Mula-mula ajak borak, akhirnya diliwat

AZMI NORDIN

PETALING JAYA – Pelawaan untuk berbual di rumah bertukar menjadi mimpi ngeri buat seorang lelaki warga asing apabila diliwat dalam kejadian di sebuah kondominium, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, mangsa berusia 25 tahun memaklumkan baru berkenalan dengan suspek warga tempatan di sebuah gimnasium pada Mac lalu.

Katanya, kejadian berlaku apabila suspek mengajak mangsa ke rumahnya untuk berbual sekitar pukul 5 petang.

“Mangsa telah berjumpa suspek di koridor kondominium sebelum pergi ke rumahnya untuk berbual-bual.

“Sampai sahaja di rumah, suspek bertindak membuka pakaian dan mula menyentuh badan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa tidak menjerit kerana tidak mahu jiran terdengar atau nampak kejadian yang boleh memalukan dirinya.

Justeru itu, Shahrulnizam memaklumkan, mangsa telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan pemeriksaan mendapati terdapat kesan koyakan pada dubur.

“Sehingga kini belum ada tangkapan dibuat. Siasatan dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Mayat lelaki warga asing di tepi jalan

BERNAMA

Shah Alam: Seorang lelaki dipercayai warga asing ditemukan meninggal dunia di tepi jalan berdekatan sebuah sekolah di Kuala Langat, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@ Saleh berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan penemuan mayat lelaki dianggar berusia 30-an itu pada 8.20 malam.

"Pemeriksaan fizikal pada mayat itu menemukan kesan kecederaan di belakang kepala. Mangsa dipercayai tergelincir sebelum terjatuh dan terkena penjuru longkang.

"Terdapat tompokan darah dijumpai dalam longkang berdekatan lokasi kejadian manakala mayat dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan anggota forensik di tempat kejadian mendapati kesan kecederaan di belakang kepala mangsa adalah disebabkan objek tumpul disyaki kesan terhantuk ke batu.

Pemeriksaan di sekitar lokasi penemuan mayat, katanya tidak menemukan sebarang objek yang mencurigakan dan kematian lelaki itu tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Tidak resmi Sg Bakap kekal milik PN

Malaysiakini 

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa keputusan malam ini mencerminkan peratusan keluar mengundi yang rendah dalam kalangan bukan Melayu.

Dalam catatan di X, Rafizi berkata analisis awal menunjukkan peratusan pengundi Melayu adalah 70 peratus, manakala hanya 47 peratus pengundi Cina dan 58 peratus pengundi India keluar mengundi.

“Dengan jumlah keluar mengundi yang sangat berbeza di antara pengundi Melayu dan bukan Melayu, kerusi Sg Bakap menjadi kerusi majoriti besar Melayu (saluran-saluran bertukar dari Melayu-Bukan Melayu 55:45 kepada 75:25).

“Walaupun ada sedikit peralihan undi Melayu, keputusannya banyak dipengaruhi jumlah pengundi yang keluar," katanya.


Malaysiakini mengisytiharkan kemenangan PN dalam PRK Sungai Bakap berdasarkan pengiraan tak rasmi.

Dengan 62 daripada 66 peti undi dikira setakat ini, PN mendahului dengan sekitar 3,700 undi dan telah melepasi ambang 50 peratus mengikut anggaran Malaysiakini.

Dengan jumlah itu, PH tidak mungkin dapat memintas.

Cef dakwa memasak selama 802 jam ditangkap

KOSMO!
SMITH menunjukkan kononnya sijil Guinness World Records kerana memasak paling lama. - Foto Facebook
ACCRA – Seorang cef di Ghana yang mendakwa telah memecahkan rekod dunia kerana memasak tanpa henti paling lama telah ditahan kerana berbalah dengan penaja, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.

Ebenezer Smith mengadakan sidang akhbar sebelum ini bagi mengumumkan bahawa  dia ialah pemegang rekod dunia baharu selepas memasak secara berterusan selama 802 jam dan 25 minit.

Dia turut menunjukkan sijil kononnya daripada  Guinness World Records, mengesahkannya sebagai pemegang rekod dunia.

Bagaimanapun, kelmarin, seorang jurucakap Guinness memberitahu BBC bahawa dakwaan itu tidak benar dan menambah, sijil tersebut bukan daripada Guinness World Records.

Tukang masak itu ditahan polis sejurus selepas mengumumkan menerima sijil itu yang sebenarnya palsu.

Smith ditangkap kerana berbalah dengan penajanya, Pusat Beli-Belah Amadia di Accra yang merupakan  tempat dia memasak selama lebih 802 jam itu pada Mac lalu.

Pihak penaja menuduhnya melanggar kontrak kerana tidak memaklumkan kepada mereka tentang perkembangan baharu berhubung sijil palsu itu. – AGENSI

Askar hilang 19 hari di hutan ditemui selamat

Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my
Anggota tentera yang hilang 19 hari lalu ditemukan selamat hari ini.
Anggota tentera yang hilang 19 hari lalu ditemukan selamat hari ini.
Kuching: Anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang dilaporkan hilang ketika menyertai Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) di sempadan Malaysia-Brunei di Limbang 18 Jun lalu, ditemui selamat hari ini.
 
Jurucakap Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat mengesahkan penemuan itu Prebet Muhammadd Syafiq Hilmi Abd Halim, namun belum menerima maklumat lanjut dan menunggu Markas Tentera Darat untuk mengeluarkan kenyataan rasmi.

Difahamkan, anggota yang berasal dari Baling, Kedah itu ditemui selamat dalam keadaan lemah.

Mengejutkan penyokong PN pernah mengaku murtad sebut perkataan jelik terhadap PM

Harapandaily

Mengejutkan apabila Perikatan Nasional (PN) membiarkan seorang lelaki yang pernah mengaku murtad menyebut perkataan jelik terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Individu yang lengkap berbaju Melayu dan mengenakan tanjak itu menjadi penceramah di pentas kempen PN.

“Brader Anwar bin Ibrahim. Singkatannya apa? Brader – B, Anwar – A, bin – B, Ibrahim – I.

“Singkatan nama, tak salah. Saya bukan maki dia. Nak buat macam mana, singkatannya macam itu.

“Saya tak kata dia khinzir…,” katanya yang difahamkan bersama Bersatu.

Pada 2019, lelaki sama pernah mengaku murtad dalam siaran langsung di media sosial yang rakaman kenyataannya itu boleh dilayari di Youtube.

Rata-rata mempersoalkan pendirian Pas yang membenarkan penceramah PN menghina sesama Islam di pentas ceramah parti.

“PN panggil orang macam ni untuk bercakap atas pentas? Main-main dengan agama. Memang dia orang ni punya kegemaran, ‘kan? Tungganglah selagi boleh.

“Kalau nak dengar penipuan pembohongan maki hamun, fitnah dan perkara yang tak memajukan rakyat pergilah dengar ceramah PN tetapi kalau nak dengar isu-isu yang keluar dari kotak pergilah dengar ceramah PH,” demikian antara komentar warga maya.

Bersatu masih ada masalah ‘disiplinkan’ pemimpin, ahli

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Penganalisis berpandangan Bersatu dilihat sukar mengawal wakil rakyatnya sehingga ada yang mula bersuara di ‘luar pendirian’ parti itu seperti dibangkitkan Adun Sungai Tiang Razak Khamis berhubung isu penyasaran subsidi.

Khamis lalu, wakil rakyat Bersatu itu meminta rakannya dalam Perikatan Nasional (PN) menghentikan serangan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api terbabit sejak 10 Jun lalu, sebaliknya fokus bersama kerajaan mencari jalan mengurangkan kesan terhadap rakyat.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata kenyataan ketua Bersatu Pendang itu boleh dilihat dari dua aspek iaitu pertama mahu kritikan melampau terhadap inisiatif kerajaan itu dihentikan apabila diakui kesan positif menerusi pelaksanaannya.

“Satu sudut lagi kenyataan itu membayangkan selepas enam Ahli Parlimen dan seorang Adun berpaling tadah, Bersatu masih ada masalah mendisiplinkan (ahli dan pemimpin) mereka.

“Bukan salah Adun itu tetapi salah parti yang hilang pedoman mengkritik secara melulu dan melampau berhubung subsidi diesel…jadi ini memberi kesan besar kepada Bersatu,” katanya kepada FMT.

Kenyataan Razak itu berbeza dengan kritikan pemimpin PN termasuk Pengerusinya Muhyiddin Yassin yang menyifatkan pelarasan harga siling diesel di Semenanjung kepada RM3.35 seliter sebagai menekan rakyat selain mendakwa punca kenaikan harga barang.

Bagaimanapun, pada 30 Julai 2022, Muhyiddin yang ketika itu pengerusi Majlis Pemulihan Negara berkata kerajaan mampu menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM20 bilion setahun melalui pelaksanaan skim subsidi bersasar.

Selain itu, Razak juga meminta cakap-cakap menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dihentikan yang perlu diberi peluang mentadbir sehingga habis penggal.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula menyifatkan tindakan Razak itu sebagai wajar dan menunjukkan beliau memainkan peranan sebagai pembangkang rasional dan wakil kerajaan di peringkat negeri untuk membantu penduduk diwakili.

