Pelancong maut selepas hospital enggan beri rawatan, bimbang tidak mampu bayar bil

Utusanonline 
PETUGAS paramedik memberikan rawatan kecemasan kepada pelancong, Andy Chen di kawasan tepi jalan di Bangkok.-AGENSI
BANGKOK: Seorang pelancong maut selepas sebuah hospital didakwa menolak untuk menerima kemasukannnya dan memberikan rawatan kepada pesakit itu gara-gara khuatir dia tidak mampu membayar kos perubatan yang tinggi di kemudahan berkenaan.

Menurut Metro.uk, Andy Chen, 41, terpisah daripada rombongan 18 pelancong lain pada 8 Disember lalu dan laporan orang hilang dibuat apabila dia tidak ditemui malam itu.

Pelancong Taiwan itu kemudian didapati parah akibat insiden langgar lari melibatkan seorang pemandu mabuk di kawasan jalan di Bangkok.

Paramedik sukarelawan berusaha memberikan rawatan kecemasan kepada Chen sebelum dia dikejarkan ke Hospital Vibraham berhampiran lokasi kejadian.

Tetapi menerusi satu video tular, penyelia jururawat didengari mengherdik dan memarahi paramedik berkenaan kerana membawa mangsa ke hospital berkenaan.

“Kami sudah memberitahu kami tidak menerima pesakit, jadi mengapa kamu membawanya ke sini?

“Dia warga asing, tidak mempunyai saudara mara, kita tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bayaran balik bil perubatannya. Kenapa tak bawa dia ke hospital awam berdekatan? ” kata jururawat itu.

Selepas ditolak jururawat tersebut, paramedik berkenaan terpaksa membawa Chen ke hospital kerajaan sejauh 10 kilometer tetapi mangsa dilaporkan meninggal dunia selepas ambulan yang membawanya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Ekoran kejadian itu, Hospital Vibraham kini disiasat oleh pihak berkuasa kerana dikesan turut menolak beberapa pesakit lain sebelum itu.

Ketua Pengarah Jabatan Sokongan Perkhidmatan Kesihatan, Dr. Sura Wisetsak berkata, pesakit yang tidak sedarkan diri layak menerima rawatan di mana-mana hospital.

“Kakitangan hospital yang didapati bersalah kerana enggan memberikan rawatan kecemasan kepada pesakit dalam bahaya boleh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda sehingga 40,000 baht (RM5,352) atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Pusat beli-belah di Puchong ditenggelami banjir

FMT Reporters
Tangkap layar video tular di media sosial menunjukkan keadaan kawasan pusat beli-belah IOI Puchong yang ditenggelami banjir.
PETALING JAYA: Hujan lebat yang melanda sejak petang tadi mengakibatkan sebuah pusat beli-belah di Puchong ditenggelami air.

Satu rakaman video tular di media sosial menunjukkan beberapa pengunjung terpaksa meredah air dalam kawasan premis IOI Puchong manakala berpuluh kenderaan di kawasan parkir juga terjejas.

Susulan itu, Unit Pengurusan Bencana Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah mengeluarkan amaran tahap tiga atau bahaya di kawasan IOI Puchong pada 6.46 petang tadi.

Dalam amaran itu semua agensi terlibat pengurusan bencana diminta bersedia untuk pelaksanaan operasi bantuan bencana di bawah bidang kuasa masing-masing.

“Diminta kepada semua pengguna jalan raya yang akan melalui jalan tersebut supaya merancang dan mencari laluan alternatif bagi mengelak kawasan tersebut.

“Semua penduduk berdekatan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa,” menurut notis itu di Facebook MBSJ.

Tahanan wanita meninggal dunia lepas empat hari di lokap polis

Malaysiakini

Seorang suspek wanita meninggal dunia selepas empat hari berada dalam tahanan polis, maklum Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan (Jips) Bukit Aman Azri Ahmad.

"Pada 12 Disember 2023, seorang perempuan Melayu berumur 34 tahun telah ditangkap di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1852 serta ditahan reman di lokap Balai Polis Kuah, Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi, Kedah untuk siasatan lanjut.

"Pada 15 Disember 2023 jam lebih kurang 8.05 malam, orang kena tahan (OKT) tersebut mengadu tidak sihat dan terus dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

"Kemudiannya ditahan di wad untuk rawatan lanjut," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan (Jips) Bukit Aman Azri Ahmad.
ADS

Suspek kemudian disahkan meninggal dunia pada 7.30 pagi keesokan harinya. Bedah siasat akan dilakukan pada 17 Dis di Hospital Besar Alor Setar.

Azri berkata pihaknya sedang menyiasat punca kematian.

Suspek ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seksyen 39B yang dipinda baru-baru ini menjenayahkan pengedaran dadah dengan hukuman mati mengikut budi bicara hakim. Ia juga membawa hukuman sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

Seksyen 15(1)(a) berkaitan pengambilan dadah terlarang ke dalam tubuh.

Jips Bukit Aman ditubuhkan pada 2014 sebagai jabatan kesembilan polis dan kerap menghebahkan penyiasatan pihak berkuasa terhadap insiden kematian dalam tahanan.

Kes pegawai kanan polis langgar pelajar: Keluarga minta pegawai penyiasat kes ditukar

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
MOHD Yusri ketika melawat keluarga Mohammad Zaharif Affendi. FOTO L Manimaran
MOHD Yusri ketika melawat keluarga Mohammad Zaharif Affendi. FOTO L Manimaran
Ipoh: Polis menjamin siasatan lebih telus dan berkredibiliti siasatan kes pelajar Tingkatan Lima yang dilanggar kereta dipandu pegawai kanan polis berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, di sini, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memberi jaminan itu selepas beliau mengadakan sesi kunjungan ke rumah keluarga mangsa di Taman Chepor Sentosa, di sini petang tadi.

"Insya-Allah saya akan mengambil tindakan seperti mana yang diminta oleh keluarga itu untuk memastikan kepercayaan dan juga siasatan kes ini mendapat kebenaran yang dikehendaki mengikut undang-undang," katanya kepada pemberita selepas sesi ziarah itu petang tadi.

Ketika pertemuan itu, bapa mangsa, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, dilihat tidak mampu menahan pilu susulan kematian anaknya, Muhammad Zaharif Affendi, 17.

Pertemuan itu disusuli dengan luahan ahli keluarga mangsa mengenai insiden berkenaan di samping meminta pegawai penyiasat kes yang didakwa mereka mempunyai hubungan sebagai rakan dengan suspek kes itu selain persoalan mengenai integriti ketika mengendalikan siasatan.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, setakat ini tujuh saksi yang dipanggil memberi keterangan bagi kes itu dengan kesemua mereka terdiri daripada pelajar sekolah yang berada di lokasi ketika kejadian.

"Kertas siasatan akan dilengkapkan seberapa segera untuk dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya.

Terdahulu, Mohd Yusri berkata pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan itu masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di samping Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh).

Perintah tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Isnin ini, dikenakan terhadap suspek berusia 44 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Dalam kejadian semalam, Muhammad Zaharif Affendi maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari arah belakang kereta yang dipandu pegawai polis berkenaan.

Hadi Awang: Hutang dosa yang tidak diampun tular tapi Pas belum bayar hutang

HarapanDaily.com

Satu klip video yang memaparkan presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata hutang adalah dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah swt, telah tular.

Video ini tular dalam keadaan di mana bekas syarikat pencetak akhbar Pas Harakah menuntut hutang tertunggak dari Pas.

Hadi menceritakan bahawa seorang sahabat bertanya kepada Nabi Muhammad, sekiranya mati di medan perang, apa yang akan beliau diperolehi?

“Rasulullah kata Tuhan ampunkan dosa-dosa mu, banyak mana besar mana dosa pun, Tuhan ampunkan kecuali hutang dengan orang. Hutang kena bayar. Kalau mati syahid sekali pun hutang orang tak bayar, tertanggung hutang itu.

“Ini beratnya hutang. Hutang jangan buat mudah. Nak lepas hutang orang, dia perang sampai biar mati tak payah bayar hutang. Itu tak boleh. Hutang orang kena bayar. Itu berkait dengan manusia.

“Ini tanggungjawab yang mesti kita tunaikan. Hanya sebab itu bila seorang itu nak pergi berjuang, dia kena minta halal. Kena bayar hutang dahulu atau minta halal dengan orang yang dia berhutang,” katanya dalam video tersebut.

Bekas pengurus syarikat pencetak akhbar Harakah – NAJ Press Resources, Hussin Jan telah meluahkan rasa tidak puas hati apabila Pas masih gagal melangsaikan hutang tertunggak bernilai lebih setengah juta kepada mereka.

“Kalau dia parti Islam, harap tolong bayar hutang kerana bos besar yang juga pengasas syarikat (Azlan Jan) pun berada dalam keadaan tidak sihat dan sedang menerima rawatan di hospital.

“Jadi sepatutnya inilah waktu paling sesuai untuk mereka membayar hutang. Saya tak nak dendam dengan mereka.

“Hari itu kata tunggu keputusan mahkamah, sekarang mahkamah sudah buat keputusan, mereka pula cuba nak melambat-lambatkan proses bayaran.

“Sebab apa (lambat bayar)? Adakah tujuan nak tangguh, tak nak bayar atau macam mana? Itu yang jadi masalah,” katanya.

Notis perintah dan penghakiman bawah Aturan 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bertarikh 5 Disember 2023 telah pun dihantar dan tempoh hayat telah pun mati.

Pada 5 Disember lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Pas membayar RM656,233.69 kepada NAJ Press sebagai baki bayaran perkhidmatan mencetak.

Pemandu BMW mabuk sebabkan kematian 2 guru ditahan

Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my

Kepala Batas: Polis menahan seorang lelaki yang memandu BMW bagi membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan dua guru di Jalan Permatang Baru, di sini, awal pagi tadi.

