"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gadis diarah tanggal pakaian sebagai bukti bukan lelaki

KOSMO!
CAITLYN menunjukkan pasportnya.- Foto Wigan Today/ SWNS
LONDON  – Seorang remaja perempuan mengadu terpaksa menanggalkan pakaian di sebuah lapangan terbang selepas pegawai-pegawai enggan mempercayai dia ialah seorang gadis, lapor portal berita Daily Star kelmarin.

Caitlyn Disley, 15, terpaksa menjalani pemeriksaan selepas mendarat di Lapangan Terbang Hurghada di Mesir pada 25 Ogos lalu. 

Dia diarah menanggalkan coli dan membuktikan dia tidak mempunyai alat kelamin lelaki.

Remaja itu dan keluarganya mendakwa mereka tidak dapat meninggalkan lapangan terbang sehingga dia menyelesaikan pemeriksaan di hadapan seorang jururawat. 

Pada akhirnya, keluarga itu beredar selepas pegawai berpuas hati dia ialah perempuan.

Walaupun pada pasportnya tertera jantina Caitlyn ialah wanita, dia terpaksa menjalani pemeriksaan itu.

Caitlyn berkata: “Ia trauma dan memalukan. Saya tidak pernah mengalami perkara seperti itu sebelum ini.”

Bapanya, Tom Disley, 40, berkata dia mahu mendedahkan pengalaman pahit anak perempuannya supaya orang lain berhati-hati agar tidak menghadapi situasi serupa di Mesir. – AGENSI

Guru wanita dicekup berkhalwat dengan rakan sekerja di dalam kenderaan

KOSMO!
SEORANG suami menunjukkan bukti isterinya menjalin hubungan sulit. - Foto HO/HDCN
JAKARTA  – Seorang suami menangkap isterinya yang bertugas sebagai guru di dalam sebuah kenderaan ketika dia berdua-duaan dengan rakan sekerjanya, lapor portal berita Banjarmasin Post kelmarin.

Suaminya yang dikenali sebagai TWP kemudian membuat laporan ke Unit Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Anak, Polis Prabumulih, Sumatera.  

TWP membuat laporan bahawa isterinya yang dikenali sebagai VP disyaki menjalin hubungan sulit dengan dengan seorang lelaki berusia 34 tahun.

Isterinya dan lelaki itu yang dikenali sebagai IM,  merupakan guru yang mengajar di salah sebuah sekolah rendah di Prabumulih.

TWP menangkap isterinya bersama IM di dalam sebuah kenderaan pada 15 September lalu.

Si suami juga mempunyai bukti tentang perbualan mesra isterinya dengan IM di media sosial.

“Harga diri saya sudah dipijak-pijak sebagai seorang laki-laki. Masalah ini harus diselesaikan,” tegas TWP kepada wartawan.

Si suami yang juga merupakan kontraktor di Kota Prabumulih itu mengaku dirinya hanya menuntut supaya kedua-dua mereka menerima hukuman tegas. – AGENSI

Penduduk panik bunyi dentuman misteri di langit

KOSMO!

JAKARTA  – Bunyi dentuman kuat kedengaran di daerah Wonogiri, wilayah Jawa Tengah dan daerah Pacitan pesisir di Jawa Timur, lapor portal berita detikJatim semalam.

Bunyi pada waktu siang itu menyebabkan penduduk sekitarnya berasa panik.

Menurut seorang penduduk bernama Muharis, punca bunyi itu masih tidak diketahui tetapi ia kedengaran dari arah utara atau di sekitar langit daerah Wonogiri.

“Mungkin belon udara atau apa sahaja,” tambahnya.

Sebelum ini, bunyi dentuman suara turut didengari penduduk di Purwantoro dan sekitarnya. 

Suara itu cukup kuat hingga menggetarkan kaca bangunan.

“Suaranya kuat sekali. Kaca sampai bergegar,” kata seorang penduduk dikenali sebagai  Dhian. – AGENSI

Lelaki tembak tayar selepas dihalang memotong

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan suspek mengacukan pistol dari tingkap kenderaannya sambil memandu. - Instagram @demakhariini
JAKARTA – Tindakan seorang pemandu di Demak, wilayah Jawa Tengah yang menembak tayar kereta seorang lelaki kerana tidak diberi laluan untuk memotong mengundang perhatian orang ramai, lapor saluran berita Tribunnews semalam. 

Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @infokejadiandemak, suspek yang memandu kereta berwarna putih dilihat mengacukan senjata api dari tingkap kenderaan. 

Dia kemudian melepaskan dua das tembakan yang mengenai tayar kereta milik mangsa sehingga pancit. 

Kejadian berlaku sekitar pukul 1 petang (waktu tempatan) di Jalan Raya Trengguli. 

Seorang pegawai tempatan berkata, suspek bernama Sunarwan, 60, ditahan di bandar Kudus selepas melarikan diri.

Rakaman itu mencatatkan lebih 239,000 tontonan dan menimbulkan kemarahan ramai netizen. 

“Konoha sudah pandai main menembak seperti Mexico,” sindir seorang netizen. 

“Ngeri! Macam dekat Las Vegas!” sindir netizen lain. – AGENSI

Pemandu Mercedes lari lepas langgar anggota polis diburu

AZMI NORDIN
Tangkap layar video tular anggota polis dilanggar sebuah kenderaan mewah di Jalan Gombak, Setapak, kelmarin.
KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis cedera selepas bergesel dengan kereta jenis Mercedes-Benz dalam kemalangan di Jalan Gombak, Setapak, di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 12.11 tengah hari.

Katanya, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Setapak itu mengalami luka di bahagian siku.

“Sehingga kini pemandu kereta masih gagal membuat laporan polis dan pihak kami sedang mengesan kenderaan dan pemandunya.

“Alamat mengikut rekod adalah di Pulai, Johor dan pemeriksaan mendapati kediaman tersebut kosong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular video berdurasi 44 saat yang memaparkan sebuah kenderaan jenis Mercedes-Benz bergesel dengan motosikal ditunggang anggota polis selepas menukar laluan secara mengejut.-KOSMO! ONLINE
.

Penyelewengan akidah: Pemimpin GISB dakwa mampu hubungi Nabi dalam sedar - bekas ahli

Ahli-ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) termasuk kanak-kanak didakwa didoktrin untuk mempercayai bahawa pemimpin mereka dilantik oleh Rasulullah, Imam Mahdi serta guru mursyid dari alam ghaib.

Seorang bekas ahli GISBH mendedahkan bahawa pemimpin mereka juga mendakwa mampu berhubung dengan Rasulullah melalui yaqazah (dalam keadaan sedar) dan segala arahan daripada pemimpin, wajib ditaati sepenuhnya.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 36, mendakwa pendidikan di sekolah-sekolah kendalian GISBH menjadi platform untuk menanam ketaasuban ahli terutama dalam kalangan kanak-kanak terhadap pemimpin mereka.

Menurutnya silibus yang dicipta sendiri di sekolah terbabit lebih menekankan kepada kata-kata dan tulisan pemimpin manakala pelajaran lain seperti fardu ain hanya diajar pada tahap asas.

“Pengajaran dalam kelas hanya untuk jangka masa yang pendek dan kadangkala tiada cikgu pun yang mengajar manakala untuk pelajaran lain banyak yang diulang-ulang,” katanya kepada Bernama.

Dilahirkan dalam keluarga yang mengamalkan ajaran al-Arqam, Ahmad mendedahkan bahawa bapanya adalah antara pemimpin pergerakan itu yang difatwakan haram pada 1994.

