Ustaz Wan Ji: Haji Hadi wajib berhenti daripada takfir

Wan Ji Wan Hussin

Dalam sidang parlimen baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution memberi pesanan berkenaan bahaya amalan takfir.

Walaupun dalam ucapan tersebut tidak disebut berkenaan PAS, tidak semena-mena ahli parlimen PAS dari Jasin, YB Ustaz Zulkifli Ismail yang merupakan salah seorang Ulama PAS telah bangun menyerang menteri KDN terbabit.

Beliau menuduh ucapan menteri KDN itu sebagai mengarut dan fitnah.

Apabila diminta agar dia berikan bukti di bahagian mana mengarut dan fitnah terbabit, ternyata ulama PAS terbabit tidak dapat memberikan sebarang bukti.

Semasa sibuk dengan Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini, ada satu ucapan Ustaz Zulkifli Ismail yang menyatakan bahawa akidah ahli al-Sunnah wa al-Jamaah hanya daripada PAS sahaja.

Selain PAS, digambarkan mereka seperti bukan daripada ahli al-Sunnah wa al-Jamaah sebagai aliran mazhab yang menjadi rujukan rakyat Malaysia.

Terkini, tersebar pula satu kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Ustaz Zulkifli Ismail dalam buku beliau yang bertajuk “Ancaman bahaya sekularisme.”

Dalam buku itu, Zulkifli melakukan amalan takfir pada tulisan beliau di muka surat 291:

“Mematuhi dan mengikuti perlembagaan tersebut (persekutuan) yang merupakan undang-undang ciptaan manusia sebagai ganti undang-undang Allah adalah perbuatan syirik yang membatalkan syahadah...” (Zulkifli Ismail, 2002).

Amalan takfir pemimpin PAS bukan perkara baru. Mungkin pada tulisan ini dibawakan beberapa fakta berikut.

Pada tahun 2005, menerusi buku “Hadharah islamiyyah bukan islam hadhari”, di muka surat 61, Haji Hadi mentakfirkan Umno dan perlembagaan persekutuan dengan beliau menulis: “Adapun pengertian islam mengikut acuan perlembahaan persekutuan mengikut semangat Umno adalah agama yang difahami oleh barat, bukannya al-Din yang ditegaskan oleh al-Quran.” (Abdul Hadi awang, 2005).

Tuduhan ahli Umno murtad

Dalam buku yang sama pada muka surat 36, presiden PAS itu menuduh Umno atas nama Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Presiden Umno pada masa itu, iaitu Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) sama dengan konsep Din Ilahi (raja akhbar agung), sedangkan dalam muka surat 10 dan 11, Abdul Hadi anggap Din Ilahi sebagai menyadurkan Islam dengan agama Hindu.

Dalam tesis Phd tahun 2013 bertajuk “PAS dan era kepimpinan Ulama, 1982 – 2004” ada didedahkan takfir Haji Hadi terhadap Umno dengan beliau menyelar Umno dengan menyatakan bahawa fahaman kebangsaan Umno adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan bahawa Anwar Ibrahim (ketika itu salah seorang pemimpin Umno) telah gagal mengislamkan ahli Umno. (Kamarul Zaman, 2011).


Amanat Haji Hadi.
Dalam tesis yang sama pada muka surat 179 ke 181, dijelaskan bahawa seorang ulama PAS yang merupakan timbalan pengerusi Jemaah Pesuruhjaya PAS Kelantan bagi sesi 1978-1981, iaitu Ustaz Mustafa Abu Bakar memfatwakan bahawa ahli-ahli Umno adalah orang-orang murtad.

Bahkan pada tahun yang sama juga, keluar Amanat Haji Hadi yang terkenal dengan takfir yang dua tahun kemudiannya, iaitu tahun 1983, berlaku pilihanraya kecil di DUN Selising yang pihak jawatankuasa Penerangan Badan perhubungan PAS Kelantan mengakui bahawa mereka menyebarkan ribuan poster Amanat Haji Hadi dalam tulisan jawi dan rumi sebagai isu utama kempen dalam pilihanraya tersebut.

Amalan takfir PAS itu turut berlaku dalam ucapan dasar PAS dalam muktamar PAS kali ke-31, April tahun 1985.

Dalam ucapan terbabit terdapat tuduhan firaun bagi mereka yang meletakkan perlembagaan ciptaan manusia sebagai undang-undang tertinggi negara.

Gambar fail, peristiwa Memali.
Dengan doktrin takfir yang diperkenalkan oleh PAS sehingga membawa kepada kempen PRN Selising dan dalam ucapan dasar muktamar PAS, hampir tujuh bulan kemudian, iaitu pada bulan November tahun 1985, tercetus tragedi pertumpahan darah yang dikenali dengan tragedi Memali.

Pada 7 april 1981, Haji Hadi ada memberikan satu ucapan di Banggol Peradong, Kuala Terengganu yang terkenal dengan Amanat Hadi.

Dalam akhbar berita harian pada disember tahun 1984, Haji Hadi mempertahankan kandungan amanat beliau tersebut. Beliau ulangi pertahankan amanat tersebut dalam laporan utusan Malaysia pada Januari tahun 1986. Malahan sehingga hari ini, beliau tidak pernah tarik amanat tersebut.

Kandungan Amanat terbabit mengandungi unsur takfir terhadap sesiapa yang mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan oleh Suruhanjaya Read itu.

Gambar fail, peristiwa Memali.
Kandungan amanat tersebut, tidak jauh beza dengan satu tulisan tokoh teroris dari Mesir bernama Muhammad Abd al-Salam Faraj yang mempengaruhi pemikiran Khalid Islambuli yang bertindak membunuh Presiden Mesir ke-3, Anuar Sadat pada tahun 1981.

Dalam buku bertajuk “al-Faridhah al-Ghaibah”, Muhammad Abd al-Salam Faraj menulis: “Sesungguhnya negara ini berhukum dengan hukum kafir, walaupun majoriti penduduknya orang Islam."

"Hukum-hukum yang tertinggi terhadap orang Islam pada hari ini adalah hukum-hukum kafir, bahkan ia adalah undang-undang yang telah ditetapkan oleh orang kafir dan terlaksana kepada orang Islam" (Muhammad Imarah, 2008)

Bendung fikrah takfiri

Ternyata fikrah takfiri amat bahaya. Kalau di era salaf terdahulu, lahir gerakan khawarij yang mengkafirkan sesama muslim sehingga sanggup mengumumkan pembunuhan terhadap Saidina Ali atas alasan, kononnya Saidina Ali itu sudah terkeluar daripada Islam.

Ternyata, fikrah takfir ini memberi kesan bahaya yang hampir sama di era moden, iaitu apabila kita dapati terdapat tragedi Memali pada tahun 1986, dan tragedi pembunuhan presiden Mesir, Anuar Sadat pada tahun 1981.

Demi memastikan keamanan negara, fikrah ini wajar dibendung dan tidak boleh dibiarkan berada di Malaysia

Bunuh teman wanita, warga asing mengaku salah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki mengaku salah membunuh teman wanitanya di sebuah kondominium di Kelana Jaya selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata lelaki warga asing berusia 30 tahun itu membuat pengakuan itu susulan didakwa pada Khamis.

“Suspek direman selama 13 hari untuk siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Selangor dan mendapat arahan tuduh pada Khamis (kelmarin). Suspek mengaku membunuh teman wanitanya,” katanya menurut Harian Metro.

Pada 9 Jun, dilaporkan seorang lelaki warga India dipercayai menikam teman wanitanya sehingga 18 kali menggunakan pisau pemotong buah.

Tindakan suspek terbongkar selepas ditahan sepasukan Polis Bantuan Express Rail Link (ERL) Salak Selatan dipercayai untuk membunuh diri.

Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan hasil soal siasat dijalankan, suspek mengaku membunuh teman wanitanya berumur 40 tahun yang juga warga India antara 4 hingga 6 petang, 2 Jun lalu.

Suspek membunuh kekasihnya itu gara-gara cemburu kerana percaya wanita berkenaan mempunyai hubungan sulit dengan lelaki yang tinggal serumah dengan mereka.

Murid pakai lampin pakai buang di sekolah meningkat

Agensi

Zurich: Kebanyakan guru di sekolah Switzerland berdepan masalah murid masih memakai lampin pakai buang biarpun sudah berusia 11 tahun.

Ketua Persekutuan Perguruan Switzerland, Dagmar Rosler yang mendedahkan perkara itu berkata, pihaknya menerima banyak laporan daripada guru semakin ramai murid berusia bergantung kepada pemakaian lampin pakai buang ke sekolah bukan atas sebab kesihatan.

"Kanak-kanak akan ke sekolah seawal usia empat tahun.

"Ya mungkin ada murid masih memakai lampin kerana kanak-kanak akan pergi ke sekolah seawal usia empat tahun.

"Tetapi, apabila kanak-kanak berusia 11 tahun datang ke sekolah dengan memakai lampin, itu adalah satu trend membimbangkan," katanya kepada akhbar Switzerland, 20 Minuten.

Katanya, dalam keadaan apa pun kanak-kanak itu tidak boleh diabaikan.

"Walaupun tidak ada masalah kesihatan adalah perlu untuk berbincang dengan ibu bapa untuk menangani masalah itu dan meminta mereka bertanggungjawab," katanya.

Pakar pula berpendapat, penting membezakan sama ada trend ini adalah gangguan psikologi perkembangan atau individu yang berkaitan tidak pernah mengetahuinya.

Pakar Psikoterapi, Felix Hof juga mendapati topik itu sangat penting untuk ditangani dengan sebaiknya terutama golongan ibu bapa.

"Terdapat pelbagai sebab mengapa kanak-kanak usia sekolah rendah masih perlu memakai lampin.