Lelaki berusia 46 tahun itu dibawa ke Mahkamah Butterworth untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Pemangku Ketua Polis Seberang Perai Utara, Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, soal siasat mendapati kemalangan jam 2.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila pemandu BMW hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta dinaiki dua guru.

"Ketika itu BMW yang dipandu lelaki tempatan datang dari arah Sungai Lokan, Butterworth menghala Kepala Batas.

"Manakala pemandu dan penumpang Perodua Myvi datang dari arah Kepala Batas menghala Sungai Lokan, Butterworth.

"Pemandu BMW tidak mengalami sebarang kecederaan manakala dua mangsa yang menaiki Perodua Myvi meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Nor Salawati berkata, hasil ujian pernafasan ke atas pemandu BMW mendapati paras kandungan alkohol melebihi yang dibenarkan.

"Pemandu itu dibawa ke Mahkamah Butterworth pagi tadi untuk mendapatkan perintah reman.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Hafizi Mohamad di talian 01126967676," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Meracau bila tak dapat 'pekena' vape

Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Suhaila Khairie
am@hmetro.com.my

WAP daripada cecair nikotin vape lebih bahaya kerana perisa dipanaskan menyebabkan ia lebih cepat masuk ke paru-paru.
Kuala Lumpur: "Selepas tempoh sehari hingga dua hari dimasukkan ke dalam wad hospital, pesakit menunjukkan simptom lebih ekstrem seperti berkomunikasi sendirian, meronta-ronta dan menjerit sehingga kami terpaksa mengikat mereka," ujar kakitangan sebuah hospital mahu dikenali sebagai Ayie, 32, berhubung gejala dialami penagih rokok elektonik vape.

Kisah itu dikongsinya menerusi video dimuat naik di aplikasi TikTok oleh akaun AyieTDF berhubung mangsa yang ketagihan vape atau rokok elektronik, baru-baru ini.

Dia yang enggan identitinya didedahkan berkata, sepanjang tempoh perkhidmatannya ketika bekerja di wad hospital, dia tidak pernah melihat penghisap vape mengalami ketagihan tahap ekstrem seumpama itu.

"Namun, kebelakangan ini seramai empat individu terutama golongan muda lingkungan usia 16 hingga 17 tahun dimasukkan ke wad kecemasan susulan simptom penarikan (withdrawal symptom) yang dialami.

"Kebanyakan mereka tidak sedarkan diri sepenuhnya atau separa sedar ketika dihantar di jabatan kecemasan hospital. Ketika itu jelas kelihatan perubahan tingkah laku pada menghisap vape muda ini.

"Mereka tidak memberi reaksi atau menyahut ketika dipanggil. Mereka juga berada dalam keadaan khayal atau separuh sedar," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ayie yang juga kaunselor HIV dan AIDS berkata, perkara ini menunjukkan golongan pesakit terbabit sudah mula ketagih dengan bahan yang diambil.

"Pesakit yang menunjukkan simptom ekstrem termasuk meracau ini terpaksa diikat lima penjuru. Ini termasuk kedua-dua belah tangan dan kaki serta badan bagi mengelakkan risiko jatuh, atau melarikan diri dari wad.

"Kami juga bimbang jika mereka terjun bangunan dan sebagainya. Kami terpaksa melakukan perkara sebegini kerana jururawat sudah tidak mampu mengawal mereka," katanya.

Menurutnya, walaupun mangsa ketagihan vape ini masih mampu diubati namun kesan kepada paru-paru akan kekal dan masih boleh dilihat melalui imbasan sinar-X.

"Sebagai saksi yang sudah melihat sendiri perkara ini terjadi di depan mata, saya sebenarnya risau ketika membaca maklum balas daripada pengguna lain yang kebanyakannya menganggap perbuatan menghisap vape sebagai normal.

"Menghisap vape itu sendiri adalah budaya tidak sihat. Malangnya orang ramai masih mempunyai tanggapan bahawa vape lebih 'sihat' berbanding rokok. Hakikatnya vape dan nikotin sedikit pun tidak memberi kebaikan pada kesihatan.

"Wap daripada cecair nikotin vape itu sebenarnya lebih bahaya kerana perisa itu dipanaskan menyebabkan ia lebih cepat masuk ke paru-paru dan jumlah nikotin yang disedut juga adalah lebih tinggi berbanding asap rokok," katanya.

Ayie berkata, tujuannya memuat naik video itu adalah untuk memberi kesedaran berhubung bahaya vape dan berharap individu yang sudah terjebak segera mendapatkan bantuan daripada doktor.

"Kita terkebelakang dalam usaha menangani masalah vape dadah. Seolah-olah ia bukan lagi ancaman pada negara.

"Apa yang membimbangkan ada antara mangsa ketagihan vape ini mendakwa cecair vape itu sengaja dicampur dengan dadah seperti ganja dan dadah sintetik," katanya.

Sebelum ini Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia (MASAC), Raja Azizan Ismail memaklumkan lebih 800 dadah psikoaktif baharu atau new psychoactive substances (NPS) dipercayai digunakan dalam cecair vape yang boleh memberi kesan khayal.

Menurutnya, kesempatan itu digunakan oleh pengedar NPS berikutan ramai belia kini lebih gemar menghisap vape berbanding rokok.

Keadaan itu menurutnya mengakibatkan berlaku peningkatan penggunaan bahan kimia berbahaya dan mengkhayalkan dalam kalangan belia tetapi gagal dikesan oleh pihak berkuasa.

Kewujudan dadah vape ini menjadi salah satu penyumbang besar angka penyalahgunaan dadah di negara ketika ini," katanya.

ADA pesakit terpaksa diikat kerana meronta-ronta selepas alami gejala penarikan. 
ADA pesakit terpaksa diikat kerana meronta-ronta selepas alami gejala penarikan.
Vape sumbang risiko sakit mental

Ketagihan terhadap rokok elektronik vape terutama dalam kalangan remaja dan belia mendorong kepada gejala kemurungan emosi dan risiko penyakit mental.

Ketua Sustainable SmokeFree Campus Community Flagship, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Mohammad Haniki Nik Mohammed berkata, perkara itu diakui pakar kesihatan negara-negara maju yang terlebih dahulu sudah melakukan kajian terhadap kaitan vape dan kesihatan mental.

Menurutnya, keputusan diperolehi adalah konsisten terhadap kaitan tekanan diatesis membabitkan hubungan menghisap vape dan kemurungan.

"Kajian mendapati merokok termasuk vape adalah penyebab tekanan psikobiologi berikutan ia boleh memudaratkan sistem saraf.

"Terdapat bukti bahawa sistem saraf dan laluan tekanan oksidatif kembali normal selepas pemberhentian pengunaan tembakau atau nikotin yang berpanjangan.

"Oleh itu, berkemungkinan bahawa merokok mempunyai kesan ke atas kesihatan mental. Gejala penarikan (withdrawal symptom) nikotin adalah simptom ketara sebagai akibat pergantungan kepada nikotin," katanya.

Menurutnya, gejala itu termasuklah kebimbangan, kegelisahan dan penumpuan yang terjejas.

"Kajian menunjukkan bahawa kebergantungan kepada rokok elektronik vape itu sendiri menjadi faktor risiko peningkatan gejala kemurungan dalam kalangan belia.

"Justeru, mencegah permulaan dan menggalakkan pemberhentian menghisap rokok elektronik dalam kalangan mereka yang tidak pernah merokok boleh membantu meningkatkan kesihatan mental," katanya.

Menurutnya, keadaan diburukkan lagi apabila ada cecair vape mempunyai kadar nikotin terlalu tinggi selain turut dicampur dengan bahan terlarang dadah sintetik.

Beliau sebelum ini memaklumkan kerajaan sudah membelanjakan sejumlah RM6.2 bilion bagi merawat pesakit berkaitan tabiat merokok pada 2020, dan jumlah itu dijangka meningkat hingga RM8.8 bilion menjelang 2030.

Untuk rokok elektronik pula, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menganggarkan kos rawatan bagi penyakit berkaitan mencecah RM150,000 bagi tempoh 12 hari kemasukan ke wad.

Sebanyak 38 kes penyakit berkaitan penggunaan rokok elektronik termasuk Evali, dilaporkan KKM bagi tempoh 2022 hingga sekarang.

"Laporan Public Health of England (PHE) 2015 yang menyatakan vape 95 peratus lebih selamat daripada rokok yang banyak diuar-uarkan oleh pemain industri ketika ini, adalah naratif yang tidak berdasarkan bukti saintifik.

"Malah, beberapa kajian ketika ini juga mendapati tiada perbezaan antara kadar penyakit berkaitan merokok dalam kalangan pengguna e-rokok yang dilaporkan enam tahun kemudian. Jelas, penggunaan vape yang dianggap selamat itu bukanlah sepertimana dakwaan pihak industri," katanya.

'Magic Mushroom buat saya sewel'

"Otak saya jadi sewel selepas keracunan cecair vape dipanggil Magic Mushroom," ujar seorang lelaki mahu dikenali sebagai Lokman, 26.

Menurutnya, cecair vape itu menyebabkan dia mengalami halusinasi, berasa seronok yang melampau dan tidak sedar diri sepenuhnya.

"Antara simptom lain dialami termasuklah rasa kebas badan, degupan jantung menjadi laju dan berpeluh-peluh.

"Vape dadah ini bukan benda baharu, ia sudah lama berlegar di pasaran. Penjual biasanya mengiklankan di media sosial dark web berhubung perisa vape dicampur dadah ini. Mereka menggunakan perkhidmatan kurier bagi menghantar perisa vape ini di sekitar Lembah Klang.

"Satu botol perisa vape dengan kandungan 10 mililiter cecair vape ini dijual dengan harga RM160. Biasanya pengedar cecair vape dadah ini menggunakan pelbagai nama samaran perisa buah-buahan, menthol, vanilla, kopi dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, terdapat juga perisa vape dicampur pati ganja THC atau tetra hydrocannibol dan methylenedioxy-methamphetamine (MDMA).

