Cabul 2 remaja, lelaki Yaman direman

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki warga Yaman yang disyaki mencabul dua remaja perempuan di pusat beli-belah di Bandar Sunway.

Kejadian didakwa berlaku pada 1.30 tengah hari Khamis lalu di sebuah kedai pusat beli-belah itu, membabitkan dua mangsa berusia 17 dan 18 tahun.

Ketua Polis Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat, berkata suspek berusia 20 tahun yang tidak bekerja ditahan susulan aduan mangsa kepada polis bantuan.

“Suspek turut didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan menurut Astro Awani.

Katanya, suspek direman 14 hari hingga Khamis depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Bakar al-Quran: Waran tangkap untuk Salwan Momika

BERNAMA
SALWAN Momika ketika melakukan protes di luar masjid di Stockholm, pada 28 Jun lalu. FOTO AFP
SALWAN Momika ketika melakukan protes di luar masjid di Stockholm, pada 28 Jun lalu. FOTO AFP
Baghdad: Pejabat pendakwa raya Iraq mengeluarkan waran tangkap menerusi Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) terhadap Salwan Momika, seorang pelarian warga Iraq berusia 37 tahun, yang bertindak membakar al-Quran di Sweden, Stockholm, pada akhir Jun, Sputnik memetik laporan penyiar Iraq Al Sumaria Khamis.

Pejabat pendakwa raya sudah menghantar maklumat dan waran tangkap khas untuk Momika dan meminta Interpol memaklumkan Baghdad sekiranya dia berjaya diberkas.

Pada 28 Jun, protes berlaku di perkarangan masjid Stockholm, di mana al-Quran dibakar. Polis Sweden membenarkan demonstrasi itu.

Insiden membakar al-Quran di Stockholm mencetuskan kecaman di seluruh dunia. Iraq menyeru pihak berkuasa Sweden untuk menghantar pulang individu yang bertanggungjawab atas kejadian itu. Ramai ketua negara, termasuk setiausaha agung Liga Arab dan ketua Majlis Kerjasama Teluk, mengecam perbuatan itu.

Demonstrasi serupa berlaku di Sweden pada Januari apabila ahli politik sayap kanan Denmark, Rasmus Paludan membakar kitab suci umat Islam di hadapan kedutaan Turkiye.

Polis cari dua gadis cabul remaja lelaki 15 tahun

 KOSMO!

LONDON – Seorang remaja lelaki dilaporkan dibiarkan berbogel dan tidak sedarkan diri di dalam belukar selepas diserang dan dicabul oleh dua gadis, kata polis Sussex seperti laporan portal berita Daily Express semalam.

Remaja berusia 15 tahun itu kini diberi sokongan oleh pakar perubatan dan polis hanya membuat rayuan untuk mendapatkan saksi kejadian kelmarin walaupun insiden berlaku pada 4 Jun lalu.

Polis berkata, seorang suspek tersebut memiliki rambut berwarna merah dan tinggi 192 sentimeter, manakala gadis kedua memiliki ketinggian 179 sentimeter dan berambut perang panjang.

Kedua-dua mereka dipercayai berusia antara 18 hingga 20 tahun.

Dalam serangan di Burgess Hill, Sussex, remaja itu mendapati dirinya dalam keadaan tanpa pakaian dan mengalami cedera di kepala serta badan apabila dia sedarkan diri, kata polis.

Jurucakap polis Sussex berkata: “Polis merayu saksi tampil selepas seorang remaja lelaki melaporkan diserang secara seksual oleh dua gadis di Burgess Hill. Remaja berusia 15 tahun itu mengadu dia bersiar-siar sebelum melalui sebuah kawasan belukar.

“Dia telah diserang oleh dua gadis dan bangun selepas pakaiannya ditanggalkan dengan kecederaan di kepala dan badan. Kejadian telah dilaporkan kepada polis,” demikian menurut kenyataan pihak berkuasa. – Agensi

Hanya separuh kerusi DUN Kedah "sangat selamat" untuk PN - Malaysiakini

PAS tak lihat PH-BN sebagai ancaman di Kedah
Malaysiakini

PAS Kedah tidak melihat mereka mampu ditewaskan dalam pilihan raya negeri bulan depan.

Mengulas ikrar Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Nasution sebelum ini, parti itu mengetengahkan kemerosotan teruk lawan mereka dalam pilihan raya umum lepas.

“Baik, cuba imbas prestasi PH dalam PRU-14 dan betapa menjunamnya sokongan rakyat Kedah terhadap PH,” Ketua Pemuda PAS Kedah Nasrun Othman.

Berikut ringkasan perbandingan kemenangan antara pilihan raya umum ke-14 dan ke-15 seperti dinyatakan Nasrun:

PRU-14 (DUN)

PH 18 kerusi
PAS 15 kerusi
BN 3 kerusi

PRU-14 (Parlimen)

PH 10 kerusi
PAS 3 kerusi
BN 2 kerusi

PRU-15

PN 14 kerusi
PH 1 kerusi

Menyindir Saifuddin, Nasrun mengulangi kenyataan Menteri Besar Kedah Sanusi Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini bahawa “angan-angan itu percuma”.

Kemenangan besar PN di Kedah dalam PRU15 apabila meraih 14 daripada 15 kerusi parlimen yang dipertandingkan mudah membawa kepada tanggapan bahawa PN akan sekali lagi menang dalam pilihan raya negeri (PRN).

Analisis data PRU 2022

Bagaimanapun, analisis Malaysiakini berdasarkan data pilihan raya umum (PRU) 2022 yang dibeli daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati hanya separuh kerusi DUN Kedah "sangat selamat" untuk PN.

Dalam PRU itu, hanya terdapat 14 kerusi DUN yang PN meraih lebih 60 peratus undi–nilai ambang yang sering digunakan bagi menentukan sesuatu kerusi itu sebagai sangat selamat.

Malah, jumlah keseluruhan undi yang diraih PN di Kedah hanya 56 peratus, berbeza dengan Terengganu dan Kelantan di mana gabungan itu meraih hampir dua pertiga undi.

Dalam kata lain, dalam tiga negeri yang dikuasainya, PN memiliki takat sokongan paling lemah di Kedah.

Menurut analisis Malaysiakini juga, perubahan undi sebanyak 14 peratus, dengan corak keluar mengundi yang sama dengan pilihan raya negeri Johor 2022, memadai untuk PH-BN merampas Kedah dengan majoriti mudah.

Mayat perut terbelah terapung di muara sungai Nibong Tebal

Malaysiakini

Mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemukan terapung dengan perutnya terbelah dan lehernya diikat dengan bongkah batu di muara sungai berhampiran jeti Bagan Bukit Tambun, di Nibong Tebal semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Ng Ah Thiam berkata mayat tanpa sebarang pengenalan diri itu ditemukan kira-kira 11.45 pagi oleh orang awam sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Beliau berkata mayat berkenaan dalam keadaan berpakaian lengkap baju-T berkolar dan lengan pendek berwarna merah dengan tulisan ‘US Pizza' serta seluar 'boxer' berwarna hitam jenama Roxy.

"Hasil pemeriksaan pada mayat lelaki itu mendapati tangan dan kakinya diikat dengan tali manakala leher dalam keadaan terikat dengan tali bersama sebongkah batu.

"Pemeriksaan turut menemukan kesan belahan di bahagian perut dipercayai dicederakan dengan menggunakan senjata tajam. Polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu dibunuh sebelum dibuang ke laut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ng berkata mayat berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan mayat itu atau kehilangan ahli keluarga tampil di balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan.

Katanya maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan ASP Mohd Hafiz Mohd Noor menerusi talian 019-465 0777 atau hotline Polis Seberang Perai Selatan (04-5858 222) atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (04-2221 522).

- Bernama

Penumpang jatuh landasan kereta api di Woodlands

BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang penumpang yang terjatuh ke atas landasan di pusat pemeriksaan kereta api Woodlands di Singapura pada Rabu, 5.35 pagi sudah dihantar ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan memaklumkan penumpang itu di selamatkan oleh kru KTMB dan pegawai daripada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA).

"Siasatan kami mendapati kejadian itu terjadi ketika penumpang tersebut cuba untuk turun daripada kereta api Shutle Tebrau sebelum ia berhenti sepenuhnya.

"Sebagai langkah keselamatan, kesemua penumpang perlu terus duduk sehingga kereta api berhenti sepenuhnya. KTMB kesal dengan kejadian tersebut. Keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan. Kami akan terus berusaha untuk mempertingkatkan perkhidmatan kami dan memastikan perjalanan yang selamat dan selesa untuk kesemua penumpang," menurut kenyataan itu.

KTMB juga menasihatkan penumpang untuk sentiasa mematuhi notis keselamatan yang diletakkan pada setiap pintu gelangsar kereta api dan juga stesen.

KTMB memaklumkan bahawa kereta api Shuttle Tebrau mematuhi standard keselamatan.

Setiap koc dilengkapi dengan pintu yang boleh dibuka secara manual atau dikunci daripada dalam sebagai satu daripada ciri keselamatan untuk penumpang keluar daripada koc pada waktu kecemasan.

'Lembaga hitam berkepala 2 memanggil dalam hutan'

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
Iwan (kiri) bersama anak saudaranya Al-Fajri (kanan) ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Tawau di sini hari ini. FOTO  Abdul Rahemang Taiming.
Iwan (kiri) bersama anak saudaranya Al-Fajri (kanan) ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Tawau di sini hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Tawau: "Selama 14 hari kami bertarung nyawa dengan hanya minum air sungai dan makan buah jambu hutan.

"Saya juga bimbang anak saudara (Al-Fajri) tidak dapat bertahan selain khuatir sesuatu yang buruk terjadi seperti serangan binatang buas," kata Iwan Musakir, 33, yang dilaporkan hilang bersama anak saudaranya Al-Fajri Anto, 11, ketika keluar berburu sejak 24 Jun lalu.