Katanya zaman kanak-kanaknya dilalui di penempatan pergerakan itu di sekitar Perak sebelum dipindahkan ke Rawang, Selangor diikuti Putrajaya, Kedah, Sabah dan Sarawak sebelum ke luar negara iaitu Jordan dan Syria.

Mengaku jemaah Imam Mahadi

Beliau meninggalkan jemaah atau syarikat itu pada 2011 selepas mendapat kesedaran apabila belajar daripada beberapa guru agama yang bukan dalam kalangan ahli syarikat tersebut.

“Saya meninggalkan syarikat berkenaan selepas kematian bekas pemimpin al-Arqam Ashaari Muhammad dan ketika itu syarikat berkenaan dipimpin oleh Ummu Jah yang juga balu Ashaari,” katanya.

Seorang lagi bekas ahli GISBH yang dikenali sebagai Latif mendedahkan ketika bersekolah di bawah kendalian syarikat itu, mereka diajar menggunakan buku yang mengagungkan Ashaari yang digelarkan sebagai Abuya.

“Mereka mengaku sebagai jemaah kebenaran yang akan bersama Imam Mahadi nanti.

"Jadi semua dah taasub. Proses ni bukan berlaku dalam masa sehari dua tapi sejak zaman al-Arqam,” katanya.

Latif, yang kini berusia 30-an mendakwa pernah belajar di beberapa sekolah GISBH di Pahang, Selangor dan Perak selepas dihantar oleh ibu bapanya yang perkahwinan mereka diatur oleh jemaah tersebut.

“Sekolah-sekolah itu biasanya kosong dan pelajar sering bermain kerana pelajaran tidak dijalankan secara formal,” katanya yang meninggalkan GISBH selepas mengikut rakannya ke pusat latihan kemahiran kendalian kerajaan ketika berusia 17 tahun dan menyedari kepentingan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak dimilikinya ketika itu.

Ibu dicerai ayah atas arahan

Abu Bakar, 36, pula mendedahkan beliau meninggalkan GISBH pada 2010 setelah menyedari dirinya tidak memiliki pendidikan formal seperti remaja lain.

“Saya tertanya-tanya mengapa saya tidak belajar seperti orang lain tetapi diminta berjuang untuk bertemu Imam Mahadi dan disebabkan rasa ingin tahu yang menebal saya ambil keputusan untuk keluar,” katanya.

Beliau mengakui beberapa kali cuba melarikan diri tetapi ditangkap dan dibawa kembali ke dalam jemaah sehingga ibunya meninggalkan pergerakan itu setelah diceraikan oleh ayahnya atas arahan pemimpin, menyebabkan mereka tidak lagi dicari jemaah.

Dalam serbuan Op Global pada 11 Sept lepas, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja dari 20 rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan, yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh dan seksual.

Serbuan itu juga mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan yang membawa kepada penahanan 171 individu termasuk 105 wanita.

- Bernama

Anwar cabar pembangkang, nak turun jawatan PM, bawa usul undi tak percaya

Mohamad Fadli

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekali lagi mencabar pembangkang membawa usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat bulan depan.

Beliau berkata pembangkang perlu mengikut undang-undang dan bukan sewenang-wenangnya menggesanya untuk ‘turun’ daripada jawatannya.

“Ada 30 orang (pembangkang) suruh Anwar turun. Ingat negara dia, tak ikut hukum.

Kalau nak suruh turun, bawa usul undi tidak percaya pada sidang Dewan Rakyat Okt ini, katanya semasa berucap dalam Himpunan Keadilan ‘Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ di Stadium Axiata, Bukit Jalil.

Ini bukanlah kali pertama Anwar mencabar Perikatan Nasional untuk membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat.

Anwar membuat cabaran serupa pada 11 Jan tahun ini dan 6 Mei tahun lalu, dan menambah beliau akan memendekan tempoh notis.

Gesaan untuk menguji keabsahan Anwar itu susulan dakwaan presiden PKR terbabit tiada majoriti mudah 112 sokongan Ahli Parlimen, merujuk kepada gerakan Langkah Dubai.

Beberapa media melaporkan kewujudan perbincangan yang didakwa berlangsung di Emiriah Arab Bersatu antara pemimpin pembangkang dan wakil rakyat kerajaan tertentu bertujuan menjatuhkan pentadbiran Anwar.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata pembangkang tiada kekuatan untuk meneruskan usaha menjatuhkan kerajaan pimpinannya termasuk mengemukakan usul di Dewan Rakyat, sebaliknya terus memainkan propaganda mengaburi penyokongnya.

Mangsa banjir di Kedah terus meningkat

Bernama

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus bertambah kepada 6,760 orang setakat 8 malam ini, meningkat berbanding 6,575 orang petang tadi manakala situasi di Perlis dan Pulau Pinang bertambah baik.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa di Kedah melibatkan 2,171 keluarga dan mereka ditempatkan di 41 pusat pemindahan sementara (PPS).

Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 3,003 orag, diikuti Kubang Pasu (1,602), Pendang (933 orang), Pokok Sena (910 orang), Kuala Muda (184 orang) dan Bandar Baharu 128 orang manakala dua PPS di Kulim ditutup sepenuhnya petang tadi.

Sementara itu, laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air di enam sungai berada pada paras bahaya.

Sungai tersebut adalah Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Bata di Kampung Bata, Sungai Laka di Kampung Padang Pasir di Kubang Pasu serta Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar.

Di Pulau Pinang, dua PPS ditutup petang tadi iaitu SAR Nyior Sebatang di Seberang Perai Utara dan SMK Permatang Pasir.

Setakat 8 malam ini, 427 orang masih berlindung di lima PPS iaitu SK Padang Menora, SK Lahar Yooi, Pusat Penempatan Banjir Labuh Banting, Sekolah Rendah Islam Maahad At Tarbiah Guar Jering dan Dewan MPKK Sanglang.

Keadaan banjir di Perlis juga semakin baik apabila jumlah mangsa berkurang daripada 108 orang petang tadi kepada 90 setakat 8 malam ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perli, Mohd Izaimi Md Daud berkata semua mereka berada di tiga PPS iaitu SK Sena di Kangar dan SK Dato Ahmad Musa serta SK Kubang Gajah di Arau.

Di Selangor, seramai 101 masih berlindung di PPS Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang yang dibuka sejak semalam susulan kejadian air pasang besar di Kampung Baru Lembah Pantai.

Jabatan Bomba Selangor memaklumkan keadaan air semakin surut namun pemantauan terus dilakukan.

Mufti: Solat Jumaat di Surau al-Muttaqin tidak sah, khatib terlupa duduk antara dua khutbah

Zuhainy Zulkiffli
am@h.metro.com.my

Georgetown: Solat Jumaat di Surau al-Muttaqin, Sungai Ara, Bayan Lepas di sini, pada 13 September lalu tidak sah kerana tidak memenuhi syarat khutbah, menurut Mufti Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.

Beliau berkata, syarat yang tidak dipenuhi itu apabila khatib terlupa duduk antara dua khutbah.

Susulan itu, beliau berkata, jemaah yang bersolat Jumaat di surau terbabit diwajibkan menunaikan solat Zohor secara qada bagi menggantikan solat Jumaat yang tidak sah berkenaan.

"Menurut mazhab Syafie dan ulama Syafiiyyah, duduk di antara dua khutbah sebahagian daripada syarat khutbah Jumaat.

