sirnak.

Menurut Erdogan, ladang tersebut mampu menghasilkan lebih banyak minyak daripada ladang Turki lainnya dan akan meningkatkan kemandirian energi negara. Adapun, minyak mentah dari ladang baru tersebut sudah mulai mengalir kilang.

"Turkiye (nama resmi Turki) tidak lagi menjadi negara yang membutuhkan impor energi. Kita akan menjadi negara yang mampu menyuplai sumber daya energi," tegasnya, dikutip TASS.

Dia mengatakan Turki menghargai kemandirian energi dan ingin melakukan diversifikasi dari impor, yang digunakan untuk menutupi hampir semua konsumsi domestiknya. Negara tersebut saat ini sangat bergantung pada pasokan minyak dan gas dari Rusia, Azerbaijan, Iran, Nigeria, dan Aljazair, serta impor gas alam cair (LNG) dari Qatar dan AS.

Pada Desember lalu, Erdogan mengungkapkan penemuan ladang minyak di Provinsi Sirnak, dengan cadangan sekitar 150 juta barel, dan diperkirakan bernilai US$ 12 miliar.

Sejatinya, Turki telah meningkatkan ambisi minyak dan gasnya dalam setahun terakhir. Pada Januari, negara tersebut menyegel kesepakatan jangka panjang dengan Bulgaria, yang memungkinkan negara Balkan tersebut mendapatkan akses ke terminal LNG Turki.

Pada Januari, Ankara meningkatkan perkiraan cadangan gas alam negara itu di Laut Hitam. Menteri Energi Fatih Donmez mengatakan pada saat itu bahwa cadangan terbukti saat ini akan memenuhi permintaan domestik selama 30 tahun ke depan, sementara penemuan baru di Laut Hitam akan memperpanjang swasembada pasokan gas ini lebih lama lagi.

Dr M himpun kumpulan anti-Anwar melalui ‘Proklamasi Melayu’?

Lynelle Tham
Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti itu menandatangani ‘Proklamasi Melayu’ selepas pertemuan dengan Dr Mahathir Mohamad. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Penandatanganan “Proklamasi Melayu” Dr Mahathir Mohamad oleh beberapa pemimpin pembangkang adalah usaha untuk mengumpulkan mereka yang menentang Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelang PRN, kata penganalisis.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, menghimpunkan kumpulan “anti-Anwar” akan mengukuhkan pengaruh pembangkang dalam kalangan pengundi Melayu.

“Dengan Proklamasi Melayu ini, pembangkang dapat memupuk sentimen Melayu terutama dalam kalangan penyokong tegar mereka di Kelantan, Terengganu dan Kedah,” katanya kepada FMT.

James Chin dari Universiti Tasmania turut bersependapat dan berkata Mahathir hanya mengumpulkan kumpulan “anti-Anwar” bagi menunjukkan betapa kuatnya mereka apabila bersatu.

“Mereka semua berkongsi matlamat yang sama iaitu menjatuhkan Anwar. Mereka boleh menguji kekuatan ini semasa berlangsungnya PRN di enam negeri akan datang,” katanya.

Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti itu dilaporkan menandatangani proklamasi berkenaan selepas mengadakan pertemuan dengan Mahathir.

Tiga pemimpin Bersatu – Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu, Ketua Penerangan Razali Idris dan Ahli Majlis Tertinggi Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid – juga telah menandatangani dokumen itu atas kapasiti peribadi mereka.

Minggu lalu, Mahathir, yang sebelum ini pernah mengkritik PAS, berkata rakyat tidak perlu takut dengan pengaruh “gelombang hijau” Perikatan Nasional, sambil menunjukkan bahawa Malaysia menyaksikan pembangunan pesat apabila ia ditadbir oleh kerajaan majoriti Melayu selama 60 tahun.

Sementara itu, Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata seseorang perlu berhati-hati apabila menandatangani proklamasi kerana ia boleh membawa kepada percubaan untuk menggulingkan kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan perpaduan tidak sepatutnya menjadikan perkara itu satu kebimbangan kerana bukan mudah untuk mengulangi Langkah Sheraton.