Berkongsi detik kejadian itu, Iwan berkata mereka mahu beredar dari lokasi berburu, namun singgah berteduh di bawah pokok berikutan hujan renyai.

Bagaimanapun katanya, mereka gagal mencari jalan keluar termasuk cuba menyusuri semula laluan asal namun sebaliknya semakin sesat jauh ke dalam hutan.

"Keadaan ketika itu sudah mula gelap dan kami mengambil keputusan untuk terus berjalan mencari jalan keluar namun tidak berjaya.

"Kami mencari air sungai untuk minum dan sesekali bertuah apabila terjumpa buah hutan seperti jambu batu untuk dimakan," katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Tawau, di sini, hari ini.

Katanya, bagi mengelak sebarang kemungkinan atau perkara buruk belaku, mereka hanya tidur antara satu hingga dua jam sahaja setiap malam selain memilih kawasan puncak bukit untuk rehat.

Iwan berkata, pada mulanya dia yakin dapat mencari jalan keluar namun selepas seminggu menyebabkannya mula berhalusinasi selain meracau manakala badan semakin lemah.

"Ada ketika saya melihat lembaga hitam berkepala dua memanggil-manggil tapi hilang dari pandangan tidak lama selepas itu dan keadaan ini berulang beberapa hari.

"Bagaimanapun saya cepat-cepat mengucap dua kalimah syahadah dan berdoa memohon perlindungan dari Allah," katanya sambil menambah mereka seolah-olah bergerak di kawasan atau tempat yang sama.

Tambahnya lagi, dengan sedikit pengalaman ikhtiar hidup di dalam hutan dia turut membuat tanda pada laluan bagi mengelak tersesat lebih jauh ke dalam hutan.

Sementara itu, ibu mangsa Emilia Landipong, 29, berkata dia dan suami, Anto Musakir, 35, tidak pernah putus harapan dan selalu mendoakan anak sulung daripada lima beradik itu dapat ditemukan dengan selamat.

"Syukur Alhamdulillah, akhirnya ditemui dengan selamat hari ini. Terima kasih kepada semua yang terbabit sepanjang pencarian," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kedua-dua mangsa dikhuatiri hilang selepas keluar berburu di kawasan hutan berhampiran Ladang OP 6 Usahawan Borneo Brumas, dekat sini, sejak 24 Jun lalu sebelum operasi SAR yang memasuki hari ke-sembilan hari ini yang kemudiannya berjaya menjumpai kedua-dua mangsa.

Dakwaan 2 wanita ‘kahwin’, pihak berkuasa agama P Pinang sedia ambil tindakan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Pulau Pinang akan mengambil tindakan sekiranya terbukti benar dakwaan berlaku majlis meraikan perkahwinan sejenis melibatkan dua wanita di Balik Pulau pada bulan lalu.

Yang Dipertuanya Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata siasatan akan dijalankan terlebih dulu mengulas tular beberapa keping gambar memaparkan warga tempatan dan luar negara bercumbu di sebuah premis inap desa persendirian.

Katanya, sekiranya perkara itu berlaku pihaknya akan mengambil tindakan mengikut undang-undang berikutan negara ini melarang aktiviti lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT).

“Kita akan dapatkan lebih banyak maklumat bagi menentukan kesahihan dakwaan gambar yang tular itu.

“Namun, jika ia benar berlaku tindakan akan diambil mengikut undang-undang yang diperuntukkan,” katanya menurut Berita Harian.

Menerusi hantaran tular itu, perkahwinan terbabit dikatakan berlangsung bulan lalu dihadiri ahli keluarga serta teman rapat kepada pasangan yang seorang daripadanya bekas wakil rakyat.

Lebih 100 pekerja diserang histeria, kilang kucar-kacir

KOSMO!
Pekerja membantu menenangkan rakan mereka yang mengalami histeria. - TikTok
JAKARTA – Sebuah kilang di Majalengka, wilayah Jawa Barat menjadi kacau-bilau selepas lebih 100 pekerja dilaporkan mengalami histeria, lapor laman berita Detik hari ini.

Berdasarkan klip video mengenainya yang tular di media sosia, seorang wanita dilihat duduk di kerusi roda sambil mengurai rambutnya.

“Haaayang huluuuu…haaayang huluuuu (Mau kepala, mau kepala),” kata wanita itu sambil menangis meminta sesuatu.

“Kira-kira 100 pekerja kerasukan,” kata Ketua Polis Daerah Majalengka, Indra Novianto.

Menurut Indra, kejadian  histeria bermula sekitar pukul 11 pagi (waktu tempatan) dan berlarutan sehingga pukul 3.30 petang (waktu tempatan) semalam.

Mangsa yang mengalami histeria kemudian dibantu oleh rakan-rakan sekerja. Insiden histeria besar-besaran itu bermula apabila seorang pekerja wanita tidak sedarkan diri.

“Kejadian bermula apabila seorang pekerja dirasuk. Tidak lama kemudian seorang lagi telah dirasuk. Mereka dirasuk sebelum sempat memulakan kerja pada sebelah pagi,” kata Indra. – Agensi

Jemaah Haji Meninggal Dunia Di Atas Bumbung Dengan Kehendak Mencarinya Mengikut Arah Matahari

Jawapost

RADARSEMARANG.ID, JEDDAH-Cari dengan mengikut arah matahari. Itu pesanan terakhir jemaah haji Indonesia dari Tangerang, arwah nenek S binti S yang ditemui meninggal dunia di atas bumbung hotel haji Mesir, Hotel Zahir Abdul Hamid Ghofur Khiyat pada Ahad 2 Julai 2023.

Walaupun usianya sudah lanjut, 73 tahun, nenek S cukup tangkas dan sihat. Malah, menurut naratif doktor kumpulan penerbangan JKG 03 dari embarkasi Jakarta Pondok Gede, Doktor Riska, Nenek S tidak mempunyai sejarah penyakit serius. Memandangkan dia datang dari Tanah Air sebelum berangkat ke Tanah Suci, dia dalam keadaan sihat.

Disebabkan keadaan kesihatan yang baik, Nenek S sering mengembara bersendirian dan berjauhan dengan rombongan. “Sudah sering hilang, hilang di Madinah,” kata Dr Riska yang Selasa lalu, 5 Julai 2023, dijadualkan pulang ke tanah air bersama 392 orang, kerana seorang meninggal dunia di Mekah.

Secara keseluruhannya, ketika menunaikan ibadah haji pada tahun 2023, Nenek S sudah empat kali menghilangkan diri. Dua kali di Madinah, sekali di Mina, dan sekali di Masjidil Haram. Kerana tersesat, beberapa kali ketua kumpulan itu terpaksa bekerja keras mencarinya. Dia juga meminta bantuan, tetapi Nenek S kerap tiba-tiba tiba di hotel tempat dia menginap.

Pada suatu hari seorang rakan jemaahnya mengingatkan Nenek S supaya tidak melancong seorang diri supaya tidak tersesat. Namun ketika itu arwah menjawab, “Jika saya sesat, carilah saya dengan mengikut arah matahari,” nasihatnya kepada rakan-rakan jemaahnya, seperti yang diceritakan oleh jururawat Erna.

Menghampiri kemuncak ziarah, rombongan jemaah JKG 03 paling awal bergerak ke Mekah termasuk jemaah Nenek S. Nenek S juga sempat menunaikan kemuncak ziarah dan seterusnya bermalam di Mina untuk melontar batu.

Pada 1 Julai 2023, Nenek S menghilangkan diri lagi. Ketika itu terpisah dari rombongannya di Masjidil Haram. Ketua kumpulan dan ahli jemaahnya bertungkus-lumus mencarinya. Tetapi sehingga sehari lamanya tidak ditemui.

Pada 2 Julai 2023, ketua kumpulannya menerima maklumat bahawa Nenek S ditemui di atas bumbung hotel jemaah haji Mesir, Hotel Zahir Abdul Hamid Ghofur Khiyat, dalam keadaan mati. “Memang benar seperti yang dikatakan dalam mesej itu, arwah ditemui dengan mengikut arah matahari, meninggal dunia di atas bumbung hotel haji Mesir,” kata Riska dan Erna.

Nenek S turut dibawa ke Hospital King Abdul Aziz, Makkah. Berdasarkan diagnosis, arwah meninggal dunia akibat strok haba.

Strok haba adalah keadaan di mana badan tidak dapat mengawal suhu badannya. Keadaan ini berlaku akibat pendedahan langsung kepada haba suhu tinggi, menyebabkan peningkatan suhu badan teras kepada lebih daripada 40 darjah Celsius. Jika tidak dirawat dengan segera, ia boleh merosakkan organ seperti otak, jantung dan buah pinggang.

Ketua Klinik Kesihatan Haji Indonesia (KKHI) Madinah yang merupakan pos kesihatan utama di Mina, Tri Atmaja berkata, terdapat tempat yang terdedah kepada strok haba iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina (Armina), jadi jemaah haji perlu berhati-hati terhadap jemaah haji, terutama orang tua.

“Jemaah haji perlu berwaspada dengan strok haba, terutama semasa berada di Arafah dan Mina untuk mengeluarkan jamrah selama tiga hari,” kata doktor Atma.

Perkara utama yang perlu dilakukan jika anda mengalami simptom ini adalah untuk merawatnya dengan segera. “Perkara paling penting dalam merawat strok haba ialah mencari kes dengan cepat dan merawatnya secepat mungkin, sebelum komplikasi lanjut daripada strok haba berlaku,” kata Atma

Bekas ketua risik ESSCom didakwa subahat bunuh pemandu e-hailing

Bernama

TAWAU: Mahkamah Majistret di sini memindahkan kes bekas ketua perisikan ESSCom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) Mat Zaki Md Zain dan tujuh lain, yang didakwa membunuh seorang pemandu e-hailing, ke Mahkamah Tinggi di sini.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Suhaila Selag memindahkan kes Mat Zaki, 58, bersama enam pegawai serta anggota polis dan seorang orang awam itu, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad dan Mohammad Fakhrurazzi Ahmad Salim.