"Berikutan itu, jika khatib tidak duduk di antara dua khutbah sama ada sengaja atau terlupa, maka khutbahnya tidak sah dan solat Jumaat itu juga tidak sah.

"Kalau jemaah tidak sedar tentang perkara itu, dimaafkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, tular kenyataan didakwa daripada Pengerusi Jawatankuasa surau berkenaan yang meminta maklumat mengenainya dipanjangkan kepada orang ramai.

Kenyataan itu mendakwa perkara berkenaan sudah dirujuk kepada Pejabat Agama Daerah Barat Daya dan Pejabat Mufti Pulau Pinang.

Katanya, Mohd Sukki yang membalas pertanyaan itu turut memutuskan bahawa jemaah yang terbabit harus laksanakan solat Zohor qada itu secara berjemaah.

"Tolong panjangkan makluman ini kepada keluarga, sahabat dan kenalan sudah bersolat Jumaat di Surau al-Muttaqin pada 13 September lalu.

"Bagi pihak tuan imam, pegawai dan AJK (Ahli Jawatankuasa) Surau al-Muttaqin, saya memohon maaf atas kesilapan ini," menurut kenyataan itu lagi.

Lagi kisah proses indoktrinisasi remaja GISBH untuk jadi pentaksub

Masih terngiang ‘pasar Ikhwan di Putrajaya’, muncul pula lagu serah hidup mati untuk Abuya

Harapandaily

Ketika ramai mengaku masih terngiang-ngiang lagu dengan lirik antaranya, “pasar Ikhwan di Putrajaya”, muncul satu lagi lagu yang menyerahkan hidup dan mati untuk Abuya.

Lagu berdurasi 2:25 minit yang ditujukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings (GISBH) itu dikongsikan Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas) Malaysia menerusi Facebook.

“Indoktrinasi ketaksuban kepada Mursyid (Abuya) sehingga menyerahkan hidup dan mati untuk Abuya.

“GISBH menggunakan lagu merujuk kepada “perjuangan” Nasiruddin Ali,” menurut keterangan Pukas.

Antara kandungan melampau dalam lagu itu menyebut tentang menjadi khadam kepada mursyid serta mursyid adalah segala-galanya.

Rata-rata terkejut dan meluahkan rasa ‘seram’ mendengar lirik lagu berentak balada itu yang melatari gambar beberapa pemuda mengurut dan memicit kaki Abuya.

“… salah bila kita taksub dan mendewakan guru.

“Mereka seolah-seolah maksum sehingga apa sahaja yang mereka cakap dan lakukan tidak pernah silap! Hilang kecerdikan akal kita untuk berfikir!

“Jangan melampaui dalam memuji manusia. Kepada Allah tempat bergantung harap!,” demikian antara kata warganet.

Terdahulu, Pukas memuatnaik rakaman video lagu “pasar Ikhwan di Putrajaya” yang digubah seperti pantun.

Menurut Pukas, lagu yang turut menyebut “abuya seorang yang teliti” dan “abuya suka makan ikan” itu merupakan indoktrinisasi remaja GISBH.

GISB: Pembantu pengajar madrasah berdepan 6 tuduhan amang seksual

Seorang lagi pembantu pengajar di sebuah madrasah di Kuala Pilah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Seremban hari ini atas enam pertuduhan melakukan amang seksual terhadap empat kanak-kanak lelaki, tahun lepas.

Muhammad Fawzun Azim Ismail membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Pemuda berumur 20 tahun itu berdepan dua pertuduhan iaitu membuat dua kanak-kanak lelaki berusia 12 dan 13 tahun melakukan sentuhan fizikal secara seksual terhadap dirinya di madrasah berkenaan pada 2023 yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Dia juga berdepan empat pertuduhan melakukan sentuhan seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak lelaki berusia 10 hingga 13 tahun, dengan kesemua kesalahan dilakukan di madrasah sama pada tahun sama dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) AKKSTKK 2017.

Kesemua enam pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi mencadangkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi, perlu melapor diri ke balai polis setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta boleh dihubungi pihak berkuasa pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, tertuduh merayu jaminan dikurangkan kerana baru menyambung pengajian di sebuah pusat kemahiran tempatan bulan lepas.

Bapa tertuduh turut merayu jaminan rendah dikenakan atas alasan sama namun mahkamah meminta mereka memberikan bukti tertuduh merupakan pelajar di pusat kemahiran tersebut.

Hakim Surita kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM12,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan yang dikemukakan Nurul Balkis, selain penjamin perlu memastikan tertuduh hadir ke mahkamah dan menetapkan 30 Okt ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Semalam, tiga pembantu pelajar di sebuah madrasah di Kuala Pilah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima kanak-kanak pada 2022 dan 2023.

Mereka terdiri daripada Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 21, Muhammad Khunais Fathie Khabil, 20, dan Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22.

Minggu lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menerusi Op Global menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB Holdings dan menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun.

- Bernama

Mengejutkan! Soal akidah pun Toqqi tergamak sebut “beruk-beruk gila”, apa kata Dr Maza?

Harapandaily

Pendirian Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung isu akidah dan eksploitasi kanak-kanak yang terpalit pada syarikat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) begitu mengejutkan.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan atau Toqqi menggelarkan pemberi-pemberi maklumat berkaitan GISBH sebagai “beruk-beruk gila”.

“Itu sebab kita kena hati-hati. Jangan mudah saja cakap, pasal ada beruk-beruk gila di luar sana. Dia bercakap tidak payah bertanggungjawab,” katanya.

Turut berada disampingnya Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Mengulas sikap Toqqi, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga dikenali Dr Maza berpendapat kenyataan itu sebagai tidak wajar.

“Ini perkataan yang tidak wajar. Padahal, mereka ini telah menyelamatkan ramai orang.

“Saya terkejut apabila beliau (Toqqi) dengan usia sedemikian sepatutnya menggunakan perkataan yang lebih matang.

“… telah melampaui batas sehingga saya tertanya-tanya apa peranan PPIM ini…,” katanya kelmarin dalam audio siar Promedia Tajdid.

Kelantan: Teruk dibalun netizen penganjur batal acara lumba kura-kura

Penganjur tak jadi buat 'lumba race kura-kura' di Kelantan
story-image

Malaysiakini 

Penganjur Expo Kelate Event hari ini membuat keputusan untuk membatalkan acara lumba kura-kura yang dirancang mereka berlangsung pada program itu 30 Sept nanti.

Pengumuman tersebut dibuat ketika sesetengah pengguna media sosial giat menyindir, mengkritik dan menghasut maya (troll) acara berkenaan serta mengaitkannya dengan kerajaan Kelantan.

“Kami selaku penganjur memohon maaf di atas kekhilafan berkenaan cadangan penganjuran lumba race kura-kura di tapak Expo Tasek Raja (di Pasir Mas, Kelantan).

“Cadangan penganjuran ini dibatalkan dan kami memohon maaf sekali lagi atas kekhilafan pihak kami dan penganjur serta program ini tidak terlibat mana-mana agensi atau persatuan,” katanya penganjur itu dalam kenyataan di media sosial hari ini.

Terdahulu poster acara terbentuk hiburan keluarga, jualan, festival kebudayaan dan kesenian tempatan itu tular di media sosial. Acara berkenaan berlangsung sejak 13 Sept lalu dan sepatutnya berlanjutan sehingga 5 Okt ini.