"Saya mengalami ketagihan teruk dan tidak dapat berenggang dengan peranti vape. Bagaimanapun, saya akhirnya ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam satu operasi bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi di sini.

Menurutnya, dia kini dalam proses rawatan bagi memulihkan gangguan mental dan fizikal dialami.

Difahamkan vape mengandungi dadah Magic Mushroom atau 'Shroom' ini mengandungi bahan aktif 'psilocybin' iaitu sejenis bahan aktif halusinogen yang sangat kuat.

Sawan selepas hisap 'Special K'

"Kawan belanja pam (sedut) vape free. Dia kata flavour (perisa) baru pudina epal... tapi bila hisap, kepala jadi khayal sampai tak boleh bangun dan hilang ingatan beberapa jam," ujar Hilmi, 19, yang terjebak dengan penagihan cecair vape dicampur dengan dadah ketamin.

Remaja yang bekerja sebagai penghantar e-hailing itu berkata, dia mulanya sekadar 'cuba-cuba' untuk merasai kelainan menghisap rokok elektronik vape.

"Sebelum ini saya hanya menghisap rokok putih seludup kerana harganya murah berbanding rokok jenama terkenal.

"Namun kawan-kawan yang memilih vape 'meracun' (menghasut) saya kononnya menghisap vape lebih menjimatkan dan boleh refill (isi semula) cecair pelbagai perisa. Mereka kata ada berpuluh jenis cecair perisa vape yang dijual di pasaran," katanya.

Tambahnya, dia diperkenalkan vape perisa 'special K' (ketamin) yang didakwa boleh menghilangkan kelesuan dan merehatkan otak.

"Bagaimanapun, kesan ketagihan vape perisa 'special K' itu turut menyebabkan saya mengalami sesak nafas dan terkena serangan sawan. Ini mungkin kerana badan saya memiliki alahan dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan asap vape dadah dihisap itu," katanya.

Menurutnya, dia akhirnya terpaksa mendapatkan rawatan di hospital selepas diserang halusinasi teruk dan sawan ketika berada di rumah.

Remaja jadi sasaran 'test market'

Penggunaan rokok elektronik (vape) atau rokok semakin membimbangkan dan sangat sinonim terutama dalam kalangan belia pada masa kini, lebih-lebih lagi apabila dicampur pula dengan bahan terlarang.

Golongan ini mudah dipengaruhi dan keinginan mereka untuk mencuba benda baharu itu sangat tinggi menjadikan mereka antara mangsa 'test market' dan sasaran mudah.

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Melati Sumari berkata, faktor utama individu ini terlibat adalah kerana mahu mencuba sahaja, namun terus terjebak disebabkan rasa 'suka'.

"Bila sudah mula ketagih dan secara tiba-tiba tidak peroleh bahan itu, mereka pastinya menjadi murung dan gangguan pada mental mula terjadi menyebabkan rutin harian juga terjejas.

"Jika seorang individu itu mula mengalami ketagihan, kita perlu tahu adakah dia mengalami masalah mental itu melalui penggunaan vape itu sendiri atau ada masalah lain yang mendorongnya menghisap vape dengan campuran bahan terlarang," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Melati, golongan belia masih terlibat dengan perkara yang merosakkan ini kerana meskipun fatwa menyatakan vape dan rokok haram, namun ia masih tidak salah di sisi undang-undang.

Dr Melati Sumari.
"Vape yang dicampur dengan bahan terlarang seperti dadah mempunyai akta berbeza. Tapi jika dilihat, kadang kala pengguna itu sendiri tidak sedar atau tidak tahu bahan yang digunakan mengandungi unsur terlarang.

"Jadi disebabkan mereka sudah mula ketagih dan selesa dengan unsur itu, mereka akan berhalusinasi dan mungkin akan menunjukkan simptom yang lebih teruk.

Menurutnya, gangguan itu juga menyebabkan kaunselor tidak dapat memberi bantuan secara terus kerana individu itu juga tidak stabil.

"Jika perkara sebegini berlaku, kita perlu menstabilkan dahulu keadaan individu terbabit kemudian baru boleh merujuk mereka pada kaunselor atau pakar.

"Kita juga akan mencari punca yang menyebabkan individu untuk mencuba vape hingga ke tahap ekstrem. Mungkin juga mereka sudah terjebak dengan masalah dalaman yang menjadi punca utama mereka bertindak sedemikian," katanya.

Pukul mati isteri dengan dumbel guna dumbel, lelaki direman 7 hari

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lelaki disyaki memukul mati isteri dengan dumbel semalam, direman tujuh hari hingga 22 Dis.

Perintah reman terhadap suspek berusia 38 tahun dibenarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Shah Alam Saidatul Akmar Suberi selepas permohonan dikemukakan polis, hari ini.

Suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan kes pukul dan dadah, tiba di pekarangan Mahkamah Shah Alam dengan memakai pakaian lokap diiringi pegawai dan anggota polis pada 9.20 pagi, menurut Harian Metro.

Semalam, Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata seorang wanita maut dipercayai dipukul menggunakan dumbel oleh suaminya akibat cemburu di sebuah rumah di Jalan Sungai Congkak.

Beliau berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 5.33 pagi oleh suspek sendiri yang mengatakan isterinya mengalami sawan lalu membawa mangsa ke Hospital Shah Alam kerana tidak sedarkan diri.

Katanya, pemeriksaan awal doktor ke atas wanita berusia 33 tahun itu mendapati terdapat kecederaan di beberapa bahagian tubuhnya sebelum siasatan lanjut mendapati mangsa dipukul suspek akibat cemburu di rumah mereka, sebelum dibawa ke hospital.

Susulan itu, suspek ditahan di Hospital Shah Alam sekitar 12.49 tengah hari semalam untuk siasatan lanjut.

Iqbal berkata, ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Tentera Israel tersilap bunuh 3 tebusan di Gaza

Reuters
ANTARA dua tebusan yang ditembak mati tentera Israel (kiri) Yotam Haim, (kanan) Samer Talalka. FOTO dari Forum Tebusan dan Keluarga Hilang/Edaran melalui REUTERS
ANTARA dua tebusan yang ditembak mati tentera Israel (kiri) Yotam Haim, (kanan) Samer Talalka. FOTO dari Forum Tebusan dan Keluarga Hilang/Edaran melalui REUTERS
Baitulmaqdis: Tentera Israel tersilap membunuh tiga tebusan yang ditahan di Gaza oleh Hamas semasa insiden yang 'dalam siasatan', kata seorang jurucakap tentera pada Jumaat.

Ia berkata, tebusan terbunuh semasa pertempuran dengan sayap bersenjata Hamas di Gaza dan mengucapkan takziah kepada keluarga sambil berkata akan ada 'ketelusan penuh' dalam penyiasatan terhadap insiden itu.

Satu kenyataan daripada tentera mengatakan bahawa semasa pertempuran sengit di Gaza ia mengenal pasti tiga tebusan itu sebagai ancaman.

"Akibatnya, tentera melepaskan tembakan ke arah mereka dan mereka terbunuh.

"Tentera menamakan dua tebusan yang mati sebagai Yotam Haim yang diculik dari Kibbutz Kfar, dan Samer Talalka, yang diculik dari Kibbutz Nir Am pada 7 Oktober.

Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang, yang mewakili keluarga tebusan, merakamkan ucapan takziah.

Ia berkata, "Yotam ialah seorang pemuzik berbakat dan peminat muzik metal yang berdedikasi yang mengidolakan kumpulan Megadeth" dan "Samer ialah seorang penunggang motosikal yang gemar menunggang motosikal di sekitar kawasan luar bandar dan menghabiskan masa bersama rakan-rakan."

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dalam kenyataan berkata, "Bersama-sama dengan seluruh rakyat Israel, saya menundukkan kepala ini dan dalam kesedihan yang mendalam dan meratapi kematian tiga anak lelaki tersayang kami yang diculik.

"Hati saya bersama keluarga yang berduka dalam masa sukar mereka," katanya.

Sementara itu beribu-ribu orang membantah di luar pangkalan tentera pusat Israel di Tel Aviv dengan papan tanda bertulis 'Kami menuntut perjanjian sekarang!' dan 'tidak akan tidur - membantah sepanjang malam," lapor berita Channel 12 Israel.

Pelarian Rohingya buang nasi dibekalkan penduduk Aceh

Sinar Harian
Tangkap layar video pelarian Rohingya di Kota Sabang yang dirakam Andi Sanjaya. - Agensi
Tangkap layar video pelarian Rohingya di Kota Sabang yang dirakam Andi Sanjaya. - Agensi
BANDA ACEH - Tindakan pelarian Rohingya membuang nasi bungkus yang dibekalkan penduduk tempatan di Aceh mencetuskan rasa kurang senang pengguna media sosial di Indonesia.

Perbuatan itu terbongkar selepas beberapa penduduk meninjau kawasan pantai yang menjadi lokasi pendaratan etnik minoriti itu di daerah Kota Sabang.

Selain itu, kawasan pantai yang sebelum ini bersih dipenuhi sampah sarap dan plastik makanan yang dibuang merata-rata oleh pelarian Rohingya.

Perbuatan pelarian Rohingya itu dirakam Andi Sanjaya dan dimuat naik ke akaun TikToknya @andi.sanjaya86.

Menurut Andi, pelarian Rohingya turut mendirikan khemah sementara dan keadaan itu mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat setempat.

"Ini suasana di tempat pelarian Rohingya di Sabang. Ada bungkusan nasi yang dibuang di kawasan semak.

"Kita sudah bantu kerana kasihan tapi nasi dengan telur-telurnya dibuang begitu sahaja.