"Jika ia bukan disebabkan kecacatan fizikal, tingkah laku sedemikian boleh menunjukkan pengabaian atau situasi keluarga yang sangat tertekan," katanya.
-hmetro

SPRM teliti isu Telekom minta runding terus dengan syarikat anak Tun M

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Serdang: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti isu Telekom Malaysia Berhad (Telekom) mengeluarkan surat untuk meminta kebenaran mengadakan rundingan terus dengan Opcom Sdn Bhd (Opcom) bagi pembekalan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta yang didakwa mempunyai unsur rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sekiranya ada aduan dan mempunyai asas di bawah kesalahan rasuah maka SPRM mempunyai asas untuk menjalankan siasatan.

"Kita tidak akan teragak-agak untuk menyiasat tetapi SPRM perlukan maklumat itu dahulu.

"Setakat ini saya tiada maklumat lagi mengenai perkara itu namun jika apa-apa pun sebarang maklumat sekiranya ada aduan dan mempunyai asas di bawah kesalahan rasuah kita akan menjalankan siasatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tritahunan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), di sini, hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Telekom Malaysia Berhad (Telekom) mengeluarkan surat untuk meminta kebenaran mengadakan rundingan terus dengan Opcom Sdn Bhd (Opcom) bagi pembekalan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta.

Surat berkenaan dikatakan dikeluarkan kepada Kementerian Kewangan pada 15 September 2003 yang ketika itu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala anak ketiganya, Datuk Seri Mukhriz adalah Pengarah Opcom.

Menerusi pembelaan terhadap saman difailkan Dr Mahathir, Perdana Menteri berkata, Telekom adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mana Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memegang satu saham khas yang memberikan MKD kuasa untuk menolak keputusan lembaga serta pemegang saham lain.

Polis: Penunggang lawan arus tak ditahan kerana parah

FMT Reporters
Motosikal jenis Yamaha milik suspek yang melawan arus dirampas polis untuk siasatan lanjut. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Polis sudah mengambil keterangan enam individu, termasuk penunggang motosikal lawan arus sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi di KM22.2 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) Rabu lalu.

Ketua Polis Ampang Jaya, Azam Ismail, berkata suspek adalah peniaga makanan berusia 41 tahun yang tinggal di Kajang.

Katanya, suspek dikenal pasti selepas membuat laporan berhubung kemalangan itu di Balai Polis Trafik Kajang semalam, tetapi tidak ditahan kerana cedera parah dan sukar bergerak, dengan prosedur lanjut akan diambil selepas keadaannya stabil.

“Siasatan mendapati suspek dalam perjalanan dari Ampang untuk pulang ke rumah di Kajang, tetapi tersesat dan buat keputusan memasuki jejambat Lebuhraya SUKE dengan melawan arus sehingga kemalangan berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akibat pergeseran dengan motosikal mangsa, suspek juga terjatuh dari motosikalnya menyebabkan bahu kanan dan jari kelingkingnya patah, luka di bahu kiri serta kaki kanan.

Katanya, selepas kemalangan lelaki itu terus pulang ke rumah dan hanya tahu mengenai kes tersebut selepas menonton berita di televisyen serta hebahan di media sosial.

“Sebuah motosikal jenis Yamaha dirampas bersama beberapa barang kes lain. Kedua-dua motosikal terlibat akan dihantar ke Puspakom dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut.”

Rabu lalu, motosikal Ducati ditunggang Ahmad Fadzil Omar Azzadin, 62, hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan ketika cuba mengelak sebuah motosikal melawan arus. Fadzil tercampak dan terjatuh dari jejambat lebuh raya.

Susulan itu, FMT melaporkan anak mangsa, Hafidz Ahmad Fadzil menuntut suspek memohon maaf kepada ahli keluarganya dan menjelaskan kenapa dia melarikan diri dari tempat kejadian.

Ebit Lee jawab kritikan netizen

Malaysiakini
Mondy tatu sendiri badan, pakai pendakap gigi RM15
Personaliti media sosial dan pempengaruh, Ebit Lew, hari ini memberi penjelasan secara tidak langsung untuk menafikan dia mengatur pertemuan dengan seorang wanita bertatu di Indonesia.

Memberikan penjelasan ringkas melalui TikTok bagi menjawab "fitnah" yang ada di Malaysia, Ebit muncul bersama wanita terbabit yang dikenali sebagai Mondy.

Mondy juga merupakan pempengaruh dan akaun TikTok wanita dari Indonesia itu didapati mempunyai sejuta pengikut.

Dilihat menjawab soalan seseorang yang berserban, Ebit dan Mondy menafikan pertemuan mereka di tepi jalan sebelum ini memang dirancang lebih awal.

Mondy - yang digambarkan sebagai gelandangan - memberitahu dia membuat tatu pada badannya dengan harga yang murah, bukannya mahal seperti anggapan sesetengah pihak.

Bahkan, kata Ebit, tatu berkenaan dibuat sendiri oleh Mondy.

Begitu juga, menurut personaliti yang memiliki nama sebenar Ebit Irawan Ibrahim, pendakap gigi pada Mondy, yang berharga murah.

"Dia ingat braces (pendakap gigi) tu (jenis) yang mahal macam anak saya punya.

"Di Indonesia braces tu... gigi punya tu, yang palsu yang murah," katanya.

Mondy pula menjelaskan pendakap gigi yang dipakainya itu hanya berharga Rp50,000 atau bersamaan kira-kira RM15 dan.

"Ini sudah bertahun... bertahan sampai bertahun tahun," kata Mondy.

Sejak beberapa hari lalu Ebit kembali menarik perhatian ramai apabila memuat naik pertemuannya dengan Mondy yang kelihatan berbaring di tepi jalan.

Warganet kemudian mendedahkan Mondy sebenarnya bukanlah gelandangan biasa sebaliknya mempunyai ramai pengikut di media sosial, selain kerap membuat kandungan di TikTok.

Kita bukan malaikat

Penampilan wanita muda dan ibu tunggal itu - yang dipanggil adik oleh Ebit - juga cepat menarik perhatian, antara lain kerana imej punk serta tatu pada tubuhnya termasuk di bahagian muka serta memakai pendakap gigi.

“Rezeki bertemu Mondy ibu tunggal 21 tahun di Jakarta yang menyara anak kecil 4 tahun seorang diri.

"Wajahnya penuh tatoo termasuk dalam matanya penuh tatoo. Cantik dan baik adik ni. Kehidupan anak punk jalanan.

"Dari kecil hidup susah dan di jalanan. Masa kami mula sampai Mondy asyik menangis terharu. Dia baru keluar dari rumah sewa tak mampu bayar tidur di jalanan.

“Saya tanya adik nak kerja. Dia kata ada ke orang nak ambil saya kerja? Insya-Allah kami cuba carikan," kata Ebit melalui hantaran tersebut.

Ebit juga mendakwa Mondy menangis setelah diberikan baju dan tudung, sementelah dia dikatakan mahu menjadi hamba tuhan yang baik.

"Baik adik ni. Allahuakbar,” katanya.

Dalam hantaran di Tiktok hari ini Ebit dan Mondy kemudian dinasihatkan agar banyak bersabar dengan pandangan negatif orang lain yang tidak senang dengan mereka.

Lelaki yang berbual dengan Ebit dan Mondy kemudian mendakwa kebencian orang tertentu itu adalah disebabkan kerja kebajikan yang dilakukannya.

"Kita bukan malaikat, kita bukan nabi, kita ni banyak (melakukan) salah.

"Terserah - tangan kita cuma dua Ustaz Ebit Lew, Mondy ya. Mulut orang berjuta banyaknya, tak mungkin kita dapat tutup mulut semua orang.

"Tutup saja telinga dan terus berjalan sampai jumpa dengan Allah. Terus berjalan, melangkah.

"[...] Orang yang ikhlas, dipuji tak senang hati, dibuli tak sakit hati. Orang yang ikhlas itu dipuji dia tak terbang dicaci dia tak tumbang," katanya.

Wanita tular 'catwalk' di Kota Bharu burukkan imej Kelantan, Islam

Sinar Harian
Wanita tular 'catwalk' di Kota Bharu burukkan imej Kelantan, Islam
Tindakan wanita itu disifatkan boleh menimbulkan pandangan negatif walaupun niatnya tidak diketahui secara jelas. - Gambar/ Sinar Harian
KOTA BHARU: Tindakan seorang wanita berpakaian tidak sopan sambil 'catwalk' di tengah-tengah bandar ini bukan sahaja melanggar akhlak Islam, bahkan boleh menimbulkan fitnah terhadap agama dan masyarakat, kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Jelas beliau, tindakan individu terbabit memberi gambaran yang boleh menimbulkan pandangan negatif walaupun niatnya tidak diketahui secara jelas.

“Berpakaian tak sopan itu sudah terang-terangan salah dari segi hukum, malah tindakannya pula boleh menimbulkan tuduhan, ini yang dipanggil satu penyebaran fitnah.

“Individu ini juga cuba memburuk-burukkan imej negeri dan agama apabila berpakaian tak senonoh berdekatan dengan al-Quran walaupun sekadar replika di pintu gerbang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai satu rakaman video tular di Facebook yang memaparkan perlakuan seorang wanita berjalan di Taman Hijau dan di hadapan pintu gerbang al-Quran depan Istana Balai Besar dengan berpakaian mencolok mata.

Tindakan wanita itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen.

Sementara itu, Mohamad Shukri menasihatkan umat Islam supaya mempunyai pendirian yang teguh dalam berpegang kepada ajaran agama.

“Jangan lagi dijajah dari segi pemikiran atau perasaan, sebaliknya perlu dominan dalam kehidupan ini dan tidak membiarkan pengaruh luar mendominasi kehidupan.