Poster tersebut menguar-uarkan rancangan penganjur mengadakan perlumbaan kura-kura yang mengingatkan sesetengah orang kepada analogi Presiden PAS Abdul Hadi Awang semasa muktamar di Pahang hujung minggu lalu.

Seorang pengguna Facebook mengingatkan warganet bahawa sebelum ini pernah ada pertandingan biri-biri jangok (lawa) dan pertandingan lastik di Kelantan.

“Dan akan datang pertandingan lumba kura-kura.

“Negeriku sedang undur 50 tahun ke belakang, dengan membawa sekali mentaliti rakyatnya jauh ke tahun 1960-an dan 1970-an,” katanya.

Sementara itu penganjur turut mengumumkan pembatalan acara itu digantikan dengan pemberian 300 makanan percuma.

Acara lumba kura-kura itu pada asalnya menyediakan hadiah RM500 untuk pemenang pertama, RM300 di tempat kedua dan masing-masing RM200 dan RM100 bagi tempat ketiga dan keempat.

Ia terbuka kepada kura-kura yang mempunyai berat 1kg tetapi tidak melebihi 2kg.

Mengikut rancangan asal, kura-kura itu akan bertarung bagi jarak dua meter. Penyertaan dihadkan kepada 20 ekor sahaja.

Kes bunuh jiran kerana cemburu: Abdul Razak diburu polis

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
ABDUL Razak diburu polis. FOTO Ihsan Polis
ABDUL Razak diburu polis. FOTO Ihsan Polis
Keningau: Polis giat mengesan lelaki warga asing dikenali sebagai Abdul Razak, 40, yang dipercayai terbabit kes bunuh di Jalan Lingkudau, di sini, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Alizam Dalaman berkata, suspek Abdul Razak beralamat di Kampung Linkudau, Keningau.

"Polis meminta kerjasama orang ramai mengesan suspek dan sesiapa yang mempunyai boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Mohd Azrul Efizul Mohd Asri di talian 012-9293148.

"Maklumat juga boleh disalurkan dengan tampil ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, seorang lelaki yang bertindak membantu jiran membuat laporan polis berakhir tragedi apabila ditetak dalam kejadian di Jalan Lingkudau, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, mangsa berusia 58 tahun dilaporkan maut akibat parah di tangan selepas ditetak oleh suami jiran yang dibantunya.

Polis serbu kelab ganja selepas terima maklumat

KOSMO!
SEBUAH kelab ganja diserbu di Pattaya Selatan. - Foto Pattaya Mail
BANGKOK – Polis Pelancongan Pattaya, Thailand menyerbu sebuah kelab ganja ketika para pengunjungnya sedang leka berparti, lapor laman berita Pattaya Mail kelmarin.

Kelab itu terletak di Pattaya Selatan dan menjadi tumpuan lebih 50 warga tempatan serta pelancong asing.

Dalam serbuan itu, ada sebahagian pengunjung yang menghisap ganja dan menari mengikut alunan muzik.

Polis mendapati, kelab itu melanggar beberapa undang-undang tempatan.

Serbuan itu dilakukan selepas polis menerima maklumat bahawa terdapat penyalahgunaan dadah di dalam kelab tersebut.   

Semasa serbuan, seorang wanita Thailand yang mengaku dirinya sebagai pengurus kelab menuntut untuk melihat waran geledah. 

Bagaimanapun, bantahannya itu tidak dipedulikan kerana anggota polis menemui serbuk putih yang mencurigakan menyerupai ketamin di dalam beg plastik.

Ujian dadah kemudian dilakukan ke atas semua pengunjung kelab tersebut.

Dalam serbuan itu, sejumlah pengunjung termasuk warga asing ditangkap kerana pelbagai kesalahan.- AGENSI 

Anak dihina berpakaian seperti pelacur, Che Ta buat laporan polis

NUR AL-FAIRUZA SYARFA NOR SAIDI
Che Ta berang dengan tindakan seorang netizen yang melabel anaknya berpakaian seperti seorang pelacur.
PETALING JAYA – Geram dengan perbuatan individu yang melemparkan kata-kata kesat terhadap anaknya termasuk menyamakan kanak-kanak itu berpakaian seperti seorang pelacur, pelakon Rozita Che Wan bertindak membuat laporan polis.

Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta juga nekad mencari pelaku yang didakwa menghina Aaisyah Dhia Rana tanpa memikirkan kesan  perbuatan biadab tersebut.

“Malas cakap banyak. Aku serahkan segalanya kepada pihak berkuasa.

“Siapa yang kurang ajar mengata anak aku, kau tunggu. Baik kau benam diri dalam tanah.

“Kalau tidak pun tunggu, aku akan cari sampai lubang cacing. Kau main tahi dengan aku, kau akan kena,” katanya dalam InstaStory.
Che Ta membuat laporan polis ekoran terhadap seorang individu yang menghina anaknya berpakaian seperti seorang pelacur di Balai Polis Kota Damansara.
Meskipun akaun individu tersebut sudah hilang, Che Ta, 50, tetap akan berusaha menjejaki pelaku terbabit sehingga dapat ditemui.

“Tiada masalah (akaun Instagram hilang). Aku akan cari sampai lubang cacing.

“Silap besarlah cari fasal dengan aku,” jelasnya.

Berdasarkan pemerhatian Kosmo! Online, hari ini pelakon drama Kiah Pekasam itu dilihat pergi ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang difahamkan untuk melaporkan isu sama.

Terdahulu, Che Ta ‘naik hantu’ selepas seorang netizen dikatakan menghina Aaisyah dengan menyamakan baju dipakai seperti pelacur dan tidak layak menerima wang hantaran tinggi.

Komen tersebut muncul selepas sebuah akaun TikTok memuat naik video Aaisyah menggunakan tajuk yang mengundang salah faham netizen.

Che Ta dalam sebuah video pernah meminta agar anak tunggal perempuannya itu mempelajari selok-belok kerja rumah dan berseloroh mendapat wang hantaran tinggi berjumlah RM900,000 melebih jumlah yang pernah diterimanya sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

Rogol gadis dalam kereta, dua sahabat dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan dua sebatan

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Dua sahabat dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah merogol gadis berusia 18 tahun di dalam sebuah kereta, Mei tahun lalu.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu terhadap bekas joki, B Satia, 27, yang kini pemandu lori dan penyelia tapak pembinaan, T Khanesen, 31, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

"Selepas mahkamah mengambil kira mitigasi dan pemberat yang diteliti seadilnya, perintah bon berkelakuan adalah tidak wajar dan tidak sesuai diberikan.

"Oleh itu mahkamah menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama 11 tahun dengan dua sebatan terhadap kedua-dua tertuduh bermula hari ini," katanya.

Terdahulu, peguam Muhammad Amin Abdullah dan K Ponnusamy masing-masing mewakili Satia dan Khanesen memohon hukuman berbentuk bon berkelakuan baik dengan mengambil kira faktor kedua-dua tertuduh adalah penanggung utama keluarga dan pesalah kali pertama.

"Kami juga memohon satu penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi," kata Ponnusamy.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin membantah permohonan hukuman berbentuk bon berkelakuan baik kerana kesalahan yang dilakukan adalah jenayah rogol iaitu kesalahan yang serius.

"Pihak pendakwaan memohon hukuman berat sebagai pengajaran terhadap kedua-dua tertuduh supaya mereka dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang dilakukan.

"Permohonan bon tidak terpakai bagi kesalahan serius seperti rogol kerana jenayah ini sememangnya serius.