"Ini bukan orang-orang yang lapar tetapi berpura-pura lapar semata-mata mahu dikasihani," ujar Andi dalam nada marah.

Klip berdurasi 48 saat itu mendapat reaksi negatif pengguna sosial yang rata-ratanya menganggap pelarian Rohingya sebagai tidak bersyukur dan besar kepala.

Difahamkan, Aceh kini sedang bergelut untuk mencari lokasi bagi menampung kira-kira 1,600 pelarian Rohingya selepas kehadiran kumpulan pendatang asing itu terus dibantah penduduk tempatan, ketika Indonesia sedang berusaha untuk membanteras aktiviti penyeludup.

Di Indonesia, Aceh menjadi lokasi utama ketibaan Rohingya kerana terletak secara strategik di hujung paling atas Sumatera, sekali gus menjadikan perjalanan melalui Laut Andaman oleh pelarian itu dari Bangladesh agak mudah walaupun Indonesia bukan negara yang menerima pelarian.

Sikap mengabaikan kebersihan dan sukar diatur menjadi antara punca sebahagian besar penduduk Aceh menolak kehadiran pelarian Rohingya yang menjadi subjek penghapusan etnik di Myanmar.

Penduduk mendakwa kehadiran pelarian Rohingya mengganggu kehidupan seharian mereka, selain muak dengan sikap etnik berkenaan yang gagal berasimilasi serta tidak menghormati adab dan budaya tempatan.

Kementerian Luar Indonesia sebelum ini menegaskan ia tidak mempunyai kewajipan atau kapasiti untuk mencari penyelesaian berhubung penempatan semula golongan pelarian termasuk etnik Rohingya.

Indonesia juga bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967. - Agensi

LHDN: Peguam Najib, Shafee Abdullah mempunyai cukai tertunggak untuk tempoh 5 tahun berjumlah lebih RM9.41 juta

Malaysiakini

Ho Kit Yen

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan penghakiman terus dibuat terhadap peguam Shafee Abdullah atas tunggakan cukai dalam tempoh lima tahun antara 2011 dan 2016.

Bagaimanapun, jumlah sebenar dapat diperoleh kerajaan daripada Shafee hanya akan diketahui pada Isnin.

Pesuruhjaya kehakiman Roz Mawar Rozain berpendapat, berdasarkan afidavit, Shafee tidak dapat membela diri terhadap tuntutan itu dan tiada isu yang memerlukan keterangan saksi pada perbicaraan penuh.

Dalam membenarkan permohonan itu, Roz Mawar berkata, beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini dalam kes tunggakan cukai bekas perdana menteri Najib Razak sebanyak RM1.69 bilion.

Dalam kes Najib, mahkamah tertinggi itu memutuskan bahawa pembayar cukai mesti menjelaskan semua jumlah tertunggak dinilai perlu dibayar sebelum membuat rayuan kepada pesuruhjaya khas berhubung kuantum taksiran yang dibuat oleh LHDN.

Terdahulu, Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad memberitahu mahkamah, LHDN berhasrat untuk meminda jumlah yang dituntutnya.

Rajan Navaratnam, yang mewakili Shafee selaku peguam, memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua pihak akan menyediakan draf perintah mahkamah yang memperincikan angka sebenar jumlah penghakiman selewat-lewatnya pada Isnin.

Pada 2021, LHDN memfailkan saman terhadap Shafee untuk mendapatkan tunggakan cukai berjumlah lebih RM9.41 juta

Mereka mendakwa Shafee berhutang dengan kerajaan sejumlah cukai yang belum dibayar selama lima tahun – RM434,326.17 untuk 2011; RM978,854.11 (2012); RM3.58 juta (2013); RM1.73 juta (2014); dan RM1.82 juta (2016).

LHDN berkat, notis penilaian untuk tempoh lima tahun itu dihantar ke alamat terakhir Shafee yang diketahui pada 31 Mei 2019, dan tidak pernah dikembalikan kepada pihaknya.

Situasi di Gaza ‘makin meruncing, huru-hara’

Bernama
Dilaporkan sekurang-kurangnya 18,787 rakyat Palestin terbunuh manakala 50,897 cedera setakat ini sejak Israel melancarkan serangan terhadap Semenanjung Gaza bermula 2 bulan lepas. (Gambar AP)
WASHINGTON: Keadaan di Semenanjung Gaza “semakin meruncing dan huru-hara”, menurut Timbalan Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP) Carl Skau, lapor Agensi Anadolu.

“Apabila menyentuh mengenai krisis keselamatan makanan – kami ada buat lawatan semasa jeda kemanusiaan tujuh hari lepas.

“Kami dapati separuh daripada penduduk kelaparan, manakala sembilan daripada 10 orang tidak dapat makanan secukupnya,” kata Skau kepada pemberita di New York.

Operasi bantuan kemanusiaan berada di ambang kehancuran dan sukar untuk memastikan operasi ini dapat berjalan dengan lancar berdasarkan situasi terkini.

“Apa yang benar-benar diperlukan ketika ini ialah meningkatkan jumlah bantuan kemanusiaan,” katanya.

Israel mengebom Semenanjung Gaza dari udara dan darat serta mengenakan kepungan sejak 7 Okt.

Sekurang-kurangnya 18,787 rakyat Palestin terbunuh manakala 50,897 cedera setakat ini, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.

Portal Halal Malaysia pula diceroboh

Bernama

Portal Halal Malaysia beroperasi semula Rabu lalu selepas pembaikan oleh pasukan ICT Jakim.
PUTRAJAYA: Insiden pencerobohan portal rasmi Halal Malaysia pada Sabtu lepas tidak menyebabkan sebarang ketirisan data, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Hakimah Mohd Yusoff.

Katanya, portal Halal Malaysia beroperasi semula Rabu lalu selepas pembaikan oleh pasukan ICT Jakim.

“Saya mengarahkan pasukan teknikal ICT Jakim mengambil langkah proaktif untuk mengemas kini ‘loophole’ yang mungkin boleh menjadi ruang untuk penggodam menceroboh kembali portal rasmi Halal Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Jakim menyedari kerisauan pengguna mengenai ciri-ciri keselamatan sedia ada di portal Halal Malaysia, kata Hakimah yang turut meminta proses menyiapkan infrastruktur baharu, iaitu server, operation system dan aplikasi portal dinaik taraf ke versi terkini.

“Proses ini sedang dilaksanakan dan saya difahamkan infrastruktur baharu ini akan disiapkan sebelum Januari 2024.”

Pegawai kanan polis ditahan kes langgar lari depan sekolah

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
ORANG ramai membantu seorang pelajar tingkatan lima yang terbabit kemalangan di hadapan sebuah sekolah di Meru, Ipoh. FOTO Tular
ORANG ramai membantu seorang pelajar tingkatan lima yang terbabit kemalangan di hadapan sebuah sekolah di Meru, Ipoh. FOTO Tular
Ipoh: Pegawai kanan polis ditahan bagi membantu siasatan kemalangan maut membabitkan pelajar tingkatan lima berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata pegawai dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah itu akan direman esok untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, terdahulu, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Ativa dan motosikal jenis Yamaha, pada 12.40 tengah hari.

"Penunggang motosikal, iaitu remaja berusia 17 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala pegawai polis berusia 44 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya adalah kecederaan bahagian dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya," katanya dalam kenyataan malam ini.

Yahaya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, siasatan turut dijalankan dari pelbagai sudut termasuk siasatan jenayah yang menjurus kepada kesalahan mematikan orang atau membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"PDRM tidak akan melindungi sesiapa termasuk pegawainya sendiri sekiranya mempunyai bukti yang kukuh.

"Orang awam juga diminta supaya tidak membuat sebatang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam," katanya.

Yahaya turut meminta orang awam yang mengetahui atau menyaksikan kejadian itu untuk berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Jong Pit Chiao di talian 016-8849163.

Terdahulu, media melaporkan polis sedang menyiasat kejadian seorang pelajar berusia 17 tahun maut dilanggar lari sebuah kereta berhampiran SMK Jati, Meru, di sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan, dan sedang dalam proses memanggil saksi untuk membantu siasatan.

'Pelantikan Dzulkefly beri nilai tambah ketara pada Amanah'

Malaysiakini

Dua pemimpin Pemuda Amanah berpendapat, tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim membawa masuk Dzulkefly Ahmad ke dalam kabinet adalah peluang besar untuk parti itu mengukuhkan imejnya di mata masyarakat.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan Azhar Rahman dan Taqiuddin Cheman hari ini, mereka berkata penyertaan semula Dzulkefly dalam jemaah menteri disambut baik pelbagai pihak.

Bahkan, kata mereka, boleh dikatakan tiada sebarang komen negatif terhadap pelantikan Dzulkefly sebagai anggota kabinet.

"Pelantikan Dzulkefly sebagai menteri kesihatan sekali lagi memberikan petunjuk jelas bahawa Amanah mempunyai ramai pemimpin berkualiti untuk meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan perpaduan.

"Pelantikan itu juga telah memberi impak positif dan nilai tambah besar dari aspek persepsi awam terhadap kerajaan," kata mereka kepada Malaysiakini.

Azhar merupakan Exco Pemuda Amanah Nasional, manakala Taqiuddin ialah Ketua Pemuda Amanah Johor.

Justeru kata Azhar dan Taqiuddin, Amanah mesti menggunakan kesempatan yang ada sekarang untuk mencongak langkah yang tepat agar keyakinan rakyat kepada parti itu terus diperkukuhkan.

Dzulkefly merupakan Ahli Parlimen Kuala Selangor yang pernah berkhidmat sebagai menteri kesihatan apabila PH berjaya membentuk kerajaan hasil mandat yang diterima pada PRU ke-14.

Dia dianggap bertindak dengan baik semasa berdepan dengan ancaman awal Covid-19 sebelum berlaku Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan itu tumbang pada Feb 2020.