“Beliau tidak membangkang secara buta tuli tapi lebih kepada mengkritik dan semak imbang secara rasional, kenyataannya itu luar biasa namun wajar mengakui langkah kerajaan yang baik,” katanya.

Sementara itu, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berharap suara dibawa Razak itu dapat menjadi permulaan untuk membuka jalan kerjasama kerajaan dan pembangkang dalam menstabilkan politik demi membangunkan negara.

“Antara perkara dituntut dalam demokrasi apabila blok kerajaan dan pembangkang dapat bekerjasama membangunkan negara dan bersama menyumbangkan idea, ia satu contoh politik matang dan sejahtera,” katanya.

Sindiket pelacuran warga asing 75 individu ditahan

Bernama

Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh berkata seramai 75 individu ditahan dalam operasi khas di lapan lokasi di Lembah Klang itu.
Antara wanita warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pelacuran dalam operasi di sekitar Lembah Klang semalam. (Gambar Jabatan Imigresen)
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket pelacuran warga asing menerusi operasi khas di lapan lokasi sekitar Lembah Klang dengan penahanan 75 individu semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh berkata operasi yang bermula pada 1.45 tengah hari itu melibatkan sepasukan pegawai serta anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Beliau berkata operasi itu berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu sebelum anggota pasukan terbabit diatur gerak ke lokasi dan menahan 57 wanita masing-masing 32 warga Indonesia, 11 warga Bangladesh, lapan warga Vietnam dan enam warga India.

“Turut ditahan 10 lelaki masing-masing tujuh warga Bangladesh, dua warga Myanmar dan seorang warga Indonesia yang semuanya berusia lingkungan 17 hingga 46 tahun selain tujuh lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia lingkungan 23 hingga 65 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Ruslin berkata semakan awal mendapati 13 wanita Indonesia dan empat wanita Vietnam yang ditahan memiliki pas yang sah manakala dua lagi wanita warga Indonesia dan seorang warga Vietnam tinggal lebih masa.

“Warga asing lain yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini. Pasukan operasi merampas satu telefon bimbit, 15 pasport Indonesia, lima pasport Vietnam, wang tunai sebanyak RM1,750, satu set komputer dan 10 buku kerja daftar pelanggan,” katanya.

Beliau berkata modus operandi sindiket ialah menawarkan perkhidmatan urutan badan serta pelacuran dan pelanggan akan hadir sendiri ke premis serta memilih wanita warga asing berdasarkan katalog yang diberikan.

“Pelanggan juga boleh memilih wanita warga asing dengan menggunakan foto mereka melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp. Bayaran secara tunai akan diberikan kepada penjaga premis semasa pelanggan mula memasuki bilik dan kadar bayaran yang dikenakan ialah antara RM100 hingga RM400 bagi satu jam.

“Semua warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut,” katanya.

Ruslin berkata tujuh lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang dipercayai bekerja sebagai penjaga premis ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) serta Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

Jurutera kilang ditahan, rakam video di tandas wanita

Bernama

BALIK PULAU: Polis menahan seorang jurutera kilang kerana disyaki merakam gambar dan video di dalam tandas wanita di sebuah kompleks perniagaan di Lengkok Mayang Pasir, Bayan Baru di sini, semalam.

Ketua Polis Barat Daya Kamarul Rizal Jenal berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira 10.30 malam selepas kejadian itu disedari pengawal keselamatan yang bertugas di situ.

Beliau berkata semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki terbabit telah beberapa kali masuk ke dalam tandas wanita berkenaan termasuk pada 26 Jun dan Rabu lepas.

“Pemeriksaan dalam telefon bimbitnya menemukan gambar dan video dalam tandas itu serta gambar dan video lucah lain,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut Kamarul Rizal, lelaki terbabit mendakwa dia melakukan perbuatan itu bagi tontonan sendiri.

Beliau berkata suspek direman selama empat hari hingga 8 Julai ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Penjawat awam terima ganjaran RM100,000 lapor kes rasuah

KOSMO!

PETALING JAYA – Seorang kakitangan awam pernah menerima ganjaran tertinggi RM100,000 kerana melaporkan perbuatan rasuah, kata Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Tarmize Abdul Manaf.

Beliau berkata, ganjaran itu diberikan susulan surat pekeliling yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara pada 11 Mei 2011 bertajuk ‘Garis Panduan Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah’.

“Inisiatif kerajaan ini bertujuan menggalakkan penjawat awam untuk melaporkan rasuah, seterusnya mengiktiraf mereka yang mempamerkan integriti tinggi dalam menangani tawaran rasuah.

“Melalui surat pekeliling itu juga penjawat awam yang melaporkan rasuah layak menerima pengiktirafan dan ganjaran kewangan daripada kerajaan,” katanya.

Katanya, nilai ganjaran adalah bergantung kepada nilai rasuah yang ditawarkan dan dalam kebanyakan kes, nilai ganjaran adalah sama dengan nilai rasuah yang ditawarkan.

“Sehingga hari ini, 514 penjawat awam menerima pengiktirafan ini. Jumlah ganjaran yang diberin adalah sebanyak RM1,035,363.

“Selain itu, penjawat awam itu akan diberikan sijil penghargaan dan mereka boleh dipertimbangkan pencalonan anugerah pingat peringkat persekutuan atau negeri,” jelasnya.

Berdasarkan data SPRM, pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia paling ramai menerima pengiktirafan itu iaitu 349 orang melibatkan nilai ganjaran RM495,268.

Jabatan Imigresen Malaysia pula 53 orang, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (25), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (17) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (11). – KOSMO! ONLINE

Bekas pemilik syarikat dipenjara, denda kerana sembunyi RM195,000 milik warga emas

BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang bekas pemilik syarikat teknologi maklumat dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyembunyikan wang milik seorang warga emas berjumlah RM195,000 tiga bulan lepas.

Hakim Azrul Darus memerintahkan hukuman Ho Chun Jin, 22, bermula hari ini, selain tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Ho didakwa menyembunyikan wang RM195,000 milik M Shanmughalingam, 85, yang dimasukkan ke akaun bank syarikat milik tertuduh di Jalan Kiara 2 Mont Kiara, Brickfields di sini antara 5 hingga 8 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Haniff Ahijman memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran, namun Ho yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan kerana menanggung ibu bapa.

Mengikut fakta kes mangsa membuat laporan polis kerana tidak menerima pulangan selepas membuat dua bayaran ke akaun tertuduh bagi menyertai pelaburan saham yang diketahuinya menerusi laman Facebook.

‘Anak muda tak lagi ghairah PN, selesa berbaju perpaduan’

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Kurang 24 jam hari pengundian PRK Sungai Bakap, calon kerajaan perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) dilihat memiliki peluang seimbang untuk menang dalam pertembungan dua penjuru itu, menurut kajian sebuah firma penyelidikan bebas.

Dapatan Ilham Centre merumuskan, gelombang anak muda yang begitu ghairah menyokong PN sebelum ini berubah dengan ketara di Sungai Bakap, apabila sebahagian mereka tidak lagi berasa segan bergaya dengan baju-T logo perpaduan ketika beriadah.

“Anak-anak muda yang dulu ghairah mempamerkan sokongan kepada PN, sekarang sudah tidak sekuat itu. Pengundi muda mula tidak segan silu untuk bergaya dengan baju gabungan parti perpaduan, lepak berbual di sana-sini.

“Situasi yang tidak menonjol dalam PRN lepas,” menurut kajian dijalankan dalam dua fasa iaitu pertengahan kempen dan menuju penghujung kempen.

Sungai Bakap, DUN bawah Parlimen Nibong Tebal adalah kerusi bercampur dengan 59% pengundi Melayu, Cina (23%), India (17%), dan lain-lain (1%).

Calon kerajaan perpaduan diwakili Joohari Ariffin, bekas guru dan anak tempatan manakala PN mempertaruhkan Abidin Ismail, pembantu wakil rakyat sebelum ini Nor Zamri Latiff yang meninggal dunia pada 24 Mei lalu.

Selain faktor ‘ayunan’ anak muda, Ilham Centre berkata sokongan pengundi teras Umno yang memilih PN pada PRN lalu dilihat sudah tidak sekuat sebelumnya.

Kajian di lapangan menunjukkan gerak kerja jentera Umno yang kuat dan sistematik dengan menyantuni dan mendampingi kelompok itu semakin diterima.

“Temu bual bersama pengundi Umno menunjukkan situasi tersebut telah mula berubah sedikit. Kecenderungan mereka terhadap PN semakin tidak kuat seperti sebelumnya,” menurut dapatan itu.

Pada PRU14, Barisan Nasional (BN) memperoleh kira-kira 8,000 undi bagi DUN Sungai Bakap, dibantu sekitar 5,000 ahli Umno di kawasan berkenaan.

Akibat ‘rempuhan gelombang hijau’, sebahagian besar pengundi teras Umno memberi undi kepada PN dalam PRN lalu.