“Situasi hari ini berbeza kerana kini terdapat undang-undang anti-lompat parti dan memorandum persefahaman yang ditandatangani oleh parti komponen dalam kerajaan perpaduan,” katanya.

Exco Terengganu terbabit kemalangan

Rosli Ilham
am@hmetro.com.my
KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan di Kilometer 127.7, Lebuh Raya Pantai Timur2, dekat Temerloh Petang tadi.  FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan di Kilometer 127.7, Lebuh Raya Pantai Timur2, dekat Temerloh Petang tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Kemaman: Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Hanafiah Mat terbabit dalam kemalangan di Kilometer 127.7, Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT 1) arah Kuantan, dekat Temerloh, petang tadi.

Bagaimanapun, Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai bersama pemandunya, Mohd Zubaidi Zahari, 33, serta dua lagi penumpang kenderaan itu hanya cedera ringan.

Mohd Zubaidi berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 4.20 petang ketika mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk pulang ke Kemaman.

Menurutnya, dalam perjalanan itu, dia yang memandu kereta Land Rover itu berada di lorong sebelah kanan sebelum sebuah lori membawa muatan buah-buahan secara tiba-tiba memasuki lorong yang sama.

"Ia menyebabkan kenderaan yang saya pandu hilang kawalan lalu terbalik," katanya ketika dihubungi malam ini.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan dia dan kesemua penumpang cedera dan Hanafiah mendapat rawatan di Kuantan Medical Centre.

Sementara itu, Hanafiah bersyukur terselamat dalam kemalangan itu dan dan hanya lebam di bahagian paha.

Pesakit meninggal dunia kerana jururawat tutup bunyi monitor

Agensi

Sydney: Malang nasib pesakit berusia 85 tahun yang meninggal dunia akibat kecuaian jururawat bertugas yang memutuskan sambungan monitor jantungnya, untuk berhubung menggunakan FaceTime dengan keluarganya.

Mirror UK melaporkan, jururawat terbabit, Geraldine Lumbo Dizon bertugas syif malam di Hospital Swasta Nepean di Kingswood, Sydney, pada 29 Julai, dan mematikan bunyi monitor selepas menerima panggilan daripada keluarganya.

Tribunal Rayuan Sivil dan Pentadbiran New South Wales mendapati Dizon gagal memberi amaran kepada doktor mengenai degupan jantung yang tidak teratur sebelum kejadian.

Dalam prosiding perbicaraan, jururawat itu didapati bersalah atas salah laku.

Dizon juga didapati gagal memberi rawatan kepada pesakit lelaki itu, yang mengalami kegagalan buah pinggang dan jantung, semasa dia melayan panggilan berkenaan.

Selepas syifnya tamat, petugas perubatan berasa buntu dengan kesihatan pesakit terbabit yang merosot kerana Dizon gagal memasang semula monitor berkenaan.

"Pada 7.07 pagi, 30 Julai 2021, pemantau jantung menunjukkan Pesakit A mengalami bradikardia atau degupan jantung perlahan.

"Kakitangan jururawat dan perubatan tidak dapat mendengar penggera kerana pembesar suara penggera telemetri masih diputuskan," lapor tribunal dalam keputusan akhirnya.

Dalam pengakuannya, Dizon memberitahu bahawa dia bertindak mematikan bunyi itu bagi mengelak pesakit salah sangka ia adalah bunyi loceng.

Difahamkan, pesakit terbabit ditemukan meninggal di atas katilnya, kira-kira 10 minit kemudian.

Dizon sepatutnya kerap memeriksa pesakitnya tetapi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia hanya melakukannya sekali saja pemeriksaan dalam 10 jam.
-hmetro 

Sudahlah, Sultan Johor ‘tegur’ gerakan gugat kestabilan kerajaan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyuarakan kebimbangan terhadap desas-desus gerakan cuba menggagalkan kestabilan kerajaan selepas berakhirnya PRU15.