Terdahulu, pendakwaan mengemukakan pertuduhan baharu ke atas Mat Zaki.

Dia didakwa bersubahat dengan John Kennedy untuk membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Baru 5, Tawau antara 7.30 malam hingga 11.30 malam, pada 13 Jan lalu.

Pertuduhan ke atas Mat Zaki dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minima 30 tahun dan maksimum 40 tahun jika tidak dihukum mati serta hendaklah juga sebat tidak kurang dua belas sebatan, jika sabit kesalahan.

Enam pegawai dan anggota polis iaitu Rosdi Rastam, 44, Denis Ak Anit, 44, Fabian Ak Rungam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39, John Kennedy Sanggah, 44, dan orang awam Vivien Fabian, 34, pula, didakwa atas pertuduhan membunuh Nurman mengikut Seksyen 302.

Pada 8 Feb lalu, Rosdi, Denis, Fabian, Khairul Azman, Azlan serta Vivien, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan membunuh Nurman, manakala Mat Zaki didakwa bersubahat dengan enam tertuduh itu membunuh Nurman.

John Kennedy pula, pada awalnya merupakan saksi kes pendakwaan, namun pada 11 April lepas lelaki itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini bagi pertuduhan membunuh bersama enam lelaki itu.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah Idris Abdullah, berkata kes bunuh itu lebih bersifat peribadi, serta tidak melibatkan isu keselamatan di Sabah.

Pada 30 Jan lalu, penganggur Nurima Juli, 33, didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh bekas suaminya Nurman.

Hilang 13 hari di hutan, kanak-kanak ditemui selamat

FMT Reporters
Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemui hari ini selepas hilang di hutan sejak 24 Jun lalu. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Dua bersaudara termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang sejak 24 Jun lalu ketika memburu di hutan di Tawau ditemui hari ini.

Jurucakap bomba Sabah berkata kanak-kanak terbabit bersama bapa saudaranya yang berusia 33 tahun ditemui jam 9 pagi dalam keadaan selamat namun kehausan serta kelaparan.

“Mangsa kemudian dihantar ke Dewan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk berjumpa dengan ahli keluarga masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, media melaporkan kanak-kanak itu dan bapa saudara bersama enam lagi individu keluar berburu sebelum berpecah kepada beberapa kumpulan ketika dalam hutan.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa dilaporkan hilang dan gagal dikesan selepas beberapa hari.

Operasi mencari membabitkan bomba dan polis.

Suspek ketuk kepala isteri bekas Adun diberkas

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suspek yang disyaki menyerang dan mengetuk kepala isteri bekas Adun Bayan Lepas ditahan semalam.

Ketua Polis Barat Daya, Kamarul Rizal Jenal, berkata lelaki berusia 41 tahun itu ditahan di rumahnya di Bayan Lepas, pada 11.30 malam.

Katanya, semakan mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Suspek yang bekerja sebagai operator kilang direman selama tiga hari hingga Ahad bagi membantu siasatan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 506 kanun sama.

Terdahulu, akhbar itu melaporkan dalam kejadian 1.40 tengah hari semalam, suspek ke sebuah kedai runcit di Jalan Datuk Ismail Hashim, Sungai Ara, sebelum mengetuk kepala pemilik premis yang juga isteri bekas Adun Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz.

Anwar: K’jaan akan salur RM10 bilion melalui terbitan sukuk ke Felda

Malaysiakini

Kerajaan akan meneruskan dana pembiayaan sukuk Felda yang tertangguh sebelum ini dengan menyalurkan peruntukan sehingga RM1 bilion setahun untuk 10 tahun akan datang kepada Felda.

Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata, tindakan itu sebagai memastikan kelangsungan dan usaha penstrukturan semula hutang agensi itu.

Berucap pada sambutan Hari Peneroka Felda  2023 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, hari ini, Anwar berkata dana itu akan disalurkan melalui terbitan sukuk Felda yang sebelum ini tertangguh.

“Saya dengan dukungan timbalan-timbalan perdana menteri, dan jemaah menteri menyatakan di sini… saya luluskan dana hampir RM1 bilion setiap tahun untuk tempoh 10 tahun kepada Felda.

“(Ini bagi) jamin kelangsungan institusi gergasi (Felda) negara kita,” katanya.

Minggu lalu, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata kerajaan bersetuju untuk menstruktur semula hutang Felda melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan.

Selain peruntukan itu, Anwar juga memaklumkan, kerajaan akan turut menanggung subsidi diesel sebanyak RM36 juta bagi penjanaan tenaga dan bekalan air bersih.

“Kerajaan juga meluluskan peruntukan RM21 juta bagi pembinaan pusat hemodialisis untuk kegunaan 2,000 pesakit di kawasan rancangan Felda.

“Sebanyak 283 unit Perumahan Generasi Baharu Felda (PBGF) akan disiapkan segera oleh kerajaan,” katanya.

Anwar juga berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM7.7 juta setahun untuk kos operasi, dan penyelenggaraan lampu jalan di kawasan Felda dengan dana itu mula disalurkan minggu depan.

Sambutan Hari Peneroka 2023 yang dihadiri oleh kira-kira 10,000 warga Felda turut disertai oleh Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Felda, Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shaari.

MCA jawab Sanusi

Mohamad Fadli

PETALING JAYA: MCA berkata tiada perbincangan untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) walaupun mengumumkan tidak bertanding pada PRN enam negeri.

Setiausaha Agung Chong Sin Woon berkata, buat masa ini “tidak ada isu” untuk MCA masuk ke mana-mana pakatan politik baharu.

“Jawatankuasa Pusat MCA hanya membuat keputusan tidak serta dalam PRN enam negeri. Tiada sebarang perbincangan untuk keluar BN.

“Jadi, tidak ada isu nak masuk ke mana-mana pakatan politik baharu,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas cadangan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Sanusi Md Nor kepada MCA dan MIC, supaya meninggalkan BN dengan menyertai gabungan itu, yang sedia menawarkan kerusi campuran kepada mereka pada PRN.

Sanusi berpendapat, MCA dan MIC memutuskan tidak menyertai PRN disebabkan layanan tidak adil, khasnya membabitkan kerusi campuran dikuasai Pakatan Harapan (PH).

Menteri besar Kedah itu juga tidak menolak keputusan MCA dan MIC isyarat bantahan terhadap Zahid Hamidi sebagai pengerusi BN.

Sementara itu, Presiden MCA, Wee Ka Siong, dalam hantaran ringkas di Facebook berkata “tidak” kepada cadangan Sanusi.

Rabu lalu MCA dan MIC mengumumkan tidak bertanding dalam PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan pada 12 Ogos ini.

Semalam, Zahid menafikan dua parti komponen itu memboikot BN, sebaliknya pemimpin MCA dan MIC menyuarakan komitmen untuk membantu jentera gabungan tersebut pada PRN enam negeri.

Nasib MB Negeri Sembilan pada PRN, Anwar masih berteka-teki

Malaysiakini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun telah membuktikan kredibilitinya sepanjang lima tahun menerajui kerajaan negeri, menerusi pelbagai pencapaian yang berkaitan dengan pelaburan dalam negeri.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) bagaimanapun dilihat masih berteka-teki mengenai sama ada Aminuddin yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Sikamat, akan bertanding atau tidak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

"Saya gembira dengan prestasinya dan berpuas hati dengan perlaksanaan tadbir urus negeri. Negeri Sembilan amat penting dari segi pelaburan kerana ia terletak berhampiran dengan Lembah Klang dan amat strategik.

"Perbincangan akhir (mengenai pencalonan Aminuddin) akan diadakan dengan parti komponen, buat masa ini dia (Aminuddin) kelihatan seumpama ‘poster boy’ kerana dia Menteri Besar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan  akan bertanding pada PRN kali ini.

Pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14), PH memenangi 20 kerusi, dengan DAP (11), PKR (enam) dan Amanah (tiga) manakala Barisan Nasional (BN) memperoleh 16 kerusi, dengan Umno (15) dan MIC (satu).

Sementara itu Aminuddin percaya beliau masih mendapat sokongan pada PRN yang akan diadakan 12 Ogos ini.

“Insya-Allah saya masih lagi disokong,” katanya ringkas, ketika ditemui media pada sesi makan tengah hari yang disertai Anwar di Taman Ampangan, di Seremban.

Pada PRU14, Aminuddin memenangi kerusi Sikamat dengan majoriti 3,413 undi menewaskan tiga calon lain dari BN, PAS dan seorang calon Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN bagi enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos dipilih sebagai hari pengundian.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

- Bernama

Ajal tercekik mata kambing

Agensi

New Delhi: Malang nasib lelaki berusia 50 tahun di sebuah bandar kecil di India, apabila meninggal dunia, awal minggu ini, selepas tercekik mata kambing yang separuh masak.

Times of India melaporkan, jurucakap polis memaklumkan kejadian berlaku ketika mangsa, Bagar Singh berkelah bersama rakannya di sebuah kampung di Chhattisgarh, yang terletak kira-kira 1,000 kilometer (km) dekat timur bandar ini.

Hasil siasatan mendapati Singh dan rakannya pertama kali pergi ke kuil, di mana kambing dikorbankan sebagai pertukaran untuk memenuhi hajat dan membeli kepala kambing di sana.

Mereka kemudian ke sebuah kampung di pinggir daerah Surajpur dan pergi ke satu lokasi perkelahan.

Singh sudah terlalu banyak minum arak apabila dia mengambil mata kambing itu, walaupun sebelum ia masak sepenuhnya.

Dia kemudian menelan mata kambing ituy yang berdiameter kira-kira lima sentimeter (sm) sebelum tercekik.

Rakannya kemudian membawanya ke hospital sejauh tujuh km sebelum mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di sana

"Bebola mata separuh masak, diameter sekitar dua inci, tersangkut di dalam saluran pernafasan, menyebabkan sistem pernafasan tercekik.