Menyentuh undi etnik Cina yang menjadi deposit tetap PH sejak beberapa siri pilihan raya sebelum ini, Ilham Centre mendapati kelompok berkenaan tidak menunjukkan keghairahan untuk membuang undi esok kerana tidak berpuas hati dengan beberapa polisi ekonomi dan prestasi kerajaan perpaduan khususnya berkait isu air.

“Namun, senario ini tidak berlaku secara blok, sebahagian lagi pengundi etnik Cina tetap memberi komitmen untuk keluar membuang undi,” menurut cerapan Ilham Centre.

“Jika PH-BN berupaya memujuk pengundi Cina untuk keluar mengundi, mereka berpotensi merampas DUN ini daripada PN jika perbezaan peratusan keluar mengundi etnik Melayu dan Cina tidak melebihi 15%.

“Jika sebaliknya, PN akan mengekalkan status quo sebagai pemenang kerusi ini,” menurut dapatan itu.

20 anggota risikan dipecat terbabit ajaran sesat

AFP
Gambar dikeluarkan Parlimen Trinidad and Tabago memaparkan Perdana Menteri Keith Rowley bercakap di Parlimen ketika memaklumkan 20 anggota Agensi Perkhidmatan Strategik (SSA) negara itu dipecat kerana terbabit ajaran sesat. - Foto AFP
Gambar dikeluarkan Parlimen Trinidad and Tabago memaparkan Perdana Menteri Keith Rowley bercakap di Parlimen ketika memaklumkan 20 anggota Agensi Perkhidmatan Strategik (SSA) negara itu dipecat kerana terbabit ajaran sesat. - Foto AFP
PORT OF SPAIN: Lebih 20 anggota risikan Trinidad and Tobago dipecat agensi penguatkuasaan itu selepas mereka didapati terbabit dalam aktiviti ajaran sesat bagi menjatuhkan kepimpinan politik negara terbabit.

Dalam sidang Parlimen, Perdana Menteri, Keith Rowley, berkata hasil siasatan Agensi Perkhidmatan Strategik (SSA) mendapati 28 anggotanya dipengaruhi ajaran sesat itu, sejak Mei lalu, sekaligus menjejaskan keselamatan negara.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati wujudnya amalan nepotisme dan oportunisme yang memberi ancaman membabitkan ahli gereja yang menyamar dengan berkhidmat di agensi itu.

"Mereka adalah ahli ajaran sesat yang menyampaikan doktrin kepada anggota tentera dengan menggunakan agama sebagai alasan bagi menggantikan kepimpinan politik negara," katanya tanpa mendedahkan nama ajaran sesat itu.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan ajaran sesat itu dipimpin Ian Brown iaitu paderi yang mengaku dirinya sebagai pengintip dan didakwa pada Mei lalu atas salah laku di pejabat awam.

Pada masa sama, Rowley berkata, aktiviti pemujaan itu bagi mempengaruhi hal ehwal agensi SSA sehingga menjejaskan keselamatan negara.

Beliau berkata, 28 anggota SSA itu sudah dibuang kerja atas kesalahan melanggar peraturan agensi dan pelakuan aktiviti tidak normal.

"Pihak audit mendapati bahawa SSA menubuhkan unit tindak balas taktikal yang tidak dibenarkan.

"Namun, unit itu sudah dimansuhkan Mac lalu dan aktivitinya sedang disemak oleh SSA dan Pasukan Polis Trinidad dan Tobago," katanya.

PRK Sungai Bakap: Peluang PH, PN masih 50-50

Malaysiakini 

PRK SG BAKAP | Tinggal hanya beberapa jam sebelum tempoh kempen berakhir dan pengundi akan menggunakan kuasa mereka untuk memilih, persaingan di antara PN dan PH-BN kekal sengit.

Menurut Ilham Centre kedua-dua parti mempunyai peluang seimbang untuk memenangi pilihan raya kecil kali ini.

Namun pengundi daripada masyarakat Cina dilihat bakal menjadi penentu sama ada Joohari Ariffin atau Abidin Ismail yang akhirnya nanti diangkat sebagai Adun baru.

"Jika PH-BN berupaya memujuk pengundi etnik Cina untuk keluar mengundi, mereka berpotensi merampas DUN ini daripada PN andainya perbezaan peratusan keluar mengundi etnik Melayu dan Cina tidak melebihi 15 peratus.

"Jika sebaliknya, PN akan mengekalkan status quo sebagai pemenang kerusi ini," kata firma kaji selidik itu petang ini.

Pada masa sama Ilham Centre juga mendapati kesan 'gelombang hijau' yang banyak membantu PN memenangi kerusi pada PRU dan PRN lalu kini semakin reda.

Kata Ilham Centre, kemuncak 'gelombang hijau' terjadi semasa PRN lalu dan semakin merosot di Sungai Bakap.

"Aura yang terkait sentimen etnik-agama khususnya dalam kalangan pengundi Melayu sudah tidak sehangat semasa PRU ke-15 dan PRN 2023.

"Sama ada kempen secara berdepan atau secara atas talian, sentimen dan emosi berkaitan 3R (raja, kaum dan agama) ini sudah tidak sepanas seperti sebelumnya.

"Sentimen tersebut masih ada dan masih digunakan dalam kempen, namun sambutan dan kehangatannya semakin mereda," kata Ilham Centre.

Joohari dapat kredit besar

Untuk mendapat gambaran perjalanan keseluruhan pilihan raya kecil kali ini serta sikap, tingkah laku dan kecenderungan pengundi, Ilham Centre berkata, membuat kajian lapangan secara dua fasa.

Pertama, katanya, semasa pertengahan tempoh kempen, diikuti dengan pertengahan minggu kedua hingga ke penghujungnya.

Dapatan tersebut, tambah firma berkenaan, dikumpulkan melalui pemerhatian ikut serta, temu bual mendalam dan perbincangan kumpulan berfokus.

Responden pula katanya terdiri daripada penduduk setempat, pengundi, jentera parti, pemimpin parti serta pemimpin komuniti dan masyarakat.

Laporan Ilham Centre hari ini menyentuh beberapa aspek bagi menjelaskan gambaran yang didapati daripada pemerhatian mereka.

Mengenai calon, firma berkenaan mendapati orang ramai memberikan kredit yang besar kepada Joohari ekoran latar akademik dan kerjayanya yang membolehkan dia menerima perspektif yang baik.

"Pada masa sama calon PH ini itu memiliki kemahiran komunikasi yang baik sama ada pengucapan awam atau komunikasi interpersonal apabila berinteraksi dengan pengundi.

"Aset paling besar Cikgu Joo (Joohari) ialah kerjaya beliau sebagai guru menyebabkan beliau dikenali ramai termasuk oleh bekas murid beliau.

"Dalam temu bual kami, ramai bekas murid memberi penghormatan tinggi kepada beliau walaupun bekas murid tersebut adalah penyokong PN," katanya.

Sebagai bandingan, Abidin pula tidak dapat menandingi kelayakan akademik, latar belakang kerjaya dan kemahiran komunikasi Joohari,

Namun pada masa sama, kata Ilham Centre, Abidin dikenali dengan baik dalam kalangan pengundi dan ia banyak dipengaruhi oleh faktor dia merupakan anak tempatan, selain bertugas membantu Adun terdahulu,

"Tinjauan kami di Sungai Duri sebagai contoh, beliau sangat popular di PDM (pusat daerah mengundi) itu khususnya anak-anak kar

Penyeludup hilang lepas terjun Sungai Golok ketika serbuan polis

ROHANA MOHD. NAWI
Anggota bomba menjalankan SAR di Sungai Golok dekat pos kawalan PGA Pulai, Pasir Mas, Kelantan hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
PASIR MAS – Seorang lelaki yang disyaki penyeludup dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam Sungai Golok dekat pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Pulai, di sini malam tadi.

Mangsa, Mohd. Yuki Mohd. Yusoff, 41, hilang di dalam sungai berkenaan kira-kira pukul 8 malam selepas dipercayai melarikan diri semasa serbuan pihak polis.

Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Mohd. Azmi Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.17 pagi tadi.

Menurutnya, seramai 19 anggota dari balai bomba Pasir Mas, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) balai bomba Pengkalan Chepa dan Pengkalan Kubor bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mengesan mangsa.

“Operasi ditamatkan kira-kira pukul 3.55 pagi sebelum disambung semula pada pukul 8 pagi tadi. Sehingga kini, mangsa masih belum dijumpai.

“Selain selaman pasukan PPDA, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa turut dijalankan di kawasan persisir pantai dengan menggunakan tiga buah bot bomba,” katanya – KOSMO! ONLINE

Remaja warga Pakistan maut jatuh dari tingkat 20

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
REMAJA perempuan warga Pakistan maut  selepas terjatuh dari tingkat 20 di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Ihsan pembaca
REMAJA perempuan warga Pakistan maut selepas terjatuh dari tingkat 20 di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Ihsan pembaca
Kuala Lumpur: Seorang remaja perempuan warga Pakistan maut selepas terjatuh dari tingkat 20 di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Sentul, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu lewat petang semalam.

"Ketika kejadian, remaja terbabit dikatakan berada di rumahnya bersama ibu serta adiknya.