Jawatan itu kemudian disandang pemimpin Umno, Dr Adham Baba, di bawah pentadbiran PN sebelum dia tukarkan ke kementerian lain dan digantikan pula dengan Khairy Jamaluddin.

Apabila kerajaan perpaduan dibentuk selepas PRU ke-15, Anwar melantik Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa, sebelum digantikan oleh Dzulkefly kira-kira setahun kemudian.

Dzulkefly adalah seorang daripada anggota Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Azhar dan Taqiuddin berkata perkembangan Amanah ketika ini menunjukkan pemuda parti itu juga perlu dibangunkan sesuai dengan mood semasa rakyat sekarang.

"Kebetulan dengan Konvensyen Nasional Pemuda Amanah esok, pegerakan pemuda wajar memastikan haluan sayap ini berada pada landasan yang betul dengan menampilkan barisan pemimpin yang tepat," kata mereka yang masing-masing menawarkan diri sebagai ketua dan timbalan ketua Pemuda Amanah.

KJ: Zahid ‘betul-betul pengendali politik’

Mohamad Fadli

PETALING JAYA: Bekas ketua Pemuda Umno menyifatkan Zahid Hamidi ‘betul-betul pengendali politik’ dan mendakwa timbalan perdana menteri itu terlibat dalam rombakan Jemaah Menteri baru-baru ini.

Rombakan minggu lepas menyaksikan Zahid kekal sebagai jawatan timbalan perdana menteri dan mengekalkan portfolio sama.

Khairy, yang dipecat daripada Umno, mendakwa Zahid menunjukkan kepada pemimpin bawahan bahawa beliau “satu-satunya yang boleh kekal dalam Umno”.

“Jadi, Zahid merupakan ‘consummate political operator’. Apabila dia mendengar perdana menteri akan merombak Jemaah Menteri, dia akan berkata ‘itu adalah peluang saya’.

“Zahid mahu memberitahu orang lain, walaupun saya telah menjalani pembedahan baru-baru ini, saya masih menjalankan tugas dan saya tidak ke mana-mana.

“Saya boleh pindahkan orang tidak kira kamu timbalan presiden… naib presiden,” katanya dalam podcast Keluar Sekejap bersama Shahril Hamdan.

Khairy merujuk kepada pertukaran portfolio antara Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, Naib Presiden Khaled Nordin, dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Zambry Abdul Kadir.

Khaled mengambil alih portfolio pertahanan daripada Mohamad, manakala Mohamad diberi portfolio luar negeri, portfolio yang sebelum ini dipegang oleh Zambry.

Zambry pula dilantik sebagai menteri pendidikan tinggi menggantikan Khaled.

Dalam pada itu, Khairy kecewa kerana Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dipecahkan.

Beliau mengakui bekas menteri Nik Nazmi Nik Ahmad menunjukkan prestasi yang baik ketika di NRECC.

Bagaimanapun, memandangkan kementerian itu telah dipecahkan, mungkin memberi cabaran kepada Nik Nazmi untuk menjalankan tugas dengan berkesan.

Khairy mendakwa pemecahan KKD kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital semata-mata untuk mengekalkan Fahmi Fadzil dalam Jemaah Menteri.

Kementerian Digital kini di bawah pimpinan Gobind Singh Deo.

“Sepatutnya KKD hanya diterajui seorang individu.

“Tetapi oleh kerana perdana menteri mahu menyelamatkan Fahmi, jadi KKD terpaksa berpecah kepada dua,” dakwa Khairy.

Khairy juga tidak bersetuju dengan peranan Fahmi sebagai jurucakap rasmi kerajaan.

Ini kerana beliau akan bercakap mengenai perkara berkaitan kementerian lain yang mungkin tidak dimaklumkan sepenuhnya.

Polis siasat pelajar maut dilanggar lari

BERNAMA

Ipoh: Polis sedang menyiasat kejadian seorang pelajar berusia 17 tahun maut dilanggar lari sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Meru, di sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan, dan kini sedang dalam proses memanggil saksi untuk membantu siasatan.

"Kita sudah dapat laporan daripada beberapa saksi.

"Pegawai saya akan panggil saksi berkenaan dan buat siasatan lebih lanjut," katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Mohd Yusri berkata pihaknya juga sedang menunggu laporan bedah siasat untuk proses pertuduhan.

Beliau berkata mayat pelajar itu sudah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini untuk proses bedah siasat.

Terdahulu tular hantaran oleh orang awam di Facebook mengenai kejadian berhampiran SMK Jati, di Meru memaparkan gambar pelajar lelaki berkenaan yang didakwa dilanggar oleh sebuah kereta.

Imigresen tahan 47 warga asing gagal tunjuk pas kerja

ADNAN IBRAHIM

KLUANG : Seramai 47 orang warga asing ditahan selepas gagal menunjukkan pas kerja sah selepas diperiksa dalam Ops Mahir yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen  di kawasan perkilangan di Kluang semalam. 

Pengarah Imigresen Johor, Baharudin Tahir berkata, melalui operasi kira-kira pukul 10.30 pagi itu, seramai 135 pekerja termasuk warga tempatan telah diperiksa namun 47 daripadanya tidak mempunyai pas atau permit kerja yang sah. 

Katanya, pecahan jumlah pekerja asing yang ditahan adalah 23 orang daripada India, 21 orang Bangladesh, dua orang dari Sri Lanka dan seorang Pakistan dengan kesemuanya lelaki berusia antara 22 hingga 56 tahun. 

“Serbuan dilakukan berikutan daripada aduan orang awam yang menyatakan premis berkenaan disyaki menggajikan pekerja asing tanpa permit kerja sah. 

“Operasi ini juga menyasarkan warga asing yang menggunakan slip Rekablitasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 untuk bekerja di negara ini secara tidak sah,” katanya melalui kenyataan hari ini. 

Menurut Baharudin lagi, penahan warga asing tersebut mengikut Seksyen 6(1) (c) iaitu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1) (c) iaitu tinggal lebih masa. 

Ujarnya, mereka juga ditahan dengan munasabah melakukan kesalahan mengikut Peraturan 11(7) (a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dengan menyalah gunakan pas lawatan sosial (PLS) dan Peraturan 39(b) iaitu syarat pas ditetapkam mengikut Peraturan-Peraturan yang sama. 

“Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di Johor Bahru untuk siasatan lanjut,”katanya lagi. 

Baharudin berkata, pihaknya menyeru kepada semua majikan agar menggunakan peluang mendaftarkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang memenuhi syarat dalam RTK 2.0 ini. 

“Tarikh tamat pendaftaran adalah pada 31 Disember ini dan tindakan tegas akan dikenakan kepada yang didapati menggajikan pekerja tanpa memiliki dokumen sah selepas gagal menggunakan kesempatan menyertai program RTK 2.0 ini,” katanya.  –UTUSAN

'Live location' isteri tidak bergerak, rupanya maut kemalangan bersama dua anak

BERNAMA
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor (baju putih) turut berada di Unit Forensik, Hospital Lipis bersama suami arwah, Mohd Azman Mat Yaacob  (beruniform). FOTO Amir Hamzah Nordin .
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor (baju putih) turut berada di Unit Forensik, Hospital Lipis bersama suami arwah, Mohd Azman Mat Yaacob (beruniform). FOTO Amir Hamzah Nordin .
Kuala Lipis: Koperal Mohd Azman Mat Yaacob berasa tidak sedap hati selepas melihat lokasi masa sebenar (live location) yang dikongsikan isterinya Nor Faizah Ridzuan menerusi aplikasi WhatsApp tidak bergerak walaupun beberapa kali memeriksa telefon pintarnya.

Mohd Azman, 36, yang bertugas di Balai Polis Petaling Jaya, Selangor segera menghubungi isteri dan telefon pintar anak sulung mereka Muhammad Hariz Adrian, 10, namun semuanya tidak berjawab selain pesanan WhatsApp juga tidak dibalas.

Gerak hatinya tepat apabila menerima panggilan daripada polis daerah Lipis sekitar 4 pagi tadi, memaklumkan Nor Faizah, 34, Muhammad Hariz Adrian dan anak bongsunya Muhammad Hafiy Azman, tiga tahun, maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler.

"Saya tak sangka kali terakhir pertemuan kami ialah sebelum 12 tengah malam tadi... semasa kami sama-sama keluar rumah. Isteri dan anak bergerak pulang ke Kampung Tawang di Bachok (Kelantan) manakala saya menuju ke tempat kerja.

"Ikutkan mereka berada di kampung sehingga hujung bulan ini kerana cuti sekolah, dan saya akan menyusul untuk menjemput mereka pulang kerana tidak dapat bercuti lama," katanya ketika ditemui Bernama di Unit Forensik Hospital Kuala Lipis di sini hari ini.

Mohd Azman berkata, isterinya yang juga suri rumah, seharusnya memulakan perjalanan selepas anak sulung mereka pulang dari sekolah hari ini, namun menukar fikiran untuk bergerak lewat tengah malam tadi.

Menurutnya, ia kali pertama Nor Faizah memandu bagi perjalanan jauh, namun beliau mengizinkan isterinya pulang bersama anak memandangkan mereka telah lama tidak pulang ke kampung.

Hari ini, Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azli Mohd Noor mengesahkan tiga beranak itu maut selepas kereta Perodu Alza dinaiki mereka hilang kawalan semasa melalui selekoh di Kilometer 17 Jalan Lipis-Bentan di Penjom di sini sebelum bertembung dengan treler di jalan bertentangan.

Kejadian pada 2.25 pagi itu turut menyebabkan kereta mangsa diseret dan merempuh besi penghadang jalan, mengakibatkan semua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Mohd Azman berkata jenazah isteri dan anaknya akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Pintu Gerbang di Bachok hari ini.