"Ia mungkin sebab utama kematian. Selain itu, lelaki itu mabuk, yang membawa kepada masalah pernafasan.

"Apabila masalah itu berlaku, kemungkinan makanan tercekik dalam saluran pernafasan adalah tinggi jika makanan tidak dikunyah dengan betul," kata Dr Swapnil Gupta seperti dilaporkan The Times of India.

Sementara itu, Dr Shailendra Gupta, seorang profesor madya di Kolej Perubatan Kerajaan Ambikapur berkata, mata kambing mempunyai konsistensi jeli dan mudah melekat pada otot saluran pernafasan.

Belasah anak kekasih sampai pecah tengkorak

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
PASANGAN kekasih direman tujuh hari bermula hari ini  bagi membantu siasatan kes dera dan bunuh anak kandung berusia tiga tahun. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
PASANGAN kekasih direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes dera dan bunuh anak kandung berusia tiga tahun. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Melaka: Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dihantar berubat di rumah teman lelaki ibunya di Cheng, di sini semalam.

Difahamkan ibu mangsa menghantar anaknya ke rumah teman lelakinya yang bekerja sendiri pada 5.30 pagi, bagaimanapun 40 minit kemudian lelaki itu memaklumkan anaknya terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke Hospital Melaka (HM).

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebaik tiba di HM pada 6.50 pagi, kanak-kanak itu dirawat di Zon Merah dan diberikan bantuan pernafasan lebih sejam, namun disahkan meninggal dunia pada 9.15 pagi.

Katanya, pada 10.30 pagi, mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HM dan pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan kecederaan di kepala dan badannya.

"Hasil siasatan awal, lelaki berkenaan mengaku ada menendang mangsa secara agresif kerana muntah di atas sofa kesayangannya.

"Lelaki itu juga mengaku menekan perut kanak-kanak itu secara agresif berkali-kali selain menendang sehingga kepala mangsa terhantuk ke lantai.

"Akibat perbuatan kejamnya itu tengkorak kanak-kanak itu pecah selain organ dalam perutnya turut pecah," katanya.

Beliau berkata, ibu kandung mangsa dan teman lelakinya berusia 24 dan 25 tahun kemudian ditahan polis di hospital untuk siasatan lanjut.

Katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengetahui motif kejadian dan siasatan lanjut.

Dalam pada itu, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga 13 Julai depan bagi membantu siasatan kes.

Anwar: Adakah kerana tak berjubah, serban saya anti-Islam

Mohamad Fadli

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas kritikan dan tuduhan beliau dan kerajaan perpaduan anti-Islam.

Anwar mempersoalkan bagaimana tuduhan itu dibuat sedangkan peruntukan untuk Islam lebih tinggi berbanding kerajaan terdahulu.

“Bagaimana nak kata kita anti-Islam. Di mana?…kerana saya tak berjubah dan serban,” katanya dalam majlis amanat perdana menteri kepada penjawat awam Negeri Sembilan.

Anwar turut meminta pengkritiknya membuktikan program apa yang beliau anjurkan sehingga boleh dianggap menentang Islam dan meremehkan martabat bahasa Melayu.

Katanya, peruntukan diberikan kerajaan perpaduan untuk memartabatkan bahasa Melayu lebih tinggi berbanding era pemerintahan Bersatu dan PAS sebelum ini.

“Mana anti-Islam. Pimpinan DAP, Loke Siew Fook turut menyokong langkah selamatkan hutang peneroka Felda. Di mana pengkhianatan DAP,” soalnya.

Beliau juga mendakwa, kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad pada 1999 yang membatalkan bantuan untuk sekolah agama rakyat.

Anwar berkata, beliau memilih laluan berbeza daripada menyokong Mahathir kerana mahu memberi bantuan untuk sekolah agama rakyat.

“Bantuan untuk sekolah agama rakyat dulu dibatalkan sama sekali oleh Mahathir pada 1999. Semua (sekolah) agama rakyat dibatal peruntukan sama sekali. Sekarang mereka (pembangkang) bersama dia.

“Saya memilih untuk berbeda…kita akan bantu semua sekolah agama rakyat,” katanya.

Mahathir: Anwar pembohong, gagal kemuka bukti seperti dijanji

Hidir Reduan Abdul Rashid

Dr Mahathir Mohamad menganggap Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai seorang pembohong demi kepentingan peribadi dan sejak 25 tahun lalu tidak pernah memberikan bukti kukuh menunjukkan bekas perdana menteri itu pernah menyalahgunakan kuasa untuk mengumpul kekayaan.

Dalam sanggahan 60 halaman terhadap pernyataan pembelaan Anwar terhadap saman fitnahnya, bekas ahli parlimen Langkawi itu menegaskan, bahawa defendan merujuk kepada apa yang dipanggil dokumen sebagai bukti tetapi akan memberi alasan apabila enggan mendedahkan bukti tersebut.

Ahli politik veteran berusia 97 tahun itu menegaskan pembelaan Anwar tidak mengandungi sebarang bukti walaupun pengerusi PH itu - pada 7 April lalu - dilaporkan media sebagai berkata, dia sedia untuk mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaannya terhadap plaintif.

Mahathir mendakwa ia bertentangan dengan pendapat Anwar tentang kerajaan menyelamatkan KPB (kini dikenali sebagai Pos Logistics Bhd), sebuah syarikat yang anak plaintif, Mirzan, adalah pemegang saham majoriti dan pengarah.

Defendan sendiri sebagai timbalan perdana menteri ketika itu (Mac 1998) memberitahu media bahawa ia bukan langkah penyelamatan tetapi sekadar "keputusan perniagaan".

Mahathir berkata Anwar - yang merupakan sebahagian daripada jemaah menteri pada awal dan pertengahan 1990-an - berada di parlimen pada 1997 untk memberitahu Ahli Parlimen Lim Guan Eng bahawa penjualan saham Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dalam MISC Bhd kepada Petronas bukanlah satu tindakan bailout.

Bekas orang kuat Umno itu menegaskan Anwar ketika itu memberitahu Dewan Rakyat perjanjian tersebut menunjukkan ketelusan pentadbiran ketika itu yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana perniagaan milik keluarga yang meminta bantuan kerajaan.

"Ini jelas menunjukkan defendan mempunyai ciri-ciri pembohong. Ini kerana defendan mempunyai pendirian yang berbeza (pada 1990-an) daripada apa yang dinyatakan dalam pembelaannya hari ini.

"Begitu juga dengan keengganan defendan sehingga hari ini untuk mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong dakwaannya.

"Ini menunjukkan defendan akan berkata sesuatu dan kemudian mengubah pendiriannya sambil memfitnah asalkan ia memenuhi faedah peribadi defendan," kata Mahathir.

Tuan Ibrahim: Senarai tular calon PAS Kelantan palsu

FMT Reporters
story-image
PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan senarai nama calon parti itu bagi PRN Kelantan yang tular di media sosial sejak semalam palsu.

“Apa yang saya boleh katakan, senarai berkenaan tidak betul sama sekali dan ia mula tular sejak semalam.

“Biasalah, kadang-kadang kita susah nak kawal media sosial yang terbuka sekarang. Jangan kata senarai nama calon, keputusan mengundi pun kadang-kadang keluar dahulu sebelum kira undi.

“Namun, saya sahkan senarai berkenaan tidak betul dan palsu. Kita tidak tahu apa motif maklumat yang tidak betul itu disebarkan,” katanya menurut Harian Metro selepas Ceramah Mega Pakat Pertahan Parlimen Kubang Kerian, malam tadi.

Terdahulu, tular senarai nama dikatakan calon PAS dan Bersatu yang akan bertanding di PRN Kelantan bulan depan.

Dalam senarai itu, Annuar Musa yang juga pengerusi Muafakat Nasional dikatakan akan bertanding di DUN Melor, manakala Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pula dikatakan bertanding di DUN Kijang.

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob dan Timbalannya, Mohd Amar Nik Abdullah pula dikatakan akan mempertahankan kerusi masing-masing di DUN Pasir Pekan serta Panchor.

Logik Sanusi: Kedah boleh lebih maju dari Selangor jika ada KL

Shakira Buang

Menteri Besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan keyakinannya Jelapang Padi Malaysia itu mampu menjadi negeri paling maju jika Kuala Lumpur berada berhampiran mereka.

Katanya, dengan itu juga hujah bahawa Selangor menjadi negeri termaju di negara ini kerajan ditadbir PH dapat disangkal.

Menurut pemimpin PAS itu lagi, Selangor hanyalah "bertuah" kerana kebetulan berada dekat dengan Kuala Lumpur.

“Selangor bertuah kerana KL berada dalam wilayah negeri Selangor. Di situlah pusat pembangunan, pusat perniagaan... segala pusat ada di Kuala Lumpur.

“Kalau Kuala Lumpur itu ada di Kedah saya yakin (kemajuan) Selangor akan berada jauh (di belakang) dari Kedah pada waktu ini, dan (kemajuan) Kedah yang ada Kuala Lumpur di dalamnya akan melonjak lebih jauh,” katanya dalam wawancara khas bersama Sanusi di Facebook malam tadi.

Mengulas lanjut, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN berkata Selangor tidak boleh dijadikan model negeri PH paling berjaya kerana kebijaksanaan pimpinannya memerintah.

Sebaliknya, Sanusi berkata Selangor hanya menumpang tuah Kuala Lumpur.

Katanya banyak daerah dalam Selangor yang berada jauh dari bandar raya, tidak mendapat pembangunan yang pesat, malah ada yang "lebih teruk" dari negeri lain.

“Saya rasa Selangor bukan negeri yang boleh dijadikan model kebijaksanaan PH khususnya PKR. Mereka hanya menumpang tuah dari Kuala Lumpur,” katanya.

Ada perubahan besar

Untuk rekod Selangor mengekalkan prestasinya sebagai penyumbang Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi Malaysia bagi 2022 iaitu 25.5 peratus, meningkat 0.7 berbanding 24.8 pada 2021.