"Difahamkan adik remaja berkenaan ada melihat kakaknya itu berada di balkoni sebelum mendengar jeritan orang awam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, remaja terbabit masih bersekolah dan tinggal bersama keluarganya di rumah terbabit.

"Semakan dilakukan juga mendapati remaja berkenaan mempunyai pasport.

"Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Disangka tidur lama, rupanya sudah meninggal dunia 30 jam

Agensi

Beijing: Pekerja di sebuah kafe internet di timur China tidak menyedari selama 30 jam bahawa seorang lelaki berusia 29 tahun meninggal dunia di dalam premis mereka, sebaliknya menganggap dia tertidur, lapor South China Morning Post.

Lelaki itu memasuki kafe di Wenzhou, wilayah Zhejiang, pada 1 Jun untuk sesi permainan video yang panjang.

Seorang pekerja kafe menghubungi polis pada 10 malam, 3 Jun lalu, selepas lelaki itu, yang terbaring di atas meja komputer, tidak bertindak balas.

Pekerja itu juga dalam laporannya berkata, tubuh individu terbabit didapati menjadi sejuk, yang mendorongnya untuk menghubungi polis.

Lelaki itu, yang identitinya tidak didedahkan secara terbuka, sebelum ini meninggalkan kafe itu pada 6 pagi, 2 Jun lalu, untuk bersarapan.

"Berdasarkan baki sarapan yang ditinggalkan di atas meja, dia tidak makan tengah hari pada 2 Jun. Dia mungkin meninggal dunia secara mengejut pada pagi 2 Jun," kata seorang pegawai polis.

Adik ipar lelaki itu yang bernama Chen berkata, waktu kematian sebenar tidak disahkan kerana keluarganya tidak membenarkan pakar patologi melakukan bedah siasat.

Chen mempersoalkan mengapa kematian abang iparnya tidak dikesan lebih awal.

"Dia duduk di kawasan lapang dan bukannya bahagian tertutup. Sepatutnya ada pekerja yang memeriksanya dan menyedari kelakuannya yang pelik," kata Chen.

Pemilik kafe internet itu berkata, lelaki yang maut itu adalah pelanggan tetap yang mengunjungi premis itu hampir setiap hari dan menghabiskan kira-kira enam jam setiap kali kunjungan.

Dia berkata, dua pekerja yang bekerja pada masa itu tidak menyedari lelaki muda itu 'tidur' terlalu lama.

"Pekerja menyangka dia sedang berehat, jadi mereka tidak mengejutkannya. Selalunya, apabila kita membangunkan pelanggan yang sedang tidur, mereka menjadi marah dan memarahi kita," katanya.

Kes itu masih dalam siasatan, menurut polis tempatan.

Puad Zarkashi gelar Noh Omar ‘Low class’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno menyifatkan alasan Noh Omar menyertai Bersatu kerana simpati terhadap nasib dan perkembangan kes bekas perdana menteri Najib Razak sebagai ‘low class’.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Puad Zarkashi, berkata Noh sengaja menjual nama Najib untuk melompat parti, walaupun diketahui beliau bukan penyokong kuat ‘Bossku’.

“‘Low class’ punya alasan. Noh Omar bukan ‘die hard’ Najib. Apa dia boleh buat untuk membela Najib kalau masuk Bersatu?

“Muhyiddin (Yassin) dan Bersatu lagi kuat mahu Najib dipenjarakan. Lagi lama ditahan lagi bagus,” katanya di Facebook.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas presiden Umno itu memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan untuk memaksa penzahiran titah adendum dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, membolehkannya menjalani tahanan di rumah.

Puad mendakwa, Noh menyertai Bersatu kerana mahu menjadi calon Parlimen Tanjong Karang jika berlaku PRK.

“Sebenarnya Noh masuk Bersatu kerana dia mengidam jadi calon kerusi Tanjung Karang. Dia yakin kerusi itu akan dikosongkan,” katanya.

Ahli Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal itu digugurkan daripada kerusi berkenaan pada PRU15 menyaksikan Barisan Nasional (BN) tewas kepada Perikatan Nasional (PN).

Beliau antara individu disebut-sebut bakal dipertaruhkan PN jika berlaku PRK di kerusi terbabit susulan permohonan Bersatu mengosongkannya.

Ini selepas penyandangnya Dr Zulkafperi Hanapi terlucut keahlian Bersatu kerana gagal mematuhi arahan parti dengan terus menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim.

Peguam kepada lelaki Israel dengan 6 pucuk pistol, Pas didesak ambil sikap

Harapandaily

Pas didesak menyatakan pendirian berhubung isu Datuk Naran Singh sebagai peguam kepada seorang lelaki warga Israel yang didakwa memiliki ratusan butir peluru dan enam pistol.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, Naran Singh merupakan bekas calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jalong, Perak yang terletak dalam Parlimen Sungai Siput pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.

“Dia (Naran) orang Gerakan. Semasa penamaan calon lalu, dia datang sebagai penasihat undang-undang PN,” kata Rafizi dalam ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap.

Terdahulu, Naran Singh dilantik oleh tertuduh warga Israel, Avitan Shalom untuk mewakilinya pada perbicaraan selama sembilan hari yang akan bermula pada September depan.

Malah, Naran menerusi Facebook miliknya turut memaklumkan tentang pelantikan tersebut dan menerima banyak sokongan daripada pengikutnya.

Pada Mac lalu, Shalom, 38, didakwa memiliki pasport kewarganegaraan Perancis ditahan di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang, selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru.

Polis mendapati lelaki berkenaan yang memasuki Malaysia pada 12 Mac lalu, menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggunakan pasport Perancis, merancang membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang daripada enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.

RM200,000 nak dipinjam tak dapat, wang simpanan RM146,020 pula yang lesap

Omar Ahmad
am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Hajat pemilik salun untuk meminjam wang sebanyak RM200,000 daripada syarikat pinjaman wang di media sosial, berakhir dengan dia diperdaya hingga kehilangan wang simpanan RM146,020.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 28 tahun itu, kelmarin.

Katanya, mangsa memaklumkan diperdaya sindiket menawarkan pinjaman wang tidak wujud secara dalam talian selepas melihat iklan pinjaman di media sosial, minggu lalu.

"Mangsa menghubungi nombor telefon yang terdapat pada iklan itu dan diterangkan kadar bayaran bulanan oleh pekerja syarikat terbabit.

"Mangsa berminat untuk membuat pinjaman wang sebanyak RM200,000 dan memberikan salinan butiran peribadi serta penyata akaun bank kepada suspek untuk tujuan permohonan pinjaman.

"Suspek juga memperdaya mangsa dengan meminta membuat pembayaran duti setem dan 'credit scoring' serta dijanjikan pinjaman akan diterima selepas mangsa membuat pembayaran itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Raub, mangsa memaklumkan mengikut arahan suspek dan membuat bayaran sebanyak RM146,020 dengan 16 transaksi ke beberapa akaun bank tempatan.

"Setelah pembayaran dibuat, suspek mendesak mangsa untuk membuat penambahan bayaran lagi bagi mendapatkan pinjaman wang. Namun, mangsa enggan berbuat demikian.

"Sehingga kini, mangsa masih belum menerima wang pinjaman seperti yang dijanjikan suspek," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

PRK Sungai Bakap: Debat Rafizi, UmDAP sekadar alasan

Hishamuddin Aun

Isham Jalil mahu tunjukkan dia diterima di pentas ceramah PN selain mahu tingkatkan popularitinya.

Isham Jalil kata dia datang ke Sungai Bakap kerana nak cari Menteri Ekonomi Rafizi Ramli. Konon kerana Rafizi memetik namanya beberapa kali sepanjang seminggu lalu, maka Isham — bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno — mengabsahkan kehadirannya dalam kempen PRK Sungai Bakap agar Rafizi tidak dapat mengelak lagi untuk berdebat.

Rafizi bukanlah yang pertama diajaknya berdebat mengenai pelbagai isu berbangkit kerana Presiden Umno Zahid Hamidi juga pernah diperlakukannya dengan cara yang sama pada Oktober tahun lalu.

Menggelarkan kedua-duanya pengecut kerana tidak menyahut cabarannya, sesetengah kalangan berpendapat Isham tidak pun wajar dilayan kerana dia tiada apa-apa jawatan atau mewakili organisasi mana-mana kecuali mahu cari populariti.

Bersungguh-sungguh bunyinya Isham – bekas ketua penerangan yang dipecat MKT Umno pada 6 Disember 2023 antara lain kerana mendesak Zahid meletak jawatan presiden, melabel Umno sebagai barua DAP di samping empat kali tidak hadir mesyuarat — ‘menghalalkan’ kedatangannya ke Sungai Bakap untuk mencari Rafizi.

Bukannya dia tidak tahu kesibukan jadual Rafizi selaku pengarah pilihan raya Pakatan Harapan (PH) bagi PRK DUN Sungai Bakap, Sabtu ini selain timbalan presiden PKR itu terbabit mengunjungi pengundi dari rumah ke rumah dan menghadiri ceramah pada malamnya. Kadang-kadang orang seperti Isham ini berasa diri mereka ‘besar’, perlu dilayan dan diluangkan masa untuknya.