"Pendakwaan memohon hukuman penjara serta-merta untuk menghukum pesalah dan paling penting bagi melindungi wanita" katanya.

Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM9,000 kepada RM11,000 bagi memastikan kehadiran kedua-dua tertuduh pada prosiding akan datang.

Seramai 14 saksi pendakwaan dan tujuh saksi pembelaan termasuk kedua-dua tertuduh dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula Februari lalu.

Pada 24 Mei tahun lalu, Satia didakwa merogol seorang gadis berusia 18 tahun dalam kereta jenis Honda City di kawasan pusat hiburan, Jalan Tun Razak, Maluri di sini, pada jam 5.20 pagi, 13 Mei tahun lalu.

Khanesen turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa sama, pada 5.06 pagi di tempat sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat.

Terengganu mengikuti langkah Perlis mengisytiharkan ajaran dibawa GISBH sebagai ajaran sesat

Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Terengganu akan mengikut jejak langkah Perlis apabila memutuskan untuk memfatwakan kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings (GISBH) adalah sesat.

Mufti Terengganu Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu akan mengeluarkan fatwa itu berdasarkan bukti-bukti jelas yang menunjukkan organisasi itu mengandungi unsur ajaran sesat.

"Kita akan fatwakan GISBH sebagai sesat juga berdasarkan bukti-bukti yang jelas, namun biasanya pihak Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan putuskan lebih dahulu sebelum dibawa ke negeri masing-masing.

"Apabila sudah ada bukti-bukti yang kukuh yang dibentangkan oleh pihak-pihak yang tertentu yang berautoriti berkaitan GISBH, maka sudah tentu akan juga difatwakan sesat tanpa perlu was-was lagi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabri berkata, gerakan GISBH tidak begitu ketara di Terengganu namun, pihaknya tetap memandang serius isu berkenaan.

"Di Terengganu, gerakan ini tidak begitu ketara dan tidak ada aduan serius untuk dibawa ke fatwa peringkat negeri.

"Apabila ada aduan serius di peringkat kebangsaan, maka biasanya ia akan dibincangkan di peringkat MKI terlebih dahulu sebelum diputuskan oleh setiap negeri," katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISB mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Ia menjadikan Perlis negeri pertama mengisytiharkan organisasi berkenaan sebagai kumpulan ajaran sesat.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata fatwa dikeluarkan selepas menerima bukti meyakinkan untuk jawatankuasa berkenaan memutuskan bahawa organisasi berkenaan sesat.

Akhirnya Jawatankuasa fatwa Perlis mengisytiharkan ajaran yang dibawa GISBH adalah sesat

SITI NUR ZAWANI

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis hari ini mengisytiharkan kepercayaan dan ajaran dibawa Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Dalam mesyuarat khas yang diadakan, jawatankuasa berpendapat ajaran GISBH adalah kesinambungan dari ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Selain itu jawatankuasa memutuskan bahawa pegangan kumpulan GISBH yang mengkultuskan pemimpin mereka atau tokoh-tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batasan ke tahap seakan menyamakan kedudukan setaraf Nabi Muhammad atau mempunyai keajaiban mengetahui perkara yang ghaib, adalah fahaman yang bersifat batiniyyah, menyeleweng dan sesat.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, kesan dan akibat daripada pengkultusan itu melahirkan ketaksuban yang melampau sehingga mentaati pemimpin atau golongan agama sekalipun jelas bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah

“(Kesan yang lain, ahli jemaah) Mengikut secara membuta tuli dan mematuhi arahan pemimpin atau golongan agama sekalipun bercanggah dengan ajaran Islam.

“Mengambil keberkatan secara melampau dari sisa tubuh-badan pemimpin mereka.

“Mewujudkan hukum-hakam syarak yang baharu untuk menjustifikasikan aktiviti mereka yang bercanggah dengan syarak iaitu hukum-hakam solat, pernikahan (munakahat) dan juga muamalat,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu Mohd Asri berkata, setelah meneliti cara pengoperasian aktiviti ekonomi GISBH, Jawatankuasa menyimpulkan model ekonomi yang diamalkan bukanlah model ekonomi Islam yang sebenar, bahkan ia bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam. 

Ini kerana ia mempunyai unsur penindasan dan perhambaan terhadap mereka yang terlibat serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga demi kepentingan pihak yang dikultuskan.

“Dengan ini segala ajaran, aktiviti dan apa sahaja yang boleh membantu GISBH adalah dilarang.
“Jawatankuasa juga mencadangkan masyarakat Islam membantu pemulihan ahli-ahli GISBH yang ingin keluar dari kesesatan ini. 

“Peruntukan zakat juga boleh digunakan untuk membantu pemulihan mereka seperti pembiayaan pendidikan yang betul, pembinaan semula kehidupan, perlindungan keselamatan, bantuan guaman yang mempunyai kaitan untuk pembebasan diri dari GISBH dan pembiayaan dakwah pemurnian akidah,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan, peruntukan zakat di bawah fi sabilillah, al-riqab dan fakir miskin boleh digunakan untuk tersebut.

Malah menurutnya, masyarakat Islam perlu mengambil sikap positif dalam usaha membantu bekas-bekas ahli GISBH untuk keluar dari belenggu kesesatan.

“Sekolah yang mempunyai manhaj pengajian Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar hendaklah membantu mengambil anak-anak GISBH ini untuk diberikan pendidikan yang sepatutnya.

“Badan-badan swasta juga boleh membantu untuk memberi peluang pekerjaan supaya mereka dapat hidup seperti masyarakat Islam yang lain.

“Dalam masa yang sama semua pihak hendaklah sama-sama memantau bagi memastikan mereka tidak kembali kepada ajaran sesat tersebut,” tambahnya lagi.

Angkara cemburu, lelaki bantu isteri jiran lapor polis maut ditetak

Juwan Riduan
bhnews@bh.com.my
Lokasi kejadian mangsa ditetak oleh suspek menggunakan senjata tajam hingga maut. - Foto ihsan PDRM
Lokasi kejadian mangsa ditetak oleh suspek menggunakan senjata tajam hingga maut. - Foto ihsan PDRM
KENINGAU: Niat baik seorang lelaki membantu jiran membuat laporan polis berakhir tragedi apabila ditetak dalam kejadian di Jalan Lingkudau di sini, malam tadi.

Mangsa berusia 58 tahun maut akibat cedera parah di tangan selepas ditetak suami jiran yang dibantunya kira-kira jam 9.30 malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Alizam Dalaman, berkata terdahulu berlaku pertengkaran antara suspek iaitu lelaki berusia 40 tahun dan isterinya.

Katanya, isteri suspek dikatakan lari ke rumah mangsa yang juga jirannya sebelum dibawa membuat laporan di Balai Polis Keningau.

"Mangsa dan isterinya membantu isteri suspek membuat laporan polis di Balai Polis Keningau.

"Namun setibanya di balai, mangsa dihubungi anaknya yang berusia 25 tahun dan memaklumkan suspek dalam keadaan marah di hadapan rumah mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alizam berkata, mangsa kemudiannya bersama seorang lagi anak lelakinya yang berusia tujuh tahun pulang ke rumah menaiki kenderaan untuk melihat keadaan sebenar.

Katanya, isteri suspek turut pulang ke rumah dengan berjalan kaki bagi meredakan kemarahan suspek.

"Ketika dalam perjalanan balik ke rumah, mangsa berjumpa dengan suspek dan berlakunya pertengkaran antara mereka.