Kedah pula merekodkan KDNK sebanyak 3.2 peratus pada 2021.

Menurut Sanusi meskipun jauh ketinggalan berbanding Selangor negeri-negeri pimpinan PN tetap akan membuktikan bahawa mereka mampu menarik pelaburan ke negeri masing-masing.

Keadaan itulah, dakwa Sanusi, menjadi ketakutan kepada kerajaan PH-BN.

Kerana itulah, katanya, kerajaan pusat mahu merampas negeri terbabit walau dengan apa cara sekalipun.

“Kalau tahun 2021 kita (Kedah) terima RM28.3 bilion, untuk 2022 RM13.4 bilion dan tahun ini untuk lima bulan yang pertama kita menerima RM5 bilion tidak mustahil kita boleh cecah belasan bilion ringgit pelaburan yang akan masuk ke Kedah.

“Kalau semua pelaburan ini telah menampakkan hasil dalam tempoh beberapa tahun ini Kedah akan melonjak sebagai kuasa besar di Utara,” katanya.

Sebab itulah, katanya, serangan bertali arus dibuat ke atas Kedah untuk merampas negeri berkenaan.

Dakwa Sanusi, Kedah seolah-olah menjadi dara pingitan yang diidamkan pihak lawan.

Sanusi juga turut mendakwa akan berlaku banyak lagi hal besar kepada negeri Jelapang Padi itu selepas PRN kelak namun dia tidak menjelaskan lebih lanjut hal itu.

"Saya akan pastikan ada satu perubahan besar kepada politik Malaysia berasaskan kepada pembetulan kepada sejarah yang telah dikecohkan,” katanya yang pernah membangkitkan isu pemilikan Pulau Pinang sebelum ini.

Lelaki dakwa jadi mangsa cabul ibu kandung

KOSMO!
Farias menutupi badannya dengan selimut ketika diiringi Quantell. - Facebook
WASHINGTON – Seorang lelaki yang ditemui selepas dilaporkan hilang oleh ibunya lapan tahun lalu mendakwa bahawa dia dikurung oleh wanita itu di rumah mereka.

Mangsa berkata, ibunya turut memberi dadah dan menderanya secara seksual selama tempoh itu.

Portal berita MailOnline melaporkan penemuan Rudy Farias, 25, dalam keadaan kusut masai di luar sebuah gereja di Houston, Texas pada minggu lalu. 

Ibunya, Janie Santana berkata, adalah satu keajaiban apabila anak lelakinya yang hilang ditemui semula tetapi memberitahu bahawa dia ‘tidak boleh bercakap’.

Ibunya, Janie Santana berkata, adalah satu keajaiban apabila anak lelakinya yang hilang ditemui semula tetapi memberitahu bahawa dia ‘tidak boleh bercakap’.


Kes itu bertukar aneh apabila Farias menuduh ibunya menahan dirinya di rumah dengan dia diperlakukan, seperti hamba. Wanita itu dikatakan memberinya ubat khayal.

Janie melaporkan kehilangan Farias pada 2015 ketika mangsa berusia 17 tahun, tetapi jiran mereka mendakwa bahawa remaja lelaki itu tidak hilang dan kerap melihatnya di rumah. 

Semasa kehilangan Farias, ibunya memberitahu polis bahawa dia mengalami kemurungan dan gangguan stres pascatrauma (PTSD) sejak saudara lelakinya meninggal dunia dalam kemalangan motosikal pada 2011.

Bapa Farias yang merupakan seorang pegawai polis Houston, Rudolph Farias III meninggal dunia akibat bunuh diri pada 2014. 

Farias dan ibunya bertemu dengan polis Houston kelmarin. Bagaimanapun, Farias dilihat menyembunyikan mukanya di
dalam selimut ketika diiring keluar dari sebuah hotel oleh seorang kaunselor, Quanell X.

Quanell yang hadir semasa pertemuan dua beranak itu sebagai orang tengah antara keluarga dan polis berkata, Farias meminta untuk bercakap dengannya secara tertutup.

Farias mendakwa bahawa dia ditemui polis selepas mencuri kereta ibunya untuk melarikan diri. Quanell berkata, lelaki itu membawa kad kredit ibunya yang dikeluarkan dua tahun lalu.

“Jadi, jika dia hilang selama lapan tahun, bagaimana dia boleh membawa kad kredit itu di dalam poketnya?” kata Quanell sambil menambah bahawa kes itu masih dalam siasatan. – Agensi

Sanusi: PN sedia beri MCA, MIC kerusi campuran jika keluar BN

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Sanusi Md Nor mencadangkan MCA dan MIC meninggalkan Barisan Nasional (BN) serta menyertai gabungan pembangkang itu yang sedia menawarkan kerusi campuran kepada mereka pada PRN di enam negeri.

Beliau berpendapat MCA dan MIC memutuskan tidak menyertai PRN di enam negeri disebabkan layanan tidak adil, khasnya membabitkan kerusi campuran yang dikuasai Pakatan Harapan (PH).

“Pada pandangan saya, bila BN berada bersama parti bukan Melayu dalam PH, khususnya DAP, jadi kerusi campuran ini terpaksa diberikan kepada PH dan kerusi untuk MCA, MIC tak ada lagi. Oleh kerana tidak diberi kerusi boleh menang, jadi bertanding untuk kalah lebih baik MCA dan MIC tak bertanding.

“Saya rasa hal ini perlu dilanjutkan lagi dengan MCA dan MIC keluar BN. Ini lebih munasabah dan saya rasa kerusi campuran boleh diwakili MCA dan MIC kalau mereka jadi komponen PN,” katanya dalam wawancara khas di Facebook malam tadi.

Sanusi juga tidak menolak keputusan MCA dan MIC tidak bertanding PRN sebagai isyarat bantahan terhadap Zahid Hamidi sebagai pengerusi BN.

Kelmarin, MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan untuk memfokuskan proses pengukuhan parti serta persediaan menghadapi PRU16.

Tetapi, Zahid semalam menafikan dua parti komponen itu memboikot BN, sebaliknya pemimpin MCA dan MIC menyuarakan komitmen untuk membantu jentera BN pada PRN di enam negeri.

Selangor hanya menumpang tuah KL

Sanusi yang juga menteri besar Kedah mendakwa Selangor maju bukan kerana ditadbir PH, tetapi disebabkan lokasinya berdekatan ibu negara, Kuala Lumpur.

Justeru katanya, Selangor tidak boleh dijadikan model negeri PH paling berjaya disebabkan kebijaksanaan pemimpin yang memerintah kerana ia sekadar menumpang tuah daripada Kuala Lumpur.

“Selangor bertuah kerana KL dekat dengan Selangor. Di situlah pusat pembangunan, pusat perniagaan, segala pusat ada di Kuala Lumpur.”

Katanya, negeri lain termasuk Kedah boleh maju seperti Selangor jika ia terletak berdekatan ibu negara.

Beliau yakin jika Kuala Lumpur terletak berhampiran Kedah, negeri pimpinannya itu akan lebih maju daripada Selangor.

Isteri bekas Adun dipukul selepas tegur kanak-kanak mencuri

Predeep Nambiar
Norhailee Rasid (berdiri di belakang kedai) diserang seorang lelaki tidak dikenali selepas menegur seorang kanak-kanak perempuan kerana mencuri.
GEORGE TOWN: Bekas Adun Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz mendakwa isterinya diserang seorang lelaki selepas dia menegur seorang kanak-kanak yang dipercayai mencuri di sebuah kedai.

Tindakan Norhailee Rasid dipercayai menyebabkan lelaki itu berang dan menyerangnya ketika berada di sebuah kedai di Jalan Dato Ismail Hashim, Bayan Lepas.

Menurut Azrul, Norhailee, 48, melihat seorang kanak-kanak perempuan memasukkan makanan ringan ke dalam begnya.

Kerana bimbang dengan tindakan itu, Norhailee menegurnya menyebabkan kanak-kanak itu lari.

Norhailee kemudiannya didatangi seorang lelaki yang dipercayai bapa kanak-kanak itu.
Lelaki yang dipercayai menyerang isteri bekas Adun di sebuah kedai di Bayan Lepas.
Azrul berkata rakaman CCTV menunjukkan lelaki itu memukul kepala Norhailee sebanyak dua kali dan juga cuba menumbuknya.

“Saya tidak kisah mengenai makanan yang dicuri kerana ia hanya makanan ringan malah kami tidak mengejar kanak-kanak itu. Tetapi untuk seorang lelaki menyerang wanita seperti ini, sukar untuk diterima,” katanya kepada FMT.

Azrul berkata, isterinya membuat laporan polis di Balai Polis Bayan Lepas dan pergi ke hospital untuk membuat pemeriksaan.

Ketua Polis Barat Daya Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi mengesahkan laporan dibuat dan pihaknya akan menjalankan siasatan.

Suami isteri cedera disimbah asid

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
KEADAAN kedua-dua mangsa yang disimbah asid. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN kedua-dua mangsa yang disimbah asid. FOTO Ihsan Pembaca
Gombak: Seorang warga emas bersama suami dan anaknya menempuh detik cemas apabila disimbah asid semasa memasuki lif di Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves, di sini baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Gombak, Superintendan Noor Arifin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu jam 3.10 pagi kelmarin.

"Mangsa adalah seorang wanita tempatan berusia 60 tahun dan suaminya warganegara Pakistan.

"Suspek bertindak menyimbah cecair dipercayai asid ke arah kedua-dua mangsa dari arah luar lif lalu melarikan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian itu tular di media sosial selepas dimuat naik seorang individu yang mengaku sebagai kenalan mangsa.

Video berkenaan memaparkan seorang suspek berdiri berhampiran mangsa semasa mereka sekeluarga sedang menunggu lif sebelum menyimbah cecair dipercayai asid sejurus mereka memasuki lif.

Mengulas lanjut Noor Arifin berkata, kedua-dua mangsa menjerit kesakitan dan meluru keluar dari lif berkenaan untuk mendapatkan bantuan orang ramai.