Isham tak usah nak sembanglah konon dia berpesan-pesan kepada orang Sungai Bakap supaya memaklumkan kepada Rafizi akan kehadirannya dan sedia menunggunya. Dia boleh saja bertanya atau menyemak jadual di mana Rafizi berceramah dan terus ke sana untuk bersemuka dengannya dan ajak berdebat jika sungguh bagai dikata.

Sebaliknya, Isham memilih untuk tampil buat julung-julung kali di pentas ceramah Perikatan Nasional (PN) di PDM Puteri Gunung berhadapan Flat Mutiara Jaya pada malam Selasa di sebalik dia tahu tidak akan menemui Rafizi di sana.

Seperti disebutkan tadi, itu hanya helahnya kerana tujuan Isham – berbaju Melayu atau kurta biru mirip warna baju kemeja PN – sebenarnya untuk menunjukkan dia diterima di pentas lawan kepada kerajaan perpaduan itu.

Didoakan agar dia segera menyertai PN secara rasmi kerana itu harus lebih bermaruah daripada menjadi ‘persona non grata’ politik yang menghamburkan pelbagai kritikan terhadap satu pihak di sebalik tidak pula memuji pihak yang berlawanan atas sebab-sebab yang hanya dia tahu.

“Saya datang ni sebagai penceramah bebas. Saya tak berparti lagi tapi kali ni saya nak Perikatan Nasional menang di Sungai Bakap. Sebabnya saya nampak kerajaan (perpaduan) ni dah teruk sangat.

“Dulu Anwar Ibrahim janji nak naikkan ke turunkan minyak? Dia janji dalam 20 tahun lepas tak salah saya, dia kata bila dia dapat kuasa je nak turunkan harga minyak. Tapi tak sampai dua tahun dia pegang kuasa, bukan saja tak tunai janji, dia buat yang terbalik. Dia naikkan harga minyak yang paling tinggi dalam sejarah – (kenaikan) RM1.20 harga diesel. Itu pasal kita nak kena tunjuk pada dia apa yang dia buat ni kita tidak setuju,” katanya.

Sudah banyak pencerahan dibuat mengenai perlunya penyasaran semula subsidi termasuk diesel yang dapat menyelamatkan kerajaan sebanyak RM4 bilion setahun di samping ia tidak membebankan rakyat biasa.

Selain perincian mengenainya dibuat oleh Rafizi dan terbaru oleh Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan di Dewan Rakyat 2 Julai lalu angka-angka yang diberi terus dipertikaikan. Ulangan sindiran ‘hari ini jadi kerajaan esok harga minyak turun’ di sebalik keadaan sudah berubah turut mendedahkan pihak-pihak yang sudah muflis modal politik.

“Sebab satu lagi, saya datang Sungai Bakap, saya nak cari Rafizi. Saya dah ajak dia berdebat banyak kali tapi dia takut… pengecut. Siapa-siapa yang jumpa Rafizi ni cakap pada dia saya ada di sini. Saya tunggu dia di mana-mana saja kita berdebat soal ekonomi, atau pasal harga minyak atau pasal apa saja. Dia nak ajak saya datang ‘podcast’ tapi ‘podcast’ ni sembang-sembang sahaja. Ini buang buang masa, saya kata nak berdebat. Saya dah ajak dua tiga kali dia lari, kali ini saya tunggu dia kat sini,” tambahnya.

Isham, yang tewas sebagai calon BN dalam perebutan empat penjuru bagi kerusi Parlimen Shah Alam pada PRU15, hanya perlu merujuk kepada video ceramah Rafizi di Sungai Bakap pada 10 Jun apabila seorang lelaki mendakwa penyokong Umno yang cuba mengganggu dipelawanya naik ke pentas untuk memberikan hujahnya. Dia bagaimanapun terus beredar dari situ.

“Satu lagi saya datang sini (kerana) saya tahu kat sini ramai orang Umno jugak. Mereka dengan saya ini orang Umno original. Dalam parti ni sekarang dah bahagi kepada dua, di akar dengan orang macam saya, ini Umno original. Yang di atas tu (MKT) bukan Umno original, itu UMDAP. Parti hari ini yang dipimpin oleh presiden Umno, dia dah bawak menyimpang jauh daripada perjuangan asal, bukan lagi perjuangan Umno. Sebab itu saya datang hari ini saya nak cakap kita perlu bina semula parti ini. Untuk kita selamatkan Umno, untuk kita bina semula Umno, kita kena kalahkan UMDAP, barulah kita boleh bawa Umno ini kembali ke perjuangan asal,” kata Isham lagi.

Sekiranya dirujuk kembali, tohmahan melabel Umno sebagai UmDAP tidak laku pada PRK Kuala Kubu Bharu, 11 Mei lalu sehingga Zahid menyimpulkan kerjasama Umno dan DAP dalam kerajaan perpaduan semakin diterima dan harus terus diperkukuhkan. Sekali lagi Ia tidak dijangka memberi banyak impak pada PRK Sungai Bakap ini yang penduduknya sudah biasa dengan gabungan DAP-Umno dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.

Apatah lagi andai PN menang Sabtu ini pun, ia tidak akan memberi kesan kepada majoriti 2/3 kerajaan PH-BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang. PH menguasai 27 kerusi manakala BN pula memiliki dua kerusi daripada 40 kerusi DUN.

Isham, yang mengajak penyokong Umno keluar beramai-ramai mengundi calon PN, menawarkan pandangan berbeza: “Di sini ada 5,000 ke 10,000 penyokong Umno tapi itu penyokong Umno original bukan UmDAP. Esok bila Umno dah kembali ke perjuangan asalnya, ketika itu kita pangkah Umno balik. Dan mungkin ketika itu kita boleh jayakan Muafakat Nasional balik. Ini yang nak kita perjuangkan. Kebanyakan atau hampir semua daripada akar umbi Umno sekarang inginkan Muafakat Nasional — inginkan PAS, Bersatu dan Umno untuk kembali bertaut. Dia tak mau dengan DAP. Masalah dalam UMDAP ni seorang je pasal dia nak selamatkan tengkuk dia, satu parti jadi UMDAP.

“Di Kuala Kubu Bharu, hampir separuh akar umbi Umno tak keluar mengundi sebab mereka masih segan nak undi PN dan pada masa sama tak sampai hati nak pangkah PH. Kali ini saya dengar pihak sebelah sana anggarkan kadar keluar mengundi rendah 60-65%. Mereka nak kadar keluar mengundi rendah sebab dia tak mau orang Umno ramai-ramai keluar mengundi kerana mereka akan pangkah PN. Itu hari (PRN Ogos) PN menang 1,500, kali ini kalau akar umbi Umno keluar (dan undi PN), kita boleh menang lebih lagi. Itu akan beri isyarat bahawa akar umbi Umno tak nak UMDAP,” tambahnya.

Sebagai menjawabnya, Zahid yang berkata kelmarin bahawa pihaknya komited untuk mengekalkan kerjasama baik kerana PH sebelum ini telah membantu mereka dalam beberapa PRK dan PRN menambah: “Kemenangan di Sungai Bakap ini sungguh penting untuk kerajaan perpaduan di Pulau Pinang dan juga imej kerajaan perpaduan (di peringkat nasional). Jika beliau (calon PH Joohari Ariffin) terpilih, tentunya rakyat Sungai Bakap akan lebih berkeuntungan kerana beliau akan bersama-sama kerajaan negeri yang juga di bawah kerajaan perpaduan.”

Pengundi Sungai Bakap juga lebih cenderung kepada penyelesaian isu setempat, terutama masalah bekalan air dan kesesakan jalan raya yang boleh diharapkan kepada wakil rakyat kerajaan berbanding cubaan pembangkang yang cuba mengkhayalkan mereka dengan isu nasional seperti penyasaran subsidi diesel yang diputar-belitkan, polemik berkaitan isu BlackRock, konon Anwar sebagai ejen Israel dan negara ini didakwa mahu dijual kepada China.

Atau niat sebenar Isham lebih jelas dengan apa yang dibanggakannya: “Saya bukan ada jawatan dalam parti. Tapi setiap kali saya buat kenyataan, dua tiga ahli Majlis Tertinggi Umno terpaksa jawab. Itu hari menteri cakap kita dapat pelaburan RM329 bilion, saya kata itu bukan pelaburan betul itu kita tulis sendiri. Yang masuk 39 bilion. Hari-harilah menteri kena menjawab saya punya cakap itu.”

Kaki isteri terjulur dalam mulut ular

KOSMO
Sirati ditelan ular sawa sepanjang 9.1 meter. – Viral Press
JAKARTA – Seorang suami di Luwu, wilayah Sulawesi Selatan terkejut menemui kaki isterinya terjuntai di luar mulut seekor ular sawa kekenyangan, sebelum mendapati mangsa  mati ditelan reptilia tersebut.

Akhbar Daily Star melaporkan, mangsa bernama Sirati, 30, diserang oleh ular sawa sepanjang 9.1 meter ketika dalam perjalanan ke rumah saudara lelakinya.

Suami mangsa, Adiansya, 30, menjejaki isterinya selepas diberitahu bahawa wanita tersebut tidak muncul di rumah saudara lelakinya sejak pagi.