“Hukuman adalah langkah terakhir sebaliknya paling penting usaha dakwah dan pendidikan semua pihak yang mesti diteruskan bagi membendung perkara sebegini,” ujarnya. - Sinar Harian

Mat Sabu jalani pembedahan appendicitis

FMT Reporters

PETALING JAYA: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu akan menjalani pembedahan bagi rawatan penyakit appendicitis di Hospital Putrajaya, malam ini.

Pejabatnya dalam satu kenyataan berkata Mohamad dimasukan ke hospital hari ini untuk menjalani prosedur yang diambil atas nasihat pakar perubatan.

“Kesihatan beliau kini dalam keadaan stabil dengan pemantauan rapi.

“Atas nasihat pihak hospital, buat masa ini hanya ahli keluarga terdekat yang dibenarkan melawatnya,” katanya.

Rogol pekerja hotel di Genting Highlands, polis tahan pelancong asing

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pelancong asing ditahan bagi membantu siasatan kes rogol seorang pekerja hotel di Genting Highlands, Isnin lalu.

Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata penahanan dibuat selepas menerima laporan mangsa iaitu wanita tempatan berusia 20 tahun yang didakwa diperkosa suspek dalam kejadian 5.20 pagi, Isnin lalu.

Menurutnya, berdasarkan laporan mangsa yang dalam perjalanan ke bilik sewanya dipanggil suspek dan bertanyakan kemudahan disediakan di hotel itu.

“Kemudiannya suspek mengajak mangsa ke biliknya untuk tidur bersama namun ditolak.

“Suspek bertindak menarik tangan mangsa secara paksa dan membawanya masuk ke dalam bilik lalu merogolnya,” katanya dalam kenyataan.

Zaiham berkata, siasatan mendapati suspek adalah warga asing berusia 41 tahun yang datang ke Malaysia untuk tujuan melancong.

Katanya, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menahan suspek berhampiran hotel terbabit pada hari yang sama.

Suspek direman tujuh hari bermula 13 Jun untuk siasatan.

Pegawai kanan DBKL didakwa goda isteri orang lakukan persetubuhan

NORLIZAH ABAS
KHAIRUL Anuar Mhd Juri (kiri) hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan memujuk seorang wanita yang sudah bersuami melakukan persetubuhan haram. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memujuk seorang wanita yang sudah bersuami melakukan persetubuhan, tahun lalu.

Pengarah Eksekutif (Pengurusan) DBKL, Khairul Anuar Mhd Juri, 49, didakwa memujuk wanita berusia 37 tahun itu melakukan persetubuhan dengannya dan pujukan itu didakwa dilakukan di bangunan tersebut di sini di antara 8 malam, 14 Jun 2022 dan 11.57 pagi 14 November 2022.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat orang anak itu didakwa memujuk wanita yang merupakan isteri kepada seorang lelaki berusia 47 tahun dengan niat agar wanita itu melakukan persetubuhan dengannya.

Tertuduh yang kini digantung tugas didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Nurul Izzah Shaharuddin membenarkan Khairul Anuar diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan kes.

Mahkamah turut melarang tertuduh mengganggu saksi-saksi sehingga perbicaraan selesai.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Diana Saad mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi-saksi sehingga kes selesai.

Peguam Fahmi Abd. Moin yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM2,000 dengan alasan anak guamnya telah digantung kerja dan hanya memperoleh separuh gaji.

Jelas beliau, anak guamnya yang mempunyai empat orang anak hanya mampu membayar RM2,000. Dua anaknya masih menuntut di kolej dan dua lagi masih bersekolah.

Sementara itu, peguam pemerhati Nor Azri Mohd. Arif yang mewakili mangsa memohon agar identiti mangsa tidak didedahkan oleh pihak media kerana perkara ini sensitif.

Majistret Nurul Izzah bagaimanapun berkata pihak media mengambil maklum berhubung perkara tersebut.

“Saya percaya media tahu. Kalau dilaporkan juga boleh dikenakan tindakan,” katanya. – UTUSAN

Ooo yang hina lans koperal tu pegawai polis wanita rupanya

FMT Reporters 
Tular video seorang wanita menghina dua polis berpangkat rendah.
PETALING JAYA: Seorang wanita yang didakwa pegawai polis disiasat kerana mengeluarkan kenyataan menghina dan mengugut dua anggota berpangkat rendah yang tular di media sosial.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata salah satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Menurutnya, anggota terbabit turut membuat laporan dan polis membuka siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta menggunakan perkataan berunsur penghinaan.

“Suspek telah dikenal pasti dan telah dipanggil ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gombak untuk siasatan selanjutnya.

“Orang awam dinasihati agar tidak terus menularkan video tersebut dan memberikan komen boleh menggugat ketenteraman awam serta tidak mengganggu proses siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam video berdurasi 25 saat di media sosial, wanita terbabit tidak henti-henti mengeluarkan kata-kata hinaan terhadap dua anggota polis.

Berdasarkan keterangan disertakan bersama rakaman video itu, wanita didakwa seorang pegawai polis manakala dua anggota polis adalah pangkat bawahan dengan seorang daripadanya berpangkat lans koperal.

Terlihat juga wanita terbabit merendahkan pangkat anggota polis itu dengan menyatakan mereka tidak layak membuat teguran terhadapnya kerana dia berpangkat lebih tinggi.

'Inspektor Khoo' menipu lagi, 2 kerani akaun rugi lebih RM650,000

Mohd Roji Kawi
am@hmetro.com.my

Kuching: Dua kerani wanita di Miri kerugian hampir RM650,000 selepas terpedaya dengan panggilan telefon daripada sindiket 'Phone Scam' yang menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai bank.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa pertama wanita berusia 62 tahun yang bertugas sebagai kerani akaun di sebuah syarikat swasta di Miri menerima panggilan daripada sindiket berkenaan pada 17 April lalu.

Menurutnya, pemanggil yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendakwa mangsa terbabit dalam penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19.

"Mangsa kemudiannya disambungkan kepada polis dari Kota Kinabalu, Sabah dan berbual dengan beberapa pegawai termasuk 'Inspektor Khoo' dan 'Sarjan Wong'.

"Dalam perbualan bersama individu terbabit, selain dimaklumkan terbabit dalam penyebaran berita palsu, akaun mangsa juga didakwa terbabit dalam kes jenayah di Kota Kinabalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azman berkata, suspek kemudiannya mengarahkan mangsa supaya membuka akaun baru dan memindahkan wang miliknya ke dalam akaun itu untuk siasatan.

"Mangsa yang ketakutan kemudian membuka satu akaun bank di Miri dan memindahkan wang dari akaun simpanan, akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke akaun yang baru dibukanya.

"Mangsa juga menyerahkan butiran perbankan berserta kata laluan perbankan dalam talian kepada suspek," katanya.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas semakan dengan pihak bank mendapati terdapat 31 transaksi pemindahan wang keluar ke akaun bank atas nama individu tidak dikenali pada 18 April hingga 5 Mei lalu dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM496,962.

Menurut Mohd Azman, semalam seorang lagi wanita yang bertugas sebagai kerani akaun sebuah syarikat swasta juga di Miri turut menjadi mangsa penipuan panggilan telefon itu.

Mangsa berusia 59 tahun menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan Bank Negara Malaysia (BNM) yang mendakwa mangsa membuat transaksi penggunaan wang yang meragukan kepada akaun bank lain.

"Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa untuk memberikan maklumat akaun bank seperti nombor akaun, nama pengguna dan kata laluan.

"Pada hari yang sama (15 Jun) mangsa menerima pemberitahuan berlaku pengeluaran wang sebanyak RM49,999 dan mangsa diarahkan supaya membuat pengesahan mengenai pengeluaran wang itu dan diberitahu wang itu dipindahkan sementara sehingga akaun bank selamat sebelum wang itu akan dipindahkan semula ke akaunnya," katanya.

Mangsa hanya menyedari ditipu selepas dia memaklumkan perkara itu kepada suaminya dan semakan dengan pihak bank mendapati 15 transaksi pemindahan wang berjumlah RM149,892 dari akaun miliknya ke akaun atas nama individu tidak dikenali.

Justeru, Mohd Azman, mengingatkan orang ramai agar tidak melayan panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.

'Kau lans koperal tak layak cakap dengan aku'

MUHAMMAD AMINNURALIFF
Tangkap layar video tular yang memaparkan seorang wanita didakwa mengeluarkan kata-kata berbentuk hinaan kepada anggota polis dipercayai berlaku di sekitar kawasan Gombak.
SHAH ALAM - Tular video memaparkan seorang wanita didakwa mengeluarkan kata-kata berbentuk hinaan kepada anggota polis dalam kejadian baru-baru ini dipercayai berlaku di sekitar kawasan Gombak.

Video berdurasi 25 saat itu memaparkan individu berkenaan dipercayai merupakan seorang pegawai polis telah meninggikan suara dengan mengatakan anggota polis berkenaan tidak layak menegurnya.

"Kau lans koperal lah, tak layak cakap dengan aku, cara cakap macam OCPD, kau tak layaklah.

"Kau jadi pegawai dululah lans koperal, hei lans koperal berlagak macam apa, pangkat dah la rendah," katanya kepada anggota polis tersebut.

Bagaimanapun tidak dinyatakan punca wanita terbabit bertindak sedemikian menerusi video tular berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian di media sosial mendapati rata-rata netizen mengecam tindakan wanita terbabit.

Mereka turut mempersoalkan tindakan wanita itu yang disifatkan tidak sopan selain memalukan anggota polis berkenaan.

Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan pengesahan pihak polis berhubung kejadian tersebut.

Lelaki kasari pemandu dipenjara 9 hari kerana tampar pelayan restoran pula

Malaysiakini

Seorang lelaki yang sebelum ini dipenjara tujuh hari kerana mengasari seorang pemandu wanita di Lata Iskandar di Cameron Highland, dikenakan hukuman penjara sembilan hari pula oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas dua pertuduhan menampar pelayan restoran.