Katanya, kedua-dua mangsa di bawa untuk menerima rawatan di Hospital Selayang, di sini selepas meminta bantuan orang awam di lokasi kejadian.

"Salah seorang mangsa ditahan di Hospital Selayang bagi menerima rawatan lanjut dan seorang lagi dibenarkan pulang.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek adalah seorang wanita tempatan yang masih bebas," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat.

Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Nizar Adnan di talian 0149661892.

PAS ambil kesempatan isu tiket bas untuk kempen PRN

N Faizal Ghazali

Amanah Kelantan membidas tindakan Ahli Parlimen PAS Mohd Syahir Che Sulaiman yang mendakwa tiket bas ke Kelantan pada hari-hari menjelang PRN sudah habis sebaik tarikh pengundian diumumkan.

Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan Che Ibrahim Mohamed berkata, tindakan itu telah mengundang pelbagai spekulasi.

“PAS dilihat terlalu gopoh membuat kenyataan tanpa terlebih dahulu mendapat maklumat yang sahih daripada pihak terbabit," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.

Che Ibrahim juga mendakwa parti itu cuba menarik pelajar universiti untuk menggunakan perkhidmatan bas percuma yang ditawarkan oleh kerajaan negeri dan menggunakan peluang itu untuk berkempen.

Mohd Syahir membuat dakwaan itu dalam ceramah di PAS semalam dan berkata ia berikutan keghairahan pengundi untuk pulang mengundi di Kelantan.

Dalam duduk isytihar tarikh PRN pada 12 Ogos, dah heboh dah di kalangan anak muda khususnya golongan perantau Kelantan menyatakan tiket bas habis belaka dah. Habis tiket bas,” katanya.

Syahir juga mendakwa tiket penerbangan pergi balik ke Kota Bharu telah melonjak naik selepas pengumuman tarikh pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam.

Bagaimanapun, semakan Malaysiakini dalam talian mendapati apa yang didakwa ahli politik PAS itu adalah tidak benar.

Selain itu semakan Malaysiakini dengan pengusaha bas dan ejen jualan tiket pula mendapati penjualan tiket bas dari destinasi seluruh negara ke Kelantan pada tarikh menjelang pilihan raya negeri (PRN) baru sahaja dibuka hari ini.

Di tengah isu tersebut, kerajaan Kelantan kemudiannya mengumumkan akan menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk pulang mengundi pada PRN nanti.

Sementara itu Che Ibrahim berkata jika PAS benar-benar ikhlas, perkhidmatan bas percuma itu sepatutnya ditawarkan pada setiap musim cuti semester.

“Jika PAS benar-benar ikhlas kepada pelajar-pelajar universiti, perkhidmatan bas percuma itu sepatutnya ditawarkan di setiap musim cuti semester atau musim perayaan, bukan musim mengundi sahaja,” katanya.

PMX: Dr M-Muhyiddin ‘bersekongkol’ untuk jaga harta mereka

Anne Muhammad

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendakwa kerjasama antara Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad sudah dijangkakan untuk menjaga kepentingan masing-masing termasuk harta mereka.

Perdana Menteri berkata ia berbeza dengan kerajaan perpaduan pimpinannya yang berusaha dan bertanggungjawab untuk menyelamatkan negara dan rakyat.

“Itu bukan perkara baharu. Kita tahu kelompok itu tetap akan bersekongkol untuk pertahankan cara dan harta mereka.

“Kita bertanggungjawab untuk selamatkan negara dan rakyat,” katanya kepada media selepas merasmikan persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa.

Beliau mengulas pertemuan dua bekas perdana menteri itu dua hari lalu, tiga tahun selepas kedua-duanya “bersengketa” angkara Langkah Sheraton yang menjatuhkan Mahathir dari kedudukannya.

Mahathir dan Muhyiddin bersetuju untuk saling mengukuhkan perpaduan orang Melayu serta meningkatkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRN 12 Ogos depan.

Sementara itu, Anwar berkata beliau menyambut baik komitmen Presiden MCA Wee Ka Siong dan Presiden MIC SA Vigneswaran untuk kekal setia mempertahankan kerajaan perpaduan walaupun parti mereka tidak bertanding pada PRN.

“Kedua-duanya ada menghubungi saya dan menyatakan peringkat ini mereka tak akan menyertai (PRN) dan beri sokongan, saya fikir ini dalam ruang kuasa BN (Barisan Nasional).

“Tetapi saya ucap terima kasih di atas kesetiaan mereka membantu dan masih mempertahankan kerajaan perpaduan,” katanya.

Semalam, MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan untuk memfokuskan kepada proses pengukuhan parti.

Campak 2 anak dari tingkat atas rumah demi nyawa

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Keadaan deretan rumah kedai musnah dalam kebakaran di Pekan Lenga, awal pagi tadi. FOTO Alias Abd Rani
Keadaan deretan rumah kedai musnah dalam kebakaran di Pekan Lenga, awal pagi tadi. FOTO Alias Abd Rani
Pagoh: Seorang bapa bertindak mencampak dua anak lelakinya dalam usaha menyelamatkan nyawa mangsa yang terperangkap dalam kebakaran deretan rumah kedai di Pekan Lenga, Bukit Kepong di sini.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi tadi, Zamirul Suahimi, 30, bertindak mencampak Muhammad Firas Syahmi, 10, dan Muhammad Harith, empat tahun, dari tingkat atas premis sebelum dua beradik itu berjaya disambut dua pekerja kilang yang kebetulan berada di lokasi.

Bagaimanapun, Zamirul yang terjun selepas itu tercedera pada tangan akibat terkena zink selain melecur di telinga, mata, mulut selain bengkak di tengkuk.

Menceritakan kejadian itu, isterinya, S'biha Bahari, 39, berkata, sebelum kejadian dia menghubungi suaminya beberapa kali namun tiada jawapan.

"Tidak lama kemudian dua pekerja kilang terbabit menjawab telefon suami dan memaklumkan kedai makan milik kami terbakar.

"Menjadi kebiasaan bagi suami dan anak tidur di kedai kerana dia akan masak juadah pagi. Saya pula tidur di rumah ibu tidak jauh dari kedai makan.

"Suami terus bangun apabila mendengar jeritan sebelum mencampakkan anak dari tingkat atas kedai," katanya.

Menurutnya lagi, suaminya itu kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, dekat sini.

Dalam kejadian itu, 10 buah rumah kedai terbakar antaranya kedai runcit, kedai motosikal, kedai perkakas rumah.

Tangkap ikan guna renjatan elektrik, penyandang ADUN didakwa

Mohd Kamarul Hasifi Kamarudin dan KOSMO!

Gara-gara menangkap ikan menggunakan peralatan elektrik di sebatang sungai, seorang penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu telah dipanggil untuk memberikan penerangan.

Jabatan Perikanan Terengganu telah memanggil beliau berhubung penularan klip video klip di sebatang sungai di Terengganu.

Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, wakil rakyat tersebut telah hadir ke Pejabat Perikanan Negeri Terengganu di sini untuk memberi keterangan semalam.

Laporan psikiatri sahkan Yasin tidak waras ketika kejadian kes dadah


Faris Fuad
am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Laporan psikiatri Muhammad Yasin Sulaiman, dikeluarkan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, antara lain mengesahkan penyanyi nasyid dan komposer itu tidak waras ketika kejadian membabitkan dadah, tahun lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin berkata, keadaan mental penyanyi itu bertambah baik sekali gus layak dibicarakan dan boleh membela diri atas tuduhan kes dadah.

"Ada tiga kesimpulan, pertama tertuduh disahkan menghidap penyakit bipolar dan hyperthyroidism (gangguan mental). Saya secara ringkas merujuk kepada laporan itu dan disahkan tertuduh tidak waras ketika kejadian.

"Ini perkembangan baharu bagi pihak pendakwaan dan saya diarahkan oleh pihak pendakwaan Selangor untuk memohon satu lagi tarikh sebutan.

"Saya perlu dapatkan arahan baharu daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan perkembangan itu. Sekiranya diberikan tarikh sebutan baharu, mohon sebulan dari hari ini," katanya ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Nik Nasimah Nik Mohammad, hari ini.

Gangguan bipolar adalah penyakit mental yang menyebabkan perubahan mod tinggi dan rendah yang teruk serta perubahan dalam tidur, tenaga, pemikiran serta tingkah laku.

Orang yang mengalami gangguan bipolar boleh mengalami tempoh yang mana mereka berasa terlalu gembira dan bertenaga dan dalam tempoh lain pula berasa sangat sedih, putus asa dan lesu.

Pada 8 Mei lalu, mahkamah memerintahkan penyanyi nasyid itu dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk diperiksa tahap kesihatan mentalnya.

Hakim membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan peguam bela Muhammad Yasin, Ariff Azami Hussein, mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Pada 31 Mac 2022, Muhammad Yasin, 48, yang terkenal melalui lagu 'Mimpi Laila' berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac tahun sama.

Bagaimanapun, Yasin terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Majistret melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan berkenaan sebelum didakwa atas tuduhan memiliki ganja.

Penyanyi itu juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen kerana menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Sementara itu, Ariff Azami berkata, laporan perubatan itu mengesahkan dua perkara mustahak iaitu anak guam tidak waras ketika kejadian dan layak dibicarakan.

"Kami percaya perbicaraan terhadap tertuduh boleh diteruskan seperti dimaklumkan pendakwaan, bicara secara formal mengikut Bab 33 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) supaya akhirnya satu perintah di bawah Seksyen 347 CPC iaitu penghakiman pembebasan atas alasan gangguan mental dapat dikeluarkan.

"Perintah akhir di bawah Seksyen 348 CPC di mana pesakit dihantar semula untuk diubati hingga diperakui sihat oleh lembaga perubatan.

"Tiada bantahan untuk satu lagi tarikh sebutan kes namun bagi menjimatkan masa, mohon tarikh bicara seawal mungkin selama dua hari," katanya.