“Mangsa mahu pergi membeli ubat untuk anaknya. Namun, dia berhasrat berkunjung ke rumah saudara lelakinya terlebih dahulu dan untuk pergi ke situ, dia perlu melalui kawasan hutan,” kata seorang penduduk kampung, Lyang.

Tambah Adiansya, ketika mencari isterinya, dia menemui selipar wanita itu berada di tengah laluan hutan.

“Die mengesyaki isterinya  ditelan oleh ular kerana terdapat jejak ular di situ. Haiwan itu mungkin telah mengheret mangsa sejauh 5 meter dari lokasi kejadian,” ujarnya.

Walaupun reptilia gergasi itu dibunuh dengan cepat dan jasad Siriati dibawa keluar dengan pantas, wanita itu sudah tidak bernyawa.

Polis mengesahkan mayat wanita itu masih berada dalam keadaan baik tetapi mengesyaki tulangnya telah patah. Terdapat juga kesan luka pada kaki mangsa, berkemungkinan akibat terkena gigitan ular. – AGENSI  

Polis tangkap pocong tumpang trak pikap

KOSMO
Penduduk baru-baru ini gempar melihat video memaparkan penampakan pocong menaiki sebuah trak pikap. – Instagram
JAKARTA – Misteri susuk putih menyerupai pocong yang didakwa ‘menumpang’ sebuah trak pikap akhirnya terungkai selepas polis mendapati dia sebenarnya seorang pekerja pemasangan khemah, lapor laman berita Medcom kelmarin.

Sebuah video rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) baru-baru ini memaparkan penampakan ‘pocong’  berdiri di belakang sebuah trak pikap yang melalui sebatang jalan di Gunungkidul, Jogjakarta.

Video tersebut  tular dengan ramai pengguna media sosial percaya ia adalah hantu pocong berdasarkan rupa bentuknya.

“Lembaga dipercayai pocong menaiki trak pikap jelas dilihat ketika kenderaan itu melalui jalan di Gunungkidul pada hari Isnin (24/6/2024) pukul 1.24 pagi (waktu tempatan),” kata keterangan asal video tersebut.

Susulan penularan video itu, polis setempat melakukan siasatan bagi memastikan kesahihan dakwaan tersebut.

Hasil siasatan mendapati lembaga itu sebenarnya seorang lelaki yang baru pulang bekerja.

Balai Polis Patuk menerusi hantaran di laman Instagram berkata, ‘pocong’ itu merupakan pekerja pemasangan khemah dikenali sebagai AG.  

Menurutnya, AG ketika itu dalam perjalanan pulang sejurus habis bekerja. Disebabkan berasa sejuk, dia membalut tubuhnya dengan menggunakan kain putih.

“Disebabkan mahu bergurau, AG mengikat kain di bahagian kepala menyerupai pocong lalu membuat ‘content’. 

“Saudara AG sudah pun meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” kata Balai Polis Patuk menerusi hantaran itu.

Ia turut memuat naik video memaparkan anggotanya menasihati AG, selain mengingatkan penduduk agar tidak membuat kandungan media sosial yang boleh meresahkan atau membahayakan orang ramai. – AGENSI

Tentera Indonesia tunggu siasatan polis kematian wartawan

BERNAMA

Ketua Pusat Penerangan TNI, Mejar Jeneral Nugraha Gumilar bercakap dengan media Indonesia di Jakarta, semalam. Foto AGENSI
JAKARTA: Tentera Nasional Indonesia (TNI) sedang menunggu hasil siasatan polis berhubung kematian wartawan Tribrata TV, baru-baru ini.

Ketua Pusat Penerangan TNI, Mejar Jeneral Nugraha Gumilar, berkata TNI tidak dapat mengesahkan pembabitan anggota tentera dalam kes itu namun menegaskan bahawa jika ada yang terbabit, mereka akan tertakluk kepada undang-undang tentera.

"Kami sedang menunggu dapatan daripada agensi yang terbabit. Kami berharap satu penjelasan dapat dicapai tidak lama lagi," katanya, seperti yang dipetik oleh Agensi Berita Indonesia (ANTARA) hari ini.

Menurut ANTARA, wartawan Tribrata TV, Rico Sempurna Pasaribu terkorban dalam kebakaran di rumahnya di Kabanjahe, daerah Karo, Sumatera Utara, pada 27 Jun lalu.

Kebakaran itu yang turut meragut nyawa isteri, anak dan cucunya, disyaki berkaitan dengan laporan beritanya mengenai rangkaian perjudian dalam talian.

Semalam, Majlis Akhbar menggesa Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo supaya menubuhkan pasukan tidak berat sebelah untuk menyiasat kejadian itu.

Bunuh ibu bapa angkat, broker saham dihukum gantung sampai mati

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
TAN (memakai pelitup muka) ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Seremban. FOTO Ahmad Hasbi
TAN (memakai pelitup muka) ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Seremban. FOTO Ahmad Hasbi
Seremban: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang broker saham selepas didapati bersalah atas dua tuduhan membunuh pasangan warga emas di Nilai, lima tahun lalu.

Ringkasan Berita
  • Mahkamah Tinggi Seremban menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Tan Kian Ngip selepas didapati bersalah atas dua tuduhan membunuh pasangan warga emas
  • Tan didakwa membunuh Eng Chong Hwa, 67, dan Tan Kim Joo, 73, di Taman Desa Melati, Nilai, pada 24 Julai 2019br>
  • Tan tidak mengemukakan sebarang rayuan atau mitigasi walaupun telah ditanya beberapa kali oleh hakim.
  • Timbalan Pendakwa Raya menyatakan tiada hukuman lain yang sesuai selain hukuman gantung kerana mangsa adalah ibu bapa angkat tertuduh yang menjaganya sejak kecil
  • Pembunuhan tersebut dianggap kejam dan dirancang
Hakim Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas tertuduh Tan Kian Ngip, 45, didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Selepas saya melihat dan mendengar hujahan pemberat yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan sahaja, memandangkan tertuduh tidak ingin mengemukakan apa-apa rayuan atas hukuman, saya dengan ini memutuskan tertuduh dijatuhkan hukuman mati dengan gantung diri pada tarikh serta tempat yang akan ditetapkan kelak," katanya pada prosiding keputusan, hari ini.

Mengikut pertuduhan yang bacakan secara berasingan, Tan didakwa membunuh Eng Chong Hwa, 67, dan Tan Kim Joo, 73, dengan menikam menggunakan pisau.

Semua kesalahan itu dilakukan di Taman Desa Melati, Nilai antara 4 petang hingga 7.45 malam, 24 Julai 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Rohani beberapa kali bertanya kepada tertuduh sama ada mahu membuat rayuan sebelum hukuman diputuskan, namun lelaki itu tetap dengan pendirian tidak mahu membuat mitigasi rayuan.

Tertuduh dituduh pada Ogos 2019 sebelum perbicaraan berlangsung yang memanggil 40 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan untuk memberi keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya Alauddin Baharom dalam hujahan pemberatan memberitahu mahkamah tiada hukuman lain yang sesuai terhadap tertuduh selain hukuman gantung.

Ini kerana katanya, dengan mengambil kira kedua-dua mangsa dalam kejadian itu adalah ibu bapa angkat tertuduh yang menjaganya sejak kecil serta menganggapnya sebagai pembunuhan kejam dan dirancang.

Alauddin berkata, bedah siasat terhadap bapa angkat tertuduh mendapati mangsa mengalami 13 kecederaan dengan tujuh luka tikaman pada badan yang menembusi organ paru-paru dan jantung.

Katanya, ibu angkatnya pula ditemui dengan 18 kesan kecederaan dan 11 daripadanya luka tikaman yang menembusi jantung, hati, buah pinggang, usus kecil dan usus besar.

"Kesalahan membunuh ini berlaku di rumah ibu dan bapa di Nilai, Negeri Sembilan yang mana tertuduh tidak tinggal sekali. Tertuduh tinggal di Kuala Lumpur. Tertuduh pinjam kereta bekas teman wanita empat hari sebelum kejadian pembunuhan. Terdapat beberapa kali rekod touch n go keluar masuk tol Sungai Besi-Nilai.

"Tertuduh juga cuba memusnahkan bukti dengan cubaan membakar rumah terbabit, namun malangnya api yang cuba dihidupkan tidak berjaya memusnahkan bukti yang ada. Si mati dalam kes ini dibiarkan begitu sahaja sehinggalah ditemukan bomba," katanya.

Tertuduh diwakili Peguam S Dynasri manakala Peguam Wong Wei Fan dan Syed Ismit dan Putra Syed Mohd Fuad sebagai peguam pemerhati keluarga.

Petugas kempen didakwa lakukan gangguan seksual terhadap wartawan direman dua har

BERNAMA

Nibong Tebal: Polis mengesahkan menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap seorang wartawan wanita, ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap malam tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad yang mengesahkan penahanan lelaki itu berkata, suspek menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), hari ini.

"Lelaki itu kini direman selama dua hari untuk siasatan lanjut kes tersebut dan polis memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara terperinci serta telus," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Difahamkan dakwaan gangguan seksual itu berlaku di Dewan Khairat Sungai Kecil malam tadi, ketika wartawan wanita itu sedang membuat liputan program membabitkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Presiden Umno.