Sementara itu, adik kepada Nor Faizah, Nor Fitrah, 30, berkata dia sempat membuat panggilan video sebanyak dua kali dengan Muhammad Hariz Adrian, yang begitu seronok memberitahu mereka hendak pulang ke kampung.

"Panggilan pertama ialah sebelum mereka memulakan perjalanan. Saya berasa tidak sedap hati selepas itu kerana hari sudah lewat malam menyebabkan saya menghubungi Hariz (panggilan anak saudaranya) selang 10 minit kemudian.

"Saya pesan kepada kakak supaya hati-hati memandu kerana gelap dan banyak lori, namun kakak tidak menjawab apa-apa... mungkin sedang menumpukan perhatian (memandu)," katanya.

Nor Faizah yang menetap di Dungun, Terengganu berkata dia tidak dapat melelapkan mata selepas panggilan itu sebelum menerima panggilan sekitar 4 pagi daripada seorang ahli keluarga memaklumkan kejadian yang menimpa kakak sulungnya.

Tunjuk kemaluan dalam MRT, penganggur didenda RM2,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang penganggur didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana menunjuk kemaluannya kepada seorang wanita dalam Transit Aliran Massa (MRT).

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu selepas Ngu Chee Liang, 31, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

“Tindakan kamu mengundang ketakutan orang ramai kerana kesalahan itu dibuat di tempat awam,” kata Wong menurut Sinar Harian yang turut merintahkan tertuduh dipenjara sebulan, jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Ngu didakwa mahu mengaibkan kehormatan dengan menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita 22 tahun dalam MRT dari Stesen Kepong Baru ke Stesen Metro Prima pada 6.46 petang 5 Dis lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Vivien Yeap Jie Xi mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana mencetuskan ketakutan kepada mangsa.

Tetapi, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Sukdesh Francis Xavier yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana perlu menanggung ibu.

Selasa lalu, polis dilaporkan berjaya menahan seorang lelaki berkelakuan tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluannya ke arah seorang wanita dalam MRT pada hari kejadian.

Berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku berbuat demikian semasa berada dalam gerabak MRT.

Kerajaan diminta ambil tindakan ahli politik, isteri babit rompakan berkumpulan

Rex Tan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dan seorang peguam menggesa Putrajaya mengambil tindakan terhadap seorang ahli politik dan isterinya atas dakwaan terbabit rompakan berkumpulan.

Lim dan Guok Ngek Seong, peguam mewakili mangsa – seorang warga China – berkata ahli politik itu bukan saja masih aktif, tetapi ahli parti dalam kerajaan perpaduan.

Mereka bagaimanapun enggan menamakan pasangan itu.

“Mangsa mahu peguam negara mengkaji kemungkinan mendakwa baki dua suspek memainkan peranan penting dalam kes itu,” kata Geok dalam sidang media hari ini.

Pada 13 Dis lalu, dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merompak seorang ahli perniagaan China dua tahun lalu.

Budak hilang 6 tahun lalu ditemukan di gunung

AFP
ALEX Batty. FOTO Reuters
ALEX Batty. FOTO Reuters
Paris: Kanak-kanak United Kingdom (UK) yang hilang di Sepanyol, enam tahun lalu, ketika dia berusia 11 tahun, ditemukan di kawasan pergunungan di Perancis.

Pendakwa raya Toulouse mengesahkan, Alex Batty, kini 17 tahun, ditemukan berhampiran bandar Revel di tenggara bandar Toulouse.

"Kami mengesahkan identitinya dan dia kini akan kembali ke Britain," katanya dalam satu kenyataan kepada AFP.

Polis Manchester berkata, remaja lelaki itu yang berasal dari bandar Oldham, meninggalkan UK pada September 2017 untuk menyertai percutian keluarganya di Sepanyol.

Jadi emak pada usia 11 tahun
"Kes ini melalui penyiasatan kompleks dan berpanjangan.

"Kami perlu membuat siasatan lanjut serta meletakkan langkah perlindungan sesuai," katanya.

Lapor BBC, Alex Batty kini berada di pusat untuk kanak-kanak bawah umur di Toulouse bagi menunggu ketibaan polis dan kakitangan konsular Britain untuk membawanya pulang ke UK.

Alex Batty kali terakhir dilihat di Sepanyol pada 8 Oktober 2017, hari mereka dijadualkan pulang ke UK.

Neneknya, Susan Caruana yang berpisah dengan datuk remaja itu, memberitahu dia sangat gembira cucunya akhirnya ditemukan.

"Ia sangat mengejutkan tetapi saya sangat gembira.

"Saya juga sudah bercakap dengannya dan dia sihat.

"Dia kini bersama pihak berkuasa di Perancis," katanya kepada akhbar The Sun.

Dalam pada itu, akhbar serantau La Depeche du Midi melaporkan, remaja itu ditemukan seorang pelajar, Fabien Accidini selepas dia dilihat merayau kira-kira empat hari di kawasan pergunungan itu.

Accidini, yang menghantar ubat ke farmasi di kawasan itu berkata, Alex Batty, menceritakan kisahnya.

"Dia berkata, ibunya menculiknya dan sejak itu, dia tinggal di Sepanyol iaitu di sebuah rumah mewah dengan kira-kira 10 penghuni.

"Dia kemudian tinggal bersama ibunya di Perancis pada 2021.

La Depeche melaporkan, remaja itu pernah tinggal di Perancis bersama ibu dan datuknya dalam komuniti nomad di Aude dan Ariege.

Setakat ini, tiada maklumat mengenai keberadaan ibu dan datuk serta prosiding undang-undang yang bakal mereka hadapi.

Wahab akan heret pegawai J-Kom, Chegubard ke mahkamah

Hidir Reduan Abdul Rashid

Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani ditetapkan untuk mengheret pengarah bahagian latihan dan pendidikan jabatan itu, Hakim Ramlee dan ahli jawatankuasa penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) ke mahkamah atas dakwaan fitnah.

Peguam Wahab, Faizal Rahman hari ini berkata bahawa kedua-dua mereka gagal mematuhi tempoh 48 jam untuk permohonan maaf dan pembayaran ganti rugi berhubung penyebaran video yang didakwa mengandungi perbualan lucah.

Video itu didakwa menunjukkan individu yang kelihatan seperti bekas ketua pengarah J-Kom Mohammad Agus Yusoff dan Abdul Wahab.

Faizal memberitahu Malaysiakini bahawa Abdul Wahab telah memutuskan untuk meneruskan saman fitnah kerana Chegubard didakwa tidak membalas surat tuntutan pegawai J-Kom itu.

Peguam itu berkata Abdul Wahab juga tidak berpuas hati dengan jawapan Hakim terhadap surat tuntutan itu.

Faizal menambah bahawa mereka akan memfailkan tindakan fitnah berasingan terhadap Hakim dan Chegubard.

Malaysiakini cuba menghubungi Hakim dan Chegubard berhubung perkara itu.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Abdul Wahab mengeluarkan surat tuntutan berhubung penyebaran video itu.

Sebelum ini, video perbualan dengan seorang lelaki mirip Mohammad Agus tular pada 17 Nov lalu.

Mohammad Agus susulan itu meletakkan jawatan sebagai ketua pengarah J-Kom dan mendakwa video perbualan membabitkannya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Pada sidang media khas berhubung isu itu, Wahab mendakwa dia dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama Encik H.

Akibat banyak minum teh bubble: 300 batu karang dikeluarkan daripada wanita

Agensi
BATU karang dalam buah pinggang  Xiao Yu. FOTO Pusat Perubatan Chi Mei
BATU karang dalam buah pinggang Xiao Yu. FOTO Pusat Perubatan Chi Mei
Taipei: Hospital Taiwan, baru-baru ini, berjaya membuang lebih 300 batu karang daripada wanita yang gemar mengamalkan minum teh bubble berbanding air putih.

Pusat Perubatan Chi Mei berkata, wanita itu, Xiao Yu, 20, dimasukkan ke hospital di bandar Tainan, minggu lalu.

Katanya, wanita muda itu mengalami demam dan sakit pada bahagian bawah punggungnya.

"Melalui imbasan ultrabunyi, doktor di jabatan kecemasan mendapati buah pinggang kanannya bengkak dengan ada cecair dan batu karang di dalamnya.

"Imbasan CT mendedahkan, batu karang itu berukuran kira-kira lima milimeter hingga dua sentimeter.

"Ujian darahnya menunjukkan bilangan sel darah putih yang tinggi," kata hospital itu dalam artikel disiarkan di laman web mereka, 8 Disember lalu.

Hospital itu memaklumkan, doktor memberi wanita rawatan antibiotik, untuk mengalirkan cecair dari buah pinggangnya dan melakukan pembedahan invasif minimum untuk membuang lebih 300 batu karang yang kelihatan seperti roti kukus kecil.

"Keadaan pesakit stabil selepas pembedahan dan dibenarkan keluar selepas beberapa hari pemerhatian doktor," katanya.

Artikel itu mengatakan, Xiao Yu tidak suka minum air putih dan sering mengamalkan teh bubble.

Penyebab lain batu karang termasuk faktor genetik, penyakit kronik, serta diet yang tinggi kalsium dan protein.

Menurut Dr Lim Chye-yang, pakar urologi yang melakukan pembedahan itu berkata, 9.6 peratus penduduk di Taiwan mungkin mengalami batu karang dalam hidup mereka.

Katanya, golongan lelaki lebih tiga kali berkemungkinan berisiko mendapat batu karang berbanding wanita.

"Pesakit yang menghidap batu karang biasanya berumur antara 50 hingga 60 tahun.

"Kes batu karang lebih kerap berlaku pada musim bunga dan panas kerana cuaca panas yang menyebabkan orang ramai mungkin lebih dehidrasi.

"Apabila air kencing menjadi lebih pekat, mineral bergabung dan bertukar kepada kristal untuk membentuk 'batu'," katanya.