Majistret Qasiratuljannah Usmani Othman turut menjatuhkan hukuman denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan ke atas Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, dan dipenjara sembilan hari lagi jika gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sembilan hari bagi setiap pertuduhan ke atas tertuduh, namun ia berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan iaitu semalam.

Penyelia mesin itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas V Dennis Pillai, 23, di Restoran Glory 78 Steamboat Snack Corner (Bamboo Biryani) Tanah Rata di Cameron Highland, pada kira-kira 4.20 petang, 4 Jun.

Mohammad Zaim Faiz turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas warga asing, Samir Das di masa dan tempat yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya S Punitha memohon Mohammad Zaim Faiz dikenakan hukuman setimpal bagi memberi ganjaran, selain kes telah menjadi tular.

Lelaki yang tidak diwakili peguam itu, bagaimanapun dalam keadaan sebak merayu supaya hanya dikenakan hukuman denda minimum, kerana isterinya akan bersalin pada hujung bulan ini selain mempunyai seorang anak kecil.

Beliau turut mengakui telah insaf dan berjanji  untuk tidak mengulangi kesalahan sama pada masa hadapan.

Mengikut fakta kes, Mohammad Zaim Faiz memaki hamun dengan kata-kata kesat memarahi kedua-dua mangsa, kerana makanan yang dipesan lambat sampai dan menampar Samir Das sebanyak dua kali di pipi kiri dan menampar kedua-dua pipi Dennis Pilai sebanyak empat kali.

Pada 9 Jun, Mahkamah Majistret Tapah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari ke atas lelaki itu yang mengasari seorang pemandu wanita dalam insiden di Lata Iskandar, yang tular baru-baru ini.

- Bernama

‘Bahaya’ biar BN tanding di kubu kuat Negeri Sembilan, PH diberitahu

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) mengambil risiko besar jika membenarkan Barisan Nasional (BN) bertanding di kubu kuatnya di kawasan bandar Negeri Sembilan, menurut penganalisis politik.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, kekuatan kerjasama antara PH dan BN belum benar-benar diuji di peti undi.

Katanya, adalah satu risiko untuk mengandaikan pengundi PH akan memilih calon BN, dan begitu juga sebaliknya, seterusnya ini mampu membawa kepada kehilangan sokongan dan kerusi.

“Jalan paling selamat adalah kedua-dua gabungan bertanding di kubu kuat masing-masing berdasarkan keputusan pilihan raya sebelum ini,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas gesaan Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias supaya komposisi calon perwakilan di kawasan bandar menggambarkan kerjasama antara BN dan PH.

Kerusi bandar lazimnya didominasi Pakatan Harapan, khususnya DAP dan PKR, sejak pilihan raya umum 2008.

Mazlan berkata, PH dan BN wajar menggunakan PRN akan datang sebagai medan ujian bagi menganggarkan respons orang ramai terhadap kerjasama dua gabungan itu, sebelum PRU akan datang.

“Jika mereka melihat penyokong PH mengundi calon BN, dan begitu juga sebaliknya, maka pada PRU16 mereka boleh bertukar kubu kuat. Buat masa ini keadaan terlalu berisiko.”

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, akar umbi Umno akan melihat PH dengan lebih positif jika ia sedia melepaskan beberapa kerusi di Negeri Sembilan kepada BN.

“Saya fikir PH perlu menilai semula kekuatan Umno di Negeri Sembilan,” katanya kepada FMT, dengan menambah Umno mempunyai kedudukan kukuh di negeri itu.

Dalam PRU lalu, Negeri Sembilan satu-satunya negeri yang gagal ditembusi Perikatan Nasional.

Azmi berkata, PH akan memperbaiki kedudukannya dalam kalangan akar umbi Umno, yang masih ragu-ragu terhadap kerjasama dengan PH, khususnya DAP.

Hubungan antara dua gabungan itu mampu mendapat manfaat daripada pengorbanan PH untuk BN, katanya.

Pengikut ajaran sesat 'Si Hulk' ditahan, tidak sempat ke New Zealand

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my

Melaka: Hasrat lelaki disyaki pengikut ajaran sesat Suhaini Bin Mohammad atau 'Si Hulk' untuk bersatu dengan pengasasnya di New Zealand (NZ) tidak kesampaian apabila dicekup Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di rumahnya di Jasin, Ahad lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan bersama isteri dan tiga anaknya pada 8.30 malam dan pihaknya turut merampas risalah ajaran sesat itu.

Menurutnya, penahanan dibuat hasil siasatan berterusan JAIM terhadap kumpulan itu selepas video dua lelaki Islam mengatakan Nabi Muhammad SAW adalah Allah tular di media sosial pada 20 Mac lalu.

"Dalam soal siasat, lelaki itu mengaku sepatutnya berangkat ke NZ bersama isteri dan tiga anaknya pada Selasa lalu untuk bersama pengasas ajaran sesat dan ahli kumpulan yang sudah berada di sana.

"Malah, dia juga sanggup berhenti kerja untuk berhijrah dan mencari pekerjaan baharu di negara berkenaan.

"Sebaik tular video berkenaan JAIM membuka kertas siasatan terhadap kumpulan ini dan maklumat diterima, akan ada lagi individu dari negeri lain berhijrah ke sana (NZ)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat JAIM di MITC, di sini, hari ini.

Rahmad berkata, penahanan itu menunjukkan bahawa ajaran sesat itu masih ada pengikut setia yang sanggup melakukan apa sahaja semata-mata bersama pengasas yang juga pengusaha minuman kesihatan.

Katanya, siasatan turut mendapati ajaran Si Hulk bermula tahun lalu dengan pengikut di Melaka dianggarkan antara 10 hingga 20 orang.

"Kumpulan ini tiada markas khusus dan bergerak dari satu tempat ke tempat lain kerana sukar menyebarkan ajarannya selepas difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, 30 Mei lalu," katanya.

Beliau menyeru orang ramai supaya segera berhenti daripada mengikuti ajaran sesat itu dan merujuk JAIM jika terdapat kekeliruan.

Katanya, umat Islam yang terbabit penyebaran ajaran sesat boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

Khalid Samad: Kerjasama dengan BN tak sama seperti era Amanah-Bersatu

Chia Wan Rou

KUALA LUMPUR: Jalinan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya negeri akan datang adalah berbeza berbanding ketika gabungan itu bersama Bersatu pada PRU14, kata Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abd Samad.

“Ia sangat berbeza dengan (masa bersama) Bersatu pada 2018, ketika itu ia parti baharu. Malah jenteranya tak kuat pada 2018.

“Umno adalah parti yang kuat, jadi rundingan mesti mengambil kira kekuatan mereka,” katanya selepas menghadiri rundingan pembahagian kerusi di Menara Dato Onn.

Beberapa pemimpin PH termasuk Khalid memberitahu wartawan, rundingan malam ini berlangsung baik.

Khalid yang juga bekas Ahli Parlimen Shah Alam berkata, rundingan malam ini adalah yang terakhir “pada peringkat ini” dan sebarang perkara yang belum diselesaikan akan dibangkitkan “di peringkat lebih tinggi”.

Katanya, pembahagian untuk semua kerusi sudah selesai kecuali “beberapa kerusi”.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli ketika ditemui juga berkata rundingan pembahagian kerusi berjalan baik tetapi enggan mengulas lanjut.

Wang RM262,000 ditemui dalam timbunan sampah

KOSMO!

TOKYO – Seorang individu menemui wang tunai berjumlah kira-kira 8 juta yen (RM262,454) di sebuah premis perniagaan di bandar raya Niigata, Jepun, lapor laman berita The Mainichi semalam.

Menurut Balai Polis Niigata, individu yang mempunyai kaitan dengan lokasi perniagaan itu menemui wang tersebut dalam timbunan sampah di premis berkenaan pada 5 Jun lalu.

Dia kemudian membuat laporan polis selepas menemui wang dalam jumlah yang besar itu.

Balai Polis Niigata mendedahkan penemuan tersebut semalam bagi mencari pemilik wang berkenaan.

Jika pemiliknya gagal tampil, individu yang menemuinya boleh menuntut wang tersebut. 
– Agensi

Kencing di tempat awam, 2 warga asing ditahan

Bernama

JOHOR BAHRU: Dua lelaki warga asing ditahan kerana kencing di tempat awam di dalam bangunan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini Selasa lepas.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat berkata lelaki berumur 48 dan 66 tahun itu masing-masing ditahan di bangunan berkenaan pada pukul 12.12 tengah malam dan 3.56 pagi, hari yang sama.

“IPD Johor Bahru Selatan menerima laporan daripada anggota polis bantuan BSI berkaitan penahanan dua lelaki warga asing yang berkelakuan tidak senonoh iaitu kencing di tempat awam di dalam BSI.

“Bagaimanapun, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua lelaki terbabit negatif daripada pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan.

Raub berkata kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Sejak akhir-akhir ini, kes melibatkan warga asing kencing di tempat awam di CIQ BSI semakin kerap berlaku dan tular menerusi beberapa rakaman video dalam media sosial.

Sebelum ini, seorang wanita warga asing dipercayai membuang air kecil di belakang kaunter dan seorang lelaki warga emas ditahan kerana kencing di tempat mengambil wuduk di bangunan itu.

PANAS!!! Suspek disiasat SPRM meninggal dunia di Putrajaya

Hariz Mohd & Wang Ping

Seorang lagi suspek yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meninggal dunia hari ini.

Difahamkan kejadian itu berlaku di ibu pejabat agensi penguat kuasa terbabit di Putrajaya.

Suspek itu merupakan seorang lelaki berusia 50-an dan berada dalam tahanan SPRM kurang dari 24 jam selepas dia diberkas.

Butiran mengenai insiden itu belum jelas manakala polis pula menutup mulut.