Titahnya, gerakan ke arah itu terus kedengaran sehingga ke hari ini.

“Sudah-sudahlah. Sampai bila lebih 30 juta rakyat Malaysia hendak menanggung keadaan sebegini? Ekonomi perlu dipulihkan, kesejahteraan dan kemakmuran negara mesti diutamakan,” titahnya dalam akaun rasmi Facebook baginda.

Baginda bertitah, rakyat sudah menyuarakan suara mereka dengan memberi undi kepada 222 wakil rakyat, namun gerakan menggugat kestabilan kerajaan dianggap “tidak sihat” kepada segenap rakyat. 

“Rakyat telah menaruh harapan tinggi dalam PRU15 lalu, dan telah memberi undi mereka kepada 222 wakil rakyat untuk mengembalikan kestabilan politik negara.

“Namun, sehingga kini, 222 Ahli Parlimen ini masih tidak dapat bersepakat sehingga ada gerakan yang cuba menggagalkan kestabilan yang sedang dibina. Keadaan sebegini adalah tidak sihat untuk semua lapisan negara kita, baik dari segi sosial,
ekonomi mahupun kedudukan kita di peringkat antarabangsa,” titanya.

Awal hari ini, FMT memetik sumber, menyatakan bahawa Istana Negara tidak akan melayan sebarang dakwaan oleh mana-mana pihak bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah kehilangan sokongan majoriti.

Sumber itu, yang enggan namanya disiarkan, memberitahu FMT bahawa perubahan kerajaan secara mendadak mungkin tidak berlaku, sambil menambah, “sebarang percubaan untuk menukar kerajaan menerusi Istana tidak akan berlaku”.

“Jika hendak ubah kerajaan, ia mesti dilakukan sama ada melalui undi tidak percaya atau pembubaran Parlimen,” kata sumber.

Terkejut bunyi letupan bunga api, bayi 38 hari meninggal dunia


ASTUNGGAL memohon maaf berhubung insiden yang berlaku dan menegaskan dia tidak mempunyai niat untuk mengganggu jiran tetangga. - AGENSI
GRESIK: Seorang bayi berusia 38 hari meninggal dunia, dipercayai terkena serangan sawan akibat terkejut bunyi kuat bunga api yang dipasang di Benjeng, Gresik Sabtu lalu.

Insiden itu bermula apabila seorang penduduk, Astunggal, 53, memasang bunga api bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Disebabkan bunyi kuat, bayi yang baru lahir, yang merupakan anak jirannya dipercayai terkena sawan kerana bunyi kuat.

Bayi itu kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum meninggal dunia beberapa hari selepas itu.

Sehubungan itu, Astunggal memohon maaf kepada keluarga bayi berkenaan berikutan insiden yang berlaku.

Lelaki itu menceritakan, dia berkumpul bersama keluarganya ketika hari raya pertama di rumah mereka.

Katanya, cucu dan anak buahnya ada membawa bunga api untuk dipasang bagi memeriahkan suasana.

“Saya tiada niat untuk mengganggu jiran tetangga. Kami hanya memeriahkan suasana raya.

“Saya juga tidak sangka hal seperti ini boleh berlaku.

“Saya sedia memohon maaf kepada keluarga jiran jika mereka beri saya peluang untuk berbuat demikian,” katanya.

Polis memberitahu, jarak rumah Astunggal dengan jirannya dianggarkan sejauh 15 hingga 20 meter.

Selain itu, beberapa jiran sekitar turut memasang mercun dan bunga api pada hari kejadian.

Sementara itu, wakil keluarga bayi berkenaan menyatakan, mereka hanya mahu Astunggal memohon maaf secara ikhlas berhubung insiden yang berlaku.

Bertaubatlah dan akui terlanjur, nasihat Mujahid kepada Ustaz Ahmad Dasuki

Malaysiakini
TH 'jual' aset: Bertaubatlah dan akui terlanjur, kata Mujahid

Sehari selepas rayuan saman ke atasnya ditolak mahkamah Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof mengingatkan pihak tertentu yang giat menyebarkan dakwaan kononnya Lembaga Tabung Haji (TH) menjual asetnya kepada orang bukan Islam.