Hakim menetapkan 9 Ogos untuk sebutan semula kes, manakala 28 serta 29 Ogos untuk bicara.

SAH!! Lebai ni kaki kelentong

Pengusaha, ejen: Tiket bas balik PRN masih banyak, jualan baru mula
N Faizal Ghazali

Pengusaha bas ekspres memaklumkan penjualan tiket bas dari destinasi seluruh negara ke Kelantan pada tarikh menjelang pilihan raya negeri (PRN) baru sahaja dibuka penjualannya hari ini.

Pemilik Konsortium E-Mutiara Berhad Che Ibrahim Che Ismail berkata, setakat ini syarikatnya membuka jualan tiket dengan kuantiti bas seperti biasa.

“Undi tarikh balik mengundi kita mulakan jualan pada hari ini secara atas talian atau fizikal. Tiket bas Mutiara masih banyak dari semua destinasi ke destinasi di Kelantan.

“Setakat ini kita buka jualan seperti biasa, membabitkan 15 buah bas dari Lembah Klang dan masing-masing empat buah bas dari negeri-negeri lain seperti Johor atau negeri dari Utara untuk sehari,” katanya kepada Malaysiakini, ketika ditanya berhubung dakwaan tiket-tiket bas ke destinasi negeri Kelantan pada tarikh menjelang PRN sudah habis terjual.

Che Ibrahim berkata pihaknya juga akan merancang penambahan jumlah bas sekiranya tiket sedia ada tidak dapat menampung permintaan pengguna.
           Syahir Che Sulaiman
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman mendakwa tiket bas untuk pulang ke Kelantan pada hari-hari sebelum pengundian 12 Ogos telah habis dijual.

Berucap dalam satu ceramah di Kelantan semalam, dia berkata ia berikutan keghairahan pengundi Kelantan untuk mengundi di negeri yang dikuasai PAS itu.

Syahir juga mendakwa tiket penerbangan pergi balik ke Kota Bharu telah melonjak naik selepas pengumuman tarikh pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam.

“Dalam duduk isytihar tarikh PRN pada 12 Ogos, dah heboh dah di kalangan anak muda khususnya golongan perantau Kelantan menyatakan tiket bas habis belaka dah. Habis tiket bas,” katanya.

Bagaimanapun, semakan Malaysiakini dalam talian mendapati apa yang didakwa ahli politik PAS itu adalah tidak benar.

Setakat jam 10.40 pagi hari ini, beberapa laman tempahan tiket dalam talian menunjukkan terdapat banyak tiket bas disediakan dari Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang ke Kelantan.

Dalam respons segeranya, Syahir mempertahankan kenyataannya dengan berkata tiket bas ke lokasi lain di Kelantan sudah habis dijual, manakala tiket ke Kota Bharu terjual dengan pantas.

"Terima kasih @malaysiakini buat semakan. Saya pun buat semakan petang semalam, selepas kawan-kawan maklumkan dalam Whatsapp Group perantau.

Tiket bas destinasi kampung, selain Kota Bharu, termasuk Bachok petang semalam sudah sold out. (Untuk) destinasi Kota Bharu makin cepat terjual," katanya di Twitter.

Sementara itu ejen penjualan tiket bas ekspres Izani Zakaria ketika dihubungi turut memaklumkan masih terhadap banyak tiket bas dijual untuk ke destinasi di Kelantan.

Malah dia berkata masih ada syarikat-syarikat bas yang belum membuka penjualan tiket bagi tarikh menjelang PRN.

“Setakat semakan saya masih banyak tiket bas ke destinasi ke Kelantan pada tarikh-tarikh sebelum hari PRN dan selepas itu.

“Masih ada syarikat bas gergasi yang belum buka jualan tiket pada tarikh berkenaan. Sebab masih ada masa lebih kurang sebulan lagi. Mungkin mereka sedang merancang untuk sediakan bas tambahan misalnya.

“Jadi tak timbul soal tiket bas untuk balik mengundi dah habis dijual,” jelasnya.

OPR kekal pada 3%

FMT Reporters

Bank Negara Malaysia mengekalkan OPR pada 3% selepas menaikkannya pada Mei lalu.

BNM dalam kenyataan berkata berdasarkan tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.

“MPC terus menilai bahawa risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan adalah terhad.

“MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa dan akan terus memantau data baharu bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri,” katanya.

Menurutnya, MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.

'Mimpi ngeri' Salahuddin Ayub

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Inisiatif Payung Rahmah dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengurangkan beban rakyat terus mendapat sambutan dengan penyertaan Jaya Grocer bersama Grab Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kehadiran jenama besar itu sekali gus memusnahkan 'mimpi ngeri' beliau terhadap inisiatif dilaksanakan berkenaan akan berakhir.

"Saya tidak menyangka ada lagi syarikat mahu dan terus memberi sokongan kepada usaha KPDN memandangkan inisiatif Payung Rahmah ini tidak memberi apa-apa geran dan peruntukan khusus kepada mana-mana pihak yang menyertai.

"Perkara ini sekali gus mendorong KPDN untuk bekerja dengan lebih kuat dan terus menyantuni masyarakat dalam setiap segmen di bawah Inisiatif Payung Rahmah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran Inisiatif Payung Rahmah bersama Jaya Grocer dan Grab Malaysia di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, menerusi kerjasama itu, Jaya Grocer dan Grab Malaysia akan menawarkan promosi eksklusif melalui tiga inisiatif di platform Grab.

"Ia meliputi Pakej Rahmah iaitu tawaran pakej 'mix & match' dari serendah RM18 serta GrabFood Jualan Rahmah iaitu diskaun sehingga 40 peratus untuk barangan keperluan harian dan eksklusif di Jaya Grocer melalui GrabMart.

"Selain itu, terdapat juga pemberian Bakul Rahmah secara berkala bagi menyokong pemandu orang kurang upaya (OKU) Grab dan rakan kongsi penghantaran dengan kotak keperluan asas," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer dan Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo berkata, penyertaan pihaknya dalam Inisiatif Payung Rahmah bagi membantu mengurangkan beban rakyat berikutan peningkatan kos sara hidup.

"Isu peningkatan kos sara hidup memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia. Usaha menanganinya memerlukan penelitian pelbagai aspek.

"Ia boleh dilakukan dengan mengurangkan harga barangan, memudahkan akses kepada ekonomi digital bagi mewujudkan penjimatan jangka masa panjang," katanya.

Bekas setiausaha KBS dipenjara 15 tahun, denda RM283 juta

Hidir Reduan Abdul Rashid
Otman hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan berkaitan 32 pertuduhan rasuah dan 64 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Bekas setiausaha bahagian kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Otman Arsahd dihukum penjara 15 tahun dan didenda lebih RM283 juta selepas didapati bersalah atas pertuduhan rasuah dan  pengubahan wang haram membabitkan lebih RM38 juta.

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini mensabitkannya atas 96 pertuduhan bagi kesalahan yang didakwa berlaku antara 2012 dan 2015.

Otman didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kuasa dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan RM38.4 juta.

Ini melibatkan 17 pertuduhan mengikut Seksyen 18(a) Akta SPRM 2009 atas dakwaan mengemukakan tuntutan palsu, manakala baki 15 pertuduhan adalah berhubung salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 (1) akta yang sama.

Lelaki berusia 64 tahun itu turut didakwa atas 64 pertuduhan pengubahan wang haram yang didakwa menerima RM16,623,000 hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang melalui cek yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad miliknya.

Otman dituduh melakukan kesalahan salah guna kuasa dan tuntutan palsu di Pejabat Majlis Sukan Negara (MSN), Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil di Kuala Lumpur, antara 28 Feb 2012 dan 18 Nov 2015.

Dia juga didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram antara 7 Mac 2012 dan 11 Dis 2015.

Bagaimanapun, hakim Kamarudin Kamsun  membenarkan Otman yang diwakili peguam Rafique Rashid Ali menangguhkan pelaksanaan hukuman itu.

MP PAS kata tiket bas ke Kelantan habis, laman web tunjuk tak betul

Hariz Mohd

Ceramah PAS di Kelantan malam tadi dimaklumkan bahawa tiket bas untuk pulang ke negeri itu pada hari-hari sebelum pengundian 12 Ogos telah habis dijual.

Ini, menurut Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman, adalah berikutan keghairahan pengundi Kelantan untuk mengundi di negeri yang dikuasai PAS itu.

Syahir juga mendakwa tiket penerbangan pergi balik ke Kota Bharu telah melonjak naik selepas pengumuman tarikh pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya semalam.

“Dalam duduk isytihar tarikh PRN pada 12 Ogos, dah heboh dah di kalangan anak muda khususnya golongan perantau Kelantan menyatakan tiket bas habis belaka dah. Habis tiket bas.

“Tiket kapal terbang bukan calang-calang harganya. Harga kayangan (penerbangan) pergi-balik dekat RM1,000 dah seorang.

“Maknanya gelombang anak muda, anak perantauan nak balik mengundi ini tinggi.

“Dalam kita rasa teruja saya sampai petang ini, terus ke program muslimat. Muslimat pun bersemangat,” katanya.

Syahir, yang merupakan setiausaha politik kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, membuat dakwaan berkenaan semasa cermah 'Pakat Pertahan Parlimen Bachok' di Kampung Badak, Bachok malam tadi.

Bagaimanapun, semakan Malaysiakini dalam talian mendapati apa yang didakwa ahli politik PAS itu adalah  tidak benar.

Setakat jam 10.40 pagi hari ini, beberapa laman tempahan tiket dalam talian menunjukkan terdapat banyak tiket bas disediakan dari Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang ke Kelantan.

Menurut busonlineticket.com, terdapat banyak tiket yang masih tersedia untuk untuk perjalanan ke Kota Bharu dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur antara Ahad 6 Ogos dan Jumaat 11 Ogos.

Antara pengusaha bas ekspres yang menyediakan perjalanan ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur termasuklah Ekspres Sani, Ekspres Zaim, Ekspres Perdana dan Ekspres Pancaran Matahari.