Bagaimanapun Malaysiakini berjaya mendapatkan pengesahan kejadian tersebut daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang menyatakan suspek meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Menurut Azam, lelaki itu ditahan malam semalam bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram yang ada kaitan dengan aktiviti pelombongan mineral tanpa lesen di Pahang.

Katanya lelaki terbabit merupakan seorang daripada tiga suspek yang ditahan SPRM.

“Semasa siasatan pagi ini, pegawai kami mendapati lelaki itu tidak sihat dan dia terus dibawa ke hospital.

“Suspek terbabit kemudian meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun Azam tidak mengulas lanjut namun memberi jaminan SPRM akan bekerjasama penuh dengan polis yang menyiasat insiden tersebut.

Menurut Azam pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan terbabit akan memberikan keterangan mereka kepada polis berhubung kejadian itu.

SPRM juga, katanya, telah menyerahkan butian berkaitan termasuk semua rakaman kamera litar tertutup yang boleh membantu siasatan pihak berkuasa.

Sementara itu, difahamkan mayat terbabit dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Menurut sumber, bedah siasat ke atas mayat akan dijalankan pagi esok.

Rumah bekas menteri KDN di Damansara diserbu LHDN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Rumah Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin di Damansara, Kuala Lumpur diserbu dan digeledah pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semalam, menurut sumber Perikatan Nasional (PN).

Sumber memberitahu FMT, serbuan di rumah setiausaha agung Bersatu itu dilakukan malam semalam.

“Ya, rumah Hamzah diserbu. Kami tidak tahu alasan di sebalik serbuan tersebut.

“Beberapa dokumen juga dirampas,” kata sumber.

Sementara itu, sumber Bersatu mendakwa serbuan di rumah setiausaha agung PN itu gagal menimbulkan persepsi negatif terhadap Hamzah.

“Serbuan ini bertujuan untuk mencemarkan nama baik kami dan mencipta persepsi terhadap kami,” kata satu lagi sumber.

Pada Februari lalu Hamzah menuduh kerajaan menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai alat politik selepas agensi itu membekukan akaun Bersatu.

Bekas menteri dalam negeri kemudiannya menafikan terbabit dengan kes rasuah berjumlah RM15 juta selepas namanya terdapat dalam kerta pertuduhan terhadap ahli perniagaan Sim Choo Thiam.

Sim didakwa pada Mei lalu atas tuduhan meminta RM15 juta dari seorang ahli perniagaan Hep Kim Hong, pada Jun 2021.

Pendakwaraya berkata wang itu sebagai dorongan untuk Hamzah membantu syarikat Hep, Asia Coding Sdn Bhd untuk mendapatkan projek dari kementeriannya.

Sim juga didakwa dengan tiga lagi tuduhan menerima RM15 juta untuk mendapatkan projek daripada Kementerian Dalam Negeri. Dia mengaku tak bersalah atas empat tuduhan tersebut.

Hamzah berkata, pertuduhan yang mengaitkannya sengaja dibuat untuk mencemar namanya sebagai bekas menteri di kementerian itu.

Usaha murni Ebit Lew bantu ‘gelandangan’ penuh tatu dipersoal

MOHD. HAIKAL ISA
Usaha murni pendakwah, Ebit Lew membantu seorang ibu tunggal penuh tatu di wajah bernama Mondy dipersoal segelintir netizen yang menyifatkan dirinya menggunakan agama sebagai bahan publisiti dalam media sosial.
PETALING JAYA – Nama pendakwah sensasi, Ustaz Ebit Lew kembali menjadi sorotan ramai apabila niat murninya membantu seorang wanita gelandangan bertatu penuh di muka bernama Mondy Tatto dipersoalkan khalayak.

Ramai dalam kalangan netizen terkejut apabila mengetahui wanita itu bukanlah seorang gelandangan yang memerlukan bantuan seperti dipaparkan lelaki itu, sebaliknya seorang pempengaruh media sosial memiliki 1 juta pengikut dalam TikTok.

Bantuan dihulurkan Ebit atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew terus menjadi perdebatan ramai apabila wanita itu dilihat menjual produk difahamkan keluaran pendakwah terbabit menerusi satu siaran langsung (live) dalam TikTok.

“Gelandangan yang Ebit Lew ‘jumpa’ itu adalah TikToker terkenal dengan 900k pengikut.

“Pendapatan jangan cakaplah. Popularnya ‘gelandangan’ ini siap pernah masuk dalam acara televisyen di Indonesia.

“Tertanya, Ebit jumpa ‘gelandangan’ ini memang sudah rancang awal ke?,” soal seorang pengguna media sosial bernama Halim Abdurrahman Halim.

Sementara itu, ramai netizen yang mempersoalkan ketulusan hati Ebit, 39, dalam berdakwah dengan mengatakan lelaki itu tidak habis-habis menggunakan agama dijadikan konten demi memancing perhatian khalayak.

“Ebit Lew sejak kena dakwa 11 pertuduhan berkaitan dengan masalah peribadi masih tidak serik, ya?

“Dulu berlakon di Malaysia, selepas itu di Palestin dan sekarang dekat Indonesia pula. Tidak rasa bersalah ke guna agama untuk konten?,” ciap seorang pengguna Twitter bernama Zac.

Pengguna Twitter itu kemudian terus ‘membongkar’ bahawa wanita bertatu penuh di wajah tersebut bukanlah seperti apa digambarkan Ebit iaitu berstatus gelandangan.

“Di TikTok, banyak konten Mondy. Tiada pula dia muat naik video tidur atas kotak depan pagar.

“Minta maaflah, aku bukan benci Ebit Lew. Aku benci orang tunggang agama untuk meraih populariti,” ciapnya lagi.

Difahamkan, Mondy yang berstatus ibu tunggal  dulunya dikenali dengan imej gadis ‘punk’ asal Indonesia kini sudah berada di Malaysia hasil bantuan Ebit yang sebelum ini memang disayangi ramai dengan usaha atau inisiatif sendiri membantu orang Islam yang tersasar daripada ajaran agama sebenar. – KOSMO! ONLINE

Rembat 70 iPhone, cedera pengawal, pelajar IPT ditahan

Bernama
Gambar dari kamera CCTV menunjukkan suspek mencuri iPhone dan barangan lain dari sebuah kedai di Kompleks Menara Condong, Teluk Intan, 3 April lepas.
IPOH: Seorang pelajar lelaki sebuah IPT di sebuah kondominium di Bukit Mertajam, Pulau Pinang Selasa lepas berkaitan kes samun kedai telefon dan mencederakan seorang pengawal keselamatan di Kompleks Menara Condong, Teluk Intan, 3 April lepas.

Ketua Polis Hilir Perak, Ahmad Adnan Basri, berkata dengan penahanan suspek berusia 21 tahun, polis percaya dapat menyelesaikan kes melibatkan kerugian kira-kira RM300,000.

Beliau berkata, suspek yang masih bujang didapati mempunyai satu rekod lampau berkaitan jenayah namun hasil ujian air kencing mendapati dia negatif dadah.

Ahmad Adnan berkata, suspek juga mengaku terlibat dalam kes itu bersendirian dan hasil penahanan, polis merampas 23 telefon pintar jenis iPhone, satu jam tangan jenama Apple, iPad, beg pakaian, dua pen tablet jenama Samsung, wang tunai RM853, sebuah kereta jenis Proton Wira, satu kunci kereta serta sekeping kad Touch ‘n Go.

“Suspek direman empat hari bermula 14 hingga 17 Jun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pada 3 April, polis Hilir Perak memburu suspek yang melarikan kira-kira 70 telefon pintar iPhone bernilai hampir RM300,000 dalam kejadian samun di Kompleks Menara Condong, Teluk Intan.

Enam didakwa curi, jual mayat, termasuk dari Harvard

Pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) pada Rabu berkata mereka mendakwa enam orang, termasuk bekas pengurus rumah mayat Sekolah Perubatan Harvard, dengan pemerdagangan mayat manusia yang dicuri, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut pendakwa raya Pennsylvania, enam tertuduh dan seorang wanita yang sebelum ini didakwa di Arkansas, adalah sebahagian daripada "rangkaian seluruh negara" yang "membeli dan menjual mayat manusia yang dicuri dari Harvard dan rumah mayat Arkansas".

Peguam AS Gerard Karam berkata pendakwaan itu mendakwa, dari 2018 hingga 2022, pengurus bilik mayat untuk Program Hadiah Anatomi di Sekolah Perubatan Harvard, yang dinamakan sebagai Cedric Lodge berusia 55 tahun, telah mencuri sebahagian daripada mayat yang didermakan untuk penyelidikan dan pendidikan perubatan sebelum jadual pembakaran mayat mereka.

Logde dan isterinya, juga dinamakan dalam pendakwaan, kemudian menjual mayat. Menurut pendakwa raya, Lodge membenarkan dua daripada tertuduh lain memasuki Sekolah Perubatan Harvard "memeriksa mayat sebelum memilih apa yang hendak dibeli".

Insiden serupa juga melibatkan Candace Chapman Scott yang didakwa di Daerah Timur Arkansas kerana mencuri sebahagian mayat yang sepatutnya dia bakar dari majikannya, bilik mayat dan krematorium di Little Rock, ibu kota Arkansas, menurut pendakwa raya.

"Sesetengah jenayah tidak difahami. Kecurian dan pemerdagangan mayat manusia menyerang pada intipati apa yang menjadikan kita manusia.

"Amat menyedihkan bahawa begitu ramai mangsa di sini secara sukarela membenarkan jasad mereka digunakan untuk mendidik profesional perubatan dan memajukan kepentingan sains dan penyembuhan. Bagi mereka dan keluarga mereka untuk diambil kesempatan atas nama keuntungan adalah mengerikan,” kata Karam.

