"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sampaikan khabar ini kepada Sultan Selangor dan Sultan Johor Darul Takzim

Tranungkite
Saya mukadimahkan posting ini dengan ayat "Sampaikan khabar ini kepada Sultan Selangor dan Sultan Johor Darul Takzim" kerna saya adalah anak kelahiran Johor Darul Takzim dan sejak 26 tahun lalu bermastautin di Selangor Darul Ehsan. Maka itu saya rasa bertanggungjawab untuk memberi peringatan kepada kededua sultan berkenaan terutamanya terhadap Paduka Sri Sultan Ibrahim Ismail ibni al-Marhum Sultan Mahmud Iskandar al-Haj justeru hadirnya perasaan kasih dan sayang saya terhadap negeri kelahiran saya, Johor Darul Takzim.
Sesuatu yang amat nyata sejak kebelakangan ini rakyat terbanyak mula mempertikaikan secara meluas dan terbuka melalui laman-laman social seperti blog, facebook dan twittersejarah serta fungsi institusi kesultanan Melayu lantaran kekerapan keterlanjuran tutur bicara, perangai dan tingkah laku dikalangan sultan dan raja-raja Melayu.
Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang mempunyai paling ramai sultan dan raja. Kerajaan Rakyat yakin ramai rakyat Malaysia tidak pasti apakah sebenarya jasa dan faedah kesemua sultan dan raja-raya Melayu ini terhadapan agama Islam, bangsa Melayu dan negara tercinta. Hanya satu yang pasti; setiap sultan dan raja Melayu ini hidup dengan penuh kemewahan dan ianya dibiayai melalui titik peluh dan keringat rakyat marhean. Sultan bermewah sedangkan  rakyatnya derita dalam kemiskinan.

Raja yang baik adalah raja yang bersederhana dalam kehidupan dan boleh menerima teguran walau pun ianya dianggap pahit untuk ditelan. Apakah hidup di alam musafir ini dianggap cukup lama bagi yang berdarjat raja atau sultan sehingga teguran terhadap mereka dianggap satu penderhakaan?

Sepatutnya raja-raja Melayu kembali kepada Islam yang syumul bertetapan dengan amanah yang diberi sebagai Ketua Agama Islam. Tidakkah ini memalukan bagi seseorang yang diangkat menjadi Ketua Agama Islam tetapi kehidupan dan budaya hidup sendiri pun bercanggah dengan apa yang diketuainya?
Raja-raja Melayu patut mengambil iktibar dan contoh para sahabat r.a. yang diberi amanah sebagaimana dilakukan oleh Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar r.a.

Kata- kata yang terkenal daripada Saidina Abu Bakar r.a. semasa beliau diangkat menjadi khalifah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya aku telah dilantik di kalangan kamu sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik. Maka jika aku melakukan kebaikan, bantulah aku tetapi sekiranya aku terpesong maka betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah dan dusta itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu merupakan orang kuat disisiku sehingga aku akan menunaikan kemahuannya serta memberi haknya semula. Manakala orang yang kuat di kalangan kamu merupakan orang lemah disisiku sehingga aku akan mengambil kembali hak yang telah dirampas. Oleh itu taatilah aku selagi mana aku mentaati Allah dan rasul Nya dan jika aku mengingkari Allah dan rasul Nya maka jangan kamu mentaatiku".

Ucapan ini menyatakan kepada kita bagaimana raja dan pemimpin mestilah telus dan terikat dengan undang-undang sebagaimana yang dikenakan terhadap rakyat jelata kerana raja dan pemimpin bukannya kebal daripada sebarang undang-undang. Jika kamu kebal di dunia sekali pun, kamu tidak akan terlepas di hadapan Allah walau sebesar zarah kerana undang-undang Allah adalah seadil-adilnya.

Ini pula pesanan Saidina Umar al-Khattab r.a. ketika mula-mula diangkat menjadi khalifah mengantikan Saidina Abu Bakar r.a. yang mana beliau diingatkan dengan sebilah pedang.

" Saya menerima ujian dan kamu semua memberi ujian kepada saya. Saya mengantikan kepimpinan untuk kamu semua selepas sahabat saya (Abu Bakar r.a.). Sesiapa yang hadir maka kita akan memberi khabar gembira dengan jiwa raga kita dan sesiapa yang tidak hadir maka urusannya adalah tanggung jawab orang yang mempunyai kekuatan dan amanah. Sesiapa yang berbuat baik, maka kami tambah kebaikannya dan sesiapa yang berbuat jahat, kami akan menghukumnya. Semoga Allah memberi ampun kepada saya dan kamu semua"

Ketaatan kepada raja tidak sesekali sama dengan ketaatan kepada Allah dan rasul Nya. Jika raja sendiri sudah terpesong maka kita tidak wajib mentaatinya walau pun dimurkai kerana kemurkaan Allah tiada batasnya. Kemewahan dan darjat hanyalah pinjaman semata-mata kerana Allah s.w.t. ingin menguji setakat mana keimanan hamba Nya dan kemana di belanjakan hartanya itu.