Jemput 'bakar' saya - Rafizi cabar macai

Malaysiakini
story-image
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli telah menyampaikan jemputan rasmi kepada pengguna TikTok pro-Perikatan Nasional (PN) yang memuat naik video yang menyelar kerajaan dan dasar-dasarnya.

Menurut timbalan presiden PKR itu, pempengaruh menyebarkan pembohongan tidak berasas kepada pengikut mereka adalah antara ancaman terbesar yang dihadapi kerajaan hari ini.

"Dengan adanya platform media sosial (terutamanya Tiktok), mereka berleluasa menyebarkan fitnah dan pembohongan. Mereka akan memainkan sentimen demi sentimen yang tidak memberikan gambaran dan perspektif sebenar, yang akhirnya memesongkan kefahaman rakyat mengenai satu-satu perkara.

"Apabila ditanya di Parlimen, pemimpin politik mereka sendiri tidak boleh menjawab. Saya selalu bertanya kepada ahli-ahli Parlimen PN tentang ukuran ekonomi yang mereka gunakan sebagai bukti kepada dakwaan mereka ekonomi telah merudum. Mereka tergagap-gagap dan tersipu-sipu seperti kerengga yang lari bertempiaran," kata Rafizi mealui hantaran media sosial hari ini.

Rafizi memberi amaran bahawa netizen yang menyebarkan pembohongan tidak berasas, serta orang lain yang mengulas mengenai siaran sedemikian, boleh diheret oleh polis, malah berdepan tindakan sivil jika perlu.

"Akhirnya, seperti lazimnya, ramai walaun-walaun yang terdedah mati katak dalam perjuangan sedangkan pimpinan mereka kaya-raya dengan kereta besar, pangkat dan pencen mereka," katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu memetik contoh seorang pempengaruh yang menggunakan nama "YB Viral" di Tiktok, yang sering memuat naik video di platform yang menyelar kerajaan dan dasar-dasar kerajaan.

"Saya berpandangan budaya ini perlu ditangani. Cara menanganinya adalah supaya pimpinan politik seperti saya berdepan sendiri dengan rakyat dalam satu sesi untuk menjawab dan bertanya. Rakyat tanya saya jawab, saya tanya kepada rakyat (untuk berkongsi pemahaman), maka wajarlah rakyat jawab.

"Tetapi dengan syarat janganlah berselindung di belakang identiti digital yang disalah guna untuk mencipta pembohongan. Bila berdepan dengan identiti sendiri, bersedialah untuk disaman dan diambil tindakan undang-undang jika ada fitnah yang dibuat.

"Eksperimen pertama ialah kepada seorang pempengaruh PN iaitu YB Viral," katanya.

Menurut Rafizi, dia menghantar surat rasmi kepada netizen tersebut untuk menghadiri sesi audio siar (podcast) yang dijadualkan pada Isnin, 8 Jan 2024, atau mana-mana tarikh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Podcast bertajuk "Yang Bakar Menteri" itu akan disiarkan secara langsung di saluran media sosial Rafizi.

" Jika dia berani tampil dengan mengisi borang maklumat peribadinya dan mengembalikan borang ke pejabat saya, insya-Allah saya bagi ruang seluasnya untuk dia bakar saya dan buktikan saya menteri paling bodoh, seperti yang dijerit-jeritnya selama ini," tulis Rafizi sambil melampirkan salinan surat jemputan.

Rafizi cabar pempengaruh 'YB Viral' berdebat

NURATIKAH ATHILYA HASSAN

SHAH ALAM - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mencabar seorang pempengaruh yang menggelarkan diri sebagai YB Viral untuk berdebat secara langsung supaya kedua-dua pihak dapat berkongsi pandangan dan membentangkan fakta kepada rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, YB Viral dipercayai penyokong Perikatan Nasional (PN) telah memainkan sentimen yang tidak memberi gambaran dan perspektif sebenar mengenai sesuatu isu.

“Budaya ini berbahaya dan ramai pempengaruh merasakan mereka boleh berselindung menggunakan nama samaran.

"Contohnya, seorang yang kerjanya mencarut dan memaki hamun saban hari di TikTok tetapi menganggap dirinya wakil rakyat. Namanya YB Viral.

“Saya berpandangan budaya ini perlu ditangani.

"Cara menanganinya adalah supaya pimpinan politik seperti saya berdepan sendiri dengan rakyat dalam satu sesi untuk menjawab dan bertanya.

“Rakyat tanya saya jawab, saya tanya kepada rakyat (untuk berkongsi pemahaman), maka wajarlah rakyat jawab,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut berkongsi surat jemputan debat daripada Pejabat Menteri Ekonomi yang dihantar kepada individu terbabit dengan cadangan ia diadakan pada Isnin depan atau satu tarikh dipersetujui bersama.

Surat berkenaan menetapkan sesi debat di antara kedua-dua pihak dalam Podcast diberi nama Yang Bakar Menteri perlu disiarkan secara langsung di media sosial Rafizi.

YB Viral juga diminta berkongsi maklumat peribadi seperti nama penuh dan nombor kad pengenalan bagi tujuan dokumentasi dan keselamatan.

“Jika dia berani tampil dengan mengisi borang maklumat peribadinya dan mengembalikan borang ke pejabat saya.

“Insya-ALLAH, saya bagi ruang seluasnya untuk dia bakar saya dan buktikan saya menteri paling bodoh, seperti yang dijerit-jeritnya selama ini,” ujar Rafizi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa budaya menyebarkan pembohongan sewenang-wenangnya akan mendedahkan rakyat kepada tindakan undang-undang.

Katanya, individu yang menyebarkan perkara fitnah boleh diambil tindakan bawah kanun keseksaan dan disaman secara sivil jika ada laporan polis dibuat.

“Lebih berbahaya, netizen yang membuat komen kepada kandungan-kandungan pempengaruh ini yang menambah lagi pembohongan dan kebencian juga boleh diambil tindakan undang-undang,” katanya.

Tidur dalam kereta dua bulan gara-gara jiran pelik

KOSMO!

KETUKAN yang dibuat jiran Xu menyebabkan dinding unit flatnya berlubang di Singapura. - Foto Shin Min Daily News
SINGAPURA – Seorang lelaki terpaksa tidur di dalam kereta selama dua bulan kerana tidak tahan perangai pelik jirannya yang membuat ketukan pada dinding unit flatnya sehingga berlubang di Beo Crescent, Singapura, lapor portal berita The New Paper hari ini.

Jirannya mengetuk dinding unit flat tersebut dengan menggunakan tangan, namun seminggu kemudian, dia menggunakan peralatan untuk berbuat demikian.

Situasi itu menyebabkan berat badan lelaki berkenaan susut 6 kilogram selain terpaksa mengambil ubat kerana dihantui perasaan bimbang.

“Dia (jiran) akan ketuk dinding pada waktu siang dan malam di dinding bilik tamu dan bilik tidur. Kadang kala dia akan mengetuk dinding selang beberapa jam dan bunyi kuat ketukan itu menakutkan kami,” katanya yang dikenali sebagai Xu dan bekerja sebagai pemandu peribadi.

Menurut Xu,  jirannya pernah mencurahkan air kecil di luar unit flatnya dan meludah pada mukanya selepas dia mengadu tentang bunyi bising itu.

Pada 16 Oktober lalu, jirannya itu mengetuk dinding flatnya selama empat jam dan Xu terpaksa menghubungi  polis.

Sejak itu, dia takut untuk pulang  ke flatnya  dan kini tidur di dalam kereta. Isteri Xu pula  berpindah ke rumah keluarganya. 

Xu memberitahu bahawa dia telah membuat aduan kepada Lembaga Perumahan dan polis tetapi mendakwa tiada sebarang tindakan diambil berhubung perbuatan tersebut. – AGENSI

Simpan mayat dalam sekolah

Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
BANJIR di kem pelarian Palestin di Gaza susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
BANJIR di kem pelarian Palestin di Gaza susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Kuala Lumpur: "Kami terpaksa menyimpan dahulu mayat penduduk Palestin dibunuh tentera Zionis di dalam sekolah berikutan kebanyakan kawasan di Semenanjung Gaza ditenggelami banjir sejak beberapa hari lalu. Hujan lebat berterusan menghalang usaha pengebumian," ujar aktivis masyarakat, Ibrahem Ali.

Menurutnya, dugaan berganda ditempuhi jutaan rakyat Palestin yang berlindung di kem pelarian Jabalia, utara Semenanjung Gaza susulan cuaca sejuk serta hujan dan angin kencang berterusan.

"Cuaca kini jatuh sehingga 15 darjah celcius. Malah, angin kencang merosakkan khemah sementara dihuni pelarian perang Palestin.

"Ini menambahkan lagi cabaran dihadapi penduduk Palestin terutama warga emas dan kanak-kanak yang kehilangan tempat tinggal," katanya.

Menurutnya, serangan roket dan bom berterusan tentera Israel memasuki hari ke 69 (semalam) menyebabkan ramai penduduk Palestin terkorban.

"Sehingga kini seramai 18,608 penduduk Gaza terkorban manakala 50,594 mangsa lagi cedera parah atau ringan sejak serangan Zionis bermula 7 Oktober lalu.
BANJIR di kem pelarian Palestin di Gaza susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
 BANJIR di kem pelarian Palestin di Gaza susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
"Kekejaman Israel berterusan apabila penduduk Gaza yang mencari perlindungan di dalam Sekolah Shadia Abu Ghazala di utara Gaza turut dibunuh beramai-ramai.

"Pengeboman Israel berterusan di bahagian tengah dan selatan Gaza selain di kem pelarian Jabalia di utara Gaza. Sekurang-kurangnya 196 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 24 jam," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa yang mati dibunuh tidak dapat dikebumikan buat masa ini berikutan banjir besar yang berlaku.