Semakan juga mendedahkan bahawa beberapa syarikat bas masih mempunyai semua tempat duduk yang belum dipenuhi.

Begitu juga, semakan di laman web redbus.my menunjukkan tiket masih tersedia untuk perjalanan dari Johor Bahru ke Kota Bharu pada 10 dan 11 Ogos.

Manakala dari Pulau Pinang yang merupakan sebuah lagi negeri perindustrian, dua syarikat, Perdana Express dan Transnasional juga masih mempunyai tiket untuk perjalanan ke Kota Bharu pada 7 dan 8 Ogos ini.

Sementara itu, semakan di Google Flights menunjukkan beberapa syarikat penerbangan menawarkan perjalanan pergi balik antara Kuala Lumpur dan Kota Bharu dengan harga kurang RM500.

Antara yang disenaraikan termasuk Malaysia Airlines (RM444), dan Malindo Air (RM326) untuk ke Kota Bharu menjelang hari pengundian dan pulang ke Kuala Lumpur sehari selepas mengundi (13 Ogos).

Annuar Musa tidak akan 'lawan' anak sendiri

Sinar Harian

BACHOK: Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan beliau tidak akan berlawan dengan anaknya, Afiq Amani pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Ia susulan Afiq Amani antara 155 nama yang dihantar oleh UMNO Kelantan kepada kepimpinan pusat untuk dipertimbangkan sebagai calon PRN.

Annuar berkata, hal ini kerana Afiq Amani merupakan penyokong kuat beliau.

"Buat masa ini saya mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung perkara tersebut," katanya semasa sidang akhbar pada malam Rabu.

Sebelum itu, beliau berucap pada ceramah Ppakat Pertahan Kelantan: Pas Pilihanku di sini.

Menurut bekas Ahli Parlimen Ketereh itu, sebarang perkembangan berkait perkara tersebut akan diteliti terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang komen.
Media pada Rabu melaporkan, Afiq Amani antara 155 nama yang dihantar kepada kepimpinan pusat untuk dipertimbangkan sebagai calon pada PRN tidak lama lagi.
Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata, Afiq Amani dinamakan oleh UMNO Ketereh untuk bertanding di salah satu DUN dalam Parlimen berkenaan. - Sinar Harian

Nik Abduh: Menjadi calon bukan legasi tok guru

N Faizal Ghazali

Sama ada namanya diangkat sebagai calon atau sebaliknya dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti, bekas ahli parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan dia akan kekal istiqamah bersama PAS.

Malah anak kepada bekas Musyidul Am PAS Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat itu menegaskan bahawa menjadi calon sama sekali buka legasi perjuangan ayahnya.

“Saya serah pada pimpinan. Yang penting saya kekal istiqamah, dan akan bersama jentera PAS dalam kempen PRN nanti.

“Mesti saya terima (keputusan parti), saya ahli biasa PAS hari ini patuh pada keputusan pimpinan insya-Allah,” katanya ketika ditemui media ketika menghadiri ceramah mega ‘Ppakat Pertahan Kelantan’ di Bachok, malam tadi.

Nik Abduh sebelum ini menjadi wakil rakyat PAS selama dua penggal bagi parlimen Pasir Mas dan Bachok.

Bagaimanapun dia tidak dicalonkan semula pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu.

Terdahulu Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika ditanya sama ada Nik Abduh akan dinamakan sebagai calon dalam PRN Kelantan bagaimanapun menyatakan perkara itu akan diketahui pada hari penamaan calon.

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi pelaksanaan PRN di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan berlangsung serentak pada 12 Ogos, dengan hari penamaan calon pada 29 Julai.

Sementara itu ditanya mengenai dakwaan yang menyatakan wujud usaha menghapuskan legasi ayahnya sekiranya dia sekali lagi tidak dicalonkan, Nik Abduh sama sekali menolak tanggapan itu.

Katanya, legasi tok guru bukan menjadi calon tetapi memperjuangkan Islam.

“Legasi tok guru bukan menjadi calon, legasi tok guru adalah memperjuangan Islam dan mempertahankan kerajaan negeri Kelantan.

“Itu legasi tok guru, menjadi calon bukan legasi tok guru,” tegasnya.

Lelaki bius, rogol wanita dihukum mati

AFP

Tehran: Tiga lelaki di Iran dijatuhi hukuman mati kerana merogol beberapa wanita yang diperdaya dengan iklan rawatan kosmetik daripada klinik estetik palsu.

Semua wanita itu diperdaya hingga memasuki klinik berkenaan sebelum disuntik dengan ubat bius dan diperkosa.

Berdasarkan keputusan disiar portal badan kehakiman Mizan, kesemua lelaki itu didapati bersubahat dalam 12 kes serangan seksual pada akhir 2021 di wilayah selatan Hormozgan.

Ketua Hakim Mojtaba Ghahramani dipetik berkata, "tiga lelaki itu akan dihukum gantung di penjara Bandar Abbas."

Seorang daripada tertuduh bekerja sebagai pembantu perubatan didakwa memujuk tujuh mangsa dengan 'iklan palsu' prosedur rawatan kosmetik yang disiar dalam talian, sebelum menyuntik mereka dengan ubat bius dan merogol.

Dua lagi tertuduh yang juga jururawat pula didakwa atas lima kes rogol serta pertuduhan berkaitan kecurian dadah, menurut laporan.

Kumpulan hak asasi Amnesty International mendedahkan, Iran menghukum mati lebih ramai individu, berbanding negara lain kecuali China dengan sekurang-kurangnya 582 pesalah tahun lalu iaitu jumlah tertinggi sejak 2015.
-hmetro 

Kontraktor dibunuh, mayat disembunyikan dalam but kereta

MOHD YUNUS YAKKUB
Keadaan mayat yang dibungkus dengan plastik hitam dan diletakkan dalam but kereta Honda City tersebut.
SHAH ALAM – Bau busuk pada but sebuah kereta yang ditinggalkan di tepi jalan membongkar penemuan mayat seorang kontraktor binaan hampir reput dalam kejadian di Taman Sri Orkid Seksyen 30, di sini semalam.

Mayat lelaki warga Indonesia berusia 47 tahun itu dijumpai kira-kira pukul 3.25 petang selepas menerima panggilan daripada orang awam yang melalui lokasi tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay anak Embol berkata, pemeriksaan mendapati mayat tersebut telah dibungkus dengan plastik hitam sebelum diletakkan pada kereta jenis Honda City berwarna hitam yang didaftarkan atas nama mangsa.

Katanya, kenderaan tersebut pula dipercayai telah berada kira-kira dua atau tiga hari di lokasi berkenaan.

“Mayat mangsa kemudiannya telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

“Susulan itu, polis kemudiannya menahan empat suspek termasuk seorang wanita warga Indonesia berusia 40-an kira-kira pukul 7 petang hari sama berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati motif pembunuhan disyaki cemburu namun siasatan lanjut masih dijalankan oleh pihaknya.

“Kesemua suspek kini direman bermula hari ini sehingga 10 Julai depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Budak 9 tahun mati dicekik abang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik abang sulungnya berusia 14 tahun di Melaka.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari di Bukit Piatu itu, jiran mangsa dikenali sebagai Ain, 31, berkata, dia dihubungi ibu mangsa yang memaklumkan anak sulung daripada empat beradik itu sedang mencekik adiknya.

Menurut suri rumah itu, ibu mangsa menyedari insiden terbabit selepas melihatnya di telefon bimbit melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam rumah sewa mereka.

Katanya, mangsa tidak ke sekolah kerana mengalami sakit mata dan tinggal bersama abangnya yang dipercayai mengalami masalah kesihatan sejak beberapa minggu lalu.

“Abangnya pula seperti tidak sedar apa yang sedang dilakukan dan masih mencekik adiknya hingga beberapa jiran lain datang membantu,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Katanya, remaja lelaki itu baik dan sering bermain dengan anak-anak jiran, namun keadaan dikatakan berubah selepas pulang dari sekolah tahfiz tempatnya belajar.

Menurutnya, remaja itu didakwa pernah mengalami trauma seperti dirasuk baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Christopher Patit mengesahkan perkara itu dan kejadian sedang dalam siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menjaga sensitiviti keluarga,” katanya.

2 nelayan Vietnam ditembak, seorang pegawai APMM parah ditetak di perairan Terengganu

FMT Reporters
Pengarah APMM Terengganu, Khairulanuar Abd Majid, berkata semua kru bot nelayan asing nekad menyerang pegawai dan anggota yang berada dalam bot. (Gambar APMM)
PETALING JAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu terpaksa melepaskan tembakan susulan diserang kru bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negeri.

Dalam serangan itu pada 11.30 pagi itu, seorang pegawai, Shakir Zufayri Azizul, 27, parah di kepala selepas ditetak dengan parang.

Pengarah APMM Terengganu, Khairulanuar Abd Majid, berkata tekong dan dua awak-awak cedera di bahagian lengan kiri dan dua belah paha akibat terkena tembakan.

Katanya, bot nelayan Vietnam yang dinaiki seorang tekong dan 15 awak-awak ditahan ketika operasi dijalankan melibatkan 18 lagi pegawai serta anggota APMM di lokasi 148 batu nautika dari Kuala Terengganu.

“Semua kru bot telah mengambil tindakan nekad dengan menyerang pegawai serta anggota APMM Terengganu yang berada dalam bot mereka.

“Turut cedera dalam kejadian itu ialah tekong dan dua lagi awak-awak nelayan Vietnam. Kedua-duanya cedera di bahagian lengan kiri dan kedua-dua belah paha akibat terkena tembakan,” katanya menurut Bernama.

Khairulanuar berkata, mangsa termasuk nelayan Vietnam cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan menaiki helikopter bagi mendapatkan rawatan segera.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati bot berkenaan tidak memiliki permit, lesen sah serta dokumen pengenalan diri.

“Semua nelayan asing telah ditangkap di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa pas yang sah,” katanya.