"Suspek dilaporkan terus menetak tangan mangsa di hadapan anak mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang menyebabkan berlaku pendarahan teruk," katanya.

Alizam berkata, isteri suspek yang tiba bersama anggota peronda unit kereta peronda (MPV) kemudiannya menemui mangsa yang parah.

Katanya, anggota MPV juga segera memaklumkan kepada pihak hospital untuk memberi bantuan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Suspek bertindak melarikan diri dan usaha memburunya sedang giat dilakukan pihak polis.

"Punca pergaduhan antara suspek dan mangsa adalah disebabkan rasa tidak puas hati atau cemburu suspek terhadap mangsa yang menolong isterinya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke hospital untuk tujuan bedah siasat," katanya.

Pasukan Malbatt selamat, kenderaan rosak diserang orang awam Lubnan

Malaysiakini

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan Anggota Battalion 850-11 (Malbatt 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan yang terlibat dalam satu insiden serangan orang awam di negara berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. 

ATM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kejadian yang berlaku pada Rabu lepas sekitar 11.32 malam waktu Malaysia itu, melibatkan tiga pegawai dan tujuh anggota lain-lain pangkat ketika dalam perjalanan pulang ke Kem Marakah selepas menyelesaikan penugasan perlindungan pasukan (force protection) di Kem Shama, Markas UNIFIL.

"Ketika pasukan berkenaan melalui laluan di Tes Road-Burj Al Qibli di bandar Tyre, satu kesesakan luar biasa berlaku di mana ramai orang awam sedang mengawal lalu lintas dan banyak kenderaan ambulans serta bomba melalui dari kedua-dua arah.

"Secara tiba-tiba, sekumpulan orang awam bertindak agresif dengan cuba memberhentikan kedua-dua buah kenderaan jenis Fitted For Radio (FFR) Malbatt," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa hampir 30 orang awam membaling batu dan memancitkan kesemua tayar kenderaan pasukan menggunakan senjata tajam.

“Bagi mengelak kejadian yang lebih buruk, kedua-dua buah kenderaan telah berhenti di tepi jalan dan kekal berada di dalam kenderaan sehingga Lebanon Armed Forces (LAF) tiba di lokasi untuk mengiringi kedua-dua kenderaan pulang. 

“Kesemua anggota berserta kenderaan telah tiba di Kem Marakah dengan selamat pada 1.39 pagi waktu Malaysia atau 7.39 malam waktu Lubnan, bagaimanapun kedua-dua buah kenderaan mengalami beberapa kerosakan,” menurut kenyataan itu. 

Malbatt 850-11 akan meneruskan rutin tugasan seperti yang ditetapkan oleh UNIFIL, dan semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden tersebut yang boleh mencemarkan imej ATM khususnya dan Kementerian Pertahanan amnya.

- Bernama

Wanita terselamat, kereta dihempap bongkah konkrit

FMT Reporters

Mangsa bernasib baik selepas keretanya terbakar dan musnah sepenuhnya selepas dihempap bongkah longkang konkrit yang terjatuh dari sebuah treler.
Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan sebuah kereta selepas dihempap bongkah longkang konkrit yang terjatuh dari treler pagi tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Sebuah kereta terbakar dan musnah sepenuhnya selepas dihempap bongkah longkang konkrit yang terjatuh dari sebuah treler dalam kejadian di Jalan Mambau, Seremban pagi tadi.

Bagaimana pemandu kereta berkenaan iaitu seorang wanita bernasib baik apabila hanya mengalami cedera ringan dalam kejadian kira-kira 7.20 pagi itu.

Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2, Ahmad Khomeini Kamarudzaman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.28 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.

Katanya, dianggarkan lebih separuh daripada muatan treler berkenaan terjatuh di jalan raya.

“Kami menjalankan operasi pemadaman api, namun kereta berkenaan tidak dapat diselamatkan dan hangus 100%. Pemandunya berjaya menyelamatkan diri.

“Berdasarkan maklumat pemandu Proton Saga FLX, bongkah longkang yang dibawa treler dipandu seorang lelaki berusia 63 tahun itu didakwa terjatuh ke atas keretanya di bahagian hadapan.

Akibatnya kereta dipandu seorang wanita berusia 31 tahun itu mula terbakar dipercayai bermula dari bahagian enjin, katanya dalam satu kenyataan hari ini, menurut Harian Metro.

Katanya, sebuah lagi kereta Perodua Axia dipandu seorang wanita berusia 30 tahun tidak sempat mengelak bongkah yang jatuh menyebabkan kerosakan pada bahagian pintu belakang.

Kejadian itu turut menyebabkan kesesakan kira-kira 7 kilometer di kedua-dua arah. Operasi mengalihkan bongkah dan sisa dijalankan, katanya.

Pejabat MB nafi dakwaan Sanusi pergi bercuti ketika Kedah dilanda banjir

‘Betul beliau di luar negara tapi…’- Pejabat MB Kedah jawab dakwaan Sanusi bercuti ketika banjir

SITI NUR ZAWANI

Pejabat Menteri Besar Kedah menafikan dakwaan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedang bercuti di luar negara bersama isteri dalam keadaan beberapa daerah di negeri itu dilanda banjir dan ribut.

Pejabat itu dalam satu kenyataan mengakui Menteri Besar Kedah sememangnya sedang berada di luar negara, namun bukan atas tujuan bercuti atau melancong,” katanya lagi.

“Ini kerana satu projek alternatif akan dijalankan di Langkawi untuk mendapatkan bekalan air dari sumber bawah tanah bagi memenuhi keperluan pengguna di Pulau Permata Kedah itu sehingga tahun 2040. 

“Projek itu adalah di bawah Bahagian Bekalan Air, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC). 

“Projek membina empangan air bawah tanah di Langkawi yang dijangka siap pada tahun 2028 ini adalah yang pertama di Asia Tenggara,” kata kenyataan itu.

Pejabat itu berkata, turut serta dalam lawatan sambil belajar itu ialah beberapa staf pengurusan dan teknikal Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).

Lawatan berkenaan dimaklumkan sudah diatur lama iaitu selepas keputusan dibuat dalam mesyuarat LSANK bertarikh 1 April 2024.

Delegasi Kerajaan Negeri Kedah yang diketuai Sanusi telah berangkat ke Jepun pada 17 September lalu iaitu beberapa hari sebelum banjir teruk melanda Kedah.

Tambahnya, walaupun berada jauh di luar negara, Sanusi sentiasa mengikuti perkembangan bagi memastikan beban bencana yang dihadapi oleh semua mangsa banjir Kedah ditangani dengan cepat dan berkesan. 

“Adalah sangat tidak bertanggungjawab untuk fitnah disebar dalam keadaan kita menghadapi musibah seperti ini walau atas apa tujuan sekalipun,” katanya lagi

Terdahulu, kemunculan kenyataan media dari Menteri Besar Kedah hanya selepas lebih tiga hari banjir melanda, mengundang persoalan ramai.

Tiada kemaskini termasuk gambar Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri itu turun meninjau kawasan dilanda banjir atau menziarahi mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) .

Kelibat Sanusi yang tidak kelihatan meredah banjir menemui mangsa bencana setakat ini turut dibangkitkan penduduk tempatan.

Matlamat PAS tarik bukan Melayu bergantung pada ulamanya

Mikha Chan

PETALING JAYA: Sebarang peluang PAS membina sokongan di kalangan bukan Melayu terletak di tangan ulamanya, kata seorang penganalisis.