"Orang ramai terpaksa mengharungi jalan yang ditenggelami banjir untuk membawa jenazah ahli keluarga yang terbunuh dalam pengeboman Israel. Kebanyakan jenazah ini sudah dibungkus dengan kain kafan putih untuk disimpan sementara di lokasi selamat.

"Hujan lebat dan angin sejuk di Gaza jelas memburukkan lagi kesengsaraan dialami kami. Ribuan mangsa terpaksa tinggal berhimpit kesejukan di dalam khemah kanvas atau plastik.

"Ada antaranya terpaksa berpindah atau mencari kawasan lebih tinggi berikutan tapak khemah ditenggelami banjir hingga sedalam lebih satu meter.
"Malah ada penduduk Gaza di kem pelarian di Rafah terpaksa tidur basah kuyup di kawasan terbuka berikutan khemah dihuni ditenggelami banjir atau rosak dipukul ribut," katanya.
Menurutnya, penderitaan dialami penduduk Gaza amat menyedihkan tatkala mereka masih hidup dalam keadaan tidak menentu serta berdepan krisis kebuluran.

"Ramai kanak-kanak kini yang sakit selsema dan demam. Namun tiada apa dapat dilakukan berikutan sistem kesihatan di Gaza lumpuh sepenuhnya.

"Tiada siapa yang peduli, dan tiada siapa yang datang membantu. Sempadan Rafah masih ditutup sekali gus menghalang bantuan luar untuk tiba ke sini," katanya.

Menurutnya, penduduk Gaza disifatkannya sebagai berdepan malapetaka berganda apabila diserang tentera Israel saban hari selain berdepan isu bencana alam, kesihatan dan krisis kebuluran.

"Sebelum ini beratus ribu penduduk Palestin terpaksa melarikan diri ke selatan Gaza dengan berjalan kaki, menaiki kereta, lori, kereta kuda dan sebagainya untuk mencari perlindungan.

"Namun kini lautan khemah dan tempat perlindungan sementara dibina daripada kepingan kayu dan kepingan plastik tidak lagi selamat susulan banjir besar yang melanda. Cuaca buruk ini dijangka akan berterusan sehingga Januari," katanya.

Menurutnya, ketika ini orang ramai masih terpaksa menunggu berjam-jam di sekitar pusat bantuan untuk mendapatkan bekalan air minuman, makanan dan bantuan perubatan yang tidak seberapa.

"Keadaan ini pastikan akan memudahkan penyakit bawaan air banjir berlaku. Di mana lagi boleh kami melarikan diri atau mencari perlindungan...kami terperangkap dan menahan azab," katanya.

Banjir kilat, bekas komando dikhuatiri hilang

Mohamad Fahd Rahmat
am@hmetro.com.my

Kluang: Bekas komando dikhuatiri hilang selepas banjir kilat melanda lokasi Majlis Jamuan Teh Daerah Batu Pahat dan Kluang yang dihadirinya di Dataran Tasik Kluang, di sini petang tadi.

Ab Manan Keri, 73, kali terakhir dilihat memakai baju kemeja veteran Angkatan Tentera Malaysia.

Anaknya, Mohamad Shahsulliah, 29, berkata, bapanya menghadiri majlis itu bersama ahli keluarga dengan menaiki Perodua Axia.


Katanya, ketika ini pencarian dilakukan di sekitar kawasan berkenaan oleh ahli keluarga dan rakan selain pihak berkuasa.

"Saya dapat panggilan daripada kakak Maghrib tadi, memaklumkan ayah tak pulang ke kereta (sebaik majlis selesai) selepas berjalan seorang diri.

"Ayah memang suka berjalan sendiri, namun kejadian seperti ini pertama kali terjadi. Ketika itu, adik dan kakak puas menunggu ayah di kereta tetapi tiada.

"Kereta pula diparkir jauh dari lokasi majlis dan kami risau kerana ayah tak jawab panggilan telefon, malah panggilan masuk ke peti suara," katanya ketika dihubungi.

Mohamad Shahsulliah berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ayahnya supaya menghubungi talian 017 783 3650.

Sementara itu, hujan lebat beberapa jam sejak petang tadi menyebabkan kawasan di sekitar Dataran Tasik Kluang ditenggelami air.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang orang ramai memenuhi majlis itu yang turut dihadiri Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar.

Kawasan lain yang dilanda banjir kilat termasuk perumahan PPRT Jalan Sawi Yap Tau Sah, selain tiga keluarga dipindahkan ke tempat selamat oleh polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

Polis meminta orang ramai berhati-hati dan menghubungi Pusat Bilik Gerakan IPD Kluang di talian 07-7766822 atau menghubungi mana-mana balai yang berdekatan untuk mendapatkan bantuan.

Bekas ADUN akhirnya hadir mahkamah, akui bernikah

SYAMILAH ZULKIFLI
Norhaya (kiri) dan Noor Azmi ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah pada Khamis.
Norhaya (kiri) dan Noor Azmi ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah pada Khamis.
SEREMBAN - Selepas dua kali gagal hadir membuat pengesahan nikah dengan bekas isteri kedua yang dilangsungkan pada 27 Julai lalu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang akhirnya hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Khamis.

Bekas isteri Noor Azmi Yusof, Norhaya Ramli, 50, ketika ditemui di luar mahkamah memaklumkan bahawa bekas suaminya itu mengaku kepada hakim bahawa pernikahan mereka telah dilangsungkan pada 27 Julai lalu di sebuah hotel di Seremban.

"Saya lega kerana dia akhirnya hadir selepas cuba mengelak beberapa kali.

"Saya hanya mahu kerjasama daripadanya saja untuk mengesahkan pernikahan kami.

"Lagipun dia telah ceraikan saya melalui WhatsApp pada 17 Ogos lalu," katanya.

Dalam masa sama, Norhaya berharap bekas suaminya itu terus memberi kerjasama untuk hadir pada 22 Januari depan bagi keputusan pengesahan nikah mereka.

Terdahulu, hakim Ruzita Ramli mempersoalkan peguam Asmawi Ismail yang mewakili Noor Azmi berikutan tiada kelibat anak guamnya pada prosiding berlangsung pada pagi Khamis.

Asmawi sebelum itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya baru pulang dari menunaikan umrah.

Ruzita terpaksa menangguhkan prosiding kira-kira 15 minit menegaskan mahu responden hadir tanpa sebarang alasan bagi membolehkan kes itu dijalankan.

"Saya dah arahkan waran tangkapkan. Hari ini perlu hadir. Saya dah arahkan hadir, perlu hadir.

"Saya tidak mahu dengar alasan. Jadi dia hadir atau tidak?

"Kenapa peguam tidak pastikan dia hadir bersama-sama peguam?" katanya.

Beliau turut menegaskan mahu prosiding kes itu berlangsung hari ini dan tidak ditangguhkan lagi kerana ia membuang masa mahkamah dan pihak-pihak lain.

Asmawi kemudiannya memberitahu mahkamah anak guamnya hadir, namun meminta prosiding ditangguhkan 15 minit.

Sementara itu, pada prosiding yang bersambung jam 11 pagi, Noor Azmi meminta mahkamah menjalankan kes itu secara tertutup.

Murid perempuan ugut nak bunuh guru

AFP
PINTU pagar sekolah yang menjadi lokasi insiden murid perempuan mengugut seorang guru dengan pisau di Rennes, barat Perancis. FOTO AFP
PINTU pagar sekolah yang menjadi lokasi insiden murid perempuan mengugut seorang guru dengan pisau di Rennes, barat Perancis. FOTO AFP 
Paris: Seorang murid perempuan mengugut seorang guru dengan pisau dalam cubaan membunuh di sebuah sekolah Perancis, Rabu lalu.

Pendakwa raya Rennes, Philippe Astruc berkata, ugutan itu jelas selain menyifatkan ia insiden terbaharu dalam sistem pendidikan negara.

"Tiada sesiapa yang cedera dalam insiden itu semasa kelas Bahasa Inggeris di bandar barat laut Rennes tetapi pendakwa raya sudah membuka kertas siasatan jenayah berhubung cubaan membunuh.

"Murid dilahirkan pada 2011 itu datang ke kelas dengan bersenjatakan pisau besar dengan niat yang jelas untuk membunuh guru bahasa Inggerisnya," katanya.

Murid guna senjata curi buku laporan
Menurutnya, semasa proses pembelajaran di dalam kelas, murid itu mengacukan pisau ke arah guru. Ia menyebabkan guru itu melarikan diri.

Pihak berkuasa pendidikan tempatan pada sesi sidang akhbar berkata, pisau digunakan oleh murid itu bersaiz 17 sentimeter.

"Senjata pada murid itu 'dijatuhkan' oleh kakitangan sekolah. Murid-murid yang terkejut, segera dipindahkan ke tempat selamat," katanya.

Astruc dalam satu kenyataan berkata, susulan kejadian, murid itu menjalani pemeriksaan psikiatri di hospital.

"Kanak-kanak di bawah umur itu berbahaya untuk dirinya sendiri dan keadaannya memerlukan penjagaan dalam persekitaran khusus," katanya.

Suspek yang juga anak sulung daripada empat beradik berasal dari Mongolia dan bermastautin di Perancis. Mereka tiba di Rennes pada 2012.

Terdahulu, pada Oktober lalu, media mendakwa seorang individu Islam berfahaman radikal menikam bekas gurunya hingga mangsa mati di bandar utara Arras.

Awal minggu ini, guru di sebuah sekolah di luar Paris enggan bekerja selepas sekumpulan murid membantah tindakannya mempamerkan lukisan zaman Renaissance karya Giuseppe Cesari. Lukisan itu mengandungi imej beberapa wanita bogel.

Sementara itu, mahkamah Perancis, minggu lalu, mensabitkan kesalahan enam remaja kerana peranan mereka dalam pembunuhan guru Samuel Paty di luar sebuah sekolah menengah dekat Paris, pada 2020.