- Bernama-dpa

??? Tinggal sebumbung dengan dua suami, wanita siap guna sistem tidur bergilir

MAISARAH AISYA

Poliandri berlaku apabila seorang wanita berkahwin dengan lebih seorang suami, hal ini adalah dilarang dalam ajaran Islam

Ini adalah disebabkan nasab keturunan, ia adalah lebih sukar untuk menentukan anak itu terhasil dari sperma suami yang mana satu.

Tular di media sosial Indonesia mengenai seorang wanita yang tinggal sebumbung dengan dua suami.

Siti dan dua suaminya pernah dihalau oleh penduduk kampung yang marah akan perbuatan poliandri tersebut.

Memetik laporan Tribun Pekanbaru, Siti tinggal sebumbung bersama Somad dan Abdu, malah mereka menyara hidup dengan gerai kecil juga kedai gas.

Rumah mereka hanya mempunyai dua bilik tidur dan Siti akan tidur di bilik suami-suaminya mengikut giliran.

Jika mahu melakukan hubungan intim bersama suami, Siti perlu menunggu seorang lagi suaminya tidur dahulu.

Poliandri dilarang dalam Islam bagi menjaga nasab keturunan agar tidak tertukar siapa sebenarnya bapa kepada anak yang dikandung.

Kempunan 'main' burung

Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
ANTARA burung di dalam sangkar yang dirampas pihak berkuasa dari sekumpulan individu di Kampung Gadong Lama, Labu, Negeri Sembilan
ANTARA burung di dalam sangkar yang dirampas pihak berkuasa dari sekumpulan individu di Kampung Gadong Lama, Labu, Negeri Sembilan
Kuala Lumpur: Keterujaan sekumpulan peminat kicauan burung berkumpul bagi menyertai pertandingan 'terbantut' apabila mereka dikepung sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Dalam operasi bersepadu kelmarin, semua mereka ditahan selepas didapati memiliki dan menyimpan burung Merbah Luris Leher yang diharamkan dipelihara.

Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kumpulan individu terbabit ditahan melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Zon Selatan disertai anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

Menurutnya, serbuan dilakukan jam 10.45 pagi, kelmarin, berhampiran kawasan lapang di Kampung Gadong Lama, Labu, Negeri Sembilan.

"Seramai 13 lelaki tempatan ditahan. Pemeriksaan lanjut menemui hidupan liar iaitu 14 ekor disyaki spesies burung Merbah Luris Leher.

"Burung ini adalah spesies hidupan liar dilindungi sepenuhnya. Semua burung itu ditemui diletakkan di dalam sangkar khas," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati rata-rata suspek ditahan berusia 20-an hingga 60 tahun berasal dari Pasir Mas dan Tanah Merah, Kelantan serta Jerteh, Terengganu.

"Mereka dipercayai berkumpul di lokasi itu bagi menyertai pertandingan kicauan burung.

"Semua burung Merbah Luris Leher dianggarkan bernilai hampir RM200,000 dirampas dan kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

"Semua barang kes disita dan dibawa ke Pejabat Perhilitan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, Perhilitan dan PGA turut melakukan serbuan di sebuah premis di Kampung Kedai Buloh, Kota Bharu, Kelantan, tengah hari kelmarin.

"Seorang lelaki tempatan yang juga pemilik premis berusia 30-an disiasat sebelum pemeriksaan lanjut menemui dua ekor Burung Merbah Luris Leher, tiga ekor Burung Murai Batu, seekor Burung Tiong dan 13 Kura-kura Red-eared slider.

"Semua spesis hidupan liar dilindungi itu bernilai RM6,000. Semua hidupan liar itu dirampas dan dibawa ke pejabat Perhilitan Daerah Kuala Krai untuk tindakan lanjut," katanya.

Menteri KDN: Judi atas talian ada 'naungan politik'

Malaysiakini 

Kerajaan tidak menolak wujud pembabitan orang politik yang melindungi aktiviti perjudian atas talian di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

Jelasnya, 'naungan politik' terhadap aktiviti perjudian itu bagi memastikan pihak terbabit tidak dapat dikenakan tindakan undang-undang dan ini menyukarkan tugas pihak polis untuk bertindak.

Saifuddin berkata, pihak yang menyediakan platform perjudian dalam talian itu boleh mengaut keuntungan sekitar RM200 juta seminggu.

"Memang wujud elemen 'naungan politik', ada, dan dari situ datangnya perlindungan. 

“Pemain (penyedia operasi Judi) dinaungi. Balasannya supaya tindakan tidak diambil, mereka bocorkan maklumat jika ada operasi.

"Peringkat polis ini perlu kepada perhatian berat...Sama ada wujud naungan politik orang tertentu," katanya ketika menjawab soalan tambahan R Ramanan (PH- Sungai Buloh) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ramanan membangkitkan pertanyaan mengenai pembabitan orang politik dalam aktiviti perjudian di negara ini.

Saifuddin juga memaklumkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital serta Bank Negara (BNM) bagi mengekang aktiviti berkenaan.

Tambahnya aktiviti perjudian dalam talian ini merupakan satu fenomena yang dihadapi oleh semua negara di dunia ini dan memerlukan tindakan bersepadu secara tersusun.

"Ini satu minggu saja jual (aktiviti perjudian ekor) anggaran RM200 juta (boleh dapat) senang," katanya yang turut menunjukkan kepada ahli Parlimen contoh aktiviti perjudian dalam talian yang ada di negara ini.

Katanya kerajaan mempunyai pangkalan data berhubung aktiviti haram berkenaan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata dengan menggunakan akta yang lama ataupun sedia ada, agak menyukarkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap perjudian dalam talian itu.

Oleh itu katanya, ia memerlukan kepada satu iltizam politik untuk menggubal ataupun meminda akta yang sedia ada supaya tindakan dapat diambil terhadap pemain aktiviti haram itu.

"Undang-undang kita ada dua saja, satu Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Pertaruhan 1953...Akta tahun 1953 tidak pernah dipinda.

"Bila bawa ke mahkamah 'judi online' tiada dalam akta...Undang-undang yang lama itu kita perlu lakukan pindaan," katanya lagi.

Sabah: 4 selamat dalam kemalangan kereta api rempuh van

FMT Reporters
PETALING JAYA: Empat lelaki terselamat selepas sempat keluar daripada van dinaiki mereka yang dirempuh kereta api di KM21.5 Jalan Perumahan Kampung Anak Kinarut, Papar, semalam.

Ketua Polis Papar Kamaruddin Ambo Sakka berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, pemandu Perodua Rusa berkenaan tidak menyedari akan ada kereta api lalu di kawasan tersebut kerana palang landasan tidak diturunkan untuk menutup laluan.

Katanya, menghampiri lokasi kejadian pemandu kereta api kemudian membunyikan hon dan cuba menekan brek namun gagal lalu melanggar kenderaan berkenaan.

“Pemandu kereta api dipercayai hanya menyedari kehadiran kereta dalam jarak kira-kira 20m, menyebabkan pelanggaran itu tidak dapat dielakkan.

“Empat lelaki yang menaiki van sempat keluar, hanya pemandunya cedera ringan ketika cuba menyelamatkan diri,” katanya menurut Harian Metro.

Anak beranak Mahathir dapat kontrak RM214.2 juta dakwa Anwar

Hidir Reduan Abdul Rashid

Anwar Ibrahim membangkitkan isu pemberian kontrak gentian optik RM214.2 juta yang diberikan kepada syarikat yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri dan menteri kewangan Dr Mahathir Mohamad dalam pembelaan terhadap saman fitnah terhadapnya.

Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui e-filing malam tadi, pengerusi PH itu bergantung kepada pembelaan justifikasi (sedia untuk membuktikan dakwaan di mahkamah) dengan menyebut antara lain pemberian kontrak kepada Opcom Cables Sdn Bhd.

Presiden PKR itu mendakwa anak sulung Mahathir, Mirzan menjadi pengarah Opcom Cables dari 1994 hingga 2021, anak kedua Mokhzani menjadi pengarah dari 2009 hingga 2019, anak ketiganya, Mukhriz menjadi pengarah dari 1994 hingga 2019, dan isteri Mukhriz, Norzieta Zakaria menjadi pengarah dari 1995 hingga 2021.

Mahathir adalah perdana menteri dan menteri pertahanan ketika kontrak itu diberikan.

Pekerja hotel disyaki rogol pelanggan

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pekerja hotel warga Bangladesh yang didakwa merogol pelanggan wanita yang menginap di hotel itu di Bukit Bintang ditahan polis, Isnin lalu.

Suspek berusia 30 tahun ditahan beberapa jam selepas melakukan perbuatan keji itu ke atas mangsa berusia 22 tahun.

Kejadian dipercayai berlaku pada 1.30 tengah hari ketika mangsa warga Indonesia berada di dalam bilik hotelnya.

Menurut sumber, suspek mengunjungi bilik mangsa dan memberitahu mahu memeriksa bilik itu, menyebabkan mangsa tidak mengesyaki apa-apa, apatah lagi dia mahu mendaftar keluar selepas tempoh menginap tamat.

"Bagaimanapun suspek kemudian mengajak mangsa untuk melakukan hubungan seks dan ingin memberi wang.

"Mangsa enggan dan menolak ajakan suspek yang kemudian bertindak kasar dan terus memperkosanya sebelum dia beredar dari situ," katanya.

Sumber berkata, mangsa yang trauma dengan kejadian itu kemudian menghubungi pihak polis bagi melapor kejadian.

"Polis yang tiba melihat mangsa dalam keadaan menangis sebelum dia menceritakan kejadian itu.

"Suspek yang berada di hotel terbabit kemudian ditahan polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Nik Omar: Tan Sri atau 'Tun' Nik Aziz: Ambo junjung kasih tuanku

N Faizal Ghazali

Enggan mengulas - begitu komen anak lelaki sulung Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung rasa tidak puas hati pihak tertentu dari keluarga itu berkenaan gelaran yang diterima bekas menteri besar Kelantan itu baru-baru ini.