Mengulas mengenai matlamat parti itu baru-baru ini yang mahu menarik sokongan bukan Melayu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata tanggungjawab terletak pada Majlis Syura Ulama PAS untuk secara proaktif menggerakkannya ke arah lebih inklusif.

“Jika itu berlaku, saya rasa mereka boleh mendapat sokongan orang bukan Islam. PAS menyedari bahawa impiannya untuk merampas Putrajaya bergantung kepada memikirkan bagaimana untuk memenangi hati orang bukan Islam.

“Walaupun penduduk bukan Melayu semakin berkurangan, sokongan PAS daripada orang Melayu juga terhad.

Satu-satunya cara untuk membentuk kerajaan persekutuan adalah dengan meyakinkan Sabah dan Sarawak dan melakukan semua yang boleh untuk meyakinkan rakyat bahawa PAS benar-benar untuk semua, katanya.

Sementara itu, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia mengingatkan agar tidak melihat PAS hanya dari segi sikap terbuka pemimpinnya.

“Untuk memahami PAS, anda perlu memisahkan postur daripada terasnya. Parti boleh mengunjurkan apa sahaja yang dimahukan asalkan teras ideologinya utuh atau tidak terjejas teruk.

Teras ideologi ini ditetapkan oleh ulama dalam majlis syura yang biasanya tidak muncul di khalayak ramai. Lagipun, PAS adalah gerakan sosio-politik yang didorong oleh ideologi dan lebih daripada sekadar parti politik, katanya kepada FMT.

Azmi dan Syaza mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini yang menggesa anjakan paradigma dalam sayap pemuda parti itu dan menumpukan perhatian untuk menarik sokongan orang bukan Melayu supaya parti itu berada dalam kedudukan menerajui kerajaan persekutuan.

Berucap pada muktamar sayap di Pahang, beliau berkata ia mungkin mengambil masa 10 hingga 20 tahun.

Kejayaan kita hari ini adalah hasil benih yang ditanam 10 hingga 20 tahun lalu dan benih yang kita tanam hari ini akan berhasil 10 hingga 20 tahun dari sekarang, katanya.

Bagaimanapun, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata cita-cita Tuan Ibrahim dalam jangka masa 20 tahun yang ditetapkannya terlalu panjang dari segi politik.

Saya fikir ia adalah rancangan jangka panjang. Sepuluh tahun dalam politik untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu kepada PAS? Saya tidak fikir ia berdaya maju, kerana politik berubah, katanya kepada FMT.

Azmi juga menolak dakwaan Tuan Ibrahim bahawa kekuatan PAS hari ini adalah hasil usahanya 20 tahun lalu, sebaliknya berkata ia datang daripada kelemahan Umno.

Jangka masa politik biasanya berkisar antara dua dan tiga tahun, bukan 10 hingga 20 tahun, katanya sambil menyatakan bahawa Parti Buruh UK, yang diketuai oleh Perdana Menteri Keir Starmer, mengambil alih kerajaan negara itu selepas tiga tahun kepimpinannya.

Saya rasa PAS sedang memujuk (dirinya sendiri) atas ketidakmampuannya merebut pengundi bukan Melayu. Ia telah menetapkan garis masa satu hingga dua dekad sebagai alasan untuk tidak berada dalam kerajaan persekutuan.

Ugut bakar anak, lelaki diberkas polis

NORHAFIZAN ZULKIFLI
TANGKAP layar video ugutan membakar anaknya yang dihantar suspek kepada bekas isterinya.
KUANTAN – Tindakan seorang lelaki yang cuba mengugut bekas isterinya dengan menghantar video memukul dan cubaan membakar anak lelaki mereka membawa padah apabila dia diberkas pihak polis semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, sepasukan anggota polis Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan dengan kerjasama IPD Maran telah bertindak membuat tangkapan ke atas suspek susulan dari aduan yang diterima dari bekas isteri suspek petang semalam.

Katanya, suspek berusia 35 tahun itu berjaya ditahan pada pukul 10.30 malam hari sama di perhentian bas hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Maran 2, Maran, dipercayai cuba melarikan anak lelaki mereka yang berusia dua tahun.

Menurut laporan dibuat, difahamkan pengadu yang telah diceraikan suaminya pada Ahad lalu telah menghantar anak lelakinya yang berusia dua tahun ke rumah suspek yang terletak di Beserah, di sini, pada Selasa kira-kira pukul 5.25 petang

“Sekitar pukul 11.11 malam, pengadu yang berada di rumahnya di Sungai Lembing, di sini, telah menerima beberapa video yang dihantar oleh bekas suaminya yang bertindak memukul dan memarahi anak lelaki mereka tanpa sebab sehingga menyebabkan kanak-kanak tersebut kelihatan seperti trauma serta ketakutan.

“Suspek sekali lagi menghantar beberapa video memarahi anak mereka dengan memukul dan telah mengugut untuk membakar kanak-kanak tersebut pada pukul 4.27 petang hari yang sama.

“Bimbang dengan keadaan tersebut, pengadu kemudiannya telah bertindak membuat laporan polis dan tindakan segera diambil bagi menangkap suspek,” katanya memberitahu suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah.

Difahamkan video yang dihantar kepada pengadu berkenaan merupakan ugutan dan protes berkaitan kemelut rumah tangga mereka kerana suspek tidak bersetuju dengan penceraian tersebut.-KOSMO! ONLINE

Wanita purdah curi rantai RM30,000

ISKANDAR SHAH MOHAMED
Tangkap layar video kejadian melibatkan suspek wanita mencuri rantai di kedai emas.
KUALA SELANGOR – Seorang wanita berpurdah diburu selepas melarikan rantai bernilai RM30,000 di sebuah kedai emas di daerah ini pada Isnin lalu.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.25 tengah hari, selepas suspek datang ke premis tersebut dengan menyamar sebagai pelanggan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima laporan daripada pembantu premis dan siasatan awal mendapati suspek berpura-pura mahu membeli barang kemas.

“Wanita itu mengambil seutas rantai emas bernilai RM30,000. Usaha memburu suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Justeru, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkan ke balai polis berdekatan.

Terdahulu, tular video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi lebih seminit memaparkan wanita berpurdah masuk ke dalam sebuah kedai emas.

Wanita itu sempat duduk di kerusi pelanggan sebelum didatangi pekerja yang mengeluarkan barang kemas dari rak pameran untuk dicuba lalu suspek melarikan rantai itu. – KOSMO! ONLINE

Alat kelui Hezbollah yang meletup dibuat di Hungary

Berita harian Sg
Firma BAC Consulting KFT terletak di bangunan pejabat di Budapest, Hungary. Firma itu adalah pengeluar alat kelui yang meletup di Lebanon dan Syria, dalam kejadian pada 17 September. Ia menggunakan jenama syarikat Taiwan, Gold Apollo. - Foto REUTERS
TAIPEI: Alat kelui yang digunakan oleh Hezbollah yang meletup dalam serangan Israel dilaporkan dibuat oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Hungary, kata sebuah firma lain pada 18 September.

Alat kelui AR-924 yang meletup itu dikeluarkan BAC Consulting KFT, yang berpangkalan di ibu kota Hungary, Budapest.

Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Gold Apollo, firma Taiwan yang membenarkan penggunaan jenamanya pada alat kelui berkenaan.