Insiden gangguan seksual itu didakwa dilihat beberapa pengamal media lain, sebelum lelaki yang mendakwa dirinya petugas sebuah parti politik itu ditahan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution memberi jaminan akan menyiasat dakwaan gangguan seksual terhadap wartawan wanita itu.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, perkara itu akan diteliti pihaknya, sebaik sahaja mendapat perkembangan berita itu.

"Belum sampai lagi berita itu kepada saya, mungkin sebab saya sibuk kempen. Kalau laporan sudah dibuat, saya nak beri jaminan ia sepenuhnya di bawah bidang kuasa pasukan polis.

"Gunalah peruntukan undang-undang yang ada, buatlah siasatan secara profesional serta ikut jalur undang-undang," katanya pada sidang media PH di Bilik Gerakan Utama Perpaduan di Sungai Bakap di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) bagi PRK Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin serta calon PH Dr Joohari Ariffin.

Kebocoran gas di Kargo KLIA, jumlah mangsa belum diperoleh

MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
Insiden kebocoran gas di Southern Support Zone Sepang Aircraft Engineering, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi. Foto IHSAN JBPM
SEPANG – Satu insiden kebocoran gas dikesan berlaku di Southern Support Zone Sepang Aircraft Engineering, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pagi tadi.

Perkara itu disahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerusi kenyataan dikeluarkan sebentar tadi.

Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi Negeri menerima panggilan menerusi MERS 999 berhubung kejadian kebocoran bahan kimia di lokasi tersebut pada pukul 11.23 pagi.

“Seramai enam pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari BBP Shah Alam tiba di lokasi,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi, PBK II Muhammad Nur Khairi Samsumin memberitahu, pihaknya masih mengenal pasti bahan kimia tersebut dan kebanyakan pekerja di sekitar lokasi terutama di hangar pesawat dipindahkan ke lokasi selamat.

Difahamkan, beberapa mangsa turut dikejarkan ke hospital selepas mengalami simptom pening dan loya akibat terhidu gas tersebut.

Setakat ini, tidak dapat disahkan jumlah mangsa yang terjejas memandangkan tiada pengesahan dibuat oleh mana-mana pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE

Muar: Lelaki rentung, 2 anggota polis parah kereta terbabas dalam parit

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
KEADAAN kereta suspek dan polis selepas terbabas dalam parit, berhampiran Jalan Benteng, Parit Kongsi 4, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN kereta suspek dan polis selepas terbabas dalam parit, berhampiran Jalan Benteng, Parit Kongsi 4, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Muar: Seorang lelaki rentung selepas kenderaan dipandunya terbabas ke dalam parit ketika cuba melarikan diri daripada dikejar sebuah kereta peronda, berhampiran Jalan Benteng, Parit Kongsi 4, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan jam 4 pagi, dua anggota polis turut parah selepas kereta peronda dinaikinya terbabas ke dalam parit sama, dengan kedua-duanya kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata kemalangan berlaku apabila kereta dipandu suspek cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

Beliau berkata, sebelum kejadian, dua anggota polis berusia 40 dan 41 tahun dari cawangan kereta peronda sedang menjalankan tugas rondaan dan menahan suspek di pekan Parit Jawa, bagi tujuan pemeriksaan.

"Namun, suspek melarikan diri dengan memecut kereta jenis Toyota Vios ke arah Parit Jamil. Pada masa sama, polis turut membunyikan siren amaran agar suspek memberhentikan kenderaan sebaliknya dia enggan dan terus memecut.

"Ketika usaha mengejar suspek dilakukan, kedua-dua kenderaan polis dan suspek terbabas dan memasuki parit sama.

"Selepas kemalangan itu, kereta dipandu suspek terbakar menyebabkannya rentung. Dua anggota polis pula parah dan dikejarkan ke HPSF untuk rawatan," katanya dalam kenyataan.

Raiz Mukhliz berkata, mayat suspek dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat serta menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identitinya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Orang ramai melihat kejadian itu atau mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Pasport hilang, wanita terkejut didaftar berkahwin dengan lelaki Mesir

Agensi

Moscow: Seorang wanita Rusia menerima kejutan apabila mengetahui dirinya 'berkahwin' dengan lelaki warga Mesir sejak 2022, setahun selepas kehilangan pasportnya.

Wanita berusia 24 tahun dari St Petersburg itu dilaporkan kehilangan pasportnya pada 2021.

Dia melaporkan kehilangan pasportnya itu kepada polis, namun sejak itu tidak pernah memohon lagi semula dokumen perjalanan itu kerana tiada keperluan.

Namun dia tidak sangka, pasport lamanya yang hilang itu boleh digunakan orang lain, tetapi pada awal tahun ini, semasa memohon sijil kelahiran untuk bayinya, wanita muda itu perlu membawa 'suaminya', iaitu seorang lelaki Mesir bernama Mustafa.

Dia tidak pernah bertemu Mustafa, apatah lagi berkahwin dengannya, namun pejabat pendaftaran Rusia menyenaraikan lelaki itu sebagai pasangannya.

Media baru-baru ini melaporkan, warga Mesir itu menggunakan dokumen wanita terbabit untuk memohon permit kediaman sementara di Rusia, mendakwa dia adalah suami kepada penduduk St Petersburg.

Dokumen itu mengandungi maklumat 'perkahwinan' mereka yang didakwa berlaku pada Januari 2022.

Kes berkenaan meraih perhatian ramai selain terpaksa dibicarakan di mahkamah.

Mahkamah Rusia akhirnya membatalkan perkahwinan itu selepas mendengar keterangan wanita itu yang mengesahkan dia telah mengisytiharkan pasportnya hilang tiga tahun lalu selain tidak pernah bertemu lelaki Mesir itu.

DSA- Saksikan Keberanian Pejuang Palestin Meletupkan Kereta Kebal Israel Dari Jarak “Ground Zero”

DSA
Pemain Video
00:00
00:23
(VIDEO) Video yang kini viral di media-media sosial antarabangsa menunjukkan dua orang anggota Hamas dengan berani berlari ke arah kereta kebal itu sambil membawa bahan letupan dan meletakkannya di atas badan kereta kebal seberat lebih daripada 60 tan ini dan meletupkannya.
 
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kumpulan bersenjata Hamas telah mengeluarkan video  menunjukkan bagaimana  dua orang anggotanya telah dengan berani menyerang hendap sebuah kereta kebal Merkava milik tentera Israel daripada kedudukan yang amat dekat dan meletupkannya.

Ia disifatkan sebagai tindakan yang amat berani oleh pejuang Hamas itu yang menyerang kereta kebal Israel itu daripada kedudukan “ground zero”.

Video yang kini viral di media-media sosial antarabangsa menunjukkan dua orang anggota Hamas dengan berani berlari ke arah kereta kebal itu sambil membawa bahan letupan dan meletakkannya di atas badan kereta kebal seberat lebih daripada 60 tan ini.

Selepas meletakkan bahan letupan itu, kedua-dua pejuang Hamas itu telah melarikan diri ke arah runtuhan bangunan berhampiran dengan lokasi kejadian di Gaza tanpa dapat dikesan oleh krew kereta kebal Israel itu.

Beberapa saat selepas itu, bahan letupan yang diletakkan di atas kereta kebal Merkava itu meletup dan memusnahkan kereta kebal Israel yang sering digembar-gemburkan oleh Angkatan Tentera Israel (IDF) sebagai di antara terbaik di dunia.

Tidak dapat dipastikan nasib krew kereta kebal Merkava Israel itu, sama ada mereka terselamat di dalam insiden serang hendap itu.

Penganalisis pertahanan menyatakan kejadian serangan hendap oleh dua orang pejuang Hamas itu berlaku di tengah-tengah bandar Rafah yang terletak di selatan Gaza.

Sehingga kini pihak tentera Israel belum memberikan sebarang kenyataan terhadap penyiaran video tentang serangan jarak dekat pejuang Hamas terhadap sebuah kereta kebal Merkava di suatu lokasi tidak dapat dipastikan di Gaza.

Namun bagi para netizen yang menonton video insiden serangan terhadap kereta kebal Merkava daripada kedudukan “ground zero” itu adalah, ia menunjukkan keberanian yang amat sangat ditunjukkan oleh dua orang pejuang Hamas.

Selain itu ia juga menunjukkan bagaimana mudahnya pejuang-pejuang Hamas dapat merapati dan menyerang kereta-kereta kebal dan kenderaan perisai Tentera Israel apabila mereka bertempur dalam pertempuran urban sebagaimana yang berlaku di beberapa bahagian Gaza.
Merkava

Merkava

Sebagaimana yang dapat dilihat menerusi video-video yang disiarkan oleh kumpulan Hamas, pejuang-pejuang mereka daripada celahan runtuhan bangunan dan bersenjatakan Rocket Propelled Grenade (RPG) telah dapat menghampiri kereta-kereta kebal dan perisai milik tentera Israel dengan mudah, tanpa dapat dikesan dan seterusnya memusnahkannya.