Dihubungi Malaysiakini, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata dia tidak bercadang memberikan sebarang reaksi kepada isu tersebut.

Sebaliknya, kata bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu, dia merafak sembah berterima kasih kepada pihak istana atas anugerah Tan Sri yang dikurniakan kepada Nik Abdul Aziz.

"Setakat ini tak ada komen dari ambo (saya).

"Cuma nak ulangi junjung kasih ambo kepada Tuanku (Agong) yang anugerahkan darjah kebesaran bergelar Tan Sri kepada ayahanda," katanya ringkas.

Terdahulu tular di media sosial satu tulisan agak panjang seseorang yang mendakwa cucu kepada Nik Abdul Aziz.

Dalam hantaran itu dia mendakwa keluarga bekas Mursyidul Am PAS terbabit terkejut apabila hanya pingat yang membawa gelaran Tan Sri diberikan.

Menurutnya, sebelum ini mereka "dicanangkan" lebih awal bahawa Nik Abdul Aziz akan dianugerahkan pingat untuk gelaran Tun.

Namun, katanya, mereka sekeluarga tidak memandang rendah gelaran Tan Sri, sebaliknya cuma terkejut kerana Allahyarham diletakkan sebaris dengan seteru "politik dan agama" daripada DAP.

“Secara zahirnya, penganugerahan ini adalah perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong. Akan tetapi, penerima ini akan dicadang serta ditapis oleh perdana menteri terlebih dahulu.

“Surat jemputan dari istana juga tidak diberikan melalui kerajaan negeri, sebaliknya dihantar melalui anak kedua allahyarham yang memilih bertanding di atas tiket PKR di Perak iaitu bapa saudara kami (Nik Omar).

“Selepas 23 tahun memimpin kerajaan PAS di Kelantan, undangan bersejarah begini diberikan melalui tangan seorang yang memilih untuk tidak bersama perjuangan beliau?” katanya dalam kenyataan di Facebook itu.

Pada 5 Jun lalu Malaysiakini melaporkan Nik Abdul Aziz antara 839 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Anugerah sama turut dikuriniakan kepada veteran DAP, Lim Kit Siang.

7 lelaki Pakistan perdagang orang ditahan

Bernama

KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh lelaki warga Pakistan kerana disyaki terlibat kes pemerdagangan orang, di sebuah apartmen di Taman Pandan Perdana, Ampang, Isnin lalu

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail, berkata semua mereka berumur antara 21 hingga 44 tahun ditahan pada 5.30 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Ampang Jaya.

Beliau berkata, polis menerima laporan daripada seorang mangsa lelaki yang juga warga Pakistan berusia 23 tahun dipukul empat lelaki senegara yang merupakan ejen yang membawanya masuk ke Malaysia untuk mencari pekerjaan.

“Pasportnya juga dirampas serta mangsa dipukul dan diugut tidak dibenarkan keluar dari rumah, mangsa mengalami kecederaan sakit pada bahagian badan dan lengan serta tangan bahagian kiri.

“Semasa tangkapan, polis turut menyelamatkan empat mangsa lelaki warga Pakistan yang lain serta merampas 22 pasport Pakistan milik mangsa, lima beg pakaian, tiga telefon bimbit, serta batang penyapu yang digunakan untuk memukul mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Azam berkata, modus operandi mereka ialah melakukan tipu daya bagi warganegara asing dengan melakukan pekerjaan secara paksa.

“Semakan terhadap semua tangkapan mendapati tiada rekod jenayah ditemukan manakala ujian air kencing ke atas tangkapan pertama hingga ketujuh negatif dadah.

“Semua suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga Isnin depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 iaitu memperdagangkan orang dengan maksud eksploitasi,” katanya.

Tuan Ibrahim diarah perinci ‘arahan’ projek tebatan banjir

FMT Reporters

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas menteri alam sekitar dan air Tuan Ibrahim Tuan Man memberikan kepada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli perincian kenyataan-kenyataan yang beliau sebut dalam dokumen mahkamah, yang difailkan bagi tindakan undang-undang yang sedang berjalan.

Hakim Nik Hasmat Nik Mohamad membenarkan permohonan Rafizi semasa pengurusan kes hari ini.

Tuan Ibrahim dalam tuntutan mendakwa apabila Parlimen dibubarkan pada Oktober tahun lepas, beliau selaku menteri mengeluarkan “arahan” menangguhkan semua proses perolehan luar belanjawan (off-budget) oleh kementerian, termasuk yang melibatkan pembinaan sebuah tebatan banjir di Sungai Langat.

Mahkamah hari ini memerintahkan Tuan Ibrahim perincikan arahan itu, termasuk sama ada ia dalam bentuk bertulis atau lisan, tarikh arahan dikeluarkan, dan kepada siapa ia ditujukan.

Nik Hasmat menetapkan pengurusan lanjut kes itu pada 27 Julai.

Peguam mewakili Rafizi ialah Azhar Arman Ali dan Aina Syazwani Mansor, manakala Yusfarizal Yusoff mewakili Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim memfailkan saman bulan lalu dan mendakwa Rafizi memfitnahnya apabila mencadangkan beliau meluluskan pemberian projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion kepada syarikat berkaitan Umno selepas pembubaran Parlimen.

Rafizi mendakwa projek tebatan banjir Sungai Langat itu kontrak kedua yang diberikan kepada syarikat yang sama dalam tempoh enam bulan.

Tuan Ibrahim menafikan dakwaan itu dan mencabar Rafizi membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata kerajaan sementara tidak boleh meluluskan sebarang peruntukan kewangan kerana bertentangan dengan pekeliling Perbendaharaan.

Malu hamil luar nikah, penyanyi sumbat bayi dalam ‘luggage’ sebelum buang di kebun

WAN SITI AMINAH

Angkara mahu menutup malu kerana melahirkan anak luar nikah, seorang penyanyi sanggup membuang bayinya sendiri. 

Berusia awal 20-an, penyanyi yang kejam itu sanggup menyumbat bayi yang masih bernyawa ke dalam sebuah beg begasi.

Beg tersebut kemudian dibiarkan tertutup selama dua hari di dalam bilik tidurnya sehingga tiada lagi suara yang keluar dari jasad itu.

Setelah memastikan bahawa bayinya sudah meninggal dunia, wanita itu kemudian menghumban beg tersebut di sebuah kebun pada awal Mei lalu.

Menyayat hati, jasad bayi malang itu kemudian ditemukan oleh penduduk kampung pada jam 3 petang, keesokan harinya.

Selepas melakukan siasatan terperinci, pihak polis akhirnya berjaya mengenal pasti dan menangkap suspek pada 8 Jun lalu.

Suspek yang tidak berperikemanusiaan itu merupakan seorang penyanyi dangdut yang berasal dari daerah Pacitan, Jawa Timur, Indonesia.

Menurut Ketua Polis Daerah Pacitan, AKBP Wildan Alberd, penyanyi dangdut yang berusia 23 tahun itu melahirkan anak di dalam tandas bersendirian.

Masih dalam siasatan, pihak polis bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bahawa ada suspek lain yang terlibat di dalam kes itu.

“Pelaku mengaku nekad membuang bayi tersebut karena malu atas hasil hubungan gelapnya dengan beberapa orang lelaki berhidung belang. 

“Polis juga masih melakukan siasatan lanjut terhadap kemungkinan adanya tersangka (suspek) yang lain.” Jelas Wildan.

Gila ke apa? Giliran haji kini cecah 148 tahun

Kamarul Irwan Alias & Bernama

Tempoh giliran menunggu umat Islam di Malaysia untuk menunaikan haji kini mencecah 148 tahun, menurut Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata pada masa ini, lebih 3.8 juta pendeposit TH telah mendaftar dan menunggu giliran untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Justeru, Syed Saleh yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia mengingatkan jemaah haji yang terpilih supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang berada di Tanah Suci dengan melakukan amal ibadat.

"Kita kena berpegang kepada dua kata kunci iaitu syukur dan sabar. Syukur sebab kita dapat berada di Tanah Suci selepas menunggu sekian lama serta sabar dengan setiap dugaan termasuk karenah teman sebilik dan cuaca panas sepanjang perjalanan haji ini," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra dan pelantikan Sahabat Maktab di Makkah.

TH menggunakan sistem pendaftaran haji terbuka berdasarkan konsep “Mendaftar Dahulu, Didahulukan” yang telah dilaksanakan sejak dari 1995.

Melalui sistem pendaftaran terbuka ini, para pendeposit TH boleh mendaftar menunaikan haji apabila simpanan mencecah RM1,300.

Setiap pendeposit yang telah mendaftar akan diberi giliran tahun peruntukan menunaikan haji berdasarkan tarikh dan masa pendaftaran haji dibuat.

Malaysia menerima kuota haji berjumlah 31,600 jemaah daripada Kerajaan Arab Saudi bagi musim haji 1444 Hijrah ini.

- Bernama

Jakim diminta siasat YouTuber muat naik video pergaulan bebas

NURUL IZZATI ZAINI
Tangkap layar beberapa video yang dimuat naik oleh YouTuber berkenaan.
PETALING JAYA – Ramai pengguna media sosial menyeru Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa lain untuk menyiasat seorang YouTuber yang memuat naik pelbagai video memaparkan pergaulan bebas.

Ia ekoran beberapa video yang dimuat naik di akaun yang mempunyai 2.65 juta pengikut itu, tidak bersesuaian untuk tontonan golongan muda dan dianggap telah mencemari agama Islam.

Menerusi ciapan oleh @ConfessionLocal, dikhabarkan mereka menghasilkan kandungan video di dalam sebuah rumah yang mempunyai kolam renang, tidak kira siang atau malam.