Mujahid yang pernah menjadi menteri bagi hal ehwal Islam selepas PRU ke-14 pada 2018 lalu berkata, fitnah tersebut sudah tersebar dengan sangat meluas dan menyebabkan kebencian.

Pihak terbabit, katanya, seperti tidak mengendahkan persoalan dosa dan pahala, serta nasib yang menimpa pihak yang difitnah.

Dia juga menegaskan persoalan yang dibangkitkan itu bukan membabitkan dirinya secara peribadi sebaliknya melibatkan pihak yang lebih ramai dan meluas.

"Bukan soal saya tapi persoalan umat. Pohon maaflah kepada TH milik umat ini, beristighfarlah kepada Allah dan taubatlah," katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Mengiringi kenyataan itu ialah rakaman audio Mujahid mengulas mengenai keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.

Pada Feb 2020 lalu bekas Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Selangor Ahmad Dusuki Abd Rani mendakwa langkah diambil TH untuk memindahkan hak milik empat hotel agensi itu sebagai suatu "pengkhianatan besar" dan jahat terhadap umat Islam di negara ini.

Menganggap langkah berkenaan - yang diambil kerajaan PH ketika itu sebagai menstrukturkan semula TH - sebagai "tidak logik", Ahmad Dusuki juga mendakwa ia akan dikenang orang ramai sehingga ke liang lahad.

“Ni tengok bagaimana jahatnya yang dilakukan ini. Yang tanggung ini, kamu kena tanggung sampai di akhirat Allah SWT. Jangan main-main... harta orang Islam kan ni?

“[...] Yang ni, kalau orang sebut, sampai masuk dalam kubur orang sebut. Orang sebut sampai masuk dalam kubur,” katanya dalam satu rakaman ceramah yang disiarkan di saluran YouTubenya.

Rayuan saman ditolak mahkamah

Kira-kira lima bulan kemudian - apabila PAS bersama PN menjadi kerajaan selepas Langkah Sheraton - Ahmad Dusuki menyatakan kesyukurannya terhadap prestasi TH yang mencatat lebihan aset bernilai RM1.9 bilion.

Untuk rekod menteri agama dan timbalannya ketika itu disandang oleh pemimpin PAS.

“Alhamdulillah di atas nikmat yang Allah berikan pada kita.

“Semoga TH lebih berdaya saing untuk masa akan datang selain (dapat digunakan) kerajaan untuk meningkatkan ekonomi ketika negara kita dihimpit wabak Covid-19,” katanya.

Ahmad Dusuki pada 2022 mengemukakan saman ke atas Mujahid selepas dia menganggap ciapan pemimpin Amanah itu bersifat memfitnahnya. Bagaimanapun hakim di Mahkamah Sesyen Shah Alam menolak saman Ahmad Dusuki.

Bekas calon PAS dalam PRU ke-14 itu juga diarah membayar RM11,000 sebagai kos kepada Mujahid.

Ahmad Dusuki kemudian membuat rayuan berhubung penolakan tersebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Sekali lagi permohonan tersebut ditolak oleh mahkamah semalam.

Ahmad Dusuki kemudian diarah membayar kos guaman Mujahid sebanyak RM7,000.

Kata Mujahid dengan terbuktinya dakwaan dibuat ke atas TH sebelum ini adalah fitnah, wajarlah mana-mana pihak yang membuat tuduhan serta menyebarkannya bertaubat.

"Istighfarlah kepada Allah dan bertaubatlah, akuilah para penyebar (bahawa) anda terlanjur kerana Allah Maha Pengasih," katanya.

Tambah bekas ahli parlimen Parit Buntar itu lagi, keputusan mahkamah tinggi semalam juga berjaya mengembalikan maruah TH yang berdepan dengan pelbagai tuduhan sebelum ini.