Sebaik sahaja mereka melepaskan tembakan daripada RPG mereka, pejuang-pejuang Palestin akan menghilangkan diri, meninggalkan kereta-kereta kebal dan kereta perisai Israel dalam keadaan terbakar atau rosak terus selepas dibedil.

Beberapa hari lalu, akhbar berbahasa Hebrew Israel “Maariv” menyatakan bahawa kira-kira 500 buah kenderaan perisai milik tentera Israel mengalami kerosakan akibat dibedil oleh pejuang Palestin sejak konflik di Semenanjung Gaza tercetus pada Oktober pada tahun lepas.

Akhbar berbahasa Hebrew Israel itu berkata bahawa beberapa dozen daripada kenderaan perisai itu yang rosak tidak boleh diperbaiki lagi dan dilupuskan daripada perkhidmatan angkatan tentera negara itu.
Merkava
Pihak tentera Israel telah menubuhkan dua buah pusat lojistik di dalam Semenanjung Gaza untuk memperbaiki kenderaan-kenderaan miliknya yang rosak akibat konflik dengan kumpulan pejuang Palestin termasuk kereta perisai dan kereta kebal.

Akhbar Maariv Israel itu juga melaporkan bahawa anggota tenteranya yang bertanggungjawab memindahkan kenderaan-kenderaan itu ke Semenanjung Gaza berada di dalam keadaan yang tertekan daripada segi fizikal dan mental. — DSA

Muhyiddin terlebih perasan di Sungai Bakap?

Hishamuddin Aun

“Serius sangat ke saya ni?,” tanya Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin kepada hadirin di pertengahan satu ceramahnya dalam kempen PRK Sungai Bakap, seolah-olah baru tersedar jika ucapannya membosankan mereka.

Membandingkan tempohnya sebagai menteri dan perdana menteri 17 bulan, Muhyiddin mendakwa kerajaan perpaduan hari ini tidak ambil peduli dan tidak mengutamakan kebajikan rakyat. Malah, presiden Bersatu itu siap memberi tunjuk ajar bagaimana negara sepatutnya ditadbir untuk memacunya ke hadapan.

Ironinya, kita tidak ingat jika kepimpinan singkat Muhyiddin selaku perdana menteri kelapan (1 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021) ada mendapat pengiktirafan antarabangsa atau tidak ketika pandemik Covid-19 sedang menggila. Lazimnya kalau kita bagus, biarlah orang lain yang memperkatakannya daripada masuk bakul angkat sendiri.

Sebaliknya, apa yang lebih diingati ialah pelaksanaan perintah darurat dari 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021, yang bermakna kerajaan pimpinan Muhyiddin ketika itu berpotensi bertahan selama sekurang-kurangnya tujuh bulan lagi ketika ramai Ahli Parlimen yang berura-ura menarik sokongan. Ini dituruti keputusannya melaksanakan penutupan sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘lockdown’ di seluruh negara pada Jun 2021 hingga menjejaskan ramai.

Menggelar kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim sebagai cacamarba dan tiada arah tuju yang jelas, Muhyiddin bersangkaan negara selepas pentadbirannya sudah hilang daya saing dan tidak lagi dihormati. Terpulang kepada khalayak untuk menilainya atau mungkin beliau yang terlebih perasan dalam menagih undi pada PRK Sungai Bakap, Sabtu ini.

“Sambutan terhadap ceramah agak luar biasa, ini tunjuk petanda amat baik Sungai Bakap akan kekal menjadi kawasan DUN (diwakili) PN. Lebih-lebih lagi PRK ini diadakan dalam situasi negara kita berhadapan dengan pelbagai masalah. Kami di pihak pembangkang, baik di Parlimen atau DUN, tak cukup tempat nak letakkan isu-isu yang kita hadapi pada hari ini yang telah dikemukakan oleh rakyat di seluruh negara,” katanya di ceramah perdana PN di Sungai Bakap pada Jumaat.

Muhyiddin juga menyorot bagaimana jemaah kita berasa bangga ketika berada di Makkah dan Madinah apabila memperkenalkan diri dari Malaysia pada masa lalu kerana negara ini terkenal sebagai negara Islam yang maju. Mutakhir ini, katanya, perasaan itu mungkin tidak lagi sama dengan pelbagai masalah yang membelenggu negara.

“Saya tak tahulah baru-baru ni banyak yang balik dari Makkah, macam-macam cerita. Mungkin orang Arab di sana juga tanya ‘ente dari mana’. Tak tahulah nak sebut ana dari Malaysia ataupun tidak, takut orang Arab kata ‘dari Malaysia, bukan itu perdana menteri Anwar Ibrahim’. Dia sudah tau cerita Anwar.

“Saya menjelaskan ini dengan ringkas menunjukkan situasi negara kita. Banyak orang berkata dan bukan dalam kalangan orang biasa saja, pakar-pakar penganalisis ekonomi dunia mempersoalkan arah tuju Malaysia sekarang. Mereka tak tau apakah dasar-dasar yang dipelopori oleh kerajaan hari ini. Mereka melihat sistem pengurusan negara kita ni langsung cacamarba.

“Lebih-lebih lagi badan antarabangsa IMD (Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan) mengeluarkan satu pernyataan laporan tahunan yang menyebut daya saing Malaysia sudah merosot dari tempat ke-27 turun ke tangga ke-34. Tujuh anak tangga ini walaupun nampak kecil tetapi implikasinya besar nak melihat mana negara yang dikatakan akan lebih maju ke depan dan berjaya ekonominya,” tambahnya.

Sambil membandingkannya dengan kerajaan PN ketika pentadbirannya, Muhyiddin menyimpulkan keadaan ekonomi negara di bawah pentadbiran Anwar sudah merosot ke satu paras yang agak memalukan. Di samping pengurusan negara makin cacamarba, katanya, janji kerajaan hendak membawa pembaharuan, perubahan besar, dan reformasi institusi tidak dengar lagi.

“Soal inflasi, ya waktu saya dulu pun ada inflasi. Sekarang ada inflasi tetapi selain inflasi ditunjukkan dalam bentuk barangan dan perkhidmatan yang semakin hari macam tak terkawal, yang patut dikawal pun tak boleh kawal.

“Saya cakap ni (berdasarkan) ada sedikit pengalaman dulu, saya pernah jadi menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna. Tanggungjawab kita ialah memantau supaya negara kita mempunyai cukup bekalan bahan-bahan keperluan. Antara yang paling utama kita nak tentukan beras mesti ada dan cukup.

“Sekarang ni cerita beras dah tenggelam. Ini cara madanon buat kerja — it’s ok let’s wait for the time when people will forget. Tak apa tak usah buat apa-apa. Memang pun dia bodoh… perdana menteri bodoh, menteri pun bodoh tak boleh selesaikan masalah beras. Sekarang bila berhadapan dengan krisis tak ditangani sampai dibiarkan begitu saja. Saya juga pernah jadi menteri pertanian, jadi cakap ni ada authority sedikitlah,” katanya.

Muhyiddin mengulangi serangannya terhadap Anwar berkait pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bersasar bermula 10 Jun yang kesan berantainya didakwa menyusahkan rakyat yang berdepan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

“Perdana menteri tuduh saya dan PM-PM terdahulu. Dia kata kami tak berani nak buat macam dia buat. Mana tuan-tuan suka — macam dia buat ke macam saya tak buat,” soalnya disambut sorakan yang menyokongnya.

“Bukan kita tak tau negara kita menanggung beban subsidi yang besar. Tapi bila mengambil tindakan sebegini (penyasaran subsidi diesel) macam tersentak, naik melambung 55% dalam tempoh masa singkat. Disebab itulah maka kesan limpahannya ialah kenaikan banyak harga bahan-bahan yang lain.

“Jadi, nak menyelamatkan negara, orang Sungai Bakap ada tanggungjawab bagi satu isyarat kuat, baik di Pulau Pinang ni atau di Putrajaya, memberitahu bahawa kami tak suka, kami tak setuju, kami tak sokong dasar yang dibuat oleh kerajaan hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin akur bahawa sebarang peluang PN untuk mengekalkan kerusi DUN Sungai Bakap — pertarungan satu lawan satu calonnya Abidin Ismail dengan Joohari Ariffin (PH) — bergantung kepada peratusan keluar mengundi yang tinggi, terutama pengundi Melayu yang menubuhkan 59.4%, Cina 22.5%, India 17.4%, dan lain-lain 0.7%.

“Hari tu saya berucap macam ni juga di Kuala Kubu Bharu. Tapi lepas PH menang, harga diesel naik. Saya takut lepas menang kat sini, harga petrol naik. Sebab itu PRK ni agak kritikal tapi ini peluang untuk bagi isyarat (kepada kerajaan).

“Cuma satu je macam di Kuala Kubu Bharu, saya jumpa ramai macam ni, sedap hati. Orang Umno pun kata Tan Sri kita akan sokong. Tapi sampai hari nak mengundi, tak keluar mengundi. Orang Melayu 60% je keluar, mana dia (yang lain) pergi? Tidur? Kali ini yang sakit pun kita angkat bawa pergi mengundi. Biar semua keluar, 100%, insya-Allah PN akan menang,” katanya lagi.