Gold Apollo mewujudkan “perkongsian jangka panjang” dengan BAC Consulting KFT yang berpangkalan di Budapest untuk menggunakan tanda dagangan dan model AR-924, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Antara isi kandungan perjanjian kedua-dua syarikat itu, BAC Consulting KFT diberi kelulusan menggunakan jenama syarikat dari Taiwan di rantau tertentu.

Namun reka bentuk dan pembuatannya adalah tanggungjawab penuh syarikat BAC Consulting KFT.

New York Times melaporkan bahawa alat kelui keluaran syarikat berkenaan terbabit dalam letupan itu.

Alat kelui yang digunakan kumpulan itu meletup hampir serentak di Lebanon dan Syria pada 17 September, membunuh sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan sekitar 2,800 orang.

Pengerusi Gold Apollo, Encik Hsu Ching-kuang, berkata firmanya mempunyai perjanjian pelesenan dengan BAC sejak tiga tahun lalu.

“Kami memberi kuasa kepada BAC untuk menggunakan tanda dagangan jenama kami untuk jualan produk di kawasan yang ditetapkan, tetapi reka bentuk dan pembuatan produk adalah tanggungjawab BAC,” kata Gold Apollo dalam satu kenyataan.

Bahan letupan, sekecil 1oz (28g) hingga 2oz, diletak di sebelah bateri dalam setiap alat kelui, kata sumber tersebut yang dipetik oleh New York Times.

Suis turut dibenamkan dan ia boleh menyebabkan alat itu diletupkan dari jarak jauh.

Difahamkan lebih 3,000 alat kelui telah ditempah dari Gold Apollo di Taiwan.

Serangan itu meningkatkan konflik sedia membara antara Israel dengan Hezbollah yang berisiko meningkat menjadi perang besar-besaran.

Hezbollah dan pemerintah Lebanon menyalahkan Israel atas letupan tersebut.

Seorang pegawai Amerika Syarikat yang enggan namanya disebut, berkata Israel telah memberi taklimat selepas serangan itu dengan menyatakan bahan letupan yang tersembunyi dalam alat kelui telah diletupkan.

Sumber diplomatik dan keselamatan mengesyaki letupan tersebut berpunca daripada alat bateri yang meletup, mungkin disebabkan suhu yang tinggi.

Pakar memberitahu agensi berita Reuters, mereka tidak yakin letupan tersebut berpunca hanya daripada bateri.

Pakar keselamatan bateri litium-ion di Universiti Newcastle, Encik Paul Christensen berkata, tahap kerosakan disebabkan oleh letupan alat kelui itu kelihatan tidak konsisten jika dibandingkan dengan kes-kes kegagalan bateri yang diketahui pada masa lalu.

Sebuah pertubuhan hak digital Lebanon, Smex, memberitahu Reuters bahawa Israel mungkin mengeksploitasi kelemahan dalam alat tersebut untuk menyebabkan letupan.

Ia menambah bahawa alat kelui itu mungkin dipintas sebelum ia dihantar ke Hezbollah, apabilan komponen elektrik peranti tersebut mungkin diubah atau bahan letupan dipasang pada alat tersebut.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, berkata pada 18 September bahawa pihaknya masih menilai bagaimana serangan itu boleh menjejaskan usaha untuk merundingkan gencatan senjata Gaza.

Hezbollah dan tentera Israel telah berbalas tembakan hampir setiap hari sejak 8 Oktober, sehari selepas serangan maut Hamas di selatan Israel mencetuskan perang.

Sejak itu, ratusan telah terbunuh dalam serangan Israel ke atas Lebanon dan berpuluh-puluh di Israel.

Pasukan keselamatan Taiwan “memberi perhatian besar” terhadap letupan beribu-ribu alat kelui yang menyasarkan Hezbollah, kata menteri pertahanannya, Encik Wellington Koo, selepas firma Taiwan dikaitkan dengan pengeluaran alat kelui berkenaan.

Beliau berkata pemerintahnya sedang memerhati perkembangan dengan teliti. – Agensi berita.

Dua anggota polis digantung kerja berkaitan kes ketum, dadah

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
bhnews@bh.com.my

IPOH: Dua anggota polis di negeri ini yang disyaki terbabit memproses dan penyalahgunaan ketum selain kesalahan berkaitan dadah susulan serbuan ke atas sebuah rumah di Tanjung Rambutan pada Jumaat lalu, sudah digantung kerja.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris ketika mengesahkannya berkata tindakan ke atas anggota berpangkat koperal berusia 41 tahun dan koperal sokongan berusia 39 tahun itu bermula hari ini.

"Kita sudah jalankan siasatan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, dan tindakan akan diambil pada subjek yang juga terdiri daripada kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kita kenali.

"Langkah pertama yang kita ambil ialah gantung kerja. Dua orang ini sudah pun ditahan kerja bermula hari ini," katanya selepas Majlis Meraikan 186 Pesara dan Bakal Pesara Polis Kontinjen Perak Tahun 2024 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Azizi berkata tempoh reman bagi suspek kes berkenaan yang berakhir esok akan dilanjutkan jika terdapat keperluan bagi melengkapkan siasatan.

"Tempoh reman tamat esok (Khamis). Kalau perlu lagi untuk siasatan, kita akan rujuk (reman) atau bawa kepada pertuduhan sekiranya siasatan sudah lengkap," katanya.

Terdahulu tular di media sosial kes tangkapan membabitkan tujuh anggota pangkat rendah oleh Cawangan Risikan dan Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman di sebuah rumah di Tanjung Rambutan.

Serbuan sekitar jam 10.48 pagi Jumaat lalu itu, mendapati anggota yang ditahan terbabit dengan aktiviti memproses dan menjual air ketum selain menjalankan perniagaan rokok tidak bercukai.

Ada juga anggota yang ditahan disyaki terbabit dengan aktiviti perjudian dalam talian.

Letupan ribuan alat kelui di Lubnan. Apa yang ada perlu tahu?

Buletin TV3

BEIRUT: Kejadian letupan terkoordinasi peranti telekomunikasi mudah alih atau ‘pager’ di Lubnan pada Selasa telah meragut sembilan nyawa termasuk seorang kanak-kanak dan mencederakan 2,750 orang awam setakat ini.

Memetik laporan agensi antarabangsa, letupan berskala besar itu telah menyebabkan kesesakan di beberapa hospital di negara itu selepas ribuan mangsa dikejarkan untuk mendapatkan rawatan.

Perkara penting yang anda perlu tahu:

1. Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang pada Selasa, melibatkan sekurang-kurangnya 3,000 pager meletup.
Petugas perubatan membawa orang awam yang cedera selepas insiden letupan alat kelui di Beirut.
2. 200 mangsa berada pada tahap kritikal dan sedang menerima rawatan

3. Sekurang-kurangnya sebanyak 5,000 pager diimport awal tahun ini oleh Hezbollah.

4. Saksi kejadian menyatakan pager berbunyi ‘beep’ selama 10 saat sebelum meletup.

5. Duta Besar Iran di Lubnan antara mangsa yang terlibat dan mengalami kecederaan di bahagian mata

6. Syarikat pengeluar alat kelui dari Taiwan menegaskan hanya sebagai pengeluar lesen sahaja, tiada kaitan dengan pembuatan mahupun reka bentuk produk.

8. AR-924 pager itu dibuat oleh sebuah syarikat di Eropah, mempunyai ketahanan bateri selama 85 hari dengan sekali caj dan boleh mempamerkan sebanyak 100 karakter pada satu masa.

Berikutan itu, Lubnan mengumumkan penutupan semua sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negara pada Rabu.