“Hentikanlah fitnah politik ini yang terbukti ia suatu pembohongan besar dalam sejarah TH.

“Kemenangan ini mengembalikan semula maruah TH dan umat Islam,” katanya.

“Malu dapat sakit pun dapat”, netizen bantai gelak tengok Mat rempit jatuh tertiarap masa buat ‘wheelie’

KIM SYAZIE

“Malu dapat sakit pun dapat!”. Aksi seorang penunggang motosikal yang jatuh tertiarap di atas jalan raya ketika sedang merempit tular di media sosial.

Mana tidaknya, lelaki tersebut dilihat menunggang motosikal secara berbahaya sambil membuat aksi ‘wheelie’ bagaikan seperti ingin menunjukkan kehebatannya kepada khalayak ramai.

Dalam video berkenaan, lelaki itu kelihatan memotong beberapa kenderaan di sebelah kiri dan setibanya di persimpangan sebuah lampu isyarat, dia sekali lagi memotong sebuah kenderaan di hadapannya dan mula memecut laju.

Namun, malang tidak berbau bagi dirinya apabila hilang kawalan dan terus jatuh tertiarap ke atas jalan raya.

Video kemalangan tersebut ada dikongsikan seorang pengguna media sosial Joekim Mako melalui laman Facebook JB TRACER: Johor Bahru Traffic, Crime & Community Service Report.

“Kombo, cuma belum dapat ‘surat cinta’ dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT),” tulisnya

Difahamkan kejadian itu berlaku pada pukul 4.30 petang Isnin berdasarkan cacatan data kamera papan pemuka (Dashcam) kenderaan yang merakam kejadian tersebut.

“Tunjuk lagak tak kena gaya, malu dapat dan sakit pun dapat,” tulisnya.

Dalam video berdurasi kurang seminit itu, lelaki berkenaan dipercayai mengalami kecederaan di kaki memandangkan dia dilihat berjalan dalam keadaan berjengket dan terus mengalihkan motosikalnya ke sebelah kiri jalan raya tersebut.

Namun begitu, setakat berita ini ditulis, tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian itu berlaku.

Penunggang motosikal maut dipanah petir

Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my
KEADAAN mangsa yang ditemukan di tepi jalan oleh orang awam. FOTO Ihsan Pembaca.
KEADAAN mangsa yang ditemukan di tepi jalan oleh orang awam. FOTO Ihsan Pembaca.
Kuala Langat: Lelaki ditemukan tidak sedarkan dipercayai dipanah petir di tepi jalan di Kampung Seri Cheeding, Sungai Jarom di sini, semalam.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja pada jarak kira-kira 16 kilometer dari lokasi terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 6.31 petang.

"Siasatan awal mendapati, mangsa seorang lelaki warga tempatan dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di Bandar Mahkota Banting dengan menunggang motosikal.

"Ketika melalui jalan dari Jambatan Rimbayu ke Ladang Teh Seri Cheeding kira-kira 6.20 petang, mangsa terkena panahan petir lalu terjatuh dari motosikal

"Mangsa terjatuh sejauh 50 meter ke hadapan dan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, orang awam yang menemui mangsa membantu mengangkat mangsa ke tepi jalan, dan menghubungi MERS 999.

"Siasatan mendapati, mangsa berusia 50 tahun cedera di bahagian leher kanan serta lebam di bahagian perut dan paha akibat panahan petir.

"Terdapat juga luka di dagu dan lutut mangsa akibat jatuh dari motosikal. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati terdapat dua lubang kesan panahan petir di atas jalan raya di lokasi kejadian.

"Tiada unsur jenayah pada fizikal badan mangsa dan lokasi kejadian.

"Bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat panahan petir dan polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial sejuk malam tadi beberapa gambar mangsa yang terbaring di tepi dengan kapsyen dipanah petir.

Ibrahim Ali sangsi Dr M mampu jatuhkan kerajaan

Nora Mahpar

PUTRAJAYA: Presiden Putra Ibrahim Ali sangsi dengan kemampuan Dr Mahathir Mohamad merancang menjatuhkan kerajaan, sambil percaya pertemuan bekas perdana menteri itu bersama Abdul Hadi Awang bukan bersifat “gerakan politik”.