“Anak-anak kita, adik-adik kita mungkin selalu tonton video-video di akaun ni. Ramai anak muda minat mereka. Lelaki dan perempuan bercampur, tiada pantauan orang tua.

“Lepak seperti duduk di sebuah rumah dengan alasan kerja dan rumah itu sebagai pejabat. Ibarat pergi melancong bersama tetapi bilik asing.

“Isu ini sudah lama ditegur, namun mereka tidak kisah. Malah, ada video ‘prank’ mereka juga ibarat normalisasikan percampuran lelaki perempuan, ‘couple’ dan ‘prank’ kena tangkap basah pun ada,” tulisnya.

Tambahnya, ramai sudah menegur anak-anak muda dalam video ini tetapi tiada perubahan dan agama Islam dilihat seakan-akan semakin dipermainkan.

“Harap ibu bapa pantau anak-anak sebab mereka akan ikut apa yang dilihat. Tanpa disedari anak-anak kita dipengaruhi dengan budaya bebas ini.

“Banyak video ‘prank’ yang tak sudah, ‘prank’ hamil pun ada, pergaulan tidak jaga. Mereka siap ada peminat yang ada kumpulan Telegram. Saya menyeru, kita boikot kandungan mereka,” katanya.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang bersetuju agar tindakan diambil dengan segera bagi mengelakkan lagi ramai golongan muda terpengaruh dengan budaya Barat.

“Semakin rosak anak-anak muda, penzinaan makin berleluasa. Mereka ini tidak kisah pasal halal atau haram. Target mereka remaja, itu yang buat kisah cinta,” komen Lee.

“Terima kasih ‘admin’ sebab suarakan bagi pihak kami. Saya memang fikir ramai adik-adik sekarang tengok ‘channel’ ni. Memang pengaruh buruk,” komen seorang pengguna.

“Buat sahaja laporan di pejabat agama terdekat. Bila ada laporan, insha Allah akan diserbu. Budak-budak macam ini tidak perlu cakap panjang lebar,” komen pengguna yang lain pula. – KOSMO! ONLINE

Dua tong gas oksigen meletup, 2 mangsa dirawat di zon merah HSB

Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bh.com.my
Proton Wira yang meletup sebelum terbakar di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Alor Setar hari ini, menyebabkan dua beranak melecur teruk.
Proton Wira yang meletup sebelum terbakar di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Alor Setar hari ini, menyebabkan dua beranak melecur teruk.
ALOR SETAR: Dua beranak yang melecur teruk di bahagian muka dan badan selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka meletup dan terbakar kini dirawat di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata mangsa yang cedera, Tuah Omar, 54, dan anaknya, Muhammad Firdaus Syawal Abdullah, 5, dipercayai mengalami kecederaan teruk.

Beliau berkata, isteri mangsa, Noor Azlina Abu Bakar, 34, hanya cedera ringan di tangan.

"Berdasarkan siasatan, ketiga-tiga mangsa dari Kampung Pinang Pedu, dekat sini, pergi ke sebuah premis di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Lorong Perak 22 untuk mengisi dua tabung gas oksigen bantuan pernafasan untuk kegunaan sendiri.

"Selesai mengisi gas, mangsa membawa dua tong gas itu ke dalam kereta untuk pulang ke kampung isterinya di Kempas, Johor," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Shukri berkata, secara tiba-tiba kedua-dua tong gas itu dipercayai meletup mengakibatkan kebakaran kereta Proton Wira berkenaan.

Beliau berkata, lelaki dan anaknya itu mengalami kecederaan serius di bahagian badan sedang mendapat rawatan di zon merah, manakala isterinya yang berada di bahagian penumpang hadapan mengalami kecederaan ringan dan dirawat di zon kuning.

"Namun siasatan masih dilakukan oleh pihak bomba untuk mengetahui punca sebenar kejadian itu," katanya.

Media hari ini melaporkan, tiga beranak melecur selepas kereta dinaiki mereka meletup dan terbakar berhampiran sebuah premis di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Lorong Perak 22, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Kanak-kanak lelaki terbabit melecur 95 peratus, manakala bapanya, 80 peratus dan ibunya pula melecur 30 peratus.

‘Hidup Melayu’, tapi ramai tidak duduki SPM, Anwar bidas bekas menteri

Mohamad Fadli dan Shahrul Shahabudin

BANGI: Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas seorang bekas menteri pendidikan yang didakwanya gagal sehingga menyebabkan ramai calon tidak hadir menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Anwar menyalahkan menteri terbabit kerana gagal memantau keadaan itu yang berlaku ketika penularan Covid-19 dan ketidakstabilan politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Cerita hidup Melayu. Bagaimana ada menteri pendidikan ketika itu yang tidak boleh pantau anak-anak tidak ambil peperiksaan SPM.

“Itu perkara serius,” katanya pada Program Cakna Madani Perdana Menteri bersama pelajar tajaan JPA di institusi pendidikan tinggi di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Anwar tidak menamakan menteri terbabit secara khusus, namun Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin dari Perikatan Nasional (PN) adalah menteri pendidikan di bawah pentadbiran perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob dari 2020 hingga November 2022.

Ahad lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya akan meneliti isu ketidakhadiran 14,858 atau 3.8% daripada 388,832 calon SPM 2022 untuk mencari mekanisme bagi menyelesaikan masalah terbabit.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau telah mengarahkan Fadhlina supaya mencari peruntukan untuk memperbaiki tandas sekolah daif untuk keselesaan murid.

“Tahun pertama saya kena cari. Orang yang bising ini sudah tiga tahun… kenapa tak selesaikan,” katanya.

Bakar al-Quran, penganggur ditahan polis

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang penganggur ditahan polis kerana disyaki membakar al-Quran dan sejadah dalam satu kejadian di Batu Rakit, Kuala Nerus.

Timbalan Ketua Polis Kuala Terengganu Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata lelaki berusia 33 tahun itu ditahan pada berhampiran Pasar Maras pada 10.50 pagi semalam.

Katanya, suspek ditahan susulan laporan seorang penduduk yang mendakwa melihat lelaki itu membakar al-Quran dan sejadah di tepi sebuah pusat hemodialisis di Batu Rakit.

“Pengadu memberitahu dia menerima panggilan telefon yang memaklumkan perbuatan suspek membakar al-Quran dan sejadah di tepi pusat hemodialisis itu.

“Pengadu bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati suspek sedang membakar barangan berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.

Katanya, al-Quran dan sejadah itu disyaki diambil dari masjid berhampiran.

Menurutnya, suspek yang tidak bekerja itu direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

PAS samakan pemilikan tanah Melayu PP dengan kes Palestin-Israel

Malaysiakini 

PAS terus memainkan isu agama dan kaum, kali ini dengan menyamakan isu pemilikan tanah di Pulau Pinang dengan keadaan di Palestin serta Israel.

Mengetengahkan isu itu di media sosial, PAS membangkitkan bagaimana Israel menguasai tanah Palestin dari 1.5 peratus pada 1918 sehinggalah rakyat Palestin menjadi pelarian di negara sendiri.

Artikel di media sosial PAS itu mendakwa kajian pada 2010 mendapati pemilikan tanah orang Melayu di Pulau Pinang hanya tinggal 27 peratus.

Parti itu mendakwa Pulau Pinang membuat “rampasan bersistem” dalam mengambil alih pemilikan dan menguasai kawasan yang asalnya majoriti Melayu-Islam.

Perkara itu, dakwa mereka, dibuat dengan menukar status tanah luar bandar kepada bandar, serta membuat projek mega dan pembangunan mewah.

PAS bagaimanapun tidak mengemukakan bukti terhadap dakwaan tersebut.

“Jika perkara ini tidak dihalang, tidak mustahil 50 tahun akan datang lenyaplah orang Melayu di tanah air mereka sendiri,” katanya.

Sementara itu, kempen PAS itu mengejutkan anggota parlimen kerajaan yang menganggapnya sebagai “naratif politik sempit”.

“Amat mengejutkan PAS merendahkan keabsahan perjuangan rakyat Palestin untuk menyesuaikan dengan naratif politik sempit mereka,” kata anggota parlimen Bangi Syahredzan Johan di media sosialnya.

Pada 2016, Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) Universiti Sains Malaysia (USM) Azeem Fazwan Ahmad Farouk berkata berikutan pembangunan pesat yang berlaku di Pulau Pinang, tanah milik orang Melayu berkurangan dari tahun ke tahun.

Katanya, kajian USM pada 2008 mendapati keseluruhan tanah milik orang Melayu di Pulau Pinang hanya tinggal 20.41 peratus dan ia dipercayai semakin mengecil apabila orang Melayu sendiri menjualnya kepada bangsa lain.

"Ini merupakan manifestasi hasil daripada paradigma yang digunakan oleh negara sejak 1957 iaitu untuk menjadi negara pembangunan. Ini disebabkan proses penjajahan yang lama yang telah berlaku.

"Dalam usaha itu, kita terlupa untuk mencari keseimbangan dan itulah yang berlaku sekarang iaitu pembangunan yang tidak seimbang yang akhirnya merugikan masyarakat sendiri," dia dipetik sebagai berkata.

PAS sebelum ini membangkitkan beberapa isu berkaitan agama dan kaum seperti menuduh DAP sebagai komunis, selain mendakwa orang bukan Melayu paling banyak memberi rasuah.

Polis Diraja Malaysia pada April lalu menubuhkan pasukan khas siasatan membabitkan isu 3R (bangsa, agama dan raja).

PAS kini menjalankan kempen “Kalih Pulau Pinang” dalam rangka mereka menyerang kubu kuat DAP itu dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi.

DAP menguasai Pulau Pinang sejak 2008 ketika parti itu bersama gabungan Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR dan PAS ketika itu, sekali gus mengetepikan penguasaan lama Gerakan dan BN.