Selain menggambarkan Mahathir tiada “locus standi” untuk menyingkirkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kerana bukan Ahli Parlimen, Ibrahim berkata perjumpaan dua tokoh itu menjurus memberi “kesedaran kepada orang Melayu”.

Ibrahim merujuk kepada Proklamasi Orang Melayu yang dibawa Mahathir.

“Usaha nak jatuhkan kerajaan ni (kalau) Tun M sendiri masih Ahli Parlimen, ada parti…ini (sekarang) apa locus standinya?” katanya mengulas pertemuan Mahathir dan Hadi malam tadi.

Terdahulu, Berita Harian melaporkan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad, mendakwa pertemuan Mahathir dan Hadi itu sebagai “kesepakatan ahzab”, yang boleh menjatuhkan kerajaan.

“Pakatan ini bolehlah saya namakan ‘kesepakatan ahzab’ kerana kesepakatan untuk memporak-perandakan negara dengan menjatuhkan kerajaan yang sah,” katanya menurut laporan itu.

Ibrahim yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, beliau tidak mengetahui ada gerakan menjatuhkan kerajaan.

“Saya tak tahu apa-apa apa (gerakan jatuhkan kerajaan), tetapi yang saya tahu baru-baru ini Annuar Musa (bekas pemimpin Umno) dan semalam Hadi datang jumpa Tun M hanya untuk beri sokongan kepada Proklamasi Orang Melayu yang Tun M usahakan. Itu saja,” katanya.

Proklamasi Orang Melayu digerakkan Mahathir secara dalam talian, selepas lokasi untuk mengadakan perhimpunan mengenainya dibatalkan sebanyak dua kali.

Pada 27 Mac lalu, Sekretariat Proklamasi Orang Melayu dalam kenyataan, berkata kempen itu akan dilakukan secara berterusan agar sampai kepada semua orang Melayu yang cintakan negara.

Pada 19 Mac lalu, Mahathir menuduh kerajaan Anwar bersikap “diktator” selepas dua kali program itu dibatalkan.

Walaupun mengakui beliau tiada bukti siapa yang mengarahkan acara itu dibatalkan, namun Mahathir yakin Anwar adalah dalangnya.

Penganjur sebelum ini juga dilaporkan berkata, Proklamasi Orang Melayu bukan bersifat politik, sebaliknya hanya membincangkan isu berkaitan komuniti Melayu.

Ibrahim menambah, pertemuan antara Mahathir dan Hadi itu tertangguh dua kali sebelum ini, ekoran kesihatan Mahathir yang tidak mengizinkan.

JAIPs sanggah Wadi Annuar – “Dia hilangkan diri tanpa sebarang makluman”

NASUHA RAHMAN

Jabatan Hal Ehwal Agama Perlis (JAIPs) menyanggah dakwaan Ustaz Mohamad Wadi Annuar kerana gagal memberikan kerjasama sepertimana yang ditetapkan oleh JAIPs.

Pengarah JAIPs Najmuddin Abdul Karim memaklumkan bahawa Wadi Annuar telah hadir ke JAIPs pada 2 Mei 2023 setelah dipanggil bagi tujuan siasatan.

Walaubagaimanapun menurut beliau kenyataan Wadi gagal diambil kerana beliau keluar dari bilik siasatan dan menghilangkan diri tanpa sebarang makluman.

Kenyataan Wadi Annuar bertarikh 2 Mei 2023 adalah jauh tersasar dari realiti sebenar yang berlaku di JAIPs.

Berdasarkan pertemuan itu, Wadi gagal memberikan kerjasama sepertimana yang ditetapkan oleh JAIPs dan jabatan ini akan meneruskan kes berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada yang sedang berkuatkuasa dalam Negeri Perlis.

Untuk makluman pendakwah itu didakwa mengajar tanpa tauliah di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam.